Search This Blog

Tuesday, October 30, 2012

86 rumah rosak dilanda ribut di Melaka

MELAKA - Sebanyak 86 buah rumah di Taman Ayer Keroh Heights di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Lokman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya yang menerima panggilan kira-kira  2.59 petang bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.

Beliau berkata, bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati kesemua rumah tersebut mengalami kerosakan bumbung dan pecah cermin nako akibat angin kuat sebelum hujan lebat.

"Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang penduduk taman tersebut, Salbiah Sariat, 56, berkata dia yang sedang mengambil baju di ampaian melihat atap rumahnya berterbangan.

"Pada masa itu hujan belum lebat namun angin kencang yang berlaku sekelip mata itu mangakibatkan 13 keping atap rumah saya tercabut," katanya.

Salbiah bagaimanapun bersyukur kejadian tersebut tidak menyebabkan kecederaan kepada tiga anaknya yang berada di dalam rumah. - Bernama

Tergamak bakar rumah setelah ibu tak beri wang



Zamri Shamsuddin
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tidak menyangka keputusan nekadnya yang enggan memberikan sejumlah wang diminta menyebabkan anak lelakinya seolah-olah ‘dirasuk hantu’ apabila tergamak membakar tilam di dalam biliknya sebagai permulaan untuk membakar keseluruhan rumah dalam satu kejadian amuk di Lorong Kenanga Off Jalan Kamarudin, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun telah mengamuk dengan membakar tilam katil di dalam bilik mangsa sebelum sempat dipadamkan oleh salah seorang ahli keluarga yang berada di rumah berkenaan semasa kejadian.

“Siasatan mendapati suspek yang turut memiliki rekod jenayah dadah sebelum ini cuba membakar rumah selepas tidak puas hati apabila kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan walaupun pada pagi hari kejadian, mangsa telah memberikan RM20 kepadanya.

“Mangsa yang dalam ketakutan keluar dari rumah itu mencari tempat selamat untuk menelefon salah seorang anak lelakinya yang tinggal di Jalan Ibrahim, di sini, bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Zamri, disebabkan terlalu takut melihat tilam biliknya dibakar walaupun sudah berjaya dipadamkan, mangsa nekad menelefon anggota polis untuk meminta membawa suspek ke balai polis.

“Hasil siasatan awal, mangsa mengakui suspek kerap mengamuk sebelum ini untuk meminta duit bagi membeli dadah, selain itu, suspek telah banyak melakukan kerosakan di dalam rumah.

“Suspek juga telah banyak kali dimasukkan ke dalam lokap akibat kesalahan penyalahgunaan dadah sebelum ini,” katanya.

Zamri berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Anggota polis parah ditembak di Gua Musang



Khalid
Khalid menyampaikan jambangan bunga kepada isteri Mohd Shamsul, Maisarah ketika mengadakan lawatan ke HRPZ II, hari ini.
KOTA BHARU- Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah, selepas ditembak penjenayah dengan beberapa das tembakan di bahagian dada, dalam kejadian di hadapan Balai Polis Paloh 2, Gua Musang, di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd Shamsul Anuar Mohd Adnan, 27, bersama beberapa anggota dari balai berkenaan menyertai operasi sekatakan jalan raya di hadapan balai terbabit, setelah mendapat maklumat berkenaan kejadian samun di bandar Gua Musang.

Dipercayai semasa kejadian mangsa yang bertindak nekad memberkas dua suspek di dalam dua kereta berasingan iaitu kereta jenis Honda dan BMW ditembak salah seorang suspek ketika mereka cuba melarikan diri dengan melakukan pusingan U.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan kini ditempatkan di wad rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pembedahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini pihak polis sudah mengepung sekitar kawasan Felda terbabit bagi mengesan suspek.

“Walau bagaimanapun, polis berjaya mendapatkan semula kedua-dua kenderaan itu namun suspek yang berada di dalam kereta itu berjaya meloloskan diri.

“Buat masa ini kita masih memburu suspek dan kita giat menjalankan siasatan bagi menangkap mereka yang terlibat,”katanya kepada pemberita pada sidang media di HRPZ II selepas menemui keluarga isteri mangsa, Maisarah di dewan menunggu.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid berkata di atas keberanian Mohd Shamsul, beliau mengumumkan kenaikan pangkat serta-merta anggota terbabit ke peringkat yang lebih baik sebagai ganjaran terhadap tindakannya itu dalam membenteras jenayah.

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Sementara itu menurut isteri mangsa, Maisarah Kasim, 27, dia hanya mengetahui suaminya mengalami kecederaan parah selepas diberitahu rakan sekerja suaminya, melalui panggilan telefon kira-kira jam 1.30 pagi.

“Terkejut juga apabila menerima berita itu, namun saya tabahkan hati dan berharap agar suami berada dalam keadaan stabil dan dapat menjalani pembedahan dengan selamat.

“Suami saya seorang yang rajin bekerja walaupun bercuti serta tidak pernah merungut dan sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dengan ikhlas terhadap pasukan,” katanya.

Warga emas didakwa rogol anak jiran 10 tahun

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang layak digelar datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak jiranya berusia 10 tahun.

Tertuduh, Mohamad Soha Abdullah, 65, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah anaknya di sini dalam tiga kejadian berasingan sekitar awal bulan ini.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit kerap ke rumah tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan bagi mendapatkan duit untuk membeli makanan ringan dan abang mangsa yang berusia 12 tahun dilaporkan pernah melihat tertuduh yang  berkahwin dua kali dan bercerai memasukan tangannya ke dalam kemaluan mangsa bagaimanapun tidak mendedahkan perkara terbabit.
Perbuatan terkutuk itu, hanya disedari mak cik mangsa yang meragui lalu menyoal murid tahun empat itu sehingga pendedahan mengenai kegiatan  terkutuk lelaki terbabit.
Atas kesalahan itu, Mohamad Soha didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman  yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000.

Mohamad Soha yang  memakai kemeja-T berwarna kelabu dan seluar panjang mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhdi.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Mohd Asram Zakaria memohon dikenakan jaminan yang rendah memandangkan faktor usia tertuduh.

Nu’aman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes  20 November ini.

Wanita diganggu Ah Long dakwa majikan salah guna salinan kad pengenalannya

GEORGETOWN - Seorang wanita yang kini diganggu beberapa pemberi pinjaman wang haram atau Ah Long, mendakwa semua itu gara-gara salinan kad pengenalannya disalahgunakan majikannya yang kini telah menghilangkan diri.

Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia parti Gerakan Pulau Pinang, Baljit Singh berkata Victoria Marie Ng Shu Shen, 33, percaya salinan kad pengenalannya telah digunakan oleh majikannya itu untuk menjadi penjamin pinjaman tersebut.

Katanya Ng mengaku memberikan salinan kad pengenalannya kepada pemilik kedai nasi ayam itu untuk tujuan mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Baljit Singh berkata Ng yang berasal dari Ipoh, Perak hanya tahu mengenai hutang itu selepas beberapa Ah Long datang ke kedai itu dan menuntut hutang kira-kira RM15,000 daripadanya selepas majikannya itu yang berasal dari Tawau, Sabah menghilangkan diri.

"Selepas itu, beliau didatangi oleh lapan orang Ah Long dan mendapat banyak panggilan meminta hutang...beliau tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian pinjaman dari Ah Long...tidak ada kaitan langsung dengan Ah Long," katanya pada sidang media di sini hari ini.
 
Katanya Ng yang mula bekerja di kedai itu sejak Ogos lepas terpaksa berhenti kerja setelah majikannya itu menghilangkan diri pada 17 Sept lepas dan turut tidak menerima gaji selama tempoh bekerja.

Sehubungan itu, Baljit Singh meminta lelaki itu tampil menyelesaikan segera masalah itu dan berharap kumpulan Ah Long berkenaan berhenti mengganggu mangsa memandangkan dia tiada kaitan dengan urusan pinjaman itu.

Sementara itu, wanita itu menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika memberikan salinan kad pengenalan kepada mana-mana pihak bagi mengelak daripada menerima nasib yang sama.- Bernama

Dua samseng kes pukul guru di Masjid Kayu Besut tampil serah diri

KUALA TERENGGANU - Dua samseng yang terlibat dalam beberapa kes jenayah kekerasan mendatangkan kecederaan di Besut tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kedua-dua adik-beradik berumur 39 dan 47 tahun itu menyerah diri kira-kira pukul 3.30 petang selepas seorang lagi adik mereka yang berusia 34 tahun ditahan awal pagi Ahad lalu.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan ini dikehendaki oleh polis kerana terlibat dalam kes mengugut serta memukul seorang guru sehingga mendatangkan kecederaan pada Ogos lalu.

"Guru lelaki itu diserang selepas mangsa tersebut menegur dan menampar kanak-kanak yang membuat membuat bising dalam masjid kayu di Besut.

"Polis berjaya menahan adiknya kira-kira pukul 4.30 pagi di kediaman mertuanya di Kampung Kuala Besut, Besut dan ekoran daripada penahanan itu, dua lagi abangnya tampil menyerah diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, guru berusia 42 tahun itu dipukul tiga beradik terbabit dikenali sebagai Azizan Awang, 34, Afizol, 39, dan Anuar, 47, selepas berangkan mangsa tersebut kerana menampar kanak-kanak yang dikatakan membuat bising ketika di masjid.

Kejadian dipercayai berlaku selepas kanak-kanak itu tidak mengendahkan teguran guru terbabit beberapa kali. - Bernama

Ibu hilang selepas jemput tetamu upacara keagamaan



Ibu hilang selepas jemput tetamu upacara keagamaan
Prom (kiri) bersama anak-anaknya merayu supaya Din Nin (gambar kecil) segera pulang.
PENDANG - ‘Kami bimbang keselamatan ibu’ itulah luahan hati anak-anak dan suami kepada Kiang Din Nin, 53, dari Kampung Watt Padang Peliang dekat sini, yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak 26 Oktober lalu.

Din Nin tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 8 pagi untuk menjemput penduduk kampung menghadiri majlis upacara sembahyang nenek moyang yang dijangka akan diadakan pada 9 November nanti.

Suaminya, Prom Iban, 58, berkata, dia terkejut apabila isterinya tidak pulang selepas keluar menaiki motosikal seorang diri dengan memakai seluar bersama kemeja T berwarna ungu.

“Ketika dia (isteri) keluar, saya berada di kebun dan anak bongsu memberitahu ibu tidak pulang lagi selepas memberitahu ingin pergi menjemput tetamu sekitar kampung ini untuk menghadiri majlis itu nanti.

“Saya hairan isteri tidak pulang sudah beberapa hari memandangkan tidak berlaku apa-apa pergaduhan antara saya atau anak namun sikap isteri berubah kerana dikatakan runsing memikirkan persediaan majlis terbabit sehingga tidak dapat tidur beberapa hari sebelum
dilaporkan hilang,” katanya kepada Sinar Harian.

Prom berkata, dia dan anak-anaknya bimbang keselamatan isterinya yang ada menghidap masalah mental namun penyakit itu tidak serius dan akan menyerang kadang-kala sahaja.

Anaknya, Inai Prom, 29, berkata, dia dan penduduk kampung berusaha mencari ibunya di merata kawasan termasuk sekitar namun tidak berjaya.

Katanya, dia bimbang ibunya masih tidak pulang kerana majlis yang akan diadakan itu semakin hampir tetapi persiapan belum disediakan lagi.

Inai berkata, setiap hari mereka sekeluarga termasuk saudara mara berusaha mencari ibu sehingga buntu dan turut merujuk perkara ini kepada cara tradisional namun tidak berjaya.

Menurutnya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Tiang.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 019-3073221, 013-3896593 atau 019-5080556.

Rumah sendiri yang terbakar



Rumah sendiri yang terbakar
Difahamkan api berpunca dari bahagian dapur.
ALOR GAJAH - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah keadaan yang terpaksa dihadapi seorang anggota Rela rondaan apabila rumah yang didiami terbakar di Taman Lendu Bakti, di sini, malam kelmarin. Sementara isterinya kini berada di hospital susulan menghidap penyakit buah pinggang.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Ibrahim Mohamad, 47, berada di kedai minum berdekatan sementara dua anaknya, Norsyilah, 13, dan Mohd Salihin, 11, serta seorang anak saudaranya berusia 20-an sedang tidur di ruang tamu.

Menurut Ibrahim, ketika kejadian dia berada di kedai minum berdekatan pekan sebelum melihat jentera bomba menghala ke arah Rembia dan terus mengekori.

“Melihat jentera bomba dipandu laju saya segera mengekori kerana menyangka ada rumah penduduk yang terbakar sehingga saya lihat jentera itu membelok masuk ke taman saya.

“Hati saya luluh sebaik melihat rumah saya yang terbakar dikerumuni penduduk,” katanya.

Menurut Ibrahim, semasa kejadian dua anaknya itu sedang tidur di ruang tamu ditemani anak saudaranya sementara anak ketiganya, Nurul Ashikin, 15, berada di Hospital Melaka menjaga isterinya, Dismi Hasan, 41.

“Saya tidak pasti dari mana punca kebakaran itu kerana selepas api berjaya dipadam, saya lihat kesan hitam di bahagian dapur. Bagaimanapun, mujur gas memasak tidak meletup.

“Buat masa ini saya terpaksa menumpangkan anak-anak di rumah mertua yang terletak di Rembia manakala isteri tidak dimaklumkan tentang perkara ini kerana bimbang keadaannya,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai anggota Rela rondaan dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan runsing memikirkan cara untuk membaikpulih kerosakan pada pendawaian rumahnya.

“Semua sistem pendawaian dalam rumah rosak membuatkan saya semakin buntu memikirkan cara untuk membaikpulih kerana pendapatan yang ada tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2, Chee Hong Chuan berkata, pihaknya  menerima  panggilan kira-kira jam 10.28 malam.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan keseluruhan api dan punca kebakaran masih disiasat dan tiada  kemalangan  jiwa dilaporkan,” katanya.

Runtuhan jalan semakin serius

Runtuhan jalan semakin serius
Keadaan jalan yang runtuh di jalan Dengkil
Pulau Meranti, semalam.
SEPANG – “Pada mulanya lubang yang berada di tengah jalan utama Pulau Meranti itu hanya bersaiz 0.3 meter tetapi saya terkejut apabila melihat lubang itu membesar dan mengakibatkan runtuhan yang serius semalam,” kata penduduk kawasan berhampiran,  Norizan Abd Hamid, 48.

Norizan berkata, kewujudan lubang itu disedarinya pada sambutan Aidilfitri lalu namun tidak menyangka keadaan menjadi teruk sehingga menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kepada umum, petang semalam.

Katanya, dia  turut bersyukur kerana ketika kejadian berlaku dia tidak melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya di Taman Kipark sebaliknya mengambil keputusan berkunjung di rumah sahabat yang mempelawanya makan tengah hari di Taman Bukit Puchong.

Dakwa Norizan, dia tidak tahu apa yang berlaku sekiranya pulang ke rumah pada waktu sama insiden berlaku kerana hasrat awalnya hendak pulang dari rumah rakannya pada jam 2 petang.

“Memang bernasib baik kerana pada waktu kejadian jalan mendap dan runtuh saya serta rakan tidak melalui jalan itu sebaliknya mengambil keputusan menerima pelawaan seorang sahabat lain untuk makan bersamanya.

“Terkejut sangat apabila melihat lubang yang kecil itu sudah berubah menjadi besar,” katanya yang menggunakan laluan itu setiap hari kerana jalan itu lebih dekat berbanding menggunakan laluan lain.

Norizan berkata, desakan hati untuk melihat insiden itu menyebabkan dia ke lokasi kejadian bersama suaminya kira-kira jam 4.30 petang dan terkejut apa yang disangkanya selama ini berlaku.

Katanya, sebelum ini dia sudah berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila melihat lubang terbabit tambahan kejadian hujan lebat yang berlaku beberapa bulan lalu menambahkan lagi kebimbangannya.

“Pagi tadi (semalam) ketika hendak menghantar anak ke tadika, saya nampak lubang itu membesar tetapi tidak sangka ia akan runtuh ketika hendak menghala pulang selepas ke rumah rakan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin berkata, kejadian berlaku di Batu 8, Kampung Sungai Rasau, Pulau Meranti menghala ke Puchong.

Katanya, insiden itu menyebabkan kedua-dua arah jalan utama berkenaan terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya selepas runtuhan bersaiz lebih tiga meter berlaku.

“Semua agensi berkenaan sudah dipanggil meninjau lokasi kejadian dan jalan itu akan ditutup sehingga kerja baikpulih selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan menggunakan laluan Cyberjaya  atau jalan alternatif lain.

Bapa rayu polis tangkap anak

Kamaruddin
Kamaruddin
BESUT - Seorang pesara berumur 60-an terpaksa merayu agar polis menangkap anaknya akibat tidak tahan kerana sering diugut dengan senjata tajam oleh anaknya itu demi membeli dadah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bapa kepada penagih dadah itu datang ke Bahagian Narkotik Daerah meminta agar pihak polis menahan anaknya yang bertindak keterlaluan apabila tergamak mengugut untuk mencederakan ahli keluarga termasuk bapa dan ibunya sendiri sekiranya tidak memberi wang kepadanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja, anak warga emas yang berumur 20 tahun itu juga bertindak menjual pelbagai peralatan rumah semata-mata untuk membeli dadah.

“Akibat tidak tahan dengan perangai buruk anak lelakinya itu, dia meminta polis me-ngambil tindakan,” katanya.

Kamaruddin berkata, susulan daripada aduan itu polis telah membuat serbuan di rumah warga emas tersebut di kawasan Kampung Raja dan berjaya memberkas suspek di depan rumahnya.

Menyedari kedatangan polis, suspek bertindak membuang sesuatu dari tangannya tetapi sempat dilihat pihak polis.

Pemeriksaan lanjut mendapati objek yang dibuangnya adalah bungkusan mengandungi 100 biji dipercayai dadah jenis methampethamine (pil kuda).

“Suspek yang dipercayai sudah lama terlibat dalam penyalahgunaan dadah bekerja sebagai buruh pemesin rumput dan masih bujang itu ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, Kamaruddin menasihatkan ibu bapa agar jangan melindungi anak masing-masing sekiranya menyedari ada yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, jika ibu bapa mendapati anak mereka terlibat dengan dadah lapor segera sebelum terlambat dan jangan tunggu sehingga anak bertindak liar termasuk mahu mencederakan ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, beberapa operasi telah dilakukan sepanjang musim perayaan Aidiladha yang membabitkan sebanyak 424 kenderaan dan 501 individu diperiksa, 57 saman dikeluarkan manakala 458 individu diberi nasihat dan teguran.

MyKad milik Sadisafizan



         
KUALA LUMPUR: “Saya berharap dengan laporan polis ini dapat menjelaskan keadaan sebenar mengenai penggunaan identiti saya oleh orang lain seterusnya dapat mengelakkan kekeliruan pada masa depan,” kata Sadisafizan Said, 36, lelaki yang didakwa menjadi mangsa nahas kemalangan maut di Kilometer (KM) 1.6 Jambatan Pulau Pinang, kelmarin.

Dia tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang jam 10.30 pagi semalam selepas terkejut mengetahui berita kematiannya yang terbabit dalam kemalangan.
Menurutnya, dia percaya kad pengenalannya yang hilang pada 28 September tahun lalu disalahgunakan seseorang menyebabkan timbul kekeliruan terbabit sehingga ada yang menyangka dia meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan dibuatnya.




Sementara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan kad pengenalan dimiliki Sadisafizan Said, 36, adalah terbaru manakala kad pengenalan milik lelaki dilaporkan maut bersama dua lain dalam nahas di Jambatan Pulau Pinang adalah yang

Tolak batal pertuduhan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail untuk membatalkan pertuduhan ke atasnya yang didakwa menipu bekas Pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan RM1.755 juta.

Hakim Kamardin Hashim dalam keputusannya berkata, permohonan yang dikemukakan Shamsubahrin melalui notis usul pada 10 September lalu tidak mempunyai merit. Oleh itu beliau memerintahkan kes itu diteruskan di Mahkamah Sesyen.


Dalam notis usul itu, Shamsubahrin, 46, yang diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memohon perintah mahkamah supaya dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 (AMLA).

Dia menghadapi lima tuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.755 juta, selain didakwa atas 17 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan jumlah sama, mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLA.


Terdahulu, Ketua Unit Pendakwaan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa dalam hujahan berkata, permohonan yang dikemukakan pemohon adalah tidak tepat dan menyalah guna proses mahkamah.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati tertuduh sengaja mereka cerita dengan menggunakan nama bekas Perdana Menteri.

Suspek serah diri

KUALA LUMPUR: Seorang daripada lima suspek dikehendaki bagi membantu siasatan kes kecurian 1,407 telefon pintar bernilai RM3.23 juta milik syarikat pengeluar telefon jenama terkenal yang dilaporkan hilang dari gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 20 Oktober lalu, menyerah diri semalam.

Suspek berusia 42 tahun dan berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, bersama peguamnya pada jam 2 petang selepas polis melancarkan gerakan besar-besaran memburu dalang sindiket kecurian gajet itu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata, lelaki itu yang juga pekerja syarikat penghantaran dipercayai seorang daripada perancang utama dalam kecurian berkenaan, manakala empat lagi masih diburu.

Menurutnya, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes pecah amanah dan penipuan. Empat lagi suspek ialah N Selvakumar, 32, dari Nilai, juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait kes merusuh dengan senjata.


Manakala dua suspek juga berasal dari Nilai, J Pratib, 22, dan J Aravindra, 29, serta U Chalan, 23, dari Jalan Klang Lama di ibu negara masing-masing tiada rekod jenayah.


“Hasil maklumat, polis membuat serbuan di 11 alamat berasingan di pusat kargo di KLIA, Sepang, Nilai, Seremban, Puchong termasuk Plaza Low Yat di ibu negara sebelum menemui semula 71 telefon pintar Samsung Galaxy Note II yang hilang.



“Malah, kami turut menahan 12 individu membabitkan enam anggota sindiket serta enam pembeli berusia 22 hingga 43 tahun. Sembilan daripada mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang esok (hari ini) atas kesalahan pecah masuk premis, melupus dan memiliki harta curi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK di Bukit Perdana, di sini, semalam.


Syed Ismail berkata, polis turut merampas lori yang terbakar dan dilaporkan hilang di Brickfields serta dipercayai digunakan dalam kecurian itu bagi mengangkut barang kes dari tempat kejadian.

“Siasatan mendapati sindiket didalangi suspek lelaki yang membuat perancangan rapi dengan mengarahkan anggotanya menyamar sebagai wakil syarikat untuk mengeluarkan barangan daripada gudang simpanan.


“Suspek berhasil membawa keluar barangan itu dengan bantuan beberapa pekerja syarikat sendiri dan anggota sindiket luar,” katanya.


Menurutnya, dengan penangkapan individu itu, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan walaupun masih mengesan 1,336 lagi telefon pintar yang hilang. Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil di balai berhampiran.

Siasat iklan ‘jual orang’

KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) mengecam keras penyebaran iklan ‘TKI On Sale’ oleh pihak tertentu dan mendesak kerajaan menyiasat hingga ke akar umbi bagi dikenakan tindakan tegas.

Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia Datuk Chamil Wariya berkata, siapa pun yang mencetak dan menyebarkan iklan lembaran ‘flyer’ itu mesti dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan itu boleh dianggap memperdagangkan manusia.


“Apa lagi dengan diskaun 40 peratus yang ditawarkan itu seolah-olah pihak terbabit dengan mudah dapat ‘menjual orang’ dan mungkin juga membelakangkan undang-undang negara,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau kecewa kerana tindakan pengiklan itu, walaupun tidak disiarkan di media arus perdana, telah menimbulkan kemarahan banyak pihak di Indonesia yang menganggapnya suatu bentuk pelecehan terhadap tenaga kerja Indonesia (TKI).


“Kerajaan Malaysia, termasuk golongan wartawan sendiri, bekerja keras untuk menjalin hubungan baik dengan Indonesia, namun, jika iklan seperti ini dibiarkan tanpa dikenakan tindakan, semua usaha baik pelbagai pihak di kedua-dua negara akan menjadi sia-sia,” katanya.


Chamil berkata, iklan itu mungkin satu percubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi suasana semasa di mana terdapat banyak permintaan di kalangan rakyat Malaysia untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah.



“Rakyat Malaysia sendiri perlu berhati-hati dengan iklan sebegini kerana ia mungkin hanya satu bentuk penipuan, yang akan menjadi beban undang-undang kepada majikan jika pembantu rumah itu adalah pendatang yang masuk ke negara ini secara tidak sah,” katanya.


Media massa di Indonesia semalam menyiarkan berita serta gambar iklan itu yang dikatakan melecehkan TKI, yang disebarkan di Jalan Chow Kit.

Detiknews melaporkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan TKI, Migrant Care ‘menemui iklan dari sebuah ejen penyalur tenaga kerja asal Indonesia di Malaysia yang isinya bernada negatif’. Turut dilaporkan oleh media massa di Indonesia ialah penjelasan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan bahawa kerajaan Malaysia tidak sekali-kali terlibat dengan iklan itu dan kesal di atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengedarkan iklan itu.


Beliau juga dilaporkan sudah meminta pihak berkuasa Malaysia termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyiasat segera dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar iklan itu.


Sementara itu, usaha Bernama menghubungi tiga nombor telefon bimbit yang disiarkan pada iklan itu, dua daripadanya hanya dijawab oleh peti pesanan suara.


- Bernama

Ajal menjemput

KOTA BHARU: Hasrat seorang pemandu ambulans untuk mengambil ubat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi penyakit jantungnya, tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal yang dinaiki melanggar sebuah lori 10 tan di bahu jalan di Jalan Pasir Mas-Salor, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Alias Awang, 50, yang menunggang motosikal Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu.
Kejadian dipercayai berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk singgah mengambil ubat di HUSM sebelum ke tempat kerja di Hospital Pasir Mas (HPM).

Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan gagal mengelak dan merempuh sebuah lori yang penuh dengan muatan bahan binaan yang diletakkan di bahu jalan menghala ke Pasir Mas.




Isteri mangsa, Azizah Mat Ali, 53, berkata, dia pada mulanya ingin menemani arwah menaiki kereta, namun suaminya tidak membenarkannya kerana mahu ke tempat kerja terlebih dulu sebelum ke HUSM.

Mohon bicara

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal kepada tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan memiliki 100 pil kuda seberat 10 gram, Jumaat lalu.

Tertuduh, Nadia Ashikin Mohd Zaid, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


Nadia didakwa memiliki 100 pil methampetamine seberat 10 gram di Lorong Kubur Tanjung Berek 12, di sini pada jam 2.30 pagi, 26 Oktober 2012.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.


Bagi kesalahan itu, Nadia Ashikin boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.


Terdahulu Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.



Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang keluarganya.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula laporan kimia.

Wartawan HM mangsa ragut

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan Harian Metro, Fazurawati Che Lah, menjadi mangsa ragut dua lelaki menunggang motosikal ketika dia memasuki keretanya di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa memasuki kenderaan untuk pulang sebelum didatangi suspek dari arah belakang yang memecahkan cermin penumpang dan melarikan beg tangan mengandungi dokumen serta wang tunai di tempat duduk penumpang hadapan.

Merempat dihalau anak

ALOR SETAR: ‘Anak Setan’. Itu yang boleh digambarkan sifat lima beradik apabila berpakat menghalau bapa kandung mereka menyebabkan warga emas itu hidup merempat tanpa pekerjaan dan mengharapkan ihsan jiran serta kenalan menghulurkan wang untuk membeli makanan.

Difahamkan, lima beradik itu bertindak demikian berikutan teguran lelaki itu terhadap seorang anak perempuannya yang didakwa membawa lelaki bukan mahram ke kediaman keluarga.
Lima beradik itu dikatakan sepakat membuat pelbagai tuduhan terhadap bapa mereka selain meludah muka lelaki itu hanya disebabkan salah faham antara mereka.

Warga emas dikenali sebagai Azman, 60, itu berkata, dia tidak tahan dengan sikap anaknya yang sanggup menghalaunya dari rumah selain meludah mukanya kerana terlalu benci melihatnya.




Difahamkan, perselisihan faham itu berpunca apabila anaknya tidak berpuas hati dengan tindakan Azman berkahwin dengan wanita lain tanpa pengetahuan ketika ibu mereka yang juga isteri pertamanya menghidap penyakit barah serius.

Terperosok dalam kereta

HANCUR...kereta dipandu mangsa selepas terbabit nahas ngeri, semalam.
HANCUR...kereta dipandu mangsa selepas terbabit nahas ngeri, semalam.
MAUT...jenazah dua beranak dibawa keluar dari hospital.
MAUT...jenazah dua beranak dibawa keluar dari hospital.
TAPAH: Seorang wanita dan anak lelakinya terbunuh dalam keadaan ngeri selepas terperosok dan tersepit dalam kereta selepas kenderaan itu dirempuh sebuah bas persiaran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, mangsa, Nurni Ahmad, 37, dan anak lelaki tunggalnya, Ikmal Daniel Abdullah, 7, ditemui pasukan bomba dan penyelamat dalam keadaan berlumuran darah di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Temoh, di sini.
Mangsa yang memandu Proton Saga dari Tapah untuk pulang ke rumahnya di Ipoh dikatakan bertembung dengan sebuah bas persiaran yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, sebuah motosikal dari arah Tapah yang tidak sempat mengelak turut merempuh bahagian belakang kereta mangsa menyebabkan penunggang dan motosikalnya terpelanting masuk ke dalam kereta mangsa.


Abang mangsa, Sulaiman Ahmad, 37, yang ditemui di Unit Forensik, Hospital Tapah, di sini, berkata, nahas berlaku selepas Nurni selamat menghantar ibu mereka, Sabariah Laman, 57, pulang ke kampung mereka di Behrang, kira-kira jam 10 malam.

Terjun asrama

GEORGETOWN: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, yang dipercayai mengalami tekanan perasaan mengejutkan rakan-rakannya apabila terjun daripada tingkat tujuh asrama penginapannya dalam keadaan berbogel, semalam.

Kejadian berlaku jam 11.30 pagi dan tindakan penuntut lelaki itu disedari seorang kakitangan asrama yang sebelum itu melihatnya dalam keadaan mencurigakan.


Jurucakap polis berkata, penuntut berusia 21 tahun yang juga pelajar tahun satu itu terjun melalui tingkap bilik asrama sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian bawah bangunan berkenaan.

“Mangsa mengalami tekanan perasaan dan tindakannya itu dilakukan dalam keadaan luar sedar. Dia yang parah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh pengurusan IPTA berkenaan,” katanya.


Menurutnya, mangsa kini dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal di wad Zon Merah HPP.


Jurucakap itu berkata, siasatan awal mendapati penuntut terbabit mula belajar di IPTA itu pada tahun lalu dan rekod kesihatannya menunjukkan dia pernah dilaporkan sakit sebelum diberikan cuti rehat.



“Dia dilaporkan baru melaporkan diri untuk meneruskan semula pengajian pada minggu lalu,” katanya.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan masih dijalankan.

Kahwin 44 wanita syarat ketua ajaran songsang


       
KUALA LUMPUR: Menggunakan pernikahan sebagai kaedah mengumpul pengikut, ada kumpulan tertentu di beberapa negeri di negara ini dikesan cuba menyebarkan ajaran bertentangan Islam menerusi perkahwinan seramai mungkin perempuan yang berhasrat mahu belajar agama.

Didalangi mereka yang menggelarkan diri sebagai ustaz serta berimej warak, ajaran berkenaan juga mensyaratkan pengamalnya supaya bernikah 44 wanita untuk menjadikannya ‘ketua’ untuk merekrut pengikut taksub berkenaan.


Mendedahkan perkara itu kepada Harian Metro, Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai cubaan itu di beberapa negeri, minggu lalu.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh beberapa pegawai penguat kuasa agama negeri berkenaan yang kemudiannya meminta SukaGuam membawa perkara itu kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan susulan diambil. “Taktik digunakan mudah iaitu dengan berkahwin lebih daripada had poligami dibenarkan dan kumpul pengikut. Kebanyakan daripada mereka ingin belajar agama atau berhijrah kepada kehidupan baru, jadi kesempatan itu digunakan pengamal ajaran ini,” katanya ketika ditemui, semalam.


Khairul Anwar berkata, ajaran terbabit dikesan songsang selepas pengamalnya perlu mencukupkan kuota 44 isteri sedangkan di dalam Islam, suami dibenarkan berpoligami empat saja manakala pengikut yang ‘senior’ dibenarkan merekrut pelatih untuk menambahkan bilangan ahli kumpulan.


Justeru katanya, pihaknya menggesa jabatan atau agensi berwajib memandang serius perkara itu kerana ia boleh menjejaskan akidah umat Islam terutama yang ingin mendalami ilmu agama selain ia merosakkan institusi kekeluargaan.



“Satu pertemuan diadakan dengan pihak berkuasa agama di setiap negeri untuk mengumpul maklumat mengenai perkara itu dalam masa terdekat kerana kita percaya ada banyak kes penyelewengan agama yang tidak didedahkan kerana mangsa tidak mahu tampil memberikan kerjasama. “Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat berkaitan atau pernah menjadi mangsa merujuk kepada agensi berwajib atau menghubungi SukaGuam,” katanya.

Nasib malang remaja dinodai dua kali

GOMBAK: Niat seorang remaja perempuan untuk keluar bersiar-siar dengan teman lelakinya bertukar menjadi episod hitam dalam hidupnya apabila dia dijadikan hamba seks temannya itu di sebuah rumah di Batu Caves.

Malah, nasib malang remaja berusia 16 tahun itu tidak berakhir di situ malah turut dirogol rakan teman lelakinya itu ketika diarah menghantarnya pulang ke kediamannya.


Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang, Khamis lalu.

Sumber berkata, dia yang tinggal di Selayang pada mulanya dijemput teman lelakinya berusia 20-an kira-kira jam 5 petang Selasa lalu dengan motosikal kononnya untuk bersiar-siar.


“Selepas bersiar-siar, lelaki itu mengajak mangsa ke rumah rakannya di Batu Caves dengan alasan ingin menemui rakannya itu terlebih dahulu dan berjanji akan menghantar mangsa pulang selepas itu.


“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan sebaik tiba, mangsa diminta menunggu di dalam rumah sementara teman lelakinya itu keluar membeli makanan,” katanya.



Sumber berkata, selepas beberapa jam di rumah itu, mangsa meminta teman lelakinya itu menghantarnya pulang, namun gagal apabila lelaki itu memberi alasan tayar motosikalnya pancit.


“Tidak lama kemudian mangsa diajak masuk ke dalam bilik untuk melakukan hubungan seks, namun ditolak remaja berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun, mangsa gagal melawan dan diperkosa. Keesokannya, mangsa dihantar ke sebuah kedai motosikal di kawasan berhampiran dan teman lelaki mangsa meminta rakannya itu menghantar mangsa pulang,” katanya.


Namun, sebaliknya berlaku apabila mangsa tidak dibawa pulang tetapi dibawa ke sebuah rumah lain dan sekali lagi dirogol.


“Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan di Sri Gombak, sebelum dia menghubungi bapanya menceritakan kejadian yang berlaku.


“Bapa mangsa kemudian mengambilnya dan terus ke Balai Polis Selayang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Api sampah bakar kereta, 3 motosikal


         
DUNGUN: “Saya tidak berani menghampiri tempat kejadian kerana bimbang kenderaan berkenaan meletup,” kata Ariffin Ismail, 47, saksi kejadian kebakaran tiga motosikal dan sebuah kereta dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah secara terbuka di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, semalam.

Tiga motosikal Yamaha dan kereta Mitsubishi Galant milik nelayan itu ditinggalkan di tempat letak kenderaan di kompleks terbabit sebelum mereka turun ke laut menangkap ikan, pagi semalam.


Kejadian jam 2.25 petang itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah secara terbuka dalam kawasan kompleks terbabit sebelum api merebak dan membakar semua kenderaan berkenaan.

Ariffin berkata, dia ternampak kepulan asap tebal dari arah kompleks berkenaan ketika dalam perjalanan masuk ke muara Kuala Dungun untuk mendaratkan botnya.


Katanya, sebaik sampai di jeti, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kesemua kenderaan itu marak terbakar sebelum seorang rakannya menghubungi bomba.


“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang kenderaan yang terbakar itu meletup dan mencederakan kami,” katanya.



Ariffin berkata, dia percaya aktiviti pembakaran sampah 10 meter dari empat kenderaan berkenaan diletakkan menjadi punca kebakaran dengan api merebak membakar rumput kering sebelum menyambar kenderaan terbabit.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Nor Azizi Che Noh berkata, sepasukan lima anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kebakaran itu.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, keempat-empat kenderaan itu didapati musnah, tetapi anggota kami dapat menyelamatkan sebuah kereta Perodua Kancil dan sebuah motosikal yang turut berada di kawasan sama daripada disambar api.


“Kami percaya kebakaran itu berpunca daripada pembakaran sampah secara terbuka di kawasan Kompleks LKIM terbabit sebelum api merebak dan membakar semua kenderaan itu,” katanya.


Nor Azizi berkata, pihaknya masih menunggu semua nelayan terbabit pulang dari laut untuk menilai jumlah kerugian mereka.

Amuk lambat dapat susu



         
GOMBAK: Hanya kerana lambat menyediakan minuman susu, seorang suami tergamak bertindak kasar dengan membelasah isterinya dan mengugut ingin membunuhnya di rumah mereka di Rawang, dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 20-an masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi meminta isterinya berusia 36 tahun membancuh susu.


Pada masa sama, mangsa sedang menyuapkan makanan kepada anak mereka berusia lima bulan dan terlambat menyediakan minuman terbabit menyebabkan suaminya naik berang.

“Suami mangsa yang gagal mengawal kemarahan terus menampar mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa terkejut dan ketakutan sebelum terus berlari naik ke tingkat atas sambil mengendong anak menyelamatkan diri.


“Namun suaminya mengekori mereka ke tingkat atas sebelum berlaku pertengkaran. Malah pertengkaran itu bertukar ganas apabila suami mangsa mengambil komputer riba lalu menghempasnya ke lantai,” katanya.


Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, mangsa turut dipukul beberapa minit sebelum dia yang tidak tahan berlari turun untuk meminta bantuan ibu bapanya yang berada dalam bilik tidur.



“Suami mangsa yang geram kemudian menendang pinggang mangsa menyebabkan isterinya menjerit kesakitan. Malah jeritan itu menyebabkan ibu bapa wanita itu yang berada di dalam bilik terdengar dan terus keluar untuk melihat apa yang berlaku.


“Ibu bapa mangsa yang terkejut melihat menantu mereka sedang membelasah anak mereka terus datang membantu dan meleraikan pertengkaran terbabit,” katanya.

Menurutnya, suami mangsa yang tidak mengendahkan kehadiran mentuanya sempat mengugut akan membunuh dan menceraikan mangsa jika mengulangi lagi perbuatan terbabit sebelum terus beredar.


“Mangsa yang lebam seluruh badan dan mengalami kesakitan di pinggang dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan.


“Bimbang kejadian sama berulang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rawang,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

2 ‘bouncer’ ditumbuk Pak Arab samseng

KUALA LUMPUR: Dua ‘bouncer’ yang cuba meleraikan pergaduhan di sebuah pusat hiburan di sini, cedera ditumbuk seorang lelaki Arab yang bengang kerana dihalang mangsa, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, sekumpulan lelaki Arab yang datang berhibur di pusat hiburan berkenaan bertindak samseng apabila tiba-tiba menyerang kumpulan lain yang turut berada di situ.


Menurut sumber, melihatkan tindakan ‘Pak Arab’ berkenaan yang boleh mengundang pergaduhan serius, mangsa meminta mereka berhenti dan bersurai sebelum mengarahkan kumpulan itu keluar.

“Kumpulan yang menyerang itu keluar manakala kumpulan yang diserang masih berada di dalam pusat hiburan itu.


“Biarpun mereka menurut arahan mangsa, kumpulan itu kemudian membuat bising dan menimbulkan kekecohan di luar kelab,” katanya.


Katanya, lebih mengejutkan apabila seorang lelaki Arab berkenaan bertindak berani memukul seorang pelanggan kononnya bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan dan layanan bouncer pusat hiburan itu.



“Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan mengajak pengurus kelab dan dua bouncer berkenaan bergaduh di perkarangan kelab dan menunjukkan kehebatan mereka.


“Melihatkan keadaan semakin tegang, pengurus kelab itu mengancam melaporkan kepada pihak polis dan meminta kumpulan Arab berkenaan beredar,” katanya.

Sebaik selesai membuat perbincangan 10 minit selepas itu, kumpulan berkenaan bersetuju untuk beredar.


Katanya, pengurus kelab itu kemudian menghantar dua mangsa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

Pusat siber RM1

SITA...anggota penguat kuasa MPK memeriksa komputer yang dirampas di pusat siber terbabit.
SITA...anggota penguat kuasa MPK memeriksa komputer yang dirampas di pusat siber terbabit.
KLANG: Tindakan seorang pemilik pusat siber haram di Taman Sementa Utama, Kapar, di sini, yang menawarkan bayaran RM1 sudah cukup menarik remaja bawah umur menghabiskan masa berjam-jam melayari Internet dan bermain permainan komputer.
Namun tawaran ‘promosi’ premis terbabit berakhir apabila diserbu Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Khamis lalu selepas mendapat aduan mengenai lambakan remaja mengunjungi premis itu.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pemilik premis yang menjalankan operasi tanpa lesen sejak sebulan lalu menggantungkan lesen perniagaan, tetapi menggunakan alamat sebuah premis di Taman Sri Mewah, Jalan Kota, di sini.

Dalam serbuan itu, 10 pelajar ditahan ketika leka melayari Internet dan bermain permainan komputer.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguat kuasa MPK, Shahrul Hasri Abd Majid berkata, pihaknya sudah membuat intipan terhadap premis terbabit sejak seminggu lalu selepas mendapat aduan orang ramai terutama ibu bapa bahawa anak mereka sering mengunjungi premis itu.

Katanya, pusat siber terbabit turut menjadi tumpuan penduduk setempat terutama pelajar sekolah yang masih di bawah umur menghabiskan masa berjam-jam kerana tawaran harga yang murah.

Menurutnya, ketika pemeriksaan terhadap premis terbabit, MPK juga mendapati lesen premis itu tidak sah kerana menggunakan alamat premis lain kerana bimbang tindakan sita dikenakan.

“Dalam serbuan kali ini, kami merampas 120 komputer termasuk monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) serta papan kekunci yang digunakan bagi menjalankan perniagaan.

“Serbuan yang dilakukan 20 anggota yang diketuai tiga pegawai ini hasil maklumat awam serta risikan yang dilakukan selama seminggu oleh anggota penguat kuasa MPK,” katanya.

Shahrul berkata, selain harga perkhidmatan yang murah, premis terbabit menyediakan permainan komputer terkini untuk menarik perhatian pengunjung.

Katanya, MPK terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas premis terbabit kerana tindakan yang dilakukan pemilik menyalahi undang-undang ditetapkan MPK.

Katanya, tindakan sudah diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pusat Siber dan Kafe Siber MPK 2007.

Rampasan rokok RM31j



         
SUNGAI BULOH: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas hampir 406 juta batang rokok tidak sah membabitkan nilai RM31.5 juta sehingga bulan ini dengan anggaran lepasan cukai sebanyak RM193 juta.

Timbalan Ketua Pengarah KDRM, Datuk Matrang Suhaili berkata, KDRM akan terus menjalankan operasi berterusan bagi memantau penjualan rokok tidak sah kerana ia akan mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian akibat kebocoran hasil cukai eksais tembakau.


Katanya, melalui kajian dilakukan mendapati sejak 2002 hingga 2011, penjualan rokok sah menurun sebanyak 32 peratus manakala dalam tempoh sama penjualan rokok tidak sah meningkat sebanyak 62 peratus terutama rokok Gudang Garam, John, Canyon, Era dan League.

Menurutnya, justeru itu, pelbagai strategi sudah dirangka KDRM agar rokok tidak sah tidak berjaya menembusi pasaran negara dan antara inisiatif terbaru ialah dengan penawaran ganjaran kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga membawa kepada rampasan.


“KDRM menetapkan satu dasar untuk tidak lagi mengenakan denda kompaun kepada penyeludup atau penjual rokok tidak sah walaupun dalam kuantiti kecil kerana mereka mampu membayarnya. Sebab itu kita ambil keputusan untuk mengheret mereka ke mahkamah.


“Dalam kita merencanakan taktik, penyeludup juga memiliki strategi mereka dan contoh terbaru ialah ketika rampasan rokok tidak sah dari Batam, Indonesia apabila semua rokok terbabit apabila disaring kelihatan 100 peratus sama dengan rokok sah,” katanya selepas merasmikan Majlis Khidmat Bakti Masyarakat dan Pelancaran Operasi Penjualan Rokok Tidak Sah di Masjid Al- Ehsan, semalam.



Pada majlis itu, KDRM menyumbangkan seekor lembu sempena Aidiladha yang disusuli dengan program masak secara gotong-royong.


Hadir sama, Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Saadon Mat Deros.

Lima lubang RM1 juta



          PECAH...dinding kedai yang ditebuk penjenayah.

PECAH...dinding kedai yang ditebuk penjenayah.
KUALA LUMPUR: Tiga lubang ditebuk pada dinding sebagai laluan masuk manakala dua lubang lagi digerudi pada peti besi untuk membolehkan sekumpulan penjenayah melarikan barang kemas berjumlah RM1 juta dari sebuah kedai emas di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, semalam.

Ketika kejadian, kedai emas itu ditutup dan kehilangan barang kemas dalam rak kaca pameran disedari pekerja kedai berkenaan jam 7 malam kelmarin ketika dia datang untuk mengambil barangnya yang tertinggal.

   Foto

TINJAU...orang ramai melihat keadaan dari luar kedai.
Foto

BERLUBANG...anggota polis (kanan) memeriksa lubang yang ditebuk penjenayah di kedai emas terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, kebiasaannya kedai itu ditutup jam 8 malam setiap hari serta tidak beroperasi pada Ahad.

Menurutnya, suspek mungkin menggunakan gas acetylene untuk melembutkan peti besi yang tersimpan dalam bilik berkunci itu sebelum tebukan dilakukan berbentuk bulat.


“Polis percaya jenayah itu dilakukan lebih daripada tiga orang berdasarkan jumlah lubang yang dibuat serta tindakan mereka menutup dinding cermin hadapan kedai itu dengan menggunakan kertas bagi mengelak perbuatan mereka dikesan orang ramai yang lalu lalang.

Dewan Rakyat: 1,585 laman sesawang disekat



Kuala Lumpur: Sebanyak 1,585 laman sesawang 'phishing' iaitu aktiviti untuk mendapatkan maklumat rahsia pengguna dengan cara menggunakan e-mel dan laman web yang menyerupai asli atau rasmi, disekat tahun ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata laman sesawang 'phishing' itu adalah antara 1,675 laman sesawang yang disekat, setakat ini.
Menjawab soalan lisan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau), beliau berkata tahun lalu pula, sejumlah 1,475 laman sesawang turut disekat sebagai langkah pencegahan.

Sebanyak 32 kertas siasatan dibuka tahun lalu dan sehingga tahun ini, 74 kes lagi disiasat untuk kesalahan membabitkan media baru mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Salang berkata kerajaan tidak pernah berbelah-bahagi dalam mengambil tindakan terhadap blog yang menimbulkan dakwaan fitnah terhadap pemimpin tempatan.

Katanya, individu yang dituduh atau difitnah oleh blog, boleh membuat aduan terus kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan undang-undang.

Beliau berkata, aduan juga boleh dibuat jika ia membabitkan kementerian lain serta berdasarkan aduan itu, tindakan boleh diambil dan sekiranya disiasat dan didapati tiada yang menyalahi undang-undang, tiada tindakan akan dilakukan.
Kementerian dan pihak berkuasa tidak pilih kasih dan mengambil tindakan sewajarnya untuk semua kes yang dilaporkan, katanya.

27 kanak-kanak mangsa culik kenalan Facebook



 
Jakarta: Seramai 27 daripada 129 kanak-kanak yang dilaporkan hilang kepada Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan (KOMNAS PA) dipercayai diculik selepas bertemu penjenayah menerusi Facebook, kata pengerusi kumpulan itu, Arist Merdeka Sirait.

Salah seorang daripada mereka berkenalan dengan penculik menerusi laman web sosial itu ditemui mati manakala ada sekurang-kurangnya tujuh laporan penculikan gadis oleh lelaki yang mereka temui di Facebook.
Walaupun tiada data kukuh, polis dan kumpulan bantuan yang bertanggungjawab menangani isu penyeludupan manusia berkata ia menjadi masalah besar di negara itu.

Mungkin Indonesia adalah negara yang unik. Sebaik laporan mula diterima, anda akan tahu ia memang berlaku di banyak negara. Internet adalah antara medium global. Ia tidak membezakan antara kaya dan miskin. Ia tidak membezakan antara ekonomi atau budaya negara, kata pegawai program yang bertanggungjawab ke atas isu perlindungan kanak-kanak online, Anjan Bose.

Laman web yang mengesan media sosial berkata, Indonesia mempunyai hampir 50 juta penduduk yang mempunyai akaun Facebook dan menjadi antara negara paling ramai pengguna selepas Amerika Syarikat.

Ramai golongan muda Indonesia, dan ibu bapa mereka tidak sedar mengenai bahaya membenarkan orang asing melihat maklumat peribadi secara online. Remaja kerap menyiarkan gambar dan maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon, sekolah dan tempat yang kerap dikunjungi tanpa menggunakan penetapan peribadi, membolehkan sesiapa saja menemui mereka dan mengetahui segala-galanya mengenai mereka.

Kita bergelut dengan masa dan kegilaan teknologi mengenai Facebook menjadi aliran di kalangan remaja di sini. Polis perlu bertindak pantas atau lebih ramai remaja perempuan akan menjadi mangsa, kata Sirait. Agensi

Taufan Sandy: New York, New Jersey terputus bekalan elektrik



WASHINGTON: Ratusan ribu penduduk tempatan terputus bekalan elektrik apabila Taufan Sandy mendarat di pantai timur Amerika Syarikat hari ini, dengan menghasilkan ombak besar dan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Tenaga AS melaporkan, kira-kira 316,500 pengguna elektrik terputus bekalan pada jam 2.00 petang (waktu tempatan), satu pertiga daripada jumlah berkenaan di New York dan 25 peratus lagi di New Jersey.
Dua jam kemudian, televisyen tempatan melaporkan, angka itu melonjak kepada antara 500,000 dan 750,000.

Ribut dan hujan lebat mengakibatkan pokok dan tiang elektrik tumbang, manakala beberapa struktur serta kemudahan lainn turut musnah. - AFP

Lif flat kena bakar, komponen dicuri




POK BOON (kiri) menunjukkan keadaan sebuah lif yang rosak akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab di Flat 700, Pandan Perdana, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kira-kira 3,000 penduduk Flat 700, Pandan Perdana, Cheras di sini kesal apabila perbuatan merosakkan kemudahan perkhidmatan lif oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Terbaru, sebuah lif yang baru sahaja dibaiki kembali rosak selepas dibakar oleh individu yang dipercayai juga merupakan penduduk di flat 10 tingkat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Flat 700, Tong Tick Chong berkata, kebakaran kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh penduduk yang kebetulan lalu di kawasan tersebut sebelum dia sempat memadamkannya daripada merebak.
"Flat ini mempunyai lapan buah lif dan lima sahaja yang berfungsi termasuk yang dibakar, manakala baki tiga lagi tidak boleh dibaiki langsung kerana mengalami kerosakan yang teruk.
"Pada mulanya penduduk menyangka kerosakan tersebut boleh dibaiki, tetapi setelah jawatankuasa pengurusan yang baharu menyiasat, didapati komponen seperti kabel serta mesin untuk menggerakkan lif telah dicuri," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri kawasan Teratai, Ben Liew Pok Boon memberitahu, kerugian yang ditanggung akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu mencecah RM200,000.
"Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat dan suspek telah pun dikenal pasti.
"Hasil daripada laporan tersebut, pihak polis telah membuat rondaan di setiap tingkat dan melantik wakil penduduk untuk memaklumkan kepada mereka jika terdapat sebarang perkara yang mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Flat itu sebelum ini bukan sahaja menghadapi masalah lif rosak akibat vandalisme tetapi juga kerosakan pam air yang mengakibatkan penduduk kadangkala terpaksa menanggung masalah tekanan air rendah.

Dua beranak terbunuh kereta bertembung bas ekspres




KEADAAN kereta Proton Iswara yang meragut nyawa dua beranak selepas dirempuh bas di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Temoh semalam.


TAPAH - Seorang janda bersama anak tunggalnya terkorban apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Temoh di sini semalam.
Dalam kemalangan pukul 1.30 pagi itu, kereta yang dipandu Nurni Ahmad, 27, remuk sebelum kenderaan tersebut berpusing-pusing dan berlanggar dengan sebuah motosikal yang mengekori kereta itu.
Nurni, seorang peniaga dan anak lelakinya, Ikmal Daniel Abdullah, 7, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor Khairul Nizam Ismail berkata, sebelum kejadian, dua beranak terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menghantar ibu Nurni ke Felda Sungai Behrang dekat sini.
"Siasatan mendapati bas yang membawa seorang penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur terbabas lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara," kata beliau ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, pasangan suami isteri berusia masing-masing 28 dan 26 tahun, penunggang dan pembonceng menaiki motosikal yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tapah di sini.
Pemandu bas berusia 29 tahun yang tidak cedera ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.
"Pemandu bas itu baru memulakan trip selepas bercuti beberapa hari," kata beliau.
Jelas Khairul Nizam, jenazah dua beranak terbabit dituntut petang semalam oleh keluarga mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.

Duda maut dirempuh kereta



ORANG ramai mengusung jenazah Ja'far yang meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta di Kota Tinggi kelmarin.


KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang baru berpisah dengan isterinya enam bulan lalu maut apabila dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika sedang berjalan kaki ke rumah rakannya selepas menunaikan solat Isyak di sebuah masjid kelmarin.
Kejadian pukul 8.20 malam di Kilometer 10, Jalan Mawai–Kuala Sedeli di hadapan balai raya Kampung Sayang di sini itu mengakibatkan Ja’far Yusof (gambar kecil), 78, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu pelajar perempuan di sebuah institut pengajian awam di Bangi, Selangor. Pelajar berusia 21 tahun itu tidak cedera.
Mengimbau semula kejadian itu, seorang penduduk, Abu Husin Othman, 72, berkata, dia tidak menyangka mangsa meninggal dunia kerana mereka baru lepas berjemaah menunaikan solat Isyak di Masjid Jamek, Kampung Sayang.
Katanya, mangsa tinggal bersendirian sebelah rumahnya dan baru berpisah dengan isterinya enam bulan lalu. Ja’far tidak mempunyai anak.
“Arwah seorang yang periang dan suka bergurau namun dua tiga hari lalu dia kelihatan muram. Mungkin itu petanda yang dia akan pergi menghadap Ilahi,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di sini.
Tambahnya, hasrat arwah untuk memulakan perniagaan menjual makanan ringan juga tidak kesampaian ekoran kejadian tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Low Hong Seng berkata, mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik kesihatan di Tanjung Sedeli.
Katanya, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pelajar perempuan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Pelajar USM cedera jatuh dari tingkat tujuh asrama



PELAJAR diserang histeria cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok asrama di USM, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat tujuh sebuah bangunan asrama universiti itu semalam.
Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan ditemui rakan sebiliknya di atas bumbung tempat letak kereta di blok asrama terbabit dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri pada pukul 11.30 pagi.
Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tahun pertama itu dikatakan sering dilihat mengasingkan diri dan murung. Mangsa juga didakwa kerap mandi dan berbogel ketika berada di dalam bilik.
Kejadian menimpa pelajar itu disedari rakan sebiliknya yang ketika itu berada di luar dan terkejut apabila dia tiba-tiba terdengar satu objek terjatuh dari arah tingkap biliknya.
Tingkap bilik tersebut semasa kejadian terbuka luas.
Difahamkan pelajar jurusan pengurusan itu terlibat dalam sebuah kumpulan ajaran yang belum diketahui statusnya.
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu dipercayai mengalami histeria semasa kejadian.
Menurut beliau, dia sebelum ini pernah direhatkan selama beberapa bulan daripada pengajian di universiti itu berikutan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.
Mangsa didakwa hanya menyambung semula sesi pengajiannya pada minggu lalu.
"Pelajar terbabit masih dalam keadaan kritikal dan tidak boleh bercakap. Polis masih menunggu laporan kesihatannya bagi melengkapkan siasatan," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.

Jambatan Sungai Rasau runtuh



Sepang: Sebahagian jambatan Sungai Rasau di Kampung Batu 9, Pulau Meranti, di sini, runtuh petang semalam, dipercayai akibat struktur tanah yang tidak kukuh.

Runtuhan jambatan di laluan dua lorong yang menghala ke arah Puchong itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kejadian tidak diingini kepada pengguna jalan berkenaan.
Tinjauan BH di tempat kejadian mendapati, laluan berkenaan yang terletak berdekatan Masjid Meranti terbelah dua dengan runtuhan selebar dan sedalam kira-kira tiga meter.

Difahamkan, laluan itu ditutup kepada lalu lintas sebaik kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Hafiz, berkata dia melalui jalan itu jam 1.30 petang semalam dan dapat berasakan ia seperti bergoyang.

Saya terus menghubungi Ketua Kampung untuk memberitahu perkara itu, namun terkejut apabila dimaklumkan ia runtuh setengah jam kemudian.

Mujurlah pada masa itu tidak ada kenderaan yang lalu kerana kebiasaannya pada masa itu, jalan berkenaan digunakan pelajar yang pulang dari sekolah, katanya.
Hafiz berkata, dia menyedari mengenai masalah tanah di kawasan itu sejak enam bulan lalu selepas mendapati kewujudan lubang seluas satu meter di sebelah kiri jalan.

Katanya, difahamkan aduan kepada pihak berkuasa sudah beberapa kali dibuat, namun tiada tindakan diambil walaupun jalan itu sering digunakan orang ramai yang mahu ke Puchong, manakala laluan bertentangan ke arah Putrajaya dan Cyberjaya.

Seorang lagi penduduk, Saiful Wan Mohd Rosli, 40, berkata laluan berkenaan juga sering digunakan kenderaan terutama lori yang keluar masuk ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Marsum Paing yang turut melawat tempat kejadian ketika dihubungi berkata, tindakan segera sudah diambil untuk membaiki jambatan berkenaan, membabitkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Laluan itu ditutup sementara waktu kerana ia tidak selamat untuk digunakan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif untuk ke Putrajaya, Cyberjaya dan Puchong, katanya.

Guru wanita dipenjara kerana berasmara dengan pelajar



SINGAPURA - Seorang guru wanita berusia 32 tahun dihukum penjara selama setahun di sini semalam kerana melakukan hubungan seks dengan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sekolahnya, lapor media tempatan di sini semalam.
Akhbar Straits Times melaporkan, guru berkenaan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mula menjalin hubungan dengan pelajar itu pada tahun lalu.
Menurut laporan akhbar tersebut, hubungan itu bermula selepas guru tersebut mengendalikan sesi kaunseling pelajar berkenaan.
Nama guru dan pelajar itu tidak didedahkan bagi melindungi mereka.
Mahkamah diberitahu bahawa wanita terbabit 'memikat' pelajar tersebut dengan beberapa hadiah termasuk sebuah buku terkenal yang berjudul Eat, Pray, Love.
Buku itu pernah dijadikan filem yang menampilkan pelakon terkenal, Julia Roberts pada 2010.
Ia mengisahkan tentang seorang wanita Amerika Syarikat yang sudah bercerai.
Pelajar dan guru itu menjalin hubungan lebih sebulan dan mereka pernah melakukan hubungan seks di rumah guru terbabit.
Bagaimanapun, hubungan berkenaan diketahui oleh ibu bapa pelajar itu sekali gus menyebabkan mereka membuat aduan kepada pihak sekolah. - AFP