29 Disember 2012
PELABUHAN KLANG - Seramai 33 pekerja warga India, Pakistan dan Bangladesh mendakwa ditipu majikan menyebabkan mereka bekerja secara tidak sah di negara ini selama dua tahun tanpa mendapat permit kerja.
Seorang daripada pekerja berkenaan, Pardeep Singh, 26, berkata, dia dan rakan sekerjanya sudah membayar levi antara RM4,200 hingga RM6,500 kepada majikan iaitu sebuah syarikat logistik di sini melalui potongan gaji selama dua tahun bagi tujuan mendapatkan permit kerja sah.
"Malangnya, sehingga ke hari ini, kami tidak mendapat permit kerja dan apabila ditanya, majikan hanya mengatakan permohonan masih dalam proses.
"Majikan berjanji memulangkan balik bayaran levi yang telah dibayar pada 15 Oktober lepas, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada majikan.
"Apa yang diberi oleh majikan sepanjang bekerja di sini hanyalah pas akses bagi membolehkan kami keluar masuk di tempat kerja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi berhubung isu tersebut di hadapan Pejabat Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.
Pardeep yang berasal dari Punjab, India, berkata, pihaknya meminta majikan memulangkan balik bayaran levi itu berserta tunggakan gaji dua bulan yang tidak dibayar kepada mereka, keseluruhannya berjumlah RM313,500.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan pekerja menghadapi kesukaran pulang ke kampung halaman masing-masing kerana majikan menipu dengan mengatakan pasport mereka berada di pejabat imigresen sedangkan semuanya berada dalam simpanan mereka.
"Majikan tidak menyediakan tempat tinggal khusus untuk kami di sini dan sebilangan kami terpaksa menumpang di kuil gurdwara," katanya.
Pardeep berkata satu laporan polis dibuat 24 Disember lepas berhubung isu itu dan pihaknya meminta Jabatan Tenaga Kerja membantu menyelesaikan masalah mereka. - Bernama