20 hari melacur mampu raih RM30,000:
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Mereka hidup papa kedana di kampung halaman tetapi dengan hanya menggunakan pas lawatan sosial, seorang wanita warga asing mampu memberi kemewahan kepada keluarga apabila membawa pulang RM20,000 dalam tempoh hanya 20 hari melacurkan diri di negara ini.
Pendapatan lumayan diraih itu menyebabkan ramai wanita dari China, Thailand, Vietnam, Indonesia, Myanmar, India, Uzbekistan, Bangladesh, Kemboja, Laos, Afrika Selatan, Nigeria, Mongolia dan Maghribi sanggup datang ke negara ini untuk melacur.
Menggunakan pas lawatan sosial yang membolehkan mereka tinggal selama 40 hari di Malaysia, wanita terbabit yang kononnya datang untuk melancong, ligat mencari pelanggan di kawasan tumpuan orang ramai terutama Bukit Bintang di ibu negara.
Dalam sehari, seorang pelacur mampu melayan sekurang-kurangnya 10 pelanggan dengan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi perkhidmatan seks,
Hasilnya, mereka mampu mengumpul kira-kira RM30,000 dalam tempoh 20 hari menjalankan kegiatan haram tersebut tetapi ditolak bayaran sewa tempat tinggal, membeli pakaian dan alat solek, mereka hanya membawa pulang keuntungan bersih RM20,000.
Selepas mengumpul wang, pelacur terbabit akan pulang bercuti selama 10 hari ke kampung halaman iaitu kebiasaannya semasa mereka datang haid dan akan kembali semula ‘bekerja’ ke negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, kehadiran pelacur asing di negara ini cukup membimbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana lelaki yang melanggan mereka ada dijangkiti virus HIV/AIDS.
“Bayangkan dalam sehari, pelacur terbabit boleh melakukan hubungan seks dengan 10 pelanggan. Jika dua tahun melakukan pekerjaan itu, sudah pasti mereka dijangkiti virus HIV.
“Polis nasihatkan kaum lelaki sama ada rakyat tempatan atau asing, supaya hentikan segera tabiat melanggan pelacur bagi mengelak menjadi mangsa HIV/AIDS," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Jalil, meskipun kegiatan pelacuran diharamkan di negara ini tetapi Malaysia tetap menjadi pilihan pelacur asing kerana adanya permintaan tinggi.
Beliau berkata, lelaki tempatan dan asing yang tinggal di negara ini, tiada masalah mendapatkan khidmat seks daripada pelacur kerana mampu membayar harga yang ditawarkan memandangkan mereka mempunyai pekerjaan.
Selain itu, katanya, keadaan negara yang aman turut menggalakkan pelacuran kerana orang ramai bebas pergi ke mana-mana untuk melakukan aktiviti yang disukai.
“Satu lagi faktor yang menyumbang kemasukan ramai pelacur asing ke Malaysia ialah perkhidmatan penerbangan tambang murah dan sistem pengangkutan yang baik di negara ini," katanya.
Abdul Jalil berkata, pelacur asing mendapat permintaan tinggi di negara ini ialah gadis Vietnam kerana mereka mempunyai rupa paras yang menarik, boleh berturut bahasa Inggeris dan Mandarin, lemah-lembut serta tidak banyak kerenah.
Abdul Jalil berkata, PDRM memang memandang serius kegiatan pelacuran di negara ini dan melalui operasi pembanterasan dinamakan ‘Op Noda’, pihaknya sudah melakukan 402 serbuan di seluruh negara sejak Januari hingga September lalu dan menahan 1,446 wanita warga asing serta 1,994 wanita tempatan disyaki pelacur.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121208/je_01/20-hari-melacur-mampu-raih-RM30000#ixzz2EYDRlizN
© Utusan Melayu (M) Bhd 'via Blog this'