Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

77 PATI ditahan di Jalan Klang Lama



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Seramai 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi di kawasan perumahan di Jalan Klang Lama, dekat sini hari ini.
Penolong Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, operasi menggempur PATI itu dijalankan di kawasan yang menjadi sarang dan tumpuan warga asing.
“Daripada jumlah yang ditahan itu, warga Indonesia merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai 60 orang diikuti India (3) ,Bangladesh (2) dan selebihnya warganegara Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun.
“Seramai 232 PATI telah menjalani pemeriksaan dalam operasi bersepadu yang disertai 92 anggota kerjasama julung kalinya diadakan Imigresen bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Kementerian Dalam Negeri," katanya selepas operasi berkenaan hari ini.
Menurut James Musa, kesemua PATI yang ditahan itu akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Jalan Duta bagi tindakan lanjut.
“Ketika serbuan, kebanyakan PATI sedang tidur namun sebaik sahaja menyedari operasi dijalankan sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri dengan berlari di atas bumbung dan bersembunyi.
“Asalnya perumahan di sini adalah kawasan rakyat tempatan namun ramai yang telah menyewakannya kepada PATI sehingga dilihat bagai sarang warga asing," katanya lagi.
Tambah beliau, operasi tersebut juga adalah tindakan lanjut selepas Operasi Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran (6P) yang dilakukan kerajaan.
“Kita mahu membanteras PATI yang ada di negara ini dan tidak akan bertolak ansur selepas pengampunan dalam program 6P sebelum ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121103/je_08/77-PATI-ditahan-di-Jalan-Klang-Lama#ixzz2B7rtVDRX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Belanja RM800,000 akibat vandalisme



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2012
JOHOR BAHRU - Sebanyak RM800,000 terpaksa dibelanjakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menanggung kerosakan harta benda akibat masalah vandalisme dan kecurian dalam tempoh Januari hingga September ini.

Datuk Bandarnya, Burhan Amin berkata, pihaknya juga berjaya mengesan cubaan untuk mengambil tiang-tiang besi dan slap penutup jalan di kawasan lebuh raya Pasir Gudang dengan menggunakan pelbagai peralatan termasuk jentera berat.

Katanya, jika sebelum ini, kejadian berlaku pada waktu malam namun kali ini mereka berani melakukannya pada waktu siang malah berlakon seperti kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Walaupun mereka berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak MBJB, namun saya percaya mereka akan sentiasa mencari peluang untuk mencuri  harta benda awam di lokasi berlainan.

“Kita telah membelanjakan sebanyak RM700,000 pada tahun lalu bagi menggantikan peralatan awam yang dicuri antaranya slap composite, Guard Rail, papan tanda nama jalan termasuk besi penutup longkang yang mempunyai nilai pasaran tinggi,” katanya pada Mesyuarat Bulanan MBJB, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan telah lama berlarutan dan pihaknya sentiasa mengambil pendekatan dengan mencari alternatif sama ada menggantikannya dengan yang baru atau menggunakan bahan ganti yang murah dan kos efektif.

Suami isteri didakwa merompak



FARAH SHAZWANI ALI
3 November 2012
Suami isteri didakwa merompak
Pasangan suami isteri ini dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berasingan.
KUALA TERENGGANU –  Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merompak seorang warga emas di Jalan Pasir Panjang di sini, bulan lalu dan melupuskan harta curi berkenaan.

Mohd Nazri Othman, 35, berdepan tuduhan merompak dua utas rantai emas milik Mariam@Kuntum Awang, 63, pada 19 Oktober lalu, kira-kira jam 2.30 pagi.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Mohd Nazri mengaku bersalah di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi.

Hakim Wan Fadhilah Nor menetapkan 11 November ini untuk keputusan hukuman.

Sementara isteri Mohd Nazri, Sakinah Salleh, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan menjual dan melupuskan barangan hasil rompakan berkenaan.

Sakinah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Dalam rayuannya, Sakinah berkata, dia dan suaminya terpaksa melakukan perbuatan itu disebabkan desakan hidup untuk menyara keluarga kerana mempunyai tujuh anak dan hanya bergantung hidup dengan menjual kuih, sementara Mohd Nazri tidak mempunyai kerja tetap.

Majistret Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Sakinah diikat jamin RM2,800.

Sumbat 18 Pati dalam Trooper



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2012
Sumbat 18 Pati dalam Trooper
Keadaan sesak dan padat dalam kenderaan yang dinaiki 18 Pati.
Sumbat 18 Pati dalam Trooper
Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dua lelaki tempatan untuk macmbawa 18 warga asing ke Pasar Borong Selayang.
Sumbat 18 Pati dalam Trooper
Trooper yang membawa 18 pendatang tanpa izin. - ILUSTRASI: AIMA HASHIM
BANDAR RAUB - Cubaan membawa 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang disumbat dalam  kenderaan pacuan empat roda jenis Trooper, dipercayai dalam perjalanan ke Selangor untuk bekerja, berjaya dipatahkan polis Raub, semalam.

Kenderaan terbabit yang dinaiki 20 orang termasuk pemandu dan seorang penumpang hadapan warga tempatan dikesan Unit Peronda Polis Raub dekat Jalan Baru Bentong-Raub dalam keadaan mencurigakan, malah pemandu tidak mahu memberhentikan kenderaannya walaupun beberapa kali diarah anggota polis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian pada jam 12 tengah hari semalam mengakibatkan berlaku adegan kejar mengejar antara Unit Peronda Polis Raub dengan kenderaan terbabit.

Menurutnya, berikutan kedegilan pemandu yang tidak mahu memberhentikan kenderaan, satu lagi kenderaan Unit Peronda dihubungi bersama beberapa anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah untuk bantuan.

“Kenderaan itu berjaya ditahan ketika menghampiri sempadan Raub-Bentong dan pemeriksaan serta merta dilakukan mendapati dua lelaki tempatan bersama 18 lagi dipercayai Pati berada di dalamnya.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Raub untuk siasatan lanjut dan kenderaan terbabit turut ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Tiada dokumen diri

Wan Mohd Samsudin berkata, 18 warga asing yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Katanya, kesemua Pati berusia antara 15 hingga 23 tahun itu dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Pasar Borong Selayang.

“Mereka ini memulakan perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan dan melepasi beberapa daerah kemudiannya keluar dari negeri Kelantan sebelum berjaya ditahan di daerah ini.

“Difahamkan juga mereka sudah lama tidak menjamah makanan dan ketika ditahan, mereka dalam keadaan kelaparan,” katanya.

Beliau berkata, selepas dibawa ke Balai Polis Raub, kesemua Pati itu diberikan makanan.

Dua lelaki tempatan positif dadah

Siasatan juga mendapati dua lelaki tempatan terlibat mengambil upah daripada individu di negara jiran untuk menghantar 18 Pati itu ke Selangor.

Wan Mohd Samsudin berkata, pemandu Trooper yang berusia 44 tahun turut memiliki tiga biji pil dipercayai beberapa jenis dadah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, pemeriksaan saringan air kencing juga mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methaphetamine.

“Penumpang di bahagian tempat duduk depan yang juga lelaki tempatan berusia 29 tahun juga positif ujian saringan air kencing dan kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

“Hasil semakan kedua-dua suspek ini turut mempunyai rekod jenayah lampau. Kenderaan yang digunakan pula tidak mempunyai cukai jalan dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Katanya, kenderaan digunakan dipercayai milik seorang lelaki yang beralamat di Kuala Lumpur, namun tiada rekod kehilangan kenderaan dilaporkan.

"Dua lelaki tempatan ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 26 (J) kerana kesalahan mengangkut migran yang diseludup dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

"Sementara kesemua 18 Pati disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen kerana memasuki negara ini tanpa sebarang permit atau dokumen perjalanan diri," katanya.

Keluarga simpan rahsia



NURUL FATIHAH SULAINI
3 November 2012
Mangsa tidak dimaklumkan ibu dan bapa serta dua abang maut
Bapa saudara, Roshidi Awang Kechik, 47, melihat kecederaan yang dialami Mohd Iqbal.
Mangsa tidak dimaklumkan ibu dan bapa serta dua abang maut
Jenazah empat beranak disolatkan di Masjid Kubang Pisang.
ALOR SETAR - Mangsa yang cedera parah dalam nahas yang meragut nyawa ibu dan bapa serta dua abangnya di Jalan Tualang, Pokok Sena kelmarin, sudah sedarkan diri namun perlu menjalani pembedahan kecil di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Bapa saudara mangsa, Shahron Awang Kechik, 50, berkata, Mohd Iqbal Zakuan Shafie, 15, mula sedar kira-kira jam 9.30 malam kelmarin dan dipindahkan dari zon kritikal ke wad biasa awal pagi semalam.

Menurutnya, Iqbal mengalami kecederaan di bahagian muka termasuk bengkak pada gusi serta patah tulang paha kanan.

“Dia boleh bercakap dan bertanya keadaan kedua orang tua serta adik beradik lain kepada abangnya. Namun buat sementara waktu kami terpaksa merahsiakan pemergian mereka untuk mengelakkan kesihatannya terganggu.

“Iqbal juga sudah boleh minum serta makan bubur nasi tetapi perlu menjalani pembedahan kecil untuk membetulkan tulang paha yang patah,” katanya kepada media ketika ditemui di HSB semalam.

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, keadaan mangsa stabil dan menunggu giliran untuk pembedahan.

Dalam perkembangan sama, Shahron berkata, empat beranak yang meninggal dunia, Shafie Abd Hamid, 57, dan isteri, Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka, Mohd Ibtihal, 26, dan Nurul Faiz, 24, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Pisang, Jalan Kubur Panjang, Pendang sekitar jam 2.30 pagi semalam.

Lori dipandu remaja berusia 19 tahun

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan berkenaan ditahan sehingga 5 November ini untuk membantu siasatan.

Menurutnya, remaja lelaki berusia 19 tahun itu berasal dari Kubur Panjang, Pendang dan tidak pernah memiliki sebarang rekod jenayah sebelum ini.

“Dia ditahan sewaktu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. Manakala lori dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut berhubung keadaannya semasa kejadian.

“Punca kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit masuk ke laluan kereta yang dinaiki lima sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

Menurut sumber Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), had umur mendapatkan lesen memandu kenderaan ialah 17 tahun manakala syarat umur bagi permohonan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) ialah 21 ke atas serta perlu memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, pemandu yang memandu kenderaan barangan tanpa memiliki kedua-dua lesen berkenaan boleh disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian semalam melaporkan, niat lima sekeluarga melawat penduduk kampung di HSB tidak kesampaian apabila maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi tanpa muatan berdekatan Kampung Permatang Limau Jalan Tualang Pokok Sena, di sini.

Tertidur selepas makan, pencuri kenyang ditangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2012
Pencuri - tidur
Faisal Zainal menunjukkan tempat pencuri yang menceroboh rumah keluarganya nyenyak tidur dalam kejadian pecah rumah di Jalan Dato’, Chukai, Selasa lalu.
CHUKAI – Perbuatan seorang pencuri yang menjamu selera dengan nasi berlauk daging di rumah banglo tiga tingkat yang dicerobohinya membawa padah apabila ditangkap selepas tertidur kekenyangan di atas sofa di depan televisyen.

Dalam kejadian di Jalan Dato’, dekat sini pada Selasa lalu itu, kehadiran lelaki itu disedari pemilik rumah, Kamsiah Wan Othman, 59, kira-kira jam 8.15 pagi ketika mahu mengemas bilik tidurnya sejurus menunaikan solat Subuh dan menyediakan sarapan.

Lebih mengejutkan, daripada sisa nasi yang dimakan dipercayai pencuri berumur 35 tahun itu membawa bekalnya sendiri kerana nasi berlaukkan daging dan pinggan yang digunakan bukan milik tuan rumah.

Terkejut lihat seorang lelaki tidur di sofa

ANAK Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata, sebelum keluar dari bilik tidur untuk mengambil wuduk kira-kira jam 6 pagi, ibunya menyedari terdapat tiga beg dan satu bungkusan di laluan keluar dari bilik tidur tetapi menyangka ia milik adik-beradiknya yang lain.

“Apabila selesai menyediakan sarapan dan mahu masuk ke bilik tidur semula, mak terkejut melihat seorang lelaki nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua rumah, sebelum mak bertanya kepada saya sama ada membawa kawan tidur di rumah atau tidak ketika saya sampai di rumah mak kira-kira jam 8 pagi.

“Terkejut dengan pertanyaan mak saya segera pergi melihat lelaki itu lantas mengejutkannya daripada tidur dan ketika itu berlaku pergelutan kerana dia cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap. Pada masa sama, adik saya, Saifullah, 21, menghubungi polis,” katanya sambil mengakui banglo itu dihuni ibu bapanya, dua adiknya dan seorang anak saudara.

Katanya, bapanya, seorang merupakan pengusaha kilang papan yang terlebih dahulu bangun daripada tidur untuk ke masjid juga tidak menyedari kehadiran lelaki berkenaan di rumah mereka.

Curi pelbagai barangan termasuk berus gigi

FAISAL Zainal berkata, apabila diperiksa tiga beg dan bungkusan yang terletak di laluan berdekatan bilik tidur ibunya tidak jauh dari lelaki itu tidur, ia mengandungi sebanyak 10 utas jam tangan pelbagai jenama, seunit telefon bimbit, dua bentuk cincin suasa dan seunit ‘walkman’ yang merupakan barangan dicuri dari rumah mereka.

“Selain itu banyak lagi barang lain yang dicuri termasuk berus gigi. Dalam satu bungkusan pula ditemui banyak pakaian milik keluarga saya. Setelah itu kami memeriksa keadaan rumah dan mendapati empat bilik tidur yang tidak dikunci berselerak kerana bilik tidur yang berpenghuni dikunci ketika tidur.

“Di belakang sofa tempat suspek tidur pula, kami temui sisa nasi berlaukkan daging goreng dan petai dalam pinggan dan di sebelahnya terdapat biskut raya yang pada asalnya kami letakkan di dapur. Mungkin dia makan biskut selepas makan nasi lalu tertidur,” katanya yang percaya suspek memecah masuk rumahnya melalui tingkap sekitar jam 3 pagi.

Sejurus polis tiba dan suspek diperiksa, turut ditemui pada badan suspek sebilah pisau serta pemutar skru selain hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rasa tidak sedap hati

SEMENTARA itu, Kamsiah berkata, dia tidak menyangka rasa tidak sedap hatinya ketika mahu tidur menjadi petanda rumahnya dimasuki pencuri lagi.

“Pada malam sebelum kejadian saya tidur agak lewat iaitu kira-kira jam 12 tengah malam. Sebelum tidur saya sudah pastikan semua pintu dan tingkap berkunci. Tak sangka pula rumah dimasuki pencuri lagi dan kes ini adalah kes pecah rumah kedua yang kami sekeluarga alami tahun ini.

“Sebelum ini sudah banyak kali rumah kami dipecah masuk dan yang paling menakutkan dalam satu kes, saya melihat penyamun sedang mencangkung mencari barang berharga di hadapan katil ketika saya tersedar daripada tidur,” katanya

Rehat penyamun tak panjang



ROSDALILAH ZAHARI
3 November 2012
Rehat penyamun tak panjang
Abdullah (kiri) melihat kenderaan yang berjaya dirampas dalam Ops Tapis dan Cantas, Selasa lalu.
TAPAH - Nikmat rehat enam lelaki anggota sebuah kumpulan samun dan curi kereta di sebuah rumah sewa tidak panjang.

Keenakan waktu senggang sebelum merancang 'projek' baru punah selepas kesemua mereka yang berusia lingkungan 30 ke 45 tahun ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada Ops Tapis dan
Cantas di Kampung Baru Chenderiang, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, kesemua ditahan kira-kira jam 2.30 pagi dan dua daripada enam ahli kumpulan itu adalah warga Indonesia yang baru masuk ke negara ini menggunakan dokumen yang sah.

Katanya, salah seorang daripada lelaki warga Indonesia itu mempunyai kepakaran dalam membuat kunci pendua.

Menurutnya, empat lagi ahlinya berasal dari Tanjung Tualang dan pernah menetap di negeri lain sebelum bertemu semula untuk menubuhkan kumpulan tersebut.

“Ketika serbuan dilakukan di tempat persembunyian kumpulan itu, kami menemui dua buah kenderaan yang dilaporkan hilang di Puchong dan Kajang pada 12 dan 29 Oktober lalu.

“Selain penemuan kereta jenis Honda City dan Mitsubishi Triton, kami turut merampas satu tiub dadah dan satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin yang disimpan di dalam rumah tersebut,” katanya pada sidang media di IPD Tapah, semalam.

Abdullah berkata, siasatan awal mendapati dua daripada suspek merupakan bekas tahanan Ordinan Darurat manakala seorang lagi ahli kumpulan mereka pernah dibuang daerah.

“Kesemua ahli kumpulan terbabit mempunyai rekod jenayah lampau kes curi kereta dan samun di sekitar Lembah Klang.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Abdullah berkata, ahli kumpulan terbabit akan ditahan sehingga 5 November ini sebelum diserahkan kepada IPD Puchong dan IPD Kajang untuk tindakan seterusnya.

Pelajar kantoi buat maksiat ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 November 2012
KULIM - Seorang pemandu lori terkejut apabila mendapati seorang pelajar perempuan yang masih berpakaian sekolah melakukan maksiat bersama pasangannya di dalam kereta di selekoh Sungai Lembu di sini, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Pemandu lori itu kemudiannya mengekori kereta pasangan berkenaan sehingga lampu isyarat Simpang Empat Keladi sebelum ke Taman Kenari.

Menyedari diekori, pasangan kekasih itu kemudiannya memecut kenderaan mereka dan membelok ke arah jalan Kulim Perdana.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pemandu lori kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) Kulim untuk meminta bantuan.

Menurutnya, ahli PPKM kemudiannya ternampak kereta pasangan kekasih terbabit berhenti di stesen minyak sebelum memaklumkan kepada unit MPV.

“Polis kemudiannya menahan pasangan itu dan mereka dibawa ke balai polis untuk membuat laporan sebelum diserahkan kepada pihak terlibat.

“Difahamkan, pelajar perempuan itu berusia 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, manakala teman lelakinya berusia 21 tahun,” katanya.

Ghuzlan menasihatkan ibu bapa supaya memantau dan mengawasi pergerakan anak mereka, terutama perempuan kerana sehingga kini ada dalam kalangan pelajar perempuan yang dirogol teman lelaki mereka sendiri.

“Perbuatan pasangan terbabit sudah hampir kepada zina. Ibu bapa harus memandang berat tentang masalah ini dan jangan biarkan anak mereka bergaul terlalu bebas.

“Masalah sosial hari ini semakin membimbangkan kerana ramai remaja, terutama pelajar perempuan bawah umur terlibat dalam kegiatan maksiat,” katanya.

Pelajar dicekup bersama dadah



NUR FARHANA ABDUL MANAN
3 November 2012
Pelajar dicekup bersama dadah
Antara barangan yang dirampas ketika serbuan dibuat di rumah dihuni sekumpulan pelajar di Serdang Perdana, pagi semalam.
SERDANG – Tidak sepadan dengan status mereka sebagai pelajar, empat warga Sudan dicekup bersama sejumlah bekalan dadah di rumah yang dihuni mereka di Serdang Perdana di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi, sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang diketuai Inspektor S Prem yang menerima maklumat menyerbu rumah dihuni pelajar itu.

Pemeriksaan mendapati, kesemua penghuni dalam rumah yang juga penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur itu bagaimanapun enggan mengaku di mana bekalan dadah diperoleh sebelum dicekup.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pemeriksaan di ruang tamu menemukan polis dengan satu bungkusan kertas timah di atas lantai.

Beliau berkata, di dalamnya terdapat bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 20 gram yang dibungkus rapi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemukan polis dengan satu bungkusan plastik berwarna merah di dalam peti sejuk.

Abd Razak berkata, terdapat serbuk dan ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 26 gram dalam plastik berkenaan.

“Kesemua suspek berusia 21 hingga 25 tahun itu didapati mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan merupakan warganegara Sudan.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati keempat-empatnya positif dadah. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan berhubung kes itu.

Lelaki maut kereta dipandu bertembung lori



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2012
Lelaki maut kereta dipandu bertembung lori
Lori yang terlibat dalam kemalangan ditarik untuk dokumentasi.
BATU PAHAT - Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 30, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi ketika kereta jenis Proton Wira dipandu Ahmad Ibrahim, 49, dari Ayer Hitam itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang berada di laluan tersebut.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta tersebut cedera parah di dada dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu lori yang hanya cedera ringan, dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dekat sini, untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal 43, berkata, ketika kejadian dia menaiki motosikal dari rumahnya di Parit Raja menghala ke pekan Ayer Hitam sebelum melihat kemalangan tersebut.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan saya terperanjat sebelum menyedari terdapat satu kemalangan berlaku berhampiran saya.

“Saya memberhentikan motosikal di bahagian tepi jalan sebelum bergegas ke dua kenderaan itu bagi melihat keadaan mangsa, namun ketika itu pemandu kereta sudah tidak bergerak manakala pemandu lori masih bernyawa.

“Kerana takut dan bimbang sesuatu berlaku, saya tidak menyentuh mangsa. Saya hanya menunggu ambulans serta polis tiba bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Kekesalan si pemandu lori

JENAZAH empat beranak yang maut dalam kemalangan di Pokok Sena kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad.
ALOR SETAR – Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan di Pokok Sena kelmarin hingga mengakibatkan nyawa empat beranak melayang manakala seorang lagi kritikal merasa sungguh kesal selain bingung bagaimana tragedi tersebut berlaku.
Remaja berusia 19 tahun tersebut mendakwa kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau tersebut berlaku secara tiba-tiba.
“Saya sungguh kesal dan tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku. Saya memandu lori milik saudara saya secara sambilan ketika musim menuai padi sahaja.
“Saya mempunyai lesen tetapi masih baru memandu lori itu. Laluan di situ kerap berlaku kemalangan termasuk yang melibatkan kehilangan nyawa kerana jalan berlopak,” dakwanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Semalam Kosmo! melaporkan kemalangan pukul 3 petang itu mengorbankan pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Mohd. Iptihal, 26, dan Nurul Faiz, 24.
Mangsa yang cedera pula ialah anak bongsu dari enam beradik, Muhd. Iqbal Zakwan, 15, yang masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.

Murid 7 tahun diperkosa secara kejam oleh gurunya

MESIR - Seorang murid berumur tujuh tahun di Mesir, diperkosa secara kejam oleh gurunya.
Menurut sebuah laporan di Harian Elfagr dan dikutip laman Emirates247, gadis kecil yang bersekolah di SD Al Mawasat,  Aswan, Mesir Hulu, suatu hari pulang ke rumah dan menangis kesakitan. Orangtuanya terkejut, apalagi ketika menemukan darah di pakaian puteri kecil mereka.
Si gadis kecil menuduh bahawa gurunya yang berumur 43 tahun membawanya ke sebuah ruang kelas yang kosong, menutup pintu, melucuti pakaiannya, lantas memerkosa sekaligus menganiayanya.
 
Gadis kecil itu bahkan masih ingat, bagaimana ia menjerit kesakitan, dan mengatakan kepada orangtuanya, bahawa   guru itu mengancam akan membunuhnya, jika dia berbicara tentang insiden itu.
 
Sementara, rakan-rakan si guru di sekolah itu mengatakan, dia telah bekerja di sana selama sekitar 20 tahun. Belum diketahui apa motif sang guru durjana itu melakukan tindakannya. 
TRIBUNNEWS.COM

Sembunyikan harta curi



DARI kiri, T. Ahilan, S. Subramaniam dan M. Murugan mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan berasingan membabitkan penipuan sindiket penyamaran sebagai pegawai polis pada Jun lalu di Mahkamah Sesyen, Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 3 Ogos - Tiga lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan menyembunyikan harta curi membabitkan wang berjumlah RM20,000, pada Jun lalu.
S. Subramaniam, 41, M. Murugan, 28, dan T. Ahilan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Shamshol Azwa Martadza.
Mengikut pertuduhan, Subramaniam didakwa dengan sengaja menolong menyembunyikan harta curi iaitu membenarkan akaun Public Bank Bhd. miliknya digunakan untuk kemasukan wang RM10,000 yang diperoleh melalui penipuan.
Dia yang bekerja sebagai tukang sapu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Public Bank, Jalan Datuk Maharajalela dekat sini pada pukul 2.30 petang, 18 Jun lalu.
Dia turut berdepan pertuduhan kedua iaitu membenarkan akaun CIMB Bank miliknya digunakan untuk kemasukan wang RM10,000 yang diperoleh melalui penipuan di CIMB Bank cawangan Jalan Sultan Idris Shah pada pukul 4.15 petang hari yang sama.
Sementara Murugan dan Ahilan masing-masing bekerja sebagai tukang pam minyak dan penjaga stor pula didakwa bersubahat menyembunyikan wang curi berjumlah RM10,000 ke dalam akaun Public Bank pada hari dan waktu yang sama.
Kedua-dua lelaki itu turut didakwa bersubahat menyembunyikan harta curi iaitu wang RM10,000 ke dalam akaun CIMB Bank pada hari dan waktu yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Shamshol Azwa membenarkan Subramanian dibebaskan dengan ikat jamin RM9,600 bagi dua pertuduhan tersebut manakala kedua-dua tertuduh lagi masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim itu akan disebut semula pada 7 September depan.

‘Disorok’ makhluk halus

TERSELAMAT...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak (kanan) melawat Baharom di Hospital Kuala Kangsar, semalam.
TERSELAMAT...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak (kanan) melawat Baharom di Hospital Kuala Kangsar, semalam.
KUALA KANGSAR: Walaupun sudah ditemui dua hari lalu dalam belukar kira-kira dua kilometer dari rumahnya, namun kehilangan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun masih menimbulkan tanda tanya penduduk kampung yang mengesyaki kemungkinan mangsa’`disorok’ makhluk halus.
Baharom Mohd Piah yang tidak lagi mampu berjalan dikatakan hilang dari rumahnya di Kampung Temung Hulu, di sini, sebelum ditemui penduduk kampung bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang melakukan operasi besar-besaran mencarinya.
Usaha menjejaki mangsa berhasil apabila lelaki warga emas itu ditemui dalam keadaan terbaring kesejukan dan terpinga-pinga di kawasan belukar tidak jauh dari rumah seorang penduduk kampung.

Anehnya, lokasi mangsa ditemui itu sudah beberapa kali digeledah petugas JPAM, namun kelibat mangsa tidak ditemui sebelum ini.


Anak mangsa, Mohd Shabli, 59, berkata bapanya ditemui terbaring di kawasan belukar dengan badan ditutupi daun dan ranting kayu.

‘Arwah tetap mahu pulang beraya bersama kakak’

PADANG BESAR: “Arwah tetap nak balik menyambut Aidiladha lalu walaupun hanya cuti sehari selepas tahu kakak-kakaknya juga pulang,” kata Zaiton Mat Desa, 31, kakak kepada Konstabel Mohd Nor Adrizan Mat Desa, 22, yang maut bersama rakannya dalam kemalangan di Jalan Lahat, Simpang Pulai, Perak, kelmarin.
Zaiton berkata, arwah adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan begitu rapat dengan keluarga menyebabkannya tetap mahu pulang ke kampung.

“Arwah mengambil keputusan pulang meraikan Aidiladha bersama kakak-kakaknya walaupun hanya bercuti sehari.

“Saya nampak arwah termenung seperti memikirkan sesuatu. Sepanjang kepulangannya kali ini, dia banyak menghabiskan masa di rumah berbanding sebelum ini sering keluar berjumpa rakan sekampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felcra Lubuk Sireh, Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.

Menurutnya, adiknya pernah mendapat tawaran menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun menolak kerana minat mendalam dunia kepolisan.

“Adik saya memang minat menjadi polis dengan mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi setahun lalu dan menolak menyertai TUDM.


“Kehilangan arwah begitu dirasai kami sekeluarga kerana dia satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa bersama rakannya, Konstabel Mohd Zaihasrul Reza Mohd Zaidi, 22, maut di tempat kejadian selepas merempuh lori berhampiran Jalan Lahat, Simpang Pulai, Perak.

Bekalan masih terhad

KUALA LUMPUR: “Bekalan makanan masih ada, namun agak sukar untuk kami menjalani kehidupan harian dengan Internet dan bekalan elektrik yang terhad.
“Ada rakan mendapatkan perlindungan di rumah sebuah keluarga rakyat Malaysia di West Haven, Connecticut kerana di situ keadaan lebih baik,” kata pelajar Malaysia, Fauzan Afandi.

Dalam e-melnya, penuntut di Stevens Institute of Technology, Hoboken, New Jersey itu berkata, walaupun bandar raya New York kini lengang berikutan taufan Sandy sejak Isnin lalu, cahaya lampu yang kelihatan sedikit sebanyak memberikan semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

Ketika ini katanya, penduduk di kawasan sekitar yang terjejas berusaha membersihkan kawasan termasuk polis dan bomba selain pekerja mengutip sampah di Hoboken.

“Kami juga terpaksa menyewa kereta untuk keluar dari kawasan bencana bandar Rutherford yang terletak lebih kurang 12 batu daripada Hoboken untuk ke Connecticut.

“Di sana, kami membuat persediaan untuk memulakan pengajian yang dijangka pada minggu depan. “Penggunaan alat telekomunikasi terhad malah saya perlu pergi ke tempat tinggi bagi mendapatkan liputan Internet,” katanya.

Pemandu lori 19 tahun ditahan reman

ALOR SETAR: Polis mengesahkan menahan reman pemandu lori berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kemalangan ngeri mengorbankan empat beranak di Jalan Pendang-Kebun 500 berhampiran Kampung Permatang Limau, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pemandu dari Kubur Panjang, Pendang, direman mulai semalam hingga Isnin.

Menurutnya, pemandu itu ditahan selepas membuat laporan kemalangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, malam kelmarin.

“Kami sudah tahan pemandu itu bagi membantu siasatan dan masih menyiasat sama ada pemandu itu memiliki lesen memandu atau tidak,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, lori itu akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mengetahui masalah teknikal atau sebaliknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, orang ramai boleh memperoleh lesen memandu ketika berusia lebih 17 tahun, tetapi bagi lesen memandu kenderaan barang (GDL), ia hanya dikeluarkan kepada mereka yang sudah ada lesen memandu dan berusia lebih 21 tahun.

Pokok tumbang, ibu kota sesak

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan hujan lebat yang melanda ibu negara semalam, menyebabkan beberapa pokok tumbang di Jalan Kinabalu berhampiran Masjid Negara, di sini.
Kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lebih lima kilometer di jalan berkenaan hingga ke Bulatan Sungai Besi.

Pasukan kecemasan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (Itis), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis trafik yang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian mengambil masa setengah jam untuk melakukan kerja pemotongan pokok dan pembersihan jalan.

Bagaimanapun, tiada kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian tiada kenderaan melalui lokasi terbabit.

Sebelum itu, seorang pemandu kereta Proton Waja cedera ringan selepas kenderaannya terbalik akibat hilang kawalan di Bulatan Pahang menghala Jalan Tun Razak, di sini.

Kemalangan jam 12.40 tengah hari itu berlaku apabila Proton Waja yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.


Dua kenderaan masing-masing Proton Wira dan Savvy yang tidak sempat mengelak merempuh kereta terbabit dan menghalang laluan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu terbabit terselamat dan tidak cedera.

Semua kenderaan mangsa dialihkan Itis sejam kemudian.

Laman sosial sokong murtad kembali aktif

PUTRAJAYA: Tidak serik! Selepas lebih lapan bulan menyepikan diri, kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai penyokong murtad di Malaysia dan Singapura melalui laman sosial facebook (FB) dikesan kembali aktif sejak akhir bulan lalu.
Masih menggunakan nama sama iaitu ‘Murtads in Malaysia and Singapore’, kumpulan dipercayai ditubuhkan individu menggelarkan dirinya Zainab Abu Salama terbuka keahliannya kepada mereka yang murtad dari Islam termasuk sesiapa ingin menyumbangkan sokongan moral kepada mereka.

Berdasarkan pemerhatian, laman sosial itu didapati mula diaktifkan kembali pada 28 Oktober lalu dengan kebanyakan ‘posting’ dan komen dimuat naik pengendali terbabit berunsurkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan Islam yang dikhuatiri mencetuskan kebimbangan umat Islam.

Ada komen terlalu melampau, antaranya seperti dipetik: “Tuhan saya adalah internet. Dia tidak beranak dan diperanakkan. Dia juga tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Nampaknya Tuhan internet berjaya melindungi saya dari bahaya dan sangat bermanfaat kepada saya. Tuhan internet lagi berkuasa.” Satu lagi ‘posting’ yang dianggap kurang ajar ialah penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Pengendali laman itu dilihat turut memperlekehkan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) kerana mendakwa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

Februari lalu, Harian Metro pernah melaporkan kewujudan kumpulan terbabit dan laman sosial berkenaan disekat pihak berkuasa serta digodam sebuah kumpulan penggodam bergelar ‘Dragon Force’ hingga ditutup.


Menurut maklumat di laman itu, objektif utama kumpulan terbabit ialah menjadikan sistem sokongan moral kepada mereka yang murtad dari Islam di Malaysia dan Singapura serta perbincangan terbuka kepada perkara berkaitan persoalan murtad di dua negara berkenaan, Islam dan juga perkara berkaitan Melayu.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 129 individu didapati menyukai pautan dinding kumpulan itu yang mempunyai 18 ‘posting’ secara keseluruhan merangkumi gambar dan tulisan serta petikan ayat berbaur penghinaanterhadap agama Islam.

Bagi mereka yang memasuki laman berkenaan dan cuba berdakwah atau menentang perbuatan serta perbincangan yang dimuatnaik akan dihentam sewenang-wenangnya, sekali gus menjadikan ruang maya itu seolah-olah pentas perdebatan bebas tanpa batasan moral.

Malah, pengendali akaun FB terbabit turut menjadikan laman itu sebagai tempat perlindungan kepada golongan murtad di kedua-dua negara.

“Ini boleh menjadi tempat yang selamat, penuh dengan dorongan dan sokongan kepada apa jua pilihan dibuat oleh mereka yang murtad,” demikian antara petikan daripada laman sosial ‘Murtads in Malaysia and Singapore’ berkenaan.

Katanya, tanggungjawab pihaknya menerima golongan murtad sebagai pihak yang berhak membuat pilihan sendiri tanpa halangan mana-mana pihak, malah berhak untuk hidup dan bebas daripada hukuman syariah.

500 kucing diselamat

NANJING: Pihak berkuasa menahan sebuah lori mengangkut lebih 500 ekor kucing yang dipercayai bakal dijadikan makanan di restoran China.
Menurut media, lori berkenaan ditahan apabila polis di Xuzhou di wilayah Jiangsu, mendapati ia dalam keadaan mencurigakan.

Jurucakap polis berkata, selepas ditahan, pemandu lori berkenaan mendakwa dia membawa arnab.

“Bagaimanapun, anggota polis terdengar bunyi kucing dari dalam lori berkenaan.

“Apabila kanvas penutup lori itu dibuka, polis mendapati ia dipenuhi sangkar lusuh dan berkarat berisi kucing,” katanya.

Media melaporkan, permintaan untuk daging kucing meningkat di China, terutama di bahagian selatan negara itu. Keadaan itu menyebabkan kucing semakin mahal atau sukar ditemui di wilayah Guangdong. - TS

AS kerugian RM152b

NEW YORK: Taufan Sandy meninggalkan penghadang pulau di New Jersey kepada tanah tandus berbahaya di pinggir laut terhakis, memusnahkan kediaman menghadap laut, membanjiri jalan raya dan merosakkan kemudahan awam. Sebuah firma ramalan menganggarkan jumlah keseluruhan kerosakan dihadapi Amerika Syarikat akibat taufan itu boleh mencecah hingga AS$50 bilion (RM152 bilion).
Bandar raya New York kembali kepada kehidupan seharian secara perlahan-lahan, dimulai dengan pembukaan sebahagian daripada laluan utama kereta api bawah tanah semalam selepas tiga hari dilanda taufan itu.

Bagaimanapun, jirannya, New Jersey dikejutkan dengan kemusnahan pantai dan berita ribuan orang di bandar raya itu masih terperangkap akibat air kotor banjir yang kian meningkat. Firma ramalan, Eqecat menganggarkan jumlah keseluruhan kerosakan di negara itu mencecah RM152 bilion, menjadikan ia taufan kedua membabitkan kerugian besar selepas taufan Katrina dalam sejarah negara itu. Anggaran itu, termasuk kerosakan hartanah dan kehilangan perniagaan. Di seluruh negara, jumlah keseluruhan korban nyawa mencecah lebih 90 orang. New Jersey yang dulunya adalah pinggir pantai Atlantik yang bersih dan terkenal dengan Bruce Springsteen serta rancangan televisyen “Jersey Shore” kini musnah. Sesetengah penduduk akhirnya dapat melihat sisa kediaman mereka: Sandy memusnahkan kediaman, premis perniagaan dan titian kayunya. - AP

Peniaga nyaris pengsan kain RM1 juta terbakar

IPOH: Seorang ahli perniagaan hampir pengsan apabila kedai tekstil miliknya yang memuatkan kain bermutu tinggi bernilai ratusan ribu ringgit terbakar lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, kedai dua tingkat milik mangsa, Surinderjit Singh, 40-an, di Jalan Sultan Yusuff, di sini, terbakar menyebabkan stok fabrik import, pakaian dan kelengkapan sempena Deepavali musnah membabitkan kerugian hampir RM1 juta. Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berehat di rumah dan terkejut sebaik dimaklumkan rakan mengenai kebakaran itu sebelum bergegas ke kedai untuk melihat keadaan sebenar. “Sebaik tiba, api marak membakar seluruh kedai dan tiada barangan dalam kedai dapat diselamatkan. “Malah, semua dokumen penting perniagaan dan stok kain ela yang baru tiba dari India hangus,” katanya. Katanya, dia sedih dan tidak tahu apa patut dilakukan berikutan kerugian besar dialami.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Nasir Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.51 malam sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian. Menurutnya, tiga jentera bersama 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, api sudah membakar hampir 85 peratus kedai berkenaan dan berjaya dikawal 10 minit kemudian daripada merebak ke bangunan bersebelahan. “Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Suami isteri nyaris ditikam selepas telefon dilarikan

AMPANG: Sepasang suami isteri nyaris ditikam dengan botol kaca pecah gara-gara cuba mengambil semula telefon bimbit yang dilarikan seorang lelaki warga Afrika di Pandan Perdana, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, pasangan berusia 27 tahun itu singgah di sebuah kedai nombor ekor di Pandan Perdana manakala si isteri yang ke kaunter untuk membeli nombor terbabit, meletakkan telefon bimbit Samsung Galaxy S Plus di tepinya.

Menurut sumber, tiba-tiba suspek muncul lalu mengambil telefon bimbit itu sebelum melarikan diri menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit meminta tolong.

“Suaminya yang menyedari kejadian itu cuba mengejar suspek, namun gagal. Mereka yang tidak berpuas hati kemudian mencari lelaki itu di sekitar kawasan terbabit.

“Usaha mereka berjaya apabila menemui suspek sedang makan di sebuah restoran kira-kira jam 8 malam di kawasan Pandan Perdana,” katanya.

Sumber berkata, pasangan suami isteri terbabit kemudian bersemuka dengan suspek dan meminta dia memulangkan semula telefon mereka, namun lelaki itu enggan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.


“Pertengkaran terbabit menjadi lebih ganas apabila suspek memecahkan botol kaca dan cuba menikam mereka, namun gagal. Mangsa yang bimbang, beredar dari situ dan meminta bantuan rakan.

“Mangsa bersama rakan kemudian bersemuka semula dengan suspek dan sekali lagi meminta dia menyerahkan telefon itu, tetapi tetap gagal, malah lelaki itu bertindak lebih ganas membaling botol kaca ke arah mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka yang bimbang dengan amukan suspek, beredar dan membuat laporan di Balai Polis Pandan Perdana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tebuk dinding

KOTA KINABALU: Sekumpulan penjenayah memecah masuk restoran nasi ayam dan menebuk dinding premis itu untuk masuk ke kedai emas bersebelahan sebelum melarikan tujuh rantai emas bernilai lebih RM10,000, semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi di pekan Telipok, di sini, penjenayah terbabit dipercayai mengambil masa kurang 30 minit memecahkan dinding memisahkan restoran dan kedai emas yang hanya diperbuat daripada papan lapis.

Menurut sumber, pemilik kedai emas itu menyedari kejadian selepas alat penggera keselamatan berbunyi dan sebaik tiba di tempatkejadian dia mendapati kedai berselerak dan sebahagian barang kemas hilang.

“Turut ditemui di tempat kejadian adalah tukul dan pahat yang dipercayai digunakan penjenayah menebuk lubang pada dinding yang memisahkan kedai emas itu dengan restoran bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, Laura Lady Dail, 25, berkata, dia diberitahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi pemilik kedai emas.

“Saya dan suami terus ke restoran kami dan terkejut apabila mendapati jeriji kedai terbuka luas manakala dua mangga kunci dipecahkan.


“Sebaik memasuki restoran, saya melihat dinding kedai kami dipecahkan dan ada ruang kecil yang menembusi kedai emas berkenaan,” katanya.

Laura berkata, barangan di restoran tidak diusik dan dia percaya premis itu hanya menjadi laluan perompak untuk ke kedai emas bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang tidak bertopeng memecahkan rak pameran dan melarikan tujuh rantai emas bernilai lebih RM10,000.

“Polis masih melakukan siasatan sama ada kegiatan ini dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan,” katanya.

Kes rompakan ini yang kedua dalam tempoh tiga hari membabitkan kedai emas di bandar raya ini. Pada Rabu lalu, sebuah kedai emas di Wisma Merdeka dirompak tiga lelaki membabitkan kerugian RM34,000.

Berterusan dilanda bah

TENGGELAM...banjir di Jalan Kebun, semalam.
TENGGELAM...banjir di Jalan Kebun, semalam.
KLANG: Hampir 600 keluarga di Kampung Johan Setia, Kampung Sri Nadi, Kampung SC, Kampung Bukit Naga, Kampung Baru Dua, Kampung Baru Satu dan Taman Malindo, di sini, bagaikan tidak sempat bernafas kerana banjir kilat yang melanda Rabu lalu, berulang lagi petang semalam berikutan hujan lebat tanpa henti lebih tiga jam.
Nasib malang penduduk kawasan itu berterusan kerana pada 19 Oktober lalu, rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter. Hujan lebat bermula jam 5 petang yang mengakibatkan banjir kilat itu menenggelamkan hampir keseluruhan laluan masuk dan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, di sini, sehingga pelajar dan guru terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang selepas tamat sekolah sesi petang.

Penduduk, Anuar Aziz, 41, ketika ditemui berkata, banjir kilat menjadi ancaman biasa di kalangan penghuni di kawasan itu.

“Dalam keadaan ini perlu saling membantu kerana kebanyakan jiran kami yang menjadi mangsa sedang bekerja,” katanya.

Penduduk lain, Kholik Suharno, 50, pula mendakwa banjir kilat semalam antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

“Kami tahu hujan tidak boleh dihalang, tetapi pihak berkenaan perlu memastikan semua sistem pengairan seperti parit mengalirkan air selepas hujan lebat. Sesiapa pun tak boleh tahan kalau banjir sentiasa melanda kerana ia menyebabkan kami sentiasa kerugian,” katanya.


Seorang lagi mangsa, Samsi Sarmin, 52, dari Kampung Baru Dua, berkata, banjir kilat kali ini antara terburuk kerana sebelum ini air tidak memasuki rumahnya.

Katanya, walaupun parit utama berdekatan sudah diselenggara, air melimpah dan memasuki rumah walaupun beliau mengeluarkan ribuan ringgit membina tembok di tepi parit berkenaan.

“Air baru sahaja surut semalam (kelmarin), tetapi hujan terlalu lebat menyebabkan air parit melimpah. Kami terpaksa mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini, tambahan pula hujan belum reda,” katanya.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah di Kampung Johan Setia dan Kampung SC yang membabitkan hampir 200 rumah.

Menurutnya, beberapa pegawai JKM membantu menguruskan pendaftaran mangsa banjir dan menasihatkan mereka supaya segera berpindah ke tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang lagi suspek laku pembunuhan beramai-ramai ditahan

COTABATO: Pihak berkuasa Filipina menahan seorang lagi lelaki yang mempunyai kaitan dengan pembunuhan beramai-ramai terburuk di negara ini yang mengorbankan 58 orang pada 2009, kata polis semalam.
Abedin Alamada ditahan di ladangnya di Mindanao kelmarin dan kini berdepan dakwaan membunuh ekoran insiden pembunuhan yang mengejutkan negara itu. Superintendan Kanan Randolf Delfin berkata, Alamada adalah pengikut suku kaum Ampatuan yang berkuasa, di mana anggotanya dituduh melakukan pembunuhan itu bagi mengelak pesaing Ampatuan memenangi jawatan gabenor. “Pemberi maklumat kami berkata, Alamada terbabit dengan pembunuhan sebenar dalam jenayah yang berlaku pada 2009 itu,” katanya. - MT

Bakar rumah bekas awek

TAPAH: Gara-gara cintanya ditolak, seorang lelaki berusia 22 tahun bertindak di luar batasan apabila mengamuk dan membakar sebuah kereta dan tiga motosikal diletakkan di pekarangan rumah gadis pujaannya di Taman Highland Park, di sini.
Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, suspek dikatakan turut membawa empat samseng untuk menyerang rumah gadis berusia 19 tahun itu bagi melepaskan kekecewaannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga bekas teman lelaki gadis berkenaan membawa tong berisi petrol untuk membakar kereta Proton Persona serta tiga motosikal milik keluarga mangsa.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bertindak ganas apabila membawa parang dan cuba menyerang gadis berkenaan yang ketika itu sedang tidur di dalam bilik.


“Gadis itu bekerja di sebuah kilang berhampiran dan terkejut sebaik mendengar bunyi cermin pecah di ruang tamu rumahnya sebelum memberanikan diri untuk meninjau.

2 warga Singapura ditahan seludup 4.5kg heroin

SYDNEY: Dua rakyat SiIngapura dan seorang warga tempatan didakwa di negara ini semalam kerana menyeludup 4.5 kilogram heroin, kesalahan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Polis Persekutuan Australia memeriksa kenderaan di tepi pantai di Coogee di pinggir Sydney pagi semalam dan menemui 1.5 kilogram bahan dipercayai heroin.

Polis kemudian menyerbu sebuah apartmen di kawasan berdekatan dan menemui 3 kilogram lagi dadah dan wang tunai bernilai Aus$10,000 (RM31,666).

Penemuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dari Queensland berusia 54 tahun dan dua warga Singapura. - AsiaOne

Dadah dalam kereta terbalik

BANGKOK: Polis yang dihubungi ekoran satu kejadian nahas di Lampong semalam mendapati sebuah kereta Honda City terbalik dekat landasan kereta api sebelum menemui 14,000 pil methamphetamine.
Bagaimanapun, pemandunya dipercayai telah melarikan diri.

Polis berkata, pemandunya yang dipercayai memecut kenderaan itu mungkin hilang kawalan sebelum ia terbalik. Ketika membuat pemeriksaan, polis terhidu bau busuk dari sebuah beg galas di dalam kereta berkenaan sebelum menemui dadah terbabit.

Sepucuk pistol dan sebutir peluru .22 turut ditemui dalam kereta itu.

Polis berkata, pemandu terbabit mungkin cedera dan meninggalkan beg galas itu dalam keretanya.

Saksi memberitahu dia melihat seorang lelaki membawa beg galas dipercayai mengandungi lebih banyak dadah meninggalkan kereta itu.


Siasatan membuktikan kereta berkenaan milik seorang wanita di tambon Pichai, di Muang. - Bangkok Post

Bayi tiga bulan maut dipercayai tersedak susu



03/11/2012 2:27am

KUALA LUMPUR – Cucu perempuan kepada Pengarang majalah Wanita, Normala Hamzah meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di sebuah pusat jagaan di Jalan Duta di sini hari ini.
Dalila Haifa Dafrizal Shah, tiga bulan, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tawakal, Jalan Pahang untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira 5 petang tadi, bayi itu ditemui dalam keadaan muka kebiruan dan tidak bergerak oleh ibunya yang datang menjemput dua anaknya dari pusat tersebut.
Rakan sekerja bapa mangsa, Anuar Riza, 28, ketika ditemui di hospital itu berkata, bimbang dengan keadaan anaknya, wanita itu menghubungi suaminya dan bergegas membawa mangsa ke hospital sambil memberi bantuan pernafasan ketika dalam perjalanan.
Difahamkan jenazah Dalila Haifa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU3 Keramat pagi ini dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentul mengenai kejadian itu. – BERNAMA

Pencuri tidur dicekup tuan rumah




FAISAL menunjukkan pinggan dan kuih raya yang dimakan oleh pencuri sebelum dia tertidur di atas sofa di rumahnya di Kemaman semalam.


KEMAMAN – Seorang pencuri yang tertidur di atas sofa selepas menikmati sepinggan nasi di dalam sebuah banglo, dicekup oleh pemilik kediaman itu di Jalan Dato, Chukai di sini pagi Selasa lalu.
Lebih mengejutkan, pencuri berusia 35 tahun itu dipercayai membawa sendiri nasi, daging goreng, petai serta pinggan ketika memecah masuk rumah tiga tingkat itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, pemilik rumah, Kamsiah Wan Othman, 59, menyedari kelibat suspek ketika dia ingin mengemas bilik tidurnya sejurus menyediakan sarapan pagi dan solat Subuh.
Anak Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata, sebelum keluar dari bilik tidur untuk berwuduk kira-kira pukul 6 pagi, ibunya ternampak tiga buah beg dan bungkusan di laluan keluar dari bilik tidurnya tetapi menyangka ia milik anak-anaknya.
“Setelah selesai menyediakan sarapan dan ingin masuk semula ke bilik, ibu melihat seorang lelaki sedang nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua. Dia kemudian bertanya kepada saya sama ada lelaki tersebut merupakan rakan saya.
“Saya yang terkejut dengan pertanyaan ibu bergegas untuk melihat lelaki itu. Saya kemudian mengejutkannya dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas kami bergelut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.