Search This Blog

Sunday, December 30, 2012

Datuk auta jadi buruan

IPOH: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kini diburu polis dan along selepas disyaki melakukan penipuan membabitkan ratusan ribu ringgit sebelum melarikan diri sejak hampir sebulan lalu.

Suspek yang turut menggunakan gelaran doktor itu dipercayai memperdaya ramai pelajar tempatan yang mahu melanjutkan pengajian ke Australia dengan mengenakan bayaran RM20,000.


Bagaimanapun, kebanyakan mangsa yang membuat pembayaran menyedari ditipu apabila suspek berusia 40-an menghilangkan diri dan gagal dikesan sejak awal bulan ini.

Bekas pekerja syarikat milik Datuk berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Alice Chan, 42, berkata, dia menjadi buruan beberapa mangsa yang ditipu majikannya walaupun meletakkan jawatan Februari lalu.


Menurutnya, dia sebelum ini bekerja dengan Datuk berkenaan yang membuka pejabat di Pusat Perniagaan Greentown, di sini, namun meletakkan jawatan berikutan masalah kesihatan.


“Bagaimanapun, nombor telefon saya pernah diletakkan Datuk berkenaan pada risalah perniagaan, menyebabkan kebanyakan mangsa yang ditipu menghubungi saya bagi menuntut wang mereka.

“Saya terkejut dan tak tahu apa berlaku. Kebanyakan mangsa mendakwa membayar untuk menyambung pelajaran ke Australia antara RM20,000 hingga RM30,000 seorang,” katanya ketika membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, semalam.


Bagaimanapun, katanya, Datuk berkenaan menghilangkan diri tiba-tiba manakala pejabatnya tidak dibuka sehingga kini, menyebabkan hasrat semua pelajar terbabit menyambung pendidikan terkandas.

“Mangsa menuduh saya bersubahat melarikan wang dan memaksa saya membayar kembali. Saya tertekan kerana tidak tahu apa berlaku.


“Sebelum ini, lima pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke Australia ketika saya masih bekerja di syarikat itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ampang Baru, di sini.


Mangsa lain, Simon, 30-an, berkata, dia turut menjadi mangsa apabila kebanyakan keluarga pelajar mencarinya untuk mendapatkan kembali wang yang dibayar.


Dia yang bertindak sebagai ejen bebas untuk syarikat menawarkan pendidikan di Australia itu mendakwa menyerahkan wang lebih RM100,000 milik pelajar kepada Datuk berkenaan sebelum suspek lesap.


“Saya tertekan kerana dipersalahkan mangsa, sedangkan semua wang diserahkan kepada Datuk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.


Difahamkan, polis kini menjejaki suspek yang dipercayai menyembunyikan diri, selain turut melarikan dokumen penting syarikat.


Sebelum ini, ibu bapa suspek berusia 77 dan 70 tahun membuat laporan polis selepas rumah mereka disimbah cat oleh samseng along yang menuntut hutang Datuk berkenaan.


Kedua-dua warga emas itu terpaksa melarikan diri dan tinggal di hotel murah di bandar raya ini berikutan bimbang ancaman along yang kerap muncul di depan rumah mereka di Taman Cempaka, di sini.

3 banduan tawan pengawal penjara sebagai tebusan




         
RATCHABURI: Tiga banduan di penjara Khao Bin semalam menjadikan pengawal penjara sebagai tebusan selepas mereka cuba melarikan diri dari kompleks penjara, lapor laman web Daily News.

Laman web akhbar itu melaporkan, ketiga-tiga banduan terbabit yang ditahan di Zon 6 penjara berkenaan, memandu traktor yang digunakan untuk pembinaan bangunan dalam tembok penjara kira-kira jam 3.30 petang. Pengawal penjara terbabit ternampak percubaan mereka untuk melarikan diri dan cuba menghalangnya. Bagaimanapun, dia ditangkap tiga lelaki terbabit yang bersenjatakan pisau dan objek logam tajam. Dua daripada tiga tahanan itu adalah pesalah dadah dan seorang disabitkan dengan kesalahan membunuh serta menjalani hukuman penjara seumur hidup. Mereka menawan pengawal penjara itu dalam bangunan yang masih dalam pembinaan. Pihak polis dilaporkan masih berunding dengan mereka agar menyerah diri. Ratusan anggota polis, termasuk polis rusuhan dikerah ke penjara itu kerana pihak berkuasa bimbang keadaan itu akan mendorong tahanan lain membuat kekacauan. - BP

5 lemas di Mersing, Sematan



2012/12/31 - 05:50:24 AM Oleh Mohd Sah Muda dan Muhd Amirul Faiz Ahmad Cetak Emel Kawan
Kuala Lumpur: Lima lelaki lemas, masing-masing tiga di pantai Pueh, Kampung Siru Melayu, Sematan dan dua di pantai Air Papan, Mersing semalam.

Mangsa di Mersing, Mohamad Hafis Jamaludin dan Muhamad Azhari Suranto masing-masing berusia 17 tahun, dihanyutkan ombak sebaik saja selesai mandi bersama 42 ahli Kelab Kompang Kampung Rahmat Batu Pahat, pada jam 9 pagi.
Mereka dihanyutkan ombak ketika ketua kumpulan itu, Mohd Azahar Jelani, 37, mengarahkan mereka naik ke darat.

Rakan mangsa, Mohd Azizoy Aziman, 22, berkata beliau bersama tiga lagi rakannya cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal berikutan ombak kuat.

Saya sempat memegang tangan Mohamad Hafis tetapi gagal menariknya apabila saya sendiri nyaris lemas dihanyut ombak sebelum dia hilang daripada pandangan.

Malah saya sendiri terpaksa diselamatkan rakan lain apabila turut dihanyutkan ombak dan ketika dibawa ke pantai, saya turut muntah akibat terminum air laut. Saya terkilan tidak sempat selamatkan mereka, katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata usaha mencari dan menyelamat di lokasi 20 meter dari pantai dihentikan jam 6.30 petang dan disambung semula hari ini.
Di Sematan, aktiviti perkelahan 30 ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas, manakala seorang lagi hilang dihanyutkan ombak besar.

Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, Ling Chok Leong, 78; Ting Koo Leong, 63, dan Jasper Jong, 14, mandi 50 meter dari pantai, sebelum dihanyutkan ombak kuat ke tengah laut.

Chok Leong dan Koo Leong berjaya ditarik ke tepi pantai oleh rakannya selepas dihanyutkan ombak sejauh 500 meter, tetapi keadaan terlalu lemah dan sukar bernafas.

Chok Leong disahkan meninggal dunia sejurus dirujuk ke Klinik Sematan, manakala Koo Leong disahkan meninggal dunia sejurus dirujuk ke Hospital Lundu.

Rampas 5,000 pil kuda

KOTA BHARU: Dalam tempoh empat jam saja, polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah membabitkan tiga individu, termasuk seorang wanita, dengan merampas 5,453 pil kuda dan Eramin 5 serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM158,050 dalam serbuan di Pasir Mas, Khamis lalu.

Sebahagian dadah sebelum itu dirampas dalam poket seluar dan dua kenderaan dinaiki ketiga-tiga mereka membabitkan 1,393 biji pil kuda dalam operasi dilakukan sepasukan anggota bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, jam 10 malam.


Anggota polis terbabit diketuai Inspektor Nor Badrul Hisham Mohd Nor dan Inspektor Fuu a/l Akau kemudian dipandu arah oleh pengedar berkenaan ke tempat operasi mereka di sebuah hotel bajet di Jalan Lemal sebelum menemui sejumlah lagi pil kuda dan Eramin 5 berjumlah 4,060 biji, jam 2 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Superintendan Amran Ramli berkata, modus operandi digunakan mereka ialah menyewa beberapa bilik di hotel berkenaan sebagai tempat menyimpan dadah.


Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan tiada rekod tangkapan, namun dipercayai ada kaitan dengan satu sindiket dadah di Tanah Merah dan Kuala Krai.


“Ini kali pertama mereka ditangkap. Kita percaya mereka dalam rangkaian sama dan ada kaitan dengan sindiket di daerah lain,” katanya.

Lelaki maut terkena tembakan di bahu

GEORGETOWN: Seorang lelaki, S Kalimuthu maut selepas terkena tembakan dalam satu kejadian di Jalan Permai, Taman Tun Sardon, di sini, kira-kira 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 29 tahun maut ketika dibawa ke hospital selepas terkena tembakan di bahu. Sehingga ini, polis masih menyiasat motif kejadian.

Maut ditetak mak cik

BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut akibat ditetak ibu saudara di rumah neneknya di Kampung Kejai, Tawar, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi, Muaz Idris dikatakan bermain di beranda rumah sebelum didatangi ibu saudara berusia 36 tahun yang tiba-tiba menetaknya di kepala, tangan kanan serta lutut dengan sebilah golok, menyebabkan kanak-kanak itu rebah.


Mangsa yang cedera parah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim (HK).

Difahamkan, suspek yang mengalami masalah mental sejak 20 tahun lalu dan masih mendapatkan rawatan di hospital.


Keluarga mangsa yang bekerja di Perlis dikatakan pulang ke Kampung Kejai, di sini, sejak petang kelmarin untuk mengubati anak mereka yang demam.


Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.10 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang bermain seorang diri di beranda rumah tiba-tiba didatangi ibu saudara yang membawa sebilah golok lalu menetaknya.


“Ibu mangsa yang juga adik suspek berusia 30 tahun yang datang membantu turut cedera di leher dan tangan akibat ditetak.

“Suspek yang cuba melarikan diri kemudian ditahan ahli keluarganya dan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini, semalam.


Menurutnya, suspek ditahan reman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

33 penagih maut minum ubat batuk

LAHORE: Sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya penagih dadah, mati selepas minum ubat batuk bertoksik.

Kematian mula berlaku Rabu lalu di bandar di Gujranwala, kira-kira 70 kilometer ke utara Lahore.


“Kami menerima 54 pesakit yang mengadu keadaan mereka semakin teruk selepas minum ubat batuk dan 33 orang sudah meninggal dunia,” kata Ketua Perubatan bandar itu, Anwar Aman.

Mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah menagih dadah.


Menurut Anwar, orang yang bertanggungjawab menjual ubat batuk itu masih belum dikenal pasti.


Sekurang-kurangnya 19 orang mati di Lahore selepas minum ubat batuk serupa, bulan lalu. - AFP

Mangsa rogol mati

KAKITANGAN hospital mengusung mayat mangsa rogol di Singapura, semalam.KAKITANGAN hospital mengusung mayat mangsa rogol di Singapura, semalam.
SINGAPURA: Seorang pelajar India yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai dalam sebuah bas di New Delhi hingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara itu, meninggal dunia di sebuah hospital di sini, semalam.

Di New Delhi, polis tambahan dikerah bersiap sedia menghadapi demonstrasi lebih besar menjelang kepulangan mayat mangsa berusia 23 tahun itu.


Perdana Menteri India mendahului ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa penunjuk perasaan menyalurkan kemarahan mereka secara membina.

Foto
ANGGOTA polis India berjaga-jaga di New Delhi
semalam ketika menghadapi aktivis yang menunjuk
perasaan membantah kejadian rogol pelajar.
 

Menurut doktor di Singapura, pelajar berkenaan meninggal dunia pada jam 4.45 pagi (waktu Malaysia), hampir dua minggu selepas serangan itu yang mengejutkan penduduk India.


“Organnya gagal berfungsi akibat kecederaan teruk pada tubuh dan otak,” kata Kelvin Loh, Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth.


Mangsa dirogol oleh sekumpulan enam lelaki mabuk secara bergilir-gilir selepas dia menaiki sebuah bas pada 16 Disember lalu.

Mereka juga memukulnya dengan besi sebelum mencampakkan pelajar itu dan seorang rakan lelaki dari bas yang sedang bergerak.


Dia dibawa ke Singapura dengan pesawat Khamis lalu dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan India. Tindakan itu dikritik oleh beberapa doktor di negara berkenaan yang menyifatkannya sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian orang ramai ketika bantahan terhadap serangan itu meningkat.

Pesuruhjaya Tinggi India di Singapura, TCA Raghavan berkata, keluarga mangsa begitu kecewa dengan kematiannya. Kelmarin, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, membunuh diri dengan mengelar lehernya selepas dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki. - AFP

Rasa hati jadi penyelamat

     INI DIA...sebahagian benteng musnah akibat tanah runtuh  Taman Puncak Setiawangsa.   

INI DIA...sebahagian benteng musnah akibat tanah runtuh Taman Puncak Setiawangsa.
KUALA LUMPUR: “Disebabkan rasa tak sedap hati, saya memindahkan sebahagian besar barang dalam rumah ini sejak tiga bulan lalu,” kata bekas Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Beliau antara 88 penghuni rumah yang terpaksa berpindah akibat tanah runtuh yang mengakibatkan sebahagian besar benteng konkrit pada lereng bukit di Bukit Setiawangsa rosak, selain merosakkan beberapa rumah, jam 10 malam kelmarin.


Jamaludin berkata, beliau seolah-olah merasakan sesuatu kejadian buruk bakal berlaku di kawasan itu lalu membuat persiapan awal dengan memindahkan barang ke rumah lain sejak tiga bulan lalu.

Foto
KEMAS...sebahagian penduduk mengemas
barang untuk berpindah.
 

“Saya tidak sedap hati untuk terus tinggal di sini dan membuat keputusan memindahkan barang sebagai persediaan awal.


“Ketika kejadian, isteri saya berada di rumah namun terselamat dan tidak cedera,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi penghuni di kawasan berkenaan, Siti Mahfudzah Ashahril, 34, berkata dia melihat beberapa individu memeriksa tebing tengah cerun itu kelmarin, manakala pada waktu petang pasukan bomba melakukan pemantauan, menyebabkannya terdetik mungkin ada masalah dengan tanah.

“Jangkaan saya tepat apabila jam 10 malam, saya dengar bunyi siren. Beberapa minit kemudian, saya lihat jiran berpusu-pusu keluar dari rumah masing-masing,” katanya.


Beliau yang baru dua bulan menyewa di rumah itu tidak menyangka kejadian terbabit bakal berlaku.

“Saya dengar bunyi siren jam 10 malam. Pada mulanya saya sangka tiada perkara serius berlaku kerana rumah saya di bahagian belakang dan tidak dengar bunyi runtuhan.


“Jam 11 malam, saya dengar bunyi bising dan lihat jiran keluarkan kereta. Saya juga diarah keluar dan baru tahu ada tebing runtuh dan menjejaskan sebuah rumah,” katanya.


Mahfudzah yang bekerja sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan penyelenggaraan saliran air.


“Memang sekarang sering hujan, namun saya tidak rasa kejadian ini (tebing runtuh) disebabkan cuaca.


“Yang saya bimbangkan ialah keselamatan kami sekeluarga, tambahan pula persekolahan bakal bermula tidak lama lagi. Anak saya bersekolah berhampiran tempat tanah runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, dia dan suami serta tiga anak berusia lapan hingga enam bulan terpaksa berpindah keluar jika pihak berkuasa mengarahkan mereka keluar.


Seorang lagi penduduk yang tinggal berhampiran kawasan runtuhan, Veronika Thoene, 45, berkata, ketika kejadian, dia mendengar bunyi bising dan menyangka ia bunga api sempena sambutan perayaan.

Bapa tinggal tiga anak kecil

DOA AYAH BAHAGIA... Amin dan Mila menonton televisyen.
DOA AYAH BAHAGIA... Amin dan Mila menonton televisyen.
KUALA LUMPUR: “Tunggu sini sekejap, abah nak pergi beli rokok.” Itulah alasan diberikan seorang bapa kepada tiga anaknya yang baru berusia sembilan bulan, dua tahun dan lima tahun sebelum menghilangkan diri.
Tindakan tidak berhati perut itu dilakukan tidak sampai dua bulan selepas tiga beradik berkenaan kematian ibu mereka akibat barah, dua tahun lalu.
Lebih tragis, mereka ‘dibuang’ pada waktu malam di tepi jalan berhampiran kaki lima sebuah masjid tanpa dokumen dan wang belanja.

Kejadian yang berlaku terhadap Mira, Mila dan Amin (bukan nama sebenar) adalah contoh semakin ramai lelaki layak dilabel ‘bapa binatang’ kerana tergamak meninggalkan darah daging bagaikan ‘membuang’ kucing di tepi jalan.


“SAYA tak nak ikut kalau ayah datang nak ambil kami. Dia kejam! Kalau benar dia sayang saya dan adik, takkan dia tergamak buang kami di tepi jalan. Lagipun, dia tak pernah cari kami.

Peragut nyawa

SIASAT... anggota forensik memeriksa mayat A Josop (gambar kecil) yang menjadi mangsa ragut ketika menunggang motosikal bersama isterinya.
SIASAT... anggota forensik memeriksa mayat A Josop (gambar kecil) yang menjadi mangsa ragut ketika menunggang motosikal bersama isterinya.
KEPALA BATAS: Seorang warga emas tidak sempat menghadiri majlis sambutan hari lahir anak saudaranya ke-21 akibat maut selepas terjatuh daripada motosikal manakala isterinya cedera angkara peragut dekat Permatang Manggis, di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku jam 7.30 malam ketika A Josop, 65, yang menunggang motosikal Honda Wave bersama isteri, A Alaies, 52, dari rumah mereka di Bagan Ajam, Butterworth, menuju Dewan Serbaguna Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Bertam.
Mangsa yang juga pesara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dipercayai tidak menyedari diekori dua lelaki menunggang sebuah motosikal sehingga ke Jalan Permatang Manggis.

Sebaik tiba di tempat kejadian, seorang daripada suspek merentap rantai loket emas dipakai isteri mangsa sebelum menghimpit motosikal mereka.


Berikutan itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbalik ke kiri jalan sebelum jatuh tersembam, menyebabkan cedera teruk pada muka dan hidung sebelum meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya cedera di tangan kanan.

Ajal budak jatuh tingkat lapan

TINGGI... Devakumar menunjukkan tempat anaknya terjatuh.
TINGGI... Devakumar menunjukkan tempat
 anaknya terjatuh
. JOHOR BAHRU: “Saya menghampiri Dinesh dan melihat dia masih bernyawa. Apabila memanggil namanya, mata dia masih bergerak,” kata B Devakumar, 22, bapa Dinesh Kumar, 4, kanak-kanak yang mati selepas terjatuh dari tingkat lapan di Blok Cemara 2, kuarters Hospital Permai di sini, jam 7 malam kelmarin.
Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu apabila pulang ke rumah selepas membeli barangan dapur dan meletak motosikal di bangunan itu.

Katanya, ketika itu dia terkejut melihat sekumpulan penduduk berkumpul berhampiran surau di tingkat bawah dan lebih terkilan apabila mendapati anaknya, Dinesh Kumar, terbaring kaku berlumuran darah.

“Saya panik dan tidak percaya ia anak saya lalu berlari menaiki lif bagi mendapatkan kepastian isteri yang berada di rumah.

“Ketika itu saya melihat isteri turun ke tingkat bawah sambil menangis dan membawa dua adik Dinesh Kumar,” katanya.

Devakumar berkata, akibat kejadian itu, anaknya dipercayai patah leher, namun dilihat masih bernyawa ketika dihampiri keluarganya.


Menurutnya, yang mengecewakan, ambulans hanya tiba selepas 45 minit kemudian, menyebabkan anaknya lewat menerima pertolongan kecemasan.

Katanya, malah doktor yang memeriksa anaknya menyatakan Dinesh Kumar sudah meninggal dunia.

“Saya tinggal di sini selama setahun bersama abang ipar yang bekerja di Hospital Permai dan kami mendaftar masuk ke sini secara sah.

“Sebelum ini, beberapa kali kami membuat aduan berhubung ketiadaan jeriji di tingkap rumah seluruh bangunan, kecuali tingkat bawah. Kami berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan anak.

“Bagaimanapun, kami difahamkan, usaha memasang jeriji tidak dapat dilakukan kerana tidak dibenarkan pihak atasan,” katanya.

Devakumar berkata, dia tidak menjangka anaknya menjadi mangsa apabila terjatuh daripada tingkap bilik ketika isterinya, V Jayadurka, 22, yang juga suri rumah, mandi di bilik air.

“Saya difahamkan, beberapa saksi melihat Dinesh menjenguk ke luar sebelum sebahagian badannya tersepit antara tingkap.

“Keadaan itu tidak mungkin berlaku jika tingkap mempunyai jeriji. Akibat kecuaian pengurusan, anak saya meninggal dunia.

“Saya berharap pengurusan akan membaiki kelemahan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuka sendiri tingkap bilik di rumahnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh dari bilik dan cedera parah di kepala.

8 rumah musnah di Kg Hungab Penampang

KOTA KINABALU - Lapan buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Hungab, dekat Penampang di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu berkata kesemua mangsa yang berada di rumah sempat menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku pada 4.30 petang tadi.

Beliau berkata tiga jentera dengan 23 anggota bergegas ke tempat kejadian namun ketika bomba tiba, empat buah rumah telah pun musnah.

"Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada 4.44 petang berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain pada 5.17 petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.  - Bernama

Sindiket samun tumpas

Sindiket samun tumpasMohd Mokhtar (dua, kiri) melihat tukul besi yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket samun di daerah Kulaijaya dengan penahanan lapan individu berusia antara 15 hingga 38 tahun, 14 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penahanan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat susulan daripada laporan polis diterima oleh pihaknya berhubung sebuah kedai runcit
di Air Bemban, Kulaijaya disamun oleh lima lelaki bersenjatakan parang.

“Hasil daripada penahanan suspek, polis turut berjaya merampas enam bilah parang, wang tunai RM7,817.50, dua kereta, tujuh komputer riba, 48 buah telefon bimbit, sebuah kamera, sebuah Sistem
Penentu Kedudukan Sejagat (GPS), 10 topeng muka, 10 kad memori, 201 kotak rokok pelbagai jenama dan 15 botol minuman ringan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 2 Januari 2013 dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika
sabit kesalahan.

Katanya, dengan tertumpasnya kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun di Kulaijaya, dua kes di Kota Tinggi, tiga kes di Kluang dan dua kes di Batu Pahat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki berusia 18 hingga 24 tahun selepas disyaki terlibat dalam kejadian samun stesen minyak di kawasan Seri Alam dan Johor Bahru Selatan.

“Polis telah melakukan beberapa siri serbuan di sekitar Seri Alam, Plentong dan Kempas. Hasilnya, polis berjaya menahan sembilan lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun stesen minyak.
“Polis juga berjaya merampas sebuah van, dua bilah parang, sebuah kereta, sebatang tukul besi dan sebatang besi,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod kesalahan lalu mendapati dua daripada suspek ditahan memiliki rekod jenayah.

“Kesemua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 31 Disember ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebat.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan empat kes samun pam minyak, satu kes samun kedai makan dan tiga kes samun kafe siber di sekitar Seri Alam dan Johor,” katanya.

'Kassim Baba' kantoi

'Kassim Baba' kantoiAbdul Aziz (dua kanan) memegang beberapa peralatan curi yang ditemui semula daripada lelaki terbabit.
TEMERLOH – Seorang lelaki penagih dadah layak digelar ‘Kassim Baba Moden’ apabila mengutip apa sahaja barangan yang boleh menghasilkan duit kepadanya ketika melakukan kegiatan pecah rumah.

Lelaki terbabit yang berusia 30 tahun dipercayai aktif melakukan pecah rumah siang dan malam di sekitar Jalan Maran di sini sejak awal tahun lalu.

Antara barangan yang menjadi sasarannya ialah mesin pengisar, mesin rumput, pam racun, gergaji mesin dan alat pemanas air yang akan dijual kepada pembeli tetap warganegara Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kegiatan lelaki itu telah dihidu polis sebelum satu serbuan dilakukan pada 11 Disember lalu.

Menurutnya, dalam serbuan di rumah lelaki itu dekat Kampung Paya Ladang, Seberang Chenor, Maran, polis berjaya menemui beberapa barangan curi termasuk sebuah motosikal yang dibeli dengan hasil wang curi.

“Hasil siasatan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kongsi di pekan Awah dan menemui beberapa barangan curi namun dua lelaki Indonesia yang dipercayai menjadi pembeli hasil curi lelaki terbabit telah melarikan diri,” katanya semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil ujian air kencing terhadap lelaki tersebut mendapati dia positif dadah jenis morfin dan turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini berada dalam tahanan lokap polis Temerloh dan akan dituduh di mahkamah Majistret Temerloh setelah siasatan selesai di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun bagi setiap kes dan juga boleh dikenakan sebatan.

“Bagi menyelesaikan kes ini, polis menggesa orang ramai yang pernah menjadi mangsa pecah rumah dan kehilangan barangan supaya tampil membuat pengecaman barang kes.

“Polis juga sedang memburu dua lelaki Indonesia dikenali sebagai Ardiyanto dan Rudy dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kedua-duanya dapat menghubungi pihak polis di talian 09-2964999,” katanya.

Siling reput timpa kepala

Balakrisnan Balakrisnan menunjukkan siling dan bumbung runtuh menimpa kepalanya masih tidak dibaik pulih sehingga hari ini. Gambar kecil: kesan jahitan pada kepala Balakrisnan.
PETALING JAYA – Seorang penduduk Blok 10 Flat Desa Mentari dekat sini terpaksa menerima enam jahitan di kepala selepas bumbung asbestos serta siling reput jatuh menimpa kepalanya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya di tingkat satu.

Dalam kejadian 25 Disember itu, M Balakrisnan, 48, cedera dan dikejarkan ke hospital dan terpaksa bercuti panjang disebabkan insiden itu.

Menurutnya, kesihatannya kini tidak menentu kerana hentakan kuat menyebabkan tubuhnya mengalami kesan sampingan dan terpaksa bergantung kepada ubatan diberikan.

“Saya pernah kemalangan jalan raya dahulu, kini kesan kemalangan itu terasa kembali menyebabkan saya menanggung kesakitan pada bahagian kepala dan tidak boleh tidur malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Tambah Balakrisnan, dia bernasib baik kerana serpihan siling dan bumbung itu tidak jatuh menimpa anak perempuannya berusia empat tahun yang turut melalui tangga yang sama.

“Sepatutnya pihak pengurusan bangunan menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bumbung yang sudah rosak dam peristiwa sebegini boleh dielakkan,” katanya yang juga merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke kawasan flat itu mendapati kebanyakan bumbung di situ sudah uzur dan pecah.

Bimbang kejadian itu berlaku ke atas penghuni lain, satu laporan dibuat di Balai Polis Petaling Jaya.

Sementara itu, Adun Taman Medan, Haniza Talha menggesa pihak pengurusan bangunan bertanggungjawab sepenuhnya di atas apa yang berlaku.

“Ini tanggungjawab badan pengurusan sepatutnya mereka kena pastikan premis bangunan di bawah tanggungjawab mereka selamat,” katanya.

Keputusan roboh banglo Puncak Setiawangsa diketahui hari ini

Puncak Setiawangsa bergegar
Kediaman yang disewa seorang warga Iraq yang dikenali
sebagai Maulana hampir roboh sepenuhnya.

KUALA LUMPUR -  Keputusan sama ada sebuah banglo yang rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa, akan diroboh sepenuhnya atau tidak, akan diputuskan pada mesyuarat bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju, petang ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Othman Abu Bakar berkata, rumah itu dipercayai disewa oleh sebuah keluarga warga Iraq yang berpindah keluar dua hari sebelum runtuhan selepas mendapati wujud keretakan di rumah berkenaan.
Puncak Setiawangsa bergegar
Keadaan benteng konkrit yang pecah sehingga
menyebabkan berlakunya runtuhan tanah.

"Keputusan merobohkan banglo itu dibuat bagi mengurangkan beban tanah yang dikhuatiri menjejaskan cerun berikutan kedudukan banglo itu berada di tempat paling kritikal," katanya.

Menurutnya, dua banglo lain masih dianggap berada dalam zon bahaya.

"Masih terdapat pergerakan tanah yang dikesan di kawasan berkenaan.Sehingga malam tadi, penghuni 106 kediaman dan rumah kedai telah diarahkan berpindah," katanya.
Othman berkata, laluan utama Jalan Bukit Setiawangsa  ke Puncak Setiawangsa masih ditutup, namun laluan alternatif bagi penduduk dan pemandu telah dibuka di sepanjang Jalan Persiaran Setiawangsa.

Lebih 100 rumah di Puncak Setiawangsa berisiko


Lebih 100 rumah di Puncak Setiawangsa berisiko
Sebahagian penduduk mula membuat persiapan untuk berpindah.
Lebih 100 rumah di Puncak Setiawangsa berisiko
Jalan alternatif dibuka bagi menghubungkan kawasan kejadian.
KUALA LUMPUR - Lebih 100 kediaman termasuk 30 banglo di Puncak Setiawangsa dan 18 lot kedai berhampiran dikhuatiri terjejas berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat benteng konkrit setinggi 50 meter pecah di Jalan Bukit Setiawangsa, di sini, semalam.

Tujuh daripada 30 banglo, iaitu termasuk kediaman Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, yang berada berhampiran lereng bukit, dilaporkan bakal terjejas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Othman Abu Bakar, berkata, sebanyak 58 rumah di bahagian bawah cerun dan 18 rumah kedai juga diarahkan berpindah.

Menurutnya, laporan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mendapati pergerakan tanah yang masih berlaku mampu memberi risiko kepada kawasan berhampiran.

“Rumah no.39 (didiami warga Iraq) sudah runtuh separuh, namun nasib baik tiada penghuni, kerana mereka sudah meninggal rumah sejak siang semalam (kelmarin).

Manakala rumah nombor 37 (milik Dr Jamaluddin) mengalami keretakan dan hakisan tanah.

“Jadi, kita minta kerjasama penduduk terlibat agar memberi kerjasama, berpindah dan mengunci kediaman bagi mengelakkan kecurian.

Pihak polis yang bertugas di lokasi akan memantau dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, semalam.

Beliau berkata, DBKL akan membina jalan keluar dari Jalan Persiaran Setiawangsa untuk ke Jalan Bukit Setiawangsa,” katanya.

Runtuhkan banglo mewah Sebuah daripada tujuh banglo mewah di Puncak Setiawangsa, yang terjejas teruk akibat runtuhan benteng konkrit akan dirobohkan hari ini, sebagai langkah mengelakkan bencana lebih besar.

Perkara tersebut diputuskan menerusi mesyuarat tergempar yang berlangsung antara DBKL, pemaju dan pemilik, petang semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib, ketika mengumumkan perkara itu berkata, langkah itu perlu mengelakkan perkara lebih buruk berlaku sekiranya terdapat runtuhan susulan.

Menurutnya, banglo yang telah separuh runtuh itu dikhuatiri membebankan tanah seterusnya menjejaskan kestabilan cerun.

“Dalam masa sama, kita akan pasang pelindung pada tebing bagi mengelakkan hakisan tanah sekiranya berlaku hujan berikutan cuaca yang tidak menentu.

“Pihak IKRAM juga memasang alat pengesan pergerakan tanah untuk setiap satu jam bagi menentukan tahap kestabilan cerun,” katanya pada sidang media, di lokasi, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan pembinaan projek perumahan di lereng bukit yang dibuat pada 1992 itu tidak mengikut piawaian yang sepatutnya.

Ini kerana katanya, ketika diluluskan dahulu, Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi 2010 masih belum dikuatkuasakan.

“Jika mengikut garis panduan itu, setiap projek di tanah tinggi perlu di selenggara setiap lima tahun sekali, termasuk memeriksa kestabilan cerun, termasuk diwajibkan pasang alat pengesan pergerakan tanah.

“Jadi kita telah putuskan agar pihak pemaju perlu mengemukakan kaedah penyelesaian untuk pulihkan keadaan cerun,” katanya.

Puncak Setiawangsa bergegar



Puncak Setiawangsa bergegar
Kediaman yang disewa seorang warga Iraq yang dikenali sebagai Maulana hampir roboh sepenuhnya.
Puncak Setiawangsa bergegar
Keadaan benteng konkrit yang pecah sehingga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah.
Puncak Setiawangsa bergegar
Peta menunjukkan lokasi kejadian benteng runtuh dan jalan yang ditutup.
Puncak Setiawangsa bergegar
Penduduk sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.
KUALA LUMPUR - Penduduk di kawasan perumahan Puncak Setiawangsa, di sini, gempar apabila benteng konkrit di lereng Jalan Bukit Setiawangsa setinggi 60 meter runtuh mengakibatkan satu-satunya jalan menghubungkan perumahan tersebut ke Puncak Setiawanga ditutup daripada laluan kenderaan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, semua penghuni kira-kira 20 banglo yang terletak di Puncak Setiawangsa diarahkan mengosongkan rumah kerana berada dalam zon bahaya.

Tiga daripada banglo berkenaan, termasuk kediaman Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, yang berada berhampiran lereng bukit, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Orang ramai khususnya penduduk tidak dibenarkan melalui jalan tersebut kerana masih terdapat pergerakan tanah yang berisiko runtuh lebih teruk.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Jabatan Pertahanan Awam dan pihak polis berada di lokasi bagi mengawal keadaan.

Timbalan Pengerusi Penduduk Puncak Setiawangsa, Fauziah Jamaluddin, berkata, kejadian tersebut merupakan pertama kali berlaku sejak 16 tahun kawasan itu didiami.

Katanya, pihaknya kini hanya dapat membantu dari segi memberi maklumat kepada penduduk berhubung perkembangan kejadian agar mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Penghuni yang diarahkan keluar juga diminta membawa keluar barangan penting lain kerana belum dipastikan sampai tidak dibenarkan kembali ke kawasan kediaman.

“Pihak DBKL juga ada menyediakan dewan kepada penduduk sebagai penempatan sementara,” katanya.

Beliau berkata, pihak pemaju juga bersetuju memberi bantuan awal pemindahan berjumlah RM1,500 kepada penduduk terjejas.

“Satu keluarga, RM1,500, dan kita masih lagi menerima pendaftaran daripada mereka terlibat untuk menuntut bantuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib, berkata, pihaknya akan membuat laluan alternatif untuk digunakan penduduk sekitar yang ingin keluar.

Katanya, penghuni di kawasan bawah, berdepan benteng tersebut juga diarahkan pindah serta-merta.

“Pihak IKRAM telah memasang peralatan untuk menentukan pergerakan tanah ini dan kita berharap dengan itu kita dapat mengukur pergerakan tanah tersebut dan ini akan memudahkan kita mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Penduduk bimbang Kejadian menggemparkan itu nyata membimbangkan penduduk sekitar terutamanya yang berada di lokasi berhampiran, berikutan pergerakan tanah yang masih aktif.

Salah seorang penduduk, Mustafa Fuzer Nawi, 52, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya berada di rumah dan terdengar bunyi dentuman kuat kira-kira jam 9.15 malam.

“Saya fikir bunyi guruh, namun terkejut apabila mendapat tahu benteng konkrit itu runtuh.

“Sebelum ini jiran-jiran ada memaklumkan air yang mengalir di salur benteng itu keruh, sedangkan kebiasaannya jernih,” katanya. Seorang lagi penduduk, Siti Mahfudzah Ashahril, 34, berkata, semalam (kelmarin) dia pulang ke rumah pada waktu tengah hari dan melihat beberapa orang di kawasan benteng itu.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka benteng itu akan runtuh sehinggalah dia terdengar bunyi siren kenderaan bomba dan pihak polis. “Sekarang ini kita bimbang kerana musim cuti sekolah akan berakhir dan kawasan yang runtuh dekat juga dengan sekolah,” katanya.

8 lelaki ditahan kes curi kedai 24 jam

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang terbabit jenayah samun kedai serbaneka 24 jam, ditahan dalam operasi khas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, lima yang ditahan ialah anggota kumpulan samun terbabit manakala tiga lagi pembeli yang disyaki membeli barangan hasil samun mereka.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 44 tahun dan siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

“Serbuan serentak dilakukan di rumah mereka di empat lokasi berasingan iaitu dua di Sungai Besi manakala dua lagi di Keramat dan Seri Alam.


“Dalam serbuan itu, polis merampas dua parang, dua motosikal dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun serta pelbagai jenis rokok bernilai RM7,500,” katanya.


Menurut Zainuddin, dengan tertangkapnya anggota kumpulan itu, polis menumpaskan sindiket samun kedai serbaneka 24 jam yang aktif di Lembah Klang, terutama di daerah Dang Wangi sejak September lalu.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah berlagak sebagai pelanggan yang ingin membeli kad prabayar telefon bimbit dan masuk dalam kedai tanpa membuka topi keledar bagi mengelak wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).


“Ketika petugas kaunter kedai sibuk mengambil barang diminta, suspek mengacukan parang dan mengarahkannya membungkus semua rokok serta melarikan wang,” katanya.

Katanya, suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menunggu di luar kedai dengan motosikal.


Katanya, tangkapan itu menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes samun iaitu lima di Dang Wangi dan empat di daerah lain.

Kanak-kanak maut terjatuh tingkat lapan kuarters hospital


D Dinesh
D Dinesh
Devakumar
Tinggal kenangan...Devakumar sayu melihat baju anaknya.
JOHOR BAHRU - Betapa luluhnya hati seorang ayah apabila kanak-kanak yang sedang nyawa-nyawa ikan, dikerumuni orang ramai, rupanya anak sendiri yang baru jatuh dari kediamannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa, D Dinesh Kumar disahkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat patah tengkuk.

Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu maut selepas terjatuh dari tingkat lapan Blok Cemara 2, Flat Kuaters Hospital Permai, di sini, kelmarin.

Bapa mangsa, B Devakumar, 22, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah, manakala isterinya, V Jayaturka, 22, sedang mandi dan tiga anaknya termasuk mangsa pula sedang bermain di sebuah bilik kosong rumah berkenaan.

“Saya pergi kedai yang tidak jauh dari kediaman kami untuk membeli barangan untuk menyediakan hidangan makan malam. Apabila pulang, saya lihat orang ramai berkumpul dan saya sangkakan ada budak yang terjatuh ketika bermain-main di tingkat bawah.

“Saya langsung tidak menyangka tubuh kecil yang terbaring seperti ‘nyawa-nyawa ikan’ adalah anak sulung saya.

Dia sempat membuka mata dan memandang saya apabila saya memanggil namanya sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Devakumar yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Singapura itu berkata, ada saksi ternampak separuh tubuh anaknya itu terkeluar dari tingkap rumah yang dihuni bersama ibu mertua dan abang iparnya lebih setahun yang lalu sebelum terjatuh dari bangunan terbabit.

Beliau berkata, seminggu sebelum kejadian, anaknya menunjukkan perubahan sikap yang ketara apabila dia terlalu mengambil berat terhadap adik bongsunya yang berusia setahun dan petah menyebut abjad A hingga Z dengan lancar.

“Sebelum ini dia agak lambat dalam menyebut A,B,C.

Bagaimanapun, seminggu sebelum kejadian, dia dengan mudah dapat menghafal semua abjad berkenaan.

“Malah, dia juga menunjukkan penuh kasih sayangnya sebagai seorang abang kepada adik perempuannya dengan selalu bermain dan mandi bersama. Perkara itu memang  tidak pernah dilakukan olehnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Biarpun begitu, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita juga menunggu laporan penuh bedah siasat bagi memastikan sama ada terdapat unsur-unsur kecuaian ibu bapa,” katanya
.

4 maut pesawat Rusia terbabas di lebuh raya

4 maut pesawat Rusia terbabas di lebuh rayaKeadaan pesawat Russian Red Wings Airlines yang terbabas semalam. - Foto ihsan CNN
MOSCOW -  Empat penumpang maut manakala empat lagi cedera apabila sebuah pesawat penumpang tergelincir dari landasan dan terbelah kepada tiga bahagian ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo di sini, semalam.

Pesawat Russian Red Wings Airlines itu dalam perjalanan dari Republik Czech ketika terbabas.

Kementerian Kecemasan Rusia berkata, kejadian itu menyebabkan pesawat Tupolev-204 terbabit melanggar pagar sempadan lapangan terbang dan terbabas di lebuh raya sebelum terbakar.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian juruterbang pesawat.

Ketika kejadian 12 orang berada dalam pesawat itu, tetapi pihak berkuasa telah mengubah angka mereka berada dalam pesawat kepada lapan kemudian.

Lelaki maut ditembak di depan rumah

Lelaki maut ditembak di depan rumah
Anggota forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.

GEORGETOWN - Seorang lelaki maut akibat ditembak ketika sedang berbual bersama  empat rakanya  di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam, mangsa S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee dikatakan baru sahaja tiba di rumah salah seorang rakannya.

Menurutnya, ketika sedang berbual, dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari salah sebuah kereta berkenaan lalu menembak ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

"Melihat mangsa rebah, rakan mangsa bergegas membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran namun mangsa disahkan mati sebaik tiba di hospital.

“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa mati akibat terkena tembakan di bahagian bahu kanan," katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rahim Hanafi dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh juga meninjau tempat kejadian.

Sementara itu, Kong Meng berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian berkenaan dan telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan dan menjejaki suspek.

Katanya, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tak sempat curi barang dapur

Tak sempat curi barang dapur
Lelaki terbabit ditahan sebelum di bawa ke balai polis.

BALING - Hasrat seorang pemuda untuk mencuri barangan dapur di sebuah restoran tidak kesampaian apabila dia bertembung dengan pemilik kedai itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Restoran Sri Tualang di Kampung Tualang di sini, semalam.

Pemuda berusia 20-an itu dikatakan sering memasuki restoran itu sebelum ini untuk mencuri barangan dapur antaranya milo, susu dan sebagainya.

Namun, tindakannya itu tidak bertahan lama setelah dia bertembung dengan pemilik kedai yang secara kebetulan ke restorannya.

Pemilik restoran, Mohd Rasdi Syaari, 52, berkata, dia ternampak sebuah motosikal bersama kunci berada di luar restorannya.

Menurutnya, dia terus mengambil kunci motosikal itu kerana dapat mengagak ada orang yang menceroboh masuk ke dalam restorannya.

“Bila buka restoran, saya nampak suspek berada di dalam. Dia cuba melarikan diri, tetapi saya sempat menahannya.

“Lelaki itu turut memaklumkan terdapat seorang lagi rakannya yang masuk ke restoran saya, tetapi dia sempat melarikan diri,” katanya.

Katanya, dia yakin lelaki terbabit merupakan suspek yang sering menceroboh dan mencuri barangan restorannya sebelum ini.

Suspek yang dikatakan dari Kupang itu dihantar kepada polis untuk tindakan seterusnya.

CEO lesap bersama RM100,000

CEO lesap bersama RM100,000Chan (kiri) bersama Boon Piow menunjukkan laporan polis, surat perletakan jawatan dan beberapa dokumen lain berhubung perkara tersebut.
IPOH - Bekas pengurus pemasaran menghadapi tekanan apabila kehidupannya diganggu beberapa panggilan telefon daripada beberapa orang pelajar yang meminta wang yuran mereka dipulangkan segera.

Alice Chan, 42, berkata, syarikat yang menguruskan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Australia itu sudah ditutup pada 17 Disember lalu selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) dipercayai melarikan diri bersama yuran pelajar berkenaan.

Menurutnya, masalah timbul apabila dia menerima panggilan telefon daripada dua pelajar kira-kira dua minggu lalu, sedangkan dia sudah meletakkan jawatan daripada syarikat tersebut
pada 19 Julai lalu.

“Saya berasa tidak puas hati kenapa nama dan nombon telefon bimbit saya masih tertera di poster dan risalah berkaitan syarikat berkenaan walhal saya sudah tidak bekerja di situ lagi.

“Malah, saya tidak mahu bertanggungjawab ataupun terbabit atas segala urusan kewangan ataupun pengambilan pelajar yang dijalankan syarikat itu.

“Berikutan itu, saya bertindak untuk membuat laporan supaya polis dapat menjalankan siasatan selain menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam pada 22 Disember lalu.

Chan bersama beberapa ejen syarikat bekenaan hadir membuat aduan kepada Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow di Pusat Khidmat Dun Tebing Tinggi di sini, semalam.

Dalam pekembangan berkaitan, salah seorang bekas ejen syarikat tersebut, Simon Siew, 33, berkata, dia sendiri pernah melihat urusan dijalankan CEO bersama salah seorang bapa kepada
pelajar pada 9 Julai lalu.

“Saya mula mengenali lelaki terbabit pada 2 Disember 2010 dan pada waktu itu syarikat berkenaan menjalankan perniagaan dalam talian iaitu e-Dagang (e-commerce) sebelum menukarnya
kepada syarikat menguruskan pelajar ke Australia tahun lepas.

“Selepas selesai menjalankan perbincangan bapa pelajar terbabit mula menghubungi saya untuk mendapatkan perkembangan status belajar anaknya di Australia.

“Bagaimanapun, saya hanya dapat memberitahu CEO kami sudah tidak dapat dihubungi dan tidak tahu di mana dia berada kini.

“Dipercayai sejumlah wang hampir RM100,000 dibawa lari bersamanya memandangkan yuran untuk menguruskan seorang pelajar adalah antara RM13,000 hingga ke RM15,000.

“Oleh itu, saya bersama beberapa ejen lain membuat keputusan untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki CEO syarikat terbabit mungkin menipu dalam menjalankan perniagaannya,”
katanya yang merupakan ahli perniagaan sepenuh masa.

Sementara itu, Boon Piow ketika ditemui berkata, pihaknya akan meminta bantuan polis untuk menyelesaikan kes tersebut dengan segera.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri warga mas terpaksa bersembunyi di hotel bajet sekitar bandar raya ini bagi menyelamatkan diri dari ah long yang sedang memburu anak lelaki mereka.

Anak lelaki terbabit yang juga CEO syarikat berkenaan disyaki sudah melarikan diri bersama wang milik pelajar yang berurusan syarikat berkenaan.

Diperdaya lelaki mat saleh



Diperdaya lelaki mat saleh
Syamil menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas ditipu lelaki warga asing yang dikenali melalui laman sembang sosial tiga minggu lalu.
ALOR GAJAH - Perkenalan singkat seorang remaja dengan lelaki mat saleh melalui laman sosial menyebabkan dia menanggung kerugian apabila wang berjumlah RM5,040 yang disimpan sekian lama dilesapkan lelaki berkenaan.

Difahamkan, mangsa, Syamil Apendy, 23, dari Masjid Tanah mula mengenali mat saleh yang dikatakan berminat dengan keindahan alam negara ini.

Dalam perkenalan itu, mat saleh itu turut menyatakan hasrat untuk melancong ke negara ini seorang diri dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 8 pagi Ahad lalu.

Syamil berkata, sebaik tiba di terminal, lelaki itu menghubunginya dan memaklumkan dia ditahan Jabatan Kastam selain kehabisan kredit prabayar untuk menghubungi ibunya yang berada di Amerika Syarikat.

"Dia meminta saya menambah kad nilai prabayar berjumlah RM20.

Dia ditahan kerana disyaki membawa masuk wang haram berjumlah USD97,000,00.

"Bagi mengelak dirinya ditahan, dia meminta saya memasukkan sejumlah wang tunai RM29,000 sebagai bayaran untuk pelepasan pihak kastam," katanya, dekat sini.

Dakwanya, lelaki terbabit merayu supaya membantunya dan meminta wang berkenaan dimasukkan segera ke dalam akaun Maybank milik seorang wanita bernama Mazmi Mat Aji.

“Saya nyatakan kepadanya bahawa saya tiada wang sebanyak itu namun atas perasaan simpati saya masukkan RM700 dalam akaun yang diberi kira-kira 11.30 pagi hari kejadian.

"Bagaimanapun jumlah itu masih tidak mencukupi dan saya diminta memasukkan sejumlah lagi wang ke dalam akaun yang dimaksudkan dengan segera. Tanpa berfikir panjang, sejam selepas itu saya pergi ke Pekan Masjid Tanah dan memasukkan wang berjumlah RM4,340 ke dalam akaun sama,” katanya ketika ditemui, di sini.

Selepas lima hari berlalu, Syamil cuba hubungi lelaki berkenaan yang masih ditahan di lapangan terbang KLIA yang turut menyatakan akan dihubungi seorang wanita dipercayai pegawai kastam.

“Wanita berkenaan kemudian menyuruh saya balik jika enggan memasukkan wang selebihnya dan meminta saya lupakan sahaja niat membantu lelaki terbabit yang masih ditahan.

“Saya rasa seperti ada yang tak kena sebelum memaklumkan kepada keluarga mengenai kejadian,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, dia mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan segenap sudut.

“Polis percaya jenayah penipuan ini dilakukan satu sindiket yang terancang dan agak licik serta kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 402 kanun Keseksaan,” katanya di sini, semalam.

Fatimah berubah selepas berkahwin



Md Radzi dan Mariam membaca berita kematian anaknya yang disiarkan Sinar Harian.
Md Radzi dan Mariam membaca berita kematian anaknya yang disiarkan Sinar Harian.
KODIANG - Seorang isteri muda yang ditemui mati dibunuh dipercayai akibat cemburu di Kampung Alor Gelegah, Mukim Derga, kelmarin dikatakan mula menunjukkan perubahan selepas berkahwin enam bulan lalu.

Paling ketara, Nur Fatimah Anis Md Radzi, 17, jarang pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Palas, dekat sini.

Bapa mangsa, Md Radzi Dahari, 47, berkata, anaknya mengenali menantunya itu dua minggu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, selepas berkahwin, anaknya itu pulang ke rumah menyambut Aidilfitri bersama mereka dan kali terakhir anaknya pulang penghujung November lalu untuk mengambil adiknya tinggal bersama berikutan suaminya bertugas di Perak.

“Kebiasaannya, setiap sambutan ulang tahun kelahirankami, dia (Fatimah) sering membawa pulang hadiah dan kek untuk kami berdua tetapi tidak berbuat demikian selepas berkahwin.

“Cuma pada malam kejadian dia menghubungi saya bertanyakan mengenai adik-beradiknya yang lain sekiranya mereka ada membelikan hadiah untuk kami atau tidak.

“Bagaimanapun kami mendapat panggilan daripada kakak iparnya yang mengatakan dia sudah meninggal pada keesokannya,” katanya.

Ibu mangsa, Mariam Murad, 46, berkata, pada mulanya dia memang tidak percaya berita mengenai kematian anaknya.

"Mereka (kakak ipar mangsa) memberitahu anak makcik tiada, saya sangka dia melarikan diri dari rumah. Rupanya dia sudah tiada bersama kami lagi.

“Hancur luluh hati mak cik selepas mendapat tahu berita kematian Fatimah dan kami tidak menyangka dia akan pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi," katanya.

Menurutnya, anaknya itu tidak pernah menceritakan apa-apa mengenai hal rumah tangganya.

Katanya, buat masa ini dia menyerahkan segala keputusankepada pihak berkuasa dan mahkamah.

"Sekiranya benar kejadian itu dilakukan secara sengaja dan mahkamah mengesahkannya, saya tidak akan memaafkan pembunuh tersebut kerana menyebabkan kematian anak kami.

"Kami serahkan anak kami dengan cukup sempurna, tapi sekujur tubuh tidak bernyawa yang dipulangkan kepada kami. Patutkah?” katanya dengan nada yang sedih.

Wartawan diserang dipercayai anggota PPS



Kean Siang
Kean Siang yang cedera di bahagian bibir menunjukkan kameranya yang rosak dan laporan polis.
GEORGETOWN - Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina terpaksa menghadapi detik mencemaskan apabila dia dibelasah empat lelaki, dipercayai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ketika membuat liputan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak di sini, awal pagi tadi.

Ang Kean Siang, 32 dari Guan Ming Daily juga mendakwa dia diugut dan kameranya dirosakkan oleh lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati kerana mengambil gambar kejadian seorang wanita ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat 19 pangsapuri berkenaan.

Kean Siang berkata, dia bergegas ke pangsapuri berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu  kira-kira jam 1.20 pagi.

Menurutnya, ketika dia mengambil gambar mangsa di tempat kejadian, tiba-tiba datang seorang lelaki memarahinya dan mengarahkan dia beredar dari tempat kejadian.

Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Kean Siang berkata, dia meninggalkan tempat berkenaan namun seorang lagi lelaki bermotosikal meghampirinya dan menawarkan untuk membawanya keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau bersetuju dan membonceng motosikal berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan membawanya ke kawasan kontena yang dijadikan pos kawalan PPS bagi kawasan Lorong Perak dan meninggalkanya di situ.

“Selepas ditinggalkan di depan pos kawalan PPS berkenaan, datang lelaki yang memarahi saya tadi yang dikenali sebagai Ah Chai bersama tiga lagi lelaki lain. Mereka terus  memukul dan mengugut saya.

“Mereka juga merampas kamera dan menghempas ke lantai sehingga menyebabkan kamera saya rosak,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pagi tadi.

Kean Siang berkata, empat lelaki berkenaan bertindak memukulnya bertubi-tubi di bahagian muka, badan dan salah seorang daripadanya bertindak menendang kemaluanya.

Akibat kejadian itu, Kean Siang mengalami kecederaan di bahagian bibir dan badan.

Menurutnya, kejadian berkenaan adalah pengalaman pertamanya selepas hampir 10 tahun menceburi bidang kewartawanan.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya utuk terus bekerja bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Saya kesal kerana mereka (anggota PPS) sepatutnya mengawal ketenteraman dan keselamatan namun tindakan mereka terhadap saya menunjukkan mereka seolah-olah samseng.

“Saya cuma menjalankan tugas dan sekiranya mereka tidak berpuas hati, bukan dengan cara ini jalan penyelesaianya ” katanya.

Pengurus projek warga Afrika cedera disamun



JOHOR BAHRU 29 Dis. - Memori indah sepasang suami isteri dari Afrika yang baru sahaja pulang merakamkan gambar di sebuah pasar tepi laut di sini, bertukar tragedi setelah mereka disamun sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta di Jalan Stulang Laut di sini hari ini.
Lebih malang, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pengurus projek di sebuah kilang di Tanjung Langsat, Gustav Jacobus Scheppers, 54, turut cedera ringan di pipi kiri selepas dilibas senjata tajam ketika cuba mempertahankan diri.
Mangsa bersama isterinya dipercayai sedang berjalan ke kereta mereka yang diletakkan di kawasan berhampiran sebelum dihampiri sebuah kereta Proton Saga berwarna gelap yang dinaiki empat lelaki bersenjatakan parang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sebaik sahaja menghampiri mangsa dan isterinya, kumpulan penjenayah itu terus merampas dompet di dalam seluar mangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121230/je_02/Pengurus-projek-warga-Afrika-cedera-disamun#ixzz2GUnfaJjl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa banjir kilat sedih rumah rosak teruk



Lijah Othman hanya mampu termenung melihat keadaan rumahnya yang rosak akibat banjir kilat di Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 27 Dis. - Kejadian banjir kilat yang berlaku di daerah ini Isnin lalu meninggalkan kesan buruk kepada mangsa terutama di Kampung Sungai Galing di sini, berikutan kediaman mereka terjejas teruk.
Mereka kembali ke kediaman masing-masing semalam selepas banjir surut di kampung tersebut dan mendapati keadaan rumah masing-masing dalam keadaan menyedihkan.
Seorang mangsa, Lijah Othman, 58, berkata, dia terkejut dan tergamam sebaik sampai di rumahnya yang diselaputi lumpur selain semua barangan dan perabot rosak.
"Saya sedih melihat keadaan rumah kerana tidak pernah terfikir perkara itu terjadi sejak tinggal di sini 41 tahun lalu.
"Rumah ini walaupun nampak buruk tetapi masih menjadi tempat berteduh bagi saya dan dua anak serta empat cucu. Banjir Isnin lalu memberi impak besar terhadap ketahanan rumah ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk kampung itu, Gayah Isa, 59, berkata, dia sedih kerana persiapan persekolahan anak lelakinya yang berusia 16 tahun musnah sama sekali.
"Buku teks anak saya hanyut dibawa arus deras dan menjejaskan sesi persekolahan yang akan bermula awal tahun depan.
"Selain itu, baju sekolah yang baru dibeli juga bertukar kekuningan akibat banjir tersebut dan kini saya perlu mencari wang untuk membeli baju baharu," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Suffian Awang berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan jenis bantuan kepada mangsa banjir terutama kepada mereka yang hilang tempat tinggal.
"Bantuan itu akan disediakan mengikut tahap kemusnahan dialami mangsa banjir melalui peruntukan khas yang disediakan kerajaan negeri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121228/wp_03/Mangsa-banjir-kilat-sedih-rumah-rosak-teruk#ixzz2GUnMW3hC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Feri langgar boya, 27 penumpang cedera




HONG KONG 30 Dis. - Sekurang-kurangnya 27 penumpang sebuah feri cedera apabila pengangkutan air tersebut melanggar beberapa boya yang dipasang di kawasan perairan Macau, semalam.

Menurut Pentadbiran Maritim Macau, feri yang membawa 175 penumpang dan lapan anak kapal itu melanggar boya-boya tersebut di Perlabuhan Outer, 10 minit selepas meninggalkan jeti pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan.

Kesemua penumpang yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian dilaporkan berpunca akibat had penglihatan yang rendah. - AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121230/lu_05/Feri-langgar-boya-27-penumpang-cedera#ixzz2GUl2gKjZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mangsa rogol beramai-ramai meninggal



Foto
Mayat mangsa yang ditutup dengan kain putih dimasukkan ke dalam sebuah van sebelum diterbangkan ke New Delhi, semalam. - Foto AFP

Foto
TCA Raghavan bercakap kepada wartawan mengenai kematian mangsa rogol beramai-ramai di Hospital Mount Elizabeth Singapura, semalam. - Foto AP

Mayat diterbangkan ke New Delhi hari ini

Singapura: Mangsa rogol beramai-ramai dari India yang menerima rawatan intensif di Singapura meninggal dunia akibat kecederaan dan kegagalan fungsi organ, di sebuah hospital di republik ini awal pagi semalam.
“Kami dengan rasa amat dukacita mengumumkan bahawa pesakit meninggal dunia dengan tenang kira-kira jam 4.45 pagi waktu tempatan pada 29 Disember. Keluarga dan pihak berkuasa dari Pesuruhjaya Tinggi India berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth Kelvin Loh, dalam satu kenyataan.

Dapat liputan penuh

Kes berkenaan mendapat liputan penuh stesen televisyen India. Wanita itu tidak didedahkan identitinya namun beberapa saluran media India menggelarnya sebagai ‘Amana’, perkataan Urdu bermaksud ‘abadi.’

“Kami amat sedih selepas mendapat tahu mangsa tidak dapat diselamatkan akibat kecederaannya dan mengucapkan takziah kepada keluarganya ketika keadaan dukacita ini,” kata Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan.

Hospital berkenaan sebelum ini melaporkan bahawa keadaan wanita itu semakin tenat manakala keluarganya sudah dimaklumkan dan sentiasa berada di sisinya.
Pesuruhjaya Tinggi India Singapura, TCA Raghavan, berkata selepas kematian anak mereka, keluarga itu melahirkan hasrat supaya mayatnya diterbangkan semula ke India.

Tidak lama kemudian mayat wanita pelajar berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa pergi.

Meredakan kecaman

Bercakap kepada media sebelum itu, Raghavan enggan mengulas laporan di India yang menuduh kerajaan menghantar mangsa ke Singapura untuk meredakan kecaman jika mangsa meninggal dunia.

Kebanyakan kes rogol dan jenayah seks lain di India tidak dilaporkan dan pesalah jarang dihukum, kata aktivis hak asasi wanita. Namun kekejaman serangan 16 Disember lalu mencetuskan kemarahan awam dan gesaan hukuman lebih keras ke atas perogol.

Sebilangan pakar perubatan India pula mempersoalkan keputusan memindahkan mangsa ke Singapura dan menyifatkannya sebagai tindakan berisiko berikutan keadaannya yang kritikal. Mereka berkata mangsa sudah menerima penjagaan terbaik di India. - REUTERS

4 maut kemalangan pesawat penumpang Russia



MOSCOW: Empat terbunuh apabila pesawat penumpang Russia milik penerbangan Red Wings meluru keluar daripada landasan di lapangan ketiga paling sibuk di Russia dan sebahagiannya memasuki lebuh raya ketika melakukan pendaratan, lewat malam tadi.

Pegawai kecemasan negara itu berkata, pesawat Tu-204 yang tidak membawa penumpang ketika kejadian tetapi bersama lapan krew termasuk juruterbang patah beberapa bahagian selepas melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Pardubice, Republik Czech ke pangkalannya di Lapangan Terbang Vnukovo, Russia.
"Pesawat tanpa penumpang itu hanya membawa lapan individu di dalamnya selepas pulang daripada Republik Czech ke Lapangan Terbang Vnukovo. Susulan kejadian itu, empat terbunuh manakala empat yang lain cedera parah apabila pesawat terbabit tergelincir daripada landasan sebelum memasuki padang yang diliputi salji dan sebahagiannya memasuki lebuh raya.

"Tiada pelanggaran dengan kenderaan lain yang sedang menggunakan lebuh raya utama Russia dalam kejadian yang mengakibatkan pesawat Tu-204 itu patah kepada beberapa bahagian," katanya di sini, semalam. - Reuters

Suami maut, isteri cedera diragut





KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang bersama isteri terbabas selepas menjadi mangsa ragut dua lelaki bermotosikal di Jalan Butterworth-Kepala Batas dekat Permatang Manggis di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, A. Josop (gambar), 65, yang merupakan pesara Majlis Perbandaran Seberang Perai mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala A. Alaies, 52, cedera di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasangan itu menaiki motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari rumah mereka di Bagan Ajam, Butterworth untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di sini.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mereka terbabas selepas dihimpit kenderaan suspek sebelum seorang daripada lelaki itu merentap rantai leher yang dipakai Alaies.
“Josop yang cedera teruk di kepala mati di tempat kejadian manakala isterinya yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas oleh orang ramai,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2GTxFGljp 
Hakcipta terpelihara 

Suami mangsa bunuh direman



SUSPEK yang merupakan suami mangsa dibawa keluar dari Mahkamah Alor Setar semalam selepas dikenakan perintah tahanan reman bersama dua lagi lelaki berhubung kes bunuh isterinya.


ALOR SETAR - Polis semalam menahan reman tiga lelaki termasuk suami kepada pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, yang maut dipercayai akibat dipukul dengan dua batang buluh dalam satu pertengkaran di Kampung Alor Gelegah di sini awal pagi kelmarin.
Suami mangsa berusia 26 tahun dan dua lagi suspek yang berusia 23 dan 26 tahun direman sehingga 4 Januari depan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Superintendan V. Saravanan berkata, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai mekanik direman selama seminggu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
Katanya, siasatan awal mendapati pertengkaran yang berlaku di antara pasangan suami isteri itu berpunca daripada perasaan cemburu.
"Hasil semakan kita juga mendapati suami mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi motosikal," ujarnya di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2GTx10v00 
Hakcipta terpelihara