Search This Blog

Friday, November 16, 2012

Gadis miskin dipaksa jadi pelacur



KUALA LUMPUR 14 Nov. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan puluhan sindiket pemerdagangan orang yang aktif ke luar negara mencari penduduk tempatan untuk direkrut menjadi orang tengah bagi membantu mereka ‘menjerat’ gadis-gadis miskin untuk dilacurkan di negara ini.
Warga asing yang bersekongkol dengan sindiket terbabit akan pergi ke kawasan perkampungan terpencil di negara mereka untuk mencari wanita berusia bawah 30 tahun yang miskin dan ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dengan upah lumayan iaitu mencecah AS$5,000 (RM15,000) di Malaysia.
Selain ‘menggula-gulakan’ gadis miskin terbabit dengan tawaran gaji lumayan, sindiket juga membiayai dahulu tiket penerbangan dan kos membuat pasport dengan syarat bayaran balik secara bulanan dibuat selepas mangsa mendapat pekerjaan.
Mangsa yang berasal dari Vietnam, Kemboja, Thailand, China dan Indonesia hanya menyedari mereka ditipu setibanya di lapangan terbang negara ini, setelah sindiket memaklumkan pekerjaan ditawarkan sudah diisi oleh sekumpulan wanita asing lain yang tiba lebih awal sebelum itu.
Sindiket yang memegang pasport mangsa kemudian memberi tiga pilihan kepada wanita terbabit untuk membayar balik pinjaman kos perjalanan datang ke negara ini iaitu memilih bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), berkahwin dengan lelaki tua tempatan atau bekerja dengan ‘bapa ayam’ sebagai pelacur.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, kegiatan merekrut rakyat asing untuk dijadikan pelacur dikesan bukan hanya membabitkan satu kumpulan sindiket tetapi terdapat puluhan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.
Beliau berkata, kegiatan jenayah itu memberi keuntungan lumayan kerana separuh daripada bayaran khidmat seks daripada gadis-gadis dilacurkan itu diambil oleh sindiket.
“Sindiket mendapat keuntungan lumayan hasil kegiatan jenayah itu kerana mampu memperdaya dan membawa masuk sekurang-kurang lima wanita ke negara itu pada satu masa.
“Sindiket mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 kepada setiap pelanggan yang mendapatkan khidmat seks daripada gadis-gadis yang dilacurkan dan mengambil separuh daripada bayaran tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Abdul Jalil berkata, walaupun memilih menjadi GRO di pusat-pusat hiburan atau berkahwin dengan lelaki tempatan, nasib wanita malang yang diperdayakan itu biasanya tetap berakhir menjadi pelacur.
Beliau berkata, ini kerana bidang kerjaya sebagai GRO menyebabkan mereka terjebak ke kancah pelacuran, manakala mangsa yang memilih berkahwin pula akan dilacurkan oleh suami.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121115/je_01/Gadis-miskin-dipaksa-jadi-pelacur#ixzz2CSOjgDiq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PDRM serah 29 kenderaan bernilai RM3.5 juta kepada Timor Leste



SEPANG 14 Nov. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan 29 buah kenderaan pelbagai bernilai RM3.5 juta yang digunakan semasa misi pengaman di Timor Leste kepada kerajaan negara tersebut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, penyerahan itu dibuat setelah PDRM tamat menjalankan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama enam tahun di negara itu tahun ini.
Bangga dengan perkhidmatan cemerlang anggotanya, beliau berkata PDRM di dalam pasukan pengaman itu telah diserapkan ke dalam pasukan Unpol dan Mal-fpu bersama pasukan polis negara-negara lain dan telah menjalankan misi pengaman itu sejak Disember 2006.
"Dalam tempoh enam tahun itu ia telah melibatkan seramai 2,900 anggota dan pegawainya yang dihantar secara bergilir-gilir ke Timor Leste," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121114/je_08/PDRM-serah-29-kenderaan-bernilai-RM35-juta-kepada-Timor-Leste#ixzz2CSONDzK5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

RM135,000 lesap: Pemandu pengurup wang ditahan



SHAH ALAM 14 Nov. - Polis menahan seorang pemandu sebuah syarikat pengurup wang bagi membantu siasatan kes kehilangan wang tunai RM135,000 di hadapan pusat beli-belah Plaza Alam Sentral di sini, Sabtu lalu.
Pemandu berusia 39 tahun itu ditahan kerana memberikan keterangan yang mencurigakan berhubung kehilangan wang tersebut kepada polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek mendakwa kejadian bermula ketika dia dan dua rakannya membawa wang tunai itu dari ibu pejabat syarikat tempat kerjanya di Lembah Ampang, Ampang dekat sini ke pejabat cawangan.
Beliau berkata, ketika tiba di Shah Alam, suspek dan dua rakannya berhenti di Plaza Alam Sentral untuk menguruskan hal berkaitan perniagaan.
Menurut beliau, suspek mendakwa dua rakannya masuk ke pusat beli-belah tersebut sementara dia menunggu dalam kereta bersama wang tunai RM135,000 itu yang diletakkan di dalam sebuah beg.
"Bagaimanapun ketika menunggu, suspek mendakwa keretanya telah dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah kereta yang diletakkan berhampiran dengannya.
"Suspek kemudian keluar untuk berbincang dengan pemandu kereta tersebut dan ketika berbincang, pemandu tersebut telah berlalu pergi dalam keadaan tergesa-gesa. Suspek yang memasuki kereta selepas itu mendapati beg berisi wang telah hilang," katanya di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Mohd. Adnan memberitahu, pihaknya menahan suspek selepas mendapati keterangannya meragukan dan siasatan terperinci akan dilakukan termasuk meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian.
"Suspek ditahan sehingga 23 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Adnan memberitahu, pada hari yang sama, kira-kira pukul 11.20 pagi, pihaknya telah menahan dua warga Algeria kerana dipercayai mencuri sebuah beg milik ahli perniagaan dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dekat sini.
Ujar beliau, kedua-dua suspek yang berusia 36 dan 48 tahun itu ditahan kerana mencuri beg milik ahli perniagaan yang berusia 50-an itu di sebuah restoran di KLIA.
Menurut Mohd. Adnan, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas pasport milik suspek dan mendapati mereka masuk ke negara ini awal September lalu serta menggunakan pas pelancong.
"Kedua-dua suspek ditahan sehingga 24 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121115/je_05/RM135000-lesap-Pemandu-pengurup-wang-ditahan#ixzz2CSNxkxKp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis buru 3 kumpulan samun ATM libatkan RM2.2j



KUALA LUMPUR 14 Nov. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu tiga kumpulan penjenayah termasuk dua kumpulan warga asing yang terlibat dalam 10 kes samun mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sekitar ibu negara sejak tahun lalu, melibatkan kerugian kira-kira RM2.2 juta.
Berikutan itu, polis mengedarkan 11 keping gambar individu berusia lingkungan 30 ke 40 tahun terdiri daripada kumpulan warga tempatan, Amerika Latin dan Vietnam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, ahli kumpulan Amerika Latin itu juga dipercayai terlibat dalam kes samun pelanggan-pelanggan bank di sekitar ibu negara selepas mengekori mangsa yang baru mengeluarkan wang tunai.
Katanya, kumpulan warga asing terbabit yang sering berpakaian kemas serta bertali leher itu dipercayai turut menjalankan kegiatan tersebut di Pahang dan Negeri Sembilan serta menggunakan pasport palsu.
"Kumpulan Amerika Latin itu dikesan terlibat dengan kes yang dilaporkan di Taman Tun Dr. Ismail dan Taman Midah, Cheras manakala kumpulan warga Vietnam pula masih dalam siasatan.
"Suspek kumpulan tempatan pula dipercayai terlibat dengan kes yang dilaporkan di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, Stesen LRT Pantai, sebuah universiti di Lembah Pantai dan sebuah pasar raya di Jalan Peel, Cheras," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau seterusnya meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang disiarkan gambar terbabit menghubungi Bilik Gerakan IPK 03-21460685 atau RakanCop 03-2115 9999.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121115/je_03/Polis-buru-3-kumpulan-samun-ATM-libatkan-RM22j#ixzz2CSNkH3G8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat pencuri berputih mata



Dua anggota polis memeriksa dua tong gas dipercayai Oxy-Acetelyne yang ditinggalkan suspek dalam usaha menebuk mesin ATM di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Sekumpulan empat penjenayah mengambil kesempatan suasana sunyi dan lengang sempena cuti perayaan Deepavali awal pagi ini untuk mencuri wang mesin pengeluaran automatik (ATM) dari sebuah stesen minyak di Batu 13, Jalan Klang-Puchong dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kumpulan suspek tersebut bagaimanapun terpaksa berputih mata apabila melarikan diri tanpa sempat mengambil wang di dalam mesin tersebut selepas dikejutkan dengan kehadiran seorang pekerja stesen terbabit yang ingin memulakan tugas syif pagi.
Semasa insiden itu, kumpulan tersebut yang memakai topi keledar bertutup penuh baru selesai menebuk bahagian depan mesin ATM itu dengan menggunakan gas Oxy- Acetelyne.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, semasa tiba di stesen itu, pekerja tersebut terkejut mendengar bunyi di dalam premis terbabit lalu meninjau dari luar cermin kaca.
"Tiba-tiba muncul dua lagi rakan suspek yang bersenjatakan besi lalu mengheretnya ke belakang premis tersebut sebelum menyerang dan memijak mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek yang bimbang kegiatan jenayah mereka terbongkar kemudian melarikan diri dengan menaiki dua motosikal dan meninggalkan dua tong gas dipercayai Oxy-Acetelyne, peralatan mengimpal dan sebatang besi.
"Walaupun berjaya memotong bahagian dinding hadapan mesin ATM, namun mereka tidak sempat mengeluarkan wang di dalamnya.
"Kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan pergerakan dua lelaki memakai topi keledar bertutup penuh memasuki premis sebelum dilihat menyembur cat hitam di CCTV untuk mengelakkan imej mereka dirakam," katanya.
Tambahnya, polis kini menjejaki kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121114/je_01/Empat-pencuri-berputih-mata#ixzz2CSNQzmkw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Geng Latin Colombia tumpas



Zahedi Ayob (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dari kumpulan pecah rumah Geng Latin di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam. - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 14 Nov. - Lima warga Colombia yang dipercayai terlibat melakukan lebih 15 kes pecah masuk banglo mewah di sekitar bandar raya ini sejak dua minggu lalu diberkas dalam serbuan di sebuah apartmen di Kompleks Suria Kinrara, Taman Kinrara, Puchong dekat sini kelmarin.
Kesemua suspek diberkas kira-kira pukul 9.30 malam bersama seorang wanita warga Thailand hasil ketangkasan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam yang menjejak mereka selepas menerima aduan daripada mangsa-mangsa.
Sebahagian besar mangsa yang membuat aduan merupakan pemilik kediaman mewah di kawasan Bukit Jelutong, Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 11, Seksyen 12 dan Seksyen 13 di sini.
Polis juga menemukan semula sebahagian barangan berharga yang dilarikan daripada kediaman yang dipecah masuk dalam serbuan tersebut antaranya komputer riba, kamera, barang kemas, jam tangan, wang tunai selain satu beg galas mengandungi peralatan pecah rumah dan nombor pendaftaran kenderaan palsu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ini merupakan kumpulan ketiga melibatkan warga Colombia atau lebih dikenali Geng Latin yang berjaya ditumpaskan polis tahun ini kerana melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Shah Alam.
Beliau berkata, tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah warga Colombia yang diberkas kerana terlibat dalam kegiatan pecah rumah kepada 17 orang.
"Modus operandi mereka sama iaitu menyewa kereta mewah seperti BMW atau Toyota Estima yang telah ditukar nombor pendaftarannya untuk dibawa meronda di kawasan kediaman mewah.
"Salah seorang daripada mereka akan turun untuk menekan loceng rumah mangsa dan sekiranya tiada penghuni, kediaman itu akan dipecah masuk. Kumpulan ini memilih melakukan jenayah pada waktu petang hingga malam terutama ketika hujan," kata beliau di sini hari ini.
Menurut Zahedi lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan terbaru yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua kumpulan yang diberkas sebelum ini dan merupakan sindiket daripada Amerika Latin.
Ujar beliau, kesemua anggota kumpulan itu yang berusia antara 22 hingga 51 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui bagaimana mereka masuk ke negara ini.
"Kita juga percaya wanita Thailand berusia 22 tahun yang ditahan bersama mereka dipercayai teman wanita salah seorang suspek. Kesemua mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga 16 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," tambahnya.
Dalam pada itu, Zahedi meminta kerjasama orang ramai yang ternampak kenderaan mewah mencurigakan dan dinaiki sekumpulan lelaki Amerika Latin agar segera menghubungi mana-mana balai polis berdekatan agar tindakan pencegahan dapat dilakukan.
Kata beliau lagi, pemilik kereta sewa juga diminta memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya ada kumpulan lelaki warga asing mencurigakan menyewa kenderaan mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121115/je_02/Geng-Latin-Colombia-tumpas#ixzz2CSMZQ84b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kegiatan 2 lelaki curi kucing Parsi dirakam CCTV



Kelibat seorang pencuri memecah masuk ke dalam kediaman sebelum melarikan tiga ekor kucing berbaka Parsi berjaya dirakamkan oleh CCTV di sebuah rumah di Jalan Astana 2, Kuching, malam semalam.
KUCHING 15 Nov. - Kegiatan dua lelaki mencuri tiga ekor kucing baka Parsi terbongkar apabila perbuatan mereka itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kediaman di Jalan Astana 2 di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.36 tengah malam, dua lelaki menaiki motosikal Honda EX5 dikesan memanjat pagar sebuah rumah dan melarikan tiga ekor kucing tersebut.
Rakaman CCTV di rumah tersebut merakamkan imej pencuri berkenaan yang memakai baju berwarna biru manakala seorang lagi memakai baju kelabu walaupun wajah kedua-dua mereka tidak dapat dilihat kerana memakai topi keledar.
Mangsa, Harun Abu Jabar, 38, berkata, tiga ekor kucing miliknya yang diberi nama 'Bluey', 'Garfield' dan 'Cocca' berusia 4 bulan sehingga setahun lebih dianggarkan bernilai hampir RM4,000 dicuri malam tadi.
Katanya, semasa kejadian mangsa dan isteri, Syarifah Linora Wan Zain, 39, serta tiga anak lelakinya masing-masing berusia 9, 11 dan 12 tahun sedang tidur di tingkat atas rumah teres dua tingkat.
"Saya mula menyedari kejadian tersebut pukul 7 pagi ini selepas melihat pintu sangkar yang menempatkan sembilan ekor kucing peliharaan di halaman rumah dipotong dan terbuka.
"Anak sulung saya menunjukkan rakaman CCTV malam tadi yang merakamkan dua lelaki memanjat tembok rumah dan membawa lari tiga ekor kucing Parsi," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Harun bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tebas memberitahu, dia percaya pencuri tersebut merupakan suspek sama yang mencuri 'Kiki' kucing Parsi jantan miliknya berusia 8 tahun dua minggu lalu.
Bagaimanapun, dia tidak melaporkan kejadian tersebut dan tidak menyangka kejadian sama berulang lagi dengan melibatkan lebih banyak kucing yang dicuri.
Katanya, dia kemudian membuat laporan dan menyerahkan rakaman CCTV kepada polis untuk siasatan di Balai Polis Gita, Petra Jaya di sini.
"Saya sebenarnya bukan sedih dengan kerugian hampir RM4,000 itu sebaliknya sedih kerana kucing-kucing tersebut manja dan menjadi kesayangan keluarga ini.
"Saya yakin kucing-kucing ini menjadi sasaran pencuri kerana harganya di pasaran boleh mencecah ribuan ringgit seekor bergantung pada kecantikan, kehalusan bulu serta saiznya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121116/je_01/Kegiatan-2-lelaki-curi-kucing-Parsi-dirakam-CCTV#ixzz2CSMBhDcg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enam terbunuh serangan lelaki bersenjata



KADUNA, Nigeria 17 Nov. - Sekurang-kurangnya enam penduduk di utara negeri ini terkorban selepas dibunuh oleh seorang lelaki bersenjata.
Serangan itu berlaku lewat kelmarin di kampung Zangpo Katak, kawasan penting tempat berlaku keganasan etnik pada musim pilihan raya lalu yang menyebabkan beratus-ratus penduduk terkorban.
“Enam yang terbunuh termasuk wanita mengandung yang ditembak di rumah mereka manakala kanak-kanak yang berusia dua tahun pula dilaporkan cedera,’’ kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Yahya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121116/lu_13/Enam-terbunuh-serangan-lelaki-bersenjata#ixzz2CSKAhdVC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Barang kemas curi dicari, pakaian dalam ditemui



BANGKOK 16 Nov. - Polis Thailand menemui pelbagai jenis pakaian dalam wanita yang dicuri di sebuah rumah seorang suspek perompak, iaitu tangkapan kedua ke atas lelaki itu berhubung mencuri pakaian tahun ini.
Danai Raiwech, 48, ditangkap di rumahnya di subbandar Bangkok semalam selepas pihak polis menggeledah rumahnya berhubung rompakan barang kemas bernilai AS$325,000 (RM1 juta).
Isterinya didapati memakai barang kemas yang dicuri itu tetapi ketika menggeledah rumah berkenaan, pihak polis sebaliknya menemui berbeg-beg pakaian dalam yang disorok.
"Dia cenderung berminat dengan pakaian dalam dan menggunakannya untuk tujuan onani," kata Kolonel Polis Napanwut Liamsanguan kepada AFP.
"Suspek mengumpul seluar dalam ini sejak beberapa tahun lalu, mencurinya dari rumah-rumah atau apartmen dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Saya berhenti menghitung seluar dalam ini pada helaian ke-2,000 tetapi saya pasti ada lebih 5,000 helai lagi," katanya.
Isteri suspek menyedari masalah yang dihadapi suaminya tetapi lelaki itu enggan menemui doktor, tambah polis.
Januari lalu pihak polis menemui lebih 1,000 jenis pakaian dalam yang disorok di dalam kereta Danai selepas dia ditahan kerana disyaki mencuri, manakala beberapa ribu lagi ditemui di rumahnya ketika pemeriksaan dibuat.
Dia pernah didakwa beberapa kali atas tuduhan mencuri dan mengumpul pakaian dalam wanita sejak berusia 18 tahun.
Napanwut berkata, suspek akan didakwa atas pertuduhan merompak barang kemas tetapi agak sukar untuk menjatuhkan hukuman atas kesalahan mencuri pakaian dalam kerana pemiliknya perlu membuat laporan polis terlebih dahulu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121116/lu_15/Barang-kemas-curi-dicari-pakaian-dalam-ditemui#ixzz2CSJpJ1Ab
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bomoh Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun



KUALA LUMPUR 16 Nov. - Seorang bomoh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, minggu lepas.
Parjono, 33, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu di sebuah bilik bernombor 48, Jalan 16/10, Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Sentul di sini di antara 9 malam, 7 November hingga 5.30 pagi, 8 November.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan Parjono merupakan warga asing.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121116/ma_01/Bomoh-Indonesia-didakwa-rogol-gadis-14-tahun#ixzz2CSJ3VAv0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki mati ditembak 7 kali



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
TAPAH - Seorang lelaki mati ditembak tujuh kali dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah restoran, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, S Manivannan, 37, disahkan mati ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa beralamat di Kampung Baru Air Kuning ditembak tujuh kali dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki.

Rakyat China maut nahas jalan raya



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
TANAH MERAH - Seorang warganegara China antara tiga maut dalam dua nahas jalan raya berasingan dekat Cita Jaya dan Air Asahan, semalam.

Mangsa, Ning Shaoping, 54, berasal dari Wilayah Hunan, China bersama rakan sekerja, Lee Min Song, 54, dari Pahang dalam perjalanan pulang ke lombong bijih besi di Lubok Stol, Rantau Panjang, selepas membeli alat ganti di bandar Tanah Merah kira-kira jam 2 petang.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan ekoran pacuan empat roda dinaiki mereka, yang berpusing beberapa kali ekoran pergeseran ketika memotong kereta Proton Saga yang berhenti memberi isyarat membelok ke kanan dekat Cita Jaya.

Bekas tentera dipenjara 3 bulan akibat curi sepeket susu




16 November 2012
KUANTAN - Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang bekas tentera yang mengaku bersalah mencuri sepeket susu tiga hari lepas.

Penolong Kanan Pendaftar Jesseca Damis memerintahkan hukuman ke atas Mohd Sobir Kashim, 32, dijalankan bermula hari ini.

Mohd Sobir yang tidak diwakili peguam, didakwa mencuri sepeket susu jenama Anlene Gold seberat 660 gram berharga RM21.99 di Pasaraya Jaya Gading, Semambu dekat sini, pada 2.15 petang, 13 Nov lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kedua atau selepasnya boleh dipenjarakan, denda atau sebatan.

Jesseca dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan sering berlaku dalam masyarakat walaupun kes melibatkan amaun yang kecil.
 
"Kamu adalah seorang bekas tentera dan sepatutnya kamu tidak buat kesalahan ini dan setelah mengambil kira rayuan kamu mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga bulan ke atas kamu dan hukuman dijalankan bermula dari hari ini," katanya.

Terdahulu, tertuduh  yang berasal dari Padang Serai, Kedah, dalam rayuannya berkata dia terpaksa mencuri susu tersebut untuk dijual dengan alasan dia tidak mempunyai wang bagi membeli makanan untuk anak perempuannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari. - Bernama

Dua beradik, rakan didakwa pecah masuk kedai dan mencuri




16 November 2012
IPOH - Dua beradik dan seorang rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memecah masuk sebuah kedai dan melarikan pelbagai barangan termasuk binatang jinak semuanya bernilai RM2,902, Rabu lepas.

Zuhairi Zakaria, 29, adiknya Zizan, 22, yang berasal dari Pulai Tiga, Kampung Gajah dan Muhammad Hafeez Mohd Azman, 18, dari Desa Tambun, di sini didakwa memecah masuk kedai Ben Exotic Pet Shop di No 488, Jalan Besar Gunong Rapat milik Chung Weng Kee, 45.

Ketiga-tiga mereka yang memakai baju lokap berwarna oren didakwa di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab kerana melarikan sebuah komputer riba, dua tabung kebajikan, dua beg makanan binatang, dua bakul kucing, dua ekor kucing jenis Bengal dan Siam serta wang tunai semuanya dengan nilai berjumlah RM2,902.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 18 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya K. Kavitha. - Bernama

Mak nyah jaja tubuh dicekup



AHMAD ISMADI ISMAIL
16 November 2012
Antara mak nyah yang ditahan dalam operasi awal pagi semalam.
Antara mak nyah yang ditahan dalam operasi awal pagi semalam.
Antara mak nyah yang dicekup Jais.
Antara mak nyah yang dicekup Jais.
AMPANG - Sambutan Maal Hijrah 1434H dicemari dengan aktiviti tidak bermoral membabitkan sekumpulan mak nyah yang dipercayai sedang menunggu pelanggan di sekitar kawasan Pandan Indah, di sini, awal pagi semalam.

Kira-kira enam mak nyah berpakaian menjolok mata didapati berkeliaran di sekitar rumah kedai di situ, bertempiaran lari setelah menyedari kehadiran sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, yang membuat rondaan pencegahan kira-kira jam 5 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, mak nyah terbabit cuba lari setelah terserempak van dinaiki pegawai penguatkuasa agama.

“Ada di antara mereka cedera ringan kerana terjatuh ketika berlari menaiki tangga sebuah rumah kedai. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 38 tahun itu berjaya dicekup,” katanya.

Difahamkan, mak nyah berkenaan mengenakan bayaran serendah RM50 untuk setiap pelanggan.

Salah seorang mak nyah memberi alasan sukar mendapat pekerjaan dan penerimaan masyarakat terhadap golongan sepertinya menyebabkan dia melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mak nyah berusia 26 tahun itu dipercayai pernah ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sebelum ini.

Operasi tersebut dijalankan mengikut Seksyen 30, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika didapati bersalah boleh didenda RM1,000 atau 6 bulan penjara.

Dalam operasi berasingan yang turut mendapat kerjasama daripada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), seramai 50 orang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan di Bukit Langat dan Bukit Permai, di sini.

Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai berkelakuan kurang sopan yang boleh menimbulkan syak di tempat awam.

Kesemua mereka juga wajib mengikut sesi kaunseling di Masjid Al-Azim pada 25 November ini.

Gajah liar serang ladang



Gajah liar serang ladang
Mas’at menunjukkan hasil tanaman yang sudah dirosakan oleh gajah.
KLUANG - Peneroka Felda Kahang Barat, dekat sini, mendakwa mengalami kerugian apabila sekumpulan gajah bertindak merosakkan tanaman diusahakan, sejak seminggu lalu.
Ketua penerokanya, Mohd Mas’at Ishak berkata, kehadiran kumpulan gajah itu menjadi ancaman kerana tanaman kelapa sawit yang mereka usahakan dirosakkan haiwan berkenaan.
Menurutnya, walaupun pagar elektrik dan parit sudah dibina, namun kumpulan gajah berkenaan memasuki kawasan ladang menerusi jalan utama Kluang ke Felda Kahang Timur menerusi kawasan hutan tidak berpagar.
“Sejak seminggu lalu, sebahagian kawasan ladang yang ditanam kelapa sawit lingkungan usia antara lima hingga lapan tahun habis dirosakkan kumpulan gajah liar ini.
“Saya jangka serangan kali ini melibatkan tiga hingga lima gajah. Bukan kerana kawasan tidak mempunyai pagar elektrik, tetapi kumpulan gajah ini memasuki ladang menerusi jalan tidak berpagar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohd Mas’at berkata, laluan yang digunakan oleh kumpulan gajah itu adalah laluan baru bagi kumpulan haiwan berkenaan.
Katanya, buat masa ini, usaha untuk menjejaki haiwan itu sudah dilakukan.
“Sepanjang minggu lepas, sudah dua kali ladang di sini dimasuki gajah dan serangan yang dilakukan itu membimbangkan, selain menyebabkan kerugian kepada peneroka yang terlibat.
“Kami juga bimbang kumpulan gajah ini boleh mengancam pengguna lalu lintas yang melalui jalan berkenaan antara jam dua hingga ke tujuh pagi,” katanya.
Justeru, Mohd Mas'at berharap akan ada tindakan daripada pihak berwajib bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya yang yang menggunakan laluan utama sama ada untuk ke Mersing atau Kahang Timur supaya berhati-hati khususnya ketika waktu subuh kerana dibimbangi  terserempak dengan haiwan liar ini yang keluar dari kawasan hutan berdekatan,” katanya.

Suami isteri nyaris maut, treler tangki minyak langgar kenderaan dinaiki



Suami isteri nyaris maut, treler tangki minyak langgar kenderaan dinaiki
Keadaan treler dan kereta yang terlibat dalam kemalangan itu, kelmarin.
ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta Proton Saga Aeroback yang dinaiki mereka dilanggar sebuah treler tangki minyak di Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ), Sungai Petai di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kereta dipandu, Suzana Mohd Said, 32, dari Paya Datuk menuju ke bandar Melaka sebelum dilanggar sebuah treler yang dipandu Mohd Firdaus Md Aris, 29, dari arah sama.
Perlanggaran itu mengakibatkan kereta dinaiki pasangan terbabit berpusing beberapa kali dan menghala semula ke Paya Datuk sebelum pintu sebelah pemandu dirempuh treler berkenaan.

Suzana berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke bandar Melaka untuk membeli barang berniaga bersama suaminya, Mohd Fauzi Abd Malik, 35, apabila bahagian belakang keretanya dilanggar secara tiba-tiba oleh sebuah treler.

“Ketika itu, saya memandu perlahan di laluan kiri dan tiba-tiba ada sebuah treler memasuki laluan saya sebelum melanggar bahagian belakang  menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan.
“Berdebar-debar apabila kereta berpusing beberapa kali di tengah jalan raya sebelum treler itu merempuh bahagian tepi kereta sebelah saya,” katanya.

Katanya, bimbang sesuatu yang lebih buruk berlaku, dia bersama suaminya keluar melalui pintu sebelah penumpang sebelum dibantu penduduk.
Saksi berkata, dia yang berada di luar rumahnya melihat treler tangki minyak itu kelihatan terhuyung-hayang untuk memotong.

“Pemandu treler itu cuba mengelak daripada merempuh kereta berkenaan, namun gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kemalangan: Dua sahabat disemadi dalam satu liang lahad



Kemalangan: Dua sahabat disemadi dalam satu liang lahad
Lokasi dipercayai tempat berlaku kemalangan yang meragut nyawa dua sahabat baik itu.
JENGKA - Dua sahabat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 39.9 Jalan Bandar Jengka menuju ke Temerloh, tengah malam kelmarin, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, semalam.
Mangsa, Mohammad Aizat Mohammed, 17, dan Khairul Izham Khalid, 17, adalah pelajar Sekolah Menengah Felda Jengka 18 dan sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Difahamkan, kedua-dua pelajar itu bersahabat baik dan sering mengulang kaji pelajaran bersama menyebabkan kedua ibu bapa mereka mengambil keputusan mengebumikan jenazah mereka dalam satu liang lahad, di sini.
Ibu kepada Mohammad Aizat atau lebih mesra disapa Alang, Sumiah Muntalib, 51, berkata, biarpun dia dan suami, Mohamed Abdul Rahman, 56, reda dengan pemergian anaknya itu, namun jauh di sudut hati terasa kehilangan.
“Arwah seorang yang sangat ceria dan ramah dalam keluarga kami. Kami sedih kerana pemergiannya membuatkan hidup kami sedikit sunyi tanpa keletahnya.

“Lebih menyedihkan di saat akhir sebelum dia meninggal, arwah sempat menyikat rambut saya dan memeluk erat ayahnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumiah berkata, sebelum arwah keluar tengah hari kelmarin, anaknya itu menariknya masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu serta tidak membenarkan adik-beradik lain masuk.
“Di dalam bilik itu, dia menyikat rambut saya. Tidak lama kemudian, dia keluar dari bilik tersebut dan memeluk ayahnya yang tidur.
“Tidak lama kemudian datang seorang rakannya mengajaknya keluar. Dia memberitahu saya hendak mengulang kaji bersama rakan dan keluar minum. Itulah kali terakhir saya menemui arwah sebelum mendapat tahu dia meninggal akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Tiada tanda pelik
Ibu kepada Khairul Izham, Zainab Abu berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian.
“Saya tidak tahu ke mana dia pergi pada hari itu kerana dia tidak memberitahu kami apa-apa. Saya cuma sedar kawannya datang menjemputnya keluar.

“Sekitar jam 11 malam, saya mula risau kerana dia masih tidak pulang, malah SMS (khidmat pesanan ringkas) kakaknya juga tidak berjawab,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, datang seorang rakan anaknya yang bertanyakan tentang arwah.

“Rakannya datang bertanya sama ada arwah ada di rumah atau tidak. Apabila saya menjawab tiada, barulah dia memberitahu arwah terlibat dengan kemalangan, namun tidak pasti benar atau tidak.

“Sedang saya berborak dengan rakan arwah, saya menerima panggilan telefon memaklumkan perkara sama. Saya dan suami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati arwah sudah tiada,” katanya.
Zainab dalam pada itu meminta kepada rakan-rakan arwah sekiranya anaknya itu ada berhutang, supaya tampil menuntutnya di rumah mereka, di sini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.15 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, motosikal yang ditunggang Mohammad Aizat dan dibonceng Khairul Izham dipercayai dalam perjalanan dari bandar Jengka menuju rumah mereka di Felda Jengka 18.

“Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa terbabas ke kiri jalan. Motosikal yang dipandu masuk ke dalam longkang dan melanggar tebing batu. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

'Tiada siapa dengar jeritan saya'


'Tiada siapa dengar jeritan saya'
Salim (tengah) kelihatan tidak bermaya setelah bertarung nyawa kira-kira 27 jam di laut, sebelum dijumpai nelayan


KUALA TERENGGANU - Misteri kehilangan seorang warga emas akhirnya terlerai apabila dia dijumpai terapung di perairan Pulau Kapas, Marang, petang kelmarin setelah bot yang dinaikinya, terbalik dipukul ombak.


Mangsa yang juga seorang nelayan, terpaksa berarung nyawa kira-kira 27 jam, sebelum ditemui sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kapas, kira-kira 40 batu nautika daripada tempat mangsa dilaporkan hilang pada jam 5.40 petang kelmarin, sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Mangsa, Salim Musa, 66, dari Kampung Seberang Takir, ketika ditemui berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3 petang, iaitu ketika dia berseorangan turun ke laut untuk menangkap ikan kira-kira jam 6.30 pagi, Selasa lalu.


Bagaimanapun katanya, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang setelah beberapa jam kerana keadaan laut yang bergelora.

“Sebelum balik, saya nak isi minyak tetapi tidak berjaya kerana keadaan laut yang bergelora, sebelum tiba-tiba bot dipukul ombak deras dan terbalik. Enjin bot saya pula terjatuh ke dalam laut.


“Saya agak cemas ketika itu tetapi mujurlah sempat berpaut pada bot. Keadaan pula makin gelap, menyebabkan saya hampir putus asa. Saya menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang mendengarnya,” katanya ketika ditemui di Pejabat APMM Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu di sini, kelmarin.


Sementara itu, Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, sebuah kapal dan dua bot dengan kekuatan 32 anggota telah diarahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.40 pagi kelmarin.

Katanya, hasil maklumat yang diterima mendapati mangsa kali terakhir dilihat berada di perairan Tok Jembal, di sini kira-kira jam 2.30 petang Selasa, sebelum usaha mencari dijalankan di sekitar perairan berkenaan sehingga ke Pulau Yu, di sini.

“Dia ditemui oleh sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kapas, Marang iaitu kira-kira 40 batu nautika daripada tempat mangsa dilaporkan hilang pada jam 5.40 petang semalam (kelmarin) sebelum mangsa diserahkan kepada bot APMM yang ketika itu sedang menjalankan usaha mencari mangsa berhampiran perairan itu.

“Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan letih dan tiba di jeti APMM kira-kira jam 8.30 malam tadi (kelmarin) sebelum dia dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Gadis bawah umur jadi GRO, tukang urut




Antara wanita warga asing yang ditahan dipercayai bekerja sebagai GRO.
SEREMBAN -  Empat gadis bawah umur berusia 14 dan 16 tahun dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) antara 35 wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di beberapa pusat hiburan dan rumah urut di daerah ini dan Jempol kelmarin.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, semua gadis bawah umur terbabit merupakan warga Vietnam dan ditahan di pusat hiburan di Taman Bukit Kepayang dan Kemayan Square dekat sini.

“Seorang berusia 14 tahun dan tiga lagi berusia 16 tahun. Mereka memberi alasan berada di negara ini sejak dua minggu lalu kerana mengikut rakan bercuti untuk tujuan berhibur.

“Bagaimanapun kita tetap menahan mereka dan hasil pemeriksaan lanjut kita mengesyaki mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar dimiliki untuk bekerja secara tidak sah di sini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, turut ditahan dalam serbuan di tempat sama, 22 lagi wanita warga asing terdiri daripada warganegara China dan Vietnam kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dimiliki dengan bekerja di negara ini.

Faizal berkata, dalam satu lagi serbuan di sebuah premis di Taman Kemuning, Senawang, pihaknya telah menahan satu pasangan warga Myanmar berusia 29 dan 30 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu di Jempol, pihaknya telah membuat pemeriksaan di enam rumah urut di pekan Bahau dan menahan tujuh wanita dan seorang lelaki warga China serta seorang wanita warga Indonesia kerana bekerja sebagai tukang urut.

“Semua tukang urut berusia 20 hingga 40-an itu kita tahan atas kesalahan sama iaitu menyalahgunakan pas lawatan bekerja di premis berkenaan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen di Senawang untuk disoal siasat sebelum tindakan susulan diambil terhadap mereka,” katanya.

Faizal berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kita akan terus menjalankan serbuan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri ini dan maklumat orang awam  amat dialukan-alukan,” katanya.

Bayi cukup sifat mati atas tilam




Mayat bayi malang yang ditemui mati atas tilam dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
KLANG – Seorang bayi lelaki yang dilahirkan lebih 24 jam, ditemui mati atas tilam dalam sebuah bilik di rumah sewa ibunya di Lorong Haji Salleh, Jalan Meru, di sini, petang semalam.

Difahamkan mayat bayi malang yang ditutup dengan kain itu ditemui kakak ibu mangsa kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, susulan penemuan itu, kakak suspek (ibu mangsa) yang bekerja sebagai penyelia pasar raya kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayi cukup sifat itu dilahirkan di kediaman tersebut sejak jam 4 petang kelmarin.

Menurutnya, setakat ini, polis masih belum dapat menentukan sama ada mangsa terbabit mati sebaik dilahirkan atau disebabkan lemas.

“Kita masih menyiasat punca kematian mangsa.

“Kita juga menemui tali pusat mangsa disimpan dalam satu beg plastik dipercayai dipotong sendiri oleh suspek,” katanya, semalam.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek mendapati bapa mangsa adalah seorang lelaki warga Bangladesh dan dikatakan sudah pulang ke negara asal sejak Mac lalu.

Mohamad Shukor berkata, suspek yang merupakan seorang jurujual berusia 24 tahun, ditahan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Menurutnya, keterangan suspek akan diambil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Tukang masak nasi kandar ditemui mati dalam tandas restoran




16 November 2012
GEORGE TOWN - Seorang tukang masak warga India sebuah restoran nasi kandar di Bayan Baru di sini, ditemui mati dengan keadaan lehernya hampir terputus di dalam tandas restoran itu semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Nasir Salleh berkata dalam kejadian pukul 8 malam itu, polis mendapat panggilan mengatakan seorang lelaki terjatuh di dalam tandas berkenaan dengan pintu berkunci dari dalam.

"Sepasukan bomba dikejarkan ke tempat kejadian bagi memecah masuk pintu tandas terbabit dan kita jumpa mayat M. Muthuraj, 33, dalam keadaan berlumuran darah terlentang dalam tandas itu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya polis turut menemui sebilah pisau pemotong daging di lokasi kejadian.

Polis percaya lelaki itu mengelar lehernya sendiri kerana pintu tandas berkenaan berkunci dari dalam, katanya menambah polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Mohd Nasir berkata lelaki itu dikatakan telah bekerja selama empat tahun di restoran berkenaan dan polis telah menghubungi kedutaan India untuk tindakan selanjutnya.- Bernama

Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun




16 November 2012
KUALA LUMPUR - Seorang bomoh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, minggu lepas.

Parjono, 33, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu di sebuah bilik bernombor 48, Jalan 16/10, Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Sentul di sini di antara 9 malam, 7 Nov hingga 5.30 pagi, 8 Nov.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan Parjono merupakan warga asing.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.- Bernama

Kepala disyaki dimakan biawak


SIASAT...Rowell (tengah) ketika berjumpa  ibu mangsa, Samsimar.
SIASAT...Rowell (tengah) ketika berjumpa ibu mangsa, Samsimar.
SANDAKAN: Kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan hilang pada 10 November lalu ketika menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di Kampung Garinono, Batu 25, dekat sini, ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila badannya terputus dua dan hampir reput dipercayai angkara binatang buas.
Difahamkan, mayat mangsa, Haziq Hassan, ditemui jam 4 petang kelmarin, tiga kilometer dari rumah ibu saudaranya oleh seorang juruukur.
Hanya bahagian pinggang dan kaki yang ditemui, manakala bahagian atas termasuk badan dan kepalanya gagal ditemui dipercayai dimakan biawak.

Saksi yang melakukan kerja mengukur tanah terkejut melihat sepasang kaki manusia sebelum menghubungi polis memaklumkan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan mayat mangsa ditemui berhampiran kolam di ladang berkenaan.

Terbantut curi haiwan


MAHAL...Chung bersama kucing baka benggal yang nyaris dicuri dalam kejadian pecah kedainya.
MAHAL...Chung bersama kucing baka benggal yang nyaris dicuri dalam kejadian pecah kedainya.
KESAN PECAH...Chung menunjukkan siling yang ditembusi pencuri untuk melarikan binatang.
KESAN PECAH...Chung menunjukkan siling yang ditembusi pencuri untuk melarikan binatang.
IPOH: Cubaan tiga lelaki melarikan beberapa ekor kucing, arnab dan anak beruk dari sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di sini, awal pagi kelmarin, terbantut apabila usaha mereka digagalkan polis.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga lelaki berusia 17 hingga 28 tahun dikesan menceroboh premis berkenaan di Gunung Rapat sebelum disedari orang ramai.

Ketiga-tiga suspek dicekup ketika membawa bersama masing-masing seekor kucing bengal dan kucing siam selain beberapa ekor arnab dan seekor anak beruk bernilai lebih RM3,000.
Polis turut merampas beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai RM300, sebuah komputer riba, dua tabung duit, dua beg makanan kucing seberat 1.5 kilogram dan dua sangkar kucing yang dilarikan dari premis berkenaan.

Pemilik premis, Chung Weng Kee, 45, ketika ditemui berkata, dia menerima maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan rakan yang tinggal berhampiran premisnya.

Beliau berkata, sejurus tiba, dia terus menghubungi polis sebelum ketiga-tiga suspek berjaya diberkas tidak jauh dari premisnya.
“Sebaik memeriksa di dalam premis, beberapa haiwan didapati hilang dari sangkar pameran sebelum mendapati siling premis pecah dipercayai dilakukan suspek untuk menyusup masuk ke premis ini.

“Ia kejadian samun pertama di premis ini sejak saya menjalankan perniagaan ini 14 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, seorang suspek pernah datang ke premisnya Isnin lalu sebelum membeli seekor arnab bernilai RM60.

Chung berkata, sebelum ini, ada beberapa kes pecah kedai di kawasan ini namun ia hanya membabitkan kecurian wang tunai namun kali ini berbeza kerana pencuri mensasarkan haiwan peliharaan yang bernilai tinggi di pasaran.

Saksi kejadian, Frankie Chin, 36, berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising anjingnya yang menyalak kuat sebelum melihat beberapa suspek memasuki premis menerusi siling.

“Saya terus menghubungi pemilik premis dan polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Osman ketika dihubungi berkata, kejayaan itu hasil kerjasama orang awam yang melaporkan kepada polis selepas melihat kejadian.

“Ketiga-tiga suspek berasal dari Ipoh dan mereka akan direman sehingga esok (hari ini),” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Buat perangai lepas popular



         
KAJANG: Dia digelar ustaz selepas diangkat menerusi sebuah rancangan realiti TV berkonsepkan agama yang popular di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Namun perwatakan sebagai suami penyayang dan menantu yang paling disayangi ibu mentua kini berubah sekelip mata apabila dikatakan tergamak mengugut mahu melakukan sesuatu yang buruk terhadap ibu mentua sehingga wanita itu kini bersembunyi di tempat lain.

Ustaz yang berjawatan tinggi dalam sebuah syarikat petroleum terkemuka negara itu dikatakan mengugut isteri dan keluarga mentua apabila menuntut wang RM140,000 daripada isterinya atas alasan membayar kembali kos sara hidup dia bersama isterinya, termasuk perbelanjaan ketika membawa anak saudara keluar bersiar-siar.

Kemuncak drama gila lelaki terbabit berlaku apabila dia memberanikan diri pergi ke rumah ibu mentuanya di Pahang, pada Isnin lalu.


Dia menunggu di luar rumah untuk menuntut wang berkenaan.

Rekod keterangan 3 mangsa




         
ALOR GAJAH: Polis sudah merekod keterangan tiga mangsa yang cedera dalam pergaduhan dengan jiran mereka di taman perumahan, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, 13 individu masing-masing lapan lelaki dan lima wanita yang terbabit dalam kes itu masih ditahan. “Setakat ini tiada perkembangan lain dan polis masih menjalankan siasatan untuk mencari punca sebenar pertelingkahan kedua-dua pihak hingga mereka bersengketa membabitkan pergaduhan besar.


“Mereka (suspek) berusia antara 15 dan 55 tahun yang dikatakan tinggal berjiran sejak dua tahun lalu kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya, semalam.

Menurut beliau, tiga mangsa yang cedera di kepala dan badan dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari wad Hospital Alor Gajah selepas menjalani rawatan.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan kegembiraan satu keluarga menyambut Deepavali berakhir tragedi berdarah apabila tiga daripada mereka ditetak jiran dalam kejadian serangan di sebuah taman perumahan di pekan ini, malam kelmarin.


Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, C Rajendran, 48, dan anak lelakinya, V Yoganadan, 20-an, serta ahli keluarga lain didatangi lebih 10 lelaki yang meluru masuk dalam rumah lalu menetak kedua-dua mangsa.

Angkara pengkid cemburu



Oleh Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my
         
BUKIT MERTAJAM: Seorang gadis yang bakal bertunang akhir tahun ini dengan lelaki pilihan hatinya gagal dikesan dipercayai dilarikan pengkid sejak Februari lalu.

Rohaya Abdul Malik, 26, gagal dikesan selain tidak pulang ke rumah selepas keluar makan bersama pengkid berkenaan serta seorang saudaranya pada 18 Februari lalu.


Kakak sulung mangsa, Rohayu, 37, berkata, selepas pulang dari makan malam berkenaan, Rohaya berubah sikap menjadi degil selain terus keluar rumah serta sukar dihubungi.

“Rohaya seorang yang mendengar kata, selain akan memberitahu ke mana dia mahu pergi kepada saya dan adik-beradik yang lain,” katanya.


Menurutnya, dia sekeluarga mengenali pengkid berkenaan yang pada awalnya sudah dianggap sebagai sebahagian ahli keluarganya.


“Saya sekeluarga tidak menyangka pengkid dikenali sebagai Ita itu berubah sikap serta sanggup membawa lari adik saya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Gerbang Tuna, Seberang Jaya.

Seorang lagi kakak mangsa, Rozana, 29, berkata, Rohaya selalu bercerita dan berkongsi masalah dengannya, selain pernah memberitahu mahu meninggalkan pengkid berkenaan.


“Rohaya juga pernah beritahu, Ita cemburu apabila mengetahui yang dia sudah mempunyai teman lelaki serta merancang bertunang,” katanya.

Menurutnya, dia bersama adik-beradiknya pernah menjejaki Rohaya yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu di rumah keluarga pengkid berkenaan, tetapi gagal.


“Kami pernah pergi ke rumah keluarga Ita, tetapi mereka enggan membuka pintu,” katanya.


Katanya, kerana bimbang keselamatan Rohaya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Tokong pada 25 Februari dan 17 Mac lalu.


“Pelbagai usaha sudah kami buat untuk mengesan dan membawa pulang Rohaya, tetapi kami menemui jalan buntu,” katanya.


Sehubungan itu, dia mengharapkan orang ramai mempunyai maklumat mengenai Rohaya menghubunginya di talian nombor 012-5306290 atau 012-4244003 atau ke balai polis berhampiran.

‘Kantoi’ panik buka pintu




         
BATU PAHAT: Ketika umat Islam sibuk menyambut Maal Hijrah dengan bacaan Yasin di rumah, surau atau masjid berhampiran, seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 tahun dan teman lelakinya pekerja swasta berusia 25 tahun sibuk melampias nafsu di sebuah hotel bajet di sini, sebelum ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Batu Pahat, semalam.

Dalam operasi cegah maksiat bermula jam 1 pagi itu, anggota penguat kuasa sebenarnya mengetuk pintu bilik bersebelahan bilik dihuni pasangan berkenaan, namun disebabkan panik, teman lelaki pelajar berkenaan membuka pintu untuk meninjau apa yang berlaku.


Kelakuan lelaki itu yang mencurigakan menyebabkan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan hingga membawa kepada penemuan pelajar terbabit yang bersembunyi dalam bilik berkenaan.

Timbalan Ketua Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, pihaknya mensasarkan beberapa hotel bajet sekitar daerah ini selepas dikesan menjadi lokasi remaja melakukan maksiat.


“Dalam kejadian itu, pada awalnya kami (unit penguat kuasa) mengetuk pintu dan ingin melakukan pemeriksaan di bilik sebelah disewa pasangan berkenaan.


“Bagaimanapun, lelaki terbabit dilihat membuka pintu sebelum disedari anggota bertugas dan kami mula menyoal lelaki itu sama ada dia berseorangan atau tidak,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, lelaki itu cuba menipu dengan mendakwa dia berseorangan, namun keadaan mencurigakan itu menyebabkan pihaknya melakukan pemeriksaan.


Hasilnya, katanya, pihaknya menemui pakaian dalam perempuan di bilik itu sebelum menemui seorang remaja wanita di satu ruang dalam bilik berkenaan.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan didapati pasangan terbabit mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan perkahwinan sah.

Mati masuk longkang

 BENTONG: Seorang pesara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditemui mati dalam longkang selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika memotong sebuah treler membawa muatan sawit di Kilometer 5, Jalan Bentong-Karak, Benus, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa, R Ganesan, 53, dari Taman Simpang Kalang, Raub mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik dan Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss dan dalam perjalanan menghala Mentakab dari Raub.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai cuba memotong sebuah treler membawa muatan sawit yang bergerak perlahan menghala Pelabuhan Klang, Selangor dari Kuala Lipis, tetapi gagal kerana terdapat laluan selekoh.

Bagaimanapun, mangsa cuba memotong dari sebelah kiri sebelum terlanggar tayar belakang kenderaan berat itu mengakibatkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dalam longkang di kiri jalan.

“Mangsa dipercayai lemas kerana longkang berkenaan mempunyai air selain mengalami kecederaan di kepala. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati pemandu treler itu, Hashim Osman, 30, mendakwa sudah melihat mangsa cuba memotong kenderaannya dari kanan sebelum melihat mangsa tiba-tiba berada di kiri dalam usaha memotong,” katanya di sini, semalam.

Polis sudah mengambil keterangan pemandu treler dan ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Detik cemas nelayan hanyut 27 jam



KUALA TERENGGANU: “Saya hampir berputus asa kerana tiada siapa datang membantu walaupun beberapa kali menjerit meminta tolong selepas nampak ada bot lalu tidak jauh dari lokasi bot saya dihanyutkan,” kata Salim Musa, 66, yang bertarung nyawa terapung hampir 27 jam di laut sebelum diselamatkan, kelmarin.


Dalam kejadian jam 3 petang Selasa lalu, dia yang keluar berseorangan ke laut di perairan Tok Jembal, di sini, untuk menangkap ikan berdepan detik mencemaskan apabila bot gentian kaca dinaikinya terbalik dipukul ombak menyebabkannya tidak dapat pulang ke jeti.



Namun, Salim berkata, nasibnya baik apabila diselamatkan sekumpulan nelayan yang menemuinya terapung di perairan Pulau Kapas, Marang, 40 batu nautika dari tempatnya kali terakhir dilihat pada jam 5.40 petang kelmarin.




Ketika ditemui di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Kambing, di sini, kelmarin, Salim yang juga nelayan sejak 50 tahun lalu berkata, dia ke laut jam 6.30 pagi Selasa lalu untuk memancing sebelum mengambil keputusan pulang lapan jam kemudian.



“Ketika itu saya yang berada di perairan Tok Jembal cuba mengisi minyak, tetapi gagal kerana keadaan laut bergelora sebelum bot dipukul ombak besar lalu terbalik.



“Pada masa sama, enjin bot jatuh ke laut. Mujur saya sempat berpaut pada bot yang terbalik. Sepanjang tempoh itu, saya hanya berdoa semoga diselamatkan.








“Lebih menyedihkan apabila terkenangkan isteri dan ahli keluarga lain yang pasti resah menantikan kepulangan saya,” katanya. Sementara itu, Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 APMM Kuala Terengganu, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, sebuah kapal dan dua bot dengan kekuatan 32 anggota agensi terbabit diarah menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.40 pagi kelmarin.

Doktor kikis duit 3 isteri



JOHOR BAHRU: Bermodalkan kata-kata manis dan statusnya sebagai doktor di sebuah klinik swasta, seorang lelaki berusia 44 tahun bukan saja bijak memikat wanita untuk dijadikan isteri, malah mengikis wang teman hidupnya itu.


Bagaimanapun, tembelang sebenar terbongkar apabila isterinya hidup menderita selepas lelaki terbabit mula mengikis wang serta sanggup menjadikan isteri sebagai penjamin untuk memohon pinjaman bank sebelum akhirnya menceraikan dan meninggalkan wanita berkenaan menanggung hutang dengan institusi perbankan. 


Bekas isteri pertama lelaki itu, Nora Ahmad, 42, ketika mendedahkan masalahnya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, di sini, semalam berkata, suaminya pernah mempunyai empat isteri wanita tempatan pada satu masa, tetapi tiga daripada mereka diceraikan sebelum lelaki itu menghilangkan diri bersama isteri keempat.

Jururawat klinik swasta itu berkata, bekas suaminya itu meninggalkan beban hutang kepadanya apabila secara menipu menggunakan tandatangannya ketika memohon pinjaman di sebuah institusi perbankan tanpa pengetahuannya.







Menurutnya, akibatnya, dia kini berdepan risiko diisytihar muflis menyebabkannya bingung memikirkan nasib apabila saban hari diburu institusi perbankan yang menuntutnya menjelaskan hutang RM58,000.

Mayat bayi atas katil berdarah



MERU: Misteri tompokan darah atas katil membongkar seorang wanita 24 tahun melahirkan anak hasil hubungan terlarang dengan pendatang Bangladesh di sebuah rumah di Jalan Haji Salleh off Jalan Meru di sini, petang semalam.


Bayi lelaki cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira jam 4 petang kelmarin di rumah yang disewa wanita itu serta kakaknya dan dipercayai bayi itu mati ketika dilahirkan.



Kakak wanita itu yang tidak mengetahui adiknya hamil atau bersalin, menemui bayi berkenaan di atas katil tanpa tilam dan ternampak kesan darah.




Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sejurus mengetahui kejadian itu, kakak wanita itu yang berusia 27 tahun, bekerja sebagai penyelia sebuah pasar raya di sini, segera melaporkan kepada polis.



Menurutnya, wanita berkenaan yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya, menjalin hubungan dengan seorang lelaki Bangladesh sehingga mengandung.



“Bagaimanapun, teman lelakinya sudah pulang ke negara asal sejak Mac lalu.








“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dihantar ke tempat kejadian membantu siasatan dan menemui tali pusat bayi terbabit dalam beg plastik di rumah itu,” katanya.



Menurutnya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, bagi mengetahui usia dan punca kematian.






Wanita itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran.