Search This Blog

Saturday, December 1, 2012

Ajal bersama motosikal baru

Ajal bersama motosikal baru - Melaka & NS - Sinar Harian:

Ajal motosikal baru
Orang ramai mengerumuni motosikal mangsa yang remuk. Gambar kecil: Ahmad Roskarnain.
MELAKA - Kegembiraan seorang remaja menunggang motosikal baru dibeli Selasa lalu tidak bertahan lama apabila dia maut selepas kenderaannya itu merempuh belakang sebuah treler, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi di Lebuh AMJ, apabila mangsa, Ahmad Roskarnain Osman, 18, dikatakan tercampak dari motosikal Kawasaki Ninja RR, lalu meninggal dunia.

Mangsa yang menaiki motosikal dibelinya hasil mengumpul wang gaji selama tiga bulan dipercayai gagal memotong treler berkenaan ketika di kawasan berhampiran Taman Semabok Perdana.

Rakan mangsa, Ahmad Ridzuan Mohd Arifin, 19, berkata, dia dan mangsa yang bekerja sebagai pembantu sebuah kafe baru selesai membeli barang di Batu

Berendam dalam perjalanan untuk minum bersama rakan-rakannya.

“Kami berpakat untuk minum di sekitar Alai dan dia (mangsa) yang menunggang motosikal kira-kira 100 meter di depan saya.

“Ketika sampai di tempat kejadian, dia yang berada di belakang sebuah treler di laluan tengah cuba memintas, namun ada motosikal lain di sebelahnya menyebabkan mangsa melanggar belakang kenderaan berat itu sebelum tercampak,” katanya.

Ridzuan berkata, dia tidak menyangka kejadian menimpa mangsa yang ternyata gembira selepas memiliki motosikal baru hasil titik peluh sendiri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

'via Blog this'

Pemilik kedai rayu ringan hukuman

Pemilik kedai rayu ringan hukuman - Pahang - Sinar Harian:
KUANTAN - Seorang pemilik sebuah kedai video yang didakwa atas tuduhan memiliki 28 DVD pelbagai tajuk cetak rompak dalam rayuan hukumannya memberitahu mahkamah bahawa perniagaannya merosot berikutan lambakan filem Tamil dan Hindustan yang boleh ditonton secara percuma di internet.

N Kannan, 48, dari Lorong Mat Kilau di sini menjelaskan dia sudah menjalankan perniagaan itu secara kecilan sejak 16 tahun dan hanya bertumpu kepada filem dan lagu Tamil serta Hindustan sahaja.

“Pelanggan saya tidak ramai malah sejak kebelakangan ini, keuntungan yang diterima sekadar cukup untuk menampung makan minum kami sekeluarga,” katanya.

Berikutan itu, Kannan merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang paling minimum atas kesalahan yang dilakukan.

Dia yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki DVD tanpa Sijil Perakuan B dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Dalam rayuannya juga, tertuduh memberitahu mahkamah hanya dia seorang bekerja untuk menanggung keluarga manakala isterinya menghidap penyakit buah pinggang memerlukan RM1,000 sebulan untuk kos rawatan.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Majistret Nurunaim Abdullah membenarkan tertuduh menjelaskan denda minimum RM5,000 atau empat bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda yang ditetapkan.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari, sepasukan anggota polis membuat serbuan ke atas premis milik tertuduh di Jalan Tun Ismail kira-kira jam 12.30 malam, 30 Ogos lalu dalam operasi banteras VCD dan DVD cetak rompak.

Hasil pemeriksaan ke atas kedai tersebut, polis menemui dan merampas 28 DVD cetak rompak pelbagai tajuk dalam beg komputer riba yang diletakkan di kaunter pembayaran premis tersebut.
'via Blog this'

Dua gadis terbabit kes dadah

Dua gadis terbabit kes dadah - Terengganu - Sinar Harian:
MARANG – Dua remaja perempuan berumur 18 dan 22 tahun adalah antara 14 ditahan membabitkan kes dadah dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Marang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, kedua-dua remaja perempuan terbabit ditahan bersama dua lelaki, dipercayai teman lelaki masing-masing di dua rumah berasingan iaitu di Marang dan Bukit Payung.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di Marang, seorang remaja perempuan berumur 18 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berumur 19 tahun dan polis turut menemui serbuk kristal serta satu biji pil berwarna kemerah-merahan dipercayai dadah.

“Dalam serbuan berasingan, seorang lagi remaja perempuan berumur 22 tahun ditahan di Bukit Payung bersama seorang lelaki berumur 41 tahun di sebuah rumah dan menemui serbuk putih dipercayai dadah,” katanya.

Ahmad Mazlan berkata, polis berjaya merampas sebanyak 136 biji pil berwarna kemerah-merahan dan beberapa gram serbuk kristal serta serbuk berwarna putih dipercayai dadah selain beberapa gram ganja dalam operasi itu.

Menurutnya, tiga daripada suspek ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lapan daripada mereka disiasat mengikut Seksyen12(2) ADB 1952 dan dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Sementara itu, penahanan seorang lagi suspek mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan diteruskan bagi mengekang penyalahgunaan dadah,” katanya.
'via Blog this'

Dilanggar dalam keadaan gelap

Dilanggar dalam keadaan gelap - Kelantan - Sinar Harian:
Langgar dalam gelap
Pacuan empat roda remuk pada bahagian hadapan selepas merempuh lelaki kurang siuman, malam kelmarin.
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki kurang siuman cedera apabila terlibat kemalangan dengan pacuan empat roda di Culvert Lima, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Mangsa yang belum dikenali identiti itu mengalami patah kaki tangan, cedera pada kepala serta muka.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan di tengah- tengah laluan yang agak gelap berikutan tidak ada lampu di kawasan berkenaan.

Pemandu pacuan empat roda dikenali Khairul, 22, dari Perumahan LYK dekat sini berkata. ketika kejadian, dia dan seorang rakan berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke rumahnya yang hanya terletak beberapa meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat kelibat seorang lelaki di tengah–tengah jalan.

Katanya dia mengelak ke tepi jalan tetapi tidak berjaya lalu merempuh mangsa.

“Keadaan jalan agak gelap, sebaik sampai di tempat kejadian, saya nampak ada orang di tengah jalan, saya terus mengelak hingga ke tepi jalan tetapi tidak berjaya mengelak dari melanggar mangsa.

“Saya dengan rakan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Berikutan kejadian, pacuan empat roda Khairul rosak pada bahagian hadapan.

Sementara itu, Sumber Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang memaklumkan kepada Sinar Harian, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 10.35 malam.
Mangsa dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.'via Blog this'

Hilux terbalik elak kambing

Hilux terbalik elak kambing - Terengganu - Sinar Harian:

Hilux terbalik
Salah seorang penumpang yang cedera dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Hilux terbalik
Keadaan kenderaan pacuan empat roda dipandu Roseli selepas mengelak haiwan ternakan yang melintas.
MARANG – Seorang pemandu dan empat penumpang berdepan detik mencemaskan apabila pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terbalik selepas mengelak kambing yang melintas di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini, semalam.

Kejadian di Gong Balai kira-kira 7.30 pagi itu, menyebabkan tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak yang sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu, Kelantan itu cedera manakala pemandu dan seorang lagi penumpang terselamat.

Pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Roseli Ismail, 53, ketika ditemui berkata, kejadian berlaku apabila dia cuba mengelak beberapa ekor kambing yang melintas dari kanan ke kiri jalan, tetapi gagal untuk mengawal kenderaan selepas itu.

Menurutnya, kejadian menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu terbabas ke kiri jalan lalu merempuh sebatang pokok dan terbalik, sebelum kesemua mereka dikeluarkan dari kenderaan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

“Kami jarang melalui laluan ini kerana biasanya mengikut laluan Jerangau Jabor di Dungun tetapi kerana sudah lama tidak ke Bandaraya Kuala Terengganu saya mengambil keputusan untuk mengikut laluan ini untuk ke Kota Bharu, Kelantan.

“Masa kenderaan ini terbalik, kami dikeluarkan orang ramai yang berada di tempat kejadian dan mangsa yang cedera dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,” katanya.

Roseli yang kemudiannya membuat laporan polis mengenai kemalangan yang menimpa mereka di Balai Polis Merchang di sini berkata, kesemua penumpang termasuk kanak-kanak itu adalah ahli keluarga penumpang yang merupakan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

'via Blog this'

'Melekat' pada besi

'Melekat' pada besi - Semasa - Sinar Harian:

'Melekat' pada besi
Mangsa maut serta-merta di tempat kejadian.
BALAKONG – Seorang pemandu lori mati ‘melekat’ di besi pembahagi jalan selepas terbabas ketika menunggang motosikal di Kilometer 0.2 Jalan Balakong-Seri Kembangan di sini, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa S Subramaniam,48, dikatakan baru pulang dari tempat kerja di Balakong ke rumahnya di Taman Sungai Besi Indah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang sendirian dipercayai gagal mengawal motosikal ditungganginya.

Menurutnya, motosikal mangsa kemudian melanggar konkrit pembahagi jalan menyebabkan kepalanya terhentak di besi pengadang jalan.

“Mangsa yang beralamat di pangsapuri Sungai Besi Indah itu maut serta-merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Abd Razak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

'via Blog this'

Gagal cuba pecah mesin ATM di Pasir Mas

Gagal cuba pecah mesin ATM di Pasir Mas - Kelantan - Sinar Harian:
PASIR MAS - Sekumpulan penyamun gagal melarikan wang dari mesin juruwang automatik (ATM) milik Agrobank di Jalan Tendong di sini pagi tadi apabila disedari orang awam.

Seorang penduduk yang terdengar bunyi bising dan melihat kejadian itu telah bertindak menghubungi polis hingga menyebabkan para penyamun melarikan diri dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu.

"Penyamun dipercayai cuba memecahkan satu daripada tiga mesin ATM di situ pada pukul 5.30 pagi tadi. Pada pukul 6.50 pagi, seorang penduduk yang menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi bising bertindak menghubungi pihak polis," kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim di tempat kejadian.

Sebuah kereta peronda polis dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata penyamun berjaya mengumpil sebahagian daripada mesin ATM, namun gagal membuka bahagian simpanan wang.

Polis turut menemui beberapa peralatan di tempat kejadian termasuk gunting, kapak dan kuku kambing, bagaimanapun pemotong besi gas oksigen sempat dibawa lari mereka.

"Penyamun juga merosakkan kamera litar tertutup yang dipasang di dalam premis tersebut. Kita masih menyiasat jumlah sebenar penjenayah yang terlibat," katanya.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999. - Bernama
'via Blog this'

Pelajar mati lemas ketika mandi di Pantai Senok, Bachok

Pelajar mati lemas ketika mandi di Pantai Senok, Bachok - Kelantan - Sinar Harian: "BACHOK - Seorang pelajar mati lemas manakala tiga rakannya sempat diselamatkan ketika mandi di kawasan Pantai Senok di sini hari ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 25 pelajar yang mandi di pantai itu pada kira-kira 3.40 petang.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Mat Lazim Ismail berkata, mayat Mohd Fikri Ramli, 23, dijumpai orang awam yang mencari mangsa pada kira-kira 4 petang selepas dilaporkan hilang.

Tiga rakan mangsa yang turut lemas bagaimanapun sempat diselamatkan orang awam yang melihat mereka dalam keadaan tenggelam timbul dilambung ombak, katanya kepada Bernama.

Mereka berasal dari Kota Baharu dan berkelah di pantai itu sempena musim cuti sekolah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebelum dituntut keluarga. - Bernama

"

'via Blog this'

Diserang sawan sebelum kemalangan

Diserang sawan sebelum kemalangan - Melaka & NS - Sinar Harian:

Sawan kemalangan
Kereta dipandu mangsa remuk. Gambar kecil: Fairuz Zahir
SEREMBAN - Akibat diserang penyakit sawan semasa memandu, seorang pekerja syarikat menjual peralatan elektrik dan kelengkapan rumah terlibat dalam kemalangan berdekatan lampu isyarat di hadapan Hentian Bas dan Teksi Terminal One, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, Mohd Mahadir Abd Kadir, 34, keluar dari pejabat atas urusan kerja.

Saksi kejadian yang juga rakan mangsa, Fairuz Zahir Faizal, 35, berkata, mangsa sedang memandu dari tempat kerja menghala ke arah Seremban 2, namun kereta dipandu hilang kawalan apabila mangsa diserang penyakit sawan secara mengejut.

“Akibatnya, kereta dipandu mangsa termasuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lagi kenderaan jenis Mercedes,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Fairuz Zahir berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa pitam apabila kepalanya terhantuk pada cermin hadapan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk rawatan lanjut. Manakala pemandu kereta Mercedes itu tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali kerosakan pada kenderaannya," katanya.

'via Blog this'

Dua rakan karib bersemadi dalam satu liang lahad

Dua rakan karib bersemadi dalam satu liang lahad - Semasa - Sinar Harian: "KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak cuba untuk membantu kawannya yang tergelincir ke dalam sungai, namun dia sendiri turut dihanyut arus deras Sungai Durian di sini petang semalam.
  
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Muhammad Zarrin Mohd Amin, 8, dikatakan cuba untuk membantu rakannya Muhammad Abdul Latif Alias, 6, yang tergelincir ke dalam sungai.
  
Namun kedua-duanya dihanyut arus deras.
  
Kedua-duanya sempat diselamatkan penduduk kampung kira-kira 30 meter daripada tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai, bagaimanapun mereka meninggal dunia pada 7 malam.
  
Adik kepada Muhammad Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, yang melihat kejadian itu berkata abangnya cuba untuk membantu Muhammad Abdul Latif yang terjatuh ke dalam sungai, namun abangnya juga dihanyut arus deras.
 
"Zarrin nak tolong bila Latif jatuh, tetapi dia hanyut juga. Bila nampak dua-dua hanyut, saya terus berlari ke kawasan pondok (tempat berehat) untuk minta tolong," katanya.
  
Jenazah dua rakan karib yang tinggal berjiran itu dikebumikan di dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Pondok Sungai Durian kira-kira 9.30 pagi tadi.  - Bernama"

'via Blog this'

Porsche hangus dalam kebakaran di Petaling Jaya

Porsche hangus dalam kebakaran di Petaling Jaya - Semasa - Sinar Harian:

Porsche hangus
Kereta jenis Porsche yang turut musnah dalam kebakaran yang melibatkan dua biji rumah di Seksyen 1 hari ini. Punca kejadian masih lagi disiasat - Foto Bernama
PETALING JAYA - Sebuah kereta Porsche turut hangus dalam kebakaran yang melibatkan dua buah rumah satu tingkat di Jalan 1/4, Seksyen 1, Petaling Jaya pagi tadi.
  
Kereta tersebut yang terletak di halaman salah sebuah rumah tidak dapat diselamatkan kerana pemiliknya tidak berada di rumah ketika kejadian kira-kira 10.35 pagi itu.
  
"Ketika bomba tiba, api sedang marak di kedua-dua rumah yang terletak bersebelahan itu," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hashim Mat Yasih.
   
Beliau berkata api dipercayai bermula dari salah sebuah rumah tersebut sebelum merebak ke rumah satu lagi. - Bernama

'via Blog this'

5 sekeluarga maut nahas MPV-lori di Mersing

5 sekeluarga maut nahas MPV-lori di Mersing - Semasa - Sinar Harian:
MERSING - Lima sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila kereta Nissan Grand Livina yang mereka naiki bertembung sebuah lori tangki di Kilometer 13 Jalan Endau-Mersing di sini hari ini.

Empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian iaitu pemandu kereta Abdullah M.Yusof, 43, isterinya, Samsiah Maidin, 37, anak mereka Muhammad Aiman Syakirin, 8, dan Maisarah, 4.

Kakak ipar Abdullah, Noraini Maidin, 41, meninggal dunia di Hospital Mersing manakala seorang lagi anaknya, Amar Haziq, 3 cedera dan menerima rawatan di hospital tersebut.

Ketua Polis Daerah Mersing DSP Mohd Nor Rasid berkata kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi apabila kenderaan pelbagai guna yang dinaiki keluarga malang itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung lori tangki tersebut.

Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Felda Air Tawar 5 ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang untuk menghantar adik Samsiah, Muhammad Hakimi Maidin, 18, mendaftar masuk ke universiti itu.

"Mereka berkonvoi dua kereta. Kereta yang dinaiki Muhammad Hakimi bersama ayah dan ibunya, Maidin Mohamad, 66, dan Minah Ismail, 60, sudah jauh di hadapan ketika kejadian," katanya.

Beliau juga berkata pemandu lori, Azhar Mohd Othman, 29, tidak cedera dan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
'via Blog this'

1 maut, 8 cedera kemalangan lebuh raya dekat Gopeng

1 maut, 8 cedera kemalangan lebuh raya dekat Gopeng - Semasa - Sinar Harian: "GOPENG - Seorang penumpang kereta maut apabila kenderaan dinaikinya dirempuh bas di Kilometer 293.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar Gopeng, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.48 pagi itu, kereta dinaiki pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman, berusia 21 tahun, dikatakan hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan dilorong kanan sebelum dirempuh bas yang dinaiki 31 penumpang.

Bas itu menghala ke Kuala Lumpur ketika kejadian.

Dalam kejadian itu, bas berkenaaan terbalik memasuki longkang di kiri jalan menyebabkan empat  penumpang bas cedera ringan manakala empat penumpang kereta cedera parah.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dapatkan rawatan."

'via Blog this'

Kanak-kanak 6 tahun diajak 'berkhatan' sebelum dirogol

Kanak-kanak 6 tahun diajak 'berkhatan' sebelum dirogol - Semasa - Sinar Harian: "BAGAN SERAI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tidak menyangka ajakan jiran berusia 13 tahun untuk bermain 'khatan' olok-olok menyebabkannya dirogol di bilik air rumah suspek di Batu 4, Jalan Selama di sini pada 24 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian antara jam 4 hingga 5 petang itu, mangsa tinggal seorang diri di rumahnya sebelum dipelawa suspek untuk diajak 'berkhatan'.

Menurutnya, mangsa terpedaya dengan ajakan suspek bertindak mengikutnya sehingga ke bilik air rumah suspek sebelum dirogol.

"Kejadian terbongkar apabila kanak-kanak perempuan itu mengadu mengalami kesakitan di bahagian kemaluan kepada ibunya pada malam kejadian selepas mendakwa 'dikhatankan' jiran sebelah rumah.

"Keluarga kanak-kanak perempuan itu terus membawa mangsa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan dirogol oleh doktor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini."

'via Blog this'

Bunuh rakan, tiga dihukum gantung

Kosmo! Online - Negara:




MELAKA - Tiga sahabat yang didapati bersalah membunuh rakan mereka di Semabok dua tahun lalu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Seorang lagi tertuduh, merupakan remaja bawah umur ketika kejadian diperintahkan menjalani hukuman penjara sehingga satu tempoh yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Ahmadi Asnawi menjatuhi hukuman tersebut terhadap tertuduh-tertuduh iaitu Chua Kim Hock, 21; Lim Chin Aun, 18; Yeo Chee Teong, 23, dan remaja berusia 17 tahun selepas mendapati keempat-empat tertuduh bersalah membunuh rakan mereka, Yap Wai Seng (gambar), 18.
Kesemua tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati melainkan pesalah juvana yang dihukum di bawah Seksyen 29(2) Akta Kanak-kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh dengan niat bersama didapati membunuh Wai Seng di Jalan Johor, Semabok pada pukul 11.45 malam, 11 Mac 2010.
Kosmo! pada 13 Mac 2010 melaporkan tembelang empat lelaki yang menyembunyikan mayat di dalam sebuah kereta untuk dilupuskan terbongkar apabila kesemua mereka ditahan ketika cuba mengelak satu sekatan jalan di Jalan Tun Rzak, Ayer Keroh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2Ds1aqMNf 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Disimbah asid selepas merogol

Kosmo! Online - Negara:


GEORGE TOWN - Seorang remaja lelaki melecur di kedua-dua belah paha berdekatan kemaluannya akibat disimbah sejenis cecair disyaki asid oleh sekumpulan lelaki selepas didakwa memperkosa seorang kenalan Facebook di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini minggu lalu.
Sebelum kejadian pada pukul 10 malam kelmarin, pemuda berusia 18 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di pusat bandar ini sebelum dihampiri lebih tiga pemuda dipercayai ahli keluarga mangsa rogol yang dipercayai marah dengan perbuatan mangsa.
Ketika dihampiri kumpulan pemuda berkenaan, mangsa tidak sempat melarikan diri menyebabkan kedua-dua pahanya melecur 20 peratus akibat disimbah cecair dipercayai asid yang belum diketahui jenisnya.
Kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam susulan seorang gadis berusia 16 tahun didakwa diperkosa remaja terbabit dalam sebuah tandas pasar raya di pusat bandar pada Rabu minggu lepas.
Difahamkan lelaki dan gadis berkenaan berkenalan di laman sosial Facebook beberapa bulan lalu sebelum berjumpa di pasar raya berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, ekoran kejadian itu polis sehingga semalam sudah menahan enam suspek termasuk ahli keluarga gadis yang menjadi mangsa rogol di beberapa lokasi di sini.
Menurut beliau, sebelum ini polis menerima laporan daripada gadis terbabit yang mendakwa dirogol di sebuah pusat beli-belah oleh seorang lelaki yang dikenali menerusi laman Facebook.
Mohd. Nasir memberitahu, polis turut menahan mangsa disimbah asid itu bagi membantu siasatan berhubung kes rogol.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2Ds18fxgG 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Tiada kesan dera pada amah

Kosmo! Online - Negara:


KERATAN Kosmo! semalam.


PETALING JAYA - Polis semalam memberitahu pihaknya tidak menemui sebarang kesan dera pada badan seorang amah yang mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah kondominium di Kota Damansara di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, laporan bedah siasat hanya mengesahkan kecederaan mangsa sepadan dengan kecederaan orang yang jatuh dari tempat tinggi.
Sehubungan itu katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut selepas tidak menemui sebarang bukti jenayah.
"Siasatan mendapati mangsa cuba melarikan diri kerana tidak menyukai pekerjaannya. Mangsa baru sebulan bekerja dengan majikannya.
"Keterangan majikan juga sudah diambil dan kita masih menyiasat lebih lanjut mengenai kejadian itu," katanya pada sidang akhbar di sini.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang amah dikenali sebagai Sukini, 30-an, dari Kalumpang, Sulawesi ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan kondominium berkenaan pada pukul 11 pagi.
Sebelum kejadian, Sukini didakwa telah menulis empat nota kepada seorang pekerja kedai dobi meminta supaya dia diselamatkan selepas tidak tahan dimaki hamun majikannya yang berketurunan Cina.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2Ds0QpsXO 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Hangus angkara khianat

Kosmo! Online - Negara:



SEBAHAGIAN daripada 11 buah motosikal yang hangus terbakar disyaki angkara perbuatan khianat di Kajang semalam.


KAJANG – Malang menimpa 11 pemilik motosikal apabila kenderaan milik mereka itu hangus terbakar disyaki angkara perbuatan khianat pihak tertentu di Pangsapuri Kos Rendah Taman Tasik, Sungai Chua di sini semalam.
Kejadian yang menggemparkan kira-kira 200 penduduk itu disedari pada pukul 3.10 pagi selepas sebahagian mereka ternampak motosikal yang diletakkan di tingkat bawah bangunan sembilan tingkat tersebut terbakar.
Salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Khalil, 46, memberitahu, dia terjaga sebaik terdengar bunyi letupan sebelum disusuli api yang membakar kesemua motosikal yang diletakkan di situ.
Dakwanya, kebanyakan penghuni pangsapuri tersebut merupakan warga asing dan mereka sering berkumpul pada waktu malam untuk tujuan tertentu.
Bagaimanapun, pada malam kejadian, dia tidak melihat warga asing tersebut berkumpul dan membuat kecoh.
“Tidak lama kemudian, rata-rata penghuni turun tetapi hanya mampu melihat motosikal itu hangus dijilat api yang marak dalam sekelip mata.
“Walaupun api tidak merebak ke rumah namun, jelaga dan asap tebal masuk ke kediaman kami menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan modal untuk membersihkannya pula,” ceritanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi mangsa memberitahu, dia kerugian lebih RM2,000 apabila motosikal jenis Honda miliknya hangus.
“Susahlah saya hendak ke tempat kerja selepas ini kerana saya hanya ada sebuah motosikal sahaja,” katanya yang percaya kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul memberitahu, sebaik api dipadamkan 30 minit kemudian, pihaknya mendapati sebanyak 11 buah motosikal hangus.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut 435 Kanun keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api. Setakat semalam, tiada tangkapan dibuat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2DrzSjt5e 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Ibu Asyraf terkejut lelaki pukul anaknya dilepas

Kosmo! Online - Negara:


KUALA LUMPUR - Ibu pelajar yang diserang dan dirompak semasa rusuhan di London, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 21, terkejut apabila mengetahui dua lelaki yang didapati bersalah menyerang anaknya dilepaskan oleh mahkamah.
Maznah Abu Mansor, 48, berkata, dia tidak dapat mengulas isu tersebut kerana belum mendapat maklumat lanjut mengenainya.
"Saya tidak mahu buat apa-apa andaian. Tentu mahkamah ada alasan mengapa keputusan membebaskan mereka diambil," katanya ketika dihubungi di Bandar Baru Ampang dekat sini semalam.
Katanya, Asyraf berada dalam keadaan baik dan kini sibuk dengan pengajian tahun tiga bidang perakaunan di Kaplan College, London.
Tambahnya, dia tidak pasti anaknya tahu tentang keputusan mahkamah tersebut.
"Saya akan hubungi dia hujung minggu ini kerana saya tidak mahu ganggu dia sekarang sebab dia sibuk dengan kuliah," tambahnya.
Mahkamah Rayuan Britain kelmarin menggugurkan sabitan terhadap dua lelaki yang sebelum ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah rendah kerana merompak Asyraf pada 8 Ogos tahun lalu ketika rusuhan di kota London.
John Kafunda, 23, dari Ilford dan Reece Donovan, 25, dari Romford dibebaskan selepas mereka membuat rayuan berhubung keputusan Hakim James Patrick di Mahkamah Mahkota Wood Green pada Mac lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2DrywsCsR 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Dua penjenayah London dibebas tanpa alasan

Kosmo! Online - Negara:


KAFUNDA (kiri) dan Donovan (kanan) selepas dibebaskan daripada sabitan kesalahan merompak dan mencederakan Asyraf (gambar kecil) di London kelmarin.


LONDON - Mahkamah Rayuan Britain kelmarin menggugurkan sabitan terhadap dua lelaki yang sebelum ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah rendah kerana merompak pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 21, pada 8 Ogos tahun lalu ketika rusuhan di sini, menurut beberapa laporan.
John Kafunda, 23, dari Ilford dan Reece Donovan, 25, dari Romford dibebaskan selepas mereka membuat rayuan berhubung keputusan Hakim James Patrick di Mahkamah Mahkota Wood Green pada Mac lalu.
Ekoran keputusan itu, Kafunda dihukum penjara empat tahun dan tiga bulan manakala Donovan dihukum lima tahun penjara kerana turut merompak pasar raya Tesco.
Mereka dikesan merompak dan melakukan perbuatan ganas terhadap Asyraf menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Imej yang menunjukkan dua lelaki menyerang Asyraf di Barking, timur London telah ditonton berjuta-juta orang di laman YouTube.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan, Adrian Bruce Fulford dan Michael Bean memutuskan untuk membebaskan Kafunda dan Donovan secara terbuka walaupun pendengaran kes itu diadakan secara tertutup.
Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British, kedua-dua hakim itu akan memberitahu alasan mereka membebaskan penyerang Asyraf itu pada tarikh lain.
Ketika kejadian, Asyraf baru tiba sebulan di Britain untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan.
Dalam imej itu, Kafunda berpura-pura membantu Asyraf yang cedera di muka setelah ditumbuk seorang lagi perusuh, Beau Isagba, 17, sebelum mencuri basikal miliknya.
Isagba dihukum penjara tujuh tahun kerana menumbuk dan mencuri basikal Asyraf.
Semasa kejadian, Asyraf dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk berbuka puasa.
Bagaimanapun, ketika Kafunda berpura-pura membantu Asyraf, Donovan mencuri alat Sony Playstation dan 10 permainan bernilai RM1,519 dari dalam beg mangsa.
Rusuhan itu berpunca daripada bantahan penduduk kulit hitam terhadap kematian suspek penjenayah, Mark Duggan, 29, yang ditembak polis.
Sebelum ini, Kafunda dan Donovan menafikan mereka adalah lelaki dalam rakaman CCTV tersebut.
Semasa perbicaraan berlangsung, Kafunda memberitahu, dia sejuta peratus pasti lelaki dalam CCTV bukan dirinya.
Sementara itu, pihak pendakwa raya tidak akan mengemukakan permohonan perbicaraan semula ekoran keputusan itu.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut berkaitan dua saksi pendakwa yang identiti mereka tidak didedahkan semasa perbicaraan berlangsung Mac lalu.
"Permohonan kami untuk kedua-dua saksi tersebut (memberi keterangan) dalam perbicaraan telah dibenarkan oleh hakim. Saksi-saksi berkenaan enggan memberikan bukti jika permohonan untuk melindungi identiti tidak diberikan.
"Mahkamah Rayuan telah menggugurkan sabitan tersebut disebabkan (hakim mahkamah lebih rendah) membenarkan permohonan tersebut (melindungi identiti saksi)," katanya.
Asyraf mengalami kecederaan teruk sehingga mengakibatkan plat dan pin logam rahangnya termasuk dimasukkan di mukanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2DrySrBVz 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'