Search This Blog

Tuesday, December 18, 2012

Suami dipenjara, isteri bebas



Suami dipenjara, isteri bebas
Mohammed yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan, sempat memberikan senyuman ketika wajahnya dirakamkan.
JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang tukang masak warga Myanmar atas kesalahan memiliki ganja manakala isteri lelaki itu dilepas dan dibebaskan bagi tuduhan sama, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammed Ali,37 mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan terhadapnya di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun isteri tertuduh,  Salemah Mashor, 51, seorang rakyat tempatan, diwakili peguam, Mohd Sukaimi Mashud tidak mengaku salah atas pertuduhan pilihan terbabit dan minta dibicarakan.

Mohamed dan Salemah sebelum itu, membuat pengakuan tidak bersalah atas kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar ganja seberat 882 gram dan minta dibicarakan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang diwakili peguam Bernard George itu, ditahan bersama isterinya di sebuah kediaman di Jalan Saga 4, Taman Saga, Kulaijaya, pada 21 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Anwar Ab Raof menawarkan pertuduhan pilihan terbabit terhadap pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak tahun 2005 itu, selain mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pihak pembelaan merayu supaya hukuman minimum dikenakan kepada Mohamed kerana telah mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan terhadapnya sekaligus menjimatkan masa mahkamah.

Rayuan itu dibuat atas alasan menanggung isteri, ibu, kakak dan empat anak saudaranya yang tinggal bersamanya di sini, selain menghantar wang setiap bulan kepada keluarganya di Myanmar.

Samsudin dalam penghakimannya memaklumkan, hukuman yang dijatuhkan turut mengambilkira kesalahan yang dilakukan tertuduh dan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun 10 sebatan dari tarikh tangkap kepada tertuduh pertama manakala isterinya dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dikemukakan.

Siling rumah runtuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Siling rumah runtuh
Abu Hassan menunjukkan serpihan siling dan batu yang berselerakan di ruang tamu pangsapuri di bawah jaganya.
KERIAN  - Tindakan lima sekeluarga meninggalkan rumah untuk keluar bersiar-siar menyelamatkan nyawa mereka apabila sebahagian siling rumah runtuh dalam kejadian di Bukit Merah di sini kira-kira jam 11 pagi, minggu lalu.

Wakil penjaga rumah, Abu Hassan Basir Abdul Hamid, 70, berkata, ketika kejadian, Fauziah Asnawi, 30, dan ahli keluarga lain baru sahaja beredar dari rumah pangsapuri yang dibeli sejak enam tahun lalu untuk keluar bersiar-siar di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, Abu Hassan berkata, sewaktu mereka pulang dan baru hendak memasuki rumah, Fauziah terkejut mendengar bunyi kuat seperti sesuatu yang terjatuh dari bahagian siling kediamannya.

“Pada mulanya, mereka bimbang untuk memasuki kediaman itu kerana menyangka ada pencuri menceroboh rumah.

“Bagaimanapun, setelah terdengar bunyi hempasan kali kedua, seorang ahli keluarga memberanikan diri membuka pintu dan melihat beberapa biji batu bertaburan di atas lantai bahagian ruang tamu bersama serpihan siling,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini.

Abu Hassan berkata, akibat kejadian itu, rak televisyen dan lantai rumah berkenaan rosak.

Jelasnya, pangsapuri yang dibeli Fauziah merupakan rumah persinggahan keluarganya memandangkan mereka tinggal di Terengganu dan dia diamanahkan untuk menjaga kediaman itu.

“Saya difahamkan kejadian sebegini sudah banyak kali berlaku di sekitar kawasan pangsapuri di sini dan saya sudah memaklumkannya kepada pihak pemaju,” katanya.

Abu Hassan yang merupakan pengusaha homestay (enap desa) berkata, selepas kejadian itu, dia memeriksa bahagian atas rumah, tetapi tidak dapat melihat kerosakan dari luaran.

Katanya, pangsapuri yang dibeli sejak enam tahun lalu itu sering mengalami rekahan pada dinding dan kawasan sekitar rumah.

“Masalah rekahan pada bangunan rumah dirujuk kepada pemaju dan mereka ada menghantar wakil untuk membaik pulih setiap kali aduan dibuat.

“Tetapi kali ini, keadaan semakin teruk dan kita harapkan pihak pemaju dapat menghantar wakil untuk menyiasat,” katanya.

Diuji perbuatan khianat



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Diuji perbuatan khianat
Tamil Silvan menambah pendapatan membuka pusat jual beli getah di tanah rizab KTMB.
BAHAU - Seorang usahawan yang juga penternak lembu di sini tekad meneruskan aktiviti menternak lembu walaupun dia diuji pelbagai perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan rutin hariannya.

Bekas jurutera, K Tamil Silvan, 38, berkata, sekitar pertengahan tahun lalu tiga ekor lembunya dikelar dan dibunuh dengan kejam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, sungguhpun insiden berdarah membabitkan lembu peliharaannya kini hampir dua tahun berlalu, namun kejadian itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya meneruskan usahanya itu.

"Insiden itu masih terkesan kerana saya mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit. Sehingga kini, saya masih tertanya-tanya kenapa ada yang dengki dengan usaha murni ini untuk cari makan di kampung sendiri.

“Saya ambil keputusan tinggal di kampung halaman ini kerana ingin berdikari selain dekat dengan keluarga. Namun, apa pun terjadi, saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang, sebaliknya ingin membuka pelbagai perniagaan termasuklah mengusahakan jual beli getah di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bahau di sini,” katanya yang ternyata kecewa dengan insiden berkenaan.

Tamil Silvan berkata, minggu lalu, lembunya turut dihalau pihak tertentu sehingga ke bulatan pekan Rompin.

“Angkara siapa pula kali ini saya pun tidak tahu, dan sepanjang tempoh  lebih 10 tahun menternak lembu ini macam-macam perkara  berlaku.

“Bagaimanapun, semangat saya terus berkobar-kobar kerana keluarga terutamanya isteri yang banyak memberi sokongan terhadap kerjaya saya ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Untuk rekod,  lembu peliharaan Tamil Silva antara lembu tenusu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD), pada Januari tahun lalu.

Namun, dia tetap menghadapi masalah itu walaupun penyakit berkenaan meragut nyawa lembunya.

Tamil Silva kini dalam proses mengusahakan perniagaan ayam segar di kawasan tanah rizab kereta api yang sebelum ini menjadi lokasi panas tapak pembuangan sampah haram.

Mayat wanita ditemui di Pantai Dataran 1Malaysia




18 Disember 2012
JASIN - Polis Melaka hari ini menemui mayat seorang wanita terdampar di pantai Dataran 1Malaysia Klebang di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P. R. Gunarajan berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat wanita yang berseluar jeans dan berbaju kemeja lengan panjang berwarna hitam tersebut.

"Mayat ditemui seorang pengawal keselamatan yang sedang meronda di kawasan itu pada pukul 10.30 pagi tadi yang kemudian melaporkannya kepada polis," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Menurutnya polis belum dapat memastikan punca kematian wanita tersebut yang dianggar berusia dalam 30-an dan memiliki ketinggian lima kaki dua inci serta berambut panjang.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga diminta tampil membantu, katanya menambah mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Gunarajan berkata polis sedang menjejaki dua individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang meninggal dunia di sebuah poliklinik di Merlimau dalam kejadian pukul 10.15 pagi tadi.

Dua lelaki tersebut dilapor menghantar mangsa yang mengalami kecederaan pada hidung dan mulut dengan menaiki sebuah kereta sebelum menghilangkan diri.

Bagaimanapun mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri meninggal dunia tidak lama kemudian, katanya.

"Polis percaya mangsa yang berusia lingkungan 20-an ditemui dalam keadaan cedera di Kampung Merlimau Dalam," katanya.

Menurutnya polis juga belum dapat memastikan sama ada kematian lelaki tersebut mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.- Bernama

Maut jatuh bangunan



NIK AMIRUL MU’MIN NIK MIN
18 Disember 2012
Maut jatuh bangunan
Mohd Zulkifli menceritakan kejadian menimpa rakannya kepada Nadzri.
Maut jatuh bangunan
Mayat mangsa diangkat menaiki kenderaan polis untuk dibawa ke Unit Forensik HTAA, Kuantan.
Maut jatuh bangunan
Tempat mangsa ditemui tertiarap selepas terjatuh.
KUANTAN - “Kami bertiga  sedang melakukan kerja menggantikan atap di atas bumbung salah sebuah blok bangunan sekolah ini yang tingginya 15 meter sebelum hujan lebat tiba-tiba turun kira-kira jam 10.45 pagi tadi (semalam).

“Saya mengambil keputusan untuk turun dan minta mangsa  supaya berlindung di bawah bumbung sementara menunggu hujan berhenti,” kata Mohd Zulkifli Jaafar, 32.

Demikian kata Mohd Zulkifli, rakan kepada Baharudin Shafie, 49 yang maut akibat terjatuh dari bumbung bangunan empat tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan dekat sini, semalam.

Menurutnya, tanpa disedari, mangsa yang dipanggil 'Din' itu juga mengambil keputusan untuk turun bagaimanapun dia tiba-tiba tergelincir dipercayai akibat atap licin  sebelum terjatuh ke tanah.

“Saya tidak nampak kejadian itu namun salah seorang rakan memberitahu, Din terduduk selepas tergelincir sebelum menggelongsor ke bawah dan terjatuh.

“Badan Din tercampak ke dinding bahagian tangga sebelum jatuh ke atas lantai simen tepi longkang dalam keadaan tertiarap,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, seorang lagi rakannya yang masih berada di atas bumbung menjerit memberitahu mangsa terjatuh dan sebaik sahaja dia turun, Baharuddin sudah tertiarap kaku dibasahi hujan

“Saya bersama mangsa dan salah seorang lagi rakan mengambil upah membaiki atap sekolah ini sejak empat hari lalu.

“Kami berdua berulang-alik dari rumah di Kemaman ke sini setiap hari kira-kira jam 8.15 pagi bagaimana pun sudah dua hari kerja-kerja tertangguh akibat cuaca hujan,” katanya.

Zulkifli berkata, ketika dalam perjalanan pagi tadi, rakan karibnya itu tidak menunjukkan perubahan sikap dan dia sendiri tidak menjangka tragedi itu akan berlaku.

“Dia seorang rakan yang baik dan kami berdua sentiasa bekerja bersama jika ada projek.

“Mangsa yang beralamat di Bandar Baru Cheneh, Kemaman masih bujang dan tinggal bersama ibu dan abang,” katanya.

Menurutnya,  kejadian kemudiannya dimaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum beberapa anggota diketuai Ketua Balai Polis Jaya Gading, Sarjan Mejar Nadzri Atan ke lokasi menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian diklasifikasikan  sebagai kemalangan dan tidak sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut ahli keluarga," katanya.

Dinasihat berhenti menagih



ADILA SHARINNI WAHID
18 Disember 2012
Dinasihat berhenti menagih
Tertuduh diperintah menjalani hukuman berkuat kuasa, semalam.
KOTA BHARU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis metamphetamine, September lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly terhadap Wan Muhamad Hilmi Wan Rais, 19, dari Taman Tanjong Chat di sini.

Dia didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah berkenaan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis daerah Kota Bharu di sini, pada jam 1 pagi, 5 September lalu.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Wan Muhamad Hilmi dihukum kali kedua selepas didenda RM3,000 kerana kesalahan sama sebelum ini.

Pada prosiding semalam, Mohd Fazaly Ali sempat menasihati tertuduh supaya menginsafi kesalahannya itu.

“Saya juga ingin memberi peringatan, mengikut undang-undang, selepas tiga kali kesalahan sama, kamu boleh dikenakan hukuman minimum dua tahun penjara dan sebatan,” katanya.

Tertuduh yang keluar dari mahkamah selepas itu dilihat terlentok dibahu ibunya sebelum mengesat air mata.

2 Lans Koperal dituduh rasuah



FARAH SHAZWANI ALI
18 Disember 2012
2 Lans Koperal dituduh rasuah
Kedua-dua tertuduh (menutup muka) diiringi keluar oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU – Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menerima suapan yang berjumlah RM25,000, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana memiliki rokok bebas cukai.

Tertuduh, Mohd Rizal Mohd Anuar, 38, dan Mohd Azhar Ibrahim, 35, yang beralamat di Besut bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersama yang dikenakan ke atas mereka.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh bersama-sama antara Ogos hingga September 2010, kira-kira jam 2.15 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Haji Wan Latif, Jerteh, sebagai ejen kepada PDRM telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang tunai RM5,000 daripada Azizul Kassim.

Ia adalah sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal mereka iaitu tidak mengambil tindakan terhadap Azizul kerana memiliki rokok bebas cukai.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh bersama-sama antara 18 hingga 24 September 2010, kira-kira jam 4.petang, bertempat di lokasi sama telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang tunai RM5,000 daripada Azizul.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh bersama-sama melakukan kesalahan yang sama pada 20 Disember 2010, kira-kira jam 3.10 petang iaitu telah secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM5,000 daripada Azizul, juga di lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan keempat, mereka dituduh bersama-sama pada 15 Januari 2011, kira-kira jam 2.30 petang, telah secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM10,000, juga daripada Azizul di lokasi sama.

Dengan itu mereka berdua didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dibicara bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Dalam rayuan mereka, kedua-dua tertuduh memohon agar wang jaminan mereka dikurangkan memandangkan mempunyai tanggungan dan berasal daripada keluarga kurang berada, di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.

Majistret Noradila kemudiannya membenarkan mereka diikat jamin masing-masing sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan dan menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Hilang pendapatan rumah dihempap pokok



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Hilang pendapatan rumah dihempap pokok
Nahatul Shima (kanan) bersama anak-anaknya melihat pokok jati yang menghempap dapur rumahnya di Kampung Wakaf Mek Zainab semalam.
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal hilang mata pencarian selepas dapur yang menempatkan peralatan membuat kuihnya musnah dihempap sebatang pokok besar jati yang uzur di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu ketika mangsa Nahatul Shima Seman, 43, tiada di rumah dan keluar untuk membeli barang untuk membuat kuih di kedai runcit berhampiran rumahnya.

Menurutnya, kejadian tersebut diketahuinya selepas mendapat panggilan daripada anak keempatnya, Nur Izzatul Farisya Zaidi, 11 yang memaklumkan rumah mereka dihempap pokok.

“Terkejut dengan perkhabaran itu saya terus bergegas pulang untuk melihat sendiri apa yang telah berlaku. Sampai di rumah dia dapati seluruh dapur rumahnya telah musnah.

“Walaupun dapur rumah saya musnah, namun saya tetap bersyukur kerana semua anak-anak saya selamat kerana semasa kejadian, mereka semua berada di rumah ibu saya yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Nahatul Shima berkata, dia tinggal di rumah berkenaan bersama lapan orang anak yang berumur di antara tiga hingga 22 tahun.

“Selepas berpisah dengan suami yang juga merupakan seorang penagih saya dan anak-anak tinggal di rumah berkenaan dengan hanya membayar sewa tapak sebanyak RM300 setahun.

“Dengan hanya membekalkan semangat dia terus kuat untuk membesarkan anak-anak yang kebanyakannya masih kecil berseorangan diri,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah mendapat sebarang bantuan namun, berharap kali ini akan ada pihak untuk tampil menghulurkan bantuan terutamanya bantuan membaiki sebahagian rumahnya.

“Saya juga berharap ada pihak yang membantu untuk memotong beberapa batang lagi pokok Jati yang berada berhampiran rumah saya, kerana bimbang kejadian sama akan berulang,” katanya.

Ditahan ketika susukan bayi



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Ditahan ketika susukan bayi
Ibu muda yang sedang menyusukan bayi ditahan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
DUNGUN – Biarpun pernah menjalani kehidupan di penjara atas kesalahan dilakukan, namun ia belum cukup untuk memberi pengajaran bermakna buat seorang ibu muda apabila dia masih gagal pulang ke pangkal jalan.

Akibat terpengaruh dengan rakan sebaya, wanita yang baru mencecah usia 20 tahun ini kembali terjebak menjadi hamba dadah.

Berikutan tabiat buruknya itu, dia menerima natijah apabila ditangkap polis ketika berada di sebuah rumah dekat sini bersama dua lagi lelaki, dipercayai 'rakan sekutunya' yang turut berkongsi hobi sama.

Pemeriksaan polis yang menemui sejumlah dadah jenis methampethamine, dipercayai dalam kawalan tiga sahabat ini menguatkan dakwaan mereka kembali terbabit dengan penyalahgunaan dadah, biarpun masing-masing difahamkan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan dilakukan.

Ketika ditahan, wanita terbabit difahamkan sedang menyusukan bayinya yang baru berusia beberapa bulan dan hasil ujian saringan awal air kencing, dia disyaki positif dadah jenis methampethamine.

Difahamkan, bayi terbabit yang sedang disusukannya dilahirkan ketika dia ditahan di penjara.

“Saya tidak tahu hendak buat macam mana lagi.

“Saya sedar perbuatan ini (ambil dadah) akan memberi kesan kepada anak saya, tetapi saya tidak boleh tinggalkan tabiat ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan penahanan wanita dan dua lagi rakannya.

Suspek wanita, ibu muda yang difahamkan baru keluar penjara itu kini disiasat mengikut seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain terbabit kes dadah, wanita yang berasal dari Paka itu juga disiasat polis kerana disyaki terbabit dengan kes jenayah yang dilakukan rakannya.

Sindiket curi kereta tumpas


Sindiket curi kereta tumpas
Penemuan rangka kereta itu berjaya menyelesaikan 20 kes kehilangan kereta sekitar 12 September lalu.
Sindiket curi kereta tumpas
Rangka komponen kereta yang dileraikan dirampas anggota polis, kelmarin.
GOMBAK - Hasrat seorang ahli sindiket curi kereta dikenali Geng Ambi yang cuba meleraikan komponen kereta dicuri tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa dalam Ops Lejang, baru-baru ini.

Suspek berusia antara 16 hingga 20 tahun itu antara tiga yang ditahan selepas polis menerima laporan kehilangan kereta oleh seorang pegawai Hospital Selayang pada 12 November lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah berkata, rentetan itu, Ops Lejang mula dilancarkan sekitar Rawang dua hari berikutnya membawa kepada penahanan tiga lelaki.

“Operasi sekitar jam 11 malam itu berjaya menangkap suspek pertama di Rawang Perdana yang ketika itu cuba meleraikan komponen kereta.

“Ia disusuli dengan penangkapan seorang lelaki berusia 29 tahun yang tidak bekerja dengan seorang perempuan berumur 20 tahun juga merupakan seorang pelajar di Taman Bukit Rawang Jaya,” katanya.

Beliau berkata, penahanan suspek tersebut juga turut menemui beberapa kenderaan yang hilang seperti Proton Perdana, Honda Civic, Putra dan Wira.

“Honda Civic dan Proton Putra yang dilaporkan hilang di Ampang telah dileraikan komponennya.

“Rampasan turut melibatkan rangka Proton Putra yang dipotong dan beberapa peralatan potong atau buka kenderaan,” katanya.

Tangkapan itu menurutnya, berjaya menyelesaikan hampir 20 kes curi kenderaan bermula 12 September sehingga sekarang di sekitar Gombak, Sentul dan Ampang.

Suspek rogol gadis diburu



SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
18 Disember 2012
Suspek rogol gadis diburu
Mazlan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar saksi yang dicari polis unbtuk membantu siasatan kes rogol.
Mohd Hazri Abdul Ghafor
Mohd Hazri Abdul Ghafor
GEORGETOWN - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada tahun 2009.

Difahamkan, suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih dan remaja perempuan itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya beberapa kali.

Mangsa yang kini berusia 16 tahun kini dilaporkan sudah melahirkan dengan suspek yang semasa kejadian berumur 24 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, Mohd Hazri Abdul Ghafor, 27, beralamat No 1256-E, Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, dipercayai boleh membantu polis dalam kes rogol seorang pelajar berusia 13 tahun (ketika laporan dibuat) kira-kira tiga tahun lalu.

“Laporan dibuat bapa mangsa pada masa itu (2009) mengatakan anaknya didapati mengandung dua bulan kerana disyaki dirogol teman lelakinya iaitu suspek. Usaha mengesannya tidak pernah dihentikan sebaik laporan diterima pada 27 Jun 2009.

“Setelah menerima laporan bapa mangsa, polis membuat serbuan dua kali ke rumah suspek iaitu 28 Jun 2009 dan 15 Disember 2012. Selain itu, suspek disenaraikan orang yang dikehendaki serta gambarnya turut disiarkan melalui media pada 10 Oktober 2009,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, anggota polis juga diarahkan membuat risikan dan pemantauan sepanjang tahun di kawasan rumahnya namun suspek didapati langsung tidak pulang ke rumah.

“Suspek didapati tidak pulang ke rumah selepas insiden itu. Kita sudah arahkan beberapa anggota untuk membuat risikan dan pemantauan di kawasan rumah suspek namun gagal ditahan kerana tidak pulang ke rumah.

“Kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dapat menghubungi polis atau balai polis terdekat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.,” katanya.

Terdahulu, seorang peniaga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kes rogol membabitkan anaknya tidak diselesaikan polis setelah kes berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Bapa berusia 40 an itu kesal kerana polis memandang ringan kes anaknya yang juga budak di bawah umur.

Sementara itu, dalam kes berlainan, 82 kaki judi belangkas dan daun terup ditahan dalam lima serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut sejak 10 Disember lalu.

Mazlan berkata, mereka terdiri daripada 59 lelaki dan 23 wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an diberkas ketika sedang leka berjudi di tempat bebas dan di dalam bangunan.

“Serbuan yang berakhir pada pagi semalam itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Daripada 59 lelaki yang ditahan ialah (57) lelaki Cina, (1) Melayu dan (1) warga Indonesia manakala wanita terdiri daripada (16) Cina serta (7) warga Indonesia. Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai RM36,278, pelbagai peralatan judi belangkas dan daun terup,” katanya.

Menurutnya, kesemuanya dibawa ke IPK untuk siasatan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.

Remaja maut kereta berpusing



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012

Abd Razak Elias
SERI KEMBANGAN – Seorang remaja terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas dan berpusing sebelum melanggar tiang lampu isyarat di Taman Puncak Jalil di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Yeo Dun Mai, 17, dikatakan memandu kereta Perodua Myvi dari arah Puncak Jalil ke Bandar Kinrara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kereta mangsa yang gagal dikawal masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Myvi yang datang dari arah Puncak Jalil hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan kenderaannya berpusing beberapa kali.

“Kereta itu kemudian melanggar tiang lampu isyarat dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jalil,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta Honda City tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595 untuk membantu siasatan.

Minta air sebelum samun



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
SEREMBAN - Seorang lelaki menempuhi detik mencemaskan apabila leher dan tangannya diacu parang dalam kejadian samun di sebuah stor menyimpan roti di Bandar Seremban Selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 pagi itu, mangsa, Khairul Arifin Mohamad, 35, didatangi dua lelaki tidak dikenali sebaik sahaja selesai menurunkan roti dari kenderaan untuk dibawa masuk ke dalam stor.

Menurut sumber, pada awalnya kedua-dua suspek menemui mangsa untuk meminta sedikit air.

“Suspek yang sedang mengisi air paip ke dalam botol minuman keras tiba-tiba menerkam mangsa lantas kedua-duanya mengacukan parang ke leher dan tangan mangsa.

“Mangsa cuba melawan namun ditolak masuk ke dalam stor. Bimbang dirinya dicederakan, mangsa terpaksa membiarkan beg silangnya dirampas oleh suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX5 warna gelap,” katanya.

Sumber berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM150 milik syarikat dan RM400 kepunyaan sendiri selain sebuah telefon bimbit.

Pelajar lepasan SPM dicekup, lerai motor curi



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Pelajar lepasan SPM dicekup, lerai motor curi
Polis menunjukkan rangka dan komponen motosikal yang ditemui.
BALING - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis ketika leka meleraikan sebuah motosikal dipercayai motosikal curi di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lalang di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Ketua Polis Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, hasil maklumat awam, pihaknya berjaya menahan lelaki yang baru berusia 18 tahun itu.

Menurutnya, polis berjaya menemui dua motosikal jenis Honda Ex5 dan Honda C70 dipercayai motosikal curi dan sebuah rangka motosikal yang dileraikan.

“Sebuah enjin motosikal yang diubah nombor casisnya bersama beberapa komponen motosikal turut ditemui di dalam rumah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Serbuan yang dianggotai Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah, Inspektor Abd Aziz Mat Resof disertai oleh lima anggota polis.

Mat Daud berkata, polis juga sedang mencari seorang rakannya, yang juga berusia 18 tahun dipercayai turut terlibat dalam kegiatan itu.

“Hasil siasatan, remaja terbabit mengaku mencuri dua motosikal di pekarangan Perpustakaan Awam Baling dan di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong Baling,” katanya.

Katanya, kebanyakan pencuri menumpukan kepada motosikal yang tidak mempunyai kunci lebihan seperti pengunci tayar.

“Justeru, pemilik motosikal perlu berhati-hati dan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan denda.

Penarik kereta parah ditembak ketika minum di restoran






18 Disember 2012
PETALING JAYA - Seorang penarik kereta cedera parah apabila ditembak ketika sedang minum bersama bapa saudara dan abang iparnya di sebuah restoran di Puchong Permai dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mangsa yang berusia 29 tahun itu didatangi seorang lelaki yang berbadan gempal dan memakai topi keledar yang mempunyai penutup berwarna gelap pada 9 pagi.

"Tiba-tiba lelaki itu melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian belakang kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bersama rakannya yang menunggu di luar kedai itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Yahaya berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Serdang dan keadaannya masih kritikal.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-3920694 atau 03-56332222.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.- Bernama

“Fikrie alim, pendiam”



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
PONTIAN - Seorang rakan kepada Allahyarham Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang mati ditembak pihak berkuasa Filipina di Davao, selepas disyaki cuba melakukan pengeboman tidak percaya kawannya itu seorang pengganas.

Mohd Musa Abd Rashid, 26 berkata, dia menerima berita kematian Mohd Noor Fikrie yang juga jirannya di pekan Benut, awal pagi  Sabtu lalu.

“Ibu arwah, Noresah Kusin, 45, rapat dengan saya dan ibu saya, Saodah Ibrahim, 45, sejak mereka berpindah sebelah rumah kami, kira-kira dua tahun lepas.

“Pada pagi Sabtu lalu, Makcik Noresah datang ke rumah memberitahu arwah sudah meninggal dunia kerana ditembak di Filipina,” katanya kepada Sinar Harian di pekan Benut, semalam.

Musa berkata, kali terakhir Fikrie pulang ke Benut pada Mac lalu bersama dua anaknya, dan tiada sebarang perubahan yang dilihat pada rakannya itu.

Jelasnya, kali terakhir  arwah pulang, dia sempat bertanya khabar dengannya dan Fikrie menjawab dengan  nada biasa.

“Sepanjang saya mengenalinya, dia seorang yang pendiam dan kuat agama. Saya difahamkan dia mempunyai seorang isteri di  Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pesanan ringkas mengenai kematian Fikrie yang dihantar adik  arwah menggemparkannya sekeluarga ketika itu.

Jelasnya, ibu arwah sempat memberitahu dia dan ibunya mengenai perbualan akhir anak sulung daripada dua beradik itu ketika kali terakhir mereka bertemu pada Mac lalu.

“Kata Makcik Noresah, Fikrie meminta agar jangan sesiapa menunggu kepulangannya,” katanya.

Bagaimanapun, ibu Mohd Nor Fikrie tidak dapat ditemui, difahamkan telah ke rumah anak keduanya di  Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Solidariti Anak Malaysia Pontian, Noor Saiful Amri Saifullah berkata, pihaknya akan mengumpulkan derma bagi membantu keluarga Noresah membawa pulang  jenazah ke Benut.

“Kita akan mulakan kutipan derma segera bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit,” katanya.

Terdahulu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Hishammuddin Tun Hussein, mengesahkan Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, adalah rakyat Malaysia yang ditembak mati di Davao, Filipina, pada 14 Disember lalu, anggota sebuah  kumpulan militan.

Dalam kenyataan beliau, lelaki tersebut berasal dari Melaka dan dipercayai masuk ke selatan Filipina pada April lalu, untuk mempelajari cara membuat bom.

Padah miliki 22 pil kuda


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Padah miliki 22 pil kuda
Tertuduh (dua kiri) keluar dari mahkamah selepas hukuman terhadapnya diputuskan berkuat kuasa, semalam.
KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki 22 pil kuda di sebuah rumah di Ketereh, September lalu.

Hashimin Abdullah, 27, dari Kok Lanas, Jalan Kuala Krai mengaku memiliki dadah berkenaan pada jam 9 pagi, 4 September.

Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara yang tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Hashimin sebelum ini pernah memiliki rekod lampau dihukum bersabit kesalahan mencuri dalam bangunan pada tahun 2006.

Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukuman terhadapnya diringankan.

11 pelajar minta maaf, kes saman pukul RM10 juta selesai




18 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Kes saman RM10 juta yang difailkan bekas pelajar lelaki Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Melaka selesai selepas 11 pelajar senior yang didakwa memukulnya membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Permohonan maaf itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin oleh Haiqal Syukri Jantan, 22, yang mewakili kesebelas bekas pelajar lelaki UiTM itu.

Selepas permohonan maaf itu dibacakan, peguam Muhd Azmi Talib yang mewakili plaintif Ahmad Zulhelmi Md Suhaimi, 21, memohon supaya kesemua defendan dan plaintif bersalaman antara satu sama lain.

Terdahulu Muhd Azmi memberitahu mahkamah bahawa kes saman itu berjaya diselesaikan antara kedua-dua pihak dan memohon mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan.

Ketika ditemui media selepas kes itu, Ahmad Zulhelmi yang kini bekerja di sebuah bank berkata dia berasa lega kerana kes itu telah selesai dan beliau juga tidak ada menyimpan perasaan dendam terhadap defendan.

Pada 30 Mac lepas, Ahmad Zulhelmi memfail saman itu di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi am bagi tort konspirasi dan niat jahat untuk mencederakannya berjumlah RM10 juta, ganti rugi teruk, teladan, faedah dan juga kos.

Beliau menamakan Mohd Firdaus Arizan, 24, Nohd Azmir Ariff Shayuti, 23, Ahmad Faidhi Othman Gumanti, 25, Haiqal Syukri, Muhammad Muzakir Othman, 22, Ahmad Idris Baharom, 23, Muhammad Hasif Daud, 22, Ahmad Firdaus Husni Ahmad Razali, 22, Mohd
Farhan Md Mukhtar, 24, Mohd Fikry Lokman, 22, dan Muhammad Amirul Haron, 22, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Zulhelmi berkata pada 18 Julai 2010, jam 10.30 malam, beliau dipanggil oleh kesebelas pelajar senior itu dan mereka telah membuat soal siasat ke atasnya di sebuah bilik.

Ahmad Zulhelmi, yang ketika itu pelajar diploma Sains Kuantitatif mendakwa kesemua defendan telah bertindak memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang serius ketika soal siasat itu dijalankan.

Beliau berkata, soal siasat itu berterusan sehingga 7 pagi keesokan harinya pada 19 Julai, 2010, di bilik lain, dan dia telah dipukul, ditampar, ditumbuk dan ditendang di semua bahagian badannya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah,
Melaka dan di Hospital Besar Melaka dan ditahan di wad selama tiga hari.

Ahmad Zulhelmi berkata seterusnya beliau mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pakar Pantai, Ampang dan Hopsital Pakar Al Islam, Kampung Baru, di sini dan telah menjalani pembedahan pada 11 Oktober tahun sama. - Bernama

Remaja cuba rompak maut ditembak



HIDAYAH HAIROM
18 Disember 2012
Remaja cuba rompak maut ditembak
Suspek mati selepas terkena tembakan di bahagian dada.
KUALA LUMPUR - Cubaan merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Sri rampai, di sini, awal pagi semalam gagal apabila kegiatan dua penjenayah terbabit disedari polis yang sedang membuat rondaan.

Dalam kejadian 4.40 pagi itu, empat pekerja yang sedang bertugas didatangi dua lelaki bersenjatakan parang bertindak mengacukan parang ke arah seorang pekerja yang berada di kaunter.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata, tindakan suspek mengacukan parang memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan.

“Polis melepaskan tembakan kerana cubaan bunuh anggota. Suspek ditembak di bahagian dada dan mati di tempat kejadian. Manakala seorang pekerja cedera di leher akibat terkena parang semasa diugut suspek.

“Polis turut menemui sebuah motosikal yang ditinggalkan suspek dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian itu turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 394 dan 307 kanun keseksaan.

Sementara itu, pengurus kedai serbaneka itu, yang enggan dikenali berkata, dua suspek sama telah merompak sebuah lagi cawangan kedai serbaneka miliknya di Wangsa Maju petang kelmarin.

Menurutnya, dia rugi lebih RM1,000 dan telah membuat laporan polis.

“Untuk tahun ini sahaja, di sini (cawangan Sri Rampai) telah dirompak sebanyak 15 kali,” katanya.

Pemuda mengamuk bunuh diri: Polis





         
NEWTOWN: Polis Connecticut secara rasmi mengesahkan identiti penyerang Sekolah Rendah Sandy Hook pada Sabtu lalu sebagai Adam Lanza, 20.

Polis turut mengesahkan Lanza mati akibat membunuh diri.


Pegawai polis Connecticut, Paul Vance berkata, sebelum mengamuk, Lanza menembak mati ibunya, Nancy, di rumah mereka.

“Nancy terbunuh akibat beberapa das tembakan,” katanya. Menurut Vance, Lanza membunuh diri dengan pistol, manakala serangan di sekolah rendah itu menggunakan raifal Bushmaster AR-15 .223 caliber.


Bagaimanapun, senjata yang membunuh Nancy tidak disahkan Vince. Dua pistol turut dibawa Lanza ke sekolah itu, iaitu Glock 10 mm dan Sig Sauer 9 selain dilengkapi peluru berkeupayaan tinggo.


Vance enggan memberi sebarang petunjuk sama ada polis setakat ini mengetahui motif serangan itu. “Kami tidak mempunyai alasan spesifik lagi,” katanya.

Menurutnya, di sekolah itu polis menemui ratusan peluru serta sejumlah kelopak peluru kosong. Polis belum mengesahkan berapa das tembakan dilepaskan. - AFP

‘Mental’ sebab ibu

NEWTOWN: Ibu pemuda yang menembak mati 26 murid dan kakitangan sebuah sekolah rendah di Amerika Syarikat memainkan peranan besar menyebabkannya mengalami sakit jiwa teruk.

Rakan dan keluarga ibu Adam Lanza, menggambarkan Nancy sebagai paranoid yang terlalu percaya dunia berada di ambang kemusnahan ekonomi.


Wanita itu dilaporkan bergelut untuk menyelamatkan diri dengan menyimpan stok makanan, minuman dan senjata di rumah besarnya di Connecticut yang didiami bersama anaknya berusia 20 tahun itu.

Nancy, 52, digolongkan sebagai ‘prepper,’ gelaran untuk mereka yang bersiap sedia menghadapi kemusnahan dalam masyarakat bertamadun. Dia menjadi begitu taksub dengan senjata dan mengajar Adam serta abangnya, Ryan, cara menembak serta membawa mereka ke lapang sasar tempatan.


Tindakannya itu membawa padah Jumaat lalu apabila Lanza memulakan pembunuhan dengan menembak ibunya di atas katil.


Dia melepaskan empat das tembakan pada kepala wanita itu, dipercayai ketika Nancy tidur, sebelum membawa tiga senjata ke Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut dan menembak mati 20 murid dan enam kakitangan.

Ibu saudara Lanza berkata, Nancy tidak bergantung kepada orang lain dan mereka banyak bercakap mengenai cara dia membuat persiapan untuk menghadapi keruntuhan ekonomi.


Menurutnya, bekas kakak iparnya itu begitu teliti memastikan dia sentiasa bersenjata dan tidak merahsiakan bahawa dia mempunyai koleksi senjata. Ia bukan setakat dua pistol dan raifal separuh automatik yang digunakan dalam pembunuhan berkenaan, malah dua senapang memburu tradisional.

Dia akan bercakap dengan penuh bangga mengenai senjata berkenaan di bar tempatan serta menunjuk-nunjukkan senjata itu kepada tukang kebunnya.


“Dia memberitahu saya, dia gemar menembak,” kata Dan Holmes, tukang kebun Nancy.


Menurutnya, Nancy sering pergi ke lapang sasar bersama kedua-dua anaknya.

Mayat hakim Ukraine ditemui tanpa kepala

KIEV: Mayat tanpa kepala seorang hakim Ukraine yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pengumpul barangan antik, isteri, anak dan teman wanita anaknya ditemui di apartmen mereka di bandar Kharkiv, kata polis, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Vitaly Zakharchenko dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, beberapa barangan antik hilang dari rumah Volodymyr Trofimov, 58, yang memiliki koleksi syiling yang jarang ditemui, pingat tentera dan patung China.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, hasil siasatan yang dijalankan dari semua sudut merumuskan: “jenayah itu dirancang dengan teliti.” Akhbar Segodnya memetik pendakwa raya sebagai berkata, kes yang dikendalikan hakim sebuah mahkamah daerah itu sejak beberapa tahun lalu hanya membabitkan pembayaran alimoni, jenayah kecil dan pungutan hutang.

Mayat hakim Ukraine ditemui tanpa kepala

KIEV: Mayat tanpa kepala seorang hakim Ukraine yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pengumpul barangan antik, isteri, anak dan teman wanita anaknya ditemui di apartmen mereka di bandar Kharkiv, kata polis, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Vitaly Zakharchenko dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, beberapa barangan antik hilang dari rumah Volodymyr Trofimov, 58, yang memiliki koleksi syiling yang jarang ditemui, pingat tentera dan patung China.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, hasil siasatan yang dijalankan dari semua sudut merumuskan: “jenayah itu dirancang dengan teliti.” Akhbar Segodnya memetik pendakwa raya sebagai berkata, kes yang dikendalikan hakim sebuah mahkamah daerah itu sejak beberapa tahun lalu hanya membabitkan pembayaran alimoni, jenayah kecil dan pungutan hutang.

Si Belang gagal terbang

DITANGKAP...rancangan (dari kiri) Osborne, Tony  dan Collins berjaya digagalkan pengawal penjara.
DITANGKAP...rancangan (dari kiri) Osborne, Tony dan Collins berjaya digagalkan pengawal penjara. LEICESTER: Satu rancangan seorang pembunuh dan seorang ketua dadah melarikan diri dari penjara dengan helikopter berjaya digagalkan pengawal.
Ketua kumpulan dadah, Mark Osborne dan pembunuh, Wayne Collins merancang untuk melarikan diri dari Penjara Gartree di Leicester, tempat yang pernah menyaksikan satu-satunya tindakan melarikan diri dari penjara di Britain pada 1987.

Bagaimanapun, pengawal di penjara Kategori B itu mendapat maklumat mengenai rancangan itu dan bertindak ke atas kedua-dua banduan dengan memakaikan mereka pakaian berbelang yang biasa diberikan kepada tahanan yang berpotensi melarikan diri.

Menurut akhbar Daily Star, mereka dipindahkan ke penjara kawalan ketat, Osborne ke Whitemoor di Cambridgeshire dan Collins ke Full Sutton di Yorkshire Timur.

Satu sumber penjara memberitahu akhbar itu: “Osborne dan Collins merancang melarikan diri dan mengutip dana sejak beberapa bulan lalu.” Pasangan itu dipercayai membayar operasi itu menerusi hasil perniagaan dadah dari dalam dan luar penjara.

Osborne, 29, dan abangnya, Tony pernah terbabit membekalkan kokain bernilai ratusan ribu paun di kawasan Romford di Essex.


Mereka mengupah Collins untuk membunuh Mark Tredinnick di depan anaknya berusia empat tahun pada Jun 2007.

Osborne menggunakan telefon diseludup masuk ke bilik kurungannya untuk mengarah pembunuhan Tredinnick, 39.

Mangsa ditembak sembilan kali selepas diserang hendap di Romford di depan teman wanitanya, Kerri Ann Shanahan dan anak mereka.

Tredinnick berhutang kepada Osborne yang dipenjarakan kerana kesalahan mencederakannya ketika pembunuhan itu. Dia percaya Tredinnick mencuri dadahnya.

Adik beradik Osborne itu dan Collins dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh Tredinnick pada 2009.

Rayuan mereka ditolak dan ia mendorong mereka melarikan diri dari penjara.

Sumber itu berkata lagi: “Mereka dipercayai masih terbabit dalam perniagaan dadah dan dikatakan berusaha mendapatkan orang luar menerbangkan sebuah helikopter dan mendaratkannya di perkarangan penjara,” kata sumber. - DS

Peluru Lanza cukup untuk bunuh semua murid





         
NEWTOWN: Penembak yang membunuh 20 kanak-kanak di Sekolah Rendah Sandy Hook awal pagi Sabtu lalu dilengkapi ratusan peluru, kata pegawai keselamatan, semalam.

Menurut pegawai polis Connecticut, Paul Vance, Adam Lanza membawa peluru berkenaan untuk digunakan bersama raifal tentera dan dua pistol.


Katanya, peluru itu termuat dalam pelbagai magazin peluru berkeupayaan tinggi dengan setiap satu mempunyai 30 butir. Ia cukup untuk membunuh semua murid.

“Lanza juga membawa senjata keempat sebagai simpanan iaitu senapang pendek yang ditinggalkan dalam keretanya,” katanya.


Semakin banyak maklumat diketahui mengenai Lanza ketika orang ramai menghadiri majlis perkabungan mangsa serangan berkenaan, semalam.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, turut mengunjungi bandar Newtown bagi menenangkan penduduk di situ yang terkejut dengan kejadian berkenaan. Polis mengesahkan identiti penyerang sekolah itu sebagai Lanza, 20, untuk kali pertama semalam.

Vance berkata, Lanza masuk ke kawasan sekolah dan melepaskan tembakan ke arah murid dan kakitangan menggunakan raifal Bushmaster AR 15.


“Bushmaster digunakan Lanza dalam serangan di sekolah berkenaan, manakala pistol digunakan untuk menembak dirinya sendiri,” katanya. Menurut Vance, semua kanak-kanak yang maut berusia antara enam hingga tujuh tahun.

Namun, motif serangan itu masih belum diketahui. - Reuters

Remaja bunuh, bakar kekasih





         
BANGKOK: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun didakwa kerana membunuh teman wanitanya yang sekali ganda lebih tua daripadanya dan membakar mayatnya di sebuah bilik sewa di daerah Bang Khen, di sini, kelmarin.

Wanita berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Pataraporn Prueksasri, penduduk wilayah Songkhla.


Mayatnya ditemui di biliknya di kondominium Thanommit Park di Jalan Watcharapol pada jam 1 pagi.

Polis berkata, tubuh Pataraporn ditutup dengan tuala dan akhbar, kemudian dibakar.


Satu paket arsenik, dua botol bir kosong dan sebotol cecair pembersih tandas ditemui di sebelah mayat.


Polis di Balai Polis Khan Na Yao berkata, Warawut Phetchai, 19, mengaku berkelahi dengan Pataraporn dalam marah dan cemburu, dia mencekik mangsa hingga mati dan membakar mayatnya.

Pengawal keselamatan di Luangrit Puangtapa berkata, penduduk memaklumkan mengenai kebakaran di bilik Pataraporn pada jam 12.30 tengah malam.


Dia memecah pintu besi dan pintu kayu untuk masuk ke rumah itu. Katanya, Pataraporn sudah mati ketika dia masuk.

Mangsa pegawai di Jabatan Tanah cawangan Chatuchak. - Bangkok Post

Jaja foto kaut RM500,000

BUKTI...Azri menunjukkan laporan polis dan gambar suspek.
BUKTI...Azri menunjukkan laporan polis dan gambar suspek. JOHOR BAHRU: Dengan hanya bermodalkan gambar seekor cicak tokek milik orang lain, seorang penganggur dengan mudah mengaut lebih setengah juta ringgit selepas menipu beberapa individu termasuk penghidap HIV dari luar negara yang mahu memperoleh haiwan berkenaan, kononnya untuk tujuan perubatan.
Lebih malang, lelaki berusia 26 tahun itu turut menyamar sebagai anak bongsu pemilik cicak tokek berkenan, menjaja gambar keluarga warga emas itu, menyebabkan hidup keluarga terbabit kini tertekan kerana disalah anggap sebagai penipu.

Pemilik sebenar cicak tokek itu yang mahu dikenali sebagai Manaf, 70, berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa mangsa penipuan lelaki itu menghubungi dan datang berjumpanya.

Manaf berkata, keluarganya mengenali suspek dikenali sebagai Zaid itu sejak September tahun lalu apabila dia datang ke rumahnya bersama seorang kenalan keluarga. “Saya sebenarnya berasal dari Singapura tapi kini menetap di Skudai. Sejak berkenalan dengan Zaid, empat kali dia datang ke rumah saya, namun sejak kali pertama datang dia begitu berminat dengan dua cicak tokek yang dipelihara keluarga saya.

“Malah, dia juga merakam gambar haiwan itu dengan alasan mahu menyimpannya sebagai kenangan dan saya tidak menghalang kerana menganggap ia perkara biasa,” katanya yang memelihara dua cicak tokek itu sejak tiga tahun lalu. Manaf berkata, kegiatan penipuan Zaid itu mula terbongkar 30 November lalu apabila seorang lelaki datang ke rumahnya dan bertanya mengapa dia masih belum menerima cicak tokek yang dijanjikan Zaid sedangkan dia sudah menyerahkan lebih RM300,000 kepada lelaki itu.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih rumit apabila suspek turut menyamar sebagai anak bongsunya, Azri, 40, yang juga seorang seorang ahli perniagaan.


“Akibatnya, lima hingga enam mangsa ditipu Zaid menelefon dan memarahi anak saya. Mereka yang tinggal Terengganu, Brunei dan Australia mendakwa sudah membayar keseluruhannya lebih RM200,000 untuk mendapatkan cicak tokek.

“Saya difahamkan sebahagian mangsa penghidap HIV kerana cicak tokek dikatakan mujarab merawat penyakit berkenaan,” katanya.

Manaf berkata, berdasarkan maklumat mangsa, suspek dikatakan melelong cicak tokek didakwa seberat 500 gram dengan harga ratusan ribu ringgit sedangkan cicak tokek peliharaannya hanya seberat empat gram. “Saya kurang pasti sama ada dia menawarkan haiwan itu menerusi laman web tetapi mangsanya terdiri penduduk tempatan dan luar negara,” katanya. Manaf berkata, anaknya bersama seorang mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, dekat sini, pada 1 Disember lalu. “Kami bimbangkan keselamatan keluarga memandangkan Zaid menjaja gambar keluarga kami ketika menipu mangsanya,” katanya.

Tragedi main air

SERIUS...Md Affendi (baju biru berdiri) menceritakan kejadian kepada ayah mangsa, Anuar  (duduk dua dari kanan).
SERIUS...Md Affendi (baju biru berdiri) menceritakan kejadian kepada ayah mangsa, Anuar (duduk dua dari kanan). KUALA KEDAH: “Selepas terjun, saya sempat capai seorang saja anak saudara, tapi sedih tak dapat selamatkan dua lagi kerana arus deras,” kata Md Affendi Ismail, 27, bapa saudara kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot gentian kaca dinaiki mereka di muara Sungai Kuala Kedah, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kanak-kanak iaitu Mohd Hafiz Anuar, 4, dan abangnya, Mohd Nashrik, 9, hilang selepas tercampak dari bot dinaiki mereka manakala pasangan kembar, Mohd Nashrik iaitu Mohd Ashraf, 9, sempat diselamatkan Md Affendi.

Md Affendi berkata, selepas menyelamatkan Mohd Ashraf, dia berenang sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum diselamatkan rakan yang menaiki bot lain.

“Sebelum kejadian, mereka mendesak saya untuk bawa mereka bersiar-siar menaiki bot dan menunggu kepulangan saya dari laut sejak jam 8 pagi,” katanya.

Menurutnya, dia membawa tiga anak saudaranya bersiar-siar di sekitar muara berkenaan sebelum berpatah balik selepas perjalanan sejauh 500 meter berhampiran Jambatan Tok Pasai, di sini.

Md Affendi yang juga nelayan berkata, dia tidak menyangka berlaku tragedi kerana ini kali pertama dia membawa tiga bersaudara berkenaan kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendesak sehingga sanggup menunggu di rumahnya di Taman Nelayan, di sini.


“Selain membawa mereka bersiar di muara, pasangan kembar itu mendesak saya membawa mereka lebih jauh kerana memaklumkan tidak puas menaiki bot bersama.

“Sejurus sebelum kejadian, saya melihat dua anak saudara bermain air dengan meletakkan tangan dalam laut di bahagian hadapan bot, namun tidak menyangka tindakan itu mengakibatkan bot hilang keseimbangan ketika saya cuba membelok. “Akibatnya, mereka tercampak dalam laut menyebabkan saya terjun untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Md Affendi berkata, sebelum ini, mereka mendesaknya supaya membawa bersiar-siar menaiki bot di kawasan muara sungai, namun dia tidak mengendahkan kata-kata anak saudaranya itu dan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menunggunya.

Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menunaikan desakan pasangan kembar terbabit bertukar insiden memilukan memandangkan sebelum ini dia sering membawa Mohd Hafiz ke laut.

“Namun, hari ini (semalam) mereka benar-benar mendesak saya supaya membawa turun ke laut. Selalunya, mereka akan pulang jika saya tidak mengendahkan desakan mereka, tetapi kejadian hari ini (semalam) sebaliknya.

“Mereka sanggup mengejutkan saya daripada tidur, petang tadi (semalam) bagi menunaikan permintaan itu, namun perkara tidak diingini pula berlaku,” katanya.

Bapa dua beradik terbabit, Anuar Ismail, 31, terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas sukar menerima hakikat dan menyalahkan Md Affendi di atas apa yang berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Izham Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada jam 5.07 petang sebelum melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta.

“Setakat ini, kami melakukan operasi mencari di permukaan air saja sementara menunggu Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani. Operasi mencari dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samping beberapa bot nelayan,” katanya.

Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan.

Leher berdarah

MAUT...mangsa ditemui mati di tempat duduk kereta dengan kesan kelar pada leher.
MAUT...mangsa ditemui mati di tempat duduk kereta dengan kesan kelar pada leher.
PETALING JAYA: “Saya lihat sekumpulan tujuh hingga lapan anjing berkerumun di sebuah kereta dengan pintu depan terbuka sebelum mendapati seorang wanita berlumuran darah pada leher dan dadanya di tempat duduk pemandu.”
Demikian kata peniaga, Kamaruzaman Sanusi, 30, yang menemui mayat seorang wanita mati dibunuh dengan kesan kelar di leher di Jalan PJS5/16, berhampiran Flat Desa Mentari, di sini, tengah malam kelmarin.

Kamaruzaman berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam, dia dan keluarga baru tiba dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang sedang mencari tempat parkir kenderaan untuk ke rumah adik ipar, Rozaidi Mat Amin, 28, di flat berkenaan.

“Ketika mencari tempat parkir, saya terserempak sekumpulan anjing berhampiran sebuah kereta. Saya berhenti seketika dan menunggu kumpulan anjing itu beredar kerana haiwan itu menghalang laluan saya.

“Selepas anjing itu pergi, saya teruskan pemanduan dan ketika melepasi kereta berkenaan saya ternampak seorang wanita di tempat duduk pemandu seperti sedang tidur.

“Namun, saya hairan kerana pintu keretanya dibiarkan terbuka dan mengesyaki dia pengsan sebelum saya turun untuk memeriksa,” katanya.


Menurutnya, sebaik menghampiri wanita berkenaan, dia terkejut melihat darah pada leher dan dada sehingga ke bawah kenderaan sebelum segera menghubungi adik iparnya itu untuk meminta bantuan menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, selepas menerima panggilan jam 1.15 pagi, sepasukan polis dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K-9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menyiasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Suntarambhal berusia 33 tahun dan sudah berumahtangga. Mangsa dipercayai sudah mati satu hingga dua jam sebelum mayatnya ditemui.

“Mangsa yang menetap di Cheras juga dilaporkan hilang oleh suaminya sebelum kejadian apabila dipercayai tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam,” katanya.

Arjunaidi berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan setakat ini, polis menolak ia kejadian samun berikutan barangan berharga milik mangsa tidak diambil, manakala kereta yang didaftar atas nama suaminya juga berkeadaan baik.

“Malah, mangsa juga dipercayai tidak dirogol berikutan berpakaian lengkap iaitu blaus dan skirt berwarna gelap.

“Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran.

“Suami mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan polis juga sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, mangsa baru saja berhenti menjual daripada bunga malai bulan lalu dan kini membantu suaminya yang berusia 36 tahun mengusahakan pusat jagaan orang tua di Cheras.

Suami mangsa melaporkan kehilangan isterinya kepada polis apabila wanita itu yang keluar dengan memandu sendirian kira-kira jam 10 malam tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam, manakala telefon bimbitnya tidak dijawab.

Lelaki warga Bangladesh maut ditembak




         
KOTA BAHARU: Seorang lelaki warganegara Bangladesh maut selepas terkena dua das tembakan yang menembusi kepalanya di Jalan Bayam di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa, Mat Shah Jalal, 31, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menaiki motosikal jenis EX5 berwarna merah.
"Mangsa bekerja sebagai pembaik pendingin hawa, maut selepas siasatan awal mendapati ada kesan tembakan di bahagian belakang kepala menembusi kening kirinya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Beliau berkata, polis telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan kedua-dua suspek tersebut dan sedang menyiasat motif serta punca sebenar mangsa ditembak.


Mazlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999. - Bernama

Anak sakit ayah tergolek




         
KUALA TERENGGANU: Niat seorang warga emas mengambil upah menebang pokok untuk membiayai rawatan dua anaknya yang menderita penyakit kemurungan terbantut apabila dia terlantar di katil wad sejak 11 hari lalu selepas tulang paha kedua-dua kakinya patah akibat terjatuh daripada pokok manggis setinggi 10 meter.

Sidek Awang, 68, yang ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, berkata, dalam kejadian jam 10 pagi pada 6 Disember lalu, dia dan dua rakannya mengambil upah menebang pokok berkenaan yang dianggarkan berusia 30 tahun di Kampung Laut, di sini.


“Sebaik tiba, saya terus memanjat pokok manggis itu untuk mencantas dahan kecil bagi memudahkan kerja penebangan.

“Malangnya belum sempat sampai ke puncak pokok itu, saya terpijak dahan reput menyebabkan saya hilang imbangan dan terhempas di atas tanah.


“Dua rakan yang memanaskan enjin mesin gergaji berantai di bawah pokok manggis itu tergamam melihat saya tersembam di atas tanah,” katanya.


Sidek berkata, akibat terhempas kuat, dia tidak sedarkan diri dan dihantar ke HSNZ dengan ambulans.

Sementara itu, isterinya, Kelsom Ismail, 61, berkata, dia terkejut apabila jiran memaklumkan kejadian menimpa suami sebelum bergegas ke lokasi kejadian.


“Sebak hati saya melihat kedua-dua belah kaki suami yang terkulai ketika dia diangkat masuk ke dalam ambulans,’’ katanya.

Menurutnya, dia banyak kali menasihatkan suaminya supaya jangan bekerja lagi, namun disebabkan anak sulung, Natrah Sidek, 40, dan anak kedua, Rozlina Sidek, 38, diserang penyakit murung lebih 15 tahun lalu, suaminya terpaksa bekerja keras mengambil upah menebang pokok dan memanjat pokok kelapa untuk menampung perbelanjaan rumah serta kos rawatan kedua-dua anaknya itu.


Kelsom berkata, dia dimaklumkan, doktor merancang untuk memasukkan besi pada kaki suaminya untuk membetulkan semula tulang paha yang patah itu.