KUALA LUMPUR 26 Okt. - Polis menahan lima lagi individu bagi membantu siasatan kes 1,407 unit telefon pintar bernilai lebih RM3.23 juta milik syarikat pengeluar telefon jenama terkenal yang dilaporkan hilang dari sebuah gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini.
Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah suspek ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut bertambah kepada 12 orang setakat ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing ketika dihubungi hari ini, mengesahkan lima tangkapan terbaharu itu tetapi enggan mengulas lanjut.
"Selepas memberkas tujuh individu semalam, polis kemudian menahan lima orang lagi bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kehilangan 1,407 unit telefon pintar keluaran terbaharu sebuah syarikat telefon antarabangsa yang disimpan di sebuah gudang di KLIA pada minggu lalu.
Gajet yang dijual lebih RM2,000 seunit itu dipercayai hilang setelah dua atau tiga hari disimpan di gudang penyimpanan berkenaan.
Kehilangan gajet tersebut hanya disedari apabila syarikat pengedarnya di negara ini mahu mengambilnya dari gudang itu.
Hasil siasatan, polis menemukan semula 44 unit gajet yang dicuri manakala 80 unit lagi disahkan sudah dijual.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, selain dua kakitangan syarikat pengangkutan kargo, antara 12 orang yang ditahan itu ialah tiga mengedar telefon bimbit bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam kes tersebut, penjenayah dipercayai sudah membuat perancangan rapi bagi membolehkan mereka melarikan telefon pintar itu tanpa dikesan termasuk menggunakan nama samaran.
Polis kini sedang mengumpul maklumat daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi membantu siasatan kes tersebut.
Tujuh suspek terawal yang ditahan pula akan tamat tempoh tahanan reman pada Ahad ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121027/je_03/Lima-lagi-ditahan-bantu-siasatan-kes-kecurian-telefon-pintar#ixzz2AV1OmiGQ
© Utusan Melayu (M) Bhd