22 Disember 2012
PUTRAJAYA - Meskipun koma tiga minggu dan hilang ingatan selepas terbabit kemalangan sebulan sebelum majlis konvokesyen, graduan Cybernetics International College of Technology, Muhammad Fareezzuddin Yaakub amat bersyukur kerana masih berpeluang menerima segulung diploma hari ini.
Beliau berkata meskipun kemalangan itu hampir meragut nyawanya, graduan jurusan Diploma Pengurusan Penerbangan yang mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.7 bertekad untuk kembali ke alam pekerjaan sebaik sahaja sembuh.
Muhammad Fareezzuddin, 21, terbabit kemalangan di kawasan Awan Besar, pada 6 Nov lalu selepas habis waktu bekerja apabila motosikalnya dilanggar sebuah kereta yang masih tidak dapat dikesan sehingga kini.
Beliau yang dibantu ibunya Zaitun Adrus semasa ditemu bual, berkata kini beliau cuba mengingati semula peristiwa yang berlaku sebelum kemalangan termasuk kehidupan semasa belajar dan pekerjaannya di sebuah syarikat swasta.
"Ingatan saya semakin pulih dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan. Tetapi saya berharap akan dapat mengingati sepenuhnya semua perkara dan menjalani kehidupan normal," katanya yang berkerusi roda semasa menerima diploma pada Majlis Konvokesyen ke-9 Cybernetics International College of Technology di sini hari ini.
Pada sidang akhbar kemudiannya Pengerusi Cybernetics Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata seramai 1,494 graduan pelbagai kursus menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen itu.
Katanya graduan dinasihat supaya memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan masing-masing sama ada dalam sektor awam atau swasta atau menjalankan perniagaan sendiri.
Sementara itu Ketua Eksekutif Cybernetics Prof Dr Nazaruddin Mohamed Jali berkata kira-kira 60 hingga 70 peratus graduan kolej itu mendapat pekerjaan sebelum majlis konvokesyen manakala selebihnya melanjutkan pelajaran atau sedang mencari pekerjaan.
Bagaimanapun katanya menerusi program keusahawanan untuk pelajar yang dijalankan di kolej itu, graduan turut digalakkan menjalankan perniagaan sendiri sebaik tamat pengajian. - Bernama