Search This Blog

Saturday, November 10, 2012

Mati tergantung awal pagi



NIK MUHAMAD RAFFIQ
10 November 2012
Dahlan Mohd Noor
Mayat lelaki yang ditemui mati tergantung dibawa ke Unit Forensik untuk bedah siasat.
DUNGUN – “Selepas menunaikan solat Subuh, tibatiba saya terdengar bunyi bising di rumah sebelah.
Saya pergi ke situ dan mendapati arwah sudah tidak bernyawa lagi,” kata seorang lelaki berusia 48 tahun.
Dia merupakan bapa saudara kepada seorang bekas pengawal keselamatan, 38, yang ditemui mati tergantung di rumah bapanya, dekat sini, pagi semalam.
Si mati ditemui bapanya sendiri, dalam keadaan tergantung pada tali sebelum mayatnya diturunkan.
Menurut bapa saudara si mati, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk membuka warung makan bersebelahan dengan rumah si mati sebelum dikejutkan dengan bunyi bising seperti orang bergaduh.
Katanya, sebelum kejadian, dia bangun seawal jam 3.30 pagi, namun ketika itu dia tidak mengetahui apa yang berlaku pada anak saudara itu sehinggalah dia terdengar bunyi riuh rendah datang dari arah rumah si mati.
“Selepas terdengar bunyi bising barulah saya pergi ke rumahnya untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Bagaimanapun saya terkejut apabila mendapati dia sudah meninggal dalam keadaan menyayat hati,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.
Arwah yang juga bapa kepada dua anak berusia dua dan tujuh tahun difahamkan mengalami perselisihan faham dengan isterinya.
Ketika kejadian, isterinya dikatakan tiada bersamanya dan sudah beberapa bulan mereka dikatakan tidak tinggal bersama.
Sehari sebelum kejadian, si mati juga dikatakan pergi ke pe- jabat agama Dungun untuk meminta khidmat nasihat daripada pegawai kaunselor berkaitan masalah rumah tangganya.
Menurut seorang bekas rakan sekerja arwah yang enggan dikenali, arwah sebelum ini dikatakan menghadapi tekanan emosi berikutan anak bongsunya mengalami penyakit kritikal berkaitan saluran usus.
Dia dikatakan sering membawa anaknya itu berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk mendapatkan rawatan. “Saya rasa mungkin dia tertekan dengan pelbagai masalah dihadapinya,” kata bekas rakan sekerjanya itu.
Mayat arwah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan kejadian memaklumkan, kes terbabit masih dalam siasatan pihaknya

5 pelajar kolej ditahan edar pil kuda




10 November 2012
KUANTAN - Polis menahan lima pelajar lelaki sebuah kolej swasta di Pekan semalam yang dipercayai mengedar pil kuda.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata kesemua pelajar yang berusia 18 tahun itu juga didapati positif dadah tersebut.
Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 1.30 tengah hari itu, pihak polis menemui 50 pil kuda di dalam sebuah lokar salah seorang daripada mereka di bilik asrama.
"Kita percaya bekalan pil kuda yang diedarkan di sekitar daerah Pekan itu diperolehi dari negeri jiran yang dijual dengan harga RM20 sebiji," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kesemua pelajar terbabit kini direman selama empat hari di Balai Polis Pekan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama

Wanita Indonesia dakwa dirogol tiga anggota di balai polis



NURUL NAZRAH NAZARUDIN
10 November 2012
[DIKEMAS KINI] BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini semalam.
Mangsa berusia 25 tahun mendakwa ditahan tiga anggota polis berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an pada jam 6.20 pagi berhampiran  pasar raya Pacific, Perai dan dibawa ke balai polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas perundangan jika benar dakwaan itu.
Beliau juga mengesahkan tiga anggota terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Menurut mangsa, ketika ditahan dia berada dalam kereta sewa bersama seorang pemandu teksi tempatan selepas menghantar seorang rakan perempuannya yang tinggal di kawasan itu .

“Tidak lama selepas itu, sebuah kereta peronda polis jenis proton Wira menahan kereta yang kami naiki dan dua anggota polis yang memakai uniform polis meminta kami menunjukkan kad pengenalan.

“Ketika itu, saya hanya membawa salinan pasport. Jadi, anggota polis itu tidak mahu menerima salinan pasport dan mengatakan akan membawa kami ke balai polis.

“Bagaimanapun, saya merayu kepada dua anggota polis ini dan meminta mereka melepaskan pemandu teksi yang ketika itu digari,” katanya yang ditemui di Pejabat MCA Bukit Mertajam, pagi tadi.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Wanita MCA Bukit Mertajam, Goh Swee Gim.

Rakam imej hantu


Mohd Hishamuddin Mazidi
Lembaga berwajah putih dengan mata kemerahan serta berambut panjang dirakam Mohd Hishamuddin, di sebuah gerai makan belakang Pasar Chukai, malam kelmarin.
CHUKAI – Imej lembaga berwajah putih dengan mata kemerahan dipercayai hantu berjaya dirakam seorang pembantu gerai, yang mendakwa melihat lembaga itu di sebuah gerai makan belakang Pasar Chukai, malam kelmarin.
Mohd Hishamuddin Mazidi, 16, berkata, walau ntergamam melihat lembaga misteri itu, tapi dia sempat mengeluarkan telefon bimbit lalu merakam gambar lembaga berambut panjang itu kirakira
jam 11.30 malam.
“Lembaga itu berada di dalam gerai di belakang pekerja kedai yang sedang duduk membelakanginya. Bila imej dirakam, dapat dilihat wajah lembaga itu tetapi gambarnya tidak terlalu jelas.
Namun bila diamati akan dapat dilihat wajah hantu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sementara itu, seorang peniaga, Faridah Puteh, 46, mendakwa, kemunculan lembaga itu berkemungkinan ada kaitan dengan penyakit misteri yang dialami anaknya yang bekerja sebagai tukang masak di gerai berkenaan tempat dirakam imej hantu.
Katanya, anak ketiganya, Mohd Suhaimi Khairul Samri, 27, yang masih bujang mengalami masalah buang air kecil berdarah, sejak Jumaat lalu.
“Darah yang keluar seperti darah beku dan kehitamhitaman.
Terkejut dengan keadaan itu saya membawanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Chukai sebelum pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar di Kuantan, Pahang pula.
“Namun, hasil pemeriksaan menyeluruh yang dilakukan, doktor yang merawat anak saya beritahu dia tidak mengalami sebarang penyakit.
Yang peliknya anak saya tidak mengalami sakit ketika membuang air kecil tetapi darah hitam yang keluar dan bukan air kencing biasa,” katanya.
Susulan itu dakwanya, badan anaknya kini semakin susut dan hanya memakan ubat hospital dengan harapan penyakit misteri itu sembuh.
Sehubungan itu, Faridah memohon mana-mana pihak terutama pengamal perubatan Islam tampil membantu dengan menghubunginya menerusi talian 012-9845772 agar penyakit misteri anaknya itu dapat diubati.

Perogol bersiri hadapi 3 lagi tuduhan



KUALA LUMPUR 9 Nov. - Seorang jurujual yang dipercayai perogol bersiri dan telah didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan gadis berusia 21 tahun sebagai mangsa pada bulan lalu, hari ini menghadapi tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan kali ini membabitkan seorang gadis berusia 16 tahun.
Chai Ruong Huei, 29, didakwa merogol mangsa berkenaan sebanyak dua kali dan mencuri iPad milik remaja itu, dua bulan lalu.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Tertuduh didakwa merogol gadis berkenaan sebanyak dua kali, di atas katil di sebuah bilik hotel di Cheras, pada pukul 2.10 petang dan 2.30 petang, 15 September lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa mencuri seunit iPad milik mangsa dengan cuba menyebabkan ketakutan terhadap gadis itu pada pukul 2.40 petang di tempat dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling terhadap tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Yusoff Ag Lah.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121110/ma_02/Perogol-bersiri-hadapi-3-lagi-tuduhan#ixzz2Bt3Twg4I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengarah CIA letak jawatan

WASHINGTON 10 Nov. - Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus meletak jawatan sebagai ketua agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) itu semalam selepas mengaku menjalin hubungan sulit.
Dalam suratnya kepada CIA, Petraeus, 60, berkata, beliau telah menemui Presiden Barack Obama di White House kelmarin dan meminta 'dibenarkan untuk meletak jawatan' atas sebab peribadi.
"Selepas 37 tahun berkahwin, saya telah menunjukkan 'contoh buruk dengan menjalin hubungan sulit, satu kelakuan yang tidak boleh diterima," tulisnya dalam surat itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121110/lu_10/Pengarah-CIA-letak-jawatan#ixzz2Bt2Y5whI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Korban gempa bumi Guatemala meningkat kepada 52 orang



GUATEMALA CITY 9 Nov. - Presiden Guatemala, Otto Perez Molina semalam mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari selepas gempa bumi terburuk di negara ini dalam tempoh 36 tahun, meragut 52 nyawa, kelmarin.
Beliau turut mengesahkan, jumlah kematian akibat gegaran sekuat 7.4 pada skala Richter itu, meningkat kepada 52 orang, berbanding 50.
Menurutnya, angka itu dijangka meningkat berikutan masih terdapat sebanyak 22 penduduk yang hilang dan pasukan penyelamat kini bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat.
Institut Seismologi melaporkan, sebanyak 70 gegaran susulan dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu dan beberapa gegaran susulan dijangka berlaku lagi.
Keadaan paling membimbangkan berlaku apabila beberapa jalan utama retak dan gegaran turut dirasai di kawasan pergunungan barat Guatemala, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk agar tidak berkunjung ke kawasan tersebut.
Merujuk kepada angka rasmi, sebanyak 5,251 kediaman musnah dalam kejadian itu, manakala 2,962 penduduk dipindahkan dan sebanyak 752 lagi kini ditempatkan di khemah sementara.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, sebanyak 40 penduduk terbunuh di San Marcos termasuk di San Cristobal Cucho, manakala 11 lagi maut di Quetzaltenango dan seorang di Solola, barat Guatemala.
Kerajaan juga dilapor telah mengagihkan kira-kira 44 tan bekalan kemanusiaan ke kawasan terjejas terutamanya di wilayah San Marcos dan beberapa wilayah lain.
Pada 4 Februari 1976, satu gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang menggegarkan Guatemala, mengakibatkan hampir 23,000 maut, 76,000 cedera, sementara lebih sejuta yang lain hilang tempat tinggal. - BERNAMA/xinhua


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121110/lu_03/Korban-gempa-bumi-Guatemala-meningkat-kepada-52-orang#ixzz2Bt174tS5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua suspek bom 2 hotel ditahan



KUALA LUMPUR 9 Nov. — Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (Polri) menahan dua suspek warga Indonesia Rabu lepas, yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 2009.
Dua suspek itu, Taufik Balaga atau dikenali dengan nama Upik Lawanga dan Ahmad Fauzi masing-masing berusia 40-an, yang menjadi anggota militan Jemaah Islamiyah (JI), ditahan semasa cuba merentas sempadan Malaysia-Kalimantan di Nunukan, Kalimantan Timur.
Menurut sumber polis Bukit Aman, kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara PDRM dan Polri.
Mereka disyaki sering berulang-alik dari Tawau ke Nunukan (Kalimantan Timur) sebelum ini, kata sumber berkenaan di sini hari ini.
Menurut sumber itu, kedua-dua suspek itu dihantar ke Jakarta pada hari yang sama selepas proses soal siasat.
Kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kejadian dua serangan pengebom berani mati pada 17 Julai 2009 di kedua-dua hotel berkenaan yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain.
Serangan itu turut dikaitkan dengan kumpulan JI yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Upik sebelum ini turut dikaitkan dengan insiden memenggal kepala tiga pelajar di Poso, Sulawesi Tengah pada 2005.
Menurut sumber itu, Upik dipercayai terbabit dengan kumpulan JI dan mempunyai kepakaran menghasilkan bom buatan sendiri. - Bernama
Upik dan Ahmad Fauzi kini sedang disiasat oleh polis Indonesia, dan dipercayai mempunyai seorang lagi rakan warga Malaysia yang sedang disiasat, kata sumber polis itu.— BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_04/Dua-suspek-bom-2-hotel-ditahan#ixzz2Bszx17gN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 lelaki Malaysia dalangi sindiket tipu ditahan di Vietnam

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Dua lelaki rakyat Malaysia ditahan di Vietnam kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dan pemerdagangan gadis-gadis negara itu untuk dijadikan pelacur di negara ini.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 23 dan 41 tahun diberkas bersama seorang wanita Vietnam berusia 41 tahun dipercayai salah seorang dalang dalam aktiviti haram tersebut di wilayah Dak Nong pada 1 November lalu.
Penangkapan mereka adalah hasil maklumat diberikan oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman kepada polis Vietnam selepas menyoal siasat 16 wanita Vietnam yang diselamatkan daripada dipaksa menjadi pelacur di sebuah pusat hiburan di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini pada 5 Oktober lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dalam serbuan di pusat hiburan tersebut, polis berjaya menyelamatkan 16 gadis Vietnam selain Thailand (empat) dan China (tiga).
Beliau berkata, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita Vietnam berusia 41 tahun yang merupakan isteri kepada lelaki berusia 41 tahun yang ditangkap di Dak Nong pada 1 November lalu.
"Kita berjaya mengesan dan menyelamatkan 16 gadis Vietnam yang dipaksa menjadi pelacur itu selepas menerima maklumat daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini dan juga polis antarabangsa (Interpol).
"Hasil siasatan terhadap wanita Vietnam berusia 41 tahun yang ditahan dalam serbuan itu, kita mendapat maklumat dia yang tinggal di Malaysia bersekongkol dengan suaminya dan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Vietnam untuk memperdayakan gadis-gadis di negara kelahirannya untuk dilacurkan ke Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, maklumat tersebut kemudian disalurkan kepada polis Vietnam yang akhirnya berjaya mengesan dan memberkas suspek di Vietnam pada minggu lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 41 tahun itu merupakan seorang mualaf dan terlibat menjual 16 gadis Vietnam yang dipaksa menjadi pelacur itu sejak Julai lalu.
Dia bersama seorang lagi rakan dari Malaysia dan wanita Vietnam yang ditangkap di Dak Nong, dikatakan memperdayakan gadis-gadis desa dan miskin di wilayah Delta Mekong dan Dak Nong dengan menawarkan mereka peluang kerja bergaji lumayan sebagai pembantu rumah di Malaysia


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_06/2-lelaki-Malaysia-dalangi-sindiket-tipu-ditahan-di-Vietnam#ixzz2Bsz44oBN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nenek jadi ibu ayam ditahan sekali lagi



KUALA LUMPUR 9 Nov. - Tidak sampai sebulan ditahan kerana menjadi ibu ayam, seorang wanita berusia lebih separuh abad dan layak digelar nenek tidak serik-serik mengulangi perbuatan terkutuk itu apabila ditahan sekali lagi dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi malam tadi.
Serbuan pada pukul 9.20 malam yang diketuai Inspektor Nasir Ismail dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu turut menahan 60 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang dipercayai 'dijaga' oleh warga emas berusia 60 tahun itu.
Difahamkan, premis itu juga sudah empat kali diserbu oleh polis atas kesalahan sama sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, kesemua wanita itu terdiri daripada 50 GRO warga Vietnam, sembilan rakyat China dan seorang warga Kemboja berusia 20-an hingga 30-an.
"Polis memasuki dan mengepung premis itu dengan kekuatan seorang pegawai serta 10 anggota dan menahan GRO serta seorang wanita yang dipercayai penjaga mereka.
"Hasil siasatan, kita dapati kesemua GRO terbabit masuk ke dalam negara ini dengan pas lawatan sosial. Ketika diserbu terdapat beberapa GRO yang cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam sofa serta naik ke atas siling tetapi dapat diberkas," katanya di sini.
Tambah beliau, siasatan mendapati GRO berkenaan mengenakan bayaran tertentu untuk perkhidmatan menemani pelanggan manakala bagi tujuan seks pula mereka mengenakan bayaran RM200 ke RM300 semalaman.
"Perkhidmatan seks dilakukan di luar premis dan dalam operasi ini kita tidak menjumpai kondom atau pelincir untuk melakukan seks," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_07/Nenek-jadi-ibu-ayam-ditahan-sekali-lagi#ixzz2BsyjJUZl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cedera dipukul lanun bersenjata



KUCHING 9 Nov. - Seorang daripada sekumpulan anak kapal dagang Highline 66 cedera ringan akibat dipukul lanun di perairan Laut China Selatan dalam satu kejadian samun, malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, seramai 10 lanun menyerang kapal terbabit dan menyamun 12 anak kapal menggunakan senjata seperti parang panjang, pisau dan batang besi.
Kapten kapal itu, Teguh Sarwono, 39, yang membuat laporan di Balai Polis Bintawa semalam memberitahu, kapal mereka dirompak ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pelabuhan Kuching.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, seorang anak kapal dipercayai dipukul hingga mengalami cedera ringan.
"Lanun-lanun tersebut juga dipercayai merompak anak-anak kapal dan mencuri lapan unit telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM3,500 serta pemain cakera video digital (DVD).
"Selain itu, lanun terbabit juga sempat merampas beberapa dokumen penting milik syarikat perkapalan dan kad pelaut milik anak kapal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata beliau, kes dirujuk untuk siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_08/Cedera-dipukul-lanun-bersenjata#ixzz2BsyRvwcD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kastam gagalkan cubaan seludup ketamin di LTASI



ABDULLAH Sidik (kanan) bersama pengawai Kastam Johor menunjukkan dadah dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 9 Nov. - Kastam negeri berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki warga India untuk menyeludup masuk empat kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM140,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI), Senai di sini Rabu lalu.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas dua daripada tiga bagasi dibawa menunjukkan terdapat 'objek' meragukan ketika melalui imbasan.
Timbalan Pengarah Kastam Johor, Abdullah Sidik berkata, hasil pemeriksaan anggota Unit Khas Pemeriksaan Penumpang mendapati dua bungkus plastik lutsinar yang disorokkan di lapisan dasar bagasi-bagasi berkenaan.
"Hasil pemeriksaan lanjut, dua bungkusan tersebut berisi serbuk kristal yang dipercayai dadah jenis ketamin.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek berhadapan hukuman mati mandatori. Suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.
Tambah Abdullah, tangkapan tersebut merupakan kes ketiga direkodkan Kastam negeri yang dipatahkan di pintu masuk negara melalui Johor.
Dalam tangkapan September lalu, dua kes penyeludupan dadah jenis metamphetamine dengan nilai keseluruhan RM2.09 juta berjaya dipatahkan dengan tertangkapnya dua warga asing yang memasuki negara ini dari Singapura melalui Bangunan Sultan Iskandar di sini.
Kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing dari Afrika Selatan berusia 41 tahun dan wanita dipercayai warga Indonesia berusia 24 tahun, ditahan dalam dua kes berasingan pada 8 dan 19 September lalu


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_09/Kastam-gagalkan-cubaan-seludup-ketamin-di-LTASI#ixzz2BsxWFijD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja perempuan Thai antara 15 ditahan imigresen



MELAKA 9 Nov. - Jabatan Imigresen Melaka menahan 15 rakyat asing termasuk seorang remaja perempuan dari Thailand dalam "Ops Bersepadu 6P" di lima lokasi di sekitar Melaka hari ini.
Timbalan Pengarah jabatan itu Mohammad Azlan Jawawi berkata mereka terdiri daripada lapan wanita Indonesia, remaja perempuan itu, dua wanita Thailand, tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar.
Beliau berkata kesemua mereka yang berusia antara 15 dan 43 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di premis makanan dan kawasan perumahan di Sungai Udang, Pengkalan Balak dan Taman Merdeka.
Antara kesalahan yang dikesan ialah masuk ke negara ini menggunakan pas sempadan, memalsukan dokumen dan permit tamat tempoh, katanya kepada pemberita di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh di sini.
Operasi lebih lima jam itu bermula 10 malam dan berakhir 3.30 pagi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121109/je_02/Remaja-perempuan-Thai-antara-15-ditahan-imigresen#ixzz2BswwRqAC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek samun bank mati ditembak



KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seorang suspek kes samun sebuah bank di Sungai Buloh baru-baru ini, mati dalam satu kejadian berbalas tembakan selepas dikejar polis di Jalan Datuk Senu 3 di sini awal pagi ini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Adnan Abdullah, suspek yang memiliki enam rekod jenayah lampau maut di lokasi kejadian manakala rakannya melarikan diri. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_10/Suspek-samun-bank-mati-ditembak#ixzz2BsrSQ1Np
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Telan 2kg dadah jadi jutawan?


Oleh ANGELINA SINYANG dan AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Hanya dengan menelan dua kilogram dadah untuk diseludup ke luar negara, seorang 'keldai dadah' boleh bergelar jutawan.
Bagi dua kilogram dadah jenis syabu yang mempunyai harga pasaran antara RM400,000 hingga RM500,000 di negara ini, pengedar dadah mampu mengaut keuntungan mencecah RM2 juta apabila berjaya menyeludup bahan terlarang itu ke negara seperti Australia, New Zealand dan Indonesia.
Pendapatan lumayan diperoleh itu menyebabkan ramai rakyat tempatan dan warga asing menjadi 'gelap mata' dan sanggup memperjudikan masa depan menjadi penyeludup dadah ke luar negara.
Keadaan itu dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai punca utama menyebabkan aktiviti penyeludupan dadah sukar dibendung meskipun banyak tangkapan dan kisah penderitaan 'keldai dadah' disiarkan dalam media massa selama ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, menelan dadah yang diisi dalam kondom seberat kira-kira dua kilogram merupakan modus operandi popular digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa ketika ini.
"Mengedar dadah merupakan satu perniagaan haram yang menjanjikan keuntungan lumayan. Sebagai contoh, pengedar dadah yang berjaya membawa masuk dua kilogram syabu ke Australia atau New Zealand, mereka boleh mendapat pulangan bersih sehingga RM2 juta bagi sekali 'tugasan' sahaja.
"Perkara sama yang berlaku, sekiranya mereka menyeludup syabu ke Indonesia yang mempunyai nilai pasaran RM800,000 bagi dadah itu di negara berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Noor Rashid mendedahkan, sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu juga memberi latihan kepada 'keldai dadah' tentang cara betul menelan dadah bagi mengelak mengancam nyawa mereka.
"Dadah yang ditelan terlebih dahulu dimasukkan ke dalam kondom dan berapa banyak yang boleh ditelan adalah bergantung kepada keupayaan individu yang menelannya.
"Semasa berada dalam pesawat menuju ke destinasi dadah dijual, penyeludup tidak dibenarkan makan dan minum. Mereka juga diajar cara-cara mengeluarkan semula dadah tersebut selepas berjaya melepasi kawalan keselamatan," ujarnya.
Noor Rashid berkata, meskipun tidak dapat dikesan semasa pemeriksaan mesin pengimbas, namun kecekapan anggotanya mengenal pasti sifat-sifat mencurigakan pada penyeludup telah membawa kepada penahanan banyak 'keldai dadah' yang menggunakan modus operandi tersebut.
Menurut Noor Rashid, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima laporan 143 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana menyeludup dadah.
"Sejak Januari sehingga Oktober lalu pula, kita sudah menerima laporan 126 rakyat Malaysia dicekup di luar negara kerana kesalahan sama dengan 12 orang daripadanya merupakan wanita," katanya.
Mengulas mengenai penyeludup dadah wanita, beliau berkata, kebanyakan mereka terjebak dengan sindiket dadah antarabangsa didalangi oleh warga Nigeria yang menggula-gulakan mereka dengan cinta palsu sehingga mereka terhutang budi dan sanggup melakukan apa sahaja.
Beliau berkata, pengedar lelaki pula kebanyakannya memang melakukan pekerjaan haram itu secara sukarela bagi mendapatkan keuntungan.
"Sindiket biasanya memilih wanita mempunyai saiz tubuh besar, tidak menarik dan ibu tunggal untuk diumpan dengan kemewahan terlebih dahulu sebelum dipergunakan untuk mengedar dadah ataupun dipaksa sekiranya mereka enggan melakukan perkara tersebut," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_01/Telan-2kg-dadah-jadi-jutawan#ixzz2Bsr1NQA5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gitaris kumpulan rock ditahan



KUALA LUMPUR 9 Nov. - Seorang gitaris kumpulan rock popular era 90-an, bersama dua adik lelakinya diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Selayang Makmur dekat sini semalam, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun.
Turut diberkas dalam serbuan tersebut ialah seorang wanita berusia 36 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, polis bertindak menyerbu rumah tersebut selepas mendapat maklumat terdapat suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes samun berada di kediaman berkenaan.
"Dalam serbuan itu, kita telah menangkap tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sebelum ini.
"Suspek yang ditangkap ialah gitaris yang berusia 40 tahun, bersama dua adik lelakinya masing-masing berusia 35 dan 38 tahun serta seorang wanita berusia 36 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut tangkapan semalam, Rosly berkata, polis yang menjalankan siasatan telah menemui dan merampas sebuah kereta Proton Exora berwarna hitam yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
"Selain itu, polis juga merampas dua kad Smart Tag dan Touch n Go dalam kereta tersebut, lima jam tangan pelbagai jenama, tiga bilah parang, sebuah kamera, satu cota besi boleh laras, 40 keping lagi kad Touch n Go, sebuah i-Phone model PK168 serta sebuah telefon bimbit jenama Nokia E71," katanya.
Rosly berkata, hasil soal siasat, suspek berusia 38 tahun mengaku terlibat dalam kes samun di Taman Melawati pada 31 Oktober lalu bersama seorang rakannya yang masih bebas.
Beliau berkata, suspek ditangkap juga didapati positif mengambil dadah dan mereka kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121110/je_03/Gitaris-kumpulan-rock-ditahan#ixzz2Bsd3Vtri
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banduan merusuh



COLOMBO 10 Nov. - Sekurang-kurangnya 27 orang maut dan seorang pegawai kanan polis cedera parah akibat rusuhan terbesar di penjara Sri Lanka, semalam apabila banduan bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
Jurucakap polis, Prishantha Jayakody berkata, keganasan itu berlaku apabila pegawai dari Pasukan Unit Khas (STF) iaitu komander polis elit Sri Lanka, melakukan operasi mencari dadah dan telefon haram di penjara tersebut.
"Ketika pasukan itu tiba, banduan mula membaling batu, menyebabkan anggota STF bertindak melepaskan gas pemedih mata, tetapi kemudiannya dibalas dengan tembakan," kata Jayakody.
Tentera bagaimanapun berjaya mengawal keadaan dan membebaskan kakitangan penjara yang dijadikan tebusan oleh banduan di penjara Welikada, Colombo itu, menurut pegawai penjara dan tentera.
Menteri Penjara, Chandrasiri Gajadeera memberitahu Parlimen hari ini, sebanyak 27 orang disahkan maut dalam insiden itu.
Menurut saksi, mereka melihat polis melepaskan tembakan ke arah penjara tersebut ketika banduan yang bersenjata berada di bumbung pusat tahanan berkenaan semasa rusuhan berlaku.
Pesuruhjaya Penjara, P. W. Kodippili berkata, banduan memperolehi bekalan senjata seperti mesingan selepas memecah masuk bilik senjata di penjara itu.
"Operasi untuk membersihkan dan merampas senjata di penjara itu masih diteruskan dan anggota polis turut menemui beberapa banduan yang melarikan diri," katanya.
Jurucakap tentera, Brigadier Ruwan Wanigasooriya pula berkata, sejumlah besar senjata turut ditemui bersama enam lagi mayat banduan ketika operasi itu.
Sementara itu, seorang komander polis STF kini terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi, menurut ketua Hospital Besar Colombo.
"Kira-kira 59 orang turut cedera dalam insiden itu dengan 51 daripadanya masih menerima rawatan," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121111/lu_01/Banduan-merusuh#ixzz2C1UOQd19
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banjir kilat ragut 13 nyawa di Sulawesi

Banjir kilat ragut 13 nyawa di Sulawesi:



Pasukan penyelamat mengangkat seorang daripada mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di kampung Batanguru, wilayah Sulawesi Barat, Indonesia, semalam. - AGENSI



JAKARTA 9 Nov. - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Sulawesi, kata pihak berkuasa hari ini.


Ketua polis tempatan, Kapten Yuslim Yunus berkata, kejadian berlaku di Batanguru, sebuah kampung di kawasan berbukit di daerah Mamasa, wilayah Sulawesi Barat yang berpunca akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.


Katanya, runtuhan tanah yang berlaku menimbus sebatang sungai sekali gus menghasilkan 'tsunami kecil' yang membawa arus deras serta lumpur yang meranapkan tujuh buah rumah.


"Pasukan penyelamat dan penduduk terpaksa menggunakan tangan bagi menyelamatkan mangsa yang tertimbus.


"Kebanyakan penduduk tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri,'' katanya dengan menambah, kedudukan kampung yang terletak di kawasan berbukit, menyukarkan operasi menyelamat.


Yuslim berkata, sebanyak 13 mayat ditemui semalam dan kesemua mangsa dipercayai maut akibat lemas atau ditimbus lumpur.


Katanya, berpuluh-puluh lagi mangsa yang cedera dirawat di hospital berhampiran.


"Jumlah mangsa terkorban mungkin meningkat ekoran usaha menyelamat mangsa yang hilang masih diteruskan hari ini,'' katanya. - AGENSI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121110/lu_02/Banjir-kilat-ragut-13-nyawa-di-Sulawesi#ixzz2BpyBQdL3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

Lelaki ditemui mati di dalam kediaman Perdana Menteri Sweden

Lelaki ditemui mati di dalam kediaman Perdana Menteri Sweden: "STOCKHOLM 10 Nov. - Seorang lelaki ditemui mati di dalam kediaman Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt di sini semalam dan punca kematian masih disiasat.

Jurucakap polis, Towe Hagg berkata, tiada kesan jenayah ditemui di lokasi kejadian dan polis akan menyiasat sama ada lelaki tersebut mati akibat bunuh diri atau kemalangan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan lelaki itu mati akibat tertembak diri sendiri dan merupakan seorang daripada pengawal keselamatan di kediaman tersebut.

Reinfeldt dan keluarganya dilaporkan tidak berada di kediaman terbabit ketika mayat tersebut ditemui. - REUTERS"

'via Blog this'

25 maut kereta api tangki meletup di Myanmar

25 maut kereta api tangki meletup di Myanmar: "YANGON 10 Nov. - Sekurang-kurangnya 25 orang maut apabila sebuah kereta api tangki minyak tergelinicir lalu meletup di utara Myanmar, semalam.

Stesen televisyen tempatan melaporkan, letupan berlaku ketika petugas kereta api cuba mengaup petrol dan diesel yang tertumpah daripada kereta api tersebut.

Ketika kejadian, kereta api tersebut dalam perjalanan dari Yangon ke Kachin dan seramai 62 yang lain turut dilaporkan cedera. - AGENSI"

'via Blog this'

Dua militan Indonesia ditahan



KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama polis Indonesia menahan dua suspek warga Indonesia Rabu lepas, yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 2009.


Kedua-dua suspek itu, Taufik Balaga atau dikenali dengan nama Upik Lawanga dan Ahmad Fauzi masing-masing berusia 40-an, yang menjadi anggota militan Jemaah Islamiah (JI) ditahan semasa cuba merentas sempadan Malaysia-Kalimantan di Nunukan, Kalimantan Timur.


Mengikut sumber polis Bukit Aman, kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara PDRM dan polis Indonesia.


"Mereka disyaki sering berulang-alik dari Tawau ke Nunukan (Kalimantan Timur) sebelum ini," kata sumber itu di sini.


Jelas sumber itu lagi, kedua-dua suspek terbabit dihantar ke Jakarta pada hari yang sama selepas proses soal siasat.


Kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kejadian dua serangan pengebom berani mati pada 17 Julai 2009 di kedua-dua hotel berkenaan yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain.


Serangan itu turut dikaitkan dengan kumpulan JI yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.


Upik sebelum ini turut dikaitkan dengan insiden memenggal kepala tiga pelajar di Poso, Sulawesi Tengah pada 2005.


Tambah sumber itu, Upik dipercayai terbabit dengan kumpulan JI dan mempunyai kepakaran menghasilkan bom buatan sendiri.


Upik dan Ahmad Fauzi kini disiasat oleh polis Indonesia dan dipercayai mempunyai seorang lagi rakan warga Malaysia yang turut disiasat. - Bernama

Pegawai bank diculik kekasih











KAJANG - Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak melarikan dan menjerut leher kekasihnya sehingga wanita itu mengalami keretakan pada tulang lehernya manakala kedua-dua belah pergelangan tangannya pula cedera.


Episod malang wanita yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu bermula pada pukul 5.30 petang Rabu lalu apabila mangsa dibawa kekasihnya tidak jauh dari rumahnya di Taman Cheras Awana, Batu 9 di sini.


Ketika berada di dalam kereta suspek, mangsa yang berusia 27 tahun mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh teman lelakinya yang dikatakan cemburu buta.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila dia dapat melarikan diri ketika cuba dibawa ke sebuah hotel di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 7 malam.


Jarak antara lokasi mangsa diculik dengan hotel tersebut kira-kira 40 kilometer.


Menurut beliau, selepas terlepas daripada kekasihnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam semalam.


Ab. Rashid memberitahu, akibat dipukul mangsa mengalami keretakan tulang leher manakala kedua-dua pergelangan tangannya pula mempunyai kesan dijerut dengan tali.


Mangsa dirujuk ke Hospital Kajang untuk rawatan dan dibenarkan keluar dari wad semalam.


Kata beliau, bertindak atas maklumat, polis menemui kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa ditinggalkan di kawasan Shah Alam sehari selepas mangsa dilarikan.


Menurut beliau, lelaki yang berusia 28 tahun itu kemudian ditangkap di sini pada pukul 7 malam tadi.


Bagaimanapun, polis belum mendapat maklumat penuh mengenai suspek itu.


Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Pusat jagaan wanita disita



PENGHUNI Kewaja diberi penerangan selepas tempat mereka berlindung diserbu dan disita pihak berkuasa di Setapak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu dan menyita sebuah rumah yang dijadikan pusat perlindungan wanita dan remaja di Kampung Sungai Mulia, Setapak di sini yang beroperasi tanpa lesen sejak lebih 24 tahun lalu.
Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 10 pagi itu, pusat tersebut didapati menempatkan 69 wanita berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan Akta Pusat Jagaan 1993.
Pusat yang diberi nama Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) itu didapati gagal mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah akta tersebut.
“Dengan keluasan rumah tersebut, maksimum penghuni yang dibenarkan hanya seramai 28 orang tetapi penjaga pusat itu meletakkan seramai 69 orang di ruang yang sempit. Mana selesa?
“Sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang bagi menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung,” katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu di sini semalam.
Menurut beliau, antara piawaian yang perlu dipatuhi oleh penjaga pusat tersebut ialah had bilangan penghuni tidak melebihi keluasan ruang lantai yang dibenarkan bagi memastikan keselesaan penghuninya.
Piawaian lain yang perlu dipatuhi ialah nisbah penjaga dengan penghuni perlulah mencukupi, menyediakan modul latihan dan jadual aktiviti harian yang sesuai.
“Hasil siasatan JKM mendapati Kewaja gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan walaupun telah diberi nasihat dan panduan sejak tahun 2003,” jelas beliau.
Ketika serbuan itu dibuat, pihak berkuasa mendapati 69 penghuni pusat jagaan tersebut terdiri daripada 42 wanita yang sedang mengandung, 19 orang berada dalam pantang selepas baru melahirkan anak manakala tujuh lagi menghadapi pelbagai masalah sosial yang lain.

Pemuda mengaku bakar kapal selam nuklear AS



AP
API marak dan asap tebal pada kapal selam nuklear HMS Miami yang terbakar di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine pada 23 Mei lalu.



PORTLAND, Maine - Seorang bekas pekerja sebuah pelabuhan, Casey James Fury kelmarin mengaku bersalah membakar sebuah kapal selam nuklear milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kerugian sebanyak AS$450 juta (RM1.3 bilion).
Fury, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Daerah AS kerana melakukan kebakaran dengan sengaja sebanyak dua kali.
Dia mengaku melakukan perbuatan itu di dalam kapal selam nuklear HMS Miami pada 23 Mei lalu di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine.
Fury sekali lagi melakukan perbuatan yang sama tetapi di luar kapal selam berkenaan pada 16 Jun lepas.
Pemuda itu melakukan perbuatan tersebut dengan alasan untuk segera pulang ke rumahnya.
Fury memberitahu para penyiasat bahawa dia mengambil pelbagai jenis ubat bagi menangani kemurungan, alahan dan masalah sukar untuk tidur semasa kali pertama membakar kapal selam tersebut.
Dia juga menjelaskan mahu pulang ke rumah selepas berasa bimbang apabila membaca mesej daripada bekas kekasihnya menyebabkannya melakukan perbuatan itu buat kali kedua.
Bagaimanapun, kebakaran itu tidak merebak ke bahagian belakang kapal yang menempatkan pelbagai komponen nuklear.
Ekoran pengakuan itu, dia mungkin akan dipenjarakan hampir 20 tahun.
Kapal selam itu dibaiki sebelum ia kembali beroperasi pada 2015.
Kos membina kapal selam itu pada 1990 dianggarkan AS$900 juta (RM2.7 bilion).
Jika kapal selam itu dibina pada tahun ini, kosnya dianggarkan AS$1.5 bilion (RM4.6 bilion). - Agensi

13 orang terbunuh akibat banjir kilat




AP
BEBERAPA orang mencari mangsa-mangsa runtuhan sebuah rumah akibat banjir kilat di Batanguru, Sulawesi Barat semalam.



JAKARTA - Bilangan mangsa yang terkorban akibat hujan lebat selama beberapa hari yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat meningkat kepada 13 orang, kata beberapa pegawai polis semalam.
Ketua sebuah agensi pengurusan bencana Sulawesi Barat, Kain Lotong Sembe, berkata, bilangan mangsa yang masih hilang berkurangan menjadi empat orang.
Menurutnya, bilangan itu berkurangan selepas 20 orang yang dilaporkan hilang didapati masih hidup.
Seorang ketua polis tempatan, Kapten Yuslim Yunus berkata, anggota-anggota penyelamat dan penduduk di Batanguru di daerah Mamasa turut menggali lumpur dengan menggunakan tangan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Menurutnya, tanah runtuh yang berlaku kelmarin telah menyebabkan arus sungai mengalir dengan laju sehingga memusnahkan tujuh buah rumah.
Musim tengkujuh sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh berlaku di Indonesia. - AP

Seorang maut di lokasi konsert Linkin Park




AP
SEORANG wanita yang cedera (dua dari kiri) dibantu seorang anggota perubatan (dua dari kanan) di luar Stadium Cape Town, Afrika Selatan kelmarin.


JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Seorang wanita terbunuh apabila sebuah struktur perancah iklan runtuh akibat angin kencang di lokasi konsert band rock Linkin Park di Cape Town pada Rabu lalu.
Menurut seorang jurucakap Dewan Bandar Raya Cape Town, Kylie Hatton semalam, seramai 19 orang lagi cedera dalam kejadian itu.
Dia berkata, 12 daripada 19 orang itu dirawat di hospital.
Menurutnya, ia runtuh di luar Stadium Cape Town manakala polis masih menyiasat tentang punca kejadian tersebut.
Band rock dari Amerika Syarikat itu kemudian menyatakan perasaan sedih ekoran terdapat mangsa yang cedera.
Anggota-anggota band tersebut juga mengucapkan takziah kepada keluarga wanita yang terbunuh itu.
Wanita itu merupakan peminat band berkenaan.
Band itu akan mengadakan konsert di sini esok.
Anggota kumpulan itu terdiri daripada Chester Bennington, Rob Bourdon, Brad Delson, Dave Farrell, Joe Hahn dan Mike Shinoda. - Agensi

Dua pegawai tentera wanita dipaksa hantar gambar bogel


FORT BRAGG, Carolina Utara - Dua pegawai tentera wanita Amerika Syarikat yang memberi keterangan kelmarin menyatakan mereka menghantar beberapa gambar bogel kepada seorang pegawai tinggi tentera, Brigadier Jeneral Jeffrey Sinclair.
Menurut akhbar Fayetteville Observer, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa Sinclair berulang kali meminta dia menghantar gambar bogelnya.
Bagaimanapun, dia yang berpangkat kapten memuat naik beberapa gambar bogel wanita lain tanpa kepala untuk dihantar kepada pegawai tinggi itu.
Keterangan itu diberikan pada hari ketiga pendengaran tentera yang diadakan di sini bagi menentukan sama ada Sinclair akan dibicarakan berhubung beberapa dakwaan termasuk liwat dan perzinaan serta perlakuan seks yang dilarang.
Semua perbuatan itu tidak dibenarkan dalam perkhidmatan ketenteraan.
Pada Selasa lalu, seorang lagi pegawai tentera wanita berpangkat kapten memberi keterangan dengan menyatakan dia dipaksa melakukan seks oral dengan Sinclair.
Menurutnya, Sinclair yang sudah berkahwin mengancam untuk membunuhnya dan keluarganya jika dia enggan melakukan perbuatan itu.
Seorang lagi pegawai tentera berpangkat mejar memberitahu kelmarin, dia menghantar gambar payudaranya dan video kepada Sinclair.
Sinclair berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah di mahkamah tentera. - AP

Perompak doktor terima padah



Kiri - Amirudin, kanan, Amjad Khan


KOTA BHARU – Seorang lelaki menerima balasan setimpal apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan dia dipenjara 16 tahun dan lima sebatan atas dua kesalahan merompak yang mana salah satunya melibatkan kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Grandis milik seorang doktor pakar.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Amirudin Deraman, 23, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bagi tuduhan merompak Mitsubishi Grandis hingga mencederakan doktor pakar itu, Mohd. Amirudin dari Kampung Pintu Geng dihadapkan secara berseorangan manakala bagi satu lagi kesalahan rompak dia dihadapkan bersama rakannya dari Kampung Tanjung Mas, Mohamed Amjad Khan Kamarulzaman, 28.
Azman menjatuhkan hukuman lapan tahun dan lima sebatan ke atas Mohd. Amirudin bagi kesalahan merompak Mitsubishi Grandis milik Dr. Ida Zarina Zaini, 38, dan hukuman penjara lapan tahun ke atas Mohd. Amirudin dan Mohamed Amjad Khan bagi satu lagi kesalahan lain.
Azman memerintahkan hukuman ke atas Mohd. Amirudin dijalankan secara berasingan.
Mohd. Amirudin didakwa merompak kenderaan milik doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian itu di Kubang Kerian, di sini pada pukul 7 pagi, 18 September lalu hingga mencederakan mangsa.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Kejadian yang menimpa Ida Zarina pernah disiarkan Kosmo! pada 20 September lalu. Laporan itu mengatakan mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki akibat disamun tertuduh sebelum melarikan kenderaan itu.
Mitsubishi Grandis itu kemudian ditemui seminggu selepas kejadian setelah ditinggalkan di kawasan sebuah rumah di Kampung Padang Enggang, di sini.
Menurut fakta kes pula, kejadian itu disedari Ida Zarina selepas anaknya menjerit mengatakan kenderaan itu hendak dilarikan tertuduh.
Mangsa yang cuba menghalang kemudian terjatuh ke atas jalan tar menyebabkan dia cedera.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Amirudin dan Mohamed Amjad didakwa merompak beg tangan Noraida Zainuddin, 42, yang mengandungi barang kemas bernilai RM1,500, sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Ace dan wang RM300 di Pasir Hor, di sini pada pukul 8 pagi 11 Oktober lalu.
Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Malang berganda dua penyamun




UMAR ALI menunjukkan kereta dan parang panjang yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Alor Gajah semalam.


ALOR GAJAH – Malang bagi dua penyamun apabila bukan sahaja gagal dalam dua cubaan samun malah mereka diberkas selepas kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki terlibat dalam kemalangan satu jam kemudian di Kelemak di sini kelmarin.
Bersama suspek berusia 19 dan 25 tahun itu, polis menemui sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam cubaan samun tersebut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kejadian pertama berlaku pukul 11.30 malam apabila suspek cuba menyamun seorang pemilik kafe siber di Kelemak di sini yang hendak menutup premisnya.
Katanya, mangsa bagaimanapun terselamat apabila berjaya melarikan diri sebelum suspek cuba pula menyamun sekumpulan lelaki yang berada berdekatan tempat tersebut.
“Cubaan kedua itu pun gagal apabila kesemua mangsa dapat melarikan diri. Salah seorang mangsa kemudian membuat laporan polis selepas mendapati telefon bimbitnya tercicir ketika hendak melarikan diri.
“Polis yang menjalankan siasatan kemudian menerima maklumat mengatakan terdapat satu kemalangan tidak jauh dari tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah malam dan apabila disiasat, kami dapati mereka merupakan penjenayah yang terlibat dalam kedua-dua cubaan samun tersebut,” katanya pada sidang akhbar.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mereka terbabas selepas gagal mengawal kenderaan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Pemeriksaan kemudian menemui sebilah parang panjang yang digunakan untuk menyamun.
Menurut Umar Ali, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dengan penangkapan suspek.
Kedua-dua suspek yang cedera ringan itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Penunda kereta dijel 6 tahun




MOHD. AZRIL (depan) dan Mohd. Haswan diiring keluar daripada Mahkamah Sesyen Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Perbuatan kejam seorang penunda kereta yang menyerang dan menetak Ketua Pemuda UMNO Kepong, Datuk Norizan Ali (gambar kecil) sehingga parah dua bulan lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Manira Mohd. Nor memerintahkan Mohd. Azril Ab. Shukur, 28, menjalani hukuman tersebut selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mohd. Azril didakwa bersama seorang lagi rakannya, Mohd. Haswan Hashim, 22, cuba membunuh Norizan, 41, dengan menyerang mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah di perut, badan dan tangan di tepi Jalan Cahaya 2, Ampang, Selangor kira-kira pukul 2.30 pagi, 24 September lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Haswan, seorang pengawal kelab malam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd. Haswan.
Dakwaan ke atas mereka dibaca mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya ke atas Mohd. Azril, Manira menjelaskan hukuman itu diputuskan demi menjaga kepentingan awam memandangkan ia kesalahan serius.
“Hukuman ini juga diharap dapat memberi pengajaran kepada kamu dan juga masyarakat di luar sana supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas orang lain,” jelas Manira.
Manira menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes ke atas Mohd. Haswan.
Pada 25 September lalu, Kosmo! melaporkan Norizan yang juga seorang kontraktor binaan, cedera parah selepas diserang dengan senjata tajam oleh dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 2/4, Taman Dagang di sini.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika dia baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana England bersama rakan-rakan di sebuah restoran, kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya.
Sementara itu, Norizan ketika dihubungi berpuas hati dengan keputusan mahkamah tersebut namun berpendapat hukuman itu perlu dipanjangkan memandangkan ia melibatkan nyawanya.
“Kejadian itu telah menyebabkan reputasi serta maruah saya terjejas dan ia mengambil masa untuk dipulihkan. Kecederaan yang saya alami dijangka pulih dalam tempoh tiga bulan lagi dan kini saya tidak boleh melakukan kerja berat,” katanya.