Cemas lori dipandu terbakar
Anggota Bomba sedang memadam api di bahagian pemandu sejurus menerima maklumat dari orang awam, semalam.
IPOH – Seorang lelaki bernasib baik kerana dapat menyelamatkan diri apabila lori yang dipandunya terbakar di Jalan Bercham - Tanjung Rambutan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30 an dalam perjalanan membawa pasir dari Bandar Baru Putra menghala ke bandar raya.

Apabila tiba di kawasan kejadian, ruang memandu lori itu tiba-tiba berasap menyebabkan pemandunya memberhentikan kenderaan lalu menyelamatkan diri.

Kejadian itu disedari oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham (PKSKB), Michael Chung yang sedang menikmati sarapan pagi bersama ahli persatuannya.

Menurutnya, beliau segera menghubungi pusat operasi PKSKB sebelum tiga anggota lain tiba dengan alat pemadam api.

“Anggota kami mengeluarkan dahulu bateri lori berkenaan bagi mengelak api merebak ke bahagian tangki minyak yang mungkin boleh menyebabkan letupan.

“Kami memadam api di ruang pemandu menggunakan tiga alat pemadam api itu sebelum menghubungi Bomba dan Penyelamat Ipoh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Abdul Manaf Hashim berkata, api berjaya dikawal dan dipadamkan dalam masa 15 minit setelah menerima panggilan pada jam 9.35 pagi.

Menurutnya, bahagian kepala lori hangus sepenuhnya sejurus tiba di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus kita menerima maklumat berhubung kes berkenaan.

“Kepala lori tiga tan itu terbakar 100 peratus namun, kita berjaya mengawalnya dari terus merebak ke bahagian lain. Bagaimanapun, kita masih mengenalpasti punca sebenar kejadian itu,” katanya.