Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

Mangsa cabul masih trauma


Mangsa cabul masih trauma
Su masih trauma dicabul 6 September lalu.
KOTA BHARU – Walaupun sudah lebih setahun berlalu, tragedi hitam dicabul perogol bersiri 6 September itu masih menghantui seorang jurujual tudung di Wakaf Che Yeh, di sini.

Lebih malang, wanita yang berusia 23 tahun itu turut mengalami trauma apabila dia menjadi takut melihat lelaki yang tidak dikenali serta berwajah bengis.

“Pengalaman ini adalah yang paling pahit dalam hidup saya. Saya masih trauma dan berasa takut melihat lelaki berperwatakan ‘pelik’. Kalau berjalan ke mana-mana pun saya mahu ditemani seseorang yang rapat,” katanya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Su itu tetap rasa lega selepas pelakunya dihukum lima tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Amran Che Jaafar, 29, juga dikenakan empat kali sebatan rotan kerana kesalahannya mencabul wanita itu dia berada di bilik hostelnya di sebuah bangunan di Jalan Kuala Krai, di sini.

Mengimbau kejadian jam 7 pagi itu, Su yang sedang tidur, terjaga sebelum mendapati tertuduh berada di dalam bilik tidurnya. Dia bagaimanapun tidak mampu berbuat apa-apa kerana tertuduh mengacukan pisau ke leher serta mengikat tangan dengan wayar lampu.

Ketika cuba merogolnya, Su berjaya melepaskan ikatan tangan sebelum bertindak menendang pengadu sambil menjerit meminta tolong. Tersentak dengan tindakan itu, tertuduh kemudian melarikan diri dan mangsa membuat laporan polis sebelum dihadapkan ke mahkamah,
semalam.

Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamed.

Kes bunuh: Dua beradik terlepas hukuman gantung


Kes bunuh: Dua beradik terlepas hukuman gantung
Razif (kiri) dan Rafik menutup muka mengelakkan gambar mereka dirakam jurugambar
ALOR SETAR - Dua beradik terselamat daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun setelah mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang rakan, dua tahun lalu.

Mohamad Razif Arshad, 27, dan adiknya, Mohamad Rafik Arshad, 22, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Mohd Amran Ramli, 22, di persimpangan Jalan Lobak 15, Taman Lobak Indah di Lunas, Kulim, kira-kira jam 8.30 malam pada 29 Julai 2011.

Mereka didakwa mengikut pertuduhan pindaan iaitu Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu  membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, dua beradik yang bekerja kilang itu didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan keterangan awal, kedua-duanya bertindak demikian setelah mangsa dikatakan menyebarkan kata-kata mengaibkan keluarga mereka dalam laman sosial 'facebook'.

Bagaimana pun, pertemuan antara Razif dan Rafik dengan mangsa pada mulanya untuk menuntut kemaafan tetapi  berakhir dengan pergaduhan selepas mangsa dikatakan enggan berbuat demikian.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, 29 Julai 2011.

Dalam penghakimannya beliau berkata hukuman berkenaan diputuskan selepas mempertimbangkan faktor paling utama iaitu kepentingan awam.

“Pengakuan seseorang terhadap sesuatu pertuduhan juga adalah faktor mitigasi yang baik dan rekod lampau yang bersih juga wujud mitigasi yang wajar dipertimbangkan.

“Sekalipun hukuman itu ringan pada mata masyarakat namun pesalah akan menjadi individu lebih baik selepas dihukum,” katanya.

Sementara itu Razif memakai kemeja T  biru dan Rafik kemeja T kelabu kelihatan tenang menerima keputusan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hashim.

Kemaruk bersuami, wanita rugi RM200,000


Syed Ismail
Syed Ismail (dua,kanan) melihat barang rampasan selepas sembilan ahli sindiket perdaya wanita Hong Kong diberkas.
KUALA LUMPUR - Gara-gara kemaruk bersuami, seorang warga Hong Kong kerugian hampir RM200,000 selepas terjerat dalam cinta internet yang didalangi sindiket berpangkalan di sebuah pangsapuri di Batu Berendam, Melaka.

Mangsa, 37, jalin hubungan cinta dengan seorang lelaki yang dikenali di sebuah laman sosial, awal Januari tahun lalu.

Selepas enam bulan perkenalan, mangsa memasukkan wang sebanyak enam kali ke dalam akaun bank milik warga tempatan.

Alasan yang diberikan adalah untuk persiapan perkahwinan dan teman lelakinya itu berjanji untuk datang bertemunya di Hong Kong.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas teman lelakinya itu tidak muncul seperti yang dijanjikan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, wanita itu menghubungi polis dan datang ke sini kelmarin bagi menyalurkan maklumat.

Katanya, polis kemudiannya serbu pangsapuri dan berkas tujuh lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Filipina, jam 12.25 tengah malam, semalam.

“Mangsa terpedaya dengan ayat serta janji-janji manis suspek. Ia menjadi punca mangsa memasukkan wang berjumlah RM192,621.61 ke dalam akaun sindiket.

“Suspek pula menggunakan gambar individu lain yang kelihatan kacak untuk menarik minat mangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Perdana, semalam.

Syed Ismail berkata, dalam serbuan itu, polis merampas komputer riba, telefon bimbit, kad bank, pasport dan pelbagai dokumen lain.

Katanya, siasatan mendapati tujuh lelaki tersebut merupakan pelajar di kolej ibu negara dan Melaka.

Polis: Lagi individu terlibat sindiket jual bayi



31 Januari 2013
GEORGETOWN -  Polis mengenal pasti beberapa lagi individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak di utara Semenanjung baru-baru ini.
  
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis yakin akan menahan mereka yang dikenal pasti itu dalam tempoh terdekat.
  
"Setakat ini belum ada tangkapan baharu dan kes itu masih dalam siasatan.
  
"Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut kerana ia dalam siasatan tetapi apa yang saya boleh maklumkan ada beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat (dengan sindiket itu)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bacaan Ikrar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Pulau Pinang di sini hari ini.
  
Khamis lepas, Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan.
 
Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya mendapat petunjuk baharu berhubung dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, baru-baru ini.
  
Katanya berdasarkan maklumat yang diperoleh itu, pihaknya percaya akan dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat.
  
"Ops Kesan Gelugor masih diteruskan dan usaha memburu mereka giat dijalankan, polis ada maklumat mengenai mereka tetapi saya tidak boleh maklumkan lebih lanjut... insya-ALLAH dalam tempoh terdekat ini (tahan mereka).
  
"Dua tahanan itu masih berada di negeri ini dan kita telah mengehadkan kawasan yang dipercayai mereka berada," katanya.
  
Dalam kejadian 9 pagi pada 7 Januari lepas, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
  
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada 10 Januari.
 
Dua hari kemudian polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini. - Bernama

Doktor didakwa keluar kata-kata kesat terhadap pengetua sekolah



31 Januari 2013
PETALING JAYA - Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pengetua sekolah di Subang Jaya.
  
Raymond Abd Rahman Abdullah, 44, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tujuan mengaibkan Lee Huat, 56, di bilik pejabat mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Jaya, SS14, Jalan SS14/6, Subang Jaya, pada 2.15 petang, 4 Julai tahun lepas.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit
kesalahan.
  
Sementara itu, di mahkamah sama, Raymond dan isterinya, Marinah Hashim, 39, didakwa mengeluarkan kata-kata tidak senonoh di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Subang Jaya pada 8 pagi, 16 Januari lepas.
  
Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  
Majistret Nazri Omran membenarkan Raymond diikat jamin RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan RM2,000 bagi Marinah sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin yang sama, serta menetapkan 13 Mac untuk tarikh sebutan.  - Bernama

12 wanita warga asing ditahan terlibat aktiviti pelacuran



31 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Polis menahan 12 wanita warga asing dalam serbuan di sebuah salon mencuci rambut yang turut menawarkan khidmat urutan serta seks di Puchong dekat sini malam tadi.
  
Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintenden Rohan Shah Ahmad berkata wanita berusia lingkungan 23 dan 42 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan aktiviti tidak bermoral.
  
"Kita tahan tujuh wanita Vietnam, empat China, dan seorang Thailand kerana tidak memiliki pasport," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
   
Premis yang tidak memiliki lesen tersebut menawarkan perkhidmatan mencuci rambut dan urutan dengan harga RM80 serta khidmat seks akan ditawarkan kepada pelanggan yang inginkannya dengan harga yang ditentukan sendiri oleh wanita tersebut, katanya.
  
Katanya bangunan kedai tiga tingkat tersebut mempunyai beberapa bilik dan turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) di pintu pagar bahagian tangga serta pelanggan yang dikenali sahaja dibenarkan masuk.

Beliau berkata turut ditahan seorang penjaga premis yang baru sebulan bekerja bersama empat pelanggan berusia 21 hingga 30 tahun.
  
Operasi sejam yang berakhir 9.30 malam itu disertai tiga pegawai dan 12 anggota dari IPK Selangor.
  
"Kita sudah perhatikan tempat ini dua hari dan tadi kita hantar anggota untuk penyamaran sebelum serbuan dilakukan," katanya.
  
Beliau berkata polis turut merampas beberapa bungkusan kondom, wang tunai berjumlah RM1,000, minyak urut dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut.  - Bernama

Polis tubuh pasukan siasat dakwaan Pengerusi Mywatch



31 Januari 2013
SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan telah menubuhkan pasukan untuk menyiasat tohmahan Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia(MyWatch) R. Sri Sanjeevan baru-baru ini yang mendakwa polis mengugut untuk menembaknya kerana mendedahkan aktiviti perjudian siber di Jelebu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Hamdan Majid berkata Sanjeevan dalam laporan polis yang dibuat pada 29 Jan lepas, juga mendakwa polis daerah Jelebu melindungi aktiviti perjudian di daerah itu.
"Dia mentohmahkan bahawa semasa dia berada di lokasi di mana dilaporkan wujudnya aktiviti perjudian ini telah datang tiga anggota polis tetapi tiga anggota polis ini tidak mengambil sebarang tindakan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya pasukan itu akan menyiasat dakwaan itu secara terperinci bagi memastikan kesahihannya.
Dalam pada itu, Hamdan menafikan polis melindungi pusat perjudian di Jelebu dengan menegaskan polis melakukan 66 serbuan pada 2011, 153 serbuan pada 2012 dan 12 serbuan pada Januari tahun ini.
Berhubung dakwaan anggota polis yang datang ke lokasi perjudian tidak mengambil sebarang tindakan, beliau berkata mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 atau Akta Rumah Judi Terbuka 1953, hanya pegawai polis berpangkat inspektor ke atas sahaja boleh masuk premis dan buat serbuan dan rampasan.
"Jadi, kehadiran ketiga-tiga anggota polis di situ jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa...kalau perjudian siber kita memerlukan pakar judi yang pakar dalam bidang siber, tapi di daerah Jelebu kita tidak mempunyai pakar siber.
"Jadi, kalau maklumat diterima malam tu secara tiba-tiba saja, jadi kita tidak dapat membuat persiapan (dapatkan pakar siber) sebagainya...kita kena buat perancangan dan barulah mengambil tindakan supaya serbuan yang dilakukan itu mendatangkan impak positif," katanya. - Bernama

Pekerja pusat internet bebas tuduhan bakar rumah Ahmad 100


KUALA LUMPUR - Seorang pekerja pusat internet dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada tuduhan membakar pintu rumah sewa seorang lelaki, yang didakwa ketua kumpulan Ajaran Ahmad 100, Mac tahun lalu.

Majistret Nurul ‘Ain Abdul Rahim membebaskan Mohd Abu Bazrah Ahmad Zakki, 29, selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Ketika membuat keputusan itu, Nurul ‘Ain berkata, mahkamah berpendapat bahawa keterangan tertuduh bahawa dia berada di tempat kerja semasa kejadian dengan sokongan alibi dan saksi alibi serta demenaour yang ditunjukkan adalah fakta yang benar.

“Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan saksi-saksi pembelaan, dan mahkamah percaya tiada keraguan terhadap keterangan saksi, yang merupakan bekas pengikut kumpulan Ahmad 100.

"Oleh itu mahkamah berpendapat bahawa keterangan tertuduh dan saksi-saksi ada kredibiliti, justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Abu Bazrah dilihat menekup tangan ke wajah sambil menarik nafas lega selepas mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Mohd Abu Bazrah didakwa melakukan khianat dengan api, dengan cara membakar pintu rumah sewa milik Ahmad Shahrizal Ya Shah, 34, yang menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM50.

Kejadian didakwa berlaku di rumah bernombor 204, Blok B4, Seksyen 4,  Wangsa Maju, sekitar jam 8.30 pagi pada 28 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, dan denda, jika sabit kesalahan.

Seramai empat saksi pendakwaan, dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuli manakala tertuduh diwakili peguam Wan Ahmad Shamril Wan Afzam Wan Hasim.

Ibu anak empat didakwa cederakan jiran



31 Januari 2013
MELAKA - Seorang ibu beranak empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mencederakan jirannya menggunakan kayu.
  
Norlilah Md Shariff, 46, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rosni Mahmud, 50, di belakang sebuah rumah di Kampung Bachang, pada 8.30 pagi 24 Januari lepas.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM9,000 kerana tertuduh menyebabkan mangsa mengalami cedera di lengan kanan ketika kejadian.

Bagaimanapun, Norlilah yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ishak Kari merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut atas
alasan anak guamnya yang berniaga kecil-kecilan perlu menanggung empat anak.
  
Katanya suami tertuduh juga diisytiharkan muflis pada 2003.
  
Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.
 - Bernama

Mayat pramugara Virgin Australia ditemui



31 Januari 2013
MELBOURNE - Mayat pramugara Virgin Australia, Benjamin Roper, anak seorang wanita yang tinggal di Pulau Langkawi, ditemui polis di tingkat bawah tanah pangsapuri Randwick yang didiaminya di Sydney.
Mayat itu ditemui pada Khamis susulan apa yang diistilahkan polis sebagai 'pencarian menyeluruh', termasuk mengadakan tinjauan helikopter di kawasan sungai berhampiran.
Polis menyifatkan kematiannya sebagai tidak berunsur jenayah.
Kehilangan pemuda berusia 32 tahun itu mencetuskan pencarian besar-besaran dan kempen di media sosial selepas dia dilihat kali terakhir kira-kira 7 malam Sabtu.
Ibunya, Michele Pippen, seorang broker perahu layar di Langkawi, pulang ke Sydney pada Selasa untuk membantu mencari anak lelakinya.
Rakan dan keluarga sebelum itu membuat spekulasi kehilangannya yang mungkin mempunyai kaitan dengan mesej mel suara homofobia yang didakwa diterimanya daripada nombor yang disekat pada telefon bimbitnya.
Polis kini menyediakan laporan bagi koroner, menggariskan butiran penuh berhubung kematiannya. - Bernama

Sindiket godam e-mel, pintas akaun cecah RM7.3 juta tumpas



31 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Polis membongkar sindiket menggodam e-mel syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan secara atas talian bagi memintas pembayaran secara penipuan hingga menyebabkan kerugian setakat ini mencecah RM7.3 juta.

Kegiatan itu dikesan sejak 2010 iaitu sindiket menukar nombor akaun bayaran sesebuah syarikat melalui pintasan e-mel supaya bayaran dimasukkan ke dalam akaun 'keldai' yang digunakan sindiket itu. 

Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DSP Mohamad Lazim Ismail berkata, penipuan itu boleh menjejaskan imej syarikat yang beroperasi dalam negara yang berdagang secara telus dengan syarikat antarabangsa serta menyukarkan aktiviti perniagaan kedua-dua belah pihak.

"Urus niaga perniagaan kedua-dua syarikat melibatkan pembayaran dalam talian. Malangnya sindiket tersebut telah memesongkan nombor akaun bayaran sesebuah syarikat itu melalui pintasan e-mel yang dibuat oleh anggota sindiket atau keldai akaun," katanya kepada Bernama.

Ini mengakibatkan syarikat di Malaysia menuduh syarikat antarabangsa tidak melakukan pembayaran dan apabila semakan dibuat, kedua-dua syarikat ini sebenarnya telah ditipu apabila nombor akaun yang dihantar syarikat antarabangsa kepada syarikat di sini telah pun ditukar, katanya.

Mohamad Lazim berkata, syarikat antarabangsa yang berurusan dengan syarikat di Malaysia antaranya dari India, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali, Mexico dan China.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan syarikat perlu sentiasa memastikan setiap e-mel yang dihantar kepada rakan urus niaga mesti menggunakan kaedah 'encryption' di mana penerima haruslah memasukkan kod keselamatan untuk membukanya.

"Urus niaga yang dilakukan juga tidak seharusnya dilakukan menerusi e-mel semata-mata tetapi menggunakan kemudahan lain seperti telefon dan faksimili," katanya.

"Jadi saya nasihatkan apa-apa pun ikut pendekatan cara tradisional, setiap perkara yang sudah selesai dibuat, kedua-dua pihak perlu menelefon kembali untuk bertanyakan kata laluan yang sama dibuat kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, bagi awal tahun ini sehingga 15 Januari lepas, tujuh kes dilaporkan melibatkan kerugian RM907,384.

Mohamad Lazim berkata, sepanjang 2012 sebanyak 32 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM4.6 juta (RM4,636,487.83) berbanding RM960,150 untuk tempoh 2011 dengan lima kes dan RM800,000 (2010) enam kes dilaporkan.

"Jadi jumlah keseluruhan sejak kes ini mula memasuki Malaysia pada 2010 ia mencatatkan jumlah kerugian RM7,303,871.75 dengan 50 kes dilaporkan.

"Peningkatan angka ini agak membimbangkan dan kami tidak mahu Malaysia menjadi hab sindiket asing yang kami percaya didalangi warga Afrika, jadi syarikat tempatan perlu tahu dan mula mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak tertipu dalam urusan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kes penipuan atas talian bermula apabila syarikat A (syarikat antarabangsa) membuat urusan perniagaan dengan syarikat B dan pembayaran wang dibuat antara kedua-dua buah syarikat melalui penghantaran arahan menerusi e-mel.

"E-mel yang dihantar syarikat B mengandungi arahan pembayaran dan juga nombor akaun bank di mana bayaran sepatutnya dimasukkan, dan dalam situasi ini sindiket akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat B.

"Sindiket akan memasukkan nombor akaun baharu milik mereka tanpa pengetahuan syarikat B. Apabila syarikat A menerima e-mel tersebut terus  membuat pembayaran seperti dalam arahan e-mel tanpa menyedari nombor akaun tersebut telah diubah sindiket asing," katanya.

Beliau berkata, syarikat tempatan yang berurus niaga dengan syarikat antarabangsa kebanyakannya menjual barangan seperti tekstil, bahan kimia, bahan sejuk beku, bijiran, bawang dan cili kering.

Beliau turut meminta orang ramai atau syarikat yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia JSJK di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat. - Bernama

Sugumaran: Polis serah pada keluarga bedah siasat kali kedua



31 Januari 2013
SHAH ALAM - Polis menyerahkan kepada keluarga mendiang C. Sugumaran untuk menjalankan bedah siasat kali kedua terhadap mayatnya, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Beliau berkata polis tidak menghalang tindakan itu tetapi tidak mencampuri urusan berkenaan memandangkan keputusan bedah siasat telah dilakukan dan mendapati Sugumaran mati disebabkan saluran jantung tersumbat dan bukan disebabkan kekerasan polis.
"Bedah siasat yang dilakukan oleh Hospital Serdang pada minggu lepas adalah mengikut prosedur yang ditetapkan dan polis menerima hasil bedah siasat berkenaan, namun tidak menghalang keluarga mangsa untuk bedah siasat kali kedua," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tun Hisan berkata demikian ketika mengulas mengenai memorandum permohonan siasatan lanjut dan menyeluruh berhubung kematian Sugumaran sewaktu dalam tahanan polis yang diserahkan Ketua Pemuda MIC, T.Mohan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan polis yang dilakukan selama ini adalah telus serta berlaku adil kepada semua pihak termasuk mengambil keterangan terhadap lebih 100 individu termasuk anggota polis, orang awam dan saksi kejadian.
Beliau perkata pihaknya juga telah menghantar kertas siasatan kepada pendakwa raya Selasa lepas mencadangkan supaya diadakan inkues di mahkamah terbuka berhubung kes itu.
Terdahulu, kira-kira 10 wakil Pemuda MIC menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan memohon polis bekerjasama bagi menjalankan bedah siasat kali kedua terhadap Sugumaran.
Memorandum terbabit diterima wakil Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ASP Nik Shukri Nik Hassan di perkarangan IPK di sini hari ini.
Dalam kejadian 23 Jan lepas, Sugumaran yang dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan mengamuk lalu merosakkan harta benda awam dengan menggunakan palang besi.
Menurut laporan media sebelum ini, Sugumaran bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh anggota polis dan digari sebelum dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. - Bernama

Rogol: Bekas tentera kekal penjara 20 tahun, tujuh sebatan



31 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan yang dikenakan terhadap bekas anggota tentera yang didakwa merogol seorang kerani selepas melanggarnya dengan sebuah kereta, dua tahun lepas.
 
Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak rayuan tertuduh, Che Mohd Sufian@Che Bastian Che Rashid, 31, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.
 
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran dan peguam Adenan Ismail.
 
Amelia, dalam penghakimannya berkata Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid tidak terkhilaf ketika mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapi dan menjatuhkan hukuman terhadapnya pada 13 Dis 2011.
 
Beliau berkata faktor mitigasi yang dikemukakan Adenan bahawa anak guamnya kehilangan pekerjaan setelah disabitkan bersalah bukanlah faktor mitigasi yang diambil kira mahkamah kerana ia adalah akibat perbuatan yang dilakukannya sendiri.
 
Tertuduh didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di sebuah rumah di Jalan AU 25/26, Ampang antara 7.20 pagi dan 8.30 pagi, 20 Nov 2011.
 
Berdasarkan perbicaraan kes, ketika mangsa sedang berjalan di Jalan Gurney untuk ke tempat kerja, tiba-tiba dia dilanggar sebuah kereta milik tertuduh dan kemudian mangsa jatuh lalu tertuduh mempelawa untuk membawanya ke hospital.
 
Namun, mangsa tidak dibawa ke hospital sebaliknya dibawa ke rumah tertuduh.
 
Sejurus tiba di rumah itu, tertuduh membenamkan muka mangsa di atas tilam dan mengikat tangan mangsa ke belakang dengan menggunakan pita pelekat lalu merogolnya.

Pada 7 Ogos tahun lepas tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengurangkan hukuman. - Bernama

Polis sangkal SMS pembunuh bersiri cari mangsa



31 Januari 2013
SHAH ALAM - Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej teks amaran kononnya terdapat seorang pembunuh bersiri yang mencari mangsa dari kalangan kanak-kanak.
  
Justeru, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menimbulkan tekanan emosi dan kebimbangan di kalangan penduduk.
  
"Saya meminta pihak tertentu agar berhenti membuat sebarang spekulasi tentang apa jua kes termasuk kehilangan kanak-kanak kerana ia boleh mengganggu perasaan keluarga, rakan-rakan dan pihak terlibat dengan mangsa.
  
"Maklumat yang tidak tepat juga akan menganggu siasatan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
  
Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang mendakwa mesej teks amaran kepada orang ramai mengenai seorang pembunuh bersiri yang mencari mangsa dari kalangan kanak-kanak mula tersebar sejak kehilangan William Yau Zhen Zhong.

William Lau dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya dan ditemui mati berhampiran Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang pada 24 Januari lepas.
  
Tun Hisan turut meminta semua pihak supaya tidak panik dengan mengambil tindakan terburu-buru sekiranya berdepan dengan kes kanak-kanak hilang terutamanya apabila kanak-kanak terbabit dipercayai diculik.
  
Beliau berkata perkara itu perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada polis bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin.
  
"Maklumkan dahulu kepada polis kerana jika kes membabitkan penculikan, gambar kanak-kanak tidak akan diedarkan kerana ia boleh mengancam nyawa mangsa," katanya. - Bernama

Dadah: Empat warga Iran terselamat dari tali gantung



SHAH ALAM - Empat warga Iran, dua daripadanya wanita, terlepas daripada hukuman mati setelah mahkamah tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.
 
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Zahra Rajabali Dorido Latabadi, 56, Kobra Mohammad Azimidarnish Mohammad, 43, Davood Ali Tofighi, 27, dan Mahmoud Ali Dast Bordeh, 27.
 
Zahra didakwa mengedar Methamphetamine seberat 430.7 gram, Kobra (410.6 gram), Davood (423.1 gram) dan Mahmoud (386.4 gram) di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Aras 3, Main Terminal Building, KLIA, kira-kira 11 malam pada 14 November 2010.
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
 
Kesemua dadah ditemui di dalam sandal yang dipakai mereka.

Enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
 
Dalam penghakimannya, Choong berkata pegawai penyiasat didapati tidak menjalankan siasatan dengan baik dan barang kes (dadah) hanya ditandakan selepas 23 jam dirampas.
 
"Dalam kes pendakwaan, terdapat perbezaan ketara dalam berat kasar dadah yang disenaraikan dalam laporan polis dengan jumlah diterima ahli kimia. Percanggahan berat yang sangat jelas seperti ini menjejaskan rantaian keterangan.
 
"Ini menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini. Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tertuduh. Sewajarnya, keempat-empat tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," katanya.
 
Sejurus hakim membacakan keputusannya, keempat-empat warga Iran berkenaan menangis dan keluar dari kandang tertuduh lalu bersujud di atas lantai tanda kesyukuran.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz manakala kesemua warga Iran terbabit diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan
T.Vijayandran.  - Bernama

Pembantu jualan Astro maut rempuh kerbau




31 Januari 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu jualan Astro maut akibat merempuh seekor kerbau yang sedang melintas jalan di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir awal pagi tadi.
  
Mohd Abdul Wafi Adha Abd Wahab, 26, maut di tempat kejadian setelah motosikalnya melangar haiwan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
  
Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kampung itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya apabila kerbau itu tiba-tiba melintas jalan.
  
Seorang penduduk Fauzi Mohd berkata dia dan dua lagi rakannya melihat seekor kerbau di atas jalan raya yang kesakitan dan mengesyaki ia telah dilanggar.
  
Mereka kemudiannya melihat pula sebuah motosikal tidak jauh dari situ yang di sebelah motosikal itu kelihatan seorang lelaki sedang terbaring.
  
"Saya cuba mengejutkannya tetapi tiada tindak balas. Saya lalu menelefon ambulans," katanya.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.  - Bernama

Kanak-kanak hilang selepas jaja kuih



Kanak-kanak hilang selepas jaja kuih
Mazhanizam memegang gambar anak lelakinya Mohd Zafran Fakhrullah yang hilang sejak 5 Januari lalu.
KOTA BHARU –Seorang ibu terpaksa menanggung rindu dan tidak dapat tidur lena apabila anak lelakinya berusia 12 tahun hilang hampir sebulan lalu setelah tidak pulang ke rumah selepas keluar menjaja kuih.

Ibunya, Mazhamizan Mokhtar berkata anak keduanya, Mohd Zafran Fakhrullah Zulkarnaim tidak pulang ke rumah sejak 5 Januari lalu selepas menjalankan kegiatan rutinnya menjual kuih yang dibuatnya menggunakan basikal di sekitar Pengkalan Chepa.

Mazhanizam berkata, biasanya walaupun menjual kuih sehingga lewat malam dia akan pulang ke rumah terlebih dulu sebelum berjumpa dengan rakannya-rakannya mahupun bermalam di rumah kenalannya.

“Dia membantu saya menjaja kuih dengan basikal dan akan pulang seperti biasa jam 10 malam atau 11 malam, namun pada hari kejadian, sehingga jam 1 pagi, Zafran masih tidak pulang ke rumah.

"Saya bimbang dengan keselamatannya kerana sekarang ini macam-macam kejadian yang berlaku dan peristiwa yang dilaporkan oleh media menjadikan kami lebih takut," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mazhamizan memberitahu, dia menjadi bertambah bingung kerana anak kedua daripada empat beradik itu mengingati nombor telefonnya dan akan memaklumkan kepadanya jika pulang lewat mahupun sebaliknya.

Malah lebih menyedihkannya apabila anaknya itu tidak sempat menemui bapa kandungnya yang meninggal dunia selepas dua minggu dia menghilangkan diri.

"Saya usaha mencari di rumah rakan-rakan tetapi mereka memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan Zafran. Jadi kami nekad meletakkan gambar Zafran di kedai-kedai kopi dan merata tempat. Sehingga hari ini tidak ada yang tampil berikan maklumat jadikan saya
semakin takut," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pada mulanya dia ingatkan anaknya itu ada di rumah saudara-maranya namun selepas 10 hari gagal menemuinya dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

“Saya hanya bermimpi yang anak saya kini dibawa jauh dari sini. Saya mahu melihat dia cemerlang dalam pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Chempaka itu, mempunyai parut di sebelah kiri pipi, berkulit gelap dan mana-mana individu yang pernah melihatnya diharapkan boleh menghubungi ibunya di talian 0129559671 dan 0129556672 dengan segera.

Jeritan selamatkan nyawa



kebakaran
Azizah mencari barangan kemas miliknya yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran 11 Januari lalu.
MUAR – Tanggal 11 Januari lalu pasti tidak dapat dilupakan Azizah Mohd Aroff, 59, yang terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan dua deretan rumah yang hampir meragut nyawanya di Jalan Abdul Rahman, dekat sini.
Dalam kejadian itu, Azizah seolah-olah diberi peluang kedua apabila jeritan ibu saudaranya, Hapsah Mohamed, 84, yang juga salah seorang mangsa kebakaran itu menyelamatkannya yang sedang tidur.

Biarpun terselamat dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Azizah melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan dokumen penting walaupun usahanya itu tidak berjaya.

Akibat kejadian itu, dia kehilangan kediaman pusaka yang dihuninya sejak lahir dan menanggung kerugian hampir RM 50,000.

“Tidak ada satu pun barangan yang dapat diselamatkan dan saya hanya mampu melihat rumah hangus dijilat api dalam linangan air mata.

“Walaupun sedih, tetapi sangat bersyukur kerana ALLAH masih panjangkan umur saya dan ibu saudara yang  terselamat dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Azizah yang belum mendirikan rumah tangga dan menetap sendirian di rumah berkenaan berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca dari ubat nyamuk lingkaran yang dipasang ibu saudaranya terjatuh di atas tilam.

“Ibu saudara terjaga dari tidur apabila terkena percikan api yang sedang membakar tilam.

“Pada mulanya, ibu saudara cuba memadamkan api tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat sebelum  merebak ke rumah saya ”katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpanya dan ibu saudara mendapat perhatian beberapa pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan wang tunai termasuk Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

"Buat ketika ini saya menumpang tinggal di rumah anak saudaranya di Kampung Seri Menanti, dekat sini.

“Saya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan rumah baru dari Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan berharap ia dapat diluluskan segera,” katanya.

Mayat berulat tergantung



NILAI – Mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat dan reput dijumpai tergantung  di sebatang pokok di satu kawasan semak berhampiran pencawang elektrik di Taman Cempaka di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata,  mayat lelaki tanpa identiti itu dijumpai oleh awam jam 7.20 petang selepas terhidu bau busuk.

“Ketika ditemui mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan lehernya tergantung dengan seutas tali nilon yang diikat di dahan sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Yusoff berkata, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau rakan-rakan diminta menghubungi polis dan datang ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dekat sini untuk pengecaman.

Ajal lepas urut badan



Ajal lepas urut badan
Polis dibantu penduduk kampung mengangkat mayat Ngah sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian.
DUNGUN – “Dia kerap menyebut soal mati dalam sehari dua ni, tak sangka pula dia benar-benar mahu pergi,” kata Che Kah Mohd Yatim, 65, balu kepada arwah Ngah Muhammad, seorang nelayan yang menemui ajal selepas berurut dekat sini.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari berlaku ketika mangsa mahu pulang ke rumah selepas berurut dengan Zakaria Jusoh, 71, berdekatan sebuah resort.

Che Kah berkata, sebelum itu, dia bersama arwah suaminya ke bandar Dungun untuk membeli baja tanaman sebelum singgah di rumah saudaranya dekat Seberang Pintasan.

Menurutnya, selepas itu arwah mengajaknya ke rumah tukang urut yang lebih dikenali sebagai Pok Ya.

“Semasa ingin pulang dan ketika hendak menghidupkan enjin, tiba-tiba dia rebah.

“Saya kemudiannya meminta bantuan Pok Ya, kerana melihat dia dalam keadaantidak bermaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Pok Ya yang terkejut dengan kejadian itu berkata, arwah sebelum ini menghidap strok dan sedang menjalani proses pemulihan melalui kaedah urutan tradisional yang diusahakannya.

“Ketika sedang mengurut, dia sempat berseloroh dengan saya, katanya nak beli harimau mainan nak letak dalam kebunnya.

“Tak sangka pula selepas dia masuk kereta, tiba-tiba dia tidak bermaya lalu menemui ajal sebelum sempat pulang ke rumahnya di Merchang,” katanya.

Arwah sebelum ini difahamkan turut menghidap asma dan beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mayat Ngah kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Kaki lembik selepas 40 hari

Kaki lembik selepas 40 hari
Che Narma menghabiskan masanya di atas katil akibat penyakit kencing manis dan saraf, dengan ditemani anak kedua di Kampung Pangkal Mempelam, di sini.
MACHANG - Seorang ibu muda, Che Narma Daud, 30, terpaksa bergantung hidup kepada suami dan dua anaknya bagi meneruskan hidup, apabila tidak dapat berjalan seperti biasa sejak tujuh bulan lalu di Kampung Pangkal Mempelam, di sini.

Che Narma berkata, kedua kakinya menjadi lembik selepas 40 hari dia melahirkan anak ketiganya akibat penyakit kencing manis dan masalah saraf.

Katanya, akibat masalah itu, dia terpaksa menyerahkan bayinya kepada kakak ipar yang tinggal berdekatan.

“Saya langsung tidak boleh berdiri apatah lagi berjalan.

“Kehidupan saya hanyalah di atas katil ini sehinggalah saya mendapat bantuan kerusi roda yang disampaikan Ketua Umno Bahagian Machang, baru-baru ini.

“Jika suami keluar bekerja, saya hanya akan duduk di atas katil ini, dengan ditemani anak kedua yang berusia lima tahun,” katanya.

Che Narma berkata, anak kecil itulah yang akan membantunya jika dia ingin membuang air besar dan kecil.

Menurutnya, dia  tidak menggunakan lampin pakai buang, memandangkan tiada siapa yang boleh menukarkan untuk dirinya, di samping harganya yang mahal.

“Anak saya akan mengambil besen dan dialah yang membuangkannya ke tandas. Suami tidak dapat menjaga saya sepenuh masa, memandangkan dia perlu bekerja mencari nafkah buat keluarga.

“Sebelum keluar bekerja, dia menyediakan semua keperluan saya termasuk makanan,” katanya.

Che Narma berkata, ketika sihat, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berniaga dan pembantu kedai makan bagi mencari rezeki  membantu meringankan beban perbelanjaan suami.

Katanya, biarpun berat untuk ditelan namun dia menerima dugaan tersebut dengan redha, dan berharap akan sembuh suatu hari nanti demi anak-anak yang sedang membesar.

Menurutnya, anak sulung, Nor Asyikin Akmal Mohd Aswadi, 9, banyak membantunya termasuk memasak nasi dan hidangan tengah hari untuk keluarga selepas balik dari sekolah, memandangkan suaminya bekerja hingga lewat petang.

“Saya kasihankan keluarga terutamanya anak-anak. Sepatutnya saya yang menjaga mereka, namun sebaliknya berlaku.

“Dengan pendapatan yang tidak menentu suami, dia terpaksa menanggung beban perbelanjaan yang bukan sedikit, apatah lagi kami juga tinggal di rumah sewa dan membuat sedikit pinjaman Amanah Ikhtiar memandangkan saya berniaga sebelum jatuh sakit.

“Adik beradik turut membantu kami, namun mereka juga hidup susah,” katanya.

Tidak sangka anak sendiri



Tidak sangka anak sendiri
Mariani menenteramkan anaknya yang terbaring menahan kesakitan.
SUBANG JAYA – “Melihat orang ramai berkerumun di tepi persimpangan lampu isyarat menyebabkan saya terdetik membuat pusingan U ke tempat itu, memang tidak sangka pelajar dilanggar sebuah motosikal itu adalah anak saya sendiri," kata Mariani Jantan, 46.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru sahaja menghantar anak perempuannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ23 yang terletak berhampiran.

Dalam perjalanan balik, dia memberitahu terserempak dengan orang ramai berkumpul di Persiaran Harmoni berdekatan sebuah stesen minyak seolah-olah melihat kejadian kemalangan.

Berasa tidak sedap hati, Mariani berkata, dia yang menunggang motosikal membuat pusingan U dan menuju ke arah orang ramai itu.

Tanpa diduganya, mangsa kemalangan yang dilanggar itu adalah anak lelakinya sendiri, Mohd Syariful Azwa Haslan, 15, yang terbaring menahan kesakitan.

“Saya baru sahaja hantar anak ke sekolah, tidak sangka dalam perjalanan balik ke rumah terletak di Kampung Tengah berselisih dengan anak yang terbabit kemalangan.

“Anak saya cedera di muka dan kepala. Dia dihantar ke Hospital Serdang oleh ambulans yang tiba beberapa minit selepas itu,” katanya.

Sementara itu, desakan penduduk supaya sebuah jejantas dibina di laluan itu sebelum ini ada asasnya berikutan kerap berlaku tragedi di laluan itu.

Penduduk, Muhammad Noor, 47, berkata, bukan sekali, dua atau tiga kali tetapi lebih empat kali dia melihat kejadian kemalangan membabitkan pelajar berlaku di situ.

Menurutnya, apabila perkara itu dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab, jawapan diterima adalah tiada peruntukan untuk membina jejantas di situ.

Apa dikesalinya, pihak itu tidak meningkatkan ciri keselamatan bagi memudahkan pelajar dari beberapa kampung berhampiran melintas jalan besar untuk ke sekolah di USJ 23.

Jelasnya, kenderaan datang dari arah Puchong sering dipandu laju menyebabkan kadangkala ada yang tidak sempat memperlahankan kereta apabila menyedari pelajar melintas.

“Saya desak pihak bertanggungjawab lakukan sesuatu dan tidak biar pelajar terus berisiko serta menggadaikan nyawa mereka untuk pergi dan pulang ke sekolah.

“Mungkin jika tiada peruntukan bina jejantas, tindakan lain boleh dilakukan supaya tidak ramai lagi menjadi mangsa di sini,” katanya.

Mayat rentung dalam kereta



Mayat rentung dalam kereta
Orang ramai datang ke tempat kejadian untuk melihat kereta yang terbakar, malam kelmarin.
KLUANG - Polis menemui mayat rentung dalam sebuah kenderaan yang terbakar di kawasan jalan masuk ke ladang kira-kira 100 meter dari jalan utama Jalan Mengkibol-Simpang Renggam, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, kejadian tersebut disedari kira-kira jam 7.30 malam,  hasil maklumat orang awam yang melihat sebuah kenderaan terbakar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang telah bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, polis menemui satu mayat yang dipercayai lelaki berusia dalam lingkungan 60-an ditemui rentung di bahagian tempat duduk pemandu.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Namun, polis akan melakukan pemeriksaan DNA berikutan mayat tersebut sudah 100 peratus terbakar, menyukarkan pihak kami untuk mengenal pasti bangsa mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abdul Majid berkata, siasatan akan dijalankan Unit Forensik Polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat, bagi mengetahui punca kejadian sebenar.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan hari ini (Khamis) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang bagi mengetahui punca sebenar dan sekiranya mempunyai unsur jenayah maka polis akan menyiasatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Akub Sedek berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Seramai lapan anggota Bomba dan Penyelamat ditugaskan dan telah diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Rahman Mat Zin bagi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Arwah seperti di dunia lain



Arwah seperti di dunia lain
Gambar kenangan Mohd Alif Amirul (kanan) bersama adik-beradik dan saudaranya.
Arwah seperti di dunia lain
Gerakan mencari dan menyelamat sehingga jam 11 malam.
Arwah seperti di dunia lain
Abdul Azziz menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah
BACHOK - Hasrat seorang adik untuk berbual dengan abangnya tidak kesampaian, apabila abangnya dikatakan lemas di tali air berdekatan rumahnya kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Mayat  Mohd Alif Amirul Hafiz Zamara, 8, ditemui pada jam 3.45 pagi semalam.

Ibunya, Sumaria Mohamad, 30, berkata, tengah hari kelmarin anak bongsunya, Nur Alia Nastasya, 4, menyuruh dia menelefon Mohd Alif Amirul kerana ingin berbual dengannya.

Sumaria kemudiannya berjanji untuk menelefon anak sulungnya itu pada sebelah malam.

“Tidak sempat saya berbuat demikian, saya menerima panggilan daripada adik, Norhayati, 24, dari kampung yang memberitahu tragedi yang menimpa Alif,” katanya.

Mohd Alif anak sulung daripada tiga beradik itu dikatakan meminta tinggal dan bersekolah di kampung bersama sepupunya.

Dua lagi adik mangsa, Alia dan Mohd Alif Danial, 6, tinggal bersama ibu bapa mereka di Pelabuhan Klang.

Mayat mangsa hanya ditemui 10 minit selepas ketibaan ibu bapanya dari Selangor.

Mangsa ditemui di dasar tali air ketika penduduk menahan pukat untuk mencarinya selepas usaha  lebih tujuh jam menemui jalan buntu.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air oleh penduduk yang memasang pukat untuk mencarinya.

Bersama dua sepupunya

Manakala, datuk mangsa, Mohamad Nik Bedllah, 57, berkata, arwah bersama dua sepupunya, Nik Azura Yanti Nik Azli, 10, Nik Najwa Eliana, 11 dikatakan dalam perjalanan pulang bersama sepupunya pada jam 6 petang.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan anak. Saya bergegas pulang dan terus terjun ke tali air.

“Ketika itu air lebih dua meter dan berkali-kali saya menyelam tetapi gagal mengesan mangsa,” katanya.

Menurut nenek mangsa, Nafisah Arifin, 55, cucunya itu keluar untuk ke sekolahnya pada awal pagi dan terus ke kelas mengaji pada waktu petang.

“Ketika kejadian, dia bersama dua lagi sepupunya menyeberangi  jambatan di kawasan tali air dan dipercayai tergelincir serta bergegas memberitahu jiran yang kemudian memaklumkan kepada saya.

“Terkejut selepas menerima berita itu saya terus ke tali air tetapi tidak nampak kelibat Alif di kawasan itu,” katanya.

Nafisah berkata, cucunya itu merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan sudah dua tahun tinggal bersamanya, manakala ibu bapa dan dua lagi adiknya berada di Selangor.

Arwah kelihatan pendiam

Mohamad yang lebih dikenali Pak Husin berkata, sehari sebelum kejadian, arwah kelihatan sugul dan pendiam.

Arwah juga tidur awal malam sebelum kejadian, sedangkan lazimnya arwah tidur lewat kerana bermain permainan video.

“Pagi keesokan harinya dia seperti berada dalam dunia lain. Duit belanja sekolah juga tidak diambil.

“Selepas pulang dari sekolah dia juga tertinggal botol air dan beberapa buku di sekolahnya, sehingga guru menghubungi saya memaklumkan barang yang tertinggal,” katanya.

Nik Najwa Ilyana dan Nik Azurayanti berkata, ketika itu arwah berjalan di hadapan mereka dan tiba-tiba dia terjatuh ke dalam tali air.

“Kami segera memberitahu jiran berdekatan sebelum pulang memberitahu ahli keluarga lain di rumah.

“Memang setiap hari kami melalui jambatan kecil itu untuk ke kelas mengaji al-Quran. Tetapi kali ini nasibnya malang kerana terjatuh,” katanya.

Sementara itu, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir turut hadir menziarahi dan menghulurkan sumbangan untuk keluarga mangsa.

Difahamkan, lokasi tali air itu sering meragut nyawa kanak-kanak.

Libatkan 25 anggota bomba

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Abdul Jalil Ishak, ketika ditemui dalam operasi mencari mangsa kelmarin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 6.45 petang dan menurunkan 25 anggota
bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ketereh, dan Kota Bharu.

Abdul Jalil berkata, gerakan mencari Mohamad Alif dimulakan pada jam 8 malam dan operasi dihentikan pada jam 11 malam.

“Sepatutnya operasi mencari mangsa disambung pada jam 8.30 pagi tadi (semalam) tetapi mayat kanak-kanak tersebut ditemui pada jam 3.45 pagi.

“Mayatnya ditemui kira-kira pada jam 3.45 pagi selepas dia didapati tersangkut di pukat penduduk yang menangkap ikan kira-kira 500 meter daripada tempat dia terjatuh,” kata Abdul Jalil.

Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak itu ditemui 10 minit selepas ibu dan bapanya, Zamara Said, dan Sumaria Mohammad, tiba di tempat kejadian.

Katanya, operasi mencari mangsa yang terjatuh dalam tali air itu turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) daripada Kota Bharu dan pasukan bomba sukarela.

“Usaha cari mangsa terus dilakukan sebaik tiba di tempat kejadian dan ditangguhkan pada jam 11 pagi sebelum operasi disambung jam 8.30 pagi (Rabu) jika mangsa belum ditemui,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Katanya, mayat murid tahun da Sekolah Kebangsaan Pak Badol itu ditemui jam 3.45 pagi oleh penduduk.

“Seramai 10 polis dari Balai Polis Gunung ditugaskan dalam operasi berkenan dan kes diklasifikasikan sebagai mati lemas,” katanya.

Ab Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat.

Monitor, CPU komputer dilupus banteras mesin judi haram



mesin judi haram
Sapiah (kiri) ketika majlis pelupusan monitor dan CPU di kawasan tempat letak kereta MPHTJ, Melaka Mall, semalam
AYER KEROH - Sebanyak 650 monitor dan unit pemprosesan pusat (CPU) komputer bernilai kira-kira RM600,000 yang telah dirampas Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), dlupuskan semalam dalam usaha membanteras aktiviti pusat siber tanpa lesen di bawah
kawasan seliaannya.

Yang Dipertua Sapiah Haron berkata, semua mesin yang diubahsuai menjadi mesin judi haram itu adalah hasil rampasan pihaknya dalam operasi dilakukan pada 2012.

“Dalam usaha membanteras aktiviti pusat siber tanpa lesen yang menjalankan kegiatan perjudian haram, MPHTJ sentiasa memantau kegiatan berkenaan termasuk di premis yang sudah ditutup kerana disyaki masih menjalankan aktiviti sama.

“Kami juga kini mempergiatkan usaha mengesan pemilik premis dan beberapa waran geledah sudah diperoleh sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan tersebut di kawasan tempat letak kereta MPHTJ, Melaka Mall di sini, semalam.

Sapiah berkata, sehingga kini beberapa pemilik premis yang berjaya dikesan sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Mereka perlu dipanggil kerana kebanyakan daripadanya tidak mengetahui langsung aktiviti atau perniagaan dijalankan penyewa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPHTJ juga mengadakan lelongan barangan sita terdiri daripada basikal, meja dan kerusi hari ini di pentas Melaka Mall, di sini, hari ini.

“Sebanyak 30 basikal disita di pasar borong kerana kegagalan pemilik mematuhi larangan yang ditetapkan dilelong esok (hari ini) bermula jam 10 pagi dengan tawaran serendah RM10.

“Malah 250 meja dan 80 kerusi yang disita dalam operasi yang dijalankan di pusat siber tidak berlesen sepanjang tahun lalu juga akan dilelong,” katanya.

Suspek pecah masuk pejabat jualan kamera ditahan



GOKINA MORGANAN
31 Januari 2013
Suspek pecah masuk pejabat jualan kamera ditahan
Kong Meng menunjukkan antara barangan yang berjaya dirampas.
GEORGETOWN  - Polis menahan enam lelaki dipercayai terlibat dengan kes pecah masuk sebuah pejabat jualan kamera di Taman Lip Sin, Sungai Nibong di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, semua suspek berusia 20 hingga 46 tahun itu ditahan sepasukan polis berdasarkan hasil maklumat awam pada 23 Januari lalu.

“Berdasarkan laporan mangsa, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, ketika datang ke pejabatnya mendapati pintu jeriji terbuka malah pejabat berada dalam keadaan berselerak dan wang tunai RM20,000 serta koleksi setem hilang.

“Susulan itu, polis berjaya menahan semua suspek itu dan merampas pelbagai barangan curi termasuk sebuah kamera model Canon bersama lensanya, wang tunai RM900 serta salinan slip wang masuk bank bernilai RM30,000 dan RM70,000,” katanya pada sidang media di
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, semalam.

Dalam kes berlainan, Kong Meng berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah pejabat di Sungai Nibong.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 25 Januari lalu, kira-kira jam 8.30 pagi, seorang jurutera membuat laporan mengenai pejabatnya dipecah dan kehilangan empat komputer riba jenama Dell dan sebuah telefon bimbit jenis Blackberry.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat itu mendapati seorang lelaki yang memakai topeng muka memasuki pejabat terbabit. Kita menahan suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai seorang buruh dan berjaya merampas sebahagian barang curi berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes yang sama,” katanya.

Suami isteri kempunan



Suami isteri kempunan
Mohd Sukeri diiringi pegawai Kastam keluar dari kamar Mahkamah Majistret Kuantan semalam
KUANTAN- Sepasang suami isteri yang mengusahakan perniagaan kedai runcit terpaksa melupakan untuk menikmati keuntungan hasil penjualan rokok seludup apabila 882 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM996.52  dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Rampasan itu dilakukan selepas premis mereka di Jalan Kampung Pelindung Indah, Taman Pelindung Indah di sini diserbu agensi penguat kuasa itu,  9 Julai lalu.

Tidak cukup dengan kerugian itu, pasangan terbabit, Mohd Sukeri Md Keya, 36 dan isterinya, Azizah Sharip, 35 yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam juga terpaksa menjelaskan denda RM11,000 setiap seorang bagi mengelak dikenakan hukuman 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Hukuman  dibuat Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee.

Mereka yang diwakili peguam, Nur Munirah Mustaffa dituduh menyimpan bahan yang dilarang pengimportannya seperti yang dinyatakan dalam Butiran 1, Jadual Keempat Perintah Kastam 2008 di bawah kaunter pembayaran kedai itu sebelum ditemui pegawai agensi tersebut
dalam pemeriksaan yang dijalankan.

Susulan penemuan tersebut, mereka ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan dan dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Nur Munirah dalam mitigasinya memohon pertimbangan mahkamah supaya mengambil kira faktor pengakuan bersalah pasangan tersebut untuk  hukuman yang lebih ringan.

Menurutnya, pasangan tersebut mempunyai empat anak yang masih kecil berusia dua hingga enam tahun dan bergantung sepenuhnya kepada keuntungan hasil perniagaan mereka sekitar RM2,000 sebulan.

“Mereka juga menyesal atas kesalahan yang dilakukan dan pengakuan bersalah itu membuktikan mereka sudah sedar akan kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Khairuddin dalam hujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap pasangan tersebut memandangkan aktiviti menjual rokok seludup semakin berleluasa belakangan ini.

“Berdasarkan kajian, kes penjualan rokok seludup ini menunjukkan peningkatan sehingga 62 peratus dan negara kehilangan pendapatan sehingga RM2 bilion,” katanya.

Penjaga premis, lapan lelaki disyaki terbabit judi tanpa lesen




Johari (kanan) dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Rompin, Asisten Superintendan, Mohd Razali Razak menunjukkan sebahagian daripada komputer yang dirampas pihaknya
ROMPIN – Seorang penjaga premis dan lapan lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti judi tanpa lesen di sebuah premis di simpang Jalan Bahau, Bandar Tun Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, dalam serbuan jam 9 malam itu, kesemua suspek termasuk penjaga premis berusia 23 tahun itu berada di dalam premis tersebut.

Menurutnya, polis turut merampas sebanyak 23 unit komputer yang diubah suai bagi kegiatan itu dan wang tunai sebanyak RM657 yang dipercayai hasil pertaruhan kegiatan judi tanpa lesen tersebut.

“Polis telah menyerbu premis terbabit dan menahan lapan lelaki berusia lingkungan 30-an yang sedang leka berjudi di premis terbabit.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4B Akta Rumah perjudian Terbuka 1953 iaitu jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, premis yang berselindung di sebalik kafe siber itu sudah empat kali diserbu sepanjang bulan ini, selain pihaknya turut merampas beberapa barangan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu.

“Sehingga semalam, kami sudah menjalankan rondaan sebanyak 14 kali di premis itu, namun hanya empat kali saja premis itu dipercayai beroperasi dan kami telah berjaya menahan kesemua mereka yang terlibat,” katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 14 orang termasuk lima pekerja premis ditahan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini.

“Sebanyak 40 unit komputer juga dirampas sepanjang operasi itu dan polis bertegas dalam hal ini selain akan memerangi kegiatan itu habis-habisan dalam usaha melumpuhkan kegiatan itu pada masa akan datang,” katanya.

Bagi melumpuhkan kegiatan itu katanya, polis turut menghantar surat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya melaksanakan pemotongan bekalan elektrik terhadap mana-mana premis yang masih berdegil menjalankan kegiatan itu.

“Operasi membanteras kegiatan judi akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenainya dan menutup ruang bagi remaja yang baru menceburi kegiatan tidak bermoral berkenaan,” katanya.

Johari berkata, hasil penelitiannya juga mendapati hanya sebuah pusat perjudian saja yang masih aktif di sekitar Bandar Tun Razak dan kawasan berhampiran, manakala selebihnya dipercayai telah ditutup.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 200 peneroka dan generasi kedua mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Masjid Felda Keratong 2 di sini, bagi mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi yang beroperasi di sekitar kawasan berkenaan.

Difahamkan dua premis judi dibuka di Felda Keratong 2, manakala dua buah lagi beroperasi di perkampungan Orang Asli Bukit Serok dan persimpangan Melati.

Keempat-empat premis itu dipercayai sudah pun beroperasi sejak lebih setahun lalu dan apa yang dikesali penduduk, kegagalan pihak berwajib untuk mengambil sebarang tindakan walaupun telah banyak aduan dibuat berhubung kegiatan haram itu.