Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Sedar-sedar tanya mak

ALOR SETAR: “Muhd Iqbal sudah sedar malam tadi (kelmarin), tetapi kami masih merahsiakan berita kematian keluarganya,” kata Sahron Awang Kechik, 50, bapa saudara kepada Muhd Iqbal Zakuan Shafie, 15.
Muhd Iqbal antara satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan ngeri mengorbankan empat beranak termasuk ibu bapa serta dua abangnya selepas kereta mereka naiki bertembung lori seberat dua tan dalam kemalangan ngeri di Jalan Pendang-Kebun 500 berhampiran Kampung Permatang Limau, di sini, kelmarin.

Sahron berkata, keadaan Muhd Iqbal sudah stabil, cuma dia mengalami trauma dan kelihatan tidak bermaya akibat kejadian itu.

“Sejak kejadian petang semalam (kelmarin), mangsa tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke zon merah (kritikal) hospital ini. Bagaimanapun, Muhd Iqbal kembali sedar kira-kira jam 9.30 malam tadi (kelmarin), tetapi keadaannya masih lemah.

“Apabila tersedar, dia terus bertanyakan keadaan ibu bapa serta abangnya menyebabkan kami terpaksa merahsiakan berita itu kerana bimbang menjejaskan kesihatannya.

“Kami terpaksa memberitahu ibu bapa serta dua abangnya dimasukkan ke wad bersebelahan dan dirawat bagi mengelak dia tertekan dan trauma dengan kejadian yang berlaku,” katanya yang ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam.


Menurutnya, Muhd Iqbal cedera parah di muka dan patah paha kanan perlu menjalani pembedahan segera.

“Mengikut doktor merawat Iqbal, dia perlu menjalani pembedahan kecil kerana doktor mahu menebuk besi di paha kanan bagi menarik semula tulang kakinya.

“Dia sudah boleh makan serta minum dan kini ditempatkan di wad biasa hospital ini awal pagi tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata, keadaan Muhd Iqbal semakin stabil.

Kereta remuk langgar pasu bunga



Mak Yam
Kereta terbabit remuk di bahagian hadapan selepas melanggar pasu bunga di tengah pembahagi jalan, kelmarin.
KOTA BHARU- Sebuah kereta jenis Proton Saga remuk di bahagian hadapan, selepas melanggar pasu bunga di tengah pembahagi jalan di Jalan Kuala Krai- Kota Bharu, di sini, pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika pemandu kenderaan terbabit bersama seorang anaknya, dipercayai menuju ke Hospital Pakar Perdana untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Saksi kejadian, Mak Yam, 60, berkata ketika itu, dia berada di dalam rumah yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari kawasan kejadian dan terdengar bunyi rempuhan yang kuat lalu terus keluar dari rumah menyaksikan kejadian itu.
“Terkejut apabila melihat pasu bunga berada betul-betul di atas cermin kereta itu, saya juga nampak seorang lelaki duduk di bahagian pemandu berusia dalam lingkungan 50-an bersama anaknya yang berada di tempat duduk belakang dalam kereta itu
“Mujurlah anaknya duduk di bahagian belakang, jika tidak mungkin dia mengalami kecederaan parah akibat rempuhan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dipercayai pemandu yang berasal dari Rantau Panjang itu mengantuk sehingga menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas di tengah pembahagian jalan serta merempuh pasu bunga itu.
Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan, kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke hospital untuk menerima rawatan susulan.

Eksekutif jatuh di kafe Domino's Pizza dapat RM25,000

KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif yang mengalami kecederaan akibat terjatuh di kafe Domino's Pizza hari ini memperoleh ganti rugi berjumlah RM25,000 daripada syarikat pengurusan kafe terbabit.
 
Syarikat Grand Synergy Sdn Bhd dan Dommal Management Sdn Bhd bersetuju membayar jumlah itu kepada Zalina Ali, 44, dan direkod sebagai persetujuan tanpa pengakuan liabiliti.
 
Peguam Adnan Seman yang mewakili Zalina memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Unaizah Mohd telah merekodkan penghakiman persetujuan itu dan jumlah RM25,000 adalah sebagai ganti rugi serta kos.
 
Pada 1 Jun lalu, Zalina memfailkan saman berjumlah RM1.5 juta dengan mendakwa pihak defendan yang bertanggungjawab menguruskan cawangan Domino's Pizza di The Weld 76, Jalan Raja Chulan, tidak meletakkan sebarang tanda untuk membezakan permukaan lantai yang tidak rata hingga menyebabkan beliau terjatuh dan lengan kanannya mengalami keretakan.
 
Syarikat Grand Synergy Sdn Bhd dan Dommal Management Sdn Bhd pula dalam pernyataan pembelaan pada 27 Ogos lalu berkata kemalangan yang menimpa Zalina disebabkan kecuaiannya sendiri yang bersikap melulu. - Bernama

Remaja miliki 4 rekod jenayah diarah ke Henry Gurney

KUALA TERENGGANU - Walaupun usianya baru menjangkau 18 tahun, seorang remaja sudah memiliki empat rekod jenayah lampau berhubung kesalahan dadah.
Dia juga dilihat seolah-olah tidak pernah serik apabila rekod kesalahan lampaunya menunjukkan tidak sampai tempoh setahun dijatuhi hukuman, dia masih mengulangi kesalahan sama.
Semalam, buat kali keempat, anak keenam daripada 10 beradik itu yang berasal dari Taman Purnama, Kuala Ibai, di sini, mengaku salah memiliki dadah berbahaya Methamphetamine seberat 0.40 gram di Mahkamah Majistret, di sini.
Dia yang hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama itu pada 13 Mac lalu lebih kurang jam 10.45 malam di sebuah rumah di Taman Purnama, Kuala Ibai, di sini.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed manakala remaja itu tidak diwakili peguam bela.
Sejurus pengakuan bersalahnya direkodkan dan meneliti laporan akhlak yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rozianti mengarahkan remaja tersebut dihantar ke Sekolah Henry
Gurney, Teluk Mas, Melaka, selama tiga tahun iaitu sehingga usianya 21 tahun.
Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan dikediaman remaja itu dan berjaya menjumpai satu kotak rokok berwarna merah di atas lantai berhampirannya sebelum menemui dua paket plastik lut sinar yang setiap satu berisi 10 biji pil warna merah disyaki dadah.
Selain itu, polis turut menjumpai satu tiub straw cerah berisi lima biji pil berwarna merah juga disyaki dadah.

Bekas Ketua Polis Balai dituduh rogol gadis



Mahmad Bidin
Tertuduh yang menutup mukanya dengan pakaian meninggalkan mahkamah selepas menjelaskan denda berkenaan, semalam.
KOTA BHARU – Seorang bekas ketua polis balai di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.
Anggota berpangkat Sarjan Mejar itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mahmad Bidin, 52, dituduh merogol mangsa di Pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Binjai di sini pada jam 2.30 petang, 15 Oktober 2009.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam bela, Rosmizan Sulaiman memohon jaminan minimum dikenakan berikutan anak guamnya itu menerima separuh gaji akibat ditahan kerja.
Hakim Azman Abdullah yang mempertimbangkan rayuan itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh berkomunikasi dengan mangsa.
“Jika gagal dipatuhi, jamin secara automatiknya terbatal,” katanya.

Cermin kereta dipecah angkara dendam



Che Roziani Ani
Kenderaan milik Roziani dipecahkan individu tidak dikenali dipercayai bermotifkan dendam.
KUALA LUMPUR – Cermin kereta milik Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Projek Perumahan Rakyat (PPR), Beringin, Kepong, dipecahkan individu tidak dikenali, kelmarin.
Kejadian hanya disedari selepas mangsa, Che Roziani Ani, 46, ingin menggunakan kenderaan itu yang diletakkan di kawasan parkir Blok E itu kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, sehari sebelum kejadian dia ada menerima panggilan ugutan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali menyuruhnya menanggung hutang orang lain yang mengalami masalah kewangan.
“Saya tidak kenal orang yang menghubungi tetapi nama yang disebut menghadapi masalah kewangan itu saya kenal,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau berkata, lelaki itu mahu dirinya bertanggungjawab menanggung hutang individu terbabit, jika enggan dia akan berbuat sesuatu kerana tahu beliau tinggal di mana.
“Bila terima ugutan begitu saya terus buat laporan polis hari yang sama kerana bimbangkan keselamatan diri.
“Mungkin dia marah selepas dapat tahu saya buat laporan polis menyebabkan kereta saya jadi sasaran,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa kerugian ribuan ringgit selepas dua cermin bahagian kiri kereta Toyota Estima miliknya dipecahkan dipercayai menggunakan besi, bagaimanapun tiada barangan di dalam kereta yang dicuri.
Susulan itu, satu lagi laporan dibuat di Balai Polis Jinjang berhubung kejadian dan beliau mahu polis memberkas suspek yang terlibat kerana keselamatan keluarganya kini terancam.

Sembunyi diri dalam tandas



Mohd Yusof Hashim
Kamalludin (kanan) menyoal seorang warga asing yang ditahan ketika dibawa ke Pejabat Imigresen negeri di Ayer Keroh, semalam.
AYER KEROH - Sepasang kekasih sanggup berkurung dalam tandas sebaik saja menyedari rumahnya didatangi sepasukan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka (JIM), di Malim, dekat sini malam kelmarin.
Pasangan warga Indonesia berusia 25 dan 24 tahun itu berbuat demikian kerana takut dicekup kerana tinggal di negera ini melebihi tempoh dibenarkan.
Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan, anggota penguatkuasa terpaksa bertindak memecahkan pintu rumah selepas ia gagal dibuka, meskipun sudah diketuk selama lebih lima minit.
“Sebaik pintu dipecahkan, kelihatan tiga penghuninya sedang leka memasak di dapur. Manakala pemeriksaan dijalankan anggota kami menemui pasangan berkenaan yang sedang menyorok di dalam tandas rumah berkenaan," katanya.
Beliau berkata, tiga lagi penghuni rumah berkenaan mempunyai permit kerja yang sah, manakala pasangan terbabit terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, operasi yang dikenali sebagai Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) di sekitar negeri bermula 9 malam kelmarin, dan berakhir kira-kira enam jam selepas itu.
Operasi diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen Salmah Omar dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen, Mohd Yusof Hashim bersama 13 anggota penguatkuasa sekitar kawasan Bukit Beruang, Malim dan Taman Melaka Raya.
"Seramai 27 orang lagi ditahan, selain tinggal lebih masa, kebanyakan mereka ditahan atas kesalahan masuk tanpa permit sah dan melanggar syarat permit atau pas sempadan.
“Mereka terdiri daripada warga Vietnam, China, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, India dan Thailand,” katanya.

Aksesori kereta mewah dicuri



HASNIZA HUSSAIN
1 November 2012
aksesori - pecah
Keadaan kereta berselerak selepas tiga lelaki mengambil aksesori seperti radio dan pemain cakera.
KAJANG - Sebuah kedai kereta terpakai yang baru dua bulan beroperasi rugi kira-kira RM30,000, setelah premis itu dipecah masuk dan pelbagai aksesori tiga kereta mewah turut dicuri dalam kejadian di Lot 39, Batu 12, Bukit Dukong,

Jalan Cheras, semalam. Kejadian hanya disedari pemilik kedai, Chong Yew Hor, 29, kira-kira jam 7 pagi apabila dia dan pekerjanya memulakan perniagaan semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kedai menunjukkan cermin tiga dari 40 kereta terpakai pelbagai jenama yang berada di situ dipecahkan oleh penjenayah.

"Tiga kereta terbabit adalah Toyota Alphard, Subaru Impreza dan Mitsubishi Lancer.

"Semua aksesori kereta berkenaan antaranya radio, televisyen, pemain cakera padat digital termasuk cermin sisi bernilai kira-kira RM30,000 dilarikan penjenayah," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku hampir 30 minit bermula jam 4.16 pagi dan terdapat tiga lelaki memakai topi keledar yang disyaki terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Kita dah periksa CCTV premis, namun ia tidak banyak membantu kerana rakamannya kurang jelas dan sukar untuk mengecam identiti penjenayah terlibat.

"Bagaimanapun petunjuk awal yang kita peroleh terdapat empat individu memakai topi keledar berada dalam kedai dan kita percaya mereka menggunakan topi keledar sebagai alat untuk memecahkan cermin kereta," katanya.

Menurutnya, siasatan awal tidak menemui sebarang senjata atau peralatan lain yang mungkin digunakan dalam kejadian.

Katanya, tiada pengawal keselamatan ditempatkan untuk menjaga premis itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

'Keropok lekor juadah terakhir'



Abdul Halim Zulkifli
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke HSNZ Kuala Terengganu.
MARANG – “Arwah ceria sepanjang lebih sejam berada di kolam pancing di Kampung Panji, Kuala Terengganu dan kami sempat makan keropok lekor dan minum air batu campur bersama sebelum pulang semula ke Marang,” kata Mohd Arif Hilmi Rosmadi, 16.
Mohd Arif adalah rakan kepada Abdul Halim Zulkifli, 16, yang maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang kira-kira jam 5.15 petang di sini, kelmarin.
Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Safiah Murni di sini, dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terlanggar belakang sebuah lori yang membuat pusingan U berpatah balik ke Bukit Payung dari Kuala Terengganu.
Menurut Mohd Arif, sebelum kejadian itu mereka berlima berumur antara 15 hingga 23 tahun menunggang tiga buah motosikal termasuk Abdul Halim yang menunggang sendirian, bertolak pulang dari kolam pancing tersebut kira-kira jam 4.35 petang.
“Dia (arwah) terlanggar belakang lori itu lalu terperosok di bawah lori sebelum terjatuh di atas jalan apabila lori itu bergerak. Salah seorang rakan kami segera memberhentikan motosikal lalu menahan sebuah kereta untuk membawanya ke klinik.
“Selepas berjaya menahan sebuah kereta dia (arwah) kemudiannya dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan, manakala pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan pula memberhentikan kenderaannya di tepi jalan,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Halim pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa di sini disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Payung.
Sementara itu, ibu mangsa, Norasmawati Khamis, 48, berkata, dia hanya mengetahui kejadian kemalangan menimpa anak keempatnya itu selepas perkara itu dimaklumkan kepadanya melalui panggilan telefon, lalu bergegas ke klinik tersebut.
“Tiada apa yang dapat saya fikirkan ketika itu. Saya terus bertolak dari rumah ke klinik itu selepas dihubungi rakan anak (arwah) untuk melihat bagaimana keadaan anak saya itu,” kata ibu lapan anak yang masih bersedih dengan kehilangan anak lelakinya itu.
Ketika ditanya adakah arwah berkelakuan pelik sebelum kejadian itu berlaku, katanya, arwah anaknya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan jika ada pun dia mungkin tidak perasan kerana tujuh daripada lapan anaknya tinggal bersama.
“Sukar memastikan jika ada anak menunjukkan kelainan sikap daripada biasa kerana apabila mempunyai keluarga besar sudah menjadi kebiasaan seorang ibu berhadapan pelbagai karenah anak setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes kemalangan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Curi dua batang paip besi, kelidan lori dipenjara




1 November 2012
KUANTAN - Akibat kesalahan mencuri dua batang paip besi kepunyaan Loji Indah Water, seorang kelindan lori dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurunaim Abdullah memerintahkan Mohd Jamalulhasny Hamzah, 27, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Tertuduh dan rakannya Mohd Norafhaizul Mohd Rafi, 34, didakwa melakukan jenayah itu di Loji Indah Water, Perumahan Taman Tunas Mahkota Fasa 1, Batu 12 Jalan Gambang, dekat sini pada 5.30 petang, 18 Okt lepas.
Mohd Norafhaizul, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang sama dan mahkamah menetapkan 20 Nov untuk sebutan semula kes.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki dan anak saudaranya didenda RM1,800 setiap seorang selepas mengaku bersalah menceroboh masuk kedai menjual barang wangian pada Februari lepas.
Muhammad Ishak Wan Nek, 30, dan anak saudaranya, Muhammad Naim Ahmad Zamri, 23, didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai No. 134 Jalan Besar di sini, pada 1.45 tengah hari, 3 Feb lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.- Bernama

Wanita cedera akibat diragut, suspek ditahan




31 Oktober 2012
GEORGE TOWN - Seorang wanita menerima dua jahitan di kepala akibat cedera terjatuh dari motosikal semasa beg tangannya direntap seorang peragut di Lebuh Pantai di sini hari ini.
"Yeoh Swee Chin, 28, cedera di kepala akibat terjatuh motosikal tetapi polis berjaya memberkas suspek setelah mengejarnya sejauh dua kilometer," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng    kepada pemberita mengenai kejadian yang berlaku pukul 8 pagi itu.
Beliau berkata polis kemudian membuat pemeriksaan di rumah lelaki berusia 29 tahun itu dan menemui wang tunai termasuk mata wang asing, pelbagai dompet, beg tangan, barang kemas, telefon bimbit dan sebilah pedang samurai.
Katanya suspek yang bekerja sebagai mekanik mempunyai dua rekod lampau melibatkan jenayah ragut dan samun. Dia ditahan reman bagi membantu siasatan.
Dalam tangkapan berasingan, polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 28 tahun di sebuah stesen minyak Jalan Masjid Negeri menerusi 'Ops Kesan' pada pukul 12 tengah hari, 29 Okt lepas.
Gan berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam 17 kes samun yang dilaporkan berlaku di sekitar Tanjung Tokong, Pulau Tikus dan Jalan Patani, dalam tempoh dua bulan ini.
Beliau berkata suspek positif dadah dan hasil pemeriksaan di rumah mereka menemui pelbagai barang curi termasuk kad kredit dan dokumen peribadi kepunyaan mangsa ragut.
"Mereka ditahan reman sehingga 2 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Katanya dengan penahanan ketiga-tiga peragut berkenaan polis percaya dapat menyelesaikan lebih 20 kes samun dan ragut serta menemui 60 peratus daripada barang hilang bernilai RM50,000.- Bernama

‘Kantoi’ depan kedai nasi kandar



C.Murali
Murali (dua kiri) dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret.
GEORGETOWN - Walaupun cuba menutup kesalahan mencuri dengan memotong wayar sistem kamera litar tertutup (CCTV), seorang kontraktor tetap ‘kantoi’ dicekup anggota polis di depan sebuah kedai nasi kandar.
Tertuduh, C.Murali sebelum itu telah pun berjaya menyembunyikan dirinya selama dua hari selepas mencuri di Lebuh Carnavon, namun hasil siasatan anggota polis kemudiannya berjaya menangkapnya di Jalan Penang.
Dia yang berusia 34 tahun itu didapati melakukan kesalahan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri wang tunai RM300 bersama dua biji loket, dua utas rantai dan satu gelang tangan.
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas kesalahan pada 21 Oktober 2012 kira-kira jam 10.30 hingga 11.30 malam itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah pun memotong wayar kamera CCTV sebelum mengambil barangan bilik pengadu.
Atas kesalahan itu, Murali didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara sampai lima tahun dan denda atas kesalahan pecah rumah.
Sementara penjara sehingga 14 tahun pula akan dikenakan bagi kesalahan pecah rumah serta mencuri.
Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman denda atau sebat sekiranya ia adalah kes berulang buat kali kedua dan ketiga.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh dari Jalan Kebun Bunga itu juga didapati melakukan kesalahan pada 23 Oktober 2012 kira-kira jam 2 pagi apabila didapati gagal mengemukakan kad pengenalan dirinya kepada pihak berkuatkuasa.
Ia sekaligus bertentangan dengan peraturan 6 Pendaftaran Negara 1990, dan dengan itu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah peraturan 25 (1) (a) peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000.
Setelah mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan, Murali merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai sakit HIV dan juga batuk kering.
Majistret, Siti Salwa Ja’far kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh dan denda sebanyak RM10,000.
“Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan,” katanya.

Ugut guna bom, peluru: 3 lelaki ditahan



01/11/2012 6:46pm

GEORGE TOWN — Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam enam kes pemerasan dan ugutan jenayah menggunakan peluru dan bom buatan sendiri yang berlaku sejak Mac tahun lepas, dalam satu serbuan di Padang Serai, Kedah semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, serbuan pada 5.30 petang itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara di sebuah rumah di Taman Damai, Padang Serai, Kedah, hasil laporan orang ramai.
Beliau berkata, susulan laporan melibatkan enam kes yang dibuat oleh pengadu sejak Mac 2011, polis menjalankan risikan sehinggalah berjaya menangkap suspek dalam keenam-enam kes itu.
"Dua kes berlaku di daerah SPU (Seberang Perai Utara) dan empat kes berlaku di daerah SPS (Seberang Perai Selatan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Waja, sepucuk pistol jenis semi auto bersama empat butir peluru nobel, dua butir peluru auto jenis .22, sebutir peluru jenis .38, sebutir peluru 9mm, empat biji bom buatan sendiri, 35 biji mercun bola, tiga bekas plastik berisi 'ball bearing' dan lapan buah telefon bimbit.— BERNAMA

Guna kad pengenalan palsu

Tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,500 selepas mengaku salah menggunakan kad pengenalan palsu.
IPOH - Seorang penganggur bakal dikenakan hukuman penjara setelah mengaku bersalah apabila dituduh menggunakan kad pengenalan palsu atas nama dirinya, bulan lalu.

Tertuduh, Aidil Tuah Sulaiman, 38, didapati tanpa sebarang kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu atas namanya sendiri. Tertuduh yang merupakan warga tempatan dikesan melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada jam 9.30 malam, 24 Oktober lalu.

Aidil Tuan dihukum mengikut peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan) 2007. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara, Ahmad Firdaus Che Md Rose menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab menetapkan jaminan sebanyak RM4,500 dan kes akan disebut semula pada 30 November depan untuk fakta kes dan hukuman.

2 lelaki rakyat Bulgaria dihukum gantung edar dadah



2 lelaki rakyat Bulgaria dihukum gantung edar dadah
Dua lelaki rakyat Bulgaria, Ivan Kirov Kostov, 27, dan Georgi Dinev Bakalov, 26, (kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHARU - Dua lelaki rakyat Bulgaria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengedar dadah, tahun lepas.
  
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ivan Kirov Kostov, 27, dan Georgi Dinev Bakalov, 26, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
  
Kostov dituduh mengedar methamphetamine seberat 1,945.6 gram di perhentian bas, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, di sini pada 4.15 petang, 18 Mei 2011.
  
Bakalov pula dituduh mengedar methamphetamine seberat 2,176.85 gram di tempat, tarikh dan waktu yang sama.   

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
  
Dalam penghakimannya Abdul Halim berkata keterangan pembelaan tertuduh merupakan penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan itu.
  
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pritam Singh Doal. - Bernama

Puluhan rumah terbakar angkara suami berang

BANGKOK - Sekurang-kurangnya 25 rumah terbakar dan 10 orang cedera kerana tindakan seorang lelaki yang berang selepas dimarahi isteri, di daerah Bang Khen.

Menurut pegawai polis, insiden itu berlaku selepas suspek, Kachen Bonma yang juga penganggur bertengkar dengan isterinya.

"Isterinya, Jenjira Bonma mengaku berlaku pertengkaran bersama suspek selepas dia pulang lewat kerana keluar minum bersama rakannya," kata Kolonel Winit Srisoongnoen.

Kachen kembali semula bersama rakannya dan bertindak membakar rumah mereka sebagai tanda protes kepada isterinya.

Bagaimanapun, kebakaran itu merebak dengan cepat dan gagal dikawal oleh mereka.

Insiden tersebut turut memusnahkan lebih 25 rumah jiran mereka yang berada di kawasan berhampiran. - Bangkok Post

Majlis kahwin terbakar di Saudi ragut 23 nyawa

RIYADH - Kemeriahan sebuah majlis perkahwinan di Wilayah Timur, Arab Saudi kelmarin, akhirnya bertukar tragedi selepas kebakaran meletus di dalam khemah sehingga meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa termasuk kanak-kanak.

Pihak berkuasa memaklumkan hasil siasatan awal mendapati kebakaran itu berlaku selepas bunga api yang biasanya digunakan semasa majlis perkahwinan mencetuskan kebakaran pada sambungan bekalan kuasa elektrik.

Agensi berita tempatan, semalam, melaporkan satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut dan diketuai oleh gabenor wilayah. - AP

Warga emas maut akibat sesak nafas selepas dirompak



Warga emas maut akibat sesak nafas selepas dirompak
Beberapa anggota polis mengusung mayat warga emas, G. Supama, 68, yang mati selepas disamun di rumahnya di Lorong Keriang Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas yang tinggal sendirian, maut dipercayai akibat sesak nafas selepas mulutnya diikat dengan tuala oleh perompak yang memecah masuk rumahnya di Lorong Keriang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, G. Supama, 68, ditemui terbaring di atas lantai sebuah bilik di tingkat bawah rumahnya dengan tangan dan mulutnya diikat dengan tuala oleh jirannya yang sebelum itu terdengar bunyi bising di rumah itu.
Jiran wanita itu, Chua Chong Kong, 53, berkata dia terdengar bunyi bising dalam rumah mangsa sebelum bersama beberapa rakan pergi ke rumah mangsa untuk melihat keadaan sebenar mangsa yang tinggal bersendirian setelah kematian suami beberapa tahun lepas.
"Kami terpaksa pecah pintu pagar rumah mangsa selepas mangsa tidak menyahut panggilan. Pintu rumah mangsa sudah terbuka dan (kami) terus masuk untuk melihat keadaan mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Chua berkata mereka terkejut melihat mangsa terbaring di atas lantai sambil tangan dan mulutnya diikat dengan tuala, dan ketika itu mangsa masih bernafas.
"Kami angkat mangsa ke ruang tamu untuk memberi bantuan kecemasan dan tidak lama kemudian mangsa tidak lagi bernafas," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Zakaria Ahmad ketika dihubungi berkata perompak itu didapati melarikan barangan kemas yang dipakai mangsa dan siasatan mendapati perompak masuk melalui bumbung atas rumah mangsa.
"Mangsa tidak mengalami kecederaan lain dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhubung punca sebenar kematiannya," katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.- Bernama

Polis tahan warga emas anggota sindiket curi kenderaan

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki warga emas dipercayai anggota sindiket curi dan lerai kenderaan dalam satu serbuan di sebuah gudang yang terletak dalam ladang kelapa sawit di kawasan perindustrian Sungai Siput, Perak semalam.
Polis turut membuat rampasan dianggarkan bernilai RM100,000 dalam serbuan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki itu ditahan berikutan laporan satu kejadian curi kenderaan di Rawang pada 29 Okt lepas.
Beliau berkata melalui risikan yang dilakukan, polis mendapat maklumat mengenai gudang itu yang dijadikan pusat operasi untuk meleraikan kenderaan curi sebelum dijual di pasaran gelap.
"Polis menahan lelaki berusia 64 tahun itu yang dipercayai pemilik gudang berkenaan selain merampas sebuah lori jenis Isuzu yang dilaporkan hilang di Rawang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata turut dirampas sebuah kenderan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dilaporkan hilang pada 2011 di Setapak.
Beliau berkata beberapa komponen kenderaan seperti dua kepala lori, chasis lori serta pintu kenderaan yang telah dipotong dalam bentuk blok juga dirampas dalam serbuan itu.
Menurutnya polis sedang memburu beberapa lagi anggota sindiket terbabit yang masih bebas dan dipercayai bergiat aktif mencuri dan meleraikan kenderaan untuk dijual kepada pelanggan tetap mereka.
Katanya suspek warga emas itu ditahan reman sehingga 4 Nov dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- Bernama

Taufan Sandy mengganas di AS



Ombak besar dibawa Taufan Sandy menghempas pantai di Shinnecock Hills, New York, kelmarin. - Reuters
NEW YORK 30 Okt. - Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh di tujuh buah negeri apabila Taufan Sandy mengganas, membadai kawasan persisiran pantai timur Amerika Syarikat (AS), awal hari ini menyebabkan lebih sejuta penduduk di beberapa negeri terpaksa dipindahkan.
Antara negeri yang mencatat kematian termasuklah New York, New Jersey, Maryland, Pennsylvania, West Virginia dan North Carolina apabila taufan itu melanda AS sejak pukul 8 malam tadi (8 pagi waktu Malaysia hari ini, menjejaskan lebih 50 juta penduduk di wilayah itu.
Kira-kira sejuta penduduk yang terjejas teruk turut dipindahkan.
Taufan gergasi itu membawa kelajuan angin 130 kilometer sejam, melanda kawasan persisiran pantai sejauh beratus-ratus kilometer dengan beberapa negeri dilanda hujan lebat dan bandar-bandar utama lumpuh dengan bandar raya New York paling teruk terjejas.
Presiden Barack Obama mengisytiharkan dekri kecemasan di New York dan New Jersey, selepas taufan tersebut mengakibatkan kira-kira 13,500 penerbangan di seluruh negara dibatalkan semalam dan hari ini.
Bandar raya New York lumpuh apabila sistem pengangkutan kereta api bawah tanah terjejas teruk, terburuk dalam tempoh 108 tahun, sementara kira-kira tujuh juta penduduk di seluruh negara turut mengalami masalah terputus bekalan elektrik.
Satu kebakaran besar di kawasan penempatan di New York City yang banjir, menyebabkan 50 buah rumah musnah, namun hanya dua orang mengalami kecederaan ringan.
Suasana di sekitar pusat bandar Manhattan turut panik apabila banjir setinggi 3.9 meter menenggelamkan terowong-terowong dan stesen kereta api bawah tanah, selain menyebabkan pelancong serta pesakit-pesakit di hospital terpaksa mencari tempat berlindung.
Dalam perkembangan berkaitan taufan gergasi itu, dua buah loji kuasa nuklear masing-masing di New Jersey dan New York ditutup awal hari ini, namun operator loji menyatakan, ia tidak mendatangkan risiko terhadap keselamatan awam.
Pusat Taufan Kebangsaan menyatakan, Sandy yang berubah lemah kini bergerak ke kawasan pedalaman, namun masih mampu menghasilkan angin kencang serta banjir di sepanjang pantai timur.
Sejak membadai Caribbean beberapa hari lalu, taufan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67 nyawa.
Firma pengurusan bencana, Eqecat meramalkan, Sandy boleh menjejaskan kira-kira satu perlima atau 60 juta penduduk AS dan mengakibatkan kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM60 bilion). - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121031/lu_01/Taufan-Sandy-mengganas-di-AS#ixzz2AyQt94Lb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peragut gadis Afghanistan diberkas



KUALA LUMPUR 31 Okt. - Setelah hilang mata pencarian kerana dibuang kerja oleh sebuah restoran di ibu negara baru-baru ini, seorang lelaki Asia Barat memilih jalan singkat untuk menampung kehidupannya di negara ini dengan menjadi peragut.
Tindakannya itu bagaimanapun menjerat diri apabila dia ditangkap malam tadi selepas meragut beg tangan milik seorang pelancong wanita dari Afghanistan berhampiran pusat beli-belah Pavilion di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa berusia 26 tahun sedang berjalan bersama seorang rakannya apabila diragut dua lelaki di kawasan tumpuan pelancong itu.
Beliau berkata, suspek bersama seorang lagi rakan bertindak menarik beg tangan mangsa dan dalam kejadian itu, mangsa enggan melepaskan beg tersebut sehingga berlaku tarik-menarik.
"Mangsa yang diragut menjerit menyebabkan orang awam yang menyedari kejadian itu membantu mengejar kedua-dua suspek.
"Salah seorang suspek berjaya diberkas dan polis menemukan semula beg tangan mangsa mengandungi dompet, jam tangan dan telefon bimbit," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan 'walkabout' di Jalan Petaling di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 25 tahun berasal dari Asia Barat dan memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, suspek mendakwa terpaksa meragut kerana tiada pekerjaan setelah dibuang kerja.
Katanya, suspek juga mengaku sudah melakukan dua kes ragut, tetapi polis percaya dia pernah melakukan banyak kes sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata, dalam program 'walkabout' hari ini, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dan dialog dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur bagi mengetahui masalah dihadapi mereka.
"Kita berpuas hati kerana kawasan Jalan Petaling masalah jenayah adalah terkawal.
"Sejak Januari sehingga kini, hanya ada 63 kes jenayah dilaporkan di sekitar kawasan Petaling iaitu kurang satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah di daerah Dang Wang," katanya.
Zainuddin berkata, bagi memastikan keadaan jenayah dapat diatasi di kawasan tersebut, pihaknya bersetuju untuk menambahkan jumlah anggota sukarelawan (PVR) untuk menjalankan rondaan cegah jenayah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121101/je_05/Peragut-gadis-Afghanistan-diberkas#ixzz2AyQ3XIwH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjenayah mati ditembak polis



SEORANG penjenayah paling dikehendaki polis Kelantan, Zawa Abd. Halim ditembak mati dalam satu kejadian di Kilometer 45 Jalan Machang-Kuala Krai, Machang, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID
MACHANG 31 Okt. - Selepas menembak dua anggota polis, seorang penjenayah tegar dan paling dikehendaki di negeri ini akhirnya maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Kampung Kemumin di sini hari ini.
Penjenayah berasal dari Pasir Mas itu yang diburu polis sejak semalam selepas menembak Lans Koperal Mohd. Shamsul Anuar Mohd. Adnan, 27, di Paloh, Gua Musang ditembak sepasukan polis yang cuba menahannya setelah mengejar lelaki itu.
Terdahulu suspek, Zawa Abdul Halim, 34, menyamun sepasang suami isteri dan melarikan kereta Perodua Myvi milik mangsa yang ketika itu bayi lelaki mereka, Mohd. Haikal Harraz berusia 17 bulan sedang tidur di tempat duduk belakang.
Polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu segera mengejar suspek hampir 100 kilometer sehingga di Kampung Kemumin sebelum kereta Myvi dipandu lelaki itu terbabas.
Suspek kemudian keluar dari kereta untuk melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang turut membalas tembakan tersebut.
Ketika berbalas tembakan suspek terbunuh manakala seorang anggota polis, Koperal Mat Raduan Mat Hassan, 50, cedera parah apabila sebutir peluru menembusi rusuk kanannya.
Anggota polis itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, manakala bayi berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek keluar dari tempat persembunyian kira-kira pukul 6.30 pagi dan menyamun pasangan suami isteri terbabit ketika mereka singgah berehat di Masjid Paloh sejak pukul 3 pagi.
"Suspek mengacukan pistol di leher si suami dan memaksanya keluar dari kereta sebelum menarik isteri mangsa keluar tanpa menyedari terdapat seorang bayi sedang tidur di belakang.
"Selepas itu, suspek segera memecut kenderaan menuju ke arah Machang," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang hari ini.
Pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke Putrajaya dari Melor, Kota Bharu selepas menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha bersama ahli keluarga.
Mazlan berkata, polis berjaya mengesan suspek selepas dia merempuh satu sekatan jalan raya di Batu Jong, Kuala Krai dan segera diekori dua kereta peronda polis namun anggotanya tidak mengambil sebarang tindakan drastik demi memastikan keselamatan bayi berkenaan.
"Namun apabila tiba di persimpangan Kilometer 45, Jalan Machang-Kuala Krai di Kampung Kemumin, kenderaan suspek terbabas dan anggota polis mengambil kesempatan itu untuk menahan suspek yang bertindak agresif," katanya.
Suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau antaranya curi kereta, samun, rompak dan pengedaran dadah. Dia diburu polis sejak semalam bersama seorang rakannya yang masih bebas selepas menembak Mohd. Shamsul Anuar di bahagian dada ketika cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya kira-kira pukul 1 pagi.
Sebelum insiden itu, kedua-dua suspek telah menyamun sebuah rumah di Taman Tropika di bandar Gua Musang dan melarikan wang tunai serta dua buah kenderaan jenis Honda dan BMW.
Suspek juga merupakan individu yang melepaskan tiga das tembakan terhadap seorang lelaki berketurunan Siam pada 15 Oktober lalu di Kota Bharu menyebabkan mangsa cedera parah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121101/je_01/Penjenayah-mati-ditembak-polis#ixzz2AyPaGWpN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemuda Singapura ditahan curi botol susu, barang bayi

NUSAJAYA 31 Okt. - Seorang pemuda warga Singapura ditahan ketika cuba mencuri 16 jenis barangan keperluan bayi termasuk beberapa botol susu yang berjumlah RM2,759.80 dari sebuah pusat beli-belah di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.10 petang, suspek yang mencuri barangan itu di AEON Jusco, Bukit Indah di sini ditahan oleh pengawal keselamatan di situ yang mengesyaki tindak-tanduknya yang mencurigakan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Nor Hashim Mohamad berkata, suspek berusia 23 tahun gagal menunjukkan resit pembelian barangan tersebut.
"Suspek masih bujang dan hasil siasatan awal, dia tidak mempunyai anak. Namun tujuan suspek mencuri barangan tersebut sedang disiasat dan dia juga tidak memiliki rekod jenayah lampau.
"Dia kini ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Nor Hashim, jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121101/je_03/Pemuda-Singapura-ditahan-curi-botol-susu-barang-bayi#ixzz2AyP6sMDd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sandy bawa kemusnahan besar




NEW YORK 31 Okt. - Berjuta-juta penduduk di sepanjang pantai timur laut Amerika Syarikat (AS) yang terjejas teruk akibat Taufan Sandy, masih belum dapat menjalani kehidupan seperti biasa hari ini ketika perniagaan dan lapangan terbang dibuka semula.
Dengan baki lagi enam hari sebelum Pilihan Raya Presiden pada 6 November ini, Presiden Barack Obama dijangka melawat New Jersey, negeri pertama dibadai taufan gergasi itu kelmarin.
Pesaingnya, Mitt Romney dari Parti Republikan pula kembali meneruskan kempen selepas membatalkan beberapa acara sejak Isnin lalu bagi memberi keutamaan kepada kerja-kerja menyelamat.
Sandy yang sehingga kini telah mengorbankan 46 nyawa di seluruh negara, bergerak ke kawasan pedalaman dan mengakibatkan salji tebal di pergunungan Appalachia.
Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan, taufan mega itu yang bergerak lemah merentasi Pennsylvania, diramal menuju utara ke barat New York dan Kanada.
Amaran ribut salji dan banjir di kawasan pantai di Great Lakes juga telah dikuatkuasakan.
Bandar raya New York yang lumpuh akibat Sandy, hari ini masih ditenggelami air sedalam kira-kira 4.2 meter, sementara di Staten Island, polis terpaksa menyelamatkan mangsa yang terperangkap di atas bumbung menggunakan helikopter.
Hampir keseluruhan jalan utama dan landasan kereta api bawah tanah di New York juga ditenggelami air menyebabkan sistem pengangkutan tergendala, manakala lebih lapan juta kediaman dan premis perniagaan dari Carolina sehingga ke Maine masih terputus bekalan elektrik.
Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg berkata, memulihkan sistem pengangkutan dan mengembalikan bekalan elektrik merupakan dua cabaran terbesar pihaknya bagi tempoh beberapa hari akan datang.
“Kita akan bangkit semula selepas ini dan berharap bencana ini berakhir," katanya.
Dua lapangan terbang utama di sini, Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty dan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy kembali dibuka hari ini, namun hanya meneruskan beberapa operasi terhad, manakala Lapangan Terbang LaGuardia masih ditutup. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_01/Sandy-bawa-kemusnahan-besar#ixzz2AyLKNRD0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua rakan karib maut nahas motosikal, kereta di Jeli



JELI 1 Nov. - Dua rakan karib dari Kampung Rahmat, Ayer Lanas di sini maut selepas motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.20 petang, mangsa, Mohd. Fakrul Rozie Ismail, 17, dan Mohamad Firdaus Ab. Razak, 15, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kedua-dua mangsa motosikal Honda EX5 untuk pulang ke rumah mereka di Ayer Lanas selepas bermain futsal di Kampung Gemang di sini.
“Siasatan awal mendapati, motosikal mereka bergesel dengan bahagian belakang sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah yang datang dari arah Gerik menghala ke Tanah Merah.
“Berikutan itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka juga didapati tidak memakai topi keledar keselamatan ketika kemalangan berlaku," katanya kepada pemberita malam tadi. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121101/dn_27/Dua-rakan-karib-maut-nahas-motosikal-kereta-di-Jeli#ixzz2AyNs5igo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bom Perang Dunia Kedua ditemui di Jepun



TOKYO 31 Okt. - Sebutir bom ketika era Perang Dunia Kedua yang ditemui di Lapangan Terbang Sendai kelmarin, hari ini ditanam di bawah dinding konkrit dan timbunan guni pasir bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Bom seberat 225 kilogram yang dipercayai digugurkan oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) itu ditemui oleh seorang pekerja penyelenggaraan sistem penyaliran berhampiran landasan di lapangan terbang berkenaan.
Sehubungan itu, unit pelupusan bom mengarahkan supaya dinding konkrit setinggi tiga meter dibina berserta lapisan guni pasir bagi melindungi bom tersebut.
Selain itu, kira-kira 300 guni pasir yang setiap satunya seberat satu tan, turut disusun setinggi enam meter di atas dinding konkrit terbabit.
Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan berkata, bom sepanjang 110 sentimeter itu bakal dilupus dan dipindahkan oleh pasukan tentera sebaik-baik maklumat lengkap dikeluarkan.
"Kami perlu meneliti pelbagai perkara termasuk keselamatan penduduk sekitar sebelum melupuskan bom tersebut," katanya.
Media tempatan melaporkan, bom yang dipercayai dihanyutkan ketika tsunami tahun lalu itu, berkemungkinan tidak akan meletup melainkan terdapat tekanan kuat.
Lapangan Terbang Sendai meneruskan operasi selepas membatalkan 92 penerbangan domestik dan antarabangsa, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_05/Bom-Perang-Dunia-Kedua-ditemui-di-Jepun#ixzz2AyN60wL8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bot karam, 130 etnik Rohingya hilang



DHAKA 31 Okt. - Hampir 130 pelarian etnik Rohingnya Islam dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka ke Malaysia, karam di perairan sempadan Bangladesh dengan Myanmar, menurut polis hari ini.
Pegawai polis Mohammad Farhad di Teknaf, tenggara negara ini berkata, seorang daripada mangsa terselamat memberitahu, bot berkenaan memuatkan 135 penumpang ketika kejadian.
"Bot itu menuju Malaysia secara haram. Mangsa yang selamat itu juga tidak tahu nasib penumpang yang lain kerana kejadian berlaku pada waktu malam," katanya sambil menambah mangsa terselamat berusia 24 tahun itu kini ditahan.
Farhad berkata, enam daripada penumpang bot tersebut sempat diselamatkan sebuah kapal nelayan selepas kesemua pelarian tersebut berlepas dari kampung Sabrang di Bangladesh, Sabtu lalu.
"Kami juga telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga mangsa yang hilang," katanya.
Bagaimanapun, terdapat percanggahan laporan tentang mangsa yang didakwa semuanya terdiri daripada etnik Rohingya serta masa kejadian yang menurut polis berlaku awal pagi Ahad lalu.
"Kami dimaklumkan, sebuah bot yang sesak dengan 133 penumpang, karam ketika menuju Malaysia. Enam penumpang diselamatkan, sementara yang lain dilaporkan hilang," kata Pengarah Projek Arakan, Chris Lewa.
Beliau berkata, pertubuhannya dimaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku malam kelmarin atau semalam.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan hari ini, Pengawal Sempadan Bangladesh memberitahu, pihaknya telah menghantar kembali lebih 160 pelarian etnik Rohingya Islam yang cuba mendapatkan perlindungan di negara ini selepas konflik etnik dan agama di Rakhine kembali meruncing bulan ini.
Komander pasukan itu, Mohammad Khalequzzaman berkata, pelarian tersebut cuba memasuki sempadan di daerah Ukhia, yang bersempadan dengan negeri Rakhine, Myanmar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_04/Bot-karam-130-etnik-Rohingya-hilang#ixzz2AyMpRvNa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat beranak maut nahas kereta-lori muatan padi



POKOK SENA 1 Nov. - Empat beranak maut, manakala seorang lagi kritikal selepas kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan padi di Jalan Tualang di sini petang ini.
Nahas berlaku pukul 2.30 petang kira-kira 7 kilometer dari rumah keluarga malang itu di Kampung Kubang Pisang, Pendang. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121101/dn_30/Empat-beranak-maut-nahas-kereta-lori-muatan-padi#ixzz2AyL3er4k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5,000 penduduk di Chennai dipindah kerana Taufan Nilam



CHENNAI 1 Nov. - Ribuan penduduk di sini telah dipindahkan dari rumah mereka di tenggara India semalam selepas ribut kuat berlaku, kemungkinan membawa banjir dan kerosakan.
Taufan Nilam melanda pelabuhan bersejarah Mahabalipuram, kira-kira 50 kilometer dari selatan Chennai, dan dijangka beralih ke negeri Tamil Nadu dan Andhra Pradesh.
“Lebih daripada 5,000 berjaya dipindahkan. Kami juga telah memindahkan beribu-ribu orang dari Mahabalipuram yang tinggal berdekatan kawasan pantai,’’ kata wakil, pengurusan bencana rasmi di Chennai. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_12/5000-penduduk-di-Chennai-dipindah-kerana-Taufan-Nilam#ixzz2AyK8BE4P
© Utusan Melayu (M) Bhd 

359 kapsul dadah ditelan

DENPASAR: Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun kepada warga Russia selepas dia ditangkap cuba menyeludup ratusan kapsul hashish yang ditelannya ke pulau peranginan Bali.
Sergei Chernykh, 43, ditahan April lalu sebaik tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur. Dia didapati menelan 359 kapsul berisi 695 gram dadah, kata pendakwa di perbicaraan di mahkamah Denpasar semalam. Hakim Gunawan Tri Budiono turut menghukum warga Russia itu denda sebanyak satu bilion rupiah (RM 316,961). Dua hari sebelum penahanan Chernykh, seorang lagi rakyat Russia, Alexander Simonov ditahan selepas tiba di Bali dari Kuala Lumpur ketika cuba menyeludup 915 gram hashish dalam kapsul yang ditelannya. Mahkamah Denpasar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM 316,961 kepada Simonov awal bulan lalu. Walaupun kes itu mempunyai persamaan, tetapi pihak berkuasa berkata, dua lelaki berkenaan tidak mengenali antara satu sama lain. - Jakarta Post

Dadah: Dua peniaga dihukum penjara sembilan tahun, 22 sebatan

SHAH ALAM - Dua peniaga Pasar Chow Kit masing-masing dihukum penjara sembilan tahun dan 22 sebatan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memiliki dadah pada Mei tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Muhd Nasaruddin Ahmad, 43, dan Manhalizam Othman, 37, menjalani hukuman penjara mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 20 Mei 2011.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Rumah Pangsa Beringin, Taman Tun Perak Rawang pada 10 malam, 20 Mei tahun lepas.
Pada asalnya, Muhd Nasaruddin dan Manhalizam berdepan satu pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama kepada kedua-dua tertuduh bagi kesalahan itu.
Muhd Nasaruddin dan Manhalizam tidak diwakili peguam.- Bernama