Search This Blog

Wednesday, December 12, 2012

Lelaki pecah masuk kedai ditahan

Lelaki pecah masuk kedai ditahan - Perak - Sinar Harian:


Lelaki pecah masuk kedai ditahan
Chang Keong (kanan) menunjukkan dua buah kamera yang dicuri suspek dalam kejadian pecah masuk kedai dua hari lalu


IPOH – Seorang lelaki diberkas ketika cuba melarikan diri selepas terkejut bunyi loceng kecemasan ketika memecah masuk sebuah premis menjual barangan pencetakan di Taman Ipoh Timur dua hari lalu.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan anggota yang kebetulan meronda di kawasan tersebut selepas satu pergelutan kecil dalam cubaan lelaki terbabit meloloskan diri.


“Suspek berjaya ditangkap dan kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang media di Ibu


Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, semalam.


Beliau berkata, hasil tangkapan tersebut, polis menemui beberapa buah kamera yang diambil dari kedai berkenaan dan juga pemutar skru yang digunakan sebagai alat untuk memecah masuk kedai.


Katanya, nilai barangan yang dicuri dianggarkan RM800 dan hasil siasatan awal mendapati suspek pernah terlibat dalam beberapa kes pecah masuk rumah dan kedai di sekitar Ipoh.


“Daripada perbandingan cap jari, terdapat persamaan dengan satu kes di Ipoh. Suspek turut mengaku melakukan lapan kes pecah masuk sebelum ini.


“Suspek juga pernah terlibat dengan tiga kes dadah dan difahamkan pernah dituduh di mahkamah tetapi tidak hadir,” katanya.

Chang Keong berkata, suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama empat hari bermula kelmarin hingga 13 Disember 2012.

Dalam perkembangan lain, tiga anggota yang berjaya menangkap suspek telah diberikan surat penghargaan kerana bertindak cekap dan pantas dalam usaha memerangi penjenayah.


'via Blog this'

Panik lihat api dari siling

Panik lihat api dari siling - Pahang - Sinar Harian:


Panik lihat api dari siling
Semua barang berharga milik Raja Esah hangus.


JENGKA 2 - Seorang penerokawati, Raja Esah Raja Baharuddin, 55, tidak sempat menyelamatkan barangan berharga berikutan panik apabila melihat api dari siling rumahnya dalam satu kejadian kebakaran sekitar jam 2.30 petang kelmarin.


Api berpunca dari siling itu menyebabkan dia sekeluarga kehilangan tempat tinggal yang hangus dalam kejadian tersebut.


Menceritakan detik cemas berdepan tragedi itu, Raja Esah berkata, dia baru sahaja selesai menunaikan solat zohor sebelum terdengar letupan kecil.


"Pada asalnya saya ingat ada orang bakar sampah, tetapi bunyi letupan itu semakin kuat. Kemudian barulah saya perasan ada api di siling bilik belakang rumah saya.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan termasuklah wang berjumlah RM2,000 dan barang kemas. Hanya motosikal dan kereta sempat diselamatkan,” katanya.

Raja Esah ketika itu dikatakan tinggal bersendirian, manakala suaminya, Mat Naian Disa, 66, berada di Bentong dan dua lagi anaknya pergi bekerja.

Api cepat marak

Jirannya, Abdullah Kori Manaf, 27, berkata, ketika kejadian, dia berada di belakang rumahnya namun mendapati api marak datang dari kediaman Raja Esah.

“Kemudian kelihatan dia berlari keluar dari rumah sambil meminta tolong. Dia juga meminta saya membantunya memadamkan api menggunakan air paip.

“Namun api terlalu marak. Kami tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menghubungi bomba dan cuba menyelamatkan apa sahaja boleh dicapai ketika itu,” katanya.


Bergegas pulang


Mat Naian pula berkata, dia menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumahnya terbakar, lalu bergegas pulang ke rumah.


“Pada asalnya saya bercadang untuk ke rumah anak di Kuala Lumpur, namun saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut dan terus pulang ke rumah.


“Sebaik tiba, saya dapati rumah kami sudah hangus. Namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat,” katanya.


Mat Naian berkata, dia juga menganggarkan mengalami kerugian sekitar RM150,000.

Hampir 95 peratus musnah

Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba Bandar Jengka, Zainal Azmi Janinu berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu pada jam 2.45 petang.


“Sebanyak dua jentera dan tujuh anggota dari Balai Bomba Bandar Jengka serta sebuah jentera dan empat anggota dari Balai Bomba Maran dikerahkan untuk mengawal kebakaran.


“Ketika tiba, api memusnahkan hampir 95 peratus bahagian rumah mangsa. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.


'via Blog this'

Bapa curi tong gas untuk rawat anak

Bapa curi tong gas untuk rawat anak - Pahang - Sinar Harian:


KUANTAN- Seorang pembantu kedai makan yang didakwa atas tuduhan mencuri empat tong gas milik sebuah warung memberitahu mahkamah dia terpaksa berbuat demikian kerana terdesak  akibat masalah kewangan.


Dalam rayuannya, tertuduh, Khairul Anuar Jaafar, 39, dari Kampung Peramu, Tanjung Lumpur di sini berkata, dia amat tertekan kerana memerlukan wang untuk kos rawatan  anaknya yang sedang sakit selain perlu melunaskan ansuran kereta yang tertunggak.

Dia yang mengaku atas tuduhan itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan kesalahan dilakukan itu adalah kali pertama dan tidak pernah memiliki rekod jenayah lampau sebelum ini.


Mengambil kira faktor pengakuan dan rayuan tertuduh itu, Majistret Nurunaim Abdullah memerintahkan lelaki terbabit menjelaskan denda RM1,800 atau dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 1.45 hingga jam 2 pagi, 7 Disember lalu.

Pengadu dalam kes itu menyedari kehilangan empat tong gas dan 10 peti air minuman tin dianggarkan bernilai RM500 diletakkan di bahagian belakang kedai , lesap disyaki dicuri.

Berdasarkan maklumat daripada seorang jiran, pengadu diberitahu ternampak kelibat tertuduh memunggah barang tersebut menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva.

Berdasarkan maklumat tersebut, pengadu membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan tertuduh ketika berada dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Lumpur.

Hasil soal siasat, tertuduh mengaku berbuat demikian, manakala dua tong gas dilaporkan hilang turut  ditemui dan dirampas.

Susulan tangkapan itu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


'via Blog this'

Harimau baham 11 lembu

Harimau baham 11 lembu - Terengganu - Sinar Harian:


Harimau baham 11 lembu
Kesan gigitan pada bangkai ternakan milik Abdullah


MARANG – Penduduk terutama penternak bimbang dengan keselamatan mereka apabila lapan lembu mati manakala tiga lagi gagal dikesan dipercayai dibaham harimau di Kampung Jambu Bongkok sejak November sehingga semalam.

Seorang penternak, Abdullah Mamat, 61, berkata, kemunculan harimau mula dikesan pada 15 November lalu setelah dia menemui bangkai tujuh lembu di kandang lembu miliknya di Jalan Felcra Bukit Kancil di kampung berkenaan.


“Saya sangka lembu mati angkara khianat tetapi selepas disiasat, saya lihat ada kesan gigitan di leher dan kesan calar pada bahagian badan bangkai lembu terbabit," katanya, semalam.

Rugi RM10,000

Abdullah berkata, , tiga lembunya yang lain masih hilang hingga kini dan tidak mustahil lembu itu juga menjadi mangsa harimau.


Menurutnya, berkemungkinan juga tiga bangkai lembu itu diheret ke dalam kawasan hutan berhampiran.

Selain kesan gigitan dan calar pada bangkai ternakannya, Abdullah juga mendakwa turut mengesan tapak kaki harimau yang jelas kelihatan di kawasan sekitar tempat kejadian.


“Kejadian mula berlaku pada 15 November lalu dan saya kerugian kira-kira RM10,000 apabila harimau mula mengganas dengan membaham tujuh lembu termasuk anak lembu daripada 60 ekor yang ditempatkan di dua kandang.


“Bagi mengelak lembu terus dibaham harimau, saya dan rakan membina pagar baru termasuk membuat laporan polis agar pihak berkenaan bertindak segera,” katanya.


Kandang roboh

Bagaimanapun, belum pun selesai pembinaan pagar baru, harimau terbabit membaham pula seekor anak lembu dan mencederakan seekor lembu dewasa milik seorang lagi penternak, Nik Mohamad Arif Nik Mohamad dalam
kejadian terbaru, Sabtu lalu.


Nik Mohamad berkata, kejadian itu hanya disedari apabila dia sampai di kawasan ternakan itu sekitar jam 8 pagi dan mendapati pagar kadang ternakannya roboh serta hanya terdapat dua lembu sahaja dalam kadang berkenaan.

“Seekor sudah mati dengan kesan gigitan di leher manakala seekor lagi cedera di kaki," katanya.

Menurutnya, lembu yang cedera itu bagaimanapun dapat dijual dengan harga murah iaitu RM700 berbanding harga pasaran melebihi RM1,000 bagi seekor lembu dewasa.

Katanya, sehingga kini, tiada maklumat ada penduduk cedera atau pernah bertembung dengan harimau yang dikatakan berjumlah lebih daripada seekor.

Bina perangkap

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian dan menggesa pihak berkenaan mengambil langkah segera membendung serangan haiwan liar itu.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga telah menghantar anggotanya bagi menjejak haiwan terbabit termasuk membina perangkap dalam kawasan hutan berhampiran kawasan ternakan lembu berkenaan.


'via Blog this'

Dua kanak-kanak nyaris rentung

Dua kanak-kanak nyaris rentung - Pahang - Sinar Harian:


Dua kanak-kanak nyaris rentung
Rahila


KUANTAN -”Saya sangkakan dua anak saudara saya berada dalam bilik yang terbakar itu, puas saya jerit nama mereka dan terfikir untuk merempuh masuk bilik itu menyelamatkan mereka,” kata Rahila Ahmad, 41, mangsa kebakaran yang berlaku di Indera Mahkota 2 di sini.


Namun, kanak-kanak tersebut, Nur Alia Asyran, 9 tidak berada di dalam bilik tersebut, tetapi ke ruang bawah rumah bermain komputer riba.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam lapan 8 semalam menyebabkan tiga buah bilik di bahagian rumah tersebut musnah dijilat api.


Rahila berkata, ketika kejadian dia sedang berbaring di bilik sebelah dan terhidu bau asap.


“Sejurus saya terhidu bau asap, saya bergegas ke bilik tidur anak saudara saya, namun alangkah terkejutnya apabila melihat api marak dengan asap yang berkepul-kepul.


“Dalam keadaan itu, saya tidak dapat melihat dengan jelas, apa yang terfikir adalah dua  anak saudara yang disangkakan sedang tidur di situ.


“Dalam keadaan panik saya menjerit minta tolong dan mujur ada jiran datang membantu,” katanya.


Selain itu, Nur Alia berkata, dia sememangnya tidur di bilik itu, namun tergerak hati untuk bangun dan bermain komputer riba di ruang tamu.


“Selalunya saya bermain dalam bilik itu, tetapi semalam saya tergerak hati untuk turun ke bawah,” kata anak sulung pasangan Wan Azlina Suziana Wan Ahmad, 34 dan Asyran Ahmad, 35.


Ketika kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan terkejut apabila dimaklumkan rumah mereka terbakar.


“Sebelum kami berdua pergi kerja, saya sudah memastikan keadaan rumah dalam keadaan baik. Musim cuti sekolah ini tiga orang anak saya tinggalkan di rumah sementara yang bongsu berumur enam bulan, dihantar ke rumah pengasuh.


“Saya tidak risau keselamatan anak kerana kakak ipar (Rahila) berada di rumah bersama dua orang anak saudara yang datang bercuti ke rumah kami.


“Sejurus selepas dimaklumkan rumah kami terbakar, saya hanya mampu berdoa agar ahli keluarga selamat dan tidak cedera,” katanya.


Walaupun keadaan rumah bahagian atas milik pasangan ini rosak teruk, mereka masih bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku.


Bomba datang kira-kira lima minit selepas menerima laporan.


Bagaimanapun,hasil pertolongan jiran kebakaran api berjaya dipadamkan sebelum usaha memadam diteruskan anggota bomba.


'via Blog this'

Padah raba punggung pelajar

Padah raba punggung pelajar - Terengganu - Sinar Harian:


Padah raba punggung pelajar
Mohd Khairul mengaku meraba punggung seorang pelajar tingkatan lima di Mahkamah Majistret, semalam.


KUALA TERENGGANU - Padah memegang punggung seorang pelajar tingkatan lima, seorang penganggur berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan kerana mencabul.


Tertuduh, Mohd Khairul Mat Amin, 28, dari Kampung Bukit Depu, Jalan Pasir Panjang, di sini, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


Mohd Khairul mengaku menyentuh punggung mangsa berusia 17 tahun menggunakan tangan dengan niat mencabul kehormatan dirinya di lorong gelap di Jalan Pejabat Tanah, di sini, kira-kira jam 8.15 malam pada 30 Ogos lalu.


Bagaimanapun, Majistret Noradila Ab Latif menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum dan membenarkan Mohd Khairul diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Mohd Khairul tidak diwakili peguam.


Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian mangsa bersama kakak angkatnya dalam perjalanan ke kelas tambahan di Losong, Chabang Tiga, di sini, dengan menaiki motosikal sebelum diekori Mohd Khairul.


Ketika tiba di satu lorong gelap, Mohd Khairul yang menaiki motosikal menghimpit mangsa dan cuba memegang buah dada kakak angkat mangsa tetapi tidak berjaya.


Namun, Mohd Khairul sekali lagi menghimpit motosikal dinaiki mangsa dan meraba punggung mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga.


'via Blog this'

Libas parang elak ditahan

Libas parang elak ditahan - Kelantan - Sinar Harian:


Libas parang elak ditahan
Ketua JSJ, Asisten Superintenden Ganti Jimi (kanan) menunjukkan parang dan beberapa Mykad dan lesen memandu yang dirampas daripada suspek.


PASIR PUTEH - Seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat beberapa kes ragut melibaskan parang bagi mengelak ditangkap polis dalam kejadian di bandar ini jam 1 petang kelmarin.


Dia bagaimanapun berjaya ditangkap empat anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh yang mengekori suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 bersama seorang rakan.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal berkata, anggota polis menghampiri suspek yang memberhentikan motosikal di satu lorong berhampiran Jalan Nara.


“Anggota polis mengejar suspek yang cuba melarikan diri sambil melibas-libaskan parang sebelum berjaya menangkapnya.


“Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang sememangnya dikehendaki polis memiliki beberapa Mykad, lesen memandu dan kad-kad lain yang dipercayai milik mangsa yang diragut.


“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati ia positif dadah jenis Methamphetamine dan kita percaya dapat selesaikan beberapa kes ragut sejak tiga minggu lalu di daerah ini dengan penahanan lelaki yang beralamat di Kampung Gong Chokoh ini,” katanya.


Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua lelaki itu merancang untuk melakukan jenayah sebelum ditahan kerana mereka membawa senjata berbahaya bersama.


Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 6 Kanun Keseksaan.


Mohd Kamal berkata, rakan suspek yang berjaya melarikan diri sudah dikenal pasti dan polis percaya dapat menangkapnya dalam masa terdekat.


“Polis bertindak hasil maklumat daripada orang ramai dan berharap masyarakat terus membantu polis mencegah jenayah di daerah ini,” katanya.


'via Blog this'

Guru 'dirompak' melalui telefon

Guru 'dirompak' melalui telefon - Melaka & NS - Sinar Harian:


Ita Rahmat
Ita Rahmat


ALOR GAJAH - Pelik, tetapi benar.

Hanya dengan satu panggilan telefon tanpa terputus talian selama lebih empat jam, wang tunai berjumlah RM16,457 milik seorang guru wanita lesap sekelip mata.

Semuanya gara-gara terpedaya dengan helah tiga lelaki mendakwa mereka kakitangan Pos Malaysia, pegawai polis dari Bukit Aman dan pegawai Bank Negara, Menceritakan detik hitam itu, mangsa dikenali sebagai Ita Rahmat (bukan nama sebenar), 36, berkata, kejadian
bermula jam 11.15 pagi kelmarin apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengatakan dirinya dari Pos Malaysia.

“Dia beritahu saya ada surat dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tetapi surat itu sudah dihantar semula ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Dia beri saya satu nombor siri dan mengatakan akan sambungkan talian saya kepada pihak polis,” kata Ita sambil memberitahu dia
menerima panggilan seterusnya setengah jam kemudian selepas sambungan terputus.

Menurutnya, panggilan yang diterima pada jam 11.45 pagi itu datang daripada seorang lelaki yang kemudiannya meminta dia menyebut nombor siri tersebut.

“Selepas menyatakan nombor siri itu, saya terkejut apabila dia memberitahu saya perlu ke mahkamah berhubung satu kes tangkapan seorang lelaki tidak dikenali. Tambahnya, sebanyak RM80,000 telah dikeluarkan atas nama saya di bawah sebuah bank tempatan, tetapi saya beritahu dia saya tidak ada buka akaun di bank tersebut,” katanya.

Panik akaun bank akan dibekukan Bagaimanapun, Ita berkata, pegawai polis itu memberitahu dia perlu 'memindahkan' semua wang yang dia ada di bank kepada akaun bukan miliknya kerana akaun di atas namanya akan dibekukan.

Ita yang mula panik mendengar perkhabaran tersebut, kemudian disambungkan kepada seorang lelaki lain pula yang mendakwa dirinya Pegawai Kewangan Bank Negara.

“Pegawai kewangan itu menyuruh saya mengisytiharkan akaun dan jumlah simpanan yang ada. Selepas itu, saya diarahkan agar tidak mematikan talian telefon dan diminta ke sebuah bank di Masjid Tanah dengan memindahkan sebanyak RM9,057 ke dalam satu akaun lain yang diberi,” katanya.

Menurut Ita, selesai urusan di bank, lelaki itu mintanya ke Pejabat Pos pula dan mengarahkan dia mengeluarkan sejumlah RM7,500 simpanan lain dan meminta ia dimasukkan ke dalam satu lagi akaun.

“Bagaimanapun hanya RM5,000 dapat dimasukkan ke dalam akaun tersebut yang didaftarkan atas penama lain.

Baki RM2,500 kemudian saya diminta masukkan ke dalam akaun lain lagi. Tetapi disebabkan masalah teknikal, hanya RM2,400 dapat dimasukkan,” kata Ita yang telah memindahkan sejumlah RM16,457 ke dalam tiga akaun berbeza.

Talian tidak dimatikan lebih empat jam Ita berkata, ketika kesemua transaksi itu dilakukan, talian telefon langsung tidak dimatikan.

“Saya berhubung dengan mereka tanpa memutuskan talian sejak jam 11.45 pagi sehinggalah transaksi terakhir kira-kira jam 4 petang.

“Selepas memasukkan kesemua duit, saya terpaksa menunggu selama tiga jam sebelum lelaki berkenaan memaklumkan pihak Bukit Aman akan menghubungi saya,” katanya.

Ita yang berasa tidak sedap hati dengan apa yang berlaku kemudian bertindak menghubungi talian Bukit Aman sebelum panggilannya disambut seorang wanita memaklumkan bahawa dia telah ditipu dan diminta supaya berhati-hati.

“Saya beritahu masalah saya kepada wanita berkenaan namun wanita itu meminta saya berwaspada memandangkan banyak kes penipuan melalui talian,” katanya yang terus membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, kelmarin.

Ita yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah Cawangan Jenayah Komersil mendakwa sangat terkilan dengan apa yang berlaku dan ia menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan melalui talian telefon,” katanya.


'via Blog this'

Skandal seks: Speaker Singapura letak jawatan

Skandal seks: Speaker Singapura letak jawatan - Global - Sinar Harian: "SINGAPURA- Speaker Parlimen Singapura hari ini mengumumkan peletakan jawatan selepas mengaku mempunyai skandal seks yang kini hangat diperkatakan di negara pulau itu, yang jarang berdepan dengan kontroversi sedemikian melibatkan ahli politik.

Menurut media, Michael Palmer, 44, yang telah berkahwin dan mengangkat sumpah sebagai Speaker Oktober tahun lalu, turut melepaskan keahlian Parti Tindakan Rakyat dan sebagai Ahli Parlimen ekoran pendedahan dia ada hubungan dengan wanita lain.

Ini merupakan satu lagi skandal peringkat tertinggi selepas ketua polis narkotik Singapura  yang pernah menjalin hubungan kontraktor.

Satu lagi penjawat awam kanan dijangka akan dibicarakan pada Januari depan atas tuduhan yang sama."

'via Blog this'

Strauss-Kahn capai persetujuan tamatkan kes serangan seksual -

Strauss-Kahn capai persetujuan tamatkan kes serangan seksual - Global - Sinar Harian:

Dominique Strauss-Kahn - Nafissatou Diallo
Diallo (kiri) dab Strauss


NEW YORK - Bekas ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn bersetuju membuat penyelesaian kewangan dengan seorang pekerja hotel New York yang mendakwa beliau melakukan serangan seksual ke atasnya.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Bronx, New York, Hakim Mahkamah Agung Douglas McKeon berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan menamatkan kes tersebut tetapi butiran penyelesaian di antara Strauss-Kahn dan Nafissatou Diallo, 33, pendatang dari Guinea dirahsiakan.

Strauss-Kahn, 63, berkata, perjanjian pertemuan itu dipersetujui selepas beliau menerima writ saman fitnah sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) daripada pihak pendakwa.

Sementara itu, peguam Diallo berkata, anak guamnya merupakan seorang wanita berani yang tidak pernah hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan negara ini.

Ketika kejadian, Diallo mendakwa, bekas calon Presiden Perancis itu, muncul dalam keadaan bogel dibilik mandi hotel tempat dia bekerja ketika beliau sedang membersihkan bilik itu dan memaksanya melakukan seks oral. - AFP'via Blog this'

Guru Perancis digantung tugas gara-gara esei

Guru Perancis digantung tugas gara-gara esei - Global - Sinar Harian: "BORDEAUX - Seorang guru di Perancis digantung tugas selepas meminta pelajarnya berusia antara 13 dan 14 tahun menulis esei dengan membayangkan diri mereka membunuh diri.

Pegawai pendidikan berkata, guru Sekolah Menengah Montmoreau-Saint-Cybard, Charente, barat Perancis itu bakal berhadapan tindakan tatatertib selepas siasatan penuh dilakukan.

“Ramai ibu bapa mengecam pihak sekolah terhadap tindakan guru berkenaan dan meminta beliau menerima hukuman setimpal,” katanya.

Akhbar tempatan La Charente Gratis melaporkan, guru terbabit meminta pelajarnya membayangkan diri mereka remaja berusia 18 tahun yang nekad mengambil keputusan membunuh diri.

“Selain menulis esei, guru itu juga meminta pelajarnya melukiskan diri mereka ketika dalam keadaan menggantung diri,” menurut laporan itu. - AFP"

'via Blog this'

Peniaga rentung van terbabas

Berita Harian | Peniaga rentung van terbabas:

Jasin: Seorang peniaga buah rentung apabila van dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Ghaffar, Sungai Rambai di sini, awal pagi semalam.

Kamal Abd Kadir, 43, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Muhibbah, Merlimau selepas berniaga di Klebang apabila kemalangan berlaku, kira-kira jam 3.45 pagi.
Siasatan awal mendapati Nissan Vanette yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sejurus memasuki kawasan selekoh di lokasi kejadian, sebelum terbabas.

Kaki tersepit

Mangsa dikatakan cuba untuk keluar dari kenderaannya selepas itu, namun gagal akibat kedua-dua belah kakinya tersepit. Pada masa sama, van itu juga mula terbakar.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran yang sempat mendengar jeritan mangsa, namun tidak sempat menyelamatkannya.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang tiba tidak lama selepas itu menemui mayat rentung mangsa di dalam van berkenaan.
Mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Sementara itu, adik mangsa, Kasturi Abd Kadir, 35, berkata, dia dimaklumkan mengenai kegagalan abangnya itu pulang ke rumah oleh kakak iparnya, Norlida Husin, 40-an.

'via Blog this'

Pemandu teksi cedera ditikam

Berita Harian | Pemandu teksi cedera ditikam:

Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi cedera di perut selepas ditikam oleh seorang pekerja premis yang dipercayai menjalankan aktiviti judi internet, di Jalan Riong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, menyaksikan pelanggan sebuah restoran berdekatan bertempiaran lari selepas pemandu teksi dan pekerja premis itu bertelingkah di situ.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas pemandu teksi terbabit gagal membayar hutangnya di kedai terbabit sebanyak RM3,000.

Seorang saksi yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia dan seorang lagi rakannya sedang menjamu selera sebelum dikejutkan dengan pergaduhan itu.
Katanya, dua hingga tiga orang lelaki dipercayai pekerja premis judi terbabit memukul pemandu teksi berusia 30-an itu.

“Pemandu teksi itu pada mulanya seperti beralah dan meminta untuk berbincang sebelum dia mengambil pisau pemotong daging yang berada di restoran itu dan melibasnya ke arah lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, seorang daripada pekerja itu terus mengejarnya selain turut menikam pemandu teksi terbabit menggunakan pisau,” katanya ketika ditemui selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah, ketika ditemui mengesahkan kejadian dan motif kejadian masih dalam siasatan.

'via Blog this'

Peniaga bunuh ibu, bapa ke tali gantung

Berita Harian | Peniaga bunuh ibu, bapa ke tali gantung:

Sandakan: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang ahli perniagaan selepas didapati bersalah membunuh ibu bapanya tahun lalu.

Hakim Supang Lian menjatuhkan hukuman itu terhadap Yew Wui Lam, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pihak pendakwaan yang menampilkan 12 saksi berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

Yew dituduh membunuh ibunya, Chu Shuk Fon @ Chu Ching Mui, 62, dan bapanya, Hiew Hiap Foh, 71, antara jam 10 malam hingga 10.55 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Beatrice Estate, Batu 1 1/2 di sini, 12 September 2011.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membunuh ibu bapanya dan mencederakan kakaknya, Yew Pui Lin, 37, selepas permintaannya untuk menjual rumah bagi menyelesaikan hutang pelanggan dan ceti haram akibat masalah perniagaan di Johor, tidak dipenuhi.

Ini kerana, rumah terbabit sudah diberikan kepada seorang daripada ahli keluarganya.

Tikam guna pisau
Tertuduh bertindak menikam ibu bapanya dengan pisau dan mencederakan kakaknya sebelum lari ke bandar untuk membunuh diri dengan terjun bangunan, tetapi berjaya dihalang seorang pengawal keselamatan.

Tertuduh juga menceritakan masalah serta perbuatannya itu kepada pengawal keselamatan terbabit yang kemudian memberitahu polis sebelum tertuduh ditangkap.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian bapa mangsa disebabkan tikaman di bahagian dada yang mendatangkan kecederaan pada paru-paru, salur darah dan jantung, manakala ibunya cedera di paru-paru akibat tikaman di dada.

'via Blog this'

| Gading gajah RM60j dirampas

Berita Harian | Gading gajah RM60j dirampas:


Azis (empat dari kanan) bersama sebahagian gading gajah yang dirampas di Pelabuhan Utara, kelmarin. - Foto Roslin Mat TahirAzis (empat dari kanan) bersama sebahagian gading gajah yang dirampas di Pelabuhan Utara, kelmarin. - Foto Roslin Mat Tahir

Kastam tahan dua kontena isytihar bawa bongkah kayu

Pelabuhan Klang: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup 1,500 gading gajah seberat 24,000 kilogram yang dianggarkan bernilai RM60 juta selepas merampas dua kontena di sini, kelmarin. 


Pengarah KDRM negeri, Datuk Azis Yaacub, berkata rampasan kontena yang tiba dari Pelabuhan Lome, Togo di Afrika, itu yang terbesar pernah dilakukan Unit Pemantauan Kontena Bahagian Penguatkuasaan di Pelabuhan Utara. 




Ia diisytihar sebagai dagangan bongkah kayu. Selepas diperiksa, kami menemui gading gajah di ruang khas kontena bongkah kayu itu," Azis Yaacub, Pengarah KDRM negeri


Dihantar ke China

“Kontena itu dipercayai akan dihantar ke China. Sebelum itu, ia diisytihar sebagai dagangan bongkah kayu. Selepas diperiksa, kami menemui gading gajah di ruang khas kontena bongkah kayu itu pada jam 10 malam semalam (kelmarin).

“Sebelum berlabuh di Pelabuhan Klang, kontena berkenaan berlepas ke Pelabuhan Algeciras menggunakan kapal Marivia.

“Di pelabuhan Sepanyol itu, kedua-dua kontena berkenaan dipindahkan sekali lagi ke kapal CMA CGM Titus dan belayar ke sini,” katanya di Wisma Kastam Pelabuhan Utara, dekat sini, semalam. 
Azis berkata, anggaran nilai keseluruhan gading gajah yang cuba diseludup itu RM60 juta berasaskan perkiraan nilai semasa pasaran iaitu RM2,500 bagi setiap kilogram.

Siasat syarikat tempatan

Katanya, gading gajah adalah barangan disenaraikan mengikut larangan Lampiran 1, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Yang Terancam (CITES) yang melarang sebarang dagangan komersial.

Beliau berkata, pihak KDRM sedang menyiasat sebuah syarikat tempatan yang dinamakan untuk menguruskan kontena itu kerana membuat perisytiharan atau ikrar tidak benar ke atas dagangan.

“Kami juga masih memburu individu terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967. Individu atau syarikat terbabit dengan penyeludupan dagangan ini boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Azis berkata, gading gajah berkenaan disyaki cuba diseludup untuk dijadikan barangan hiasan.
'via Blog this'

Dua terkena tembakan ketika membeli-belah di LA

Berita Harian | Dua terkena tembakan ketika membeli-belah di LA:

IMEJ pegun daripada video menunjukkan kenderaan  anggota penyelamat berkumpul di luar kawasan kejadian di Portland, Oregon. - Foto AFP
IMEJ pegun daripada video menunjukkan kenderaan anggota penyelamat berkumpul di luar kawasan kejadian di Portland, Oregon. - Foto AFP
LOS ANGELES: Dua orang terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pusat membeli-belah di barat Oregon, Amerika Syarikat, lapor media tempatan.

Sekurang-kurangnya seorang pengunjung ditembak di Clackamas, selatan Portland, oleh seorang lelaki yang membawa senapang semi-automatik berhampiran pusat membeli-belah Macy, menurut akhbar The Oregonian hari ini.

Menurut wartawan sukan akhbar itu, John Canzano, sebanyak 60 tembakan kedengaran ketika dia sedang membeli-belah di situ. Sementara itu, TV Live memaparkan visual beberapa kenderaan kecemasan berkawal di lokasi kejadian.

"Kejadian tembakan berlaku di Clackamas Town Center. Pasukan polis sedang mengawal di tempat kejadian. Jika anda tidak perlu berada di pusat membeli-belah berkenaan, sila jauhkan diri," demikian tweet Jabatan Polis Portland menerusi Twitter jabatan itu. - AFP

'via Blog this'

KDN rampas majalah buka dada








ANGGOTA penguat kuasa KDN memeriksa majalah yang memaparkan gambar wanita dalam keadaan mengghairahkan di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur semalam.






KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Unit Penguat Kuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran semalam bertindak menyerbu sembilan buah kedai buku dan merampas kira-kira 300 naskhah majalah berunsur lucah dalam operasi yang dijalankan sekitar Lembah Klang.


Operasi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Harris Fadzillah Abdul Ghani itu dilakukan di pusat beli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya dan Plaza Sungei Wang di sini.


Antara judul majalah yang dirampas ialah Hooters, FHM, Maxim, Tattoos, GQ dan Shape. Bagaimanapun, majalah Vanity Fair edisi Disember 2012 yang menyiarkan empat keping gambar model Kate Moss tidak memakai coli tidak terdapat di kedai-kedai buku berkenaan.


Turut dirampas ialah majalah High Times dan Weed World yang mengajar cara menggunakan dadah dan menanam pokok ganja.


Menurut Harris Fadzillah, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan majalah yang dijual secara terbuka di premis berkenaan diimport dari negara luar seperti China dan United Kingdom.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2EnDSeQHE 
Hakcipta terpelihara 


Minyak pelincir tiruan dibongkar

Kosmo! Online - Negara:













MOHD. YUSOFF menunjukkan minyak pelincir tiruan yang dibotolkan dengan jenama terkenal selepas serbuan di sebuah stor di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam malam kelmarin.





SHAH ALAM – Sebuah syarikat pengeluar minyak pelincir dipercayai mampu mengaut keuntungan besar dengan hanya menjual minyak pelincir motosikal tiruan menggunakan jenama terkenal di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu.


Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awam, taktik licik itu terbongkar malam kelmarin selepas sepasukan pegawai dan anggota daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor menyerbu sebuah stor di Kampung Bukit Lanchong di sini.


Stor yang disewa pengusaha syarikat terbabit dijadikan tempat simpanan dan operasi pemindahan minyak pelincir motosikal tiruan ke dalam botol minyak jenama terkenal seperti Shell, Yamaha, Honda, Castrol dan Motul sebelum dijual pada harga pasaran.


Penolong Pegawai Perihal Dagangan PPDNKK negeri, Mohd. Faruk Abdul Wahab berkata, dalam operasi selama 12 jam bermula pukul 5.30 petang, pihaknya merampas 3,120 botol dan 10,000 liter minyak tiruan bernilai lebih RM100,000.


Menurutnya, lima lelaki berumur 30-an terdiri daripada tiga warga Myanmar dan dua Indonesia yang merupakan pekerja stor ditahan bersama seorang lelaki tempatan berumur 40-an disyaki pemilik syarikat terbabit.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2EnCjtkTw 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Kemaluan perogol bertayam

Kosmo! Online - Negara:














MOHAMAD FADZLIE (kanan) dan Mohd. Khairiell Idzham berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.







KUALA LUMPUR – Keterangan seorang wanita Vietnam mengatakan dia terpegang satu objek keras pada kemaluan lelaki yang merogolnya ketika sesi kawad cam dapat mengheret pemuda itu ke muka pengadilan sekali gus membuatkan tertuduh mengaku salah atas tuduhan tersebut.


Mohamad Fadzlie M. Rosdi, 20, mengaku yang dia ada memasang bebola besi atau ‘tayam’ pada kemaluannya ketika merogol mangsa di sebuah rumah urut di Setapak di sini pada pukul 1 pagi 25 November lalu.


Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid di Mahkamah Sesyen di sini semalam.


Difahamkan, kawad cam itu dilakukan sebaik polis menahan Mohamad Fadzlie yang datang ke balai polis. Dia diserahkan oleh bapanya selepas gambar tertuduh yang dirakam kamera televisyen litar tertutup premis itu disiarkan akhbar.


Selain merogol, penganggur itu turut dituduh merompak premis tersebut bersama buruh kontrak, Mohd. Khairiell Idzham Hashimi, 21, dan dua lagi yang masih bebas menggunakan parang di tempat dan waktu yang sama.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2EnCQra9t 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Geng Selayang Tata tumpas

Kosmo! Online - Negara:











SAIFUL AZLY menunjukkan barang kes yang dirampas daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Seremban semalam.





SEREMBAN - Perbuatan empat lelaki bergelar Geng Selayang Tata menyamun sebuah kios stesen minyak di City Park, Seremban 2 di sini sebelum melarikan sebuah peti besi mengandungi wang RM6,000 memakan diri apabila kesemuanya diberkas lima jam selepas melakukan jenayah itu.


Kejadian pukul 7.30 pagi Ahad lalu itu berlaku apabila tiga daripada suspek bersenjatakan parang masuk ke dalam kios tersebut manakala seorang lagi menunggu di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di pekarangan premis.


Difahamkan, tiga daripada suspek merupakan pelajar peringkat diploma jurusan kejuruteraan mekanikal di sebuah kolej swasta di bandar ini manakala seorang lagi bekerja sebagai budak penghantar surat. Mereka berusia antara 18 hingga 26 tahun.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek kemudian melarikan diri bersama peti besi mengandungi wang RM6,000 dengan menaiki 4WD berkenaan.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2EnC3cti3 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Penipu rakan Facebook dicekup

Kosmo! Online - Negara:











IZANY menunjukkan komputer riba dan pelbagai barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras semalam.





KUALA LUMPUR - Kes-kes penipuan internet didalangi warga Afrika yang memperdayakan rakyat negara ini dengan meminta mangsa memasukkan wang kononnya untuk menuntut hadiah tidak pernah reda walaupun kejadian tersebut banyak disiarkan di akhbar-akhbar.


Pada 4 Disember lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menahan 17 lelaki Nigeria, seorang wanita tempatan dan seorang wanita Thailand yang dipercayai anggota sindiket tersebut yang menjadikan tiga unit sebuah kondominium di Pandan Perdana di sini sebagai pangkalan operasi.


Para penyiasat percaya sindiket itu sudah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan jumlah kerugian lebih RM400,000.


Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 44 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Taman Maluri, Pandan Perdana dan Kepong di sini.


"Siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan Facebook untuk mencari mangsa secara rambang dengan menyamar sebagai kenalan sama ada lelaki atau wanita dari luar negara," kata beliau pada sidang akhbar di sini.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2EnBhD23W 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Lelaki larikan RM1.46 juta dicari

Kosmo! Online - Negara:














IMEJ lelaki yang dicari polis.







KUCHING – Wajah lelaki yang memecah masuk rumah teres milik seorang ahli perniagaan dan kontraktor di Taman Malihah, Matang di sini sebelum wang tunai berjumlah RM1.46 juta lesap pada 1 Disember lalu sudah dikenal pasti menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, imej suspek yang memakai topi dan menggalas sebuah beg itu dirakam menerusi CCTV yang dipasang di belakang rumah dan ruang tamu rumah tersebut.


Menurut beliau, imej yang dirakam pada pukul 10.08 malam melalui CCTV yang dipasang di belakang rumah menunjukkan suspek yang dipercayai berseorangan memanjat pagar sebelum mengumpil jeriji dan pintu belakang rumah tersebut menggunakan sebatang besi.


Seterusnya, Roslan berkata, rakaman CCTV di ruang tamu menyaksikan suspek dilihat mundar-mandir sebelum memasuki sebuah bilik di rumah tersebut.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2EnAj7Md8 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Peniaga buah rentung van terbabas dan terbakar

Peniaga buah rentung vas terbabas dan terbakar: "JASIN 11 Dis. - Seorang peniaga buah-buahan rentung selepas van dipandunya terbabas dalam parit dan terbakar di Kilometer 32, Jalan Ghaffar, Sungai Rambai di sini awal pagi ini.

Kamal Abd. Kadir, 43, yang selesai berniaga di Klebang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Muhibbah, Merlimau kira-kira pukul 3.45 pagi sebelum terlibat dalam nahas itu.

Mangsa berseorangan memandu van jenis Nissan Vanette yang membawa muatan buah-buahan, mesin generator dan peralatan berniaga.

Menurut jurucakap polis, kenderaan dipandunya dipercayai gagal dikawal sebaik sahaja melalui satu selekoh dan terbabas ke dalam parit menyebabkan kaki mangsa tersepit.

“Bapa kepada empat anak itu dikatakan cuba keluar dari kenderaannya namun gagal dan dia maut selepas van dipandunya itu terbakar.

“Sepasukan anggota bomba dan penyelamat berjaya memadamkan kebakaran van dan mengeluarkan mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat," kata jurucakap itu ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN"

'via Blog this'

Kereta terbabas, dua warga Pakistan maut

Kereta terbabas, dua warga Pakistan maut:


PUTRAJAYA 11 Dis. - Dua lelaki warga Pakistan maut dalam kemalangan jalan raya di Persiaran Barat menghala ke Lebuh raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), di sini hari ini.


Seorang daripada mangsa yang hanya dikenali sebagai Barakat, 40, maut di tempat kejadian manakala rakannya yang identiti belum dikenal pasti meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.


Punca kejadian dipercayai akibat kegagalan mengawal kenderaan menyebabkan kereta dinaiki mangsa terbabas sebelum melanggar tiang lampu berhampiran jalan tersebut.


Sementara menunggu proses bedah siasat, jenazah kedua-dua mangsa ditempatkan di bilik mayat Hospital Putrajaya.


Jurucakap Polis Daerah Putrajaya berkata polis akan menghubungi waris atau kenalan terdekat untuk urusan pengebumian.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121211/dn_35/Kereta-terbabas-dua-warga-Pakistan-maut#ixzz2ElDCVPVT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Tiga remaja 'berlakon' samun ditahan

Tiga remaja 'berlakon' samun ditahan: "HULU LANGAT 10 Dis. - Hanya kerana ingin membeli sebuah motosikal baru, dua remaja sanggup berpakat untuk 'berlakon' menyamun seorang lagi rakannya yang bekerja sebagai juruwang sebuah hotel bagi melarikan wang tunai RM300 di Jalan Mendaling, Kajang, di sini awal pagi ini.

Lakonan itu bagi mengaburi mata majikan juruwang terbabit bahawa dia disamun dua remaja berparang ketika sedang bertugas dengan segala kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Namun helah mereka terbongkar apabila salah seorang remaja berusia 17 tahun yang menunggu di atas sebuah motosikal diberkas anggota polis yang kebetulan meronda setelah suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan hotel tersebut pada pukul 1 pagi.

Suspek berusia 16 tahun yang memasuki hotel tersebut bagaimanapun sempat melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis."

'via Blog this'

2 lelaki, seorang wanita diburu

2 lelaki, seorang wanita diburu:

SHAH ALAM 10 Dis. - Polis memburu dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terbabit mencuri sejumlah barang berharga di sebuah hotel di Equine Park, Seri Kembangan dekat sini pada 4 Oktober lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu hanya disedari apabila seorang kakitangan hotel terbabit memasuki bilik suspek untuk membuat pembersihan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati antara barangan yang hilang adalah dua buah televisyen LCD, dua alat pemancut air, pemanas air, selimut dan bantal yang dianggarkan bernilai RM5,000.
"Polis dimaklumkan kesemua suspek memasuki hotel berkenaan pada 29 September lalu pada pukul 11.24 malam dan salah seorang daripada suspek yang menggunakan nama Sivam dilihat sedikit tempang telah menempah sebuah bilik.
"Pada pukul 6.39 petang keesokan harinya, suspek yang sama mendaftar sebuah lagi bilik dengan alasan bilik tersebut untuk abangnya," katanya di Pusat Media Polis Selangor, di sini hari ini.
Mohd. Adnan berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana kesemua suspek tersebut membawa barangan tersebut keluar dan meminta agar mana-mana saksi tampil bagi membantu siasatan.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Adnan memberitahu, pihaknya turut memburu seorang wanita yang dipercayai mencuri lima karton minuman keras jenama Tiger dan sebungkus Milo seberat dua kilogram dianggarkan bernilai RM860 di sebuah pasar raya di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini, pada 27 September lalu.
Menurut Mohd. Adnan, pihaknya menerima laporan daripada pengurus keselamatan pasar raya tersebut pada 30 September lalu yang memaklumkan beberapa stok barangannya telah hilang.
"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita yang datang bersama dua lelaki dan seorang kanak-kanak memasuki pasar raya itu dan memasukkan barangan terbabit ke dalam kainnya.
"Kita berharap agar sesiapa yang melihat kejadian tersebut menghubungi Inspektor Raja Mohamad Izzudin Raja Kamarulzaman di talian 013-3444771 bagi membantu siasatan," katanya sambil memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121211/je_02/2-lelaki-seorang-wanita-diburu#ixzz2ElBmBJBH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Pengedar dadah lempar bom tangan

Pengedar dadah lempar bom tangan:

Polis memeriksa bahan bukti selepas seorang pengedar dadah mati ditembak di Jalan Semanggol, berhampiran simpang masuk ke Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai, Perak, semalam.
IPOH 10 Dis. - Seorang pengedar dadah mati ditembak selepas gagal meloloskan diri dan melemparkan sebutir bom tangan ke arah polis yang mengejarnya sejauh 25 kilometer di Jalan Semanggol, berhampiran simpang masuk ke Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai hari ini.
Dalam kejadian berbalas tembakan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, tiga anggota polis yang mengekori suspek berusia 42 tahun tersebut bernasib baik apabila bom tangan yang dilempar itu tidak meletup.
Menurut sumber polis, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Honda Accord ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping cuba menahannya di rumahnya di Kampung Dew, Taiping.
Katanya, polis kemudian mengejar kereta suspek sehingga ke Jalan Semanggol sebelum suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis dalam usahanya untuk melepaskan diri.
"Polis kemudian berjaya memintas kereta suspek lalu mengarahkannya keluar dari kereta itu untuk menyerah diri tetapi suspek yang keluar dari kenderaannya melepaskan tembakan ke arah polis.
"Mungkin kerana tidak sempat mengisi peluru, suspek kemudian membaling sebutir bom tangan ke arah tiga anggota polis yang mengekorinya sehingga menyebabkan mereka lari berlindung di tempat selamat bersama beberapa orang awam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, bom tangan yang dilempar oleh suspek bagaimanapun tidak meletup dan salah seorang anggota polis berkenaan kemudian melepaskan tembakan sehingga menyebabkan penjenayah itu yang cuba melarikan diri terbunuh.
"Pemeriksaan polis turut menemukan dua pucuk pistol bersama beberapa butir peluru, pisau dan dadah di dalam kenderaan suspek. Bom tangan yang tidak meletup itu dimusnahkan oleh unit pemusnah bom polis kira-kira pukul 2 petang," ujarnya.
Menurut sumber itu lagi, dalam kejadian berbalas tembakan tersebut, kenderaan polis dipenuhi kesan tembakan oleh suspek.
Tambahnya, mayat suspek dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih mengumpulkan maklumat lengkap.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121211/je_01/Pengedar-dadah-lempar-bom-tangan#ixzz2ElBbJIFZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'