Search This Blog

Monday, December 3, 2012

Tembak tak mati

myMetro | Tembak tak mati:

ULU TIRAM: Niat baik seorang juruwang kafe siber mahu meleraikan pertengkaran membawa padah apabila dia kini tenat di hospital akibat terkena empat daripada 10 das tembakan yang yang dilepaskan seorang lelaki di Jalan Johar 4, Taman Desa Cemerlang di sini.
Dalam kejadian jam 10.15 malam, Jumaat lalu, Lew Wek Shu, 37, cuba meleraikan pertengkaran dua kumpulan lelaki yang bertengkar berhampiran tempat kerjanya sebelum dia ditembak pada kedua-dua bahu, rusuk kiri dan lengan kiri. 
Lew yang ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar Johor (HPJ) di sini, semalam, berkata, ketika kejadian dia bekerja di pusat siber berkenaan apabila terdengar pertengkaran.

Menurutnya, tidak tahan bunyi bising berlarutan hampir setengah jam, dia memberanikan diri meleraikan pertengkaran itu, tetapi malangnya niat baiknya tidak disenangi kedua-dua ahli kumpulan yang memakinya kerana mencampuri urusan mereka.

“Tidak mahu berlarutan, saya beredar, tetapi tiba-tiba seorang daripada mereka melepaskan tembakan dan ada yang terkena belakang saya.

'via Blog this'

105 dipaksa makan kertas

myMetro | 105 dipaksa makan kertas:

PELABUHAN KLANG: Seramai 105 wanita warga asing bukan saja dikurung, malah turut dipaksa makan kertas surat khabar selain tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu oleh sebuah syarikat agensi pembantu rumah yang beroperasi di Bandar Baru Klang, di sini.
Mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu diperdaya menjadi pembantu rumah secara bulanan dan harian, namun tidak menerima gaji selepas berkhidmat sejak enam bulan lalu dengan alasan mereka perlu menyerahkan gaji selama tujuh bulan sebagai bayaran untuk bekerja di Malaysia.

Mereka yang terdiri daripada 95 warga Indonesia dan masing-masing enam dan empat warga Filipina itu, diselamatkan dalam Ops Khas 6P Jabatan Imigresen Selangor, kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, serbuan jam 7.45 pagi itu mendapati semua wanita terbabit dikurung di tingkat tiga dan empat premis syarikat agensi pembantu rumah berkenaan.

Beliau berkata, wanita terbabit turut mendakwa dikasari selain makanan dicatu agensi berkenaan dan ada antara mereka yang dipaksa makan kertas surat khabar setiap kali cuba melawan atau menuntut hak mereka.

“Setiap pagi, agensi ini akan menghantar mangsa dengan van ke rumah dan pejabat di Klang untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan tukang cuci dengan pendapatan RM700 sebulan.
“Mereka dikurung di beberapa bilik di premis berkenaan sebaik pulang dari tempat kerja dan tidak dibenarkan keluar bagi mengelak kegiatan ini dihidu pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Amran berkata, siasatan mendapati, semua mangsa masuk ke Malaysia sejak sebulan hingga enam bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial sebelum ditempatkan di premis agensi pembantu rumah itu.

Dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dan masing-masing lima dan tiga warga Indonesia Kemboja yang berusia 30 hingga 50 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan. Amran berkata, pihaknya kini mengesan seorang lelaki tempatan iaitu pemilik agensi pembantu rumah terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, agensi berlesen itu beroperasi sejak lima tahun lalu, tetapi didapati melakukan kesalahan kerana semua wanita yang diambil bekerja itu hanya memiliki pas lawatan sosial bukan permit bekerja sah.

“Semua wanita terbabit dibawa ke rumah perlindungan di Bukit Ledang, Damansara untuk perlindungan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 44(1), Akta Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala lelaki dan wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan jika disabitkan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada wanita terbabit, Adinda Tanas, 20, mendakwa sejak bekerja dengan agensi itu Mei lalu, dia tidak pernah menerima gaji.

'via Blog this'

Kaku lepas tiupan wisel penamat bola sepak AFF

myMetro | Kaku lepas tiupan wisel penamat bola sepak AFF:

ALOR SETAR: “Sejak beberapa hari lalu, arwah menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap, tetapi beliau beritahu tidak sabar untuk menonton perlawanan bola sepak penentuan separuh akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia menentang Indonesia, malam tadi (kelmarin).
“Tak sangka pula itu perlawanan bola sepak terakhir yang arwah tonton sebelum dia disahkan meninggal dunia,” kata Mohd Sobri Ahmad, 30-an rakan Jasuky Jahury Jaafar, 36, yang meninggal dunia sejurus menonton perlawanan itu jam 11 malam.

Difahamkan, arwah meninggal dunia selepas pengadil meniup wisel tamat 90 minit masa perlawanan antara dua negara itu yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Perlawanan itu memihak kepada Malaysia apabila menewaskan pasukan Indonesia 2-0 dalam perlawanan itu menyebabkan Jasuky sangat gembira dengan kemenangan itu sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Mohd Sobri berkata, beliau tidak pasti sama ada arwah mengambil cuti kelmarin hanya untuk menonton bola sepak itu atau sebaliknya kerana sebelum ini arwah mengadu mengalami masalah kesihatan.

Beliau berkata, Jasuky yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, selama 10 tahun adalah seorang yang ceria dan minat menonton bola sepak, tetapi disebabkan sibuk dengan tugas, dia terlepas menonton beberapa kali perlawanan bola sepak yang membabitkan Malaysia.
“Saya kenal dia sudah lama, tetapi dia tidak pernah memberitahu dia sakit apa menyebabkan saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia selepas dihubungi rakan malam tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

'via Blog this'

Penyamun tekup mulut

myMetro | Penyamun tekup mulut:

GOMBAK: Seorang wanita mengalami pengalaman menakutkan apabila mulutnya ditekup dan mukanya diacu pisau apabila rumahnya di Selayang diceroboh seorang lelaki berbadan gempal pagi Jumaat lalu.
Dalam kejadian samun itu penjenayah turut memukulnya sebelum menyamun barangan kemas dianggarkan bernilai RM2,000.

Malah, tindakan mangsa berusia 49 tahun itu menjerit memanggil anaknya yang berada dalam bilik ketika bergelut dengan lelaki terbabit berjaya menyelamatkan wanita itu daripada diapa-apakan suspek yang merampas rantai leher sebelum melarikan diri.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, wanita terbabit yang mengisi pakaian dicuci dari mesin basuh ke dalam bakul di belakang rumah terkejut selepas didatangi lelaki tidak dikenali memakai topi keledar berpenutup dan menekup mulut mangsa. “Dalam keadaan mulut masih ditekup suspek mengarahkannya membuka gelang tangan namun mangsa yang sukar bernafas enggan menyebabkan lelaki itu berang dan memukulnya serta menolaknya sehingga terjatuh,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan menjerit memanggil anaknya yang berada dalam bilik menyebabkan suspek panik dan merentap rantai leher dipakai mangsa. “Dia yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan lanjut,” katanya.

'via Blog this'

4 serba hitam curi RM45,000

myMetro | 4 serba hitam curi RM45,000:

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat perompak berpakaian hitam dan bersenjatakan pisau menceroboh sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum mengikat tangan dan kaki pemilik kediaman itu dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM45,000, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, seorang wanita berusia 23 tahun yang tidur tersedar daripada tidur selepas melihat pintu biliknya dibuka sebelum dia mendapati empat lelaki tidak dikenali memakai topeng dan berpakaian serba hitam menceroboh rumahnya.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan kehadiran mereka menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik dan mengacukan pisau ke leher mangsa sambil mengarahkannya supaya berdiam diri jika tidak mahu dicederakan.
“Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali.

“Rakan suspek pula menggeledah bilik lain sebelum mereka membawa adik perempuan mangsa bersama pembantu rumah ke dalam bilik itu dan diikat,” katanya.

Sumber berkata, seorang daripada suspek turut berkawal di pintu bilik tidur mangsa sementara yang lain menggeledah mencari barangan berharga.
“Suspek melarikan wang tunai RM5,000, barangan kemas RM30,000, telefon bimbit, kamera dan pelbagai jam tangan berjenama.

“Mangsa bagaimanapun tidak dicederakan dan berjaya membuka ikatan jam 6 pagi. Sebaik berjaya melepaskan diri mangsa menghubungi polis meminta bantuan,” katanya.
Menurutnya, polis yang tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian membuat pemeriksaan dan menjumpai kesan pecah masuk di pintu rumah itu.

Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk tindakan lanjut.

'via Blog this'

Rampas 150 jersi Harimau Malaya

myMetro | Rampas 150 jersi Harimau Malaya:
BUNGKUS...penguat kuasa KPDNKK merampas jersi tiruan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
BUNGKUS...penguat kuasa KPDNKK merampas jersi tiruan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Lima peniaga yang menjual jersi tiruan Harimau Malaya dan Garuda sempena perlawanan dua pasukan itu, diserbu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di kawasan Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Dalam operasi jam 4.30 petang itu, lebih 150 jersi tiruan dirampas daripada enam gerai yang menjual jersi di kawasan itu.

Jurucakap KPDNKK, berkata jersi berkenaan dijual pada harga RM35 berbanding jersi asli pula berharga RM140.
“Kami hanya dapat merampas barangan daripada enam gerai manakala selebihnya melarikan diri apabila mereka menghidu kehadiran pihak penguatkuasa,” katanya.

Beliau berkata, hanya dua pemilik daripada enam gerai yang diserbu diberkas dan mereka dikompaun.'via Blog this'

Dibaham ikan lumba-lumba

myMetro | Dibaham ikan lumba-lumba:

ORLANDO: Walaupun biasanya ikan lumba-lumba adalah haiwan yang jinak dan tidak berbahaya, dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh mengancam nyawa.
Seorang budak perempuan berusia lapan tahun, misalnya, mengalami detik mencemaskan ketika dia dibawa melawat Sea World di Orlando, Florida, minggu lalu.

Menurut media semalam, Jillian Thomas sedang memberikan ikan lumba-lumba di taman tema itu makan apabila haiwan berkenaan tiba-tiba menyerangnya. Kanak-kanak dari Georgia itu mengalami kecederaan apabila dia digigit ikan lumba-lumba berkenaan.
Akibatnya, Jillian luka sebesar wang syiling di tiga tempat, selain bengkak tangan kiri.

Bapa Jillian, Jamie Thomas, berkata dia sempat merakamkan insiden itu dengan kamera videonya.

Berdasarkan rakaman itu, kata Thomas, Jillian jelas nyaris ditarik ke dalam air selepas pergelangan tangannya digigit ikan lumba-lumba berkenaan secara mengejut.
“Serangan itu tidak dijangka kerana ia berlaku ketika Jillian memandang ke tempat lain,” katanya. Klip video itu dimuat naik Thomas di Internet sebagai langkah menasihati ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati. Kata Thomas, perkara pertama terlintas di fikirannya ketika Jillian diterkam ialah mahu terjun ke kolam berkenaan untuk menyelamatkan nyawa anaknya. “Saya sangkakan ikan itu akan mengheret Jillian,” katanya. Walaupun luka Jillian akan sembuh, Thomas dan isterinya tetap kecewa kerana kakitangan pusat rekreasi itu menganggapnya tidak serius. Kata Thomas, dia lega kerana Jillian tidak ditarik ke dalam kolam, tetapi tidak mustahil ada orang lain akan menerima nasib lebih buruk pada masa depan. “Ia bukan serangan pertama ikan lumba-lumba di situ,” katanya. Walaupun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Sea World, Thomas berkata, dia berharap pusat rekreasi itu wajar menaikkan had usia bagi kanak-kanak yang ingin menyuap makanan kepada haiwan berkenaan.

Pada 2006, dua pengunjung dewasa terpaksa membuka mulut seekor ikan lumba-lumba yang membaham tangan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Sementara itu, jurucakap Sea World berkata, tiada sebarang perubahan dijangka dilakukan di situ. - DM

'via Blog this'

Indonesia mahu bina sekolah di Gaza

myMetro | Indonesia mahu bina sekolah di Gaza: "JAKARTA: Indonesia akan membina sebuah sekolah di Gaza, Palestin, menurut Pengarah Aksi Cepat Tanggap (ACT), Doddy Cleveland.

Sekolah itu akan dibina di kawasan seluas 5,000 meter persegi di Bait Lahiya, utara Gaza.


Doddy bersama dengan sekumpulan ahli Parlimen Indonesia akan mengunjungi Gaza untuk menyerahkan bantuan kecemasan kepada mangsa kekejaman tentera Israel, lapor agensi berita Antara. Delegasi itu yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya Dewan Perwakilan I, Mahfudz Siddiq terdiri daripada tujuh ahli Parlimen, 10 wartawan dan sebilangan aktivis organisasi bukan kerajaan dan kakitangan kedutaan Indonesia di Kaherah dan Amman. - JP"

'via Blog this'

Dua mati, 2 lagi cedera ditembak jurulatih mengamuk

myMetro | Dua mati, 2 lagi cedera ditembak jurulatih mengamuk: "SETE (Perancis): Jurulatih pusat latihan menembak di selatan negara ini yang berang dengan jirannya kerana berbuat bising ketika parti hari jadi mengamuk semalam, membunuh dua orang dan mencederakan dua yang lain, kata polis.

Jurulatih berusia 49 tahun itu pergi ke kediaman jirannya di tingkat bawah meminta mereka memperlahankan bunyi muzik.


Apabila mereka enggan, dia memberi amaran: “Saya akan pulang ke rumah dan datang semula untuk membunuh anda,” kata pendakwa raya Brice Robin. Jurulatih itu menepati janjinya apabila menceroboh masuk ke pangsapuri jirannya pada jam 2 pagi dan melepaskan tembakan kearah tetamu di situ. - AFP"

'via Blog this'

Iran gantung hukuman mati lepas pesalah bertaubat

myMetro | Iran gantung hukuman mati lepas pesalah bertaubat: "TEHERAN: Iran menggantung hukuman mati terhadap seorang pengaturcara komputer yang disabitkan bersalah mereka laman web pornografi selepas dia ‘bertaubat’, lapor agensi berita Mehr sebagai memetik kenyataan peguamnya.

Saeed Malekpour, pemastautin tetap di Kanada ditahan Disember 2008 di Iran ketika dia pulang ke tanah air untuk menziarahi bapanya yang sakit dan didakwa menjalankan operasi laman web lucah. Menurut kumpulan hak asasi manusia dan keluarganya, lelaki berusia 37 tahun itu didapati bersalah pada Disember 2010 atas tiga pertuduhan, termasuk “mereka dan mengendali laman web lucah dan menghina kesucian Islam”.


Saeed membangun program untuk memuat turun gambar di Internet dan ia digunakan tanpa pengetahuannya untuk rekaan laman porno, kata kumpulan kemanusiaan dan keluarganya. - AFP"

'via Blog this'

Terowong runtuh: lima maut

myMetro | Terowong runtuh: lima maut:

OTSUKI (Jepun): Petugas penyelamat Jepun semalam menemui lima mayat rentung dalam terowong lebuh raya yang runtuh, menimbus kereta dan menyebabkan kebakaran menimbulkan kebimbangan ramai lagi terperangkap di dalamnya.
Sekurang-kurangnya tujuh orang hilang di dalam terowong sepanjang hampir lima kilometer itu. Saksi menceritakan detik menakutkan ketika sekurang-kurangnya sebuah kenderaan terbakar menyebabkan asap tebal menghalang penglihatan dan menyukarkan pernafasan. Selama beberapa jam pasukan penyelamat terpaksa menunda usaha mereka untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah siling konkrit seberat 1.5 tan yang runtuh dari bumbung, sementara jurutera memberi amaran lebih banyak serpihan konkrit yang akan runtuh. Petugas kecemasan yang bergegas ke Terowong Sasago di Lebuh Raya Chuo, 80 kilometer di barat Tokyo itu berdepan asap tebal yang keluar dari pintu masuk terowong itu. Puluhan orang meninggalkan kenderaan mereka di laluan yang menuju ke Tokyo itu dan melarikan diri keluar dari satu daripada laluan kecemasan atau ke pintu keluar terowong, di mana mereka terpaksa bertahan dalam cuaca sejuk. Petugas kecemasan yang dilengkapi peralatan pernafasan berhempas-pulas memasuki sepertiga laluan dalam terowong itu, di mana mereka menemui 110 meter siling konkrit runtuh dan menghempap sekurang-kurangnya dua kenderaan. - AFP

'via Blog this'

Kanak-kanak peribumi hilang diseret buaya

myMetro | Kanak-kanak peribumi hilang diseret buaya: "DARWIN: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun hilang selepas dia dibaham buaya ketika mandi bersama beberapa orang lain di Wilayah Utara Australia, semalam.

Ia adalah serangan kedua berlaku di situ dalam tempoh dua minggu.


Walaupun polis dan renjer meneruskan operasi menyelamatkan semalam, pihak berkuasa bimbang mereka gagal menyelamatkan mangsa, Kurang dua minggu lalu, seorang budak perempuan berusia tujuh tahun maut dibaham buaya di situ Selepas seekor buaya berjaya ditembak mati, pihak berkuasa menemui cebisan tubuh mangsa dalam perut reptilia berkenaan. Kejadian semalam berlaku di Port Bradshaw, membabitkan budak dipercayai daripada suku asli tempatan. - TS"

'via Blog this'

Jurujual dirompak, dirogol

Kosmo! Online - Terkini:

KEMAMAN — Seorang jurujual berumur 18 tahun mengharungi pengalaman pahit setelah dirompak dan dirogol oleh seorang lelaki di Chukai, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa telah didatangi seorang lelaki bersenjatakan pisau yang terus mengacu dan mengugut semasa dia berada di bilik asrama pekerja yang disediakan majikan.
Mangsa yang ketakutan telah diikat kaki, tangannya pada katil serta mulut sebelum dirogol.
Lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 30-an itu kemudian melarikan sebuah komputer riba milik mangsa dengan membiarkan mangsa dalam keadaan terikat.
Kejadian itu hanya disedari rakan mangsa kira-kira dua jam kemudian dan mangsa terus membuat laporan polis dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumahnya selepas mendapatkan rawatan.
"Tiada kecederaan lain dilaporkan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang dipercayai berketurunan India,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz2DwHewBxf 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Laman web Iswami digodam

Kosmo! Online - Negara:


LAMAN web Iswami yang digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak tiga hari lalu.


KUALA LUMPUR - Laman web Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dikesan telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak tiga hari lalu.
Laman web berkenaan, http://iswami.org.my didapati tidak lagi berfungsi seperti biasa malah nama penggodam, TeguhMicro dapat dibaca dengan jelas di halaman utamanya.
Penggodam tersebut dipercayai merupakan peminat tegar pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia memandangkan terdapat cabaran yang berbunyi Dan besok Garuda akan menginjak Harimau Malaya dalam laman web itu.
Selain itu, turut dipaparkan adalah gambar Jalur Gemilang diiringi kata-kata provokasi terhadap rakyat negara ini seperti penggunaan perkataan Malingsia yang merupakan gabungan maling ataupun curi dan Malaysia.
Antara yang turut dipaparkan kata-kata semangat berbaur hasutan bagi mengajak rakyat negara jiran itu menghancurkan Malaysia.
Berikut adalah petikan hasutan yang dipaparkan tersebut:
Ketika harga diri telah terinjak
Dan penghormatan ibu pertiwi telah terkoyak
Dan seni budaya kian tenggelam
Akankah kita tetap terdiam?
Buka mata buka telinga
Singsingkan lengan kepalkan tangan
Bangunlah para pemuda bangsa
Mari melawan mari hancurkan!
Malaysia kelmarin mengesahkan kemaraan ke saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 setelah mengalahkan Indonesia 2-0 pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.
Kemenangan tersebut melayakkan Harimau Malaya ke pentas separuh akhir yang bakal menyaksikan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal akan menentang juara kumpulan A, Thailand pada 9 Disember ini.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi memberitahu, terdapat beberapa laman web tempatan telah dihentikan operasinya oleh pengendali masing-masing.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada laman-laman web berkenaan telah digodam ekoran kekalahan pasukan Indonesia itu.
"Kami masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar laman web tersebut dihentikan operasinya," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2DwAUNC5S 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Keluarga dakwa doktor cuai punca ibu koma

Kosmo! Online - Negara:



SUBRAMANIAM (kanan) bersama Maheswari menunjukkan salinan laporan polis berhubung kejadian yang menimpa Amardavalay di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Hasrat seorang suri rumah untuk bercuti bersama keluarga sempena cuti sekolah tidak kesampaian apabila wanita itu kini koma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) didakwa gara-gara kecuaian doktor.
P. Amardavalay, 52, dari Jalan Merdeka CAB Kuarters RG4, Bestari Jaya, Selangor disahkan koma oleh doktor dan peluang untuk hidup tipis.
Anaknya, S. Maheswari, 22, mendakwa, ibunya berkeadaan normal ketika dibawa ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan pada 27 November lalu kerana gastrik sebelum pegawai perubatan mengesahkan dia menghidap penyakit paru-paru berair, selesema teruk dan perlu diberi rawatan.
Maheswari mendakwa, doktor dan jururawat yang merawat ibunya cuai apabila memberi suntikan antibiotik yang menyebabkan alahan dan tidak sedarkan diri.
"Kami melawat ibu keesokan harinya dan terkejut apabila diberitahu ibu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi kerana koma akibat kerosakan otak dan hati," dakwanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2DvxWvwX8 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Nenek, cucu kempunan roti canai

Kosmo! Online - Negara:



ORANG ramai melihat kereta Proton Wira Aeroback yang tersadai di bahu jalan selepas terbabas di Kampung Kobah, Pendang semalam.


PENDANG – Hajat dua beradik kembar untuk menikmati roti canai bersama nenek tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Batu 13 3/4, Kampung Kobah di sini semalam.
Kemalangan pukul 8 pagi itu berlaku ketika tiga sekeluarga itu berjalan berpimpin tangan ke warung roti canai yang terletak 300 meter dari rumah mereka.
Sejurus tiga sekeluarga itu tiba berhampiran warung tersebut, mereka tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun.
Turut dirempuh kereta yang dipercayai dipandu laju itu ialah 10 buah motosikal di depan warung tersebut. Kereta itu turut dinaiki seorang gadis berusia 17 tahun. Bagaimanapun, pasangan itu tidak cedera.
Dua mangsa yang terbunuh ialah Munah Ismail, 64, dan cucunya, Syahrul Fitri Shahrul Anuar, 5. Kakak kembar Syahrul, Nurul Fitrah cedera parah di kepala manakala seorang lelaki yang berada di atas motosikal, Mhd. Jailani Abd. Rahman, 43, patah kaki kiri. Difahamkan Syahrul yang berjalan di sebelah kanan neneknya terperosok ke bawah kereta manakala Munah yang berjalan di tengah tercampak sejauh 10 meter.
Nurul Fitrah pula terpelanting dan terjatuh ke dalam lopak berair di tepi jalan di situ.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2Dvx8yNab 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

3 maut pada hari jadi kawan

Kosmo! Online - Negara:



SALAH satu jenazah seorang pelajar UniKL yang terkorban dalam kemalangan dituntut ahli keluarga di Rumah Mayat Hospital Serdang semalam.


SEPANG – Kegembiraan 11 pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk bergambar kenangan di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan sempena hari jadi seorang rakan bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Salak berhampiran Pekan Sungai Pelek dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi, tiga mangsa yang terbunuh ialah Muhammad Hilman Syafiq Kamaruzaman, 19, Ahmad Fikri Mohd. Salihudin, 21, dan Muhammad Izuanuddin Mohd. Ashari, 21.
Hilman dan Ahmad Fikri mati di tempat kejadian manakala Izuanuddin pula mati di Klinik Kesihatan Sungai Pelek akibat cedera di dada.
Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh merupakan pelajar tahun dua jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan (Pembinaan Mesin dan Penyelenggaraan) di UniKL kampus cawangan Tras Jernang, Bandar Baru Bangi.
Bagaimanapun, pemandu kereta itu, Mohammad Faizullah Malik cedera parah tetapi berada dalam keadaan stabil dirawat di Hospital Serdang.
Sebelum kemalangan, 11 pelajar UniKL itu berkonvoi dengan tiga buah kereta dari Putrajaya menuju ke Port Dickson bagi meraikan hari jadi salah seorang daripada mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2Dvwc8k5u 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Adik belasah abang sampai mati

Kosmo! Online - Negara:



SEBUAH rumah kelamin di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas inilah lokasi seorang remaja maut dibelasah oleh adiknya sendiri kelmarin.


GEORGE TOWN – Perkelahian dua beradik lelaki yang bermula dengan gurauan berakhir dengan tragedi apabila si abang maut akibat terkena tumbukan bertubi-tubi di belakang kepala oleh adiknya.
Kejadian pukul 8 malam kelmarin berlaku di ruang tamu kediaman kelamin warga tentera di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di sini menyebabkan mangsa, Muhamad Asyraf Muhamad Shukri, 17, cedera di kepala.
Asyraf yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh jiran disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik kepada seorang anggota tentera itu baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin lalu dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Tun Uda, Jalan Tengah di sini.
Suspek anak kedua yang berusia 16 tahun pula dikatakan hanya bersekolah hingga tingkatan tiga dan kini bekerja sambilan membantu seorang rakan berniaga di sebuah gerai burger di Sungai Ara.
Pertengkaran tersebut tercetus pada pukul 7 malam apabila suspek yang sedang bermain komputer riba tiba-tiba mengusik adik perempuannya yang berusia empat tahun yang ketika itu baru masuk ke rumah selepas bermain.
Si abang yang ketika itu sedang baring di atas sofa sambil menonton televisyen tiba-tiba bangun lalu marah suspek sebelum menendang adiknya itu di badan.
Si adik yang berang dengan tindakan abangnya terus menerkam dan menumbuk mangsa di bahagian kepala berkali-kali hingga mangsa rebah ke lantai lalu pengsan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2Dvw4SvWD 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Ditinggal berlumuran darah

Kosmo! Online - Negara:


Chow Siew ditinggal ah long dalam keadaan berlumuran darah di Jalan Tekun, Taman Maju, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan yang keluar bersarapan berdepan dengan detik-detik cemas apabila dia dilarikan oleh sekumpulan tiga ah long dengan sebuah kereta sebelum dibelasah dan ditikam di sebuah lorong di Jalan Tekun, Taman Maju Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Too Chow Siew, 50, juga ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Bagaimanapun, Chow Siew dapat diselamatkan setelah orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu terdengar jeritannya dan terus membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Dr. Hashim Haron, kejadian yang hampir meragut nyawa mangsa itu berpunca apabila ah long tersebut berang dengan mangsa yang tidak melangsaikan pinjaman yang dibuat.
“Mangsa telah dilarikan oleh tiga orang lelaki dengan sebuah kenderaan di hadapan rumahnya kira-kira pukul 9.30 pagi dan kemudian dia ditinggalkan selepas dipukul oleh ah long berkenaan pada pukul 12 tengah hari di sebuah lorong di Taman Maju Jaya.
“Ah long berkenaan dipercayai memburu mangsa selepas dia dipercayai menimbulkan kemarahan kumpulan itu kerana tidak membayar hutang yang dipinjam,” katanya kepada Kosmo!.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2DvvL3tuW 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Parah ditembak 4 das

Kosmo! Online - Negara:


WEK SHU yang parah menerima rawatan di Hospital Pakar Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Berpantang maut sebelum ajal.
Itu yang berlaku kepada seorang juruwang di sebuah kafe siber, Lew Wek Shu, 37, yang terselamat walaupun terkena empat das tembakan ketika cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan lelaki di Jalan Johar 4, Taman Desa Cemerlang di sini kelmarin.
Menceritakan semula kejadian pukul 10.15 malam itu, Wek Shu berkata, ketika itu dia yang sedang bekerja telah mendengar satu pertengkaran di tepi jalan berdekatan dengan premis tempatnya bekerja.
Tidak tahan mendengar pertengkaran tersebut yang berlarutan hampir setengah jam, dia memberanikan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.
Bagaimanapun, niat baik lelaki tersebut tidak disenangi apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.
"Disebabkan tak mahu panjangkan cerita, saya terus beredar dan tanpa saya sangka salah seorang ahli kumpulan itu melepaskan tembakan dan terkena di bahagian belakang badan saya.
"Seingat saya, selepas itu beberapa das tembakan dilepaskan lagi dan entah dari mana kekuatan saya dapat, saya berlari dan sempat duduk di kerusi.
"Ketika itu, saya lihat badan saya mula berlumuran darah dan anggota badan saya mula rasa sangat sakit sebelum saya jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Johor (HPJ) di sini semalam.
Empat tembakan terkena bahu kanan dan kiri, dada selain di bahagian belakang badan Wek Shu sementara lengannya mengalami sedikit kecederaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Dvui6Mhv 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Terowong di lebuh raya Jepun runtuh



KEPULAN asap menyelubungi kawasan di sekitar terowong itu.


TOKYO - Beberapa anggota penyelamat menemui lima mayat yang rentung selepas bumbung sebuah Terowong Sasago di lebuh raya Chuo, tengah Jepun runtuh semalam.
Mayat-mayat itu ditemui di dalam sebuah kereta.
Dua buah kereta remuk di dalam terowong tersebut.
Menurut laporan agensi berita Kyodo, beberapa pekerja penyelamat kini melakukan siasatan bagi memastikan jika terdapat mangsa lain yang terperangkap.
Terowong itu sepanjang 4.7 kilometer dan terletak di Otsuki, 80 kilometer ke barat Tokyo.
Kira-kira 150 kepingan siling yang setiap satu berukuran lima meter lebar, 1.2 meter panjang dan setebal lapan sentimeter serta berat 1.2 tan runtuh di dalam terowong tersebut.
Lebuh raya itu telah dibuka sejak 35 tahun lalu.
Rangkaian televisyen menunjukkan kepulan asap keluar dari terowong itu.
Tujuh orang dipercayai hilang manakala dua lagi cedera dan sekurang-kurangnya dua buah kereta juga terperangkap, kata seorang anggota bomba.
Seorang mangsa, Tomohiro Suzuki, 37, yang melalui kawasan berhampiran menceritakan detik-detik tragis itu.
Menurutnya, dia keluar dari kereta dan berlari ke arah sebuah kenderaan lain yang remuk akibat dihempap konkrit dengan tujuan untuk menyelamatkan penumpang kereta tersebut.
Suzuki berkata, dia kemudian menghubungi polis selepas mendapati amat mustahil untuknya melakukan kerja-kerja menyelamat.
Seorang lagi lelaki memberitahu agensi berita Jiji Press bahawa dia menyaksikan konkrit bumbung terowong itu menghempap sebuah kenderaan di depan matanya.

ASAP akibat kereta terbakar keluar dari terowong itu.


Menurutnya, dia mendengar bunyi suara orang meminta pertolongan dari celah-celah timbunan runtuhan sebelum seorang wanita keluar tanpa memakai kasut dengan pakaiannya koyak.
Wanita berkenaan meminta supaya semua rakan dan kekasihnya diselamatkan selepas kereta yang dinaikinya dihempap runtuhan itu.
Bagaimanapun, lelaki tersebut menyatakan, kereta yang dinaiki wanita yang terselamat itu terbakar.
Seorang wartawan, Yoshio Goto yang terperangkap dalam kemalangan itu berkata, dia sempat memecut kenderaannya dan berjaya keluar dari terowong itu.
Bagaimanapun, terdapat serpihan runtuhan yang menghempap kenderaannya.
"Saya kemudian melihat ke arah kenderaan saya dan mendapati separuh bumbungnya remuk," katanya.
Terowong Sasago yang melalui sebuah kawasan bukit tidak jauh dari Gunung Fuji merupakan salah sebuah terowong yang paling panjang di Jepun.
Ia merupakan kemalangan terburuk yang pernah berlaku di Jepun sejak tahun 1996, setelah sebuah terowong runtuh dan mengakibatkan 20 orang terbunuh.
Syarikat yang mengendalikan lebuh raya itu, Central Nippon Expressway menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian.
Menurut syarikat itu, pihaknya tidak menemui sebarang kecacatan semasa melakukan pemeriksaan pada Septembar lalu.
Presiden syarikat itu, Takekazu Kaneko meminta maaf berhubung kejadian itu pada sidang akhbar di Nagoya.
"Saya meminta maaf kerana menyebabkan kemalangan serius. Saya kini meletakkan keutamaan berhubung kerja-kerja menyelamat," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2DvsyHVtg 
Hakcipta terpelihara