Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

Kapal bawa senjata Rusia ditahan di Nigeria



LAGOS 24 Okt. - Tentera Laut Nigeria semalam memintas sebuah kapal dan menahan 15 krew kapal warga Rusia kerana didakwa menyeludup senjata, dalam satu kejadian di sini, hujung minggu lalu.
Ketika ditahan, kapal yang mengibarkan bendera Belanda itu membawa kira-kira 8,500 pelbagai jenis senjata dan raifal kepunyaan Kumpulan Keselamatan Moran yang berpangkalan di Moscow.
Jurucakap tentera, Commodore Aliyu Kabiru berkata, kapal itu diserbu ketika berada di pelabuhan Lagos dan siasatan masih dijalankan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121024/lu_10/Kapal-bawa-senjata-Rusia-ditahan-di-Nigeria#ixzz2AKKkmM6h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas bakar hospital



TAIPEI 24 Okt. - Pihak berkuasa Taiwan hari ini, menahan seorang lelaki warga emas selepas dia disyaki memulakan kebakaran di sebuah hospital di bandar Tainan semalam, yang mengorbankan 12 orang dan 60 cedera.
Menurut pendakwa raya Tseng Chao-kai, suspek berusia 67 tahun yang dikenali dengan nama Lin itu mengaku membakar tisu dan membuangnya ke dalam bilik stor yang dipenuhi baju di Hospital Sinying.
"Suspek bertindak demikian kerana berasa sedih dengan dirinya yang menghidapi penyakit kronik," katanya.
Bagaimanapun, hasil rawatan mendapati suspek tidak mengalami gangguan mental. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121025/lu_04/Warga-emas-bakar-hospital#ixzz2AKKPKyOy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar buang bayi baru lahir ditahan



25/10/2012 3:40pm

KANGAR - Polis menahan seorang pelajar berusia 17 tahun kerana dipercayai membuang bayi perempuan yang baru dilahirkannya ke dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat, di sini, awal hari ini.
Polis turut menahan tiga lagi individu termasuk teman lelaki pelajar berkenaan selepas mayat bayi itu ditemui mati kira-kira pukul 1 pagi dalam tali air yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah pelajar itu.
Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron berkata, siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada bayi itu masih hidup semasa dibuang atau dibunuh sebelum dicampak ke dalam tali air itu.
Katanya, polis menerima laporan seorang pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang curiga dengan pendarahan seorang pelajar perempuan yang telah dirujuk ke hospital itu kira-kira pukul 9.20 malam tadi.
Hasil laporan itu, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menjalankan gerakan mencari dan menyelamat bayi berkenaan setelah mendapat maklumat bayi itu dibuang ke dalam tali air.
Zull Aznam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Pembunuhan Altantuya: Rayuan 2 anggota polis ditangguh



25/10/2012 6:44pm

PUTRAJAYA - Pendengaran kes rayuan dua bekas komando Unit Tindakan Khas (UTK) yang dihukum mati atas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, ditangguhkan.
Sebelum ini tarikh pendengaran kes rayuan, yang dijadual didengar pada Ogos lalu, telah ditangguh pada 31 Oktober dan 1 November oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan N. Kanageswari pada Julai lepas.
Pendaftar Mahkamah Rayuan serta peguam Datuk Hazman Ahmad, yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dan peguam bersama Kitson Foong bagi Koperal Sirul Azhar Umar, mengesahkan tarikh pendengaran kes itu dikosongkan.
Bagaimanapun, tiada tarikh baru ditetapkan.
Hazman, ketika dihubungi berkata, kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti rekod rayuan yang mengandungi 65 jilid. - BERNAMA

Amukan suami cemburu


       
KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki parah selepas menjadi mangsa amukan seorang suami yang dipercayai cemburu dengan hubungan mesra guru berkenaan dengan isterinya dalam kejadian di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Kampung Raja, Besut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, guru berkenaan cedera parah di belakang badan, tangan dan kaki akibat ditetak lelaki terbabit menggunakan sebilah parang panjang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, guru berusia 35 tahun yang bertugas di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, dihubungi seorang wanita yang mahu membeli barangan kosmetik daripadanya.

Menurutnya, bagi memudahkan menyerahkan barangan kosmetik itu, wanita berkenaan meminta guru itu menunggunya di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan sebelum mangsa tiba di kawasan dijanjikan pada jam 6.20 petang.


“Selepas kira-kira 10 minit menunggu, guru yang ditemani adik lelakinya berusia 19 tahun, dikejutkan dengan ketibaan dua kereta dinaiki sekumpulan lelaki.


“Dua lelaki termasuk seorang mereka memakai topeng biru dan bersenjatakan parang, turun dari sebuah kereta lalu menyerang mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Menurutnya, serangan itu menyebabkan guru berkenaan cedera di badan, tangan dan kaki akibat ditetak dengan parang oleh seorang daripada lelaki terbabit.


Manoharan berkata, adik mangsa tidak berani melawan dan hanya mampu melihat abangnya ditetak sebelum membawa mangsa ke Hospital Besut untuk rawatan selepas kumpulan lelaki berkenaan meninggalkan tempat kejadian.

“Mangsa yang kehilangan banyak darah, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut,” katanya.


Laporan kejadian dibuat adik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.


“Hasil siasatan awal polis percaya kes berkenaan bermotifkan cemburu dan kami kini memburu suspek yang berasal dari Kampung Baru Batu Tumbuh, Kampung Raja, Besut,” katanya.

Diserang tebuan



         
ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas berkurung lima jam dalam rumahnya berikutan bimbang disengat sekumpulan tebuan tanah dalam kejadian di Simpang Ampat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Mohd Shah Yatim, 54, tiba-tiba ‘diserang’ kumpulan serangga berbisa itu ketika mengambil jering berhampiran rumahnya.


Menceritakan detik cemas itu, Mohd Shah berkata, dia terserempak sarang tebuan tanah sebesar tempayan.

Katanya, sarang tebuan yang tergantung pada dahan pokok durian kira-kira 75 meter dari rumahnya itu dalam keadaan berangkai.


“Mulanya, saya tidak tahu ada sarang tebuan di situ sebelum beberapa ekor serangga berkenaan terbang rendah dan berlegar atas kepala serta badan saya.


“Saya terkejut apabila seekor dari tebuan itu terbang di depan mata menyebabkan saya masuk ke rumah kerana serangga terbabit datang secara berkumpulan,” katanya.

Mohd Shah berkata, dia difahamkan serangga itu bersarang sejak lima bulan lalu hingga saiznya semakin membesar dan bertingkat.


“Panik melihat saiz tebuan sebesar ibu jari, saya berlari masuk rumah sambil melibas tangan ke arah tiga tebuan yang menyerang.

“Tebuan itu turut menyerang isteri (Azizah Isnin, 58) dan saya menyembur racun serangga. Bimbang dengan serangan itu, kami anak beranak berkurung lima jam dalam gelap sebelum menghubungi pihak berkaitan,” katanya.


Menurutnya, dia bersyukur apabila beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah tiba dan memusnahkan sarang tebuan tanah itu pada jam 10.30 malam.


“Saya bimbang sekiranya kumpulan tebuan itu menyerang anak bongsu (Noraishah, 18) yang terlantar sakit akibat kanser paru-paru,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah, Mohd Ridzuan Rahmat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada mangsa.


“Enam anggota JPAM bergegas ke lokasi kejadian sebelum melakukan persediaan rapi untuk operasi pembakaran sarang tebuan terbabit.


“Operasi memusnahkan sarang itu berakhir jam 11 malam berikutan ketinggian dan saiznya yang besar,” katanya.

Polis jalankan siasatan terperinci kes Nurul


       
JOHOR BAHRU: Polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes Nurul, 34, yang mendakwa dicabul seorang doktor ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya sudah menerima laporan mangsa dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.


“Hasil siasatan mendapati, mangsa sebelum ini adalah pesakit doktor terbabit dan baru sebulan selesai menjalani pembedahan membuang buasir,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub berkata, berdasarkan etika perubatan, seseorang doktor perlu ditemani jururawat atau kakitangan lain ketika menjalankan pemeriksaan dan memberikan rawatan bagi mengelak perkara mencurigakan.


Menurutnya, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan mengenai kes membabitkan Nurul, namun memberi jaminan jika dakwaan itu benar, doktor terbabit bakal berdepan tindakan sewajarnya kerana kesalahan dilakukannya serius.


“Kes ini akan diserahkan kepada polis sekiranya mangsa sudah membuat laporan, namun siasatan akan dijalankan Majlis Perubatan Malaysia bagi mengenal pasti hukuman setimpal yang bakal dikenakan kepada pesalah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

‘Mini Dhaka’ diserbu


       
SUNGAI BULOH: Sekumpulan warga Bangladesh menjadikan Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, sebagai ‘Mini Dhaka’ apabila menjalankan pelbagai perniagaan termasuk gerai makan, kedai runcit dan kedai gunting rambut bagi mencari pendapatan tambahan.

Malah, ada juga warga Nepal dan Myanmar yang menjalankan perniagaan sama hingga menyebabkan warga tempatan yang berada di kawasan itu seolah-olah merasai berada di luar negara dan bukan di negara sendiri.


Berikutan itu, Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu perkampungan berkenaan, malam kelmarin.

Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Kanan) Putrajaya, Nik Shanizam Ahmad bermula jam 8 malam itu menyerbu lebih 20 premis di kawasan berkenaan dan menahan 66 warga asing terdiri Bangladesh, Myanmar, Nepal, Kemboja, India dan Indonesia berusia 20 hingga 30 tahun.


Menurutnya, dengan kekuatan seramai 50 pegawai dan anggota, pihaknya yang menerima maklumat orang awam berhubung kegiatan perniagaan dimonopoli warga asing yang semakin berani dengan memilik sendiri kedai di lokasi itu membuat serbuan.


“Kami membuat pemeriksaan seramai 265 orang dan menahan 66 warga asing iaitu 35 warga Bangladesh, Myanmar (11), Nepal (sembilan), Kemboja (lima), Indonesia (lima) dan India (seorang).

“Kami menahan mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas lawatan sosial serta pas pelajar,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi terbabit, malam kelmarin.


Nik berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati terdapat lebih 20 premis menjalankan pelbagai perniagaan dimiliki sendiri oleh warga asing terbabit terutama dari Bangladesh.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Peraturan Akta Imigresen di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan 15 (1) serta seksyen 39 9b) peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Identiti dicuri, gaji ditolak


       
PETALING JAYA: Seorang editor audio visual di Tourism Malaysia mendakwa terpaksa menanggung kerugian apabila gajinya dipotong RM361 sebulan sejak lebih setahun lalu selepas identitinya digunakan ‘peminjam hantu’ untuk membuat pinjaman daripada sebuah koperasi yang menyediakan pembiayaan pinjaman peribadi.

Mangsa, Raja Nor Lydiyani Raja Halid Shah, 29, berkata, dia menyedari wangnya dipotong setiap bulan atas akaun pinjaman baru selepas membuat semakan penyata akaun pinjaman lama di pejabat Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (Kowaja) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kelmarin.


Katanya, dia membuat pinjaman RM10,000 daripada koperasi itu pada 6 Mac 2008 dengan perjanjian pulangan semula secara bulanan berjumlah RM361.11 selama 36 bulan, manakala kadar bunga dikenakan sebanyak 10 peratus.

“Saya membuat bayaran pinjaman Kowaja melalui Sistem Potongan Gaji Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) dan tamat pada Mac 2011.


“Sebaik tamat membuat bayaran pinjaman, saya kemudian membuat semakan baki dan terkejut mendapati jumlahnya berganda daripada pinjaman asal,” katanya.ketika ditemui selepas membuat aduan di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, di sini, semalam.


Raja Nor Lydiyani berkata, walaupun terkejut jumlah hutang semakin banyak, dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyangka ia kadar bunga yang meningkat dan tidak mengambil tindakan hal berkenaan.

“Saya datang semula ke pejabat Kowaja pada Isnin lalu untuk mendapatkan penyata terkini dan menyelesaikan baki hutang tertunggak sekali gus.


“Saya terkejut apabila dimaklumkan mempunyai akaun pinjaman kedua berjumlah RM17,487.15 yang dibuat pada 20 Jun 2011. Berdasarkan akaun kedua itu, saya perlu membayar balik secara bulanan RM361.11 selama 151 bulan melalui BPA,” katanya.

Katanya, dia tidak tahu mengenai akaun pinjaman kedua itu dan mengesyaki ia perbuatan ejen yang menguruskan pinjamannya sebelum ini dan menyebabkannya menanggung rugi apabila gajinya dipotong untuk membayar pinjaman dibuat individu tidak diketahui.


“Saya kemudian membuat semakan laporan kredit di Bank Negara Malaysia (BNM) dan sekali lagi terkejut mendapati nama saya digunakan untuk membuat satu lagi pinjaman peribadi daripada satu bank dengan jumlah RM17,000.


“Walaupun saya tidak tahu siapa yang membuat pinjaman menggunakan nama saya, tetapi bezanya pinjaman menerusi bank ini dibayar bulanan dengan konsisten oleh individu terbabit,” katanya.


Raja Nor Lydiyani membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.


Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book berkata, pihaknya memandang serius kes dihadapi mangsa kerana membabitkan kepentingan awam berikutan koperasi itu menjadi pilihan pengguna membuat pinjaman.


“Berdasarkan aduan mangsa, kami turut mengesyaki kes ini ada pembabitan orang dalam dan ada kemungkinan borang pinjaman mangsa dikitar semula untuk membuat pinjaman baru.


“Saya meminta sesiapa yang menghadapi kes sama seperti mangsa menghubungi biro di talian 03-79574211 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Mayat terperosok bawah lori pasir


       
KOTA BHARU: Sebuah kren terpaksa digunakan untuk mengangkat sebuah lori pasir bagi mengeluarkan mayat seorang pemuda yang terperosok di bawah kenderaan itu selama lebih satu jam selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Salor-Pasir Mas, dekat Tunjung, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, Basri Ismail, 21, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah dan serpihan otaknya terpaksa dikutip anggota bomba. Mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini, sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.


Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave apabila sebuah lori pasir dari Pasir Mas ke Kota Bharu terbabas akibat tayar depan pecah secara tiba-tiba lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuhnya.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori berkenaan.


Sepasukan pegawai bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan terpaksa meminta bantuan pemilik kren mengangkat lori bagi mengeluarkan mangsa. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan itu dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

3 beranak hilang rumah


       
LANGKAWI: Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah papan didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Gajah, Mukim Ayer Hangat, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 9.45 malam itu kerana semua penghuni tiada di rumah dan masih gagal dikesan hingga kini.


Kebakaran itu disedari penduduk dikenali sebagai Mat Daud yang melalui rumah berkenaan untuk ke kedai runcit berhampiran.

Mat Daud berkata, dia melihat api marak membakar dinding rumah didiami tiga beranak itu ketika menunggang motosikal untuk ke kedai runcit.


“Bagaimanapun, ketika kejadian tiada sesiapa dilihat dalam atau berdekatan rumah lalu saya menelefon talian 999 meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Langkawi, Mohd Yunos Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.50 malam sebelum dua jentera bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati rumah terbabit sudah hangus manakala penghuninya gagal dikesan.


“Api dapat dipadam sepenuhnya dalam 15 minit manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Dituduh cabul pelajar kolej


       
KAJANG: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas enam pertuduhan mencabul seorang pelajar kolej berusia 18 tahun sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Abd Jalil Nasir, 49, yang juga Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan dan Perindustrian Muslim Malaysia, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan dibacakan.


Abd Jalil didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Mendaling, Kajang jam 10 malam, Ogos 2010.

Dia turut didakwa bagi lima lagi pertuduhan melakukan perbuatan sama ke atas mangsa antara Mei 2011 dan September 2012.


Tiga daripada lima perbuatan itu didakwa dilakukan di hotel di Jalan Mendaling, manakala dua lagi di rumah tertuduh di Lot 17850, Jalan Melati 2, Kampung Sungai Kantan, Kajang.

‘Arwah sempat pesan jaga anak’


       
GURUN: “Saya sudah melarang arwah pergi menyelam, tetapi dia tetap berkeras kerana memang menjadi hobinya sejak saya melahirkan anak pertama, namun sempat berpesan supaya menjaga anak kami,” kata Normarlina Md Noor, 30, isteri kepada Rosli Mohamad Isa, 32, yang lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perak, kira-kira 60 batu nautika dari Pulau Langkawi, kelmarin.

Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai juruteknik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) adalah suami yang baik dan bertanggungjawab, malah menyayangi kedua-dua anaknya, Adham Akil, 5, dan Putri Damia, 3.


Katanya, arwah bersama bersama sembilan lagi rakan bertolak ke lokasi menyelam, Ahad lalu sebelum berkumpul dan menaiki bot dari Kuala Kedah.

“Selepas menghantar anak sulung ke taska berhampiran rumah, saya menghantar arwah ke Sungai Petani sebelum arwah bersama seorang lagi rakan menaiki kereta menuju Kuala Kedah.


“Selepas itu, dia ada menghubungi saya sekali ketika berada di Kuala Kedah dan memaklumkan sistem komunikasi di tempat ditujui tidak begitu baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Linton, di sini, semalam.


Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 4 petang kelmarin daripada seorang rakan arwah memberitahu kejadian itu.

“Suami sempat berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik sepanjang ketiadaannya, namun tidak menyangka ia pesanan terakhir arwah.


“Memang aktiviti menyelam menjadi hobinya selepas saya melahirkan anak pertama, namun kebelakangan ini dia jarang melakukan aktiviti itu dan jika keluar memancing akan pulang pada hari sama.

“Pada mulanya, dia tidak mahu sertai aktiviti itu, tetapi akhirnya tetap pergi disebabkan ada kekosongan selepas seorang rakan menarik diri,” katanya.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki lemas manakala rakannya, Haris Abdullah, 44, masih kritikal ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perak, berhampiran Pulau Langkawi.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa bersama sembilan lagi rakan dikatakan pergi memancing di perairan berkenaan sejak Ahad lalu. Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas selepas alat pernafasannya kehabisan oksigen dan tidak timbul ke permukaan dalam jangka masa lama sebelum ditemui pada jam 11.45 pagi.


Isteri Haris dikenali sebagai Shafizah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih dengan kejadian menimpa suaminya.


Haris yang berasal dari Sungai Petani adalah peniaga dan sering melakukan aktiviti menyelam bersama rakan-rakannya.


Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah, berkata Haris yang masih kritikal dipindahkan dari Hospital Langkawi (HL) ke Hospital Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak untuk rawatan lanjut.


“Mangsa dipindahkan menaiki helikopter Agusta Westland 135 kerana keadaan mangsa dilaporkan kritikal.


“Difahamkan, mangsa memerlukan rawatan penyurup mampatan (hyper brick) yang memerlukan berada dalam kebuk mampatan (chamber) sekurang-kurangnya empat jam 45 minit bergantung kepada keadaan pesakit berikutan mengalami pemerasan paru-paru akibat timbul ke permukaan air terlalu cepat,” katanya.


Jenazah Rosli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Bongkok, di sini, kira-kira jam 5 petang semalam.

Lelaki hilang daki gunung ditemui


       
HULU LANGAT: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang hilang sejak Isnin lalu ketika mendaki Gunung Nuang, di sini, ditemui semula anggota bomba yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat, petang semalam.

Mangsa ditemui jam 5.50 petang dalam keadaan keletihan di Kem Pacat di atas gunung berkenaan sebelum dibawa turun dan dihantar ke Hospital Ampang.


Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 12.48 tengah hari sebelum mengarahkan anggota Balai Bomba Kajang ke tempat kejadian.

Menurutnya, anggota bomba dari Balai Bomba Kajang dibantu Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) Bomba Puchong, EMRS Bomba Pandan tiba di tempat kejadian pada jam 1.46 tengah hari.


“Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis membantu gerakan mencari mangsa yang ditemui semula dalam keadaan selamat pada jam 5.50 petang di Kem Pacat di atas gunung berkenaan,” katanya.


Katanya, mangsa dihantar dengan jentera bomba ke hospital untuk menerima rawatan.

Berang isteri tak dibenar naiki pesawat


       
YOGYAKARTA: Seorang pelukis warga Itali ditahan di Bali kerana didakwa memberi amaran bom palsu selepas isterinya tidak dibenarkan menaiki sebuah pesawat.

Andrea Giovanni Sorteni, 48, boleh didakwa atas kesalahan keganasan kerana membuat amaran palsu itu.
Tindakannya itu mencetuskan kekecohan dan penerbangan dari Yogyakarta itu terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam.

Polis berkata, pelukis yang tidak mengaku memberi amaran palsu itu marah apabila isterinya, warga Indonesia, tidak dibenarkan menaiki pesawat tambang murah, Lion Air, kerana tiketnya sudah tamat tempoh. - AFP

Mengaku tak bersalah sebabkan kematian isteri



25/10/2012 2:29pm

SHAH ALAM - Seorang juruteknik komputer hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian isterinya pada 13 Oktober lepas.
Mohd. Nasir Buyong, 36, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Slamat Yahya apabila pertuduhan ke atas beliau dibacakan. Pertuduhan ialah mengikut seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau didakwa menyebabkan kematian Norhana Mohd. Nordin, 39, antara pukul 9 pagi hingga 1.55 petang, 13 Oktober lepas di rumah No 4-1-24 Apartment Kiambang, Taman Bukit Subang di sini. - BERNAMA

Ejen penghantaran didakwa curi Porsche



25/10/2012 3:04pm

KUALA LUMPUR - Seorang ejen penghantaran di Pelabuhan Klang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mencuri sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera 4 bernilai RM870,000 dua minggu lepas.
Mohd. Azri Mohd. Kassim, 31, didakwa mencuri kereta jenis Porsche Panamera 4 yang belum didaftarkan itu, milik Pusat Porsche di No 207, Jalan Bukit Bintang di sini pada 9.29 pagi 11 Oktober lepas.
Mohd. Azri yang beralamat Blok C, Armanee Condominium, Damansara Perdana, Damansara di sini didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

‘Jangan tarik...saya sakit!’

SAKIT...pemandu lori yang tersepit diselamatkan anggota bomba selepas menahan sakit hampir sejam.
SAKIT...pemandu lori yang tersepit diselamatkan anggota bomba selepas menahan sakit hampir sejam.
SEREMBAN: “Tolong jangan tarik saya, sakit,” rintih seorang pemandu lori balak yang terpaksa menahan azab hampir sejam selepas dihempap kayu balak apabila lori dinaiki membawa muatan hasil hutan itu terbalik di Jalan Seremban-Jelebu di Bukit Tangga, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, lori balak dipandu mangsa bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Jelebu ke Gemencheh dipercayai menurun bukit di satu selekoh apabila hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh lereng bukit laluan berkenaan.
Bagaimanapun, kelindan lori, V Radakrishnan, 48, dapat dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) oleh ambulans manakala identiti pemandu lori belum dikenal pasti.

Saksi kejadian, Amirul Haziq Amir, 18, berkata, ketika kejadian dia yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan menghala ke Seremban terkejut sebaik melihat lori balak itu terbalik di lereng bukit.


“Saya berhenti di tepi jalan dan cuba membantu mangsa, namun tidak berjaya berikutan dia tersepit teruk di bawah timbunan balak.

Tonton aksi mati dibelasah

SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Mala.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Mala.
ALOR GAJAH: Lebih 30 individu termasuk pelajar sekolah serta orang dewasa hanya menjadi penonton dan langsung tidak berusaha meleraikan pergaduhan membabitkan tiga pelajar yang berakhir dengan seorang daripadanya meninggal dunia, semalam.
Insiden menyedihkan itu berlaku di Perhentian Bas Pulau Sebang, di sini, jam 2.30 petang semalam dan mangsa K Saravannan, 14, ditumbuk bertubi-tubi selama hampir 30 minit oleh dua pelajar sebaya yang menyerangnya sehingga pengsan.
Selepas pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang itu terbaring tidak sedarkan diri, lebih 30 individu yang menjadi penonton itu kelam-kabut melarikan diri dan meninggalkan mangsa terbaring sendirian di tempat kejadian.

Mangsa dikejarkan rakannya ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan dengan kereta namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum pergaduhan, berlaku cabar-mencabar antara mangsa dengan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mansur Shah.

Doktor suruh buka baju

LAPOR...Nurul menunjukkan laporan polis dibuatnya.
LAPOR...Nurul menunjukkan laporan polis dibuatnya.
JOHOR BAHRU: “Disebabkan mempercayainya, saya hanya mengikut arahan apabila diminta membuka baju dan coli, namun dia meramas buah dada saya hingga saya berasa sakit.
“Saya mula curiga dan takut apabila doktor itu menyatakan saiz buah dada saya besar selain mengajak saya melakukan hsubungan seks,” kata ibu tunggal hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 34, yang mendakwa dicabul seorang doktor sebuah hospital swasta, di sini.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat lalu ketika dia ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan susulan berikutan masalah darah tinggi, hidung berdarah, sakit perut dan sukar membuang air.

Nurul berkata, dia mengenali doktor berusia lingkungan 40-an itu kerana pernah mendapatkan rawatan daripadanya sebelum ini.


Menurutnya, sebelum kejadian mencabul itu berlaku, doktor terbabit mengarahkannya berbaring sambil memberitahu mahu memeriksa tekaknya.

‘Datuk’ terkejut bunyi tembakan disangka mercun



25/10/2012 3:08pm

KLANG - Seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ terkejut apabila mendapati bunyi letupan yang disangka mercun sebenarnya tembakan yang mengenai pagar rumahnya di Taman Eng Ann, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd. Shukor Sulong berkata, mangsa yang berusia 43 tahun itu hanya menyedari terdapat kesan tembakan tersebut ketika hendak keluar bekerja pukul 8 pagi ini.
Pemeriksaan polis di kawasan rumah tersebut mendapati ada tiga kesan tembakan dan polis menemui tiga kelongsong peluru bersaiz sembilan milimeter di kawasan berhampiran, katanya kepada pemberita, di sini.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup di rumah mangsa mendapati tiga lelaki menaiki dua motosikal jenis Honda dan memakai topi keledar dengan penutup muka berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan tembakan.
Kejadian itu dipercayai berlaku pukul 11.40 malam, katanya menambah polis sedang menyiasat motif insiden. - BERNAMA

Jurujual dipenjara 13 tahun, tujuh sebatan kerana pecah amanah



KUALA LUMPUR - Seorang jurujual dikenakan hukuman penjara berjumlah 13 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran pelanggan lebih RM21,000.
 
Hakim Mahmud Abdullah memerintahkan hukuman terhadap Bong Kuek Chern, 25, atas setiap tuduhan berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh tangkapan 5 Sept lepas.
 
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun.
 
Bong, dari Ulu Tiram, Johor, diamanahkan sebagai jurujual di sebuah syarikat pembekal penghawa dingin, Gain City Parts Sdn Bhd, untuk menyediakan invois dan bil tunai serta mengutip bayaran daripada pelanggan.
 
Bagaimanapun, wang yang dikutip dari pelanggan itu tidak diserahkan kepada majikannya.
 
Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat Gain City Parts Sdn Bhd di No 30, Jalan Development, Taman Kepong di sini, antara 7 Feb hingga 4 Mei lepas.
 
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad manakala Bong yang tidak diwakili peguam.
 
Dalam rayuannya, Bong memohon hukuman yang ringan kerana beliau masih menyara dua anaknya yang masih kecil. - Bernama

Guru parah ditetak dengan parang

MANOHARAN
MANOHARAN
KUALA TERENGGANU - Dipercayai akibat cemburu buta, seorang guru lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di Besut, parah ditetak dengan parang oleh dua lelaki bertopeng di hadapan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang turut menjalankan perniagaan sambilan menjual kosmetik, parah ditetak pada bahagian belakang badan, tangan dan kaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, mangsa yang masih bujang itu menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang mendakwa ingin membeli kosmetik sebelum mengarahkan mangsa ke lokasi kejadian.

“Mangsa, yang ditemani oleh adik lelakinya berusia 19 tahun, tiba di lokasi dijanjikan kira-kira jam 6.20 petang dan menunggu ‘pelanggannya’ itu.

“Setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba dua lelaki turun dari kereta Proton Wira bercermin gelap dan Proton Perdana hitam, menetaknya dengan parang panjang dan melarikan diri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, akibat tetakan itu, mangsa yang berasal dari Jalan Semarak, Kuala Besut itu, rebah. Dia dibawa adiknya ke Hospital Besut.

Mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, untuk rawatan lanjut.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa tidak mengenali suspek dan serangan itu dipercayai bermotifkan cemburu seorang suami yang syak mangsa mempunyai hubungan dengan isterinya.

Katanya, polis ingin menghubungi seorang lelaki, Che Wan Sharmizie Che Wan Mat, 29, beralamat di Kampung Baru Batu Tumbuh, Kampung Raja, Besut, untuk membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang tahu mengenai kes itu menghubungi balai polis terdekat.

Manoharan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan lebih 20 tahun, denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Suspek ragut pelajar wanita diberkas



KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki berusia 20-an selepas dia bersama rakannya cuba meragut seorang pelajar wanita di hadapan sebuah kolej swasta di Taman Bunga Raya, Setapak, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, sebuah kereta peronda polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal cuba meragut beg tangan mangsa berusia 23 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, kedua-dua suspek terus melarikan diri setelah menyedari sebuah kereta peronda berkenan menghampiri mereka.

Katanya, anggota polis kemudian mengejar suspek sejauh satu kilometer sebelum motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Taman Melati dekat sini sebelum seorang suspek ditahan manakala rakannya melarikan diri.

Bagaimanapun, Zakaria berkata suspek gagal meragut beg tangan pelajar berkenaan yang mengandungi wang tunai RM45, sebuah telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.

Katanya, mangsa terjatuh dan cedera di bahagian lutut akibat kejadian tersebut dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki suspek berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu. - Bernama

Wanita maut motosikal dilanggar kereta



KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut dilanggar kereta di Km11 Jalan Kuantan-Pekan di sini semalam.
 
Dalam kejadian 5.10 petang itu, Haniza Harun, 36, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
 
Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.
 
"Mangsa yang dipercayai berada di lorong kiri telah mengubah ke lorong kanan secara tiba-tiba untuk membuat pusingan U sebelum dilanggar kereta terbabit," katanya hari ini.
 
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Aedes: Catat 5 kematian

 Datuk Dr Mah Hang SoonHang Soon menunjukkan Graf Statistik kadar kenaikan mendadak kes denggi untuk 2012 berbanding 2011
IPOH - Denggi di Perak mencatatkan kenaikan kes dengan 1,403 dilaporkan berlaku sejak Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan lima kematian berbanding dua, tahun lalu.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, peningkatan sebanyak tiga kematian itu cukup membimbangkan iaitu 1,023 kes yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu sekaligus mencatat peningkatan sebanyak 380 kes denggi.

“Kita cukup bimbang dengan keadaan ini, sehingga kini,  terdapat empat kawasan wabak dikenal pasti masih aktif iaitu di daerah Kinta sekitar Taman Meru 2B, RPT BT 5 dan Taman Tasek di Daerah Kinta.
“Kes terbaru membabitkan kematian adalah seorang remaja lelaki berusia sekitar 20-an di Slim River.” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata,  melihat kepada peningkatan kes seumpama itu, pihaknya tidak lagi boleh berkompromi dengan individu yang tidak mematuhi peraturan  yang ditetapkan.
Menurutnya, denda sebanyak RM500 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati masih mempunyai tempat pembiakan Aedes berhampiran kediaman agar kebersihan persekitaran terus terpelihara.
“Kita menyarankan agar setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes ini termasuk membuat pemeriksaan 10 minit setiap hari bagi menghapuskan kawasan berpotensi untuk Aedes membiak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hang Soon berkata, Jabatan Kesihatan serius dan sentiasa memantau kejadian kes demam denggi yang berlaku di setiap daerah termasuk lokasi jajahan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat ini menurutnya, 100 pasukan Combi sudah ditubuhkan di seluruh Perak yang dianggotai penduduk setempat dengan melaksanakan aktiviti pencegahan di kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, setakat ini hanya 41 Combi yang masih aktif dan selebihnya perlu diaktifkan semula,” katanya.

Peniaga didakwa samun pemandu van sekolah



PETALING JAYA - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan samun berkumpulan seorang pemandu van sekolah, dua bulan lepas.

Aswat Achmad, 23, didakwa  bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menyamun dengan meragut seutas rantai leher milik R.Pathamavathy, 53, bernilai RM12,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan BRP 1/6 Bukit Rahman Putra, Selangor, pada 12.30 tengah hari, 13 Ogos lepas.

Aswat yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun Aswat memohon mahkamah agar jaminan dikurangkan kerana berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 November untuk sebutan kes. - Bernama

Jabatan Agama Pulau Pinang tahan 12 lelaki Islam beli nombor ekor



BUTTERWORTH - Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang menahan 12 lelaki Islam sedang membeli nombor ekor di tiga premis sekitar negeri ini, dalam operasi petang semalam.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya, Khairul Azman Azizan berkata, mereka yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi bermula pukul 4.30 hingga 6.30 petang.

"Daripada 12 orang yang ditahan, lima adalah warga asing beragama Islam dari Indonesia dan Pakistan manakala selebihnya orang tempatan,"  katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, jabatannya kini mempergiatkan operasi sedemikian dan kali ini bertumpu di premis sepanjang Jalan Seri Bahari yang dikenal pasti menjadi lokasi popular kaki judi tegar segelintir masyarakat Islam di negeri ini.

"Ketika serbuan, mereka tidak sempat melarikan diri, malah ada  yang tidak sedar ada operasi dijalankan kerana sibuk mengejar masa berikutan kedai sudah hendak tutup," katanya.

Khairul Azman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Islam di Butterworth untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 kerana berjudi.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Kondom dalam kotak rokok

Kondom
Penguat kuasa Jaim menunjukkan kondom yang dirampas.

BANDARAYA MELAKA - Sembunyi kondom dalam kotak rokok bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu taktik digunakan sindiket pelacuran di sebuah hotel bajet di Jalan Munsyi Abdullah di sini, yang diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Serbuan yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, menahan tiga wanita tempatan dipercayai pelacur berusia 20 hingga 32 ditahan ketika mereka menunggu pelanggan.

Turut ditahan ialah pekerja hotel bajet berkenaan dan seorang pelanggan berusia 20-an.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 800 kondom yang belum digunakan disorok di dalam kotak rokok, celah tangga, bawah tilam dan di dalam laci.

"Kondom yang disorok dalam rokok ini akan diambil pelanggan yang melanggan pelacur di sini.

“Taktik ini mungkin digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Jika tidak melakukan pemeriksaan teliti, kotak ini akan disangka kotak kosong yang dibuang,” katanya kepada pemberita.

Rahimin berkata,pihaknya juga menemui ribuan pil hormon dan pencegah kehamilan di hotel 24 bilik itu yang beroperasi tanpa lesen.

“Pemilik premis nampaknya masih berdegil kerana masih meneruskan operasi walaupun telah diserbu beberapakali sebelum ini.

"Isnin lalu, kita menahan tujuh pelacur ketika melakukan pemantauan di kawasan ini bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 72 dan Seksyen 75, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Penunggang motosikal mati digilis bas



PERAI - Seorang penunggang motosikal mati digilis bas kilang semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat menghala ke Kawasan Perindustrian Perai di sini, petang ini.

Kemalangan jam 5.50 petang tadi melibatkan tiga kereta, dua motosikal dan sebuah bas kilang.

Jurucakap polis berkata, bas kilang itu melanggar tiga kereta dan dua motosikal yang berhenti semasa lampu isyarat merah.

Menurutnya, bas kilang itu dipercayai tidak sempat menekan brek lalu melanggar kenderaan di hadapan.

Mangsa yang dikenali sebagai Tan Heong Wai, 32, dari Pangsapuri Widuri, Butterworth meninggal di tempat kejadian sementara seorang lagi penunggang motosikal perempuan cedera, kata beliau.

Pemandu bas dipercayai melarikan diri.

"Bagaimanapun, pemandu bas sempat melarikan diri," katanya.

Menurut jurucakap polis, pemandu bas itu boleh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu hingga menyebabkan kematian.

Siasatan sedang dijalankan, katanya.

Bomoh pelaris dipenjara 3 tahun

Asril
Asril (kanan) dibawa keluar dari mahkamah
JOHOR BAHRU -  Seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang bomoh yang mampu melariskan perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan menipu.

Asril Hasan,60, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dihadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allia.

Mohd Azlan menetapkan  hukuman tiga tahun penjara bagi setiap kesalahan yang dibenarkan dijalankan secara serentak dan dikecualikan dari dikenakan sebatan atas faktor umur.

Asril didakwa pada 24 Oktober lepas memperdaya mangsa M Rosmini untuk menyerahkan dua bentuk cincin emas untuk proses bomoh pelaris perniagaan di sebuah rumah di Kampung Pasir jam 1 pagi.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas mangsa Elmawati Kadir untuk menyerahkan RM1900 dan gelang emas berbentuk duit syiling untuk tujuan pelaris perniagaan di alamat yang sama, 26 Otober lepas jam 1 tengahhari.

Asri didakwa menipu mangsa apabila gagal dihubungi dan dikesan selepas mengambil barangan kedua-dua mangsa.

Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan dibawah  Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nenek kejar dua lelaki, geram ditipu sindiket gores dan menang



Aminah
Aminah menunjukkan kupon yang diberikan kedua lelaki itu kepadanya untuk digores.
KUALA TERENGGANU - “Sejurus menyedari ditipu, mak cik nekad mencari dua lelaki itu untuk mendapatkan semula RM8,000 yang merupakan wang simpanan hasil titik peluh mak cik berniaga selama ini.

“Sebab itulah tadi (semalam), bila makcik nampak saja kelibat dia, terus makcik mengejarnya sebelum mendapatkan bantuan orang ramai bagi menangkapnya," demikian luahan nenek kepada 30 cucu ini, Aminah Yusof, 69, yang merupakan salah seorang mangsa tipu oleh satu sindiket peraduan gores dan menang.

Tindakan berani Aminah dengan bantuan orang ramai akhirnya berjaya menangkap tiga lelaki dipercayai dalang kepada penipuan ‘gores dan menang’ yang menjanjikan hadiah lumayan, termasuk sebuah kereta Toyota Camry 2.4 di tempat letak kereta di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, pagi semalam.

Menceritakan kejadian, Aminah yang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang, mendakwa, dia mengalami kerugian RM8,000 selepas diminta membuat pembayaran sejurus melakukan cabutan percuma menerusi kupon oleh dua suspek.

Kata warga emas itu, dia didatangi dua suspek terbabit semasa berada di tempat letak kereta di depan Pasar Besar Kedai Payang, pada Isnin lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

"Ketika itu, saya sedang memasukkan duit ke dalam mesin parkir sebelum disapa oleh mereka berdua dan memberitahu kononnya saya merupakan wanita paling bertuah hari ini kerana bakal memenangi sebuah kereta Toyota Camry, pakej umrah dan pakej pelancongan.

“Bagaimanapun, selepas membuka dua kupon yang diberikan, mereka mengajak saya ke pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Kecil, di sini, untuk menjelaskan maklumat lebih lanjut bagi memperoleh hadiah lumayan itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Aminah mendakwa, dia seolah-olah merasakan dirinya dipukau kerana mengikut sahaja arahan kedua-dua suspek dan sanggup membawa mereka ke pejabat dengan menaiki kereta Perodua Kancil miliknya.

“Setibanya saya di situ, mereka mengarahkan saya membayar RM8,800 terlebih dahulu sebagai permulaan untuk mendapatkan antara tiga hadiah utama ditawarkan, bagaimanapun mereka kononnya memberikan diskaun RM800 kerana saya hanya mempunyai RM8,000 sahaja.

“Sejurus pembayaran dilakukan, mereka memberikan saya hadiah satu tilam dan satu dapur gas elektrik sebelum memaklumkan berkemungkinan saya akan memperoleh hadiah utama yang akan diberitahu kemudian,” katanya.

Katanya lagi, pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana masih mengharapkan salah satu hadiah utama yang ditawarkan, namun mula tersedar dirinya ditipu selepas dinasihati oleh anak-anaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu pada malam hari kejadian iaitu 22 Oktober lalu.

Bagaimanapun Aminah menjelaskan, dia masih ‘berdendam’ dengan kedua suspek itu dan nekad akan menjejaki mereka bagi mendapatkan kembali wangnya.

“Selepas kejadian itu, saya meneruskan perniagaan di kedai seperti biasa, namun dalam masa sama, saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau dengan harapan dapat jumpa semula dengan dua lelaki itu.

“Tadi (semalam), sejurus saya ternampak mereka sedang ‘menipu’ orang ramai di tempat letak kereta,  saya nekad menghampiri mereka lalu meminta semula wang saya namun mereka berdegil dan seolah-olah tidak bersalah,” katanya.
Menurutnya, disebabkan kedegilan kedua-dua suspek yang bukan sahaja tidak mahu memberi kerjasama dan cuba melarikan diri itu, keadaan menjadi kelam kabut sebelum orang awam masuk campur dan menangkap mereka serta diserahkan kepada polis.

Dua pelajar dituduh pukul guru disiplin


Alor Setar: Dua remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memukul seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Jalan Gunung, dekat sini, bulan lalu.

Kedua-dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih menuntut di tingkatan lima sekolah berkenaan, yang dituduh secara berasingan didakwa melakukan perbuatan itu dalam satu kejadian di sekolah itu, jam 8.10 pagi pada 11 September lalu. Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala rakannya yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 324 kanun sama, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam mereka, Rafidi Mohamed.

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru disiplin dibelasah selepas menegur tindakan sekumpulan pelajar di sekolah terbabit tidak menghadiri perhimpunan, sebaliknya membuat bising di kelas mereka.


Serang guru hingga cedera

Dalam kejadian berkenaan, guru berusia 40-an itu dikatakan menegur sekumpulan pelajar terbabit sebelum mereka bertindak menyerang guru itu sehingga mengakibatkan kecederaan.
Sementara itu, dalam prosiding semalam, majistret menetapkan nilai jaminan RM1,500 kepada salah seorang remaja itu yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Bagaimanapun, bagi seorang lagi tertuduh yang mengaku salah mengikut Seksyen 323 kanun sama, majistret tetapkan 28 November depan untuk sebutan hukuman, sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Kedua-dua remaja terbabit, semalam hadir ke mahkamah dengan berpakaian seragam sekolah sambil ditemani keluarga mereka.

‘Kerabat’ direman

Sebahagian suspek yang ditahan keluar dari Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.Sebahagian suspek yang ditahan keluar dari Mahkamah Majistret di sini, kelmarin. Georgetown: Seramai 11 lelaki ditahan reman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai kerabat diraja Kedah dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini, petang kelmarin.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan mengeluarkan perintah berkenaan di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap 11 lelaki berusia 38 tahun hingga 61 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes berkenaan.
Kesemua 11 suspek terbabit tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan polis jam 2 petang, sebelum dibawa masuk ke bilik reman mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

Kelmarin, polis menahan 13 lelaki kerana disyaki menyamar sebagai kerabat Diraja Kedah dalam satu majlis pelantikan ahli jawatankuasa sebuah pertubuhan amal Islam di sebuah hotel, di sini.


Terima aduan awam

Mereka ditahan dalam satu serbuan pada jam 4 petang selepas polis menerima aduan orang awam yang sangsi dengan identiti seorang penganjur majlis, seorang lelaki Melayu berusia 40-an yang mengaku kerabat diraja.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi dipetik berkata, 12 yang lain, masing-masing enam Melayu dan Cina berusia antara 38 dan 61 tahun, dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia Diraja (PAKIM Diraja), sebuah pertubuhan yang kononnya dinaungi penganjur berkenaan.
Penganjur didapati menggunakan sebuah kereta mewah jenis BMW 730li bernilai hampir RM700,000 dengan plat pendaftarannya mempunyai lambang Persatuan Kerabat Diraja Kedah serta PAKIM Diraja yang tertera perkataan pengerusi, tetapi dimiliki lelaki Cina.

Polis bertindak merampas kereta itu dan selempang pentauliahan yang dikatakan akan diserahkan kepada ahli yang dilantik memegang jawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu, Seksyen 419 KK kerana menyamar dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan berikutan kereta yang dirampas menggunakan mempunyai logo yang tidak dibenarkan.

Pelajar Tingkatan Dua mati dibelasah

Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian  di hentian bas Pulau Sebang, Tampin, semalam.Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian di hentian bas Pulau Sebang, Tampin, semalam. Pertengkaran punca pergaduhan

Alor Gajah: Seorang pelajar Tingkatan Dua mati akibat parah selepas dipercayai dipijak dan ditumbuk bertubi-tubi oleh sekumpulan pelajar lain di Stesen Bas Pulau Sebang, dekat sini, petang semalam.

K Saravannan, 14, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tampin sejurus selepas kejadian, jam 2.30 petang itu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tingkat atas stesen bas berkenaan dalam keadaan terbaring.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata siasatan awal mendapati berlaku cabar-mencabar antara mangsa dengan dua suspek yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mansur Shah, di sini.

Katanya, sejurus selepas pertengkaran itu, mangsa kemudian diserang dan ditumbuk bertubi-tubi serta dipijak oleh dua suspek berkenaan sambil disaksikan lebih 30 individu termasuk pelajar sekolah.

“Akibat teruk dibelasah, mangsa kemudian pengsan dan semua yang berada di kawasan kejadian termasuk suspek melarikan diri akibat ketakutan.


Alami kecederaan dalaman
“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tampin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, berikutan itu, polis menahan dua remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

Katanya, berdasarkan maklumat dan saksi kejadian, kedua-dua suspek ditahan polis ketika sedang bermain bola di Padang Bola Pulau Sebang, jam 6 petang.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pergaduhan itu berlaku tidak berunsurkan perebutan kawasan, sebaliknya hanya pergaduhan biasa membabitkan kanak-kanak.

“Mayat mangsa dipindahkan ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya,” katanya.

Letupan bom tangan ragut 2 nyawa di Colombia



BOGOTA: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 12 lagi cedera apabila seorang remaja bertindak melemparkan bom tangan ke dalam sebuah pasar raya di bandar Santa Marta, timur laut Magdalena, Colombia, semalam.

Menurut sumber polis, kedua-dua mangsa adalah pekerja pasar raya dan pelanggan, dan mereka yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran. "Suspek yang membaling bom tangan dan lelaki dipercayai menemaninya berjaya ditahan,” kata Ketua Polis Bandar, Ricardo Restrepo.
Pegawai polis mengesyaki serangan itu adalah sebahagian daripada kes peras ugut bagaimanapun ia tidak mengeluarkan kenyataan mengenai motif lain berhubung serangan itu. - XINHUA

Tersepit satu jam dihempap balak




ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan pemandu lori balak yang tersepit dalam kemalangan di Bukit Tangga, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang pemandu lori balak terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam akibat dihempap beberapa batang kayu balak yang terjatuh selepas kenderaan berat yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Pantai-Jelebu di Bukit Tangga di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku apabila lori yang dipandu mangsa yang belum dikenal pasti identiti bersama seorang kelindan, V. Radakrishnan, 48, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh lereng bukit laluan berkenaan.
Kelindan lori terbabit bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
Difahamkan, lori balak berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Jelebu menuju ke Seremban hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum melanggar lereng bukit terbabit.
Pegawai Operasi Kanan Bomba Seremban, A. Gonaselan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 petang dan sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 3.27 petang.

Empat trak, lima treler berlanggar




KEADAAN sebuah treler yang berlanggar di lebuh raya Interstate 5 kelmarin.


NEWHALL, California - Dua kemalangan berturut-turut melibatkan empat buah trak dan lima treler menyebabkan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam di lebuh raya Interstate 5 di sini kelmarin.
Pihak berkuasa Peronda Lebuh Raya California (CHP) berkata, nahas sekitar pukul 2.20 pagi (waktu AS) itu berlaku apabila seorang pemandu lori sampah gagal mengawal kenderaannya yang menyebabkan pelanggaran empat buah trak.
Menurut CHP, pemandu-pemandu lain mula memperlahankan kenderaan mereka susulan nahas tersebut dengan lima buah treler yang menuju ke lokasi kejadian berlanggar sejurus selepas itu.
Stesen televisyen AS, KTLA melaporkan seorang pemandu treler mengalami kecederaan serius dalam kemalangan tersebut tetapi berada dalam keadaan stabil di sebuah hospital di sini.
Tiada laporan mengenai kecederaan lain setakat ini.
Kemalangan itu turut menyebabkan sejumlah 1,514 liter minyak diesel tumpah di atas lebuh raya tersebut. - Agensi

Mahkamah: Sosilawati dibaring, ditikam di tengkuk



25 Oktober 2012
Kes Sosilawati: Peguam mahu sepina 3 timbalan
Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
SHAH ALAM - Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya telah dibunuh dengan cara dibaringkan dan ditikam di tengkuknya oleh tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan sambil disaksikan oleh tertuduh pertama, N. Pathmanabhan pada 30 Ogos 2010.
Demikian antara persoalan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dalam soal balas terhadap Thilaiyalagan di Mahkamah Tinggi di sini
hari ini.
Seterusnya, Sosilawati telah menjerit dengan kuat dan meminta tolong dan Pathmanabhan juga telah mengarahkan Thilaiyalagan supaya membunuh jutawan itu di hadapannya kerana dia ingin menyaksikan sendiri kejadian itu.
Sementara tiga lagi lelaki yang bersama Sosilawati, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin
Shamsuddin turut dibunuh dengan cara yang sama.   
Kesemua itu merupakan cadangan yang diberikan oleh Ishak kepada Thilaiyalagan, 21, semasa menyoal balas tertuduh kedua itu pada perbicaraan di sini.
Bagaimanapun, semua cadangan itu dijawab 'tidak setuju' oleh Thilaiyalagan yang diperintah membela diri bersama bekas peguam Pathmanabhan, 43, serta
pekerja ladang R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 32, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ishak mencadangkan kepada Thilaiyalagan bahawa terdapat dua kereta jenis BMW telah masuk ke Ladang Gadong antara pukul 5 dan 6 petang, 30
Ogos 2010, dan tertuduh menjawab tidak setuju.
"Saya cadangkan dalam kedua-dua kereta itu ada seorang wanita Melayu dan tiga lelaki Melayu bersama Pathmanabhan," kata Ishak dan tertuduh menjawab tidak
setuju.
Thilaiyalagan juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa selepas Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin tiba di ladang, tertuduh telah diarahkan oleh Pathmanabhan untuk menangkap dan mengikat mereka.
"Awak telah arahkan Matan dan K.Sarawanan (saksi ke-59 pendakwaan) untuk ambil diesel di ladang dan diserah kepada awak setelah bunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin," cadang Ishak dan tertuduh menjawab tidak setuju.
"Kemudian awak bersama Sarawanan telah angkat empat orang itu dan letak atas longgokan kayu yang telah disusun terlebih dahulu," cadang Ishak dan Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.
"Selepas itu awak, Matan dan Sarawanan letak kayu atas badan mayat dan telah curahkan minyak atas mayat seterusnya bakar semua mayat itu," cadang Ishak dan
tertuduh menjawab tidak setuju.
"Zink juga telah digunakan sebagai lapik di tempat pembakaran itu," cadang Ishak dan Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.
Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa pada 31 Ogos 2010 kira-kira pukul 8 pagi, dia dan Matan telah memungut sisa pembakaran mayat dan
memasukkannya ke dalam sebuah tong biru.
Ketika ditanya sama ada dia ada berbincang dengan tertuduh lain mengenai pembelaannya di mahkamah, Thilaiyalagan menjawab: "Saya tidak pernah bincang
pembelaan saya bersama tertuduh lain."
"Saya cadangkan awak bersama-sama tiga tertuduh lain telah merancang untuk membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin sejak 29 Ogos 2010," kata Ishak dan tertuduh menjawab tidak setuju.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 6 November ini. - Bernama