Terbakar secara misteri
Mohd Asrul menunjukkan kabin treler yang terbakar secara mengejut.
GELANG PATAH – Dua treler yang di parkir di Jalan Tiga, Taman Perumahan Rakyat, Lima Kedai, di sini, hangus terbakar dalam kejadian jam 4 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, api marak daripada dua treler terbabit turut menyambar dua kenderaan lain yang diletakkan berhampiran.

Pemandu treler, Mohd Asrul Sarip, 31, berkata, dia meletakkan treler yang sarat dengan muatan minyak masak itu bersebelahan sebuah bengkel sekitar jam 8.30 malam sebelum pulang ke rumahnya di Kampung Melayu lima kedai, di sini, terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, dia tidak berasa sesuatu mencurigakan sebelum pulang ke rumah malah adiknya Mohd Syazani, 25, yang turut meletakkan treler dipandunya di lokasi itu.

“Kira-kira jam 4 pagi, seorang rakan kami datang ke rumah memaklumkan treler yang kami letakkan di kawasan berkenaan terbakar. Saya dan adik amat terkejut mendengar berita berkenaan dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, api telah berjaya dipadamkan. Bagaimanapun, akibat daripada kebakaran itu, sebuah lori dan bas kilang turut terbakar, namun saya bersyukur disebabkan tindakan pantas pihak bomba hanya bahagian kabin sahaja yang hangus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Asrul berkaa, bahagian belakang treler yang berisi 18 ‘pallet’ minyak masak tidak terbakar, manakala kenderaan tanpa muatan yang dipandu Mohd Syazani pula hanya hangus pada bahagian ‘kepala’ lori.

“Sepatutnya saya akan memulakan perjalanan menghantar barangan ke Singapura kira-kira jam 6.30 pagi, namun akibat kejadian ini, saya perlu menunggu keputusan daripada pihak pengurusan sekiranya mereka menggantikan dengan treler yang lain atau saya direhatkan buat sementara waktu.

“Sepanjang empat tahun meletakkan kenderaan di kawasan ini, ia adalah kejadian pertama malah saya juga tidak menerima sebarang amaran daripada mana-mana individu. Kami tidak mahu mengesyaki sesiapa kerana tidak mempunyai musuh,” katanya.

Beliau berkata, beberapa dokumen termasuk pasport miliknya dan Mohd Syazani dan dokumen pengangkutan milik syarikat tempatnya bekerja hangus.

Dia bersama adiknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan dua laporan polis dibuat secara berasingan di Balai Polis Mutiara Rini, di sini, pagi semalam.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Taman Universiti memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 4.18 pagi, manakala operasi memadam api berakhir kira-kira jam 5.10 pagi menggunakan sebuah jentera.

“Kebakaran ini masih dalam siasatan,” katanya.