Search This Blog

Thursday, December 20, 2012

Pelajar tunggu SPM maut motosikal rempuh van





         
KUANTAN: Seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah van di Batu 3, Jalan Kuantan-Maran dekat Tanah Putih di sini, petang semalam.

Muhammad Zaim Mohd Zin, 17, pelajar Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar Kuantan yang memiliki lesen 'L' maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira 6.35 petang, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim.
"Di tempat kejadian, dipercayai mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang van dari arah yang sama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama

Polis nafi kematian tiga lelaki terbabit rusuhan di Kedah





         
KUALA LUMPUR: Polis menafikan khabar angin mengenai kematian tiga lelaki kononnya terlibat dalam rusuhan di daerah Kuala Muda, Kedah dua hari lepas.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), ACP Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan berkata penyebaran kematian itu dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media sosial.
"Keadaan semasa di Sungai Petani, Kedah masih tenang dan terkawal, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin dan terlebih dahulu mendapatkan kesahihan sesuatu kejadian," katanya.

Beliau berkata, penyebaran maklumat dan berita palsu di media sosial yang tidak merujuk kepada kesahihan sesuatu kejadian bukan sahaja perbuatan yang tidak bertanggungjawab malah ia juga adalah satu perlakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada.


Ramli berkata Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa, dan maklumat terkini juga boleh diperolehi daripada Facebook dan Twitter rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama

Sembilan individu saman syarikat pelaburan emas

KUALA LUMPUR: Sembilan pelabur emas memfailkan saman terhadap syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd dan empat pengarahnya termasuk anakanda Sultan Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah untuk menuntut dipulangkan wang pelaburan mereka, melebihi RM2 juta.

Daud Mohamad, 63, Sofiah Halili, 42, Fazilahtun Ahmad, 42, Izuan Daud, 32, Mahmud Idris, 73, Mohd Sabri Ibrahim, 55, Noor Asykeen Abu Bakar, 36, Noorazylawati Abu Bakar, 35, dan Noraini Jasneh, 30, memfail writ saman tersebut di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Azman & Affendy.
Mereka menamakan syarikat tersebut sebagai defendan pertama manakala Tengku Muhaini, 56, Philip Lim Jit Meng, 55, Ahmad Khairuddin Ilias, 54, dan Tan Liang Keat, 40, sebagai defendan kedua hingga kelima.

Menerusi pernyataan tuntutan, mereka mendakwa telah terlibat dalam skim pelaburan emas berasaskan syariah yang diwujudkan oleh syarikat Geneva Malaysia yang memberi jaminan ia menguntungkan.


Mereka mendakwa bagi menyertai skim tersebut, kesemua plantif dikehendaki mendeposit sejumlah wang untuk membeli jongkong atau kepingan emas daripada defendan dan akan diberi ganjaran sebanyak dua hingga lima peratus sebulan,

bergantung kepada jumlah berat emas yang dibeli.

Menurut mereka, Daud telah membayar sebanyak RM405,250; Sofiah RM307,755; Fazilahtun RM424,000; Izuan RM119,900; Mahmud RM60,300; Mohd Sabri RM20,100; Noor Asykeen RM20,100; Noorazylawati RM671,455 dan Noraini sebanyak RM40,000.

Dalam tuntutan itu mereka menyatakan sehingga kini plaintif masih gagal mendapatkan emas mereka dan mendakwa defendan membuat representasi palsu dengan menyatakan skim pelaburan itu adalah menurut syariah sedangkan ia adalah sebaliknya.

Mereka memohon satu perintah untuk mengarahkan Bank Negara Malaysia atau mana-mana pihak berkenaan memulangkan kembali wang pelaburan mereka itu.

Turut dituntut ialah kadar faedah, kos serta relif lain.

Peguam Mohamad Siddiq Azani yang mewakili kesemua plantif memberitahu Bernama bahawa writ saman tersebut akan diserahkan kepada defendan minggu depan. - Bernama

36 individu termasuk penyebar maklumat palsu ditahan



Oleh Mohamad Hussin
         
ALOR SETAR: Seramai 36 individu termasuk penyebar maklumat palsu melalui SMS ditahan kerana terbabit dalam insiden pergaduhan di daerah Kuala Muda bermula sejak 16 Disember lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Menurutnya, maklumat yang disebarkan itu termasuk menerusi laman sosial dan blog adalah tidak benar sebaliknya suasana di daerah berkenaan terkawal serta tenteram dengan kegiatan harian penduduk berjalan seperti biasa.

"Ingatan saya kepada orang ramai jangan sebarkan berita yang tidak betul dan jangan menimbulkan provokasi sehingga menyebabkan kemarahan orang. Ini bukan perkara untuk seronok tetapi melibatkan soal keselamatan.


"Orang ramai khususnya golongan muda jangan bertindak di luar batas undang-undang dan jangan bertindak mengikut emosi sebaliknya dapat maklumat yang tepat daripada polis tanpa mendengar khabar angin.


"Polis bukan mahu menyembunyikan fakta sebenar. Saya menafikan seratus peratus berlaku rusuhan kaum di Sungai Petani sebaliknya suasana di sini tenteram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini.

Pelajar perempuan dirogol, dicampak dari bas





NEW DELHI – Kejadian seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun dirogol, dipercayai oleh empat lelaki, dalam sebuah bas di sini Ahad lalu mencetuskan kemarahan di seluruh India.
Kejadian itu turut membangkitkan kemarahan di kalangan ahli Parlimen hari ini, yang mendesak agar undang-undang sedia ada dipinda untuk mengenakan hukuman mati.
Polis telah menahan empat orang termasuk pemandu bas. Dua lagi masih dicari.


“Apa yang kerajaan lakukan untuk menangani kes-kes rogol di ibu negara?” kata Sushma Swaraj dari parti pembangkang, Bharatiya Janata.
“Perogol hari digantung, kita perlukan undang-undang yang ketat untuk menghentikan kejadian rogol,” kata beliau lagi.
Pada hari kejadian, pelajar perempuan itu dan rakan lelakinya yang sedang dalam perjalanan itu dipukul, dilucutkan pakaian dan dicampak keluar dari bas.
Menurut polis, pasangan itu diserang oleh sekurang-kurangnya empat lelaki.
Ketua Polis Delhi, Neeraj Kumar memberitahu pemberita hari ini bahawa pelajar itu dan rakannya menaiki bas di kawasan Munirka, yang terletak di selatan Delhi.
“Kawan lelaki pelajar perempuan telah melawan lelaki-lelaki yang menyerang mereka untuk menyelamatkan pelajar perempuan itu, tetapi dipukul dengan teruk.
“Pelajar perempuan untuk juga menyelamatkan kawannya, tetapi turut dipukul dan dirogol di bahagian belakang bas.
“Kemudian, kedua-dua mereka dicampak dari bas,” kata Neeraj.
Pasangan itu dimasukkan ke hospital dan wanita itu dipercayai berada dalam keadaan kritikal.
Polis sudah menahan pemandu bas dan beberapa yang lain bagi membantu siasatan.
Angka kejadian rogol di New Delhi lebih tinggi berbanding di bandar lain. Sebanyak 572 kes dilaporkan di New Delhi tahun lalu.
The Times of India mendakwa insiden yang berlaku itu menyebabkan mereka melabelkan New Delhi sebagai kawasan rogol India.
Ketua Menteri Delhi bagaimanapun memberitahu pemberita, kes terbaru ini sesuatu yang paling luar biasa.
“Kami ingin memastikan bahawa pesalah tidak akan dibenarkan untuk diikat jamin walau apa keadaan sekalipun. Pesalah akan dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka,” katanya.
Kata Ketua Menteri, pihaknya akan menimbang semula keperluan untuk menubuhkan mahkamah ‘fast track’ bagi emmastikan keadilan yang pantas dapat diberikan kepada mangsa.

Kanak-kanak empat tahun maut kemalangan di Tapah



         
IPOH: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terbunuh setelah motosikal yang dinaiki bersama kedua ibu bapanya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 3 Jalan Bidor-Teluk Intan, dekat Tapah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Somsak a/l Din Keriau berkata mangsa, Adam Mohd Rosidi yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.
Bapa mangsa Mohd Rosidi, 20, yang cedera parah akibat tercampak dari motosikal yang ditungganginya itu dirawat di Hospital Teluk Intan manakala isterinya Sharima Hishamuddin, 19, yang turt cedera parah menerima rawatan di Hospital Tapah, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 8.15 malam ketika tiga beranak itu sedang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke rumah mereka di Kampung Jeram, Mengkuang, Bidor, sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda tersebut yang datang dari arah bertentangan.


Somsak berkata hasil siasatan mendapati kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 70 tahun itu dikatakan cuba membelok di satu persimpangan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.


Pemandu itu ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis setelah membuat laporan di Balai Polis Tapah. - Bernama

Bebas berkeliaran tanpa tuan



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Bebas berkeliaran tanpa tuan
Pemandangan sebegini perkara biasa memerlukan perhatian tindakan segera pihak berwajib segera.
KUALA LANGAT - Penternak lembu sekitar daerah ini perlu bertanggungjawab dan tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya apabila ianya berisiko mengundang padah kepada pengguna.

Tinjauan Sinar Harian di Jalan Sungai Buaya dan Tali Air di sini, mendapati haiwan ternakan itu dibiarkan berkeliaran di jalan raya yang boleh mengancam nyawa pengguna terutama pada waktu malam.

Malah, sekumpulan lembu berkenaan yang tidak dikurung pemiliknya juga dilihat menggunakan pondok menunggu bas untuk berteduh dan menjadikan tempat tidur pada waktu malam selain berada di tepi jalan.

Pemandu lori, Rasif Rizki, 32, berkata, dia menggunakan jalan itu setiap hari mengangkut pasir  bimbang kerana haiwan itu sering melintas secara mengejut.

“Lembu berkeliaran di tepi  dan di tengah jalan cukup membimbangkan saya kerana haiwan itu akan melintas.

“Lebih membimbangkan apabila ada lembu yang duduk atas jalan pada waktu malam dan keadaan ini cukup membahayakan pengguna,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Rasif turut kesal apabila lembu tidak bertuan itu menjadikan pondok menunggu bas tempat tidur.

“Ada dalam kalangan pelajar sekolah yang menggunakan kemudahan awam ini mengeluh bau najis ternakan ini menyebabkan tidak selesa malah ada kalanya ternakan yang memasuki kawasan kediaman orang juga menyebabkan penduduk terpaksa membersihkan kotoran ditinggalkan.

“Terdapat juga rungutan haiwan ini memasuki kebun dan halaman rumah seterusnya merosakkan tanaman penduduk  kampung,”  katanya kepada Sinar Harian.

Bagi M Samy, 55, lembu yang berkeliaran itu menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pengguna lalu lintas.

Menurutnya, dia pernah hilang kawalan ketika memandu  apabila ternakan itu  melintas.

“Pemilik  ternakan ini harus memantau  haiwan  mereka bagi memastikan pengguna tidak terlibat dalam  kemalangan jalan raya,” katanya.

Rumah warga emas ranap



NORHASRAM MOHAMAD
20 Disember 2012
Rumah warga emas ranap
Zulkifli (kanan) bersama pemimpin masyarakat meninjau rumah Zaharah yang sebahagiannya ranap ditimpa pokok, semalam.
Zaharah Mamat
Zaharah Mamat
PASIR PUTEH - Sebahagian rumah usang yang didiami warga emas bersama cucunya ranap ditimpa pokok kelapa sawit tua yang tumbang di Kampung Bukit Abal Hilir, dekat sini, semalam.

Zaharah Mamat, 80, berkata, kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu agak mengejutkan kerana pokok itu tumbang tiba-tiba dan bukan disebabkan ribut atau angin kencang.

Cucunya, Mohd Azam Abdullah, 17, yang ketika itu sedang tidur terkena kayu bumbung yang runtuh tapi tidak mengalami kecederaan.
Zaharah yang uzur dan hanya mampu berjalan dengan menggunakan tongkat berkata, selepas menyedari pokok menimpa rumah, dia hanya teringatkan cucunya.

“Makcik takut sesuatu buruk menimpa dia (Mohd Azam) tapi saya tidak boleh berjalan untuk melihat keadaannya sehinggalah emak dia yang tinggal bersebelahan datang untuk menolong.

“Makcik terkejut dengan kejadian ini tapi tetap bersyukur kerana dia tidak cedera,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaharah berkata, pokok itu tumbang mungkin disebabkan akar reput dan keadaan tanah terlalu lembab disebabkan hujan lebat sebelum itu.

Beberapa anggota Bomba dan Penyelamat kemudiannya bertungkus lumus mengalihkan pokok tersebut dan pihak Tenaga Nasional Berhad terpaksa membuat pemotongan bekalan kerana kabel elektrik ke rumah itu terputus.

Selain terpaksa bergelap, Zaharah juga mengalami kesulitan sementara kerana paip bekalan air patah dalam kejadian itu.

Kejadian itu menarik perhatian Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ali yang membuat tinjauan segera bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Chrerang Rotan, Wahab Jusoh; Pengerusi JKKKP Bukit Abal, Md Yusoff Ahmad dan Bendahari Parti Progresif Penduduk (PPP) Cawangan Bukit Abal, Sasudin Mohd.

Zulkifli berkata, Zaharah bukan sahaja memerlukan bantuan akibat bencana tersebut, malah perlu mendapat bantuan lain yang sewajarnya kerana berstatus warga emas, miskin dan uzur.

Tak sempat jumpa bakal isteri



NUR FARHANA ABDUL MANAN
20 Disember 2012
Tak sempat jumpa bakal isteri
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas berlanggar dengan sebuah kereta di simpang Jalan SR2/2, malam kelmarin.
SERDANG – Hasrat seorang anggota tentera bertemu bakal isterinya sebelum majlis pernikahannya yang dijadualkan berlangsung hari ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Serdang Raya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikatakan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian dari arah Seri Kembangan menuju ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, ketika mangsa tiba di simpang tiga Jalan SR 2/2, sebuah kereta dari arah Kuala Lumpur dikatakan tiba-tiba membelok ke arah kanan.

Menurutnya, kereta Proton Saga dipandu seorang wanita itu dirempuh dari arah kiri oleh mangsa sebelum dia terpelanting ke atas jalan.

Akibat kejadian itu, mangsa Rusdy Isnirin, 25, berasal dari Sabah maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta yang datang dari arah Kuala Lumpur memasuki simpang kanan ke jalan SR 2/2.

“Rempuhan motosikal menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami pendarahan di bahagian kepala. Pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Abd Razak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595 untuk membantu siasatan.

Polis Kota Kinabalu berkas lima suspek kes ragut




19 Disember 2012
KOTA KINABALU - Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menyelesaikan beberapa kes ragut di sekitar bandar raya ini dengan penangkapan lima lelaki termasuk dua warga asing hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata kesemua suspek yang berusia antara 15 dan 34 tahun itu dipercayai aktif meragut sejak awal bulan ini termasuk enam kes di City Mall dan Wisma Melania, Luyang.
Tiga daripada mereka diberkas ketika menaiki sebuah kereta berhampiran Fohsang, Luyang pukul 1 pagi, manakala dua lagi ditangkap di kawasan Penampang pukul 9 pagi tadi, katanya pada sidang media, di sini.

Menurutnya polis turut menemui semula barangan dipercayai hasil kegiatan ragut bernilai RM72,000 daripada suspek.

Kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek juga dipercayai dicuri dan digunakan untuk kegiatan jenayah mereka, katanya menambah dua warga asing yang diberkas itu bekerja sebagai pencuci kereta di Luyang.- Bernama

Padah curi kasut



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Padah curi kasut
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Akibat mencuri dua pasang kasut berjenama, seorang penganggur berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Samsu@Shamsuddin Musa, 42, dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, mengaku bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret, di sini,
semalam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bagaimanapun, Majistret Noradila Ab Latif menetapkan 27 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula di Mahkamah Majistret Dungun.

Samsu@Shamsuddin yang memiliki rekod jenayah lampau mencuri dan penyalahgunaan dadah mengaku bersalah mencuri dua pasang kasut, milik Hisham Iskandar Mohd, 33, di Kampung Sura Jetty, Dungun, kira-kira jam 6 petang pada 17 Disember lalu.

Noradila membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Samsu @Shamsuddin tidak diwakili peguam.

Tiga tidak mengaku miliki heroin



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Tiga tidak mengaku miliki heroin
Shalehuddin (kanan) dan Mazron (kiri) keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah memiliki 0.1 gram heroin di sebuah rumah di Ketereh di sini, Ahad lalu.

Mazron Shah Muhamad, 29, Hasniraiza Azis, 36, dan Shalehuddin Hassan, 43, dituduh memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah si Kampung Batu 11 ½ Ketereh di sini, pada jam 1 petang, 16 Disember.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara yang tidak lebih lima tahun.

Pada prosiding semalam, Mazron Shah dan Hasniraiza bagaimanapun mengaku tidak bersalah sementara Shalehuddin pula sebaliknya.

Hukuman terhadap Shalehuddin bagaimanapun ditangguhkan bagi mendapatkan berat sebenar dadah berkenaan dan kesemuanya dibenarkan diikat jamin RM8,000 setiap seorang.

Dalam perkembangan lain, mereka turut didakwa memiliki 0.1 gram dadah jenis metamphetamine pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Kes bersambung 17 Februari depan.

Dua warga emas maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Dua warga emas maut
Dua kereta yang bertembung di persimpangan empat Benut, awal pagi semalam
PONTIAN - Hasrat empat sahabat warga emas untuk bercuti di Tanjung Balai, Indonesia tidak kesampaian apabila dua daripadanya terbunuh dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Benut di Kilometer 85.9, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di sini, awal  pagi semalam.

Ng Cheng Thiam, 76, pemandu kereta Proton Iswara Aeroback berwarna merah dan rakannya Go Asing, 74, yang menumpang di tempat duduk belakang  sebelah kanan maut dalam kejadian 6.30 pagi itu.

Manakala, dua rakannya dikenali sebagai Tan, 60 dan Lim, 70, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Semua mangsa berasal dari Bukit Pasir, Muar, dan dalam perjalanan ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk menaiki feri ke Tanjung Balai, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, mengesahkan kejadian berkata, kereta yang dipandu Cheng Thiam bersama tiga lagi rakannya datang dari arah Simpang Renggam sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah Batu Pahat dan Pontian di simpang empat lampu isyarat di Benut.

“Berikutan lampu isyarat yang  tidak berfungsi di persimpangan itu, kedua-dua kereta bertembung.

“Pemandu wanita yang turut memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari arah Batu Pahat dan Pontian hanya mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mayat terlibat dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Lim berkata, dia bersama Cheng Thiam dan tiga lagi rakannya bertolak dari Muar sekitar jam 5 pagi untuk pergi bercuti ke Tanjung Balai, Indonesia.

Dia yang duduk di bahagian belakang sebelah kiri berkata, sebaik tiba di persimpangan empat Benut,  dia mendapati lampu isyarat di  kawasan terbabit tidak berfungsi dan hanya menunjukkan  warna kuning.

“Sampai saja di persimpangan empat itu, tiba-tiba sebuah kereta melanggar arah kanan kereta kami. Dentumannya yang amat kuat membuatkan saya tergamam dan tidak  dapat berbuat apa-apa.

“Cheng Thiam yang memandu, sempat keluar dari kereta untuk memberi pertolongan dengan  menarik keluar Go Asing yang duduk di belakang pemandu.

“Sebaik saja Go Asing berjaya  ditarik keluar, tiba-tiba Cheng Thiam jatuh rebah dan terus tidak bergerak begitu juga dengan Go Asing,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka berempat sudah lama merancang  untuk pergi ke Tanjung Balai, Indonesia dan akhirnya rancangan itu terpaksa dibatalkan sekaligus  terpaksa pulang ke Muar.

Pada masa sama, percutian yang dirancang penuh kegembiraan tanpa diduga meragut nyawa dua rakan mereka.

Maut ketika lompat pagar



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Maut ketika lompat pagar
Pasukan forensik memeriksa mayat yang ditemui, di Jalan Travers, semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 35 tahun ditemui mati dengan keadaan seluarnya tertanggal dipercayai tersangkut ketika cuba melompat pagar laluan pejalan kaki Jalan Sultan Hishamudin menghala ke bulatan Masjid Negara, di Jalan Travers, di sini semalam.

Mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.

Menurut sumber, mangsa cuba melompat pagar untuk melintas jalan, namun seluarnya tersangkut sebelum dia terjatuh dan kepala terhantuk di atas batu jalan.

Mangsa juga dipercayai gelandangan dan juga penagih dadah selain berada di bawah pengaruh alkohol tinggi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asistem Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, identiti mangsa masih belum diketahui namun dipercayai warga asing iaitu mirip warga Myanmar.

Menurutnya, mayat ditemui dalam keadaan berbaju T dan seluar jean yang dipakai tertanggal.

“Terdapat juga kecederaan di bahagian lutut, siku dan belakang kepala di percayai jatuh semasa memanjat pagar besi semasa melintas jalan raya.

“Tiada sebarang kecederaan lain yang berunsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mayat di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Belum sempat lari kena cekup



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
BANDA HILIR - Seorang lelaki bukan sahaja terpaksa berputih mata hasratnya mencuri di sebuah pejabat di sini tidak kesampaian, malahan lebih malang buatnya apabila dia ditangkap ketika cuba melarikan diri.

Suspek yang berusia 30-an itu dipercayai memecah masuk ke pejabat peguam di Plaza Mahkota di sini awal pagi semalam selepas berjaya mengumpil jeriji besi yang dipasang di pintu hadapan.

Suspek dikatakan terus ke tingkat dua premis berkenaan dan bertindak mengambil beberapa barangan elektrik di dalamnya.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila sepasukan polis tiba di tempat berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Akibat panik, suspek terus bertindak mengambil beberapa helai kain untuk dijadikan tali bagi membolehkan dia turun dari tingkap di belakang bangunan itu.

Namun usahanya untuk melarikan diri ternyata gagal apabila polis berjaya mencekupnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Poh berkata, polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan memaklumkan mengenai suspek memecah masuk bangunan berkenaan.

Menurutnya, suspek didapati sedang berada di dalam bangunan dan sedang memunggah barangan apabila polis tiba di lokasi.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan memecah masuk rumah/bangunan.

Rantai nenek diragut dua lelaki



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Rantai nenek diragut dua lelaki
Semah menunjukkan bagaimana rantai lehernya diragut penjenayah berkenaan.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM5,000 selepas rantai leher yang dipakai diragut dua lelaki menaiki motosikal di depan rumahnya di Kampung Sungai Petai, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Semah Sarif,  60, berkata, kira-kira jam 6 petang ketika dia sedang leka menyiram pokok bunga di halaman rumah, dia didatangi dua lelaki menaiki yang motosikal.

Menurutnya, pembonceng turun dan mendekati pagar yang terbuka sedikit dan meminta dia datang bertemu mereka.

“Tiada beri salam, namun saya menyatakan jika ada jemputan perkahwinan letakkan sahaja kad jemputan dalam peti surat dan saya akan ambil kemudian.

“Lelaki itu terus berdiri di depan pagar rumah dan minta saya datang mendekatinya, saya mula berasa tidak selesa menuju ke arah lelaki itu namun, lelaki itu hanya mendiamkan diri tanpa kata apa-apa,” katanya.

Semah berkata, melihat reaksi lelaki terbabit tidak berkata apa-apa dia berpatah balik kerana hendak menyambung semula kerja menyiram pokok bunga dan membiarkan dua lelaki berkenaan.

“Apabila saya berpusing ke belakang lelaki berkenaan terus merentap rantai yang sudah dimasukkan ke dalam baju tetapi sedikit kelihatan di bahagian belakang leher dan saya hampir jatuh terlentang ke belakang.

“Terkejut dengan kejadian berlaku saya cuba mengejar lelaki itu namun, apa lah daya saya dan terus menjerit meminta tolong jiran berdekatan sebelum melihat motosikal dinaiki dua lelaki itu menuju ke arah pekan Alor Gajah.

Menurutnya, nasib tidak menyebelahi kerana semasa kejadian suami, Sapar Ujang, 65, sedang mengemas di bahagian belakang rumah manakala anak bongsu, Yahya Sapar, 38, baru sahaja keluar ke kedai berdekatan membeli barang.

Dia terkilan atas kehilangan rantai leher pemberian anak bongsunya itu yang dipakai sejak 16 tahun lalu hilang dalam sekelip mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian ragut berkenaan dan menasihati warga emas khususnya supaya lebih berhati-hati.

“Penjenayah akan mengambil kesempatan dan mencuri peluang apabila melihat warga emas sendirian sebelum melakukan kegiatan jenayah ragut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Maut kereta terhumban ke sungai



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 35 tahun maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam sungai di Nagalilit di sini, kelmarin.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9. 50 pagi apabila mangsa dari Nagalilit menghala ke lampu isyarat Sungai Seluang.

Menurutnya, mangsa gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum terhumban ke dalam sungai.

Mangsa, yang maut di tempat kejadian dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris bagi tujuan pengebumian.

Ismail menasihatkan kepada pemandu khususnya penunggang motosikal supaya memberikan tumpuan ketika memandu dan tidak mengambil mudah.

Beliau berkata, sehingga kini masih ramai dalam kalangan pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal.

Perlakuan ini membahayakan diri sendiri. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan itu boleh mengakibatkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Tauke kedai rugi RM6,000



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Tauke kedai rugi RM6,000
Kesemua rokok pelbagai jenama bernilai hampir RM4,000 lesap dilarikan pencuri.
Tauke kedai rugi RM6,000
Pencuri bertindak memotong jeriji besi tingkap bersebelahan pintu premis Teng untuk menceroboh masuk.
BAGAN SERAI - Seorang pengusaha kedai kopi di Jalan Siakap di sini, kerugian hampir RM6,000 apabila premis perniagaannya dipecah masuk melalui pintu belakang awal pagi kelmarin.

Pengusaha kedai yang hanya dikenali sebagai Teng, 34, berkata, dia hanya menyedari kedainya dipecah masuk sekitar jam 5.30 pagi sewaktu ingin membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati laci menyimpan wang modal perniagaan diselongkar, manakala kesemua rokok pelbagai jenama yang diletakkan di rak khas bernilai hampir RM4,000 dilarikan pencuri.

“Apabila saya memeriksa laci itu, saya mendapati wang syiling berjumlah RM2,000 dan wang kertas sebanyak RM700 lesap, manakala beberapa jenis barangan runcit lain turut hilang,” katanya sewaktu ditemui media di premisnya di Jalan Siakap, di sini semalam.

Teng berkata, dia terus memeriksa keseluruhan kedai dan mendapati keadaan pintu belakang sedikit ternganga tanda dipecah masuk oleh pencuri.

Menurutnya, selain keadaan tombol pintu yang dirosakkan, salah satu jeriji tingkap diperbuat daripada besi turut dipotong bagi memudahkan kerja penjenayah terbabit menceroboh kedainya.

“Sewaktu kejadian, tiada pekerja atau ahli keluarga saya yang tinggal di dalam kedai itu memandangkan jarak rumah dengan kedai hanya terletak beberapa kilometer sahaja.

“Susulan itu, saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai dan berharap tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas penjenayah tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika ditemui mengesahkan laporan kes dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Rampas DVD tiruan




20 Disember 2012
GEORGETOWN - Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas 9,000 keping cakera padat dan video cakera padat cetak rompak bernilai RM45,000 setelah menyerbu sebuah premis di Bukit Mertajam dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abdul Rosik Yakub berkata dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 20-an yang sedang menjual barang cetak rompak berkenaan.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Hakcipta 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, KPDNKK negeri berjaya membongkar aktiviti penyelewengan gas asli cecair (LPG) bersubsidi kegunaan domestik dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Veldor, Seberang Prai Selatan pada pukul 3 petang hari yang sama.

Beliau berkata hasil risikan dan maklumat awam, pihaknya menemui 150 tangki LPG bernilai RM10,000 di lokasi kejadian namun tiada tangkapan dibuat.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengeksploitasi barang kawalan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama

Barangan elektrik meragukan



SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
20 Disember 2012
Barangan elektrik meragukan
Suria menunjukkan notis tuntutannya yang difailkan di TTPM, semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang guru sekolah rendah dari Skudai, menang tuntutan sebanyak RM3,308 selepas mendakwa ditipu menggunakan teknik ‘gores dan menang’ oleh sebuah kedai barangan kedai elektrik.

Keputusan itu dibuat Presiden Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM), M Suppiah selepas mendengar tuntutan Suria Ahmad, 45, dan kedai barangan elektrik selaku penentang diarah membayar tuntutan dalam tempoh 14 hari, semalam.

Menceritakan kejadian, Suria memberitahu dia ditawarkan hadiah berupa ketuhar gelombang mikro, penapis air serta baucar bernilai RM100 oleh
pihak kedai sebagai ganjaran di atas kesudiannya mendengar promosi barangan baru kedai mereka.

“Pada mulanya saya pergi ke sebuah pasar raya borong di Taman Universiti untuk membeli pembersih hampagas, tetapi kemudian saya buat keputusan pulang kerana mahu melihat di kedai lain pula.

“Semasa menuruni tangga untuk ke tempat letak kereta, saya didatangi wakil dari kedai elektrik itu dan meminta saya ke kedainya untuk memperkenalkan barangan baru,” katanya.

Dia kemudiannya dipujuk membeli barangan elektrik dari kedai berkenaan termasuk menebus hadiah yang ditawarkan dan turut diminta menunjukkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) akaun banknya.

“Ketika saya mengeluarkan kad ATM saya, wakil kedai itu terus mengambilnya dan membawa ke belakang.

“Tidak lama selepas itu dia datang semula dan memberitahu sudah mendebit wang saya sebanyak RM1,000 ke dalam akaun syarikatnya yang beralamat di Kelantan,” katanya.

Dia yang tergamam dengan situasi itu turut diminta menjelaskan baki bayaran sebanyak RM2,308 bagi menebus hadiah sedangkan pada ketika itu, dia belum membuat sebarang keputusan untuk membuat pembelian.

“Disebabkan situasi itu saya terpaksa membayar baki berkenaan kerana tidak mahu wang RM1,000 yang didebit dari akaun saya hilang begitu sahaja.

“Selepas membuat semua baki pembayaran saya diberikan beberapa peralatan elektrik termasuk ketuhar mikro, pembersih hampagas, dapur elektrik dan periuk serbaguna,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia membuat keputusan untuk memfailkan tuntutan di TTPM selepas merasakan dirinya tertipu dan mendapati kesemua barangan elektrik berkenaan tidak mempunyai pengesahan keselamatan berdaftar.

Tiba-tiba brek hilang kawalan



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Tiba-tiba brek hilang kawalan
Anggota JPAM mengangkat mangsa untuk dihantar ke Hospital Alor Gajah.
ALOR GAJAH - Empat pelajar Kolej Unifield, di sini, mengalami kecederaan selepas dua motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kemus, Simpang Ampat, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Indakala Abd Kadir, 21, membonceng motosikal Yamaha LC ditunggang rakannya, Rozairi Rauf, 18, dari arah Pulau Sebang menuju ke kolej untuk menghadiri kuliah.

Difahamkan, turut sama dalam perjalanan ke kuliah dua buah lagi motosikal dinaiki rakan mangsa, Mohd Azlizan Mirza, 19, bersama Mohd Solihin Mohd Razdi, 19, dan sebuah lagi motosikal dinaiki Mohd Asrul Abd Rahim, 19.

Mohd Azlizan berkata, ketika kejadian motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangnya mengalami masalah brek dan berhenti secara tiba-tiba sebelum dirempuh motosikal dinaiki rakannya yang mengekori di belakang.

“Tiba-tiba motosikal saya seperti tersekat lalu hilang kawalan dan terhenti sebelum dirempuh pula dari arah belakang oleh motosikal dinaiki rakan hingga motosikal kami terseret beberapa meter selepas rempuhan berlaku.

“Kemudian saya dengar suara Indakala seperti menahan kesakitan dan saya terus bangun selepas dihempap motosikal. Saya mendapati mangsa terbaring di tepi jalan sambil mengadu kesakitan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia bersama lima lagi rakan cuba bantu mengangkat mangsa namun, mangsa yang sedarkan diri mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pinggang dan menenangkannya sehingga ambulans tiba.

Rakan mangsa, Mohd Asrul Abd Rahim berkata, dia menunggang motosikal Honda Wave pada jarak sepuluh meter dari motosikal dinaiki mangsa melihat sendiri motosikal dinaiki rakan-rakannya terseret.

“Ketika motosikal ditunggang Mohd Azliza hilang kawalan dan berlaku rempuhan dari belakang oleh motosikal dibonceng mangsa, saya lihat kedua motosikal terseret hingga ke tepi  jalan raya,” katanya di sini.

Menurutnya, bagaimanapun dia dan rakannya bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa meskipun terdapat sebuah kereta yang dipandu laju nyaris merempuh kedua-dua motosikal dinaiki rakan-rakannya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Faisal Ahmad berkata, setiba di lokasi mendapati mangsa dalam keadaan terbaring mengadu mengalami kesakitan di bahagian pinggang.

“Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan asas di tempat kejadian manakala mangsa yang mengadu sakit di bahagian pinggang dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ragui aset bekas pegawai polis



PETALING JAYA – PKR mendakwa seorang bekas pegawai polis berpangkat tinggi mempunyai 10 aset hartanah bernilai kira-kira RM2.95 juta di Lembah Klang.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Mohd Yahya Mat Shari berkata, beliau mempersoalkan bagaimana individu berkenaan boleh mempunyai aset sebegitu besar nilainya.

Katanya, maklumat tersebut diperoleh hasil carian pada 1999, di mana bekas pegawai polis tersebut didakwa memiliki 10 aset rumah terdiri daripada kondominium mewah, rumah kos rendah dan rumah teres kos rendah.

“Aset yang dimiliki nilainya begitu besar melibatkan 10 aset daripada nilai tinggi hingga rendah termasuk empat hingga lima flat murah yang semua dia ambil.

“Bagaimana pegawai tinggi polis ini boleh ada aset begitu banyak tidak diisytiharkan seperti mana diperlukan.

“Bagaimana orang awam sukar untuk beli rumah khususnya di bandaraya tetapi pegawai polis ini punya aset begitu banyak dan masih boleh beli flat harga rendah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam.

Mohd Yahya mendakwa, kesemua aset tersebut dimiliki atas nama pegawai polis tersebut serta isterinya.

Katanya, antara kawasan dimaksudkannya adalah di Wangsa Maju, Taman Miharja, Taman Sri Rampai, Taman Sri Sentosa dan Desa Kiara.

Dalam pada itu beliau mendakwa, nilai tahunan dicatatkan adalah antara RM4,800 hingga RM25,000 berdasarkan nilai pada 1999 tetapi sekarang ia berlipat ganda hingga mencecah antara RM400,000 hingga RM600,000.

Katanya, beliau menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tampil membuat kenyataan berhubung dakwaannya itu bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul.

Mahal, tak munasabah



Mahal, tak munasabah
Mat Rawi, Mansor Jusoh dan Ketua-Ketua Agensi Penguatkuasaan Negeri meninjau harga makanan yang tidak dipamerkan di premis makanan sekitar Arked Niaga Padang Besar, semalam.
PADANG BESAR - Operasi bersepadu bagi memantau harga makanan di sekitar premis Arked Niaga Padang Besar telah dijalankan semalam berikutan menerima banyak rungutan dan aduan mengenai harga makanan yang dijual mahal.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mat Rawi Kassim berkata, operasi bersepadu itu adalah kali pertama dijalankan untuk memantau harga makanan di sekitar premis makanan yang didakwa orang ramai terlalu mahal.

Menurutnya, seperti sedia maklum Perlis terkenal dengan barangan serta makanan lebih murah berbanding negeri-negeri lain, namun harga yang dikenakan peniaga-peniaga di sini, tidak munasabah terutamanya kepada pelanggan dan pelancong.

“Justeru, dalam operasi yang melibatkan beberapa agensi ini akan menyiasat serta memantau harga makanan yang sengaja tidak dipamerkan selain tahap kebersihan dan status halal dalam menyediakan makanan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diadakan secara berkala bagi memastikan pelancong dapat menikmati makanan yang enak dengan harga yang berbaloi memandangkan pekan Padang Besar menjadi tumpuan pelancong selain memastikan kepatuhan mereka terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011.

“Harga yang dikenakan mereka ini bagi mengaut keuntungan yang cepat amat dikesali, seperti sedia maklum di negeri ini bekalan bahan mentah yang diperoleh lebih mudah dan lebih murah.

“Ketidakpatuhan mereka terhadap akta ini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media di kawasan Arked Niaga Padang Besar, di sini, semalam.

Operasi bersepadu berkenaan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Imigresen, Jabatan
Pelancongan, Jabatan Penerangan, Jabatan Alam Sekitar (JAS),serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Tugas-tugas Khas Negeri, Mansor Jusoh berkata, agensi berkaitan akan dicadangkan untuk mewujudkan pusat aduan di kawasan premis makanan bagi memudahkan pelanggan mengadu sekiranya harga yang dikenakan kepada mereka terlalu tinggi.

“Kita juga akan menyediakan talian untuk membolehkan pelanggan membuat aduan jika dikenakan caj yang tidak berbaloi dengan makanan yang dipesan bagi berhubung terus dengan pihak berkaitan,” katanya.

Katanya, dengan langkah-langkah yang diambil ini, beliau berharap agar imej negeri Perlis ini akan kembali seperti dahulu yang terkenal dengan barangan dan makanan yang murah.

Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar, Yip Sun Onn serta Ketua-Ketua Agensi dan Jabatan Penguatkuasaan Negeri.

Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Norizah Muin, 42, berkata, harga makanan di premis sekitar Arked Niaga ini memang mahal terutama ketika musim cuti persekolahan kerana pernah beberapa kali datang ke Padang Besar.

“Saya mendapati harga makanan di sini berbanding harga makanan di bandaraya Kuala Lumpur tidak jauh bezanya lagi, jadi sudah tentu identiti negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan harga murah terjejas.

“Saya berharap pemantauan yang dilakukan agensi berkenaan dapat menjadikan negeri Perlis terkenal dengan harga makanan yang sedap dan murah sekaligus menaikkan imej negeri ini,” katanya.

3 termasuk 2 beradik ditetak lelaki dikenali



KOTA BHARU - Tiga lelaki termasuk dua beradik ditetak seorang lelaki dikenali yang dikenali mangsa di Kampung Jejulok, Binjai di sini petang semalam.    

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika mangsa, Azri Jaafar, 35 sedang tidur di biliknya manakala adiknya, Anuar, 30, sedang melakukan kerja-kerja pendawaian di rumah suspek bersama seorang rakannya, Mohamad Jusoh, 43.

Akibat kejadian itu, Azri dan Anuar yang mengalami kecederaan parah di bahagian belakang badan serta tangan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan susulan manakala Mohamad Jusoh menerima rawatan pesakit luar.

Bekas YDP Selayang dipenjara 3 tahun, denda RM132,500



SHAH ALAM - Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Bakaruddin Othman dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM132,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menggunakan wang pihak berkuasa tempatan itu bagi penyelenggaraan rumahnya sendiri.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bakaruddin, 58, yang kini bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam didakwa menggunakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MPS untuk mendapatkan suatu suapan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM26,500.

Pembiayaan bagi menyelenggara rumah miliknya di alamat No. 14413 Jalan Laksamana 9, Kampung Laksamana, Batu Caves Selangor itu didakwa diluluskan Bakaruddin di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga MPS bertarikh 27 Okt 2001 dengan dia mempunyai kepentingan langsung.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Jun 2001 hingga April 2002 di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang, Bandar Baru Selayang.

Bakaruddin didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama iaitu penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

22 maut rusuhan banduan di penjara Mexico




DURANGO: Pihak berkuasa Mexico hari ini berkata, angka korban meningkat kepada 22 banduan susulan pergaduhan yang tercetus apabila penghuni cuba melarikan diri dari penjara di utara Mexico.

Mangsa yang terkorban termasuk 13 tahanan dan sembilan pengawal, menurut dua pegawai tertinggi penjara sambil menambah ia adalah peningkatan daripada 11 tahanan dan enam pengawal yang dilaporkan sebelum ini. “Ketiga-tiga pengawal ditemui mati selepas panggilan kecemasan diterima berikutan rusuhan di penjara di bandar Gomez Palacio,” kata Setiausaha Keselamatan Awam Durango, Jesus Rosso kepada stesen radio tempatan, MVS.


Sementara itu, seorang pegawai penjara, Fernando Rios Quinones, berkata dua tahanan lagi meninggal dunia akibat mengalami kecederaan.

Rosso berkata, pergaduhan tercetus semalam apabila pengawal membunyikan penggera kecemasan selepas menyedari terdapat banduan yang merancang untuk melarikan diri. - AFP

Budak 3 tahun maut diseret 10km



KEADAAN kereta jenis Ford Laser yang dinaiki tujuh sekeluarga selepas terlibat dalam kemalangan di KM 168.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Nibong Tebal, Pulau Pinang, malam kelmarin. Gambar kecil, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam.
NIBONG TEBAL 19 Dis. - Keriangan sebuah keluarga dari Pulau Pinang bercuti di Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada ahli keluarga itu terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 168.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Nibong Tebal malam tadi.
Lebih menyayat hati, mangsa yang maut, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, 3, diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan lain dipercayai lori.
Mayat Muhammad Aslam Maricar ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh orang awam di Hentian Sebelah Sungai Bakap selepas kemalangan itu yang berlaku pukul 8.45 malam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_27/Budak-3-tahun-maut-diseret-10km#ixzz2FZ1UWerF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Maut jatuh tingkat empat



NORAFIZA JAAFAR
20 Disember 2012
Maut jatuh tingkat empat
Kakitangan Hospital Selayang memeriksa keadaan suspek yang jatuh dari tingkat empat. Gambar kecil: Nor Syafiqah Dzar.
SELAYANG - Cubaan seorang pencuri meloloskan diri selepas kegiatan pecah rumah disedari penghuninya gagal selepas suspek tergelincir jatuh dari tingkat empat, Pangsapuri Jemerlang, Selayang Height, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek terkejut selepas pintu rumah dibuka dari luar dan melarikan diri dari pintu belakang menggunakan saluran paip.

Bagaimanapun, keadaan kelam kabut menyebabkan suspek gagal mengimbangkan diri selepas kakinya tersepit pada besi penahan paip lalu terjatuh.
Penghuni rumah, Nor Syafiqah Dzar Osman, 19, berkata, dia yang bekerja di sebuah kedai makan di tingkat bawah pangsapuri pulang ke rumah bersama dua sepupunya ketika waktu rehat.
“Tiada apa-apa yang mencurigakan sehinggalah suspek bertindak membuka pintu hadapan sewaktu sepupu sedang membuka pintu jeriji.

“Saya menjerit kerana terkejut menyebabkan suspek cuak lalu meloloskan diri menggunakan pintu belakang iaitu pintu yang digunakan untuk memasuki rumah,” katanya.

Menurutnya, dia bersama beberapa penghuni lain sempat mengejar suspek dari tingkat tujuh dan terlihat suspek hilang imbangan dan terjatuh di tingkat empat.
“Suspek meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.

“Bersama mangsa ketika kejadian adalah wang tunai RM1,600, cincin dan kamera milik salah seorang penghuni rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah gagal dihubungi untuk mengesahkan kejadian.

Tiga tidak mengaku miliki heroin



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Tiga tidak mengaku miliki heroin
Shalehuddin (kanan) dan Mazron (kiri) keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah memiliki 0.1 gram heroin di sebuah rumah di Ketereh di sini, Ahad lalu.

Mazron Shah Muhamad, 29, Hasniraiza Azis, 36, dan Shalehuddin Hassan, 43, dituduh memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah si Kampung Batu 11 ½ Ketereh di sini, pada jam 1 petang, 16 Disember.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara yang tidak lebih lima tahun.

Pada prosiding semalam, Mazron Shah dan Hasniraiza bagaimanapun mengaku tidak bersalah sementara Shalehuddin pula sebaliknya.

Hukuman terhadap Shalehuddin bagaimanapun ditangguhkan bagi mendapatkan berat sebenar dadah berkenaan dan kesemuanya dibenarkan diikat jamin RM8,000 setiap seorang.

Dalam perkembangan lain, mereka turut didakwa memiliki 0.1 gram dadah jenis metamphetamine pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Kes bersambung 17 Februari depan.

Warga emas mati dikelar dalam kuil




19 Disember 2012
GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan kelar di leher dalam bilik simpanan barang sebuah kuil Hindu di
Lebuh Penang di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata, pada kejadian pukul 5 petang itu, seorang suspek memecah masuk kuil berkenaan menerusi pintu belakang sebelum membunuh mangsa, P. Muthu, 82, dengan menggunakan senjata tajam.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Maut rempuh belakang kereta



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Maut rempuh belakang kereta
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
MARANG - Seorang remaja terbunuh selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta rosak di Jalan Marang ke Wakaf Tapai di Jerung Seberang di sini, malam kelmarin.

Mangsa yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Saifuddin Mohd Tangi, 17, meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik berdekatan.

Rakannya yang membonceng motosikal jenis Honda Wave itu, Mohd Iqmal Hakim Mohd Noor, 15, cedera ringan di kaki.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Jerung Seberang menuju ke Wakaf Tapai, di sini.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan rosak itu. Akibatnya, mangsa cedera parah dan meninggal dalam perjalanan ke klinik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ahmad Mazlan kesal dengan sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar kerana ia menjadi antara penyumbang kepada berlakunya kemalangan maut di daerah berkenaan.

Beliau meminta remaja, terutama pelajar di daerah itu, bertindak bijak iaitu tidak lagi menunggang tanpa lesen kerana ia memberikan kesan negatif, manakala ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Malah pihak sekolah juga perlu membantu polis menggandakan keberkesanan sistem penyampaian pendidikan secara formal dan tidak formal sambil meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pematuhan undang-undang di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan tidak rasmi polis trafik daerah semalam, kira-kira lima kes kemalangan maut dicatatkan membabitkan pelajar sekolah yang menunggang motosikal tanpa lesen berlaku sepanjang tahun ini di daerah berkenaan.

Mayat bogel dalam kebun



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Disember 2012
Keadaan mayat ketika ditemui dekat kebun getah miliknya, di Simpang Pertang Jelebu.
Keadaan mayat ketika ditemui dekat kebun getah miliknya, di Simpang Pertang Jelebu.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kuala Klawang, Jelebu.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kuala Klawang, Jelebu.
JELEBU - Keseronokan dua beradik mengutip buah rambutan berhampiran sebuah kebun getah di Jalan Simpang Pertang-Pasoh di sini bertukar pilu apabila terjumpa mayat bapa saudara mereka, pagi semalam.

Mangsa, Alit Sidek, 50, ditemui dalam keadaan bogel dan tertiarap berhampiran pondok di kebun itu.

Saudara terdekat mangsa, Jamaludin Yahya, 57, berkata, dua anak saudaranya yang berumur 14 dan 18 tahun datang ke kebun berkenaan bersama seekor anjing peliharaan untuk mengutip buah rambutan kira-kira jam 11 pagi.

“Sebelum mengutip buah rambutan, mereka agak hairan kerana kelibat Alit tidak kelihatan, yang ada cuma basikalnya. Biasanya dia akan tidur di pondok dalam kebun itu agar mudah untuk menoreh getah keesokan harinya.

“Anjing yang mereka bawa juga kelihatan resah dan hanya mundarmandir di kawasan berhampiran.

Mereka terkejut apabila ternampak sekujur tubuh tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jamaludin berkata, kedua-dua remaja itu kemudian bergegas memaklumkan hal tersebut kepadanya dan mereka segera membuat laporan di Balai Polis Simpang Pertang.

Sementara itu, sumber polis berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang dua hari.

“Mangsa merupakan masyarakat Orang Asli yang menetap di Kampung Asli Batu 17, Simpang Pertang di sini.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Klawang, Jelebu untuk bedah siasat. Setakat ini punca kematian masih belum diketahui,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa belum berkahwin dan merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis daerah Jelebu, Asisten Superintendan A Yuvaraj ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.