Search This Blog

Tuesday, December 11, 2012

Rumah terbakar ketika saksi perlawanan bola sepak

Rumah terbakar ketika saksi perlawanan bola sepak - Johor - Sinar Harian:

Rumah terbakar ketika saksi perlawanan bola sepak
Keadaan rumah yang terbakar.
LEDANG - Keseronokan  seorang lelaki menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Piala AFF Suzuki  antara Malaysia dengan Thailand bertukar sedih apabila rumahnya di Kampung Serom 3, Jalan Panggung, Sungai Mati, dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu disedari Mohamad Yusof Md Said, 62, apabila dia terdengar bunyi seperti cawan pecah dari dapur rumah.
Menurutnya, dia yang  sedang menonton televisyen di ruang tamu segera ke dapur untuk mengenal pasti bunyi yang didengarinya selepas berasa  tidak sedap hati.
“Apabila tiba di tengah  rumah, tiba-tiba lampu terpadam dan saya nampak api sedang marak dari arah bilik belakang berdekatan dapur.
“Saya terkejut dan dengan pantas berlari ke bilik hadapan untuk mengejutkan isteri dan ibu yang sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohamad Yusof berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu, isteri, anak saudara dan kakaknya di rumah,  manakala anak-anaknya berada di Kedah.
Katanya, selepas ahli keluarganya berjaya diselamatkan dengan dibawa keluar dari rumah, dia kembali masuk semula kediamannya untuk menyelamatkan barangan berharga.
Tetapi usaha dilakukan menemui kegagalan berikutan situasi kejadian yang merbahaya dan bimbang ditimpa bumbung.
Pesara kerajaan itu kerugian kira-kira RM100,000 berikutan rumah yang didiaminya sejak 10 tahun lalu, hangus  terbakar.
“Walaupun sedih dengan insiden ini, namun saya bersyukur kerana semua ahli  keluarga terselamat.
“Buat sementara waktu, kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah adik yang terletak di kampung ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Yusof Muniron berkata, pihaknya menerima panggilan  kecemasan jam 9.46  malam dan mengerahkan tujuh  anggota bersama satu jentera ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan  lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar.
“Apabila  tiba di tempat  kejadian, rumah berkenaan sudah terbakar 70 peratus dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran,” katanya.
Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih  dalam siasatan.

'via Blog this'

Padah lintas lebuh raya, warga Myanmar maut

Padah lintas lebuh raya, warga Myanmar maut - Selangor & KL - Sinar Harian:

Padah lintas lebuh raya, warga Myanmar maut
Mangsa yang maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas Lebuh Raya Besraya, awal pagi, semalam.
SERDANG – Memang mencari  nahas apabila lebuh raya yang sibuk dengan kenderaan dipandu laju dan menjadi lubuk korban kemalangan sebelum ini menjadi tempat lintasan warga asing untuk menyeberang jalan.

Dalam kejadian awal pagi  semalam, seorang warga Myanmar menjadi satu lagi korban ketika melintas laluan Lebuh Raya Besraya di Kilometer 1.5 arah selatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang,  Asisten  Komisioner Abd Razak Elias berkata,   mangsa yang berjalan kaki dirempuh di laluan paling kanan ketika cuba menyeberang lebuh raya  dalam kejadian kira-kira jam 12.01 pagi berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan  dipercayai  berlaku apabila pejalan kaki itu cuba melintas  jalan  dari  arah  kiri ke kanan jalan sebelum dilanggar sebuah kereta Toyota Camry.

Katanya, akibat rempuhan kuat, mangsa, Zami Aung, 28 tercampak ke atas kereta sebelum terpelanting ke atas jalan.

“Kenderaan yang melanggar mangsa datang dari arah Balakong. Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, saksi yang  melihat  kejadian  diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055 595 untuk membantu siasatan.

'via Blog this'

Dua anggota JPJ tak mengaku terima suapan

Dua anggota JPJ tak mengaku terima suapan - Utara - Sinar Harian:

BUTTERWORTH - Dua kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 3 di sini, semalam atas tuduhan rasuah melibatkan RM300.
Dua penjawat awam itu, Penolong Pegawai Penguat kuasa, V Chandrasegeran, 42, dan Pembantu Penguat kuasa, Farid Abdullah, 27, turut minta dibicarakan ketika kes mereka disebut di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad dalam prosiding, semalam.
Mereka bersama-sama didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam, 14 April lalu di Lorong Perusahaan 10, Kawasan Perusahaan Perai, berhampiran kilang RK-M, Perai.

Dalam prosiding itu, Chandrasegeran yang disebut sebagai tertuduh pertama didakwa secara rasuah bersetuju menerima suatu suapan iaitu wang tunai RM300 daripada pemandu lori, P Murugan melalui Farid Abdullah.
Wang itu didakwa diterimanya sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pemandu berkenaan yang dikatakan memandu lori dalam keadaan tayar yang haus.

Chandrasegeran yang diwakili peguam A Chandrasegaran dari Butterworth didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama jika didapati bersalah.

Hukuman di bawah seksyen ini memperuntukkan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tertuduh kedua, Farid didakwa bersubahat dengan Chandrasegeran bersetuju menerima wang tunai RM300 dari pemandu lori itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Farid didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dibaca bersama Seksyen 28 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Hukuman yang bakal dihadapi Farid jika didapati bersalah sama seperti rakannya.

Farid memaklumkan dia melantik seorang peguam namun disebabkan peguamnya mempunyai kes di mahkamah lain, dia tidak dapat hadir mendengar prosiding yang dikenakan ke atasnya semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Sekman dari SPRM kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 tiap seorang, sementara menantikan tarikh baru sebutan bagi memberi ruang kepada peguam Farid hadir mewakilinya
dalam kes berkenaan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh mendengar semula sebutan kes berkenaan yang akan dijalankan secara serentak.

'via Blog this'

KM Kulim cari waris dua beradik mangsa dera

KM Kulim cari waris dua beradik mangsa dera - Utara - Sinar Harian:

KULIM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim ingin mencari waris kepada dua beradik berusia 6 dan 8 tahun yang kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Pulau Pinang.
Kanak-kanak itu, Ahmad Nizam Abdul Basit, 8, yang mempunyai sijil kelahiran bernombor BK43506 dan adiknya Carissa Puteri, 6, yang tidak mempunyai sijil kelahiran ditempatkan di rumah pelindungan itu setelah disyaki mangsa dera.
Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Daerah Kulim Munirah Athirah Abdul Aziz berkata kedua-dua kanak-kanak itu ditinggalkan ibu mereka bersama seorang lelaki dipercayai penagih dadah dan ditemui petugas JKM di sebuah rumah di Lorong Selasih 6, Taman Selasih, di sini November lepas.
Sehubungan itu, JKM ingin menghubungi bapa kanak-kanak itu dikenali sebagai Abdul Basit Abdul Latiff, 34, nombor kad pengenalan 780114-12-5857 berasal dari Tawau, Sabah dan kini dipercayai berada di Klang, Selangor.
"Kami juga mencari ibu kanak-kanak itu iaitu Armina Shabani, nombor kad pengenalan 800215-12-5982 juga berasal dari Tawau dan tidak diketahui di mana berada sekarang ini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Munirah Athirah berkata ibu kanak-kanak berkenaan dikatakan pernah tinggal bersama lelaki berusia 42 tahun itu tetapi menghilangkan diri ekoran perselisihan faham dan meninggalkan dua anaknya bersama lelaki terbabit.
Beliau berkata pihaknya turut mendapat maklumat bahawa terdapat tiga lagi kanak-kanak dipercayai adik beradik dengan dua kanak-kanak berkenaan iaitu Mohd Razif Abdul Basit, 9, Puteri Safika, 5, dan Intan Nazira, 4.
Tempat tinggal ketiga-tiga kanak-kanak itu juga tidak diketahui dan sehingga kini mereka tidak dapat dikesan, katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Abdul Basit dan Armina serta ketiga-tiga kanak-kanak itu atau yang mengenali saudara mara kanak-kanak berkenaan diminta menghubungi JKM Kulim di talian 04-4907403. - Bernama

'via Blog this'

Traktor dilarikan samseng

Traktor dilarikan samseng - Melaka & NS - Sinar Harian:

SEREMBAN – Seorang pemilik kebun durian mengalami kerugian RM72,000 apabila traktor miliknya dicuri sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun di kebunnya di Kampung Baru Broga, Mantin, di sini, kelmarin.
Dia bukan sahaja kehilangan traktor malah dua pekerja warga Indonesia turut dipukul dalam kejadian jam 2 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata, kejadian berlaku ketika dua pekerja Indonesia berusia 24 dan 36 tahun itu sedang tidur di sebuah rumah pondok dalam kebun berkenaan.
“Seramai tujuh lelaki warga tempatan bertopeng dan bersenjatakan parang telah memasuki kawasan kebun dan rumah pondok tersebut sebelum bertindak mengikat dan memukul kedua-dua mangsa yang sedang tidur.
“Suspek juga cuba memecahkan pintu stor dan menggeledah barang selama 30 minit sebelum melarikan sebuah traktor bernilai RM72,000,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Menurutnya, polis percaya terdapat seorang suspek yang menunggu di luar kawasan kebun dengan sebuah lori bagi memudahkan kumpulan penjenayah itu membawa lari traktor berkenaan.
“Kedua-dua mangsa berjaya melepaskan diri dan telah meminta bantuan orang awam untuk memaklumkan kepada majikan mereka.
“Mereka mengalami kecederaan di bahagian hidung dan kepala,” katanya.
Katanya, pihak polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

Penduduk guna pam racun padam kebakaran

Penduduk guna pam racun padam kebakaran - Utara - Sinar Harian:

Penduduk guna pam racun padam kebakaran
Penduduk bantu memadam kebakaran menggunakan mesin menyembur racun dan getah paip
Penduduk guna pam racun padam kebakaran
Penduduk melihat kitab yang terbakar
PENDANG - Tindakan pantas lebih 50 penduduk membantu memadam kebakaran dengan bertindak menggunakan pam racun, menyelamatkan lebih banyak rumah dari musnah dalam kebakaran di kawasan pengajian agama berkonsepkan pondok di Kampung Pokok Asam dekat Kubur Panjang di sini, semalam.
Kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.20 pagi itu memusnahkan empat pondok berstruktur kayu, manakala sebuah lagi pondok mengalami kerosakan pada bahagian dinding.
 
Difahamkan, penduduk sekitar dan penghuni pondok dikejutkan dengan beberapa letupan dipercayai dari tong gas, disusuli asap tebal sebelum kedengaran pukulan gendang sebagai siren kecemasan mengenai kebakaran itu.

Selain penggunaan pam racun yang diisi dengan air penduduk turut memotong getah saluran air dalam usaha mereka memadam kebakaran sementara menunggu pasukan bomba dan penyelamat tiba ke lokasi.
 
Api keluar dari tingkap
 
Seorang penghuni pondok, Wan Dayah Wan Taib, 83, berkata, ketika kejadian dia yang sedang berbual dengan seorang rakan di tepi pintu pondok terkejut apabila melihat api menerusi tingkap dari sebuah pondok berhadapan kediamannya.
 
“Rakan saya cuba menghampiri rumah terbabit bagi menyelamatkan apa-apa barang namun, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dari rumah terbabit.

“Sejurus terdengar bunyi meletup dan diikuti dengan asap tebal. Saya yang tidak mampu berjalan kemudian diselamatkan penduduk ke rumah berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
 
Pondok yang diasaskan seorang ulama, arwah Wan Sulong Wan Ghazali sekitar tahun 1940-an itu menempatkan kira-kira 50 pondok dengan hampir 100 penghuni dalam kalangan warga emas yang mendalami ilmu agama.

Seorang pemilik pondok, Mohd Tarmizi Mohd Ishak, 40, pula memberitahu, ketika kejadian dia tiada di rumah, manakala isterinya, Normawati Azizan, 36, serta empat anak berusia dua hingga 14 tahun berada di rumah mertua di
Padang Durian di sini.
 
Katanya, dia dikejutkan dengan kejadian itu apabila menerima panggilan daripada jiran dan bertindak pulang ke rumah segera. 

“Saya dapati, kira-kira 80 peratus rumah saya sudah dijilat api.

“Api dipercayai bermula dari rumah saya disyaki berpunca daripada litar pintas. Apa pun pihak berkuasa masih melakukan siasatan dan saya reda dengan kejadian ini dan syukur tiada mangsa cedera,” katanya.

Guna pam racun
 
Seorang lagi penduduk, Mohamad Abdullah, 31, pula berkata, penduduk tidak mampu berbuat apa-apa kecuali terpaksa menggunakan pam racun dan memotong getap paip bagi mengawal kebakaran.
 
“Api marak dengan begitu cepat serta keadaan menjadi kelam kabut. Ini kebakaran pertama sejak pondok ini dibuka datuknya lebih 70 tahun lalu,’’ katanya.
 
Penghuni pondok, Wan Salikin Wan Ahmad, 70, berkata, dia bertindak membantu penghuni pondok yang jatuh dengan mengangkatnya membawa ke rumah jiran.
 
“Tindakan pantas penduduk kampung yang datang selepas mendengar pukulan gendang mampu menyelamatkan lebih banyak lagi rumah memandangkan rumah di kawasan ini dibina berdekatan,” katanya.
 
Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zon Kota Setar, Mohd Ridzuan Mohd Nutjamudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi dan kenderaan pertama tiba 20 minit kemudian.
 
Katanya, kerja memadam kebakaran melibatkan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Jalan Tun Razak dan Guar Chempedak, Alor Setar dan api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit.
 
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,’’ katanya.

'via Blog this'

Kilang polistirena musnah terbakar

Kilang polistirena musnah terbakar - Melaka & NS - Sinar Harian:

Kilang polistirena musnah terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang berusaha memadam kebakaran di tempat kejadian, malam kelmarin
SEREMBAN – Sebuah kilang membuat polistirena di Kawasan Perindustrian Taman Tuanku Jaafar, Senawang, dekat sini, musnah dalam satu kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7 petang itu telah mengakibatkan 100 peratus bangunan kilang berkenaan hangus terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Ahmad Nizam Shapiee berkata, kebakaran dipercayai berlaku ketika kilang berkenaan sedang beroperasi.
“Sebanyak empat jentera bomba dengan 25 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas kita menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.31 malam.
“Sejurus tiba tempat kejadian, kita dapati kilang terbabit sudah 90 peratus dijilat api dan pihak bomba mengambil masa kira-kira hampir satu jam untuk memadamkan kebakaran,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula di bahagian operasi dan stor penyimpanan sebelum merebak ke bahagian lain kilang berkenaan.
“Kemungkinan bahan mudah terbakar yang terdapat di kilang ini menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat sehingga mengakibatkan keseluruhan premis musnah sama sekali.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau ke-malangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan 

'via Blog this'

Mayat jurutera ditemui dengan kesan hentakan di kepala

Mayat jurutera ditemui dengan kesan hentakan di kepala - Semasa - Sinar Harian: "SHAH ALAM - Mayat seorang jurutera komputer ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan hentakan di kepala di rumahnya, di Putra Perdana, Sepang, dekat sini petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata, mangsa, Low Min Lee, 36, yang bekerja di sebuah syarikat elektronik di Cyberjaya, ditemui mati oleh abangnya pada 6 petang.

Katanya, selain kesan hentakan, badan mangsa turut mempunyai beberapa kesan kecederaan dan lebam dipercayai akibat pergelutan dan dipercayai telah mati 24 jam, sebelum ditemui.

"Siasatan mendapati beberapa barangan berharga milik mangsa turut hilang termasuk kereta jenis Toyota Vios berwarna perak bernombor pendaftaran BKG 2570 selain sebuah televisyen LCD, telefon bimbit dan dompet," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan samun dan bunuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Baalo Muniappan di talian 012-3663614 atau balai polis berhampiran, bagi membantu siasatan. - Bernama"

'via Blog this'

Polis buru wanita curi Milo, minuman keras

Polis buru wanita curi Milo, minuman keras - Semasa - Sinar Harian:

Polis buru wanita curi Milo, minuman keras
Rakaman menunjukkan wanita ini mencuri lima karton minuman keras dan menyoroknya di dalam kain dipakai bagi elak dikesan pekerja.
SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang wanita yang disyaki mencuri minuman keras serta Milo bernilai hampir RM900 dari sebuah pasar raya di Jalan 4/1 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 27 September lalu.
Dalam kejadian itu, wanita terbabit yang berlagak sebagai pelanggan, datang ke premis berkenaan bersama seorang kanak-kanak dan dua lelaki.
Bagaimanapun perbuatan wanita itu langsung tidak disedari, sehinggalah pengurus keselamatan premis membuat pemeriksaan tiga hari kemudian dan mendapati beberapa stok barangan hilang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pengurus itu kemudiannya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis, sebelum menemui rakaman perbuatan licik wanita terbabit.
"Berdasarkan rakaman, wanita itu mencuri lima karton minuman keras berharga RM828 dan sepeket milo seberat dua kilogram berharga RM32.90.
"Kesemua barangan itu disorokkan dalam kain yang dipakainya, sebelum dibawa keluar dari premis," katanya pada sidang akhbar, semalam.
Beliau berkata, perkara itu terus dilaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung wanita terbabit diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Raja Mohamad Izzudin Raja Kamarulzaman bagi membantu siasatan.
"Gambar wanita itu kita siarkan di laman Facebook Polis Selangor termasuk media cetak. Kita harap wanita itu juga dapat tampil menyerah diri selepas gambarnya tersiar," katanya.

'via Blog this'

Penyambut tetamu dipenjara enam bulan, ugut bapa dengan gunting

Penyambut tetamu dipenjara enam bulan, ugut bapa dengan gunting - Semasa - Sinar Harian: "KUALA LUMPUR - Seorang penyambut tetamu di sebuah syarikat swasta dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut bapanya tiga hari lepas.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim membuat keputusan itu terhadap S.Prasath, 27, selepas dia mengaku bersalah mengugut R.Subramaniam, 75, menggunakan sebilah gunting dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada Ahad lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Langgak Bukit, Jalan Pahang, Setapak, pada 6 petang 8 Dis dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwa Raya ASP Zulkifli Osman menjalankan pendakwaan manakala peguam Mahendren Naidu mewakili Prasath.- Bernama"

'via Blog this'

Songlap selimut, bantal hotel

Songlap selimut, bantal hotel - Semasa - Sinar Harian:

songlap selimut, bantal hotel
Tiga individu ini dikesan bagi membantu siasatan berhubung kejadian di sebuah hotel di Equen Park, baru-baru ini.
SHAH ALAM – Sehelai selimut dan sebiji bantal milik sebuah hotel di Equen Park, Serdang turut disonglap penjenayah.

Itu yang berlaku dalam kejadian pada 1 Oktober lalu di mana penjenayah melarikan barang berharga bernilai hampir RM5,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pada awalnya, dua lelaki dan seorang wanita mendaftar masuk pada 29 September, kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, pendaftaran itu dilakukan seorang lelaki tempang yang menggunakan nama Sivan.

Beliau berkata, keesokannya, lelaki sama mendaftar sebuah lagi bilik yang dikatakan untuk abangnya.

“Bagaimanapun, kaki tangan hotel yang datang untuk mengemas bilik 202 dan 208 mendapati beberapa barangan elektrik antaranya dua televisyen, pemanas air elektrik, bantal serta selimut telah hilang.

Tiga penghuni itu juga tidak dapat dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, polis percaya barang itu disorokkan di dalam beg pakaian yang dibawa suspek.

Menurutnya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dapat merakam imej dua lelaki dan seorang wanita yang kini dikesan untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu Mohd Adnan meminta orang ramai menghubungi balai polis berdekatan sekiranya terlihat atau mempunyai maklumat berhubung tiga individu berkenaan.

'via Blog this'

Balak bergolek masuk pagar

Balak bergolek masuk pagar - Kelantan - Sinar Harian:

Balak bergolek masuk pagar
Keadaan lori terbalik dan balak terjatuh hingga memasuki pagar sebuah rumah, petang kelmarin.
KUALA KRAI - “Bila dengar dentuman kuat, saya terus berlari keluar kerana anak saya ada di luar rumah,” kata Tuan Faizah Raja Daud menceritakan kejadian lori balak penuh muatan terbalik berhampiran rumahnya, di sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2 petang di Kampung Enggong, berlaku apabila lebih 40 balak terjatuh dari lori itu dan bergolek ke kawasan kediaman berkenaan lalu menghempap garaj di hadapannya.
Tuan Faizah berkata, dia bagaimana pun bersyukur kerana dua anaknya, Putera Mohd Danial Mohamad Noor Azwi, 11, dan Puteri Sara Nur Nabila, 3, sudah pun berada di belakang rumah ketika kejadian.
“Bila dengar dentuman kuat dan rumah rasa bergegar, saya berlari keluar untuk cari mereka berdua kerana sebelum itu, mereka bermain di hadapan rumah,” katanya yang ada empat anak berusia antara tiga tahun dan 17 tahun.
Lori lebih muatan, rantai pengikat balak putus
Suami Tuan Faizah, Mohamad Noor Azwi Kassim, 42, pula berkata, selain struktur dan sebatang tiang garaj patah, sebuah motosikal turut rosak dihempap runtuhan garaj dengan anggaran kerugian RM7,000.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas rantai besi pengikat balak tiba-tiba terputus, menyebabkan lori didakwa membawa lebih muatan itu gagal dikawal hingga terbabas dan terbalik.
“Nasib baik tak berlaku lewat petang kerana selalunya waktu itu anak saya bermain di hadapan rumah.
“Kebetulan juga, hanya sebuah motosikal bawah garaj masa kejadian kerana selalunya ada lima buah,” katanya.
Difahamkan, pemandu lori terbabit dalam perjalanan keluar selepas mengambil muatan dari beta balak di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chenulang hanya cedera ringan pada lutut kaki kanan.
Minta tambah besi pengadang
Susulan kejadian hampir menggugat nyawa keluarganya, Mohamad Noor Azwi meminta pihak terbabit menambah besi pengadang di laluan berhampiran rumahnya yang dikenali sebagai Selekoh Haji Kassim.
 Katanya, biar pun ini kejadian pertama lori balak terbalik, kawasan rumahnya itu sebelum ini banyak kali dimasuki kereta dan motosikal yang terbabas ketika melalui selekoh berkenaan.
“Selekoh ini juga dikenali sebagai selekoh maut sebab kerap berlaku kemalangan dan kenderaan terbabas sampai masuk ke dalam kawasan rumah saya.
“Pagar rumah kami rosak pun disebabkan dirempuh motosikal dan kereta terbabas,” katanya yang juga Ketua Platun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Enggong.
Kiri dan kanan jalan tidak sama
Menurutnya, ketinggian kiri dan kanan jalan tidak sama selain bentuk laluan seperti ‘belakang kura-kura’ dipercayai jadi punca kemalangan dan kenderaan terbabas kerap berlaku di selekoh itu.
“Jalan tidak sama, sebelah tinggi dan sebelah rumah saya pula rendah, jadi kenderaan mudah ‘tertarik’ ke arah rumah saya bila terbabas atau berlaku kemalangan.
“Jika ada pengadang besi, kami sekeluarga rasa lebih selamat kerana sekurang-kurangnya kenderaan terbabas tidak terus masuk ke kawasan rumah,” katanya.

'via Blog this'

Cari kelapa jumpa tengkorak

Cari kelapa jumpa tengkorak - Kelantan - Sinar Harian:

Cari kelapa jumpa tengkorak
Tengkorak dipercayai seorang lelaki warga emas ditemui 9.30 pagi semalam.
TENDONG - Seorang pengutip kelapa tidak menyangka akan menemui tengkorak di Kampung Atas Pinggir, jam 9.30 pagi, semalam.
Saksi, Wan Hussain Wan Hamat, 51, berkata, selepas mencari kelapa, dia terdetik untuk memeriksa bangsal lembu dekat sini.
Namun terkejut ketika ternampak rangka tulang manusia dengan pakaian yang terkoyak di dalamnya.
“Rangka tulang kaki masih lengkap, namun berada agak jauh di antara satu sama lain.
“Mungkin biawak atau binatang lain mengheret tulang hingga beberapa meter,” katanya, semalam.
Hussain yang juga bekas pegawai Imigresen Rantau Panjang berkata, berdasarkan pakaian dekat tulang, mangsa dikenali sebagai Pok Loh lawyer atau Abdullah Salleh, 75.
Menurutnya, kali terakhir mangsa ditemui adalah ketika bulan Ramadan lalu.
Sebelum ini katanya, penduduk tidak terhidu sebarang bau mayat kerana kedudukan bangsal agak jauh dari kampung.
Katanya, arwah sering bertukar tempat tidur dan suka berteduh di bangsal buah dalam kebun penduduk kampung.
“Sepanjang ketiadaan arwah, banyak khabar angin menyatakan dia sudah berada di Tanah Merah dan Pahang.
“Sebab itulah penduduk tidak mengesyaki dia masih berada di bangsa ini sejak Julai lalu,” katanya, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kehilangan oleh keluarga mangsa.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

'via Blog this'

Hanya kerana RM20, anak mengamuk musnahkan barang rumah

Hanya kerana RM20, anak mengamuk musnahkan barang rumah - Terengganu - Sinar Harian:

Hanya kerana RM20, anak mengamuk musnahkan barang rumah
Mazadi dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU – Seorang anak yang sanggup mengamuk dengan merosakkan harta benda di dalam rumah hanya kerana permintaannya mahu RM20 tidak diendahkan ibu bapanya, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Mazadi Mohamed, 25, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas dia mengaku salah dengan sengaja mengamuk dan merosakkan harta benda di Flat Bukit Kecil Fasa 2, di sini, kira-kira jam 9 pagi pada 29
Oktober lalu.
Mazadi didakwa di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau keduaduanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Mazadi tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, ayah tertuduh, Mohamed Mustafa, 54, yang sedang menjual ikan di Pasar Bukit Besar, di sini, dimaklumkan oleh isterinya, Zainun Sali Ham Seth, 52, tertuduh meminta duit tetapi tidak diberi.
Selepas permintaan tidak dipedulikan, Mazadi mengamuk dengan memusnahkan barangan di dalam rumah, antaranya televisyen, kerusi dan meja.
Pada hari sama, kira-kira jam 6.24 petang, Mohamed menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Mazadi yang meminta RM20 dan mengugutnya akan mengamuk lagi jika wang berkenaan tidak diberi.
Kira-kira jam 8 malam, tertuduh mencari ayahnya di Pasar Bukit Besar dan disebabkan bimbang berlaku keja dian tidak diingini, mangsa menyerahkan RM20.

'via Blog this'

Pasangan warga emas maut

Pasangan warga emas maut - Kelantan - Sinar Harian:
Pasangan warga emas maut
Ibrahim Husin dan Siti Mas Mohamad
BACHOK – Pasangan warga emas maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung sebuah pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke rumah saudara mereka dekat sini pada jam 10.30 malam kelmarin.

Pemandu kereta kancil, Ibrahim Husin, 63, bersama isterinya, Siti Mas Mohamad, 65, dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Changgai, Pasir Puteh, menuju ke rumah saudara mereka di Pantai Senak.
Ketika melalui selekoh berhadapan Masjid Mahmudi, Bachok, kereta mangsa dikatakan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dari arah Kampung Tok Burung.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada akibat rempuhan tersebut. Manakala pemandu pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa  kemudiannya dibawa ke hospital di Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa untuk dikebumikan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Ab Rahim Che Ghani yang dihubungi mengesahkan kes tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 41 1987.
Manakala menurut anak mangsa ketika ditemui di hospital, Mohd Rudin Ibrahim, 39, berkata, ibu bapanya sering berkunjung ke rumah mereka di Kemasin hampir dua minggu sekali untuk berjumpa cucu-cucunya.
“Biasanya mereka datang siang dan tidak pernah datang malam. Namun kali ini mereka datang malam. Kami tidak perasan apa-apa perubahan terhadap mereka, tetapi sudah ajal mereka dan kami reda.
"Kali terakhir kami jumpa ibu dan ayah ialah dua minggu lalu ketika mereka datang ke rumah kami,” kata anak ketiga dari sembilan beradik ini. 'via Blog this'

Banjir di Kalimantan akibatkan 8,872 rumah dinaiki air

Banjir di Kalimantan akibatkan 8,872 rumah dinaiki air - Global - Sinar Harian:
JAKARTA - Banjir yang melanda daerah Barito Utara, Kalimantan Tengah sejak 3 Dis lalu, setakat ini mengakibatkan 8,872  rumah penduduk dinaiki air antara dua dan empat meter.
   
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), banjir yang melibatkan enam daerah kecil  di Barito Utara itu turut menyebabkan 2,753 hektar sawah padi dan ribuah hektar kawasan ladang ditenggelami air.
   
Selain itu 11 buah sekolah, empat pusat  kesihatan masyarakat, lima masjid, tujuh surau dan sebuah gereja, serta 25 jambatan konkrit dan kayu yang ditenggelami air, kata BNPB, pada Ahad.
   
Pihak Berkuasa Tempatan Daerah Barito Utara mengisytiharkan darurat banjir dari 8 hingga 28 Dis.
   
Bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan bagaimanapun tidak dinyatakan.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Barito Utara telah membuka pusat operasi dan koordinasi bantuan darurat dan dapur umum untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
   
Pasukan bantuan membabitkan anggota beberapa agensi kerajaan termasuk polis, tentera, jabatan kesihatan, jabatan kerja raya dan Persatuan Palang Merah Indonesia membantu mangsa dengan menyalurkan bantuan beras dan makanan sumbangan Pejabat  Daerah, syarikat swasta serta masyarakat kepada mangsa.
   
Pihak Kerajaan Negeri (Provinsi) Kalimantan Tengah turut menghantar bantuan darurat berupa  peralatan dapur, pakaian, makanan segera, kelambu, kain selimut, khemah keluarga, tikar dan  tilam. - Bernama
'via Blog this'

Penyanyi maut dalam nahas pesawat

Penyanyi maut dalam nahas pesawat - Global - Sinar Harian:

Jenni Rivera
Rivera terbunuh dalam nahas pesawat di utara Mexico
MONTERREY - Sebuah pesawat ringan membawa bintang Mexico-Amerika, Jenni Rivera terhempas di utara Mexico menyebabkan semua penumpang terbunuh, sekali gus mengundang kesedihan di kalangan peminat dan rakan selebriti.
Pihak berkuasa tempatan berkata, bangkai pesawat Lear Jet yang membawa enam penumpang ditemui oleh petani di Nuevo Leon, beberapa jam selepas berlepas dari Monterrey dalam perjalanan ke Toluca, di tengah-tengah Mexico,
“Komunikasi radio dengan pesawat terputus sejurus ia berlepas jam 3.15 pagi, (waktu tempatan)” katanya.
Menteri Pengangkutan, Gerardo Ruiz berkata, kejadian ini adalah yang terburuk dengan tiada seorang penumpang terselamat.
Rivera, 43, penyanyi berasal dari Mexico, popular dengan genre Banda dan Norteno dan album beliau terjual 15 juta salinan. - Reuters

'via Blog this'

Wang haram: HSBC bayar denda RM6 bilion

Wang haram: HSBC bayar denda RM6 bilion - Global - Sinar Harian:

HSBC
HSBC
NEW YORK - HSBC, antara bank terbesar di dunia, terpaksa membayar pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebanyak AS$1.9 bilion (hampir RM6 bilion) sebagai penyelesaian kes pengubahan wang - jumlah terbesar dibayar oleh mana-mana bank setakat ini.
Bank yang berpangkalan di United Kingdom ini dilaporkan telah bertindak sebagai saluran kepada negara-negara "kasar dan pengedar dadah" untuk melabur wang haram.
Konglomerat perbankan ini pernah mengakui ia berhadapan dengan masalah mengawal pengubahan wang dan telah meminta maaf.

Laporan dikeluarkan oleh Senat Amerika Syarikat (AS) Julai lalu menunjukkan bahawa kekurangan sistem kawalan yang mencukupi menyebabkan bank itu terdedah kepada amalan pengubahan wang.

"Kami memikul tanggungjawab atas kesalahan-kesalahan masa lalu," kata Ketua Eksekutif Kumpulan, Stuart Gulliver dalam satu kenyataan.

Bank itu mengatakan bahawa ia telah mengeluarkan hampir AS$290 juta (RM600 juta) untuk memperbaiki sistem mencegah pengubahan wang.
Bulan lalu, HSBC juga telah mengumumkan terpaksa mengeluarkan hampir AS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) bagi menampung kos penyelesaian kes dan denda.
HSBC terpaksa menanggung kerugian ini berikutan laporan Senat AS yang mendapati banyak kritikan oleh kawalan pengubahan wang.

Mereka juga mendapati yang bank itu kerap melepasi sekatan yang dilakukan oleh Iran, Korea Utara dan negara-negara lain di bawah sekatan AS.

'via Blog this'

Pengacara radio kesal sebabkan jururawat bunuh diri

myMetro | Pengacara radio kesal sebabkan jururawat bunuh diri:

SYDNEY: Dua pengacara radio yang panggilan palsu mereka menyebabkan seorang jururawat diraja di sebuah hospital di London membunuh diri, semalam meluahkan perasaan kecewa terhadap kejadian itu dalam satu wawancara.
Mel Greig dan Michael Christian berkata, mereka berhajat menghantar ucapan takziah kepada suami dan keluarga Jacintha Saldanha.

“Ia satu kejadian tragik yang tidak diramalkan oleh sesiapa. Anda tahu peranan kami dalam kejadian itu dan kami amat kesal,” kata Christian.
Mel yang kelihatan menangis dan jelas terkejut menambah: “Saya juga begitu kecewa dengan apa yang berlaku.” Kedua-dua pengacara berkenaan meluahkan kesedihan mereka buat kali pertama dalam wawancara berkenaan dan mengaku mereka tersentak dan terlalu kecewa.

Mereka mungkin tidak akan meminta maaf berhubung panggilan ke hospital Duchess of Cambridge selepas ketua stesen radio tempat mereka bekerja menganggap tindakan itu mungkin keterlaluan.

Jacintha, 46, ibu dua anak yang juga dikenali sebagai Jess, ditemui mati di kuarters jururawat di Hospital King Edward VII, tengah London, Jumaat lalu. Dia dipercayai menggantung diri.
Selasa lalu, dia menerima panggilan daripada Mel, 30 dan Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles. Jururawat itu yang tidak mengesyaki apa-apa, menyambungkan mereka ke wad tempat isteri Putera William, Kate, 30, dirawat.

Mel memberitahu rangkaian televisyen Australia mengenai bagaimana dia mendapat berita mengenai kematian jururawat itu. “Saya masih ingat saat itu dan tidak dapat melupakannya sejak ia berlaku. Saya ingat soalan pertama saya, ’Adakah dia seorang ibu?’” “Saya sentiasa terkenang peristiwa berkenaan. Saya hanya mahu menghubungi keluarganya, memeluk mereka dan memohon maaf,” kata Mel.
Christian menambah: “Saya hanya berharap keluarganya mendapat kasih sayang, sokongan dan penjagaan yang mereka perlukan.” Di tanya bagaimana perasaannya, dia menjawab: “Amat kecewa.” Kedua-dua pengacara itu kelihatan sebak ketika bercakap.

Stesen radio Sydney, 2Day FM semalam berkata, kedua-dua petugas mereka itu berusaha untuk mencari cara terbaik bagi menghubungi keluarga Jacintha.

Tetapi apabila ditanya sama adakah mereka akan memohon maaf, jurucakapnya, Sandy Kaye berkata: “Tidak. Itu mungkin langkah yang keterlaluan. Mereka sudah pasti mahu mengucapkan takziah. Tetapi ia isu yang begitu sensitif di banyak peringkat.” Tetapi pagi semalam, pengacara itu bertindak memohon maaf menerusi televisyen Australia. - DM

'via Blog this'

Waris dicari

myMetro | Waris dicari: "SHAH ALAM: Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Hospital Serdang bagi melakukan pengecaman terhadap mayat seorang lelaki yang ditemui di tebing Sungai Tekali, Hulu Langat, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, polis sukar membuat pengecaman berikutan keadaan mayat yang disorok dalam guni itu sudah reput ketika ditemui polis.


Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa memakai baju lengan pendek hitam dan seluar pendek kelabu.

Orang ramai diminta menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat kejadian itu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Chai Hu Yen di talian 019-902 1222.


Harian Metro semalam melaporkan mayat seorang lelaki berusia 30-an yang sudah reput ditemui dalam guni itu dengan keadaan badannya berlipat."

'via Blog this'

‘Kami tetap siasat’

myMetro | ‘Kami tetap siasat’: "GEORGETOWN: Siasatan secara telus tetap dilakukan polis berhubung kes seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa menjadi mangsa rogol dua anggota polis di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, dekat sini, Sabtu lalu.

Walaupun siasatan awal mendapati wanita itu sengaja mereka cerita, polis tetap meneruskan siasatan lanjut dan tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu secara terperinci kerana setiap laporan yang dibuat polis bertanggungjawab untuk melakukan siasatan.

“Memang tugas polis melakukan siasatan dan saya beri jaminan kes ini akan disiasat secara adil dan telus walaupun ia membabitkan anggota polis.


“Namun, sehingga kini, siasatan kami mendapati banyak keraguan yang timbul berhubung kes membabitkan wanita berkenaan terutama berkaitan kronologi dia dirogol,” katanya."

'via Blog this'

Cemas 3 jam

myMetro | Cemas 3 jam: "ALOR GAJAH: Lima kaki pancing yang bersantai atas sebuah batu besar di Pantai Tanjung Bidara di sini, menempuh detik menakutkan apabila mereka terkandas di batu berkenaan lebih tiga jam akibat ombak besar, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, semua mangsa berusia lingkungan 20-an yang berasal dari Johor itu, leka memancing di atas batu berkenaan yang terletak kira-kira 25 meter dari pesisir pantai itu.
Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila diselamatkan sepasukan penyelamat pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Alor Gajah, kira-kira jam 7.30 pagi.

Sumber berkata, mereka berada di lokasi kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin dan menuju semula ke arah batu besar berkenaan, kira-kira jam 12 tengah malam.


“Mereka dikatakan menyeberangi anak sungai untuk ke situ dalam suasana gelap gelita dan leka memancing sebelum menyedari air mula pasang diselangi angin kuat dari tengah laut."

'via Blog this'

40 pemandu mengaku pecut lebihi had laju

myMetro | 40 pemandu mengaku pecut lebihi had laju:

KAJANG: Seramai 40 pemandu didenda antara RM300 dan RM350 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah memandu melebihi had laju ditetapkan yang dirakam kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad turut memerintahkan semua orang kena saman (OKS) berkenaan menjalani hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, 10 lagi pemandu mengaku tidak bersalah manakala lapan lagi pengakuan mereka tidak diambil dan kes itu akan disebut semula pada 9 dan 14 Januari depan.
Terdapat 1,670 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilaporkan dibawa ke mahkamah semalam selepas individu terbabit gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari akibat melanggar had laju di kawasan yang dipasang kamera AES.

Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja awam dan swasta membayar jumlah denda berkenaan di kaunter mahkamah secara tunai.

Namun, hanya 58 individu hadir semalam dan mereka yang mengaku tidak bersalah akan dipanggil semula ke mahkamah pada 9 dan 14 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Semua pemandu itu dituduh sebagai pemandu kenderaan di lebuh raya memandu melebihi had laju ditetapkan iaitu 90 kilometer sejam di Lebuhraya Utara-Selatan pada 28 September 2012.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa hukuman denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000 atau denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa dari JPJ, Saharudin Safirol manakala 10 individu yang tidak mengaku bersalah diwakili peguam, Mohd Fikah Sanusi.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan, Rose Ali, 25, didenda RM300 selepas mengaku salah memandu melebihi had laju dengan 121 kilometer (km) berbanding 90 km yang ditetapkan di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur.

“Saya perlu memandu dan bergegas ketika kejadian ke Hospital Ampang.

“Walaupun masih belajar saya mempunyai pesakit yang memerlukan rawatan segera dan saya tidak sangka alasan itu tidak diterima dan tetap didenda RM300,” katanya.

Di Sepang, sebanyak 655 kes didaftarkan, bagaimanapun hanya 25 hadir dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Daripada jumlah itu seramai 10 mengaku salah dan didenda RM300, 10 lagi mengaku tidak salah manakala lima lagi dilepaskan dengan amaran.

'via Blog this'

32 didenda RM300 langgar lampu merah

myMetro | 32 didenda RM300 langgar lampu merah: "KUALA LUMPUR: Seramai 32 individu lagi didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret Trafik, di sini, semalam selepas mengaku bersalah gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari akibat melanggar lampu isyarat merah dipasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Majistret Noorashikin Sahat turut memerintahkan semua orang kena saman (OKS) itu menjalani hukuman penjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan."

'via Blog this'