Pekan Alor Gajah dinaiki air hampir satu meter selepas berlakunya hujan lebat sejak pagi semalam.
Air naik dengan cepat di Pekan Alor Gajah.
ALOR GAJAH - Sebanyak 12 kawasan penempatan di sekitar daerah ini dinaiki air hampir satu meter selepas berlakunya hujan lebat sejak 2.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, semalam.
Kejadian banjir kali ini membabitkan lebih 1,500 penduduk melibatkan lebih 400 rumah di beberapa kawasan antaranya Sungai Siput, Brisu, Sungai Petai, Pengkalan dan Belimbing Dalam.
Turut dinaiki air, sekitar pekan Alor Gajah, Taman Pengkalan Indah, Taman Awan Biru, Gadek Dalam, Pegoh, Air Hitam Lendu, Sungai Tuang, Rantau Panjang, Simpang Ampat dan Belimbing Dalam.
Banjir kilat paling teruk
Peniaga di pekan Alor Gajah, Ah Chong, 62, berkata, air mula naik hingga memasuki kedai kira-kira jam 10.30 pagi dan mendakwa keadaan kali ini lebih teruk berbanding banjir kilat sebelum ini.
Menurutnya, setiap kali hujan lebat, air akan naik dengan cepat namun tidak terlalu lama.
“Malah air juga tidak memasuki kedai tetapi kali ini ia masuk lebih-lebih lagi sewaktu kenderaan berat melalui jalan ini.
“Air akan naik dalam tempoh 40 minit dan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk surut sebelum jalan dibuka semula," katanya yang sudah menetap di Alor Gajah sejak 50 tahun lalu.
Seorang lagi peniaga, Kumar Ahmedlal, 40, berkata, bencana banjir ini berulang semula selepas pihak berkaitan menaik taraf sistem perparitan dan saliran longkang berkenaan 10 tahun lalu.
Terpaksa punggah barang ke tempat tinggi
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pekan Alor Gajah, Mohd Radi Hamdin berkata, kejadian banjir kilat kerap berlaku di pekan ini namun akan surut semula beberapa jam kemudian.
Manakala penduduk Taman Pengkalan Indah, Hasha Aziqah Mohd Yazid, 16, berkata, dia sekeluarga menyedari air naik kira-kira jam 9 pagi ketika hujan reda namun air mula memasuki rumah.
“Kami sekeluarga terpaksa memunggah barang berharga ke tempat lebih tinggi untuk sementara waktu dan banjir kali ini adalah kali kedua berlaku selepas lima tahun dahulu yang dipercayai berpunca dari masalah perparitan.
“Selagi masalah perparitan ini tidak diselenggarakan dengan segera, air akan terus naik setiap kali hujan lebat apatah lagi dengan cuaca tidak menentu,” katanya ketika ditemui.
6 pusat pemindahan dibuka
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Leftenan Muda Hamdan Mohd Saat berkata, seramai 15 anggota ditugaskan ke beberapa lokasi banjir sekitar daerah.
“Kawasan berkaitan adalah kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan mudah dinaiki air antaranya Belimbing Dalam, Pengkalan dan Sungai Siput sehingga air naik satu meter,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sebanyak enam pusat pemindahan dibuka kepada mangsa banjir di sekitar daerah ini antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai dan SK Lesung Batu dan balai raya selepas dibimbangi paras air semakin naik.
Operasi menyelamat turut dibantu pihak polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu mangsa.
Turut berada di lokasi banjir, Adun Rembia, Datuk Norpipah Abdol; Adun Machap, Datuk Lai Meng Chong; Pegawai Daerah, Datuk Idrus Md Jani dan Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah, Shadan Othman.