Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Libasan jiran mengamuk

myMetro | Libasan jiran mengamuk: "PENAMPANG: Seorang ibu dan dua anaknya berusia belasan tahun cedera di tangan dan leher akibat terkena libasan pisau jiran mabuk yang mengamuk selepas menceroboh masuk ke rumah mangsa di Kampung Nosoob, di sini.

Sebelum kejadian jam 5 petang, Ahad lalu, Innontin Indod, 49; anaknya, Reffinly dan Ronwill Jamuda, masing-masing berusia 19 dan 14 tahun menonton televisyen di ruang tamu.
Reffinly berkata, tiba-tiba lelaki terbabit yang juga jiran mereka menendang pintu rumah dan meluru masuk sebelum melibas pisau ke arahnya.

“Saya cuba mengelak, namun pisau itu terkena belakang leher dan pada masa sama, ibu yang melihat kejadian itu cuba membantu, namun ditikam di lengan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Dalam keadaan kelam-kabut, Reffinly berkata, ibunya sempat mengarahkan dia dan adiknya melarikan diri dan meminta bantuan penduduk kampung."

'via Blog this'

Panik penjenayah seluk saku seluar

myMetro | Panik penjenayah seluk saku seluar:

JOHOR BAHRU: “Saya panik apabila penjenayah tiba-tiba menyeluk saku seluarnya kerana menyangka dia mahu mengeluarkan pistol sebelum terkejut apabila kedua-dua mereka terus melarikan diri,” kata seorang pemandu teksi dikenali sebagai Woon, 54, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi di rumah keluarganya di Taman Johor Jaya, Woon berkata, dua penjenayah mengumpul jeriji besi pintu untuk menceroboh masuk sebelum dia terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi bising.

“Saya terus keluar dari bilik dan membuka pintu untuk memeriksa bunyi bising sebelum terkejut melihat dua lelaki berusia 30-an sedang mengumpil jeriji besi pintu.
“Kami bertiga melihat antara satu sama lain sebelum seorang daripada lelaki itu tiba-tiba menyeluk saku seluar,” katanya.

Menurutnya, dia ketakutan kerana menyangkakan penjenayah cuba mengeluarkan pistol lalu menjerit meminta bantuan.

Katanya, kedua-dua penjenayah kemudian terus berpusing dan melarikan diri menaiki sebuah kereta diletakkan di depan rumah.
“Kereta dinaiki penjenayah sebuah kereta import, tetapi lupa jenisnya.

“Ketika kejadian, saya berada bersama seorang anak perempuan berusia 19 tahun dan bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa kami,” katanya.
Woon membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya.

Sumber polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

'via Blog this'

‘McGyver’ larikan motor tumpas

myMetro | ‘McGyver’ larikan motor tumpas:

KUALA LUMPUR: Hanya berbekalkan pemutar skru, seorang lelaki berumur 27 tahun mampu memecahkan kekunci motosikal sebelum melarikan motosikal dalam tempoh lima minit.
Bagaimanapun, kelicikannya itu terbongkar semalam selepas lelaki itu berjaya ditahan di Taman Tenaga, Cheras oleh sepasukan anggota dari Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), ketika membuat Ops Samseng Jalan raya di sekitar ibu kota.

Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, sepasukan anggota U3K sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Bandar Tasik Permaisuri sebelum nampak sebuah motosikal Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati motosikal berkenaan menggunakan nombor plat palsu milik Proton Gen 2 dan pasukan berkenaan mengekori motosikal itu hingga ke kawasan Taman Tenaga.

“Kami nampak lelaki berkenaan meletakkan motosikal itu di tempat tersembunyi sebelum turun untuk makan.

“Ketika dia sedang lepak bersama rakannya, kami membuat tangkapan sebelum membawa lelaki itu bersama motosikal ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di tempat letak motosikal di sebuah pasar raya di Taman Connaught pada 15 November lalu.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai menggunakan pemutar skru untuk memecahkan kekunci dan dia masih menggunakan pemutar skru untuk menghidupkan enjin.
Beliau berkata, lelaki berkenaan turut memiliki tiga rekod samun kenderaan sejak tahun 2007.

'via Blog this'

Rasuah: Sarjan polis mengaku tidak bersalah

Rasuah: Sarjan polis mengaku tidak bersalah - Sabah & Sarawak - Sinar Harian:

SANDAKAN - Seorang anggota polis berpangkat sarjan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah, empat tahun lepas.
Sarjan Roas Alaari, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan didakwa meminta rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang pemandu lori yang disyaki membawa barangan tiruan.
Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh meminta suapan wang tunai RM25,000 daripada Naning Abdullah di Simpang Tiga, Batu 32, Check Point, Jalan Sandakan-Kota Kinabalu, pada kira-kira 11 malam, 1 Julai 2008.
Dia juga didakwa menerima wang tunai sejumlah RM13,000 daripada pemandu lori tersebut pada 2 Julai 2008, kira-kira jam 4.45 pagi di tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Roas dituduh bersetuju menerima wang tunai RM2,000 daripada Naning pada kira-kira 5 petang pada hari dan tempat yang sama.
Dia juga dituduh menerima wang tunai RM13,000 pada kira-kira 12 tengah hari pada hari yang sama di kawasan tempat letak kereta, Pejabat Timbangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Hakim Dean Wayne Daly membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jan depan untuk perbicaraan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Michael Jomin.- Bernama

'via Blog this'

Penduduk bimbang diragut

Penduduk bimbang diragut - Kelantan - Sinar Harian:

Penduduk bimbang diragut
Chee Mun menunjukkan kawasan seorang pelajar wanita yang sempat menyelamatkan diri, ketika hampir menjadi mangsa ragut dalam kejadian dua hari lalu di Jalan Sri Cemerlang
KOTA BHARU- Penduduk di Jalan Sri Cemerlang, di sini, khuatir dengan kejadian ragut yang kerap kali berlaku di kawasan terbabit sehingga menimbulkan ketakutan kepada mereka lebih-lebih lagi menjelang waktu tengah malam.
Seorang penyewa rumah di kawasan itu, Chai Chee Mun, 46, berkata, kejadian terbaru berlaku di hadapan matanya dua hari lalu, apabila seorang pelajar di sebuah kolej berdekatan diragut ketika menunggang motosikal kira-kita jam 11 malam.

“Namun tindakan pelajar terbabit yang menerpa masuk ke dalam pagar rumah sewa yang saya duduki bersama rakan-rakan menyelamatkannya dari kejadian itu.
“Kami cuba bertindak mengejar seorang pemuda yang juga menaiki motosikal selepas gagal meragut mangsa, namun lelaki itu berjaya melarikan diri apabila dia memecut laju motosikal yang ditunggangnya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Chee Mun berkata, beliau bimbang dengan keadaan berkenaan memandangkan kawasan susur masuk ke laluan terbabit agak suram dan gelap akibat pencahayaan lampu yang malap.
“Pernah perkara ini diajukan kepada pihak berkenaan namun tiada tindakan diambil dan keadaan jalan yang gelap menjadi sasaran peragut di kawasan ini.
“Apa yang kami harapkan sebagai penduduk di sini supaya pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan berkala bagi menangani situasi ini memandangkan ia sudah melibatkan lebih 10 kes,” katanya.
Menurutnya, pemantauan segera perlu dilakukan bagi menangani situasi itu dari terus berlaku dan melibatkan lebih ramai lagi menjadi mangsa.
Sehubungan itu, Che Mun berharap pihak berkuasa dapat menjalankan tindakan proaktif berhubung masalah itu yang membelenggu penduduk di kawasan terbabit sejak lebih setahun lalu.

'via Blog this'

Kewaja fail saman fitnah

Kewaja fail saman fitnah - Semasa - Sinar Harian:

kewaja
Yahya menunjukkan keratan akhbar yang memfitnah Kewaja, semalam.
kewaja
Kewaja tidak dibenarkan beroperasi setelah diserbu oleh JKM WPKL sejak sebulan lalu.
KUALA LUMPUR - Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Noormah Abd Rauf dan Kerajaan Malaysia berikutan satu kenyataan fitnah melalui akhbar.

Saman fitnah tersebut difailkan melalui Tetuan Raja Riza & Associates berikutan kenyataan pada 12 November 2012 oleh Pengarah tersebut menerusi akhbar The Star bertajuk ‘Welfare Dept :Halfway house did nothing to register it’s shelter’.

Peguam Kewaja, Shahir Ab Razak berkata, tuntutan diambil disebabkan kenyataan tersebut tidak benar setelah mendakwa Kewaja tidak pernah mengambil apa-apa langkah untuk mendaftarkan pusat jagaan dengan pihak berkuasa.
Menurutnya, Kewaja turut difitnah kononnya tidak pernah memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengusahakan pusat jagaan.

“Berikutan itu, melalui tuntutan ini, Kewaja antaranya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan bagi kes ini.

“Pada masa sama, Kewaja juga menuntut pengarah tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan fitnah,” katanya semasa sidang media di pusat Kewaja, semalam.

Hadir sama, pasangan suami isteri yang mengendali Kewaja, Yahya Mohamed Yusof dan Ruzitah Bahrum.

Shahir berkata, Writ dan Penyataan Tuntutan tersebut kini dalam proses penyerahan dan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari 2013.

“Tuntutan memfailkan saman fitnah ini adalah bertujuan untuk membersihkan nama dan reputasi Kewaja serta pengusaha yang mana telah terjejas teruk dengan fitnah tersebut," katanya.

Sementara itu Yahya berkata, Kewaja kini ibarat gantung tidak bertali apabila sehingga sekarang masih belum dapat beroperasi sedangkan pihaknya menerima panggilan setiap hari membabitkan remaja dan wanita bermasalah yang mahu menyertai Kewaja.
“Saya sangat berharap Kewaja dibenarkan beroperasi secepat mungkin kerana bimbang dengan peningkatan pembuangan bayi sekiranya mereka yang memerlukan tidak dibantu,” katanya.

Sebelum ini, Kewaja yang beroperasi hampir 24 tahun diserbu JKM WP apabila didakwa pusat jagaan tersebut sesak dengan jumlah pelatih tidak dibenarkan dan aktiviti menjual bayi.

'via Blog this'

Kes samun dan cedera doktor: 13 individu dicekup

Kes samun dan cedera doktor: 13 individu dicekup - Semasa - Sinar Harian:
SHAH ALAM - Polis memberkas 13 individu termasuk tiga wanita dalam dua serbuan awal hari ini, bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan seorang doktor di Damansara pada 5 Disember lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Rusdi Md Isa berkata, 10 daripada mereka diberkas di sebuah kondominium di Jalan Pahang pada pukul 12.30 tengah malam, manakala tiga dicekup di Batu Caves kira-kira tiga jam kemudian.

Siasatan awal mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah membabitkan samun manakala enam positif dadah jenis ganja, katanya pada sidang media, di sini.

Menurutnya hasil tangkapan itu juga polis menemui semula telefon pintar milik doktor tersebut selain merampas beberapa barangan termasuk pedang samurai, komputer riba dan enam utas jam tangan dipercayai hasil samun.

Polis masih menyiasat kaitan tiga wanita berkenaan dengan kumpulan lelaki terbabit, katanya menambah suspek berusia antara 21 dan 24 tahun.

Dalam kejadian 5 Disember itu, dua lelaki menyamun telefon pintar milik doktor lelaki terbabit ketika meninggalkan sebuah kedai di Jalan PJU 8, Damansara.

Doktor itu kemudian bertindak mengejar suspek namun diserang dengan sebilah parang menyebabkan mangsa cedera di kepala.

Mengulas kes berbeza, Rusdi berkata, polis menahan seorang lelaki berumur 24 tahun di Segamat, Johor semalam berhubung kes bunuh seorang jurutera di Putra Perdana, Sepang pada 9 Disember.

Katanya lelaki itu diberkas susulan penemuan cap jarinya di rumah mangsa.    

Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kesalahan pecah rumah dan merupakan individu yang dikehendaki polis, katanya.

Dalam kejadian itu, Low Min Lee, 36, yang bekerja di sebuah syarikat elektronik di Cyberjaya, ditemui mati dengan kesan hentakan pada kepala oleh abangnya pada 6 petang.

Siasatan turut mendapati barangan berharga milik mangsa termasuk kereta jenis Toyota Vios berwarna perak bernombor pendaftaran BKG 2570, sebuah televisyen LCD, telefon bimbit dan dompet hilang.

Rusdi berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
'via Blog this'

Pemuda maut kena renjatan elektrik ketika cuba curi kabel TNB - Semasa - Sinar Harian

Pemuda maut kena renjatan elektrik ketika cuba curi kabel TNB - Semasa - Sinar Harian:

BESUT - Seorang pemuda berusia 25 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 watt ketika cuba mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawangan Kubang Ikan Besut dekat Kampung Gong Bayor di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa yang percayai penagih dadah dari Kampung Tempinis dekat sini, ditemui mati dengan kedua-dua belah tangannya melecur di kawasan pencawangan oleh penduduk sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata mangsa telah memanjat tiang dan cuba memotong kabel yang diperbuat daripada tembaga di tiang pencawangan di situ apabila terkena renjatan elektrik.
Katanya mangsa datang ke tempat kejadian bersama seorang rakannya.
"Mangsa mungkin terkena renjatan elektrik dari alat transformer di tiang berkenaan menyebabkan mangsa jatuh ke tanah dan meninggal dunia", katanya di sini hari ini.
Selepas melihat kejadian itu, katanya, rakan mangsa melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Kamaruddin berkata polis menemui sebuah alat pemotong wayar dan segulung wayar tembaga di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Pengurus Cawangan TNB Besut, Ahmad Fauzi Othman ketika dihubungi memberitahu pihaknya telah menerima panggilan aduan gangguan bekalan elektrik daripada penduduk Kampung Gong Bayor pada jam 10.30 malam.
Katanya pihakya juga dimaklumkan berlaku satu letupan kecil akibat wayar bumi di pencawangan itu telah dipotong.
"Gangguan bekalan elektrik itu disebabkan kegiatan mencuri kabel tembaga dan kejadian itu merupakan kali tiga pada tahun ini," katanya.- Bernama

'via Blog this'

Doktor rugi RM100,000 akibat disamun

Doktor rugi RM100,000 akibat disamun - Semasa - Sinar Harian:

KUANTAN - Seorang doktor dan isterinya kerugian RM100,000 dalam satu kejadian samun di rumah mereka di Taman Sentosa, dekat Raub, kira-kira jam 4 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata siasatan awal mendapati dua suspek disyaki terlibat dalam kes itu dan mereka dipercayai menggunakan pemutar skru untuk mengumpil pintu belakang sebelum meluru ke bilik tidur mangsa.
Mangsa yang berusia 60 tahun bersama isteri berusia 55 tahun terpaksa akur selepas dua suspek terbabit mengejutkan mereka daripada tidur dan mengacukan pemutar skru serta sabit ke arah mereka sambil mengarahkan supaya diam, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya suspek kemudian mengikat tangan kedua-dua mangsa dengan menggunakan wayar lampu meja.
Setelah berjaya melepaskan diri beberapa jam kemudian, mangsa dan isterinya mendapati suspek melarikan beberapa utas jam tangan, barang kemas, telefon bimbit, beg tangan dan wang tunai dengan anggaran kerugian RM100,000, kata Wan Mohd Samsudin.
"Susulan laporan mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub yang dibantu Unit Anjing Pengesan bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menjejaki penyamun terbabit sehingga tiba di sebuah kawasan pembinaan," katanya.
Katanya polis kemudian terserempak dengan tiga individu lingkungan 20-an dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri tetapi mereka berjaya diberkas dan kini direman di Lokap Balai Polis Raub selama seminggu bagi membantu siasatan.- Bernama

'via Blog this'

Kanak-kanak enam tahun maut akibat denggi

Kanak-kanak enam tahun maut akibat denggi - Semasa - Sinar Harian:
PUTRAJAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia akibat demam denggi minggu lepas, menjadikan angka kematian akibat jangkitan itu 34 orang setakat 8 Dis lalu.
     
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata angka itu menyamai statistik tahun lepas bagi tempoh sama.
   
"Mangsa yang tidak sedar diri kerana mengalami demam kuat, muntah, cirit-birit, pendarahan pada hidung serta mulut telah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia setelah dua hari dirawat di ICU dengan sebab
kematian 'Dengue Shock Syndrome'," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
   
Menurutnya secara keseluruhan, kes demam denggi sepanjang tahun ini setakat 8 Dis lepas mencatatkan peningkatan 10 peratus kepada 20,387 kes berbanding 18,583 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
   
Bagi tempoh minggu lepas, sejumlah 467 kes dilaporkan berbanding 476 pada minggu sebelumnya, namun tujuh negeri mencatat peningkatan dengan Selangor merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 39 kes daripada 168 kepada 207 kes.
 
Turut mencatat peningkatan ialah Perak yang meningkat sembilan kes, Pulau Pinang (4 kes), Terengganu dan Kedah (masing-masing meningkat 3 kes) serta Negeri Sembilan dan Melaka yang meningkat satu kes masing-masing.
   
"Selangor merupakan negeri yang menunjukkan peningkatan kes sejak empat minggu kebelakangan ini. Selain itu, Selangor juga telah melaporkan Kadar Pembiakan Aedes (AI) yang tinggi iaitu 2.9 peratus, melebihi nilai sensitif satu peratus," katanya.
   
Dr Lokman berkata sejumlah 21 daerah berwabak dilaporkan minggu lepas berbanding 18 daerah pada minggu sebelumnya dengan 65 lokaliti wabak dilaporkan di sembilan negeri iaitu Selangor (32), Kuala Lumpur (11), Johor (8), Sarawak (5), Sabah (3), Perak dan Kedah (2) serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kelantan.
   
"Terdapat satu lokaliti wabak tidak terkawal dilaporkan iaitu di Jalan 8/1-15, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor yang mengalami wabak selama 23 hari dan telah melaporkan lima kes," katanya - Bernama
'via Blog this'

Polis tahan lima lelaki curi kabel Telekom

Polis tahan lima lelaki curi kabel Telekom - Semasa - Sinar Harian:
SERDANG - Akibat leka melerai kabel telekomunikasi bernilai RM70,000 tiga lelaki tidak menyedari kehadiran polis yang kemudian memberkas mereka di Taman Muhibah di sini, awal pagi semalam.
   
Susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi lelaki di kawasan tersebut, yang dipercayai turut terlibat mencuri kabel berkenaan.
   
Ketua Polis Serdang ACP Abd Razak Elias berkata dalam kejadian pada kira-kira 3.45 pagi itu, polis menahan semua suspek yang berumur antara 24 dan 44 tahun, termasuk seorang bekas pekerja kontraktor pemasangan kabel.
   
Beliau berkata suspek berusia 37 tahun itu dipercayai menggunakan kepakarannya untuk mencuri kabel selain menyamar sebagai pekerja kontraktor pemasangan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan.
   
"Kecurian kabel itu menjejaskan 1,500 pengguna telefon di sekitar kawasan kejadian. Kos membaik pulih pula dianggarkan RM 100,000," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Serdang.

Abd Razak berkata polis turut merampas sebuah lori tiga tan, dua kereta, dua gulung tali menarik kabel, satu pemotong kabel serta peralatan mencuri kabel.
   
"Polis turut merampas tiga kad pengenalan milik individu lain dan sedang mengesan individu berkenaan serta kaitan dengan suspek," katanya.     Beliau berkata siasatan mendapati seorang suspek yang berumur 31 tahun dikehendaki mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana memukul manakala dua lagi positif dadah jenis methapetamine dan ganja.
   
Katanya, semua suspek ditahan reman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri - Bernama
'via Blog this'

Guna surat Jawi tipu derma

Guna surat Jawi tipu derma - Semasa - Sinar Harian:

Guna surat Jawi tipu derma
Ahmad Husaini (kiri) menunjukkan tabung dan surat kebenaran yang digunakan ketika meminta sedekah.
SEREMBAN – Dengan bermodalkan sekeping salinan surat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), satu sindiket mengutip derma bergerak aktif sehingga mampu memperoleh pendapatan mencecah RM54,000 sebulan.
Itu yang dilakukan sindiket yang didalangi seorang lelaki bergelar ustaz dari Thailand yang menjadikan aktiviti meminta sedekah, kononnya untuk madrasah tahfiz anak-anak yatim, sebagai sumber pendapatan mereka.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu terbongkar, semalam apabila seorang lelaki warga Thailand ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika meminta sedekah di Pasar Tani Ampangan, di sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, dalam operasi kira-kira 10.30 pagi itu, pihaknya menahan lelaki tersebut yang dilihat sedang merayau-rayau meminta wang daripada orang ramai.

Menurutnya, lelaki memakai baju Melayu dan bersongkok, bercakap dalam bahasa Melayu berloghat Kelantan, berlagak seperti peminta sedekah itu kelihatan berlegar-legar sekitar pasar tani berkenaan untuk mengutip dana, kononnya untuk membina madrasah di negara mereka.

"Dia berlegar-legar sambil membawa surat kebenaran Jawi, tabung derma dan beberapa dokumen dipercayai palsu di kawasan tumpuan ramai.

“Hasil soal siasat, lelaki berkenaan mengaku disuruh melakukan kegiatan itu oleh seorang lelaki bergelar ustaz dari Thailand untuk mengutip derma, bukan saja di negeri ini, malah Kedah, Johor dan Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, walaupun lelaki itu mempunyai surat kebenaran dikeluarkan Jawi, namun setelah disiasat, surat berkenaan sebenarnya surat kebenaran meminta derma oleh seorang wanita dikenali Ustazah Tasneem Omar selaku Pengerusi Yayasan Tarbiah Anak-anak Yatim di Narathiwat, Thailand.

“Bagaimanapun, surat itu disalahgunakan sindiket berkenaan apabila mereka membuat salinan dan mengagihkan kepada beberapa individu lain untuk mengutip derma di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ahmad Husaini berkata, lelaki berusia 20-an itu turut mengakui dihantar seseorang dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bersama lima yang lain dan mereka mampu meraih keuntungan sehingga mencecah RM54,000 sebulan hasil kutipan daripada aktiviti tersebut.

"Dalam beberapa jam sahaja, lelaki ini sebenarnya mampu mengumpul wang sehingga RM500 sehari, mengikut keadaan tempat yang disinggah," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian ditahan untuk membolehkan JHEAINS menyoal siasat dan mengambil tindakan undang-undang, termasuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

'via Blog this'

10 pendatang warga China ditahan di lombong bijih besin

10 pendatang warga China ditahan di lombong bijih besi - Semasa - Sinar Harian:
KOTA BAHARU - Jabatan Imigresen Kelantan menahan 10 warganegara China yang bekerja tanpa dokumen sah di sebuah lombong bijih besi di Sungai Aring, Aring 5, Gua Musang, hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Norehan Harun berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 3 pagi itu, dipercayai pekerja mahir yang dibawa masuk ke sini untuk bekerja dalam sektor perlombongan.

Beliau berkata, dalam kalangan mereka ada yang menyalahgunakan pas lawatan sosial, tinggal melebihi masa yang ditetapkan dan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

"Ini kali pertama kami menahan pendatang warganegara China yang bekerja dalam sektor perlombongan tanpa dokumen sah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Norehan berkata, kesemua pendatang asing itu akan didakwa di bawah Akta Imigresen kerana masuk ke negara ini tanpa permit sah dan tinggal melebihi masa.

Banyak majikan gagal mendaftarkan pekerja mereka dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menggunakan pas lawatan sosial untuk membawa masuk pekerja dari luar negara untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor perindustrian di negeri ini, katanya.

Seramai 1,010 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kelantan dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang dijalankan bermula April hingga November lepas. - Bernama
'via Blog this'

Polis berkas tiga anggota kumpulan pecah rumah

Polis berkas tiga anggota kumpulan pecah rumah - Sabah & Sarawak - Sinar Harian:
KOTA KINABALU - Polis Sabah memberkas tiga anggota kumpulan pecah rumah, termasuk sepasang kekasih, yang aktif di sekitar bandar raya ini dalam satu serbuan di Taman Maya, Tanjung Aru di sini pada 5 Dis lepas.
   
Suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 32 tahun itu turut dipercayai menjadi buruan polis di Tawau, Johor dan Kuala Lumpur kerana kegiatan sama.
   
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu mula aktif sejak 23 Nov lepas, yang membabitkan jumlah kerugian RM180,000.
   
"Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah, termasuk rantai dan cincin emas, alat muzik, pelbagai jenis jam tangan, pelbagai barangan elektrik dan kereta pacuan empat roda yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan aktiviti mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini.
   
Beliau percaya modus operandi kumpulan itu ialah mengumpil pintu rumah sasaran sebelum melarikan barangan berharga dari kediaman terbabit menggunakan pacuan empat roda yang disewa.

Sementara itu, Jauteh berkata pihaknya kini mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Kota Kinabalu.
   
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
   
Dalam kes berasingan, Dikun berkata polis menahan lima lelaki termasuk penjaga premis judi siber berusia antara 18 hingga 35 tahun, dan merampas 67 set komputer serta 11 mesin slot selain wang tunai RM1,700 dalam operasi khas 'Ops Dadu' di sekitar bandar raya ini baru-baru ini.
   
Dikun berkata operasi yang bermula pada 4 Nov dan berakhir semalam itu membabitkan empat premis judi siber haram di sekitar Telipok, Kepayan, Tanjung Aru dan Jalan Gaya berdasarkan aduan serta maklumat orang awam.
   
"Polis memandang serius kegiatan judi siber ini, dan usaha berterusan kini dijalankan untuk membanteras kegiatan yang boleh meruntuhkan akhlak itu," katanya yang meminta kerjasama orang ramai bagi membantu menyalurkan maklumat berhubung kegiatan itu. - Bernama
'via Blog this'

Akibat percaya broker

Akibat percaya broker - Perak - Sinar Harian:
KAMUNTING – Gara-gara terlalu percaya dengan broker, seorang pemilik sebuah kereta terpakai di Jalan Taiping, di sini kerugian hampir RM15,000 akibat membeli kereta curi.

Teh Peng Soo, 52, berkata, pada 18 Jun lalu, dia didatangi seorang broker yang mahu menjual sebuah kereta Produa Viva.

Menurutnya, lelaki berkenaan memberikan semua dokumen lengkap yang diperlukan dalam proses jual beli kereta menyebabkan pihaknya yakin untuk membeli.

“Berikutan percaya dengan lelaki tersebut saya bersetuju membeli kereta berkenaan pada harga RM15,000.

"Bagaimanapun setelah ada yang berminat dengan kenderaan itu, pada 1 September lalu saya ke balai polis berhampiran untuk menyemak sama ada kereta tersebut bebas dari senarai hitam atau tidak, namun tanpa diduga kenderaan tersebut dikatakan kereta curi,” katanya.

Lebih memeranjatkan, pemilik sebenar kenderaan itu juga pernah membuat laporan sama bahawa ditipu seorang broker kereta.

Sementara itu, Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan seorang peguam bagi mewakili Peng Soo untuk menuntut semula haknya mengikut undang-undang.

“Malah kita juga akan memastikan adakah individu yang menyerahkan kereta tersebut kepada broker juga harus bertanggungjawab atau boleh terlepas,” katanya.
'via Blog this'

Pusat urus mayat terbakar

Pusat urus mayat terbakar - Johor - Sinar Harian:

Pusat urus mayat terbakar
Api sedang marak membakar pusat pengurusan mayat di Jalan Fatimah, semalam.
BATU PAHAT – Sebuah pusat pengurusan mayat di Jalan Fatimah, di sini terbakar, semalam, bagaimanapun dua mayat yang disimpan di pusat berkenaan berjaya dibawa keluar oleh ahli keluarga masing-masing.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua keluarga serta rakan si mati terbabit sedang berada di pusat berkenaan sebelum api tiba-tiba marak.

Seorang saksi kejadian, Chua Kuek Heng, 50 an berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah bilik tidur yang dihuni kakitangan pusat pengurusan mayat itu.

“Kebakaran berlaku dengan pantas dan ia mengakibatkan hampir keseluruhan premis ini terbakar, yang terselamat hanya bahagian depan premis.

“Mujur dua mayat itu tidak terbakar dan tiada kejadian buruk berlaku akibat kebakaran,” katanya di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengerusi pusat penyimpanan mayat terbabit, Ng Gok Choon berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak premis tersebut beroperasi pada 1952.

“Kami juga sudah melakukan pengubahsuaian membabitkan kos RM200,000 pada 2009.

"Ketika kejadian, saya tiada di lokasi dan bergegas datang ke sini sejurus dimaklumkan.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menentukan punca kejadian," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khaled, Saif Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang.

“Kami menghantar 10 anggota serta pegawai dan dua jentera untuk mengawal kebakaran sebelum api berjaya dipadamkan dalam tempoh 10 minit.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kedua-dua mayat yang diselamatkan orang awam daripada terbakar berada dalam keadaan baik.

“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan pihak kami, ” katanya

'via Blog this'

Bapa rayu anak pulang

Bapa rayu anak pulang - Pahang - Sinar Harian:

Bapa rayu anak pulang
Syed Abdul Rahim menunjukkan gambar anak sulungnya dan merayu supaya pulang ke pangkuan keluarga.
TEMERLOH- Seorang bapa merayu anak gadisnya segera pulang ke pangkuan keluarga kerana begitu sedih dan bimbang keselamatannya selepas keluar rumah hampir seminggu.
Syed Abdul Rahim Syed Mahmud, 41, berkata, anak gadisnya itu, Sharifah Nurul Fitriah, 16, dikatakan mahu menghabiskan cuti persekolahan ini di rumah bapa saudaranya di Rawang.
Menurutnya, pada 5 Disember lalu dia membenarkan Sharifah Nurul Fitriah untuk pergi ke Rawang danbertemu dengan sepupunya di sana.

“Selepas dua hari dia di Rawang, dia minta untuk keluar rumah dengan alasan mahu bertemu dengan abang angkatnya di Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan saya dia baru sahaja mengenali abang angkatnya itu dalam masa sebulan dalam laman sosial Facebook.

“Saya tahu dia berkenalan abang angkatnya itu melalui kawan-kawannya kerana dia ada berkongsi kisahnya itu dalam Facebook mengatakan dia baru sebulan mengenali seorang lelaki yang digelar abang angkat,” katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di rumahnya di Taman Lanchang Indah, dekat sini.
Syed Abdul Rahim berkata, justeru itu keluarga abangnya di Rawang segera membuat laporan polis di sana.

Menurutnya, isterinya yang baru sahaja melahirkan anak dalam keadaan sedih kerana terlalu bimbangkan keselamatan anak sulung mereka itu.
“Saya di sini tidak berhenti melakukan solat Hajat dan menghubungi nombor telefonnya. Sebelum ini dia berjanji akan pulang tetapi sampai sekarang tiada khabar berita.

“Saya merayu kepada orang ramai yang ternampak atau melihat anak sulung saya ini di mana-mana segera menghubungi saya menerusi talian 012-9649067 atau bapa saudaranya 017- 6200217,” katanya.

'via Blog this'

Doktor disamun warga asing

Doktor disamun warga asing - Pahang - Sinar Harian:

RAUB – Seorang doktor dan isterinya menjadi mangsa samun dua warga asing dalam kejadian di rumahnya dekat Taman Sentosa kira-kira jam 4 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, suspek menggunakan pemutar skru panjang dan sabit kecil untuk membolehkan mereka memecah masuk ke rumah mangsa.
Menurutnya, mangsa berusia 60-an bersama isteri telah diikat dua suspek dengan menggunakan wayar lampu meja.
“Suspek melarikan beberapa utas jam tangan berjenama, barang kemas, telefon pelbagai jenama, beg tangan dan wang tunai membawa kepada kerugian lebih kurang RM100,000.
“Unit K9 yang turut sama mengambil bahagian dalam siasatan menjumpai seutas jam tangan milik mangsa yang tercicir berdekatan rumahnya,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, Unit K9 juga berjaya menjejaki suspek hingga ke tapak pembinaan dan menangkap tiga lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara, denda serta sebatan.
“Siasatan Unit Forensik menemui kesan cap jari berkemungkinan suspek hanya mahu melakukan pecah rumah.
“Memandangkan kegiatan mereka disedari mangsa, suspek bertindak menakutkan mangsa dengan menggunakan pemutar skru panjang dan sabit,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa tidak mendapat sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Beliau berharap agar orang ramai lebih peka terhadap keselamatan rumah dan harta benda masing-masing.

'via Blog this'

Polis tahan 26 kaki judi, rampas 21 set komputer di Lipis

Polis tahan 26 kaki judi, rampas 21 set komputer di Lipis - Pahang - Sinar Harian: "KUANTAN - Polis menahan 26 lelaki yang sedang  asyik bermain judi jenis 'Roulette' dan 'Susun Buah' dalam serbuan di sebuah premis dekat bangunan Majlis Daerah Lipis, di sini, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan oleh pasukan Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu, polis merampas 21 set komputer bernilai RM21,000, dua unit modem dan wang tunai RM1,037.

Pegawai Turus D7, ASP Sampornak Ismail berkata serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai premis itu yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sejak beberapa bulan lalu dan sering dikunjungi kaki judi terutama pada hujung minggu.

Polis akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bekalan Air (JBA) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya ketika disoal siasat, kaki judi berkenaan yang berusia antara 30 hingga 50 tahun memberi alasan jemu duduk di rumah dan bosan menghadap muka isteri selain mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup.- Bernama"

'via Blog this'

Tiga sahabat dihukum dua tahun penjara

Tiga sahabat dihukum dua tahun penjara - Kelantan - Sinar Harian:

Tiga sahabat dihukum dua tahun penjara
Kesemua tertuduh keluar dari mahkamah untuk dibawa ke penjara bagi menjalani hukuman
KOTA BHARU – Padah memiliki barangan curi, LCD dan kamera, tiga sahabat menerima padah apabila dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Mohd Ghazaly selepas ketiga-tiganya mengaku bersalah.
Mereka mengaku memiliki barangan curi bernilai RM2,000 milik Alwi Abdullah, 40, di sebuah rumah di alamat Jalan Yaacobiah, Kampung Cherang di sini, pada jam 9 pagi, 25 November lalu.
Mereka ialah Hafizul Firdaus Amran, 22, Mohd Asrul Azwan Razmi, 25, adan Mohd Faizal Mohd Zain, 21, semuanya berasal dari Kota Bharu.
Pada prosiding semalam, mereka sebelum itu nafi melakukan pecah rumah di sebuah vila di Kampung Pulau Kapas, Jalan Guchil Bayam di sini, bagaimanapun, mengaku menyimpan barang yang dilaporkan dicuri.
Susulan pengakuan itu, mereka dihadapkan ke mahkamah dan didakwa di bawah kendalian Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Kes diputuskan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

Pemimpin Pas cedera ditikam

Pemimpin Pas cedera ditikam - Kelantan - Sinar Harian:

Pemimpin Pas cedera ditikam
Ismail menunjukkan laporan polis berhubung kejadian beliau ditikam di hadapan kedai roti canai di Kampung Talak
TUMPAT – Ketua Pas Cawangan Lubuk Durian, Ismail Muhammad, 45, menerima tiga jahitan di punggung, selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki di hadapan sebuah kedai roti canai di Kampung Talak Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam, sementara menunggu pesanan roti canai, beliau membantu mengunting nombor bertuah untuk penyokong Harimau Malaya yang datang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama
Piala AFF Suzuki 2012 bertemu dengan Thailand.

Bagaimanapun, beliau dikejutkan dengan bunyi skrin besar yang dipasang Pemuda Pas Dun Wakaf Bharu untuk siaran langsung perlawanan bola tersebut tumbang.
Ismail berkata, terkejut dengan bunyi kuat itu, beliau segera keluar dari kedai untuk ke lokasi kejadian dan ternampak seorang lelaki sedang memotong tali ikatan skrin.
“Dalam masa sama saya lihat lelaki berkenaan memijak skrin tersebut.
“Saya menegur perbuatannya tetapi dia terus melibas pisau ke arah saya dan terkena dibahu, menyebabkan saya mengalami luka kecil,” katanya.
Menurutnya, bimbang dirinya diapa-apakan lelaki itu, beliau cuba melarikan diri tetapi dengan tiba-tiba lelaki tersebut menikamnya dari belakang dan terkena di punggung.
“Akibat kejadian itu saya di bawa ke Unit Kecemasan Hospital Tumpat dan menerima tiga jahitan, seterusnya membuat laporan polis di Balai polis Chabang Empat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintandan Sharipudin  Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

'via Blog this'

Dua lelaki terselamat, treler balak terbakar

Dua lelaki terselamat, treler balak terbakar - Kelantan - Sinar Harian:

Dua lelaki terselamat, treler balak terbakar
Sebuah treler sarat muatan balak terbakar.
GUA MUSANG - Dua lelaki termasuk pemandu dan kelindan berusia lingkungan 30-an nyaris maut, apabila treler sarat muatan balak yang dinaiki terbakar di Kilometer 57 Jalan Gua Musang- Lojing, malam kelmarin.
Mereka sempat terjun dari kenderaan sebaik menyedari asap tebal keluar dari bonet depan ketika kenderaan terbabit terbabas, sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam.
Kayu balak pelbagai jenis yang dipercayai berharga lebih RM100,000 turut hangus dalam kejadian itu.
Treler berkenaan dalam perjalanan dari Pos Brooke menghala ke bandar Gua Musang.

'via Blog this'

Dua lelaki terselamat, treler balak terbakar

Dua lelaki terselamat, treler balak terbakar - Kelantan - Sinar Harian:

Dua lelaki terselamat, treler balak terbakar
Sebuah treler sarat muatan balak terbakar.
GUA MUSANG - Dua lelaki termasuk pemandu dan kelindan berusia lingkungan 30-an nyaris maut, apabila treler sarat muatan balak yang dinaiki terbakar di Kilometer 57 Jalan Gua Musang- Lojing, malam kelmarin.
Mereka sempat terjun dari kenderaan sebaik menyedari asap tebal keluar dari bonet depan ketika kenderaan terbabit terbabas, sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam.
Kayu balak pelbagai jenis yang dipercayai berharga lebih RM100,000 turut hangus dalam kejadian itu.
Treler berkenaan dalam perjalanan dari Pos Brooke menghala ke bandar Gua Musang.

'via Blog this'

Maut rai hari lahir rakan

Maut rai hari lahir rakan - Terengganu - Sinar Harian:

Maut rai hari lahir rakan
Suasana pilu di lokasi kejadian apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak melihat keadaan kemalangan
SETIU - Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja, dekat Kampung Beting Lintang, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu menyebabkan pemandu kereta, Tuan Amir Hamzah Tuan Marzuki, 19, dari Jalan Teluk Ketapang, Kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu mati di tempat kejadian, manakala pemandu Toyota Hilux, Md Sharif Abdul Manaf, 40, dari Taman Semarak Jaya, Pasir Putih, Kelantan, mati dalam perjalanan ke Hospital Besut.

Difahamkan, Tuan Amir Hamzah yang bekerja di Labuan, Sabah, sedang bercuti sebulan dan dalam perjalanan meraikan sambutan hari lahir rakannya, manakala Md Sharif pula bakal menimang cahaya mata kedua pada Januari tahun depan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Md Shariff yang menghala dari arah Kuala Terengganu ke Besut hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain.
“Pada masa itu, kereta jenis Proton Iswara dipandu Tuan Amir tiba di lokasi menyebabkan berlaku pertembungan antara dua kenderaan terbabit.
“Ketika kejadian, tiada penumpang lain di dalam kedua-dua kenderaan berkenaan. Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan mengenai kemalangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (a) Akta
Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya, semalam.
Menurutnya, Tuan Amir Hamzah yang bekerja sebagai kru kapal dagang maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala, sementara Md Sharif yang bekerja sebagai peniaga, patah leher dan mengalami kecederaan dalaman yang teruk.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat daerah Besut, Pegawai Bomba Kanan Hasmadi Jusoh berkata, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dengan menggunakan pemotong hidraulik dan kapak.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan dinaiki mangsa remuk dengan keempat-empat tayar terbalik ke atas.

'via Blog this'

Tentera Syria guna peluru berpandu Scud

Tentera Syria guna peluru berpandu Scud - Global - Sinar Harian: "DAMSYIK - Pasukan tentera kerajaan Syria didakwa menggunakan peluru berpandu Scud dalam menghadapi kumpulan yang menentang kepimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata, penggunaan peluru berpandu Scud adalah petanda krisis 22 bulan ini menjadi semakin serius.

"Peluru berpandu Scud mula menghujani bandar Syria,” kata pegawai kepada pemberita.

Dipercayai, peluru berpandu itu mengandungi bahan mudah terbakar dan digugurkan di kawasan penempatan penduduk.

Jurucakap White House, Jay Carney mengesahkan perkara itu dan mendakwa ia merupakan tindakan terdesak rejim terhadap rakyat negara mereka sendiri.

Jurucakap AS, Victoria Nuland turut mengakui kehadiran peluru berpandu itu tetapi tidak dapat memastikan jenis peluru berpandu yang rejim itu gunakan."

'via Blog this'

Bekas PM Thai didakwa bunuh pemandu teksi - Global - Sinar Harian

Bekas PM Thai didakwa bunuh pemandu teksi - Global - Sinar Harian:

Abhisit Vejjajiva
Abhisit Vejjajiva
BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva didakwa atas kes pembunuhan pemandu teksi yang mati ditembak askarnya semasa keganasan politik dua tahun lalu.

Abhisit menjadi perdana menteri semasa beribu-ribu penunjuk perasaan membuat demonstrasi jalanan pada tahun 2010 menuntut beliau supaya meletak jawatan.

Beliau dikatakan memberi perintah dengan membenarkan tentera menggunakan peluru hidup ke atas penunjuk perasaan.

Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa dakwaan ke atasnya hanya bermotifkan politik.

Lebih 90 orang awam dan tentera terbunuh dalam bantahan yang berlangsung selama dua bulan itu.

Abhisit dan timbalannya pada masa itu, Suthep Thaugsuban merupakan bekas pemimpin kanan negara yang menghadapi tuduhan berkaitan dengan pembunuhan.

Bekas pemimpin negara itu bagaimanapun mempertahankan tindakan yang diambilnya satu ketika dulu dan mendakwa beliau tiada pilihan lain untuk meredakan penunjuk perasaan.

Beliau juga bertekad untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Seramai 24 orang pemimpin juga didakwa berhubung kejadian itu.

'via Blog this'

Bomoh tipu mangsa RM12.4 juta

Bomoh tipu mangsa RM12.4 juta:

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Walaupun negara semakin maju dan teknologi berkembang pesat, namun ramai rakyat Malaysia termasuk artis dan orang kenamaan (VIP) masih terlalu mempercayai bomoh sehingga mengalami kerugian wang ringgit dan menjadi mangsa jenayah.
Lebih membimbangkan, statistik terbaharu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kerugian yang dialami mangsa penipuan bomoh antara Januari hingga Oktober lalu di seluruh negara, meningkat 63.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lalu, sebanyak RM7,647,678.07 kerugian akibat penipuan bomoh dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada RM12,494,665.27 iaitu pertambahan RM4,846,987.20 atau 63.4 peratus pada tahun ini.
Seramai 234 orang dilaporkan menjadi mangsa penipuan bomoh dalam tempoh tersebut iaitu peningkatan 9.5 peratus berbanding 222 orang sebelum itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizanberkata, punca utama mendorong rakyat negara ini mempercayai bomoh ialah faktor budaya masyarakat tempatan yang masih menebal dengan kepercayaan tahyul, apatah lagi jika bomoh memperdayakan mereka dengan mendakwa perubatan diamalkan mempunyai kaitan dengan elemen agama.
Beliau berkata, sifat masyarakat yang mudah percaya dan ingin mencuba semua kaedah dengan harapan penyakit yang dideritai dapat diubati atau perkara dihajati mampu dicapai jika berjumpa bomoh menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai bomoh untuk memperdayakan orang ramai.
"Atas sebab itu, definisi bomoh berbeza dengan pawang, dukun dan tabib kerana bomoh dikategorikan sebagai orang yang mencari pesakit dan menawarkan penyakit tanpa diminta (menipu).
"Dukun pula didefinisikan sebagai orang yang mempunyai kebolehan yang istimewa untuk melakukan sesuatu (kuasa ghaib dan pandai mengubat orang dengan jampi dan mentera), manakala tabib yang diiktiraf seperti di negara China adalah orang yang mahir dan ahli dalam hal kaedah-kaedah mengubat penyakit serta berpengetahuan dalam ubat-ubatan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.
Menurut Syed Ismail, modus operandi bomoh sama ada bergerak secara berkumpulan atau bersendirian ialah menampilkan diri sebagai pakar dalam hal-hal seperti membuang sial atau mengubah nasib malang, mengubat penyakit, menawarkan nombor ramalan tepat dan pelaris untuk memajukan perniagaan atau kerjaya.
Selain itu katanya, ada bomoh mendakwa mereka berupaya membantu pelanggan meringankan beban hutang, memulihkan hubungan suami isteri, menggandakan wang dan menilik nasib.
"Disebabkan yakin dengan kehebatan bomoh, ada orang sanggup membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan nombor ekor atau mengubati penyakit menggunakan kaedah jampi serapah atau pembedahan batin yang belum pasti berkesan menyembuhkan pesakit.
"Akibat jampi serapah bomoh juga ada keluarga boleh berpecah-belah sebagai contoh bomoh mendakwa individu yang datang berubat dengannya telah dianiaya oleh ahli keluarga sendiri," jelasnya.
Beliau berkata, paling tragis, ada bomoh mengambil kesempatan merogol pesakit kononnya mahu membuang sial dan bomoh tergamak membunuh pelanggan seperti yang menimpa beberapa ahli politik suatu ketika dahulu.
Syed Ismail berkata, antara yang dikenal pasti menjalankan kegiatan penipuan bomoh di negara ini ialah rakyat tempatan berketurunan Melayu, Cina, Siam dan India, manakala warga asing pula terdiri daripada warga China dan Indonesia.
Katanya, paling ramai dilaporkan menjadi mangsa bomoh sejak Januari hingga Oktober lalu ialah masyarakat Cina iaitu 93 orang, diikuti Melayu (83), India (46), lain-lain bangsa (19) dan warga asing (tiga).
"Mangsa paling mudah tertipu pula ialah golongan berusia 51 tahun ke atas iaitu 124 kes, diikuti 31 hingga 51 tahun (85 kes) dan 15 hingga 30 tahun (34 kes).
"Mereka dikenal pasti menjadi mangsa penipuan pula ialah individu menghadapi masalah kewangan, keluarga bermasalah (hubungan suami isteri), bersikap tamak, kepercayaan kepada kaedah perubatan tradisional dan mudah terpedaya seperti golongan warga tua, ajakan rakan dan taksub," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121212/je_01/Bomoh-tipu-mangsa-RM124-juta#ixzz2Ew4n5vi7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'