PULAU PINANG 20 Nov. - Seorang remaja perempuan kini berada dalam keadaan trauma selepas mendakwa sering menjadi mangsa dera bapa kandungnya sejak tiga tahun lalu.
Mangsa yang tinggal di Farlim, Air Itam di sini diperlaku sedemikian sebaik sahaja ibu dan kakaknya keluar dari rumah dan tinggal berasingan.
Terbaru, gadis itu ditampar serta dipukul di bahagian belakang badan dan pinggang oleh bapanya yang merupakan seorang bookie sehingga meninggalkan kesan kecederaan.
Disebabkan sering didera, dia hidup dalam keadaan tertekan dan sering mengunci diri di dalam bilik.
Akibat tidak sanggup lagi menjadi mangsa dera, dia yang mahu dikenali sebagai Wen, 13, mengambil keputusan lari dari rumah dan tinggal bersama ibu, Yam Mei Heai, 41, dan kakak sulungnya, Ho Lai Chan, 22.
Menurut Mei Heai, dia terpaksa meninggalkan Wen semasa berusia 11 tahun dan hanya membawa Lai Chan keluar dari rumah akibat tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya.
Dakwanya, ketika itu dia tidak bekerja dan tidak mampu menjaga serta menguruskan hal persekolahan anak bongsunya.
"Sejak keluar dari rumah, kami tidak dibenarkan berjumpa Wen termasuk menghubungi menerusi telefon bimbit. Saya hanya berpeluang menemuinya ketika di sekolah itu pun dalam masa singkat.
"Pernah sekali, saya terserempak dengan suami di sekolah dan dia terus memaki hamun tanpa mempedulikan orang di sekeliling serta mengugut kami," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mei Heai, dia dan anak-anak kini bimbang dengan keselamatan diri kerana suaminya sudah mengetahui lokasi tempat tinggal mereka.
Disebabkan itu, mereka terpaksa membuat laporan polis dan mahu tindakan diambil pihak berkuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA negeri, Lim Thoong Deong memberitahu, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan membantu mendapatkan perkhidmatan kaunseling daripada pakar psikiatri.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121121/je_04/Remaja-trauma-3-tahun-jadi-mangsa-dera-bapa#ixzz2Cwneal6T
© Utusan Melayu (M) Bhd