Search This Blog

Wednesday, October 24, 2012

Polis keluar 7,660 saman, sita 184 motosikal



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Oktober 2012
SEGAMAT - Sebanyak 7,660 saman telah dikeluarkan oleh polis daerah ini bermula Januari lalu sehingga Oktober 2012.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud berkata, saman yang dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan yang dilakukan pemandu motosikal dan kereta.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut pihaknya juga telah melakukan sebanyak 63 operasi motosikal di daerah ini yang mana ianya lebih tertumpu di Jalan Genuang dan Jalan Abdullah memandangkan risiko kemalangan tertinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di laluan berkenaan.

“Dalam operasi terbabit polis telah menyita sebanyak 184 buah motosikal. Antara kesalahan yang dilakukan ialah mengubah suai kenderaan dan kebanyakan motosikal ini tidak diambil semula oleh pemilik asalnya.

“Polis akan tingkatkan operasi motosikal ini terutamanya di hujung minggu bagi mengurangkan kes lumba haram atau kesalahan jalan raya lain yang boleh mengakibatkan kemalangan serta mengganggu lalu lintas,” katanya pada sidang media di IPD Segamat, semalam.

Hanafi berkata, semua saman yang dikeluarkan boleh dibayar terus di Balai Polis Trafik.

Katanya, pesalah yang gagal menjelaskan dari tarikh yang ditetapkan akan dikenakan tindakan mahkamah dan seterusnya mungkin boleh membawa kepada hukuman penjara.

Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu terutama pada musim hujan ini kerana keadaan jalan yang licin lebih mengundang risiko kemalangan.

“Direkodkan jumlah kemalangan maut iaitu kes kematian di tempat kejadian sepanjang tahun ini melibatkan sebanyak 46 kes, manakala jumlah kematian juga sama (46) kes,” katanya.

Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumah

 Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumahShui Wen bersama bapanya menunjukkan laporan polis dan foto kecederaan yang dialami
JOHOR BAHRU – Mangsa ragut di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Danga City Mall, di sini berasa terancam dengan kehadiran keluarga suspek yang meminta kes itu ditarik balik.

Yong Shui Wen, 30, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama bapanya, Yong You Kim, 58, menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Singapura kira-kira jam 6.30 pagi, 10 Oktober lepas.

Menurutnya, secara tiba-tiba seorang lelaki bermotosikal menarik beg sandang milik bapanya yang diletakkan di dalam bakul sehingga mereka terjatuh.

“Saya bersama bapa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan kedua-dua belah tangan dan kaki sehingga dikejarkan ke hospital.

“Kami bernasib baik kerana ketika kejadian anggota polis berada berhampiran sehingga suspek berjaya ditangkap tidak berapa jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, di sini, semalam.

Shui Wen berkata, apa yang membuatkannya resah ialah, dia sudah dua kali didatangi beberapa individu yang mengaku keluarga mangsa ke rumahnya pada Sabtu dan Ahad lepas.

“Dua kali mereka datang ke rumah saya dengan menaiki van dan Perodua Kembara meminta maaf dan minta kes ditarik balik kerana katanya ibu suspek tidak sihat dan hidup susah.

“Kami mula rasa tidak selamat dan terancam kerana suspek sudah mengetahui alamat kediaman kami,” katanya.
Katanya, walaupun di dalam beg sandang milik bapanya tidak mengandungi barang berharga, tetapi kejadian dua kali diragut itu benar-benar membuatnya trauma.

“Sepanjang 10 tahun bekerja di Singapura, saya dengan bapa sebelum ini pernah diragut, tapi tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian pada kali ini masih membuatkan saya trauma, tambahan apabila melihat kesan luka-luka pada badan yang masih berparut,” katanya.

Sementara itu, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff supaya siasatan terperinci dapat dilakukan segera.

Samun: Surirumah rugi RM15,500

TELUK INTAN - Seorang isteri kepada ahli perniagaan bukan sahaja berdepan dengan detik mencemaskan malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,500 dalam satu kejadian samun dekat kawasan Bumbung Biru, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari, apabila mangsa berusia 28 tahun, baru sahaja menunaikan cek dengan sejumlah wang untuk urus niaga milik suaminya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, setelah cek ditunaikan di salah sebuah bank di Teluk Intan, mangsa telah menyerahkan sebahagian wang itu kepada rakan niaga suaminya di dalam premis tersebut sebanyak RM 17,000.

Menurutnya, baki wang berkenaan kemudiannya, dibawa pulang, namun sebelum pulang ke rumah, mangsa berhenti sebentar untuk mengambil anaknya di kedai milik ibunya di kawasan Bumbung Biru.

“Setelah anak-anaknya masuk di dalam kereta, secara tiba-tiba datang seorang lelaki membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg tangannya.

“Suspek mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai kira-kira RM15,000 sebelum melarikan diri dengan kereta jenis Perodua MyVi berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera menelefon polis sebelum sekatan jalan bagi mengesan kereta yang digunakan oleh suspek dibuat di sekitar kawasan Hilir Perak.

Berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya,  mangsa telah diekori sejak dalam bank sehingga ke kawasan Bumbung Biru sebelum insiden berlaku.

Katanya, polis juga percaya, kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan kejadian dan maklumat diterima yang kini sedang giat menjejaki suspek bagi bantu siasatan pihaknya.

Beliau turut menasihati kepada orang awam untuk lebih berhati-hati selepas mengeluarkan wang dalam jumlah banyak daripada bank selain memerhatikan kawasan sekeliling untuk pastikan keadaan selamat.

Tambah beliau, selain itu juga, orang awam dinasihati supaya terus pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang dan tidak berhenti di mana-mana tempat walaupun sekejap.

Jelasnya, kejadian seperti ini sering berlaku, apabila penjenayah menggunakan modus operandi sama dengan mengambil kesempatan di sebalik kelalaian mangsa.

“Pihak kami sedang menjejaki suspek bagi membantu siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kanak-kanak enam tahun melecur kena air panas

Kanak-kanak enam tahun melecur kena air panasDari kiri: Fahmi, Wan Azhar dan Norrabayah melihat keadaan Wan Mohd Farhan yang kini menerima rawatan di PPUM kerana kesan lecur pada sebahagian besar badannya
KUALA LUMPUR - “Tidak berapa lama selepas saya menjerit kegirangan kerana pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol pertama, saya terdengar jeritan anak dari dapur, saya fikir dia terkejut kerana saya menjerit, tetapi rupanya air panas tersimbah ke badannya,”.
Demikian kata Wan Azhar Wan Mahmood, 48, bapa kepada kanak-kanak berusia 6 tahun, Wan Mohd Farhan yang melecur hampir seluruh badan dari paras dada hingga kaki selepas terkena simbahan air panas pada malam Sabtu lalu ketika berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia.
Kanak-kanak tersebut dikatakan memasak sendiri air menggunakan cerek elektrik untuk memasak mi segera.
Azhar berkata, anak bongsunya itu tidak pernah berbuat demikian sebelum ini dan tidak menyangka anaknya nekad melakukannya sendiri.
Menurutnya, sebaik dia pergi ke dapur, lantai yang basah masih berasap sementara anaknya menggelupur t kesakitan.

“Ketika itu saya panik, tidak tahu apa yang perlu saya buat dan saya mengambil masa untuk bertindak cara terbaik untuk anak saya ketika itu.
“Saya ambil keputusan membuka pakaiannya, dan ketika itu kulitnya juga turut tertanggal dan menggulung. Kira-kira 40 minit juga saya ambil masa untuk sampai ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya ketika ditemui pada lawatan Setiausaha Politik, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, di PPUM, semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sepatutnya dijadualkan turut sama melawat namun terpaksa menangguhkan hasrat kerana persidangan di Parlimen.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, E-Norrabayah Ibrahim, 42, berkata, anaknya perlu terus dirawat di situ dalam tempoh tiga minggu lagi.

Katanya, tiada sebarang pembedahan dibuat setakat ini bergantung pada perkembangan keadaan anaknya.

“Kesan lecur itu kini hanya dicuci dua kali sehari dan pihak hospital akan menyuntik pelali setiap kali mahu mencuci luka,” katanya yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, di sini.
Difahamkan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Lembah Pantai, sedang mengumpulkan dana bagi meringankan beban keluarga ini, memandangkan Azhar yang hanya berniaga kini tidak dapat memperoleh pendapatan berikutan perlu menjaga anaknya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun bank (RHB) 16416000013755 atau menghubungi Azhar ditalian 019-2900446.

Dipenjara sehari kerana miliki pisau


KOTA BHARU – Seorang pemandu lori ayam terpaksa bermalam di penjara selepas dijatuhi hukuman itu selama sehari akibat memiliki pisau tanpa kebenaran, 18 Oktober lalu.
Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor selepas Nazrunnizam Nawi, 34, mengaku salah pada tuduhan itu.

Dia turut dikenakan denda RM2,000 dan dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

Tertuduh didakwa memiliki pisau berhulu kayu sepanjang 27 sentimeter di hadapan sebuah rumah di Kampung Tok Sut Melor di sini, pada jam 11.35 malam, tarikh berkenaan.

Hukuman terhadapnya diputuskan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Wanita mengaku salah miliki rokok seludup


MUAR -  Seorang wanita warga emas didenda RM950 selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM85.44 di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Lau Gek Luan @ Se Laut, 69, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di rumahnya di Jalan Lama Parit Tiram, kira-kira jam 3.30 petang pada 1 Mac lalu.

Gek Luan yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah memiliki 60 kotak rokok berkenaan di rumahnya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum RM854.40 hingga maksimum RM1,708 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Kastam Diraja Malaysia, Norhaliza Ab Ghani.

Bagaimanapun, warga emas berkenaan meminta mahkamah meringankan hukuman kerana sudah tua.

Majistret Liyana Mokhtar kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda berkenaan selain semua rokok berkenaan dilucut hak kepada Kastam.

Suami cekup isteri khalwat

Suami cekup isteri khalwatIsteri Salman (kiri) dan lelaki dipercayai kekasihnya serta seorang lagi wanita ditahan kerana berkhalwat.

AYER KEROH - Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu.
Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berke-naan, awal pagi kelmarin.

Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal.

“Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.

“Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya,” katanya.

Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut.

"Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun.

Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut.

“Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu.
"Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya.
Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman.

Polis tahan 12 warga asing di Georgetown



GEORGETOWN - Polis menahan 12 warga asing menerusi Ops Rantau di kawasan tapak pembinaan di Relau di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, operasi selama tiga jam dari pukul 10.30 malam itu memeriksa 60 rakyat asing yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

"Tujuh daripada mereka didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan dan lima lagi tiada dokumen perjalanan sah," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kesemua warga asing berusia antara 23 dan 40 tahun terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya. - Bernama

Peniaga warga asing putih mata

Peniaga warga asing putih mataPakaian yang dirampas dimasukkan ke dalam guni.
ALOR SETAR - Peniaga warganegara asing yang menjual pakaian wanita di ruang legar sebuah kompleks membeli belah di bandaraya ini terpaksa berputih mata apabila semua hasil jualan mereka dirampas pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBAS, Saifullizam Othman berkata, perniagaan yang dijalankan sejak dua bulan lalu itu terpaksa disita akibat peniaga terbabit didapati bukan warganegara tempatan.
Menurutnya, operasi yang dijalankan itu bermula jam 10 pagi dengan melibatkan 40 anggota penguat kuasa MBAS.
“Operasi yang dijalankan ini membabitkan 28 gerai termasuk tujuh daripadanya tidak memiliki lesen perniagaan dan telah dikenakan kompaun kepada mereka.

“Sewaktu operasi dijalankan pemilik dan peniaga yang dipercayai dari negara jiran telah melarikan diri dan hanya tinggal dua pekerja warganegara tempatan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas operasi, semalam.
Saifullizam berkata, tindakan yang diambil tersebut mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (MBAS 2010) yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, MBAS tidak pernah mengeluarkan permit atau lesen perniagaan kepada warganegara asing untuk menjalankan perniagaan.
“Operasi ini dijalankan serta merta tanpa memberi notis awal kepada pemilik kerana kita bimbang mereka akan meneruskan perniagaan ini menyebabkan masyarakat tempatan tidak mempunyai peluang untuk menjalankan perniagaan.
“Kita juga tidak akan memulangkan barang yang dirampas kepada pemilik seperti kebiasaan rampasan dibuat terhadap peniaga tempatan,” katanya.
Saifullizam berkata, kesemua pakaian wanita yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur termasuklah melelong pakaian tersebut.
Beliau berkata, perbincangan dengan pemilik bangunan tersebut juga telah dibuat oleh MBAS agar mereka lebih peka selepas ini untuk menyewa tapak kepada peniaga.

Rumah banglo Murugiah terbakar, kerugian RM400,000

KUALA LUMPUR - Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah kerugian kira-kira RM400,000 apabila sebahagian rumah banglo dua tingkatnya di Jalan Berlian 1, Taman Perwira Gombak di sini, terbakar malam tadi.

Murugiah, 49, berkata kebakaran pada pukul 8.30 malam yang dipercayai akibat litar pintas itu menyebabkan bahagian ruang tamu, dapur di tingkat bawah serta tiga bilik tidur di tingkat atas musnah.

Ketika kejadian, beliau dan keluarga termasuk empat anak serta pembantu rumah dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menjemput anak lelaki ketiganya yang pulang dari London.

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengawal keselamatan yang menjaga rumah saya. Ketika itu saya berada di Jalan Ampang dan kami berpatah balik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Beliau berkata apabila tiba di kediamannya, kebakaran itu telah dipadamkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat dengan bantuan jirannya.

Murugiah yang mendiami rumah itu sejak setahun lepas, berkata keluarganya kini menginap di sebuah hotel dan akan mencari rumah sewa sementara proses membaikpulih rumahnya siap dalam tempoh tiga bulan.

Sementara itu,  Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan ketika dihubungi berkata kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Selangor berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.50 malam dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.38 malam.

Kejadian dipercayai akibat litar pintas, katanya. - Bernama

Empat pelajar positif dadah

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd NoorKetua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor
DUNGUN – Empat remaja lelaki yang difahamkan sedang mengikuti kursus kemahiran di salah satu pusat kemahiran dekat sini, disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah methapethamine.
Kesemua remaja terbabit ditahan anggota polis dari Balai Polis A.M.B.S di hadapan kantin pusat kemahiran berkenaan, kira-kira jam 10.20 pagi semalam selepas mengesyaki mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Masing-masing yang ditahan berasal dari Bukit Kuang Kemaman, Bukit Besi serta Cheneh.

Tiga daripada suspek terbabit difahamkan sedang mengikuti kursus kemahiran dalam bidang teknologi motosikal manakala seorang lagi yang berasal Bukit Kuang sedang mengikuti kursus fesyen dan pembuatan pakaian.

Salah seorang suspek berusia 18 tahun itu difahamkan baru membeli dadah jenis methapethamine tersebut empat hari lalu daripada salah seorang rakannya dengan harga kira-kira RM20 sebiji.

Bagaimanapun, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak bernasib baik apabila pergaulannya dengan rakan sebaya yang dipercayai baru terjebak dengan penyalahgunaan dadah telah memerangkap dirinya sendiri.

Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dipenjara sebulan kerana curi seguni rambai

Rosli Abd MalekTertuduh dibawa keluar dari kawasan mahkamah, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku ‘mengambil’ seguni buah rambai di sebuah kebun milik seorang peneroka di Felda Belara di sini, dengan alasan untuk makan dan tidak berniat menjualnya.
Selain itu, buruh itu turut mendakwa langsung tidak mengetahui kebun buah rambai itu milik individu kerana menyangkakan ia adalah tanah rezab milik Felda sendiri.
Bagaimanapun, walau pelbagai alasan diberikan, namun tertuduh, Rosli Abd Malek, 41, tetap menerima pembalasan di atas perbuatan panjang tangannya itu apabila dijatuhi hukuman sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Dia yang merupakan anak jati Felda itu mengaku mencuri seguni rambai di kebun milik Bek Jusoh, 76, pada 10 Oktober lalu kira-kira jam 7 petang bersama rakannya yang kini masih bebas.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik kebun, Bek sedang berada di rumahnya sebelum ternampak dua lelaki dikenali iaitu Rosli bersama rakannya ‘Muda’ sedang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan kebun buah rambai miliknya.
Hampir sejam kemudian, kedua-duanya keluar sambil membawa seguni berisi penuh buah rambai dan melihatkan situasi itu, Bek yakin buah rambai di dalam guni dibawa adalah hasil curi dari kebunnya.
Tanpa membuang masa, Bek terus memaklumkan kepada penduduk sebelum berjaya menangkap Rosli manakala rakannya ‘Muda’ berjaya melarikan diri.

21 nelayan Vietnam didenda

21 nelayan Vietnam didendaSeramai 21 nelayan Vietnam bersama jurubahasa Abd Kahar di luar pekarangan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang tekong bersama 20 awak-awak warga Vietnam menangkap ikan dan memiliki peralatan pukat tunda tanpa lesen sah di perairan negara ini menerima padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman denda RM500,000 dan RM50,000 atau 12 bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hukuman itu diputuskan selepas tekong terbabit, Lang Phuoc Vu, 41, dan 20 awak-awaknya mengaku salah terhadap dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 11 (3) (b) akta sama yang dibacakan secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengendalikan sebuah vesel penangkapan ikan bernombor KNF7787 bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen sah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di di dalam perairan perikanan Malaysia, iaitu kira-kira 80 batu nautika dari Pantai Kuala Terengganu kira-kira jam 7.10 pagi, pada 27 September lalu.
Bagi kesalahan itu, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman denda RM250,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda terhadap Phuoc Vu, manakala denda RM25,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda setiap seorang terhadap 20 awak-awaknya.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mempunyai peralatan menangkap ikan yang lengkap dikenali sebagai pukat tunda tanpa lesen sah pada tempat, masa, dan tarikh sama.
Wan Fadhilah Nor turut menjatuhkan hukuman sama iaitu denda RM250,000 atau enam bulan penjara terhadap Phuoc Vu, manakala denda RM25,000 setiap seorang terhadap 20 awak-awaknya, atau denda jika gagal menjelaskan denda.
Selain itu, Wan Fadhilah Nor turut memerintahkan bot dan semua barang bernilai hampir RM1 juta disita untuk dilucutkan hak dan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad manakala kesemua tertuduh diwakili jurubahasa Abd Kahar Abdullah.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota dari Bahagian Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia sedang membuat rondaan Program Pemantauan Vesel Penangkapan Ikan Siri 4/12 sebelum menahan bot dinaiki 21 lelaki warga Vietnam ini.
Hasil pemeriksaan, mereka didapati sedang menangkap ikan menggunakan vesel tanpa lesen sah sebelum mereka dan barang yang dirampas dibawa ke Pangkalan Pusat Tahanan Vesel Kemaman untuk siasatan lanjut.

Lelaki ditahan miliki syabu

Lelaki ditahan miliki syabuAbdul Aziz (tengah) bersama Abdul Hamid (kanan) dan Pegawai Penyiasat, Inspektor Ng Tee Yiam menunjukkan barangan yang dirampas.
BENTONG - Seorang lelaki yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar kawasan Genting Highlands, dekat sini, ditahan polis dalam satu tangkapan kira-kira jam 9.45 malam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Abdul Hamid Allah Bukksh.
Menurutnya, lelaki berusia 44 tahun dan beralamat di Cheras itu ditahan di tepi pos kawalan Apartmen Kayangan, Genting Highlands.
“Ketika polis memperkenalkan diri, lelaki itu bertindak mencampakkan dua bungkusan yang dibalut kertas surat khabar dan kemudiannya cuba melarikan diri.
“Namun polis berjaya menahan suspek selepas berlaku adegan kejar-mengejar,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan mendapati salah satu bungkusan yang dijumpai mengandungi dua paket lut sinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 52.3 gram.
Katanya, polis juga menemui 90 tiub kecil plastik lut sinar seberat 16.8 gram dipercayai dadah jenis sama dalam satu bungkusan lain.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 69 gram dengan harga pasaran mencecah RM34,500.
“Polis juga berjaya menemui alat penimbang digital yang dipercayai digunakan untuk menimbang dadah di dalam beg pinggang yang dipakai suspek,” katanya.

Abdul Aziz berkata, hasil siasatan mendapati suspek aktif menjalankan urus niaga sejak beberapa bulan lalu di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rekod jenayah kesalahan lampau, suspek pernah terlibat dalam kes curi kenderaan, kes tipu dan kes cakera padat video (VCD) haram.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah dan kini direman sehingga 26 Oktober 2012 untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dua suspek samun premis Internet diberkas

Dua suspek samun premis Internet diberkasSuspek yang berjaya ditahan kerana menyamun di sebuah premis Internet di Jalan Ipoh, kelmarin.
SHAH ALAM – Dua lelaki termasuk seorang suspek dikehendaki polis diberkas selepas disyaki menyamun sebuah premis Internet di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kelmarin.
Dalam kejadian itu, dua suspek bersenjatakan pistol tiruan menyerbu masuk premis terbabit kira-kira jam 4 petang dan melarikan dua telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada penjaga kaunter premis terbabit berhubung kejadian yang berlaku.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum menyerbu sebuah premis di Jalan Dato Haji Eusoff Off, Jalan Ipoh pada hari sama dan menahan dua suspek terbabit.
Katanya, pemeriksaan ke atas premis menemui satu sarung pistol hitam, sepucuk pistol 'lighter' warna perak, sepucuk pistol mainan model L208, sebilah pisau lipat, topi dan sarung tangan berwarna biru.
"Siasatan awal mendapati, suspek pertama berusia 42 tahun memiliki 16 rekod jenayah membabitkan tujuh kes dadah, pecah rumah (3), samun (3), curi kenderaan (1) dan curi dalam bangunan (2).

"Suspek kedua berusia 33 tahun adalah suspek dikehendaki dan turut dikesan memiliki empat rekod jenayah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan, semalam.
Zainuddin berkata, kedua-dua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkawan bersenjata dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api.

Tujuh kenderaan pecah cermin, dua remaja ditahan

Tujuh kenderaan pecah cermin, dua remaja ditahanKeadaan kereta, yang mengalami kerosakan setelah cermin dipecahkan akibat perbuatan khianat di Pasar Awam Bagan Serai.
BAGAN SERAI - Sebanyak tujuh kenderaan yang diletakkan di hadapan pasar awam dan sekitar kawasan sini dipecah cermin oleh dua individu tidak dikenali pagi Jumaat minggu lalu.

Berikutan itu, dua remaja bawah umur yang masih bersekolah ditahan polis, kelmarin susulan perbuatan khianat ke atas sebuah lori, van dan bas kilang di lokasi hadapan pasar baru Bagan Serai dan empat kereta di pekan baru Bagan Serai dan Taman Bagan Serai.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Polis masih menyiasat motif sebenar perbuatan khianat terbabit dan mengesahkan sebanyak tujuh laporan polis diterima berkenaan kes sama.

“Sehingga kini, tiada laporan kehilangan harta benda diterima dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya sewaktu dihubungi media di sini semalam.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang hanya dikenali Sham mengakui terkejut apabila mendapati keempat-empat cermin bahagian tingkap van niaganya dipecahkan sewaktu dia hendak pergi ke pasar awam pada awal pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian sebegini berlaku ke atas kenderaannya memandangkan dia tidak mempunyai musuh dan berhutang dengan individu tertentu.

“Saya mengalami kerugian lebih RM1,000 akibat perbuatan khianat ini dan berharap pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dikenakan hukuman berat,” katanya.

Sementara itu, sumber dari Pasukan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PKSK) mendedahkan sekurang-kurangnya dua individu terbabit dengan perbuatan khianat itu dengan menggunakan tukul besi.
“Kami difahamkan ada dua individu yang menaiki motosikal bertindak memecahkan beberapa kenderaan pada awal pagi Jumaat lalu di beberapa kawasan sekitar Bagan Serai.

“Berdasarkan maklumat awam, kami bersyukur kedua-dua suspek berjaya ditahan polis dan berharap perkara sebegini tidak berulang kembali di daerah ini,” katanya.

Hajat bapa tidak kesampaian

 Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib AhmadKetua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad
KUALA SELANGOR - Hajat seorang lelaki untuk menimang cahaya mata pertamanya tidak kesampaian apabila dia menemui ajal dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kuala Selangor-Shah Alam, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian berhampiran persimpangan Saujana Utama itu, mangsa, Mustakim Sadikum, 26, dalam perjalanan dari Puncak Alam ke tempat kerjanya di Puchong.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di jalan masuk ke Saujana Utama, mangsa yang menunggang motosikal merempuh sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang guru.
"Mangsa gagal mengelak Perodua Viva yang keluar dari arah kiri ke jalan besar sehingga berlaku rempuhan di kananpintu hadapan.
"Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Sungai Air Tawar, Sabak Bernam itu tercampak ke tengah jalan dan cedera parah di kepala serta pendarahan dalaman," katanya.
Mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di bawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementera itu, menurutnya, pemandu Perodua Viva, berusia 33 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan hanya  menghadapi masalah kerosakan pada pintu sebelah kanan kereta serta pecah lampu hadapan.

"Dalam pada itu, kereta Mitsubishi Lancer melanggar belakang Proton Persona yang dipercayai memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian kemalangan berkenaan di laluan bertentangan.

"Pemandu Mitsubishi Lancer gagal menekan brek dan berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan kerosakan hadapan keretanya dan belakang Proton Persona, namun kedua mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Stok tudung Aidiladha hangus

KebakaranStok kain pasang dan tudung dijual sempena Aidiladha musnah dalam kebakaran.
KUALA TERENGGANU - Dua peniaga berputih mata apabila kesemua stok kain pasang dan tudung yang akan dijual sempena Aidiladha ini hangus sama sekali dalam satu kejadian kebakaran di lot kedai di Terminal Bas Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT), tengah malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu yang dipercayai berpunca daripada litar pintas telah menyebabkan dua lot kedai menjual kain pasang dan tudung musnah, manakala sebuah lot kedai lagi sempat diselamatkan.

Ketua operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Azmi Salleh berkata, dengan kekuatan seramai 25 anggota, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke 16 lot kedai lain di bangunan berkenaan.

“Kami mengambil masa selama 10 minit mengawal kebakaran dan pada masa sama terpaksa menggunakan gergaji besi untuk memotong pintu utama bagi memasuki lot kedai berkenaan.

“Kejadian pertama kali berlaku di sini sepanjang beroperasi tidak menghalang operasi bas dan masih boleh berjalan seperti biasa,” katanya yang turut menjelaskan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Ejek, mabuk bawa padah



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Oktober 2012
Ejek, mabuk bawa padah
Anggota JPAM membantu memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke hospital.
MASJID TANAH - Berpunca daripada insiden ejek-mengejek, seorang warga Nepal cedera parah apabila berlaku pergaduhan di sebuah rumah kongsi ladang ternakan ayam di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Thara Bahadur, 37, cedera selepas urat tangan kanannya putus terkena cermin tingkap rumah yang dipecahkannya.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersama empat rakannya dalam keadaan mabuk sebelum berlaku insiden ejek-mengejek sehingga merebak menjadi pertengkaran.
Mangsa dikatakan mengamuk bagi meleraikan pergaduhan itu dengan menumbuk deretan enam keping tingkap nako bahagian tepi rumah sehingga tangannya cedera.
Rakan mangsa, R.Selva, 27, berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam bilik dan terkejut mendengar bunyi bising dari luar bilik.

Menurutnya, mangsa dilihat bersama empat rakan bersuka ria di dalam rumah kongsi berkenaan seawal kira-kira 8 malam bagi meraikan sambutan perayaan negara Nepal.

"Mereka kemudian dilihat mula mabuk sebelum saya terus masuk ke bilik semula tanpa menghiraukan keadaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Selva berkata, beberapa minit selepas itu, dia terdengar bunyi bising sebelum mendapati kumpulan berkenaan mula ejek-mengejek antara satu sama lain.

"Saya keluar bilik dan melihat berlaku tolak-menolak antara mereka dalam rumah. Bagaimanapun, mangsa tak semena-mena mengamuk seperti dirasuk lalu menumbuk deretan enam keping tingkap nako di bahagian tepi rumah sehingga pecah," katanya.
Menurutnya, mangsa terbaring menahan kesakitan, manakala rakan lain panik dengan serpihan kaca penuh atas lantai.

"Tangan kanan mangsa meleleh darah menyebabkan saya mengambil tuala dan membalutnya sebelum menghubungi polis untuk bantuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Shahril Anuar Abd Rauf berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian sejurus selepas menerima laporan.

“Setiba di rumah itu, mangsa yang berlumuran darah di tangan ditenangkan rakan-rakannya. Kita memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya.

Dua rakan dipenjara sehari, denda RM26,000

Dua rakan dipenjara sehari, denda RM26,000Kim Hoat dibawa ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menawarkan suapan RM1,000 kepada polis.
JOHOR BAHRU – Dua rakan dihukum penjara sehari dan denda RM16,000 dan RM10,000 setelah mengaku bersalah memberi dan menawarkan rasuah kepada seorang pegawai polis, awal tahun ini di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Liow Eek Chong, 55, dan Gan Kim Hoat, 46, didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.
Akta itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Eek Chong merupakan seorang peniaga pakaian didakwa atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM3,050 kepada Asisten Superintendan Mohd Ali Ahmad dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat polis Kontinjen Johor di sebuah pusat urut, Taman Gaya, Ulu Tiram jam 9 malam, 10 Januari lalu.

Wang tersebut sebagai dorongan kepada Mohd Ali untuk tidak mengambil tindakan ke atas Kim Hoat yang disyaki terlibat dengan kesalahan menggaji warga asing tiada permit kerja yang sah dan disyaki menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan.

Manakala, Kim Hoat yang merupakan juruwang di pusat urut tersebut didakwa menawarkan suapan sebanyak RM1,000 kepada Mohd Ali di premis dan tarikh yang sama antara jam 7.45 hingga 8.45 malam sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas dirinya yang disyaki terlibat dengan kesalahan sama.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz juga memerintahkan Eek Chong dan Kim Hoat dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Sajori Martubi dan Kim Hoat diwakili peguam Wu Yue Qin manakala Eek Chong tidak diwakili peguam.

Gadis kejar dua peragut


AYER KEROH - Seorang gadis nekad mengejar dua lelaki selepas beg tangannya diragut sambil menjerit meminta tolong sebelum penjenayah terbabit berjaya dicekup orang ramai di Tiang Dua, Ayer Molek, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, gadis berusia 21 tahun itu menunggang motosikal sendirian sebelum diekori dua lelaki bermotosikal.

“Mangsa berasal dari Serkam, Jasin, menunggang motosikal di Persimpangan Taman Telok Mas. Dia nekad mengejar kedua-dua lelaki terbabit sehingga di Jalan Jaus, Tiang Dua.

“Jeritan mangsa minta tolong ketika mengejar suspek didengari orang ramai di kawasan berhampiran dan mereka turut membantu mengejar sebelum kedua-dua penjenayah terjatuh,” katanya, semalam.

Raja Shahrom berkata, suspek ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran.

Bagaimanapun katanya, beg tangan mangsa mengandungi RM150 tiada bersama mereka, dipercayai dicampak ketika dikejar orang ramai.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka berdua positif dadah jenis morfin dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.
Minggu lalu, seorang remaja perempuan turut bertindak berani mengejar lelaki meragut beg tangannya berisi RM2 kira-kira dua kilometer dan berjaya menangkapnya di Jalan Taman Seri Emas, Telok Emas, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut 'diganyang’ mangsa berusia 19 tahun.

Suspek berusia 21 tahun itu dibelasah selepas terjatuh ketika cuba menendang motosikal mangsa, namun dapat dielak mangsa yang kemudian mencampak bekas minumannya ke arah suspek.

Maut dalam nahas 3 kereta

Maut dalam nahas 3 keretaAntara kereta yang terlibat dalam kemalangan ngeri itu
KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Kilometer 12 Jalan Kuantan – Kemaman, dekat sini, semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Muhammad Fakhrul Razi Awang, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kemaman cuba memotong kenderaan lain di hadapannya.
Menurutnya, cubaan memotong kenderaan lain itu menyebabkan kereta terbabit masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain jenis Proton Perdana. “Ketika kejadian, sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang berada di belakang kereta Proton
Perdana itu tidak sempat menekan brek lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya.
Zainalabidin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat.
“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis dengan menghubungi mana-mana balai berhampiran,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penganggur didakwa cabul


AYER KEROH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mencabul dan menunjukkan kemaluannya kepada tiga kakitangan Hospital Melaka, bulan lalu.

Mazri Kamarudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.
Pertuduhan pertama, Mazri didapati mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 34 tahun dengan menunjukkan kemaluannya di lorong sebelah Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Melaka, jam 7.50 pagi pada 21 September 2012.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan sama kepada seorang wanita berusia 25 tahun di tempat letak kereta di Bahagian Forensik Hospital Melaka pada jam 7.20 pagi, 8 September 2012.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mazri turut didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 27 tahun dengan menggeselkan kemaluannya pada paha wanita terbabit, jam  7.30 pagi pada 20 September 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.
Dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan perempuan sama pada lokasi dan masa yang sama, pada 20 September 2012.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus meminta mahkamah memberikan jaminan RM16,000 bagi keempat-empat tuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan menanggung isteri tidak bekerja serta tiga anak.

Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan tarikh sebutan dokumen pada 30 November depan.

Dalam prosiding berbeza di mahkamah sama, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan.

Ramizan Mustok, 37, didakwa mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun 2 bulan di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak kira-kira jam 12 tengah malam pada Julai 2011.

Ramizan yang didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan ketika rayuan memohon jaminan dikurangkan selepas Muhather memohon mahkamah memberikan jaminan RM4,000.

Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Wanita maut motosikal dilanggar kereta


KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut dilanggar kereta di Km11 Jalan Kuantan-Pekan di sini semalam.
 
Dalam kejadian 5.10 petang itu, Haniza Harun, 36, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
 
Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.
 
"Mangsa yang dipercayai berada di lorong kiri telah mengubah ke lorong kanan secara tiba-tiba untuk membuat pusingan U sebelum dilanggar kereta terbabit," katanya hari ini.
 
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Pemuda maut digilis lori muatan pasir


KOTA BHARU - Seorang pemuda maut digilis lori muatan pasir di Tunjung di sini pagi tadi.

Pemuda terbabit  dipercayai menuju ke Pasir Mas, manakala lori terbabit menghala ke Kota Bharu.                                  

Mangsa yang menaiki motosikal berseorangan, mengalami kecederaan parah di kepala yang menyebabkan otaknya bersepai dan terperosok di bawah lori berkenaan.

Lelaki belasah ibu mertua

Lelaki belasah ibu mertuaTertuduh sempat tersenyum ketika gambarnya dirakam sewaktu keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membelasah ibu mertuanya hingga mangsa patah tulang rusuk, September lalu.
Hukuman terhadap Azmi Zahari, 37, bagaimanapun ditangguhkan berikutan menunggu laporan perubatan warga emas terbabit.
Azmi dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Meriam Deraman, 80, iaitu patah dua tulang rusuk kiri kerana ditumbuk di pinggang dan pipi kiri selain menghantukkan kelapa mangsa ke dinding.
Kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi, 23 September di hadapan sebuah rumah di Kampung Che Deris, Jalan PCB di sini.
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut bersambung pada 28 November depan.

Dipedaya 'ustaz', 6 suri rumah tak dapat tunai umrah

Dipedaya 'ustaz', 6 suri rumah tak dapat tunai umrahSuri rumah yang diperdaya 'ustaz' membuat laporan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia
JOHOR BAHRU – Hajat enam suri rumah menunaikan umrah bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian selepas terpedaya dengan tawaran seorang bergelar 'ustaz'.

Salah seorang mangsa, Noriah Alias, 55, berkata, 'ustaz' itu dikenali mereka sekitar Mac lepas ketika menghadiri kelas agama.

“Dia kelihatan jujur dan menawarkan pakej umrah dengan harga RM3,540 seorang. Ketika itu kami teruja kerana harga ditawarkan lebih murah daripada pasaran.

“Atas dasar percaya, kami membayar RM1,100 bagi yuran keahlian dan RM400 bagi bayaran tambahan kerana membuat tempahan sempena cuti sekolah bulan Mei,” katanya sambil menjelaskan mereka masing-masing membayar sebanyak RM4,950 kepada 'ustaz' berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, sebulan sebelum tarikh berlepas, 'ustaz' terbabit memaklumkan bahawa perjalanan ke tanah suci itu ditunda dan kemudian ia dibatalkan kerana masalah visa.

“Agensi pelancongan yang diwakili 'ustaz' itu juga berjanji akan memulangkan semula duit kami, namun gagal,”  katanya di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, hari ini.

Menurut Noriah, pembatalan itu menyebabkan mereka berasa malu kerana masing-masing telah membuat kenduri untuk ke tanah suci.

“Bagaimanapun kami tetap meneruskan niat dan mendaftar dengan agensi pelancongan lain. Alhamdulillah kami berjaya menunaikan umrah Ramadan lalu dengan pakej berharga RM5,000,” katanya.

Sementara itu, Presiden TTPM, Badius Zaman Ahmad kemudiannya membenarkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakan mereka mendapat pulangan wang RM4,950 setiap seorang kerana satu dokumen yang dikemukakan tidak lengkap.

Noriah dan tiga lagi rakanya dibenarkan mendapat wang mereka semula dalam tempoh 14 hari.

Bapa dera kerana mahu didik anak dijel 12 bulan

Bapa dera kerana mahu didik anak dijel 12 bulanNorrizam Sapuan dibawa keluar dari kawasan mahkamah.
JOHOR BAHRU -  Rayuan seorang bapa yang memukul anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atas alasan mahu mendidik tidak mampu melepaskan dirinya daripada dikenakan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias dalam keputusannya berkata, alasan mendidik sehingga mencederakan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu melampaui batasan.

Norrizam Sapuan, 40, mengaku bersalah atas dakwaan menganiaya Nazirul Mubim Norrizam, 9, di rumahnya di 0301, Blok G, Flat Pekaka, Jalan Pekaka 3, Taman Perling, di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Nazirul Mubim merupakan anak kandung tertuduh dikatakan dipukul dengan menggunakan tali pinggang yang dipakai Norrizam kerana tidak melayan adiknya berusia lima tahun.

Perkara tersebut disedari guru sekolah Nazirul Mubim apabila mangsa menangis lalu menceritakan insiden yang berlaku.

Mohd Azlan menetapkan hukuman terhadap Norrizam bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Oktober lepas.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Diganggu kelibat 'pocong'

Diganggu kelibat 'pocong'Laluan keluar masuk penduduk yang dikelilingi hutan bakau dan nipah.
KERIAN - Penduduk kampung tersusun Raja Bashah Kuala Kurau, di sini gempar dengan gangguan kelibat lembaga berkain putih atau dikenali sebagai hantu ‘pocong’ sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka takut keluar rumah terutama waktu malam.
Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita kewujudan hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu apabila sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini.
Menurutnya, pengalaman terserempak dengan lembaga menyerupai hantu pocong benar-benar memberi igauan buruk setelah sebelum ini menganggap dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak berasas.

“Kejadian itu berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah baru-baru ini dan tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu sedang menghisap rokok.

“Pada masa sama, saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang melintasi hadapan rumah dan alangkah terkejutnya apabila terdapat satu objek berbungkus kain putih sedang ‘membonceng’ motosikal itu tanpa disedari penunggangnya,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam.

Mohd Desa berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat seketika, bagaimanapun keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul di hadapannya secara tiba-tiba.
“Sedang saya tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang dan paling memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak 10 meter.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap serta pintu tanpa berfikir panjang,” katanya.
Seorang lagi saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen pada jam 11 malam.
“Pada masa itu saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah lewat malam. Saya perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian serba putih namun tidak berapa jelas kerana keadaan pada masa itu terlalu gelap.
“Saya pun turun dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat. Bagaimanapun, kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek berbungkus yang menyerupai tubuh mayat yang dikafankan,” katanya.
Salleh yang terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan mengunci semua pintu dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri dan anak-anaknya.

“Saya yakin lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan bentuk sama seperti manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti tubuh amat pudar selain mempunyai satu ikatan di atas kepala,” katanya.

Sementara itu, sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian ini dikatakan sering berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun 1980-an sebelum isu itu lenyap beberapa tahun kemudian.

Bagaimanapun, kejadian penduduk ‘diganggu’ hantu pocong berulang kembali dipercayai berpunca perlaksanaan projek penempatan semula penduduk kampung yang dikatakan ‘mengganggu’ kediaman asal makhluk halus di sini.

“Berdasarkan cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka dipenuhi hutan nipah dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara buruk berlaku semasa pembukaan kampung.

“Ia disebabkan di kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur lama yang tidak bertanda selain sebuah kubur ‘keramat’ yang dikatakan turut terletak di kawasan kampung kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan kawasan sekitarnya dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang banyak terdapat di kawasan itu.

“Semasa pembinaan pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami penduduk kampung sebelum perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.

“Kami tidak menolak kemungkinan ‘kemunculan’ kembali makhluk berkenaan disebabkan kerja pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang sedang dijalankan yang dipercayai menyebabkan makhluk itu ‘marah’ dan mengganggu kami,” katanya.

'Kerabat' Kedah ditahan polis



MOHD ISKANDAR OTHMAN
24 Oktober 2012
Abdul Rahim Hanafi
Abdul Rahim menunjukkan logo yang digunakan oleh lelaki menyamar sebagai kerabat diraja Kedah.
GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang disyaki menyamar sebagai anggota kerabat diraja Kedah dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini petang semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat orang awam yang mencurigai kehadiran kumpulan kerabat diraja itu ke satu majlis yang dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini kira-kira jam 3 petang, semalam.
Menurutnya, lelaki bukan Bumiputera itu turut menggunakan logo yang tidak sepatutnya pada kenderaannya dan hasil siasatan polis mengesahkan tiada kerabat diraja kedah di dalam majlis berkenaan.
“Majlis itu dihadiri kira-kira 120 orang dan ia dianjurkan oleh sebuah NGO Islam. Kita mencurigai apakah tujuan mereka untuk berjumpa dengan kumpulan bukan Melayu yang fokus kepada pusat hiburan.
“Dalam serbuan itu, kita turut menahan 12 lelaki untuk membantu siasatan dan kesemuanya berusia antara 38 hingga 61 tahun,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.
Abdul Rahim berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta mewah milik lelaki berkenaan, selempang dan beberapa dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 413 Kanun Keseksaan kerana penyamaran dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Ahli perniagaan didakwa bunuh pengusaha kedai tayar dan model sambilan




24 Oktober 2012
KAJANG - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan membunuh iaitu pengusaha kedai tayar dan seorang model sambilan, bulan lepas.
  
K.Kalaivanan, 48, dari Johor, didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dan lima orang yang telah dituduh sebelum ini melakukan kesalahan itu terhadap Leong Kian Sheong, 37, dan Vivien Wong, 20, yang juga seorang pelajar.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No. 1 Jalan SP6/3, Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras, di sini antara 6.10 pagi hingga 6.45 pagi, pada 13 Sept lepas.
  
Bagi kesalahan itu, Kalaivanan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
  
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
  
Majistret Aina Azahra Arifin menetapkan 5 Dis untuk sebutan semula kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamala, manakala tertuduh diwakili peguam Geethan Ram Vincent. - Bernama

Polis memburu sekumpulan penyamun menyamar petugas awam




24 Oktober 2012
GEORGE TOWN - Polis sedang memburu sekumpulan penyamun yang memperdayakan orang ramai dengan menyamar sebagai petugas awam di Seberang Jaya, Kepala Batas, Pulau Tikus dan kawasan sekitar Bukit Mertajam.
  
Menyatakan demikian kepada pemberita di sini hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Mazlan Kesah berkata, modus operandi suspek ialah dengan menyamar sebagai petugas Tenaga Nasional, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Perbadanan Bekalan Air.
  
Mereka datang ke rumah mangsa dengan pelbagai alasan, katanya.
  
Beliau berkata, kegiatan jenayah itu dilakukan sekurang-kurangnya tiga individu dan mereka menjadikan warga emas dan suri rumah yang tinggal bersendirian sebagai sasaran.
  
Katanya, bermula Januari hingga 22 Oktober lepas, polis menerima enam laporan kes seumpamanya di kawasan tersebut melibatkan kerugian lebih RM55,000.
  
Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian sebegitu melaporkannya di balai polis berdekatan.
  
Dalam perkembangan lain, Polis menahan seorang lelaki berusia 30-an dan merampas 10 pucuk senjata api tiruan dalam serbuan di sebuah kedai di Seberang Perai Tengah dekat sini, Isnin lepas.
  
Mazlan berkata hasil risikan dan maklumat awam, polis mendapati premis yang turut menjual aksesori dan pakaian ala perang itu telah beroperasi selama dua tahun.
  
"Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik premis itu membeli senjata api tiruan berkenaan secara dalam talian dan menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya.
  
Beliau berkata kesemua barang tiruan berkenaan dijual dengan harga serendah RM900 hingga RM3,000 dan diseludup dari luar negara.
  
Polis tidak menolak kemungkinan ia dibeli individu tertentu untuk melakukan jenayah.
  
Mazlan berkata keputusan ujian saringan narkotik mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan dia ditahan reman sehingga 5 November ini bagi membantu siasatan. - Bernama

Empat dituduh culik pelajar




         
KUALA LUMPUR: Empat individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan menculik seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dan menuntut wang tebusan RM17,000, bulan lalu ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah.

Sejurus selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin, semua tertuduh mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan.


Tertuduh ialah tukang masak, Tee Boon Tai, 22, pengurus pusat karaoke, Chong Kar Liang, 25, penganggur, Yau Chee Kiong, 22 dan peniaga alat ganti kereta, Low Soon Seong, 26.

Mereka didakwa menculik remaja itu dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan RM17,000 di tepi sebuah rumah di Off Jalan Ipoh, Sentul pada jam 7 pagi, 28 September lalu.


Semua tertuduh yang ditangkap pada 10 Oktober lalu itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

‘Kerabat diraja’ ditahan



         
GEORGETOWN: Curiga dengan tindakan seorang lelaki mengaku sebagai kerabat Diraja Kedah, sepasukan anggota polis menyerbu dan menahannya ketika mengadakan satu perhimpunan pelantikan ahli majlis sebuah pertubuhan di sebuah hotel di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, polis turut menahan 12 lagi individu dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis melakukan serbuan hasil maklumat orang ramai yang curiga dan mahu memastikan kesahihan dakwaan dibuat suspek.

“Sehubungan itu, kita melakukan serbuan dan menahan seorang lelaki berusia 40-an yang konon mendakwa kerabat Diraja Kedah.


“Kita melakukan pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kereta mewah digunakan suspek yang mempunyai lambang dan logo kerabat diraja serta plat tertera pengerusi sebuah pertubuhan,” katanya.


Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menyamar sebagai kerabat, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut.


“Semua suspek ditahan itu berusia antara 38 dan 61 tahun dan ketika majlis pentauliahan di hotel itu, kira-kira 200 peserta berada bersama.


“Lebih mencurigakan apabila majlis pentauliahan dan pelantikan yang sepatutnya di bawah naungan sebuah pertubuhan amal Islam itu didapati turut dihadiri kaum lain,” katanya.

Katanya, perhimpunan itu menimbulkan keraguan kerana perjumpaan turut diadakan bersama beberapa pemilik kelab malam dan setakat ini, polis masih menjalankan siasatan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 419 kanun sama kerana menyamar dan Seksyen 108, Akta Pengangkutan Jalan kerana mempunyai logo tidak dibenarkan,” katanya.