Search This Blog

Thursday, November 29, 2012

2 polis nafi rompak berkumpulan

SHAH ALAM: Dua anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua jurujual sehingga menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM2,400, di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, Robin Anak Imbal dan Muhammed Fitri Mad Salleh, kedua-duanya berusia 28 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin. Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa merompak Lim Poh Wah, 29, dan Tan Keh Chin, 27, di No 53,55, Restoran Century Court, Jalan Perepat 27/95, Seksyen 27, di sini, kira-kira jam 4 petang pada 14 November lalu.


Pada kejadian itu, mereka didakwa melarikan pelbagai barangan peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit dan wang tunai RM1,250 milik kedua-dua mangsa.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 memandangkan kedua-dua tertuduh adalah penjawat awam.


Bagaimanapun, Robin memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga dan isterinya kini hamil anak kedua yang dijangka lahir pada Mei tahun depan.


Muhammed Fitri pula memberi alasan menanggung tiga anak, manakala isterinya tidak bekerja.

Kedua-duanya yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras itu turut berjanji akan lebih berhati-hati apabila melakukan tugasan pada masa hadapan.


Asmadi kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 setiap seorang.

Beliau turut memerintahkan mereka melapor diri pada Isnin pertama setiap bulan di tempat mereka bertugas.


Selain itu, beliau menetapkan kes itu akan disebut semula pada 28 Disember depan.

Naik mahkamah lepas balik haji





Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
         
SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat yang baru pulang dari menunaikan haji kelmarin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tiga pertuduhan menawarkan skim pelaburan ternakan lintah di Kuala Selangor, antara Jun 2008 dan Disember 2009.

Tertuduh, Abdul Rahim Mohd Amin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikatnya, Hidayyah Management & Services Sdn Bhd didakwa menawarkan Skim Pulangan Balik Ternakan Lintah kepada orang awam, sedangkan ia bukan syarikat yang menjalankan perniagaan jual beli saham.

Abdul Rahim turut didakwa sebagai pengarah menyebabkan syarikatnya menawarkan skim terbabit.


Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 365(3) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM250,000, jika sabit kesalahan.

Tukang masak miliki motor curi dijel 6 bulan

PETALING JAYA: Gara-gara memiliki motosikal curi tiga bulan lalu, seorang tukang masak dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nazri Omran menjatuhkan hukuman itu terhadap Ping Chee Wei, 24, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.


Nazri turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 28 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Ping didakwa memiliki motosikal curi milik Wong Kien Tak, 20, di hadapan Restoran Seng Kee, Jalan Keris, Taman Sri Tebrau, Johor Bahru Selatan, Johor pada 8 malam, 29 Ogos lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, peguam Azry Ahmad dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor, memohon mahkamah agar hukuman ringan dijatuhkan terhadap anak guamnya kerana dia sebatang kara selain berpendapatan rendah.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya memohon agar hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh.


Sementara itu, di mahkamah sama, seorang bekas penghantar surat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang ejen insurans wanita, minggu lalu.

Mohd Nor Azizi Mohd Yazid, 21, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap wanita berkenaan, di sebuah syarikat insurans di Puchong, pada 11.57 pagi, 19 November lalu.


Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Siti Fatimah menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.


Bagaimanapun, peguam Esther Tan yang mewakili Mohd Nor Azizi memohon mahkamah agar memberi jaminan yang munasabah kerana anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarganya.


“Mohon mahkamah kurangkan wang jaminan kerana isteri anak guam saya yang juga seorang suri rumah hanya membawa RM2,000 untuk menjaminnya,” katanya.


Nazri membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.

‘Anak saya lapar’





Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
         
SEREMBAN: “Saya menyesal dan terdesak melakukan jenayah itu (culik) berikutan ketika kejadian, anak saya menangis tidak berhenti-henti kerana lapar,” kata pembantu kedai makan, Rose Azrool Mohd Arshad, semalam ketika merayu hukuman ringan selepas mengaku bersalah bagi empat tuduhan iaitu menculik tiga kanak-kanak lelaki serta mencuri kereta, Khamis lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh bagaimanapun, menjatuhkan hukuman empat tahun penjara terhadapnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mendengar impak keterangan mangsa mengikut peruntukan Seksyen 183 (A) Kanun Acara Jenayah dengan memanggil ibu tiga kanak-kanak itu, Norhayati Shahimi, 42, untuk memberi keterangan.

“Saya suri rumah yang menghantar dan mengambil anak di sekolah. Berikutan kejadian ini (culik), saya kini tidak lagi berani memandu kereta, malah anak berusia tiga tahun setiap malam menjerit ‘nak balik rumah ibu’ kerana trauma.


“Selain itu, anak lelaki yang berusia 12 tahun sehingga kini menyalahkan dirinya kerana tidak melawan menyebabkan adiknya dilarikan. Begitu juga anak bongsu berusia 11 bulan yang tidak siapa pun dapat memegangnya kerana takut,” katanya memberitahu mahkamah.

Polis cari lelaki berbadan gempal

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bertubuh gempal kini dikehendaki polis Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Seksual Wanita dan Penderaan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersabit satu kes di Cheras.

Suspek berusia 50 tahun itu diminta hadir di mana-mana balai polis.


Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Hawa Karim di talian 013-9751713 atau 03-21460689 dan 03-21460522 sambungan 584/585.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Narkotik IPK Kuala Lumpur meminta tiga saksi utama bersabit satu kes Cheras untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah (1), Kuala Lumpur.


Mereka ialah Megallah Krisnan (790506-08-5152), Sujithran Deendran (971310-08-6351) dan Yogaprriyatarshini Devendran (950904-08-5174).


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Kumbat Anak Tan di talian 013-8944360 atau 03-21460522 dan di talian 03-21460522 sambungan 584/585.

Penuntut dicabul ketika tunggu teksi

PETALING JAYA: Seorang penuntut sebuah kolej swasta dicabul sekumpulan 10 lelaki bermotosikal selepas wang tunai dan telefon bimbit miliknya dianggarkan bernilai RM3,000 dilarikan ketika sedang menunggu teksi di Kota Damansara di sini , Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, wanita berusia 21 tahun itu yang sedang menunggu teksi berhampiran stesen minyak terkejut selepas lima motosikal ditunggang 10 lelaki tidak dikenali mengepungnya.


Menurut sumber, mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri namun gagal dan dihalang mereka malah tiga daripada lelaki terbabit turut menghampirinya dengan bersenjatakan parang meminta dia menyerahkan barangan berharga.

Katanya, mangsa yang bimbang dicederakan akur dan menyerahkan beg tangan berisi wang tunai serta telefon bimbit. Malah dia juga merayu supaya tidak dicederakan.


“Sangkaan mangsa sebaik mereka mendapat barangan berharga itu, lelaki terbabit akan beredar namun sebaliknya berlaku apabila mereka meraba badannya menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan.


“Panik dengan jeritan mangsa, kumpulan lelaki terbabit terus melarikan diri meninggalkan mangsa yang berada dalam keadaan trauma. Orang ramai yang menyedari kejadian itu datang membantu dan menenangkan mangsa,” katanya.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Damansara untuk tindakan selanjutnya.

4 penjenayah ganas diburu





Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Polis memburu sekumpulan empat penjenayah ganas yang bukan saja menyamun sebuah pusat urutan refleksologi di Setapak di sini awal pagi Ahad lalu, malah turut menetak telinga penjaga premis hingga hampir putus serta merogol dua tukang urut warga asing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata aksi kejam keempat-empat suspek terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan beberapa wajah suspek turut dirakam dengan jelas ketika memasuki pusat urut terbabit.
Menurutnya, semua suspek datang ke pusat urut berkenaan dengan menaiki motosikal dan sebaik masuk ke dalam premis mereka terus menyerang penjaga premis dengan parang serta menggugut mangsa supaya menyerahkan wang tunai selain barang berharga.

“Berdasarkan rakaman CCTV, kita percaya kegiatan samun dan rogol itu dilakukan empat lelaki tempatan berusia 20-an dengan bersenjatakan parang.



“Ketika kejadian, dua lelaki penjaga premis dan dua wanita warga asing tukang urut berada di premis berkenaan, semua suspek bukan setakat menyamun, malah mencederakan serta merogol mangsa.

Rempah kari terbakar lapan jam

BEHRANG: Sekumpulan 10 anggota bomba dan penyelamat ‘diuji’ lebih lapan jam apabila dipaksa bertungkus-lumus memadam kebakaran sebuah treler bermuatan serbuk kari, di sini, malam kelmarin.

Lebih menyukarkan, anggota berkenaan terpaksa berdepan beberapa kesulitan apabila rempah kari seberat 17 tan milik sebuah syarikat rempah ratus terkemuka negara itu sukar dipadam dengan air selain serbuk kari berkenaan berterbangan di ruang udara dan memasuki mata serta bau kari yang mengganggu pernafasan.


Kesukaran itu menyebabkan usaha memadam kebakaran gagal dikawal sehingga ia mengambil masa lebih lapan jam untuk dipadam sepenuhnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam di Kilometer 386.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara itu, treler berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Selayang, Selangor menuju ke Ipoh sebelum tayar belakang kenderaan itu meletup dan terbakar.


Bagaimanapun, pemandu treler terbabit berjaya memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum memisahkan kepala treler dengan muatan bagi mengelak kebakaran lebih teruk.


Difahamkan, api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi semalam, namun beberapa petugas Plus masih membersihkan kawasan berkenaan termasuk memindahkan serbuk kari itu ke dalam lori dan berjaya dipindahkan sepenuhnya kira-kira jam 2.30 petang.


Anggota bomba juga terpaksa berulang-alik lebih 10 kali bagi mendapatkan bekalan air mencukupi bagi memadam kebakaran itu sebelum ia dapat dikawal.


Kelindan treler berkenaan, S Rammurthy, 29, berkata dia dan pemandu dikenali P Mohandass, 22, terpaksa memberhentikan kenderaan selepas dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah belakang lori sebelum mendapati bahagian tayar terbakar dan merebak ke muatan.

Menurutnya, tanpa membuang masa, dia memisahkan kepala treler dan menghubungi bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan.


“Sebelum bomba tiba, kami cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api yang dibawa, tetapi tidak berjaya mengawal keadaan berikutan api marak dengan cepat.


“Usaha itu turut dibantu beberapa pemandu lori lain serta pengguna jalan raya yang prihatin dengan kejadian itu, namun tetap gagal dipadam dan sukar dikawal,” katanya ketika ditemui selepas kejadian itu.


Katanya, dia bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri, namun mengakui trauma dengan kejadian itu kerana ia hampir meragut nyawanya serta rakan sekerjanya itu.


Rammurthy berkata, dia bersama Mohandass memulakan perjalanan kira-kira jam 9.00 malam dari Selayang dan tidak menyangka akan terbabit dengan kejadian itu.


Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Tanjung Malim ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan 11.15 malam kelmarin sebelum tiba di lokasi kejadian 11.35 bersama jentera termasuk lima anggota dari balai bomba dan penyelamat Slim River.

SMS daripada pencabul





Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
         
KAJANG: “Sya (saya) sempat ambk (ambil) pic (gambar) awk (awak) ngah (tengah) tdo (tidur) ngan (dengan) kwn (kawan) awk (awak) 2 (itu).

“...smlm (semalam) sya (saya) brng (baring) tgh2 (tengah-tengah) pat (tempat) awk (awak) tdo (tidur)... sya (saya) pn (pun) msukn (masukkan) tgn (tangan) kt (dekat) dlm (dalam) slimut (selimut) awk (awak) ngan (dengan) kwn (kawan) awk (awak) 2 (itu).
“...cbe (cuba) awk (awak) tgk (tengok) kt (dekat) tilam sblh (sebelah) awak tido (tidur) 2 (itu) ada x (tidak) kesan air ... yg (yang),”.

Itu antara kandungan kiriman SMS bernada bangga yang dihantar seorang penyamun kepada seorang daripada dua mangsanya selepas melarikan barangan berharga selain mencabul mereka dalam kejadian di sebuah rumah di Kajang Sentral, di sini, Isnin lalu.


Kejadian itu hanya disedari dua pelajar berusia 19 tahun itu jam 12.30 tengah hari apabila seorang daripada mereka menerima kiriman SMS itu sebaik selesai membuat laporan kehilangan barang di Balai Polis Kajang, di sini, selepas rumah mereka dipecah masuk.

Peragut tolak mangsa hingga terima 4 jahitan

KUALA LUMPUR: Dua peragut bertindak ganas mengejar seorang wanita dengan motosikal sebelum menolaknya hingga terjatuh dan cedera di kepala hanya kerana berang selepas mangsa membuang beg tangan berisi wang tunai sebanyak RM70 miliknya ke dalam kawasan kediaman jiran di Sri Petaling, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Hooi, 57, terpaksa berjalan beberapa meter dalam keadaan terhuyung-hayang dengan kepala berlumuran darah pulang ke rumahnya sebelum dia dihantar anaknya ke hospital dan terpaksa menerima empat jahitan.


Menceritakan semula kejadian itu, Hooi berkata, dia yang sering keluar pada waktu pagi untuk berjoging terkejut apabila melihat dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menyebabkan dia cuba melarikan diri.

Menurutnya, dia turut membuang beg tangan dibawanya ke dalam kawasan rumah jiran sebelum melarikan diri.


“Tindakan saya itu menyebabkan mereka marah lalu mengejar hingga ke kawasan lorong gelap di tepi kediaman jiran sebelum menolak saya hingga terjatuh dan kepala terhentak ke jalan bertar.


“Kejadian itu menyebabkan kepala saya berlumuran darah dan dalam keadaan kesakitan, saya cuba melihat beg tangan yang dibuang itu namun ia sudah tiada,” katanya.

Hooi berkata, dia berjalan pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada anaknya.


“Anak saya kemudian terus membawa saya ke klinik. Akibat kejadian itu saya terpaksa menerima empat jahitan di kepala. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku itu adalah kali kedua kerana dua tahun lalu, dia pernah diragut menyebabkan rantai lehernya dilarikan namun tidak mengalami kecederaan.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Az-Lee Abdullah mengesahkan menerima laporan. dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta sedang membuat pengesanan suspek.

Pesakit jiwa curi keranda

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
       
SEREMBAN: Seorang lelaki yang terjaga, pada awal pagi semalam kerana terdengar bunyi bising di dapur rumahnya di Temiang di sini, hampir pengsan apabila mendapati bunyi itu adalah tolakan pengusung beroda bermuat keranda dicuri anak lelakinya yang sakit mental.

Sumber berkata, warga emas berusia 70-an itu tersedar daripada tidur jam 4 pagi apabila mendengar bunyi bising yang disangkanya penjenayah mahu memecah masuk rumah.
Bagaimanapun menurutnya, lelaki itu terkejut dan hampir pengsan apabila mendapati anak lelakinya berusia 50-an yang mengalami masalah mental sedang menolak keranda menggunakan pengusung beroda untuk diletak di dapur.

“Warga emas itu tidak menyangka anaknya sanggup mencuri keranda dan membawa balik ke rumah dari kedai keranda di Jalan Kapitan Tam Yeong dengan menolak pengusung itu seorang diri.


“Dia memarahi anaknya yang bertindak keluar dari rumah sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya serta meminta bantuan Pegawai Khidmat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang, Jason Lee.

Cekup 2 lelaki sedut diesel

PERIKSA...Abdul Wahab (kanan) bersama penguat kuasa PDNKK melihat lori terbabit yang diubah suai.
PERIKSA...Abdul Wahab (kanan) bersama penguat kuasa PDNKK melihat lori terbabit yang diubah suai.
PUTRAJAYA: Sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) cawangan Sepang menggagalkan penyelewengan 6,000 liter diesel bersubsidi selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori 10 tan di sebuah stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, malam kelmarin.
Ketua Cawangan PDNKK Sepang, Abdul Wahab Satar berkata, dalam operasi pemantauan pada jam 11 malam itu penguat kuasa mendapati diesel bersubsidi dimuatkan di dalam sebuah tangki besar yang diubah suai pada lori terbabit.

“Pemeriksaan itu dilakukan selepas penguat kuasa melihat dua lelaki dengan sebuah lori di stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi dalam keadaan mencurigakan. “Ketika itu, dua lelaki terbabit sudah mengisi diesel RM500 di stesen minyak berkenaan. Diesel dipam masuk dalam tangki, kemudian disedut menggunakan alat pengepam ke dalam tangki diubah suai. Tangki itu dipercayai boleh menampung sehingga 8,000 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. Abdul Wahab berkata, lori dan diesel itu yang dianggarkan bernilai RM57,000 disita manakala dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1976 iaitu memiliki barangan kawalan (diesel bersubsidi) dengan tujuan melakukan kesalahan. Menurutnya, jika didapati bersalah suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Tetapi, jika kesalahan kedua, dendanya sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mengulas modus operandi pihak terbabit, katanya, mereka bergerak dari satu stesen ke stesen minyak lain menggunakan lori diubah suai untuk membuat pembelian diesel dalam kuantiti banyak pada harga subsidi RM1.80 seliter.

“Diesel dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM2 hingga RM2.50 seliter,” katanya. Sementara itu, katanya, sepanjang 11 bulan tahun ini pihaknya sudah menahan empat lori diubah suai atas kesalahan dan modus operandi sama dengan nilai rampasan berjumlah RM115, 000.

“Penyelewengan seperti ini memberi keuntungan lumayan kepada pihak terbabit dan satu kerugian besar kepada kerajaan,” katanya.

Kren terbakar, jatuh atas bumbung universiti

SYDNEY: Beberapa pekerja binaan dan pelajar nyaris maut apabila sebuah kren terbakar sebelum terhempas ke atas bumbung Universiti Teknologi Sydney, semalam.

Menurut akhbar Guardian, pemandu kren berjaya menyelamatkan diri.
Tiada yang cedera akibat kemalangan itu, tetapi beratus-ratus orang terpaksa dikeluarkan dari bangunan berdekatan.

Kebakaran itu berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu Sydney dan kesatuan pembinaan mengesyaki ia disebabkan kebocoran minyak diesel, lapor siaran berita Australia, 7News.



Lalulintas di kawasan itu ditutup untuk kira-kira lima jam antara Jalan Wattle dan Jalan Harris untuk bomba memadamkan kebakaran.


Pada kira-kira jam 5.30 petang, pegawai polis penyelamat dan jurutera berjaya naik ke puncak kren selepas ahli bomba berjaya menstabilkannya menggunakan laser untuk memastikan pergerakan struktur itu.

Polis Eropah tumpas kumpulan seludup pendatang Iran

THE HAGUE: Polis berjaya tumpas rangkaian utama penyeludupan manusia dari Iran ke Eropah di mana mereka diberi dokumen palsu untuk perjalanan ke Britain atau Kanada, kata Europol (Polis Eropah), semalam.

Badan polis terbesar di Eropah itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari ibu pejabatnya di The Hague berkata, “Sebelas suspek diberkas pada awal pagi Isnin di Sepanyol dan tujuh di Britain.”
Dua puluh suspek lagi ditahan dalam “Operasi Marlo” yang dilakukan oleh Polis Sepanyol pada Ogos 2011 dan juga melibatkan Agensi Sempadan Britain. Operasi itu disokong oleh Europol.

Kumpulan itu, yang beroperasi luar Sepanyol, dikatakan meminta jumlah wang yang besar daripada pendatang Iran, sehingga 18,000 euro (RM70,874) sebelum menyeludup mereka ke Turki dengan kereta dan kemudian melintasi sempadan ke Greek.


“Mereka mengambil kesempatan meneruskan perjalanan secara bebas ke negara Kesatuan Eropah lain,” kata Europol. - AFP

Dibunuh sebab muzik

MIAMI: Seorang remaja di Florida, ditembak mati oleh lelaki yang beberapa minit sebelum itu telah meminta mangsa dan rakannya mengurangkan bunyi muzik dari stereo kereta mereka, kata pegawai polis, semalam.

Leftenan Rob Schoonover dari Jabatan Sheriff berkata, Jordan Davis, 17, ditembak sekurang-kurangnya dua kali oleh Michael Dunn, seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun yang ditahan selepas kejadian Jumaat lalu di Jacksonville.
Kejadian itu berlaku apabila Dunn, seorang lelaki berkulit putih, berdepan dengan Davis, seorang lelaki kulit hitam dan memberitahunya bunyi muzik dari kereta SUV remaja itu, terlalu kuat.

“Jordan dan Dunn bertengkar dan Dunn mengeluarkan senjata api dan menembak lapan atau sembilan kali dan peluru mengenai tubuh Jordan dua kali. Tiada mangsa lain cedera,” kata Schoonover.


Tiada senjata api lain ditemui dalam SUV itu.


Teman wanita Dunn membeli-belah di kedai berdekatan ketika kejadian itu berlaku.

Dunn ke situ untuk menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya.

Dia meninggalkan tempat kejadian dan kembali ke hotelnya tetapi polis berjaya menjejaki Dunn melalui rakaman kamera litar tertutup.

Bapa mangsa, Ron Davis memberitahu rangkaian televisyen tempatan, dia mahu keadilan ditegakkan, “tidak kira sama ada melalui sistem perundangan” atau Tuhan.

“Tuhan akan menghukum perbuatannya, jadi saya takkan buat apa-apa terhadapnya,” kata Davis kepada saluran televisyen WAWS.

Februari lalu, masalah perkauman memuncak di Florida apabila seorang remaja kulit hitam tidak bersenjata, Trayvon Martin, ditembak mati oleh seorang penyelaras kejiranan Hispanik, George Zimmerman. - AFP

3 wanita warga emas maut dirempuh treler

CHAIYAPHUM (Thailand): Polis sedang mengesan seorang pemandu treler di mana kenderaannya menaiki laluan kaki lima dan membunuh tiga wanita tua yang menunggu untuk melintas jalan.

Tiga warga emas itu terbunuh di jalan raya bertentangan dengan sebuah kuil di tambon Chaturas.


Polis menemui mayat mereka bergelimpangan di seberang simpang di mana nahas berlaku, semalam.

Menurut saksi, treler 10 roda itu menaiki kaki lima dan terus merempuh tiga wanita terbabit yang menunggu untuk melintas jalan. Ketiga-tiganya dalam perjalanan ke kuil untuk upacara keagamaan pada waktu pagi. Saksi berkata, treler terbabit dipandu laju dan pemandunya hilang kawalan sebelum terbabas menaiki laluan kaki lima itu.


Polis merujuk kepada bukti nahas melalui kamera pengawasan di kawasan itu dan sedang menjejaki pemandu treler terbabit yang melarikan diri selepas nahas. - BP

Mogok drebar bas China di Singapura berakhir

SINGAPURA: Mogok pekerja pertama selepas 26 tahun kian berakhir di republik ini semalam apabila kebanyakan pemandu bas dari China yang berhenti bekerja untuk menuntut gaji lebih tinggi melaporkan diri untuk bertugas.

Operator pengangkutan kerajaan, SMRT berkata, hanya enam pemandu gagal tampil pada syif pagi berbanding jumlah keseluruhan 171 pada Isnin lalu. Syarikat juga sedang menyiasat mengapa mereka tidak hadir.


Pemandu dari China yang tidak menganggotai kesatuan sekerja dan tidak mengeluarkan pengisytiharan mogok memberitahu wartawan, mereka membantah diskriminasi bayaran gaji kerana rakan sejawat mereka dari Malaysia mendapat gaji lebih tinggi untuk pekerjaan sama. Kerajaan mengsiytiharkan tindakan mogok itu sebagai haram dan mendorong polis melakukan siasatan.

Mogok dan bentuk tindakan industri jarang berlaku di Singapura, di mana kesatuan sekerja saling bekerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta menjadikan bandar raya pelabuhan itu tempat yang menarik untuk pelabur asing.


Mogok terakhir di Singapura berlaku pada 1986, kata Menteri Tenaga Kerja.


Mogok adalah haram kepada pekerja “khidmat penting” seperti pengangkutan kecuali mereka memberi notis 14 hari sebelum mengadakan mogok dan perlu menepati syarat lain. Hukuman melakukan mogok haram adalah denda hingga Sg$2,000 (RM4,990) atau penjara maksimum selama setahun atau kedua-duanya sekali. Mogok itu bermula apabila pemandu China enggan menaiki bas ulang-alik dari asrama mereka ke stesen berhampiran Isnin lalu. Media tempatan melaporkan sesetengah pemandu tidak menyedari mereka melanggar undang-undang Singapura. - ST

Muka tertusuk pemutar skru

BEIJING: Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas sebatang pemutar skru tertusuk pada mukanya.

Jiali dari Tianshui di wilayah Gansu, jatuh tersembam pada pemutar skru yang dipegangnya ketika melawat neneknya hingga menyebabkan alat itu menembusi hidungnya hingga ke soket mata.
Dia bernasib baik kerana pemutar berkenaan tidak terkena otaknya.

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke hospital. Pakar perubatan melakukan beberapa siri imbasan sinar-X bagi memastikan dia tidak mengalami kecederaan berkekalan.


Pemutar berkenaan tertusuk begitu kuat dan berhampiran otaknya hingga menyebabkan doktor pada mulanya tidak pasti sama ada boleh menariknya keluar tanpa menyebabkan kecederaan serius berpanjangan pada Jiali.


Jiali dibawa ke hospital tempatan tetapi dipindahkan dua kali kerana kakitangan merasakan mereka tidak dapat menangani kes itu.

Satu sumber berkata: “Ada kebimbangan pemutar skru itu tidak dapat dicabut dengan selamat. Dua hospital pertama tidak dapat memikirkan tindakan yang perlu dilakukan. Mereka tidak pernah berdepan dengan kes seperti itu sebelum ini.”

Bagaimanapun, ketua pakar bedah di hospital ketiga, Yu Qin mampu melakukannya kerana pernah berdepan dengan kes sama. - TS

14 kilogram ganja ditinggalkan di lot parkir

BANGKOK: Polis menemui 14 kilogram ganja dalam beg plastik ditinggalkan di lot parkir dekat kelab lumba kuda Bangkok dan mengesyaki ia sebagai lokasi penghantaran dadah.

Seorang pengawal keselamatan berkata, dia ternampak kereta sedan berwarna gangsa diparkir di tempat itu, di mana dadah berkenaan ditemui. “Kereta itu berhenti betul-betul di tempat itu. Seorang lelaki keluar dan meletakkan plastik beg berkenaan sebelum meninggalkan tempat itu secara tergesa-gesa,” katanya kepada polis. Menurutnya, dia bimbang jika barang itu adalah bom lalu menghubungi polis. Polis mengesyaki kawasan itu sebagai lokasi di mana pengedar menghantar dadah. - BP

Siswa maut rempuh garaj



         
ALOR GAJAH: “Saya sangka rumah berdekatan dilanda ribut sebelum terkejut melihat tempat letak kenderaan runtuh menghempap dua motosikal dan sebuah kereta Proton Perdana kami,” kata Shamsul Abdul, 42, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pagar batu dan garaj serta tiga kenderaan di rumah lelaki itu di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, dekat sini.


Difahamkan, mangsa, Muhammad Nadzrin Mohd Sahar, 19, yang memandu Proton Waja bersendirian dari Masjid Tanah ke Kuala Sungai Baru, sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh pagar rumah terbabit.

Akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan.


Menurut Shamsul, ketika kejadian dia sekeluarga tidur sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat diselangi deruan bumbung runtuh.


“Saya bergegas keluar dan melihat timbunan bumbung garaj memenuhi pintu depan rumah menghempap tiga kenderaan yang diletakkan di bawahnya.

“ Saya tersentak melihat ada mangsa terperangkap di tempat duduk pemandu dan beberapa penduduk berusaha mengeluarkannya,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penguasa Bomba Kanan II Roshaizad Rabu berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan awam pada jam 3.30 pagi.


“Sejurus lima anggota dan sebuah jentera tiba, mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan badannya berlipat serta tersepit akibat kedudukan kereta berkenaan yang terbalik dengan empat tayar ke atas.

“Kami menggunakan alat pemotong besi untuk menanggalkan pintu bahagian pemandu yang remuk teruk dan mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang parah,” katanya.

Nenek GRO dicekup di bar

TAHAN...dua wanita warga emas dicekup kerana disyaki berkelakuan tidak bermoral di sebuah pusat hiburan.
TAHAN...dua wanita warga emas dicekup kerana disyaki berkelakuan tidak bermoral di sebuah pusat hiburan.
BUTTERWORTH : Seorang nenek tiga cucu memberi alasan kesempitan wang sehingga terpaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ketika ditahan pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di Taman Chai Leng, Perai, di sini. kelmarin.
Nenek berusia 59 tahun itu ditahan sepasukan 15 penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi cegah maksiat di beberapa lokasi pusat hiburan berkonsepkan ‘bar korek’, pada jam 11 malam.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman berkata, ketika pemeriksaan di sebuah bilik kecil tidak bernombor di belakang premis itu, pihaknya menemui wanita terbabit bersama seorang rakan lingkungan 50-an sedang duduk dan disyaki menunggu pelanggan di pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati, kedua-dua mereka beragama Islam dan bekerja di premis berkenaan.


Katanya, kedua-dua mereka kemudian diberitahu kesalahan dan ditahan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Butterworth untuk diambil keterangan diri.

Culik sebab anak kelaparan, tiada wang




KERATAN Kosmo! 24 November 2012.


SEREMBAN - Kehabisan wang, terdesak, anak kelaparan serta hilang kawalan merupakan alasan yang dibuat seorang bekas pekerja kedai makan di Mahkamah Majistret di sini semalam ketika mengaku salah atas tuduhan menculik tiga kanak-kanak dan melarikan sebuah kereta dekat Senawang 22 November lalu.
Rose Azrool Mohd. Arshad, 34, dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan atas kedua-dua kesalahan tersebut bermula dari tarikh tangkapan oleh Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
"Saya mengaku salah. Saya bertindak demikian kerana terdesak, kehabisan duit, anak di rumah kelaparan dan hilang kawalan. Saya mohon mahkamah meringankan hukuman," rayunya.
Bagaimanapun Mohamad Izwan menegaskan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tertuduh melakukan jenayah.
"Cara awak salah. Melakukan jenayah bukan menghalalkan cara," tegasnya.
Mengikut pertuduhan, Rose Azrool didakwa menculik tiga beradik iaitu Muhammad Hazimi Khairul Anwar, 12, Muhammad Hanif, 3, dan Muhammad Haziq, 1, dari jagaan Norhayati Shahimi, 42 pada pukul 2.20 petang di hadapan pasar mini di Taman Desa Dahlia dekat Senawang di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mencuri kereta jenis Proton Wira nombor pendaftaran KAH 4537 milik Khairul Anwar Zakaria di tempat, hari dan masa yang sama mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda.
Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita menghadapi debaran hampir tiga jam apabila anak lelakinya yang berusia tiga tahun hilang bersama kereta Proton Wira miliknya yang ditinggalkan dalam keadaan enjin dihidupkan berhampiran sebuah pasar mini di Taman Desa Dahlia.
Suspek kemudian ditahan dalam sekatan jalan di Labu di sini tidak lama kemudian.

Kepala koyak main gelongsor air




SHARINA menunjukkan kesan luka di kepala anaknya, Muhammad Aiman selepas mendakwa terjatuh ketika mandi-manda di sebuah taman tema air di Melaka 20 November lalu.


KANGAR – Keseronokan seorang pelajar mandi-manda di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, Melaka bertukar menjadi igauan buruk ketika bermain salah satu gelongsor air di situ.
Akibat kejadian itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, Muhammad Aiman Afzal Suhaizam, 14, mengalami pendarahan otak dan tempurung kepalanya retak selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira empat meter dari permainan gelongsor air boomerang dalam kejadian 20 November lalu.
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Sharina Wahab, 39, mendakwa, dalam kejadian itu, kepala anaknya terhantuk sehingga terpaksa menerima 30 jahitan selain lebam di lutut, tangan dan tengkuk.
Dakwanya, anaknya pergi ke situ selepas mengikuti percutian selama empat hari anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis melibatkan rombongan kira-kira 80 orang terdiri daripada pelajar dan guru bermula 19 November lalu.
“Kejadian disebabkan kecuaian petugas yang menyelia permainan gelongsor tersebut apabila dia melepaskan Aiman dalam keadaan berpusing-pusing sehingga anak saya terpelanting keluar.
“Ekoran itu, Aiman terjatuh ke lantai konkrit dari ketinggian empat meter menyebabkan kepala anak saya terhantuk selain kesan lebam di lutut, tangan dan tengkuk sehingga menerima 30 jahitan,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini semalam.
Dakwanya lagi, sebelum itu, Aiman telah meminta penyelia terbabit supaya tidak memusingkan pelampung yang dinaiki namun tidak diendahkan.
Menurut Sharina, dia kini resah dan risau apabila doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat anaknya memaklumkan yang Aiman bakal mengalami simptom pening dan sakit kepala seumur hidup.
“Kini anak saya sering mengantuk selain lesu setiap kali bangun tidur dan keadaan itu telah mengubah kehidupan anak saya yang sebelum ini ceria,” dakwanya.
Ujar Sharina, apa yang dikesalkan pihak taman rema air tersebut dan JPN Perlis mendiamkan diri selepas kejadian itu.
Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa ketika dihubungi menyatakan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.
Dalam pada itu di Melaka, jurucakap taman tema tersebut memberitahu, pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk tindakan lanjut.
“Kami telah menyediakan ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka sebaik kejadian sebelum dia dirujuk ke HKL.
“Kes ini pertama kali berlaku sejak kami mula beroperasi pada 15 Mei 2010,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kejadian mungkin berlaku apabila posisi badan mangsa yang ketika itu menggunakan pelampung tidak stabil sehingga dia tercampak keluar.

Tawan pelajar bahana hutang



ANGGOTA polis mengelilingi suspek (dalam bulatan) yang menjadikan Wan Nor Hayati sebagai tebusan di Samarahan kelmarin.


SAMARAHAN – Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menghadapi detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dijadikan tebusan selama sejam oleh seorang lelaki Indonesia yang menghadapi masalah hutang kelmarin.
Kejadian pukul 5.15 petang berhampiran Koperasi Kolej Cempaka, kampus tersebut di sini itu menyebabkan Wan Nor Hayati Wan Mahmud, 22, dari Kelantan trauma apabila diacu pisat lipat oleh suspek.
Bagaimanapun, pelajar tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dengan Kepujian (Pengurusan Seni) universiti tersebut tidak dicederakan.
Polis yang tiba sebaik menerima maklumat kemudian telah membuat rundingan dengan suspek sebelum lelaki itu bersetuju melepaskan mangsa.
Difahamkan, suspek dari Lempur Danau, Jambi Indonesia berusia 30 tahun tersebut datang ke negara ini pada Sabtu lalu untuk mencari pekerjaan.
Sebaik tiba di Kuching, suspek telah tinggal di rumah kongsi bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di dalam kawasan kampus tersebut.
Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah menerima panggilan dari kampung mengatakan anak dan isterinya telah ditahan dan diugut ah long kerana hutang yang dibuatnya.
Suspek yang berang apabila majikan tidak mengizinkannya pulang kemudian nekad menggunakan jalan mudah untuk dihantar pulang dengan menjadikan mangsa sebagai tebusan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan berkata, semasa menahan mangsa, suspek memberitahu pelajar itu supaya ‘jangan bimbang saya takkan cederakan kamu, panggil polis saya banyak lakukan dosa.’

SITI NURFARAWAHIDA (kanan) menunjukkan bagaimana suspek mengacukan pisau ke leher Wan Nor Hayati.


Katanya, sebaik tiba, pihaknya tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan suspek menyerah diri dan melepaskan tebusan.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan suspek berbuat demikian kerana masalah keluarga di kampungnya.
“Kita juga percaya suspek berbuat demikian untuk mendapat perhatian polis supaya dihantar pulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zulkifli, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.
Sementara itu, Wan Noor Hayati memberitahu, dia tidak dapat melupakan saat-saat cemas ketika ditawan selama sejam.
Katanya, sebelum kejadian, dia sedang berjalan bersama rakan, Siti Nurfarawahida Abdul Rahim, 22, untuk ke kelas sebelum suspek menerpa dari belakang.
“Saya cuba leraikan pelukan lelaki tersebut dengan cara memukul menggunakan payung tetapi bukan sahaja gagal malah, pelukan itu semakin kuat. Ketika itu saya hanya memikirkan mengenai nyawa saya melayang,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu yang masih trauma ekoran kejadian tersebut.
Tambahnya, dia ada bertanya mengapa dia dijadikan sasaran tetapi suspek tidak menjawab. Dia bagaimanapun bersyukur apabila dilepaskan sebaik polis tiba.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unimas, Mohd. Fadzil Abd. Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga mangsa.

Maut ditimpa durian 2 kilogram




ZAINAL menunjukkan buah durian yang menimpa anak sulungnya sambil diperhatikan Samimi.


NIBONG TEBAL – Seorang bayi lelaki berusia sebulan maut apabila dihempap sebiji durian seberat dua kilogram yang luruh ketika berada dalam dukungan ibunya di belakang rumah sewa mereka di Kampung Badak Mati, Jawi dekat sini kelmarin.
Muhd. Yusuf Zainal disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB) pada pukul 5 petang akibat kecederaan parah di kepala.
Sejam sebelum disahkan meninggal dunia, durian kampung tersebut luruh dari sebatang pokok setinggi 13 meter yang tumbuh bersebelahan dengan ampaian tempat ibu mangsa, Samimi Kasmin, 40-an, menjemur pakaian.
Samimi merupakan seorang warga Indonesia manakala suaminya, Zainal Abedin, 46, merupakan rakyat Bangladesh dan bekerja sebagai buruh binaan di Permatang Tinggi.
Kedua-dua pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 2010 dan menetap di rumah papan itu sejak berkahwin.
MUHD. YUSUF menemui ajal selepas kepalanya ditimpa durian kampung seberat dua kilogram di Nibong Tebal kelmarin.


Mengimbau semula kejadian itu, Samimi memberitahu, sebelum kejadian dia sedang mengangkat pakaian di ampaian dan mendengar tangisan Muhd. Yusuf yang ketika itu sedang tidur di buaian di dalam rumah.
“Saya kemudian masuk lalu mendukungnya sebelum meneruskan semula kerja mengangkat pakaian. Tanpa disangka, sebiji durian tiba-tiba luruh lalu terkena kepala dia dan tangan kiri saya,” ceritanya ketika ditemui di HSB di sini.
Tambahnya, dia kemudian cemas apabila mendapati Muhd. Yusuf terus terdiam dan tidak sedarkan diri sebelum menjerit dan memanggil jiran untuk membawa anaknya ke HSB. Ketika itu suaminya keluar bekerja.
Sementara itu, Zainal berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu namun enggan mengulas lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.