Mayat mangsa terapung bawah sangkar ikan
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
BESUT – Mayat  penyelenggara stor kilang ubatan dari Petaling Jaya, Selangor, yang hilang selepas dikhuatiri lemas di muara Sungai Keluang dekat Pantai Bukit Keluang petang Khamis lalu ditemui kira-kira jam 9.28 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mayat Norhaslin Abu Hassan, 36, ditemui terapung di bawah sangkar ikan di Sungai Keluang, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mangsa lemas.

Menurutnya, mayat mangsa dihanyutkan arus ke arah hulu sungai dan ditemui pasukan penyelam bomba dan penyelamat yang dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Mangsa ditemui masih lengkap berpakaian, manakala badannya sudah membengkak.

"Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, usaha mencari dilakukan selepas mendapat maklumat mangsa hilang dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya, Fikri Hafizi Mohd Shahrom, 5, yang hampir lemas di tempat kejadian kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu.

Katanya, gerakan mencari mangsa melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan bomba dan penyelamat, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (PMM), JPAM dan turut dibantu orang awam.

Sementara itu, isteri mangsa, Nordiana Mat Jusoh, 35, berkata, dia redha dengan kejadian tersebut dan menganggap ia adalah ketentuan Tuhan.

“Memang saya sangat sedih kerana kejadian berlaku depan mata ketika saya berada di tebing muara Sungai Keluang.

"Walaupun tidak pandai berenang tetapi arwah tekad mahu menyelamatkan nyawa anak saudaranya," katanya.

Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga empat tahun lalu menetap di Selangor dan belum memperoleh cahaya mata.

Jenazah Norhaslin dituntut warisnya petang semalam dan dibawa pulang ke Felda Bukit Jalor, Gemencheh, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.