KUANTAN – Seorang lelaki menerima padah apabila dihukum dua bulan penjara dan denda sebanyak RM2,000 kerana melakukan kesalahan pecah kedai dan mencuri satu guni plastik berisi besi dan tembaga.

R Sogeswaran, 37, melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1 pagi di kedai elektrik Jalan Kampung Tengah, dekat sini, pada 16 Disember lalu.

Melalui fakta kes, pengadu mendengar bunyi seseorang di dalam kedainya lalu memeriksa dan mendapati seorang lelaki sedang melarikan diri.

Lelaki berkenaan berjaya ditangkap 10 minit kemudian bersama satu guni plastik berisi barang yang dicuri.

Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabedah Ungku Ismail dalam pendakwaannya memaklumkan mahkamah bahawa Sogeswaran mempunyai dua kesalahan lampau dan perlu diberi pengajaran kerana membabitkan kerugian kepada individu.

Lelaki itu bagaimanapun merayu dikurangkan denda berikutan masih menyara isteri yang sedang hamil dan dua anak.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Rini Triany Mohd Ali di Mahkamah Majistret Kuantan.