Search This Blog

Tuesday, November 6, 2012

Dah ajal bawah pikap


         
KINABATANGAN: Seorang pekerja syarikat pembalakan maut selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda dinaikinya yang terbalik di Jalan Batu 38, Ladang Borneo Glow Tongod, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, Mohd Amin Ismail, 61, yang duduk di ruang barang belakang pacuan empat roda Toyota Land Cruiser meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada.
Rakannya yang duduk di bahagian depan kenderaan dan belum dikenali pasti identiti cedera parah apabila patah tulang tapak tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Martin Lugu berkata, pemandu kenderaan itu dan seorang lagi penumpang yang duduk di belakang tidak cedera.


Menurutnya, kejadian berlaku ketika empat pekerja pembalakan terbabit dalam perjalanan dari daerah Nabawan ke tempat kerja mereka iaitu kem pembalakan Syarikat United Malacca, di sini.

Angkara ‘Botak’ kalah main snuker




         
KUALA LUMPUR: Angkara dendam dan hutang dipercayai menjadi punca anak bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Wan Mohd Najib Wan Mohamad cedera parah ditetak dengan parang di sebuah restoran di Seksyen 6 Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Mangsa, Wan Mohd Faizal Wan Mohd Najib, 24, yang bekerja di syarikat menjual kenderaan mewah milik keluarganya di Cheras, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri, Ampang, dekat sini, selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.


Wan Mohd Najib berkata, beliau percaya kejadian itu berpunca akibat dendam dan masalah hutang antara mangsa dan rakan baiknya yang dikatakan tidak puas hati selepas anaknya itu menuntut hutang lama.

“Anak saya pernah bercerita mengenai seorang rakan baiknya yang diberi gelaran ‘Botak’ ada berhutang dengannya sebanyak RM1,500 sejak beberapa tahun lalu.


“Namun, lelaki itu tidak pernah membayar hutang berkenaan. Saya pun mengenali lelaki itu kerana sering datang ke rumah kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Menurutnya, beliau difahamkan sebelum kejadian anak lelakinya dan rakannya itu ada pergi bermain snuker bersama serta membuat pertaruhan dalam permainan berkenaan.

“Rakan anak saya itu dikatakan kalah menyebabkannya menjadi marah. Lelaki terbabit dipercayai mengupah empat lelaki lain untuk menetak anak saya,” katanya.


Wan Mohd Najib berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu pagi kelmarin sebelum isterinya bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Kelantan.

Namun, anak lelakinya itu kemudian dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri akibat kecederaan parah dialaminya untuk menjalankan pembedahan dan kini dilaporkan stabil.


Wan Mohd Faizal selamat menjalani pembedahan kira-kira jam 11 malam kelmarin bagi membuang darah beku dalam kepala dan dimasukkan ke ICU untuk rawatan rapi.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya kini sedang giat memburu lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Promoter ugut bunuh diri kekasih tunda kahwin


         
GEORGETOWN: Akibat perselisihan faham dan kecewa kerana teman lelaki menunda tarikh perkahwinan, seorang promoter jualan mengugut mahu membunuh diri dengan terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Lebuh Nordin, di sini awal pagi Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, teman lelaki mangsa berusia 28 tahun datang ke rumah mangsa untuk berbincang sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka.


Jurucakap polis berkata, mangsa yang kecewa dengan tindakan teman lelakinya menunda tarikh perkahwinan yang sepatutnya tahun ini atas sebab tidak diketahui menyebabkan wanita itu tidak boleh menerima kenyataan.

Menurutnya, mangsa kemudian naik ke tingkat 12 dan mengugut teman lelakinya untuk terjun jika lelaki itu tidak mengikut kehendaknya.


“Mangsa memanjat dinding koridor untuk terjun sebelum diselamatkan teman lelakinya. Polis yang tiba tidak lama kemudian membawa kedua-dua mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk diambil keterangan,” katanya.

2 kali disamun dalam 4 bulan




         
KLANG: “Ini kali kedua saya dan rakan sekerja melihat kejadian samun di kedai yang sama dalam tempoh kurang empat bulan,” kata saksi kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Taiping, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, pekerja kedai pakaian dikenali sebagai Ida, 19, berkata, dia tergamam apabila seorang daripada empat lelaki bersenjata parang, kapak dan tukul itu mengacukan parang ke arahnya memintanya tidak masuk campur dan melihat kejadian itu.


Katanya, dia dan beberapa rakan sekerjanya memanggil pelanggan di kedai pakaian itu supaya menyorok di bahagian belakang.

“Kedai tempat saya bekerja berhadapan dengan kedai emas itu. Dari situ, saya dapat melihat dengan jelas tiga daripada empat lelaki terbabit memecahkan kaca ruang pameran barang kemas menggunakan kapak dan tukul sementara seorang lagi berjaga di hadapan kedai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam. Katanya, perompak itu mengambil masa kurang lima minit melakukan rompakan itu sebelum melarikan diri menaiki dua motosikal Yamaha 125. “Sebelum ini, ketika awal Ramadan, Julai lalu, kedai yang sama turut dirompak lima lelaki. Hari ini (semalam) kejadian itu berulang lagi,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Jani Ahmad berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan kumpulan sama menyamun premis berkenaan Julai lalu.

‘Arwah tiada buat salah’


SEDIH...Che Yon (kiri) bersama ahli keluarga masih menunggu perkembangan khabar berita mengenai kehilangan suaminya. Gambar kecil, Johari, hilang di laut.
SEDIH...Che Yon (kiri) bersama ahli keluarga masih menunggu perkembangan khabar berita mengenai kehilangan suaminya. Gambar kecil, Johari, hilang di laut.
PELABUHAN KLANG: “Saya tidak boleh terima cara kematiannya kerana setahu saya arwah tidak buat salah kepada sesiapa pun,” kata Che Yon Hitam, 59, ibu kepada Muhammad Ridzuan Johari, 28, yang mayatnya ditemui dalam keadaan sudah berbau dan terapung di laut di kawasan Rumah Api Permatang Sedepa, kira-kira dua batu nautika dari Pulau Ketam, di sini, Sabtu lalu.
Mayat Muhammad Ridzuan ditemui seorang pemandu bot yang melalui kawasan itu kira-kira jam 6 petang dalam keadaan terapung dan tertiarap dengan kesan jerut di bahagian leher dan kesan kecederaan di kepala.

Che Yon berkata, dia bertambah runsing apabila suaminya, Johari Talib, 60, yang keluar bersama Muhammad Ridzuan pada 31 Oktober lalu belum ditemui.
Katanya, dua beranak itu bekerja sebagai pengusaha bot penumpang di sekitar Pulau Ketam dan Pulau Indah, di sini, menggunakan bot milik Johari dan bergilir-gilir membawa bot itu. Menurutnya, pada 31 Oktober lalu suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Pendamar Indah 2, di sini, untuk bekerja pada jam 7.30 pagi manakala Muhammad Ridzuan yang tinggal berhampiran keluar bekerja pada jam 4.30 petang.

“Namun, sehingga jam 10 malam, mereka tidak pulang-pulang. Saya cuba menghubungi telefon bimbit suami, tetapi ia dimatikan.

Saya membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang memaklumkan kehilangan mereka,” katanya ketika ditemui, di rumahnya semalam. Che Yon berkata, rakan sekerja suaminya ada memaklumkan suaminya ada mendapat panggilan telefon daripada individu meminta mereka mengambilnya di tempat kapal berlabuh di kawasan Pintu Gedong, Pulau Indah, di sini, pada hari kejadian. “Pada hari mereka dilaporkan hilang, rakan sekerja suami beritahu saya, dia ada berselisih ketika dalam perjalanan ke Pintu Gedong. Dia nampak kelibat suami saya memandu bot bersama Muhammad Ridzuan.
“Dia turut memberi isyarat agar suami saya tidak memasuki kawasan itu kerana keadaan ombak besar, namun suami saya tidak mengendahkannya dan terus menuju ke kawasan itu,” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon memaklumkan mengenai penemuan mayat anak lelaki keduanya itu sebelum bergegas ke hospital bagi membuat pengecaman mayat.
Katanya, dia dan keluarga seperti tidak percaya dengan perkara yang dialami dan berdoa agar suaminya selamat walaupun peluangnya untuk ditemui dalam keadaan hidup adalah tipis.

“Saya hanya berserah kepada Allah agar suami saya pulang dalam keadaan selamat. Saya tahu walaupun peluang untuk suami masih hidup adalah tipis kerana keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang selain tidak makan dan minum.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa dan bapanya dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak keluar rumah pada 31 Oktober lalu.

Parah curi kucing



         
KUCHING: Akibat cuba mencuri seekor kucing Parsi, seorang lelaki dibelasah beramai-ramai oleh penduduk di Kampung Gersik sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 10 malam apabila tindakan suspek berusia 29 tahun untuk melarikan kucing Parsi peliharaan seorang penduduk disedari jiran.


Sumber berkata, suspek cuba melarikan diri, tetapi gagal kerana dikepung.

“Suspek ditangkap dan dibelasah beramai-ramai oleh penduduk sebelum orang ramai di tempat kejadian menghubungi polis.


“Sebuah kereta peronda kemudian tiba dan membawa suspek ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan,” katanya.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan siasatan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah.

Kaki janin dimamah anjing



         
TEMERLOH: Sebak hati seorang lelaki apabila menemui janin yang kaki kirinya putus dipercayai akibat dimakan anjing liar di depan rumahnya di Jalan Jelutong 6, Taman Mutiara, Mentakab, dekat sini, petang kelmarin.

Janin itu dipercayai dibuang selepas 24 jam dilahirkan dan ditemui seorang lelaki berusia 50-an sejurus dia membuka pintu pagar rumah untuk ke kedai jam 4 petang.
Lelaki itu memaklumkan penemuan itu kepada polis dan Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat itu.

Katanya, janin berkenaan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini, bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.


Zundin berkata, hasil bedah siasat di Hoshas pagi semalam, janin itu dianggarkan berusia lima bulan.

Jadi tebusan lima minit




         
PETALING JAYA: Seorang pensyarah kolej swasta menempuh detik lima minit yang mendebarkan apabila dijadikan tebusan tiga lelaki bersenjata pistol ketika mahu mengeluarkan wang di sebuah bank di Bandar Sri Damansara, di sini, dalam kejadian rompakan mengakibatkan kerugian RM200,000, semalam.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, pensyarah berkenaan berada di kaunter bank bagi urusan mengeluarkan wang apabila tiga lelaki memakai topi besbol meluru masuk dan menjadikannya sebagai tebusan.


Menceritakan semula kejadian, Abdul Aziz Abdul Jalil, 36, berkata, tiga penjenayah terbabit menyangkakan dia pengawal keselamatan bank berkenaan kerana pada waktu itu dia memakai baju hujan berwarna biru sama seperti uniform anggota keselamatan premis itu.

“Saya berdiri di kaunter bagi menunggu giliran untuk mengeluarkan wang apabila tiba-tiba seorang lelaki mencekak leher saya dari arah belakang,” katanya.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, tiga penjenayah terbabit melarikan diri bersama wang RM200,000 dengan menaiki kereta mewah jenis BMW berwarna gelap yang menunggu di luar.

Dah ajal bawah pikap



         
KINABATANGAN: Seorang pekerja syarikat pembalakan maut selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda dinaikinya yang terbalik di Jalan Batu 38, Ladang Borneo Glow Tongod, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, Mohd Amin Ismail, 61, yang duduk di ruang barang belakang pacuan empat roda Toyota Land Cruiser meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada.
Rakannya yang duduk di bahagian depan kenderaan dan belum dikenali pasti identiti cedera parah apabila patah tulang tapak tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Martin Lugu berkata, pemandu kenderaan itu dan seorang lagi penumpang yang duduk di belakang tidak cedera.


Menurutnya, kejadian berlaku ketika empat pekerja pembalakan terbabit dalam perjalanan dari daerah Nabawan ke tempat kerja mereka iaitu kem pembalakan Syarikat United Malacca, di sini.

Mangsa melecur meninggal dunia


       
KOTA KINABALU: Mangsa yang melecur seluruh badan akibat terkena letupan dipercayai mercun di pangsapuri Grace Court di sini, hujung bulan lalu, meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata Mu Kwang Hoe, 45, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) kira-kira jam 3.45 petang semalam.


“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa dan juga letupan yang berlaku dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, polis juga masih menunggu laporan penuh unit forensik berkenaan kejadian itu bagi membantu siasatan.


Dalam kejadian Rabu lalu kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa melecur seluruh badan manakala abangnya Mu Khon Foo, 54, turut melecur di tangan dan kaki.


Kejadian itu juga mengakibatkan lima kenderaan rosak selepas terkena serpihan jeriji tingkap dan pagar besi kesan letupan kuat terbabit.

Lelaki pukul isteri hingga pengsan dicekup




         
ANG THONG: Polis menahan seorang lelaki yang dituduh memukul isterinya sehingga pengsan dan menyerang anak lelaki tirinya yang masih kecil di tengah jalan, semalam.

Anggota polis yang tiba di tempat kejadian berkata, mereka menemui Montri Krumkrong, 37, yang mabuk bersama isterinya yang pengsan di atas tanah.
Menurut anak tirinya dan saksi lain, pasangan itu telah bergaduh, kata polis.

Suspek kemudian menyerang isterinya dengan memijaknya hingga pengsan. Dia kemudian cuba menaikkan isterinya kembali di atas motosikal.


Apabila anak tirinya yang berusia enam tahun enggan membantu, lelaki itu dikatakan menampar muka anak tirinya beberapa kali, mengangkat dan mencampakkanya ke tanah.


Suspek cuba melarikan diri tetapi ditangkap oleh orang ramai yang melihat kejadian itu. Anggota polis terpaksa melindungi suspek daripada orang ramai yang berang. - BP

Remaja cacat terselamat




         
LAMPANG: Polis menyelamatkan seorang remaja cacat berusia 18 tahun daripada menjadi pelacur selepas dijanjikan pekerjaan di Bangkok.

Polis berkata, wanita dari Chiang Rai yang namanya dirahsiakan, memberitahu dia didatangi seorang lelaki bernama Eke di daerah Phayao dan bertanya sama ada mahu bekerja di Bangkok.
Selepas dia bersetuju, Eke membawanya menemui seorang lelaki separuh abad di bilik hotel di daerah Muang. Lelaki itu menipu untuk membawanya ke Bangkok.

Pasangan bekal pelacur ditahan



         
SINGAPURA: Dia hanya seorang pelajar berusia 18 tahun ketika mula-mula membantu teman lelakinya menguruskan agensi pengiring sosial Discreet Passion bagi melindungi aktiviti pelacuran mereka.

Kedua-duanya ditahan setahun selepas itu pada 2011.
Mabel Wong Liya, kini berusia 20 tahun dan menganggur, didakwa membekalkan wanita untuk pelacuran, mendapatkan pendapatan melalui kerja tidak bermoral.

Mabel dijatuhkan hukuman satu setengah tahun tempoh percubaan dan diarahkan melakukan 100 jam khidmat masyarakat, semalam.


Bulan lalu, teman lelakinya Andy Chang Shi Chang, 29, dihukum penjara lapan bulan atas dakwaan yang sama.


Dokumen mahkamah menyebut rangkaian jenayah Internet mereka menawarkan khidmat sembilan wanita Singapura berusia antara 20 dan 45 tahun.

4 askar Filipina maut diserang hendap komunis




         
MANILA: Tentera Filipina semalam berkata, pemberontak komunis membunuh empat askar tanpa senjata dalam satu serang hendap. Usaha masih dijalankan yang bertujuan untuk mengakhiri satu daripada pemberontakan paling lama di Asia.

Sekurang-kurangnya 10 pemberontak Tentera Rakyat Baru (NPA) menembak mati askar terbabit ketika mereka pulang dari pangkalan tentera ekoran kunjungan ke pasar tempatan dekat bandar raya Davao di selatan negara itu, semalam.


“Askar berkenaan memakai pakaian biasa dan tidak membawa senjata,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Lyndon Paniza kepada media.

Ini adalah serangan khianat NPA,” katanya.


Menurutnya, askar itu bertugas dalam unit kemanusiaan di desa terpencil di pinggir Davao, bandar raya terbesar di Pulau Mindanao.


Ketua perunding keamanan kerajaan dengan komunis, Alexander Padilla mememberi amaran serangan itu akan menjejaskan usaha untuk mengadakan rundingan damai bersama kumpulan pemberontak itu. - MT

2 rakyat Bulgaria miliki alat buat kad ATM palsu ditahan




         
BANGKOK: Polis pelancong menahan dua rakyat Bulgaria di Phuket atas dakwaan memiliki peralatan membuat kad mesin teler automatik (ATM) palsu.

Tervel Dimitrov, 31, dan Stenkov Ancho Haritonov, 33, ditahan di depan bank daerah Muang malam semalam, kata pegawai polis, Kapten Somdej Sariban.


Penahanan dibuat selepas pegawai bank menghubungi polis bahawa penyiring kad ditemui melekat pada mesin ATM bertentangan dengan bank.

Polis berpakaian preman dikerah untuk memantau kawasan itu dan beberapa jam kemudian melihat tiga warga asing mengalihkan penyiring yang menyalin maklumat elektronik dalam kad dimasukkan ke mesin ATM itu. Dimitrov dan Haritonov mengakui melakukan jenayah terbabit. Suspek ketiga masih bebas dan kewarganegaraannya tidak diketahui.


Haritonov turut berdepan dakwaan tambahan kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah. Polis mengesyaki kumpulan itu berpindah dari Koh Samui di Surat Thani ke Phuket bertujuan menipu pelancong asing ketika musim puncak di pulau peranginan itu. - BP

Kegiatan ceti haram disekat




         
SINGAPURA: Kumpulan rondaan penduduk untuk menghalang ceti haram ditubuhkan semalam dan yang pertama membabitkan estet perumahan di sini.

Usaha masyarakat itu dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Sembawang-Nee Soon membabitkan 188 penduduk daripada 13 jawatankuasa penduduk yang akan bertugas secara berkumpulan. Namun, Komander Polis dari ibu pejabat divisyen Ang Mo Kio, Penolong Timbalan Komisioner Keok Tong San berharap untuk menyaksikan lebih ramai lagi penyertaan penduduk. Pada pelancaran majlis itu di Kelab Komuniti Jelutung di Sembawang, Ahli Parlimen Nee Soon GRC, Dr Lim Wee Kiak berkata: “Untuk mempertingkat keberkesanan peranan polis, masyarakat perlu membantu. Polis tidak dapat mengawal setiap blok untuk tempoh 24 jam.


“Namun, dengan semua mata dan telinga penduduk, polis dapat memperluas pengawasan bagi mengesan apa yang berlaku di estet perumahan,” katanya.

Rondaan akan dibuat selama dua jam. Sementara kebanyakan kumpulan akan bertugas sebulan sekali, sesetengahnya akan melakukan rondaan dengan lebih kerap.


Ketika rondaan, kumpulan terdiri daripada lima dan 15 orang akan disertai oleh pegawai polis. Mereka akan berjalan sekitar estet perumahan. - AsiaOne

Bangkai tikus dalam bijirin sarapan


TIKUS yang ditemui Hunter dalam bijirin Rice Krispies.
TIKUS yang ditemui Hunter dalam bijirin Rice Krispies.
LONDON: Seorang lelaki yang kelaparan terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila bijirin Rice Krispies yang ingin disuapnya untuk kali kedua mengandungi tikus mati.
Mark Hunter, 42, bapa kepada dua anak dari Maida Vale, London, terkejut apabila menyudu kepala tikus daripada bijirin Rice Krispies yang dimakan bersama susu. Dia kemudian mengeluarkan bangkai haiwan itu, mengeringkannya sebelum menghubungi pengilang makanan itu, Kellog’s.

“Saya sangat bimbang kerana saya sudah pun makan sesudu bijirin itu dan ingin menyuap makanan itu lagi.

“Namun, saya terlihat benda hitam dalam susu, tetapi tidak menyedarinya hingga saya mencedoknya dengan susu,” katanya.

Kellog’s mengakui mereka bimbang dengan apa yang berlaku dan akan pergi ke kediaman Hunter untuk mengambil tikus itu dan menyelidik dari mana ia datang.

Pakar daripada Universiti Liverpool percaya mereka dapat mencari puncanya. Ia bukan kali pertama tikus atau benda lain yang menjijikkan ditemui dalam makanan. - TS

Banjir empat negeri makin buruk

Asiah Ab Rahman (dua dari kanan) bersama anak-anak menyusun barang-barang ke tempat lebih tinggi di rumahnya di Kampung Semarang, Dengkil, semalam.
Asiah Ab Rahman (dua dari kanan) bersama anak-anak menyusun barang-barang ke tempat lebih tinggi di rumahnya di Kampung Semarang, Dengkil, semalam.
10 kampung di Dengkil yang jarang dinaiki air turut terjejas
Kuala Lumpur: Banjir di empat negeri - Selangor, Johor, Perak dan Melaka bertambah buruk semalam, dengan 3,556 mangsa dipindahkan ke 33 pusat pemindahan.

Di Selangor, sekurang-kurangnya 10 kampung dan taman perumahan di Dengkil dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini hanya menghadapi banjir kilat, kini terjejas teruk apabila dinaiki air antara satu hingga dua meter.
Kawasan berkenaan ialah Kampung Sri Tanjung, Kampung Kelinsing, Kampung Cemperai, Taman Amenis, Taman Emas, Taman Kristal 2, Taman Permata, Taman Baiduri, Taman Sri Tanjung dan Taman Delima.


Berada pada paras bahaya Dua kawasan lain yang sering dilanda banjir ialah Kampung Semarang dan Kampung Revolusi Hijau.

Sungai Langat malam tadi mencatatkan paras bahaya 9.52 meter di stesen pengukur Kampung Sungai Labu, Salak Tinggi, berbanding tujuh meter normal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, ketika dihubungi berkata pihaknya menempatkan anggota di kawasan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Katanya, pemantauan turut dilakukan di beberapa lokasi lain sekitarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sehingga jam 7.30 malam tadi, 1,238 penduduk dipindahkan ke lapan pusat pemindahan di Dengkil dan Sepang berikutan paras air Sungai Langat yang terus meningkat akibat hujan lebat sejak tengah hari kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Marsum Paing, berkata banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk selepas paras air Sungai Langat tidak surut sehingga petang semalam.

Tambak tebing sungai


Bercakap kepada media selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Dengkil, di sini semalam, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang mendalamkan serta menambak tebing Sungai Langat sebagai penyelesaian jangka panjang.

Di JOHOR, 2,042 mangsa banjir dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sehingga jam 8 malam tadi manakala beberapa pusat pemindahan baru sedia untuk dibuka bagi menghadapi keadaan yang dijangka bertambah buruk.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata, kawasan terjejas teruk ialah Batu Pahat dengan 14 pusat pemindahan dibuka sehingga kini termasuk dua di Kluang dan satu di Ledang.
“Kawasan dinaiki air termasuk Kampung Baru Sri Gading, Kampung Sri Gading dan Kampung Jawa Parit Kuari di Batu Pahat, Kampung Sialang (Ledang), Kampung Sungai Linau dan Kampung Kolam Air (Kluang),” katanya.

Banjir sedalam satu meter


Di PERAK, 258 mangsa banjir daripada 70 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Surau Jalan Wak Siam Selabak dan Dewan Serbaguna Sungai Manik Chikus, Teluk Intan selepas kediaman dinaiki air 0.5 hingga satu meter sejak Sabtu lalu.

Laluan utama di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Chepor Dalam yang menghubungkan Taman Bertuah, Desa Seri Chemor dan Batu 6 terputus disebabkan tanah mendap selepas air Sungai Klebang melimpah.

Di MELAKA, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri, Mejar Jafri Mohamed, berkata 115 mangsa dari 27 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Tehel, Jasin.

Katanya, 108 orang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Tehel manakala tiga di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kesang Barat.

Isteri Presiden Korea Selatan disiasat



 
Seoul: Isteri presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak, Kim Yoon-Ok akan disoal siasat dalam siasatan terhadap jual beli rumah persaraan presiden yang sebelum ini turut membabitkan adik dan anak lelaki Lee, kata pihak berkuasa semalam.

Pembabitan Kim dalam siasatan itu berlaku ketika waktu sensitif di mana Korea Selatan bakal berhadapan dengan satu pilihan raya presiden pada 19 Disember.
“Kami memutuskan untuk menyiasat wanita pertama Kim,” kata pembantu khas konsul, Lee Chang-Hoon kepada pemberita semalam.

“Kaedah dan masa untuk soal siasat masih lagi dibincangkan dengan pejabat presiden,” katanya.

Siasatan akan memfokuskan kepada keadaan luar biasa dalam pembelian sebidang tanah di selatan Seoul bagi membina rumah persaraan Presiden Lee di mana beliau akan melepaskan jawatannya secara rasmi pada Januari.

Lot berkenaan dibeli secara bersama dengan anak lelaki presiden, Lee Si-Hyung dan perkhidmatan keselamatan presiden yang sepatutnya perlu menempatkan ejennya di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, kos pembelian didakwa tidak sama di mana perkhidmatan keselamatan dikatakan membayar terlalu tinggi manakala anak lelaki Lee mendapat harga di bawah pasaran bagi plot presiden terbabit.
Isteri presiden dan adiknya termasuk dalam siasatan kerana laporan menyebut mereka meminjamkan Lee Si-Hyung sejumlah 600 juta untuk membeli lot terbabit. - AFP

Pelaburan emas haram: 142kg emas, RM101j disita



 
Kuala Lumpur: Sebanyak 142.7 kilogram emas dan RM101.92 juta dalam akaun bank serta tunai disita daripada empat syarikat yang terbabit dalam skim pelaburan haram menggunakan emas.

Jumlah itu dinyatakan dalam kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semalam.
Belum terima emas



Siasatan mendapati, sebahagian besar pelabur emas belum menerima emas daripada beberapa syarikat pelaburan yang diserbu BNM sehingga lebih lima bulan menunggu.

“Siasatan mendapati, syarikat berkenaan mempunyai kelemahan dari segi simpanan rekod, gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan dengan baik.

“Malah, syarikat itu juga mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi dan tujuan yang berbeza, selain gagal mengemukakan akaun untuk diaudit SSM, sejak beberapa tahun lalu mengikut undang-undang sepatutnya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, empat syarikat diserbu iaitu Pageantry Gold Berhad yang beroperasi di Taman Danau Kota, Setapak; Worldwide Far East Berhad (Bandar Baru Seri Petaling); Caesar Gold Sdn Bhd (Jalan Klang Lama) dan Genneva Malaysia di Kuchai Lama selepas disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas.
Mengulas lanjut, pihaknya menyedari kesukaran yang dialami pelabur dan sedang berusaha untuk mengesan penyimpanan wang dan aset syarikat itu.

Siasatan antarabangsa


“Satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain serta firma perakaunan antarabangsa sudah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan yang menjurus kepada siasatan antarabangsa.

“Agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu siasatan,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, setiap perniagaan terutama membabitkan bilangan pelabur dan jumlah yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik serta tepat penting bagi mengelak berlakunya kesilapan pengurusan kewangan.

Ribut bakal landa dua bandar

Beribu-ribu peserta, berjoging di sekitar Central Park di New York, selepas pihak penganjur  membatalkan acara Marathon New York  selepas bandaraya itu dilanda taufan Sandy baru-baru ini.
Beribu-ribu peserta, berjoging di sekitar Central Park di New York, selepas pihak penganjur membatalkan acara Marathon New York selepas bandaraya itu dilanda taufan Sandy baru-baru ini.


New York: Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan bahawa satu lagi ribut dengan kelajuan sekurang-kurangnya 88 kilometer sejam bakal membadai New York dan New Jersey esok (Rabu) dan boleh memburukkan lagi keadaan akibat taufan Sandy yang melanda minggu lalu.

“Bersedia untuk lebih banyak gangguan. Terus berada di dalam rumah dan sediakan bekalan lagi,” nasihat pakar perkhidmatan kaji cuaca Joe Pollina.
Beliau berkata ribut terbaru ini akan hampir kuat seperti Sandy dan boleh menyebabkan angin yang lebih kuat dari biasa malah melebihi dari Nor’easter biasa. Suhu sejuk



Sementara itu, suhu sejuk melanda dan Gabenor New York, Andrew Cuomo berkata ini bermakna berpuluh ribu penduduk yang rumah mereka rosak akibat taufan baru-baru ini memerlukan tempat lain untuk tinggal.

“Rumah tanpa alat pemanas tidak boleh didiami,” kata gabenor itu.
Beliau berkata penduduk yang enggan meninggalkan rumah mereka akan dipaksa untuk berbuat demikian dan perlukan penempatan.

Datuk bandar New York, Michael Bloomberg berkata bahawa 20,000 penduduk di bandaraya itu perlukan bantuan perumahan.
Kelajuan 40, 45 batu sejam


Pollina berkata angin kencang dari ribut terbaru ini akan dapat dilihat di timur Long Island. Angin paling laju di New York City adalah mungkin sehingga 65 kilometer sejam. Pakar meteorologi, Adrienne Liptivh berkata bahawa Atlantic City, New Jersey akan menyaksikan kelajuan angin sehingga 45 batu sejam.

Kawasan lebih jauh di New Jersey di Passaic dan Bergen akan menyaksikan angin lebih lemah, kata Pollina.

Pollina memberi amaran bahawa lebih banyak hakisan pantai dan banjir di kawasan pantai berlaku bergantung kepada keadaan air pasang. Hanya hujan sederhana diramalkan.

Beliau berkata kebanyakan pokok yang sudah sedia lemah akibat serangan Sandy mungkin akan tumbang berikutan ribut terbaru. - Agensi

Hujan selama 11 jam punca banjir




SEORANG penduduk, Kharul Zaman menolak motosikal di pekarangan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Kayu Ara, Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN – Hujan selama hampir 11 jam sejak petang kelmarin menyebabkan beberapa perkampungan di sekitar daerah Hilir Perak dinaiki air awal pagi semalam sehingga memaksa 181 penduduk berpindah ke pusat penempatan sementara.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah Sungai Manik, Labu Kubong, Chenderong Balai, Langkap, Kampung Ayer Hitam, Kampung SC, Kampung Kayu Ara dan Kampung Tengah dekat sini.
Sebahagian daripada penduduk dipindahkan lewat malam kelmarin ekoran paras air naik mencecah lebih satu meter manakala selebihnya berpindah pagi semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memberitahu, setakat ini 181 penduduk melibatkan 51 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Ayer Hitam.
Beliau berkata, walaupun cuaca beransur baik pagi semalam, penduduk terlibat dinasihatkan supaya terus tinggal di pusat penempatan banjir bagi menunggu air surut sepenuhnya.

Kebas RM200,000 dalam 5 minit



ARJUNAIDI (kiri) memperkatakan sesuatu kepada anggotanya ketika menyiasat sebuah bank yang dirompak lima lelaki di Damansara semalam.


PETALING JAYA - Lima penjenayah bersenjatakan pistol hanya mengambil masa selama lima minit untuk melarikan wang RM200,000 dari sebuah bank di Jalan Tanjung SD 13/1, Bandar Sri Damansara di sini semalam.
Kejadian pukul 2.40 petang itu turut menyaksikan seorang pensyarah perakaunan sebuah kolej swasta melalui detik cemas apabila dijadikan tebusan oleh perompak yang memakai topi terbabit.
Rompakan berlaku apabila tiga daripada empat penjenayah tersebut masuk melalui pintu depan sebelum 'menawan' dua pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek masuk selepas menyamar sebagai pelanggan.
Katanya, dua suspek kemudian mencekik dan menghentak kepala pengawal keselamatan yang berada di pintu masuk sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah kaunter untuk menakutkan 10 pelanggan dan 15 pekerja.
"Pada masa sama, seorang lagi suspek meluru ke bahagian belakang lalu melepaskan dua das tembakan amaran untuk menghalang pengawal keselamatan mengambil senjatanya sebelum mengheret mangsa ke tempat simpanan peti besi.

Lelaki direman



SEORANG lelaki direman bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Sadariah di Sabak Bernam kelmarin.


KUALA SELANGOR - Polis semakin hampir untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan melibatkan seorang warga emas di Sabak Bernam kelmarin apabila mendapat kebenaran Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman seorang penjaga lembu selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu semalam.
Perintah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Shahwira Abdul Halim bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh.
Suspek berusia 24 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna oren itu ditahan di kawasan Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang iaitu selepas 12 jam pembunuhan kejam tersebut berlaku. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 90 kilometer.
Tinjauan Kosmo! mendapati pekerja ladang lembu itu tiba di mahkamah pada pukul 11.30 pagi dan beredar kira-kira 30 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, suspek didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Penganggur dituduh bunuh bayi 8 bulan



NUR IRISYAFIDA BALKIS


BATU PAHAT – Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan atas dakwaan membunuh seorang bayi perempuan yang merupakan anak kepada teman wanitanya pada 10 Oktober lalu.
Soo Lik Duo, 34, yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalia Marsita Hamdan.
Lik Duo didakwa membunuh Nur Irisyafida Balkis Abdul Lazim, lapan bulan, antara pukul 3 petang hingga 8 malam di sebuah rumah di Taman Bistari, Tongkang Pechah di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan yang dijumpai atas siling ruang dapur di rumah yang sama pada pukul 4.10 pagi. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Amalia menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Berguling dalam lopak untuk padam api




MOHD. ZAKEE menunjukkan kecederaan yang dialaminya kepada rakan setugas di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Anggota bomba yang disambar api, Pegawai Bomba Mohd. Zakee Daud, 39, memberitahu, dia berjaya memadamkan api pada tubuhnya setelah berguling di satu lopak air yang terletak kira-kira 25 meter dari tempat kejadian.
Menceritakan pengalaman ngeri yang menyebabkan beliau melecur di tengkuk, telinga kiri dan kanan serta pipi kanannya, Mohd. Zakee berkata, ia berlaku secara tiba-tiba dan tidak dapat dijangka.
“Saya ketika itu berada di bahagian bawah tangki, manakala ada tiga anggota yang berada di atas tangki. Tiba-tiba sahaja ada minyak yang terpercik ke atas dan berlaku letupan yang agak kuat.
“Letupan bersama api itu menyambar tubuh saya dan saya terus lari dari situ. Setelah berlari saya cuba berguling di atas simen tapi tidak berjaya memadamkan api tersebut.
“Saya kemudian bangkit dan berlari lagi menuju ke arah tanah yang berlopak air dan berguling di situ sehingga api padam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ibu tuntut masjid serah bantuan




SARIFFAH (dua dari kiri) bersama empat daripada lima orang anaknya menunjukkan salinan laporan polis di Bandar Sunway, Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA - Seorang peniaga pusat kesihatan menuntut pihak pengurusan sebuah masjid di sini menyerahkan bantuan hari raya terkumpul berjumlah RM3,000 yang didakwa diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk lima orang anaknya sejak enam tahun lalu.
Sariffah Mat Nor Rashid, 45, mendakwa, pengurusan masjid berkenaan gagal menyerahkan bantuan hari raya untuk golongan anak yatim itu kepada anaknya sejak suaminya meninggal dunia akibat penyakit kronik pada tahun 2005.
"Lima anak saya yang kini berusia antara tujuh hingga 13 tahun sepatutnya menerima bantuan hari raya tersebut daripada MAIS sebanyak RM100 seorang selepas mereka menjadi anak yatim.
"Malangnya, pihak masjid tidak menyerahkan wang itu dengan alasan MAIS tidak menyalurkan bantuan hari raya untuk kelima-lima anak saya," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ayamas nafi guna antibiotik Chloramphenicol dalam produk



KUALA LUMPUR - Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. (Ayamas) semalam menafikan dakwaan yang menyatakan syarikat itu menggunakan antibiotik yang diharamkan pihak berkuasa dalam produk ayam keluaran syarikat tersebut.
Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat Ayamas, Rosniza Baharum berkata, pihaknya sangat terkejut mendengar larangan import produk ayam keluaran Ayamas ke Sarawak oleh pihak veterinar negeri tersebut kerana didakwa mengandungi antibiotik yang dikenali sebagai Chloramphenicol.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa melaksanakan langkah kawalan kualiti yang ketat untuk memastikan semua produk keluaran Ayamas sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum dipasarkan kepada pelanggan kerana keselamatan dan kesihatan pengguna adalah keutamaan syarikat itu.