Search This Blog

Monday, December 31, 2012

Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'


Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'Lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing semalam.
KOTA TINGGI - “Sebelum kejadian itu berlaku saya terdengar suara perempuan menjerit sebelum bunyi dentuman yang kuat ekoran kemalangan melibatkan dua kenderaan."

Demikian menurut saksi kemalangan maut Mohd Nazirul Azilini, 16, yang berlaku di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang mana turut mengorbankan tiga nyawa kira kira jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Mohd Nazirul, menjadi rutin sejak mula cuti persekolahan dia menolong bapa saudaranya menjual lemang di situ, namun dia tidak sangka akan menyaksikan kejadian ngeri itu.

“Ketika itu saya sedang menghidupkan api, namun sebaik sahaja mendengar dentuman kuat saya terus bergegas melihat tempat kejadian yang kira kira 100 meter dari tempat kami berniaga.

“Saya melihat dengan jelas di mana pemandu kereta Proton Iswara itu tersepit di tempat duduk pemandu. Manakala saya turut terdengar tangisan salah seorang kanak kanak yang duduk di bahagian belakang kereta itu.

“Keadaan kereta yang remuk ekoran kemalangan itu menyebabkan saya tidak dapat lihat mangsa lain yang berada dalam kereta itu," katanya.

Dia menambah: “Keadaan pemandu dan sebahagian penumpang kereta tersebut masing masing sudah tidak bermaya akibat mengalami kecederaan yang teruk sehingga terdapat darah yang banyak mengalir di celah pintu kereta."

“Turut kelihatan pemandu kereta Mercedes Benz yang turut mengalami kecederaan. Bagaimanapun saya tidak dapat menolong mangsa kerana harus kembali ke pondok lemang.

“Namun saya melihat orang ramai yang berhenti di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Iswara, Ating Dasa, 25, serta dua anak saudaranya, Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Gasah, 7.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan berkata, kejadian Ating meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anak saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultanah Ismail.

“Kereta Proton Iswara itu dinaiki lima orang termasuk dua anak mangsa. Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) berikutan suaminya seorang anggota tentera.
“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan mereka terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Ekoran kejadian itu turut menyebabkan dua anak mangsa berusia antara dua dan empat tahun termasuk pemandu Mercedes Benz terbabit parah," katanya lagi.

Papan palet jatuh bongkar penyeludupan



Segamat: Seorang penjenayah yang cuba mengaburi anggota sukarelawan polis wanita, dengan melambai dan melemparkan senyuman membongkar kegiatan penyeludupan 2,800 liter diesel subsidi di Jalan Buloh Kasap, kelmarin.

Perbuatan penjenayah bersama dua rakannya yang menaiki lori 10 tan itu, menyebabkan tiga anggota polis dalam van memberi perhatian sebelum menyedari beberapa papan palet terjatuh.
Susulan itu, pasukan polis itu mengekori lori berkenaan dan menemui lebih banyak papan palet terjatuh di jalan raya sebelum menahan lori itu di sebuah stesen minyak.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemui sebuah tangki yang boleh memuatkan 10,000 liter diesel disembunyikan di bawah timbunan papan itu sebelum didapati ia membawa 2,800 liter diesel subsidi bernilai RM10,000.

Penyelia Unit Balai Bergerak Ibu Pejabat Polis Daerah, Koperal Khamil Abd Rahman, berkata ketika berselisih dengan lori itu, seorang daripada tiga penjenayah itu tersenyum dan melambai ke arah tiga anggota sukarelawan wanita.

Menerusi cermin pandang belakang, anggota polis mengesyaki sesuatu apabila tiba-tiba lori itu terus dipandu laju menyebabkan beberapa keping papan palet terjatuh sehingga kami mengambil keputusan mengekorinya.

Lori itu berjaya ditahan di stesen minyak berhampiran. Ketika ditahan, tiga suspek itu saling bertengkar kerana tidak berpuas hati dengan tindakan rakan mereka yang tersenyum dan melambai ke arah anggota polis menyebabkan perbuatan mereka terbongkar, katanya.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan daerah, Abd Aziz Siamin, berkata, siasatan mendapati lori itu mengisi minyak diesel subsidi di dua stesen minyak berasingan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan (AKB 1961) yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.

9 maut bas jatuh gaung di Oregon



LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila sebuah bas yang dalam perjalanan ke Kanada terbabas apabila merempuh pagar ketika jalan dipenuhi salji di sini dan kemudiannya terhumban ke dalam gaung, hari ini.

Dalam nahas itu, sekurang-kurangnya 18 yang lain mengalami kecederaan.
Polis Wilayah Oregon berkata, bas berkenaan jatuh kira-kira 30 meter sebelum berhenti.

Kenderaan terbabit dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Vancouver sebaik berlepas dari Las Vegas, Nevada.

Polis di wilayah barat laut itu masih menyiasat punca nahas yang berlaku di bandar Pendleton, barat laut Oregon. - AFP

Korban dendam kesumat

Pegawai forensik menyiasat tempat kejadian seorang lelaki di tembak  dari jarak dekat di Jalan Lembah Permai Taman Brown, Gelugor Pulau Pinang, semalam. - Foto Michael OngPegawai forensik menyiasat tempat kejadian seorang lelaki di tembak dari jarak dekat di Jalan Lembah Permai Taman Brown, Gelugor Pulau Pinang, semalam. - Foto Michael Ong Georgetown: Seorang pemuda maut ditembak dari jarak dekat ketika sedang berbual bersama rakannya di depan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, S Kalimuthu, 29, yang berasal dari Jalan Yeap Chor Ee di sini, terkena tembakan di bahagian kanan badan sebelum mati dalam perjalanan ke hospital.
Jurucakap polis berkata, mangsa bersama seorang rakan baru saja pulang dari sebuah pusat membeli-belah sebelum melepak dan berbual bersama dua lagi rakan lain di tempat kejadian.


Selang beberapa minit, kereta Toyota Vios dan PERODUA Kenari menghampiri mereka sebelum seorang lelaki kurus keluar dari salah sebuah kereta terbabit dan melepaskan tembakan dari dekat.

Mangsa yang bekas anggota kongsi gelap terkejut gagal menyelamatkan diri sebelum ditembak dan rebah di tempat kejadian manakala suspek melarikan diri, katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kejadian itu berpunca dari dendam lama namun siasatan sedang dilakukan bagi mengesan semua suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan khas bagi mengesan semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa rogol dibakar



New Delhi: Mayat pelajar India berusia 23 tahun yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai dibakar pada satu upacara persendirian semalam, ketika kemarahan terhadap insiden itu semakin memuncak.

Upacara pembakaran dilakukan sejurus mayat tiba di Delhi dengan pesawat khas dari Singapura, selepas beliau diterbangkan ke republik itu untuk mendapat rawatan intensif akibat kecederaan parah yang dialaminya. Tragedi itu memaksa India menerima hakikat bahawa wanita yang menjadi mangsa keganasan seksual kerap dipersalahkan kerana jenayah itu manakala ramai mangsa terpaksa berdiam diri berikutan bimbang memalukan keluarga. Polis pula kerap kali enggan memfailkan aduan mangsa rogol dan pendakwaan jarang dilakukan.
Pasukan keselamatan mengawal ketat tempat pembakaran manakala media tidak dibenarkan memasuki lokasi.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan cuba memecahkan sekatan polis dan berarak ke bangunan parlimen, tetapi berjaya dihalang. Mereka turut melaungkan slogan anti kerajaan.

Perdana Menteri, Manmohan Singh dan pemimpin Kongres, Sonia Gandhi berada di lapangan terbang untuk menerima mayat mangsa dan menemui anggota keluarganya yang berada di dalam pesawat.

Sonia dalam satu kenyataan memberi jaminan kepada penunjuk perasaan bahawa kematian mangsa rogol terbabit meningkatkan lagi keazaman kerajaan untuk menangani gejala sosial memalukan itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Keganasan terhadap wanita tidak boleh diterima sama sekali dan tiada tolak ansur terhadapnya. Setiap gadis dan wanita mempunyai hak untuk dihormati, dihargai dan dilindungi, katanya.

Beberapa jam selepas mangsa meninggal dunia kelmarin, polis India mendakwa enam lelaki yang ditangkap berkaitan dengan serangan itu atas tuduhan membunuh.

Jurucakap Jabatan Polis New Delhi, Rajan Bhagat berkata keenam-enam suspek berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan di dalam kes yang mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Selepas 10 hari berada di hospital di New Delhi, mangsa yang namanya tidak didedahkan, diterbangkan ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk menerima rawatan lanjut. Keadaannya bagaimanapun semakin teruk berikutan kecederaan otak dan serangan jantung.
AP

Lelaki bawa dadah dari Malaysia ditahan




         
MEDAN: Pegawai Pejabat Kastam dan Eksais Medan di Sumatera Utara menahan seorang lelaki, Tjioe Mak Jie kerana cuba menyeludup dadah dari Malaysia ke Indonesia.

Tjioe, 45, dari Jalan Tangguk Bongkar ditahan membawa 710 gram serbuk methamphetamine atau dikenali sebagai serbuk meth ketika tiba di Lapangan Terbang Polonia, Medan Jumaat lalu. Pegawai kastam dikenali sebagai Rizki disyaki berkelakuan mencurigakan sejurus tiba di lapangan terbang itu.


Pegawai kastam kemudian melakukan pemeriksaan keselamatan dan menemui dua pakej serbuk meth dalam kasut suspek. “Dadah itu dibawa dari Malaysia dan disembunyikan dalam kasutnya,” kata Rizki. - Jakarta Post

7 cedera bom meletup dalam bas




         
ISULAN (Filipina): Sebutir bom meletup dalam bas penumpang dan mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang di selatan negara ini dalam serangan dipercayai dilakukan kumpulan peras ugut, kata polis semalam.

Bom buatan sendiri itu meletup di bahagian belakang bas yang membuat perjalanan lewat malam semalam di bandar Isulan di wilayah Sultan Kudarat.


Letupan itu merosakkan kenderaan terbabit dan menyebabkan kebakaran kecil, tetapi tidak mengakibatkan kecederaan parah antara penumpang dan pemandunya, kata Ketua Polis Superintendan Rolen Balquin. Bagaimanapun, letupan itu menyebabkan kaca tingkap bas penumpang bersebelahan pecah mencederakan pemandu dan dua penumpangnya. Empat orang yang berada di tepi jalan di situ turut cedera ekoran terkena serpihan kaca. Insiden itu berlaku walaupun kawalan keselamatan dipertingkat ekoran kemungkinan serangan sama yang mensasarkan penumpang bas di selatan negara berkenaan pada masa lalu. Balquin berkata, anggotanya menangkap seorang ahli kumpulan peras ugut terkenal, Al Khobar yang meletupkan sebutir bom tepi jalan bulan lalu di bandar Tacurong. Suspek memberitahu polis, serangan itu adalah sebahagian cubaan memeras ugut wang daripada syarikat bas. - Manila Times

4 dibunuh cuba curi mayat ketua kartel dadah




         
BANDAR RAYA MEXICO: Anggota marin Mexico membunuh empat lelaki bersenjata yang cuba mencuri mayat ketua kartel dadah Zetas yang dibunuh tentera sehari sebelum itu di negeri Veracruz.

Kerajaan negeri berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu mahu mengambil mayat Angel Enrique Uscanga atau nama gelarannya, “The Pokemon” yang dikenal pasti sebagai pemimpin kumpulan ganas di wilayah itu. Kumpulan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah anggota marin dari kenderaan mereka sebaik tiba malam Sabtu lalu dekat bangunan di bandar Cordoba, di mana pihak berkuasa menyimpan mayat Uscanga dan empat lagi yang mati dalam pertempuran dengan tentera. Anggota marin membalas tembakan dan membunuh empat lelaki bersenjata terbabit. Pihak berkuasa turut merampas bom tangan dan senjata lain.


Pada Oktober lalu, pemimpin kartel Zetas Heriberto Lazcano ditembak anggota marin Mexico di utara negara itu dan mayatnya dicuri dari rumah mayat 12 jam kemudian.

Keadaan itu menimbulkan keraguan di Mexico mengenai sama ada pemimpin dadah itu benar-benar terbunuh, tetapi pihak berkuasa berkata, cap jari dan foto yang diambil sebelum kecurian itu membuktikan mangsa telah dibunuh.


Pihak berkuasa Veracruz berkata, Uscanga dan empat lagi lelaki dibunuh dalam pertempuran dengan tentera Khamis lalu, tetapi kerajaan tidak memberikan maklumat lanjut mengenainya selain menyatakan ia juga berlaku di Cordoba. Anggota marin merampas enam raifal, satu roket dan sebuah pelancar roket. - AP

Potong gaji untuk ‘buat visa’

BANTAH...pekerja warga asing membantah tindakan majikan mereka di hadapan Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, semalam.
BANTAH...pekerja warga asing membantah tindakan majikan mereka di hadapan Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, semalam.
PELABUHAN KLANG: Niat 33 pekerja lelaki warga asing untuk mencari rezeki di Malaysia terbantut apabila kerugian RM313,500 selepas ditipu sebuah syarikat perkhidmatan logistik, di sini.
Mereka yang terdiri daripada 26 warga India, Pakistan (lima) dan dua warga Bangladesh mendakwa syarikat tempatan itu mengambil RM4,200 hingga RM6,500 setiap seorang yang dipotong daripada sebahagian gaji mereka bagi Ogos 2010 hingga Oktober lalu kononnya bagi membuat permohonan permit kerja dan visa.

Ketua Biro Politik Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), K S Kottapan berkata, pekerja terbabit yang sudah bekerja di Malaysia sejak Ogos 2010 bimbang kerana hingga kini belum memperoleh permit kerja seperti dijanjikan majikan terbabit.

“Apabila ditanya, pengurusan syarikat itu memberi alasan Jabatan Imigresen menyimpan pasport semua pekerja terbabit menyebabkan urusan permohonan permit berkenaan tergendala.

“Syarikat terbabit juga berjanji untuk membayar semula tunggakan gaji itu pada 15 Oktober lalu, namun hingga hari ini (semalam) mereka belum memperolehnya,” katanya pada sidang media di Pejabat Tenaga Kerja, di sini, semalam.

Kottapan berkata, akibat tidak tahan dengan sikap majikan mereka, semua pekerja terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 24 Disember lalu.


“Kami juga sudah ke pejabat kedutaan masing-masing dua hari lalu dan mereka berjanji akan menghubungi syarikat terbabit secepat mungkin,” katanya.

Peragut diberkas orang ramai




         
TAIPING: Dua penjenayah geng ragut kempunan melarikan beg tangan milik seorang wanita apabila mereka pula dikejar sebelum diberkas orang ramai, kelmarin.

Sebelum kejadian, suspek yang menunggang motosikal dikesan cuba merampas beg tangan milik seorang wanita berhampiran sebuah kedai kopi di Jalan Cheng, di sini, kira-kira jam 8 pagi.


Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa lingkungan 20-an dikatakan baru keluar dari kereta dan membuka bonet kenderaan untuk mengambil barang.

Jurucakap polis berkata, suspek kemudian muncul sebelum merentap beg tangan milik mangsa yang ketika itu datang untuk bersarapan di premis berhampiran.


“Mangsa terkejut dengan kejadian itu sempat melawan dengan memegang erat tali beg tangan menyebabkan berlaku kejadian tarik-menarik.


“Suspek yang menyedari kejadian itu dilihat orang awam cuba memecut melarikan diri, namun dikejar orang awam dan anggota polis yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya. Menurutnya, suspek dikepung dan ditangkap hanya beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan pada raga motosikal suspek, polis menemui peralatan radio kereta yang dipercayai dicuri,” katanya.

Pesakit nyaris maut ambulans terbabas terjun parit




         
KANGAR: Seorang lelaki yang dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) akibat mengalami sawan nyaris maut selepas ambulans dinaikinya terbabas ke dalam parit selepas bertembung sebuah kereta di Simpang Empat Abi, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa lingkungan 20-an dari Kampung Panggas dibawa menaiki ambulans HTF bersama dua petugas dikatakan bergesel dengan sebuah kereta Proton Persona ketika melalui persimpangan berkenaan.


Pemandu kereta berkenaan, Nasir Osman, 49, berkata, dia tidak menyedari lampu kecemasan ambulans berkenaan ketika melalui simpang itu untuk menghala ke Batu Pahat dari arah Batu Dua.

“Tiba-tiba saya ternampak ambulans berkenaan dari arah Padang Melangit menuju ke arah saya sebelum merempuh bahagian sisi bahagian kiri kereta.


“Saya tidak dapat mengawal kereta sejurus dirempuh sebelum kereta saya serta ambulans berkenaan terbabas ke dalam parit di bahu jalan berkenaan,” katanya.


Katanya, dia kemudian keluar dari kereta dan bersyukur kerana tiada yang cedera termasuk pesakit di dalam kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Md Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1), Akta Pengangkutan Jalan 1967.

Hilang ibu



         
KUALA LUMPUR: Akibat tayar depan sebelah kiri kereta dinaiki pecah, seorang wanita terbunuh manakala dua anaknya cedera dalam kemalangan di Kilometer 431.4 Lebuh raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur selepas susur ke Bukit Beruntung, semalam.

Norhamiza Abd Rani, 34, yang duduk di belakang Perodua Alza terkorban akibat kecederaan di kepala, namun suaminya Binorizam Basri, 34, yang memandu dan seorang lagi anaknya terselamat.


Menurut jurucakap polis trafik, dalam kemalangan jam 7.30 pagi itu dua lagi anak pasangan berkenaan terselamat.

“Anak mereka berusia antara setahun dan enam tahun,” katanya.


Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas tayar depan sebelah kiri kereta berkenaan pecah dan menyebabkan pemandunya hilang kawalan.


“Siasatan awal mendapati, kenderaan yang hilang kawalan itu kemudian merempuh tepat penjuru besi pembahagi jalan mengakibatkan sebelah kiri kereta itu remuk.

“Penumpang belakang iaitu isteri mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit di antara kerusi depan dan belakang selepas terjatuh di atas lantai kereta,” katanya.


Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Cheras selepas menghabiskan cuti selama seminggu di kampung halaman di Jitra, Kedah.

Jurucakap polis trafik berkata, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Rawang mengambil masa setengah jam mengeluarkan mayat Norhamiza yang juga jururawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dua kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh manakala mayat Norhamiza dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.


Pada 29 Januari tahun lalu, tiga sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan nyaris maut selepas Proton Iswara yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik jam 9.30 pagi di lokasi sama.


Akibatnya, kereta berkenaan merempuh tiang papan tanda sebelum terbalik di tepi longkang lebuh raya terbabit dan hampir menjunam ke dalam Sungai Guntong.


Bagaimanapun, ketiga-tiganya bernasib baik kerana diselamatkan pemandu yang kebetulan melalui jalan berkenaan selepas ternampak kesan kerosakan pada tiang papan tanda dan tebing jalan.

Ghaib ditelan ombak



         
SEMATAN: Aktiviti perkelahan 30 ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pantai Pueh, Kampung Siru Melayu, di sini, semalam berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala seorang lagi dilaporkan hilang ditelan ombak besar.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, ketiga-tiga mangsa, Ling Chok Leong, 78, Ting Koo Leong, 63, dan Jasper Jong, 14, mandi kira-kira 50 meter dari pantai, tetapi ombak dan arus kuat menyebabkan mereka dihanyutkan ke tengah laut.
Kejadian itu disedari rakan mereka yang berada di tepi pantai dan sempat menarik Ling dan Ting yang terkapai-kapai meminta tolong manakala Jasper yang menggunakan pelampung terus dihanyutkan ombak.

Menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai John, 25, ketika bermain di tepi pantai, mereka ternampak dua mangsa terkapai-kapai di tengah laut kira-kira 500 meter dari pantai.


Katanya, sebaik melihat mangsa tenggelam-timbul seperti meminta pertolongan, beberapa rakan lain berenang ke lokasi berkenaan dan berjaya membawa dua mangsa ke pantai.

Jumpa mayat tanpa mata




         
SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan apabila dua matanya hilang dipercayai dimakan biawak dalam sungai berhampiran Kampung Pengkalan Ikan Bilis, Sungai Lalang, dekat sini, semalam.

Penemuan mayat lelaki berusia 30-an tanpa sebarang identiti jam 11 pagi itu, turut menimbulkan kegemparan apabila tersangkut pada akar pokok di tepi sungai berkenaan.


Seorang penduduk enggan dikenali berkata, pada mulanya dia ternampak objek pelik, tetapi tidak menyangka ia mayat manusia. “Mayat lelaki itu berpakaian baju-T warna merah dan hanya berseluar dalam serta memiliki gelang besi pada pergelangan tangan kiri. Dia juga dipercayai sudah mati sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan mayat sudah kembung,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Rosdi Ismail berkata, enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai.


“Kami turut menggunakan khidmat sampan nelayan untuk membawa mayat ke tebing sebelum diserahkan kepada pasukan polis,” katanya.

Terlepas pegangan lepas dipukul arus




         
MERSING: “Saya berjaya mencapai tangan Mohamad Hafis namun ombak besar menyebabkan saya hilang keseimbangan lalu terlepas tangannya serta tertelan air laut.

“Nasib baik rakan sempat menyelamatkan saya, namun kesal tidak mampu menyelamatkan Mohamad Hafis,” kata Mohd Azizoy Aziman, 22, menceritakan detik dua rakannya hilang dikhuatiri lemas di Pantai Air Papan di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 9 pagi itu, dua daripada 42 ahli Kelab Kompang Kampung Rahmat Batu Pahat iaitu Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Mohd Azhari Suranto, 17, hilang dihanyut ombak besar.

Ketika kejadian, kebanyakan rakan mereka sudah berada di darat, namun dua mangsa terbabit yang berada di pantai dan dalam perjalanan ke darat, dipukul ombak besar.


Mohd Azizoy berkata, ketika kejadian mereka bermain air di pantai apabila diarah naik ke darat oleh ketua rombongan berikutan ombak bertambah ganas.


Bagaimanapun, katanya, selepas hampir semua peserta berada di darat, mereka dapati Mohamad Hafis dan Mohd Azhari masih berada dalam air.

“Dalam sekelip mata mereka berdua dipukul ombak besar sebelum nampak tangan terkapai-kapai meminta bantuan.


“Saya bersama tiga rakan berlari ke laut untuk membantu mereka dan saya sempat mencapai tangan Mohamad Hafis.

“Belum sempat menariknya ke darat tiba-tiba saya dipukul ombak kuat menyebabkan hilang keseimbangan dan hampir lemas,” katanya yang diusung ke pantai sebelum muntah beberapa kali berikutan terminum air laut. Sementara itu, ketua kelab berkenaan, Mohd Azhar Jelani, 37, berkata mereka ke pantai dengan menyewa bas dari Kampung Rahmat, Batu Pahat, sebelum tiba pada kira-kira jam 4 pagi semalam.


Katanya, sebaik tiba dia mengingatkan semua rakan supaya mandi di kawasan pantai dan segera ke darat apabila diberitahu bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Bagaimanapun, katanya sebahagian peserta tidak sabar untuk mandi dan mereka pergi jauh dari pantai.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, sebaik menerima laporan kehilangan dua remaja itu, pihaknya menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Pasukan Polis Marin, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.

Tembakan ketika berbual



         
GEORGETOWN: Seorang lelaki maut apabila ditembak dari jarak dekat ketika berbual dengan rakannya di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown, Gelugor, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee, di sini, mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena tembakan di bahu kanan.


Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan baru pulang dari sebuah pusat beli-belah sebelum tiba di rumah berkenaan dan berbual bersama dua lagi rakan lain.

“Ketika sedang berbual, dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari sebuah kereta terbabit lalu melepaskan tembakan dari dekat.


“Tembakan itu terkena bahu kanan mangsa hingga dia rebah sebelum kumpulan penjenayah terbabit melarikan diri,” katanya.


Sumber berkata, melihatkan keadaan itu, rakan mangsa membawanya ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah terbabit menaiki kereta Toyota Vios serta Perodua Kenari dan suspek yang menembak mangsa bertubuh tinggi dan agak kurus.


“Selain itu, hasil semakan awal juga mendapati mangsa pernah menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap dan kemungkinan penjenayah menembaknya kerana dendam lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Cinta terhalang bersalut dosa




         
BATU PAHAT: Satu pasangan mendakwa keengganan keluarga perempuan merestui keinginan mereka untuk berkahwin menyebabkan pasangan itu mengambil jalan songsang mengenepikan dosa dengan bersekedudukan sejak lebih setahun lalu hingga melahirkan seorang anak lelaki sedangkan mereka boleh menggunakan wali hakim berikutan berada di luar kawasan.

Malah, pasangan berkenaan bersekedudukan di rumah keluarga lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal bersama bapa dan tiga anak angkat bapanya.


Kelakuan sumbang mereka terbongkar apabila penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Batu Pahat menyerbu rumah berkenaan di Punggor Rengit di sini, menerusi Ops Ambang Tahun Baru, jam 1.30 pagi, semalam.

Dalam serbuan itu, wanita berusia 20-an terbabit mendakwa bersekedudukan selepas buntu hubungan bersama teman lelakinya tidak direstui keluarga di Kemunting, Perak.


Menurut wanita itu, dia mengenali teman lelakinya empat tahun lalu dan sudah banyak kali memberitahu keluarganya di Perak, mereka mahu berkahwin.


Dia mendakwa keluarga enggan menerima teman lelakinya itu menyebabkan mereka tinggal bersama setahun lalu hingga melahirkan anak lelaki.

Siklon Freda bakal jadi ribut pemusnah

HONIARA 30 Dis. - Beribu-ribu penduduk di Kepulauan Solomon dipindahkan selepas beberapa batang sungai dilimpahi air dan pihak berkuasa berkata, siklon Freda yang sedang melanda bertukar menjadi ribut pemusnah dan kini bergerak menuju New Caledonia.
Pengarah Pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Loti Yates berkata, penduduk yang tinggal berdekatan kawasan sungai sudah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
"Sehingga kini belum ada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kematian," katanya hari ini.
Sementara itu, jurucakap Pusat Siklon Tropika Nadi di Fiji, Sajay Prakesh berkata, angin kencang bertiup melebihi 230 kilometer sejam dan siklon Freda kini menjadi ribut tahap empat.
"Angin kencang ini berpotensi menyebabkan kemusnahan besar kepada infrastruktur dan bangunan-bangunan," katanya.
Freda dijangka tiba di New Caledonia lusa dan membawa angin kencang serta hujan lebat dalam tempoh yang panjang antara enam hingga tujuh jam.
Awal bulan ini, ribut siklon Evan tahap empat menyebabkan kemusnahan teruk di Fiji dan menyebabkan beribu-ribu pelancong terperangkap.
Sebelum tiba di Fiji, ribut itu melanda pulau berdekatan, Samoa, menyebabkan sekurang-kurangnya lima maut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121231/lu_05/Siklon-Freda-bakal-jadi-ribut-pemusnah#ixzz2GaVpqMqJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 penjenayah dihukum gantung

DHAKA 30 Dis. - Mahkamah Bangladesh hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lima penjenayah berkumpulan atas kesalahan membunuh seorang diplomat Arab Saudi di Dhaka, Mac lalu, kata pegawai mahkamah.
Khalaf Ali, 45, Setiausaha Kedua di Kedutaan Arab Saudi di Dhaka, ditembak pada suatu malam berdekatan bangunan kedutaan tersebut yang terletak di zon diplomatik Dhaka, membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan para diplomat asing di negara ini berikutan ia merupakan kes pertama seumpamanya.
Hakim Mohammad Motahar Hossain menjatuhkan hukuman itu terhadap penjenayah tersebut kerana didapati bersalah menembak Khalaf ketika cuba untuk melakukan rompakan terhadap diplomat itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121231/lu_06/5-penjenayah-dihukum-gantung#ixzz2GaVUBy2B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 termasuk dua kanak-kanak maut

KOTA TINGGI - Seorang wanita dan dua kanak-kanak terbunuh apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta Mercedes Benz di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang terbunuh ialah Ating Dasa, 25, serta dua anak saudaranya, Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Gasah, 7.
Seorang saksi, Mohd Nazirul Azilini, 16, berkata, dia terdengar suara wanita menjerit sebelum bunyi dentuman yang kuat.
Menurut Mohd Nazirul, menjadi rutinnya sejak mula cuti persekolahan, dia menolong bapa saudaranya menjual lemang di situ, namun tidak sangka akan berdepan dengan kejadian itu.
“Ketika itu, saya sedang menghidupkan api, namun sebaik  mendengar dentuman kuat, saya terus bergegas ke tempat kemalangan yang berlaku kira-kira 100 meter dari tempat saya berniaga.
“Saya melihat pemandu kereta Proton Iswara itu tersepit di tempat duduk pemandu dan saya turut terdengar tangisan salah seorang kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang kereta itu.
“Keadaan kereta yang remuk menyebabkan saya tidak dapat lihat mangsa lain yang berada dalam kereta itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian itu berkata, Ating yang memandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Kereta Proton Iswara itu dinaiki lima orang termasuk dua anak mangsa. Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulada.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain.
“Ekoran kejadian itu, turut menyebabkan dua anak mangsa berusia antara dua dan empat tahun termasuk pemandu Mercedes Benz terbabit parah," katanya.
Menurutnya, semua mangsa yang terbunuh dibawa ke Unit Forensik HSI untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera juga dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

10 maut, 19 cedera dalam nahas Lebuh Raya Dhaka-Sylhet

DHAKA 31 Dis. - Seramai 10 orang terbunuh manakala 19 orang lagi cedera apabila sebuah bas penumpang bertembung dengan sebuah bas mini di bandar ini, semalam.
Menurut jurucakap polis, Khandaker Mohid Uddin, sembilan daripada penumpang bas mini itu terbunuh di tempat kejadian di kawasan Shibpur kira-kira 50 kilometer timur laut Dhaka, manakala seorang lagi dilaporkan meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan.
Polis mengesyaki kemalangan maut itu berpunca daripada kecuaian pemandu di Lebuh Raya Dhaka-Sylhet.
Kemalangan maut kerap berlaku di lebuh raya di negara ini ekoran tahap pemantauan yang lemah, cara pemanduan yang salah serta faktor fizikal jalan raya yang teruk, dianggarkan 5,000 penduduk terbunuh dalam kemalangan jalan raya setiap tahun di negara ini. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121231/lu_09/10-maut-19-cedera-dalam-nahas-Lebuh-Raya-Dhaka-Sylhet#ixzz2GaSpSraH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

41 orang maut di Pakistan



Pasukan penyelamat dan orang ramai sedang membantu mencari mangsa yang terlibat dengan serangan bom kereta yang menyebabkan 20 penumpang bas terbunuh di Mastung, kira-kira 30 kilometer dari barat Quetta, semalam. - AFP
QUETTA, Pakistan 30 Dis. - Sebanyak 20 orang maut dan 24 lagi cedera apabila sebuah kereta mengandungi bom meletup berdekatan konvoi membawa jemaah puak Syiah ke Iran.
Saksi berkata, letupan itu berlaku ketika tiga buah bas memintas sebuah kereta kira-kira 60 kilometer dari barat Quetta, berdekatan sempadan Iran.
‘‘Bas yang berada di sebelah kami terbakar dengan cepat. Kami cuba menyelamatkan rakan-rakan tetapi haba kepanasan sangat tinggi menyebabkan kami tidak berjaya,’’ kata seorang saksi, Hussein Ali, 60.
Seorang pegawai di hospital daerah Mastung berkata, 20 orang maut dan 24 lagi cedera.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121231/lu_01/41-orang-maut-di-Pakistan#ixzz2GaS9BUNl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tumpaskan sindiket pelacuran


Antara wanita warga asing yang ditahan polis.
Antara wanita warga asing yang ditahan polis.
SENTUL - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran melibatkan wanita warga asing dalam serbuan di sebuah premis di Laman Rimbunan Kepong, di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, risikan selama dua minggu oleh pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, yang diketuai Inspektor Mohamad Mohd Jais mendapati premis itu baru beroperasi sebulan.

"Difahamkan dalam tempoh sehari, 10 wanita berkenaan melayan kira-kira 60 pelanggan. Wanita-wanita itu berusia antara 20 hingga 28 tahun," katanya.

Menurutnya, sindiket pelacuran itu dipercayai pernah beroperasi di sebuah rumah di Metro Prima, Kepong, sebelum ini.
Sumber itu berkata, lapan wanita dipercayai pelacur dan seorang ibu ayam, dicekup bersama tiga pelanggan.

"Lima warga China, dua warga Thailand dan dua warga Vietnam ditahan dalam serbuan itu.

"Mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan lanjut," katanya.

Jambatan runtuh dirempuh arus, 2 remaja cedera

Jambatan runtuh dirempuh arus, 2 remaja cedera
Fauzi Mat Hassan menunjukkan motosikal yang dinaiki dua lelaki yang terjatuh ke dalam runtuhan dekat jambatan di Kampung Durian.

BESUT- Banjir besar yang berlaku Isnin lalu bukan sahaja menjadi banjir terburuk di kawasan Kampung Padang Bual, Hulu Besut tetapi turut menyebabkan sebuah jambatan di Kampung Durian Telur dekat Pasir Akar, runtuh menyebabkan ia terputus dua.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Telur, Hasbullah Yusof berkata, kedua-dua belah hujung jambatan konkrit yang baru siap dibina beberapa bulan lalu runtuh setelah dirempuh arus deras Sungai Besut kira-kira jam 9 malam sebelum dihanyutkan.

Menurutnya, air sungai yang banyak dan deras telah melimpah memasuki laluan alur bawah jambatan itu lalu merempuh tebing jalan menyebabkan berlaku runtuhan tanah di hujung  jambatan tersebut.

“Kira-kira 350 penduduk terpaksa melalui jalan alternatif (jalan lama) yang terletak di sebelah jambatan itu untuk keluar ke pekan Pasir Akar,” katanya.

Hasbullah berkata, runtuhan itu turut menyebabkan dua remaja yang melalui jalan itu kira-kira jam 12 tengah malam, Selasa lalu terjatuh di bahagian lubang runtuhan itu sedalam kira-kira 4 meter dan cedera parah.

Menurutnya, dua remaja yang tidak dikenali itu bukan penduduk kampung tersebut, dan dipercayai tidak perasan dengan halangan yang dibuat penduduk.

“Sekarang, Pejabat Daerah Besut menutup laluan ke jambatan itu sementara kerosakan dibaiki bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan beliau akan mencadangkan kepada kerajaan untuk membaiki jalan tersebut secepat mungkin untuk keselesaan penduduk.

Ibu kanak-kanak ditetak trauma

Ibu kanak-kanak ditetak trauma
Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling memperkatakan
 sesuatu kepada Mohd Khizwani (kiri).
BALING - Ibu kepada kanak-kanak yang maut ditetak ibu saudaranya kini mengalami trauma dan sedang mendapat rawatan di Hospital Kulim berikutan kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

Faizah Idris, 30, masih dalam keadaan lemah dan tidak mampu bercakap.

Namun begitu, Faizah dibenarkan pulang ke rumah semalam bagi membolehkannya untuk turut sama dalam majlis pengebumian anaknya, Mohd Muaz Mohd Khizwani, 3 tahun itu.

Difahamkan, Faizah hanya terbaring akibat trauma dan terkejut dengan kejadian yang berlaku tersebut.

Dia yang bekerja sebagai pengurus asrama di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau menerima enam jahitan di kepala apabila cedera ketika ingin cuba meleraikan insiden itu.



Darah sampai sampai siling

Ayah kepada Faizah, Idris Kamis Hanafi, 70, berkata, dia terdengar bunyi riuh rendah dan jeritan di luar rumah semasa kejadian.

Dia yang baru pulang dari menoreh getah itu terkejut setelah melihat Faizah dalam keadaan berdarah dan sedang meleraikan kejadian itu.

Menurutnya, dia terus memegang suspek bagi mengelakkan kejadian lebih buruk sementara menunggu bantuan dari keluarga lain.

“Hancur luluh hati saya apabila melihat Muadz dalam keadaan terkulai di beranda rumah, darah di merata tempat sehingga sampai ke siling,” katanya yang masih bersedih.


Kejadian luar jangkaan

Suami Faizah, Mohd Khizwani Kasbi, 36, berkata, kejadian itu di luar jangkaan kerana kakak iparnya itu tidak pernah bertindak agresif sebelum ini.

“Walaupun dia (kakak ipar) ada masalah mental, dia tidak pernah mengganggu sesiapa. Selalunya, dia hanya bercakap seorang diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang kanak-kanak maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat ditetak oleh ibu saudaranya di kediaman neneknya di Kampung Kejai, Mukim Tawar.

Mangsa, Mohd Muadz mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, leher dan tangan setelah ditetak sebanyak enam kali.

Mohd Khizwani yang bekerja di bahagian keselamatan di UiTM Perlis berkata, Muadz seorang yang periang walaupun demam sejak beberapa hari lalu sebelum kejadian.

“Ketika itu saya masih di Perlis kerana bekerja, hanya isteri yang pulang ke kampung untuk mendapatkan rawatan tradisional untuk Muadz

“Saya memang tidak menyangka kejadian itu akan berlaku kepadanya. Namun, saya reda dengan apa yang terjadi,” katanya.

Mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Kejai kira-kira jam 9 pagi, semalam.



JKM beri khidmat kaunseling

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling, Nazatul Iffah Abdullah berkata, pihaknya telah melawat keadaan keluarga mangsa.

Menurutnya, JKM akan menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa yang kini berada dalam keadaan trauma.

“Setakat ini, biarlah ibu mangsa mendapatkan rawatan dan berehat terlebih dahulu sebelum mendapatkan khidmat kaunseling ini,” katanya.

Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'

Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'
 kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24
Jalan Johor Bahru–Mersing semalam.
KOTA TINGGI - “Sebelum kejadian itu berlaku saya terdengar suara perempuan menjerit sebelum bunyi dentuman yang kuat ekoran kemalangan melibatkan dua kenderaan."

Demikian menurut saksi kemalangan maut Mohd Nazirul Azilini, 16, yang berlaku di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang mana turut mengorbankan tiga nyawa kira kira jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Mohd Nazirul, menjadi rutin sejak mula cuti persekolahan dia menolong bapa saudaranya menjual lemang di situ, namun dia tidak sangka akan menyaksikan kejadian ngeri itu.

“Ketika itu saya sedang menghidupkan api, namun sebaik sahaja mendengar dentuman kuat saya terus bergegas melihat tempat kejadian yang kira kira 100 meter dari tempat kami berniaga.

“Saya melihat dengan jelas di mana pemandu kereta Proton Iswara itu tersepit di tempat duduk pemandu. Manakala saya turut terdengar tangisan salah seorang kanak kanak yang duduk di bahagian belakang kereta itu.

“Keadaan kereta yang remuk ekoran kemalangan itu menyebabkan saya tidak dapat lihat mangsa lain yang berada dalam kereta itu," katanya.

Dia menambah: “Keadaan pemandu dan sebahagian penumpang kereta tersebut masing masing sudah tidak bermaya akibat mengalami kecederaan yang teruk sehingga terdapat darah yang banyak mengalir di celah pintu kereta."

“Turut kelihatan pemandu kereta Mercedes Benz yang turut mengalami kecederaan. Bagaimanapun saya tidak dapat menolong mangsa kerana harus kembali ke pondok lemang.

“Namun saya melihat orang ramai yang berhenti di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Iswara, Ating Dasa, 25, serta dua anak saudaranya, Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Gasah, 7.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan berkata, kejadian Ating meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anak saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultanah Ismail.

“Kereta Proton Iswara itu dinaiki lima orang termasuk dua anak mangsa. Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) berikutan suaminya seorang anggota tentera.
“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan mereka terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Ekoran kejadian itu turut menyebabkan dua anak mangsa berusia antara dua dan empat tahun termasuk pemandu Mercedes Benz terbabit parah," katanya lagi.

DBKL: Pemaju diarah roboh banglo jejas teruk



Puncak Setiawangsa bergegar
Kediaman yang disewa seorang warga Iraq yang dikenali sebagai Maulana hampir roboh sepenuhnya.
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka mengeluarkan pada Jun depan peta bencana yang mengenal pasti kawasan tanah tinggi di Lembah Klang yang berisiko untuk didiami.  
Menyatakan demikian, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya telah meminta Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) menjalankan kajian mengenainya mulai Januari depan.
"Kita akan jalankan kajian dengan segera sebagai langkah keselamatan bagi kediaman yang sudah didiami mahupun yang bakal dibina (di kawasan tanah tinggi)," katanya kepada pemberita dekat lokasi kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tinjauan ke kawasan kejadian yang berlaku pada 10 malam, Jumaat lepas.
Mengulas lanjut, Ahmad Phesal berkata, peta bencana itu dapat menjadi panduan kepada pemaju perumahan dan penduduk bagi membolehkan mereka mengambil langkah keselamatan tertentu.
Ahmad Phesal menafikan dakwaan kononnya pemaju di sekitar Bukit Setiawangsa dan Puncak Setiawangsa membina kediaman tidak mengikut spesifikasi.    
Beliau berkata, syarikat berkenaan telah mengikuti segala piawaian pembinaan dan keselamatan ketika membangunkan kawasan perumahan itu lebih 20 tahun lalu.  
"Spesifikasi ini berubah dari semasa ke semasa dan apabila berlaku kejadian bencana alam seperti ini, kita tidak boleh menunding jari kepada satu pihak kerana insiden seperti ini tidak dapat dijangka.   
"Namun Bahagian Siasatan Cerun, Jabatan Kerja Raya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca utama kejadian berdasarkan keadaan tanah dan struktur pembinaan oleh pemaju," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pemaju diarah merobohkan segera sebuah banglo lereng bukit yang terjejas teruk dalam kejadian tanah runtuh itu. - Bernama

Mercun Osama dirampas di Filipina




SEORANG anggota polis berdiri dekat timbunan mercun Osama di Kem Karingal, Quezon kelmarin. - Agensi


MANILA - Polis Filipina merampas sejumlah mercun termasuk yang dikenali sebagai Osama Laden di Quezon, utara Manila kelmarin.
Ia dirampas daripada beberapa vendor sebagai usaha untuk menghalang penggunaan mercun gergasi secara haram menjelang sambutan Tahun Baru.
Letupan mercun telah menyebabkan beberapa orang terbunuh ketika sambutan tahun baru diadakan sebelum ini.
Bunyi kuat mercun itu dikatakan boleh menjauhkan roh jahat dan membawa tuah pada tahun baru.
Osama yang merupakan bekas ketua rangkaian Al-Qaeda mati ditembak oleh komando Amerika Syarikat di sebuah rumah yang dijadikan tempatnya bersembunyi di Abbottabad, Pakistan pada Mei tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2GZnmTh2O 
Hakcipta terpelihara 

Dua dakwa ditipu sindiket guna nama Bank Negara



KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berhati-hati dengan taktik licik sindiket penipuan wang melalui panggilan telefon oleh individu yang menyamar kakitangan sebuah bank.
Ini berikutan dua ahli perniagaan mendakwa menjadi mangsa sindiket berkenaan baru-baru ini.
William Pheng, 36, mendakwa, dia menerima panggilan daripada seorang individu mendakwa kakitangan sebuah bank yang meminta dia menjelaskan hutang kad kredit yang tertunggak selama tiga bulan berjumlah RM13,000.
“Saya mengesyaki ada individu lain menyalah guna butiran peribadi saya sehingga menyebabkan saya berhutang kad kredit sedangkan saya tidak pernah membuat permohonan kad kredit dengan bank tersebut,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti Gerakan di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2GZnalZVx 
Hakcipta terpelihara 

Pelacur salun diberkas ketika ‘beraksi’ di ranjang




TUJUH pelacur warga asing diberkas selepas polis menyerbu sebuah salun yang dijadikan markas persundalan di Kepong kelmarin.


KUALA LUMPUR – Kegiatan haram pemilik salun yang menyediakan khidmat pelacur warga asing sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila sebuah premis persundalan dua tingkat di kawasan Kepong di sini diserbu kelmarin.
Dalam serbuan pukul 9 malam itu polis dapat menahan lima wanita China dan dua rakyat Thailand berusia antara 20 hingga 28 tahun selepas disyaki menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Ketika serbuan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Cegah Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu dilakukan, terdapat tiga pelacur sedang melakukan hubungan seks dengan tiga pemuda tempatan.
Empat lagi pelacur sedang menunggu pelanggan di bilik tidur yang ditempatkan di tingkat atas.
Pegawai operasi, Inspektor Muhammad Mohd. Jais berkata, selain pelacur, pihaknya turut menahan tiga pelanggan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2GZnPquLE 
Hakcipta terpelihara 

Tiga penoreh maut diserang




ANGGOTA polis mengawasi mayat tiga lelaki Myanmar yang dibunuh selepas diserang sekumpulan lelaki di sebuah ladang getah di Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG – Tiga lelaki Myanmar menemui ajal dalam keadaan tragis apabila mereka dibunuh selepas diserang ala mafia oleh sekumpulan penjenayah menggunakan senjata tajam di dalam sebuah kebun getah di Kampung Chebar, Tanjung Piring dekat sini semalam.
Ketika ditemui pada pukul 1 petang, mayat ketiga-tiga mangsa berusia 18 hingga 30 tahun itu didapati mempunyai beberapa kesan tetakan di badan termasuk kepala dan leher yang membawa kepada kematian mereka.
Difahamkan, kesemua mangsa mempunyai pertalian persaudaraan dan mayat mereka ditemui pada jarak kira-kira 50 meter antara satu sama lain. Mereka bekerja sebagai penoreh getah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad memberitahu, sebelum kejadian, empat lelaki Myanmar dikejar sebelum diserang oleh sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam pada pukul 11 malam Jumaat lalu.
Bagaimanapun, katanya, salah seorang mereka berjaya melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan berhampiran dan hanya keluar dua hari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2GZnGMpZr 
Hakcipta terpelihara 

Mayat terduduk di tepi jalan




ANGGOTA polis dan petugas perubatan memeriksa mayat Maxizillian yang ditemui di tepi jalan di Miri semalam.


MIRI – Seorang pengawal keselamatan yang ingin pulang ke rumah terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang merupakan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) terbaring di tepi jalan di Kampung Luak 3 di sini semalam.
Mayat Maxizillian Wenceslaus Gadok, 26, dari Kampung Perpaduan Ulu Sungai Dalam ditemui oleh Hamdan Hussain, 27, pada pukul 6 pagi ketika Hamdan hendak pulang ke rumahnya di Bakam dekat sini selepas selesai bertugas di sebuah kilang berhampiran.
“Ketika sedang asyik menunggang motosikal, saya nampak seorang lelaki duduk dengan kaki bersilang dan kepalanya tertunduk di tepi jalan.
“Saya yang pelik dengan keadaan itu terus memberhentikan motosikal lalu menyapanya tetapi tiada jawapan. Saya kemudian menggerakkan badannya dan terperanjat apabila dia terus rebah,” ceritanya sambil memberitahu ketika kejadian mangsa memakai baju seragam Rela.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2GZn7ty7j 
Hakcipta terpelihara 

452 PATI Myanmar dipaksa terjun ke laut Langkawi




SEBAHAGIAN daripada PATI yang berjaya ditahan berhampiran pantai Teluk Burau, Langkawi semalam.


LANGKAWI – Hasrat seramai 452 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar untuk mencari rezeki di negara ini musnah apabila salah seorang daripada mereka mati lemas manakala selebihnya nyaris maut ketika cuba berenang ke pantai berhampiran Teluk Burau di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kesemua PATI berusia tujuh hingga 50 tahun itu dipaksa terjun dari tongkang kayu yang membawa mereka oleh seorang tekong ketika tongkang itu berada kira-kira 500 meter dari pantai.
Ketua Polis Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, mayat lelaki tersebut ditemui terapung berhampiran kawasan pantai tersebut.
“Selain itu, dua lagi lelaki ditemui dalam keadaan kritikal dan mereka dikejarkan ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2GZmzKRht 
Hakcipta terpelihara