Search This Blog

Sunday, November 11, 2012

Anggota polis trafik Singapura maut di Nilai



SEREMBAN - Hasrat seorang anggota polis trafik dari Singapura untuk menyertai Konvoi Kembara 1Malaysia Bike Week (1MBW) 2012 di Putrajaya berakhir dengan tragedi apabila beliau maut dalam kemalangan di Km277 Lebuh Raya Utara Selatan arah ke utara dekat sini malam tadi.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, Syed Faizal Syed Abdullah, 37, yang menunggang motosikal Suzuki V Strom dikatakan dirempuh sebuah Perodua Myvi dari arah belakang.
  
Jurucakap polis berkata akibat rempuhan itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan hingga mengakibatkannya tercampak.
  
"Mangsa bersama beberapa lagi rakannya yang menunggang motosikal berkuasa tinggi sedang dalam perjalanan ke Putrajaya untuk menyertai konvoi tersebut," katanya.
  
Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan serius sementara pemandu Myvi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
  
Ketua Tafik Negeri ASP Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat. - Bernama

Penduduk gempar kereta disimbah asid



WARTAWAN SINAR HARIAN
11 November 2012
Simbah Asid - Al-Hijrah
Muhammad Sazri menunjukkan kesan dipercayai disimbah asid.
KUALA LUMPUR - Penduduk di sebuah Apartment LTAT, Bukit Jalil di sini, gempar apabila lebih 15 buah kenderaan yang diparkir di kawasan itu rosak teruk dipercayai akibat disimbah menggunakan cecair berasid.

Salah seorang mangsa, Eksekutif Stesen Televisyen Al-Hijrah, Muhammad Sazri Abd Sani, 30, berkata, insiden terbaru berlaku pada pada 5 November lalu melibatkan kira-kira 10 buah kereta termasuk Perodua Myvi miliknya.

Menurutnya, kejadian disedari pada jam 10 pagi, setelah mendapati cat pada permukaan pintu kereta terkopek, sebelum membuat laporan polis di balai polis berhampiran. 

"Kejadian ini bukan kejadian pertama yang berlaku di kawasan itu. Difahamkan kejadian sebegini turut berlaku pada bulan Julai di mana enam buah kenderaan rosak teruk akibat dicalar dan disimbah asid, kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000," katanya.

 Sazri berkata, individu yang dipercayai melakukan perkara itu menyasarkan kenderaan yang diparkir di bahu jalan berhampiran lif apartment berkenaan.

"Kenderaan yang parkir di bahu jalan itu tidak menghalang laluan, walaupun penduduk sedia maklum bahawa kawasan itu tidak dibenarkan parkir. Kami tiada pilihan kerana parkir di kawasan ini tidak mencukupi," Katanya.

Menurutnya, pengawal keselamatan mendakwa mereka tidak tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada pengawal keselamatan di kawasan itu, namun pihaknya enggan memberi kerjasama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan.

"Setakat ini, kami menerima empat laporan polis, punca kejadian dipercayai salah faham melibatkan penduduk di kawasan itu. Kami akan membuat rondaan bersama persatuan penduduk bagi mencegah perkara yang sama berulang," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Tiga maut empat cedera dalam kemalangan di Kunak



KUNAK - Tiga maut dan empat cedera apabila lori yang mereka tumpang hilang kawalan lalu melanggar sebuah treler yang berhenti di tepi jalan di kilometer 20 Jalan Kunak-Lahad Datuk semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kunak, ASP Wee Devets Tan berkata akibat rempuhan itu lori berkenaan terbabas ke tepi jalan dan penumpangnya tercampak keluar dalam kejadion 4.40 petang itu.

Beliau berkata seorang penumpang meninggal di tempat kejadian sementara dua lagi di Hospital Kunak.

Empat yang cedera termasuk pemandu dan seorang wanita yang sarat mengandung kini dirawat di Hospital Kunak dan Hospital Tawau, katanya.

Mereka dikatakan baharu balik dari pengebumian anggota keluarga mereka di tanah perkuburan Islam Lor Malung dekat sini dan menghala ke arah Lahad Datu.

Wee berkata pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya dalam satu kenyataan tanpa memberi butiran lanjut mengenai mangsa.

Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu dikatakan bekerja di sebuah ladang sawit berdekatan sempadan Lahad Datu.- Bernama

Kereta terbakar bersama serai



Keadaan kereta Perodua Kancil yang rentung akibat terbakar, kelmarin. Gambar kecil: Hashim
Keadaan kereta Perodua Kancil yang rentung akibat terbakar, kelmarin. Gambar kecil: Hashim
BANDARAYA MELAKA - Seorang pesara nyaris maut apabila kereta dinaikinya terbakar bersama serai yang baru diambil di kebunnya untuk dijual, petang kelmarin.

Hashim Mohd, 57, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri selepas keluar dari kereta dipandunya sebaik sahaja melihat bonet Perodua Kancil yang tiba-tiba berasap dan mengeluarkan api.

Menurut Hashim, sebelum ke kebun di Kampung Kandang untuk mengambil serai yang hendak dijual, dia pergi ke bengkel mengambil kereta yang baru dibaiki kerana mengalami masalah enjin sejak tiga minggu lalu.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Duyong, saya berhenti menunggu lampu isyarat di persimpangan ini sebelum melihat asap dan api kecil di bahagian hadapan lalu mengambil parang untuk membuka bonet,” katanya di sini, semalam.

Hashim berkata, usahanya membuka bonet gagal dan hanya mampu melihat kereta yang digunakannya selama 10 tahun hangus terbakar serai sebelum meminta bantuan orang ramai menghubungi bomba.

“Walaupun mengalami kerugian, namun saya bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya yang baru sahaja kehilangan anak lelakinya dalam kemalangan di Bukit Baru, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba negeri, Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan orang awam pada jam 5.09 petang.

“Kebakaran yang berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.25 petang itu dilakukan oleh seramai lapan pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

“Menurutnya, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dalam kejadian yang tidak membabitkan kemalangan jiwa itu,” katanya.

Lori terbabas, kelindan cedera



Keadaan lori remuk selepas terbabas dalam parit, kelmarin.
Keadaan lori remuk selepas terbabas dalam parit, kelmarin.
JELI - Seorang kelindan lori patah tangan manakala pemandunya cedera ringan apabila kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas dalam parit di Kilometer 6.6 Jalan Jeli-Dabong dekat Kampung Pasir Dusun, jam 4.40 petang kelmarin.

Pemandu lori, Kueh Elek, 54, dan Ahmad Zakuan Kasim, 27, berasal dari Jalan Datuk Pati, Kota Bharu dalam perjalanan pulang dari Kuala Balah selepas selesai menghantar barangan runcit di kawasan terbabit sebelum lori satu tan itu terbabas.

Pegawai Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Jeli, Abdullah Mamat berkata, sejurus menerima panggilan, lima anggota dibantu empat bomba sukarela dengan kekuatan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian kelindan yang berada di tempat duduk penumpang tersepit menyebabkan tangan kirinya patah dan hampir remuk berjaya dikeluarkan 15 minit kemudiannya.

“Ketika berada di tempat kejadian pemandu lori itu cuba memberhentikan kenderaan dipandu secara mengejut selepas dua kenderaan di hadapan dipercayai menekan brek secara tiba-tiba.

“Akibat tindakan pemandu yang berusia 54 itu yang menekan brek secara mengejut bagi mengelak merempuh kenderaan di hadapan menyebabkan lori dinaiki berpusing serta terbalik melanggar tebing parit,” katanya.

Tambahnya, pemandu lori tersebut berjaya dikeluarkan orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jeli manakala kelindan lori dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan lanjut.

“Kecederaan yang dialami kelindan tersebut agak serius ekoran tangan kirinya hampir remuk serta kulitnya terkoyak,” katanya.

Dalang air ketum tumpas



NIK MUHAMMAD RAFFIQ
11 November 2012
Wanita ini dibawa ke lokap IPD Dungun untuk siasatan lanjut selepas polis temui air ketum di rumahny
Wanita ini dibawa ke lokap IPD Dungun untuk siasatan lanjut selepas polis temui air ketum di rumahnya.
Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses ketum.
Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses ketum.
AL MUKHTAFI BILLAH SHAH – Rahsia peningkatan kes penagihan ketum dalam kalangan penduduk tempatan terbongkar apabila dua warga Thailand yang dipercayai menjadi pembekal utama bahan terlarang terbabit, ditahan dalam satu serbuan polis dekat sini, pagi Rabu lalu.

Hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah rumah kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 28 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri dari negara jiran itu ditahan kerana disyaki menjadi dalang utama aktiviti memproses dan membekal air ketum kepada penagih tempatan.

Pemeriksaan polis di rumah didiami dua beradik yang menggunakan pas lawatan sosial untuk tinggal di negara ini, turut menemui empat plastik hitam serta 40 bungkus plastik kecil air ketum yang siap diproses untuk dijual di kawasan sekitar.

Pihak berkuasa juga turut menemui periuk dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

Siasatan awal mendapati, suami kepada wanita terbabit dipercayai pernah terlibat dengan aktiviti sama dan ketika wanita berasal dari Tak Bai, Selatan Thailand itu ditahan, suaminya difahamkan berada di lokap Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu kerana kesalahan sama.

Turut ditahan termasuk 11 lelaki yang datang ke rumah terbabit, dipercayai untuk mendapatkan bekalan ketum.

Hasil ujian saringan air kencing, lapan daripadanya positif dadah jenis methapethamine dan mereka bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas menerima laporan lanjut daripada pihak perubatan.

Wanita yang mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun dan adik lelakinya berusia 17 tahun itu kini ditahan reman empat hari sehingga Ahad (hari ini) mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan tangkapan tersebut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti memproses, membekal atau penyalahgunaan dadah dapat menghubungi pihaknya di talian 09-8482222 (Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik) untuk tindakan lanjut.

Mayat berulat dalam bas



AHMAD ISMADI ISMAIL
11 November 2012
Mayat berulat - bas
Anggota forensik sedang menyiasat di lokasi kejadian.
KAJANG - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menemui mayat wanita dalam keadaan kembung dan berulat di dalam sebuah bas yang tidak digunakan di dalam kawasan kompaun Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ, pagi ini.

Kejadian disedari jam 10.30 pagi oleh pengawal keselamatan, Santra Morgan yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pada Khamis lalu salah seorang mekanik MPKJ mengadu terlihat seseorang sedang tidur dalam bas berkenaan ketika ditugaskan memeriksa nombor chasis.

"Mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu ditemui dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian seluar pendek ketat berwarna hitam dan tshirt berwarna merah," katanya.

Menurutnya, turut ditemui tuala dan pisau pendek, namun  dokumen pengenalan diri gagal ditemui.

"Mangsa dipercayai mati lebih empat hari, motif dan punca kematian masih disiasat. Siasatan turut menjurus kepada jenayah atau sebaliknya," katanya.

Mayat dibawa ke hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Kontroversi kes dera: Ketua BBC Entwistle letak jawatan


Kontroversi kes dera: Ketua BBC Entwistle letak jawatan

11 November 2012
George Entwistle
George Entwistle
LONDON - Ketua Pengarah British Broadcasting Corporation (BBC), George Entwistle, yang menyandang kedudukan itu sejak 57 hari lalu, meletakkan jawatan semalam di sebalik kontroversi berhubung laporan kes penderaan seks kanak-kanak membabitkan tokoh politik pada 1980an, yang disiarkan baru-baru ini.

“Saya memutuskan untuk berundur diri dan melepaskan jawatan saya sebagai ketua pengarah,” katanya kepada pemberita.

“Ketika saya dilantik satu ketika dulu dan pengalaman saya selama 23 tahun memimpin BBC, saya yakin mereka telah memilih calon yang terbaik untuk jawatan itu.

"Bagaimanapun peristiwa yang melanda diri saya beberapa minggu kebelakangan ini, saya menyimpulkan BBC harus melantik pemimpin baru,” ujarnya.

Beliau mengambil alih jawatan Ketua Pengarah BBC pada 17 September lalu.

Buat masa ini, Pengarah Audio dan Muzik BBC akan memangku jawatan itu.

BBC sebelum ini ada mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kerana menyiarkan dakwaan palsu mangsa penderaan seks, mendakwa seorang  tokoh kanan politik tahun 1980an menyalahgunakan beliau.

Entwistle telah memohon maaf sebelum ini sambil berkata laporan itu tidak sewjarnya disiarkan sama sekali dan tidak boleh diterima.

BBC bagaimanapun tidak mendedahkan nama pendera tetapi dakwaan program Newsnight mencetuskan spekulasi di kalangan pengguna internet dan seolah-olah tokoh dalam kerajaan bekas Perdana Menteri Margaret Thatcher mungkin terlibat.

Lord McAlpine yang merupakan Bendahari Parti Konservatif 1970an hingga 1990 bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mana-mana pihak di sebalik spekulasi yang timbul.

McAlpine yang kini tinggal di Itali juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mendakwa beliau terlibat.

Berikut kenyataan penuh George Entwistle:
"In the light of the fact that the director-general is also the editor-in-chief and ultimately responsible for all content; and in the light of the unacceptable journalistic standards of the Newsnight film broadcast on Friday 2nd November, I have decided that the honourable thing to do is to step down from the post of director-general.
"When appointed to the role, with 23 years' experience as a producer and leader at the BBC, I was confident the trustees had chosen the best candidate for the post, and the right person to tackle the challenges and opportunities ahead. However, the wholly exceptional events of the past few weeks have led me to conclude that the BBC should appoint a new leader.
"To have been the director-general of the BBC even for a short period, and in the most challenging of circumstances, has been a great honour.
"While there is understandable public concern over a number of issues well covered in the media – which I'm confident will be addressed by the review process – we must not lose sight of the fact that the BBC is full of people of the greatest talent and the highest integrity. That's what will continue to make it the finest broadcaster in the world."

Lelaki OKU maut kebakaran rumah kedai


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Bangsar, di sini awal hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata mangsa yang berusia 30-an dan berasal dari Pantai Timur itu dipercayai pekerja bengkel motosikal yang hangus dalam kejadian tersebut.
"Berdasarkan maklumat rakan sekerja, mangsa dikenali sebagai Mohd Yaakob dan dia kudung kedua-dua belah kaki," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bahagian bawah rumah kedai itu merupakan bengkel motosikal manakala bahagian atas pula menempatkan 12 bilik sewa untuk golongan pekerja.
"Ketika kejadian 2.35 pagi itu penghuni bangunan sedang nyenyak tidur tetapi mereka sempat lari menyelamatkan diri," katanya sambil memberitahu ada seorang mangsa yang terjun dari tingkat atas.
Menurutnya, bilangan sebenar penghuni belum dapat dipastikan.
Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hang Tuah dan Sri Hartamas dengan kekuatan 23 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan, katanya.
Khirudin berkata api berjaya dikawal daripada merebak ke premis bersebelahan kira-kira 3 pagi.
Punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

Tiga termasuk pelajar maut dipercayai lumba haram

JOHOR BAHRU - Akibat lumba haram dua pelajar tingkatan dua dan seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 14 Jalan Simpang Lima-Parit Sulong di sini awal pagi ini.
   
Dua pelajar berkenaan Muhamad Sharul Ramadhan Maharami, 14, dan Syazwan Muhammad Rosdi, 14, masing-masing dari Parit Haji Abdul Salam dan mekanik Muhamad Fetri Kamsani, 21, meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira 1.45 pagi itu.
   
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad berkata ketiga-tiga mangsa yang menunggang dua buah motosikal disyaki sedang berlumba akibat kecederaan parah yang dialami.
   
"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang oleh Muhamad Fetri dari arah Parit Sulong bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhamad Sharul dan dibonceng oleh Syazwan sebelum melanggar kereta Toyota Unser yang berada di laluan sama.
   
"Ekoran hentaman yang kuat, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
   
Berikutan kemalangan itu, Din berkata pihaknya akan meningkatkan operasi membanteras lumba haram terutama di sekitar lokasi berisiko bagi mengelak aktiviti tidak sihat berleluasa di daerah ini. - Bernama

Hajat suami isteri hadir kenduri tidak kesampaian

myMetroHajat suami isteri hadir kenduri tidak kesampaian: "JITRA: Hasrat suami isteri pulang menghadiri majlis kenduri di kampung mereka di Yan tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka terbunuh selepas BMW yang mereka naiki merempuh sebuah lori membawa muatan kayu getah, di Kampung Titi Kerbau, Kodiang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa, Norita Zainun, 39, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala manakala suaminya, Adnan Md Isa, 52, yang memandu kereta itu mengalami cedera ringan"

'via Blog this'

Isteri tergamam suami terbaring berlumuran darah

myMetroIsteri tergamam suami terbaring berlumuran darah: "MANJUNG: Seorang isteri tergamam apabila melihat suaminya terbaring berlumuran darah selepas ditembak penjenayah di bahagian telinga kiri hingga menembusi mata.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam semalam, mangsa, Steven Ling Hock Chuan, 33, dipercayai ditembak dengan pistol oleh beberapa individu yang menyerang hendapnya di luar pintu pagar rumahnya di Taman Sejati Dua Seri Manjung.
Bagaimanapun, mangsa yang ditembak kira-kira dua das maut beberapa jam selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Manjung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa, berkata mangsa sebelum itu dikatakan sempat keluar makan bersama isteri dan ahli keluarga lain."

'via Blog this'

Balasan rompak bank

myMetroBalasan rompak bank:

SENGET... polis menyiasat kereta penjenayah yang terbabas dan merempuh tembok sebuah madrasah.
SENGET... polis menyiasat kereta penjenayah yang terbabas dan merempuh tembok sebuah madrasah.
KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah hanya mampu melarikan diri beberapa kilometer sebelum ditembak mati oleh polis selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok sebuah madrasah di Jalan Datuk Senu 3, Kampung Chubadak Tengah, Sentul, di sini, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai suspek utama kes rompakan sebuah bank di Sri Damansara, dekat sini, Isnin lalu, yang menyebabkan kerugian lebih RM200,000.
Dalam insiden berbalas tembakan jam 4.30 pagi, seorang rakan suspek yang turut berada dalam kereta jenis Toyota Vios itu sempat meloloskan diri sebaik kenderaan mereka terbabas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum kejadian, pasukan khas yang dibentuk bagi menyiasat kes rompakan itu berjaya mengesan sebuah kereta jenis BMW di Greenwood, Gombak, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Polis kemudian mengekori suspek, namun menyedari dia diekori, pemandu BMW itu memecut laju dan berhenti di persimpangan berhampiran Plaza Tol Gombak sebelum menaiki kereta Toyota Vios yang menunggu di situ.

'via Blog this'

Mewah layan doktor

myMetroMewah layan doktor:

DIDI, 32, (bukan nama sebenar) pernah menjadi anak ikan secara tidak sengaja apabila berkenalan dengan wanita bernama Camelia di laman sosial.
Menurut Didi, perkenalan itu secara tidak sengaja apabila dia menyapa seorang kenalan menerusi laman sembang ketika menuntut di institusi pengajian tinggi, lebih 10 tahun lalu.

“Dalam laman itu, saya tidak tahu bagaimana dan dengan siapa saya bersembang. Saya hanya memilih berdasarkan nama wanita.
“Apabila melihat nama Camelia, saya cuba berbual dengannya dan ternyata mendapat perhatian,” katanya.

Menurut Didi, perkenalan mereka terjalin dalam tempoh singkat apabila daripada perbualan biasa, ia beralih kepada cerita berbaur seks dan lucah.

Tidak sampai dua minggu, hubungan mereka berdua menjadi akrab apabila mula bertukar-tukar gambar dan mengajak untuk berjumpa.
“Menerusi gambar, Camelia memang cantik, membuatkan saya terpikat padanya. “Bekerja sebagai doktor, dia memberitahu menghadapi masalah dengan suaminya dan dahagakan belaian lelaki.

“Kerana suka perwatakannya, saya menawarkan diri menjadi kekasih gelapnya.
“Malah, ketika kali pertama berjumpa, pertemuan kami berakhir dengan hubungan seks,” katanya.

Didi berkata, bermula detik itu dia menjadi lelaki simpanan atau anak ikan Camelia apabila sering berjumpa dan melampiaskan nafsu sama ada di dalam kereta atau bilik hotel.

Menurut Didi, hidup sebagai lelaki simpanan Camelia sangat mewah berikutan wanita itu tidak kedekut dan sering memberi wang.

Malah segala yuran pengajian, perbelanjaan bulanan serat duit sewa semuanya ditanggung.

Malah, akui Didi, wanita berkenaan pernah menawarkan kereta kepadanya bagi memudahkan mereka berjumpa.

“Namun saya tolak kerana tidak mahu keluarga syak. Saya hanya minta dia gantikan motosikal lama saya dengan yang baru.

“Malah, boleh dikatakan setiap kali berjumpa, Camelia memberikan duit antara RM300 hingga RM500. Dalam tempoh sebulan, kami berjumpa lapan hingga sembilan kali, di mana ada kalanya saya mendapat lebih RM2,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, hubungan dengan Camelia bertahan hanya dua tahun sebelum dia kembali ke kampung halaman sebaik menamatkan pengajian.

Malah, walaupun kini berumah tangga dan mempunyai seorang anak, Didi mengakui sukar melupakan Camelia selain pernah cuba menghubunginya.

“Sebelum memutuskan hubungan, saya berbincang dengannya dan kami berpisah secara baik. “Cuma sepanjang hidup sebegitu, perasaan saya berat sebab sentiasa teringatkannya. Saya cuba menghubunginya tapi tak berbalas,” katanya.

'via Blog this'

Ajak polis gusti


RAUB: Akibat tidak puas hati kerana kenderaannya dihon, seorang penagih bertindak luar dugaan apabila mengajak seorang pegawai polis bergusti di depan sebuah kedai serbaneka dekat sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, lagak samseng penagih berusia 30-an itu mengundang padah apabila ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Dalam kejadian jam 10 malam, pegawai polis berpangkat Cif Inspektor itu difahamkan memperlahankan kenderaan dipandunya kerana mahu mencari parkir di depan kedai serbaneka.
Pada masa sama, penagih terbabit yang berada dalam kenderaannya mengundur secara mengejut, mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.

Berikutan itu, pegawai terbabit membunyikan hon sebagai amaran berhati-hati, namun penagih itu tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai berkenaan dan keluar dari kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman berkata, suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol mengajak pegawai polis itu bergaduh.
Bagaimanapun, katanya, pegawai terbabit cuba mengawal situasi keadaan dan pada masa sama menghubungi Bilik Gerakan IPD untuk meminta bantuan.

“Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mengepung suspek sebelum berlaku pergelutan berikutan penagih itu bertindak agresif dalam cubaan melepaskan diri.
“Suspek berjaya ditahan beberapa minit kemudian dan hasil pemeriksaan, polis menemui serbuk mencurigakan dipercayai dadah milik suspek yang disahkan positif dadah sebelum dibawa ke Balai Polis Raub bersama dadah dan kenderaannya untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari di Lokap Balai Polis Raub untuk membantu siasatan berhubung cubaan mencetuskan pergaduhan dan memiliki dadah.

‘Layan’ 3 polis di balai


BUKIT MERTAJAM: “Dia cakap saya kena ‘layan’ empat orang, termasuk dirinya. Dia kemudian terus buka uniform dan suruh saya buka baju. Dalam keadaan takut, saya terpaksa mengikut kehendaknya seperti diarahkan.”
Demikian dakwaan seorang wanita Indonesia, Siti Maemanah Kasman, 25, yang mendakwa diperkosa tiga anggota polis dalam sebuah bilik sebuah balai di Perai, kelmarin.

Wanita berasal dari Jawa Tengah itu menghadapi tekanan perasaan dan berharap tindakan sewajarnya diambil segera terhadap anggota polis terbabit.
Dia yang bekerja sebagai pelayan kedai makan membuat dakwaan itu pada sidang media bersama Setiausaha MCA Negeri yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan di Pejabat MCA Bukit Mertajam di sini, semalam.

Siti Maemanah berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang selepas menghantar rakannya di kawasan flat di Perai dengan menaiki sebuah kereta sewa dipandu seorang lelaki, kira-kira jam 6.20 pagi.

Dia kemudian menyedari sebuah kereta peronda polis mengekori sebelum menahan mereka untuk pemeriksaan.
Katanya, dua anggota polis meminta kad pengenalan pemandu kereta itu serta pasportnya untuk diperiksa.

“Saya hanya serah salinan fotokopi pasport tetapi anggota polis itu beritahu mereka tak terima salinan dokumen.
“Mereka kemudian beritahu mahu membawa saya ke balai untuk siasatan lanjut sebelum melepaskan pemandu kereta sewa itu,” katanya.

Menurutnya, dia dibawa ke balai polis dan setibanya di situ didapati terdapat dua lagi anggota yang sedang bertugas di kaunter.

Mereka menggeledah beg tangannya dan memberitahu mahu mengurungnya dalam lokap.

“Saya takut dan merayu kepada seorang anggota polis supaya lepaskan saya sebelum diminta melayan nafsu mereka.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka tidak mengapa-apakan saya dan kira-kira jam 7.30 pagi, saya dibawa keluar oleh dua anggota polis menggunakan sebuah kereta persendirian dan dihantar pulang ke Taman Impian di Alma,” katanya.

Sementara itu, Lau berkata dakwaan itu sangat serius kerana bukan hanya membabitkan perlakuan anggota polis tetapi ia berlaku dalam balai polis.

Beliau berharap berharap nasib wanita terbabit terbela sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam pada jam 3 petang kelmarin dan saya diberitahu dia juga sudah diambil keterangan dan dibawa menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan menerima laporan wanita terbabit dan memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu dan tidak akan melindungi anggota polis berkenaan jika terbabit dalam kejadian berkenaan.

Tujuh motosikal hangus

myMetroTujuh motosikal hangus:

BAGAN SERAI: Seorang pemilik kedai membaiki motosikal bingung apabila tujuh motosikal pelanggan terbakar secara tiba-tiba di kedainya, dipercayai angkara khianat.
Dalam kejadian jam 4 pagi semalam di Alor Pongsu, di sini, motosikal terbabit hangus bersama pelbagai alat ganti dianggarkan bernilai hampir RM80,000.

Mangsa dikenali sebagai Liow, 40-an, berkata, dia yang tinggal berhampiran menyedari kebakaran sejurus dimaklumkan jiran.
“Saya bergegas ke kedai sebelum mendapati api semakin marak dan memusnahkan tujuh motosikal pelanggan yang ditinggalkan.

“Saya masuk melalui pintu belakang dan sempat menyelamatkan beberapa dokumen dan barangan bernilai. Namun, kami diarah keluar oleh anggota bomba dan penyelamat berikutan api makin marak.

“Saya tidak pasti bagaimana kebakaran berlaku. Namun bernasib baik kerana ia tidak merebak ke kedai bersebelahan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Zainuddin Mohd Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.10 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

'via Blog this'

Air dihurungi lalat bongkar kematian

myMetroAir dihurungi lalat bongkar kematian:

PASIR MAS: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Kubang Sepat, Tendong sejak seminggu lalu membawa kepada penemuan mayat reput seorang lelaki.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mayat Ahmad Shihabuddin Abdul Ghani, 48, ditemui jirannya dalam keadaan terlentang dan berbogel serta dihurungi lalat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.
Jiran mangsa, Che Hassan Che Mamat, 58, berkata dia mula mensyaki sesuatu selepas terbau busuk sejak seminggu lalu.

Katanya, dia hanya menyedari punca bau busuk itu datang dari rumah mangsa apabila seorang jiran terdekatnya ternampak titisan air dihurungi lalat menitis ke bawah rumah.

“Saya dan beberapa penduduk kampung pergi ke rumah itu dan terkejut mendapati mayat mangsa yang reput dalam keadaan terlentang dan bogel serta dipenuhi lalat sebelum menghubungi polis,” katanya.
Che Hassan berkata, dia tidak kenal rapat jirannya kerana mangsa baru berpindah dan tinggal di kampung itu sejak enam bulan lalu.

“Penduduk kampung juga tidak mengenalinya kerana dia baru tinggal di kawasan ini dan kami hanya tahu dia tinggal sendirian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

'via Blog this'

25 rentung

myMetro25 rentung: "YANGON: Sebuah kereta api membawa petrol tergelincir dan terbakar semalam, menyebabkan 25 orang rentung dan 62 cedera.

Kebanyakan mangsa ialah penduduk kampung yang cuba mengambil minyak yang tumpah akibat kemalangan itu.


Televisyen Myanmar melaporkan, kebakaran berlaku selepas tiga gerabak penuh dengan petrol terbalik berhampiran sebuah kampung di daerah Kanbalu, berhampiran sempadan India, kira-kira 500 kilometer ke utara Yangon.

Penduduk Kampung Chek- gyi berebut-rebut untuk mengambil minyak yang tumpah apabila mereka terperangkap dalam kebakaran itu.


Kira-kira 70 peratus daripada 60 juta penduduk Myanmar tinggal di ladang dan minyak begitu sukar diperoleh.


Seorang pegawai Jabatan Keretapi Myanmar memberitahu wartawan, angka kematian mungkin meningkat memandangkan sebahagian mangsa cedera parah. - AFP"

'via Blog this'

Dua pemandu lori disiasat


Aziz Siamin
Dua lori yang ditahan oleh pihak KPDNKK cawangan Segamat baru-baru ini.
SEGAMAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Segamat percaya berjaya menumpaskan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi secara haram.
Ketua Cawangan KPDNKK Segamat, Aziz Siamin berkata, dalam kes pertama, anggota penguat kuasanya mengekori sebuah lori bermuatan tiga tan pada 22 Oktober lalu kira-kira jam empat pagi di Batu Anam Segamat sebelum ditahan.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas itu mempunyai tong yang membawa muatan 1,000 liter diesel bernilai RM2,800 di pasaran dipercayai bersubsidi yang ingin dipasarkan.
“Sehingga kini, kita menahan lori itu untuk menjalankan siasatan lanjut dan pemandunya dibebaskan setelah selesai diambil keterangan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aziz berkata, pihaknyajuga berjaya menahan sebuah lagi lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun kira-kira jam 1 pagi pada 24 Oktober lalu.
"Hasil pemeriksaan mendapati bahagian belakang lori itu dimuatkan sebuah tangki diesel yang dipercayai sebanyak 2,000 liter bernilai kirakira RM5,600 di pasaran.
"Kedua-dua pemandu yang ditahan dalam dua kes berasingan itu didapati gagal menunjukkan dokumen sah membawa bahan bakar dan pihak kami percaya ia akan dijual kepada pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan atas angin," katanya.
Kes disiasat dibawah peraturan 3 (1) Peraturanperaturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Maut selepas dua motosikal bertembung


Goh Kok Liang
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang
SUNGAI MANIK - Seorang pekerja sebuah bengkel maut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Sungai Manik selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan, di Kilometer 7.5 Jalan Teluk Intan - Kampung Gajah, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.50 petang dan mangsa, Mohammad Asrie Mat Radi, 18 maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.
Menurutnya, motosikal mangsa didapati telah masuk ke laluan bertentangan ketika tiba di tempat kejadian dan merempuh motosikal tunggangan Shamsul Izwan Ramli, 17, yang datang dari arah Kampung Gajah ke Teluk Intan.
Katanya, rempuhan berkenaan telah menyebabkan mangsa luka parah pada leher, manakala Shamsul mengalami patah tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambah beliau, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Enam wanita warga asing ditahan


Ghuzlan Saleh
Semua wanita warga asing yang ditahan di bawa ke IPD Kulim untuk ujian saringan air kencing.
KULIM - Seramai enam wanita warga asing berusia di antara 20 hingga 40 tahun dipercayai bekerja di pusat hiburan tidak berlesen ditahan kirakira jam 2.30 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, semua wanita ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk menjalani ujian saringan air kencing.
Menurutnya, serbuan dilakukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu adalah untuk memastikan pemilik premis mematuhi undang- undang ditetapkan, selain tidak menjual dadah atau pil khayal di pusat hiburan mereka.
“Polis akan membuat serbuan terhadap semua premis yang menjalankan aktiviti tidak sihat. Ini termasuk pusat urut dan salon kecantikan yang menawarkan perkhidmatan seks.
Sehingga kini orang awam banyak membantu dalam menyalurkan maklumat tentang perlakuan jenayah yang berlaku di sekitar Kulim.
"Saya ingin menasihatkan kepada mana-mana pemilik premis terlibat supaya tidak melakukan sebarang perbuatan menyalahi undang-undang.
Kami memandang serius permasalahan ini dan sudah mengenal pasti beberapa premis dipercayai menjalankan aktiviti tidak sihat tetapi berselindung di sebalik perniagaan lain,” katanya

Kabel tembaga TM ‘hilang’ lagi


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias
PUCHONG – Baru sebulan kejadian kecurian kabel dilaporkan di Taman Mawar Kinrara Seksyen 5 sehingga menyebabkan kerugian lebih RM55,000 kepada Telekom Malaysia (TM), Khamis lalu sekali lagi insiden itu berulang.

Kali ini, hampir 400 pengguna terputus hubungan selama empat hari apabila kabel tembaga yang menyambungkan talian telefon tetap mereka dicuri awal pagi hari terbabit.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 5 pagi ketika penghuni perumahan berkenaan nyenyak tidur di kediaman masing-masing.

Difahamkan, kabel utama di saluran bawah tanah bernilai hampir RM30,000 dipotong pihak tidak bertanggungjawab dari sebuah lubang pembetung di jalan utama berdekatan Taman Bukit Kuchai di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap kejadian jenayah terbabit.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya ada melakukan pemeriksaan di kedai barang lusuh bersama agensi yang terbabit untuk mengenal pasti dalang yang melakukan kegiatan curi kabel di sekitar kawasan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang tangkapan berhubung kes berkenaan sehingga kini namun percaya ia dilakukan mereka yang mempunyai kepakaran berhubung perkara itu.

Justeru, beliau berharap mendapat kerjasama agensi utiliti untuk melaporkan kepada polis mengenai kerja dilakukan kontraktor dilantik supaya pemantauan serta pencegahan dapat dilakukan.

“Kami tidak menuduh siapa yang melakukan jenayah ini namun percaya hanya mereka yang ada kepakaran melakukannya.

“Disebabkan itu, saya mewajibkan pihak berkenaan maklumkan kepada kami jika kontraktor mereka hendak membuat apa-apa kerja terutama membabitkan kabel di bawah tanah supaya kita boleh buat pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, awal Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, lebih 800 penduduk Taman Mawar Kinrara Seksyen 5, dekat sini terputus hubungan apabila kabel tembaga yang menyambungkan talian telefon tetap mereka dicuri.
Difahamkan, kabel utama sepanjang 1,200 meter terletak di saluran bawah tanah bernilai hampir RM55,000 dipotong pihak tidak bertanggungjawab dari sebuah lubang pembetung di jalan utama Taman Mawar dekat sini

Menyorok bawah katil papan elak ditangkap Imigresen


Mohammad Azlan Jawawi
Salah seorang wanita warga asing yang ditangkap ketika sedang menyorok bawah katil papan buatan sendiri.
AYER KEROH - Bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa, dua wanita warga asing sanggup menyorok bawah lantai dan katil papan buatan sendiri di dalam sebuah rumah kongsi di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua wanita yang berusia 20 dan 25 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap selepas penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri tergerak hati untuk menyelak papan lantai dan katil lalu terlihat rambut mdan kaki milik seseorang ketika serbuan dilakukan kirakira jam 1.30 pagi.\
Menurut Timbalan Pengarah JIM negeri, Mohammad Azlan Jawawi, seramai 13 pegawainya yang mahu beredar selepas selesai memeriksa 15 lelaki warga Indonesia mempunyai dokumen perjalanan yang sah sempat menyelak dan mengangkat papan berkenaan sebelum menemui dua wanita itu di dua tempat berasingan,
“Hasil pemeriksaan terhadap mereka yang mendakwa sebagai isteri kepada dua lelaki yang tinggal di rumah kongsi berkenaan mendapati mereka tiada sebarang dokumen perjalanan,” katanya.\
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.
Mohammad Azlan berkata, dua wanita terbabit antara 15 yang ditahan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 60 warga asing dalam operasi di sekitar negeri ini.
Menurutnya, operasi selama lebih lima jam berakhir jam 3.30 pagi semalam itu dijalankan di Batu Berendam, Sungai Udang dan Masjid Tanah, Alor Gajah membabitkan pemeriksaan di premis, rumah dan pusat hiburan.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(1) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana miliki dokumen yang dipalsukan.

70 biji pil kuda dirampas


KUALA TERENGGANU – Sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah berjaya menemui kira-kira 70 biji pil kuda dalam satu serbuan di Mengabang Telipot, pagi kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah dan mendapati seorang buruh sedang lena tidur di rumah kenalannya.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui kira-kira 70 biji pil kuda di dalam poket seluar yang dipakai suspek yang berusia 23 tahun itu.
Difahamkan, ketika kejadian, suspek sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis yang membuat serbuan, hasil intipan dan maklumat tentang kegiatan penyalahgunaan dadah di rumah terbabit.
Ketika serbuan, seorang rakannya yang berusia 31 tahun turut berada di rumah berkenaan, namun tiada barang salah ditemui pada badan rakannya.
Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-duanya positif methamphetamine, sebelum mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, semalam, Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan suspek berusia 23 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga terbunuh dalam dua kemalangan di Pasir Mas




10 November 2012
PASIR MAS - Tiga orang, termasuk warga emas orang kurang upaya (OKU), terbunuh dalam dua kemalangan di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Kampung Lemal hari ini.
  
Dalam kejadian pertama pada 3.40 petang, Ismail Othman, 67, terbunuh apabila motosikal yang ditunggang dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas berlanggar dengan sebuah kereta.
  
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Halaluddin Halim berkata mangsa dipercayai membuat pusingan 'U' sebelum bertembung kereta itu, yang datang dari arah bertentangan.
  
Mangsa disahkan meninggal dunia di bilik kecemasan Hospital Pasir Mas manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
  
Dalam kejadian kedua kira-kira sejam selepas itu, seorang guru Che Hasmah Che Musa, 42, maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung sebuah Proton Perdana tidak jauh dari lokasi kemalangan pertama.

Penumpang Proton Perdana yang dikenali sebagai Mohamad Sharafan Ab Abhari Md Fuzi, 20, meninggal dunia di tempat kejadian.
  
Halaluddin berkata ketika kejadian, Che Hasmah dalam perjalanan dari Pasir Mas ke rumahnya di Rantau Panjang.
  
Beliau berkata Che Hasmah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Perdana itu tidak mengalami kecederaan.
  
Mayat semua mangsa kemalangan dibedah siasat di Hospital Pasir Mas sebelum diserah kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan. - Bernama

Pelukan terakhir suami



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 November 2012
Normah Abdul Latif
Normah (dua, kiri) kelihatan sugul semasa menatap jenazah suaminya buat kali terakhir, semalam.
BANDAR TUN RAZAK - Seorang isteri tidak menyangka, pelukan beberapa kali oleh suami adalah pelukan terakhir buatnya sebelum terbabit dalam kemalangan di Simpang Charuk Puting Batu 5, Temerloh, tengah hari kelmarin.
Normah Abdul Latif, 48, berkata, seperti bermimpi, dia tidak menyangka itu kali terakhir dia bertemu suaminya, Ramly Osman, 53, yang juga Pengurus Felda Kampung
Awah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, tengah malam kelmarin di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Pagi semalam (kelmarin) ketika saya hendak bertolak untuk mengambil anak di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kuantan, arwah peluk saya sambil minta maaf.
Malah, apabila enjin kereta dihidupkan, lagi sekali dia datang dan peluk saya.
“Arwah turut memeluk adik (anak bongsu) dan berkata itu kali terakhir dia akan peluk adik sambil memohon maaf,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediaman ibu bapa Allahyarham Ramly di Rantau Perintis, di sini, semalam.
Normah berkata, arwah menunjukkan perubahan sejak sebulan yang lalu apabila dia kerap memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.
“Selama sebulan ini, setiap kali arwah berjumpa dengan penduduk tanah rancangan, dia akan memohon maaf, selain perwatakannya menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Saya juga dapat tahu daripada orang kampung, arwah sering kata dia risau dengan anak dan isterinya apabila dia sudah tiada nanti,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan kereta dipandu suaminya terlanggar sebuah lori pembancuh simen di bahu jalan ketika dalam perjalanan pulang selepas melakukan urusan bank di bandar Temerloh.
“Saya dapat panggilan telefon memberitahu suami saya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ketika itu saya baru sahaja hendak pulang dari mengambil anak di UIAM.
“Saya terus bergegas ke Hoshas untuk melihat keadaan arwah yang sudah tidak sedarkan diri,” katanya. Normah berkata, dia dimaklumkan doktor, suaminya mengalami pendarahan yang teruk di dalam perut dan perlu menjalani pembedahan.
“Namun disebabkan terdapat komplikasi, arwah meninggal tengah malam tadi (kelmarin) namun kami sekeluarga sempat bersama arwah di saat akhirnya.
“Kami reda dengan pemergian arwah dan menganggap ini sebagai satu ketentuan daripada ALLAH SWT,” katanya.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, kereta Proton Exora yang dipandu Ramly dari bandar Temerloh ke Felda Kampung Awah dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah lori pembancuh simen di Simpang Charuk Puting Batu 5, Jalan Maran, Temerloh.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dibawa ke Hoshas Temerloh untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia pada jam 12 tengah malam kelmarin.
Jenazah dikebumikan di Rantau Perintis pagi semalam dan mangsa meninggalkan seorang isteri serta tiga anak.

Penganggur berdepan hukuman mati



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 November 2012
Azmie Yusof@Hussin
Azmie diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dituduh mengedar dadah, 1 November lalu.
Nik Mohd Fatah
Nik Mohd Fatah berdepan penjara seumur hidup kerana didakwa memiliki dadah.
KOTA BHARU – Seorang penganggur berusia 31 tahun berdepan hukuman mati mandatori selepas dituduh mengedar 15 gram heroin di Kampung Tajung Stan, Lundang, di sini, awal bulan ini.
Tuduhan terhadap Azmie Yusof@Hussin dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.
Dia didakwa mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah tanpa nombor di kampung itu pada jam 5.55 pagi, 1 November lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.
Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tidak sebarang pengakuan direkodkan.
Kes bersambung 14 Disember depan.
Dalam perkembangan lain, seorang pengawal keselamatan, Nik Mohd Fatah Nik Hassan,28, mengaku tidak nbersalah memiliki 12 gram dadah jenis sama di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, 2 November lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan