Search This Blog

Wednesday, November 7, 2012

Muhdalena hidap kemurungan psikotik - Pakar


PUTRAJAYA 6 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, Muhdalena Ahmad (gambar) yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), menghidap gejala penyakit mental iaitu kemurungan psikotik.
Penyakit tersebut menjadikan wanita berusia 28 tahun itu tidak waras dan tidak sedar terhadap kesan perbuatannya pada masa kejadian yang didakwa berlaku pada Julai lalu.
Bagaimanapun, Muhdalena kini didapati stabil untuk dibicarakan di mahkamah dan membela diri terhadap semua tuduhan yang dihadapinya.
Demikian status laporan yang dikeluarkan oleh Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merupakan Pengarah dan Pakar Perunding Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.
Laporan pemeriksaan yang dikeluarkan semalam turut menyatakan, Muhdalena masih mengambil ubat anti kemurungan, T. Setraline 100 miligram setiap malam sehingga penyakitnya pulih.
Laporan tersebut yang diterima oleh pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini diserahkan kepada Hakim Mohd. Kamil Nizam ketika sebutan kes.
Mahkamah yang berpuas hati dengan kandungan laporan tersebut serta tahap kewarasan mental Muhdalena menetapkan perbicaraan didengar selama tiga hari bermula 7 Januari tahun depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam M. Visvanathan mewakili tertuduh.
Visvanathan ketika ditemui pemberita menyatakan, pihaknya mungkin mengemukakan laporan itu sebagai satu pembelaan agar Muhdalena dirawat di Hospital Bahagia mengikut Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut peguam bela, permohonan itu bagi membolehkan anak guamnya dirawat untuk satu tempoh tertentu selama mana yang diperkenan oleh Sultan.
Pada 11 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Muhdalena dirujuk kepada pakar psikiatri selama sebulan berikutan laporan perubatan oleh Pakar Psikiatri dari Hospital Putrajaya, Dr. Umi Adzlin Silim bahawa tertuduh masih mengalami gejala kemurungan manakala gejala psikotik iaitu tahap halusinasinya semakin terkawal.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_04/Muhdalena-hidap-kemurungan-psikotik---Pakar#ixzz2BbHTOIHu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjaga lembu direman berhubung kematian warga emas


KUALA SELANGOR 5 Nov. - Polis mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu bermula hari ini terhadap seorang penjaga lembu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) semalam.
Majistret Shahwira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga 11 November ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 24 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada pukul 11.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis jenis Proton Waja dan meninggalkan kawasan mahkamah pada pukul 12 tengah hari.
Dalam kejadian pada 4.45 pagi semalam, Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, yang bekerja sebagai tukang jahit dan membuat kuih ditekup mukanya dengan bantal sehingga mati oleh seorang daripada dua lelaki yang merompak rumah kedainya di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam.
Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku di hadapan cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang diikat oleh perompak berkenaan.
Kedua-dua perompak itu yang dipercayai warga tempatan melarikan pelbagai barangan kemas serta wang tunai RM500 daripada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata hasil siasatan awal, suspek ditahan di tempat kerjanya di ladang lembu Tanjung Malim, Perak, pada pukul 4 petang semalam.
"Kita percaya penahanan dan siasatan ke atas suspek akan membawa kepada penahanan dalang sebenar kejadian itu dalam masa terdekat," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121105/je_06/Penjaga-lembu-direman-berhubung-kematian-warga-emas#ixzz2BbC456sF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hutang dipercayai punca kes tetak di Wangsa Maju


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Polis tidak menolak kemungkinan kes tetak melibatkan anak lelaki seorang bekas ahli Parlimen di Seksyen 6, Wangsa Maju, semalam, mempunyai kaitan dengan masalah hutang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya bagaimanapun masih menyiasat kes tersebut daripada semua aspek.
Beliau berkata, polis juga memburu lima suspek yang bertanggungjawab melakukan serangan itu berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian.
"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dan polis giat mengesan suspek berdasarkan bantuan orang ramai," katanya sambil memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, Wan Mohd. Faizal iaitu anak kepada usahawan kereta dan juga bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Wan Mohd. Najib Wan Mohamad cedera parah selepas ditetak sekumpulan lelaki berhampiran sebuah restoran mamak di sini.
Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dirawat di Hospital Ampang Puteri di sini.
Chin Wah seterusnya memberitahu, keadaan Wan Mohd. Faizal dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan ekoran kecederaan di kedua-dua belah tangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121106/je_06/Hutang-dipercayai-punca-kes-tetak-di-Wangsa-Maju#ixzz2BbBq6P8l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga warga Nigeria ditahan miliki syabu


KUANTAN 5 Nov. - Polis menahan tiga lelaki warga Nigeria yang merupakan pelajar kolej swasta di Ampang dan Cheras, Kuala Lumpur kerana memiliki 1.79 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta baru-baru ini.
Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 29 tahun ditahan di hadapan pondok polis bantuan Genting Malaysia Berhad di Genting Sempah, Bentong dekat sini Khamis lalu ketika dalam perjalanan menaiki sebuah teksi menuju ke Genting Highlands.
Selain tiga lelaki Afrika terbabit, polis turut menahan pemandu teksi tempatan berusia 46 tahun yang berasal dari Rawang, Selangor.
Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, bertindak atas maklumat awam, pihaknya menahan teksi jenis Proton Saga BLM yang dinaiki suspek ketika itu dari arah Kuala Lumpur menuju Genting Highlands.
"Setelah memperkenalkan diri, polis menemukan tiga sampul kertas dibalut dengan pita pelekat lut sinar berisi hablur disyaki syabu di bahagian bawah tempat duduk belakang teksi itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.
Sharifuddin berkata, siasatan polis mendapati dadah itu dibawa masuk untuk dijual di negeri ini.
"Harga pasaran syabu yang dirampas adalah RM215,580 iaitu RM120,000 satu kilogram dan nilai pasaran dadah tersebut adalah RM1.497 juta untuk kegunaan 29,941 penagih," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas dua pasport asal dan satu salinan pasport Nigeria, satu kad pelajar sebuah kolej di Cheras, empat telefon bimbit dan empat salinan surat rasmi sebuah akademi di Ampang.
Beliau berkata, kesemua suspek direman seminggu sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121106/je_04/Tiga-warga-Nigeria-ditahan-miliki-syabu#ixzz2BbBf3lqS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki didakwa bunuh bayi teman wanita


SOO LIK DUO
BATU PAHAT 5 Nov. - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang merupakan anak kepada teman wanitanya pada 10 Oktober lalu.
Tertuduh, Soo Lik Duo, 34, didakwa membunuh Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim antara pukul 3 petang dan 8 malam hari kejadian di sebuah rumah di Taman Bistari, Tongkang Pechah, di sini.
Dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Lik Duo turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan yang ditemukan atas siling ruang dapur di rumah sama kira-kira pukul 4.10 pagi, dua hari kemudian.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.
Majistret Amalia Marsita Hamdan menetapkan 10 Disember depan, bagi sebutan semula kes sementara menunggu pihak pendakwaan mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan bedah siasat terhadap mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media baru-baru ini melaporkan, Nur Irisyafida Balkis meninggal dunia pada 16 Oktober lalu dipercayai akibat didera oleh seorang lelaki yang juga teman lelaki ibu mangsa iaitu Rafidah Mohd. Ishak, 29.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, bedah siasat mendapati terdapat tiga kesan retak pada tempurung kepala bayi itu selain patah tangan dan kaki.
Menurutnya, pendarahan di kepala akibat hentakan kuat dipercayai punca kematian bayi itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121106/je_03/Lelaki-didakwa-bunuh-bayi-teman-wanita#ixzz2BbBI7oNu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bunuh: Lelaki direman tujuh hari


Suspek kes bunuh warga emas direman di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, semalam.
SHAH ALAM 5 Nov. - Polis menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh warga emas, Sadariah Tubasar, 65, yang mati selepas mukanya tumbuk, ditekup dengan bantal dan mulutnya disumbat tuala dalam kejadian pecah rumah di Sabak Bernam dekat sini awal pagi semalam.
Perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap suspek yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai buruh di sebuah ladang menternak lembu di Slim River, Perak itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek yang telah dikenal pasti identitinya.
Beliau berkata, pihaknya yakin suspek akan dapat diberkas dalam tempoh terdekat.
''Hasil siasatan kita percaya kedua-dua suspek merupakan rakan sekampung mangsa dan mereka saling mengenali,'' kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, Sadariah dan seorang cucu lelakinya dikejutkan dua suspek bersenjata yang memecah masuk melalui pintu belakang rumahnya di Parit Enam Timur, Sungai Besar.
Kedua-dua suspek yang bersenjatakan parang mengancam mangsa dan cucunya sebelum mengikat mereka dengan tali rafia.
Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai menjerit dan cuba melawan telah ditekup dengan bantal sebelum mulutnya disumbat dengan tuala dan mukanya ditumbuk.
Suspek yang memakai topeng dan sarung tangan kemudian menyelongkar rumah mangsa dan melarikan wang tunai RM500 serta lima bentuk cincin dan dua gelang emas yang dianggarkan bernilai RM2,000.
Cucu mangsa yang berjaya melepaskan ikatan terus berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan dan menghubungi pihak polis.
Pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia dipercayai akibat lemas ditekup dengan bantal serta disumbat tuala dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sungai Besar, Sabak Bernam untuk bedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121106/je_02/Bunuh-Lelaki-direman-tujuh-hari#ixzz2BbB9f3bS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua remaja dituduh membunuh


Dua remaja yang didakwa terlibat dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak, Alor Gajah, Melaka, semalam. - Utusan/Mohammad Dzulhisham Che Hassim
ALOR GAJAH 5 Nov. - Dua remaja berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar sebaya mereka dalam pergaduhan di Stesen Bas Pulau Sebang, Tampin, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian K. Saravannan, 14, di Tingkat 1, Perhentian Bas & Teksi, Pulau Sebang, kira-kira pukul 2.30 petang, 24 Oktober lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulunya, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang.
Walau bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili mereka memohon jaminan dikurangkan dengan alasan ibu tertuduh pertama hanya bekerja sebagai pekerja kilang dengan pendapatan tidak sampai RM1,500 dan mempunyai anak yang bersekolah.
''Bagi tertuduh kedua pula, bapanya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 dan menanggung lima anak dan isteri,'' kata Azrul.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Mohd. Firdaus Saleh membenarkan jaminan RM5,000 setiap seorang selain menetapkan syarat tambahan, mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Dalam prosiding tertutup itu, mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121106/je_01/Dua-remaja-dituduh-membunuh#ixzz2BbAtGQqO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Panggilan bom palsu di Kompleks Mahkamah Shah Alam

Panggilan bom palsu di Kompleks Mahkamah Shah Alam: "SHAH ALAM 6 Nov. - Kira-kira 300 kakitangan dan orang awam yang berada di Kompleks Mahkamah Shah Alam diarahkan mengosongkan bangunan selepas kakitangan mahkamah menerima panggilan bom pada pukul 7.45 pagi ini.

Panggilan itu diterima operator daripada seorang lelaki yang meminta untuk disambungkan kepada kakitangan di bangunan pentadbiran mahkamah.

Selepas mengetahui panggilan bom itu, pengurusan mahkamah segera mengarahkan semua keluar dari bangunan.

Sekumpulan pasukan polis dipercayai unit pemusnah bom tiba di perkarangan mahkamah tidak lama kemudian kira-kira pukul 9.30 pagi. - UTUSAN"

'via Blog this'

Rantai kunci berisi dadah RM725,000 dirampas


Badaruddin Mohamed Rafik (tengah) menunjukkan menunjukkan beberapa bungkusan yang mengandungi rantai kunci berisi dadah dalam sidang akhbar di Sepang, Selangor, semalam
SEPANG 6 Nov. - Rantai kunci merupakan cenderamata digemari orang ramai untuk dijadikan buah tangan kepada rakan-rakan dan saudara-mara jika melancong.
Selain itu, ada syarikat tertentu sengaja menempah rantai kunci menggunakan jenama sendiri untuk diberikan kepada pelanggan sebagai penghargaan atau tanda kenang-kenangan.
Menyedari rantai kunci adalah cenderamata popular, maka kesempatan itu digunakan oleh satu sindiket pengedaran dadah dipercayai berpangkalan di Madras, India untuk menyeludup dadah sintetik jenis amphetamine seberat 7.25 kilogram bernilai kira-kira RM725,000 ke negara ini.
Sindiket menggunakan taktik menyembunyikan dadah dalam bentuk serbuk putih seberat kira-kira empat gram dengan memasukkannya ke dalam plastik berwarna merah jambu sebelum diselitkan antara dua kepingan kertas aluminium.
Kepingan aluminium itu kemudian dimasukkan ke dalam kulit yang dibentuk khas menjadi rantai kunci sebuah syarikat pengedar kenderaan terkenal sebelum dijahit dan dihantar melalui kargo ke negara ini.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Badaruddin Mohamed Rafik berkata, taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu bagaimanapun dapat dikesan oleh pihaknya yang kemudian membuat rampasan di sebuah gudang di zon perdagangan bebas KLIA pada pukul 12.45 tengah hari, 30 Oktober lalu.
Beliau berkata, dalam pemeriksaan tersebut, pihaknya menemui dua kotak berisi 2,496 rantai kunci yang mengandungi serbuk putih berbentuk kristal.
"Setelah serbuk itu diuji, ia disahkan dadah jenis amphetamine yang kesemuanya seberat 7.25 kilogram dan dianggarkan bernilai RM725,000.
"Berdasarkan dokumen penerbangan barangan yang diperiksa, rantai kunci itu tiba dari Madras pada 15 Oktober lalu dan akan dihantar ke satu alamat di Cheras, Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, di sini hari ini.
Badaruddin berkata, pihaknya akan menyiasat syarikat yang tertera namanya pada rantai kunci itu dan pejabatnya di Cheras bagi mengesan sindiket terlibat.
Menurutnya, sejak September hingga Oktober lalu, pihaknya menerima 10 kes penyeludupan dadah di KLIA dan memberkas 10 anggota sindiket.
"Sepanjang September lalu, kita menerima empat kes penyeludupan dadah dan menahan tiga warga Nigeria dan dua Iran.
"Daripada kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 35 hingga 40 tahun itu, kita merampas dadah seberat 13.223 kilogram bernilai RM3,305,750," katanya.
Pada Oktober pula, beliau berkata, pihaknya berjaya memberkas tiga warga India dan dua Indonesia semasa cuba menyeludup dadah ke negara ini dan merampas dadah seberat 22.845 bernilai RM1,996,225.
Secara keseluruhan, Badaruddin berkata, pihaknya mencatatkan 51 kes penyeludupan dadah, menangkap 58 anggota sindiket dan merampas dadah seberat 265.778 kilogram bernilai RM30,864,826.70 sejak awal tahun ini sehingga 31 Oktober lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_08/Rantai-kunci-berisi-dadah-RM725000-dirampas#ixzz2BbAWRZPJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kumpulan pecah rumah tumpas


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Polis menumpaskan satu kumpulan pecah rumah yang anggotanya bukan sahaja memiliki pelbagai rekod jenayah malah mempunyai kepakaran membuka kunci mangga dalam tempoh beberapa saat.
Jenayah yang dikesan berlaku di sekitar Lembah Klang, sejak Ogos lalu itu melibatkan kerugian jutaan ringgit dengan daerah Serdang sahaja mencatatkan lebih RM3 juta.
Difahamkan, ada di antara mereka dikesan mempunyai 19 rekod lampau bersabit kes pecah rumah serta dadah dan turut disenarai sebagai penjenayah yang diburu polis.
Siasatan turut mendapati seorang daripada suspek berusia 45 tahun yang memiliki 12 rekod jenayah lampau baru sahaja dibebaskan selepas dijatuhi hukuman denda sebanyak RM400 oleh mahkamah, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar) berkata, kegiatan kumpulan penjenayah itu terbongkar selepas dua suspek lelaki ditahan sepasukan polis peronda ketika cuba melarikan diri di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Khamis lalu.
Katanya, ekoran penahanan mereka iaitu seorang berusia 29 tahun yang mempunyai 19 rekod lampau dan rakannya, 30 tahun itu, polis telah menyerbu sebuah kondominium di Jalan Putra Emas di sini keesokannya.
"Di situ, dua lelaki yang mempunyai lima hingga tujuh rekod jenayah diberkas selain tiga wanita warga Thailand dan Indonesia. Wanita berkenaan ditugaskan untuk menggadai dan menjual barang-barang yang dicuri.
"Selepas itu, pada Sabtu lalu, polis menyerbu pula sebuah hotel di Jalan Klang Lama dan menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai menganggotai kumpulan itu.
"Hasil siasatan mendapati kesemuanya pernah dihukum dan seorang daripadanya mempunyai 12 rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Serdang, di sini hari ini.
Tun Hisan berkata, berdasarkan soal-siasat, seorang lagi lelaki tempatan yang berusia 46 tahun yang dipercayai menjadi pembeli kesemua barangan curi itu ditahan di sebuah kedai peralatan elektrik di Jalan Merpati, Puchong Jaya.
Mengulas tentang modus operandi mereka, Tun Hisan berkata, kumpulan itu akan melakukan jenayah menggunakan parang dan jika terdapat mangsa di dalam rumah, mereka akan diikat dengan tali atau wayar sebelum harta-benda dilarikan.
"Mereka dikesan mempunyai kepakaran membuka kunci dan semua jenis mangga dengan kunci induk dalam tempoh tiga hingga empat saat sahaja," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan penemuan barang kes dan cap jari, pihak polis percaya jenayah itu telah dilakukan sejak Ogos lalu dengan daerah Serdang mencatatkan 11 kes dan nilai kerugian RM3 juta.
"Nilai barangan yang kita temui beberapa hari dalam serbuan ini termasuklah pelbagai barangan elektrik, barangan perhiasan dan empat jenis kereta iaitu Kia Rio, Proton Gen 2, Kia Nazaria, Proton Wira bernilai RM400,000.
"Mereka turut dikesan aktif di Brickfields, Salak Selatan, Gombak dan Pandan Indah," katanya yang memberitahu, polis masih memburu tiga lagi ahli kumpulan itu.
Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dan 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_07/Kumpulan-pecah-rumah-tumpas#ixzz2BbAJElHj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 penyamun bertopeng larikan wang gaji RM1.35j

8 penyamun bertopeng larikan wang gaji RM1.35j: "MARUDI 6 Nov. - Sekumpulan lapan penjenayah bertopeng dan bersenjatakan dua laras senapang patah melarikan wang gaji pekerja sebuah syarikat cari gali minyak tempatan berjumlah RM1.35 juta setelah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang membawa wang itu di Kilometer 7 Simpang Beluru Lapok di sini petang ini.

Ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, 4WD terbabit yang dinaiki empat kakitangan syarikat tersebut dalam perjalanan dari Kem 8 Bintulu ke arah Long Bedian untuk mengagihkan wang gaji kepada pekerja.

Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan mereka dihalang sebuah 4WD dinaiki lapan suspek sebelum dua daripada mereka keluar dan bertindak mengacukan senapang patah ke arah pekerja-pekerja tersebut.

Empat kakitangan berusia 30 hingga 40 tahun itu yang ketakutan tidak dapat berbuat apa-apa lalu menyerahkan kesemua wang tunai yang dibawa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Supritendan Abu Bakar Mokthar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan polis menjalankan operasi memburu penjenayah itu termasuk menutup semua laluan Miri-Bintulu.

"Keterangan pekerja syarikat tersebut telah diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya."

'via Blog this'

Imam mati dipukul dalam surau di Tanah Merah


TANAH MERAH 7 Nov. - Seorang imam, yang hendak melaungkan azan Subuh, mati akibat dipukul di surau Kampung Gual Petai Lima, Gual Ipoh di sini hari ini.
Abdullah Nawang, 77, yang cedera parah di leher dan kepala, mati di unit kecemasan Hospital Tanah Merah.
Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di sebuah kedai kopi di Kampung Kulim, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada pukul 7 pagi ini, kata Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmud.
Bercakap kepada pemberita di sini, Abdul Aziz berkata suspek yang tinggal tidak jauh dari surau itu pernah mendapat rawatan di Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Baharu.
"Polis percaya Abdullah dipukul menggunakan senjata tumpul atau objek keras, dan polis sedang mencari senjata yang digunakan suspek yang dipercayai dibuang tidak jauh dari tempat kejadian," katanya.
Isteri mangsa, Ramlah Ahmad, 67, yang ketika kejadian berada di ruang solat wanita di surau itu, berkata beliau terdengar bunyi bising seperti orang terjatuh di dalam surau.
"Apabila melihat ke bahagian solat lelaki, saya nampak suami dalam keadaan berlumuran darah di atas sejadah.
"Ketika itu, saya sedang memakai telekung untuk menunaikan solat Subuh.
Arwah tidak sempat melaungkan azan," katanya sambil memberitahu bahawa setiap pagi suaminya akan mengimamkan solat Subuh di surau itu.
Abdullah yang menoreh getah di kampung itu meninggalkan seorang isteri dan empat anak serta 20 cucu.
Mayat Abdullah dibedah siasat di Hospital Tanah Merah sebelum diserah kepada keluarga untuk dikebumi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_10/Imam-mati-dipukul-dalam-surau-di-Tanah-Merah#ixzz2Bb9s7qkO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki didakwa bunuh bayi teman wanita

Lelaki didakwa bunuh bayi teman wanita: "BATU PAHAT 5 Nov. - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang merupakan anak kepada teman wanitanya pada 10 Oktober lalu.

Tertuduh, Soo Lik Duo, 34, didakwa membunuh Nur Irisyafida Balkis antara pukul 3 petang hingga 8 malam di sebuah rumah di Taman Bistari, Tongkang Pechah, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Majistret, Amalia Marsita Hamdan menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes kerana pihak pendakwaan masih menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat terhadap mangsa. - UTUSAN"

'via Blog this'

Minta rasuah daripada pelajar

Minta rasuah daripada pelajar: "KUALA LUMPUR 5 Nov. - Seorang bekas pensyarah Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan memperoleh dan cuba meminta rasuah berhubung memberikan diploma kepada penuntutnya tanpa menghadiri kuliah dan peperiksaan.

Tertuduh Elmy Shadzli Wahi, 40, tidak mengaku salah tuduhan pertama, memperoleh wang tunai RM1,500 melalui akaun Malayan Banking Berhad daripada penuntut Muhammad Asrull Aizat Solehan sebagai balasan untuk memberikan Muhammad Asrull diploma bidang kulinari daripada kolej itu tanpa menghadiri kuliah dan peperiksaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Maybank Bangsar No. 1, Jalan Maarof di sini pada 3.30 petang, 13 Julai lepas di sini.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa cuba memperoleh RM1,500 daripada Muhammad Asrull Aizat bagi tujuan yang sama pada 8.30 malam, 16 Julai lalu di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan di sini."

'via Blog this'

Polis cedera digigit, ditumbuk pesalah trafik


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Sudahlah melakukan kesalahan menukar haluan di garisan berkembar, seorang lelaki yang mempunyai enam rekod kesalahan trafik tergamak bertindak menggigit paha dan menumbuk muka seorang anggota polis trafik di Jalan Davis di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, anggota berkenaan dan beberapa rakan setugas sedang menjalankan operasi apabila sebuah kereta jenis Hyundai berwarna hitam menukar haluan di garisan berkembar dari Jalan Sultan Ismail menuju ke Bulatan Kampung Pandan.
Beliau berkata, anggota itu kemudian menahan kereta tersebut dan meminta pemandunya menyerahkan kad pengenalan serta lesen memandu untuk diperiksa.
"Kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki berusia 28 tahun dan berasal dari Taman Gembira, Banting, Selangor.
"Dia membawa empat penumpang lain iaitu seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zainuddin berkata, setelah memeriksa kad pengenalan dan lesen memandu lelaki tersebut, anggota polis terbabit menerangkan kesalahan yang dilakukannya dan ketika itulah, suspek tiba-tiba bertindak agresif.
Kata beliau, suspek telah merampas kembali kad pengenalan dan lesen memandu serta mencabar anggota polis tersebut bertumbuk dengannya.
Menurutnya, pada masa sama, seorang penumpang wanita dipercayai ahli keluarga suspek menghampiri mereka dan merakamkan insiden tegang itu menggunakan telefon bimbit.
"Wanita terbabit kemudian bertindak agresif menahan semua kenderaan yang melalui jalan berkenaan sambil menjerit mengeluarkan perkataan 'tolong...polis jahat, mau pukul orang'.
"Melihat keadaan itu, anggota polis berkenaan turut mengeluarkan telefon bimbit untuk merakamkan insiden tersebut dan ketika itulah, suspek bertindak menumbuk muka, menendang paha dan menggigit paha kanannya sehingga menyebabkan dia mengalami luka serta lebam," katanya.
Zainuddin berkata, suspek dapat ditangkap oleh anggota polis lain yang berada di situ dan pemeriksaan terhadap kad pengenalannya mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod saman trafik sebelum ini.
Difahamkan, suspek yang sudah didakwa di mahkamah semalam kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam mengaku tidak bersalah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_02/Polis-cedera-digigit-ditumbuk-pesalah-trafik#ixzz2Bb7HavYB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengusaha cuci kereta dibunuh


Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi pembunuhan N. Sundar di Jalan Baiduri 1/2, Taman Perling, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 6 Nov. - Seorang pengusaha pusat cuci kereta maut selepas ditembak dari jarak dekat di premis perniagaannya di Jalan Baiduri 1/2, Taman Perling di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, N. Sundar, 36, mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di kepala dan dada.
Menurut seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Bharat, 30, ketika kejadian dia bersama tiga pekerja lain sedang mencuci kereta pelanggan manakala majikannya berada di kaunter pembayaran.
"Tiba-tiba saya terdengar beberapa bunyi tembakan dan saya nampak majikan saya berlumuran darah dan tidak bergerak lagi.
"Saya sempat melihat dua lelaki memakai topi keledar bertutup penuh segera meninggalkan kawasan kejadian dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Sultanah Aminah di sini.
Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali tidak menyangka kejadian itu berlaku terhadap suaminya.
Katanya, sepanjang 15 tahun mengusahakan pusat cuci kereta itu, suaminya tidak pernah mempunyai musuh kerana banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan di rumah mereka di Bukit Indah di sini.
"Dia juga tidak pernah menceritakan apa-apa masalah kepada saya dan kali terakhir kami berjumpa ketika dia menghantar anak perempuan kami berusia lima tahun pulang dari tadika," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan yang mengesahkan kejadian memberitahu, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan belum membuat sebarang tangkapan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_01/Pengusaha-cuci-kereta-dibunuh#ixzz2Bb6wdR1K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Motif dendam lama




         
JOHOR BAHRU: Dendam lama dipercayai motif utama seorang pengusaha pusat mencuci kenderaan ditembak mati di kedainya di Jalan Baiduri 1/2, Taman Baiduri pada jam 12.45 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi berkata, siasatan awal polis menjurus kepada dendam lama sebagai motif utama pembunuhan.


“Kami mengesan dua lelaki yang membonceng motosikal jYamaha LC yang dipercayai terbabit menembak mati mangsa.

“Setakat ini, masih belum ada tangkapan dibuat dan kami merekodkan keterangan daripada beberapa individu bagi membantu siasatan,” katanya.

Mangsa buka cerita




         
KUALA LUMPUR: Walaupun ditetak dan cuba ditikam empat lelaki bersenjatakan parang, Wan Mohd Faizal Wan Mohd Najib, 24, yang kini menerima rawatan bersyukur kerana terselamat selepas mempertahankan diri habis-habisan daripada dibunuh suspek.

Katanya, ketika kejadian, seorang daripada suspek cuba beberapa kali menikamnya, namun dia sempat mengelak dan menendang suspek.


Menceritakan apa yang berlaku pada Ahad lalu, Wan Mohd Faizal berkata, sebelum kejadian, dia bertemu dan minum dengan seorang rakannya, namun ketika ingin pulang, rakannya itu mengajak berjumpa seseorang berhampiran sebuah restoran di Seksyen 6, Wangsa Maju, kira-kira jam 10 malam.

“Sebelum kejadian, rakan saya ajak jumpa dan minum. Ketika saya mahu pulang, rakan saya itu mengajak saya menemaninya bertemu seseorang berhampiran sebuah restoran di Seksyen 6 Wangsa Maju, dan saya ada terdengar dia bercakap di telefon memberitahu lokasi kami berada ketika itu.


“Beberapa minit kemudian, saya diserang empat lelaki yang semuanya memegang parang dan mahu menetak serta menikam saya. Saya cuba mempertahankan diri dengan menendang mereka sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, dia difahamkan rakan yang bersama dengannya itu melarikan diri sebaik mangsa diserang selain turut menggunakan nama seorang lagi rakannya dikenali ‘Botak’ bagi mengaburi mata mangsa kononnya Botak menjadi dalang insiden itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, setakat ini seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Gombak, pagi semalam bagi membantu siasatan.


“Tangkapan dibuat awal pagi tadi (semalam) di kediaman lelaki berkenaan di Gombak dan polis kini memburu tiga atau empat suspek yang dipercayai terbabit dengan kes itu.

“Suspek kini direman sehingga Selasa depan dan kita harap dengan tangkapan berkenaan dapat membantu polis dalam mengenal pasti suspek yang melakukan serangan terhadap mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Katanya, mangsa kini sudah sedar dan polis sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengambil keterangan daripadanya dengan lebih teliti selain tidak mahu mengganggu proses rawatan mangsa.

Askar cedera tertembak senjata rakan




         
KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera terlepas tembakan selepas senjatanya terhentak dinding pondok pengawal menyebabkan seorang rakan setugasnya cedera di paha kanan dalam kejadian di hadapan pondok pengawal di 6 RRD Kem Wardieburn, Wangsa Maju, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, anggota tentera berusia 26 tahun itu baru tamat tugas dan hendak membuat kawad keluar tugas.


Sumber polis berkata, sebelum membuat kawad keluar tugas, mangsa dikatakan sudah memeriksa keadaan senjatanya jenis Styer dan yakin ketika membuat langkah keselamatan, senjatanya berada di dalam keadaan selamat.

Menurutnya, ketika berkawad, anggota berkenaan terlanggar dinding pondok berkenaan.


“Dengan tiba-tiba letupan berlaku dan peluru dari senjata berkenaan mengenai paha kanan rakan setugas yang berada berdekatan,” katanya.

Panik lihat bos maut ditembak




         
JOHOR BAHRU: “Saya mencuci kusyen kereta di belakang kedai sebelum terdengar bunyi letupan kuat.

“Saya terus ke bahagian depan kedai dan mendapati ‘bos’ tersandar di kerusi di kaunter bayaran dengan kesan tembakan di kepala dan dada,” kata Barath, 30, di sini, semalam.


Majikan Barath, N Sundar, 36, mati ditembak dari jarak dekat pada jam 12.45 tengah hari semalam oleh dua lelaki yang membonceng motosikal Yamaha LC ketika berada di kedainya di Jalan Baiduri 1/2, Taman Baiduri.

Barath kemudiannya membawa Sundar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, namun mangsa disahkan mati akibat kecederaan di kepala dan badan.


Menurut Barath, dia tidak tahu apa perlu dilakukan apabila mendapati majikannya tersandar pada kerusi dengan kesan tembakan.


“Pada masa sama, saya melihat seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh berlari ke arah rakannya yang menunggu di atas Yamaha LC berkenaan sebelum memecut.

“Dengan bantuan rakan, kami mengangkat majikan ke dalam kereta sebelum membawanya ke HSA dengan harapan dia masih dapat diselamatkan,” katanya. Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bersua dengan suaminya ketika Sundar pulang ke rumah di Bukit Indah untuk menghantar anak sulung mereka berusia lima tahun, pagi semalam.


“Setiap hari suami keluar pada jam 8.30 pagi untuk menghantar anak perempuan kami ke Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) sebelum ke tempat kerja dan pulang pada jam 11 pagi. “Selepas menghantar anak ke rumah, suami ke kedai mencuci kenderaan yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu.

“Saya terkejut dengan kejadian kerana suami tidak pernah mengadu dia berdepan masalah atau mempunyai musuh dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSA.


Menurut wanita berusia 30-an itu, selepas berkahwin enam tahun lalu, suaminya menghabiskan sebahagian besar masa untuk mereka sekeluarga.


Katanya, mereka baru dikurniakan anak perempuan berusia lapan bulan dan jika tidak ke tempat kerja, suaminya berada di rumah untuk bermain dengan bayi berkenaan.

RM40,000 lesap, RM3,000 ‘disedut’




         
SHAH ALAM: Terpedaya dengan janji bakal memperoleh keuntungan RM320,000, seorang usahawan wanita dari Seksyen 7, di sini, mendakwa ditipu dan dipukau sekumpulan lelaki mengakibatkan kerugian RM40,000, Ogos lalu.

Tidak cukup setakat itu, ahli perniagaan terbabit, Azizah Che Meh, 29, berdepan pula kehilangan wang kutipan perniagaan lebih RM3,000 dipercayai ‘disedut’ menggunakan sihir selepas kejadian itu hingga dia trauma dan terpaksa mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam.


Azizah ketika ditemui berkata, semua masalah itu berpunca apabila tiga lelaki menghubunginya pada 28 Ogos lalu yang kononnya mahu mendapatkan perkhidmatan katering syarikatnya bagi satu majlis membabitkan kos ratusan ribu ringgit.

“Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Alias datang berjumpa saya di sebuah restoran di Padang Jawa, di sini dan pada pertemuan itu, Alias bersama dua rakannya itu pada mulanya berbincang mengenai perkhidmatan katering itu.


“Selepas itu mereka mula bercerita mengenai penjualan tanah di Meru, Klang yang didakwa boleh mendatangkan keuntungan. Alias meminta saya menjadi ejen kerana tanah itu akan dibeli seorang yang dikenali sebagai Datuk Syed yang bersedia membayar RM920,000 dan mereka akan memperoleh keuntungan RM320,000,” katanya.


Azizah yang memiliki tiga restoran di Seksyen 7, Padang Jawa dan TTDI Jaya, di sini, berkata, pada pertemuan kali kedua di Subang Jaya, dia menyerahkan RM40,000 kepada seorang lelaki didakwa menantu pemilik tanah berkenaan selepas dipujuk Alias.

Menurutnya, dia kemudian diberikan satu dokumen surat kuasa bagi urusan penjualan tanah itu manakala Alias pula meyakinkannya sebahagian lagi wang yang perlu dibayar kepada pemilik asal tanah sudah dijelaskannya.


Katanya, dia langsung tidak merasa apa-apa, tetapi hanya keesokannya selepas Subuh, baru dia berasa tidak sedap hati dan membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Selepas diperiksa, dua nama dalam surat kuasa itu memang wujud, tetapi nombor kad pengenalan palsu. Lebih menyedihkan, pemeriksaan terhadap tiga nombor telefon yang menghubungi saya juga semuanya menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, baru-baru ini.

Suami ghaib, kereta tersadai tepi sungai




         
MELAKA: Kehilangan seorang pekerja kontrak yang keluar dari rumahnya sejak kelmarin untuk memancing menimbulkan misteri apabila Proton Iswara miliknya ditemui dalam keadaan mencurigakan di tebing sungai itu, semalam.

Difahamkan, mangsa, Abd Ghani Abdullah, 52, keluar dari rumahnya di Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak, di sini, jam 6.45 petang kelmarin dan gagal dihubungi isterinya, Asia Abdullah, 48, sejam selepas itu.


Malah, kehilangan mangsa hanya disedari selepas seorang penjual nanas, Wan Suhaimi Wan Zahid, 29, menemui kereta mangsa di tebing sungai dengan kedua-dua pintu depan terbuka dan kunci masih berada dalam kenderaan itu.

Menurut Asia, sebelum kejadian, suaminya memaklumkan mahu memancing di sungai bersama rakan yang dikenali sebagai Arab yang juga pengawal keselamatan di Semabok.


Katanya, Abd Ghani yang tidak suka memancing dan tidak tahu berenang hanya membawa satu joran ketika keluar rumah selepas minum petang bersamanya.


“Kami sempat minum kopi dan makan biskut bersama sebelum dia memaklumkan mahu keluar memancing dan membawa satu joran.

“Ketika di depan pintu, suami sempat berkata dia tidak akan balik jika tidak mendapat ikan dan bertanya sama ada terdapat orang memancing pada waktu petang seperti semalam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.


Menurutnya, dia gelisah apabila gagal menghubungi telefon bimbit suaminya sejam selepas bapa kepada empat anak berusia antara 15 hingga 18 tahun itu keluar dari rumah.

Katanya, dia tidak lena tidur apabila cubaannya menghubungi suami setiap sejam juga gagal hingga pagi semalam.


“Saya tidak sedap hati dan menyangka perkara buruk berlaku sejak tidak dapat menghubunginya, malah sempat memaklumkan kepada anak yang ayah mereka tidak pulang sejak semalam (kelmarin).


“Sangkaan saya tepat apabila kira-kira jam 9.30 pagi tadi (semalam), anggota polis datang ke rumah dan memaklumkan kereta suami dijumpai di tebing sungai ini (Sungai Malim),” katanya.


Menurutnya, polis mengetahui alamat kediamannya selepas menemui buku latihan sekolah milik anak sulungnya, Siti Nabilah, 18, yang sedang menghadapi peperiksaan akhir tahun tingkatan enam rendah dalam kereta yang tertera alamat rumah.


Sementara itu, Wan Suhaimi berkata, dia yang pulang dari kerja melalui kawasan itu jam 7 pagi dari Batu Berendam untuk ke rumahnya di Tanjung Kling dan terkejut melihat keadaan kereta milik Abd Ghani.


“Saya memberhentikan motosikal selepas curiga dengan keadaan kereta yang berada di tebing sungai dan kedua-dua pintu depan dibuka serta kunci masih berada di dalam. Malah, ini kali pertama melihat kenderaan itu di sini, kerana saya kenal mana-mana kenderaan kaki pancing di kawasan ini,” katanya.


“Sangsi dengan keadaan itu saya melakukan pemeriksaan dan hanya temui selipar dan dua payung masing-masing satu dipacakkan tidak jauh dari kereta dan satu lagi terbuka berada di sebelah kenderaan ini,” katanya.


Menurutnya, dia turut cuba mencari mangsa di gigi air tetapi gagal sebelum memaklumkan kejadian kepada petugas di tali air berkenaan yang kemudian menghubungi polis.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Lokman Hakim Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis jam 11.19 pagi.


Katanya, lapan anggota unit skuba dihantar dan tiba ke lokasi jam 11.33 pagi sebelum memulakan operasi mencari di dalam sungai tujuh minit kemudian.


“Sehingga kini operasi membabitkan 36 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Penjaja tak mengaku tipu tapak bazar Ramadan




         
KUALA LUMPUR: Seorang penjaja jam tangan di kaki lima, Jalan Masjid India di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu sepasang suami isteri dalam urusan penjualan tapak bazar Ramadan membabitkan nilai RM28,000, empat bulan lalu.

Shahurin Mohd, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.


Dia yang hadir ditemani dua anaknya itu didakwa menipu Nor Azlizan Ali, 28, dan Mohd Zaidi Mohd Yasin, 30, dengan menyatakan tapak VIP bazar Ramadan di petak 31, Jalan Masjid India itu boleh dijualkan kepada mereka sedangkan dia tahu petak bazar itu milik seorang peniaga, Roslan Dahaman, 57, yang diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tertuduh juga mempunyai pengetahuan DBKL tidak membenarkan petak bazar yang menjadi milik Roslan itu dijual kepada orang lain.


Perbuatan tertuduh itu mendorong Nor Azlizan dan Mohd Zaidi menyerahkan RM3,000 sebagai wang pendahuluan dan membayar RM25,000 untuk membeli petak bazar terbabit, yang mana pasangan suami isteri itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tahu mereka diperdaya.


Ia dilakukan tertuduh di Restoran ABC, No 1015, Jalan Medan Bunus, Jalan Masjid India di sini, pada jam 5.40 petang, 15 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terpedaya janji kahwin



         
KUALA LUMPUR: Demi cinta, seorang wanita yang terpedaya dengan janji bakal dikahwini bulan depan kerugian lebih RM60,000 apabila diperdaya teman lelakinya yang dikenalinya melalui laman sosial sejak beberapa bulan lalu.

Mangsa yang berusia 30 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada penghujung April lalu dan sehingga awal bulan ini, mangsa sudah memohon tujuh pinjaman peribadi daripada pelbagai bank untuk mendapatkan wang sebelum diserahkan kepada teman lelakinya itu. Sumber polis berkata, selain wang tunai, mangsa turut dinodai lelaki berkenaan manakala kad mesin pengeluaran wang (ATM) miliknya turut disimpan lelaki terbabit untuk tujuan peribadi.


Menurutnya, mangsa dan teman lelakinya bercadang berkahwin bulan depan menyebabkan mangsa mempercayai lelaki itu walaupun baru berkenalan.

Berikutan itu, mangsa mengikut segala permintaan teman lelakinya itu termasuk memintanya meminjamkan wang yang kononnya untuk dijadikan modal untuk menjalankan perniagaan selain bagi perbelanjaan perkahwinan mereka.


“Akibat terlalu cintakan teman lelakinya itu, mangsa membuat tujuh pinjaman peribadi lebih RM50,000 dan semua wang itu diserahkan kepada lelaki terbabit. “Mangsa turut menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM11,000 dan kad ATM beserta kata laluan untuk akaun perbankan onlinenya,” katanya. Sumber itu berkata, teman lelaki mangsa mula menghilangkan diri awal bulan ini dan selepas segala usaha menjejaknya gagal, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.

RM1.35j lesap



         
MARUDI: Sekumpulan perompak mengambil masa tiga minit melarikan RM1.35 juta wang tunai yang sepatutnya digunakan untuk bayaran gaji pekerja syarikat kontraktor memasang paip gas dalam rompakan nekad di Jalan Beluru-Lapok, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 3.10 petang ketika empat pekerja syarikat pemasangan paip berkenaan yang menaiki Toyata Hilux membawa beg berisi wang tunai itu menuju ke tapak pembinaan di Kem 5 Long Bedian dan Lapok, dekat sini, untuk membayar gaji pekerja.
Ketua Polis Daerah Marudi/Baram, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokhtar berkata, ketika di Jalan Beluru-Lapok iaitu tujuh kilometer dari simpang menuju ke tapak pembinaan terbabit, satu lagi pikap Toyota Hilux menghimpit kenderaan mereka.

“Ketika itu hujan lebat menyebabkan mangsa tidak mampu melarikan diri dan terpaksa memberhentikan kenderaan. Sejurus kemudian tujuh hingga lapan lelaki keluar daripada kenderaan mereka sambil memegang dua senapang patah, kayu dan parang.


“Semua perompak itu memakai topeng dan seorang daripada mereka memecah cermin tingkap pikap mangsa sebelum mengambil RM1.35 juta wang lalu memecut laju kenderaan mereka.

Tiga bulan RM3j



         

INI DIA...Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias (tengah) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek kes pecah rumah, semalam.
SERDANG: Baru tiga bulan bergiat aktif, sekumpulan penyamun mampu mengaut keuntungan kira-kira RM3 juta hanya dengan menyamun 11 kediaman di sekitar daerah Serdang sejak Ogos lalu.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun akhirnya tumpas apabila polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun selepas terserempak dengan mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10 malam di Jalan Bandar 3, di Puchong, dekat sini, Khamis lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dua lelaki terbabit menaiki sebuah kereta Proton Wira dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Dua suspek terbabit bagaimanapun enggan memberhentikan kereta walaupun diarah, sebaliknya terus memecut ke arah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebelum dipintas kereta peronda polis.


“Berlaku sedikit pergelutan antara anggota dan suspek terbabit, namun mereka berjaya diberkas,” katanya.


Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, lima lagi suspek termasuk tiga wanita warga asing iaitu dua warga Thailand dan seorang Indonesia ditahan di sebuah kondominium di Jalan Putra Mas, Kuala Lumpur, kira-kira jam 6.30 pagi.

Katanya, hasil tangkapan kedua, pihaknya membuat serbuan ketiga di sebuah hotel di Off Jalan Klang Lama, di Puchong dan berjaya menahan tiga lelaki kira-kira jam 1 pagi, Sabtu lalu.


“Semua yang ditahan berusia antara 22 dan 45 tahun serta mempunyai rekod jenayah lampau bersabit pelbagai kes antaranya samun, pecah rumah dan dadah.

“Turut ditahan, seorang lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pembeli barangan yang disamun kumpulan berkenaan di sebuah kedai membaiki televisyen di Puchong Jaya, dekat sini, kelmarin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam.

Warga Thai mengaku bersalah seludup sumbu badak JOHANNESBURG: Seorang lelaki warga Thailand mengaku bersalah menyeludup sumbu badak dari Afrika Selatan dalam satu kes dimana pelacur yang menyamar sebagai pemburu diguna untuk menyembunyi kegiatan rangkaian penyeludupan antarabangsa. Chumlong Lemtongthai mungkin akan dipenjara lebih 10 tahun dalam satu perjanjian rayuan. Penyiasat menganggap ia satu dakwaan penting dalam usaha untuk menyelamatkan badak di mana sumbunya lebih berharga dari emas di beberapa tempat di Asia Tenggara. Chumlong mengambil kesempatan di mana warga asing dibenarkan memburu badak di Afrika Selatan dan menghantar sumbunya ke luar negara sebagai trofi, dengan mengupah pelacur Thailand untuk berpura-pura memburu badak. Menurut afidavit yang dibaca di mahkamah, pelacur wanita diberi kira-kira AS$800 (RM 2,450) setiap seorang untuk pergi ke tempat memburu, menembak menggunakan raifal dan bergaya di sebelah badak yang ditembak oleh orang lain. “Pemburu itu sebagai helah di mana kami mengeksport sumbu badak untuk dijual bukan sebagai piala,” kata Chumlong dalam satu kenyataan kepada mahkamah di sini. “Saya meminta maaf kepada mahkamah dan rakyat Afrika Selatan atas peranan saya dalam perkara ini,” katanya. Pendakwa raya berkata, Chumlong adalah orang penting dalam rangkaian itu di mana ia turut melibatkan pemilik kawasan perburuan swasta dan penjual anggota badan haiwan di Laos yang membina empayar perniagaan menjual sumbu badak pada harga AS$65,000 (RM198,997) sekilogram di Asia untuk digunakan sebagai ubat. Antara Oktober 2010 dan Mei 2011, Chumlong mengatur pemburuan berlesen di mana kira-kira 20 ekor badak dibunuh di kawasan rizab perburuan persendirian di Marnus Steyl, Afrika Selatan. - Reuters



         
WARSAW: Sebuah syarikat membuat keranda di sini mencetuskan kemarahan pihak gereja apabila cuba meningkatkan perniagaan dengan kalendar yang mempamerkan wanita separuh bogel di sebelah keranda buatannya.

Satu imej daripada kalendar edisi 2013 menunjukkan model yang hanya berseluar dalam kecil bersandar pada keranda dengan seekor ular melilit lehernya. Satu lagi gambar menunjukkan seorang wanita memakai korset menarik jantung lelaki yang terbaring di dalam keranda.


“Anak saya mendapat ilham untuk menerbitkan kalendar syarikat yang menunjukkan sesuatu yang kurang serious, berwarna-warni, mempamerkan kejelitaan gadis Poland dan kecantikan keranda kami. “Kami ingin menunjukkan bahawa keranda bukanlah simbol keagamaan. Mengapa orang ramai perlu takut dengan keranda dan bukan perniagaan pakaian, kosmetik atau barang kemas?” kata pemilik syarikat, Zbigniew Lindner.

Selain menjadi publisiti syarikat, kalendar itu juga ialah untuk dijadikan sumber pendapatan.


Sesiapa yang memesannya akan menerima hadiah pemegang kunci berbentuk keranda.


Gereja Katolik mengecam syarikat berkenaan dengan menyifatkan kalendar itu sebagai tidak sesuai.

Seorang jurucakap gereja berkata, kematian manusia perlu dipenuhi kemuraman, bukan dicampur dengan seks.


Gereja Katolik dan ajaran agama itu menjadi ikutan rakyat Poland sejak sekian lama. Bagaimanapun, perubahan dalam kehidupan masyarakat mencabar kepercayaan terhadap agama itu. - AFP

Kalendar lucah untuk promosi keranda dikecam



         
WARSAW: Sebuah syarikat membuat keranda di sini mencetuskan kemarahan pihak gereja apabila cuba meningkatkan perniagaan dengan kalendar yang mempamerkan wanita separuh bogel di sebelah keranda buatannya.

Satu imej daripada kalendar edisi 2013 menunjukkan model yang hanya berseluar dalam kecil bersandar pada keranda dengan seekor ular melilit lehernya. Satu lagi gambar menunjukkan seorang wanita memakai korset menarik jantung lelaki yang terbaring di dalam keranda.


“Anak saya mendapat ilham untuk menerbitkan kalendar syarikat yang menunjukkan sesuatu yang kurang serious, berwarna-warni, mempamerkan kejelitaan gadis Poland dan kecantikan keranda kami. “Kami ingin menunjukkan bahawa keranda bukanlah simbol keagamaan. Mengapa orang ramai perlu takut dengan keranda dan bukan perniagaan pakaian, kosmetik atau barang kemas?” kata pemilik syarikat, Zbigniew Lindner.

Selain menjadi publisiti syarikat, kalendar itu juga ialah untuk dijadikan sumber pendapatan.


Sesiapa yang memesannya akan menerima hadiah pemegang kunci berbentuk keranda.


Gereja Katolik mengecam syarikat berkenaan dengan menyifatkan kalendar itu sebagai tidak sesuai.

Seorang jurucakap gereja berkata, kematian manusia perlu dipenuhi kemuraman, bukan dicampur dengan seks.


Gereja Katolik dan ajaran agama itu menjadi ikutan rakyat Poland sejak sekian lama. Bagaimanapun, perubahan dalam kehidupan masyarakat mencabar kepercayaan terhadap agama itu. - AFP

7 kru program TV nyaris maut dirempuh MPV



         
PETALING JAYA: Tujuh kakitangan Media Prima Berhad hampir maut apabila van dinaiki mereka terbalik akibat dirempuh sebuah kenderaan serba guna (MPV) di simpang tiga Persiaran Bandar Utama, di sini pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 8.30 pagi itu, tiga daripada tujuh kru program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) berkenaan masing-masing patah kaki, patah pinggang dan hidung.


Ketika kejadian, semua krew terbabit baru saja keluar dari Sri Pentas menuju Lapangan Terbang Subang untuk ke Langkawi bagi menjalankan penggambaran.

Hilang sebulan dah dapat bayi

UMAR ALI...terima laporan
UMAR ALI...terima laporan
ALOR GAJAH: Luluh hati seorang ibu apabila anak gadisnya yang hilang dari rumah awal Oktober lalu dan sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula kelmarin, sudah melahirkan seorang bayi perempuan ketika ditemui malam kelmarin.
Menurut sumber, pelajar berusia 17 tahun itu dilaporkan keluar dari rumah keluarganya, di sini bersama teman lelaki ketika ahli keluarganya tiada di rumah dan kehilangannya disedari sejurus ibunya pulang kira-kira jam 7 malam.
“Sejak hari kejadian, ibunya gagal menjejak gadis itu namun malam tadi (kelmarin) selepas kira-kira sebulan, wanita itu menerima panggilan telefon daripada remaja terbabit yang memberitahu dia berada di sebuah rumah sewa di Johor.

“Gadis itu juga memaklumkan sejak keluar dari rumah keluarganya, dia tinggal di rumah itu bersama teman lelakinya berusia 37 tahun yang dikenalinya melalui laman sosial di Internet,” katanya.


Menurutnya, keluarga gadis itu segera ke alamat diberikan namun sebaik tiba di situ, mereka terkejut apabila mendapati pelajar berkenaan sedang menggendong seorang bayi perempuan.

Lanyak sampai koma

TUTUP...suspek dikawal ketat memasuki kereta selepas direman.
TUTUP...suspek dikawal ketat memasuki kereta selepas direman.
PARAH...mangsa koma dibelasah.
PARAH...mangsa koma dibelasah.
KUCHING: Dua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, direman tiga hari bermula semalam kerana disyaki membelasah seorang tahanan sehingga koma dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan otak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan kesalahan dan memberi jaminan kes itu akan disiasat secara terperinci.
“Polis tidak akan menyembunyikan sebarang kesalahan dilakukan anggota dan pegawai, bahkan mereka akan didakwa seperti orang awam,” katanya sambil menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, tahanan terbabit mengalami pendarahan dalam otak dipercayai ditumbuk pegawai polis berkenaan yang berang ketika proses soal siasat, Ahad lalu.


Majistret Zulhairil Sulaiman membenarkan kedua-dua pegawai berpangkat inspektor itu direman tiga hari bermula semalam untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Pasangan kesal bunuh anak




         
KHOI RATTA (Pakistan): Pasangan yang membunuh anak perempuan mereka, sedih dan menyesal atas perbuatan mereka yang didakwa untuk melindungi “maruah” keluarga mereka.

Mereka mencurah asid ke tubuh Anusha yang berusia 15 tahun di rumah mereka, minggu lalu selepas mendapai Anusha memandang remaja lelaki.
Anusha meninggal dunia dua hari kemudian selepas tubuhnyai 70 peratus melecur.

Serangan demi “maruah” biasa berlaku di kalangan rakyat Pakistan yang konservatif. Aktivis kanan berkata, lebih 900 wanita dibunuh tahun lalu kerana dituduh memalukan keluarga.


Kedua ibu bapa Anusha telah ditahan.


Ibu Anusha, Zaheen Akhtar, 42, yang dalam tahanan polis di sini, kira-kira 140 kilometer dari Muzaffarabat berkata, dia bimbang masa hadapan anaknya yang lain.

“Saya sangat menyesal dengan tindakan saya. Saya bertaubat dan sepatutnya tidak berbuat demikian. Anusha tidak bersalah. Saya rasa seperti telah membunuh semua lapan anak saya,” katanya.

Katanya, semua anaknya termasuk empat prempuan dan dua lelaki, berusia di bawah 10 tahun dan ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan sesiapa.

“Mereka tidak punya sesiapa kecuali Allah untuk menjaga mereka,” katanya.

Akhtar berkata, dia dan suaminya, Mohammad Zafar takut Anusha akan mengekori langkah kakaknya yang dikahwinkan pada usia 16 tahun “kerana orang ramai bercerita mengenai perangai buruknya” dan memutuskan hubungan keluarga selepas berpindah ke Karachi bersama suaminya.

Zafar, pengecat rumah berusia 53 tahun berkata, dia menarik Anusha ke dalam rumah untuk memukulnya selepas mendapati dia memandang dua remaja lelaki di luar, tetapi kini dia menyesal dengan kejadian itu.

“Ibu Anusha tidak sepatutnya berbuat begitu. Saya tidak boleh tidur dan setiap kali saya pejamkan mata, saya nampak muka Anusha yang melecur.”

Zafar berkata, ereka menunggu dua hari untuk menghantar Anusha ke hospital kerana tidak mampu sehinggalah seorang doktor tempatan memberikan mereka wang. - AFP

Kastam Indonesia rampas 60 pasport palsu



         
TANGERANG: Pegawai Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, merampas 60 pasport palsu yang dihantar melalui syarikat perkhidmatan perhantaran dari Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Kastam, Oza Olivia semalam berkata, buku pasport disembunyi dalam dua bungkusan kasut dan pakaian wanita yang dilaporkan untuk kegunaan persendirian.
“Bungkusan itu dihantar oleh orang yang sama kepada dua penerima berasingan, seorang di Duren Sawit, Jakarta Timur dan seorang di Gunung Putri di Bogor, Jawa Barat,” katanya.

Jenayah itu melanggar Undang-Undang Imigresen 2011 yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda Rp200 juta (RM63,746) - JP

Tembak mati rakan disangka babi hutan




         
BANGKOK: Seorang lelaki mabuk dikatakan tertembak rakannya hingga mati kerana menyangka dia seekor babi hutan ketika pulang dalam gelap selepas mencari ketam di utara wilayah Phayao.

Puan Maneewan ditembak di perut oleh rakannya,Somkuan Promson, 48.
Somkuan memberitahu polis mereka berdua mabuk ketika keluar mencari ketam.

Katanya dia mencari rakannya itu apabila terlihat sesuatu yang disangka babi hutan dan menembak dengan senapang patah secara tidak sengaja.


Somkuan berkata, dia mengheret rakannya itu dan cuba memberi pertolongan cemas tetapi sudah terlambat.


Somkuan didakwa membunuh, membawa senjata api di tempat awam tanpa sebab munasabah dan menyimpan senjata dan peluru secara haram. - BP

Mayat dalam kolam buaya


       
MANILA: Mayat seorang lelaki yang hampir separuh badan dibaham buaya air masin ditemui di ladang ternak haiwan reptilia itu semalam.

Pegawai polis Lowell Neniza berkata, pekerja ladang itu menemui mayat mangsa berusia 57 tahun di dalam kolam buaya yang boleh membesar sehingga 4.3 meter.
Lowell berkata, pihak berkuasa tidak tahu bagaimana mangsa, seorang penganggur bernama Sorbelo Sajona dapat masuk ke ladang persendirian itu.

Tiada tanda lain ditubuh mangsa dan pihak polis masih belum dapat memastikan secara rasmi sama ada mangsa maut akibat dibaham buaya, katanya.


“Tiada bukti perbuatan khianat, tetapi pengawal keselamatan di ladang itu memberitahu kami, mereka tidak tahu bagaimana mangsa masuk ke kolam,” katanya.


Sorbelo tinggal di sebuah kampung terletak kira-kira lima kilometer dari ladang ternakan buaya itu.

Kali terakhir dia dilihat sehari sebelum kejadian itu dalam keadaan mabuk di kawasan perkuburan tempatan, melawat kubur saudara maranya seperti penduduk lain sempena Hari Memperingati Santo.

Terdapat 2,800 ekor buaya air masin di ladang itu yang mengeksport kulit dan daging buaya ke restoran tempatan. Ia terletak di pekan pedalaman Santo Tomas, di selatan Mindanao. - MT

Lelaki diarah bayar bekas isteri RM19 juta



 
London: Seorang ahli perniagaan Arab Saudi diarah membayar £4 juta (RM19 juta) dan £150,000 (RM734,623) setahun bagi tempoh sepanjang hayat kepada bekas isterinya selepas hakim mendapati wanita berkenaan layak meneruskan kehidupan mewah selepas bercerai.

Wanita terbabit, 45, yang juga dilahirkan di Arab Saudi, mengalami masalah kemurungan teruk, menyembunyikan diri dari dunia luar dan tinggal di kediamannya bernilai £2.5 juta (RM12.25 juta) bersama kucingnya.
Beliau menuntut bayaran sebanyak £7 juta (RM34.3 juta) tetapi bekas suaminya, yang digambarkan sebagai kaki perempuan ketika muda, berkata beliau tidak mampu membayar jumlah itu dan tidak sepatutnya diarahkan berbuat demikian.

Tawar beri kediaman

Lelaki berusia 48 tahun berkata beliau tidak sepatutnya dipaksa terbabit dalam prosiding mahkamah negara asing tetapi menawarkan untuk memberikan kediaman di London berharga £2.5 juta kepada isterinya dan £1.5 juta (RM7.35 juta) tunai selain membayar sebanyak £10,000 (RM49,000) sebulan untuk meneruskan hidup.

Hakim bersetuju dengan bayaran sekali gus berjumlah £4 juta tetapi menaikkan elaun kepada £150,000 setahun untuk perbelanjaan wanita berkenaan termasuk membeli pakaian, melakukan rawatan kecantikan, membayar pembantu rumah dan menjaga haiwan peliharaan.

Menganggarkan pendapatan tahunan lelaki berkenaan melebihi £500,000 (RM2.4 juta), hakim berkata pendedahan mengenai masalah kewangannya adalah menyedihkan dan menuduh beliau menggunakan wang sebagai bentuk senjata dalam perceraian. - Agensi

Hukuman penjara Shu-chen ditambah


Wu meninggalkan hospital di Panchiao, utara Taiwan lokasi suaminya ditahan.  Mahkamah Tinggi negara itu menambah  hukuman penjara ke atas Wu selama 14 bulan lagi, kepada 19 tahun dua bulan.Wu meninggalkan hospital di Panchiao, utara Taiwan lokasi suaminya ditahan. Mahkamah Tinggi negara itu menambah hukuman penjara ke atas Wu selama 14 bulan lagi, kepada 19 tahun dua bulan.Taipei: Mahkamah tinggi Taiwan melanjutkan tempoh penjara ke atas isteri bekas Presiden Chen Shui-bian selama 14 bulan lagi berikutan sabitan atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, kata pegawai semalam.

Wu Shu-chen sudah pun dijatuhkan hukuman 18 tahun penjara atas empat sabitan termasuk rasuah dan sumpah bohong, ketika didapati bersalah mengambil rasuah dan pengubahan wang haram dalam keputusan yang dikeluarkan Julai lalu.
Sabitan terbaru kini membawa kepada lanjutan tempoh penjara ke atas wanita berusia 59 tahun itu kepada 19 tahun dua bulan.


Masalah kesihatan

Wu, yang menggunakan kerusi roda dan lumpuh daripada pinggang ke bawah, terlepas daripada menjalani hukumannya kerana masalah kesihatan.

Suaminya menjalani hukuman 18 tahun enam bulan penjara kerana sabitan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes rasuah. Bekas pemimpin itu juga dilanjutkan awal bulan ini daripada 17 tahun enam bulan.

Chen, 62, ditahan pada November 2008, tidak sampai enam bulan selepas meninggalkan jawatan itu, atas dakwaan rasuah sejak beliau menjadi presiden selama dua penggal antara tahun 2000 dan 2008.
Beliau dan keluarganya dituduh melakukan pengubahan wang haram berjumlah jutaan dolar dengan menghantar sumbangan politik dan diplomatik sulit ke luar negara dan mengambil sogokan kontrak kerajaan.

Chen menegaskan tindakan undang-undang ke atasnya adalah pembalasan dendam oleh kerajaan yang mesra Beijing bagi membalas tindakannya mempromosikan pembebasan Taiwan dari China selama lapan tahun sebagai presiden. Tuduhan itu dinafikan kerajaan. - AFP

Yaman rampas senjata dalam kotak biskut



2012/11/07 - 06:18:28 AM Cetak Emel Kawan
 
Sana’a: Pihak berkuasa Yaman merampas sebuah kargo yang membawa senjata api dari Turki dalam kejadian di pelabuhan selatan Aden, kata halaman web kementerian pertahanan.

Laporan yang memetik sumber keselamatan itu berkata bahawa senjata api terbabit ditemui dalam kotak biskut dan dimasukkan dalam kargo dari Turki.
Satu siasatan membawa kepada penemuan senjata yang disifatkan boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan Yaman, kata kementerian terbabit tanpa mengenal pasti sama ada penghantar atau penerima kargo terbabit.

Mangsa perang

Ia menjadi mangsa kepada serangan di timur dan selatan yang menyalahkan Al Qaeda di Semenanjung Arab atau AQAP yang menjadi semakin kerap berikutan kebangkitan popular 2011 yang membawa kepada pengusiran Ali Abdullah Saleh.

Menteri minyak Yaman, Ahmad Dares berkata, saluran gas yang menyalurkan gas cecair asli (LNG) Yaman melalui terminal eksport akan mengambil masa seminggu untuk diperbaiki berikutan serangan minggu lalu.

Saluran gas 320 kilometer yang menghubungkan blok 18 ke terminal Belhaf di Teluk Aden diserang pada 31 Oktober lalu.
Ambil langkah serius

“Kerajaan mengambil langkah serius untuk menyelamatkan pemasangan minyak dan menghalang serangan di masa depan,” kata Dares.

Saluran gas dan minyak Yaman menjadi mangsa sabotaj berulang kali sejak bantahan anti kerajaan tahun lalu yang membawa kepada vakum kuasa yang dieksploitasi kumpulan bersenjata, menyebabkan kekurangan bekalan dan pendapatan eksport di negara miskin itu. - Agensi

Taufan baru ancam New York, New Jersey


Penduduk  meneliti  pakaian yang didermakan  orang ramai di sebuah tempat letak kereta bagi mangsa taufan Sandy di Rockaway, kawasan Queens, New York, kelmarin.Penduduk meneliti pakaian yang didermakan orang ramai di sebuah tempat letak kereta bagi mangsa taufan Sandy di Rockaway, kawasan Queens, New York, kelmarin.New Jersey: Taufan baru diberi nama Nor’easter yang dijangka melanda timur Amerika Syarikat diramal menjejaskan usaha pemulihan daripada kesan dibadai Sandy lebih seminggu lalu.

Petanda awal ialah hujan akan mula turun hari ini sebelum menjadi semakin lebat, kata pakar meteorologi.
Keadaan dilaporkan menjadi semakin teruk kerana suhu terus panas, perkembangan tidak baik kepada 1.2 juta penduduk yang belum mendapat semula bekalan elektrik.


Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan melaporkan Nor’easter sebagai sistem angin tekanan rendah disusuli ribut yang menyasarkan kawasan pantai Jersey Shore.

Mereka berkata, ada kemungkinan hakisan berlaku dan kawasan berhampiran pantai boleh dinaiki air.

Dalam keadaan lain, keadaan itu tidak mungkin memberi masalah tetapi ia bukan berita baik selepas ribut Sandy baru berlalu, kata Gabenor New York, Andrew Cuomo.

“Ribut baru memberi kesan kepada kawasan yang teruk terjejas kerana Sandy,” kata ketua peramal cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Bruce Terry.
Timbang berpindah

Ada juga kumpulan penduduk tertentu menimbang untuk berpindah selepas kediaman mereka dibadai Sandy meskipun sudah dibenar pulang.

Lebih 100 orang maut angkara Sandy selain menyebabkan kerugian dianggarkan AS$50 bilion (RM150 bilion).

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg membatalkan rancangan memindahkan penduduk sekali lagi.

“Ribut ini berbeza. Angin ribut ini datang dari arah berbeza,” katanya sambil mengakui tidak tahu sama ada penduduk bersedia menghadapi ancaman baru itu.

Pakar meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Joe Pollina menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

Setiausaha Keselamatan Jabatan Dalam Negeri, Janet Napolitano menggesa penduduk memandang serius ancaman baru.

“Semua yang mereka lakukan ketika Sandy perlu dibuat kerana Nor'easter. ada penduduk tidak mahu tinggalkan rumah,” katanya. - Agensi

Pencuri larikan kereta bersama kanak-kanak



 
Sibu: Kecuaian seorang bapa meninggalkan anaknya di dalam sebuah kenderaan dengan enjin masih dihidupkan, nyaris menyebabkan kanak-kanak berkenaan diculik.

Kereta lesap dilarikan
Lelaki terbabit dikatakan berbuat demikian kerana mahu berjumpa saudaranya di sebuah rumah berdekatan Pasaraya Sing Swong, Salim, dekat sini, kira-kira jam 8 malam kelmarin, tetapi dalam tempoh tiga hingga empat minit, Toyota Wish miliknya lesap dilarikan bersama anak lelakinya yang berusia enam tahun.

Dia sebelum itu dilaporkan meletakkan kereta di tepi jalan sebelum keluar dan berjalan memasuki kawasan rumah saudaranya.

Pada masa sama, sebuah lagi Toyota Wish berhenti di sebelah kenderaan terbabit dan seorang lelaki keluar lalu membuka pintu kenderaan dan melarikan kereta mangsa.

Kanak-kanak dilepaskan

Bagaimanapun, selepas memecut kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, kanak-kanak berkenaan dilepaskan sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafiee Ismail, berkata lelaki terbabit mendakwa hanya meninggalkan anaknya tidak sampai empat minit.

“Bagi polis, tempoh itu cukup lama untuk memberi peluang kepada penjenayah,” katanya sambil menambah kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, namun trauma kerana terkejut dengan kejadian berkenaan.

Buru dalang kejadian

Katanya, polis sedang memburu dalang kejadian yang dipercayai anggota sindiket curi kereta mewah di bandar ini dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Wang gaji RM1.35j dirompak


Marudi: Dalam tempoh tiga minit, sebuah syarikat pembinaan rugi RM1.35 juta selepas wang gaji pekerja mereka dirompak di Jalan Beluru-Lapok, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 petang itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki empat kakitangan syarikat dihimpit kenderaan jenis sama dinaiki lapan suspek lelaki menyebabkan mereka terpaksa berhenti.
Perompak yang bersenjatakan dua senapang patah, parang dan kayu kemudian memecahkan cermin sisi sebelum merampas dua beg berisi wang tunai yang dibawa dari Miri.


Jalan lengang

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokhtar, berkata ketika kejadian jalan lengang berikutan hujan dan perompak dipercayai melakukan perancangan rapi serta mengetahui jadual kakitangan syarikat pemasangan paip gas milik PETRONAS.

“Suspek yang bertopeng dan bertindak agresif kemudian memecut meninggalkan lokasi kejadian menghala balik ke Beluru bersama wang rompakan.

“Berdasarkan maklumat, wang berkenaan adalah bagi membayar gaji pekerja yang terbabit dalam pemasangan paip gas di Kem 5, Long Bedian, dan Kem 6, Lapok,” katanya ketika dihubungi.
Kakitangan syarikat itu dilaporkan tidak cedera dan diarahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi bagi memberi kenyataan.

Difahamkan, syarikat pembinaan itu terbabit dalam kerja pemasangan projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) milik PETRONAS yang bernilai kira-kira RM4.6 bilion.

Buru suspek

Abu Bakar berkata, berikutan itu pihaknya dalam usaha memburu suspek termasuk mendapatkan bantuan IPD Bintulu dan Miri bagi melakukan sekatan jalan raya.

“Kakitangan syarikat memaklumkan mereka terlalu panik ketika diserang dan tidak sempat berbuat apa-apa selain perompak mengancam melepaskan tembakan.
Kita sedang melakukan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan percaya suspek masih berada di dalam negeri ini,” katanya.

Maut disambar petir selepas kebumi mayat

Seorang pekerja tanah perkuburan menunjukkan tempat kejadian mangsa disambar petir di Taman Century di sini, semalam.Seorang pekerja tanah perkuburan menunjukkan tempat kejadian mangsa disambar petir di Taman Century di sini, semalam.Penampang: Seorang pengurus mayat, maut disambar petir ketika berlindung di sebuah pondok selepas melakukan kerja pengebumian di tanah perkuburan di Taman Century di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Daniel Rodie, 34, dari Kampung Nagapas di sini, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi ahli keluarga mayat yang dikebumikan di situ, turut cedera.
Difahamkan, kejadian ketika hujan renyai-renyai itu berlaku sejurus selepas mangsa menjawab panggilan telefon ketika berteduh di pondok terbabit.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 4.25 petang.

Seorang lagi ahli keluarga turut cedera


“Sepasukan anggota kemudian ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki dipercayai pengurus mayat mati disambar petir.

“Seorang lagi lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang juga ahli keluarga mendiang yang dikebumikan di situ turut cedera dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Jauteh berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke QEH 1 untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk proses pengebumian.

Kanak-kanak mati dibaham anjing liar



PITTSBURGH - Seorang budak lelaki berumur dua tahun maut dibaham sekawan anjing liar Afrika selepas mangsa terjatuh ke dalam sebuah kandang di Zoo dan Akuarium Pittsburgh, Amerika Syarikat, kelmarin.

Pegawai polis berkata, pihaknya bersama sekumpulan penjaga zoo terpaksa menembak ubat pelali dan beberapa das peluru hidup berikutan gagal meleraikan 11 anjing yang membaham mangsa.

Leftenan Kevin Kraus berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mangsa maut disebabkan terjatuh dari ketinggian 3.35 meter atau akibat serangan itu.

Susulan insiden tersebut, pihak pengurusan zoo diarah menutup kawasan tersebut sebelum ia dibuka semula tidak lama selepas itu.  - MailOnline

Usahawan cacing didakwa tawar saham tanpa kebenaran







6 November 2012




KUANTAN - Seorang usahawan cacing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan kepentingan skim pajakan cacing tanpa kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 1965.

Nazri Mamat, 38, dari Kampung Pandan 1, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu dengan menawarkan kepada orang awam membeli kepentingan skim pajakan cacing tanpa surat ikatan yang sah daripada SSM di antara 8 Mei 2008 hingga 22 April 2009 di premis miliknya, Syarikat Restu Rimbunan Rahmat Sdn Bhd di Lot A 4722, Jalan Lapangan Terbang, Kampung Pandan 1, Kuantan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94(1)(a) akta sama yang memperuntuk hukuman penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Dis sebagai tarikh bicara kes berkenaan.

Beliau juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SSM, Lidia Fyrulliza Ishak.

Isteri tertuduh membayar wang jaminan itu. - Bernama



Panggilan bom palsu ganggu prosiding mahkamah




6 November 2012
SHAH ALAM - Prosiding di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini terganggu sehingga tiga jam hari ini dari pukul 8.30 pagi kerana panggilan bom palsu. 

Lebih 300 petugas mahkamah beserta orang awam diarah mengosongkan kompleks itu dan berhimpun di perkarangan letak kereta sementara menunggu pasukan unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan memeriksa seluruh bangunan mahkamah.

Mereka tidak menemui bom atau sebarang unsur bahan letupan.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mazlan Othman berkata polis menerima maklumat mengenai panggilan bom itu kira-kira pukul 8.25 pagi selepas seorang lelaki menelefon operator wanita mahkamah itu dan mengugut akan meletupkan bom di kawasan mahkamah pada tiga waktu, pukul 9, 10 dan 11 pagi.
  
"Hasil siasatan kami mendapati ia adalah panggilan palsu. Kami juga belum dapat memastikan sama ada panggilan itu dibuat melalui telefon awam atau telefon bimbit serta dari mana panggilan itu dibuat," katanya.
  
Mazlan berkata sepanjang operasi pemeriksaan dijalankan, semua tertuduh untuk  kes sebutan dan perbicaraan, ditempatkan di lokap berpusat di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam.  - Bernama