Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Ahli kumpulan rock rompak amah dipenjara 4 tahun



Ampang: Seorang ahli kumpulan rock dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merompak seorang pembantu rumah, tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu selepas Md Nurulazman Saliholdin@Salihaldin, 39, mengaku bersalah terhadap tuduhan terbabit.


Md Nurulazman didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan ke atas wanita warga Indonesia dikenali sebagai Intan dengan merompak harta milik majikannya yang juga jurutera.

Antara barangan berjenama yang dirompak adalah tiga jam tangan, pen, telefon bimbit, kamera serta barang kemas dengan menggunakan parang.


Perbuatan itu dilakukan di rumah beralamat No 24, Jalan UP 3/3, Ukay Perdana di sini, pada jam 5.30 petang, 31 Oktober tahun lalu.


Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan memandangkan dia menyara empat anak berumur antara 13 hingga 21 tahun, serta turut menjaga ibunya yang berusia.


Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu majikan pembantu rumah berkenaan mendapat panggilan telefon daripada isterinya yang memaklumkan wanita itu diikat dua lelaki dan apabila diperiksa, bilik berada dalam keadaan berselerak.

Difahamkan, siasatan lanjut mendapati pembantu rumah itu berseorangan di kediaman terbabit dan ketika memasak dia didatangi dua lelaki dari arah belakang yang terus menutup muka serta mulutnya sebelum diikat di dalam stor menggunakan tali pinggang.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Aliza Ab Kadir Terdahulu, dia juga dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan pecah rumah.

No comments:

Post a Comment