Search This Blog

Wednesday, November 14, 2012

Atlet India Pinki sah lelaki, didakwa rogol teman serumah

KOLKATA, India - Polis India mengesahkan dakwaan ke atas atlet India, Pinky Pramanik, yang dituduh menyamar sebagai perempuan, merogol teman serumahnya.

Dia didakwa ekoran aduan dibuat oleh teman serumahnya.

Pihak berkuasa berkata, ujian perubatan mengesahkan jantina atlet itu sebenarnya seorang  lelaki seperti yang dilaporkan doktor panel di hospital kerajaan di sini, semalam.

Langkah itu diambil selepas dua ujian jantina yang dibuat sebelum ini, yang dijalankan di Hospital Barasat meragukan.

Pinky tetap menegaskan bahawa dia seorang wanita tulen dan mendakwa kes berkenaan merupakan satu konspirasi terhadapnya.

Atlet itu ditahan Jun lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin sebulan kemudian.

“Laporan perubatan mengesahkan  Pinky merupakan seorang lelaki,” kata polis semasa dakwaan dikemukakan di mahkamah Barasat.

Pihak polis turut mendakwa atlet itu turut mengugut dan menipu rakan wanitanya.

Peguam Pinky menafikan tuduhan rogol ke atasnya.

Julai lalu, Pinky menyalahkan suntikan hormon yang menyebabkan dia menjadi lebih maskulin.

Pinky pernah memenangi emas dalam acara 4x400 meter di Sukan Asia Doha 2006 dan perak dalam acara yang sama pada tahun 2006 di sukan Komenwel Melbourne.

Dia juga pernah merangkul tiga pingat emas pada sukan South Asian Federation (SAF) dalam acara 400 meter, 800 meter dan  4x400 meter, enam tahun lalu.

Lelaki sembunyi syabu dalam kunci penggera kereta ditahan di Melaka

ALOR GAJAH - Seorang lelaki yang menyembunyikan dua paket dadah dipercayai syabu dalam kunci penggera keretanya ditahan dalam operasi bersepadu di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di sini, hari ini.
   
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata polis turut menemui alat menghisap dadah dan sebilah senjata berbentuk pedang sepanjang 0.3 meter dalam kereta lelaki berusia 29 tahun itu.
   
"Hasil ujian air kencing, lelaki itu didapati positif dadah dan dia kini ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Senjata Merbahaya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Dalam pada itu, katanya lima lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun turut ditahan kerana positif dadah dalam operasi selama lebih dua jam bermula 10.30 pagi ini melibatkan 70 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
   
Ahmad Adnan berkata 17 notis juga dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju yang dibenar manakala enam saman dikeluarkan terhadap pemandu kerana tidak memiliki lesen memandu, perlindungan insurans dan cukai jalan.    

JPJ turut mengeluarkan notis arahan pemeriksaan semula ke atas 23 kenderaan yang menggunakan cermin gelap manakala SPAD mengeluarkan satu saman ke atas seorang pemandu teksi yang tidak mengenakan pakaian khas, katanya. - Bernama

Dua penoreh getah terlepas hukuman gantung dalam kes bunuh mangsa minum racun

KUALA TERENGGGANU - Dua penoreh getah terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga penoreh getah dengan memaksanya meminum racun dua tahun lalu.
   
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu ekoran kegagalan pihak pembelaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang @ Mamat mensabitkan kes prima facie ke atas Mat Ubidi Osman, 41 dan rakannya Kamarulzaman Mamat, 27, atas sabitan membunuh Muda Mohd.
   
Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata pihak pendakwaan membuat empat intipati selepas beberapa saksi dipanggil memberi keterangan iaitu intipati pertama dan kedua iaitu Muda meninggal dan meninggal kerana racun tidak disangkal pihak mahkamah.
   
Bagaimanapun, intipati ketiga iaitu tertuduh pertama dan kedua memaksa mangsa meminum racun ditolak apabila pihak pendakwaan gagal mensabitkan kedua-dua tertuduh melalui keterangan saksi.  
   
Intipati keempat juga ditolak mahkamah apabila pihak pendakwaan gagal mensabitkan kedua-dua tertuduh dengan niat bersama melakukan kesalahan tersebut.
   
Kedua-dua intipati itu ditolak apabila terdapat beberapa saksi pendakwaan memberikan keterangan bercanggah.

Mat Ubidi dan Kamarulzaman dituduh pada 19 Okt 2010 pada pukul lebih kurang 10 pagi hingga 11 pagi di kawasan kebun di kawasan Lubuk Batu, Marang telah membunuh Muda.
   
Oleh yang demikian kedua-dua tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
   
Mat Ubidi diwakili peguam Alias Abdullah manakala Kamarulzaman diwakili Othman Bakar.
   
Kamarulzaman ketika ditemui pemberita berkata beliau yakin akan dibebaskan namun tidak menyangka keputusan itu diperoleh sehari sebelum umat Islam menyambut tahun baru Hijrah yang jatuh pada hari esok.
   
Difahamkan akhbar sebelum ini melaporkan kejadian dikatakan berlaku kerana mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita berusia 16 tahun yang merupakan isteri orang. - Bernama

Askar AS bunuh 16 rakyat awam Afghan disyor dihukum mati



Robert Bales
$entry.content.caption.value
WASHINGTON - Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) berhadapan dengan hukuman mati selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh 16 orang awam, sebahagiannya kanak-kanak Mac lalu.

Pendakwa raya memohon mahkamah mengenakan hukuman mati di akhir kes.

Beberapa askar AS turut dipanggil dalam sesi pendengaran di mahkamah berhubung kes yang melibatkan Sgt Robert Bales.

Peguam Bales bagaimanapun menegaskan tiada bukti yang kukuh anak guamnya melakukan kesalahan itu.

Penyiasat utama dalam kes itu akan membuat syor sama ada kes perlu dibawa ke mahkamah tentera atau meneruskan hukuman.

Kol Lee Deneke akan membuat usul menjelang akhir minggu ini sebelum membuat keputusan sama ada Bales boleh merayu atau tidak.

Tentera pendakwa, Mej Rob Steel memberitahu ketika sesi pendengaran, hukuman mati perlu dipertimbangkan kerana ia kejam dan sangat keji.

Bales menghadapi 16 tuduhan membunuh, enam tuduhan dalam cubaan membunuh serta tuduhan serangan dan menyalahgunakan dadah dan alkohol.

Perbicaraan diadakan pada sesi petang bagi memudahkan mangsa dan keluarga mangsa yang dibunuh di kampong wilayah Kandahar boleh memberi keterangan melalui pautan video.

Sebelum ini, seorang gadis berusia tujuh tahun memberitahu mahkamah yang beliau bersembunyi di belakang bapanya sebelum bapanya ditembak dan dibunuh.

Tiga cedera dalam pergaduhan dua keluarga berjiran

MELAKA - Tiga lelaki cedera selepas terlibat dalam pergaduhan membabitkan dua keluarga berjiran di Taman Samarinda Alor Gajah di sini ketika sambutan Deepavali malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam tadi, kedua-dua jiran itu bergaduh menggunakan kayu dan besi dipercayai akibat rasa tidak puas hati dengan pelbagai perkara termasuk bunyi bising sempena sambutan perayaan Deepavali.
   
Beliau berkata ekoran kejadian itu, tiga lelaki berusia antara 18 hingga 23 tahun cedera sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah dan dirawat sebagai pesakit luar.
   
Sebelum kejadian, kedua-dua jiran itu terlibat dalam perang mulut kira-kira 12.30 pagi Selasa, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
   
Sehubungan itu, polis menahan lapan lelaki berusia 18 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.  - Bernama

Abang MP Jempol, isteri maut kemalangan


Abang MP Jempol, isteri maut kemalangan
Keadaan kenderaan yang merempuh lori simen pagi tadi.
JEMPOL - Sepasang suami isteri - abang dan kakak ipar kepada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin, maut setelah kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang lori simen yang sedang berhenti dekat lampu isyarat, di Kilometer 2 Jalan Bahau-Kemayan, sekitar jam 8 pagi tadi.

Mangsa, Udin, 74, dan isterinya, Sanah Ismail, 72, menaiki kereta jenis Proton Waja datang dari arah Mahsan menghala ke Bahau semasa kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Hamzah Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal memperlahankan kenderaannya ketika tiba di lampu isyarat lalu merempuh  lori berkenaan.

Tiga rakyat asing antara suspek pecah mesin ATM

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti tiga lelaki asing dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam enam kes pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di ibu negara sejak Julai lepas.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata identiti suspek itu dikesan berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).
   
Tiga suspek asing itu ialah seorang rakyat Peranchis berusia 46 tahun dan dua warga Guatemala, masing-masing berumur 22 dan 25 tahun, yang dikaitkan dengan kes di di Jalan Wan Kadir 1, Taman Tun Dr Ismail dan Taman Midah, Cheras.

Dua suspek tempatan pula disyaki terlibat dengan kejadian pecah mesin ATM di sebuah pasar raya di Wangsa Maju dan Jalan Peel, Cheras serta di Stesen LRT Universiti dan di kampus Universti Malaya yang melibatkan anggaran kerugian RM1.17 juta pada 1 Julai lepas.
   
Polis percaya kesemua suspek masih berada di negara ini, dengan tiga suspek warga asing pernah dilihat di Kuantan, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Ku berkata dari 2011 hingga kini, sebanyak 10 kes pecah mesin ATM dilaporkan menyebabkan kerugian RM2.2 juta, manakala empat lagi cubaan tidak berjaya. - Bernama

Polis trafik parah dirempuh motosikal ketika bertugas

GEORGETOWN - Seorang anggota polis trafik parah akibat dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 127.6 menghala arah utara Sungai Dua, Butterworth, dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pada kejadian 2.50 petang itu anggota berkenaan, Lans Koperal Abu Talib Shariff, 23, sedang mengeluarkan surat saman kepada seorang pemandu kereta yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had laju.

"Motosikal yang dipandu laju seorang lelaki secara tiba-tiba merempuh Abu Talib dan mengheretnya sejauh 30 meter sebelum beliau tercampak ke lorong kecemasan," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota berkenaan di Penang Adventist Hospital, di sini hari ini.

Beliau berkata susulan insiden itu keseluruhan struktur tulang muka dan bahu kiri anggota berkenaan patah selain tulang rusuk di bahagian belakangnya retak.

Difahamkan anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan ditahan di hospital itu untuk jangka masa yang lama berikutan kecederaan yang dialaminya.
  
Abdul Rahim menggesa semua pengguna jalan raya agar peka dengan keadaan persekitaran sewaktu memandu terutamanya ketika terdapat sekatan jalan atau seumpamanya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya lelaki yang melanggar Abu Talib yang turut patah bahu kanannya kini berada di Hospital Kepala Batas dan dia akan ditahan sebaik sehaja selesai menjalani rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM4,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan," katanya.- Bernama

3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia ditahan kerja


3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia ditahan kerja
Sofiana (kiri) berjabat tangan dengan Abdul Rahim pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.
GEORGETOWN - Tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang pembantu kedai warganegara Indonesia pada Jumaat lalu ditahan kerja sementara siasatan sudah 95 peratus selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan sudah menahan ketiga-tiga anggota berpangkat rendah itu.

“Setakat ini, kita sudah merekod 10 keterangan daripada saksi kejadian dan polis sedang menunggu laporan kimia dan laporan perubatan untuk mendakwa ketiga-tiga anggota itu di mahkamah. Sehingga kini, mereka ditahan kerja untuk siasatan dijalankan ke atas mereka.

“Setakat hari ini, 95 peratus siasatan sudah siap. Kita akan tunggu pihak Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan perintah untuk mendakwa ketiga-tiga anggota ini,” katanya pada media hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan dengan telus walaupun melibatkan anggota polis.

“Kita sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk mempercepatkan siasatan dan siasatan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan. Jika dilihat dari tempoh tangkapan dibuat, kita menahan ketiga-tiga anggota berkenaan sehari selepas laporan dibuat mangsa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. Kita mengharapkan agar tidak ada pihak yang membuat spekulasi yang boleh mengganggu hubungan diantara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, pemangku Konsul Jeneral Indonesia Pulau Pinang, Sofiana Mufidah berkata, pihaknya mengharapkan siasatan yang telus dan mengikut prosedur dalam kes itu sehingga ia selesai.

“Kita mengharapkan ia (siasatan) diadakan dengan baik dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak yang salah walaupun melibatkan anggota PDRM. Kita juga meminta rakyat Indonesia supaya bertenang dan mengawal emosi.

“Pihak konsul faham, dengan berlakunya kejadian sebegini, ia sedikit sebanyak menyentuh perasaan masyarakat Indonesia (di Malaysia atau di Indonesia), namun kita perlu menangani masalah ini dengan tenang dan perlu mempercayai PDRM dalam menjalankan siasatan. Kita berharap agar kes ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sofiana berkata, mangsa kini berada di pejabat konsul Indonesia di Pulau Pinang sementara menunggu sehingga kes berkenaan selesai.

Sabtu lalu, seorang pekerja kedai makan warga Indonesia berusia 25 tahun mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh tiga anggota polis di sebuah balai di Bukit Mertajam selepas menahannya di kawasan perumahan kira-kira jam 6.20 pagi Jumaat lalu.

Restoran hidang menu anjing


Pub yang menjadi tumpuan warga Myanmar.
Pub yang menjadi tumpuan warga Myanmar.
Minuman keras yang dijual tanpa permit turut dirampas.
Minuman keras yang dijual tanpa permit turut dirampas.
PETALING JAYA – Sebuah restoran dan pub yang menjadikan anjing sebagai makanan utamanya disita dalam serbuan anggota Balai Polis Damansara Utama dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, awal pagi semalam.

Serbuan yang diketuai, Ketua Balai Cif Inpektor Mohd Zul Azri Abdul Rashid itu berjaya menahan tujuh warga Myanmar yang sedang leka menikmati minuman keras di premis tidak berlesen itu yang beroperasi di tingkat dua bangunan rumah kedai di Jalan SS 21/56 B, Damansara Utama, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan daripada penduduk setempat yang kurang senang dengan sikap pengunjung restoran itu yang mabuk dan membuat bising pada pada awal pagi.

“Tindakan pernah diambil setahun lalu namun premis terbabit masih berdegil menyebabkan  tindakan diambil sekali lagi,” katanya.

Ke semua warga asing ditahan akan diperiksa, manakala yang tiada dokumen pengenalan diri akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, pub itu popular dalam kalangan warga Myanmar apabila ada di antaranya yang datang dari jauh semat-mata mahu menikmati hiburan di situ.

Siasatan lanjut mendapati premis tidak mempunyai lesen untuk menjual minuman keras  yang kebanyakannya diimport.

“Kesemua minuman keras yang dijual dirampas dan akan diserahkan kepada Kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, pihak MBPJ menjalankan sitaan ke atas beberapa barangan termasuk pembesar suara dan set televisyen mengikut Enakmen Pusat Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen.

Wartawan wanita ditangkap kerana terlibat jaringan pengedaran dadah

JAKARTA - Seorang wartawan wanita adalah antara lima yang ditahan pengawai penguatkuasa Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia di sini sejak beberapa hari lepas kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah jaringan antarabangsa.
   
Pihak berkuasa merampas dadah jenis syabu dan sejumlah wang asing palsu dominasi 100 dolar Amerika dan 100 Euro yang diisi dalam dua kotak besar daripada suspek-suspek itu.
   
Timbalan Penguasa BNN, Benny Mamoto memberitahu media tempatan bahawa pegawai penguatkuasa badan itu merampas dadah jenis syabu seberat 2.6 kg ketika wartawan wanita terbabit ditangkap bersama seorang wanita lain di kawasan sekitar Jalan Thamrin di sini pada Isnin.
   
Pihak berkuasa turut menahan suami wartawan wanita itu, yang merupakan seorang rakyat Cameroon di tempat sama.
   
Penangkapan mereka kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Manggarai, Jakarta Selatan, yang disyaki turut terlibat dalam jaringan pengedaran dadah itu.
   
Pada hari berikutnya, pegawai penguatkuasa BNN yang menggeledah rumah wartawan wanita dan suaminya itu di dua kawasan, di sini telah menemui wang asing palsu dominasi 100 dolar Amerika dan 100 Euro yang diisi dalam dua kotak besar.
   
Turut ditemui ialah bahan-bahan yang diguna untuk pembuatan wang palsu. - Bernama

Hujan cetus kemusnahan di Haiti



 
PORT-AU-PRINCE: Hujan semakin berkurangan di Haiti dan banjir tidak mencengkam kawasan kediaman tetapi keadaan di seluruh negara itu tetap suram berikutan hujan musim luruh.

Ramai yang terkorban dan pakar bimbang akan berlaku kekurangan bekalan makanan.
Hujan lebat mula menimpa sebelum Taufan Sandy pada 24 Oktober lalu dan turun lebih 50 sentimeter dalam tempoh 24 jam.

Bencana turut dirasai di utara negara itu minggu lalu menyebabkan berpuluh orang mati. Setakat ini jumlah kematian akibat taufan meningkat kepada 66 orang. - AP

Lelaki miliki diesel subsidi ditahan



SEORANG anggota penguat kuasa PPDNKK Sarawak 
memeriksa tangki berisi minyak diesel bersubsidi di Kuching semalam.


KUCHING – Tembelang seorang pemilik premis kedai yang menjalankan kegiatan menjual minyak diesel bersubsidi tanpa lesen terbongkar apabila dia ditahan di Jalan Penrissen, Batu 9 di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an tersebut ditahan oleh empat pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak.
Terdahulu, lelaki tersebut cuba menyogok empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta dua pegawai Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NRED) yang memeriksa premis itu kira-kira pukul 11 pagi.
Pengarah PPDNKK Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, susulan maklumat daripada pegawai NRED, pegawainya menyerbu premis tersebut dan menemui satu tangki besar mengandungi 10,000 liter minyak diesel bersubsidi.
“Kita juga menemui lapan buah tong berisi 8,000 liter minyak diesel di dalam sebuah lori di luar premis tersebut.
“Jumlah anggaran rampasan termasuk harga lori melebihi RM100,000,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tarik, seret, pijak warga emas




ANGGOTA polis memeriksa dua tong gas Oxy Acetelyne yang ditinggalkan penjenayah.


PUCHONG - Seorang pekerja sebuah stesen minyak tidak menyangka tindakannya pergi kerja seawal pukul 6 pagi dapat menyelamatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dalam premis itu daripada disamun empat lelaki walaupun dia sendiri cedera ringan akibat dipijak semalam.
Kejadian di Batu 13, Jalan Klang-Puchong di sini itu berlaku apabila mangsa yang berusia 60 tahun terdengar orang berbual dari dalam premis sebaik dia sampai di stesen minyak itu.
Dia kemudian menjengah melalui cermin pintu sebelum ternampak percikan api berdekatan ATM.
Namun, tidak sempat dia hendak membuat pemeriksaan lanjut, dua lelaki bersenjatakan batang besi yang sedang berkawal di luar premis telah menarik dan mengheret mangsa ke belakang kedai sebelum memijak badannya. Suspek ketika itu memakai topi keledar.
Ketika dipijak, mangsa ternampak dua lagi lelaki yang juga memakai topi keledar bergegas keluar melalui pintu belakang premis sebelum keempat-empat penjenayah melarikan diri dengan menunggang dua buah motosikal. Dia kemudian menghubungi polis.

Empat maut banglo terbakar




ANGGOTA bomba menjalankan siasatan selepas api dapat dipadamkan sepenuhnya.


TAIPING - Jeritan seorang kanak-kanak sebaik ternampak api berjaya menyelamatkan nyawa lima ahli keluarganya namun pada masa sama terpaksa menerima hakikat bahawa empat yang lain terkorban dalam kebakaran sebuah banglo di Taman Pegawai Kanan, Assam Kumbang dekat sini semalam.
Kejadian pukul 12.24 tengah malam itu mengakibatkan akauntan Royal Bank of Scotland di Kuala Lumpur, Mohd. Hakimi Zubair, 40; isterinya, seorang pakar IT, Leila Sahak, 40; anak bongsu mereka, Ahmad Faris, 3, serta pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Rizki, warga Indonesia, lemas akibat terhidu banyak asap.
Mayat Mohd. Hakimi ditemui di pintu keluar ke balkoni manakala tiga mangsa lain ditemui di bilik tidur utama dalam keadaan berpelukan. Kesemua mangsa tidur di tingkat atas banglo berkenaan.
Mohd. Hakimi dan Leila yang masing-masing merupakan graduan dari University of Liverpool dan University of Manchester, United Kingdom sepatutnya pulang ke ibu negara petang kelmarin. Mereka berada di Taiping kerana bercuti.
Leila berasal dari Jambatan Duyong, Melaka.

Kosmetik tiruan pembunuh senyap



KUALA LUMPUR – Ramai wanita yang menggunakan produk kosmetik tiruan tidak menyedari bahawa barangan tersebut sebenarnya merupakan pembunuh senyap termasuk boleh mengakibatkan kecacatan kekal pada otak.
Pakar Perunding Kulit, Dr. Ko Chung Beng berkata, kosmetik tiruan mengandungi campuran bahan kimia bertoksik yang sangat berbahaya pada kulit, organ dalaman dan sistem saraf manusia.
“Penggunaan kosmetik tiruan dalam tempoh panjang menyebabkan bahan kimia berbahaya itu meresap ke dalam liang kulit seterusnya berkumpul dan meningkatkan jumlah toksik dalam badan.
”Pengguna boleh terdedah kepada risiko kehilangan sel otak yang mengakibatkan mereka menjadi cacat akal atau menghidap penyakit Alzheimer pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Antara risiko penyakit yang mengancam pengguna ialah parut kekal pada kulit, psoriasis (penyakit kulit), jangkitan kuman pada mata, masalah jantung, buah pinggang dan gangguan sistem saraf.

Polis ambil keterangan 10 saksi kes rogol



GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah mengambil keterangan 10 orang saksi bagi membantu siasatan kes tiga anggotanya yang didakwa memperkosa seorang wanita Indonesia ketika ditahan di Balai Polis Perai, Bukit Mertajam dekat sini 9 November lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan berhubung dakwaan yang dibuat wanita berusia 25 tahun itu hampir selesai 95 peratus selepas penahanan ketiga-tiga anggota berpangkat rendah terbabit.
Menurut beliau, sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut dan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya (DPP) bagi membuat pertuduhan ke atas anggota terlibat.
“Kita telah menahan kerja ketiga-tiga anggota untuk siasatan lanjut sehingga pertuduhan dibuat di mahkamah nanti dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 November.
“Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Empat dikhuatiri lemas



ANGGOTA bomba mencari sebuah kereta yang terjunam ke Sungai Padang Kerbau di Pendang, Kedah semalam.


PENDANG – Empat individu yang tidak dikenali identitinya dikhuatiri lemas setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Padang Kerbau, Titi Haji Idris dekat sini semalam.
Kejadian membabitkan sebuah kereta Proton Saga Aeroback berwarna putih itu berlaku kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
Kosmo! difahamkan kesemua mangsa mungkin orang luar yang datang untuk melakukan aktiviti memancing di kawasan sungai itu.
Seorang penduduk, Siti Fatimah Husin, 34, memberitahu, ketika kejadian dia berada di bahagian bawah rumahnya yang terletak kira-kira 15 meter dari lokasi.
“Ketika saya bersama keluarga makan tengah hari, tiba-tiba terdengar satu bunyi ‘boom’ seperti ada benda besar jatuh ke dalam sungai.
“Saya jenguk ke arah sungai, saya mendapati ada kereta terjatuh ke dalamnya dan kemudian saya beritahu jiran.
“Tidak lama kemudian kereta itu terus tenggelam. Saya terus hubungi bomba dan polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Teksi terperosok bawah treler, pemandu selamat



Anggota bomba dan perubatan berusaha menyelamatkan Kasmir Mohammed yang tersepit dalam teksi yang remuk dan terperosok di bawah treler di Kilometer 5.3, Lebuh Raya SILK, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Melihat keadaan teksi yang remuk terperosok di bawah treler, sukar untuk dipercayai bahawa pemandunya akan terselamat dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Lebuh Raya Penyuraian Trafik Lingkaran Luar Kajang (SILK) dekat sini hari ini.
Itulah yang terjadi kepada pemandu teksi, Kasmir Mohammed, 53, apabila dia terselamat walaupun mengalami luka di tangan dan badan serta patah tulang rusuk dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, teksi dipandu mangsa remuk teruk selepas dirempuh sebuah treler yang tidak sempat mengelak apabila kenderaan itu tiba-tiba berhenti di hadapannya.
Akibatnya, teksi terbabit terseret ke arah tembok pembahagi lebuh raya sejauh lebih 20 meter dan separuh kenderaan itu terperosok di bawah treler tanpa muatan berkenaan.
Kemalangan itu turut menyebabkan sebuah kereta Proton Saga yang diletak di tepi jalan remuk akibat dirempuh.
Orang ramai yang melihat kemalangan itu berusaha mengeluarkan pemandu teksi berkenaan tetapi gagal kerana mangsa tersepit dari bahagian pinggang ke bawah di tempat duduknya.
Mangsa kemudian diselamatkan selepas dikeluarkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang yang tiba di lokasi kemalangan 15 minit selepas itu.
Usaha mengeluarkan mangsa agak sukar dan mengambil masa selama sejam kerana keadaan teksi yang remuk.
Semasa kerja-kerja mengeluarkan pemandu teksi itu dijalankan, anggota perubatan dari Hospital Serdang turut melakukan rawatan terhadap mangsa bagi mengelak dia pengsan akibat penyahhidratan badan dan kehilangan banyak darah.
Mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_12/Teksi-terperosok-bawah-treler-pemandu-selamat#ixzz2CCoCtiDX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nenek, cucu antara tiga terbunuh



KEMALANGAN melibatkan tiga kenderaan hingga mengakibatkan dua terbunuh di Jalan Pagoh-Labis berdekatan IKBN Pagoh di Pagoh, Johor, semalam.
MUAR 11 Nov. - Seorang nenek dan cucu perempuannya adalah antara tiga yang terbunuh dalam kemalangan yang berlaku di dua lokasi di daerah ini hari ini.
Dalam nahas yang berlaku di Jalan Pagoh-Labis berdekatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh pukul 4.45 petang ini, seorang nenek yang dikenali sebagai Norshira, 52, dan cucunya, Norafifah Aliah Ridzuan, 10 bulan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
Kedua-dua mangsa dikatakan tersepit di tempat duduk mereka selepas kereta jenis Kia Spectra dinaiki bersama suami Norshira dan anak perempuannya remuk teruk.
Menurut jurucakap polis, suami Norshira dan anak perempuannya bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
"Ketika kejadian, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan menghala ke Labis sebelum kenderaan itu dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza dari belakang.
"Sebuah lori membawa muatan limau dari arah bertentangan gagal dikawal lalu merempuh kedua-dua kereta tersebut sehingga mengakibatkan lori itu terbalik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut jurucakap polis itu, pemandu dan penumpang Toyota Avanza itu tidak mengalami kecederaan namun dua penumpang dalam kereta Kia terbabit meninggal dunia selepas tersepit di dalam kenderaan.
Difahamkan keluarga Norshira dalam perjalanan untuk menghantar kad jemputan kahwin salah seorang anak lelakinya ke rumah kenalannya sebelum terlibat dalam nahas.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.
Dalam satu lagi kemalangan sebelum itu, seorang lelaki maut manakala penumpangnya parah selepas Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Tangkak-Muar, dekat Bukit Kangkar.
Kejadian berlaku pukul 12 tengah hari ketika mangsa, Annal Hassan, 34, bersama Nurul Asri, 30, dalam perjalanan dari Tangkak ke Muar untuk menghadiri kenduri perkahwinan kenalan mereka.
Walau bagaimanapun, Annal dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal menyebabkan kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori satu tan dari arah bertentangan.
Kemalangan menyebabkan Annal tercampak kira-kira 50 meter di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan menyebabkannya meninggal di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121112/je_02/Nenek-cucu-antara-tiga-terbunuh#ixzz2CBFu8nR8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sindiket dagang bayi dikesan



Abdul Jalil Hassan
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Akibat malu dan terdesak untuk mendapatkan wang setelah hamil tanpa suami, ramai wanita warga Indonesia yang tinggal di negara ini sanggup 'dipelihara' oleh sindiket pemerdagangan bayi.
Sindiket yang diibaratkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai 'kilang penternak manusia' itu akan menjaga wanita terbabit sepanjang tempoh hamil sehinggalah mereka selamat melahirkan anak.
Bayi itu kemudian dijual oleh sindiket kepada mana-mana individu yang berminat mengambil anak angkat dengan bayaran antara RM15,000 sehingga RM50,000.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, kegiatan pemerdagangan bayi mendapat permintaan tinggi khususnya daripada pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan anak.
Katanya, bagi memastikan 'bekalan' bayi tidak terputus, ahli sindiket ini turut giat mencari mana-mana wanita hamil luar nikah dan sanggup menjual bayi mereka sebaik sahaja dilahirkan.
"Polis mengesan sindiket menjual bayi ini di sekitar Lembah Klang dan mereka menyasarkan wanita warga Indonesia yang hamil tanpa suami sebagai 'pembekal' bayi untuk diperdagangkan.
"Sindiket ini akan menjaga wanita terbabit sehingga selamat bersalin dan segala urusan melahirkan bayi ditanggung oleh mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Abdul Jalil, selepas melahirkan bayi, wanita terbabit akan menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 sebagai upah manakala bayi yang dilahirkan dijual antara RM15,000 dan RM50,000 bergantung kepada warna kulit dan paras rupa.
Katanya, semakin cerah kulit dan cantik rupa paras bayi itu maka harganya semakin tinggi.
"Pembeli bayi pula tidak perlu risau tentang urusan mendapatkan surat beranak bagi anak angkat mereka kerana semuanya diuruskan sindiket yang mendapat kerjasama 'orang dalam' di klinik-klinik swasta dan jabatan kerajaan berkaitan," katanya.
Abdul Jalil berkata, selain wanita Indonesia, terdapat kes wanita tempatan menjual bayi kepada sindiket itu namun jumlahnya tidak banyak dilaporkan.
Beliau berkata, kebanyakan wanita menjual bayi mereka kerana mahu menutup malu, enggan menanggung beban selepas mempunyai anak atau tidak mampu menanggung bayi tersebut akibat hamil tanpa suami.
Bagaimanapun, kata Abdul Jalil, tindakan tegas dan pemantauan berterusan dijalankan oleh Unit AntiPemerdagangan Orang (ATIP), PDRM berjaya mengurangkan kes pemerdagangan bayi di negara ini.
"Sejak 2009 hingga 30 September lalu, kita berjaya menyelamatkan 36 bayi daripada menjadi mangsa diperdagangkan iaitu tiga orang pada 2009, diikuti 20 (2010), sembilan (2011) dan empat (2012)," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121113/je_02/Sindiket-dagang-bayi-dikesan#ixzz2CBF0ZO9i
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat bayi dalam beg kertas



Anggota polis memeriksa mayat bayi yang ditinggalkan di dalam beg kertas di belakang sebuah premis di Blok 19, Jalan Dua di Sandakan, semalam.
SANDAKAN 12 Nov. - Mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan dalam beg kertas di belakang sebuah premis di Blok 19, Jalan Dua di sini hari ini.
Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui dibungkus dengan kain dalam beg kertas yang turut berisi sampah kira-kira pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mayat bayi berkenaan ditemui oleh orang ramai yang lalu di kawasan itu.
"Salah seorang individu membuat laporan di balai polis berhampiran kira-kira pukul 8.10 pagi memaklumkan penemuan mayat bayi itu," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121113/je_03/Mayat-bayi-dalam-beg-kertas#ixzz2CBEPWCQF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga beranak, pembantu rumah maut dalam kebakaran



TAIPING 13 Nov. - Tiga beranak termasuk seorang pembantu rumah warga Indonesia terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah banglo dua tingkat di Taman Pegawai Kanan, Assam Kumbang dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.24 malam itu, Hakimi Zubair, 40, ditemui berhampiran pagar tingkat atas manakala isteri, Leila Sahak, 40, dan anaknya, Ahmad Faris Hakimi, 3, serta pembantu rumah yang dikenali sebagai Rizki pula ditemui dalam keadaan berpelukan dalam bilik utama kediaman berkenaan.
Keempat-empat mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap selepas gagal menyelamatkan diri ekoran terperangkap dalam asap tebal.
Turut berada dalam rumah itu semasa kejadian ialah bapa mangsa, Zubair Puteh, 73; adik mangsa, Rozita Zubair, 31, dan tiga anak mangsa iaitu Lokman Hafiz, 13; Ain Najwa, 11, dan Aizad Fahmi, 8.
Bagaimanapun kesemua mereka yang tidur di tingkat bawah kediaman itu berjaya menyelamatkan diri.
Bapa mangsa, Zubair ketika ditemui pemberita memberitahu, anak ketiga daripada lapan beradik yang bekerja sebagai akauntan di Royal Bank Of Scotland di ibu negara itu pulang ke kampung menziarahinya sejak Jumaat lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_34/Tiga-beranak-pembantu-rumah-maut-dalam-kebakaran#ixzz2CBA7U1qV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Turki tempatkan peluru berpandu Patriot di sempadan Syria



ISTANBUL 11 Nov. - Turki merancang pelan kecemasan, antara lain menempatkan peluru berpandu Patriot di kawasan sempadannya dengan Syria.
Pelan dengan bantuan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu dibuat bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan sempadan.
Presiden Turki, Abdullah Gul berkata, keadaan di Syria yang boleh memberi kesan kepada Turki menyebabkan negara ini mengambil langkah berjaga-jaga.
"Perbincangan sedang dijalankan dengan NATO daripada segi mempertahankan negara serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil," katanya pada Khamis lalu, ketika ditanya tentang kemungkinan Turki menempatkan Patriot di sempadan negara ini.
Rabu lalu, media Turki dan antarabangsa melaporkan kerajaan Turki meminta NATO menempatkan peluru berpandu Patriot di sepanjang kawasan sempadan dengan Syria, namun Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menafikannya.
"Kami tidak membuat permintaan tersebut. Saya mahu jelaskan bahawa kami tidak berfikir atau sedang membuat keputusan membeli Patriot ketika ini," katanya semasa lawatannya ke Bali, pada minggu lalu.
Erdogan yang kelihatan marah dengan laporan tersebut menegaskan bahawa pegawai Kementerian Luar yang menjadi sumber maklumat itu tidak mempunyai hak untuk membuat kenyataan tersebut.
Ankara dilihat berhati-hati untuk mendedahkan mengenai kaedah pertahanan Turki dan turut menegaskan tidak mahu berperang dengan negara jirannya itu, yang berkongsi kawasan sempadan sepanjang 822 kilometer.
"Tidak menjadi persoalan sama ada Turki mempunyai niat untuk berperang dengan Syria atau tidak. Saya harap ia juga tidak menjadi persoalan bagi Syria untuk terlibat dengan tindakan tidak masuk akal terhadap Turki.
"Namun, bila terdapat keputusan saat akhir seperti ini, bila terdapat risiko yang berpotensi, tidak ragu-ragu lagi semua langkah pencegahan perlu diambil," kata Gul merujuk keputusan penggunaan Patriot.
Sistem peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) menjadi terkenal semasa Perang Teluk dan pernah digunakan untuk memintas peluru berpandu Scud, yang digunakan Iraq. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121112/lu_05/Turki-tempatkan-peluru-berpandu-Patriot-di-sempadan-Syria#ixzz2CB5vz8FU
© Utusan Melayu (M) Bhd