Search This Blog

Wednesday, November 28, 2012

Van bertembung kereta



SYAMILAH ZULKIFLI
28 November 2012
Van rempuh Waja
Van dipandu mangsa remuk akibat bertembung dengan Proton Waja.
NILAI – Seorang lelaki maut selepas van dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja dalam kemalangan di Batu 6 Jalan Sikamat Lama, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 petang itu, Eng Boon Hong, 58, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang memandu berseorangan dalam perjalanan dari arah Pantai, di sini menuju ke Sikamat dipercayai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru Sikamat.

“Bagaimanapun, sebaik sampai di lokasi kejadian, van dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, kenderaan mangsa bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja di laluan terbabit. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya, pemandu Proton Waja terbabit yang berusia lingkungan 30-an bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Finalis ratu cantik Mexico mati ditembak



28 November 2012
Maria Susana Flores Gamez
Maria Susana Flores Gamez
CULIACAN - Finalis ratu cantik Mexico maut ditembak ketika melarikan diri daripada pertembungan antara tentera dengan kumpulan kartel dadah ketika dalam perjalanan di utara negara itu, kelmarin.

Ketua Pendawa Raya Sinaloa, Marco Antonio Higuera berkata, mayat Maria Susana Flores Gamez, 20, ditemui di tepi jalan sebuah perkampungan di pinggir gunung dengan satu tembakan di badannya.

“Dia bersama kumpulan penjenayah berkenaan tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada dia terbabit dalam pertempuran dengan anggota tentera tersebut,” katanya.

Menurutnya, Flores Gamez dipercayai dalam perjalanan ke destinasi yang tidak diketahui sebelum bertembung dengan tentera lalu berlaku aksi kejar-mengejar dan tembak-menembak.

Beliau berkata, dua lagi anggota kumpulan berkenaan juga mati ditembak, manakala empat yang lain ditahan.

Flores Gamez dinobatkan sebagai Wanita Sinaloa pada 2012 dalam pertandingan ratu cantik yang diadakan pada Februari lalu, namun tewas diperingkat akhir. - AP

Kepala pecah dipijak gajah



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 November 2012
KLUANG - Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya pecah dipijak gajah di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Orang Asli Punan, Mersing di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa, Toh Sam Yit, 79, ditemui penduduk dalam keadaan mengerikan sebelum anaknya membawa mendiang ke Balai Polis Kahang.

Anak sulung mangsa, Toh Sin Ming, 51, berkata, pada mulanya ayahnya ingin menziarahi abangnya yang sakit di hospital Singapura, namun bertukar fikiran lantas menuju ke kebun kelapa sawitnya.

Menurutnya, ayahnya masuk ke kebun sawit tersebut bersama cucunya, Toh Wee Kee, 14 untuk melakukan pemeriksaan berikutan gajah dikesan menceroboh kebunnya dua hari lalu.

“Apabila tiba di kebun, dia meninggalkan cucunya di rumah kebun untuk lihat ternakan ayam dan itik sebelum bergerak ke kebun sawit kira-kira jam 6.15 petang,” katanya ketika ditemui di kediaman bapanya di Jalan Koko 1, Taman Lian Seng, di sini, semalam.

Sin Ming berkata, menjelang senja, Wee Kee bimbang kerana datuknya tidak kelihatan lalu terus menghubungi bapanya.

“Tidak sampai 30 minit mencari, akhirnya mereka menemui bapa dalam keadaan terlantar tidak bernyawa dan cedera parah di sebelah kanan kepala,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Cedera ringan kereta terbalik



MOHD AZLIM ZAINURY (019 939 1370 / 019 939 125)
28 November 2012
Kereta terbalik
Keadaan kereta dipandu Noraini yang terbalik di Kelulut.
MARANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang wanita yang baru sebulan mendirikan rumah tangga apabila terselamat selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas lalu terbalik di Kelulut di sini, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Noraini Ismail, 28, hanya mengalami kecederaan ringan meskipun Perodua Kancil dipandunya remuk.

Adik mangsa, Mohd Rudi Ismail, 23, berkata, kakaknya itu baru berkahwin pada 30 Oktober lalu, memandu bersendirian dan dipercayai dalam perjalanan ke kedai berdekatan.

“Dia kemudiannya dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan lanjut selepas dikeluarkan dari kenderaan.

"Bagaimanapun saya difahamkan dia tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, Noraini ketika dihubungi selepas kejadian bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Wang gaji habis di mesin judi



M. FEISAL NORAWI (019-9886381 / 019-9886226)
28 November 2012
Gaji mesin judi
Ketua Polis Balai Mentakab, Inspektor Rizal Md Dan menunjukkan beberapa mesin judi internet dirampas dalam beberapa operasi di Mentakab, sebelum ini
TEMERLOH – Orang ramai menggesa penguatkuasaan bersepadu dilakukan jabatan kerajaan untuk mengekang kehadiran premis haram menyediakan mesin slot judi di sekitar Temerloh dan Mentakab.

Keadaan itu berikutan premis tersebut bukan sahaja terdapat dalam kawasan bandaran, malahan perumahan sehingga berlaku banyak gejala sosial dan keruntuhan rumah tangga.

Suri rumah, Junaidah (bukan nama sebenar), 39, berkata, operasi mesin judi di Mentakab dan Temerloh sejak lebih dua bulan lalu sukar dibendung.

Malah katanya, terdapat kes di mana gaji kakitangan kerajaan dihabiskan di premis tersebut gara-gara ketagih selain cuba mendapatkan semula pelaburan mereka yang gagal.

“Ada juga kes di mana duit susu anak digunakan untuk berjudi dan sewa rumah tidak berbayar, malah suami kerap balik lewat malam,” katanya.

Junaidah berkata, walaupun polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerap mengadakan operasi untuk merampas peralatan digunakan pihak berkenaan, tetapi kegiatan itu tetap tidak dapat dibanteras sepenuhnya.

“Kalau sebelah pagi dirampas, petang nanti premis itu beroperasi semula dengan mesin-mesin baru. Mereka terlalu banyak stok sehingga mampu beroperasi semula dalam tempoh satu hari.

“Saya cadang operasi bersepadu babitkan jabatan kerajaan seperti polis, PBT, Tenaga Nasional Berhad, pejabat agama dan semua pihak terbabit secara serentak serta menyeluruh. Ini semua kerja baik. Kita banteras judi dunia akhirat supaya diredai ALLAH. Saya harap sangat ada tindakan begitu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke beberapa premis di Mentakab mendapati masih banyak premis menjalankan aktiviti perjudian walaupun kerap diserbu polis.

Polis selamatkan 6 tebusan



AZMAN CHE MAN (019-9391097 / 019-9391077)
28 November 2012
6 tebusan
Bapa pemilik salun berusia 68 tahun dan pekerja salun yang dijadikan tebusan menunjukkan rakaman CCTV kejadian mereka ditahan seorang penjenayah.
Cubaan samun
Kejadian cubaan samun dan penahanan enam tebusan di sebuah salun semalam, menarik perhatian kira-kira 2,000 orang untuk menyaksikan kejadian itu.
Nazira Isa
Nazira Isa keluar dari Unit Kecemasan Hospital Kuala Krai dan masih trauma selepas dijadikan tebusan dalam kejadian di tempat kerjanya di sebuah salun.
KUALA KRAI - Drama tebusan selama tiga jam dengan perompak menawan enam tebusan di sebuah salun di Jalan Besar Guchil, dekat sini, semalam, berakhir selepas polis bertindak menyerbu premis itu dan menahan suspek.

Suspek lelaki berusia 27 tahun bersenjatakan pistol palsu dan sebilah pisau itu diberkas, selepas sepasukan polis menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

Suspek terbabit cuba menyamun salun itu kira-kira jam 2.20 petang sebelum menahan bapa pemilik salun, empat pekerja dan seorang orang awam, apabila perbuatannya disedari polis yang menerima laporan daripada seorang pekerja terbabit.

Kesemua tebusan selamat dan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan, dengan seorang daripada pekerja wanita mengalami kecederaan ringan di bahagian leher akibat terlalu lama dipaut suspek.

Suspek sebelum itu membebaskan tiga tebusan lebih awal hasil perundingan dengan polis dan menahan seorang pekerja wanita, Nazira Isa, 18, tanpa menyedari ada lagi dua pekerja bersembunyi di bilik rawatan muka dan tandas di bahagian belakang salun berkenaan.

Nazira berkata, sebelum kejadian, dia sedang membaca buku apabila terdengar loceng pintu salun dibunyikan, dan cuba membukanya dengan menekan butang automatik di kaunter.

“Bila tak dapat buka dari kaunter, saya pergi buka pintu dan seorang lelaki terus meletakkan pistol di belakang dan memaut leher saya sambil meminta kami supaya menghubungi pemilik salun,” katanya.

Selepas kira-kira sejam dia ditahan sambil lehernya dipaut, Nazira berkata, penjenayah terbabit melepaskannya selepas melihat dia mengalami sesak nafas dan beralih kepada seorang lagi pekerja, Siti Roskasma Rozali, 25.

Siti Roskama pula berkata, selepas masuk dan menahan Nazira, penjenayah terbabit memintanya membuka kaunter wang dan menghubungi pemilik salun.

“Selepas lelaki ini lepaskan Nazira, dia paut leher saya,” katanya yang baru tiga bulan bekerja di salun itu.

Pekerja yang menghubungi polis, Mohd Zafri Mat Hussin, 24, berkata, sebelum kejadian, dia berada di bahagian belakang salun dan bertindak menyembunyikan diri dalam tandas apabila menyedari tindakan lelaki terbabit.

“Memang masa itu saya amat takut tetapi saya tenangkan diri dan hubungi polis,” katanya yang bersembunyi dalam tandas sehingga kejadian tebusan itu selesai.

Pekerja yang bersembunyi dalam bilik rawatan muka, Nur Nadia Najwa Zainuddin, 18, berkata, dia terus lari ke bilik itu untuk bersembunyi apabila menyedari kehadiran penjenayah terbabit.

“Saya nak bersembunyi dalam tandas tetapi takut bertembung dengan Zafri. Masa bersembunyi, saya sempat hubungi balai polis untuk laporkan kejadian,” katanya yang pengsan kerana terlalu lama duduk meringkuk di bilik berkenaan.

Seorang orang awam yang dijadikan tebusan, Norshuhada Mohd Razali, 21, berkata, ketika kejadian, dia kebetulan naik ke salun di tingkat satu hantar wang baki seorang pekerja yang membeli roti di kedainya.

“Bila saya masuk, lelaki itu terus letakkan pistol di kepala saya dan tahan saya bersama tebusan lain,” katanya yang merayu dilepaskan tetapi tidak diendahkan penjenayah terbabit.

Tiang elektrik dilanggar punca hampir 500 pengguna terjejas




27 November 2012
KOTA KINABALU - Hampir 500 pengguna di sekitar kawasan Bukit Padang dan Minintod, dekat sini terputus bekalan elektrik selama beberapa jam bermula 4.54 pagi Ahad lepas (25 Nov).
Hasil pemeriksaan anggota kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Taman Khidmat mendapati sebatang tiang elektrik voltan tinggi SESB rosak selepas dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti. Kenderaan yang terlibat juga telah meninggalkan tempat kejadian sejurus selepas kemalangan tersebut.
Menurut Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim, tindakan langgar lari ini merupakan salah satu cabaran kepada SESB untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.
Beliau berkata anggaran awal kerugian akibat daripada kejadian ini adalah RM8,000.
Kerja-kerja senggaraan tiang dan talian elektrik telahpun dilaksanakan serta-merta dan bekalan telah dapat dipulihkan bermula 8.40 pagi hari yang sama, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Fuad menasihati para pengguna supaya menghubungi talian Hotline 15454 ataupun 088-515000 SESB sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik.- Bernama

Pemandu maut selepas kereta terbabas dekat selekoh Tanah Merah




28 November 2012
KOTA BAHARU - Seorang pemandu maut apabila kereta yang dipandunya terbabas berhampiran selekoh di Jalan Jedok-Tanah Merah, di Kampung Nibong, dekat sini, awal pagi tadi.
  
Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, mangsa Mohd Zaiwati Mohd Noordin, 40, yang memandu seorang diri sedang dalam perjalanan dari Jeli ke Terengganu dikatakan telah hilang kawalan sebaik tiba berhampiran selekoh itu.
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohamad berkata sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu yang diketuai Radzuan Abdullah, berkejar ke tempat kejadian.
  
Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kereta yang remuk sama sekali itu.
  
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat. - Bernama

Mangsa langgar pokok kritikal


NIK MUHD. RAFIQ ABD. GHANI (019 939 1369 / 019 939 1256)
28 November 2012
Langgar pokok
Mangsa menahan kesakitan ketika cuba dikeluarkan pasukan penyelamat akibat tersepit.
DUNGUN – Kakitangan Pejabat Daerah Dungun, Hishamuddin Mohd Hussin, 27, yang terbabit dalam kemalangan berhampiran selekoh tajam kira-kira jam 2.30 pagi, dekat sini, 23 November lalu, difahamkan masih kritikal.

Abang ipar mangsa, Zulkifli Idris, 38, berkata, berikutan kecederaan parah pada bahagian kaki dan kepala, Hishamuddin terpaksa menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan sehingga semalam, mangsa dilaporkan masih kritikal.

“Dia masih dirawat di hospital dan kami ahli keluarga mendoakan kesejahteraannya agar dia sedar dan segera sembuh,” katanya.

Kemalangan di Kilometer 66.6, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu dipercayai berlaku apabila Proton Persona dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melalui satu selekoh tajam berhampiran Pantai Batu Pelanduk lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa di kiri jalan. Mangsa patah kedua belah kaki, selain kecederaan di kepala berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat selepas hampir satu jam tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Dungun ke rumahnya dekat Rhu Bhatil selepas minum bersama rakannya di sebuah kedai makan di bandar Dungun.

Pihak polis masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan tersebut.

Suspek kes rogol, bunuh dibawa ke IPD Temerloh



NORFARAHAH OTHMAN (019-9882202 / 019-9886226)
28 November 2012
BANDAR BENTONG - Suspek berusia 42 tahun yang ditahan polis 14 November lalu kerana dipercayai terlibat dalam 13 kes samun, bunuh dan rogol di daerah ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, suspek kini berada di Temerloh untuk membantu siasatan kes yang dilaporkan di daerah itu dan akan dihantar semula ke Bentong sejurus selepas siasatan selesai.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung penglibatan suspek dalam kes dilaporkan dan selepas semua selesai, suspek akan dihadapkan ke mahkamah.

“Apa yang diharapkan semuanya berjalan lancar dan suspek dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Keluarga tuntut keadilan: Mangsa langgar lari lumpuh



HUBUNGI BIRO KERIAN: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN - 019-5131576 / 019-5131198
28 November 2012
KERIAN - Keluarga seorang pengawal keselamatan yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan langgar lari di hadapan Ladang Sungai Kerian, Bagan Serai menuntut keadilan dan menggesa pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Ibu mangsa, Salasiah Haron, 58, berkata, kemalangan langgar lari yang berlaku ke atas anaknya, Mohd Saydi Samsudin, 38, pada 5 September lalu menyebabkan dia mengalami kecederaan tulang belakang dan saraf tunjang serta berkemungkinan menjadikan lumpuh kekal.

Menurutnya, kemalangan kira-kira jam 6.45 pagi itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan dari belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan anak saya koma dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan. Satu pembedahan dijalankan sepuluh hari kemudian bagi membuang darah beku.

“Sejak itu anak saya terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selama sebulan sehinggalah dia dibenarkan ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan lanjut,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di pekarangan Hospital Parit Buntar, semalam.

Salasiah berkata, sejak Mohd Saydi dipindahkan ke sini, hospital merupakan rumah kedua keluarganya dan isteri mangsa, Noorbaizura Saad, 23.

Menurutnya, keadaan anak lelakinya itu kini semakin stabil berbanding sebulan lalu.

“Saya sedih mengenangkan nasib isteri Mohd Sayid dan anaknya yang baru berusia setahun memandangkan semasa dia sihat, dialah yang mencari rezeki.

“Segala keperluan mereka hanya bergantung kepada bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain bantuan keluarga dan adik-beradik lain,” katanya.

Katanya, majikan Mohd Sayid prihatin dan sanggup menanggung kos pembedahan tulang belakang dan saraf tunjang berjumlah lebih RM8,000 selain memberikan sumbangan kepada keluarganya.

Dalam pada itu, Salasiah berkata, berdasarkan maklumat diterima, polis masih menjejaki jenis kenderaan yang melanggar anaknya serta individu yang bertanggungjawab berikutan kejadian berlaku pada awal pagi dan tiada saksi tampil memberikan maklumat.

Salasiah turut berharap mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan bagi membolehkan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi menegaskan kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk membantu siasatan,” katanya.

Pasangan khalwat terpaksa bawa anak ke penjara



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 November 2012
Khalwat
Pasangan terbabit (kiri dan tengah) bersama anak mereka menunggu untuk dihantar ke penjara kerana gagal membayar denda kerana kesalahan berkhalwat.
KAMPUNG RAJA - Seorang ibu muda berusia 17 tahun terpaksa membawa anaknya meringkuk di dalam penjara selama sebulan kerana gagal membayar denda selepas mengaku salah berkhalwat.

Turut dipenjara adalah pasangannya berusia 18 tahun kerana gagal membayar denda RM2,500 setiap seorang selepas ditangkap sepasukan penguat kuasa agama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Oh, dekat Jabi, jam 1.35 pagi, 11 Januari tahun lalu.

Mereka kemudiannya berkahwin di selatan Thailand selepas beberapa hari ditangkap dan ibu muda terbabit kini mengandungkan anak kedua.

Wanita berkenaan terpaksa membawa anaknya bersama kerana masih menyusu badan dan tidak boleh berpisah dengannya.

Terdahulu sebelum itu, Mahkamah Rendah Syariah Besut menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau sebulan penjara selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di rumah lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Norzilawati Said, ketika serbuan dilakukan, pintu utama rumah dibuka seorang wanita tua.

Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik utama rumah berkenaan mendapati tertuduh wanita sedang tidur di atas katil, manakala tertuduh lelaki tidur di atas tilam di bawah katil bersama adiknya berusia 11 tahun, sementara di dalam sebuah bilik lain ada seorang perempuan sedang tidur.

Wanita dari Hulu Besut itu berkata, dia berada di rumah lelaki terbabit pada hari ditangkap kerana lari dari rumah dan merancang untuk berkahwin dengan pasangannya sehari sebelum ditangkap.

Pelajar kolej komuniti maut kereta rempuh pagar rumah




28 November 2012
MELAKA - Seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah maut selepas keretanya merempuh pagar dan garaj sebuah rumah di Kampung Lubok Redan awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi itu, Muhammad Nadzrin Mohd Safar, 19, sedang dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Kuala Sungai Baru sebelum kereta jenis Proton Waja yang dipercayai dipandu laju itu terbabas di selekoh.  

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata kenderaan mangsa kemudiannya merempuh pagar sebuah rumah milik seorang pekerja Majlis Perbandaran Alor Gajah sebelum berpusing dan merempuh garaj.

"Rempuhan tersebut menyebabkan garaj bertiang batu yang menempatkan sebuah kereta dan motosikal roboh sebelum menghempap kenderaan pemilik rumah itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan tersepit di tempat duduk hadapan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.- Bernama

Air naik mendadak



AMRULLAH ABDUL KARIM (019-6680259/ 019-3371066)
28 November 2012
Halibah banjir
Halibah di rumahnya yang dinaiki air
HULU BERNAM - “Makcik terjaga sebab nak buang air kira-kira jam 3 pagi. Masa itu terdengar bunyi katak lalu tergerak hati nak buka pintu depan rumah dan terkejut melihat air naik mendadak,” kata mangsa banjir, Halibah Ariffin, 54, ketika ditemui di Kampung Sungai Nilam semalam.

Halibah berkata, ketika itu hujan sudah reda setelah lebat semalaman namun, air naik secara mendadak dipercayai datang dari hulu Sungai Bernam.

“Makcik kejutkan anak dan menantu kerana bimbang paras naik lebih tinggi.

“Tapi, sempatlah selamatkan barang-barang elektrik dan dapur daripada terkena air,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku hanya tiga bulan selepas longkang di belakang rumahnya dinaiktaraf. Bagaimanapun, katanya pengalaman berdepan banjir dua tahun lalu dapat menyelamatkan keadaan terutama perabot rumah.

Berbeza dengan nasib warga emas, Zaharah Ibrahim, 62, yang tinggal bersendirian di Kampung Paya Lebar kerana dia tidak sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik di dapur rumahnya.

Zaharah hanya menyedari keadaan itu ketika bangun jam 5 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

“Makcik berseorangan sebab anak-anak  bekerja di Kuala Lumpur.

“Tak sempatlah selamatkan perabot dan mesin basuh di tingkat bawah lagi pun makcik takutkan lintah,” katanya yang mempunyai enam anak.

Ibu tunggal rayu anak pulang



OTHMAN YAHAYA (019 474 7461/ 019 474 7065)
28 November 2012
Rohani menunjukkan resit bayaran rumah yang dijelasnya dan surat tuntutan hutang milik Siti Khalilah
Rohani menunjukkan resit bayaran rumah yang dijelasnya dan surat tuntutan hutang milik Siti Khalilah ketika ditemui di rumahnya di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, semalam
SEBERANG PERAI - Seorang ibu tunggal dari Taman Bertam Indah di sini, merayu supaya anak jagaannya yang lebih lapan tahun menghilangkan diri kembali menemuinya untuk menyelesaikan masalah melibatkan harta dan hutang.

Rohani Yahaya, 62, berkata, kemunculan Siti Khalilah Mohd Khalili, 35, yang juga anak saudaranya yang dijaga sejak kecil itu mampu menghilangkan kerisauan yang selama ini membelenggu kehidupannya.

“Malah, sejak kesihatan saya semakin merosot kebelakangan ini, saya amat mengharapkan kemunculannya bagi menyelesaikan semua perkara berbangkit itu.

“Ini bagi memudahkan dia juga di belakang hari selepas ketiadaan saya kelak,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Khalilah dibela sejak berumur sehari selepas ibunya, yang juga kakak ketiga Rohani meninggal dunia semasa melahirkannya di Hospital Pulau Pinang pada Julai 1977.

“Bapanya telah menghilangkan diri selepas kematian ibunya dan saya mengambil tanggungjawab menjaganya seperti anak sendiri, termasuk selepas saya berkahwin dengan suami, Ayob Desa, 63, dan menetap di Pajak Song sebelum ini.

“Dia yang membesar bersama anak kandung tunggal saya, Nur Nadiah, 25, diberikan kasih sayang sepenuhnya, tetapi selepas berkahwin sekitar 2004 lalu, dia bertindak keluar rumah dan tidak pulang hingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, Siti Khalilah perlu hadir bagi menyelesaikan masalah penama di geran rumah kerana nama mereka berdua diletakkan sebagai pemilik sejak rumah itu dibeli dahulu.

“Pulanglah kerana masalah ini perlu diselesaikan segera demi kebaikan semua pihak dan saya tidak mahu ia menimbulkan masalah selepas ketiadaan saya kelak.

“Dia juga ada hak kerana turut membayar depositnya dahulu walaupun rumah ini saya bayar secara ansuran bulanan hingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, Siti Khalilah juga diperlukan bagi menyelesaikan masalah tunggak hutang melibatkan pembelian kenderaan dan pinjaman peribadinya.

Rohani kini turut tertekan apabila tidak putus-putus menerima surat amaran daripada pihak berkenaan meminta bayaran dijelaskan kerana anak jagaannya itu menggunakan alamat rumah mereka ketika berurusan membuat pinjaman dahulu.

“Biarpun dia marah dan tidak menghubungi saya selama ini, tetapi saya tetap memintanya pulang untuk menyelesaikan masalah ini secara baik.

“Saya berazam sebelum menutup mata, biarlah perkara ini diselesaikan segera kerana selain dia saya juga mempunyai anak kandung yang perlu diberi perhatian dari segi pengagihan harta,” katanya.

Kepala dibungkus



SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
28 November 2012
BAYAN BARU, Pulau Pinang - Seorang lelaki warga Myanmar terkejut apabila niatnya untuk memeriksa rakannya yang tidak hadir ke tempat kerja membawa penemuan mayat rakannya itu tengah hari semalam.

Mangsa, Hussein Abu Hussein, 23, yang juga warga Myanmar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat di dalam sebuah rumah teres di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, selain kaki dan tangannya diikat, muka mangsa juga diserkup dengan tuala.

“Mangsa dijumpai rakannya yang datang mencarinya kerana tidak datang ke kilang tempatnya bekerja seperti biasa. Mangsa dijumpai mati di dalam sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

“Mangsa ketika itu tidak berpakaian dan hanya berseluar dalam. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari itu turut menemui kesan luka serta darah yang masih baru pada tapak kaki mangsa dipercayai dipukul dengan getah paip,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mati akibat lemas dan enam rakan serumahnya gagal dikesan.

“Polis turut menahan rakan mangsa yang membuat aduan berhubung kes itu bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih belum diketahui dan kita sedang giat menjalankan siasatan.

“Kita juga sedang memburu enam rakan serumah mangsa untuk siasatan.

Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

96 peserta, enam jurupandu cemas puncak gunung dipanah petir



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 November 2012
Puncak gunung dipanah petir
Anggota penyelamat melakukan operasi menyelamat selama 11 jam bermula kira-kira 3.50 petang kelmarin.
REMBAU – “Saya tidak dengar bunyi petir, tetapi saya nampak cahaya yang seribu kali lebih terang daripada cahaya kamera,” kata salah seorang jurupandu Gunung Datuk yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 30-an, ketika ditemui di kaki Gunung Datuk, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, seramai 96 peserta yang mendaki gunung sempena Program Fasilitator Unggul dari Alumni Madrasah Annuriah, Melaka dan enam jurupandu berhadapan detik mencemaskan apabila bahagian atas puncak gunung itu dipanah petir dan aliran arusnya mengalir ke lokasi mereka berlindung di dalam sebuah gua di lokasi berkenaan.

Akibat kejadian itu, empat peserta kini ditahan di wad Hospital Tampin (HT) untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan, kebas, hipertermia atau kesejukan melampau dan anemia.

Peserta berkenaan, Syed Mohd Hakimi Syed Azmi, 21, berasal dari Kelantan; Mohd Hadif Mat, 22, dari Kota Bharu, Kelantan; Nor Sidah Mohd Fadil, 22, dari Teluk Intan, Perak dan Izzati Haziah Mohd, 21, dari Dungun Terengganu.

Seawal 4.30 petang, pasukan perubatan dari HT sudah bersiap sedia di kaki Gunung Datuk untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa insiden berkenaan.

Tercampak selepas kena renjatan petir

Din berkata, ketika itu pihaknya yang menyedari keadaan cuaca bakal berubah buruk mengarahkan peserta yang sedang ke puncak gunung untuk turun, sementara sebahagian lagi tidak dibenarkan naik dan mereka berkumpul untuk diberikan taklimat.

“Belum sempat taklimat habis diberikan, tiba-tiba angin kuat dan saya mengarahkan kumpulan peserta berlindung ke dalam gua berdekatan.

Kejadian berlaku begitu pantas dan sedar-sedar saya sudah tercampak.

“Pada mulanya saya ingat hanya tergelincir, namun apabila melihat keadaan selepas insiden berkenaan dan telinga sebelah kiri tidak mendengar sebarang bunyi, saya sedar ia disebabkan renjatan arus panahan petir yang dibawa oleh aliran air yang terbentuk dalam gua berkenaan,” katanya.

Din berkata, sepanjang tujuh tahun dia menawarkan khidmat jurupandu di Gunung Datuk berkenaan, itu adalah pengalaman pertama kali dipanah petir.

Bomba, JPAM turunkan mangsa Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.50 petang dan seramai tujuh anggota menyertai operasi menurunkan mangsa yang berakhir sekitar 2.15 pagi semalam.

Menurutnya, susulan terdapat mangsa mengalami kecederaan di bahagian ligamen dipercayai terjatuh semasa menyelamatkan diri, anggota bomba naik ke atas puncak bagi mengusung mangsa turun dengan lebih selamat.

“Bagaimanapun, ia mengambil masa yang lama memandangkan keadaan trek licin susulan hujan lebat dan cuaca gelap sehingga menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan kaedah mengensot sedikit demi sedikit.

“Bantuan dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan kekuatan tujuh anggota bagi membantu membawa turun mangsa yang mengalami kesejukan melampau yang sudah bergerak turun terlebih dahulu.

Zamrus berkata, dua lagi peserta mengalami kecederaan seperti kebas dan salah seorang daripada mereka mengalami masalah melecur selepas terkena renjatan bersandar di bahagian dalam gua berkenaan.

Menurutnya, mangsa pertama yang dibawa turun dengan selamat sekitar 12 tengah malam dan dikejarkan ke HT ialah Syed Mohamad Hakimi yang mengalami kesejukan melampau dan mangsa terakhir Mohd Hadif yang cedera pada ligamen sekitar 2.15 pagi.

“Kita menasihatkan orang awam untuk tidak menjalankan aktiviti seumpama ini semasa musim tengkujuh memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan sukar diramal," katanya.

Dua rakan didakwa rogol



RUBIAH OMAR
28 November 2012
Rogol
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merogol gadis bawah umur.
KUALA TERENGGANU - Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan merogol gadis bawah umur, 17 November lalu.

Tertuduh pertama, Mohd Latif Mat Ali, 20, dari Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di ladang sawit, Kampung Paya Akob, Kuala Berang, Hulu Terengganu, kira-kira jam 8.30 malam.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima atau atau tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan disebut semula di Mahkamah Sesyen, di sini.

Rozianti turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakannya yang masih di bawah umur turut mengaku bersalah melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 31 Disember depan ditetapkan untuk laporan akhlak tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah juvana sebelum hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 15 tahun sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya meminta tolong selepas dirogol dua lelaki yang baru dikenali di dalam ladang kelapa sawit.

Melalui SMS itulah, dia berjaya diselamatkan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu daripada terus menjadi mangsa nafsu serakah dua sekawan itu apabila mereka cuba mengulangi perbuatan terkutuk itu sekali lagi dengan membawa mangsa ke rumah sewa milik seorang daripada mereka.

Duda ugut pemimpin MCA dipenjara 17 hari



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
28 November 2012
Duda ugut MCA
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
AYER KEROH - Tindakan seorang duda memeras ugut Ketua Wanita MCA Tangga Batu serta memilik pistol palsu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 dan penjara 17 hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dian Missiri, 25, dijatuhi hukuman berkenaan oleh Majistret Syajaratudur Abd Rahman selepas menggangguk faham dan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama Musa Othman, 33, yang telah dijatuhi hukuman dıdapatı mendatangkan ketakutan dengan tujuan hendak melakukan pemerasan terhadap Ho Laı Chau, 57.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana darıpada seksaan ıtu.

Bagi pertuduhan kedua, Dian didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tıdak lebıh setahun atau denda tıdak lebıh RM5,000 atau kedua-duanya sekalı kerana memiliki senjata tiruan iaitu sepucuk pistol.

Dia didapati melakukan kedua-dua kesalahan itu di kedai runcit No. 6302-C, Jalan Pulau Gadong kira-kira 5.30 petang pada 2 November lalu.

Terdahulu, peguam bela Muhammad Hazrı Hanafı memohon hukuman minima dıkenakan terhadap anak guamnya.

“Tertuduh yang telah bercerai dengan isterinya mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun yang akan tinggal bersamanya pada cuti sekolah.

“Tindakan diambil tertuduh mengikut nafsu dan mohon diberi peluang kepada tertuduh yang telah insaf,” katanya.

Bagaımanapun, Pegawaı Pendakwa, Inspektor Roslı Rası yang mengendalıkan kes memohon mahkamah memberikan hukuman setımpal terhadap terhadap yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Nyaris maut langgar lubang tengah jalan raya



SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA (019 574 4070 / 019 474 7065)
28 November 2012
Hamdan langgar lubang
Hamdan mengalami luka di kaki, tangan, mulut, dagu dan jari kelingking akibat terlanggar lubang.
KUALA MUDA - Tindakan seorang pengawal keselamatan menggunakan jalan alternatif untuk ke tempat kerja mengundang padah apabila dia nyaris maut dengan menjadi mangsa jalan berlubang dekat Jalan Bukit Selambau - Kuala Ketil, baru-baru ini.

Mangsa, Hamdan Darus, 45, berkata, setiap hari dia menggunakan Jalan Bukit Selambau - Sungai Lalang untuk ke tempat kerja di Sungai Petani tetapi laluan berkenaan sedang dalam proses naik taraf.

“Walaupun jalan alternatif ini banyak kerosakan di sana-sini dan jaraknya agak jauh sedikit tetapi terpaksa menggunakannya.

“Demi tugas, laluan berkenaan juga hendaklah digunakan memandangkan laluan kebiasaannya sedang dinaiktaraf,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hamdan, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, dia keluar bekerja seperti biasa dalam keadaan berjaga-jaga tetapi tidak menyangka akan terlanggar lubang sehingga menyebabkannya terpelanting.

“Saya sedang mengekori sebuah kereta dari belakang dan tidak perasan ada lubang di situ.

“Akibat itu, saya tercampak jatuh dari motosikal, mujur tiada kenderaan yang langgar saya sebelum dibantu seorang pengguna wanita yang kebetulan berada ditempat kejadian," katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan juga membawa dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Ketil.

Akibat kejadian, Hamda cedera di jari kelingking, mengalami luka di dagu, kedua-dua bahagian kaki, tangan, mulut pecah, serta mengalami sakit dada kemungkinan disebabkan terhempas ketika jatuh daripada motosikal.

Lebih malang, katanya, dia baru sahaja cuti panjang selepas sembuh dari kemalangan pertama yang berlaku di tempat kerja sebulan lalu.

“Akibatnya, pekerjaan saya tergendala dan terpaksa bercuti semula selepas kejadian pertama,” katanya.

Peniaga, Mohd Asyraf Ahmad, 27, berkata, bapa dan adik iparnya juga pernah mengalami kemalangan di jalan sama.

“Keadaan itu juga menyebabkan keadaan tayar cepat rosak antaranya menggelembung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Saharudin Hamid berkata, aduan berhubung perkara itu telah dibawa ke pengetahuan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita berharap agar penduduk bersabar sementara lubang di Jalan Bukit Selambau - Kuala Ketil dapat dibaiki semula oleh JKR mengikut jadual yang telah diatur.

“Berhubung Jalan Bukit Selambau - Sungai Lalang yang sedang dalam proses naiktaraf, kita juga mengharapkan pengguna bersabar kerana kini kerja-kerja yang dijalankan hampir selesai demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai naik taraf, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan berkenaan semula dalam masa terdekat.

Kereta dinaiki empat sekawan terbabas



NORFARAHAH OTHMAN
28 November 2012
Harati tersepit
Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mangsa, Harati yang tersepit di bahagian hadapan kereta dipandunya.
BENTONG - Hasrat empat sekawan pulang ke Kuala Lumpur membawa barangan yang dibeli dari Kelantan untuk dijual tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 5.15 pagi semalam.

Lebih malang lagi, seorang daripada mereka meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 1.8 Jalan Bentong-Raub, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang maut, Harati Husin, 32, manakala tiga rakannya cedera ringan.

Menurutnya, mereka berempat dalam perjalanan dari arah Kelantan ke Kuala Lumpur dan setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Satria yang dipandu Harati dipercayai hilang kawalan.

“Kenderaan kemudian terbabas ke kanan jalan dan seterusnya masuk ke dalam longkang berhampiran sebuah kedai, dekat sini.

“Akibat kejadian itu, Ahmad Hafiz Mohd Noor, 22, dan Mohd Hafezzudin Che Hamid, 23, yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar dari kenderaan menerusi cermin hadapan kereta,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa yang maut dan penumpang hadapan, Muhd Harris Murshidi Wan Husin, 21, pula tersepit di bahagian hadapan kereta.

Katanya, Muhd Harris dan Harati terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Muhd Harris mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala dua lagi hanya cedera ringan.

“Harati disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bentong sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Geng curi lembu tumpas



HUBUNGI SKUAD BATU PAHAT: KAMARUL HALIM M KAMAL - 019-7906280
28 November 2012
Curi Lembu
Mat Razali (tengah) menunjukkan senapang buatan sendiri dan picagari yang dimasukkan ubat pelali.
BATU PAHAT – Dua lelaki yang dipercayai dalam perjalanan untuk mencuri lembu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada jam 2.30 pagi, Isnin lalu.

Ketika ditahan, kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 28 tahun dipercayai dalam perjalanan ke sebuah ladang di Kangkar Bahru, Yong Peng, di sini.

Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki dua lelaki itu, polis menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri lembu yang kerap dilaporkan berlaku di daerah ini.

“Polis menjumpai selaras senapang buatan sendiri dipercayai digunakan bersama ubat pelali yang dimasukkan ke dalam picagari.

“Turut ditemui ialah parang, tali, batang paip, beberapa picagari kosong, satu picagari yang siap dimasukkan ubat pelali dan beberapa peralatan lain.

“Kereta yang mereka gunakan itu juga adalah kereta curi,” katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat, semalam.

Mat Razali berkata, keduadua suspek direman sehingga 29 November ini.

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Akta Senjata Api dan boleh menerima hukuman penjara serta denda, jika sabit kesalahan," katanya.

"Kedua-dua suspek juga akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan, selain turut didakwa di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.

Lapan lelaki ditahan bantu siasatan kes tetak



HUBUNGI SKUAD BATU PAHAT: KAMARUL HALIM M KAMAL - 019-7906280
28 November 2012
BATU PAHAT – Polis menahan lapan lelaki untuk membantu siasatan kes seorang pekerja pub maut ditetak sekumpulan lelaki di Yong Peng, dekat sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai 'Babu' disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang menutup pub berkenaan sambil berbual-bual dengan beberapa kenalannya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan menyerang mangsa sehingga menyebabkan mengalami kecederaan serius, selain putus pergelangan tangan kanan.

“Polis tidak menolak kemungkinan serangan berkenaan adalah bermotifkan dendam. Sehingga hari ini (semalam), polis menahan lapan lelaki untuk membantu siasatan.

“Polis juga difahamkan, mangsa baru 10 bulan bekerja di pub berkenaan dan mempunyai seorang isteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Menurut Mat Razali, hasil bedah siasat, mangsa diserang dengan benda tajam sehingga menyebabkan beberapa kecederaan serius di beberapa bahagian badan dan kepala mangsa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang menyebabkan kematian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar dapat menghubungi pasukan polis dengan segera," katanya.

Sementara itu katanya, polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Lelaki hilang ditemui mati



SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI
28 November 2012
Lelaki ditemui mati
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Gambar kecil: Wan Ahmad.
KULIM, Kedah - Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan terlentang di kawasan ladang sayur berhampiran jalan Sungai Lembu dekat sini, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Mayat mangsa dipercayai merupakan Wan Ahmad Wan Din, 76, yang dilaporkan hilang pada 13 November lalu dan pernah disiarkan Sinar Harian.

Polis memaklumkan penemuan mayat itu kepada waris mangsa dan jiran yang menjaga mangsa untuk membuat pengecaman terhadap seluar panjang ditemui dan mereka mengesahkan ia milik mangsa.

Mangsa dilaporkan hilang pada 13 November lalu dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun polis akan menjalankan ujian DNA terhadap mayat ditemui itu untuk mengesahkan ia merupakan mayat warga emas berkenaan.

Anak mangsa, Azri Wan Ahmad berkata, ini merupakan kejadian kedua mangsa menghilangkan diri kerana empat bulan lalu kejadian seumpama ini pernah berlaku tetapi mangsa ditemui semula oleh kenalan yang tinggal di sekitar kawasan taman perumahan.

“Ibu meninggal dunia tujuh tahun lalu.

“Sejak itu, bapa saya tinggal bersama anak jiran di Taman Angsana.

"Ayah saya memanjat pagar untuk keluar dari rumah. Saya menemui kerusi berhampiran pagar pada hari kejadian.

“Kunci pagar disimpan oleh anak jiran.

“Menyedari bapa saya tidak ada di rumah, anak jiran menghubungi saya," katanya.

Azri berkata, bapanya yang sudah uzur itu dan mengalami masalah mudah lupa.

"Dia tidak tahu ke mana dia pergi.

“Ketika keluar rumah, bapa saya memakai baju warna biru cerah, berseluar kelabu dan memakai selipar yang berlainan jenama.

“Dia tidak membawa kad pengenalan atau wang,” katanya.