Search This Blog

Friday, December 21, 2012

Kakitangan awam serah diri bantu siasat kes bunuh



MELAKA 20 Dis. - Seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di sini yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan di Merlimau kelmarin tampil menyerah diri hari ini.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 9.30 pagi dan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pekerja kedai tayar, Mohamad Fazrinnizam Ramli (gambar), 24.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis telah mengambil kenyataan lelaki berkenaan dan sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Lelaki yang menyerah diri ini merupakan rakan kepada mangsa dan polis percaya penahanan lelaki itu dapat membantu menyelesaikan kes tersebut," katanya dalam sidang akhbar di IPK negeri hari ini.
Kelmarin, Mohamad Fazrinnizam dihantar oleh dua lelaki ke sebuah poliklinik di Merlimau untuk menerima rawatan setelah ditemui dalam keadaan cedera di Kampung Merlimau Dalam.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di Hospital Melaka.
Menurut Raja Sharom, polis sedang mengesan tiga lagi lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun di mana dua daripada mereka merupakan individu yang menghantar mangsa menggunakan kereta ke poliklinik di Merlimau sebelum menghilangkan diri.
"Polis juga sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kes ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita namun motif dan punca sebenar pembunuhan masih disiasat," katanya.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di Taman Seri Duyong 2 di sini dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di sebuah premis hingga cedera parah di kepala.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121221/je_04/Kakitangan-awam-serah-diri-bantu-siasat-kes-bunuh#ixzz2FhLWfUlz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua pekerja kilang maut dalam kemalangan bas kilang


21 Disember 2012
Keadaan sebuah bas kilang yang remuk menyebabkan dua maut di KM 150.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bukit Tambun, Pulau Pinang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi. Mangsa Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Bernama
NIBONG TEBAL - Dua pekerja kilang maut apabila bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 150.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar Bukit Tambun, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 17 pekerja kilang dalam perjalanan dari Tanjung Piandang, Perak ke kawasan perindustrian di Perai, cuba memasuki lorong kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan lalu merempuh kereta yang bergerak seiring di lorong kiri.

"Kedua-dua kenderaan itu terbabas dengan bas terbalik ke kawasan semak di kiri lebuh raya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu bas dan sembilan pekerja kilang yang cedera kini dirawat di Hospital Seberang Jaya manakala enam lagi pekerja yang cedera ringan telah dibenarkan pulang.

Katanya, pemandu kereta berusia 21 tahun itu hanya mengalami cedera ringan.

Shafien berkata, jenazah kedua-dua pekerja itu telah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Sementara itu, bapa Nurul Nadirah, Sudin Ismail, 45, ketika ditemui berkata, beliau mendapat panggilan daripada abang iparnya kira-kira pukul 6.45 pagi memberitahu kemalangan itu, bagaimanapun beliau tidak diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia.

Beliau berkata, beliau amat terkejut dengan berita kematian anaknya itu yang kali terakhir mereka berjumpa ialah minggu lepas.

Ibu saudara Nurul Nadirah, Hamisah Samsudin, 37, berkata bas terhuyung-hayang secara tiba-tiba hingga menyebabkannya memegang kerusi dengan kuat.

"Sedar-sedar bas dah terbalik. Saya merangkak keluar mengikut cermin hadapan bas," kata ibu kepada tiga orang anak itu yang cedera di bahu.

Seorang lagi mangsa, Fazilawati Md Rasdi, 30, dari Batu Kurau berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan rakan sekerjanya sebelum bas itu terbalik.- Bernama

11 suspek kes rogol diburu di Pulau Pinang




21 Disember 2012
GEORGE TOWN - Polis sedang mengesan 11 individu yang terlibat dalam beberapa kes rogol di negeri ini sejak tahun 1998 hingga setakat ini bulan ini.
  
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata kesemua suspek adalah amat berbahaya dan sangat dikehendaki.
  
Mereka yang diburu ialah Khong Eng Kim, 28, Goh Lhye Lai, 47, Lian Chia Seng, 40, Ng Soo Huat, 56, Sin Yih Woay, 31, Che Mat Awang, 67, Mohd Qasim Abdul Hamid, 24, Mohd Hadi Sufian Abd Rahim, 27, Yusri Saidin, 25, S. Araavannan, 25, dan Peter Paul, 30.
  
"Kesemua suspek diminta menyerah diri dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran," kata Gan kepada pemberita di sini hari ini.  - Bernama

Anak, ibu ditahan disyaki terlibat kes pecah rumah




21 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar dan ibunya yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar kawasan Ampang.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Nazri Nawawi berkata kedua-dua beranak itu yang berusia lingkungan 20 dan 40-an ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Lembah Maju, Ampang pada 12.20 tengah hari Isnin lepas.
  
Beliau berkata dalam serbuan itu polis merampas barangan bernilai RM50,000 yang disyaki daripada kegiatan pecah rumah termasuk 11 telefon bimbit, 13 jam tangan, sebuah iPod, 20 rantai leher dan gelang tangan serta beberapa pendrive dan broadband.
  
"Siasatan mendapati lelaki warga asing yang menganggur itu, mempunyai beberapa rekod jenayah lampau antaranya melibatkan kes ragut dan pecah rumah di sekitar kawasan Dang Wangi dan Klang," katanya kepada pemberita di sini.
  
Nazri berkata saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati, lelaki itu positif dadah methamphetamine manakala ibunya negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Dalam kes lain, dua adik-beradik lelaki warga tempatan, yang berusia lingkungan 30-an ditahan apabila mereka cuba melarikan diri semasa serbuan di Taman Tasik Tambahan, Ampang pada Rabu lepas.
  
Nazri berkata dalam serbuan 3.45 petang itu, polis merampas besi tajam di rumah suspek selain beberapa komputer riba dan pendrive yang disyaki barang curi.
  
Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau antaranya melibatkan kes curi kenderaan dan dadah, dan mereka mengaku terlibat dalam beberapa jenayah di kawasan itu termasuk samun.
  
Katanya mereka didapati positif dadah jenis ganja dan kini ditahan reman sehingga 25 Disember ini.
  
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.  - Bernama

Pekedai serah wang setelah diacu pisau pemotong daging




21 Disember 2012
KUANTAN - Seorang pemilik kedai serbaneka kerugian kira-kira RM2,000 apabila disamun dua lelaki di kedainya di Jalan Air Putih di sini malam semalam.
   
Pekedai berusia 36 tahun itu telah diacukan pisau pemotong daging untuk menyerahkan wang.
   
Ketika kejadian pukul 9 malam itu, mangsa baru sahaja mahu menutup kedainya apabila didatangi dua lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 20-an.
   
"Mangsa kemudiannya diarahkan mengeluarkan wang tunai dari dalam laci tempat menyimpan wang serta diugut supaya tidak melawan jika mahu selamat," kata Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha.
   
Para perompak turut meminta beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri, katanya.
   
Polis sedang memburu suspek.  - Bernama

Anggota polis lari dari tugas ditahan ketika pecah masuk rumah




21 Disember 2012
BESUT - Seorang anggota polis berumur 35 tahun yang lari dari tugas sejak Mac lalu ditangkap dan dibelasah penduduk kampung selepas dia memecah masuk sebuah rumah di Kampung Bukit Keluang di sini awal pagi ini.

Dia yang sebelum ini bertugas di Cawangan Tugas Am di Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut cedera parah dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.

Anggota polis itu yang luka parah di tangan kiri dan lebam di belakang badan  diberikan rawatan awal di Hospital Daerah Besut dan kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan menurutnya anggota polis itu telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu melalui tingkap.

Katanya ketika terserempak dengan seorang daripada anggota keluarga tuan rumah berkenaan Maimunah Yaacob, 51, suspek memberi alasan mencari makanan kerana lapar.

"Ketika suspek masih berada dalam rumah, seorang ahli keluarga mangsa telah sempat memanggil penduduk kampung yang kemudiannya datang dan membelasah serta menangkap suspek", katanya.

Tuan rumah kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis yang kemudiannya menangkap dan membawa suspek mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Besut, katanya.

Noor Zainy berkata, siasatan awal mendapati tuan rumah mengenali suspek kerana dia pernah beberapa kali datang ke rumahnya. - Bernama

Tidak sempat bersekolah semula, kanak-kanak maut dilanggar lori




21 Disember 2012
KUANTAN - Seorang kanak-kanak maut akibat dilanggar lori ketika sedang melintas jalan di Km 12, Jerantut-Batu Embun berhampiran Jerantut petang tadi.

Mohamad Faizul Arzula, 11, dari Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kemalangan kira-kira 4.45 petang itu.

Difahamkan, mangsa berkunjung ke rumah datuknya di Batu Embun, Jerantut bersama keluarganya sempena musim cuti sekolah.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail berkata, mangsa bersama dua lagi rakan yang berusia 12 dan 13 tahun dikatakan telah pergi ke kebun berhampiran rumah datuknya untuk memetik buah rambutan.

"Selepas memetik buah, mangsa mahu pulang semula ke rumah datuknya dan ketika melintas jalan raya, sebuah lori telah merempuh mangsa," katanya.

Pemandu lori tersebut yang berumur 25 tahun datang dari arah Jerantut menuju Lipis dikatakan tidak sempat mengelak mangsa. - Bernama

Peniaga hampir putus telinga kiri ditetak penyamun




21 Disember 2012
KOTA BAHARU - Seorang peniaga makanan haiwan hampir kehilangan telinga kiri selepas ditetak seorang lelaki dalam cubaan menyamun kedai mangsa di Bukit Marak hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, Mohd Kamarulzaman Ibrahim, 45, mendakwa disembur serbuk lada ketika berjalan ke keretanya oleh suspek sehingga menjejas penglihatan beliau.

Mohd Kamarulzaman yang terkejut dengan tindakan itu cuba melarikan diri, namun suspek bertindak agresif mengejar mangsa sebelum menetaknya dengan senjata tajam dipercayai pedang.

"Ketika itu, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana mata pedih akibat semburan serbuk lada tersebut, bagaimanapun, saya sempat melihat terdapat seorang lelaki menunggang motosikal datang mengambil suspek sebelum mereka sama-sama melarikan diri.

"Sejurus kejadian, saya menggagahkan diri ke kedai rakan... selepas itu, saya memandu bersendirian ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan kecemasan," katanya ketika ditemui di hospital itu.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Bachok DSP Ab Rahim Che Ghani berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.- Bernama

Ditetak ketika tidur



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Ditetak ketika tidur
Azri ditempatkan di wad HUSM mengalami kecederaan parah.
KOTA BHARU - “Saya terkejut melihat anak saya menerpa ke dapur mengerang kesakitan dengan darah mengalir pekat di lantai dapur,” kata bapa kepada dua beradik yang ditetak, Jaafar Ibrahim, 60, dalam kejadian di Kampung Jejulok Binjai petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Azri Jaafar, 35, mengalami kecederaan parah akibat ditetak ketika sedang tidur di dalam bilik di rumahnya, manakala adiknya Anuar Jaafar, 30, dan
rakannya Mohamad Jusoh, 43, ditetak di rumah suspek yang merupakan kenalan mangsa dan ketika itu mereka sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di rumah lelaki berkenaan.

Menurut Jaafar, dia tidak menyedari kehadiran lelaki itu yang dipercayai menetak anaknya di dalam bilik, kerana kejadian berlaku begitu pantas dan selepas melihat keadaan anaknya yang parah, dia terus meluru keluar dan hanya nampak sebuah kereta Wira Putih memecut laju.

“Hanya cucu saya, Alisya Natasha Azlizu, 10, nampak kelibat lelaki terbabit masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik Azri yang terbuka luas dan mengikut katanya, lelaki itu membawa sebilah parang masuk ke dalam bilik Azri.

“Keadaan Azri amat mengerikan apabila belakang badannya terdapat kesan tetakan bertalu-talu yang begitu dalam serta kecederaan parah di bahagian pergelangan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaafar berkata, melihatkan keadaan anaknya yang tidak dapat menahan kesakitan, dia bersama menantunya bergegas ke hospital dan dalam perjalanan ke hospital, dia menerima panggilan mengatakan seorang lagi anaknya, Anuar serta rakannya yang melakukan kerja-kerja pendawaian bersama rakannya Mohamad juga ditetak lelaki yang sama sebelum menetak Azri yang berada di rumah.

“Saya tidak tahu kenapa lelaki itu yang juga penduduk di kawasan kampung ini mengamuk dan menetak kedua-dua beradik itu termasuk rakan anak saya.

“Lagipun Azri dan Anuar sebelum ini tidak pernah mempunyai musuh dan menimbulkan kekecohan dengan sesiapa di kampung ini. Apa pun saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk mengesan lelaki itu yang kini masih bebas di luar sana,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Buat masa ini kita sudah mengenalpasti suspek yang berusia dalam lingkungan 24 tahun dan gerakan memburu sedang dijalankan bagi mengesan lelaki itu yang dipercayai melarikan diri bersama isteri dan anak berusia 1 tahun.

“Lelaki terbabit juga bekas penagih dan semasa membuat serbuan di rumahnya, di Kampung Jejabi, dia sudah larikan diri,” katanya.

Kutip sayur dalam tong sampah



NORAFIZA JAAFAR
21 Disember 2012
Kutip sayur dalam tong sampah
Seorang wanita warga Myanmar berulang alik beberapa kali ke pasar mengangkut sayur yang dibuang pemborong.
KUALA LUMPUR - Penjaja warga Myanmar umpama mendapat untung atas angin apabila tidak perlu mengeluarkan modal untuk berniaga selepas mereka bertindak mengutip sayur yang dibuang pemborong untuk dijual.

Tinjauan Sinar Harian selama dua jam bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi baru-baru ini mendapati sekumpulan warga Myanmar di antara lima hingga enam orang sedang khusyuk mengutip dan memilih sayur yang dibuang pemborong pada tong sampah besar terletak di luar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tinjauan juga mendapati seorang wanita berulang alik sebanyak tiga hingga empat kali mengangkut beberapa bakul sayur tersebut ke luar kawasan pasar.

Sayur-sayur tersebut dipercayai dijual kepada orang awam di luar pasar borong bermula jam 6 petang.

Meskipun masalah tersebut telah banyak kali dibangkitkan namun penyelesaian masih menemui jalan buntu apabila penjaja Myanmar dilihat masih berniaga seperti biasa.

Pengunjung pasar, Latifah Ayob, 46, berkata, perkara itu menjadi rutin masyarakat Myanmar yang tinggal di pasar borong untuk menyara kehidupan.

“Mereka akan memilih sayur dibuang pemborong, kemudian akan dijual kepada orang awam yang rata-ratanya peniaga kedai makanan kerana harganya murah.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali membuat operasi penjaja namun permasalahan itu berlarutan dan kini dilihat semakin kritikal,” katanya.

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Mohd Fauzi Ishak, 32, meminta badan pemantau dilantik menyelesaikan masalah lambakan warga asing.

“Warga asing kini mengatasi warga tempatan, penjaja warganegara dikenakan tindakan kompaun tetapi penjaja asing dibiarkan berleluasa sehingga menjadikan pasar borong umpama perkampungan Myanmar.

“Kita bimbang sekiranya perkara ini berlarutan dan tidak terkawal akan memudaratkan generasi akan datang kerana anggaran jumlahnya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Fauzi mengakui bimbang akan keselamatan diri dan sentiasa berhati-hati setiap kali bersama keluarga ke pasar borong untuk membeli barang keperluan niaganya.

Dia berharap, permasalahan itu dapat ditangani secara bijak dan dalam masa sama tidak menjejaskan periuk nasi warga tempatan.

Maut tersepit di roda traktor



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Maut tersepit di roda traktor
Penduduk, Jamaluddin Ahmad menujukkan keadaan mangsa ketika tersepit pada traktor.
HILIR PERAK - Seorang pemilik traktor terkejut apabila mendapati jentera miliknya bergerak tanpa pemandu di tengah sawah bersama seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi jentera berkenaan, petang semalam.

Mohd Razali Talib berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Utara untuk mengambil petrol traktor tersebut setelah seharian membajak bendang miliknya di Parit 2, Sungai Rambai, di sini.

Menurutnya, ketika di rumah, dia diberitahu oleh adiknya, Mohd Faiz Talib, 17, yang mengatakan traktor miliknya hilang.

“Saya bergegas balik ke bendang berkenaan sebelum menjumpai jentera tersebut bergerak di tengah sawah tanpa pemandu.

"Ketika mahu mematikan enjin  traktor itu,  saya terjumpa seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Razali berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu segera memeriksa keadaan remaja lelaki yang juga salah seorang rakan adiknya dan mendapati dia sudah meninggal dunia sebelum menghubungi polis  untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, bapa mangsa, Najiri Alkias, 48, ketika ditemui di Hospital Teluk Intan berkata,  kali terakhir jumpa anaknya, Mohd Hisamudin Najiri, 14, ketika bersarapan bersama pagi semalam, di rumahnya, di Parit 3, Chenderong Balai, dekat sini.

Jelasnya, anaknya itu sempat menjamah cempedak goreng dan minum  air teh yang dibuat isterinya, Azizah  Abu Hasim, 45,  sebelum keluar membantu saudara membajak sawah.

“Kira-kira jam 2.30 petang tadi (semalam), saya menerima panggilan daripada rakan arwah (Mohd Faiz) mengatakan anak saya ditimpa kemalangan.

“Saya yang tidak percaya dengan berita itu berulang-kali  bertanya kepada Mohd Faiz sebelum menyuruh dia menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Najiri berkata, arwah merupakan anak ketiga daripada lima beradik, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai.

Katanya, arwah juga adalah seorang  periang  yang menyerikan rumahnya dan mereka sekeluarga redha dengan pemergian Mohd Hisamudin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan.

Wanita panik kereta terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Keadaan kereta Lim selepas terbakar secara tiba-tiba daripada bahagian enjin.
Keadaan kereta Lim selepas terbakar secara tiba-tiba daripada bahagian enjin.
MUAR – Seorang kerani wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya secara tiba-tiba mengeluarkan api pada bahagian enjin sebelum membakar bahagian hadapan kereta itu.

Kejadian kira-kira jam 6.10 petang berlaku di Jalan Sungai Abong, berhampiran dengan Taman Seri Mulia, Sungai Abong, di sini, kelmarin.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30 an dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Sungai Abong, berdekatan dengan lokasi kejadian.

Lim yang memandu sendirian berkata, dia terhidu bau hangit yang disusuli dengan asap dan api keluar dari bahagian enjin ketika melewati jalan Taman Seri Mulia.
“Saya jadi panik lalu segera menghentikan kereta di tepi jalan seterusnya segera berlari menyelamatkan diri kerana bimbang kereta meletup.
“Saya juga menghubungi abang yang kemudiannya datang dengan membawa alat pemadam api untuk cuba memadamkan kebakaran, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang seterusnya mengerahkan sebuah jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.

“Operasi itu diketuai oleh Pegawai Operasi, Rahman Taib. Semasa pasukan ini tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan bahagian enjin kenderaan.

“Bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran dan operasi tamat pada jam 6.30 petang,” katanya.

Katanya lagi, mangsa juga terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Heret, ugut pukul ibu


RUBIAH OMAR
21 Disember 2012
Heret, ugut pukul ibu
Mohd Hanafi menutup mukanya untuk mengelak daripada dirakam selepas dijatuhi hukuman penjara 8 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam, apabila mengaku bersalah mengugut ibunya.y
KUALA TERENGGANU – Seorang anak bukan sahaja tergamak mengheret ibunya dengan kejam, malah dia turut mengugut akan memukul mangsa menggunakan rantai pengunci motosikal apabila permintaannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan Mohd Hanafi Hasim, 30, dari Kampung Kubang Panjang, di sini, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan apabila dia mengaku bersalah dengan sengaja mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan menggunakan rantai pengunci motosikal untuk mencederakan ibunya, Tuan Rahamah Tuan Sulaiman, 57.

Mohd Hanafi yang tidak bekerja itu mengaku melakukan perbuatan itu di Kampung Kubang Panjang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu.

Dengan itu, Mohd Hanafi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L. Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala Mohd Hanafi tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang enggan memberikan RM150 seperti diminta menyebabkan Mohd Hanafi naik angin lalu mengheret ibunya keluar dari bilik.

Ketika itu, Mohd Hanafi mengambil rantai pengunci motosikal dan mengugut mahu memukul mangsa.

Bagaimanapun, semasa kejadian, salah seorang daripada anak mangsa yang kebetulan berada di dalam bilik menghubungi adiknya memintanya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga menahan Mohd Hanafi yang ketika itu berada di depan rumah.

Sebelum ini, Mohd Hanafi pernah mengugut ibunya menggunakan parang sekiranya permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan.

Dua beradik mengaku salah terbabit rompakan bersenjata



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Dua beradik mengaku salah terbabit rompakan bersenjata
Ketiga-tiga tertuduh ketika hadir ke mahkamah untuk sebutan pertama pada 22 November 2011 yang lalu.
KUANTAN - Seorang bekas peniaga pasar malam bersama abang tirinya dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang pekerja kedai perabot di  Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan, dekat sini, dua tahun lalu.

Tertuduh,  Muhammad Norhasri Abdul Wahab, 26, dan abang tirinya, Khaizuan Khairi, 35,  dari Kampung Sungai Batu, Panching, dekat sini, kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan tiga sebatan selepas disabitkan bersalah atas satu lagi tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap  seorang peniaga wanita di Balok Perdana pada April 2010.

Manakala seorang lagi saudara mereka, Muhammad Norhisham Abdul Wahab, 28, yang kini berada dalam tahanan reman setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan samun melibatkan peniaga perabot itu masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya.

Hukuman terhadap dua beradik tiri itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris, semalam, selepas kedua-dua tertuduh memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sambung bicara berhubung kes tersebut.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hisham Abdul Rahim.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa bertindak merompak mangsa sebelum merampas wang tunai RM1,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang 26 April 2010 itu, mereka turut menggunakan pisau bagi tujuan menakutkan mangsa berusia 70 tahun sehingga  boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

Manakala Muhammad Norhisham dikatakan menunggu dalam kereta jenis Proton Saga di luar kedai.

Susulan kejadian, ketiga-tiga tertuduh berjaya ditahan polis kira-kira jam 11.15 pagi 9 November 2011 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 22 November 2011 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagaimanapun, semasa sebutan pertama, Muhammad Norhasri dan Khaizuan yang berdepan dua tuduhan mengikut seksyen sama dibenarkan diikat jamin RM12,000 setiap seorang manakala  Muhammad Norhisham ditawarkan jaminan RM6,000, bagaimanapun semua mereka gagal membayar jumlah jaminan tersebut.

Dalam prosiding sama semalam, mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan melibatkan Muhammad Norhisham dalam mahkamah yang sama.

Suri rumah ditemui mati tertiarap di kebun ubi



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Zalina Omar
Zalina Omar
 Wahab Mustafa
Wahab Mustafa
BESUT - Seorang suri rumah ditemui mati oleh sepupunya di kebun ubi kayu di Kampung Bukit Tanah, di sini dekat Jabi, pagi kelmarin.

Mangsa Zalina Omar, 45, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam lopak air di kawasan kebun ubi yang terletak hanya 100 meter dari rumahnya kira-kira jam 9.20 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Nor berkata, kematian mangsa hanya disedari sepupunya selepas suami mangsa memberitahu isterinya tidak pulang ke rumah sejak patang Rabu.

Menurutnya, mangsa dikatakan pergi ke kebun itu untuk mengambil ubi kayu selepas keluar dari rumah kira-kira jam 5 petang kelmarin dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemui.

“Suami mangsa yang mengalami kecacatan kaki kiri selepas terlibat kemalangan memberitahu saudara bahawa isterinya tidak pulang sebelum mayat isterinya dijumpai pagi kelmarin," katanya.

Noor Zainy berkata, mangsa yang tinggal bersama suami dan seorang anak lelaki berusia lima tahun, ditemui berpakaian lengkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan ia sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah.

Kata beliau, mangsa berasal dari Kampung Gong Tiong, Keluang di sini, dipercayai diserang penyakit sawan dan terjatuh di dalam lopak itu sebelum meninggal dunia.

“Rekod kesihatan menunjukkan si mati menghidap sawan dan sering mendapat rawatan di Hospital Besut," katanya.

Sementara itu suami mangsa, Wahab Mustafa, 50, berkata, dia tidak menyangka isterinya yang tidak pulang selepas ke kebun ubi rupa-rupanya meninggal dunia selepas diserang sawan.

“Keadaan saya yang uzur menyebabkan saya tidak berdaya untuk mencarinya,” katanya.

Menurut Wahab, isterinya sering diserang sawan, kadang-kadang dua kali sebulan, namun sebelum ini tidak pernah berlaku di kebun ubi berkenaan.

Lelaki terbabas, rempuh tong sampah



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Lelaki terbabas, rempuh tong sampah
Mangsa dikeluarkan dari kereta untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pasir Mas.
RANTAU PANJANG – Dua lelaki terselamat walaupun kereta dinaiki terbabas merempuh tong sampah di tepi jalan dalam kejadian di Gual Tinggi, petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas dan kereta yang dipandu  hilang kawalan sebelum terbabas serta merempuh tong tersebut.

Berikutan kejadian itu, kereta jenis Honda yang dinaiki mangsa rosak di bahagian hadapan.

Pemandu, Yusnorhisham Yusof, 23, dipercayai seorang tentera berdasarkan alamatnya bersama rakannya berusia 20-an hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan, sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pasir Mas dengan menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Lans Koperal Sharifah Syuhada Syed Akil berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan berlaku kemalangan kira-kira jam 4.04 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama tiga anggotanya.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian mangsa masih berada di tempat duduk.

“Mangsa yang masih trauma dibawa ke Pusat Kesihatan Rantau Panjang sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Tanda X di belakang mangsa



GOKINA MORGANAN
21 Disember 2012
Tanda X di belakang mangsa
Polis mengangkat mayat mangsa untuk bedah siasat.
GEORGETOWN - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan lehernya dikelar dan beberapa bahagian badan ditoreh oleh penjenayah dalam kejadian di sebuah tempat simpanan barangan kuil Hindu, di Lebuh Penang, kelmarin.

Mangsa, Muthu Palaniappan, 82, seorang kerani yang juga penjaga barang berharga milik sebuah kuil ditemui anaknya yang melawat ayahnya di premis berkenaan.

Difahamkan, suspek cuba mengambil beberapa patung yang bersalut emas dan berlian bernilai jutaan ringgit yang disimpan.

Mulut mangsa juga disumbat dengan kain bagi mengelakkan mangsa menjerit dan membuatkan dia lemas.

Menurut sumber, suspek juga membuat tanda pangkah di belakang badan mangsa dengan darah.

“Hasil siasatan awal, polis percaya ada kemungkinan suspek yang mengenali mangsa dan dia juga mungkin sudah merancang untuk melakukan perkara ini.

“Bagaimanapun, siasatan polis akan menjurus kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran premis berkenaan,” katanya.

Siasatan awal kejadian dipercayai bermotifkan rompakan, memandangkan premis tersebut menempatkan berhala, serta barangan kemas milik kuil yang bernilai tinggi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris  berkata, kejadian itu disedari anak mangsa, kira-kira jam 5 petang, ketika datang untuk menemui mangsa.

“Siasatan awal, polis mendapati suspek dipercayai menggunakan pintu belakang untuk memasuki premis tersebut.

“Ini berdasarkan kesan umpil pada dua pintu besi di belakang, sebelum membunuh mangsa dan melarikan barang berharga. Polis turut menggunakan anjing pengesan untuk mengesan bukti kes,” katanya.

Beliau  berkata  polis masih memburu suspek dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dirancang dan dilakukan lebih daripada seorang suspek.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Nyaris maut kereta terbabas



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Nyaris maut kereta terbabas
Kereta yang dipandu mangsa terhumban atas pembahagi jalan.
KULIM - Seorang lelaki berusia 50-an nyaris maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di jalan Bukit Awi berhampiran Masjid Kulim kira-kira jam 12.30 pagi, baru-baru ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan dibawa ke Hospital Kulim oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Trafik Kulim Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, sehingga kini ramai pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, antara punca berlakunya kemalangan adalah seperti memandu laju, selekoh tajam dan jalan licin apabila hujan.

“Saya mengingatkan pemandu supaya berhati-hati dan jangan terburu-buru ketika mengambil selekoh itu kerana sudah ramai pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan dan ada di antara mereka mengalami kecederaan parah.

"Selain pemandu kereta penunggang motosikal terutama golongan muda jangan terlalu laju ketika mengambil selekoh di kawasan itu kerana ia sangat berbahaya,” katanya.

Ikan, sotong bertaburan



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
21 Disember 2012
Ikan, sotong bertaburan
Anggota polis berusaha mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku selama dua jam akibat lori terbalik.
KUANTAN - Beberapa pelanggan sebuah kedai makan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila ternampak sebuah lori dengan muatan hasil laut tiba-tiba bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum terbalik dan nyaris merempuh kedai dalam kejadian di Jalan Besar, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam apabila badan lori seberat tiga tan itu menghalang sebahagian laluan, manakala muatan ikan dan sotong beku yang dibawanya bertaburan atas jalan.

Bagaimanapun pemandunya yang berusia 50-an difahamkan hanya mengalami cedera ringan di kaki.

Seorang saksi kejadian dikenali sebagai Chong, 68, berkata, ketika kejadian, dia bersama kira-kira 10 pelanggan sedang menikmati sarapan pagi di kedai makan itu.

Menurutnya, salah seorang pelanggan yang berada di meja paling hadapan tiba-tiba menjerit setelah ternampak lori tersebut bergerak ke kiri dan ke kanan menuju ke arah kedai.

“Saya kemudian nampak lori terbabit seperti hilang imbangan sebelum  terbalik betul-betul di hadapan kedai makan ini.

“Semua pelanggan panik dan melarikan diri ke bahagian belakang kedai untuk menyelamatkan diri, malah seorang pelanggan yang terlalu panik melanggar meja hingga tercampak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, nasib mereka agak baik kerana lori yang terbalik itu tidak merempuh kedai dan tiada kejadian lebih buruk berlaku.

“Sebelum kejadian, ada seorang pelanggan meletakkan motosikalnya di hadapan kedai ini dan nasibnya baik  apabila lori itu terbalik sebaik sahaja dia beredar.

“Lori ini dipandu perlahan namun mungkin muatannya terlalu berat dan tidak stabil menyebabkan ia terbalik ketika melalui hadapan kedai ini dan muatan bertaburan di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, sejurus selepas lori itu terbalik, keadaan kembali panik apabila asap keluar dari lori tersebut dan orang ramai bimbang ia meletup, bagaimanapun keadaan  kembali reda selepas mendapati asap itu sebenarnya wap ais dari tong hasil laut yang tumpah.

“Setiap hari saya bersarapan di kedai ini namun tidak pernah duduk di meja paling hadapan kerana bimbang dirempuh kenderaan yang terbabas memandangkan kedudukan kedai  yang begitu hampir dengan jalan.

“Walaupun kejadian ini adalah yang pertama, namun kebimbangan saya  berasas dan kami semua bernasib baik apabila lori berkenaan tidak menggelongsor masuk  ke dalam kedai atau melanggar tiang konkrit bangunan,” katanya.

Padah sorok syabu dalam tapak selipar



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Padah sorok syabu dalam tapak selipar
Fidelis Daniel dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Angkara sorok dadah jenis syabu di dalam ruang sulit tapak selipar, seorang lelaki warga Nigeria menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hukuman terhadap Fidelis Daniel Enechukwu, 52, dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama kerana kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 233.5 gram.

Dia didapati bersalah pada pertuduhan mengedar dadah itu di ruang ketibaan domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, di sini,  kira-kira jam 10.45 pagi, 14 Januari lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa  Raya, Nur Ashikin Mokhtar manakala Fidelis Daniel diwakili peguam S Yagoo.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Amin Firdaus Abdullah membuat keputusan itu terhadap Fidelis Daniel setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah.

Mohd Amin Firdaus berkata pembelaan oleh Fidelis  kebanyakan berbentuk penafian semata-mata, termasuk dakwaannya bahawa  sepasang selipar yang mengandungi dadah bukan miliknya, malah ia merupakan kepunyaan sekumpulan lelaki berbangsa Cina, yang didakwa meletakkan selipar itu berdekatan begnya, sebelum mengimbas bagasi mereka yang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Mohd Amin Firdaus berkata dakwaan itu tidak dapat diterima kerana mengikut keterangan Koperal Wan Azmi Wan Mat Isa dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik LTAB Bayan Lepas, bahawa tindakan Fidelis Daniel menimbulkan kecurigaan apabila dia enggan memberi kerjasama mengemukakan pasport kepada pihak berkuasa.

“Tindakan Fidelis Daniel beberapa kali cuba merampas pasangan selipar yang disyaki mengandungi syabu menimbulkan keraguan. Hal ini, menunjukkan dia mempunyai pengetahuan terhadap kandungan yang ada pada selipar berkenaan.

“Mengikut keterangan Wan Azmi juga, Fidelis Daniel kelihatan panik dan badannya menggigil dan menggeletar ketika menyerahkan pasport untuk pemeriksaan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik LTABL,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah mendapati cara dadah itu disorok di dalam tapak selipar membuktikan Fidelis Daniel mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut serta mempunyai niat untuk melakukan kesalahan berkenaan.

"Mahkamah mendapati hujahan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes ini. Tiada hukuman lain untuk Fidelis Daniel kecuali hukuman gantung sampai mati," katanya.

Fidelis Daniel hanya diam semasa Mohd Amin Firdaus membacakan hukuman tetapi riak muka mereka berubah dan kelihatan mengeleng-gelengkan kepala dari kadang tertuduh.

Lokasi baru cari mangsa gores dan menang



ERMA YUSNIDA JUSOH
21 Disember 2012
Lokasi baru cari mangsa gores dan menang
Kumpulan sindiket gores dan menang setia menunggu mangsa di kawasan Pasar Besar, Kuantan.
Lokasi baru cari mangsa gores dan menang
Dua lelaki daripada kumpulan sindiket gores dan menang mendekati seorang pengguna di kawasan Pasar Besar, Kuantan.
KUANTAN - Kegiatan gores dan menang yang makin berleluasa di bandar ini kini menjadikan kawasan Pasar Besar Kuantan sebagai lokasi baru mencari mangsa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat kira-kira tujuh lelaki setia menunggu mangsa untuk menawarkan ‘hadiah’ lumayan dan istimewa.

Dalam pemerhatian selama satu jam di kawasan tersebut didapati, lelaki terbabit cuba mendekati orang ramai dan menawarkan pakej hadiah yang ada.

Seorang kakitangan awam, Mohd Ibrahim, 40, berkata, dia mula menyedari kehadiran kumpulan itu sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, walaupun tidak pernah terkena, namun dia bimbang sekiranya orang ramai terutama warga emas termakan pujukan mereka dan ditipu.

“Mereka berada di situ dalam tempoh yang agak lama iaitu dari pagi sehingga jam 3 petang.

“Mungkin mereka merasakan kawasan pasar tempat strategik untuk mencari mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi suri rumah, Siti Aisyah Abdul, 35, pula terkejut dengan kegiatan gores dan menang yang terdapat di situ.

Katanya, biasanya kumpulan terbabit menjadikan kawasan letak kereta di sebuah pasar raya sebagai tempat tumpuan.

“Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kegiatan itu kerana bimbang ramai yang terpedaya.

“Walaupun sudah banyak kes penipuan membabitkan gores dan menang, namun masyarakat kita kadang-kadang mudah terpengaruh apatah lagi dikatakan memenangi hadiah lumayan seperti kereta dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, kegiatan gores dan menang bergerak aktif di kawasan letak kereta Kuantan Parade.

Walaupun pihak berkuasa sudah melakukan pemantauan dan menampal poster bagi menghalang kegiatan itu, namun mereka seperti tidak serik dan terus memperdaya orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai kegiatan sindiket berkenaan di lokasi baru itu.

Bagaimanapun kata Mohd A Aruwan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan terbabit menukar modus operandi ke kawasan Pasar Besar Kuantan selepas lokasi tumpuan iaitu di kawasan letak kereta Kuantan Parade sering dipantau pihak berkuasa.

“Mereka tidak akan terlepas walaupun sudah mempunyai lokasi tumpuan baru kerana kita mengadakan pemantauan setiap hari.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran hadiah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu bijak menilai dan berfikir secara logik sebelum membuat keputusan menerima tawaran terbabit.

Hasrat mencuri terbantut



WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Disember 2012
Mohd Zol Deraman
Mohd Zol Deraman
MARANG – Dua lelaki terpaksa berputih mata apabila hasrat mencuri tembaga anti kilat di bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok di sini, tidak kesampaian apabila mereka ditangkap polis.

Dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, dipercayai menceroboh kawasan sekolah kira-kira jam 2.30 pagi semalam, melalui siling bangunan empat tingkat itu dengan memecah bahagian siling bilik air bangunan terbabit.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila sepasukan polis tiba di tempat berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh dua pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kehadiran dua suspek terbabit.

Pengawal keselamatan terbabit, Mohd Zol Deraman, 44, berkata, dia bertugas bersama seorang rakan menyedari kehadiran suspek selepas melihat kelibat dua lembaga menuju ke arah bangunan sekolah itu, awal pagi semalam.

“Saya kemudiannya membuat rondaan di kawasan berdekatan, namun gagal mengesan mereka sebelum menemui sebuah motosikal dan selipar yang dipercayai ditinggalkan dua suspek terbabit di luar pagar bahagian belakang sekolah.

“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada rakan setugas sebelum bergegas ke bangunan empat tingkat itu untuk membuat pemeriksaan, lalu mendapati siling tandas di tingkat empat telah dipecahkan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Zol kemudiannya menghubungi pihak pentadbiran sekolah dan pihak polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu kerana mengesyaki dua suspek yang menceroboh sekolah itu, berada di atas siling bangunan sekolah berkenaan.

Sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kemudiannya berjaya menahan dua suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Mayat wanita dalam kereta



SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
21 Disember 2012
Mayat wanita dalam kereta
Anggota polis mengangkat keluar mayat dari kereta untuk dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.
Mayat wanita dalam kereta
Mayat wanita ditemui dibungkus dengan plastik hitam dalam kereta.
KULAIJAYA – Misteri kereta mencurigakan di kawasan kebun rambutan berhampiran Kampung Desa Idaman, Sedenak, di sini, akhirnya terjawab apabila polis menemui mayat wanita yang dibungkus dengan plastik hitam, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Asisten Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mayat itu ditemui pada bahagian tempat duduk pemandu dan terdapat kesan bakar pada tempat duduk berkenaan..

“Mayat ditemui selepas pihak polis menerima panggilan dari orang awam sekitar jam 7.20 pagi.

“Berdasarkan siasatan awal, mayat berkenaan dipercayai cuba dibakar berikutan terdapat kesan kebakaran di tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, tindakan itu mungkin tidak berjaya disebabkan kekurangan oksigen di dalam kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih itu,” katanya kepada Sinar Harian mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Mohd Kamil berkata, hasil pemeriksaan, polis mendapati barang peribadi seperti kad pengenalan atau telefon bimbit milik mangsa tidak dapat ditemui.

"Tetapi kami percaya mangsa baru sahaja meninggal dunia beberapa jam sebelum dia ditemui orang awam dan kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga turut mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu milik kenderaan sebenar yang berada di Kelantan.

“Punca sebenar kematian atau kesan kecederaan dialami mangsa juga masih belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Wak Jalil, 50, berkata, dia menyedari kereta itu diparkir dalam kebun sejak tengah malam kelmarin, namun menyangka kenderaan itu milik pekebun di lokasi berkenaan.

“Sejak dari malam tadi (kelmarin), saya perasan ada kereta di kebun itu, tetapi tidak berani untuk tinjau lebih dekat sebab keadaan terlalu gelap dan saya fikir kenderaan itu mungkin milik tuan kebun.

“Bagaimanapun, pagi ini kawasan kebun mula dipenuhi orang ramai selepas mendapati terdapat mayat berada di dalamnya.

“Kenderaan itu mungkin milik penduduk luar kerana saya tidak pernah melihatnya di sekitar kampung ini sebelum ini,” katanya.