Search This Blog

Monday, October 29, 2012

Jambatan Kg Pulau Meranti runtuh, penduduk dinasihat cari jalan alternatif




29 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Sebuah jambatan di Sungai Rasau, Kampung Pulau Meranti dekat Putra Perdana, Puchong runtuh petang tadi menyebabkan laluan dari kampung itu ke Puchong, Putrajaya dan Cyberjaya terputus.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata runtuhan jambatan itu mulai berlaku pada kira-kira 2 petang sebelum ia runtuh sepenuhnya tiga jam kemudian.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya sedang melakukan kerja pembaikan.

"Penduduk di kawasan kampung itu dinasihat menggunakan laluan alternatif Jalan Puchong-Putra Perdana-Cyberjaya," katanya kepada Bernama.

Zaldino juga berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hakisan di sungai berhampiran.
  
Sementara itu, penduduk di sekitar Kampung Pulau Meranti terkejut dengan kejadian tersebut.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata ketika melalui jambatan itu pada kira-kira 1.30 petang tadi, beliau terasa kenderaannya 'terhayun'.

"Saya segera memaklumkan kejadian itu kepada Ketua Kampung tetapi ia runtuh setengah jam kemudian. Mujur ketika kejadian, tiada kenderaan yang lalu dan tiada orang cedera," katanya ketika ditemui di sini.

Hafiz berkata retakan dan lubang kecil mula dikesan pada jambatan itu enam bulan lepas namun tiada kerja baik pulih dilakukan.

Saiful Wan Mohd Rosli, 40, pula berkata laluan itu juga sering digunakan lori dan treler yang berkemungkinan menyebabkan retakan.

"Saya menyedari retakan pada laluan ini semasa pulang dari solat Jumaat minggu lepas dan saya mendapati seperti ada lubang yang agak besar di bahagian bawah jambatan itu," katanya. - Bernama

Lelaki maut terjatuh bangunan

GEORGE TOWN — Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 21 pangsapuri Taman Lone Pine di Bayan Baru awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, pada kejadian 4 pagi itu lelaki berusia 30-an terbabit mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.
"Kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada lelaki itu dan penduduk di kawasan perumahan berkenaan tidak mengenalinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.— BERNAMA

Dua sahabat didakwa edar, miliki dadah


KUALA LUMPUR — Dua sahabat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dua minggu lalu.
Mah Ken Toh, 38, dan Cheng Chee Choong, 40, didakwa mengedar 13 peket plastik berisi dadah Methamphetamine anggaran berat 63.68 gram, di hujung Jalan Gelang, Off Jalan Sungai Besi, dalam daerah Dang Wangi, pada 10.30 malam, 17 Oktober lepas.
Kedua-dua penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa memiliki 20 keping foil mengandungi 200 biji pil dadah Nimetazepam, pada waktu dan tempat sama, dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.— BERNAMA

Suspek kes bunuh warga tua guna dumbell ditahan



Shah Alam: Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun, sehari selepas ibunya ditemui mati dipercayai dibunuh dengan besi angkat berat dumbell di Bukit Subang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan dan Perundangan), Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata lelaki itu direman lima hari bermula semalam sehingga 1 November ini untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian kelmarin, Teh Kin Geok, 60, ditemui mati oleh anak saudaranya dalam timbunan kain dalam bilik tidur utama rumah wanita itu, kira-kira jam 1.30 petang.

Siasatan polis menemui tiga kesan cedera di kepala mangsa dipercayai akibat hentakan kuat. Dumbell yang dianggarkan seberat 10 kilogram itu turut ditemui di rumah mangsa dan polis tidak menolak kemungkinan dia mati dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya sewaktu ditemui, katanya ketika dihubungi, semalam.

Siasatan awal polis menolak kaitan kejadian dengan samun selepas dimaklumkan ahli keluarga bahawa tiada barang berharga hilang selain keadaan rumah tiada kesan pecah masuk kecuali ada kesan umpil pada peti besi di kediaman itu, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada peti itu mengandungi wang atau tidak.

Rusdi berkata, wanita terbabit menetap di rumah teres dua tingkat itu bersama anak lelakinya dan dua anak angkat berusia enam bulan dan dua tahun.

Siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa meninggalkan rumah berkenaan bersama adik angkatnya sejak Khamis lalu untuk ke rumah teman wanita di Cheras. Berdasarkan keterangan jiran pula, mereka mendengar bunyi seperti orang berjalan di tingkat atas rumah itu kira-kira jam 2.30 pagi hingga 3 pagi kejadian, katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat dan kejadian disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Amuk majlis kesyukuran

Amuk majlis kesyukuran
Pasu bunga dipercayai turut digunakan untuk
memecahkan cermin Proton Tiara milik seorang lelaki.

AYER KEROH - Empat termasuk seorang wanita sarat mengandung cedera ditetak selepas sebuah rumah di Taman Bachang Baru, dekat sini, diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang, awal pagi semalam.

Amuk majlis kesyukuran
Salehhudin memeriksa Proton Tiara yang pecah
keseluruhan cermin angkara sekumpulan lelaki, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, wanita berusia 30-an, dua tetamunya dan seorang lelaki yang menyerang mangsa cedera di kepala dan tangan selepas serangan di rumah berkenaan ketika mereka sedang membuat persiapan majlis kesyukuran meraikan wanita mengandung terbabit.

Serangan itu dikatakan berpunca akibat perselisihan faham antara rakan pada jamuan makan malam di sebuah restoran di Malim, dekat sini sehingga mengakibatkan sebuah kereta jenis Proton Putra milik ahli kumpulan itu dipecahkan kira-kira 11.30 malam kelmarin.

Menurut sumber, kumpulan tersebut menyertai jamuan makan malam yang disertai lebih 100 orang sebelum berlaku perselisihan faham di luar restoran berkenaan hingga salah seorang ahli berusia 30-an dipecahkan.

“Walaupun berjaya dileraikan, ahli kumpulan sama yang tidak berpuas hati bertindak pergi ke sebuah rumah di Taman Bachang Baru dan memecahkan cermin sebuah Proton Tiara yang diletakkan di luar rumah dipercayai menggunakan pasu.

“Mereka kemudian pergi ke sebuah lagi rumah berhampiran yang sedang membuat persiapan majlis kesyukuran dan menyerang rumah yang mempunyai tetamu itu menggunakan parang dan senjata lain hingga mengakibatkan empat cedera,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Melaka, di sini untuk rawatan lanjut.

“Akibat serangan itu seorang lelaki cedera ditetak di tangan dan dua lelaki termasuk seorang yang menyerang mangsa cedera di kepala. Bagaimanapun, wanita mengandung berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Susulan kejadian, dua lelaki berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan. Polis akan membuat tangkapan baru dalam tempoh terdekat,” katanya di sini, semalam.

“Bagaimanapun, kita masih mengesan senjata digunakan dalam serangan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Perompak tebuk dinding rompak barang kemas bernilai RM1 juta



KUALA LUMPUR: Sekumpulan perompak memasuki sebuah kedai emas dengan menebuk dinding belakang premis itu sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dalam satu kejadian di Jalan Genting Klang di sini, Sabtu lalu.

Ia dipercayai berlaku pada jam 9 malam dan hanya disedari seorang pekerja kedai emas itu pada 8 malam keesokan harinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, kumpulan suspek itu dipercayai mempunyai kepakaran menggunakan peralatan memecah dinding serta peti kebal, selain telah lama memerhatikan premis berkenaan.

"Dipercayai mereka menggunakan gas acetylene untuk melembutkan peti kebal sebelum memecahkannya," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan kejadian di premis yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam itu menyaksikan tiga peti besi berisi barang kemas ditebuk suspek.

Othman berkata, kumpulan penjenayah itu turut memotong wayar sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan bagi mengelak wajah mereka dikenal pasti.

Seorang pekerja sebuah kedai berhampiran yang enggan dikenali berkata, kumpulan perompak itu juga bertindak mengalihkan pandangan CCTV di belakang premis tempat dia bekerja ketika kejadian.
Tinjauan mendapati lubang berukuran badan manusia ditebuk di dinding belakang kedai emas itu manakala gril di dalamnya dipatahkan dan terdapat kesan tebuk pada dinding nipis untuk masuk ke tempat barang kemas disimpan. - BERNAMA

Pemandu ambulans maut terlanggar lori di tepi jalan

KOTA BHARU: Seorang pemandu ambulans Hospital Pasir Mas terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya dikatakan merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan, di Jalan Kota Baharu-Pasir Mas Salor di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 9 pagi itu berlaku ketika mangsa, Alias Awang, 50, dalam perjalanan untuk mengambil ubat di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Azham Othman berkata Alias mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HUSM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Polis telah menahan pemandu lori itu yang berusia 37 tahun untuk membantu siasatan.


Isteri mangsa, Azizah Mat Ali, 53, ketika ditemui di tempat kejadian berkata arwah suaminya yang disyaki menghidap penyakit jantung tidak menunjukkan sebarang petanda luar biasa sebelum kejadian itu.


"Saya bergegas ke sini setelah dimaklumkan oleh keluarga terdekat tidak lama selepas kemalangan itu," katanya. - Bernama

Ibu dan anak maut nahas dengan bas ekspres



IPOH 29 Okt. - Dua beranak terbunuh manakala sepasang suami isteri cedera parah apabila tiga buah kenderaan membabitkan bas ekspres, kereta dan motosikal terbabit dalam kemalangan di Jalan Temoh-Tapah berhadapan Balai Polis Temoh awal hari ini.
Mangsa yang terbunuh pemandu kereta Norni Ahmad, 27, dan anak lelakinya Ikmal Danial Abdullah berusia tujuh tahun. Mereka berasal dari Taman Timur, Temoh.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Shahrul Othman Mansur berkata kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Dua lagi mangsa yang cedera parah ialah penunggang motosikal, Mohamad Rosli Hashim 28, dan isterinya Faezah Samsuddin, 26, yang berasal dari Jalan Damai, Tapah dan mereka dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kejadian berlaku pada 1.40 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Tapah ke Kampar dan dikatakan dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
Siasatan polis mendapati bas tersebut yang datang dari arah Pulau Pinang ke Kuala Lumpur membawa 20 penumpang dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa, katanya.
Shahrul berkata pasangan suami isteri itu mengalami cedera parah selepas merempuh belakang kereta yang dipandu mangsa.
Pemandu bas ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis, manakala 20 penumpangnya yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan bas gantian, katanya.
Akibat kejadian itu kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121029/dn_26/Ibu-dan-anak-maut-nahas-dengan-bas-ekspres#ixzz2AfzXOi90
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis siasat mangsa kemalangan guna identiti orang lain



TASEK GELUGOR 29 Okt. - Polis sedang mengenal pasti identiti pemandu kereta yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, dekat sini awal pagi semalam selepas seorang lelaki di Selangor mendakwa kad pengenalan yang digunakan mangsa adalah miliknya.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihaknya telah menghantar pegawainya ke rumah lelaki yang mendakwa kad pengenalannya digunakan pemandu kereta berkenaan di Kampung Selayang Baru, Batu Caves, Selangor bagi menyiasat dakwaan terbabit.
Katanya pengecaman mayat pemandu kereta itu dibuat berdasarkan dokumen pengenalan diri yang terdapat bersama mangsa semasa berlaku kemalangan berkenaan.
"Sehingga hari ini kita belum tahu identiti sebenar pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan terbabit dan saya difahamkan mayatnya telah dituntut isteri ketiganya semalam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
"Polis juga akan memanggil anggota keluarga mangsa termasuk isteri-isterinya bagi merekodkan keterangan untuk kita mendapatkan maklumat terperinci tentang mangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Komuniti Kepolisan Majlis Korban Perdana Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara bersama kariah Masjid Padang Menora, di sini hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki Sadisafizan Saad, 36, di Kampung Selayang Baru, Selangor terkejut selepas dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.
Beliau mendakwa kekeliruan identiti si mati yang menggunakan namanya berlaku mungkin ada kaitan dengan kehilangan kad pengenalannya pada 28 Sept tahun lepas.
Dalam kemalangan itu, pemandu yang menggunakan nama Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dari Batu 6, Gombak, Kuala Lumpur dan seorang wanita Indonesia Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu laju terbabas melanggar tembok Jambatan Pulau Pinang.
Abdul Rahim berkata seorang lagi penumpang kereta berkenaan iaitu wanita warga Indonesia yang berusia lingkungan 20-an dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan masih dalam keadaan kritikal berikutan cedera parah.
"Identiti wanita itu juga belum dikenal pasti kerana kita tidak dapat merekodkan keterangannya berikutan keadaan dia yang masih belum sedar," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121029/je_05/Polis-siasat-mangsa-kemalangan-guna-identiti-orang-lain#ixzz2AfzJFbiI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lembik dibelasah bekas suami

Lembik dibelasah bekas suami
Keadaan mangsa mengerang kesakitan selepas
 dibelasah bekas suaminya.

PUCHONG – Tidak berhati perut! Seorang lelaki tergamak membelasah bekas isterinya tanpa belas kasihan selepas gagal mendapatkan wang daripada wanita itu, di rumahnya di Pusat Bandar Puchong, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, lelaki berusia awal 40-an itu dikatakan ke rumah bekas isterinya di sebuah pangsapuri kos rendah di sini.

Difahamkan, pintu tidak berkunci menyebabkan lelaki itu mudah meluru masuk ke rumah dan terus mencari kelibat bekas isteri yang tinggal bersama lima anak mereka di rumah terbabit.

Saksi yang tidak mahu dikenali berkata, lelaki itu mendesak bekas isterinya memberikan wang namun tidak dituruti mangsa.

Berang tindakan bekas isterinya, lelaki itu menumbuk mangsa lebih 15 kali di muka, kepala dan belakang badan dan tumbukan turut terkena seorang anak perempuannya berusia 12 tahun.

Tidak cukup dengan tindakan itu, lelaki terbabit turut menyepak perut mangsa bertubi-tubi.

Menurut saksi, anak perempuan mangsa yang berusia 15 tahun cuba menolak bapanya yang ketika itu berada dalam bilik tidur untuk menghentikan pergaduhan kerana simpati melihat keadaan ibunya.

Katanya, apabila mangsa dapat melepaskan diri, dia terus ke dapur dan mengambil sebilah pisau untuk mempertahankan diri sebelum lelaki itu merampas kembali senjata itu dan terus membelasahnya sekali lagi.

“Lelaki itu seolah-olah gagal mengawal diri dan memukul mangsa tanpa belas kasihan. Kejadian disaksikan lima anak mangsa termasuk salah seorang yang berumur dua tahun setengah.

“Selepas puas membelasah bekas isterinya, lelaki itu dikatakan meminta maaf dan terus menghilangkan diri membiarkan wanita terbabit mengerang kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, buntu melihat keadaan ibu yang sakit, anak mangsa kemudian berlari ke rumah jiran meminta pertolongan.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Sinar Harian difahamkan, mangsa enggan memberikan wang kepada bekas suaminya dan sanggup dipukul kerana wang simpanan yang tinggal untuk menyara keluarga hanya tinggal RM10 di dalam dompetnya.

Nahas: 1 maut babit 6 kereta

Nahas: 1 maut babit 6 kereta
Jusoh



KOTA BHARU- Seorang maut dalam kemalangan yang melibatkan enam buah kenderaan di Jalan Pasir Tumboh, Melor, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu berlaku ketika lima kenderaan dari arah Kota Bharu ke Melor, berhenti menunggu lampu isyarat merah dan pada masa yg sama sebuah kereta yang dipandu mangsa, Jusoh Yusof, 55, yang juga datang dari arah jalan terbabit, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang salah sebuah kereta di kawasan itu.           

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke Klinik Kesihatan, Pasir Tumbuh sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan.

Jusoh disahkan meninggal dunia di HUSM pagi semalam.

Azham berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Lelaki seludup 16 anak harimau dicekup

Lelaki seludup 16 anak harimau dicekup
Sebanyak 16 anak harimau cuba
diseludup berhampiran sempadan
Laos, kelmarin. Gambar: AP

BANGKOK - Polis Thailand berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 16 anak harimau berhampiran sempadan Laos, kelmarin.

Ketua penyiasat polis daerah tempatan, Leftenan Kolonel Kusol Pongbunchan berkata, lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan semasa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di pintu sempadan di Khon Kaen wilayah di timur laut Thailand.

“Pihak berkuasa turut menemui lebih sedozen anak harimau berusia antara enam minggu dan dua bulan di dalam sangkar pada bahagian belakang trak tersebut,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa dibayar 15,000 baht (RM1,602) untuk mengangkut anak harimau itu dari Bangkok.

Beliau berkata, pemandu itu kini menghadapi tuduhan pemilikan haram dan penyeludupan spesies terancam. - AFP

Tiga beradik hampir maut

Tiga beradik hampir maut
Keadaan kereta mangsa remuk teruk akibat perlanggaran tersebut.
KOTA BHARU - Berpantang ajal sebelum maut. Itulah perumpamaan tepat yang boleh ditujukan kepada tiga beradik yang nyaris maut apabila kereta yang dinaiki bertembung di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku jam 8.50 malam itu melibatkan pertembungan dua buah kenderaan jenis Mitsubishi Lancer dan Proton Iswara.

Tiga beradik yang menaiki Mitsubishi Lancer, iaitu Mohd Anif Kamaruddin, 24, Mohd Amirul, 20, dan Mohd Hairi, 13, cedera manakala pemandu kereta Iswara tersepit dan berjaya di keluarkan oleh anggota bomba.

Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku, kereta Mitsubishi Lancer dari arah Tesco dikatakan menghala ke Jalan Gajah Mati, manakala kereta Proton Iswara dari Jalan Gajah Mati ke Tesco.

Apabila tiba di tempat kejadian, kereta Mitsubishi Lancer dipercayai berpusing dan hilang kawalan lalu merempuh kereta Proton Iswara tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmad Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.56 malam dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

“Operasi menyelamat melibatkan empat anggota dan sebuah jentera dan pihak kami mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan pemandu kereta Proton Iswara yang tersepit,” katanya.

Menurutnya, manakala mangsa-mangsa lain berjaya di keluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian. Kesemua mangsa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Sementara itu, abang kepada mangsa kejadian yang juga pemilik kereta berkenaan Mohd Hafizi Kamaruddin,25, berkata, ketiga-tiga adiknya itu dalam perjalanan untuk membeli Pizza di Pengkalan Chepa.

Dia yang mendapat tahu tentang kejadian tersebut daripada orang ramai terus berkejar ke tempat kejadian dalam jam 9.30 malam.

“Masa itu saya berada di rumah di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas,” katanya.

'Nasib baik sempat lompat'

'Nasib baik sempat lompat'
Motosikal mangsa terperosok bawah van kilang dalam
 kemalangan pagi semalam. Gambar kecil: Azizul

REMBAU – “Nasib baik dia sempat melompat dari motosikal sebelum dirempuh van," kata saksi kejadian, Azizul Fazli Arifin, 14, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 pagi itu, tiga kenderaan membabitkan sebuah motosikal, van kilang dan kereta jenis Proton Wira dari arah sama terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Seremban - Tampin, dekat Chengkau, di sini.

Menurut Azizul, ketika kejadian, dia sedang membantu saudaranya bekerja di kedai makan yang terletak berhampiran lokasi kemalangan dan melihat dengan jelas penunggang motosikal yang juga penduduk kampung di situ melompat dari kenderaannya.

“Nasib baik mangsa cepat bertindak. Kalau tidak mangsa tentu turut sama dirempuh van kilang berkenaan. Mangsa berguling beberapa kali.

“Setelah van berkenaan merempuh dan mengheret motosikal, kereta Proton Wira itu juga dirempuhnya sebelum merempuh papan tanda arah jalan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu van, R Kumar, 18, dari arah Seremban dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal yang ditunggangi, Azhar Aris, 42, lalu menggelongsor dan melanggar pula bahagian belakang sebuah Proton Wira.

“Selepas itu, pemandu van melanggar pula papan tanda yang berada di bahu jalan. Pemandu van dan penunggang motosikal cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Roshimi Mohd Ali, 52, berkata, sejak kebelakangan ini, kemalangan kerap kali berlaku di lokasi berkenaan.

Terbaru, katanya, kejadian 4 Oktober lalu membabitkan kematian seorang warga emas.

"Atas dasar itu, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan papan tanda amaran di lokasi terbabit sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya," katanya.

Cubaan bakar kenderaan guru

Cubaan bakar kenderaan guru
Keadaan kereta milik mangsa yang dipercayai
dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

HILIR PERAK - Bimbang akan keselamatan keluarga selepas kejadian cubaan khianat dengan membakar kereta dan rumah dekat sini, baru-baru ini, sepasang suami isteri meminta pasukan polis menyiasat kejadian tersebut secepat mungkin.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, pada 22 Oktober lalu, kira-kira jam 4.00 pagi, dia, isteri dan anak-anaknya yang ketika itu sedang tidur telah dikejutkan dengan bunyi bising dari luar rumah.

Katanya, terkejut dengan bunyi bising, isterinya berusia 41 tahun bergegas melihat apa yang terjadi dan mendapati kereta jenis Toyota terbakar di bahagian belakang dan sebahagian rumahnya turut terbakar.

Menurutnya, dalam masa yang sama, jiran sebelahnya juga terjaga disebabkan bunyi bising turut membantu memadamkan api sehingga merosakkan sebahagian kereta dan rumah miliknya.

Tambahnya, api itu berpunca daripada seketul batu bata yang dibalut dengan kain sebelum dibakar lalu dilemparkan ke arah belakang keretanya sehingga menyebabkan kerosakan berlaku.

Selain itu, katanya, seketul batu yang dibalut dengan kain dan dibakar turut dilemparkan berhampiran dengan tingkap namun terkena pada bakul sampah lalu menyebabkan api marak turut mengenai sebahagian rumahnya.

Beliau yang juga seorang tenaga pengajar di salah sebuah di kawasan Rungkup mendakwa kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara keluarganya dan sebuah keluarga di kawasan Selekoh, dekat sini.

“Ia mungkin tindakan nekad anak saya dan anak keluarga tersebut dikatakan melarikan diri walaupun perkara itu tidak benar.

“Walaupun perkara ini sulit untuk dihuraikan, namun begitu, saya dan keluarga telah membawa pulang kawan anak saya ke pangkuan keluarga di samping menjelaskan perkara sebenar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini.

Jelasnya, dia serta isteri turut menjelaskan apa yang terjadi kepada keluarga itu dan beranggapan mereka faham dengan penjelasan diberikan.

Menurutnya, jika benar anaknya menjadi punca dan didapati bersalah dalam kejadian itu, beliau dan isteri sanggup membawanya ke balai polis untuk dihukum.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mengesahkan kejadian dan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa pada hari kejadian.

“Kami sedang mengesan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan kes ini di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Datuk bandar ditembak mati

MANILA - Datuk Bandar Lupi yang mewakili parti politik Presiden Filipina Benigno Aquino telah ditembak mati oleh individu tidak dikenali, kelmarin.

Semasa kejadian, Raul Matamorosa dikatakan sedang berada di kedai membaiki televisyen.

Polis memaklumkan motif kejadian masih disiasat walaupun kebanyakan kes pembunuhan melibatkan ahli politik adalah satu perkara biasa di negara itu. -AFP

Jumpa bayi dalam beg plastik



CHERAS - Penduduk di sebuah apartmen, di sini, gempar apabila menemui janin bayi lelaki yang cukup sifat di dalam sebuah beg plastik, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, janin itu ditemui oleh seorang penduduk di kawasan itu, sebelum menghubungi polis pada jam 9.30 malam.

“Hasil bedah siasat mendapati, bayi berusia kurang daripada enam bulan itu mengalami kecederaan parah di kepala akibat digilis tayar kenderaan. Bayi itu dipercayai mati akibat pengguguran,” katanya.

Menurutnya, bungkusan plastik itu dipercayai dibuang di tempat lain sebelum dibawa anjing yang berkeliaran di kawasan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Dua beranak maut

TAPAH - Dua beranak maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Nurni Ahmad, 27, bersama anaknya, Daniel Abdullah, 7, maut selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tapah ke Kampar.

Bas yang dalam perjalanan dari Kampar ke Tapah masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.

Akibat perlanggaran itu, kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah sama.

Penunggang motosikal masih dirawat di Hospital Tapah.

Nekad mangsa tetak



IPOH – Seorang lelaki terpaksa memandu dalam keadaan badannya dipenuhi darah untuk ke hospital setelah diserang dua lelaki di Jalan Raja Ekram di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, motosikal yang diletakkan di tepi jalan dirempuh oleh mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil.

Katanya, dia cuba melihat keadaan mangsa namun terkejut apabila melihat mangsa mempunyai kesan luka pada bahagian belakang badan seolah-olah dilibas sesuatu yang tajam.

“Saya cuba menyelamatkan mangsa yang dalam keadaan separa sedar dengan menghubungi ambulan dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru berhampiran.

“Mangsa mungkin hendak ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan terbabas akibat kehilangan banyak darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Osman berkata, mangsa dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan berdekatan.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang, mangsa diserang oleh dua suspek yang bersenjatakan parang.

“Mangsa berusia 26 tahun itu mengalami luka dan patah di tangan kiri, belakang badan dan kaki.

“Mangsa yang bekerja sebagai pelayan kini mendapat rawatan di HRPB dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pelajar maut selepas ziarah nenek



KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seorang pelajar tingkatan lima maut dalam kejadian langgar lari di persimpangan Jalan Ampang Hilir di sini tengah malam tadi.
Lebih memilukan, dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Hafidam Zalizan, 17, yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jinjang setelah menziarah neneknya di Ampang.
Menurut jurucakap polis, mangsa mati di tempat kejadian selepas dirempuh dan digilis oleh kenderaan yang belum dikenal pasti.
"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan setibanya di tempat kejadian sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan. Bagaimanapun kenderaan itu terus meninggalkan tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Rakan Cop di talian 03-2115 9999.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121029/wk_04/Pelajar-maut-selepas-ziarah-nenek#ixzz2AeM5GlzT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 maut di JambatanPulau Pinang

ORANG ramai melihat mayat dua mangsa kemalangan
maut di Jambatan Pulau Pinang di Kilometer
1.6 menghala tanah besar, semalam.

PULAU PINANG 28 Okt. - Keseronokan percutian empat sekawan sempena cuti perayaan berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dinaiki mereka merempuh tembok penghadang Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 1.6 menghala ke tanah besar di sini awal pagi ini, sehingga mengorbankan tiga nyawa.
Dalam nahas pukul 3.15 pagi itu, mereka yang terbunuh adalah pemandu kereta Proton Perdana, Sadisafizan Said dari Selayang dan penumpang hadapan Muslim Idwar dari Gombak. Kedua-duanya yang berusia 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Seorang lagi yang turut maut ialah gadis warga Indonesia dikenali sebagai Mai Linda berusia 18 tahun yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pukul 10.30 pagi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121029/dn_23/3-maut--di-JambatanPulau-Pinang#ixzz2AeLVxgrB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bunuh: Anak lelaki mangsa direman

SHAH ALAM 28 Okt. - Polis menahan reman anak lelaki kepada wanita warga emas, Teh Kin Geok, 60, yang ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah teres dua tingkat Jalan Spektrum U16/22 , Bukit Subang di sini semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 1 November depan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek ditahan selepas pihaknya mendapati kenyataan yang diberikannya berhubung kejadian itu bercanggah.

"Kita masih menjalankan siasatan dan percaya kes tersebut bukan bermotifkan samun kerana semua barangan berharga milik mangsa tidak hilang, malah rumahnya juga tidak menunjukkan tanda-tanda di pecah masuk.

"Bagaimanapun terdapat satu peti besi yang terkopak, namun kita masih menyiasat barangan yang terdapat di dalam peti besi tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121029/ma_01/Bunuh-Anak-lelaki-mangsa-direman#ixzz2AeAJnIYr
© Utusan Melayu (M) Bhd

ATM dibakar, wang gagal larikan

BEBERAPA orang anggota bomba memeriksa mesin ATM yang dibakar oleh penjenayah di sebuah bank di Sunway, semalam.
PETALING JAYA 28 Okt. - Sekumpulan penjenayah mengambil kesempatan suasana sunyi dan lengang pada awal pagi untuk menyamun wang mesin pengeluaran automatik (ATM) dari sebuah bank di Sunway PJS 8 di sini hari ini.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek bertindak membakar dua mesin ATM tetapi gagal memecah dan melarikan wang di dalamnya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kumpulan penjenayah itu turut panik dan melarikan diri selepas alat penggera keselamatan di bank tersebut berbunyi.
"Polis mengesyaki penjenayah cuba membakar dua mesin ATM tersebut untuk membolehkan mereka memecah dan mengambil wang di dalamnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121029/je_01/ATM-dibakar-wang-gagal-larikan#ixzz2AeA8IYcF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan lori angkut 16 anak harimau

BANGKOK: Polis di timur laut Thailand yang mengejar sebuah lori pikap terkejut apabila mendapati ada 16 anak harimau dalam kenderaan itu, semalam.

Jurucakap polis wilayah Udon Thani berkata, lori berkenaan melarikan diri bagi mengelak sekatan jalan raya. “Polis mengejar lori berkenaan dan menahannya,” katanya.


Pemandu lori mendakwa, dia dibayar RM1,500 untuk mengangkut anak harimau itu dari Bangkok ke situ. Polis percaya anak harimau itu cuba diseludup keluar dari Thailand. Jurucakap polis berkata, pemandu lori terbabit boleh dipenjara sehingga empat tahun dan denda RM4,000 jika didapati bersalah menyeludup hidupan liar. - BP

Janin ditemui di tengah jalan dekat apartmen

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian kes penemuan janin di tengah jalan berhampiran Apartmen Pudu Impian, di sini, malam kelmarin, tampil membantu siasatan.

Difahamkan, janin yang sudah cukup sifat dan dianggarkan berusia kurang daripada enam bulan itu ditemui kira-kira jam 9.30 malam oleh seorang wanita yang menyangka bayi itu dicampak dari bangunan setinggi 19 tingkat itu.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, siasatan awal mendapati janin berkenaan dibuang di tempat lain sebelum digigit binatang dan dibawa ke lokasi ia ditemui.

“Janin terbabit dibungkus dengan beg plastik dan mengalami kecederaan parah di kepala dan belakang badan dipercayai digilis kenderaan,” katanya.


Katanya, keputusan bedah siasat mendapati janin berkenaan bukan dicampak seperti yang didakwa pengadu sebaliknya mati akibat dilanggar kenderaan.


Beliau berkata, keturunan janin berkenaan belum dikenal pasti dan usaha mengesan saksi dan ibu kepada janin berkenaan masih dijalankan.

“Kita percaya janin berkenaan mati akibat dilahirkan secara pengguguran dan belum cukup bulan,” katanya.


Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Datuk Bandar Lupi maut ditembak di kepala

MANILA: Seorang datuk bandar dari parti pimpinan Presiden Benigno Aquino ditembak mati penyerang tidak dikenali, kata polis semalam.

Datuk Bandar Lupi di timur Filipina, Raul Matamorosa, berada di kedai membaiki televisyen ketika kepalanya ditembak seorang daripada tiga lelaki yang ada di situ kelmarin. Matamorosa yang menganggotai Parti Liberal itu dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia selepas menjalani pembedahan selama lapan jam bagi mengeluarkan peluru di kepalanya. Pegawai polis tempatan, Julio Luis Caparroso, berkata Matamorosa baru saja mengangkat peti televisyen plasma yang baru dibaikinya untuk dibawa masuk kereta apabila penyerang menembaknya dari belakang.


Kata Caparroso, kejadian berlaku kira-kira jam 3.45 petang.

“Matamorosa ditembak dari jarak dekat,” katanya.


Motif pembunuhan belum dikenal pasti, tetapi serangan berpunca daripada dendam serta permusuhan politik sering berlaku di Filipina. Matamorosa, 45, mengumumkan tidak akan bertanding sebarang kerusi dalam pilihan raya tempatan dijadual diadakan pertengahan tahun depan.


Bagaimanapun, dia menyatakan sokongan terhadap pencalonan saudara kandungnya, Roberto, sebagai pengganti. Pada April 2011, seorang datuk bandar di tengah Filipina - jug mewakili Parti Liberal - Reynaldo Uy - turut dibunuh dan pelakunya masih belum ditangkap. - AFP

2 anak aktor Britain maut terhidu asap dalam kebakaran awal pagi

HONG KONG: Dua anak pelakon Britain yang menetap di Hong Kong terbunuh dalam kebakaran rumah mereka, lapor media semalam.

Bomba berkejar ke rumah Simon Watkiss sebaik saja kebakaran dikesan kira-kira jam 1 pagi kelmarin.


Dua anak Watkiss berusia tujuh dan lapan tahun dibawa keluar dari situ dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka disahkan mati akibat terhidu asap. Seorang pembantu rumah Watkiss cedera parah dan masih dirawat, manakala aktor itu dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan. Watkiss pernah muncul dalam beberapa filem Hong Kong, termasuk I Corrupt All Cops yang turut dibintangi aktor veteran China, Tony Leung Ka-fai pada 2009. - AFP

‘Lihat wanita menjerit kesakitan disambar api’

JOHOR BAHRU: “Saya lihat wanita itu meronta dan menjerit kesakitan disambar api, saya cuba membantu malangnya pintu tidak boleh dibuka kerana tubuh mangsa tersepit antara pintu dan kabinet televisyen.

“Saya terus mencuba namun api marak dan asap semakin tebal menyebabkan saya menyelamatkan diri,” kata warga Singapura, Baharudin Saffri Ahsan, 46, jiran kepada pasangan kekasih yang maut di rumah mereka di Blok 15, Town House Polo Park Taman Iskandar di sini, semalam.


Baharudin berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi itu dia berehat bersama isterinya di rumah mereka di Blok 8, iaitu bertentangan kediaman mangsa.

Katanya, sebelum kejadian dia terdengar jeritan mangsa, Angielee Ambrose, 29 dan kekasihnya, Ang Lye Hock, 52, bertengkar dipercayai akibat berselisih faham.


“Pada mulanya saya tidak ambil tahu kerana pasangan berkenaan memang kerap bertengkar sejak kami mula berpindah ke sini, lima bulan lalu.


“Bagaimanapun, tiba-tiba wanita berkenaan menjerit, disusuli jeritan meminta tolong menyebabkan saya melihat apa yang berlaku dan mendapati, seorang lelaki dipercayai pekerja televisyen satelit berdiri di luar kediaman mangsa sebelum berlaku letupan kuat termasuk api menyambar keluar dari rumah mereka. “Saya meminta isteri menyediakan selimut dan menghubungi polis sebelum berlari menghampiri rumah mereka dan pada masa sama, letupan sebanyak dua kali berlaku dan melihat wanita terbabit terbaring di ruang tamu,” katanya.

Menurutnya, ketika itu dia berada di depan pintu dan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana pintu tersekat. Katanya, pada masa sama api marak dan asap semakin tebal menyebabkannya terpaksa menyelamatkan diri.


“Saya tinggal di sini kira-kira lima bulan lalu dan mengenali pasangan berkenaan kerana mereka kerap bertengkar dan menjerit,” katanya.

Tumpah darah 290 kilometer

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang baru menggugurkan kandungannya empat hari lalu sanggup menanggung kesakitan lebih tiga jam di dalam sebuah bas apabila mengalami pendarahan yang banyak sepanjang perjalanan dari ibu kota hingga Kemaman, Terengganu sebelum dimasukkan ke hospital daerah berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia 20 tahun terbabit dibawa ke hospital berkenaan selepas mengadu sakit perut di samping mengalami pendarahan sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 290 kilometer itu.
Menceritakan semula kejadian, sumber berkata wanita muda terbabit kelihatan pucat ketika tiba di hospital sebelum dibawa berjumpa doktor pakar yang kemudian menemui tanda-tanda dia baru saja menggugurkan kandungan.

“Berdasarkan ciri-ciri seperti post-partum dan juga saiz rahimnya, doktor mengesyaki suspek baru saja menjalani proses menggugurkan kandungannya.


“Siasatan pihak hospital kemudian mendapati suspek memang baru menggugurkan kandungannya yang berusia sekitar enam hingga tujuh bulan di sebuah klinik swasta di Bukit Bintang, dekat sini, empat hari lalu,” katanya.

Pemilik bengkel kereta maut terhidu asap tebal

IPOH: Seorang pemilik bengkel kereta ditemui maut dalam keadaan terbaring dalam bilik air premisnya dipercayai akibat terhidu asap tebal selepas bengkel di Bandar Baru Lahat itu musnah dijilat api petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari, mangsa dikenali sebagai Lim Jeng Yih, 33, ditemui dalam bilik air tingkat satu bangunan berkenaan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat kira-kira sejam selepas api berjaya dikawal.


Difahamkan, mangsa gagal keluar menyelamatkan diri kerana api marak terlalu cepat terutama di tingkat bawah premis.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Pasir Puteh, Zainasrie Zainal ketika ditemui semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian bersama 17 anggota termasuk empat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Pasir Puteh.


Beliau berkata, sejurus tiba, pihaknya dimaklumkan orang ramai bahawa seorang mangsa terperangkap di dalam bangunan berkenaan sebelum usaha mencari dan menyelamat dilakukan.


“Kami terpaksa melakukan operasi memadam kebakaran terlebih dahulu sebelum api berjaya dikawal sejam kemudian.

“Mayat mangsa ditemui terbaring dalam bilik air berkenaan,” katanya.


Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kejadian namun, tidak menolak kemungkinan kebakaran bermula dari arah hadapan kedai di tingkat bawah.

Zainasrie berkata, kebakaran turut memusnahkan sebuah premis lain yang terletak berhampiran namun, anggaran kerugian sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Gagal dapat wang bakar mesin ATM

PETALING JAYA: Lagi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipecahkan menggunakan alat pengimpal logam jenis gas Oxy-Acetylene. Kali ini, dua mesin ATM di Dataran Sunway, di sini, cuba dipecahkan namun gagal menyebabkan kumpulan penjenayah terbabit yang dipercayai Gang Oxy membakar mesin berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, dua mesin ATM bank berkenaan terdapat kesan diumpil dipercayai menggunakan kuku kambing sebelum penjenayah terbabit cuba membuka bahagian menyimpan wang menggunakan alat pengimpal logam jenis gas Oxy-Acetylene bagi menebuk peti besi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Tuah Masrom berkata, bagaimanapun peti besi dalam mesin ATM itu gagal ditebuk menyebabkan penjenayah terbabit berang lalu membakar satu daripadanya dengan menyimbah petrol.

“Kejadian disedari apabila alat pengesan asap berbunyi menyebabkan syarikat kawalan keselamatan yang diupah bank berkenaan datang memeriksa apa yang berlaku.


“Pada masa sama, dua kereta MPV tiba dan cuba membantu memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api,” katanya.


Menurutnya, api semakin marak manakala asap tebal menyelubungi keseluruhan premis berkenaan menyebabkan keempat-empat anggota MPV itu terpaksa beralah.

“Satu jentera bomba bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 5.10 pagi.


“Sepasukan unit forensik polis tiba kemudian dan pemeriksaan mendapati penjenayah terbabit dipercayai lebih dua orang gagal melarikan wang dalam mesin ATM itu,” katanya.

Majlis syukur jadi ganas

MELAKA: Majlis kesyukuran sebuah keluarga bagi meraikan saudara yang mengandung, bertukar kecoh apabila empat cedera ditetak termasuk wanita yang mengandung itu akibat diserang sekumpulan lelaki di Taman Bachang Baru, Bachang, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2 pagi, wanita berusia lingkungan 30-an itu, dua tetamunya serta seorang penyerang mereka cedera terkena tetakan di tangan dan kepala.
Menurut sumber, serangan itu berpunca daripada perselisihan faham antara keluarga berkenaan dengan rakan dalam kumpulan itu di restoran di Malim mengakibatkan Proton Tiara milik ahli kumpulan itu dipecahkan jam 11.30 malam kelmarin.

“Perselisihan faham malam di restoran itu berlarutan hingga ke luar restoran hingga menyebabkan Proton Tiara milik seorang lelaki berusia 30-an dipecahkan.


“Walaupun dileraikan, tidak berpuas hati dengan kejadian itu, sebahagian ahli kumpulan berkenaan pergi ke sebuah rumah di Taman Bachang Baru dan merosakkan Proton Tiara yang diletak di luar rumah dan mereka menyerang penghuni rumah itu, namun tiada mangsa yang cedera,” katanya.

Lampu isyarat rosak

JITRA: “Tidak sangka percutian ke rumah mentua kali ini meninggalkan pengalaman paling pilu apabila kehilangan anak perempuan dan ibu mentua,” kata K Jeevaratnam, 42, menantu kepada M Kannigah, 61, dan bapa J Thivyaamsheni, 13, yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Taman Suria, Jalan Tunjang-Jitra, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu turut meragut nyawa isteri jiran ibu mentuanya apabila kereta Proton Iswara dinaiki mangsa bersama empat penumpang lain dari Tunjang menuju ke Jitra bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora di persimpangan berkenaan.
Difahamkan, kereta Proton Iswara berkenaan hilang kawalan lalu melayang dan merempuh lampu isyarat sebelum terbalik dengan keempat-empat tayar di atas.

Kemalangan dipercayai akibat lampu isyarat tidak berfungsi sejak pagi menyebabkan keadaan lalu lintas tidak terkawal, malah turut menyebabkan dua kemalangan kecil berlaku di situ beberapa jam sebelum itu.


Jeevaratnam, Penolong Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata, dia sekeluarga pulang bercuti ke rumah mentua di Taman Osman Aroff, dekat sini, sejak Jumaat lalu sempena cuti Aidiladha.

Dua nahas kecil

JITRA: Pemandu Proton Exora yang bertembung dengan kereta Proton Iswara di simpang lampu isyarat Taman Suria, dekat sini, sehingga menyebabkan tiga maut, petang kelmarin, sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, setakat ini pemandu Proton Exora berusia 30-an itu belum diambil keterangan.


“Kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Jitra, malam kelmarin.

Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat lampu isyarat tidak berfungsi sejak pagi kelmarin hingga menyebabkan keadaan lalu lintas menjadi tidak terkawal.


Beliau berkata, dua kemalangan kecil dilaporkan dalam tempoh beberapa jam sebelum kemalangan maut berlaku.

Wanita mabuk dicampak keluar

SYDNEY: Bosan dengan bebelan dan tindak-tanduk seorang wanita, sekumpulan penumpang komuter di Sydney berpakat untuk mencampaknya keluar dari tren, lapor media semalam.

Sebahagian daripada insiden itu dirakam dan dimuat naik ke YouTube dan mencetuskan sensasi di laman sesawang berkenaan.


Melalui klip sepanjang empat minit itu, seorang wanita dipercayai mabuk kelihatan duduk di dalam tren berkenaan dan bertengkar dengan sekumpulan lelaki.

Wanita terbabit juga kelihatan meludah dan memaki sambil memukul-mukul mereka secara tidak keruan.


Selepas beberapa minit bergelut, seorang lelaki agak berusia cuba mententeramkan keadaan dan memujuk wanita itu tetapi malangnya dia pula dipukul.


Terkejut dengan serangan itu, sekumpulan lelaki memberi amaran supaya tidak memukul lelaki berkenaan dan memisahkan mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketika lelaki terbabit beredar, wanita itu menolaknya dengan kuat. Akibat tidak tahan dengan kata-kata kesan dan tingkah-laku wanita itu, kira-kira lima lelaki berpakat menangkapnya dan memaksa dia keluar dari tren.


Apabila tren itu berhenti di sebuah stesen, mereka membuang barangan wanita terbabit ke tepi landasan sebelum dia sendiri ditolak keluar.

Wanita itu kemudian dilihat cuba mengadu kepada seseorang dipercayai kakitangan komuter di stesen berkenaan. - ST

Penjaga rumah pelacur dilibas parang

MIRI: Seorang penjaga rumah pelacuran di Jalan Brooke, di sini, menerima padah apabila dilibas dengan parang ketika menuntut baki bayaran perkhidmatan pelacur daripada seorang pelanggan, kelmarin.

Sebelum kejadian, suspek berusia lewat 20-an itu berkunjung ke premis itu bersama dua saudaranya sebelum melanggan seorang pelacur jam 3 hingga 4 pagi.


Menurut sumber, sebaik selesai melepaskan nafsu masing-masing, suspek tidak membayar RM80 seperti ditetapkan sebaliknya beredar dari situ.

Katanya, suspek hanya membayar RM30 kepada pelacur terbabit menyebabkan wanita itu mengadu kepada seorang penjaga premis yang membawa tiga rakannya mengekori kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki suspek bersama dua saudaranya. “Bagaimanapun, tindakan kumpulan lelaki terbabit dipercayai mencetuskan kemarahan suspek sebelum dia mengambil sebilah parang di rumahnya lalu menyerang mereka sehingga menyebabkan seorang daripada mereka cedera di tangan kanan,” katanya.


Jurucakap polis berkata, setakat ini, pihaknya sudah menahan suspek terbabit bersama dua saudaranya di rumah masing-masing di Senadin kelmarin bagi membantu siasatan.

Drebar gilis remaja cabut lari

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 5 November ini maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Jalan Ampang, tengah malam kelmarin.

Mangsa, Hafidam Zalizan, 17, maut di tempat kejadian selepas motosikalnya dirempuh dan digilis sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti kerana dipercayai melarikan diri sebaik kejadian jam 12 tengah malam itu.


Berikutan itu, polis meminta orang awam atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis atau menghubungi Rakan Cop 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Difahamkan, Hafidam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jinjang selepas menziarahi neneknya di Ampang sempena Aidiladha.


Sumber polis berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan.


“Mangsa terjatuh di atas jalan sebelum digilis kenderaan terbabit. Sehingga kini, polis masih mengesan kenderaan itu untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 maut akibat parah di kepala dan dada.


Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Van dilari penjenayah

KLANG: Seorang pemilik syarikat penghantaran surat khabar kerugian kira-kira RM73,000 apabila van syarikatnya dilarikan seorang lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, van yang dalam perjalanan menghantar akhbar di sekitar Klang berhenti di stesen minyak di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah berhampiran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menghantar surat khabar.

Pemilik syarikat, K Paramasivam, 46, berkata, sewaktu kejadian, pekerjanya meletakkan van Nissan di hadapan stesen minyak berkenaan sambil dia mengangkat surat khabar yang ditempah ke dalam kedai serbaneka stesen itu.

Bagaimanapun, tiba-tiba datang seorang lelaki meluru masuk ke dalam van dengan bersenjatakan pisau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian.

Geng Hong tak serik

RAMPAS...Mohan menunjukkan peralatan samun yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Mohan menunjukkan peralatan samun yang dirampas daripada suspek.
KUALA LUMPUR: Tidak serik biarpun sudah ditumpaskan Jun lalu, ahli sindiket pecah rumah dan samun kereta yang dikenali sebagai Geng Hong masih meneruskan kegiatan itu selepas mereka dibebaskan dengan jaminan mahkamah sementara menunggu kes disebut semula.
Kali ini, mereka ditahan ketika cuba memecah masuk kediaman Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye di Taman Maluri, Cheras, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, empat lelaki yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan bersama sebuah kereta Mercedes yang disamun di Taman Bukit Maluri, Kepong, kelmarin.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, polis yang melakukan rondaan terserempak kereta berkenaan yang mencurigakan di tepi jalan sebelum ternampak kelibat dua lelaki memanjat pagar sebuah rumah.

“Sebaik ternampak anggota polis, dua lelaki itu melarikan diri dan memecut kereta yang turut dinaiki dua lagi rakan mereka ke arah Kondominium Pertiwi kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka merempuh besi penghadang pondok pengawal dan masuk ke kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.


Katanya, suspek cuba merempuh polis yang mengejar kereta mereka dua kali sebelum membuat pusingan dan cuba melarikan diri menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan.

Mohan berkata, seorang suspek yang duduk di bahagian belakang cedera di kepala akibat terkena serpihan kaca.

“Tujuh das tembakan dilepaskan masing-masing satu di bahagian hadapan, tiga di bahagian belakang dan tiga lagi di sebelah kiri kereta,” katanya.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan besi dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah dan samun kereta.

Katanya, suspek yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan semua mereka kini direman hingga 31 Oktober ini.

Sementara itu, Lam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berterima kasih kepada anggota polis yang berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.

“Meskipun ia sekadar percubaan dan saya sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun tindakan pantas anggota polis berjaya memberkas mereka.

“Saya gembira dan berharap polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan ini bagi keselamatan penduduk setempat,” katanya.

Rebah dibedil peragut

SUNGAI BULOH: “Dia memang berani kerana mengejar empat lelaki yang cuba menyamun beg tangan dua pelanggan restoran kerana menyangkakan mereka peragut biasa sebelum terkena tembakan,” kata pemilik kedai perabot, Raymond Yam, 24, saksi kejadian tembakan di Pusat Perniagaan Megamas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga pemilik pusat aksesori dan pendingin hawa kereta, Lee Chee Long, 32, parah akibat ditembak di dada kiri dan belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB).

Menurut Yam, ketika kejadian, mangsa sedang melayan pelanggan di depan pusat aksesori miliknya apabila tiba-tiba terdengar bunyi jeritan wanita dari restoran yang terletak selang tiga kedai dari premisnya.

“Sejurus jeritan itu, dua motosikal dinaiki empat lelaki dipecut laju dari restoran berkenaan dan mangsa cuba menghalang mereka daripada meninggalkan tempat kejadian.

“Namun, tiba-tiba seorang daripada lelaki terbabit melepaskan empat hingga lima tembakan rambang bagi menakut-nakutkannya. Tetapi, satu tembakan terkena Ah Long manakala satu lagi terkena sebuah kereta yang diparkir berhampiran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Yam berkata, adik mangsa yang bekerja di pusat yang sama juga cuba membantu abangnya menahan keempat-empat lelaki terbabit tetapi terpaksa menyorok selepas tembakan dilepaskan.


“Ah Long kemudian rebah di depan premisnya akibat terkena tembakan di dada kiri sebelum seorang pelanggan membantu dengan membawanya ke hospital dengan menaiki kereta.

“Manakala,keempat-empat lelaki terbabit terus melarikan diri sebelum orang ramai menghubungi polis,” katanya.

Katanya, dia difahamkan kumpulan lelaki terbabit cuba menyamun beg tangan dua pelanggan wanita yang sedang minum di restoran itu.

“Seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh turun dari motosikal dan terus menuju ke arah dua wanita berkenaan.

“Dia kemudian cuba meragut beg seorang daripadanya yang diletakkan di atas meja tetapi berlaku tarik-menarik sebelum rakan mangsa cuba membantu,” katanya.

Yam berkata, tiba-tiba lelaki terbabit mengacu pistol di kepala rakan mangsa. Namun, rakan mangsa menyangkakan ia senjata mainan sebelum bertindak menolak lelaki terbabit.

“Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit naik berang dan menghentak kepala rakan mangsa dengan gelas sehingga cedera.

“Kedua-duanya kemudian menjerit meminta tolong dan berlari ke arah belakang kedai untuk menyelamatkan diri sebelum lelaki terbabit segera beredar,” katanya.

Adik mangsa, Sam Lee, 27, berkata tembakan itu mengenai paru-paru abangnya dan sudah menjalani pembedahan mengeluarkan peluru serta darah daripada organ berkenaan kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

“Bagaimanapun, abang saya yang masih bujang belum sedarkan diri.

“Kami sekeluarga bersedih dengan kejadian ini dan tidak menyangka niat murni abang yang juga anak sulung mahu membantu mangsa tetapi dia pula ditimpa tragedi,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Tuah Masrom, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana kesalahan memiliki senjata api.

“Siasatan mendapati keempat-empat suspek menaiki dua motosikal dan semua mereka memakai topi keledar berpenutup bagi mengelak wajah dikenali dan menggunakan pistol jenis semi automatik 9 milimeter.

“Bagaimanapun, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu mereka termasuk mengadakan sekatan jalan raya melalui Ops Tutup,” katanya.

Pertengkaran terakhir

PERIKSA...mayat pasangan kekasih maut dalam kebakaran di rumah sewa, semalam.
PERIKSA...mayat pasangan kekasih maut dalam kebakaran di rumah sewa, semalam.
JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih yang dipercayai sering bergaduh di rumah mereka di Blok 15, Town House Polo Park Taman Iskandar di sini, sejak beberapa tahun lalu, bertengkar buat kali terakhir pagi semalam, sebelum kedua-duanya ditemui maut dipercayai terhidu asal tebal dalam kebakaran, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki warga Singapura, Ang Lye Hock, 52, dan pasangannya dari Sabah, Angielee Ambrose, 29, ditemui maut di rumah sewa mereka selepas kali terakhir dilihat bertengkar dan menjerit sesama sendiri.
Ang ditemui maut di dalam bilik air, manakala mayat Angielee ditemui tersepit antara kabinet televisyen dan pintu utama di ruang tamu.

Pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat cadangan memasang piring televisyen satelit di rumah sewa mereka, sebelum beberapa letupan berlaku dan kebakaran bermula.


Difahamkan, sebelum kejadian, rumah mereka dikunjungi seorang pekerja televisyen satelit hingga kurang disenangi seorang mangsa kebakaran itu.

Janji tunang 5 wanita

BUKTI...Nina dan Wani yang menjadi mangsa lelaki  kasanova menunjukkan laporan polis mereka.
BUKTI...Nina dan Wani yang menjadi mangsa lelaki kasanova menunjukkan laporan polis mereka.
SEGAMAT: Kelicikan seorang lelaki yang memperdaya puluhan wanita dikenalinya melalui laman mencari jodoh sehingga dapat mengikis wang lebih RM100,000 terbongkar apabila seorang daripada mangsa curiga dengan kegagalannya hadir untuk majlis pertunangan mereka.
Hasil ‘siasatan’ mangsa itu yang mahu dikenali sebagai Wani, 28, amat mengejutkan apabila kekasihnya itu bukan saja berjanji untuk bertunang dengannya pada 26 Ogos lalu, tapi turut membuat janji serupa dengan empat lagi wanita lain.
Wani yang bekerja sebagai guru sekolah rendah berkata, dia menghubungi empat wanita itu yang mengaku senasib dengannya apabila wang mereka turut dikikis lelaki sama.

“Saya percaya dia ada tidak kurang 20 teman wanita yang semuanya dikenali menerusi laman web mencari jodoh sama. Setakat ini, saya dapat hubungi 10 daripada mereka dan empat dijanji untuk bertunang pada tarikh sama dengan tarikh pertunangan saya,” katanya ketika ditemui semalam.


Menurut Wani, ketika berkenalan dengannya September tahun lalu, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Marzuki, 37, berasal dari Terengganu dan bekerja sebagai kontraktor.

Siapa sebenarnya mati?

PANJANG UMUR...Sadisafizan ketika ditemu bual wartawan. Gambar kecil, foto dalam MyKad Sadisafizan yang hilang.
PANJANG UMUR...Sadisafizan ketika ditemu bual wartawan. Gambar kecil, foto dalam MyKad Sadisafizan yang hilang.
KUALA LUMPUR: “Saya tak mati lagi, seram sejuk badan saya bila awak cakap saya mati.”
Itu kata Sadisafizan Said, 36, kepada wartawan Harian Metro yang ke rumahnya di Kampung Selayang Baru, Batu Caves, di sini, untuk menemu bual keluarganya selepas dia dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.
Pertemuan wartawan Harian Metro dengan Sadisafizan, sekali gus menimbulkan persoalan siapa sebenarnya lelaki yang terbunuh dalam kemalangan itu kerana polis sebelum ini memaklumkan seorang daripada mangsa dikenali sebagai Sadisafizan Said berusia 36 tahun.

Menurut polis, selain lelaki menggunakan nama Sadisafizan yang memandu kereta Proton Perdana dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1.6 Jambatan Pulau Pinang pada jam 3.35 pagi itu, seorang lagi yang terbunuh dikenali sebagai Muslim Idwar, 38, dari Jalan Gombak, Kuala Lumpur.


Turut maut ialah seorang wanita, Mai Linda, 18, dari Namutrasi di Sumatera Utara, Indonesia yang meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) jam 10.15 pagi.

Pemilik bengkel maut dalam kebakaran di premisnya



IPOH - Seorang pemilik sebuah bengkel kenderaan maut dalam kebakaran di bengkelnya di Laluan Lahat Baru 2, Bandar Lahat Baru di sini hari hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, mangsa Lim Jeng Yim, 33, ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam keadaan terbaring dalam bilik air di tingkat satu bengkel berkenaan.
 
Penolong Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Ahmad Aminuddin Abdul Rahim berkata mangsa ditemui oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi memadam dan menyelamat hampir sejam selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.30 petang.
 
"Selain bengkel kepunyaan mangsa, sebuah rumah kedai lain yang bersebelahan bengkel itu turut terbakar. Kedua-dua kedai tersebut 80 peratus hangus," katanya ketika dihubungi di sini.
 
Beliau berkata kebakaran dipercayai bermula di bahagian hadapan bengkel itu sebelum merebak ke bahagian lain premis berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat, katanya.
 
Katanya, empat buah jentera dari Balai Bomba Pasir Putih, Batu Gajah dan Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian.
 
Punca kebakaran sedang disiasat, katanya. - Bernama

Empat kapal China masuk perairan Jepun

Tokyo: Empat kapal pemantau maritim China semalam ditemui di wilayah perairan sekitar pulau dikawal Tokyo yang menjadi pertikaian dengan China, kata pengawal pantai Jepun.

Kapal terbabit pada awalnya belayar di zon berhampiran rangkaian pulau terbabit tetapi memasuki wilayah perairan Jepun, kira-kira 12 batu nautika di sekitar pulau Laut Timur China kira-kira jam 2 petang, kata pengawal pantai terbabit.
Ia adalah kumpulan kapal China yang berbeza yang menghabiskan masa beberapa jam pada Khamis di wilayah perairan sekitar pulau yang menjadi tuntutan Tokyo dan Beijing dan mencetuskan bantahan kuat dari Jepun, katanya.

Ketegangan meningkat sejak beberapa bulan lalu membabitkan kawasan terbabit dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Daioyu di China yang dikatakan kaya dengan sumber ikan. Kawasan pentasnya juga dipercayai mempunyai hasil galian.

Tokyo dan Beijing dilaporkan bersiap sedia untuk melakukan rundingan bagi menjejaskan hubungan perdagangan berbilion dolar antara kedua negara ekonomi Asia terbesar berkenaan.
AFP

Taufan Sandy badai timur AS



Ship Bottom: Kerajaan tempatan dari North Carolina hingga ke Cennecticut mengisytiharkan darurat manakala Delaware mengarahkan perpindahan wajib di kawasan pantai selepas taufan Sandy yang melanda Caribbean, mula membadai wilayah timur Amerika Syarikat dengan hujan lebat, angin kencang dan salji tebal semalam.

Sandy dijangka menjejaskan lebih 60 juta penduduk apabila ia bertembung dengan dua lagi ribut kuat musim sejuk. Pakar berkata kekuatan angin bukan menjadi perkara utama apabila ia membadai tetapi kesannya akan dapat dirasakan sehingga 1,300 kilometer dari Pantai Timur hingga ke Great Lakes.
Pihak berkuasa memberi amaran terhadap penduduk di kawasan pantai untuk mengelak laluan taufan berkenaan.

Pengarah agensi pengurusan kecemasan persekutuan, Craig Fugate berkata ribut adalah satu ancaman bukan hanya kawasan pantai: Ini adalah sebuah kawasan yang besar, katanya.

Gabenor New Jersey, Chris Christie mengisytiharkan perintah darurat ketika beratus penduduk pantai mula berpindah dan negeri itu dijangka menutup semua kasino.

Gabenor New York mempertimbangkan untuk menutup keretapi bawah tanah bagi mengelak ancaman banjir dan berpuluh negeri lain memberi amaran kepada penduduknya untuk bersedia sedia kemungkinan terputus bekalan elektrik selama beberapa hari.

Pusat puting beliung kebangsaan di Miami berkata Sandy akan terus bergerak hingga ke pantai Tenggara bagi kebanyakan hari dan mendekati negeri Atlantik tengah menjelang malam Isnin.
Ramalan kaji cuaca berkata bahawa keadaan ribut tropika merebak di seluruh kawasan pantai North Carolina dan angin kencang bermula sepanjang pantai Atlantik tengah pada Ahad.

Di Ship Bottom, utara Atlantic City, Alice dan Giovanni Stockton-Rossini menghabiskan masa pada Sabtu untuk mengemas barangan di kediaman mereka beberapa meter dari pantai Long Beach Island. Kebanyakan jiran mereka secara sukarela bersedia untuk berpindah.
AP

Pemilik kedai aksesori kereta kritikal ditembak



Saksi kejadian Raymond (kanan) menunjukkan lokasi di mana Chee Long rebah ditembak penjenayah, semal
Saksi kejadian Raymond (kanan) menunjukkan lokasi di mana Chee Long rebah ditembak penjenayah, semalam.
SUNGAI BULOH – Seorang pemilik kedai aksesori kereta berada dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan rambang, yang dilepaskan oleh peragut, di sebuah restoran di Jalan Gelen Kampung Baru Sungai Buloh di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, peragut terbabit dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan rambang dalam cubaan menakutkan orang ramai selepas melarikan beg tangan seorang wanita di sebuah restoran di situ.

Mangsa Lee Chee Long, 32, rebah sejurus terkena tembakan di dada kiri dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Adik mangsa, Sam Lee, 27, berkata, abangnya sudah menjalani pembedahan jalan 11 pagi semalam dan kini masih dirawat di unit rawatan rapi  hospital berkenaan.

“Keadaan Chee Long masih kritikal, namun stabil selepas menjalani pembedahan pada bahagian paru-paru kiri,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian hari ini mendapati kedai aksesori terbabit ditutup ekoran daripada kejadian yang berlaku.

Salah seorang saksi kejadian Raymond Yam, 24, berkata, dia terdengar bunyi suara wanita menjerit dan dapat melihat salah seorang daripada penjenayah keluar dari kedai dengan memakai topi keledar.

“Kebetulan ketika itu pemilik kedai aksesori itu melulu keluar dari premisnya untuk membantu, namun nasib Chee Long kurang baik selepas penjenayah itu yang menyedari kehadirannya dan  melepaskan tembakan manakala satu lagi tembakan terkena sebuah kereta yang diletakkan di situ,” katanya.

Menurutnya, peragut itu bersama tiga lagi rakannya melarikan bersama dua motosikal keluar ke Jalan Sungai Buloh–Shah Alam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritenden Tuah Masrom mengesahkan kejadian dan dan siasatan  sedang dijalankan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol jenis semi auto 9 milimeter turut mengacu  dan  mencederakan rakan  mangsa kerana cuba melawan.

“Rakan wanita mangsa ragut itu cuba melawan menyebabkan suspek berang dan menghentak kepala mangsa dengan gelas sebelum melarikan diri,” katanya.

Ketika kejadian tiada pelanggan lain di restoran berkenaan memudahkan suspek   menjalankan kegiatan jenayahnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta senjata api (penalti lebih berat) 1971.

Kereta terbakar ketika isi NGV



Kereta terbakar ketika isi NGV
Anggota bomba memadamkan kereta yang terbakar di sebuah stesen minyak, kelmarin.
BATU CAVES - Sepasang suami isteri dan anak perempuannya berdepan detik cemas apabila kereta jenis Iswara yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian jam 8 malam kelmarin.
Mangsa, R Tehinagaran berkata, kejadian berlaku sewaktu dia berhenti di sebuah stesen minyak di sini untuk mengisi gas NGV.

Katanya, dia yang dalam perjalanan dari Bandar Country Homes ke rumah mentua di Pahang menyedari saluran gas itu bocor dan memaklumkan kepada pekerja stesen minyak.

“Pekerja cuba menutup saluran utama itu namun gagal menyebabkan hos mengeluarkan api dan menyambar terus kepada enjin kereta.

“Saya dan isteri berada di luar kenderaan manakala anak (T Priyadharyshyini) berada dalam kereta bertindak melompat keluar menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika kejadian.

Insiden menyebabkan Tehinagaran mengalami kecederaan kecil apabila tangan dan kepalanya melecur manakala anak dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian menyebabkan anak saya trauma kerana masih terkejut dengan insiden yang berlaku.

“Dianggarkan lebih RM10,000 kerugian dialami apabila dua telefon bimbit, GPS dan alat permainan DVD hangus dalam kebakaran,” katanya.

Sejurus kejadian, dua jentera bomba dari Gombak Selatan dan Selayang tiba di tempat kejadian.

Anggota bomba dengan kekuatan seramai 11 orang mengambil masa lima minit untuk memadamkan kebakaran.

Ketua operasi, Nasir Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada kebocoran saluran gas.

Perompak banglo Lam Thye dicekup




RUMAH Lam Thye di Taman Maluri, Cheras yang terselamat daripada dimasuki penjenayah.


KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye nyaris menjadi mangsa samun apabila kediamannya di Taman Maluri, Cheras di sini cuba diceroboh oleh empat penjenayah pada awal pagi semalam.
Bagaimanapun, hasrat perompak itu tidak kesampaian apabila gelagat dua daripada mereka yang memanjat tembok rumah Lam Thye disedari sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Terkejut disergah anggota polis berkenaan, kedua-dua lelaki terbabit meluru masuk ke dalam sebuah kereta Mercedes Benz yang menunggu di tepi rumah yang cuba dipecah masuk. Di dalam kereta tersebut terdapat dua lagi suspek.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, keempat-empat suspek yang menaiki kereta Mercedes itu enggan berhenti walaupun dikejar dan diarahkan supaya berhenti.

Perangkap kasanova licik



FATIN AMIRA (kiri) dan Salsabila menunjukkan salinan laporan polis setelah mereka mendakwa ditipu seorang kasanova di Segamat, Johor semalam.


SEGAMAT – Bagi memenuhi selera mewahnya, seorang lelaki dari Kuala Berang, Terengganu didakwa memanipulasi mangsa-mangsanya yang dikenali melalui satu laman web mencari jodoh Myjodoh.net bagi mengaut wang mudah.
Dengan menyamar sebagai jurutera dan mendakwa mempunyai talian saudara dengan salah seorang Exco kerajaan negeri Terengganu, lelaki berkulit sawo matang dan berusia 37 tahun itu menabur janji akan berkahwin dengan mangsanya sebelum mengebas wang mangsanya.
Bagaimanapun, tidak semua kaum hawa yang mendaftar di laman web berkenaan menjadi pilihannya kerana hanya wanita bujang atau janda yang berumur antara 20-an hingga 30-an menjadi sasarannya.
Ciri-ciri wanita yang menjadi pilihannya ialah mereka yang berbadan besar, montok dan gebu.
Salah seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Fatin Amira, 20-an mendedahkan, dia terjerat dengan permainan kotor lelaki yang dikenalinya dengan nama Marzuki pada awal tahun 2011.
“Myjodoh.net yang ‘menyatukan’ kami. Walaupun dia tidak kacak tapi bila bercakap dengannya, jantung saya berdebar-debar, hati asyik teringat. Susah nak gambarkan, pendek kata dia memang hebat bermain dengan kata-kata manis,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.