Search This Blog

Saturday, December 15, 2012

Bakat cilik meninggal dunia

Bakat cilik meninggal dunia:

Sophie Firth
DONCASTER 14 Dis. - Bakat cilik yang pernah membintangi drama popular Emmerdale ketika masih bayi, Sophie Firth, meninggal dunia Selasa lalu akibat melecur teruk selepas baju yang dipakainya terbakar akibat disambar api.
Kejadian tersebut berlaku ketika kanak-kanak berusia tiga tahun itu dikatakan menyandar berhampiran dapur gas yang sedang digunakan di kediaman neneknya, sebelum api menyambar baju yang dipakainya.
Ibunya, Amy Harhoff, 28, cuba memadamkan api itu menggunakan selimut, namun lebih 70 peratus tubuh Firth melecur teruk.
Dia dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Sheffield, sebelum dipindahkan ke unit khas di Hospital Newcastle.
Firth menjalani rawatan bagi memulihkan luka yang dialami, namun organnya gagal berfungsi selepas berlaku jangkitan kuman pada darahnya dan kanak-kanak itu meninggal dunia selepas sembilan hari dimasukkan ke hospital.
Bapanya, Neil, dan ibunya berada di sisi Firth ketika dia meninggal dunia. Dia turut memiliki seorang adik, George, yang berusia setahun.
Kanak-kanak comel tersebut membintangi drama popular saluran ITV itu selama tiga bulan pada 2009 sebagai Angelica King, bayi kepada Jimmy dan Nicola, sebelum watak itu digantikan oleh Rebecca Bakes.
Keluarga Firth tinggal sementara bersama neneknya di Skellow, Doncaster kerana kediaman mereka yang terletak di Austerfield, tidak jauh dari sini, sedang diubah suai. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121215/lu_06/Bakat-cilik-meninggal-dunia#ixzz2F8V1b5tB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Lelaki China mengamuk, 22 murid cedera

Lelaki China mengamuk, 22 murid cedera:

BEIJING 14 Dis. - Seramai 22 kanak-kanak dan seorang wanita cedera apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau mengamuk di sebuah sekolah rendah di Henan, wilayah tengah China, hari ini.
Pihak pentadbiran hospital melaporkan, penyerang tersebut, Min Yingjun, 36, pada mulanya menyerang seorang wanita sebelum menyerang 22 murid-murid berkenaan yang baru di sekolah untuk memulakan sesi pembelajaran kira-kira pukul 8 pagi (8 pagi waktu Malaysia).
Yingjun kemudiannya ditahan oleh pihak keselamatan sekolah dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, pihak polis masih menyiasat motis sebenar lelaki terbabit mengamuk di sekolah rendah itu.
Dua kanak-kanak yang mengalami kecederaan serius terpaksa dipindahkan ke hospital lain yang mempunyai kemudahan yang lebih baik.
Kerajaan negeri Guangshou turut menyiarkan notis yang tertulis mangsa serangan itu dan melancarkan siasatan terhadap kejadian itu.
Pada 2010, satu kejadian amuk di sekolah telah menyebabkan hampir 20 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera.
Ogos lalu, seorang lelaki bersenjatakan pisau memecah masuk sekolah menengah di bandar Nanchang dan menikam dua orang pelajar sebelum melarikan diri.
Kebanyakan penyerang dikenal pasti sebagai individu yang menghadapi sama ada masalah mental, mempunyai tujuan membalas dendam atau gagal mengikut perubahan sosial di China. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121215/lu_02/Lelaki-China-mengamuk-22-murid-cedera#ixzz2F8UcHxp9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Pecah amanah: Menteri Luar Israel letak jawatan

Pecah amanah: Menteri Luar Israel letak jawatan:

BAITULMAQDIS 15 Dis. - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman yang juga Timbalan Perdana Menteri meletak jawatan semalam selepas didakwa atas tuduhan penipuan dan pecah amanah, tindakan yang mampu memberi kesan kepada kempen pilihan raya bulan hadapan.
"Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan saya sebagai Menteri Luar dan Timbalan Perdana Menteri supaya saya dapat menghentikan perkara ini dengan segera sekali gus membersihkan nama saya,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Undang-undang Israel semalam berkata, ia akan mendakwa Lieberman atas dakwaan penyelewengan berhubung kenaikan pangkat seorang diplomat Israel yang telah membocorkan maklumat tentang satu siasatan polis mengenai aktivitinya.
Dakwaan lebih serius termasuk penggubahan wang haram dan rasuah yang kemudiannya digugurkan, namun Lieberman tetap memutuskan untuk meletak jawatan.
Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada Lieberman akan bertanding pada pilihan raya umum 22 Januari hadapan walaupun media Israel mendakwa beliau akan tetap bertanding sekiranya kes berjalan.
Parti sayap kanan Lieberman, Yisrael Beiteinu dan Parti Likud yang diwakili Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah membentuk pakatan menjelang pilihan raya itu dan dijangka akan memenanginya.
Satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri berkata, Netanyahu akan memegang jawatan Menteri Luar Israel sehingga pilihan raya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121215/lu_12/Pecah-amanah-Menteri-Luar-Israel-letak-jawatan#ixzz2F8UQ4ZiV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Lanza bunuh ibu sebelum mengamuk di sekolah

Lanza bunuh ibu sebelum mengamuk di sekolah: "NEWTOWN, Connecticut 15 Dis. - Lelaki yang menembak mati 26 orang termasuk 20 kanak-kanak di sebuah sekolah rendah, dilaporkan bertindak membunuh ibunya terlebih dahulu di rumah mereka di sini.

Adam Lanza, 20, yang dipercayai membawa dua pucuk pistol ketika mengamuk di Sekolah Rendah Sandy Hook di sini, kemudian bertindak membunuh dirinya.

Pihak berkuasa berkata, jumlah mereka yang mati dalam kejadian itu adalah 28 orang termasuk Lanza.

Insiden itu merupakan kejadian tembakan paling tragis dan keempat berlaku dalam tempoh lima bulan di Amerika Syarikat (AS). - Agensi"

'via Blog this'

Utusan Melayu diarah bayar ganti rugi kepada Karpal Singh

Utusan Melayu diarah bayar ganti rugi kepada Karpal Singh - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Utusan Melayu (M) Berhad membayar ganti rugi am sebanyak RM50,000 kepada Pengerusi DAP Karpal Singh kerana menerbitkan artikel berbaur fitnah terhadapnya.
   
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad turut mengarahkan Utusan Melayu membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Karpal yang diwakili peguam Ramkarpal Singh.
   
Beliau bagaimanapun tidak memberikan ganti rugi teladan dan teruk kepada peguam veteran itu.
   
Dalam penghakimannya, Nik Hasmat berkata artikel yang disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Ogos 2008 bertajuk 'DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu", adalah dengan jelas memfitnah terhadap plaintif.
   
Nik Hasmat berkata artikel itu merupakan satu kewartawanan cuai dan tidak wajar kerana diterbitkan sebelum pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
 
Beliau berkata, defendan juga mengakui tidak menghadiri Kongres Kebangsaan DAP ke-15 pada Ogos 2008 dan tidak memastikan kebenaran penulisan artikelnya daripada plaintif berhubung ucapan Karpal pada kongres berkenaan.
   
Mahkamah bagaimanapun mengambil kira faktor mitigasi yang dikemukakan oleh defendan iaitu menarik balik dan permohonan maaf di muka surat hadapan akhbar tersebut dalam masa 24 jam.
   
Karpal Singh, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor, memfailkan saman tersebut pada 19 September 2008.
   
Utusan Melayu diwakili peguam B. Mohana Kumar.  - Bernama
'via Blog this'

Remaja hilang di Cheras, jumpa di Melaka

Remaja hilang di Cheras, jumpa di Melaka - Semasa - Sinar Harian:
Hilang Cheras
Rahim (tiga, kanan) menunjukkan belukar tempat anaknya didakwa ‘disembunyikan’ kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Kiat (kanan).
KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga kebingungan apabila anak lelaki mereka yang didakwa hilang sejak tiga hari lalu selepas masuk ke kawasan belukar di belakang rumahnya di Flat Taman Bukit Segar 1, Cheras akhirnya ditemui di sebuah surau di Melaka.

Mangsa Mohd Shukri Rahim, 15, menghubungi keluarganya menerusi telefon bimbit kira-kira jam 11 pagi semalam selepas pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menjejaki remaja malang itu.

Remaja itu sebelum ini disedari tiada di rumah pada jam 6.30 pagi, Rabu lalu.

Bapa mangsa Rahim Jamuri, 40, berkata, dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku kerana anaknya itu sebelum ini tidak pernah langsung keluar rumah tanpa memberitahunya apatah lagi keluar senyap-senyap pada awal pagi.

Menurutnya tambah memelikkan apabila seliparnya tidak terusik malah dia turut mengunci pagar rumah dengan mangga tetapi kuncinya dibawa sekali.

“Dia hanya memakai baju t dan berseluar pendek, puas saya bertanyakan rakan-rakannya yang tinggal di kawasan ini tetapi masing-masing tidak tahu di mana anak saya berada,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurutnya, telefon bimbit cuba dihubungi banyak kali namun gagal menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis selepas usaha menjejakinya gagal.

“Saya diberitahu oleh beberapa ustaz yang mengatakan anak saya masih berada berhampiran kawasan rumah iaitu di belukar berhampiran blok A3 menyebabkan pasukan bomba dan Gerakan Am dipanggil untuk membantu mengesan anak saya,” katanya.

Difahamkan anggota bomba terpaksa menjalankan operasi mencari menggunakan khidmat anjing pengesan namun gagal menemui sebarang petunjuk menyebabkan operasi dihentikan pada hari kedua.

“Kami sekeluarga tidak pernah berselisih faham dengan Mohd Shukri dan apa yang berlaku memang di luar dugaan. Saya sendiri tidak sangka perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Sembahyang hajat tepi belukar

USAHA berterusan dilakukan termasuk mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yasin oleh kariah Surau Yusof Al-Amin telah dilakukan beramai-ramai di satu kawasan lapang berhampiran kawasan belukar yang dikatakan menjadi laluan terakhir remaja itu sebelum hilang.

Pengerusi Suraunya Mahmud Abas berkata usaha yang dibuat bagi memohon kepada ALLAH SWT memberikan petunjuk terakhir selain usaha mencari mangsa terus dilakukan.

“Penempatan ini dahulunya bersambung dengan hutan simpan, jadi kami di sini memang akui lokasi ini agak keras kerana ada penduduk pernah terserempak dengan lembaga wanita menakutkan melintas di blok A 2 minggu lalu,” katanya

Tambahnya lagi, kejadian kehilangan yang berlaku sedikit sebanyak ada kena mengena dengan beberapa insiden pelik yang berlaku ketika pembinaan kawasan itu dijalankan.

“Ketika pembinaan rumah ini dahulu ada enam kes buruh binaan tergelincir jatuh dan ke semuanya menemui ajal,” katanya.

Dijaga harimau putih

SEMENTARA ibu remaja berkenaan Sharifah Rahimah Syed Sharif,40, berkata, melalui perbualan telefon Mohd Shukri ada memberitahu dia seperti mahu mencari seseorang dalam kawasan belukar tetapi tidak ingat siapa.

“Dia juga terdengar bunyi suara orang memanggil namanya berkali-kali berserta dengan laungan azan namun cubaannya melarikan diri dihalang sebelum dijaga seekor harimau putih.
“Sekarang dia berada di sebuah surau di Melaka, kami tidak tahu di mana tetapi kami akan ke sana mengambilnya dalam waktu terdekat,” katanya.'via Blog this'

Nyaris maut disamun

Nyaris maut disamun - Utara - Sinar Harian:
SUNGAI KOB, Kedah - Empat sekeluarga nyaris maut apabila rumah mereka di Kampung Padang Cina di sini, disamun empat lelaki bersenjatakan parang panjang kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Seperintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian semua ahli keluarga mangsa sedang tidur.

Menurutnya, sebaik sahaja masuk ke dalam rumah mangsa, suspek duduk di atas badan mangsa dan mencederakannya dengan parang supaya mangsa bekerjasama.

“Suspek kemudiannya masuk ke bilik anak mangsa dan mengumpulkan semua ahli keluarga mangsa di satu tempat di dalam rumah sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan semua barangan berharga.

“Mangsa terpaksa akur setelah suspek mengacu pisau ke leher salah seorang ahli keluarga mangsa dan mengugut akan mencederakan mereka sekiranya enggan memberi kerjasama,” katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di badan dan kaki hanya mampu melihat empat suspek terbabit menggeledah rumahnya sebelum melarikan diri.

Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah.

“Mangsa datang ke Balai Polis Sungai Kob untuk membuat laporan. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM200,000,” katanya.
'via Blog this'

Misteri bau busuk terbongkar

Misteri bau busuk terbongkar - Melaka & NS - Sinar Harian:
BATU BERENDAM - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terpaksa mengambil tindakan memecahkan pintu sebuah premis yang dikatakan menjadi lokasi punca bau busuk sejak beberapa minggu lalu, di tingkat bawah rumah kedai di Taman Bacang Utama, di sini, semalam.

Ia berikutan aduan beberapa peniaga di situ yang tidak tahan bau busuk berkenaan sehingga memaksa mereka menutup kedai sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti MBMB, Md Derus Tompang berkata, MBMB bersama Ketua Balai Polis Batu Berendam pada awalnya membuat tinjauan ke premis berkenaan yang didakwa sebuah kedai memborong ikan, Rabu lalu.

"MBMB juga bertindak menampal notis pemberitahuan pembersihan dalam tempoh 24 jam kepada pemilik premis terbabit.

"Berikutan tiada sebarang tindakan, MBMB mengeluarkan kompaun atas sebab kacau ganggu akibat bau busuk," katanya.

Menurutnya, pihak penguat kuasa MBMB bersama polis membuat operasi dengan memecah masuk premis terbabit kira-kira jam 10.45 pagi mengikut Akta Kerajaan Tempatan Seksyen 82 (Kacau Ganggu-Bau Busuk) bagi mengenal pasti punca berkenaan.

“Sebaik memasuki premis ini kami menemui sebanyak 38 tong plastik dan 30 tong polistirena yang mengandungi ikan dan udang disimpan di satu ruang.

“Manakala lantai tempat simpan semua tong berkenaan juga turut didapati berulat dan busuk seperti bangkai,” katanya.

Md Derus berkata, pihaknya juga terpaksa mencuci lantai dalam premis berkenaan selain mengangkut semua tong berisi ikan dan udang untuk dibuang.

“Penyewa premis terbabit tidak dapat dikesan namun pemiliknya hadir menyaksikan operasi dijalankan,” katanya.
'via Blog this'

Hairan pakaian dalam di ampaian lesap

Hairan pakaian dalam di ampaian lesap - Melaka & NS - Sinar Harian:
SEREMBAN – Seorang kakitangan kerajaan resah apabila pakaian dalam yang disidai bersama pakaian lain di rumahnya di Taman Harmonium Indah, di sini, hilang.

Mangsa, Noor Hashigin Ujud, 33, berkata, kejadian yang berlaku minggu lalu itu hanya disedarinya kira-kira jam 10.30 pagi setelah mendapati ampaian baju yang yang diletakkan di garaj rumahnya beralih.

“Pada hari kejadian saya tidak bekerja dan kebiasaan pada jam 9 pagi saya akan jemur pakaian.

“Sebaik sahaja siap mengemas dapur, saya melihat ke luar rumah dan mula mengesyaki sesuatu apabila ampaian beralih,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian keluar rumah untuk membetulkan ampaian terbabit dan terkejut mendapati tiga pakaian dalam yang disidai di sebalik pakaian lain hilang.

"Saya mula rasa tidak sedap hati melihat keadaan sekeliling namun tidak nampak sesiapa yang mencurigakan.

“Saya menghubungi jiran sebelah rumah yang dihuni tiga wanita dan menasihatkan mereka tidak menjemur pakaian dalam di luar," katanya..

Sejak kejadian itu Noor Hashigin tidak lagi menjemur pakaian dalam di ampaian luar.

"Tapi tidak sangka keesokannya jiran sebelah rumah memberitahu enam pakaian dalamnya hilang,” katanya yang berpindah ke situ sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, dia bimbang pakaian dalamnya yang dicuri digunakan untuk sesuatu yang tidak baik menyebabkannya tidak dapat tidur lena.

“Namun begitu, saya tidak mengesyaki sesiapa. Tapi, saya nasihatkan wanita di kawasan ini tidak lagi menjemur pakaian dalam di luar rumah kerana ia dikhuatiri menjadi sasaran lelaki gila seks,” katanya.

Justeru dia berharap pihak polis mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan itu.
'via Blog this'

Lapan sekeluarga terselamat daripada rentung

Lapan sekeluarga terselamat daripada rentung - Melaka & NS - Sinar Harian:

Rentung selamat
Keadaan api yang masih marak membakar keseluruhan tingkat atas rumah mangsa.
ALOR GAJAH, Melaka - Kegembiraan sebuah keluarga yang baru pulang menziarahi rumah saudara bertukar menjadi mimpi buruk apabila mendapati rumah yang mereka diami hangus dalam kebakaran di Taman Seri Aman, Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, lapan sekeluarga terabit berada di rumah saudara mereka di Cheng, Melaka, selepas menghadiri majlis keraian sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

Menurut sumber, kebakaran itu disedari seorang remaja ketika melalui bahagian belakang rumah terbabit untuk menjemput seorang rakannya.

“Dia nampak ada api di belakang rumah terbabit tetapi masih belum marak. Namun sebaik sahaja dia menuju ke bahagian depan rumah berkenaan, api yang tadinya kecil sudah mula menyambar bahagian depan tingkat atas rumah.

“Tidak lama kemudian, penduduk sudah mula berkerumun di hadapan rumah mangsa tetapi gagal berbuat apa-apa kerana tingkat atas yang terbakar, selain rumah tersebut berkunci,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit bersama beberapa penduduk segera menghubungi jabatan bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan, selain memaklumkan kejadian kepada balai polis berdekatan.

“Sementara menunggu pihak bomba tiba, kedengaran dua kali bunyi letupan kuat dari arah dalam rumah berkenaan disusuli runtuhan bumbung, percikan api dan asap tebal mula memenuhi udara.

“Bertambah kecoh apabila sebaik sahaja anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, pili bomba tidak ditemui kerana dilindungi bahagian hadapan rumah penduduk.

“Penduduk terpaksa mengorek bahagian bawah tanah di hadapan rumah mangsa selepas ia dikesan menutupi kedudukan pili air bomba hingga melambatkan operasi memadam api yang sudah marak,” katanya.

Sementara itu, penghuni rumah berkenaan, Hiew See Kong, 44, berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya tiada di rumah kerana menghadiri majlis di rumah saudara di bandar Melaka dan keluar sejak jam 4.30
petang.

“Saya keluar bekerja di Alor Gajah jam 8 pagi dan mengetahui bahawa ahli keluarga lain keluar ke rumah saudara dan bernasib baik ketika kejadian tiada sesiapa di rumah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Melaka, Penguasa Bomba Luqman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.11 malam.

“Disebabkan rumah mangsa yang berkunci, bomba terpaksa membuka pintu menggunakan peralatan khas selain mengopak tingkap untuk memudahkan operasi memadam api," katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 9.48 malam dan kerugian dianggarkan RM200,000.

'via Blog this'

Pecah masuk tiga pejabat

Pecah masuk tiga pejabat - Perak - Sinar Harian:

Pecah masuk
Tiga pejabat agensi kerajaan di Bangunan Persekutuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dipecah masuk.
IPOH – Tiga pejabat agensi kerajaan termasuk Pejabat Pilihan Raya Negeri yang terletak di Bangunan Persekutuan, Jalan panglima Bukit Gantang Wahab di sini, di pecah masuk mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

Dalam kejadian itu, dua lagi agensi yang terlibat ialah Pejabat Pentadbiran Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah (JAKOA).

Bagaimanapun, pejabat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Negeri yang terletak di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu tidak sempat dimasuki penjenayah terbabit.

Insiden itu disedari seorang pekerja jabatan (JAKOA) yang hendak memulakan tugas pada jam 7.20 pagi sebelum memaklumkan kepada pengawal keselamatan yang bertindak menghubungi pihak polis.

Pengarah JAKOA, Mohd Zambri Mustajap berkata, kejadian itu disifatkan pelik apabila komputer riba dan kamera digital yang disimpan di pejabatnya itu tidak diambil.

“Kesemua pintu pejabat di bangunan ini mempunyai kesan umpil. Namun, hanya barang peribadi seperti wang yang disimpan sahaja hilang. Selain digeledah, penjenayah terbabit turut meninggalkan empat kotak minuman di meja mesyuarat di bilik ini.

“Kami menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan kita masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian yang sebenar dalam kejadian ini. Ini kejadian pertama sejak bertugas sembilan tahun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek dipercayai masuk mengikut laluan rel kereta api di belakang bangunan terbabit sebelum panjat pagar.

Menurutnya, hanya dua pejabat Pilihan Raya Negeri dan LPPKN sahaja mengalami kerugian apabila duit kelab bernilai RM600 dilarikan suspek.

“Forensik berjaya menimbulkan enam cap jari dari kesan pecah pintu depan di semua pejabat yang terlibat dan kita tidak menolak kemungkinan ia dilakukan lebih daripada seorang. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun
Keseksaan,” katanya.

'via Blog this'

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan - Johor - Sinar Harian:
Kemalangan motor
Kemalangan yang berlaku di Jalan Kota Tinggi-Kluang.
KLUANG - Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya cedera parah apabila kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kejadian di kilometer 76, Jalan Kota Tinggi-Kluang, Taman Sri Lambak, malam kelmarin.

Kejadian jam 9.40 malam itu melibatkan motosikal yang ditunggang Noramin Salim, 24, bersama rakannya, Muhammad Amirul Ahmad, 20, dalam perjalanan pulang dari bandar Kluang menuju ke Kota Tinggi sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Mangsa dipercayai tercampak sebelum maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali, yang mengesahkan kejadian berkata, sewaktu kejadian itu, mangsa bersama rakannya menunggang motosikal Yamaha RXZ sedang menuju ke Felda Linggiu, Kota Tinggi, sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

“Akibat rempuhan itu, Noramin maut di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Majid berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menyeru kepada mereka yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil memberikan maklumat dan membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa sudah dituntut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Felda Linggiu, Kota Tinggi.

'via Blog this'

Suami isteri terlibat pecah rumah

Suami isteri terlibat pecah rumah - Johor - Sinar Harian:

Suami isteri pecah rumah
Nor Hashim menunjukkan cara pasangan terbabit membuka mangga pintu pagar.
JOHOR BAHRU, Johor - Sepasang suami isteri berusia 22 dan 26 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam 11 kes pecah rumah di daerah Nusajaya serta Johor Bahru Utara sejak setahun lalu.

Bertindak atas maklumat orang awam, polis menahan pasangan terbabit di sebuah rumah di Taman Skudai Baru, dekat sini, sekitar jam 9.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya merampas barang kes pecah rumah dan peralatan digunakan untuk jenayah berkenaan.

“Sasaran suspek adalah rumah kosong yang ditinggalkan oleh mangsa ketika mangsa keluar bekerja.

“Dengan tertangkapnya pasangan ini, polis percaya dapat menyelesaikan lebih banyak kes pecah rumah di sekitar daerah Nusajaya Seorang daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, semalam.

Nor Hashim berkata, modus operandi digunakan pasangan terbabit adalah memecah masuk rumah dengan cara mengumpil pintu pagar kediaman seterusnya menyelongkar dan membawa keluar barang berharga.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda.

'via Blog this'

Trauma diganggu lelaki misteri

Trauma diganggu lelaki misteri - Melaka & NS - Sinar Harian:

Ganggu
(Dari kanan) Sin Yin, Huey Yee, Hui Koon dan Choy Sin memegang kertas dalam tulisan Cina bermaksud ‘berhenti’ mengganggu mereka selepas membuat laporan polis, semalam.
SEREMBAN – Empat sekawan membuat laporan polis selepas mendakwa tidak tahan diganggu seorang lelaki tidak dikenali yang sering membuat panggilan tidak berjawab (missed calls) dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) lucah sejak tiga bulan lalu.

Lebih membuatkan mereka tertekan apabila lelaki terbabit berani menghantar SMS lucah mempelawa mengadakan hubungan seks.

Seorang mangsa, Dafney Ho Choy Shin, 34, berkata, hidupnya mula tidak tenteram sejak September lalu apabila menerima 20 panggilan hampir setiap hari.

“Peranan saya sebagai Pembantu Khas Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat BN Dun Rahang memerlukan saya menjawab semua panggilan.

“Tapi saya mula mengesyaki sesuatu apabila sering menerima panggilan daripada dua nombor sama hampir setiap hari,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memberanikan diri menghubungi nombor terbabit namun setiap kali dihubungi panggilan tersebut dimatikan.

"12 Disember lalu saya berpeluang bercakap dengan lelaki terbabit dan sempat bertanya kepadanya mengapa sering melakukan panggilan.

“Saya terkejut apabila dia bertanya sama ada saya masih ingat atau tidak kami pernah mengadakan hubungan seks bersama,” katanya.

Turut diganggu panggilan sama Chin Sin Yin, 24, yang mula bimbang keselamatannya yang sering berurusan dengan ramai orang.

“Pada awalnya dia hanya buat panggilan sahaja, tapi pada pertengahan Oktober lalu dia mula hantar SMS yang bukan-bukan.

"Paling saya geram apabila dia bertanya adakah saya pelacur,” katanya.

Bagaimanapun Sin Yin berkata, gangguan tersebut tidak berhenti setakat itu sahaja kerana lelaki itu berterusan membuat panggilan menyebabkannya bertindak menghebahkan nombor itu di laman sosial Facebooknya bertujuan mengingatkan rakan-rakannya supaya berhati-hati.

“Tapi saya terkejut apabila 10 rakan memberitahu mereka turut diganggu nombor sama dan kami nekad membuat  laporan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, di sini, semalam.

Malah menurutnya, dia turut meminta bantuan rakannya memeriksa nombor terbabit dan didapati ia didaftar kan seorang lelaki beralamat di Kuala Klawang, Jelebu.

Sementara itu Lim Hui Koon, 29, berkata, lelaki terbabit akan membuat panggilan setiap setengah jam sehingga ke awal pagi.

Manakala Lee Huey Yee, 22, daripada Kuala Pilah berkata, kejadian diganggu missed calls seumpama itu pertama kali berlaku kepadanya.

“Tapi saya tidak pernah layan dan memberitahu perkara itu kepada keluarga,” katanya.

Huey Yee berkata, dia dan rakannya berharap polis akan mengambil tindakan kerana dikhuatiri lelaki terbabit akan bertindak lebih berani lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisinoner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan selanjutnya.

'via Blog this'

Remaja Orang Asli maut

Remaja Orang Asli maut - Pahang - Sinar Harian:

Orang Asli maut
Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya.
BENUS, Bentong – Seorang remaja Orang Asli maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Bentong-Karak kira-kira jam 4.40 petang kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang maut, Harun Osman, 20, adalah pembonceng motosikal jenis EX5 bersama dengan Raman Merah, 35, dalam perjalanan dari arah Bentong ke Karak.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, mereka dipercayai memotong garisan sebelah kanan dan terus melanggar lori simen tanpa muatan yang sedang membelok ke kanan untuk ke kawasan perindustrian Bentong.

“Akibat kejadian itu, motosikal mereka merempuh lori itu hingga menyebabkan kedua-duanya tercampak.

“Mangsa dan rakannya dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan manakala pemandu lori berusia 28 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di kepala.

'via Blog this'

Nyaris maut kereta terbalik langgar tiang

Nyaris maut kereta terbalik langgar tiang - Kelantan - Sinar Harian:

Kereta terbalik
Keadaan kereta Proton Wira yang terbalik dipercayai terlanggar tiang elektrik, semalam.
KOTA BHARU - Pantang maut sebelum ajal! Walaupun sebuah kereta remuk teruk dipercayai terbabas sebelum terbalik selepas merempuh sebuah tiang elektrik, namun pemandu dan penumpangnya hanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, dalam kejadian di Jalan Salor-Pasir Mas, dekat sini, tengah hari semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu melibatkan, sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipercayai dinaiki empat mangsa terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas.

Menurut salah seorang saksi kejadian, Wan Yusuf Wan Isa, 56, pada mulanya dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat kereta terbabit terbalik berhampiran kedai makan miliknya.

“Saya mendengar mangsa meraung kesakitan dan segera bertindak menghubungi ambulans.

“Saya tidak berani untuk melihat dengan lebih dekat dan terus menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Wan Yusuf berkata, dia turut terdengar mangsa menjerit kesakitan dan turut terdengar tangisan kanak-kanak di dalam kenderaan berkenaan.

“Kemalangan seperti ini bukan kali pertama berlaku di kawasan itu malah beberapa kali kejadian sama berlaku termasuk kemalangan maut.

“Memang sebelum ini sudah beberapa kali kemalangan berlaku di sini hingga kehilangan nyawa,” katanya. Wan Yusuf berkata, bagaimanapun dia amat bersyukur apabila kereta terbabit tidak terus merempuh premis makanannya yang terletak hanya beberapa meter dari tempat kejadian, kerana tersangkut pada wayar elektrik di kawasan itu.

'via Blog this'

Polis tahan empat lelaki warga asing, rampas 2.7kg syabu

Polis tahan empat lelaki warga asing, rampas 2.7kg syabu - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menumpaskan dua kumpulan pengedaran dadah melibatkan empat warga asing serta merampas 2.7 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM282,000 dalam dua serbuan berasingan pada Ahad dan semalam.
   
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Supt Adnan Azizon berkata dalam serbuan pertama, Ahad lepas, polis menahan dua lelaki Pakistan dan merampas 1.7kg dadah jenis syabu bernilai RM170,000 di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah di sini pada kira-kira jam 9 malam.
   
Kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun itu memasuki negara secara pada 2008 dan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai pakaian di sini, katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
   
Adnan berkata dalam serbuan kedua pada jam 6 petang semalam, polis menahan dua pelajar lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun dan merampas syabu seberat satu kilogram bernilai RM112,000 di sebuah hotel bajet di Cheras, di sini.
   
"Kedua-dua suspek merupakan pelajar di sebuah institut bahasa, dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek hanya berdaftar sebagai pelajar bagi melindungi kegiatan mereka atau sebaliknya," katanya.
   
Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada dua kumpulan itu ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
   
Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.  - Bernama
'via Blog this'

Ahli perniagaan didakwa tipu lelaki RM135,000

Ahli perniagaan didakwa tipu lelaki RM135,000 - Semasa - Sinar Harian:
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan hutang berjumlah RM135,000, tujuh bulan lepas.
   
M. Gopinathan, 36, didakwa menipu Iqbal Feiruz Khan Mohamed Rafik dengan memberikan sekeping cek tendang Bank HSBC bernilai RM135,000 untuk melunaskan bayaran hutang kepada mangsa.
   
Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di Royal Selangor Club Bukit Kiara, Jalan Bukit Kiara, di sini, pada pukul 11 pagi, 9 Mei lepas.
   
Gopinathan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
   
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
   
Peguam tertuduh S.S.Devanandan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai lima tanggungan termasuk kedua-dua ibu bapanya.
   
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jan depan untuk pengurusan kes.  - Bernama
'via Blog this'

Warga Myanmar paling ramai jadi pengedar dadah jalanan

Warga Myanmar paling ramai jadi pengedar dadah jalanan - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Warga Myanmar adalah yang paling ramai ditahan berkaitan kes pengedaran dadah melibatkan warga asing di sekitar ibu kota tahun ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Supt Adnan Azizon berkata daripada 393 warga asing yang ditahan bersabit pengedaran dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, 179 adalah rakyat Myanmar.
"Pengedar melibatkan warga Myanmar dikenal pasti menjalankan kegiatan di sekitar kawasan pasar borong dan kebanyakannya mengedar secara kecil-kecilan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Katanya siasatan juga mendapati pengedar warga Myanmar menjual dadah jenis heroin.
Beliau berkata selain warga Myanmar, warga Indonesia serta Iran juga antara yang ramai ditahan iaitu Indonesia (51) dan Iran (35) manakala bakinya melibatkan warga negara lain termasuk Nigeria dan Pakistan.
"Tetapi kalau warga Iran, Nigeria dan Pakistan mereka lebih cenderung dalam pengedaran dadah jenis syabu," katanya.
Semua mereka ditangkap menerusi beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di sebuah tapak semaian di Jalan Hulu Langat, Batu 9, Cheras pada September lepas, yang menyaksikan tiga orang termasuk sepasang suami isteri dan seorang lelaki Bangladesh diberkas dan 9.1 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM300,000 dirampas.- Bernama

'via Blog this'

Kes ragut: Telinga warga emas koyak

Kes ragut: Telinga warga emas koyak - Semasa - Sinar Harian:

Telinga warga emas koyak
Kecederaan yang dialami oleh Saupakiam.
Telinga warga emas koyak
Saupakiam turut mengalami kecederaan di kaki ketika cuba melepaskan diri dari suspek.
IPOH – Bukan hanya dihumban, ditekan kepala, malah kedua-dua cuping telinga seorang wanita warga emas koyak akibat subang yang dipakainya disentap seorang lelaki berusia awal 30-an dalam satu kejadian ragut, di Taman Lim, di sini, kelmarin.

Kejadian pada jam 11 pagi itu berlaku di hadapan rumah mangsa, K Saupakiam, 80, ketika dia sedang mengutip bunga di hadapan rumah untuk melakukan upacara keagamaan.

Menurut Saupakiam, semasa kejadian, lelaki terbabit berpura-pura bertanya mengenai rumah seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Raja' selain bertanya mengenai suaminya yang telah meninggal 15 tahun lalu.

Katanya, mengesyaki sesuatu tidak kena dengan pertanyaan lelaki itu, Saupakiam cuba menjauhkan diri dan secara perlahan-lahan cuba memasuki pagar rumahnya.

"Saya berasa takut apabila lelaki itu bertanya mengenai mendiang suami saya. Saya membuat helah dengan mengatakan suami saya ada dalam rumah. Tetapi dia terus bertanya pelbagai soalan yang tidak masuk akal.

"Mungkin menyedari helahnya tidak mengena, dia terus mengangkat dan menghumban saya ke longkang berhampiran, lalu menekan muka saya serta merentap subang emas yang saya pakai," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Saupakiam berkata, rayuannya kepada lelaki terbabit agar tidak dikasari tidak dihiraukan, malah kepalanya yang cedera terus ditekan ke dalam longkang yang dipenuhi air.

Tambahnya, dia bernasib baik kerana dibantu jiran terdekat sebelum mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Kehilangan subang yang baru dibeli pada Deepavali lalu menyebabkan saya kerugian lebih kurang RM500 dan saya pernah mengalami pengalaman sama (diragut) dua tahun lalu," katanya.

Kejadian berkenaan turut disaksikan jiran mangsa, Roslina Wan Chek, 48, yang ingin keluar rumah pada masa kejadian dan melihat lelaki terbabit mengasari Saupakiam.

"Saya berada lebih kurang 50 meter daripada Saupakiam ketika itu dan terus berlari mendapatkannya serta membantunya keluar daripada longkang. Saya minta bantuan jiran lain untuk hubungi ambulans kerana melihat sarinya dipenuhi darah.

"Banyak kejadian ragut berlaku di kawasan ini. Saya sendiri sentiasa mengambil sikap berhati-hati ketika keluar rumah," katanya.

'via Blog this'

27 termasuk 20 murid mati ditembak di sekolah

27 termasuk 20 murid mati ditembak di sekolah - Global - Sinar Harian:

26 termasuk 20 murid mati ditembak di sekolah
Anggota pasukan keselamatan dan guru membawa keluar murid dari tempat kejadian. - Foto ihsan
26 termasuk 20 murid mati ditembak di sekolah
Lokasi kejadian 26 orang terbunuh di kawasan sekolah di Newtown, Connecticut. - Foto ihsan National Post
[DIKEMAS KINI]NEWTOWN, Connecticut - Seramai 27 orang termasuk 20 kanak-kanak terbunuh dalam kejadian seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah rendah di sini, semalam - insiden paling buruk membabitkan kawasan sekolah dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Suspek, seorang lelaki yang dikenali sebagai Adam Lanza, 20, ditemui mati di kawasan Sandy Hook Elementary School, dipercayai membunuh diri selepas menembak mangsa.
Adam juga dipercayai menembak ibunya sebelum menyasarkan sekolah tersebut.
Dia dilaporkan menembak mangsa menggunakan dua pistol 9mm. Kanak-kanak yang mati berusia antara lima dan 10 tahun.
Laporan CNN menyebut seorang cedera dalam kejadian itu. Antara maut termasuklah pengetua sekolah dan pakar psikologi.
Menurut polis, seorang dewasa turut ditemui mati di sebuah lokasi berbeza di Newtown.
Polis juga berkata, mangsa di lokasi kedua dikenali sebagai Nancy Lanza, ibu kepada suspek yang melepaskan tembakan di kawasan sekolah.
Dia ditemui mati di rumah anak lelakinya. Nancy juga merupakan guru di Sandy Hook.


Jurucakap polis Connecticut, Lt Paul Vance menyifatkan insiden ini sebagai sesuatu yang "tragis, sangat tragis."
"Sukar untuk digambarkan," kata Vance kepada CNN.
Abang suspek, Ryan berkata, Adam mempunyai rekod masalah mental.
Kejadian itu mengejutkan seluruh AS, yang memang tidak asing dengan kejadian-kejadian seperti ini.White House mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung.
Angka korban kali ini adalah yang paling tinggi sejak 32 orang terbunuh di Virginia Tech pada 2007. Kejadian menembak di Columbine High School in Littleton, Colorado meragut 13 nyawa manakala 24 yang lain cedera pada 1999.
Robert Licata berkata, anaknya yang berusia enam tahun berada di bilik darjah ketika suspek muncul lalu melepaskan tembakan ke arah gurunya.
"Ketika itu, anak saya menarik keluar beberapa rakan dan meninggalkan bilik darjah," katanya dipetik AP.
"Dia sangat berani," kata Licata.
Seorang murid perempuan memberitahu NBC bahawa dia berada di gym ketika mendengar tujuh das tembakan.
"Guru di gym meminta kami bersembunyi," katanya.
"Dan, saya terus dengar bunyi tembakan. Kami semua mula menangis," katanya lagi.

'via Blog this'

Lagak bukan main alim

myMetro | Lagak bukan main alim:

INI DIA...mangsa memegang ‘batu petir’ yang dijual suspek.
INI DIA...mangsa memegang ‘batu petir’ yang dijual suspek.
SHAH ALAM: Auta seorang lelaki yang menyamar anak kepada pengamal perubatan Islam terkenal, Datuk Dr Haron Din dan kononnya dia mahir dalam ilmu perubatan Islam terbongkar apabila dia dicekup polis, malam kelmarin.

Lelaki berusia 28 tahun itu yang aktif memperdaya golongan kaya sekitar bandar raya ini dan Klang sejak tahun lalu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

  Foto

SYIRIK...tangkal dan batu yang didakwa berkesan.
Foto

TUMPAS...suspek ditahan polis kelmarin.

Dia ditahan di rumah seorang mangsanya di Seksyen 13, di sini, selepas mangsa terbabit berpakat dengan polis.

Polis menahan lelaki itu berikutan waran tangkap dikeluarkan ke atasnya oleh Mahkamah Majistret Klang kerana gagal hadir perbicaraan bersabit kes penipuan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dianggarkan berjumlah lebih RM300,000.



Sebelum penahanan suspek, mangsa yang mahu dikenali sebagai Tina, 46, menunggu kedatangan lelaki itu yang mahu menjual batu azimat dinamakan ‘batu petir’.

'via Blog this'

Terlalu ghairah mahu jadi pelakon

myMetro | Terlalu ghairah mahu jadi pelakon:

KUALA LUMPUR: “Mana-mana wanita yang ingin hadir ke sesi uji bakat menjadi pelakon, perlu datang bersama teman dan tentukan lokasinya dibuat di pejabat dan bukannya di rumah,” kata pelakon berpengalaman, Sharifah Shahora Syed Akil.
Menurutnya, masalah wanita ditipu sering berlaku apabila maklumat mengenai sesi uji bakat tidak jelas. Malah, sikap bakat baru yang ambil mudah dan terlalu ghairah mahu menjadi pelakon mengundang risiko ditipu.

“Ramai yang teringin menjadi artis, tetapi tidak tahu apa yang harus mereka lakukan sebelum pergi sesi uji bakat. Industri hiburan tempatan menjadi kotor apabila adanya individu yang mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Shahora, 38, berkata, wanita yang ingin hadir sesi uji bakat juga perlu mengenakan pakaian bersesuaian agar tidak mendorong situasi tidak diingini berlaku.

“Jika mahu ditawarkan watak seksi sekalipun, ia bukan terletak pada pakaian ketika hadir sesi uji bakat. Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka perlu pastikan uji bakat yang dijalankan mendapat surat kebenaran pihak berwajib,” katanya.

Shahora mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai seorang gadis berusia 21 tahun dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat di sebuah rumah.
Dalam laporan itu, mangsa tertarik menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat lelaki terbabit dalam laman sosial facebook (fb) untuk mencari pelakon wanita baru memegang watak heroin dalam sebuah filem yang akan diterbitkan.

Sementara itu pelakon popular, Rosyam Nor berkata, apa yang berlaku menunjukkan salah satu cara penipuan mudah menerusi laman sesawang untuk memerangkap orang ramai, khususnya golongan wanita.
“Individu itu boleh merujuk kesahihan produksi terbabit dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas),” katanya.

'via Blog this'

Kondominium stor dadah

myMetro | Kondominium stor dadah:

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor mematahkan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang apabila merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3.2 juta, kelmarin.
Syabu, Ecstacy, Eramin 5 dan ketamin itu dirampas selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an sebelum membawa kastam ke kondominium mewah di Jalan Dutamas Raya, Kuala Lumpur, yang dijadikan stor pembungkusan dadah.

Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Abdul Wahabi Abdullah berkata, hasil risikan, suspek ditahan di persimpangan Jalan Dutamas, Kuala Lumpur sewaktu memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima jam 1.30 tengah hari.
Wahabi berkata, ketika ditahan, pihaknya menemui 500 gram syabu yang dibungkus di dalam beg plastik dan diletakkan di dalam kereta berkenaan dipercayai untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, hasil soal siasat lanjut membawa kastam ke kondominium yang disewa suspek dan menemui syabu seberat 4.5 kilogram, pil Ecstacy (35,000 biji), Ecstacy dalam bentuk serbuk dan pil Eramin 5 (1,700 biji) yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta mengikut harga pasaran semasa. Turut dirampas wang RM11,500 dan 100 keping not 100 matawang Rusia iaitu Ruble.

Katanya, siasatan mendapati dadah itu hanya untuk pasaran tempatan.
“Kami tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dengan sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang sejak sebulan lalu berdasarkan pemantauan dan risikan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Saki baki anggota sindiket juga giat diburu bagi membolehkan kastam melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan,” katanya dalam sidang media di Pejabat KDRM Pelabuhan Utara, di sini, semalam.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Abdul Wahabi berkata, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai pengedaran dadah di kawasan masing-masing agar tindakan lanjut dapat dijalankan dan gejala pengedaran dadah dapat dikekang daripada merebak.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol KDRM di talian 1-800-88-8855 atau Bahagian Pencegahan Selangor di talian 03-317 92321 untuk menyalurkan maklumat.

Kastam memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan ganjaran berbentuk wang diberikan sekiranya maklumat yang diterima membawa kepada penahanan suspek atau merampas barangan yang dilarang.

'via Blog this'

Telinga nenek rabak

myMetro | Telinga nenek rabak: "IPOH: Seorang wanita warga emas hanya mampu meraung kesakitan apabila seorang peragut merentap anting-anting dipakai mangsa hingga putus menyebabkan kedua-dua cuping telinganya terkoyak.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, penjenayah turut mendukung mangsa sebelum menghumbannya ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Taman Lim, di sini.
K Saupakiam, 80, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersendirian di rumahnya selepas dihantar pulang oleh anak perempuannya.

“Ketika itu saya sedang memetik bunga melur di luar pintu pagar rumah sebelum seorang lelaki menunggang motosikal berhenti berhampiran saya.


“Lelaki itu bertanya sama ada saya mengenali individu bernama Raja yang tinggal berhampiran kawasan itu. Saya yang mengesyaki sesuatu tidak baik lalu mengundur perlahan-lahan untuk masuk ke dalam rumah,” katanya."

'via Blog this'

‘Anak awak dah hamil’

myMetro | ‘Anak awak dah hamil’:

MELAKA: Seorang remaja perempuan dipercayai menghilangkan diri apabila masih tidak kembali ke pangkuan keluarganya di Taman Angkasa Nuri di sini, sejak tujuh bulan lalu.
Difahamkan, V Vaenni, 19, tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada sebelah malam di sebuah kilang di Batu Berendam, 5 Mei lalu.

Abang remaja itu, V Shevaneswaran, 21, mendakwa perkara berkenaan disedari apabila anak kedua daripada tiga adik beradik terbabit masih tidak kelihatan selepas tamat waktu bekerja seperti kebiasaannya.
“Dia (Vaenni) baru sebulan bekerja di kilang itu dan biasanya hanya menaiki van yang disediakan untuk pergi serta pulang.

“Namun, pada 5 Mei lalu, dia tidak pulang ke rumah dan ia menyebabkan kami mula berasa bimbang dan hairan mengenainya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, petang kelmarin.

Dakwa beliau, dia ada menerima satu panggilan telefon daripada nombor bimbit adiknya itu, kira-kira jam 8.30 pagi pada hari kejadian.
“Sewaktu panggilan itu dijawab, seorang lelaki memberitahu bahawa dia bersama Vaenni dan akan membawanya lari.

“Kami sekeluarga amat terkejut dengan perkara itu namun sempat dirampas Vaenni yang memberitahu lelaki berkenaan hanya main-main dan dia akan pulang ke rumah selepas bekerja lebih masa,” katanya.
Kata Shevaneswaran, adiknya itu bagaimanapun tidak pulang dan sukar dihubungi hingga menyebabkan mereka mula bimbang.

“Saya kemudian pergi ke tempat kerja dia untuk bertanyakan mengenainya namun diberitahu bahawa adik saya itu hanya mendaftar kad kehadiran namun tidak masuk bekerja.

“Kami sekeluarga sudah puas mencari di merata tempat dan bertanyakan kepada semua rakannya namun jawapan diterima menghampakan,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam berhubung kehilangan itu.

Beliau mendakwa, pada Ogos lalu, lelaki itu menghubungi telefon bimbit bapanya memberitahu sudah mengahwini Vaenni yang kini mengandung selain sudah mendaftarkan perkahwinan mereka.

'via Blog this'

Penarik kereta dibelasah

myMetro | Penarik kereta dibelasah:

PETALING JAYA: Tindakan seorang penarik kereta yang cuba menarik kereta Toyota Camry milik seorang lelaki yang tertunggak bayaran selama enam bulan mengundang padah apabila dia dipukul dan diugut bunuh, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa berusia 24 tahun itu menemui kenderaan itu di sebuah stesen minyak di Kota Damansara, dekat sini, sebelum dia terus memberhentikan keretanya di belakang kenderaan itu.

Menurut sumber, sebaik melihat kelibat pemilik kereta itu yang ingin masuk ke dalam kereta, mangsa terus berjumpa dengannya dan memperkenalkan diri sebagai penarik kereta serta menunjukkan kad dan surat kuasa untuk menahan kereta itu. kerana tidak menjelaskan bayaran selama enam bulan dianggarkan RM9,000.
“Lelaki itu enggan menyerahkan keretanya sebaliknya meminta mangsa pula mengalihkan kereta kerana menghalang kenderaannya.

“Mangsa kemudian cuba berbincang dengan lelaki itu dan meminta dia memberi kerjasama menyebabkan lelaki terbabit tiba-tiba naik angin dan terus memarahi menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian bertindak ganas memukul dan menolak mangsa sehingga terjatuh dan mengugut ingin membunuhnya jika masih ingin menarik keretanya.
“Mangsa sekali lagi cuba berunding untuk menarik kereta itu namun gagal sebaliknya dia turut dituduh cuba menyamun,” katanya.

'via Blog this'