Search This Blog

Tuesday, November 27, 2012

Hakisan tebing sungai kritikal



HIDAYAH HAIROM
27 November 2012
hakisan tebing sungai
Kok Eng bersama penduduk meninjau kawasan Taman Megah yang mendakwa ada hakisan tanah yang boleh membahayakan nyawa, semalam.
KUALA LUMPUR - Keadaan cuaca tidak menentu, terutamanya ketika hujan lebat membimbangkan lebih 20 deretan rumah di Jalan Udang Pasir, Taman Megah, Kepong, di sini, apabila hakisan di Sungai Keruh berhampiran kediaman mereka semakin teruk.

Penduduk, Kally Teh, 58, berkata, kediamannya dihuni sejak setahun lalu adalah paling hampir dengan tebing sungai menambah kebimbangan mereka.

Menurutnya, air yang deras telah menghakis tanah di bahagian dalam tebing.

“Sekarang musim hujan, jadi kami sekeluarga bertambah takut, sebelum ini sudah adu kepada pihak berkenaan tetapi mereka hanya kata tunggu.

“Tanah sekitar tebing juga semakin hari semakin lembik,” katanya kepada Sinar Harian ditemui ketika lawatan Unit Khas Task Force Kepong, di sini, semalam.

Lawatan itu turut disertai pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melihat keadaan hakisan itu.

Sementara itu, Ketua Unit Khas Task Force Kepong, Tan Kok Eng berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kebimbangan penduduk di situ.

Katanya, hujan lebat setiap hari membuatkan hakisan tanah semakin serius.

“Ia membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak dan jarak antara rumah paling hampir pun hanya kira-kira 10 meter, kerana itu hari ini kami turun bersama JPS.

“JPS berjanji akan melakukan kerja menambak bahagian hakisan serta meletakkan batu-bata mengelakkan hakisan berterusan, dalam tempoh dua minggu lagi. Jadi kita akan terus pantau masalah ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kejuruteraan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurap jalan rosak di depan sebuah tadika di situ.

“Ia sudah berlarutan sejak beberapa bulan dan membahayakan kanak-kanak tadika serta penunggang motosikal yang melalui jalan ini,” katanya.

Buaya disangka ikan besar



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Buaya disangka ikan besar
Pukat tunda yang digunakan Kok Hwa sehingga menjerut buaya tembaga ‘sesat’ di perairan Kuala Sepetang, kelmarin.
Buaya disangka ikan besar
Kok Hwa menunjukkan jarak kepanjangan buaya tembaga mencapai sepuluh kaki yang ditangkapnya di tengah perairan Kuala Sepetang, kelmarin.
KUALA KURAU - Seorang nelayan terkejut apabila pukat yang disangka berat dengan hasil tangkapan rupa-rupanya menjerut seekor buaya tembaga berukuran tiga meter di tengah lautan.
Buaya yang sudah mati itu ditemui Tan Kok Hwa, 41, ketika sedang menangkap ikan bersama tiga rakan lain di perairan Kuala Sepetang, Taiping lebih kurang jam 8 pagi kelmarin.
Kok Hwa berkata, pada hari kejadian, dia bersama tiga rakan lain turun ke laut untuk menangkap ikan dengan menaiki dua bot pukat ke sekitar kawasan perairan Kuala Kurau hingga ke perairan Kuala Sepetang.

“Lebih kurang jarak enam batu nautika dari persisiran pantai, kami mula merasakan pukat tunda yang dipasang pada dua bot yang dinaiki mula menjerut hasil setelah ianya kelihatan padat.

“Sebelum pulang ke jeti Bagan Seberang, di sini, seperti biasa kami menaikkan pukat tunda yang dipasang ke atas bot dengan menggunakan mesin lebih kurang jam 2 petang untuk melihat hasil tangkapan.

“Bagaimanapun kami terkejut apabila mendapati bangkai buaya sepanjang sepuluh kaki berada di dalam gulungan pukat bersamahasil tangkapan lain,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Bagan Seberang, di sini semalam.

Kok Hwa berkata, pada mulanya dia bersama tiga rakan lain terkejut dan menjadi panik kerana menyangka buaya itu masih hidup dan sedang ‘tidur’.

Bagaimanapun, mereka menarik nafas lega setelah buaya itu tidak bergerak walaupun ditekan dengan kayu dan mengambil keputusan untuk melepaskan semula bangkai haiwan itu ke dalam laut.

“Sepanjang pengalaman menjadi nelayan selama 20 tahun, kejadian menangkap buaya di tengah perairan laut merupakan kejadian kali pertama berlaku dalam hidup saya.
“Saya tidak menolak kemungkinan haiwan itu mungkin tersesat daripada habitat asalnya sehingga menyebabkannya berada di lautan dan saya turut menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Dua mayat dalam tandas



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Dua mayat dalam tandas
Mayat warga emas berkenaan dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat.
KLUANG - Dua warga emas ditemui mati di dalam tandas di sebuah kediaman rumah kedai di Kampung Paya, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mayat Khoo Boon Chit, 79, bersama pembantu rumahnya, Lim Chew, 80, ditemui anak lelaki Boon Chit yang mahu menziarahi bapanya itu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, kedua-dua warga emas berkenaan dipercayai mati serentak akibat saluran darah tersumbat dan serangan jantung.

“Berdasarkan keterangan anak lelaki warga emas berkenaan, panggilannya tidak berjawab sebaik tiba di rumah itu. Bimbang perkara buruk berlaku, dia kemudiannya memanjat melalui tingkap rumah di bahagian atas kerana terlihat bayangan orang dalam tandas.

Selepas berjaya masuk ke rumah itu, dia mendapati bapanya berada dalam tandas duduk dengan mulut berbuih, manakala pembantu rumah pula terbaring dalam keadaan kepala mendongak ke atas dipercayai telah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Kluang untuk bedah siasat dan tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematian warga emas berkenaan.
Abdul Majid berkata, pihaknya berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bercanggah dengan kejadian sebenar sehingga menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat di sekitar kampung tersebut.
“Kedua-dua mayat telah dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan setelah selesai semua urusan bedah siasat dilakukan,” katanya.

6 beranak hilang tempat tinggal



SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
27 November 2012
6 beranak hilang tempat tinggal
Sayu...Norsmasiah dan keluarganya melihat rumah mereka yang musnah dalam kebakaran tengah hari semalam, menyebabkan mereka enam beranak tinggal sehelai sepinggang
KUANTAN - Sebuah keluarga di Kampung Bukit Kuin, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Norsamsiah Kadir, 33, berkata, semasa kejadian, dia dan suami, Suhaimee Sulaiman, 38, tiada di rumah kerana keluar berniaga.
Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya bahawa rumah mereka terbakar.
“Saya dan suami bergegas pulang, namun tiada apa yang sempat diselamatkan. Kami enam beranak tinggal sehelai sepinggang.

“Mujur anak-anak saya selamat. Anak sulung keluar ke rumah kawan, manakala anak kedua sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Ketika kejadian, anak kedua Norsamsiah, Nurul Qasdina, 11, berada di dalam rumah tersebut.

Norsamsiah berkata, sebelum keluar berniaga pagi itu, dia dan suami sudah memastikan rumah mereka berada dalam keadaan baik dan sempat menasihatkan dua anaknya supaya menjaga rumah.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur anak-anak selamat.

"Mujur anak kembar saya yang berumur 2 tahun dihantar ke rumah pengasuh, jika tidak, tak tahulah apa akan terjadi kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Nurul Qasdina berkata, sebelum kebakaran bermula, dia terdengar bunyi letupan kecil di bahagian stor.

“Sejurus selepas itu saya lihat api dan terus berlari ke rumah nenek tidak jauh dari sini.

“Orang kampung datang dan cuba padamkan kebakaran, tetapi api marak terlalu cepat menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba Indera Mahkota, Iskandar Jamaluddin berkata, sebuah jentera bomba dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Bomba sampai lima minit selepas  terima  laporan dan dapat padam kebakaran 10 minit selepas itu," katanya.
Berikutan kejadian itu, Iskandar mengingatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak di rumah sempenamusim cuti sekolah ini.

“Malang tidak berbau. Apa yang penting, kita beringat sebelum kena,” katanya.

Beliau turut menasihatkan setiap isi rumah mempunyai alat pemadan api yang mungkin boleh digunakan jika berlaku kebakaran kecil.

Dua peragut tegar tumpas



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Dua peragut tegar tumpas
Mohd Nor (duduk) dan pegawainya menunjukkan barang milik mangsa yang ditemui semasa serbuan dijalankan
MERSING - Tindakan pantas pihak polis berjaya memberkas dua lelaki yang dilaporkan melakukan kes ragut terhadap seorang guru Kafa yang dalam perjalanan dari bandar Endau menuju Jalan Haji Arifin di sini, 22 November lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 17 dan 21 tahun itu, ditangkap polis selepas sehari laporan dibuat mangsa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Mohd Nor Rasid berkata, kedua-dua suspek yang ditahan turut dikenal pasti positif dadah jenis syabu.

“Mangsa perasan diekori sebuah motosikal yang ditunggangi kedua-dua suspek. Tidak lama kemudian, beg tangan yang diletakkan di dalam raga dirampas dan suspek terus melarikan diri menghala ke Kampung Belukar Juling.

“Ketika tangkapan, pihak kami menemui beg tangan milik mangsa bersama dompet dan turut merampas dua telefon bimbit berserta sebuah motosikal curi jenis Honda EX5 yang dilaporkan sudah seminggu hilang dari tarikh tangkapan,” katanya kepada Sinar
Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, semalam.
Mohd Nor berkata, salah seorang suspek mengaku telah melakukan lebih kurang empat kes ragut di sekitar kawasan berkenaan.

Tambahnya, kedua-duanya mengaku turut melakukan jenayah ini bersama seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Iwan.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan untuk memberkas suspek ini yang dikatakan turut terlibat dengan jenayah ragut,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama orang ramai yang berani tampil memberi maklumat sehingga berjaya membuat tangkapan ke atas suspek berkenaan.

Padah ceroboh kawasan pembinaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Padah ceroboh kawasan pembinaan
Zuki dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan pembinaan.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana menceroboh masuk kawasan pembinaan di kawasan perumahan Taman Desa Putera, Manir.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu kepada Zuki Sulong, 39, dari Kampung Jeram, Manir, di sini, selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan jenayah iaitu dengan memasuki sebuah rumah tidak bernombor di kawasan pembinaan tersebut.
Zuki mengaku di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakuk.an pencerobohan di kawasan pembinaan berkenaan pada 19 November lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Dengan itu, Zuki mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tindakan Zuki yang sedang memotong wayar di dalam sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di kawasan berkenaan telah disedari oleh pengawal keselamatan, Wan Yusuf Hassan, 61, ketika melakukan rondaan keselamatan.

Penganggur dijel 2 tahun



ADILA SHARINNI WAHID
27 November 2012
Penganggur dijel 2 tahun
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari lokap menuju ke mahkamah untuk berdepan tuduhan mengugut kakaknya
KOTA BHARU - Padah mengugut kakak kerana tidak diberi wang untuk membeli dadah, seorang penganggur dihukum dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan  Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas lelaki berusia 31 tahun itu mengaku bersalah.
Tengku Bazli Tengku Nong Idris didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Taman Teluk Baru, Jalan Guchil Bayam di sini, 5 November lalu.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, tertuduh meminta RM10 dari Tengku Norazila, 40, untuk membeli dadah sebelum mengamuk kerana permintaannya tidak dipenuhi.
Dia bukan sahaja merosakkan harta benda di rumah tersebut malah turut mengugut akan mencederakan Tengku Norazila.

Susulan kejadian, Tengku Norazila. membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, hari sama.

Pada prosiding semalam, Mohd Fazaly Ali mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan pihak berkuasa.

Gaji dalam akaun lesap



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Gaji dalam akaun lesap
Yat Kong (kiri) dan Razmah menunjukkan laporan polis selepas wang mereka dipercayai lesap dalam akaun bank isterinya.
ROMPIN – Hancur luluh perasaan sepasang suami isteri apabila mengenangkan gaji bulanan suami yang akan digunakan bagi perbelanjaan persekolahan anak dan barangan keperluan dapur tiba-tiba lesap.
Pasangan itu, Lam Yat Kong, 44, dan isterinya, Razmah Abdul Rahman, 44, terkejut apabila mendapati gaji yang diperoleh suami sebanyak RM1,251.05 yang dimasukkan ke dalam akaun isterinya di sebuah bank di Muadzam Shah ghaib.
Razmah berkata, dia tidak menyangka wang diperoleh suami yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta hangus begitu sahaja, apatah lagi mereka terpaksa menanggung dua anaknya yang masih bersekolah.

“Setiap kali mengenangkan wang itu, pastinya saya akan menangis sendirian kerana bukan mudah untuk mendapatkan wang apatah lagi suami terpaksa bekerja keras bagi menyara kami sekeluarga,” katanya.

Razmah berkata, pada mulanya, dia menyangka wang gaji suaminya belum dimasukkan majikan, namun selepas membuat laporan di bank, dia terkejut apabila ada pihak lain mengeluarkan wang tersebut.

“Pihak bank memberitahu gaji suami sudah dimasukkan ke dalam akaun saya, namun ada pihak lain yang dipercayai sudah mengeluarkan keseluruhan wang tersebut,” katanya.

Menurutnya, dia sungguh kesal kerana wang itu akan digunakannya sebagai perbelanjaan dalam tempoh sebulan hingga menyebabkan dia dan suami hilang arah selain terpaksa meminjam daripada rakan yang lain.

“Saya sungguh kesal dengan kejadian ini, malah terkejut kerana wang saya boleh lesap secara tiba-tiba, apatah lagi wang itu disimpan dalam akaun sebuah bank,” katanya.

Menurutnya, dia juga mengakui tidak membuat pendaftaran perbankan Internet selain tidak pernah membuat transaksi pindahan kepada mana-mana pihak ketiga.

“Apa yang mengecewakan kami, wang itu lebur begitu sahaja, sebaliknya pihak bank pula seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab ke atas kehilangan wang tersebut,” katanya.
Katanya, bimbang keselamatan wangnya itu, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Bukit Ibam bagi tujuan tindakan susulan.

Misteri bau busuk terjawab



IZWAN ROZLIN
27 November 2012
Misteri bau busuk terjawab
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat
PETALING JAYA – Misteri bau busuk yang dihidu penduduk di Blok A Apartmen Saujana  membawa  kepada penemuan  mayat seorang wanita yang sudah kembung di sebuah rumah di tingkat tiga blok berkenaan.
Ketua  Polis  Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed  berkata,  anggota keselamatan apartmen yang melakukan pemeriksaan di rumah itu selepas mendapat aduan pada jam 10.30  pagi  terkejut lalu menghubungi polis  selepas ternampak tubuh terbaring di atas lantai sebaik pintu hadapan rumah dibuka.
Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak seminggu lalu.
“Mangsa dikenali sebagai Norliza Arsyad, 40, tinggal tinggal seorang diri  menyewa di unit berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

“Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan polis turut menemui beg tangan yang mengandungi sejumlah dokumen peribadi milik mangsa,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut pihaknya mendapati mayat berulat dan kejadian setakat ini tidak mempunyai unsur jenayah, namun polis masih menunggu laporan bedah  siasat hospital.

Mayat  dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat  pada masa sama polis masih cuba mengesan waris mangsa.

Orang ramai mengenali atau waris terdekat mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian  03-79662222.

2 buruh dipenjara 20 tahun



MOHD FIRDAUS YON
27 November 2012
2 buruh dipenjara 20 tahun
Dua warga India yang dihukum penjara 20 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU  - Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas dua buruh warganegara India kerana menyebabkan kematian seorang buruh warga Indonesia, tahun lalu.
Rashpall Singh, 26, dan Varinder Singh, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian Nurdain bernombor pasport S 559327 di Wong & Wong Construction, Lot 3526, Jalan Bukit Kempas 3, Taman
Bukit Kempas di sini, kira-kira pukul 12.30 pagi, pada 4 April 2011.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Punjab, India membuat pengakuan itu mengikut pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mereka sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tersebut mulai tarikh ditahan pada 4 April 2011.
Dalam keputusan penghakimannya, Abdul Halim menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya memikirkan kesan atas setiap tindakan yang dilakukan.
“Anda datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Justeru, jadikan ini sebagai satu pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad manakala Rashpall diwakili peguam Norman Fernandez sementara Varinder oleh Remesh Vasen.

Hanya sempat capai beg tangan



NORAFIZA JAAFAR
27 November 2012
Hanya sempat capai beg tangan
Dinding rumah daripada kayu dan angin kuat menyebabkan api marak dengan cepat.
SENTUL - Tidak sampai 10 minit meninggalkan rumah, seorang peniaga nasi lemak  dikejutkan dengan kejadian kebakaran melibatkan kediamannya bersama empat unit lain semalam.

Kejadian berlaku jam 3.30 petang di Kampung Chubadak, Taman Dato Senu, di sini itu mengakibatkan deretan lima unit rumah jenis lot hangus didakwa berpunca daripada dapur masak dan angin yang kuat mengakibatkan api cepat marak.

Zainab M Ali berkata, dia yang keluar sebentar ke kedai runcit berhampiran untuk membeli barangan keperluan berniaga terkejut apabila terlihat kepulan asap tebal.

Dia kemudian bergegas ke rumahnya mengejutkan anak dan ibunya yang sedang tidur di ruang tamu.

“Saya hanya sempat mencapai sebuah beg tangan berisi dokumen penting sebelum keluar mengejutkan jiran lain,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Daramah Ramli berkata, dia dan suami keluar berniaga sebelum menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan rumahnya terbakar.
“Sewaktu menerima panggilan, saya ingat ia sekadar gurauan sebelum menyuruh suami dan seorang anak pulang ke rumah untuk memastikannya.

“Tindakan pantas jiran dapat menyelamatkan dua anak serta tiga cucu yang salah seorang berusia sembilan bulan pada waktu kejadian berada di rumah,” katanya.

Dia yang tinggal di situ lebih 13 tahun menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggung melebihi RM10,000 apabila barang kemas dan perkakas rumah gagal diselamatkan.

Sementara itu, Komandar Operasi Kanan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Christopher Chong berkata, hujan lebat sejurus kebakaran membantu anggota bomba memadamkan kebakaran selepas menghadapi kesukaran akibat tekanan air yang rendah.
“Api berjaya dikawal jam 4.20 petang dan punca kebakaran serta kerugian keseluruhan masih siasatan,” katanya.

Bahana elak sekatan polis



NUR SHARIEZA ISMAIL
27 November 2012
Bahana elak sekatan polis
Salah seorang mangsa diperiksa anggota penyelamat untuk dibawa ke HTJS.
SENAWANG – Gara-gara ingin melarikan diri daripada sekatan polis dengan melawan arus, dua lelaki berusia 20-an nyaris maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah van lalu tercampak di Jalan Persiaran Senawang 2 berdekatan Taman Desa Anggerik dekat sini, semalam.
Difahamkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.45 pagi itu, dua lelaki terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai telah melawan arus dengan membuat pusingan U apabila menyedari ada sekatan jalan raya kira- kira 50 meter di hadapan.

Akibat tindakan nekad itu, motosikal yang ditunggang mangsa telah dirempuh sebuah van yang datang dari arah belakang di laluan sama lalu mengakibatkan motosikal mangsa tercampak ke dalam longkang di sisi jalan.
Menurut seorang saksi, J Velan 36, berkata, dia ketika itu sedang dalam perjalanan ke bank dari tempat kerja dengan menunggang motosikal sebelum terlihat kemalangan berlaku.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, dua mangsa terbabit telah terbaring di atas jalan dengan keadaan berlumuran darah.

“Penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah apabila saya melihat kulit mukanya hampir terkoyak, selain parah di dada dan kaki manakala rakannya cedera di tangan.

“Tidak lama kemudian anggota penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di lokasi kejadian sebaik sahaja dihubungi seorang anggota polis yang terdahulu ternampak kejadian itu,” katanya.

Velan berkata, mangsa memberitahu, mereka berasal dari Batu Kikir dan bekerja di sebuah kedai mencuci kenderaan di sebuah pasaraya di Senawang.

Mangsa yang kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) untuk rawatan susulan itu dipercayai tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan kejadian tersebut.

Kereta terbalik akibat terlelap



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Kereta terbalik akibat terlelap
Kereta dipandu mangsa terbalik dalam kemalangan, semalam.
SEREMBAN - Padah terlelap seketika menjadi punca sebuah kereta jenis Nissan Sunny dinaiki dua remaja lelaki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Pantai - Kuala Klawang, di sini, kelmarin.
Menurut saksi kejadian, Mohd Farizal Zainal, 24, kejadian berlaku lebih kurang jam 1.30 petang dipercayai berpunca apabila pemandu dan penumpang kenderaan terlelap buat seketika.
“Semasa kejadian, kedua-dua mangsa datang dari arah Seremban sedang menghala ke Kuala Klawang sebelum kereta dinaiki terbabas ke laluan bertentangan lantas merempuh tepi bukit menyebabkannya terbalik.
“Mujur ketika kemalangan berlaku, tiada kenderaan lain terlibat. Namun pemandu kenderaan dipercayai mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri dan kaki kanan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, difahamkan, kereta dipandu mangsa ketika kejadian bukanlah milik sendiri, sebaliknya kenderaan tersebut disewa.
Sebuah jentera bomba dari Seremban turut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memastikan tiada kebakaran berlaku akibat minyak yang tumpah dari kenderaan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Sejam terperangkap dalam bilik



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Sejam terperangkap dalam bilik
Keadaan ruang tamu yang musnah dalam satu kebakaran awal pagi, semalam.
SENAWANG – “Saya terperangkap di dalam bilik tingkat bawah hampir sejam sebaik sahaja terlihat api besar sebelum asap tebal menyelubungi seluruh bahagian ruang tamu,” kata Peloni Yustisia, 27, warga Indonesia yang nyaris maut dalam kebakaran yang hampir memusnahkan rumah dua tingkat yang disewa bersama 12 rakan perempuannya yang lain di Taman Kemuning dekat sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Peloni ketika itu sedang nyenyak tidur sendirian di dalam sebuah bilik di tingkat bawah manakala 12 rakannya yang lain tidur di dalam bilik di tingkat atas sebelum dikejutkan dengan bunyi percikan api.  
Peloni yang bekerja kilang di Senawang berkata, dia terdengar percikan api dari arah luar bilik ketika sedang tidur sebelum terlihat api besar di bahagian ruang tamu apabila membuka pintu bilik.

“Akibat panik, saya terus menjerit dan memanggil rakan yang berada di tingkat atas. Saya tidak mampu untuk keluar dari bilik ketika itu kerana keadaan asap sangat tebal menyelubungi seluruh bahagian ruang tamu,” katanya.
Dia yang baru sebulan menyewa di rumah itu berkata, rakan-rakannya yang berada di tingkat atas juga turut terdengar bunyi percikan api itu sebelum masing-masing cuba untuk menyelamatkan diri.
“Tujuh daripada kami cuba menyelamatkan diri dengan mengikut pintu belakang manakala lima lagi cuba keluar dari atas loteng rumah sebelum dapat diselamatkan setelah bomba tiba di lokasi.
“Saya yang ketika itu terperangkap cuba untuk selamatkan diri juga, tetapi keadaan pintu bilik yang tidak boleh dibuka menyukarkan usaha saya. Namun syukur saya diselamatkan jiran,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 2.45 pagi dan tiba di lokasi sepuluh minit kemudian.
“Ketika pihak bomba sampai, kami mendapati api sedang marak dan hampir 20 peratus bahagian ruang tamu rumah itu sudah terbakar.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Menurut Ahmad Nizam, pihak bomba berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira jam 3.30 pagi.

Kedai kain, baju hangus



ROSDALILAH ZAHARI
27 November 2012
Kedai kain, baju hangus
Anggota bomba sedang memeriksa premis yang hangus terbakar.
IPOH - Sebuah premis menjual kain dan pakaian di sebuah lot rumah kedai musnah dalam satu kebakaran di Taman Alkaff, di sini, pagi semalam.
Seorang saksi dikenali sebagai Chong berkata, kebakaran berlaku kira-kira jam 8.30 pagi.
Katanya, pada waktu itu, api sudah marak di bahagian bawah kedai dan mula merebak ke bahagian atas premis berkenaan.
“Ketika kejadian saya baru tiba di tempat kerja dan selepas melihat api mula marak saya segera memberitahu rakan untuk mendapatkan bantuan dari balai bomba berhampiran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Chong berkata, dia difahamkan pemilik premis tersebut menetap di Teluk Intan dan kedai itu diuruskan penyelianya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Fadzeli Che Husin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.32 pagi.

Menurutnya, tiga jentera bersama 11 anggota dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Pihak kami berjaya mengawal kebakaran lebih kurang jam 9.03 pagi sekali gus mengelakkan api merebak ke kedai berhampiran.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari bahagian tengah kedai. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya, premis terbabit mengalami musnah 70 peratus akibat kebakaran itu terutamanya di tingkat bawah yang menempatkan barangan jualan seperti kain ela dan pakaian.
“Setakat ini kami tidak dapat mengenal pasti anggaran kerugian mangsa kerana kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu,” katanya.

Asrama rumah kebajikan retak, banjir lumpur di Hulu Langat




27 November 2012
HULU LANGAT - Penghuni Rumah Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) di sini panik selepas tembok asrama itu retak dan membawa bersama banjir lumpur ketika hujan lebat, pada 3.30 petang semalam.
  
Presiden Perkid Masridzi Sat berkata, kejadian di bahagian belakang asrama wanita itu telah dimaklumkan oleh isterinya yang ketika itu bersama empat orang penghuni berada di bahagian dapur, tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan yang kuat.
  
"Selepas keluar untuk melihat keadaan, mereka dapati tembok asrama ini retak dan condong diikuti dengan banjir lumpur sehingga paras buku lali di bahagian dapur dan rumah kakitangan," katanya ketika ditemui di sini.
  
Beliau berkata, keretakan itu dipercayai berpunca daripada bebanan sisa kerja membaik pulih longkang yang ditimbunkan di bahagian tembok asrama itu.
  
"Kontraktor buat kerja-kerja binaan, tetapi sisa bahan yang digunakan diletakkan di tepi tembok asrama ini. Dalam keadaan hujan lebat petang tadi (semalam), mungkin bebanan yang kuat menyebabkan keretakan ini," katanya.
  
Beliau berkata, ini adalah kejadian kedua di asrama berkenaan dan kali ini dianggap serius kerana menyebabkan keretakan tembok.
  
"Kejadian pertama, berlaku pada Mac lepas tetapi ketika itu hanya banjir lumpur. Saya anggap kejadian kali ini serius kerana berlaku keretakan yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan jiwa," katanya.
  
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata kejadian itu melibatkan keretakan tanah di bahagian belakang asrama itu tidak melibatkan struktur bangunan.
  
Punca kejadian masih disiasat, katanya. - Bernama

Saudi penggal 3 pembunuh



27 November 2012
RIYADH - Kerajaan Arab Saudi memenggal kepala tiga lelaki disabitkan kesalahan membunuh di negara itu, semalam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, Mubarak Al-Harithi dan Obaidallah Al-Harithi didapati bersalah di Makkah kerana mengelar dan menembak mati seorang mangsa bernama Ayedh Al-Harithi.

Seorang lagi pesalah, Majed Al-Dosari juga dipenggal kepalanya di Riyadh kerana menembak mati rakannya dari Arab Saudi, Mehmas Al-Dosari.

Berdasarkan laporan rasmi, hukuman penggal kepala itu adalah kes ke-70 di negara tersebut sepanjang tahun ini.

Kes rogol, pembunuhan, murtad, rompakan bersenjata dan pengedaran dadah adalah tertakluk di bawah undang-undang syariah di mana pesalah berhadapan hukuman mati. -AP

5 maut, 6 cedera nahas lebuh raya dekat Slim River



SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
27 November 2012
BIDOR - Lima maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori di KM372.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira 7.15 pagi itu turut mengorbankan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama bagi menerima rawatan.

Dua sahabat mengaku tidak bersalah miliki peluru hidup



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 November 2012
Peluru hidup
Kedua-dua sahabat yang didakwa atas kesalahan memiliki sembilan peluru hidup.
KOTA BHARU – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memiliki sembilan peluru hidup di hadapan sebuah bengkel di sini, bulan lalu.

Tuduhan terhadap dua lelaki berkenaan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.

Mohd Fizree Mat Saufi, 25, dan Juhari Mat Jusoh, 22, dituduh memiliki peluru bertulis S&B 38 Special tanpa sebarang permit sah di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, jam 9.25 malam, 15 Oktober.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding semalam, kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dalam perkembangan sama, Juhari pula mengaku bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha atas pemilikan 40 gram dadah metamphetamine pada masa dan lokasi sama.

Kedua-dua mereka juga mengaku memiliki satu gram dadah heroin dan Mohd Fizree didenda RM1,500 manakala Juhari dihukum penjara enam bulan kerana gagal mengemukakan MyKad.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam dan Nor Hamizah Ghazali.

Kes bersambung 24 Disember, 7 dan 8 Januari depan.

Anak ugut tikam bapa



RUBIAH OMAR
27 November 2012
Ugut tikam bapa
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU – Bengang kehendaknya untuk mendapatkan RM350 tidak diendahkan ayah, seorang anak tergamak mengugut menikam bapanya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, di sini, Julai lalu.

Bagaimanapun, tindakan melampau tertuduh berusia 18 tahun dari Kampung Seberang Tepoh, di sini, akhirnya terbalas apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, kerana melakukan ugutan jenayah.

Tertuduh yang juga penganggur mengaku bersalah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Mohd Nor Awang, 58, di sebuah rumah di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, pada 13 Julai lalu, kira-kira jam 9 malam.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan selepas mengambil kira faktor usia tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah muda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa didatangi tertuduh yang meminta RM350, dipercayai untuk membaiki motosikalnya yang rosak.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkannya menyebabkan tertuduh naik angin, lalu mengambil sebilah pisau sebelum mengugut menikam mangsa sekiranya enggan memberikan wang diminta.

Aksi panas remaja keterlaluan



Aksi panas remaja keterlaluan
Pasangan sejenis turut mempamerkan aksi kurang sopan di hadapan khalayak
SUNGAI PETANI – Tindakan melampau sesetengah remaja melakukan aksi panas di sebuah pusat membeli-belah di pusat bandar Sungai Petani bukan sahaja dianggap keterlaluan, malah kelihatan bersahaja walaupun ditegur di hadapan khalayak.

Remaja termasuk mereka di bawah umur dikatakan berkunjung ke pusat membeli-belah itu kerana turut dilengkapi dengan kemudahan pusat karaoke, pusat permainan video dan permainan boling di tingkat atas premis berkenaan.

Ada sesetengahnya pula dikenal pasti sengaja ke ruang terpencil dekat tingkat atas terbabit semata-mata untuk melakukan perbuatan tidak bermoral bersama pasangan.

Penyewa premis, Rashid Amin, 40, berkata, kebanyakan pasangan remaja masih di bawah umur berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan, ada yang duduk meriba antara satu sama lain dan bersentuhan antara satu sama lain di bahagian anggota badan.

“Pernah juga dilihat berpelukan  dan bercumbuan tetapi apabila ditegur mereka tidak menghiraukan orang di sekeliling,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, lokasi pusat membeli-belah berkenaan sudah menjadi sasaran sesetengah remaja untuk melakukan maksiat.

Sementara itu, Roslan Md Ani, 37, berkata, pergaulan bebas di kawasan itu turut terjadi kepada pasangan sejenis yang tanpa segan silu melakukan aksi kurang sopan bersama pasangan masing-masing.

“Tidak terkecuali mereka yang membawa teman ketika berasmara tujuannya memastikan keadaan terkawal.

“Apabila pasangan sedang berdua-duaan, seorang lagi rakan mereka berada tidak jauh dari lokasi pertemuan, dengan tujuan memberi laporan sekiranya kawasan didatangi pengawal keselamatan atau penguat kuasa,” katanya.
Malik Mohd, 35, berkata, tindakan remaja yang berpelesiran di premis itu mencerminkan pergaulan bebas yang semakin membimbangkan.

Buru warga Myanmar

GRIK: Seorang lelaki warga Myanmar diburu polis selepas disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang penoreh di Kampung Air Suda, di sini, 17 September lalu.

Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Abd Manab Bahrum berkata, dalam kejadian awal pagi itu, mayat mangsa warga Thailand ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman di ladang itu.


Menurutnya, suspek dikenali sebagai Maeing, 22, menghilangkan diri selepas polis dimaklumkan penemuan mayat itu.

“Mayat mangsa berusia 22 tahun ditemui bapanya yang mencarinya di ladang getah itu selepas dia gagal pulang ke rumah. Bapa mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera menghubungi polis.


“Berdasarkan siasatan, Maeing yang tiada pasport dikatakan tertinggal kad Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) miliknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah, Asisten Superintendan Sazalee Adam di talian 016-4647777 atau IPD Grik 05-7912222.

Meniarap atas bumbung

SUBANG JAYA: Menyedari dikepung polis, seorang lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah memperjudikan nasibnya dengan memanjat bumbung rumah milik Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat bagi meloloskan diri ketika memecah masuk rumah berkenaan di SS 18, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan ala ‘Spider-Man’ oleh lelaki terbabit jam 3 petang, gagal apabila dia dicekup selepas gagal mencari jalan untuk melepaskan diri berikutan rumah berkenan yang ketika kejadian tidak berpenghuni dikepung polis.


Polis menemui semula barang kemas dan wang tunai pelbagai mata wang dianggar bernilai lebih RM5,000 daripada lelaki tempatan itu.

Menurut sumber, drama penahanan lelaki terbabit bermula selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada orang awam yang ternampak suspek memecah masuk rumah berkenaan melalui pintu belakang.


“Sebaik menerima laporan, sepasukan polis dikejar ke tempat kejadian dan mengepung rumah berkenaan.


“Polis menggunakan pembesar suara mengarahkan suspek menyerahkan diri, tetapi suspek enggan,” katanya.

Menurut sumber, terdesak untuk meloloskan diri daripada kepungan polis, suspek memanjat bumbung rumah berkenaan dipercayai mahu melarikan diri.


“Selepas beberapa kali memberikan amaran kepada lelaki terbabit, suspek masih enggan menyerahkan diri,” katanya memberitahu sebahagian anggota polis kemudian masuk ke kawasan rumah itu untuk melakukan pemeriksaan namun gagal menemui suspek.

Beberapa minit kemudian, seorang anggota polis di luar rumah berkenaan terlihat suspek meniarap di atas bumbung untuk menyembunyikan diri.


Menurut sumber itu, hasil kebijaksanaan dan kesabaran pasukan polis dari Balai Polis Subang Jaya memujuknya menyerah diri, membuahkan hasil 15 minit kemudian.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan memuji ketangkasan anggota polis menahan penjenayah itu.


“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit memiliki empat rekod jenayah membabitkan dadah dan pecah rumah. Dia direman sehingga 29 November ini bagi membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, anak sulung Aseh, Datuk Muhd Khairun ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian, ahli keluarganya tiada di rumah dan berterima kasih kepada polis bertindak cepat.