Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Jual arak curi guna lori sampah

Jual arak curi guna lori sampahAdnan (kanan) dan pegawainya bersama minuman keras yang ditemui semula.
SHAH ALAM - Sekumpulan penjenayah menggunakan sebuah lori sampah bagi mengangkut ratusan tin minuman keras curi untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.
Bagi mengaburi mata polis, penjenayah juga menggunakan kanvas untuk menutup bahagian atas lori.

Bagaimanapun, penjenayah hanya sempat menjual sebahagian minuman curi itu selepas polis menahan enam lelaki, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, tangkapan itu dilakukan berdasarkan laporan kejadian samun di sebuah stor di Pulau Indah, 1 November lalu.

Mohd Adnan berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, pengawal keselamatan berusia 44 tahun dipukul dan diikat empat lelaki bersenjatakan buku lima serta rotan.

Katanya, penjenayah melarikan dua kontena bermuatan minuman keras tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, polis menahan tiga lelaki di Jalan Kim Chuan, Pandamaran, Selasa lalu, kira-kira jam 1.30 petang.

“Kita merampas sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah lori tiga tan mengandungi 400 kotak minuman keras,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis besi buruk di Jalan Ipoh Kecil dan menahan dua lelaki serta menemui 182 kotak minuman keras di dalam lori sampah.

Katanya, seorang lagi rakan mereka ditahan di Jalan Gedung Raja Abdullah, Klang, kelmarin.

“Dua kontena yang dilarikan itu tidak ditemui. Kita juga sedang menyiasat jumlah minuman yang sudah dijual suspek,” katanya.

Semua suspek berumur antara 25 dan 33 tahun itu ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mohd Adnan berkata, polis sedang mencari tiga lelaki, K Maran, 42, beralamat terakhir di Taman Mastiara, Kuala Lumpur; T Rajendran, 42, beralamat terakhir di Apartmen Dahlia, Rawang dan A Siva Kumar Samey @ Aun, beralamat terakhir di Taman Desa Jasmin, Nilai, Negeri Sembilan, untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan tiga lelaki itu diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

69 diselamatkan, JKM serbu pusat perlindungan wanita haram


KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini menyerbu dua buah rumah teres yang dijadikan pusat perlindungan wanita di Setapak yang beroperasi tanpa lesen dan menyelamatkan 69 wanita.
Pengarahnya Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan tiga jam bermula10 pagi, pusat itu didapati menempatkan 69 wanita, berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat ditetapkan jabatan itu.
Kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam, katanya.
"Sepatutnya dua buah rumah itu mampu memuatkan maksimum 28 orang tapi penjaga pusat itu meletakkan 69 orang, mana selesa, sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung," katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu, di sini.
Beliau berkata pusat itu, yang beroperasi sejak 24 tahun lalu dengan peruntukan sendiri, kini disiasat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993 kerana sehingga kini gagal didaftarkan.
Katanya 42 wanita di pusat itu sedang mengandung, 19 baru sahaja melahirkan anak dan tujuh menghadapi masalah sosial.
"Kesemua wanita itu dibawa ke Asrama Bahagia, Kampung Pandan sebelum satu penempatan baru dicari untuk mereka," kata Noormah sambil menambah sebanyak 207 pusat jagaan persendirian di Kuala Lumpur beroperasi tanpa lesen.
Sementara itu, seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 16, berkata kehidupan yang beliau impikan untuk berubah apabila memasuki pusat jagaan tersebut selepas terjebak dengan masalah sosial disifatkan "tidak seindah yang disangka".
Beliau, yang sudah empat bulan memasuki pusat itu selepas melihat iklan mengenainya di laman sosial, mendapati perkhidmatan pusat itu tidak memuaskan.
"Saya masuk ke tempat ini dengan niat ingin berubah, saya dulu tidak pandai membaca Al-Quran tetapi di sini tidak banyak saya belajar dalam ilmu agama dan sahsiah diri selain mereka mengenakan yuran pendaftaran yang membebankan," katanya.
Bagi Effa, 19, pula tindakan beliau yang pernah melarikan diri akibat tidak tahan dengan kehidupan di pusat itu yang disifatkannya sebagai mimpi ngeri apabila beliau ditangkap dan dipukul warden  pusat berkenaan.
"Saya memang tidak sangka kehidupan di sini amat teruk, mereka mengenakan yuran tetapi tidak menyediakan keselesaan kepada kami, bayangkan ibu mengandung, ibu yang baru bersalin disuruh membuat kerja-kerja berat, jadi perkara inilah membuatkan kami ingin memberontak," katanya.
Lebih pilu, sehingga kini beliau belum dapat melihat anak perempuannya yang dilahirkan pada September lalu hanya atas alasan beliau perlu mengikut perjanjian dipersetujui dengan pusat itu. - Bernama

Kedai motosikal terbakar, peniaga rugi RM80,000


Zainuddin Mohd Nordin
Beberapa barangan yang rosak akibat kesan kebakaran diletakkan di luar kedai untuk dibersihkan.
ALOR PONGSU - Seorang peniaga kedai alat ganti motosikal kerugian RM80,000 setelah kedainya di Jalan Siakap, di sini hampir 40 peratus terbakar, kelmarin.
Kejadian kebakaran kira-kira jam 4 pagi itu turut memusnahkan enam motosikal jenis Honda yang dipercayai dihantar ke kedai berkenaan untuk tujuan baik pulih.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Zainuddin Mohd Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 4.10 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
“Sebanyak satu jentera bomba terdiri daripada sembilan anggota bergegas ke lokasi kebakaran. Setibanya di tempat kejadian, api dilihat semakin marak dan mujurlah keadaan api dapat dikawal selain tidak merebak ke kedai-kedai bersebelahan dalam tempoh setengah jam.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Sementara itu, pemilik kedai yang hanya dikenali Puan Liow berkata, semasa kejadian, tiada orang berada di dalam kedai memandangkan dia sekeluarga tinggal di rumah berdekatan kedai berkenaan.
Menurutnya, sejurus mengetahui kedainya terbakar lebih kurang jam 4.10 pagi, dia sekeluarga terus ke kedai untuk cuba menyelamatkan seberapa banyak barangan di dalamnya.
“Kami hanya mampu masuk dari pintu belakang kedai dan sempat menyelamatkan beberapa dokumen dan barangan bernilai sebelum diarahkan anggota bomba supaya beredar kerana api semakin marak.
“Mujurlah kebakaran tidak merebak ke kedai-kedai lain, hanya 40 peratus daripada keseluruhan kedai yang terbakar dan kerugian mungkin sekitar RM80,000. Beberapa motosikal lain turut berjaya diselamatkan.
“Selain tujuh motosikal yang turut terbakar, barangan lain yang musnah adalah peralatan ganti motosikal, kelengkapan dan tayar motosikal,” katanya.

Kegiatan pelacuran dihidu


Khairul Anuar Sulaiman
Khairul Anuar (kanan) memerhati empat wanita Vietnam yang ditahan.
TELUK INTAN - Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan berjaya menghidu kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik perusahaan rumah inap desa (homestay) di Taman Bunga Raya, Jalan Sultan Abdullah, di sini.
Sehubungan itu, satu serbuan telah diadakan pada jam 12.55 malam oleh sepasukan anggota Imigresen Cawangan Teluk Intan di premis terbabit, malam kelmarin dan berjaya menahan empat wanita warga Vietnam kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman memaklumkan, keempat-empat wanita itu berusia di antara 22 hingga 32 tahun ditahan setelah didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Semua yang ditangkap dibawa ke Pejabat Imigresen Teluk Intan bagi membantu siasatan. Kita turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana dipercayai menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran serta melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Beliau turut memaklumkan, lelaki yang enggan memberi kerjasama semasa serbuan itu ditahan reman di bawah Seksyen 5(6)(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala empat wanita Vietnam didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(d) akta sama.
"Mereka ditahan reman selama 14 hari di Pusat Tahanan Imigresen Langkap bagi membantu siasatan dan kami turut mendapat perintah tahan daripada Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk lelaki terbabit mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
"Kita mendapati rumah inap desa ditukar menjadi pusat pelacuran, menjadi trend sekarang ini dalam usaha mengelak daripada ditahan pihak berkuasa," katanya.
Katanya, siasatan awal turut mendapati rumah inap desa berkenaan pernah melakukan kesalahan sama serta pernah diserbu pada 25 April lalu yang mana dua wanita Vietnam bersama seorang wanita China melakukan kegiatan pelacuran dan kini menjalani hukuman penjara.
"Saya beri amaran kepada mana-mana pengusaha rumah inap desa, bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati menjalankan kegiatan pelacuran dan kita sedang mengesan mana-mana pemilik yang menjadikan rumah mereka sarang kegiatan tidak bermoral itu," tegasnya.

Kanak-kanak enam tahun maut dirempuh van


Mohd Zul Ikmal
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Baling.
BALING - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 37.7 Jalan Sungai Petani Baling kira-kira 6.20 petang, kelmarin.
Mangsa, Mohd Zul Ikmal dari Kampung Keda Kledang maut di tempat kejadian setelah basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah van.
Anak ketiga dari lima beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar mencari ikan bersama abangnya di kawasan berdekatan rumahnya itu.
Menurut saksi kejadian, mangsa cuba melintas jalan, namun gagal sebelum dirempuh oleh sebuah van yang datang dari arah Baling-Sungai Petani.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sehingga mengakibatkan kematian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Mat Daud berkata, pihaknya amat berharap ibu bapa menjaga keselamatan anak-anak mereka terutama mereka yang di bawah 12 tahun.
“Menjaga keselamatan tidak bermaksud kita mengongkong, tetapi perlu bertegas demi keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Penyamun mabuk kecundang


Umar Ali Saifuddin Shaharuddin
Umar Ali (depan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD), Asisten Superintendan Md Dom Dollah memeriksa kereta dinaiki lelaki terbabit serta parang panjang .
ALOR GAJAH - Cubaan dua lelaki melarikan diri selepas cuba menyamun seorang pengusaha kafe siber di Taman Mewah, Kelemak gagal apabila ditangkap sepasukan polis setelah kereta dinaiki terbabas berdekatan lampu isyarat Kelemak, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 19 dan 25 tahun cuba menyamun seorang pengusaha kafe siber menggunakan parang panjang sebelum memecut kereta.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ketika cubaan samun berlaku, pengusaha kafe berkenaan hendak menutup kedai didatangi dua lelaki berkulit gelap menaiki sebuah kereta Proton Saga Aeroback.
Menurutnya, lelaki berkenaan membawa sebilah parang panjang sebelum sekumpulan lima lelaki yang sedang melepak berdekatan tempat kejadian membantu pengusaha kedai terbabit dari diserang penyamun terbabit.
"Akibat berang dihalang, lelaki terbabit menghayun parang mengakibatkan sekumpulan lelaki berkenaan lari dan seorang daripada lima lelaki tadi dikejar hingga terjatuh.
"Turut sama tercicir ketika dikejar, sebuah telefon bimbit milik mangsa yang kemudiannya diambil oleh penyamun itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.
Umar berkata, pihaknya menerima laporan sejurus kejadian dan melancarkan gerakan mengesan kedua-dua lelaki terbabit sebelum menerima maklumat kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.
"Hasil maklumat yang diterima, kedua-dua mereka sudah berada di tebing jalan dibantu orang awam dan penduduk yang tidak mengetahui mereka adalah penjenayah.
"Pemeriksaan awal mendapati bahagian hadapan kereta yang dipercayai milik bapa kepada salah seorang daripadanya remuk teruk dan kedua mereka juga didapati berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.
Katanya, kedua-dua penjenayah terbabit walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.
"Hasil semakan mendapati mereka turut terlibat dalam beberapa kes samun membabitkan tiga daerah di negeri ini.
“Kedua-dua suspek yang beralamat di Rembia, dekat sini dan Johor ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam). Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mengguna senjata,” katanya, semalam.

Wanita cedera, kereta dinaiki dirempuh


Norliana Suparman
Mangsa diusung ke ambulan JPAM selepas selamat dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
ALOR GAJAH - Seorang wanita cedera apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu dirempuh sebuah Proton Satria GTI ketika membuat pusingan 'U' di jalan Rantau Panjang, Masjid Tanah, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Norliana Suparman, 29, bersama saudaranya keluar dari sebuah lorong membelok ke kanan memasuki laluan menuju ke Ayer Paabas.
Difahamkan, semasa kejadian mangsa secara tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ mengakibatkan Proton Satria dipandu Shahrihan Alias, 24, dari Masjid Tanah tidak sempat mengelak dan terpaksa merempuh kereta dinaiki mangsa.
Shahrihan berkata, dia gagal mengelak dan terpaksa merempuh kereta mangsa.
"Saya bersama orang awam cuba membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut.
"Mujur tidak lama kemudian anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat tiba bersama ambulans dari Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah membantu mengeluarkan serta merawat mangsa," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, PBK 2 Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.38 petang memaklumkan mangsa masih tersepit dalam kereta.
“Setiba di lokasi kejadian bersama lima anggota dengan sebuah jentera mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan bomba mengambil masa kurang lima minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Bomba merenggangkan bahagian pintu kereta berkenaan sebelum membawa mangsa keluar dan menyerahkan kepada anggota JPAM untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang kelmarin.

Rakan melambung di simpang -


Mohd Izuan Johari
Polis memeriksa keadaan mangsa yang tertangkup atas jalan raya.
ALOR GAJAH - “Saya nampak objek melambung berdekatan persimpangan lampu isyarat sebelum menyedari rakan terbabit dalam kemalangan,” kata Islami Hisham, 18, menceritakan insiden kemalangan maut melibatkan rakannya, seorang pekerja restoran makanan segera di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Mohd Izuan Johari, 24, dari bandar Melaka ke Melaka Pindah sebelum motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang hilang kawalan melanggar pembahagi jalan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya melambung sebelum kepala Mohd Izuan terhentak pada lampu isyarat dan tercampak ke laluan bertentangan.
Islami yang merupakan saksi terawal kejadian berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paya Datuk sebelum menyedari terdapat objek melambung di hadapan.
"Saya duduk di sebelah pemandu meminta rakan memperlahankan kereta untuk mengamati objek berkenaan sebelum terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan tertangkup atas jalan.
"Sebaik keluar kereta saya terkejut lihat mangsa adalah rakan saya sendiri," katanya.
Menurutnya, dia yang panik melihat mangsa tidak sedarkan diri mengalihkan motosikal yang tercampak beberapa meteri.
"Saya kemudiannya cuba menghubungi keluarga mangsa namun gagal sebelum segera ke rumahnya di Melaka Pindah bagi memaklumkan kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, berkata, mangsa keluar dari rumah untuk ke bandar Melaka kira-kira 12 tengah malam semalam sebelum terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang.
“Ketika rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan menyangka rakan datang untuk menjemput saya ke tempat kerja seperti biasa setiap pagi,” katanya.
Zaiton berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah terkejut apabila dimaklumkan anak keduanya dari tiga beradik itu terbabit dalam kemalangan tanpa menyangka anaknya itu terkorban.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Hasrat kahwin semula terbantut


Nor Aini Zakariya
Nor Aini menunjukkan surat kes permohonan pengesahan penceraian.
AYER HITAM - Hasrat seorang wanita untuk berkahwin semula selepas tidak sehaluan bersama bekas suaminya terbantut apabila sehingga kini masih belum mendapat pengesahan penceraian dari Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu.
Sejak tiga tahun lalu penceraian itu dilakukan, Nor Aini Zakariya, 31, berkata, hidupnya kini ibarat seperti digantung tidak bertali.
Menurutnya, lafaz cerai bekas suaminya itu dilakukan bersaksikan ahli keluarganya sendiri dan perkara itu dirujuk untuk mendapatkan kepastian pihak tersebut, namun sehingga kini mereka gagal mengemukakan kesahihannya.
“Perkara itu turut dilakukan di hadapan hakim mengendalikan kes penceraian saya dan kemudian diarahkan membuka kes pengesahan penceraian itu kepada pihak terlibat.
“Sebanyak dua kali saya membuka kes menyelesaikan perkara itu, tetapi surat pengesahan tersebut masih belum dapat dikeluarkan,” katanya.
Katanya, disebabkan terlalu lama, dia bertindak merujuk permohonan pengesahan itu dan mendapati berlaku pertukaran hakim di organisasi tersebut.
“Saya kemudiannya diarahkan hakim tersebut melakukannya sekali lagi, namun perkara itu mendatangkan masalah kerana bekas suami gagal memberikan kerjasama.
“Saya bertindak mengemukakan saksi berhubung kejadian lafaz cerai sebelum itu, tetapi pihak terlibat menyatakan saksi tersebut tidak kuat imannya,” katanya.
Nor Aini berkata, sepatutnya perkara itu perlu dipermudahkan pihak berkenaan bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya.
“Oleh itu, saya berharap pihak terlibat dapat menyelesaikannya segera supaya perancangan untuk mendirikan rumah tangga dapat dilakukan sebelum menerima pandangan buruk daripada masyarakat.
“Kalau nak berkahwin di Thailand, ia boleh dilakukan tetapi bakal menimbulkan masalah pula. Sekiranya boleh saya ingin menyelesaikannya dengan cara yang baik,” katanya.

Sindiket seleweng gas tumpas


Mispari Jaafar
Mispari (tengah) menunjukkan sebahagian gas bersubsidi yang dirampas PPDNKK Hulu Selangor.
BATANG KALI - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Hulu Selangor berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas bersubsidi bernilai lebih RM1 juta di sebuah gudang dalam kebun sayur di Batu 30 di sini, malam kelmarin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah PPDNKK, Mispari Jaafar berkata, sindiket yang beroperasi selama lebih enam bulan itu dipercayai menjadikan gudang sayur yang telah diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita menerima aduan orang ramai, adanya sindiket pengalihan gas domestik kepada borong di kawasan ini dan hasil risikan selama lebih dua minggu berjaya mematahkan kegiatan haram itu.
“Siasatan mendapati sindiket ini menggunakan kaedah pengalihan terus gas petroleum cecair (LPG) melalui tong gas domestik seberat 14 kilogram (kg) sama ada ke dalam tong gas 50 kg atau terus ke lori tangki yang mampu memuatkan 15 tan gas sebelum dijual kepada pihak industri pada harga industri,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, sindiket tersebut mampu mengalih dan menjual kandungan 3,000 tong gas bersubsidi dalam sehari menggunakan lori tangki yang boleh memuatkan 15 tan gas untuk satu masa.
Katanya, kegiatan itu jelas merugikan kerajaan kerana gas bersubsidi sepatutnya digunakan suri rumah beralih kepada pihak industri yang sepatutnya menerima harga berlainan.
“Kita merampas sejumlah 2,103 tong gas domestik bersama sebuah treler dan lori tangki yang sarat dengan muatan 15 tan gas dipindahkan.
“Ketika serbuan dibuat, terdapat enam pekerja tempatan dan warga asing sibuk melakukan pengalihan gas dan kesemuanya ditahan dan pemilik sindiket ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Menurutnya, jika pemilik sindiket perseorangan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang telah ditumpaskan PPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPDNKKWPKL) pada Mei lalu di sebuah dusun di Lembah Genting dekat sini.
Pada 23 Mei lalu, PPDNKKWPKL menumpaskan sindiket penyelewengan gas bersubsidi hampir RM1 juta di kawasan tersebut yang beroperasi hampir setahun.
Hampir 2,000 tong gas berjenama kurang laris, treler dan lori tangki turut dirampas dalam serbuan itu.

Lapan penagih ditahan di 'port' dadah


Dahlan Mohd Noor
Penagih yang ditahan di 'port' dadah dekat AMBS dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.
AL MUKHTAFI BILLAH SHAH – Hasrat beberapa penagih mendapatkan bekalan dadah tidak kesampaian apabila mereka ditahan di sebuah rumah yang dijadikan 'port' dadah, dekat sini, pagi kelmarin.
Operasi selama hampir satu jam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah itu membawa kepada penahanan 11 suspek dipercayai penagih tegar berusia antara 20 hingga 30an.
Selepas ujian saringan air kencing dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah, lapan daripadanya didapati positif dadah jenis methampethamine manakala tiga lagi bebas daripada pengaruh dadah.
Kebanyakan ditahan adalah penagih berulang dan ada antaranya difahamkan turut membawa ahli keluarga seperti anak dan isteri untuk membeli dadah di 'port' berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan tangkapan tersebut memaklumkan semua yang ditahan disiasat mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 195

Pemandu van mengaku salah cabul murid


KOTA BHARU – Tindakan luar batasan seorang pemandu van sekolah mencabul murid darjah tiga, membawa padah apabila dihukum 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor selepas tertuduh, Mustapha Kamal Ibrahim, 53, mengaku bersalah atas tuduhan itu.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di dalam sebuah van di tepi Jalan Telipot di sini, pada jam 6.30 petang, 5 November lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana seksaan itu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu kakak mangsa mendapati adiknya menangis dan memberitahu pemandu van sekolah yang dinaikinya merabanya.
Pengadu kemudian membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan sehari selepas kejadian.
Terdahulu, Mustapha yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman paling minimum.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukannya.
“Pengadu memberi kepercayaan kepada tertuduh untuk melindungi mangsa namun dia menyalahgunakannya dengan cara mencabul mangsa.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh turut memberi kesan kepada mangsa yang mengalami trauma selepas kejadian,” katanya.

Baju logo haram dirampas


Zainalabidin Othman
Zainalabidin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada warga Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
KUANTAN - Sehelai baju berjenama terkenal yang diharamkan di negara ini kerana berlogo daun ganja antara rampasan yang dilakukan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam sekatan jalan sempena Ops Bersepadu Agensi Penguatkuasa Negeri Pahang hari kedua di Kilometer 29 Jalan Temerloh-Bahau dekat Bera, kelmarin.
Baju yang ditemui dalam sebuah kereta yang ditahan untuk pemeriksaan itu dirampas kerana menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam sekatan sama, Jabatan Imigresen memeriksa 50 individu dan menahan tujuh warga Indonesia termasuk dua wanita hasil pemeriksaan ke atas sebuah bas dipercayai dalam perjalanan dari Temerloh ke Jempol kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, operasi yang dijalankan 17 pegawai dan 41 anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa itu berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.
Menurutnya, dalam operasi selama enam jam bermula 9 pagi hingga 2 petang itu, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 400 kenderaan dan mengeluarkan 49 saman atas pelbagai kesalahan kepada pemandu serta penunggang motosikal.
“Dalam pemeriksaan itu, 70 motosikal diperiksa untuk mengenal pasti status kenderaan terbabit sama ada ia sah milik atau kenderaan curi.
“Kita juga keluarkan 19 saman kepada pemandu kenderaan perdagangan kerana mengeluarkan asap berlebihan,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JPJ, agensi itu memeriksa 200 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan, 30 Notis 61(1) cermin gelap, 5 PG 1 Teknikal dikeluarkan, manakala sebuah lori dikenakan tindakan mengikut  Notis 93(1) kerana membawa lebih muatan.
“Dalam operasi sama, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  menjalankan saringan ujian air kencing ke atas 53 individu dan hasilnya seorang lelaki ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.
“Manakala di bawah tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 15 saman dikeluarkan kepada kenderaan yang didapati mengeluarkan asap berlebihan,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi kali ini tiada sebarang tindakan dan tangkapan bagi kesalahan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ugut bapa saudara guna kapak


 Ahmad Husni Zaim Ahmad Suhaimi
Ahmad Husni Zaim dibawa keluar dari kamar bicara selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan dan denda RM1,500.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihukum penjara selama 15 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam kerana mengugut bapa saudaranya menggunakan sebilah kapak dan merosakkan kereta, Ahad lalu.
Majistret Rozianti Mohamed membuat keputusan tersebut selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh yang berdepan dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Husni Zaim Ahmad Suhaimi, 24, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan sebilah kapak terhadap Mohd Kamal Abdullah, 56, pada 4 November, jam 1 tengah hari di Bukit Besar.
Bagi kesalahan itu, dia dihukum penjara selama 12 bulan dan denda RM1,000 atau tambahan dua penjara lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Pertuduhan kedua pula, Ahmad Husni Zaim turut didakwa melakukan perbuatan khianat iaitu dengan membaling bata ke arah sebuah kereta Toyota Vios milik Hazliana Razak, 36, hingga menyebabkan wanita itu kerugian sebanyak RM500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November lalu jam 10 pagi di sebuah rumah di Jalan Ibrahim, Bukit Besar dan dia dihukum penjara selama tiga bulan serta denda RM500 atau tambahan penjara sebulan jika gagal lunaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, semasa adik ipar pengadu berada di rumah pada jam 10 pagi, Ahmad Husni Zaim telah meminta wang daripada adik ipar pengadu, namun tidak dihiraukan.
Dengan rasa tidak puas hati, tertuduh telah mengambil seketul bata dan melemparkan bata tersebut ke kereta Toyota Vios hingga menyebabkan bonet belakang kenderaan berkenaan kemek.
Tiga jam kemudian, tertuduh telah datang ke rumah pengadu dan meminta wang daripada abang pengadu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) tidak mampu berjalan.
Ahmad Husni Zaim secara tiba-tiba menuju ke dapur dan mengambil sebilah kapak dan menghentak senjata itu di atas meja luar rumah hingga mendatangkan ketakutan kepada abang pengadu.
Bimbang diapa-apakan, abang pengadu akhirnya memberikan wang sebanyak RM6 kepada Ahmad Husni Zaim sebelum tertuduh berlalu pergi. Tertuduh kemudian ditahan polis pada jam 9.12 malam keesokan hari.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rompak berkumpulan, dua lelaki dipenjara lapan tahun


Mohamed Amjad Khan Kamarulzaman
Mohamed Amjad Khan Kamarulzaman
Mohd Amirudin Deraman
Mohd Amirudin Deraman
KOTA BHARU – Dua lelaki dihukum lapan tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan terhadap seorang wanita di Pasir Hor di sini, Oktober lalu.
Hukuman terhadap kedua-dua lelaki berkenaan diputuskan Hakim Azman Mustapha mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Mohd Amirudin Deraman, 23, dan Mohamed Amjad Khan Kamarulzaman, 28, didakwa merompak Noraida Zainuddin, 42, pada jam 8 pagi, 11 Oktober.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof. 
Dalam kejadian itu, barangan kemas mangsa yang bernilai RM1,500 dan sebuah telefon jenis Sambung Galaxy Ace bernilai RM300 dilarikan.
Mangsa sebelum itu keluar dari rumah untuk ke tempat kerja melihat kereta jenis Honda Civic dinaiki dua lelaki masuk ke kawasan rumahnya.
Penumpang hadapan iaitu tertuduh selepas itu turun dari kereta dan bertanya sesuatu kepada mangsa, tetapi belum sempat dijawab, beg tangannya diragut.
Susulan laporan polis, mereka berjaya ditahan dan Mohd Amirudin mengaku merompak Noraida manakala rakanya pula mengaku memandu kereta terbabit.
Mohd Amirudin adalah penjenayah sama yang merompak kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Grandis milik doktor pakar, Ida Zarina Zaini, dua bulan lalu.
Hukuman bagi kedua-dua kes berkenaan berkuat kuasa secara berturutan.

Kejar emak dengan pisau

Muhamad Sofian A Aziz
Muhamad Sofian dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah mengugut ibunya dengan pisau.
KUALA TERENGGANU – Tindakan biadab seorang anak yang bertindak mengejar ibunya sendiri dengan sebilah pisau mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara selama 8 bulan dan denda sebanyak RM3,000, semalam.
Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Muhamad Sofian A Aziz, 29, bakal berdepan dengan tambahan penjara selama tiga bulan lagi.
Keputusan itu dibuat selepas Majistret Rozianti Mohamed menerima pengakuan bersalah tertuduh yang juga pencari barang terbuang itu.
Muhamad Sofian yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengejar ibunya, Siti Fatimah Seman Ahmad, 57, dengan menggunakan pisau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November lalu, jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap ibunya, seorang penenun songket.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, hanya disebabkan permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang dipercayai untuk membeli dadah tidak dipenuhi, seorang anak sanggup mengejar ibunya dengan menggunakan sebilah pisau.
Tidak cukup dengan itu, suspek juga bertindak ganas merosakkan beberapa peralatan yang ada di rumah mereka, termasuk peralatan menenun songket milik mangsa yang digunakan untuk mencari rezeki.
Kejadian pada jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek itu berlaku apabila mangsa enggan memberikan wang sebagaimana dikehendaki suspek, sebelum lelaki itu naik hantu dan mengamuk sebelum mengejar ibunya dengan pisau.
Menurut sumber, mangsa yang ketakutan melihat perlakuan agresif suspek segera keluar dari rumah kerana bimbang diapa-apakan.
“Bagaimanapun, tindakan kurang ajar suspek disedari seorang ahli keluarga yang kemudian menghubungi polis.
“Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek di rumah keluarganya beberapa jam selepas kejadian. Suspek dilaporkan selalu meminta RM50 setiap hari daripada ibunya,” katanya.

Nenek penipu tumpas



         
KUALA LUMPUR: Seorang nenek berusia 61 tahun yang sering berpindah randah bagi menyembunyikan diri selepas disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan dana korporat bernilai RM10 juta ditahan di sebuah kondominium di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang Jaya, di sini kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, kira-kira jam 1 tengah hari hasil risikan yang dibuat sejak Ogos lalu.

Timbalan Pengarah II, JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, hanya wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala ahli keluarganya yang lain tidak ditahan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah wanita itu yang masih bebas,” katanya kepada Harian Metro semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita warga emas itu tinggal menyewa di kondominium berkenaan sejak tiga bulan lalu dan dia direman sehingga esok.

Derita 5 jam dalam lori remuk

TERSEPIT...anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.
TERSEPIT...anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.
NASIB...Ibrahim menahan kesakitan sebelum dikeluarkan dari lori.
NASIB...Ibrahim menahan kesakitan sebelum dikeluarkan dari lori.
BEHRANG: Seorang pemandu lori menderita kesakitan selama lima jam apabila kedua-dua kakinya tersepit selepas lori dipandu terbabas dan terbalik di kawasan kebun sayur berhampiran kilometer 382, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Behrang, semalam.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, Ibrahim Yusof, 54, dikatakan gagal mengawal lori dipandu membawa sarat plastik penutup dawai elektrik selepas tayar kenderaan itu meletup.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa merempuh besi pembahagi jalan di tepi lebuh raya sebelum menjunam ke tebing lalu terbalik dan menghempap kaki mangsa.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sepasukan anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Slim River dan Tanjung Malim yang bergegas ke lokasi sukar mengeluarkan mangsa apabila jentera berat digunakan gagal mengangkat kepala lori itu.

“Tugas menyelamat terpaksa dilakukan penuh berhati-hati berikutan mangsa kerap menjerit kesakitan dan masih dalam keadaan sedar.

“Mangsa mampu berkomunikasi terpaksa membongkok dan meniarap di bawah lori itu. Hujan lebat tambah menyukarkan operasi menyelamat mangsa,” katanya.


Menurutnya, mangsa akhirnya dapat dibawa keluar dari bawah lori jam 6.15 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River menerima rawatan.

Sindiket pelacur terancang


TERDAPAT satu gerakan jenayah secara terancang dilakukan sindiket pelacuran yang diaturkan pendatang asing tanpa izin untuk merencanakan aktiviti persundalan mereka di Malaysia.
Perkara itu didedahkan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

“Sistem kawalan Pusat Pertukaran Pekerja Binaan dapat menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin yang diketahui mereka secara nyata masuk dalam radar kita.
“Adakah kerajaan akan menambah pusat kawalan ini kerana apa yang saya melihat ada gerakan seperti jenayah terancang yang mengaturkan pergerakan pendatang asing tanpa izin ini? “Pada peringkat awalnya mereka akan bertindak sebagai pelancong dan kemudiannya sengaja merencana supaya menstrukturkan kegiatan persundalan ini,” katanya.

Menjawab soalan berkenaan, Abu Seman berkata, sehubungan kawalan berkaitan kes membabitkan pelancongan ini, biasanya penguatkuasaan akan dilakukan di pintu masuk negara yang dikenal pasti kerap kali digunakan untuk masuk ke negara ini.

“Mereka yang disyaki kerap melakukan aktiviti seperti ini akan diekori dan jika benar berlaku kegiatan dimaksudkan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Abu Seman berkata, memang benar tidak semua yang terbabit dalam aktiviti pelacuran melakukannya secara sukarela, sebaliknya ada yang menjadi mangsa sindiket dengan menawarkan gaji lumayan untuk bekerja di negara ini.

“Dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan ia dijalankan Unit Antipemerdagangan Orang bertujuan menyelamatkan mangsa pelacuran diperdagangkan mana-mana orang.
“Dalam tempoh Ogos 2008 hingga 31 Oktober ini, KDN sudah mengambil tindakan terhadap 1,647 warga asing dan menyelamatkan mereka kerana disyaki menjadi mangsa pelacuran. Daripada jumlah itu, 569 disah mangsa kegiatan persundalan,” katanya.

Katanya, mereka yang menjadi mangsa ditempatkan di rumah perlindungan di bawah Perintah Perlindungan.

“Selain itu, 460 tangkapan dibuat terhadap mereka yang terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

Siasatan tahanan dibelasah selesai hujung minggu ini


KUCHING: Polis memberi jaminan siasatan berhubung seorang tahanan yang koma dipercayai akibat dibelasah Ahad lalu oleh dua pegawai polis ketika soal siasat kerana disyaki merompak serta membelasah dua pegawai berkenaan, dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad meminta orang ramai bersabar dan tidak membuat spekulasi kerana siasatan masih dijalankan.

“Arahan dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani (Abdullah Sani) yang mahukan kes ini diselesaikan secepat mungkin iaitu pada hujung minggu ini dan kami kini dalam proses melengkapkan siasatan,” katanya ditemui pada Program Polis Bersama Pelanggan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di pekarangan Sarawak Plaza di sini, semalam.
Roslan berkata, suspek yang juga penagih dadah itu masih belum sedarkan diri di di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kejadian itu berlaku bukan dalam lokap sebaliknya dalam bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak ketika proses pengecaman suspek dijalankan,” katanya. Menurut Roslan, kedua-dua inspektor yang berusia 30 dan 32 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman mereka berakhir semalam.

Dalam kejadian itu, seorang tahanan kes serangan yang mencederakan dua pegawai polis di hadapan sebuah pusat hiburan di Padungan, Jumaat lalu, koma dipercayai dipukul ketika soal siasat.

Kaki putar RM2.4 juta


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang hanya bersekolah setakat darjah enam mampu bergelar jutawan dalam tempoh singkat selepas memperdaya seorang peniaga berusia 30-an sebanyak RM2.4 juta.
Taktik digunakannya ialah menyamar sebagai ‘bomoh ekor’ dengan menyediakan nombor ramalan bagi memenangi hadiah utama, selain bijak memanipulasi urusan perbankan melalui Internet.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu mempromosi perkhidmatannya menerusi iklan yang diedar atau ditampal di tempat tumpuan awam di kawasan tempat tinggal mangsa, beberapa bulan lalu.
Mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan kemudian menghubungi suspek sebelum diminta memberi butiran peribadi berserta nombor telefon.

“Suspek kemudian menghubungi semula mangsa dan mengarahkannya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun, dengan janji nombor ramalan yang akan diberinya mampu menjadikan mangsa kaya raya.

“Selepas mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan, dia masih tidak diberikan nombor ramalan dijanjikan. “Namun, lelaki itu licik memujuk dan meyakinkan mangsa sehingga membuat sembilan lagi transaksi membabitkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta ke dalam beberapa akaun berbeza,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari tertipu bulan lalu sebelum membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berjaya menahan suspek di Alor Setar, Kedah Sabtu lalu.

Sumber itu berkata, ketika disoal siasat suspek memberitahu dia hanya bersekolah setakat darjah enam namun mengaku mempunyai kemahiran dalam sistem perbankan Internet.
“Bagi mengelakkan penipuannya dikesan polis, suspek yang mempunyai enam akaun bank akan segera memindahkan wang yang diterima daripada mangsa ke dalam akaun lain bertujuan menghapuskan bukti,” katanya.

Menurutnya, polis juga berjaya menemui semula wang RM2.4 juta yang disimpan secara berasingan dalam akaun milik suspek.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek terbabit dalam enam kes penipuan menggunakan modus operandi sama sejak awal tahun lalu,” katanya.

Sumber itu berkata, semua mangsa mendakwa mereka seolah-olah dipukau sehingga tidak sedar ditipu biarpun hanya berurusan melalui telefon.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Dua JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tercampak dalam parit


KENINGAU: Seorang lelaki dalam perjalanan menghadiri upacara pengebumian neneknya, terbunuh apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 24 Jalan Keningau-Sook di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Hendry Maranis, 20, berasal dari Kampung Apin-Apin dekat sini, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala. 
Pemandu pikap Isuzu berusia 32 tahun bersama isteri serta tiga anaknya yang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke arah Sook, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Robert Solisip@David berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Sook menuju ke Keningau, dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal lalu bertembung dengan pikap berkenaan.

“Mangsa tercampak ke dalam parit di kiri jalan dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penyamun mabuk terbabas


ALOR GAJAH: Dua penjenayah bukan saja gagal menyamun seorang pemilik kafe siber, malah kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan berhampiran simpang lampu isyarat Kelemak di sini, ketika melarikan diri, malam kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun yang bersenjatakan parang panjang dan dipercayai di bawah pengaruh alkohol ditahan polis dengan bantuan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, penjenayah cuba menyamun pemilik kafe siber berusia 30-an di taman perumahan di Kelemak, di sini.
“Mangsa yang mahu menutup kedai dikatakan didatangi dua lelaki berkulit gelap menaiki Proton Iswara Aeroback hijau.

“Penjenayah bertanyakan sesuatu sebelum kembali semula ke kereta dan datang semula dengan membawa parang.

“Ketika kejadian, terdapat sekumpulan lima lelaki melepak di kawasan berhampiran dan cuba membantu mangsa, namun seorang daripada suspek menghayun parang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan hasil maklumat, polis menemui semula kereta itu yang terbabas di tepi jalan manakala penjenayah dalam keadaan mabuk dikeluarkan orang ramai dan ditahan.

Koma 3 hari


KUALA TERENGGANU: “Anak langsung tidak ingat apa yang berlaku kerana hentakan kuat pada jalan itu menyebabkan dia koma tiga hari,” kata Ahmad Mail, 41, bapa kepada Muhammad Fahmi Ahmad, 17, yang cedera selepas merempuh seekor kerbau di Kampung Telemong, Hulu Terengganu, Sabtu lalu.
Bapa kepada empat anak ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu anaknya menunggang motosikal Yamaha LC dari Kampung Getang ke Kampung Telemong untuk membantu rakannya yang menghadapi masalah pancit tayar motosikal. 
Katanya, hasrat Muhammad Fahmi yang bekerja sebagai pembantu kedai makan membantu rakannya itu tidak kesampaian apabila dia tersembam di atas jalan selepas merempuh seekor kerbau di jalan Kampung Telemong.

“Mujurlah kemalangan itu berlaku berdekatan dengan rakannya itu dan kenalannya segera membantu mengangkat Muhammad Fahmi yang pengsan serta menghubungi hospital.

“Ketika kejadian saya menutup kedai makan dan bergegas ke HSNZ selepas dimaklumkan kemalangan yang menimpa anak,” kata peniaga kedai makan yang tinggal di Kampung Basong, Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengsan kereta dirempuh


ALOR GAJAH: Seorang wanita pengsan apabila kereta dipandunya dirempuh kenderaan lain ketika membuat pusingan U di Jalan Rantau Panjang-Masjid Tanah di Kampung Rantau Panjang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa, Norliana Suparman, 29, yang memandu Perodua Kancil keluar dari satu lorong lalu membelok ke kanan menuju Ayer Paabas, di sini.

Kereta mangsa tiba-tiba membuat pusingan U mengakibatkan Proton Satria dipandu Shahrizan Alias, 24, dari arah Masjid Tanah gagal mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.
Rempuhan menyebabkan suri rumah itu tersepit dan tidak sedarkan diri, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut Shahrizan, dia yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Masjid Tanah menyedari kereta dipandu mangsa keluar dari lorong kanan jalan berkenaan.

“Sebaik menyedari keadaan itu, saya cuba memperlahankan pemanduan dan berada di belakang kereta berkenaan tanpa memotong.
“Dalam jarak beberapa meter, kereta itu tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan saya gagal mengawal kenderaan lalu merempuhnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, sebelum itu dia sempat menekan brek, namun jarak terlalu dekat menyebabkannya terpaksa merempuh bahagian tepi kereta yang melintang itu.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa dan cuba memaut stereng ke kiri, tetapi tidak boleh kerana melihat tebing di kawasan itu yang curam. Rempuhan itu menyebabkan dada terhantuk pada stereng. “Sejurus melompat keluar dari kereta dan menghampiri kereta mangsa, saya mendapati wanita itu yang dalam keadaan terperanjat meraung meminta tolong,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 5.38 petang.

“Setibanya di lokasi bersama lima anggota dan sebuah jentera, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan dapat dikeluarkan dalam tempoh kurang lima minit.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri diserahkan kepada anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kawan sendiri melayang


ALOR GAJAH: “Saya perasan ada percikan api disusuli objek melayang melintasi tengah tiang lampu isyarat. Selepas rakan memberhentikan kereta yang kami naiki dan memeriksa di kawasan kejadian, saya tersentak apabila melihat rakan saya terbaring kaku di atas jalan.”
Demikian kata Islami Hisham, 18, saksi kemalangan ngeri mengorbankan nyawa Mohd Izuan Johari, 24, di simpang lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, jam 6 pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah bandar raya Melaka dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka Pindah, di sini.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa motosikalnya melambung.

Motosikal mangsa rosak teruk akibat merempuh tiang lampu isyarat sebelum tercampak di seberang jalan manakala kepala mangsa dikatakan terhentak pada lampu isyarat berkenaan.

Islami berkata, ketika kejadian berlaku dia dan dua rakan lain menaiki kereta menuju ke Paya Datuk. “Saya duduk di sebelah pemandu. Selepas melihat percikan api dan lintasan objek terbang itu, saya meminta rakan memberhentikan kereta kerana mahu melihat apa sebenarnya berlaku.
“Sejurus mendapati rakan saya terbaring di atas jalan dan mengalami kecederaan parah, saya tidak berani menyentuh badannya tapi cuma mengalihkan motosikalnya yang tercampak di tengah jalan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Islami berkata, dia menghubungi keluarga mangsa tetapi gagal, menyebabkan dia nekad ke rumahnya untuk memaklumkan kejadian.
Ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, ketika ditemui di Hospital Melaka berkata, mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik sebelum itu keluar dari rumah jam 12 tengah malam.

“Sewaktu rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya bersiap ke tempat kerja,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini.

Menurutnya, petang kelmarin, arwah sempat memotong rambut dan menjamah hidangan sebelum keluar.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma kerap mengurung diri dalam bilik. Dia memang manja selepas saya berpisah dengan suami,” katanya yang ditemani anak bongsu, Mohd Saiful Johari, 21.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.