Keadaan rumah setinggan yang musnah terbakar.
Mangsa kebakaran tidak dapat menahan sebak melihat keadaan rumah mereka yang musnah terbakar dalam kejadian tengah malam, kelmarin.
Penduduk mahu DBKL mempertimbangkan permohonan mereka untuk menyewa PPR yang dimohon sejak 2007.
KUALA LUMPUR - Sebanyak 25 keluarga dari setinggan Kampung Sek Ma, Sentul, di sini, merayu agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka yang dimohon sejak 2007.
Mereka yang kini tinggal di atas tanah milik persendirian (pemaju), bimbang tiada tempat untuk berpindah setelah pihak pemaju memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mengosongkan tanah.
Penduduk, A Ganesan, 42, berkata, dia tidak mampu untuk menyewa rumah lain dengan harga yang tinggi.
Menurutnya, dia akur dengan status kediaman mereka di atas tanah milik persendirian yang akan dibangunkan, namun buntu kerana tiada tempat untuk berpindah.
“Pihak penduduk ada berbincang dengan pemaju untuk mereka membantu kami memperoleh rumah, tetapi kami difahamkan permohonan mereka kepada DBKL juga ditolak.
“Pemaju janji untuk memberi pampasan sebanyak RM20,000 bagi satu lot rumah yang masing-masing mempunyai kira-kira enam unit rumah, tetapi hanya akan diberikan ketika berpindah,” katanya.
Bagi So Lee, 53, kini dia tinggal bersama keluarga besarnya dalam satu unit rumah dan memerlukan penempatan semula yang lebih selesa atau lebih dari satu unit PPR.
“Dalam satu rumah, kami tinggal seramai 15 orang, pendapatan saya sebagai kontraktor juga tidak tentu.
“Memang harap sangat DBKL dapat luluskan permohonan yang dibuat sejak 2007,” katanya.
Sementara itu, Lau Goon Seng, 39, berkata, dia bersedia untuk berpindah keluar namun buntu kerana tiada tempat untuk dituju.
“Kami 11 orang dalam satu rumah dan saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan kira-kira RM1,000, memang tidak mampu untuk sewa rumah lain yang jauh lebih mahal,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, setinggan tersebut sudah dihuni sejak kira-kira 70 tahun lalu, namun rancangan pembangunannya hanya diketahui sejak Jun lalu.
Kerja perobohan akan dilakukan sekiranya penduduk gagal mengosongkan rumah mereka sehingga tempoh yang ditetapkan.
Tujuh setinggan terbakar
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah situasi yang mampu digambarkan apabila deretan kediaman tujuh sekeluarga di setinggan Kampung Sek Ma, musnah dalam kebakaran tengah malam kelmarin, selepas mereka menyuarakan hasrat memiliki PPR pada pagi,
hari sebelumnya.
Ketika kejadian, seorang mangsa, M Jasotha, 34, berada seorang diri di rumah sementara suaminya keluar bekerja sebagai pemandu teksi.
Menurutnya yang juga jiran kepada mangsa lain, sewaktu kejadian, dia sedang tidur sebelum tersedar mendengar bunyi letupan kuat sebelum rumahnya tiba-tiba gelap.
“Dalam keadaan terkejut saya tidak mempunyai pilihan selain menyelamatkan nyawa dan gagal menyelamatkan sebarang harta termasuk dokumen penting, barang kemas dan anjing peliharaan.
“Kerugian dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 apabila dua motosikal yang diletak di hadapan rumah juga gagal diselamatkan,” katanya.
Penduduk, N Marimuthu, 52, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang jiran memaklumkan rumahnya terbakar.
“Kesemua ahli keluarga keluar makan di Sri Gombak untuk meraikan hari lahir salah seorang ahli keluarga sebelum menerima panggilan sekitar jam 12 memaklumkan berlaku kebakaran.
“Sewaktu tiba di tempat kejadian, api sudah marak dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa termasuk keperluan persekolahan.
"Buku sekolah anak sulung saya yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bakal mengambil kertas peperiksaan dua hari lagi juga turut gagal diselamatkan,” katanya yang kerugian kira-kira RM10,000.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Haikal Jimi Ngali Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan 11.07 malam sebelum jentera bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, enam jentera daripada empat balai bomba terlibat, iaitu Gombak Selatan, Sentul, Titiwangsa dan Hang Tuah, dengan kekuatan 36 anggota terlibat dalam operasi memadam api.
“Jentera pertama tiba pada jam 11.14 malam dan api berjaya di kawal jam 11.55 malam.
“Seramai 30 mangsa daripada tujuh unit rumah terlibat, yang mana turut melibatkan kemusnahan dua motosikal. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Mahu campur tangan menteri
Dalam pada itu, Ketua Penyelaras BN Gerakan Parlimen Batu, Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata, pihaknya serius dalam memperjuangkan nasib 25 keluarga di setinggan itu sejak 2010 apabila mengetahui kawasan itu akan dibangunkan.
Menurutnya, permohonan dan rayuan yang dibuat kepada DBKL untuk memperuntukkan mereka unit PPR juga ditolak, kali terakhir menerusi surat bertarikh 8 November lalu.
“Dalam surat itu dinyatakan bahawa DBKL tiada peruntukan unit bagi setinggan milik persendirian dan kita akur berhubung hal itu.
“Namun, yang dipersoalkan adalah permohonan yang dibuat sejak 2007 atas kapasiti warganegara dan penduduk Kuala Lumpur. Mengapa tiada kelulusan diberi,” katanya.
Beliau menambah, penduduk setinggan tersebut merupakan golongan kurang kemampuan dan memerlukan pertimbangan DBKL untuk menghuni di PPR.
Katanya, dalam hal tersebut, campur tangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin diperlukan bagi membela nasib penduduk.
“Sekiranya tiada penyelesaian, penduduk mahu mengadakan demonstrasi di pejabat DBKL sehingga masalah diselesaikan,” katanya.
Sementara itu menurutnya, bantuan akan diberikan kepada mangsa kebakaran termasuk memberi tempat tinggal sementara dan makanan serta membantu membuat laporan polis.
“Kita minta supaya ibu bapa kepada seorang pelajar yang menduduki peperiksaan SPM untuk menyegerakan membuat laporan polis supaya salinan pengenalan diri boleh digunakan untuk mengambil kertas peperiksaan,” katanya.