KUALA TERENGGANU - Hanya kerana RM15, seorang anak tergamak mengugut akan mencederakan ibu kandungnya.
Kejadian berlaku di sebuah kediaman di Kampung Duyung, Seberang Takir, di sini, malam kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek, 34, turut mengamuk dengan memecahkan cermin pintu besar dibahagian hadapan rumah mereka setelah dipercayai tidak puas hati permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dilayan.
“Disebabkan ketakutan, mangsa berusia 50-an telah menelefon suaminya, 61, yang juga bapa kepada suspek memaklumkan kejadian itu.
“Sejurus menerima panggilan, bapa suspek yang ketika itu berada di Kampung Baru, Seberang Takir, terus pulang sebelum mendapati keadaan rumah berselerak dengan serpihan kaca susulan perbuatan suspek yang telah memecahkan cermin pintu besar,” katanya.
Menurutnya, tidak puas mengamuk, suspek, seorang buruh turut menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada bapanya seorang nelayan, dengan mencabar agar dilaporkan kepada pihak polis tentang perbuatannya bagi memudahkan dia dipenjarakan.
“Walaupun suspek tidak mengapa-apakan mereka sekeluarga, namun disebabkan bimbang keselamatan pada masa akan datang, bapa suspek mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, lebih kurang sejam selepas kejadian,” katanya.
Suspek kemudian ditahan di rumahnya kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Suspek itu kini direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek seorang penagih dadah dan sebelum ini dia selalu mengugut untuk mencederakan keluarganya termasuk kedua orang tuanya setiap kali permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.