Search This Blog

Friday, November 23, 2012

2 terbunuh kemalangan membabitkan 100 kenderaan di AS

FotoBEAUMONT (Texas): Dua terbunuh manakala berpuluh mangsa cedera apabila sekurang-kurangnya 100 kenderaan bertembung di lebuh raya Texas susulan kabus tebal.

Kejadian turut mengakibatkan kenderaan berat seperti trak dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.

Foto"Ia adalah bencana buruk. Kelihatan kereta bertindih di atas kereta lain," kata Timbalan Syerif Pejabat Daerah Jefferson, Rod Carroll di sini, awal pagi tadi.

Sementara itu, pegawai perkhidmatan Ambulans Acadian, berkata sekurang-kurangnya 51 mangsa dibawa ke hospital berdekatan dan lapan daripada mereka cedera parah.

FotoKemalangan itu yang bersempena cuti sambutan Hari Kesyukuran di AS berlaku di 128 kilometer, timur Houston. - AP

Rumah hangus sekelip mata




ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah rumah teres dalam kebakaran yang berlaku di RPR Sibiew, Bintulu kelmarin.


BINTULU – Sebanyak 14 keluarga membabitkan 41 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila enam buah rumah teres setingkat yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Lorong B11 Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sibiew di sini kelmarin.
Kebakaran pukul 9.11 malam itu mengambil masa selama lebih satu jam untuk dipadamkan berikutan bomba menghadapi masalah tekanan air rendah.
Difahamkan, kebakaran berpunca daripada salah sebuah rumah yang tidak berpenghuni sebelum merebak ke rumah lain.
Pegawai operasi bomba, Gregory @ Kurong anak Suwen berkata, pihaknya mendapati kediaman tersebut sudah 65 peratus terbakar sebaik tiba di tempat kejadian dengan kekuatan 21 anggota.

Lebih 800 rumah terjejas banjir landa England



26 November 2012
 Lebih 800 rumah terjejas banjir landa England
Pemandangan udara kejadian banjir di Exeter, air melimpah dari Sungai Exeter. - Foto ihsan BBC
LONDON - Lebih 800 rumah tenggelam dalam banjir yang melanda beberapa bahagian England dan Wales semalam.

Dipetik BBC, Agensi Alam Sekitar berkata 816 rumah terjejas ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Hujan diterima sejak empat hari lalu sama jumlah dengan hujan dalam tempoh mana-mana satu bulan.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Devon, Cornwall, Malmesbury dan Kempsey.

Laporan awal menyebut dua orang maut dalam kejadian terbaru ini - seorang wanita terbunuh di Exeter apabila pokok tumbang manakala seorang lelaki lemas apabila keretanya dihanyutkan air deras di Cambridgeshire.

Bagaimanapun kemudian polis menjelaskan kematian wanita itu, yang berusia 70 tahun, tiada kaitan dengan cuaca buruk.

Jurucakap agensi itu berkata, "insiden ini sepatutnya berlaku bila-bila masa tahun ini."

Sebanyak 250 amaran banjir telah dikeluarkan di seluruh England setakat ini.

Perdana Menteri David Cameron yang terkejut dengan kejadian ini berkata, "kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk membantu" mangsa banjir.

10 penyokong Spurs cedera diserang di Rom



ROM: Kira-kira 10 penyokong kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur cedera, di mana seorang daripada mereka cedera parah selepas diserang menjelang perlawanan Liga Europa menentang kelab liga bola sepak Itali, Serie A, Lazio, semalam.

Pihak polis berkata, 10 mangsa yang cedera terdiri daripada 9 warga Britain manakala seorang warga Amerika Syarikat.

Katanya, kumpulan penyokong Spurs itu diserang di luar pub berdekatan Rom oleh beberapa kumpulan lelaki bertopeng.

Tambahnya lagi, seorang daripada mereka mengalami dalam keadaan kritikal apabila mengalami kecederaan arteri. - Reuters

Polis Jepun selamatkan tebusan bank



TOKYO: Polis negara ini menyelamatkan empat tebusan di sebuah bank hari ini dan menahan lelaki bersenjata pisau yang mengurung mereka selama lebih 12 jam sambil mendesak supaya perdana menteri meletak jawatan, kata pegawai.

Pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung, jurucakap polis berkata, lelaki berkenaan dikenali sebagai Koji Nagakubo, ditahan kerana menjadikan lima orang sebagai tebusan termasuk seorang yang dibebaskan lebih awal.

Kesemua tebusan disahkan selamat dan diberi perlindungan ketika serbuan polis pada awal pagi.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan salah seorang daripada tebusan iaitu kakitangan wanita bank berkenaan berusia 19 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Suspek berusia 32 tahun itu mula mengurung tebusan pada petang semalam di Bank Toyokawa Shinkin cawangan Zoshi di bandar Toyokawa, wilayah tengah Aichi. - AFP

Ahli ‘motor besar’ maut


Ahli ‘motor besar’ maut       
KUALA LUMPUR: Seorang maut manakala enam lagi parah dalam kemalangan membabitkan konvoi 12 motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13.6 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum susur Subang Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Ishak Jaafar, 53, ahli Kelab Kota Tinggi Bikers manakala isteri mangsa yang cedera parah, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Antara mangsa yang cedera parah ialah Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor, Asisten Superintendan Kamardin Yusof yang sedang bercuti.

Difahamkan, Kamardin bersama konvoi kelab motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan ke Phuket, Thailand, dan beliau patah tangan kanan.


Menurut sumber polis trafik, kemalangan berlaku apabila kenderaan SUV jenis Honda CRV yang berada di laluan tengah lebuh raya berkenaan, menukar laluan secara tiba-tiba.

Ancam emak demi nafsu

JITRA: Seorang lelaki yang ditinggalkan isteri tergamak mengusir ibu kandungnya keluar dari rumah mereka di Kampung Malau, di sini, semata-mata untuk memadu kasih dengan pasangannya sejak seminggu lalu.

Tindakan lelaki berusia 30 tahun yang masih berstatus suami orang itu terbongkar apabila dia dan pasangannya dicekup kerana disyaki berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), pada jam 11.45 malam kelmarin.

Menurut sumber penguat kuasa agama daerah, sebelum melakukan serbuan, pihaknya menerima maklumat lelaki terbabit mengusir ibunya daripada rumah itu semata-mata untuk membolehkan dia tinggal bersama teman wanitanya.

“Maklumat itu kami peroleh daripada pengadu yang juga pihak yang rapat dengan lelaki terbabit dan pengadu itu memberitahu tindakan keji lelaki terbabit menyebabkan ibunya terpaksa menumpang di rumah jiran.


“Malah, ibunya takut pulang ke rumah kerana anaknya mengugut mahu membunuhnya jika dia pulang,” katanya.

Ugut bunuh bayi

LAKON SEMULA...begini keadaan keluarga Mohd Yusri dijadikan tawanan.
LAKON SEMULA...begini keadaan keluarga Mohd Yusri dijadikan tawanan.
SUNGKAI: Seorang anggota polis dan keluarganya menempuh detik cemas apabila sekumpulan empat perompak bersenjatakan pedang yang memecah masuk rumah mentuanya, merampas dan mengugut mahu mencampakkan bayinya ke dalam sungai, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi, ketika Lans Koperal Mohd Yusri Che Deraman, 27, dan tujuh penghuni lain nyenyak tidur di rumah mentuanya di Kampung Kelah Baru, di sini.
Mohd Yusri dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata, dia dikejutkan daripada tidur oleh keempat-empat penjenayah yang menghalakan pedang ke mukanya.

“Mereka kemudian mengikat tangan dan kaki saya dengan tali, selain menyumbat mulut dengan kain,” katanya.


Menurutnya, isterinya, Faizatul Qhairiah Yahya, 27, bersama anak perempuan, Nur Fatini Damia, 4, bapa serta ibu mentua, Yahya Abdullah, 60, dan Lon Abd Aziz, 55, serta dua adik iparnya, Muhd Zariat Yahya, 21, dan Lailatul Najwa, 10, turut diperlakukan sedemikian.

Maut nahas enam superbike



Subang Jaya: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi bersama isteri dan 15 lagi rakan terbunuh, manakala dua lagi parah selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13.6 Lebuhraya NKVE, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi berhampiran susur masuk ke Subang dari arah Shah Alam, ketika mangsa, Ishak Jaafar, 53, yang juga seorang peneroka berkonvoi bersama 12 lagi motosikal berkuasa tinggi lain dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor, menuju ke utara tanah air.

Mangsa bersama isterinya dikatakan menunggang motosikal Honda Goldwing.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Junit, berkata siasatan awal mendapati dua motosikal dari konvoi itu yang berada di lorong kanan dilaporkan cuba mengelak sebuah kereta jenis Honda CRV yang tiba-tiba menukar laluan dari lorong tengah.

Tindakan pemandu kereta yang mengubah haluan ke lorong paling kanan menyebabkan dua motosikal, termasuk milik mangsa dihimpit secara tiba-tiba hingga kedua-duanya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan.

Pada masa sama, empat lagi motosikal berkuasa tinggi yang mengekori mereka gagal mengelak lalu merempuh mangsa yang terjatuh, katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya tujuh lagi motosikal berkuasa besar bagaimanapun sempat mengelak.
Polis sedang menjalankan siasatan terperinci, termasuk mendapatkan keterangan pemandu kereta berkenaan serta beberapa lagi rakan mangsa yang terselamat untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Empat daripada peserta konvoi itu, termasuk Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Asisten Superintendan Kamardin Yusof dan isterinya dilaporkan cedera ringan.

Janji manis Datuk


       
JOHOR BAHRU: “Datuk Rizal mengatakan jangan sampai peluru pistolnya mengenai kepala saya selepas menyedari saya membuat laporan polis berkaitan penipuannya.

“Hingga kini, Datuk Rizal gagal mengembalikan wang saya RM7,650. Dia juga gagal menunaikan janji menaja RM2 juta kepada syarikat produksi milik rakan saya,” kata pelakon, Nur Ilane Sharulmin Abdullah Sharulmin Abdullah, 25, semalam.
Menceritakan berkaitan penipuan lelaki dikenali sebagai Datuk Rizal dan berasal dari Skudai, Johor Bahru, Nur Ilane yang menjadi mangsa ugutan itu berkata, dia mengenali lelaki terbabit sejak awal Oktober lalu menerusi pengurus syarikat produksi di Kuala Lumpur.

Katanya, selama perkenalan itu, Datuk Rizal kerap menghubunginya termasuk mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) dan BlackBerry Messenger (BBM).


“Datuk Rizal meraih keyakinan saya dan rakan apabila berjanji mahu menaja RM2 juta kepada syarikat produksi milik rakan bagi pembikinan filem pada tahun depan.

Kesal keputusan UPSR silap



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Kesal keputusan UPSR silap
Nur Ainina menunjukkan slip keputusan UPSR yang diterima, tertera 'T' bagi mata pelajaran Sains iaitu tidak hadir menduduki peperiksaan.
BANDAR PEKAN - Rasa teruja seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menanti keputusan yang diumumkan Isnin lalu bertukar pilu apabila mendakwa terdapat kesilapan pada keputusan yang diterima.

Murid Sekolah Kebangaan Seri Makmur,  Nur Ainina Fitrah Jasmine Awg Muhamad, 12, menitiskan air mata sedih apabila dia dikatakan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mata pelajaran Sains seterusnya memperoleh ‘T’ dalam slip keputusannya.

Menurut ibunya, Siti Rahmah Ali, pada hari keputusan UPSR diumumkan, dia sangat terkejut dengan perkara itu, malah tidak sanggup melihat anaknya kesedihan.
“Sebagai seorang ibu saya terkilan dengan apa yang berlaku dan perkara ini seharusnya diselesaikan sebab anak saya hadir menduduki peperiksaan mata pelajaran berkenaan.

“Ia seharusnya tidak berlaku kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak saya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mahkamah Rayuan kekalkan ganti rugi kepada dua lelaki




22 November 2012
PUTRAJAYA - Seorang peniaga kain dan adik iparnya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin akan menerima RM41,500 dan RM31,500 sebagai ganti rugi kerana penahanan secara salah.
Ini kerana Mohamad Zamri Ibrahim, 38, dan Mohd Suhaimi Yusoff, 33, berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang memutuskan mereka ditahan secara salah dan mahkamah telah memberi mereka ganti rugi.
Mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas gagal mendapat ganti rugi itu di Mahkamah Tinggi pada 1 Dis 2010, yang membenarkan rayuan responden - pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei, ketua polis negara dan kerajaan - untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Wahab Patail dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan kedua-dua lelaki itu dan tidak mengeluarkan sebarang perintah untuk kos.
Wahab berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf yang sepatutnya memutuskan Mahkamah Sesyen sepatutnya membuat pindaan kepada pernyataan tuntutan untuk memasukkan nama dua pegawai yang menjalankan tangkapan, ASP Zulkarnain Samsudin dan Sarjan Jaffri Jaafar.
Ketika mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen, Wahab juga memerintahkan pernyataan tuntutan dipinda untuk memasukkan nama kedua-dua pegawai polis itu.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali.
Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen selepas memutuskan kegagalan Zamri dan Suhaimi mengenal pasti anggota polis yang mencederakan mereka, menghalang kerajaan untuk bertanggungjawab.
Zamri dan Suhaimi, jurutera di sebuah kilang, memfailkan saman terhadap responden pada 19 Jun 2009, mendakwa penahanan mereka dibuat tanpa alasan yang wajar dan munasabah sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan, tekanan, hinaan dan malu yang amat sangat.
Pada 20 Ogos 2007, Nurin, murid Tahun Dua, Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
Kes itu mendapat liputan meluas media apabila mayatnya dijumpai pada 17 Sept 2007, iaitu selepas 27 hari kehilangannya, di dalam beg yang ditinggalkan di hadapan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.
Hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.
Zamri dan Suhaimi masing-masing menerima RM1,500 sebagai ganti rugi am, RM30,000 ganti rugi teladan dan kos. Zamri mendapat award tambahan RM10,000 sebagai ganti rugi penahanan secara salah.
Kedua-dua mereka diwakili peguam Azmer Md Saad dan Mohd Yaacob Bakanali.
Responden diwakili peguam kanan persekutusan Siti Badariah Yusof dan Azizan Md Arshad. - Bernama

Mangsa tembak hubungi polis

JOHOR BAHRU: Seorang mangsa tembakan sempat menghubungi polis meminta bantuan sebelum pasukan polis bersama ambulans menemuinya dalam keadaan kritikal manakala teman lelakinya maut dalam kejadian di Jalan Permas 11/15, Taman Permas Jaya, di sini, semalam.

Mangsa, Surene Toh, 30, ditemui parah di badan dan kepala di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat manakala teman lelakinya, Ang Keng, 40, yang juga tukang patung Buddha serta pengamal Feng-Shui ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang daripada mangsa wanita itu yang mengatakan dia ditembak sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi.

Katanya, selain polis pihaknya menghubungi ambulans bagi memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa.


“Sebaik tiba, kami menemui Surene di sebuah bilik tingkat atas dan pasukan perubatan menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan, manakala Ang ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badannya di sebuah bilik di tingkat bawah.


“Surene kini dilaporkan stabil dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Siasatan dilakukan mengikut pelbagai sudut dan kami akan mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam rumah itu serta menemubual jiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Menurutnya, tiada kesan pecah masuk ditemui dan siasatan mendapati tiada barangan berharga hilang dari rumah mangsa.

Katanya, siasatan mendapati mangsa seorang pengamal perubatan tradisional dan teman wanitanya tidak bekerja.


“Kami percaya kejadian ini dilakukan lebih daripada seorang suspek dan berharap sesiapa mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, saksi enggan dikenali berkata, pasangan itu tinggal bersama sejak enam tahun lalu dan dia mengenali mereka kerana sering bertegur sapa.


Katanya, mendiang seorang pembuat patung Buddha menjadikan rumah berkenaan sebagai pejabat untuk menerima tempahan, manakala Surene tidak bekerja.


“Dalam kejadian semalam, kami tidak mendengar apa-apa bunyi atau melihat kejadian mencurigakan kecuali melihat pagar utama rumah mereka terbuka sejak jam 2 petang.


“Bagaimanapun, kira-kira tiga jam kemudian sepasukan polis datang memasuki rumah dan saya serta beberapa jiran lain meninjau apa yang berlaku.


“Ketika kami melangkah masuk dalam rumah itu, saya terkejut melihat Hong terbaring dalam sebuah bilik di tingkat bawah dengan kesan luka di kepala, manakala Surene ditemui parah dalam bilik berasingan di tingkat atas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Polis peroleh petunjuk baru dalam kes lelaki maut ditetak




22 November 2012
BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang percaya dapat menyelesaikan dalam tempoh terdekat kes pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang maut ditetak manakala tangan kirinya yang putus dilarikan dalam kejadian di Jalan Tembikai 1, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi berkata polis telah mendapat beberapa petunjuk baru termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Dalam kejadian pada 3 petang semalam, N. Mugesh Edmond, 36, maut ditetak, manakala tangan kirinya yang putus dilarikan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Tembikai 1.
Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya, K.Jesigan, 33, berada di dalam kabin syarikat manakala tiga lagi pekerja sedang membaiki treler tidak jauh dari kabin.
Dua kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira dinaiki beberapa lelaki dikatakan meluru masuk ke kawasan syarikat sebelum mereka masuk ke kabin dan menyerang Mugesh hingga menyebabkannya cedera parah di leher, bahu dan kaki manakala tangan kirinya putus.   
Jesigan yang turut ditetak dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Gleneagles, George Town.
Suspek dikatakan turut membakar sebuah treler di kawasan itu berdasarkan terdapat bekas kerosin di tempat kejadian.
Sementara itu, adik Mugesh, N.Ashok Charles, 35, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Seberang Jaya berkata pada sebelah pagi, mendiang abangnya dan anggota keluarga pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Bandar Perda untuk mendaftarkan perkahwinan adik perempuan mereka yang berusia 31 tahun.
Ashok berkata mereka kemudiannya keluar makan bagi meraikan perkahwinan berkenaan dan mangsa menghantar keluarganya pulang selepas itu sebelum ke tempat kerja.
"Ketika dimaklumkan abang diserang, saya baru hendak sampai rumah di Kampung Baru, Bukit Mertajam, tetapi berpatah balik sebaik menerima panggilan daripada seorang pekerja abang yang berada di tempat kejadian.
"Ketika tiba di tempat kejadian, saya lihat abang sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah berhampiran treler dengan kesan tetakan di seluruh badannya.
Pergelangan tangan kirinya juga sudah tiada dan satu daripada kakinya juga hampir putus. Tetapi, dia masih bernafas," katanya.
Katanya dalam keadaan panik, dia segera menelefon rakan-rakan untuk meminta bantuan dan menghantar abangnya itu ke hospital swasta berhampiran, bagaimanapun Mugesh meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan disahkan oleh doktor yang melakukan pemeriksaan.
Beliau juga menafikan abangnya, iaitu anak sulung daripada enam beradik, mempunyai musuh kerana Mugesh seorang yang baik, peramah dan mempunyai ramai kawan serta bertanggungjawab.
"Keluarga amat terkejut dengan kejadian ini. Tidak sangka ia akan berlaku kerana abang tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa," katanya.
Mayat mendiang dibawa ke rumah keluarganya di Taman Bayu Mutiara, Bukit Tengah, sebelum dibakar di tempat pembakaran mayat Berapit, esok.
- Bernama

Pengamal perubatan tradisional mati ditembak



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Pengamal perubatan tradisional mati ditembak
Polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
JOHOR BAHRU - Seorang pengamal perubatan tradisional mati, manakala teman wanitanya mengalami cedera parah selepas kedua-duanya ditembak di rumahnya di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, semalam.

Mangsa, Ang Keng, 40, ditemui mati di aras bawah rumah dua tingkat itu, sementara teman wanitanya, Sureen Toh, 30, yang cedera akibat kejadian berkenaan berada di sebuah bilik di tingkat
atas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada teman wanita mangsa sekitar jam 5.15 petang.

“Mangsa yang ditemui dengan kesan tembakan pada tubuh dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala teman wanitanya yang cedera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Forensik masih menjalankan siasatan berhubung kes ini. Polis percaya beberapa das tembakan dilepaskan kepada mangsa dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Buat masa ini, polis mendapati tiada kesan rumah ini diceroboh kerana tidak ada kesan pecah masuk pada pintu pagar dan rumah mangsa. Malah barang berharga milik mangsa juga tidak hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Zainuddin berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan daripada bedah siasat ke atas mangsa selain keterangan daripada jiran bagi membantu siasatan kes itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang suspek terlibat dalam kejadian ini hasil siasatan awal dilakukan. Kita akan menjalankan siasatan dalam semua sudut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi polis atau hadir ke balai berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa bagi membantu siasatan.

PROPEL turut siasat kemalangan pekerja




22 November 2012
Propel - Kemalangan
Keadaan lori yang diletakkan di lorong kecemasan hampir hancur sepenuhnya selepas dirempuh treler dalam kejadian 4.30 pagi, semalam
KUALA LUMPUR - Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) sedang bekerjasama dengan polis untuk menyiasat punca kemalangan yang mengorbankan empat pekerjanya di Km294.1 Lebuhraya Utara-Selatan, menghala ke utara berhampiran Gopeng awal pagi semalam.
"Kami sangat terkejut dan sedih dengan kemalangan ini, walaupun pekerja kami dan syarikat sentiasa mematuhi langkah keselamatan yang ketat.
"Kami kehilangan staf bernilai dan keluarga mereka kehilangan bapa, suami, abang dan anak lelaki.
"Keluarga mereka menghadapi kesukaran dan kami akan menghulurkan bantuan termasuk kepada pekerja kami yang sedang dirawat di hospital," kata PROPEL dalam satu kenyataan.
Para pekerja itu termasuk empat pekerja lain yang cedera dilapor dilangar treler ketika melakukan kerja penyelenggaraan. - Bernama

Terima akibat rasuah Pengarah Imigresen negeri



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Terima akibat rasuah Pengarah Imigresen negeri
Tertuduh menutup muka sebaik saja keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
SEREMBAN – Tindakan seorang warga Myanmar merasuah Pengarah Jabatan Imigresen negeri mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, dekat sini, semalam.

Kyaw Sun Tun, 29, yang bekerja di sebuah restoran turut berdepan dengan hukuman tambahan 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi setelah pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari dibacakan jurubahasa mahkamah.

Menurut pertuduhan, Sun Tun didakwa memberi suapan RM2,000 kepada Faizal Fazri Othman yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan.

Dia melakukan kesalahan itu sebagai dorongan kepada pengadu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang tidak memiliki pas yang sah memasuki negara ini di Tingkat 1, Jalan ¼ Taman Tuanku Ja'afar, kira-kira 10.30 malam, 6 November lalu.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannnya diringankan kerana kesalahan itu adalah kesalahan pertamanya dan dia hanya berpendapatan RM30 sehari.

Malah, dia menyedari dan mengakui perbuatan yang dilakukannya adalah sesuatu yang salah.

Nursinah dalam penghakimannya kemudian berkata, mahkamah mengambil kira rayuan tertuduh terhadap kesalahan pertama kali dilakukan, namun mengingatkannya bahawa kesalahan dilakukan tertuduh suatu kesalahan serius dan meminta tertuduh insaf dengan tidak mengulangi kesalahan serupa.

Polis cedera ketika serbuan



NORAIZURA AHMAD
23 November 2012
Polis cedera ketika serbuan
Saiful menerima kunjungan Tun Hisan (berdiri, kanan) dan Mohd Adnan di Hospital Sungai Buloh.
SUNGAI BULOH – Seorang pegawai kanan polis cedera dalam serbuan menahan dua suspek yang cuba melarikan diri ke atas bumbung di sebuah rumah teres dua tingkat di di Taman Subang Perdana, Kampung Baru Subang, Selasa lalu.

Ketua operasi, Inspektor Saiful Bahari Yunus, 28, dari Pasukan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Polis Selangor, patah lengan kiri dan retak tulang pipi selepas terjatuh dari bumbung rumah tersebut.

Saiful Bahari berkata, ketika serbuan kira–kira jam 5.40 petang, dia bersama seorang rakannya mengejar suspek sebelum terjatuh.

“Saya langsung tidak ingat kejadian tersebut dan mungkin tergelincir ketika mengejar suspek.

“Saya pernah mengalami kecederaan ketika bertugas sebelum ini, tetapi hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui media di Hospital Sungai Buloh di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah antara yang melawatnya semalam.

Saiful Bahari berkata, perkara yang menjadi keutamaannya ketika bertugas adalah menangkap penjenayah dan tidak memikirkan bahaya yang bakal terjadi.

Bapa kepada dua cahaya mata berusia tiga tahun dan dua bulan itu berkata, isterinya yang masih dalam pantang terkejut dengan kejadian menimpanya itu.

Saiful Bahari berkata, dia akan dipindahkan ke Hospital Ipoh untuk menjalani rawatan lanjut.

Susulan nahas Gopeng: 'Demi anak saya perlu kuat'



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Susulan nahas Gopeng
Laporan Sinar semalam
Shaharuddin Abd Aziz
Shaharuddin Abd Aziz
IPOH - “Demi anak-anak, saya perlu kuat dan sabar menghadapi ujian ini,” luah Norsalina Abdul Hamid, 50, balu kepada mangsa kemalangan maut, Shaharuddin Abd Aziz, 51.
Norsalina, 50, berkata, kehilangan suami dalam sekelip mata memberi kesan mendalam terhadap dirinya dan tiga anak yang masih bersekolah.
Menurutnya, apa yang pasti, rutin kebiasaan menyediakan pakaian kerja arwah, sudah tidak dapat dilakukan lagi.
“Sepatutnya semalam (kelmarin) saya sediakan pakaian dan menghantarnya hingga ke depan pintu. Namun tidak dapat berbuat demikian, hari itu saya tidak berapa sihat,” katanya.

Allahyarham Shaharuddin meninggalkan tiga anak, Mohd Mustaqim, 14; Zawani, 16 dan Mohd Zahim, 18, masing-masing sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi
Gopeng dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh.
Norsalina berkata, sejak kebelakangan ini, arwah suaminya kerap mengadu lenguh serta sakit badan dan dia tidak menyangka arwah pergi dalam sekelip mata.
Anak kedua arwah, Zawani akui tidak dapat tidur lena malam kejadian dan berasa seolah-olah sesuatu tidak baik bakal berlaku.

Susulan nahas Gopeng: 'Ayah belum puas teman ibu'



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Susulan nahas Gopeng
Laporan Sinar semalam
 Susulan nahas Gopeng: 'Ayah belum puas teman ibu'
Huzaimi menunjukkan motosikal yang sering digunakan arwah setiap kali ke masjid dan kedai
IPOH – Selepas 15 tahun melalui hubungan jarak jauh dengan isteri, Arbawiyah Bahrom, 58, serta anak-anak, Allahyarham Mohd Shafie Ismail, 56, yang baru kembali bertugas di Ipoh awal tahun ini telah pergi meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya.
Anak mangsa, Huzaimi, 27, menyifatkan ayahnya masih belum puas menghabiskan masa bersama ibunya apabila maut dalam nahas ngeri di kilometer 294.1 Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran susur Gopeng, kelmarin.
"Sepanjang 15 tahun berkhidmat di Shah Alam, ayah hanya berpeluang menemani ibu di Taman Shatin Baru pada hujung minggu. Dia gembira bila dimaklumkan dapat bertukar kerja kerana berpeluang menghabiskan banyak masa bersama ibu selepas ibu bersara," katanya, semalam.
Buat masa ini, katanya, dia bersama abangnya, Sharol, 29, berhasrat membawa ibu mereka berpindah sementara waktu bagi menghilangkan rasa sedih.

Dijel ceroboh rumah dalam pembinaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Dijel ceroboh rumah dalam pembinaan
Ahmad Mahfaz dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, semalam selepas mengaku bersalah menceroboh masuk sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan.
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret semalam menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap seorang buruh selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah dalam pembinaan dipercayai untuk mencuri barang pembinaan.

Tertuduh, Ahmad Mahfaz Malek@ Maaroff, 30, dari Jalan Sekolah Pusat, Kuala Ibai, di sini, mengaku salah menceroboh masuk sebuah rumah yang dalam pembinaan dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang tanpa kebenaran pemiliknya Mohd Azmi Mohamad Daham, 43.

Dia yang sudah berkahwin itu mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh di Taman Chendering Utama, di sini, kira-kira jam 12.01 tengah malam, 19 November lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu berada di rumahnya di Jalan Kamaruddin, di sini, menerima panggilan daripada jirannya yang tinggal di Taman Chendering Utama, di sini, memaklumkan rumahnya yang sedang dalam pembinaan dimasuki seorang lelaki tidak dikenali.

Sejurus kemudian, mangsa melihat Ahmad Mahfaz berada di dalam rumahnya disyaki cuba untuk mencuri barang pembinaan yang ada di dalam rumahnya sebelum menahan Ahmad Mahfaz dan dibawa ke Balai Polis Chendering, di sini, untuk tindakan lanjut.

Dicekup ketika bermadu kasih



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Dicekup ketika bermadu kasih
Pasangan warga lndonesia yang didakwa melakukan khalwat dalam rumah kongsi sedang disoal siasat oleh pegawai Jaipk
Dicekup ketika bermadu kasih
Warga lndonesia tanpa permit kerja yang sah yang dicekup dalam serbuan lima lokasi di Slim River awal pagi semalam.
SLIM RIVER - Pasangan kekasih warga Indonesia yang sedang asyik bermadu kasih di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan projek perumahan Taman Sekiah Makmur Behrang Ulu, terkejut dengan kehadiran pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam (Jaipk) Ulu, di sini, semalam.

Wanita berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Diana bersama pasangannya dikenali sebagai La Saudi, 29, terkejut dengan kehadiran pegawai penguatkuasa Jaipk yang membuat serbuan dalam Operasi Bersepadu di lima lokasi di sini, kira-kira jam 3.10 pagi semalam.

Ketua Cawangan Imigresen Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, namun begitu, percubaan wanita itu untuk melompat pengadang dinding papan lapis setinggi 1.2 meter gagal kerana pegawai Jaipk berjaya menahan kedua-dua warga Indonesia berkenaan.

“Kedua-dua mereka yang terkejut dengan kehadiran pegawai Jaipk, cuba menafikan mereka berkhalwat ketika dicekup.

“Mereka kini akan di hadapkan ke Mahkamah Syariah Slim River dalam waktu terdekat atas kesalahan berkhalwat,” katanya kepada pemberita di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, selain pasangan warga Indonesia itu, pihaknya juga menahan 12 warga lndonesia dalam operasi sama yang bermula jam 1 pagi dan berakhir jam 3.30 pagi

Katanya, Operasi Bersepadu yang membabitkan 58 pegawai dari Jabatan lmigrsen Teluk lntan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Jaipk membuat serbuan di lima lokasi berbeza di kawasan Slim River.

Katanya, kesemua warga Indonesia itu melakukan kesalahan di bawah Akta lmigresen 1959/63 (Akta 155) dan peraturan peraturan lmigresen 1963.

“Kesemua mereka yang ditahan reman di Depot Tahanan Imigresen dan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah,” katanya.

Dakwa ditipu syarikat komputer



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Dakwa ditipu syarikat komputer
Asmah menunjukkan resit deposit wang, surat penerimaan tempahan dan SMS dihantar wakil syarikat terbabit.
ROMPIN – Hasrat suami isteri membeli komputer untuk kegunaan anak yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun depan tidak kesampaian apabila mereka nyaris ditipu sebuah syarikat pengeluar komputer berjenama di ibu negara.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Asmah (bukan nama sebenar) itu berkata, dia tertarik dengan harga ditawarkan syarikat pengeluar komputer terbabit menerusi iklan disiarkan dalam sebuah
akhbar tempatan (bukan Sinar Harian).

Menurutnya, sehingga kini komputer berjenama berharga RM1,200 termasuk kos penghantaran itu masih tidak sampai kepada pembeli, sedangkan mengikut perjanjian sepatutnya ia dihantar selewat-lewatnya Mei lalu.

“Saya bayar deposit RM400 pada 16 Februari dan memasukkan RM800 lagi pada 29 Jun lalu apabila pihak terbabit meminta baki wang tersebut. Kononnya mereka akan hantar komputer itu dalam tempoh dijanjikan,” katanya.

Asmah berkata, dia juga hairan apabila resit bayaran deposit dan surat penerimaan tempahan dihantar kepadanya tidak mengandungi nombor telefon pejabat syarikat terbabit.

Menurutnya, syarikat terbabit hanya mempunyai alamat pejabat menyebabkan dia terpaksa menghubungi nombor seorang lelaki atau seorang wanita seperti tertera dalam surat penerimaan tempahan diterimanya.

"Dua individu itu sering gagal dihubungi. Saya hanya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 1 Oktober lalu menyatakan komputer itu tidak dapat dihantar kerana terdapat masalah pada perisian.

“Saya cuba hubungi mereka, tapi tidak berjawab. Saya terpaksa buat laporan di Balai Polis Bukit Ibam, petang kelmarin, untuk tindakan susulan.

Dia berkata, syarikat terbabit memohon tempoh sehingga 30 November ini untuk mengembalikan wang tersebut, namun dia meminta wang tersebut dimasukkan segera ke dalam akaun bank.

Sementara itu, jurucakap syarikat terbabit ketika dihubungi berkata, ada beberapa masalah menyebabkan komputer itu tidak sampai kepada pembeli, namun pihaknya bersetuju untuk memulangkan semula wang sebelum jam 3 petang semalam.

“Kami memasukkan semua wang berjumlah RM1,200 ke dalam akaun pengadu dan memohon maaf atas kesilapan tersebut,” katanya.

'Pelamin anganku musnah'



RUBIAH OMAR
23 November 2012
'Pelamin anganku musnah'
Mohd Paisal dikenakan penjara 12 bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencuri besi stagging dan dua pam air bernilai RM25,000 milik jirannya.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh terpaksa melupakan hasratnya untuk melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya yang dijangka akan berlangsung pada April tahun depan, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Bukan itu sahaja, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut mengarahkan tertuduh, Mohd Paisal Ismail, 32, dari Kampung Nibong Panji Alam, dipenjarakan tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Mohd Paisal mengaku mencuri satu tapak besi stagging dan dua pam air bernilai RM25,000 milik jirannya, Heshaful Bahri Muhammad, 41, di sebuah stor di Jalan Panji Alam, Kampung Nibong, di sini.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri itu pada 31 Oktober lalu kira-kira jam 7.40 malam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Faizal Ahmad Tajudin manakala Mohd Paisal yang juga positif morfin itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Paisal dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang, selain mendakwa perlu menjaga ibunya yang sudah tua serta mendakwa akan berkahwin April depan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor berada di kediamannya kira-kira jam 7.40 malam, 31 Oktober lalu sebelum terdengar bunyi bising dari arah stor miliknya lalu membuat pemeriksaan.

Ketika itu, mangsa ternampak tiga hingga empat orang termasuk Mohd Paisal yang juga anak jirannya sebelum cuba menahan mereka, bagaimanapun apabila memikirkan Mohd Paisal adalah anak jirannya, dia melepaskannya kerana tidak sampai hati.

Namun, pada 6 November lalu, ibu Mohd Paisal datang secara sukarela menyerahkan anaknya itu kepada mangsa dan meminta mangsa membuat laporan polis.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan Mohd Paisal ditahan di kediamannya kira-kira jam 2.30 pagi, 18 November lalu.

Pejabat Maidam dipecah masuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
 Zamri Shamsuddin
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Jenayah pecah bangunan melibatkan pejabat dan agensi kerajaan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Kelmarin, bilik mesyuarat utama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) yang terletak di tingkat 2, Kompleks Sri Iman, Jalan Sultan Muhamad telah dipecah masuk.

Kejadian disedari kira-kira jam 10.30 pagi oleh seorang pembantu tadbir di situ, sebelum memaklumkan kepada Penolong Setiausahanya yang ketika itu sedang berada di pejabatnya di tingkat 1, bangunan berkenaan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek telah pecah masuk ke dalam pejabat tersebut melalui tingkap kerana terdapat kesan umpil.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati sebuah televisyen LCD, satu alat projektor dan wang tunai bernilai kira-kira RM200 milik kakitangan lesap.

“Bagaimanapun, terdapat banyak lagi barang lain dipercayai hilang namun sehingga kini masih tidak dikenal pasti,” katanya, semalam.

Katanya, selepas yakin bilik mesyuarat itu dipecah masuk, pihak Maidam telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan itu walaupun mempunyai pengawal keselamatan.

“Siasatan mendapati tahap keselamatan masih longgar kerana walaupun sudah ada pengawal keselamatan, pihak berkenaan sewajarnya menyediakan kemudahan CCTV terutama di tempat lebih strategik,” katanya.
Dalam masa sama, Zamri turut menasihatkan pihak pengurusan premis kerajaan menekankan aspek keselamatan termasuk penambahan anggota pengawal keselamatan; memberikan latihan keselamatan yang lengkap kepada pengawal keselamatan dilantik dan juga menambah bilangan kemudahan CCTV terutama di lokasi strategik.

Kantoi dalam sekatan jalan



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
DUNGUN – Niat dua sahabat untuk pulang ke kampung selepas berkunjung ke sebuah bandar berdekatan bertukar detik hitam, apabila masing-masing ditahan selepas disyaki memiliki dadah.

Dua lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa di satu sekatan jalan di Stesen Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Melihat keadaan mencurigakan dua lelaki berusia 27 dan 42 itu, pihak polis yang mengadakan operasi bersama JPJ dan beberapa agensi lain bertindak menahan sebelum memeriksa kenderaan dinaiki suspek.

Hasilnya, satu botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin ditemui dalam beg yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan, selain beberapa pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine dalam laci kecil berdekatan kotak gear kenderaan dinaiki mereka.

Kedua-dua lelaki berkenaan, masing-masing berasal dari Tanah Merah dan Pasir Mas, Kelantan ditahan kerana disyaki memiliki dadah di bawah kawalannya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk diambil keterangan.
Kenderaan Proton Wira Aeroback gelap dinaiki suspek juga turut disita untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan dua suspek berasal dari Kelantan itu terpaksa ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut disita dalam operasi bersepadu bermula jam 3 petang diketuai pihak JPJ itu termasuk sebuah lori.

Hasil pemeriksaan ke atas lebih 100 kenderaan, 24 saman dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan trafik termasuk cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.
Operasi tamat jam 12 malam.

Cucu ugut cederakan nenek guna sabit



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Cucu ugut cederakan nenek guna sabit
Tertuduh (dua, kiri) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU – Tindakan seorang penganggur mengugut mencederakan neneknya dengan sabit mendapat balasan apabila dia dihukum 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Wan Muhamad Fakhriain Wan Mohd Azhar, 21, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Dia didakwa mengugut Zainab Yaakub dengan sabit di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, jam 11 pagi, 19 November lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor memutuskan hukuman itu dan berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan.

Sebelum itu, Wan Muhamad Fakhriain pergi ke tempat kerja ibunya dan mengamuk di sana sebelum disuruh pulang tetapi mengamuk pula di rumah serta cuba mencederakan Zainab dengan sabit.

Zainab yang takut dengan perlakuan agresif cucunya itu bertindak melaporkan kepada polis. Tertuduh ditahan hari sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

Tertuduh kes tikam pembantu kedai kain diarah jalani pemeriksaan mental



RUBIAH OMAR
23 November 2012
 Tertuduh kes tikam pembantu kedai kain diarah jalani pemeriksaan mental
Mahkamah Tinggi mengarahkan Albert dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, sehingga 8 Januari depan.
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan suspek utama dalam kejadian tikaman maut membabitkan seorang pembantu kedai di sebuah kedai tekstil di bangunan komersial Paya Keladi, Jalan Kampung Daik, di sini, Februari lalu dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor  Bahru.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan tertuduh, Albert Majang, 23, dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak, dihantar ke hospital berkenaan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan mental sehingga 8 Januari tahun depan.

Terdahulu, Albert didakwa membunuh Wan Manisah Wan Mansor, 27, pada 1 Februari lalu kira-kira jam 8 malam, di tingkat bawah kedai UB Textile Sdn Bhd di Pusat Niaga Paya Keladi, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Albert tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan kejadian seorang pembantu kedai maut sebelum ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki dalam kejadian 1 Februari lalu.

Mangsa mengalami kecederaan parah dengan enam tikaman pada kiri badannya, iaitu tiga di lengan dan tiga di bahagian belakang.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jam 2.05 pagi, keesokannya.

Nahas disyaki akibat kecuaian pemandu

KUANTAN: Kecuaian pemandu treler dipercayai antara faktor utama kemalangan maut yang menyebabkan empat pekerja syarikat Projek Penyelenggara Lebuhraya Berhad (Propel), maut manakala empat lagi parah dirempuh sebuah treler ketika sedang bekerja di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Gopeng, Perak, kelmarin.

Pengurus Besar Jabatan Keselamatan Trafik Plus Malaysia Berhad (Plus), Zakaria Shaffie, berkata berdasarkan siasatan awal Plus juga mendapati semua pekerja mematuhi segala prosedur ditetapkan Plus termasuk meletakkan kon keselamatan ketika melakukan kerja penyelenggaraan.


“Dalam kes kemalangan ini, kami dapati faktor pemandu treler punca berlakunya kemalangan kerana segala aspek keselamatan sudah dilakukan semua pekerja terbabit.

“Bagaimanapun, kami menyerahkan segala siasatan kemalangan kepada pihak berkuasa (polis) bagi mengenalpasti punca kemalangan yang mengorbankan empat orang manakala empat lagi parah,” katanya semalam.


Zakaria berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas kemalangan maut menyebabkan empat pekerja Propel terbunuh manakala empat lagi parah di Gopeng.


Nahas ngeri jam 4.30 pagi itu berlaku ketika mereka sedang menyambung kabel optik di lorong kecemasan di Kilometer 294.1 arah utara.

Dalam kejadian itu ada mangsa tercampak ke dalam longkang dan terperosok di bawah treler.


Mereka yang terbunuh adalah Ismady Mohd Rodzi, 32; Mohd Hafez Yunos, 39; Shaharuddin Abd Aziz, 51, dan Mohd Shafie Ismail, 56.

Mangsa yang parah, pekerja Propel, Shafudin Abdul Jalil, 31, dan Dino Azmi, 36; dua pekerja TimedotCom, Azhan Ismail, 44, dan Mahyuddin Idris, 48. Pemandu treler, Zulkifli Mohd Noor, 41, dari Langkawi dan kelindannya, Mohd Rozi Mat Sharif, 44, juga cedera parah.


Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria menasihati semua pemandu terutama kenderaan berat supaya memandu secara berhemah dan fokus terhadap pemanduan terutama ketika waktu malam dan awal pagi.


Menurutnya, pemandu seharusnya mementingkan tahap keupayaan diri dan jika berasa penat, mereka perlu berehat sebelum kembali memulakan pemanduan.


“Bagi manusia normal, kita hanya mampu memandu tidak lebih dari dua jam dan perlu berehat,” katanya.