Search This Blog

Monday, November 19, 2012

Mekanik terkejut terima SMS ugutan



Guek Sing Chee (kiri) menunjukkan SMS ugutan bunuh yang diterimanya manakala Chen Boon Ping menunjukkan laporan polis yang dibuat mangsa di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 18 Nov. - ''Bos, saya dari kumpulan gengster, dalam masa 24 jam masukkan wang RM2,000 dalam akaun Hong Leong, kalau awak tidak bekerjasama, saya akan bunuh awak sekeluarga."
Itu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima seorang mekanik, Guek Sing Chee, 49, semalam daripada individu yang tidak dikenali sehingga membuatkan hidupnya tidak tenteram dan diselubungi ketakutan.
Akibat rasa ingin tahu, dia yang juga Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Ketua Skuad Bantuan Kecemasan Malaysia Bahagian Pasir Gudang cuba menghubungi nombor tersebut, namun panggilannya tidak dijawab.
"Saya terkejut selepas mendapat SMS berkenaan. Rasanya, saya tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menyakitkan hati sesiapa sebelum ini," katanya di sini semalam sambil ditemani Ketua Biro Aduan Pemuda MCA Pasir Gudang, Chen Boon Ping.
Selepas memikirkan tentang keselamatannya dan mendapat nasihat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk, dia akhirnya membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya di sini.
Sing Chee yang mempunyai empat orang anak tidak menolak kemungkinan mesej ugutan yang diterimanya dihantar oleh satu sindiket yang memeras wang orang ramai secara rawak menggunakan SMS.
Malah pada hari yang sama, seorang rakannya turut menerima SMS ugutan yang sama.
"Rakan saya turut menerima SMS serupa pada hari yang sama. Mudah untuk sindiket mendapatkan nombor telefon saya kerana kami selalu mengiklankan bisnes yang memaparkan sekali nombor telefon dalam akhbar," katanya.
Sementara itu, Boon Ping menasihatkan orang ramai yang menerima mesej seumpama itu supaya tidak mudah mempercayainya, malah terus membuat laporan di balai polis berhampiran.
"Jangan terus berikan wang, sila laporkan kepada pihak polis terlebih dulu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121119/je_04/Mekanik-terkejut-terima-SMS-ugutan#ixzz2CgDzsW4h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 penduduk hangus terbakar




DHAKA 18 Nov. - Sekurang-kurangnya 11 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak maut setelah satu daripada kawasan setinggan terbesar di ibu negara Bangladesh hangus dijilat api, awal pagi ini.
Ketua Polis tempatan, Rafiqul Islam berkata, kebakaran itu bermula di sebuah garaj beca ketika ribuan penduduk di kawasan melarat Boubazaar sedang tidur.
''Mangsa yang rentung terdiri daripada lima wanita dan enam kanak-kanak dengan sejumlah besar penduduk turut dilaporkan mengalami cedera parah.
''Bomba dan penduduk, bagaimanapun berjaya mengawal api daripada merebak,'' kata Rafiqul kepada AFP.
Rafiqul berkata, beliau difahamkan, dapur atau puntung rokok merupakan punca kebakaran itu.
Katanya, penduduk setinggan di situ masih berada di lokasi kejadian bagi mencari harta benda mereka yang terselamat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_04/11-penduduk-hangus-terbakar#ixzz2CgD9DfQV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua bas bertembung di Ghana, 31 maut



ACCRA 18 Nov. - Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh manakala 30 lagi cedera apabila dua buah bas bertembung dalam satu kemalangan di Ghana, kelmarin.
Agensi berita Ghana yang memetik kenyataan pegawai perubatan di Hospital Tamale Teaching berkata, kejadian tersebut berlaku di Kogni yang terletak kira-kira 650 kilometer di utara Accra dan kedua-dua pemandu bas terbabit antara mangsa yang terbunuh.
Menurut saksi di tempat kejadian, kemalangan itu berpunca apabila satu daripada bas berkenaan gagal memotong sebuah motosikal sebelum merempuh sebuah lagi bas terbabit. - dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121118/lu_08/Dua-bas-bertembung-di-Ghana-31-maut#ixzz2CgCwxjui
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bom dilontar ke dalam bas mini, tujuh maut



NAIROBI 19 Nov. - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 29 lagi cedera apabila sebutir bom meletup dalam sebuah bas mini di kawasan kejiranan Eastleigh, Kenya yang dikuasai penduduk Somalia di sini semalam.
Komander polis Nairobi, Moses Ombati berkata, bom tersebut dipercayai dicampak ke dalam bas terbabit sebelum meletup dan menyebabkan kenderaan berkenaan musnah teruk.
Menurut laporan laman berita tempatan Standard Digital, individu yang bertanggungjawab melontar bom itu hampir dibunuh oleh sekumpulan penduduk yang marah dengan kejadian tersebut, namun pihak polis bertindak pantas melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan mereka. - REUTERS/dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_09/Bom-dilontar-ke-dalam-bas-mini-tujuh-maut#ixzz2CgCjZH2n
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar dakwa dirogol tiga lelaki



MIRI 18 Nov. - Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun menjadi mangsa tiga lelaki, termasuk dua remaja bawah umur selepas dirogol bergilir-gilir di sebuah rumah panjang di Batu Niah, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, mangsa dipaksa mengambil minuman keras sehingga mabuk dan tidak sedarkan diri sebelum dirogol.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersama abangnya pergi ke rumah panjang berkenaan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.
Bagaimanapun, akibat terpengaruh dengan pujuk rayu tiga lelaki berusia antara 15 hingga 28 tahun yang baru dikenalinya itu, mangsa mengambil minuman keras yang diberikan sehingga tidak sedarkan diri.
"Setelah dalam keadaan mabuk, mangsa dipercayai dibawa oleh tiga lelaki berkenaan ke belakang rumah panjang tersebut sebelum dirogol bergilir-gilir," katanya.
Laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh mangsa yang ditemani abangnya di Balai Polis Batu Niah di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan polis telah menangkap tiga suspek dan menahan reman mereka untuk siasatan lanjut.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Miri untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121119/je_03/Pelajar-dakwa-dirogol-tiga-lelaki#ixzz2Cg9rAG5e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kim Kardashian terima ugutan bunuh



Kim Kardashian

LOS ANGELES 18 Nov. - Bintang realiti televisyen, Kim Kardashian dilaporkan menerima ugutan bunuh ekoran menyiarkan kenyataan menyokong Israel di laman sosial Twitter miliknya.
Dalam laman sosial itu, Kardashian menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku di negara Asia Barat itu dengan menulis 'Berdoa untuk semua di Israel'.
Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan peminatnya dan mengugut untuk membunuhnya.
Kardashian bagaimanapun, memadam kenyataan tersebut dan menjelaskan perkara sebenar.
"Saya mengaku menghantar dua tweet yang berkaitan dengan doa untuk penduduk di Palestin dan Israel tetapi selepas mendapat reaksi daripada pengikut, saya membuat keputusan untuk memadamkan tweet tersebut kerana sedar ramai yang tersinggung.
"Saya sepatutnya menerangkan niat sebenar sebelum menyiarkan tweet tersebut. Saya berdoa supaya mereka selamat,'' kata Kardashian dalam blog miliknya.
Katanya, dia akan lebih berhati-hati dengan apa yang akan ditulis dalam twitternya selepas ini bagi mengelak sebarang kekeliruan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_03/Kim-Kardashian-terima-ugutan-bunuh#ixzz2Cg9O2Q1A
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Helah tempah cincin tunang



NURUL FATIHAH SULAINI
19 November 2012
Helah tempah cincin tunang
Gambar kamera litar tertutup menunjukkan lelaki berkenaan sedang berurusan.
Zamzalina Zakaria
Zamzalina Zakaria
ALOR SETAR - Seorang lelaki menggunakan helah menempah cincin tunang untuk menyamun seutas rantai leher jenis kait seberat 11.15 gram ketika berurusan dengan seorang pembantu kedai emas di Jalan Langgar, semalam.

Difahamkan lelaki itu masuk ke premis kedai terbabit sekitar jam 11.55 pagi sebelum bertindak menyamun sebahagian rantai berkenaan dengan membawa lari keluar menuju ke motosikal jenis Honda Wave yang diletakkan kira-kira tiga meter dari kedai itu.

Pembantu kedai, Zamzalina Zakaria, 38, berkata, kejadian berlaku dalam tempoh 10 minit ketika berurusan dengan lelaki berumur 38 tahun itu yang juga pernah menjadi pelanggan kedai terbabit pada 13 November lalu.

Menurutnya, pada bulan lalu lelaki itu datang ke kedai untuk menjual loceng emas dengan harga RM65 dan sewaktu dia datang kedai mereka melayannya seperti biasa kerana pernah berurusan sebelum ini.

“Pada mulanya dia memberitahu mahu menempah cincin tunang dengan menggunakan batu sendiri dan saya menyuruhnya membawa batu berkenaan untuk memudahkan kami membuat anggaran berapa jumlah yang patut dikenakan.

“Selang beberapa minit kemudian, lelaki berkenaan menyuarakan hasrat untuk menukar rantai leher dan gelang kaki milik ibunya dengan seutas rantai anggaran harga lingkungan RM2,500,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Zamzalina berkata, dia kemudian membawa keluar rantai itu dari ruang pameran dan apabila ditunjukkan, lelaki itu terus menarik rantai berharga RM2,480 yang masih dipegangnya sehingga terputus.

“Lelaki yang memakai kemeja T berkolar merah dengan mempunyai tattoo di sebelah kanan itu membawa lari rantai setelah melihat salah seorang kakitangan keluar dari pejabat.

“Kebetulan semasa kejadian saya sedang bertugas bersama empat rakan yang lain dan mereka sempat menekan alat penggera keselamatan serta cuba mengejarnya namun tidak berjaya,” katanya.

Katanya, sepanjang lebih dua tahun dia bekerja di kedai yang baru dibuka empat tahun lalu kejadian itu merupakan kali pertama berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian itu.

Dua pencuri kabel maut



HAZELEN LIANA KAMARUDIN
18 November 2012
Dua pencuri kabel maut
Tempat di mana kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu oleh pencuri kabel bertembung dengan treler di Wakaf Che Yeh.
KOTA BHARU - Dua pencuri kabel maut ketika cuba melarikan diri dalam satu kemalangan yang berlaku di lampu isyarat hadapan Perodua Wakaf Che Yeh di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd Rafar berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 4.30 pagi apabila kereta yang dinaiki tiga orang suspek itu bertembung dengan sebuah treler.

“Ketiga-tiga suspek tersebut melarikan diri selepas mencuri kabel di Tumpat dan sampai di lampu isyarat tersebut, kereta Proton Wira dari arah Tumpah itu bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah Kuala Krai menuju ke Kubang Kerian,” katanya.

Menurutnya, mereka dikejar oleh anggota peronda dari Tumpat sehingga ke tempat kejadian selepas disyaki mencuri kabel telefon.

Beliau berkata, penumpang hadapan Proton Wira tersebut maut di tempat kejadian manakala penumpang belakang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Bagaimanapun, pemandu Proton Wira itu tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga pemandu treler tersebut,” katanya.

Idris berkata, suspek yang tidak cedera itu kini ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.

Bas ekspres terbabas masuk paya



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
19 November 2012
Bas ekspres terbabas masuk paya
Keadaan bas yang terbabas masuk ke dalam kawasan paya di tempat kejadian.
Bas ekspres terbabas masuk paya
Penumpang yang terselamat menunggu di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan.
Bas ekspres terbabas masuk paya
Keadaan lori yang terbabas masuk ke dalam kawasan paya di tempat kejadian.
KUANTAN - Seramai 31 penumpang sebuah bas ekspres termasuk pemandu berdepan detik mencemaskan apabila bas dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang masuk Pusat Peranginan Pantai Cherating, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, pemandu bas dan lori serta seorang penumpang wanita cedera, manakala penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Akibat kejadian yang belum dipastikan puncanya itu, kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke tepi jalan sebelum masuk ke kawasan semak berpaya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 3.50 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Gebeng dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera, selain membawa penumpang yang terperangkap di dalam bas naik ke jalan raya.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala penumpang lain yang terselamat mungkin meneruskan perjalanan dengan bas lain yang disediakan syarikat bas terbabit,” katanya.

Anuar berkata, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Melaka, manakala lori tanpa muatan dari arah Kuantan menghala ke Dungun,
Terengganu.

“Punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, bagaimanapun berkemungkinan kedua-dua kenderaan terbabit berselisih ketika melalui satu jambatan agak sempit berhampiran lokasi kejadian sebelum terbabas,” katanya.

5 termasuk kanak-kanak setahun maut kemalangan di Pasir Gudang




19 November 2012
JOHOR BAHRU - Lima termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun terbunuh manakala sepasang suami isteri cedera dalam perlanggaran melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal dekat Taman Zamrud, Pasir Gudang di sini malam semalam.
  
S. Varathan, 35, S. Sivakumar, 40, Mohd. Ismail Abd. Rahman, 46, dan V. Sadhees, 23 maut akibat cedera parah dalam kejadian berlaku pukul 9 malam manakala Muhammad Danial Syafiq Aziz yang berusia setahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
  
Ibu bapa kanak-kanak tersebut Aziz Yakub, 33, dan Nurul Hafizah Mohamed, 30, hanya mengalami cedera ringan.
  
Kejadian berlaku apabila Sadhees yang menunggang motosikal dikatakan cuba memotong garisan berkembar sebelum bertembung dengan Perodua Kembara dinaiki Varathan bersama Mohd Ismail dan Sivakumar.
  
Kenderaan yang dipandu Varathan itu kemudian hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Viva yang dinaiki pasangan suami-isteri bersama anak lelaki mereka.

Seorang lagi lelaki berusia 30an yang memandu Perodua Viva kemudian gagal mengelak lalu melanggar kereta yang dinaiki tiga beranak tersebut. Pemandu Perodua Viva bagaimanapun tidak cedera.
  
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin mengesahkan kejadian sementara mayat empat lelaki yang maut dihantar ke HSI untuk bedah siasat.
  
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

4 motosikal hangus angkara khianat



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 November 2012
4 motosikal hangus angkara khianat
Mohd Zairi menunjukkan motosikal yang terbakar di bawah blok JPPR Muhibbah II, Jalan Puchong, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Lagi perbuatan khianat dilaporkan dan kali ini empat motosikal yang diletakkan di bawah blok J, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah II, Jalan Puchong, di sini, terbakar awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu disedari peronda skim rondaan sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di situ yang melalui kawasan itu selepas selesai tugasan rondaan.

Kebakaran itu juga menyebabkan seorang warga emas, Hasnah Ahmad, 63, yang tinggal di tingkat satu blok berkenaan pengsan setelah sesak nafas terhidu asap tebal.

Hasnah berkata, dia yang juga penghidap sakit jantung, terkejut sebaik sahaja melihat api yang marak di bahagian bawah blok berdepan unit rumahnya.

Menurutnya, sebelum itu dia sudah terdengar bunyi bising dari bahagian bawah blok dan menyangka ada pergaduhan.

“Anak saya buka pintu dan jerit ada kebakaran. Saya terkejut dan bangun untuk melihatnya. Sebaik keluar, saya lihat api sedang marak, dan asap berkepul-kepul naik ke atas.

“Saya rasa seperti mahu mati, sebelum tidak sedarkan diri. Syukur tiada apa-apa berlaku. Saya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Pengerusi KRT, PPR Kampung Muhibah II, Mohd Rasidi Abd Hadi berkata, kejadian itu berlaku sebaik sahaja selesai tamat waktu rondaan.

Katanya, sebelum itu, pasukan peronda ada melihat kelibat individu,  dipercayai penduduk setempat yang sebelum ini menjadi suspek kegiatan kecurian di situ.

“Kami percaya kebakaran itu tindakan sengaja yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik empat motosikal berkenaan, R Saravanan, 34, berkata, ketika kejadian, dia berada di Perak bercuti sempena Deepavali.

“Saya dimaklumkan oleh jiran ketika kejadian, tetapi apa boleh buat. Saya kerugian kira-kira RM20,000. Semua motosikal sudah habis dibayar,” katanya.

Dua ditahan curi kambing, kerbau



SYAIRAH ABDUL LAJIS
19 November 2012
Dua ditahan curi kambing, kerbau
Dua lori yang mengangkut kerbau (kanan) dan kambing ditempatkan di Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Pilah.
Dua ditahan curi kambing, kerbau
Tujuh ekor kambing dipercayai dicuri oleh dua lelaki terbabit
KUALA PILAH – Dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ditahan di sekatan cegah jenayah pada 17 November lalu dipercayai mencuri ternakan kambing dan kerbau.

Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi di jalan utama Terachi selepas dua lelaki berusia 37 dan 53 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan ternakan yang dibawa menggunakan dua lori secara berasingan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kedua-dua lelaki itu dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Pilah ditahan semasa melalui sekatan cegah jenayah diketuai Sarjan Mejar Nur Hayazi A Rahman di hadapan Balai Polis Terachi.

Menurutnya, sebuah lori membawa tujuh ekor kambing manakala sebuah lagi membawa seekor kerbau.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua mereka gagal memberi keterangan tepat berhubung ternakan yang dibawanya semasa sekatan tersebut.

“Kerana mencurigakan, mereka terpaksa ditahan untuk disoal siasat dan kami percaya ternakan itu dicuri,”katanya, semalam.

Azmi berkata, kedua-dua lelaki itu disoal siasat secara terperinci sama ada ternakan itu dicuri atau sebaliknya sebagai langkah keselamatan.

“Ini berikutan, pihak polis sering menerima laporan berhubung ternakan kerbau dan kambing milik orang kampung hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Azmi berkata, dua lori itu ditahan manakala ternakan tersebut di bawah kompaun polis selain ditempatkan di sini.

“Sementara itu, kedua-dua lelaki itu ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam kenderaan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Asisten Superintendan Normanshah Din.

Kereta terhumban masuk sungai


SYAMILAH ZULKIFLI
19 November 2012
Kereta terhumban masuk sungai
Keadaan Perodua Kenari yang terjunam ke dalam Sungai Belihoi.
Kereta terhumban masuk sungai
Mangsa, Teck Yong mengalami kecederaan parah.
SEREMBAN - “Saya cuba hulurkan bantuan, tetapi saya tidak dapat buat apa-apa kerana takut melihat keadaan mangsa yang parah,” kata Jamal Mohd Mustafa, 52, yang hanya mampu melihat dan mendengar raungan seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan di Batu 5, Jalan Seremban-Mantin dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang wanita dari arah Seremban dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di laluan bertentangan menyebabkan sebuah kereta Perodua Kenari dipandu seorang lelaki di laluan terbabit yang cuba mengelak terhumban ke dalam Sungai Belihoi.

Mangsa, Kiew Lee Ling, 24 dan Phoong Teck Yong, 36, bagaimanapun selamat namun cedera parah pada beberapa bahagian badan.

Menceritakan kejadian, Jamal berkata, dia yang menunggang motosikal dari arah Mantin menghala ke Seremban berhenti menghulurkan bantuan apabila melihat berlaku kemalangan dan ternampak mangsa menjerit kesakitan.

“Saya tidak sampai hati melihat mangsa wanita menjerit meminta tolong dan cuba menghulurkan bantuan, tetapi disebabkan keadaannya yang parah saya tidak berani mengambil tindakan.

“Saya menghubungi talian 999 bagi mendapatkan bantuan, tapi saya terkejut apabila melihat sebuah lagi kereta terjunam ke dalam Sungai Belihoi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira terbabit dalam perjalanan dari Seremban, namun ketika di lokasi kereta terbabit hilang kawalan lalu merempuh Perodua Kenari di laluan bertentangan.

“Rempuhan itu mengakibatkan kereta kenari dipandu oleh seorang lelaki terjunam ke dalam Sungai Belihoi.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan,” katanya.

Manakala,  Ketua Operasi dari Balai Bomba Seremban, Mokhtar Mohamad berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama satu jentera bomba berserta tujuh anggota.

Katanya, ketika sampai ke tempat kejadian, mangsa lelaki telah selamat dikeluarkan dari keretanya yang terhumban di dalam Sungai Belihoi dan mangsa wanita masih berada di dalam kereta.

“Kita terpaksa mengeluarkan mangsa wanita dari arah cermin belakang berikutan bahagian pinggangnya yang patah dengan mengambil masa kira-kira 15 minit.

“Keseluruhan operasi menyelamat berjaya diselesaikan pada jam 4.15 petang,” katanya.

Dua beradik miliki heroin



RUBIAH OMAR
19 November 2012
Dua beradik miliki heroin
Kedua-dua beradik ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan memiliki dadah berbahaya jenis heroin di sebuah kediaman di Kampung Seberang Pintasan, Jalan Masjid, Dungun, Januari lalu.
Alpadillah Hashim, 33, dan adiknya, Mohd Shawaldillah Hashim, 31, berdepan dakwaan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan untuk Alpadillah, dia didakwa pada 15 Januari lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Kampung Seberang Pintasan, Jalan Masjid,
Dungun, memiliki satu tiub straw cerah berisi serbuk putih disyaki heroin.

Manakala adiknya, Mohd Shawaldillah berdepan dua pertuduhan iaitu pada jam, tempat dan tarikh yang sama memiliki tujuh tiub straw cerah setiap satu berisi serbuk putih disyaki heroin serta didakwa memiliki satu tiub straw, berat kasar 0.5 gram disyaki heroin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Faizal Ahmad Tajudin di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala kedua-dua beradik itu tidak diwakili peguam.

Rozianti menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan membenarkan Alpadillah diikat jamin RM3,500, manakala Mohd Shawaldillah dibenarkan diikat jamin RM8,000.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Maut terjatuh dari tingkat 20



SITI NOOR SEPEE
19 November 2012
Maut terjatuh dari tingkat 20
Mayat Fok Saw dihantar ke HSA untuk dibedah siasat.
JOHOR BAHRU – Seorang peniaga ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 20 di sebuah menara di Jalan Abdullah Tahir di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Mangsa, Kan Fok Saw, 59, yang berasal dari Taman Universiti itu dipercayai mengalami gangguan emosi ditemui mati oleh orang awam di belakang bangunan berkenaan yang kemudinnya melaporkannya kepada anggota polis di Pondok Bit Polis Jalan Abdullah Tahir.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten  Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 20 menara terbabit berdasarkan penemuan cermin mata di kaki lima tingkat  itu.

Menurutnya, namun tiada sebarang nota ditemui dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini sedang dijalankan namun setakat ini tiada unsur jenayah dilaporkan.

“Maklumat yang diterima daripada anak mangsa memaklumkan mangsa keluar dari rumah mereka kira-kira jam 9.30 pagi tanpa memberitahu destinasi ingin  ditujunya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah  (HSA) untuk bedah siasat dan sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Zainuddin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian terutama dengan melihat rakaman daripada cctv menara itu.

“Selain itu, polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya

Pengantin baru didakwa akibat miliki dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 November 2012
KOTA BHARU - ”Saya mohon kurangkan denda, lagipun saya baru berkahwin,” kata tertuduh Mohd Jefri Zahari yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama isterinya, di atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Muhamad Safuan Azhar, manakala isterinya, Nur Asiah Yusoff, 20, mengaku tidak bersalah.

Muhamad Safuan kemudiannya memerintahkan Mohd Jefri membayar denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu, memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.47 gram, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Setek, Ketereh, di sini, pada jam 3.35 pagi, 4 September lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, semasa polis membuat pemeriksaan di rumah berkenaan, mereka menemui kotak rokok dan di dalamnya terdapat satu tiub penyedut berwarna hijau mengandungi lima pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis methamphetamine di atas almari pakaian.

Barang berkenaan kemudian dibawa ke Jabatan Kimia di sini, dan selepas analisis, didapati ia adalah dadah jenis methamphetamine.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed.

Sementara itu, Noor Dayana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Muhamad Safuan kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk tarikh sebutan kes.

Lori jatuh jambatan



ROSDALILAH ZAHARI
19 November 2012
Lori jatuh jambatan
Keadaan lori tanpa muatan yang terjatuh dalam kemalangan pagi semalam.
Lori jatuh jambatan
Jentolak yang turut terbabit dalam kemalangan tersebut.
Lori jatuh jambatan
SU SOON
IPOH - Sebuah lori tiga tan tanpa muatan terjunam setinggi 10 meter sebelum terhempas di ‘pulau’ dalam kejadian kemalangan di Kilometer 43 Jambatan Sultan Idris Shah II, Titi Gantung, di Bota dekat sini, pagi semalam.

Kejadian itu menyebabkan pemandu lori, Lo Su Soon, 56, dari Changkat Keruing, maut di tempat kejadian manakala seorang kelindan warga Indonesia, Santiadi, cedera ringan dan dirawat di Hospital Changkat Melintang (HCM).

Bagaimanapun, Seorang lagi kelindan warga Nepal, Gangaraj Gsimire, terselamat apabila sempat melompat keluar daripada lori terbabit untuk menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terjunam ke ‘pulau’ tersebut.

Mangsa maut dipercayai mengalami kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Fakri Che Sulaiman, berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 pagi itu, lori terbabit sedang dalam perjalanan dari Bota menghala ke Ipoh.

Menurutnya, lori berkenaan cuba memotong jentolak di hadapannya namun tidak berjaya sebaliknya tersangkut di bahagian ‘penyodok’ belakang kenderaan terbabit.

“Lori itu melanggar belakang sebuah jentolak, berpusing lalu terbabas sebelum merempuh besi pengadang jambatan dan terhumban ke bawah jambatan setinggi kira-kira 10 meter,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, polis turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Beliau menambah, usaha menaikkan lori terbabit memakan masa selama empat jam kerana menunggu bantuan kren dari Ipoh.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HCM untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga,” katanya.

12 terbunuh kemalangan jalan raya kedua




19 November 2012
12 terbunuh kemalangan jalan raya kedua
Anggota penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa
KAHERAH - 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas sebuah trak merempuh bas mini berhampiran ibu negara Mesir, semalam.
Pegawai penyiasat berkata, trak  itu dipercayai dipandu laju lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh bas mini yang membawa 15 penumpang.
“Pemandu lori ditahan di tempat kejadian dan operasi mengeluarkan mangsa giat dilakukan kerana kebanyakan mayat terputus anggota badan,” katanya.
Menurutnya, mangsa cedera dikejarkan ke hospital berhampiran.  
Kejadian tersebut adalah kemalangan maut kedua dalam tempoh beberapa jam selepas 50 orang, kebanyakannya kanak-kanak, maut dalam kemalangan membabitkan bas sekolah dan kereta api kelmarin.
Kemalangan itu menaikkan kemarahan orang awam dan mendesak kerajaan supaya menangani masalah pengangkutan awam dan penyelenggaraan laluan kereta api dan jalan raya dengan segera. - AFP

11 maut kebakaran di Bangladesh




19 November 2012
11 maut kebakaran di Bangladesh
Mangsa mengutip zink dari sisa kebakaran di perkampungan Bou Bazar, Mohammadpur, Dhaka, semalam.
DHAKA - Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan beratus cedera apabila kawasan setinggan didiami penduduk miskin di pinggir ibu negara Bangladesh musnah dalam kebakaran awal pagi, semalam.
Pegawai Jabatan Bomba, Ataur Rahman berkata, kebakaran itu memusnahkan 500 rumah papan di Bou Bazar, Mohammadpur.

“Anggota penyelamat mengambil masa empat jam untuk mengawal kebakaran itu kerana api marak dengan cepat akibat angin kencang,” katanya.
Rahman berkata, mayat enam wanita, empat lelaki dan seorang kanak-kanak ditemui di tempat kejadian dan punca kebakaran dipercayai dari puntung rokok dan lingkaran ubat nyamuk.
Kawasan setinggan itu ramai didiami penduduk berpendapatan rendah dan bekerja sebagai buruh harian dan penarik beca. - AP

5 ditemui mati dalam tong dipercayai terhidu gas karbon monoksida




19 November 2012
GUIZHO - Lima kanak-kanak  jalanan ditemui mati dalam sebuah tong besar di barat daya China dipercayai terhidu gas karbon monoksida.
Mayat kanak-kanak malang itu ditemui terbakar  bersama-sama dengan sisa-sisa arang yang telah dibakar.

Laman sesawang China Daily melaporkan kanak-kanak itu mati ketika cuba menghidupkan api bagi tujuan memanaskan badan.

Kes itu turut menggemparkan laman media sosial di China.
Kanak-kanak yang mati dipercayai berumur sekitar 10 tahun.
Ada pihak yang menuduh pihak berkuasa tempatan cuai manakala ada pihak lain turut menyalahkan ibu bapa mereka.
Tiga identiti kanak-kanak yang mati telah dikenal pasti manakala baki lagi dua orang kanak-kanak sedang disiasat.

Bapa dan dua anak didakwa rompak bank




19 November 2012
famili rompak bank
Ronald S. Catt (kanan) bersama Hayden Scott Catt dan Abigail Catt didakwa terlibat dalam rompakan bank. - Foto ihsan CNN
OREGON - Seorang bapa dan dua anaknya didakwa merompak sebuah bank, dipercayai turut melibatkan lima suspek lain di sini, 1 Oktober lalu.

Pihak berkuasa berkata, Ronald Scott Catt, 50, anaknya Hayden Scott Catt , 20 dan Abigail Scott Catt, 18, yang juga dikenali sebagai Abby Catt, terlibat dalam rompakan tersebut.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan di Penjara Fort Bend Country.

Sebelum ditangkap, pihak berkuasa membuat kesimpulan yang bapa dan kedua anaknya menyamar ketika melakukan rompakan.

Rakaman rompakan menunjukkan seorang lelaki muda memakai misai palsu dan salah seorang yang lebih tua mengenakan topeng dengan cermin mata hitam, memakai topi dan jaket bewarna oren yang mempunyai tanda ‘X’ di belakang ketika melakukan rompakan.

Imej lain yang dikeluarkan pihak berkuasa menunjukkan dua orang suspek menghalakan pistol dan mengeluarkan wang tunai dari peti pesi.

“Kedua-dua suspek, kami dapati pernah membeli jaket menggunakan kad debit bapa mereka,” kata pegawai penjara Fort Bend Country.

“Ronald Catt kemudiannya dapat dikenal pasti selepas dipercayai membeli topeng yang dipakai ketika rompakan,” katanya.

Ronald dan Hayden Scott Catt ditahan 9 November lalu di Apartment Katy dan diarah membayar ikat jamin AS$140,000.

Abigail Catt pula diarahkan membayar AS$100,000 sebagai ikat jamin.

Detektif dari penjara Fort Bend turut memberitahu pemberita yang keluarga itu mungkin juga terlibat dengan lima lagi kes rompakan yang berlaku di Portland.

Suspek kelar bayi direman seminggu




18 November 2012
Suara bisik mahu bunuh anak
Seorang ahli keluarga mangsa menunjukkan kain berlumuran darah yang diguna untuk membalut luka dan badan bayi malang itu.
KUANTAN - Suspek yang ditahan selepas dipercayai mengelar leher bayi perempuanya yang berusia 11 bulan kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan.
  
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata suspek, 29, kini ditahan di lokap Balai Polis Kuantan, sejak Jumaat malam.
  
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
  
Dalam kejadian pada 9.30 malam Jumaat lepas, seorang bayi perempuan ditemui mati dipercayai dikelar di bahagian leher oleh ayah kandungnya sendiri di rumah suspek di Felda Panching Selatan, dekat sini.
  
Bayi malang itu, dipercayai dikelar dengan senjata tajam oleh suspek yang berada di bawah pengaruh dadah.  - Bernama

Padah intai wanita berkemban



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 November 2012
Padah intai wanita berkemban
Suspek diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
PETALING JAYA – Kes mengintai yang semakin menjadi-jadi di kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki yang sedang melakukan aktiviti tidak bermoral itu, di Blok G, awal pagi semalam.
Dalam kejadian itu, suspek warga Myanmar dicekup selepas gerak-gerinya mengintai beberapa rumah di kawasan berkenaan disedari anggota Biro Keselamatan Persatuan Penduduk yang mengadakan rondaan rutin.

Anggota Biro Keselamatan Mohd Yusof Awang Kechik, 40, berkata, suspek berusia 19 tahun itu membuka tingkap bilik sebuah rumah menyebabkan penghuninya seorang wanita yang ketika itu berkemban menjerit.

"Suami wanita itu yang sedang tidur terkejut dengan jeritan berkenaan, berlari keluar. Ketika itu, suspek telah pun kami tangkap," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang kurang fasih berbahasa Melayu bekerja di sebuah kuari di Batu 9 Cheras dan baru masuk ke negara ini melalui tiket pelarian dua bulan lalu.
“Malah dia turut memberikan alasan ditinggalkan rakannya di situ. Bagaimanapun kami percayai dia terlibat dalam banyak kes mengintai yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Suspek mengintai melalui tingkap menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan mangsa khususnya wanita yang berada dalam tandas," katanya.
Suami mangsa Asnawi Budin, 27, berkata, dia tidak menyangka rumahnya menjadi sasaran suspek.
"Sebelum ini, ada dengar cerita ada orang diintai dalam tandas dan tidak sangka kali ini rumah saya jadi sasaran.
"Nasib baik saya ada di rumah ketika itu, jika tidak entah apa yang akan berlaku,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner  Arjunaidi Mohamed mengesahkan penangkapan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Penipuan tawaran kerja di rumah



HASNIZA HUSSAIN
19 November 2012
Penipuan tawaran kerja di rumah
Banyak iklan kecil menawarkan kerja di rumah dengan gaji lumayan di ruang iklan dalam akhbar harian. - Gambar hiasan
Pernahkah anda melihat atau terbaca iklan menawarkan pekerjaan menarik yang boleh dilakukan di rumah? Kerja mengisi katalog dalam sampul surat memang mudah dan menarik.
Begitu juga memasang barang permainan, mengirim koleksi setem dan foto bukannya peluang untuk kita mendapatkan wang, sebaliknya peluang mereka untuk membuat wang dengan menipu kita.Kebanyakan iklan sebegini tersiar di akhbar, internet termasuk diedarkan melalui risalah yang dihantar ke peti surat rumah.
Sebahagian daripadanya terbukti benar menawarkan pekerjaan seperti yang diiklankan, namun sebahagian lagi dikesan menipu orang ramai sehingga membabitkan kerugian mencecah ratusan ringgit.
Kegiatan ini bukan perkara baru, namun ia terus berleluasa kerana sukar untuk menjejak penjenayah yang bijak berselindung di sebalik taktik licik. Ikuti kupasan modus operandi minggu ini.
Si Penipu
- Licik dan gemar ambil kesempatan terhadap orang lain
-Tahu akan proses membuka serta menguruskan akaun di bank
-Mempunyai rakan untuk kendalikan panggilan, SMS, penghantaran borang dan lain-lain
Sasaran mangsa
-Individu yang ada masa lapang

-Mahu cari rezeki sampingan
-Suri rumah yang ingin bantu meringankan beban tanggungan keluarga
-Tertarik dengan tawaran lumayan
-Mudah percaya sesuatu perkara, tidak mengesyaki orang lain
-Kurang ikuti perkembangan dunia luar
Modus Operandi
-Suspek masukkan iklan kecil dalam akhbar harian untuk tarik perhatian mangsa
-Alamat digunakan palsu - tidak wujud, pejabat kosong, pejabat orang lain atau alamat peti surat perkhidmatan pos- agar identiti serta kegiatan mereka sukar dikesan
-Orang yang tertarik boleh terus hubungi melalui telefon bimbit atau SMS
-Suspek akan minta nama dan alamat mangsa untuk kirim borang pendaftaran
-Mangsa diminta masukkan wang deposit (wang pendaftaran kerja) ke dalam akaun syarikat atau dibayar melalui kiriman wang, cek serta wang pos
-Mangsa kemudiannya perlu mengirim borang pendaftaran yang diisi bersama slip bank ke alamat syarikat berserta dengan satu sampul kosong bersetem
-Setelah mangsa kirim semua dokumen diminta, suspek akan hilangkan diri
Tip elak jadi mangsa
-Jangan mudah percaya dengan iklan yang disiarkan terutamanya yang meminta berhubung melalui telefon bimbit atau SMS
-Dapatkan pengesahan perkhidmatan tawaran syarikat daripada Kementerian Sumber Manusia
-Dapatkan khidmat nasihat daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
-Waspada akan teknik membuat bayaran dahulu, sebelum mendapat atau menerima sebarang perkhidmatan atau kerja yang ditawarkan
-Jika curiga dengan tawaran yang diiklankan, buat laporan polis
Pengalaman mangsa 1
“Kejadian berlaku enam tahun lalu. Walaupun kerugian dialami tak banyak tetapi saya tetap tidak dapat lupakan pengalaman itu,” kata Rahayu ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, ketika itu dia baru menamatkan persekolahan dan bercadang mencari kerja sambilan, sementara menunggu keputusan SPM.

Dia dan adiknya cuba mencari kerja kosong melalui iklan yang tersiar dalam beberapa akhbar tempatan.

“Kami sangat tertarik dengan satu iklan yang tawarkan kerja memasang anak patung sebab ia boleh dibuat di rumah. Gajinya pun, boleh tahan.
“Kami tidak perlu masuk pejabat tapi hanya perlu buat bayaran daftar kerja  RM70 seorang,” katanya.
Rahayu berkata, dia dan adiknya bertambah yakin dengan pekerjaan itu kerana terdapat testimoni beberapa pekerja lain yang dilampirkan bersama mengatakan mereka menerima gaji lumayan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, dia dan adiknya diminta menukarkan wang pendaftaran berjumlah RM140 kepada wang pos dan menghantar ke alamat seperti yang tertera dalam iklan. Mereka diminta menunggu selama dua minggu, sebelum anak patung dihantar ke rumah untuk dipasang.

“Namun selepas tempoh itu, kami masih tak terima anak patung. Syarikat itu tak dapat dihubungi.
“Kami sangat kecewa kerana itu adalah pengalaman pertama kami mencari kerja. Tak sangka jadi mangsa tipu,” katanya. ( Kakitangan swasta, Rahayu Kamal, 29)

Pengalaman mangsa 2

Menurut Abu Salim, dia kerugian kira-kira RM500 selepas tertipu dengan tawaran iklan kerja di rumah iaitu memasukkan katalog ke dalam sampul surat yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Katanya, dia hanya mencari kerja sambilan secara suka-suka, sebelum tertarik dengan iklan tersebut yang menawarkan gaji lebih RM3,000.
“Siapa yang tidak berminat kalau dapat gaji lumayan, kerja pula mudah dan boleh dibuat di rumah sahaja.

“Saya memang tak syak apa-apa sebab iklan tu keluar dalam akhbar terkenal,” katanya.

Menurutnya, setelah menghubungi nombor yang tertera di dalam iklan, dia diarahkan untuk memberikan nombor MyKad dan membuat pembayaran pendaftaran bekerja sebanyak RM500.

Abu Salim berkata, tanpa berfikir panjang, dia kemudiannya segera memasukkan wang dengan jumlah yang diminta ke dalam akaun bank serta diarahkan menunggu selama dua minggu untuk proses seterusnya.
Bagaimanapun katanya, selepas tempoh itu, tiada sebarang maklum balas diterima dari pihak pengiklan. Apabila dia cuba menghubungi pihak terbabit, dia mendapati nombor telefon sudah ditamatkan perkhidmatan.
“Ingatkan boleh tambah pendapatan, tapi jadi mangsa tipu pulak.
“Saya kesal sebab akhbar tu tak tapis iklan yang nak disiarkan,” katanya dengan nada kesal.
Dia percaya dan yakin mungkin sudah ramai yang terpedaya dengan iklan tersebut dan berharap ada pihak bertanggungjawab dapat menangani iklan seumpama itu. ( Peneroka, Abu Salim Hassan, 50)
 
*Sumber: ASP Foo Chek Seng Pegawai Penyelaras Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaya