KOTA TINGGI 16 Dis. - Tiga termasuk seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya Mac depan, maut dalam kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang terkorban ialah Mohd. Ali Kenid, 51, dari Kampung Felcra Sungai Layau; Abdul Samah Darmawi, 56, dari Felda Kledang dan Siti Noraizah Abdul Wahab, 21, dari Felda Sungai Mas.
Mohd. Ali meninggal dunia di tempat kejadian, Abdul Samah semasa dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala Siti Noraizah pula selepas lima jam diberi rawatan di HKT.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Siti Noraizah dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit bergesel dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.
Difahamkan, kereta tersebut dipercayai tiba-tiba memasuki arah bertentangan setibanya di lokasi kejadian.
Kata Che Mahazan, treler berkenaan kemudian merempuh kereta Proton Saga itu sebelum hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Treler itu seterusnya merempuh kereta Proton Wira yang dipandu Mohd. Ali, iaitu kereta ketiga yang berada di belakang kereta dipandu Siti Noraizah.
"Terdapat sebuah lagi kereta Proton Saga yang berada di belakang kereta Siti Noraizah namun terselamat dan pemandunya hanya mengalami kecederaan ringan.
"Kereta keempat iaitu Proton Wira yang dipandu Abdul Samah (di belakang kereta Mohd. Ali) gagal mengelak lalu merempuh tengah treler tersebut yang melintang di tengah jalan," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Che Mahazan, pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Abdul Samah dan Mohd. Ali dituntut ahli keluarga dan dikebumikan malam tadi, manakala jenazah Siti Noraizah pula di tanah perkuburan Islam Felda Sungai Mas pagi ini.
Sementara itu, anak Abdul Samah, Mohd. Hasni, 23, yang menaiki kereta berkenaan berkata, dia sempat melihat pemandu Proton Saga (Siti Noraizah) yang berada di hadapan sebuah lagi kereta jenis sama tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.
"Ketika itu ayah sempat berkata, 'eh kenapa dengan kereta tu'. Dalam sekelip mata, lori yang cuba mengelak kereta Proton Saga itu hilang kawalan dan terus merempuh kenderaan kami.
"Saya yang berada di tempat duduk penumpang hanya mengalami cedera ringan dan ketika itu lihat arwah ayah yang tersepit di tempat duduk sudah tidak sedarkan diri," katanya semasa ditemui di Unit Forensik HKT.
Anak sulung Mohd. Ali, Norain, 25, pula tidak menyangka perbualan dengan arwah sehari sebelum kejadian adalah perbualan terakhir mereka.
"Ketika itu saya mengadu kepada arwah tentang kereta saya yang dilanggar lori ketika dalam perjalanan pulang dari kerja. Namun arwah yang ketika itu sedang membelek jaringnya hanya berpesan agar saya banyak bersabar,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121217/dn_13/Tiga-maut-kemalangan-ngeri#ixzz2FK2B6aGQ
© Utusan Melayu (M) Bhd