Search This Blog

Sunday, December 23, 2012

Tiga maut, dua parah kereta rempuh lori di Perak

IPOH: Tiga maut manakala dua parah selepas kereta dinaiki terbabas selepas tayar pancit dan merempuh belakang lori yang meletakkan kenderaan di tepi jalan petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang di Changkat Cermin di Jalan Ipoh-Lumut itu, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
iMangsa adalah pemandu kereta dan dua penumpang manakala dua lagi penumpang parah.


Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa, berkata semua mayat dan mangsa parah dibawa ke Hospital Seri Manjung.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat

23/12/2012 7:22pm

DUNGUN — Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah ini meningkat kepada 144 orang setakat pukul 6 petang tadi selepas dua lagi kampung dilanda bencana itu hari ini.
Jurucakap bilik gerakan banjir daerah berkata, dua kampung terbabit ialah Kampung Batu Riong dengan 20 mangsa daripada tujuh keluarga dan Kampung Tok Kah membabitkan 29 orang daripada empat keluarga.
Mereka dipindahkan pukul 12 tengah hari tadi, katanya.
Malam semalam, sebanyak 95 mangsa membabitkan 17 keluarga dari tiga buah kampung dipindahkan selepas kawasan rumah masing-masing mula dinaiki air sejak 9 malam.
Mereka membabitkan masing-masing tujuh keluarga dari Kampung Tanjung Pagar dan Kampung Pulau Serai serta tiga keluarga dari Kampung Seberang Pintasan.
Menurut jurucakap itu, hujan lebat yang turun di daerah Dungun sejak petang semalam menyebabkan kawasan-kawasan rendah mula ditenggelami air.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu masih pada paras normal, kecuali sungai Nerus, Setiu berada pada tahap amaran.
Jurucakapnya berkata, bacaan pada pukul 3 petang tadi menunjukkan aras air sungai itu kini meningkat kepada 21.1 meter berbanding paras normal 17 meter. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2FsloMsoc 
Hakcipta terpelihara 

Mekanik mati ditikam sekumpulan lelaki

GOMBAK 23 Dis. - Seorang mekanik menemui ajal selepas ditikam bertubi-tubi sekumpulan lelaki dipercayai akibat berlaku salah faham di hadapan rumah kedai Jalan 43 Selayang Baru awal pagi ini.
Mangsa, R. Kumaran dipercayai ditikam pada rusuk kiri lalu mengenai jantungnya dalam kejadian kira kira pukul 3 pagi.
Dua daripada empat saspek dipercayai menggunakan senjata pisau dan kayu dalam kejadian itu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121223/je_06/Mekanik-mati-ditikam-sekumpulan-lelaki#ixzz2FrlCuPLF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman



4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman
Empat sekeluarga (dari kiri) Sabirin Sulaiman, 50, Halina Saif @ Saib, 40, Siti Aisyah Sabirin, 14, dan Siti Khadijah Sabirin, 12, maut dalam kemalangan jalan raya.
4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman
Pihak polis menjalankan pemeriksa di kawasan kemalangan membabitkan bas dan kereta di Kemasik.
Keadaan bas ekspres yang hangus terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta. - Foto Bernama
Keadaan bas ekspres yang hangus terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta. - Foto Bernama
 KEMAMAN - Empat mangsa dari satu keluarga rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di depan IKBN Kemasik di sini kira-kira jam 1 pagi tadi.
Kesemua empat mangsa yang rentung merupakan pemandu kereta dan tiga penumpangnya.
Pemandu yang terbunuh dikenali sebagai Sabiren Sulaiman, 45; dari Batu Pahat, Johor; isterinya, Halina Said, 40; dan dua anak mereka Siti Khalijah, 12 dan Siti Aishah.
Mohd Sabiren merupakan seorang guru.
Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa dipetikBernama berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang mereka naiki, mengakibatkan kereta itu terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang.
Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga terbabit dari arah Kuantan menghala ke Dungun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas berkenaan.
Beliau berkata, kereta itu bertembung dengan bas ekspres dari Kota Baharu, Kelantan menuju ke Melaka sebelum kereta itu diseret
bas ekspres kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.
"Pertembungan itu mengakibatkan kereta yang dinaiki keluarga malang itu terbakar sebelum api menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Empat beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Dungun selepas menghantar anaknya menyertai pertandingan catur.
Beliau berkata Mohd Sabirin merupakan seorang guru bahasa Jepun dan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun dan keluarga itu tinggal di Jalan Tok Mudim, Batu 5 Dungun.
"Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan mungkin jalan licin menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan. Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
"Saya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu di musim hujan ini berikutan jalan licin dan jalan berlopak. Ini kerana dalam tempoh dua minggu ini, dua hingga tiga kes maut dicatatkan disebabkan faktor itu," katanya.
Mayat Mohd Sabiren yang pertama dibawa keluar disusuli Siti Aisyah yang rentung keseluruhan badan, diikuti Halina yang rentung sehingga ke paras pinggang dan yang terakhir Siti Khatijah yang rentung keseluruhan badannya.
Sementara itu, pemandu serta lapan penumpang bas ekspres itu mengalami cedera ringan termasuk seorang yang patah kaki ketika cuba menyelamatkan diri sebelum bas tersebut terbakar.
Seorang penumpang Wan Mohd Al-hakim Wan Yusoff, 27, berkata semasa kejadian dia baru sahaja hendak tidur selepas berbalas khidmat pesanan ringkas bersama rakannya.
Namun tiba-tiba dia terasa bas terbabas ke kiri jalan dan terdengar dentuman kuat serta jeritan meminta tolong dari luar bas.
"Saya terjaga dan nampak kereta telah melanggar bas yang saya naiki selain itu saya turut mendengar jeritan dari luar bas namun saya tidak berani nak tengok dan lihat api dari depan bas.
"Masa itu hanya fikir nak selamatkan anak saya Wan Mohd Adam Al-Haqq dan saya mencari anak yang jatuh dari tempat duduk dan terlihat kepulan asap di dalam bas," katanya.
Wan Mohd Al-hakim berkata kesemua penumpang cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana pintu berkunci sebelum seorang daripada penumpang memecahkan pintu utama untuk membolehkan mereka keluar.
Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan punggung manakala seorang lagi penumpang Mohd Faiz Sulihan, 23, patah kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Daging mangsa bertaburan

PUNGUT... keadaan motor mangsa (gambar kecil) selepas terbabit dalam kemalangan.
PUNGUT... keadaan motor mangsa (gambar kecil) selepas terbabit dalam kemalangan.
ALOR GAJAH: “Dia (arwah) menyatakan hasrat mengubah suai rumah ibu bapanya menggunakan duit bonus, namun tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan.”
Begitu kata Mohd Fadli Shafie, 22, rakan kepada seorang anggota tentera, Saiful Ramli, 22, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 203.8 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, tengah malam kelmarin.
Menurut Mohd Fadli, dia menyedari perubahan sikap rakan baiknya yang menjadi pendiam beberapa jam sebelum kemalangan itu.

“Saya perasan Saiful berubah menjadi pendiam tidak seperti sebelum ini, namun tidak menegurnya.


“Ketika menghantarnya pulang semalam (kelmarin), dia tidak seperti kebiasaan yang gemar berlawak dengan rakan tetapi lebih banyak berdiam diri dan hanya bersuara sepatah dua apabila ditanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Wanita maut dalam kemalangan di Port Dickson

PORT DICKSON: Seorang wanita terbunuh manakala dua anak perempuannya patah kaki apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 9.5 Jalan Pantai, dekat sini, kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Ketika kejadian, mangsa, D Indrani, 47, bersama dua anaknya dalam perjalanan balik selepas menghadiri satu majlis di Avillion Cove, di sini.
Mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Port Dickson manakala dua anaknya masih dirawat.

Empat beranak rentung dalam kemalangan ngeri di Kemaman

KEMAMAN: Empat beranak rentung setelah kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres lalu terbakar dalam kemalangan di Kilometer 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik di sini, awal hari ini.

Kemalangan ngeri itu meragut nyawa seorang guru, Mohd Sabirin Sulaiman, 45, dan isterinya Halina Saif@Saib, 40, serta dua anak perempuan mereka Siti Aisyah, 14, dan Siti Khatijah, 12.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang mereka naiki, mengakibatkan kereta itu terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang. - Bernama

Kereta rentung langgar bas ekspres

pix_middleCHUKAI: Sungguh memilukan apabila empat beranak rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 126.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik, dekat sini, awal pagi tadi.
Kemalangan menyayat hati itu itu meragut nyawa seorang guru, Sabirin Sulaiman, 45, dan isterinya, Halina Saif @ Saib, 40, serta dua anak mereka, Siti Aisyah, 14, dan Siti Khatijah, 12.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, empat beranak itu terperangkap di dalam kenderaan selepas kereta Kia Sephia yang mereka naiki bertembung dengan bas Ekspres Budaya, kira-kira jam 1.30 pagi sebelum kenderaan mereka terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki keluarga terbabit dari arah Kemaman ke Dungun dikatakan gagal dikawal sebelum memasuki laluan kanan jalan.


Berikutan itu katanya, kereta terbabit dikatakan bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan sebelum kereta itu diseret bas terbabit kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.

Katanya, pertembungan itu menyebabkan kereta dinaiki keluarga malang terbabit terbakar sebelum api itu menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres terbabit yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Melaka.

Menurutnya, jalan di lokasi kemalangan bukanlah disenaraikan sebagai laluan berbahaya dan kereta terbabit dipercayai memasuki laluan bertentangan berikutan cuaca ketika itu hujan renyai.

"Saya menasihati kepada semua pemandu supaya lebih berhati-hati terutamanya dalam keadaan cuaca yang sering hujan lebat menyebabkan air bertakung di atas jalan," katanya sambil memberitahu kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rozlan Seman berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh serta Kemaman bersama tiga jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai sebelum melancarkan operasi memadam kebakaran kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, bomba terpaksa memadam keseluruhan kedua-dua kenderaan terbabit sebelum melancarkan kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit.

Panik lihat api marak

Panik lihat api marakApi yang marak terus membakar kedai makan milik Sadikin yang dikatakan berpunca dari bahagian dapurnya.
BATU PAHAT - Sebuah kedai makan dan minuman yang popular dengan hidangan nasi goreng kampung di Jalan Tongkang Pechah, di sini, hampir 80 peratus dijilat api dalam satu  kejadian kebakaran, malam kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 10.50  malam itu, pemiliknya, Sadikin Yahaya, 70, bersama lima pekerjanya dan pelanggan yang  sedang menikmati hidangan yang disajikan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat  menyelamatkan diri.

Sadikin berkata, ketika kejadian, dia bersama pekerjanya sedang berada di dapur untuk menyiapkan makanan yang ditempah pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, secara tiba-tiba  salah satu salur hos gas daripada tujuh dapur di premis perniagaan itu tercabut seterusnya api dapur terus menyambar dan marak membakar bangunan yang diperbuat daripada papan itu.
“Masa api mula merebak, saya panik. Ketika itu saya tidak fikir yang lain dah, apa yang saya fikir ialah keselamatan diri, mereka yang bekerja di kedai ini dan pelanggan saya.
“Api terus marak dan ketika itu apa yang saya bimbangkan ialah beberapa tong gas yang berada di bahagian dapur kedai akan meletup, selain kedai saya berhampiran dengan salah  sebuah rumah jiran.

“Semua yang ada ketika itu lari bertempiaran  dan dalam keadaan panik, saya tidak mampu berbuat apa-apa selain menghubungi pasukan bomba untuk memadam kebakaran itu,” katanya kepada Sinar Harian selepas kejadian, kelmarin.

Sadikin berkata, dia bersyukur kerana semua pekerjanya dan pelanggan selamat dalam kebakaran itu malah mengakui ia adalah kejadian kali pertama sepanjang berniaga di lokasi berkenaan sejak 17 tahun lalu.

“Akibat kejadian ini, saya kerugian kira-kira RM80,000 termasuk masuk wang tunai RM7,000 hasil jualan minggu ini.

“Turut terbakar adalah beberapa dokumen penting seperti geran kenderaan yang berada di bilik rehat di belakang bahagian dapur kedai makan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Batu Pahat, Jalan Timah Sari, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 11.07 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira  10 minit kemudian.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke rumah berhampiran pada jam 11.28 malam dan operasi tamat sekitar jam 12.08 tengah malam, melibatkan dua jentera dengan 11 anggota.
“Mengikut siasatan awal, kebakaran berkenaan berpunca dari bahagian dapur dan terus merebak ke seluruh kawasan kedai, mengakibatkan hampir 80 peratus premis itu musnah.

“Di sini, saya menasihatkan kepada semua pemilik premis perniagaan agar lebih peka berhubung soal keselamatan termasuklah mencegah kebakaran dengan menyediakan alat pemadam api supaya tindakan awal dapat dilakukan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Letupan kecil di luar rumah

Letupan kecil di luar rumahJusoh alami kerugian sekitar RM40,000 apabila rumah sewanya musnah dalam kebakaran, pagi semalam.
MARANG – Pemilik rumah rugi hampir RM40,000, sementara penyewanya pula terpaksa berputih mata selepas semua barangan dalam sebuah rumah kayu di Lubuk Perah, Wakaf Tapai, musnah dalam kebakaran, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana keluarga Ghazali Ismail, 39, dan isterinya, Suriati Mat Ali, 33, serta lima anak mereka yang menyewa rumah milik Jusoh Mamat, 62, tiada di rumah.

Jusoh berkata, kebakaran berlaku ketika keluarga terbabit berada di Machang, Kelantan, yang pulang melawat ibu sakit dan mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan pagi semalam.

“Saya pula tahu mengenai kejadian ini apabila mendengar bunyi letupan kecil dari arah luar rumah, sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati rumah berkenaan terbakar,” katanya yang tinggal berdekatan rumah terbabit.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut dia segera meminta pertolongan penduduk berhampiran untuk memadam kebakaran dan mengeluarkan barangan seperti peti sejuk, mesin basuh serta beberapa peralatan lain ke tempat selamat.

Namun katanya, disebabkan api marak, ia sukar dipadamkan menyebabkan rumah kayu setingkat itu musnah sama sekali.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada sesiapa di rumah pusaka arwah bapanya itu ketika kejadian berlaku," katanya.

Sementara itu, anggota penyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Jaafar Osman dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai berjaya mengawal kebakaran daripada merebak.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wakaf Tapai, Sulong Ismail, 68, yang turut berada di lokasi kejadian berjanji akan membantu mendapatkan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa.

Maut langgar tembok konkrit

Maut langgar tembok konkritMangsa disahkan maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar konkrit bahu jalan.
PUCHONG – Seorang buruh binaan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dipercayai gagal dikawal sebelum terlanggar tembok konkrit di Lebuhraya Damasansara Puchong (LDP), di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari tempat kerjanya di sebuah tapak binaan stesen aliran ringan (LRT) ke rumahnya di Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang sendirian dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditungganginya.

Menurutnya, motosikal mangsa kemudian dipercayai terlanggar konkrit bahu jalan di kilometer 241 Lebuhraya LDP menyebabkannya tercampak ke tengah laluan lebuh raya.

“Mangsa, Dharamjeet Singh Balwant Singh, 28, maut serta-merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Abd Razak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati lebuh raya sesak sepanjang lebih dua kilometer apabila dua laluan terpaksa ditutup sementara sebelum mayat mangsa dialihkan.

Sikap orang ramai yang memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian menyebabkan keadaan menjadi lebih sesak di laluan menuju ke Putrajaya itu pagi semalam.

Lelaki bujang mati jatuh tingkat 13 pangsapuri

GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui maut di kawasan pekarangan Pangsapuri Pelangi Macallum, di sini, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 13, bangunan itu, tengah hari, semalam.
Dalam kejadian, kira-kira jam 12.45 tengah hari, penghuni menemui lelaki itu yang berlumuran darah di kawasan bawah flat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata mangsa yang masih bujang dan dikenali sebagai Fong Tean Seong, 50, tinggal bersama ibunya.

“Siasatan awal, mendapati lelaki yang bekerja sebagai jurujual pakaian menghadapi tekanan selepas terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.
“Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Lelaki miliki dadah dicekup polis

RAUB - Polis Raub menahan dua lelaki berusia 30-an dan 40-an dalam serbuan yang dijalankan jam 3.50 petang, Rabu lalu kerana memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, berdasarkan maklumat awam, dua lelaki itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Dong.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan dan mengaku barang kes yang dirampas adalah kepunyaan mereka.

“Mereka mendakwa berkongsi wang untuk membeli dadah tersebut dan ia adalah untuk kegunaan sendiri.

“Mereka juga mempunyai rekod lampau bagi kesalahan dadah dan pernah beberapa kali ditangkap atas kesalahan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Wan Mohd Samsudin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara dan sebatan.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta yang sama, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara dan denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

“Kita harap orang ramai dapat beri kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang perlakuan jenayah supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

24 GRO warga asing ditahan penguatkuasa Imigresen

24 GRO warga asing ditahan penguatkuasa ImigresenAntara GRO yang ditahan.
JOHOR BAHRU - Seramai 24 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan, di sini, malam kelmarin.

Serbuan jam 10.30 malam itu menyaksikan 20 wanita warga China dan empat rakyat Vietnam berusia 20 hingga 43 tahun, ditahan dalam Ops Sayang kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen II Johor, Mohd Zariman Mohamed berkata, serbuan dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) itu disertai 14 anggota dan pegawai imigresen.

Beliau berkata, bertindak atas aduan awam, beberapa anggota dan pegawai juga telah pergi ke lokasi aduan terlebih dahulu dan menyamar sebagai pelanggan untuk memantau pergerakan warga asing ini.

“Selepas mendapat maklumat daripada anggota operasi, kami menyerbu premis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen kepada orang wanita di kaunter.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, berlaku sedikit kekecohan di mana beberapa wanita warga asing cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, hasil daripada tindakan mengepung dan pemeriksaan dijalankan di setiap bilik kecil di premis ini, kami berjaya menahan 24 GRO rakyat Cina dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Zariman yang merupakan ketua operasi berkata, semua wanita terbabit didapati datang ke lokasi sekitar jam 5 petang dengan berpakaian seksi, menanti kehadiran pelanggan untuk dibawa ke pusat hiburan terbabit.

“Ketika di pusat hiburan ini, mereka akan masuk ke bilik-bilik untuk menawarkan diri sebagai teman berhibur dengan mengenakan sedikit bayaran kepada pelanggan lelaki.

“Mereka akan berpindah masuk ke bilik-bilik lain bagi tujuan sama,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada 24 GRO warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah.

Maut rempuh tiang lampu

Maut rempuh tiang lampuKeadaan kereta yang terbabas sebelum melanggar tiang lampu.
GEORGETOWN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke bahu jalan dan melanggar tiang lampu di dekat Jalan Lembah Permai 3, Tanjung Bungah, di sini, kira-kira jam 3.38 petang semalam.

Mangsa yang berusia 48 tahun mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dada.

Menurut sumber polis, sebelum kejadian mangsa yang memandu dari kawasan Lembah Permai menuju Tanjung Bungah didapati gagal mengawal keretanya sebelum ia terbabas ke tepi jalan lalu merempuh tiang elektrik.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa terlibat dalam satu lagi kemalangan jalan raya. Dia dikatakan melanggar sebuah kereta, lalu cuba melarikan diri dengan memecut kereta yang dinaikinya.

Pemilik kenderaan dilanggar difahamkan membuat laporan polis, petang semalam, berdasarkan nombor plat kereta yang dipandu mangsa.

Tragedi empat sahabat

Tragedi empat sahabatMuhammad Jusoh cedera di muka dan kaki.
DUNGUN - Kegembiraan empat sahabat yang baru pulang dari pusat beli-belah bertukar tragedi apabila dua daripadanya menemui ajal selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di selekoh maut, di sini, malam kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja dipandu Mohd Nazli Muhammad, 30, dari arah Kuantan, hilang kawalan di selekoh tajam Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Wira dari arah Kuala Terengganu.

Mohd Nazli dari Kuala Lumpur bagaimanapun dilaporkan hanya cedera ringan dalam kemalangan berkenaan.

Penumpang hadapan, Nurul Syazwani Roslan, 20, yang cedera parah, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.

Jenazah anak keempat daripada lima beradik itu dituntut ibunya, Faridah Khamis sebelum dibawa pulang ke Kampung Nibong, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu untuk dikebumikan.

Azab tersepit satu jam

Seorang lagi rakannya, Ummi Fatihah Halim Sukri, 17, yang duduk di tempat duduk penumpang sebelah kiri turut cedera parah terpaksa menanggung azab selepas hampir satu jam tersepit dalam kenderaan yang remuk.

Bagaimanapun, Ummi Fatihah Ummi meninggal dunia jam 11.20 pagi semalam, di Hospital Dungun akibat kecederaan dalaman. Jenazah dibawa pulang ke Alor Lintang, Besut, untuk dikebumikan.

Seorang lagi rakan mereka, Hasrol Arif Jamal Nasir, 22, yang duduk di tempat duduk belakang dari Ajil, Hulu Terengganu, juga cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu Proton Wira, Muhammad Jusoh Dollah, 40, yang cedera juga dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
Jalan licin akibat hujan

Menceritakan detik sebelum tragedi, rakan mangsa, Amirul Hazriq Marzelan, 23, berkata, sebelum kejadian, empat mangsa yang menaiki Proton Waja, bersama dua lagi sahabat lain menaiki Proton Satria dari Kuala Terengganu berkonvoi ke pusat beli-belah Mesra Mall, Kerteh, untuk menonton wayang.
Menurutnya, dia yang memandu bersama seorang rakan, Mohd Hishamuddin Zain Asmadi, 17, keluar dari pusat beli belah itu bersama semua mangsa, kira-kira jam 10.30 malam.

"Saya berhenti di stesen minyak di Kerteh untuk mengisi minyak kereta terlebih dahulu tetapi Mohd Nazli dan rakan yang lain meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.

"Ketika itu, keadaan jalan agak licin akibat hujan renyai-renyai," katanya.

Amirul Hazriq berkata, dia terkejut sebaik tiba di selekoh tajam dekat Bukit Bauk, dia melihat kereta dinaiki rakannya itu terbabit dalam kemalangan.

"Saya segera memberhentikan kenderaan. Saya lihat pemandu tiada tetapi tiga rakan yang lain masih tersepit dalam kenderaan yang remuk.
"Saya sama sekali tidak menyangka rakan akan menemui ajal dalam tragedi ini kerana mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika di pusat beli-belah sebelum ini," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian berkenaan.

Kubang Panjang dilanda banjir



Kubang Panjang dilanda banjir
Ramai yang mengalami kerugian selepas air memenuhi ruang rumah mereka.
Kubang Panjang dilanda banjir
Penduduk percaya, air akan naik sehingga ke paras bumbung sekiranya saliran tidak dibina dengan segera.
KUBANG PANJANG – Penduduk di Kubang Panjang mengalami kerugian ribuan ringgit, apabila tidak sempat menyelamatkan harta benda setelah rumah mereka dinaiki air, semalam.

Hujan sejak minggu lalu mengakibatkan kenaikan paras air di kawasan berkenaan dan melimpah masuk ke dalam rumah sehingga ke paras betis.

Kampung ini mencipta sejarah apabila menjadi mangsa banjir pertama, mendahului Gua Musang, Jeli dan Rantau Panjang.

Sejarah banjir

Penduduk, Ab Rahman Daub, 71, berkata, sejak tinggal di kampung ini, dia tidak pernah berdepan dengan banjir.

“Meskipun ketika banjir besar lima tahun lalu, penduduk kampung ini tidak pernah mengalami masalah banjir.

“Ini merupakan sejarah dan kejadian pertama kampung dinaiki air sehingga ke paras betis,” katanya.

Pembinaan jalan baru

Menurutnya, pembinaan jalan baru dekat sini dikatakan punca kepada berlakunya masalah banjir di sini.

Katanya, air hujan terperangkap dan tidak dapat mengalir keluar dari kawasan bendang kerana ditutup oleh pembinaan jalan baru.

“Sepatutnya pihak berkenaan membina saliran dan longkang untuk memudahkan aliran air ke kawasan rendah.

“Kesan daripada kejadian ini, ia menyebabkan penduduk kampung terpaksa hidup dalam rumah yang dipenuhi air,” katanya.

Tidak sempat angkat barang

Penduduk, Suhaimi Che Mood, 45, berkata, dia terkejut apabila mendapati air naik mendadak sehingga memenuhi ruang tamu rumahnya.
“Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barang tetapi barangan elektrik lain rosak teruk akibat ditenggelami air.
“Sebelum ini, kampung ini tidak pernah mengalami masalah banjir, sebab itu kami tidak angkat barang ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.

Barang sekolah anak rosak

Sementara itu, penduduk, Roslina Idris, 31, berkata, kesemua buku, seragam sekolah, kasut dan alat tulis anak-anak yang baru sahaja dibeli rosak akibat ditenggelami air.
Menurutnya, bagi penduduk yang mempunyai rumah dua tingkat, mereka masih boleh menyelamatkan barang lain.

“Ini baru banjir kilat. Jika banjir besar berlaku saya yakin rumah ini akan ditenggelami sehingga ke paras bumbung.

“Saya sedih kerana tidak sempat menyelamatkan kesemua barangan rumah, malah terpaksa menumpang di rumah saudara sementara banjir kilat reda,” katanya.

Tindakan segera

Sementara itu, Penyelaras Dun Pengkalan Pasir, Abd Aziz Mohammad menggesa pihak berkenaan menangani masalah ini dengan segera.

Menurutnya, pembinaan jalan perlu menepati piawaian agar tidak membebankan penduduk sehingga mengakibatkan banjir kilat.

“Saya yakin sekiranya masalah ini tidak diatasi, penduduk akan mengalami kerugian sehingga RM10,000 malah ia mungkin berulangan sehingga banjir gelombang ke tiga,” katanya, semalam.

Kabel tersangkut lori

Kabel tersangkut loriKeadaan kereta Proton Iswara yang rosak teruk akibat dihempap salah satu tiang elektrik yang tumbang.
KUANTAN - Tiga kereta milik penduduk rosak dengan satu daripadanya dihempap tiang elektrik yang tumbang akibat kabel utamanya diheret sebuah kenderaan berat dipercayai lori dalam kejadian di Lorong Galing 36, Taman Penisular, Jalan Haji Ahmad, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, bekalan elektrik turut terputus menyebabkan kira-kira 100 rumah di perumahan terbabit terpaksa bergelap.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat lori ‘tipper’ yang lalu di kawasan itu dengan bahagian muatan belakangnya terangkat sebelum tersangkut pada kabel.

Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit mungkin tidak menyedari bahagian belakang yang  terangkat itu tersangkut pada kabel lalu mengheretnya sehingga menyebabkan lima tiang elektrik tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Proton Iswara milik penduduk yang diletakkan di tepi jalan.

“Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Produa Myvi terseret beberapa meter setelah bahagian bawahnya tersangkut pada kabel yang terjatuh ke tanah sebelum melanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada di hadapan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Chon Siang berkata, penduduk menyedari kejadian itu selepas bekalan elektrik terputus dan mendengar bunyi dentuman agak kuat.

“Beberapa penduduk termasuk pemilik kereta keluar untuk meninjau sebelum ternampak lima tiang elektrik tumbang dan salah satunya menghempap sebuah kereta.

“Ketika itu lori yang dipercayai mengheret kabel tersebut sudah beredar melarikan diri,” katanya.

Beliau yang dihubungi penduduk segera ke lokasi kejadian dan mendapati tiga kereta yang terlibat masih belum dialihkan, manakala bekalan elektrik terputus.

“Saya menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melakukan kerja-kerja membaiki kabel supaya bekalan elektrik dapat disambung segera," katanya.

Sementara itu, pemilik Proton Iswara, The Siew Har, 54, berkata, dia terjaga selepas menyedari bekalan elektrik terputus sebelum didatangi jiran memaklumkan keretanya dihempap tiang elektrik.

“Saya beritahu suami tentang kejadian, sebelum keluar melihat kereta yang remuk bahagian cermin depan akibat dihempap salah satu tiang yang tumbang,” katanya.

Pemilik Toyota Vios yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 48, berkata, dia datang dari Melaka dan bermalam di salah sebuah rumah di taman tersebut.
“Saya hanya menyedari kejadian kira-kira jam 7 pagi bagaimanapun agak bernasib baik kerana kereta hanya rosak kecil," katanya.

Ahli perniagaan maut ditembak

Ahli perniagaan maut ditembakAnggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
KLANG - Seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun maut, dipercayai ditembak penjenayah dari jarak dekat di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Desawan, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, suspek dipercayai melepaskan kira-kira sembilan das tembakan ke arah mangsa yang berada di tempat duduk pemandu di dalam kereta Toyota Camry.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menemui kesan tembakan yang terkena rusuk kanan mangsa.

“Kami turut menemui kira-kira lapan kelongsong peluru di sekitar lokasi kejadian. Motif pembunuhan masih dalam siasatan. Kami juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Adnan berkata, mangsa sudah berkahwin dan tinggal di Taman Bayu Perdana, di sini.

“Mangsa bersama beberapa orang rakan pergi ke restoran berhampiran kira-kira jam 8 malam, sebelum pergi ke pusat hiburan berkenaan,” katanya.

Mayat mangsa ditemui pekerja pusat hiburan berkenaan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Tubuh manusia disangka bangkai

Tubuh manusia disangka bangkaiMayat mangsa diseret dan dilanggar kenderaan lain sejauh kira-kira 60 meter.
ALOR GAJAH - Seorang anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang, Johor, maut selepas motosikal Yamaha 125Z yang ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 203.8, Lebuhraya Plus arah utara, di sini, tengah malam semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa, Saiful Ramli, 22, yang datang dari arah Muar, Johor menuju ke Seremban merempuh belakang sebuah kereta sebelum tercampak ke tengah jalan lalu dilanggar kenderaan lain.

Sumber polis berkata, kejadian disedari seorang pemandu lori yang ketika itu sedang melalui jalan berkenaan dan ternampak objek di laluan kiri yang disangkanya bangkai haiwan.

“Pemandu itu yang dalam perjalanan menghantar perkakasan elektronik ke Pulau Pinang kemudian menyedari objek tersebut adalah tubuh manusia. Dia segera hentikan lori di tepi lebuh raya dan cuba membantu mengawal lalu lintas.
“Dia juga menghubungi khidmat lebuh raya sambil memerhatikan mayat itu dari jauh berharap ia tidak akan dilanggar lagi oleh kenderaan lain,” kata sumber polis berkenaan.

Menurut sumber polis itu lagi, cebisan daging mangsa juga bertaburan atas jalan raya kerana dipercayai terseret kira-kira 60 meter dari motosikalnya. Badan mangsa dalam keadaan separuh hancur.

“Mayat mangsa yang terseret di laluan kiri mengakibatkan banyak kenderaan hampir hilang kawalan untuk mengelak,” katanya.

Sumber polis berkata, sementara menunggu bantuan kecemasan, orang awam yang memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya juga terpaksa menggunakan lampu suluh dan memberi isyarat kepada pengguna lain agar tidak merempuh mayat mangsa.

Arwah berubah jadi pendiam

Sementara itu rakan mangsa, Mohd Fadli Shafie, 22, berkata, sebelum tragedi itu berlaku, dia sempat menghantar Saiful pulang ke rumah kedua ibu bapanya di Sungai Mati, Muar kira-kira jam 6 petang dari Kem Mahkota.

“Semasa saya menghantarnya pulang ke rumah, arwah tidak seperti biasa yang suka berlawak dengan saya. Dia hanya menjawab apabila saya bertanya.

“Bagaimanapun dia ada beritahu saya tentang hajatnya hendak keluarkan wang bonus Januari ini untuk diberikan kepada ibu dan ayah agar mereka dapat bina sebuah lagi rumah," katanya.

Mohd Fadli yang mengenali Saiful sejak mula memasuki khidmat tentera empat tahun lalu berkata, arwah ada memberitahunya hendak ke Melaka pada sebelah malam namun tidak tahu tujuannya hingga menerima berita tidak disangka-sangka itu.

“Sekarang arwah sedang menjalani kursus dalam kem selama empat bulan hingga pertengahan Januari namun tidak sempat menamatkannya. Arwah juga rajin pulang ke kampung pada setiap hujung minggu,” katanya.

Sempat borak dengan anak
Bapa mangsa, Ramli Ibrahim, 50, memberitahu Sinar Harian, dia juga sempat berborak anak ketiganya itu sebelum arwah keluar kira-kira jam 10 malam.
“Arwah beritahu hendak ke Seremban berjumpa rakannya dan sudah menjadi kebiasaan dia keluar pada waktu malam dan pulang pagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat sekiranya punca kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain.

“Polis sedang mengenal pasti sekiranya ada kenderaan lain yang terlibat hingga mengakibatkan kemalangan maut itu berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Daerah, 06-5562222 atau datang ke balai bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Bomoh rogol murid tahun enam

Bomoh rogol murid tahun enamAsmah (kiri) bersama anaknya menunjukkan surat pengesahan hospital dan laporan polis.
ALOR SETAR – Seorang murid perempuan tahun enam di sini trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah bomoh bergelar ‘ustaz’ apabila dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan melampiaskan nafsu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.

Ibunya, Asmah, 47, (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang didakwanya mempunyai sejenis penyakit dalam badan.

Katanya, dia hanya dapat tahu perkara itu selepas anaknya menceritakan peristiwa hitam itu kepada sepupunya sebelum diberitahu kakaknya.

“Masa itu saya nak buat rawatan kepada mak sebab badan dia sering gatal. Selepas dapatkan rawatan, penyakit mak pulih. Pada masa sama, lelaki itu turut memberitahu anak saya alami sejenis penyakit dalam badan dan perlu rawatan secepat mungkin.

“Saya memang tidak sangka lelaki itu tergamak buat macam ini kepada anak saya sebab saya beranggapan dia akan tolong anak saya betul-betul. Boleh dikatakan selang sehari saya dapatkan khidmat daripada lelaki itu untuk ubati penyakit anak,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa anaknya perlu dimasukkan ke dalam sebuah bilik tanpa teman untuk elak gangguan semasa sesi rawatan.

“Percaya dengan kata-kata itu, saya pun tunggu di ruang tamu. Selepas sesi rawatan, 'ustaz' itu memaklumkan anak saya mempunyai penyakit misteri, iaitu terdapat batu dalam badannya dan perlu dikeluarkan melalui kemaluan.

“Pada suatu hari, dia sekali lagi minta saya hantar anak ke rumahnya untuk selesaikan rawatan sepenuhnya. Kemudian, saya hantar anak ke rumah lelaki itu sambil ditemani sepupunya,  namun lelaki itu menghalau kami pulang kerana membawa teman. Dakwanya kalau bawa teman rawatan tidak boleh dilakukan.

“Bagaimanapun, selang dua minggu kemudian, lelaki itu menghubungi saya dan meminta anak saya datang ke rumah itu secepat mungkin untuk menyelesaikan penyakitnya dan dibenarkan bawa teman. Saya pun tinggalkan anak dan anak saudara yang berumur 16 tahun di rumah itu sebelum menjemput mereka pada waktu tengah hari selepas selesai waktu bekerja,” katanya.

Asmah berkata, dia tidak sangka peristiwa hitam itu akan berlaku setelah anaknya memaklumkan dirinya dirogol lelaki itu sementara anak saudaranya pula dicabul kemaluannya sepanjang berada di rumah itu.

“Selepas mengetahui perkara itu, saya bawa anak dan anak saudara ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Doktor yang merawat turut mengesahkan bahawa terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.

“Saya tidak puas hati dengan perbuatan lelaki itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar supaya anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Asmah turut merayu polis bertindak segera kerana laporan sudah dibuat sejak tahun lalu.

Banjir mula landa Terengganu, 92 mangsa dipindah di Dungun




23 Disember 2012
DUNGUN - Sebanyak 92 penduduk membabitkan 16 keluarga dari tiga buah kampung di daerah ini dipindahkan ke tiga pusat penempatan sementara, selepas banjir melanda kawasan rumah mereka sejak malam semalam.

Tujuh daripada keluarga terbabit meliputi 39 orang yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Bukit Gendut, Pulau Serai dipindahkan ke Sekolah Rendah Pulau Serai pukul 9 malam tadi.

Enam keluarga dengan 33 mangsa dari Kampung Tanjung Pagar Lima dan tiga keluarga membabitkan 20 orang dari Kampung Seberang Pintasan dipindah ke balai raya kampung masing-masing.

Menurut Anggota Parlimen Dungun Datuk Matulidi Jusoh yang ditemui selepas melawat mangsa di pusat pemindahan hari ini, banjir berlaku selepas hujan lebat di daerah itu sejak 6 pagi semalam.

Selain itu, limpahan air Sungai Pimpin juga menyebabkan kawasan PPRT Bukit Gendut dilanda banjir, katanya.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah menyalurkan bantuan seperti makanan dan minuman kepada mangsa terbabit.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya segera berpindah apabila diminta pihak berkuasa selain memastikan anak-anak mereka tidak bermain air banjir.

Sementara itu seorang mangsa, Raihan Deraman,48, berkata air mula memasuki rumahnya pada pukul 7 petang dan ini adalah kali kedua keluarganya terpaksa berpindah sejak di rumah PPRT kampung tersebut tiga tahun lepas.

Katanya, beliau sekeluarga sudah bersedia sejak beberapa minggu lalu bagi menghadapi kemungkinan banjir dengan meletakkan perabot di tempat tinggi selain menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat.

Jirannya, Nashimah Salleh,47, pula berharap banjir kali ini tidak seburuk 2010 yang mencapai paras pinggang dan mengambil masa lama untuk surut.- Bernama

Tenggelam dalam bah



         
SHAH ALAM: Lebih 100 kenderaan yang diletakkan di sekitar kawasan letak kereta Stadium Shah Alam dan Pangsapuri Perdana, Seksyen 13, di sini, ditenggelami air satu meter, malam kelmarin.

Kawasan itu dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih empat jam bermula jam 5 petang kelmarin.
Penduduk Pangsapuri Perdana, Mohd Kamal Syahid Abu Bakar, 22, berkata, dia tidak sempat mengalihkan kereta Perodua Alza miliknya ke tempat tinggi apabila air naik dengan cepat.

Pelajar Management & Science University (MSU) itu berkata, kereta yang baru diberi ibu bapanya enam bulan lalu ditenggelami air sedalam satu meter mengakibatkan bahagian dalam kereta turut digenangi air.


“Saya tak sangka air naik setinggi ini hingga memasuki kereta saya,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

‘Tambah RM10’

       
KANGAR: Puluhan individu membabitkan golongan belia di negeri ini mendakwa terpedaya apabila perlu membuat bayaran tambahan untuk program ‘Satu Pelajar Satu Lesen’ anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis, walaupun sudah membayar RM100 kepada penganjur.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim kecewa dengan situasi itu kerana menerima banyak aduan daripada keluarga belia terbabit yang tidak berpuas hati disebabkan berasa tertipu.


Beliau yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, ada belia membayar RM100 untuk mendaftar sebagai ahli badan bukan kerajaan (NGO) itu, sekali gus layak mendapatkan lesen memandu B2 seperti dijanjikan.

Bagaimanapun, katanya, mereka terkejut apabila masih perlu membuat bayaran lain kepada sekolah memandu untuk mengambil ujian berkomputer.


“Keluarga belia terbabit berasa pelik apabila resit dikeluarkan tidak menggunakan resit sekolah memandu, sebaliknya syarikat yang mengendalikan ujian berkomputer.


“Saya difahamkan, hanya sekolah memandu dibenarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguruskan lesen memandu di negara ini, malah mereka juga tiada kerjasama dengan NGO terbabit dalam program itu,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sebelum ini NGO berkenaan menganjurkan program seumpama itu dengan mengenakan caj RM100 kepada mereka yang mahu memiliki lesen memandu B2 berbanding bayaran sebenar RM261.


Katanya, ini kerana baki bayaran akan diperoleh menerusi penajaan kerana mereka mensasarkan kira-kira 10,000 belia di seluruh negara.

“Penganjuran program itu dilihat sangat murni, tetapi seperti cuba menangguk di air keruh selepas pihak berkenaan menjanjikan lesen kepada belia yang mendaftar dengan kadar RM100, namun yang berlaku adalah sebaliknya.


“Golongan belia ini masih perlu membayar caj lain di sekolah memandu, malah tiada kerjasama dengan JPJ, selain resit dikeluarkan tidak menggunakan nama sekolah memandu bagi urusan membuat lesen memandu,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi GPMS negeri, Halmey Hamdah ketika dihubungi berkata, tambahan bayaran sebanyak RM10 itu dikenakan untuk membayar kos membeli insurans dan buku peraturan jalan raya kepada sekolah memandu berkaitan.


Menurutnya, memang mengejutkan apabila dimaklumkan ada individu mendakwa dianiaya kerana penganjuran program bagi mendapatkan lesen memandu B2 itu demi meringankan beban golongan belia.


Katanya, dakwaan pihaknya memerlukan penajaan bagi baki RM161 setiap seorang daripada kos sebenar juga tidak munasabah kerana kadar keseluruhan hanya RM100 dan tidak perlu melunaskan baki bayaran berkenaan.


“Setakat ini, lebih 950 belia mendaftar menyertai program itu. Malah, 400 daripada 600 peserta yang mengikuti program itu lulus ujian peraturan jalan raya.


“Bayaran RM100 berkenaan adalah yuran sekolah memandu, dan perlu membayar kos tambahan RM10 bagi mendapatkan buku serta insurans, namun ia bergantung kepada kemahuan mereka,” katanya.

Penunjuk perasaan antirogol digempur polis

       
NEW DELHI: Polis India semalam menggempur penunjuk perasaan yang menuntut supaya golongan wanita negara itu diberi perlindungan lebih baik, semalam.

Polis melepaskan gas pemedih mata, memukul dan menyembur air bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Pintu India di tengah New Delhi sebelum cuba berarak ke Istana Presiden.


Tunjuk perasaan yang masuk hari keenam semalam mendesak “keadilan” diberikan kepada mangsa serangan seksual ketika seorang daripada mangsa rogol berusia 23 tahun berada dalam keadaan kritikal di hospital. Minggu lalu, enam lelaki mabuk menaiki bas sebelum mereka menyerang seorang mahasiswa fisioterapi serta temannya yang berusia 28 tahun.

Gadis terbabit kemudian dirogol bergilir-gilir sebelum mangsa dan rakannya dicampak keluar dari kenderaan berkenaan. Sebelum dirogol, mangsa diserang dengan batang besi, menyebabkan dia mengalami kecederaan dalaman yang serius. Polis dipanggil ekoran sebahagian penunjuk perasaan mula melontar batu. Kekecohan berlaku sebaik saja penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan dan berarah ke Istana Presiden. Doktor di hospital pula berkata, wanita mangsa rogol itu masih kritikal tetapi keadaannya stabil.


Doktor berkata, mangsa tidak lagi bergantung kepada mesin sokongan hayat dan sangat optimis dia akan selamat. Data kerajaan menunjukkan, jumlah kes rogol di New Delhi meningkat 17 peratus dari 2011 kepada 661 tahun ini. - AFP

Sempat tunjuk tempat sakit

       
DUNGUN: Nurul Syazwani Roslan, 20, yang terbunuh selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum merempuh kenderaan lain di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, di sini, sempat menunjukkan jari ke rusuk kirinya sambil mulutnya beberapa kali menyemburkan darah.

Seorang saksi yang ditemui, Mazlan Alwi, 45, berkata, dia bersama beberapa pengguna jalan raya lain tidak dapat mengeluarkan gadis terbabit yang ketika itu masih bernyawa kerana tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.


“Dia menunjukkan jari ke rusuk kirinya, mungkin disebabkan rasa sakit pada bahagian itu,” katanya.

Menurut Mazlan, dua penumpang belakang, Umi Fatihah Halim Syukri, 17, dan Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, turut tersepit dan mengadu kesakitan, manakala pemandu kereta Proton Waja, Nazli Mohd Jusoh, 30, yang cedera berjaya keluar dari kenderaan terbabit sebelum bersandar di sebatang pokok berhampiran.


“Pemandu kereta Proton Wira Aeroback itu turut parah serta tersepit dalam kenderaannya,” katanya.


Mazlan berkata, beberapa minit selepas itu kedua-dua agensi terbabit tiba di tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan semua mangsa tersepit serta mengejarkan mereka ke Hospital Dungun untuk rawatan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja dinaiki empat sahabat yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu itu hilang kawalan dan bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu Mohd Jusoh Dollah, 40, selepas melalui satu selekoh di tempat kejadian, jam 11.20 malam kelmarin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan dan meminta orang ramai berhati-hati melalui kawasan itu, berikutan jalan licin boleh menyebabkan mereka terbabas.

Isteri suspek direman seminggu bantu siasatan

       
MELAKA: Seorang wanita yang juga isteri kepada suspek kes kematian pekerja kedai tayar di sebuah poliklinik di Merlimau, Jasin, Selasa lalu, ditahan bagi membantu siasatan.

Wanita berusia 20-an itu ditahan di rumahnya di Duyong, jam 4 petang kelmarin.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Superintendan R Gunarajan berkata, wanita terbabit adalah isteri kepada suspek yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), pagi Khamis lalu.

“Penangkapannya dibuat bagi membantu siasatan terperinci terhadap kes kematian lelaki itu. Wanita itu direman tujuh hari bermula hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau berkata, polis kini mengesan empat lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes itu.


Katanya, polis mengesan suspek di alamat dan tempat kerja namun mereka tiada di situ, sehubungan itu beliau meminta mereka menyerah diri bagi membantu siasatan.


Dalam kejadian Selasa lalu, Mohamad Fazrinnizam Ramli, 24, dihantar sekumpulan lelaki dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di sebuah poliklinik di Merlimau. Bagaimanapun mangsa meninggal dunia kerana cedera parah.

Guna rakaman suara BNM


         
KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan antarabangsa yang menggunakan rakaman suara panggilan telefon Bank Negara untuk memperdayakan orang ramai dikesan bergiat aktif kebelakangan ini.

Ia berikutan tiga kes berasingan membabitkan taktik sama dilaporkan berlaku dalam tempoh seminggu dengan sasaran utama di kalangan ahli perniagaan atau kakitangan swasta.


William Fang, 39, berkata, dia hampir terpedaya dengan kelicikan sindiket itu yang dipercayai didalangi golongan profesional kerana bijak mengatur strategi untuk memerangkap mangsa.

Kata ahli perniagaan ini, dalam kejadian Khamis lalu, dia dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pegawai sebuah institusi perbankan mengatakan perlu menjelaskan segera bayaran kad kredit tertunggak tiga bulan mencecah lebih RM13,000.


“Saya dihubungi satu nombor persendirian (private number) yang tidak tertera nombor pemanggil, jam 9.51 pagi dan sebaik mengangkatnya, seorang lelaki memperkenalkan dirinya daripada sebuah institusi perbankan.


“Sebaik memberitahu tujuannya, saya terkejut dan memaklumkan tidak memiliki kad kredit banknya. Lebih mengejutkan, dia menegaskan kad kredit itu didaftarkan atas nama saya, malah turut memiliki nombor kad pengenalan saya.

“Lelaki berkenaan kemudian mendakwa mungkin ada pihak menyalahgunakan identiti saya dan akan membantu saya dengan menghubungi Bank Negara bagi mendapatkan butiran terperinci,” katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit kemudian meminta dia menunggu panggilan pihak Bank Negara dalam masa terdekat dan diminta memberi butiran berkaitan akaunnya kepada Bank Negara untuk mempercepatkan siasatan.

“Lebih mencurigakan, pada jam 10.02 pagi, saya mendapati dua panggilan tidak dijawab pada telefon bimbit daripada nombor tidak dikenali. Saya menghubunginya sebelum dijawab rakaman suara Bank Negara.


“Selepas mengikut panduan diberikan, seorang lelaki menjawab dan sebaik menyatakan tujuan saya, dia terus bertanya pelbagai soalan tapi semuanya berkaitan akaun serta butiran peribadi saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media oleh Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Gerakan di Kepong, dekat sini, semalam.


Berasa tidak sedap hati, Fang memutuskan panggilan sebelum dinasihatkan rakannya supaya mencari nombor telefon Bank Negara daripada panduan rasmi dan sebaik menghubunginya, dia dinasihatkan seorang kakitangan bank pusat itu supaya berhati-hati kerana ia mungkin taktik digunakan penipu.


Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Gerakan, Wilson Lau berkata, selain Fang, dua lagi laporan kes hampir sama diterima pihaknya dalam tempoh seminggu.


Pihaknya akan menemui Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat supaya memantau perkara itu dan memperketatkan syarat penggunaan ejen oleh institusi perbankan bagi menarik pelanggan di lokasi tumpuan ramai.

Maut gagal kawal motosikal



         
KUALA TERENGGANU: Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta di depan Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Kampung Tepoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Mohd Fazrol Amirul Mohd Nor, 18, dari Kampung Raja Tepoh, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman selepas gagal mengawal motosikal ditunggangnya lalu merempuh kereta Proton Iswara itu.


Ibu mangsa, Asnah Embong, 44, berkata, anak sulungnya bersikap pelik kerana sebelum pergi ke rumah ibu saudaranya di Kampung Maras, Seberang Takir, dekat sini, kelmarin, arwah secara tiba-tiba memberitahunya dia merindui semua rakannya.

Gusar lelaki kucup parang


         
IPOH: Peniaga limau bali, Muhammad Ridhuan Tan, 38, bimbang perniagaannya terjejas berikutan kehadiran dua lelaki bersenjatakan parang berhampiran premis perniagaan sejak beberapa minggu lalu.

Ridhuan yang berniaga di kawasan Hentian Limau Bali Tambun, Jalan Gopeng, di sini, berkata, suspek yang menaiki kereta Proton Wira dan Kia Spectra kerap berlegar-legar di kawasan itu, seolah-olah mahu menakutkan peniaga dan pelanggan.
“Saya curiga dengan tindakan lelaki terbabit yang muncul sambil menunjukkan parang selain mengucup senjata itu. Tingkah laku mencurigakan itu membuatkan saya memberanikan diri bertanya mengapa mereka sering berada di sana, namun nama teguran itu langsung tidak dipedulikan.

“Sebaliknya, lelaki berkenaan menjeling tajam sebelum beredar dari situ. Saya bimbang berlaku sesuatu tidak baik kepada keluarga dan premis perniagaan ini dengan kemunculan individu berpenampilan seperti samseng dan menakut-nakutkan peniaga dan pelanggan,” katanya.


Dia memaklumkan tidak akan teragak-agak membuat laporan polis jika kehadiran mereka mengancam nyawa peniaga dan pelanggan di kawasan tumpuan pelancong berhampiran tokong Sam Poh Tong itu.

Suami disyaki upah rakan bunuh isteri




         
PETALING JAYA: Suami kepada penjual bunga malai, S Suntarambhal, 33, yang mati Ahad lalu dengan kesan kelar di leher di Jalan PJS5/16, berhampiran Flat Desa Mentari, dan tiga lagi rakannya ditahan polis lewat petang kelmarin untuk siasatan kes pembunuhan kejam itu.

Keempat-empat suspek ditahan di sekitar Petaling Jaya dan Cheras jam 6 petang oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.


Menurut sumber, suami mangsa dikatakan suspek utama yang disyaki mengupah beberapa kenalannya RM5,000 untuk membunuh wanita itu.

“Pembunuhan dipercayai bermotifkan wang kerana suspek tidak tahan dengan masalah judi dan hutang mangsa,” katanya di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan menahan reman semua suspek bagi membantu siasatan.


“Polis menahan empat suspek seorang daripadanya suami mangsa yang kini direman lima hari bermula hari ini (semalam), manakala tiga lagi yang juga kenalan suami mangsa direman seminggu bagi membantu siasatan,” kata beliau.

Tragedi tonton wayang

TERBABAS... kereta Proton Waja dinaiki empat sahabat yang terbabit dalam kemalangan.
TERBABAS... kereta Proton Waja dinaiki empat sahabat yang terbabit dalam kemalangan.
DUNGUN: Kegembiraan empat sahabat menonton wayang di pusat beli-belah Mesra Mall di Kemasik, Kemaman, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, di sini, kelmarin.
Dalam kemalangan jam 11.20 malam, Nurul Syazwani Roslan, 20, dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu dan rakannya, Umi Fatihah Halim Shukri, 17, dari Rumah Murah Alur, Alor Lintang, Besut, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat cedera parah di kepala dan badan.

Nurul Syazwani menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi manakala Umi Fatihah jam 12.30 tengah hari semalam.

Rakan mereka, Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, cedera parah di kepala dan badan, manakala Nazli Mohd Jusoh, 30, yang memandu kereta Proton Waja terbabit hanya cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sahabat terbabit yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dari arah bertentangan.

Pemandu Proton Wira Aeroback, Mohd Jusoh Dollah, 40, berasal dari Taman Murni Perdana, Paka, dekat sini, cedera parah di muka dan patah kaki kanan.


Ketika kejadian, Mohd Jusoh dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas melapah daging lembu untuk majlis perkahwinan anak rakannya di Kampung Alur Tempoyak, di sini.

Rakan kepada empat sahabat terbabit, Amirul Haziz Marzelan, 23, berkata, sebelum kejadian, mereka bertolak ke Mesra Mall, Kemasik, jam 2 petang dengan menaiki dua kereta.

Menurutnya, selepas menonton wayang jam 10.40 malam, mereka bertolak pulang ke Kuala Terengganu dan keempat-empat mangsa menaiki sebuah kereta, manakala dia mengekori dengan memandu sebuah kereta lain bersama seorang lagi rakan, Mohd Hishammudin Zain Asmadi, 17.

Setibanya di tempat kejadian, dia terserempak kemalangan itu tetapi pada awalnya tidak menyangka ia membabitkan empat rakannya.

“Ketika itu hujan dan keadaan gelap, menyebabkan saya mengambil masa untuk mengenali kenderaan mereka.

“Namun, sebaik menyedari kenderaan terbabit milik rakan, saya segera memberhentikan kereta sebelum bergegas untuk memberi bantuan,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, semalam.

Amirul berkata, Nazli berjaya keluar dari kenderaannya tetapi tiga rakannya tersepit di tempat duduk sebelum anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam tiba memberi bantuan serta mengejarkan semua mangsa ke Hospital Dungun.

“Ketika bersama arwah Nurul Syazwani di Mesra Mall, dia banyak bercakap dan bergurau dengan kami, dan saya tidak menyangka kegembiraan itu berakhir dengan kejadian menyedihkan,” katanya.

Usaha menemubual ibu Nurul Syazwani, Faridah Khamis, 40-an, gagal berikutan masih sedih dan terkejut dengan kemalangan yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.

Polis nafi mangsa culik



         
JOHOR BAHRU: Polis menafikan kanak-kanak perempuan yang ditemui dibunuh dengan kesan dibakar di Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz di sini, kelmarin, adalah mangsa culik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr Hashim Haron berkata, pihaknya tidak menerima laporan berkaitan kes penculikan membabitkan kanak-kanak.


“Setakat hari ini (semalam), tiada keluarga melaporkan kehilangan anak kecil. Kami juga masih tidak tahu identiti mangsa yang berusia lebih setahun itu.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat. Kami yakin mangsa bukan mangsa culik atau anak luar nikah kerana usianya lebih setahun, dia mungkin di bawah jagaan seseorang sebelum ini,” katanya.


Menurut Hashim, pihaknya menasihati orang ramai yang ada maklumat berkaitan waris kanak-kanak itu tampil menghubungi pihaknya.


“Sesiapa yang kehilangan anak atau cucu berusia lebih setahun diminta menghubungi kami,” katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas menyiasat kes itu.


“Pasukan khas ini akan menumpukan segala aspek siasatan terperinci bagi memastikan penjenayah yang terbabit dalam kes ini ditahan untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Tiga samseng minta RM240



         
RAUB: Tiga lelaki berkelakuan biadab apabila minum arak yang dibawa di sebuah restoran milik lelaki Melayu serta berlagak samseng dengan meminta wang perlindungan RM240 sebulan.

Kira-kira jam 4.20 pagi kelmarin, tiga samseng itu langsung tidak mempedulikan pelanggan lain, sebaliknya berborak dengan suara kuat sambil meneguk arak.


Pemilik restoran kemudian memberanikan diri menegur serta melarang tiga lelaki itu membawa minuman keras ke dalam restorannya, tetapi teguran itu membuat mereka berang.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman berkata, tiga lelaki itu naik angin sebelum seorang meminta mangsa duduk semeja dengannya dan mengarahkannya membayar RM240 sebulan sebagai wang perlindungan. Bagaimanapun, mangsa enggan menunaikan permintaan tiga samseng terbabit dengan alasan tapak perniagaannya milik Majlis Daerah Raub (MDR) dan tidak memerlukan perlindungan.


Katanya, berikutan itu, seorang samseng cuba memukul mangsa selepas merosakkan pelbagai jenis barangan dalam restoran sebelum dihalang rakannya.


“Berikutan itu, mangsa yang berusia 30 tahun melarikan diri sebelum membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Balai Polis Raub, jam 7 pagi kelmarin,” katanya.

Lelaki hina Al-Quran dibakar

HYDERABAD: Orang ramai menyerbu sebuah balai polis dan membakar seorang lelaki hidup-hidup kerana menghina al-Quran, kata polis semalam.

Lelaki terbabit dikatakan seorang pengembara bermalam di sebuah masjid di Seeta, wilayah Sindh, malam Khamis lalu.


Keesokan harinya, penduduk kampung itu gempar apabila mendapati al-Quran di masjid berkenaan musnah dibakar. Seorang imam berkata, lelaki terbabit bermalam sendirian di masjid berkenaan. Pegawai Polis Daerah Dadu, Usman Ghani, berkata orang ramai membelasah lelaki terbabit sebelum menyerahkannya kepada polis.

“Beberapa jam kemudian, kira-kira 200 orang menyerbu balai polis yang menahan lelaki itu dan mengheretnya keluar sebelum mereka membakarnya,” katanya.


Menurut Usman, 30 orang ditahan atas kesalahan membunuh, manakala tujuh anggota polis ditahan kerana disyaki cuai. - Reuters

100 warga China guna Internet perdaya rakan senegara diberkas



         
COLOMBO: Polis Sri Lanka menahan 100 warga China kerana terbabit dalam penipuan wang melalui Internet, kata pihak berkuasa semalam.

Pegawai kanan polis, Prishantha Jayakodi, suspek ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di sekitar Colombo malam kelmarin. Katanya, sindiket itu memperdaya warga China sehingga mereka percaya dan memindahkan wang ke akaun diurus suspek di Sri Lanka. “Seramai 74 lelaki dan 26 wanita ditahan di kediaman mereka di Colombo atau kawasan sekitarnya selepas mendapat perintah mahkamah,” katanya.


Ribuan warga China bekerja di pelbagai projek pembangunan ditaja Beijing di seluruh Sri Lanka.

Kebanyakan mereka tiba menggunakan visa pelancong dan bekerja dalam industri perhotelan dan restoran.


Jayakodi berkata, penipuan itu dijalankan di Sri Lanka menggunakan Internet. - AFP

Mahu senjata lawan senjata

SEORANG wanita mengalirkan air mata ketika berkumpul mengenang serangan ke atas Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, semalam.
SEORANG wanita mengalirkan air mata ketika berkumpul mengenang serangan ke atas Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, semalam.
WASHINGTON: Kumpulan pelobi senjata berpengaruh di AS semalam menggesa polis lengkap bersenjata ditempatkan di semua sekolah sebagai reaksi serangan kejam meragut 27 nyawa di Newtown minggu lalu.
Ketua Eksekutif Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA), Wayne LaPierre, berkata cubaan menjauhkan senjata api dari sekolah tidak berkesan, malah menjadikan institusi pembelajaran itu lebih terdedah kepada bahaya berbanding lapangan terbang, bank serta bangunan awam lain yang dikawal. “Satu-satunya tindakan yang boleh menghalang penjahat bersenjata api adalah individu baik yang dilengkapi senjata api,” katanya di sidang media.

Minggu lalu, 20 kanak-kanak di Sekolah Rendah Sandy Hook, Connecticut, dan enam orang dewasa maut selepas ditembak Adam Lanza yang mengamuk secara tiba-tiba.

Adam, 20, tiba ke sekolah itu membawa pelbagai jenis senjata api, termasuk raifal berkeupayaan tinggi.

LaPierre berkata, pihak berkuasa perlu memastikan semua sekolah dikawal anggota polis bersenjata apabila sesi persekolahan bersambung selepas cuti Krismas Januari depan.

“Adakah sesiapa yang benar-benar yakin bahawa Adam Lanza seterusnya tidak merancang serangan ke atas sebuah sekolah yang dikenal pasti pada detik ini?” katanya.


Sementara itu, tragedi di Newtown itu kian dikenang apabila seorang lelaki bersenjata pistol menembak mati tiga mangsa di Frankstown Township, Pennsylvania, sebelum dia dibunuh polis ketika melarikan diri menaiki sebuah lori pikap, semalam Tiga anggota keselamatan Pennsylvania turut cedera dalam usaha mereka menahan lelaki terbabit.

Sehingga petang semalam, polis masih mencari motif serangan berkenaan. Jurucakap polis berkata, mereka tidak yakin kejadian itu berpunca daripada pergaduhan domestik.

“Tetapi kami juga tidak tahu motif sebenar kerana suspek tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana mangsa terbabit,” katanya. - Reuters

9 das jarak dekat

PERIKSA... anggota forensik memeriksa kereta kepunyaan mangsa.
PERIKSA... anggota forensik memeriksa kereta kepunyaan mangsa.
KLANG: Seorang lelaki yang baru pulang berhibur di sebuah pusat karaoke ditembak mati dari jarak dekat dalam kejadian di Taman Desawan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa berusia 34 tahun dipercayai terkena sekurang-kurangnya sembilan das tembakan ketika hendak menghidupkan enjin kereta Toyota Camry miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis yang menerima panggilan jam 7.40 pagi bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pembekal arak di Kepong, Kuala Lumpur menjamu selera bersama beberapa rakannya di sebuah restoran jam 8 malam kelmarin yang terletak 10 meter dari tempat mayatnya ditemui.

“Dua jam selepas itu, mangsa dan beberapa rakannya beredar ke sebuah pusat karaoke berhampiran untuk berhibur.

“Mangsa dikatakan keluar dari pusat hiburan jam 5 pagi tadi (semalam) untuk pulang ke rumahnya di Bayu Perdana, di sini. Namun, sebaik memasuki keretanya, mangsa ditembak dari bahagian kanan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Suami wanita dibunuh antara empat ditahan


Petaling Jaya: Polis menahan empat lelaki, termasuk suami wanita yang ditemui mati di tempat duduk pemandu dalam keretanya di Jalan PJS5/15, berhampiran Flat Desa Mentari, Ahad lalu.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30-an ditahan di kawasan Desa Mentari, di sini dan Alam Damai, Cheras, sekitar jam 6 petang semalam selepas dipercayai membunuh S Suntarambhal, 33, kira-kira dua jam sebelum mayatnya ditemui orang awam iaitu kira-kira jam 12.45 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata hasil siasatan mendapati, tiga lelaki yang ditahan adalah rakan suami mangsa dan dipercayai diupah RM5,000 untuk membunuh Suntarambhal.

“Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan kerana perasaan tidak puas hati suami mangsa terhadap isterinya yang berhutang ceti haram dan kegiatan perjudian.

“Bagi mengelakkan dirinya disyaki sebagai dalang utama pembunuhan ini, suami mangsa membuat laporan polis mengatakan isterinya tidak pulang ke rumah selepas memandu sendirian, selain tidak menjawab panggilan telefon pada malam kejadian,” katanya, semalam.

4 rakyat Malaysia ditahan di Indonesia


Kuala Lumpur: Cubaan dua rakyat Malaysia menaiki penerbangan dari Bandung ke sini, bagi mengelak ditahan Polis Indonesia selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup dadah gagal selepas pesawat yang dinaiki diarahkan mendarat di Jakarta.

Kedua-dua mereka mengambil penerbangan tambang murah dari Bandung ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), awal pagi Khamis lalu, selepas menyedari dua rakan mereka yang juga rakyat negara ini bersama seorang wanita dan lelaki warga Indonesia ditahan, kerana menyeludup dadah syabu bernilai RM6.3 juta yang juga jumlah dadah terbesar diseludup ke negara itu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Undang-Undang Narkotik, Polis Republik Indonesia (POLRI), Briged Jeneral Arman Depari, berkata keempat-empat suspek dilaporkan membawa masuk 44 kilogram (kg) dadah syabu dan lebih 2,200 pil estacy menerusi Medan dan Dumai di Sumatera, sebelum ke Jakarta menerusi laluan darat.

“Tangkapan bermula selepas pemeriksaan dijalankan terhadap pasangan rakyat tempatan (Indonesia) hingga membawa kepada penemuan 1.5 kg dadah syabu sebelum menahan dua rakyat Malaysia di Bogor dan merampas 16kg dadah jenis sama.

“Menyedari rakan mereka ditahan, dua lagi rakyat Malaysia bertindak menaiki pesawat ke Kuala Lumpur pada hari sama untuk melarikan diri sebelum pesawat itu diarah melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta,” katanya yang dipetik daripada media Indonesia, kelmarin.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan empat rakyat Malaysia, bagaimanapun masih menunggu laporan pihak berkuasa negara itu.

Hasil pemeriksaan ke atas pesawat itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Pencegahan Jenayah Undang-Undang Narkotik menahan kedua-dua suspek di balai ketibaan lapangan terbang terbabit, sebelum menemui 28kg dadah syabu dan 2,200 pil estacy bernilai RM150,000 dalam bagasi mereka.
Arman berkata, hasil siasatan lanjut mendapati dua daripada empat rakyat Malaysia itu dikesan sering berulang-alik ke Lampung selepas memasuki Indonesia menerusi Dumai untuk menyeludup dadah yang dilaporkan diproses di Malaysia.

“Kejayaan ini hasil pertukaran maklumat antara Polis Indonesia dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang membolehkan kita membanteras kegiatan dan aktiviti menyeludup dadah ke sini,” katanya.

Sehingga kini, empat rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Abdul Rahim, Hasim, Nasri dan Izwan berusia antara 20 hingga 30 tahun, serta dua lagi rakyat Indonesia berhadapan hukuman ditembak mati jika disabitkan kesalahan.