Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

28 premis perniagaan warga Thai disita



23/10/2012 4:38pm

ALOR SETAR — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini menyita 28 premis perniagaan yang dimiliki oleh warganegara asing kerana menjalankan perniagaan tanpa permit dan lesen perniagaan di ruang legar sebuah pusat membeli-belah di sini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan MBAS, Saifullizam Othman berkata, tujuh kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga-peniaga warga Thailand itu kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.
"Kita tidak pernah mengeluarkan permit dan lesen perniagaan kepada peniaga luar (asing) untuk berniaga di negeri kita kerana kita mahu menjaga kepentingan peniaga-peniaga kita. Mereka telah berniaga di sini hampir dua bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, MBAS terpaksa menyita barang-barang perniagaan mereka tanpa notis kerana tidak mahu peniaga itu mengambil kesempatan dan terus berniaga di sini tanpa permit.
"Jika mereka mahu berniaga di negara kita, ada banyak prosedur yang perlu mereka lalui, bukannya terus berniaga tanpa permit,” katanya.
Saifullizam berkata, sepatutnya pemilik bangunan tersebut peka dengan prosedur perniagaan dan pihaknya juga telah berbincang dengan pemilik bangunan tersebut berhubung perkara itu.
"Nilai maksimum untuk satu kompaun ialah RM300. Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali dan kes itu adalah di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (MBAS 2010),” katanya.
Beliau berkata, semua barang yang disita iaitu kasut, pakaian dan aksesori wanita tidak akan dikembalikan sebaliknya akan dilupuskan. — BERNAMA

Bukit Aman lumpuhkan sindiket dadah warga Pakistan



KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah warga Pakistan selepas menahan seorang individu dalam satu serbuan membabitkan nilai rampasan RM2.55 juta, semalam.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1.15 tengah hari oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, hasil maklumat awam dan risikan itu berjaya merampas 61.54 kilogram (kg) dadah jenis Heroin bergred tinggi. Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dalam serbuan yang di sebuah premis di Jalan Kasipillay, di sini, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 47 tahun yang dipercayai menjadi penjaga premis terbabit.
“Polis turut merampas 20 kotak kayu berisi pelbagai jenis pinggan mangkuk yang digunakan untuk menyembunyikan 180 bungkusan plastik dadah berkenaan," katanya.

Noor Rashid berkata, ini adalah kejayaan keempat dalam menumpaskan penyeludupan dadah antarabangsa membabitkan sindiket yang sama sejak 29 April tahun lalu.

“Sebelum ini kami sudah menjalankan tiga serbuan dan berjaya merampas dadah yang diseludup daripada sindiket warga Pakistan ini. Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan sindiket bangsa Nigeria.

“Kami sedang melakukan siasatan tentang bagaimana dadah berkenaan dapat dibawa masuk kerana siasatan awal mendapati keempat-empat barang rampasan diseludup menggunakan kargo. Kami juga sedang mencari dua rakan suspek yang turut terbabit dalam penyeludupan ini,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Suri rumah, bayi baru lahir ditemui mati di Kulim

KULIM: Seorang suri rumah dan seorang bayi baru lahir ditemui mati dalam bilik utama dan bilik air sebuah rumah teres di Taman Kekwa di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata polis mendapat maklumat yang membawa penemuan dua mayat itu kira-kira jam 2.30 petang daripada seorang jiran mangsa yang dikatakan hairan kerana mangsa tidak keluar dari rumah dan mengambil anak-anaknya di sekolah seperti biasa.
"Jiran tersebut memaklumkan kepada polis yang kemudian pergi ke rumah berkenaan dan mendapati mayat seorang perempuan yang dikenali sebagai Shaniza Idris, 27, berlumuran darah dalam keadaan tertiarap dalam bilik utama sementara mayat seorang bayi yang baru dilahirkan pula ditemui dalm bilik air rumah tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa adalah isteri kepada seorang konstabel sokongan yang bertugas di Balai Polis Kulim dan ketika kejadian sedang berkursus di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.


Ghuzlan berkata kematian mangsa pada awalnya dipercayai akibat keguguran tetapi dalam siasatan polis mendapati bahawa tiada sebarang rekod daripada Klinik Kesihatan dan sebagainya yang ditemui mengesahkan bahawa mangsa sedang mengandung.


Katanya mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat, yang sedang dijalankan pakar forensik dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan mungkin keputusannya akan dapat diketahui lewat petang ini.

“Kita mengkategorikan kematian tersebut adalah mati mengejut," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di hadapan rumah berkenaan, Rohizat Abdul Rahim, 49, dan isterinya Normah Ali, 48, telah pergi ke rumah mangsa setelah mendengar salah seorang dari tiga anak mangsa menangis.

Rohizat berkata setiap hari Shaniza akan menghantar anaknya ke sekolah dan selepas pulang terus menutup pintu dan berada dalam rumah, dan pukul 1 tengah hari akan keluar sekali lagi mengambil anaknya di sekolah.

“Semalam anak sulungnya pulang bersendirian dan saya dengar anak yang lain menangis kuat dalam rumah itu lalu saya suruh isteri saya ke rumah mangsa untuk memastikan sebab anak itu menangis," Rohizat.

Sementara itu, Normah berkata apabila dia masuk ke dalam rumah itu dia mendapati terdapat beberapa tompokan darah di lantai dari bilik air hingga ke bilik tidur utama rumah itu dan mendapati Shaniza terlentang kaku hanya memakai coli tanpa pakaian lain dan sudah tidak bernyawa lagi.

"Lalu saya menjerit minta tolong daripada jiran-jiran bersebelahan dan menutupnya dengan sehelai selimut. Pada ketika itu saya tidak pasti sama ada terdapat mayat seorang bayi dalam bilik air di rumah itu kerana saya menumpukan untuk membantu Shaniza dengan meminta bantuan jira-jiran memanggil polis dan ambulans," katanya yang merupakan orang pertama masuk ke rumah tersebut untuk mengetahui sebab salah seorang anak mangsa menangis begitu kuat.

Suami mangsa Asmadi Ahmad, 28, yang ditemui di bilik forensik Hospital Kulim kelihatan sugul dan trauma atas tragedi yang berlaku terhadap terhadap isterinya.

Dia yang tidak banyak bercakap berkata mayat isteri dan anaknya itu akan dikebumikan di Pokok Sena petang ini.

“Kematian ini adalah satu tragedi pada diri saya dan saya amat terkilan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, kerana anak-anak kami tanpa ibunya di hari raya ini," katanya dengan nada tertekan.

Hasil perkongsian hidup Asmadi dan Allahyarham Shaniza, mereka mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki Mohd Danial, 7, yang bersekolah di Tahun Satu, dan Mohd Dani, 4, serta Puteri Dayana, 1. - Bernama

Anggota Polis Didakwa Rogol Gadis 15 Tahun



PETALING JAYA: Seorang pegawai polis rondaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol seorang gadis berusia 15 tahun pada Ogos lalu.
Azman Zakaria, 28, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas pendakwaan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim, Rozina Ayob pada Selasa.
Dia dituduh merogol gadis berkenaan di sebuah rumah di Jalan Berkat 5, Kg Sri Aman, Puchong di sini kira-kira 6.30 petang pada 5 Ogos lalu.
Azman yang berkhidmat dengan Balai Polis Melaka Tengah didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, di mana memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan jika disabitkan.
Timbalan Pendakwa Rakya Siti Aishah Ab Rashid menawarkan ikat jamin RM8,000 dengan menyatakan bahawa Azman adalah seorang penjawat awam.
Peguam Esther Tan Siew Choo yang mewakili Azman berkata, dia berharap pihak mahkamah dapat mengurangkan ikat jamin kepada RM3,000 kerana Azman telah memberi kerjasama kepada mahkamah.
Hakim Rozina kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan juga memerintahkannya untuk tidak mendekati saksi, keluarga dan mangsa.
Hakim Rozina menetapkan 23 November untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan.

Anggota tentera antara tiga ditahan menyamun bersenjata api


       
SHAH ALAM: Seorang anggota tentera dan tiga lagi termasuk dua remaja perempuan ditahan polis Ahad lepas, dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata api di Hulu Selangor dan Kajang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Walther .380, enam butir peluru dan dua bilah pisau daripada suspek.
Anggota tentera darat berpangkat lans koperal berusia 27 tahun itu berasal dari Johor Baharu dan dilapor lari daripada tugas sejak 22 Mac lepas, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dia ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 29 tahun dan pasangan masing-masing berusia 19 dan 18 tahun di dalam sebuah kereta di simpang tiga Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di pekan Rasa, kata Mohd Adnan.


Menurutnya polis juga menemui dua peket mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis syabu daripada seorang suspek.


Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes di Hulu Selangor dan Kajang berhubung jenayah samun menggunakan pistol.

"Kita juga percaya kumpulan ini terbabit dalam kes mencederakan mangsa seorang wanita yang cedera ditetak di bahagian kepala dalam satu kejadian di Hulu Selangor pada 11 Ogos lepas," katanya.

Ujian air kencing ke atas suspek lelaki mendapati mereka positif syabu dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit penyalahgunaan dadah, kata Mohd Adnan.

Polis katanya menyiasat kemungkinan kumpulan itu terbabit dalam jenayah samun lain di Lembah Klang. - Bernama

Polis rampas heroin hampir RM1 juta dalam kotak kayu

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman hari ini merampas 60 kilogram dadah bernilai RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Kondominium Putra Majestic, Jalan Kasipilay, Sentul di sini, semalam.

Sumber Polis Bukit Aman berkata dalam serbuan 5 petang itu, polis turut menahan seorang warga Pakistan yang berusia 30-an.
"Siasatan awal polis mendapati rumah berkenaan dijadikan gudang untuk menyimpan kotak kayu yang dalamnya diisi pinggan mangkuk.

"Bagaimanapun kotak itu telah diubah suai untuk membolehkan dadah heroin disorokkan di dalam kotak berkenaan untuk elak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.


Beliau berkata lelaki itu kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Beliau berkata polis juga mendapati kotak kayu itu dibawa masuk melalui pelabuhan dan dadah berkenaan adalah untuk dijual bagi pasaran tempatan.

Katanya polis masih mencari beberapa lagi anggota sindiket dipercayai warga tempatan yang terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa itu. - Bernama

Peniaga, juruwang mengaku salah beri dan tawar rasuah kepada pegawai polis


JOHOR BAHRU: Seorang peniaga pakaian dan juruwang di pusat urut dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi dan menawarkan rasuah kepada seorang pegawai polis, Januari lepas.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz memerintahkan Liow Eek Chong, 55, dan Gan Kim Hoat, 46, masing-masing didenda RM16,000 dan RM10,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.
Liow didakwa memberikan suapan wang tunai RM3,050 kepada ASP Mohd Ali Ahmad yang bertugas di Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Premis Gold Butterfly Traditional Massage di nombor 8A, Jalan Sasa 2, Taman Gaya, Ulu Tiram, kira-kira 9 malam, 10 Januari lepas.

Wang tersebut sebagai dorongan supaya Mohd Ali tidak mengambil tindakan ke atas Gan yang disyaki terlibat atas kesalahan menggajikan warga asing yang tiada permit kerja yang sah dan disyaki menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan.


Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.


Gan pula didakwa menawarkan suapan wang tunai RM1,000 kepada Mohd Ali sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas dirinya yang disyaki terlibat dengan kesalahan menggajikan warga asing tiada permit kerja yang sah dan disyaki menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan.

Dia didakwa melalukan kesalahan itu antara 7.45 malam dan 8.45 malam, di alamat dan tarikh yang sama.

Kesalahan tersebut dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Sajori Martubi manakala Gan diwakili peguam Wu Yue Qin. - Bernama

Lelaki maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kuantan

KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Km 12 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, hari ini.

Muhammad Fakhrul Razi Awang, 24, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Pegawai Penguat kuasa Tadbir Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman.
Kejadian berlaku pukul 10 pagi ketika mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuantan, katanya di sini.

"Sampai di tempat kejadian, dipercayai sebuah kereta yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kemaman telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.


"Pada masa yang sama sebuah kereta lain merempuh bahagian belakang kereta mangsa," katanya.


Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama

Empat lelaki didakwa culik pelajar 15 tahun

KUALA LUMPUR: Empat lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bulan lepas.

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Tukang masak Tee Boon Tai, 22, pengurus pusat karaoke Chong Kar Liang, 25, penganggur Yau Chee Kiong, 22, dan peniaga alat ganti kereta Low Soon Seong, 26, didakwa dengan niat bersama menculik remaja itu bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM17,000, di tepi sebuah rumah di Sentul pada 7 pagi, 28 Sept lepas.

Keempat-empat lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan 27 Nov untuk sebutan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon manakala peguam Farah Idayu Nusi mewakili tertuduh pertama, S. Prakash mewakili tertuduh kedua dan Major Fitzgerald J.K. Augustin mewakili tertuduh ketiga dan keempat. - Bernama

12 maut hospital terbakar di selatan Taiwan



TAIPEI: Sekurang-kurangnya 12 terbunuh manakala 72 yang lain cedera apabila sebuah hospital di selatan Taiwan terbakar, lapor pihak berkuasa kesihatan.

Pegawai kesihatan negara itu berkata, kebakaran berlaku awal pagi tadi di kawasan penempatan jururawat di bandar Tainan. "Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," kata pegawai itu.
Seorang pegawai bomba menyatakan bahawa kebakaran mungkin berpunca dari dalam bilik simpanan di tingkat dua, bangunan lima tingkat Hospital Awam Sinying. - AFP

Rugi RM10,000 akibat banjir



Jessie Ooi (kanan) bersama beberapa pemilik premis menunjukkan anak sungai yang tidak dapat menampung air apabila hujan lebat sehingga menyebabkan banjir kilat di Bukit Rawang Jaya, Rawang, Selangor, semalam. - UTUSAN/Wahidin Salim
RAWANG 22 Okt. - Pemilik premis di sekitar Batu 22, Jalan Ipoh Lama menggesa agar anak sungai di belakang premis mereka disenggara bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan itu sejak kebelakangan ini.
Mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian sehingga mencecah lebih RM10,000 akibat banjir kilat yang boleh dikatakan akan berlaku setiap kali hujan lebat.
Seorang pemilik bengkel kereta, V. Mohanabass, 55, berkata, bencana itu didapati berlaku sejak akhir-akhir ini yang didakwanya mungkin berpunca daripada projek pembangunan berhampiran kawasan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121023/wk_01/Rugi-RM10000-akibat-banjir#ixzz2A6C4w4iy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tempoh reman suami dilanjut



SHAH ALAM 22 Okt. - Polis melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap suspek utama iaitu suami kepada seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) wanita yang dipercayai mati akibat dibunuh pada 13 Oktober lalu.
Tempoh tahanan reman ke atas suspek berusia 36 tahun itu dilanjutkan sehingga 26 Oktober ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya masih menyiasat motif sebenar kes tersebut.
"Polis sudah memperoleh laporan bedah siasat dan memang terdapat kesan kecederaan seperti dicekik pada leher mangsa," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Pada 16 Oktober, akhbar melaporkan seorang lelaki yang membuat laporan isterinya mati akibat terjatuh di bilik mandi rumah mereka di Apartmen Kiambang, Taman Bukit Subang ditahan polis selepas pihak hospital menemui kesan lebam pada leher mayat wanita itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121023/je_05/Tempoh-reman-suami-dilanjut#ixzz2A6BrE1Z2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penyokong merusuh tuntut bebaskan Cheikh Bethio



DAKAR 23 Okt. - Polis terpaksa menyembur gas pemedih mata selepas beratus-ratus penyokong seorang pemimpin agama yang bertindak memecahkan beberapa buah kereta dan tingkap kedai dalam rusuhan jalanan di tengah bandar Senegal semalam.
Penyokong pemimpin Islam, Cheikh Bethio Thioune bertindak memecahkan 50 buah cermin kereta dan melemparkan batu ke arah tingkap bank dan restoran menuntut membebaskan pemimpin itu dari penjara.
Thioune ditahan selepas didapati bersalah dalam kes pembunuhan dua penyokongnya awal tahun ini. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121023/lu_09/Penyokong-merusuh-tuntut-bebaskan-Cheikh-Bethio#ixzz2A6BXRScP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis kenal pasti penyamun



KOTA BHARU 21 Okt. - Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes cubaan samun seorang peniaga kedai runcit di Kampung Batu 6, Jalan Lapang Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek terbabit.
"Semua suspek sudah dikenal pasti dan polis sedang berusaha mengesan kedudukan mereka. Mereka tak boleh lari ke mana, sama ada cepat atau lambat sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis tamat latihan dan pentauliahan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan empat penyamun bersenjatakan pistol berputih mata apabila gagal melarikan seutas gelang emas kepunyaan pemilik sebuah kedai runcit selepas barang kemas bernilai RM2,500 itu tercicir semasa mereka melarikan diri.
Dalam kejadian itu, suspek melepaskan tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua MyVi dan siasatan awal polis mendapati, kesemua suspek dipercayai kumpulan sama yang menembak seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan sebelum ini.
Sementara itu, Jalaluddin memberitahu, seramai 850 anggota SSP akan dilantik bagi memenuhi kekosongan jawatan menjelang penghujung tahun ini bagi membantu tugas polis dalam membanteras jenayah.
"Tiga siri temuduga telah dilakukan dan senarai pendek calon juga telah dibuat. Jawatan ini mendapat sambutan kakitangan kerajaan dan swasta termasuk peniaga.
"Khidmat mereka akan digunakan untuk tugas-tugas seperti kawalan keselamatan, rondaan motosikal, operasi tertutup dan sekatan jalan raya," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121022/wt_02/Polis-kenal-pasti-penyamun#ixzz2A6B6u8fv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wang, emas RM30,000 musnah dalam kebakaran



Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran rumah di Kampung Pengkalan Nangka, Kelantan, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 22 Okt. - Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Nangka dekat sini hari ini.
Lebih menyedihkan, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.45 petang itu turut memusnahkan wang tunai dan barang kemas dianggarkan berjumlah RM30,000.
Mangsa, Hafizah Hashim, 30, berkata, wang tunai yang musnah dalam kebakaran tersebut adalah hasil jualan kereta terpakai milik suaminya.
Menurut Hafizah, dia mengetahui kejadian itu selepas diberitahu oleh anak sulungnya, Aiman Hafizuddin, 4, yang ternampak api ketika bermain di luar rumah.
"Ketika kejadian saya sedang berniaga di sebuah kedai di hadapan rumah sementara suami pula bekerja. Tiba-tiba anak saya datang memberitahu dia ternampak api. Saya terus berlari pulang dan mendapati api sudah marak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121023/wt_05/Wang-emas-RM30000-musnah-dalam-kebakaran#ixzz2A6Avp8We
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kediaman jemaah haji terbakar



MEKAH 22 Okt. - Sekurang-kurangnya 13 jemaah haji India dan Bangladesh cedera ringan, manakala 179 yang lain berjaya diselamatkan dalam satu kebakaran, di sini semalam.
Agensi Xinhua melaporkan kebakaran tersebut berlaku di sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat pada petang semalam.
Lima pasukan bomba dan tiga pasukan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan jemaah haji yang menginap di bangunan kediaman itu.
Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak sejam kemudian.
Jurucakap Pertahanan Awam bagi Musim Haji berkata, kesemua jemaah yang menginap di bangunan tersebut telah dipindahkan.
Punca kebakaran masih disiasat.
Bermula minggu ini, Mekah dijangka dibanjiri kira-kira dua juta jemaah dari seluruh dunia bagi melakukan wukuf di padang Arafah pada Khamis ini.
Ibadat haji dijangka berakhir pada Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121023/lu_01/Kediaman-jemaah-haji-terbakar#ixzz2A695VifM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

100 penunjuk perasaan cedera di Kuwait



KUWAIT CITY 22 Okt. - Kira-kira 100 penunjuk perasaan dan 11 anggota polis cedera, semalam apabila polis melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan tunjuk perasaan yang disertai beribu-ribu penduduk Kuwait, yang membantah undang-undang pilihan raya.
Pengarah Persatuan Hak Asasi Manusia Kuwait, Mohammad al-Humaidi berkata, jumlah penunjuk perasaan yang dirawat di hospital kini melebihi 100 orang, selepas pasukan keselamatan menyerang mereka.
Kementerian Dalam Negeri berkata, 11 anggota polis turut cedera selepas penunjuk perasaan melemparkan batu ke arah mereka.
''Polis hanya bertindak tegas selepas penunjuk perasaan bertindak ganas,'' kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan termasuk bekas ahli Parlimen daripada pergerakan Islam, Waleed al-Tabtabai ditangkap dalam tunjuk perasaan itu, yang dianggap paling ganas di Kuwait.
Pihak pembangkang menganjurkan demonstrasi tersebut bagi membantah keputusan pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah menggubal undang-undang pilihan raya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121023/lu_03/100-penunjuk-perasaan-cedera-di-Kuwait#ixzz2A67yp3DX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saksi nekad kejar treler



NIK AMIRULMU'MIN NIK MIN & NURUL ZAILA ABD WAHAB
23 Oktober 2012
Saksi nekad kejar treler
Orang ramai yang berkerumun di lokasi kejadian memerhatikan mayat mangsa yang sudah ditutup sebelum dihantar ke HTAA untuk bedah siasat. Gambar kecil: Mohd Samri.
KUANTAN- Seorang mekanik bertindak nekad memecut motosikalnya mengejar sebuah lori treler setelah pemandu kenderaan tersebut gagal berhenti sejurus bergesel dengan motosikal ditunggang seorang gadis hingga menyebabkan mangsa yang dipercayai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Cubaan, Mohd Samri Samion, 40, berhasil apabila lori tersebut berjaya dipintas sebelum pemandunya dimaklumkan berhubung kejadian yang berlaku.

Bagaimana pun sebaik sahaja dia dan pemandu lori tersebut kembali ke tempat kejadian, gadis yang terbaring berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala sudah kaku tidak bernyawa.

“Menyedari gadis tersebut sudah meninggal dunia, isteri saya mengambil sehelai kain batik  menutup mayatnya.

“Saya memeriksa dompet mangsa dan menjumpai kad pengenalan tertera namanya, Nur Yuhanis Sharifuddin, 18 beralamat di Felda Sungai Panching Selatan dekat sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian itu, semalam.

Mohd Samri berkata, dia turut menemui beberapa maklumat peribadi milik mangsa termasuk kad anggota JPAM dipercayai milik gadis tersebut.

Menceritakan detik kemalangan yang berlaku di hadapan bengkel membaiki motosikal miliknya di Kilometer 39 Jalan Kuantan- Kemaman kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohd Samri berkata, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya dan terus berlari keluar kerana sudah menduga ada kemalangan berlaku.

“Ketika itu saya nampak seorang gadis terbaring kaku di atas jalan berhampiran sebuah motosikal dipercayai miliknya.

“Anak saya, Mohd Samsuri, 15 melihat kejadian itu memberitahu, mangsa dipercayai cuba mengelak lopak air lalu bergesel dengan bahagian belakang lori treler tersebut sehingga tercampak jatuh ke atas jalan,” katanya.

Dia berkata, ketika itu, dia dan isterinya sempat memeriksa  nadi mangsa namun sudah tiada denyutan lagi.

“Selepas dimaklumkan lori treler yang terlibat gagal berhenti, saya mengambil motosikal dan bertindak mengejar kenderaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.

Menurutnya, lori treler yang sarat dengan muatan paip milik sebuah syarikat petroleum itu dipercayai dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

“Mangsa dalam perjalanan dari arah sama cuba mengelak lopak air hingga terbabas ke kanan lalu bergesel dengan bahagian belakang lori terbabit.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terjatuh manakala tubuhnya tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Pemandu lori terbabit ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung nahas maut ini,” katanya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Kilang proses karbon ghaib



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Kilang proses karbon ghaib
Kawasan lapang ini menempatkan kilang yang dipercayai hilang oleh pemiliknya. Gambar kecil: MOHD ZAKI
TELUK INTAN - Pelik tapi benar. Itulah yang terjadi kepada sebuah premis kilang berstruktur besi dan zink yang terletak di Batu 13, Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang, dekat sini apabila ghaib tanpa meninggalkan kesan.

Kejadian aneh itu menyebabkan pemiliknya terpaksa membuat satu laporan polis ke atas ‘kehilangan’ premisnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, kilang berkenaan telah dibina pada 2005 oleh pemilik premis sebelum mengambil keputusan untuk menyewakannya kepada orang lain.

Menurutnya, seorang pengusaha telah menyewa kilang tersebut dengan harga RM5,000 sebulan untuk memproses karbon aktif di kawasan itu pada tahun 2009.

“Namun, penyewa kilang berkenaan telah menghentikan operasi mereka kerana berhasrat untuk berpindah ke lokasi lain pada Jun 2012 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Jelas beliau, pada bulan sama, pemilik kilang itu telah pergi ke premisnya untuk melihat keadaan kilang dan mendapati ia dalam keadaan yang sama.

“Namun begitu, pada Jumaat lalu, kira-kira jam 10.30 pagi seorang pekerja kepada pemilik kilang tersebut terkejut apabila mendapati struktur premis milik majikannya telah hilang tanpa sebarang kesan.

“Terkejut dengan ‘kehilangan’ itu, pekerja berusia 40-an berkenaan telah membuat satu laporan polis,” katanya.

Sementara itu, struktur bangunan kilang yang berasaskan besi dan zink dan merupakan kilang jenis terbuka dan terletak berhampiran kilang lain di Batu 13, Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang, di sini.

“Ketika kilang tersebut ditinggalkan penyewanya, keadaan kawasan itu kilang berpagar namun kurang sempurna di bahagian belakang dan tiada sebarang pengawasan daripada pengawal keselamatan di situ.

“Pihak kami sedang menjalankan siasatan ke atas pemilik premis yang mengalami kerugian kira-kira RM50,000 dan penyewa kilang. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Merangkak selamatkan diri



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Merangkak selamatkan diri
Beginilah keadaan bas yang terbalik masuk dalam parit dekat Kampung Gerong.
TUMPAT – “Amat cemas apabila bas yang saya naiki hilang kawalan dan terbalik ke parit,” begitu kata penumpang sebuah bas henti-henti, Fatimah Mohamad, 24, selepas bas yang dinaikinya terbalik dekat Kampung Gerong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, lima penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Tumpat melalui Sungai Pinang berdepan detik mencemaskan, apabila bas yang dipandu Surah Bilal, 28, hilang kawalan dipercayai cuba mengelak sebuah kereta.

Fatimah menaiki bas tersebut bersama anaknya, Fathil Aqil Asraf Mohd Faiz, 3, dan tiga lagi penumpang adalah pelancong asing.

Bagaimanapun, kesemua penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Fatimah berkata, mujur dia bersama anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun terpaksa merangkak keluar menyelamatkan diri selepas bas itu terbalik masuk dalam parit.

“Masa bas hilang kawalan dan mula membelok ke kanan dan terjunam ke dalam parit, saya hanya ingatkan keselamatan anak saya,” katanya yang tinggal di Bandar Tumpat.

Surah berkata, kejadian kemalangan itu begitu pantas, apabila dia cuba mengelak sebuah kereta dari arah Wakaf Bharu yang ingin memasuki simpang kanan di kampung tersebut.

“Jalan licin menyebabkan bas yang saya pandu hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit sebelah kanan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Akibat kemalangan itu, kereta jenis Nisan Sunny terbabas masuk ke dalam parit sebelah kiri jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi memberitahu, mangsa kemalangan belum membuat laporan polis berhubung kejadian bas terbalik tersebut.

Bomba maut jatuh siling



NORIZZAH BAHARUDIN
23 Oktober 2012
Bomba maut jatuh siling
Siling yang roboh.
Bomba maut jatuh siling
Lokasi mangsa ditemui terjatuh. Gambar kecil: Isa
ALOR GAJAH - Seorang anggota bomba maut selepas terjatuh dari siling ketika hendak memeriksa kebocoran tangki air di rumahnya, lewat petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang di Taman Seri Aman, dekat sini, apabila Isa Budin, 57, dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, di sini, terjatuh dipercayai tersalah duduk di siling berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya, Ahmad Ikhwan Isa, 16, dikatakan naik ke bahagian siling untuk memeriksa kebocoran pada tangki,

Ahmad Ikhwan berkata, bapanya jatuh kira-kira 10 minit selepas naik ke atas siling berkenaan.

"Saya bantu ayah ke atas untuk periksa kebocoran tangki air yang terletak antara ruang tamu dan dapur. Ahli keluarga lain semua berada di bahagian depan rumah.

“Semasa hendak betulkan kedudukan atas siling, ayah cari tempat sesuai untuk duduk sebelum periksa bahagian tangki yang bocor. Dia sudah alas tempat yang hendak duduk menggunakan sekeping papan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ayahnya tersilap duduk di bahagian siling rumah mengakibatkan siling berkenaan pecah sebelum terjatuh dalam keadaan kepala kepala ke bawah dan terkena bucu mesin jahit.

"Dalam keadaan panik, saya turun lihat ayah sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring penuh darah di kepala.

"Saya terus memanggil dan menggoncang tubuh ayah, namun tiada sebarang tindak balas,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, isteri Isa, Hayati Shafie, 50, kemudian tiba dan sempat memangku arwah serta mengajar mengucap sebelum meminta bantuan jiran untuk menghantarnya ke hospital.

Sementara itu, Ahmad Ikhwan berkata, semasa dalam perjalanan, dia melihat ayahnya itu masih menggerakkan tangan, bagaimanapun setiba di hospital, doktor mengesahkan ayahnya sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Pemangku Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat (Bahagian Keselamatan) Negeri Melaka, Zulkifli Nordin berkata, mangsa sudah berkhidmat dalam bomba sejak lebih 33 tahun dan akan bersara penghujung Februari tahun depan.

Mahu rakan lawat jika mati



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Mahu rakan lawat jika mati
Mayat mangsa dibawa menggunakan kenderaan Range Rover polis ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
MARANG - Tiada siapa yang menyangka permintaan anggota Unit Kawalan Penjara (UKP), Penjara Marang, Sharul Nizam Mohd Nor, 29, yang mahu rakan melawatnya jika dia meninggal dunia sebagai petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Mangsa, yang bertugas di Penjara Marang, maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer 26 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Alur Tuman di sini, semalam.

Mangsa yang juga bapa kepada seorang cahaya mata dikatakan berasal dari Kampung Paloh Nyior, Telemong di Hulu Terengganu dan kini menetap di Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dipercayai terlebih dahulu terlanggar bahagian belakang sebuah Proton Saga yang berada di hadapannya sebelum terjatuh dan dirempuh sebuah treler.


Mangsa disenangi rakan

RAKAN baik mangsa, Mazlan Awang, 45, ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian begitu sedih dengan kejadian yang menimpa rakan baiknya yang dikenali sejak tujuh tahun lalu itu kerana sama-sama berkhidmat di Jabatan Penjara di Marang.

“Arwah (Sharul Nizam) seorang rakan yang baik dan dia sering berkongsi cerita mengenai keadaan dirinya kepada saya dan rakan yang lain, arwah ada beritahu bahawa dia mengalami masalah kurang oksigen dalam badan sejak belakangan ini.

“Begitu juga pada malam sebelum kejadian, arwah sempat menceritakan keadaan kesihatan dirinya itu tetapi saya tidak menyangka arwah akan terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Penjara Marang pada pagi ini (semalam),” katanya.


Mahu dikebumikan sebelah pusara ibu

MENURUT Mazlan, arwah menunjukkan sikap berbeza sejak belakangan ini termasuk meminta rakannya melawatnya jika dia meninggal dunia bagi mengetahui sejauh mana dia menderita akibat penyakit dihidapinya itu.

“Saya difahamkan arwah juga berpesan kepada isterinya agar jenazahnya dikebumikan di sebelah pusara ibunya di tanah perkuburan di Kampung Paloh Nyior, Telemong jika dia meninggal dunia,” katanya yang turut ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas kemalangan itu.

Kata Mazlan, isteri arwah adalah seorang guru dan mengajar di Kuala Lumpur dan dia difahamkan bahawa isteri arwah juga masih bercuti selepas melahirkan anak sulung mereka yang baru berusia dua bulan.

“Saya dan rakan tidak sangka apa yang disampaikan arwah sejak belakangan ini rupa-rupanya bagi menzahirkan perasaannya yang seolah-olah sudah mengetahui bahawa dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.


Mangsa gagal kawal motosikal

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga kenderaan terbabit datang dari arah Marang menuju ke Dungun dalam keadaan jalan licin berikutan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal yang ditunggangnya dan mangsa dikatakan terlebih dahulu terlanggar bahagian belakang sebuah kereta sebelum terjatuh.

“Pada masa sama, sebuah treler dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, HSNZ bagi bedah siasat sebelum dituntut keluarganya kira-kira jam 11.30 pagi  untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Kampung Paloh Nyior, Telemong.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan tersebut supaya menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Bekas imam didakwa pukul mangsa ditangkap khalwat



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Bekas imam didakwa pukul mangsa ditangkap khalwat
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
AYER KEROH - Enam lelaki termasuk seorang bekas imam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan memukul tiga orang termasuk seorang wanita menggunakan cota besi, dua tahun lalu.

Md Isa Md Tahir, 27, Nazri Karim, 25, Abdullah Md Tahir, 22, Razali Abdol Bozik, 43, Zulkifli Ahmad, 52, dan Mohd Suhairi Abu, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka.

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan cota besi terhadap Hazizul Fazudin Hashim, 25, Mohammad Zarul Safuan Abd Razak, 23, dan Norshikin Abdul Malek, 18.

Mereka melakukan kesalahan itu di atas jalan raya, Masjid Felda Air Kangkong, Selandar, Jasin kira-kira 12.30 tengah malam, 15 Mac 2010.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Muhammad Hazri Hanafi memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya dari golongan susah.

“Berdasarkan keterangan semua tertuduh walaupun tidak dibuktikan lagi, mangsa yang dipukul di kawasan masjid itu adalah kerana ditangkap khalwat,” katanya.

Hakim Abu Bakar Katar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kereta Adun kena pecah



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Kereta Adun kena pecah
Lih Kang menunjukkan serpihan cermin tingkap yang dipecahkan penjenayah dalam kejadian yang berlaku, awal pagi semalam.
IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang sekali lagi menjadi sasaran penjenayah apabila cermin bahagian pemandu kereta jenis Honda CR-V miliknya dipecahkan dalam satu kejadian di Taman Melor, Pasir Puteh, awal pagi semalam.

Difahamkan, insiden itu bukanlah yang pertama menimpa wakil rakyat PKR itu kerana rumahnya pernah dipecah masuk pada tahun 2009 dan 2011 sehingga mengalami kerugian lebih RM10,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam, Lih Kang bersama isteri serta ibu bapanya sedang nyenyak tidur dikejutkan jiran yang tinggal di belakang rumahnya.

Jiran beliau yang juga seorang pegawai polis sempat melihat kelibat dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan pekarangan rumahnya selepas menyedari tindakan mereka diperhatikan.

“Jiran saya memberitahu dia turut cuba mengejar mereka (penjenayah), namun gagal,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Beliau bagaimanapun bernasib baik kerana tiada apa-apa barangan berharga miliknya sempat dilarikan penjenayah dan kerugian dianggarkan mencecah ratusan ringgit.

Lih Kang turut meluahkan rasa kecewa dengan kejadian jenayah yang berleluasa dan menganggap isu itu serius serta tidak patut dipandang ringan pihak berkuasa terutama kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan tahap keselamatan orang awam di negeri ini dan mendakwa peruntukan sebanyak RM200 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan keselamatan gagal memperbaiki persepsi masyarakat bahawa jenayah di negara ini masih terkawal.

“Kejadian kali ketiga yang menimpa kami sekeluarga membuktikan tahap keselamatan orang ramai masih tidak terjamin,” katanya.

Jepun selamatkan 64 pelaut China



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Senkaku
Letupan pada enjin utama dikatakan menjadi punca kapal kargo milik China ini terbakar. Foto: AFP
TOKYO - Walaupun hubungan China dan Jepun agak tegang berikutan pertikaian di wilayah Laut China Timur, namun perkara itu tidak menghalang pihak berkuasa negara matahari terbit tersebut untuk menyelamatkan 64 pelaut dari Beijing selepas kapal kargo terbakar, Sabtu lalu.
Pengawal pantai di Jepun segera menghantar kapal peronda ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 150 kilometer dari tenggara Okinawa selepas menerima laporan mengenai insiden itu daripada pihak berkuasa Taiwan.
Semua pelaut kapal pengangkut tersebut berjaya diselamatkan secara berperingkat dan tiga daripada mereka dilaporkan cedera.
Difahamkan, konflik antara kedua negara itu semakin memuncak selepas Jepun berhasrat untuk membeli gugusan pulau tidak berpenghuni yang dinamakan Senkaku oleh negara tersebut  manakala China pula menamakannya sebagai Diaoyu. -AFP

Perompak tebuk pintu kebal bank larikan RM176,000




22 Oktober 2012
SHAH ALAM - Sekumpulan perompak memecah masuk sebuah bank di Kota Damansara, dekat sini dan menebuk pintu kebal bank itu menggunakan gas-oksi sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM176,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam kejadian itu yang dipercayai berlaku semalam dan disedari pihak bank pada awal pagi tadi sebelum membuat laporan pukul 7.53 pagi.

Beliau berkata, kumpulan perompak terbabit memasuki bank itu melalui lubang pembuangan sampah di belakang premis sebelum menuju ke bilik kebal bank dan menebuk lubang pintu menggunakan gas-oksi yang mengeluarkan api bersuhu tinggi.

"Kita percaya ia dilakukan oleh mereka yang mahir berdasarkan peralatan mesin penggerudi dan gas-oksi berkenaan selain sudah biasa dengan keadaan dalam bank itu.

"Polis telah mendapatkan rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) bank terbabit untuk siasatan lanjut. Ketika kejadian tiada pengawal keselamatan bertugas" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah memberitahu, laporan bedah siasat terhadap seorang wanita yang dipercayai dibunuh di rumahnya di Pangsapuri Kiambang, Taman Bukit Subang pada13 Oktober lepas mendapati mangsa mati akibat dicekik.
  
Beliau berkata siasatan mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dengan  suaminya pada hari kejadian.
  
"Berdasarkan laporan bedah siasat, dakwaan bahawa mangsa mati akibat terjatuh di bilik air adalah tidak benar," katanya.
  
Mohd Adnan berkata tempoh reman ke atas suami mangsa yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini, dilanjutkan dan kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. - Bernama

Polis tahan empat lelaki warga Columbia kes pecah rumah




22 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki warga Columbia yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Brickfields, Jumaat lepas.
  
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata dalam serbuan pukul 7 pagi itu, pihak polis menemui empat jenis pistol tiruan yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam jenayah pecah rumah.
  
"Selain pistol itu, kita juga merampas banyak barang yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang mereka lakukan," katanya di sini hari ini.
  
Beliau berkata kesemua suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.
  
Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah, katanya. - Bernama

Sarjan polis diarah jalani hukuman penjara 36 bulan




22 Oktober 2012
PUTRAJAYA - Seorang sarjan polis diarah menjalani hukuman penjara 36 bulan hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM20,000 kerana melakukan rasuah.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Wahab Patail dan Mah Weng Kwai sebulat suara menolak rayuan akhir Mahir Epandi Ahmad.
  
Pada 14 Disember 2010, Mahkamah Sesyen Kuantan mendapati Mahir Epandi bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan.
  
Dia diarah menjalani hukuman itu secara berasingan.
  
Bagi pertuduhan pertama, Mahir Epandi, 51, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, didakwa menerima RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai balasan bahawa dia (Mahir) tidak mengambil tindakan terhadap Teoh, yang merupakan pemandu pasir kerana kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan dan Peraturan-peraturan Trafik 1959.

Dia melakukan kesalahan itu di kafe Hotel Seri Malaysia pada 5.16 petang, 10 Julai 2009.
  
Bagi pertuduhan kedua, Mahir Epandi didakwa menerima rasuah RM500 daripada Teoh bagi tujuan sama di tempat sama pada 11.20 pagi, 6 Ogos 2009.
  
Pada 15 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan hukuman penjara 36 bulan tetapi mengurangkan denda kepada RM20,000.
  
Tertuduh membayar denda berkenaan.
  
Mahir Epandi diwakili peguam Boestamam Ahmad manakala Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria mewakili pihak pendakwaan. - Bernama

Kenderaan terbabas, 2 maut



AZURA MOHAMAD
23 Oktober 2012
Kenderaan terbabas, 2 maut
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dua mangsa terbabit terbabas ke dalam parit. Gambar kecil: Buniamin
Kenderaan terbabas, 2 maut
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
RANTAU PANJANG – Dua lelaki ditemui maut dalam pacuan empat roda dinaiki yang terjunam ke dalam parit di simpang Kampung Kuala Kwong, Lubok Setol, semalam.

Kedudukan lokasi kejadian agak jauh dari kediaman penduduk menyebabkan kemalangan menimpa kedua-dua mangsa disedari penduduk menjelang tengah hari.

Seorang penduduk, Buniamin Yusuff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Mukim Lubok Setol berkata, dia dimaklumkan kejadian oleh anak saudaranya yang melalui tempat kejadian untuk mencari lembunya.

Katanya, anak saudaranya memberitahu terdapat sebuah kenderaan di dalam parit berhampiran simpang tetapi tidak dapat memastikan sama ada mangsa masih berada di dalam kenderaan atau telah diselamatkan.

Menurutnya, selepas ke tempat kejadian, dia memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

“Saya memaklumkan kejadian kepada polis sebelum mereka melaporkannya kepada bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kedua-dua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian akibat lemas memandangkan kenderaan ditemui dalam keadaan keempat-empat tayar berada di atas.

Menurutnya, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti disebabkan tidak ada pengenalan diri ditemui.

“Kita menemui sekeping kad terdapat nama dan umur, tetapi tidak dapat mengenal pasti pemiliknya kerana usianya terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan mangsa. Justeru kita sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Haliludin berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terbabas kelmarin sebelum ditemui penduduk melalui kawasan kejadian pagi semalam.

Menurutnya, kenderaan dinaiki mereka dipercayai dari arah Panglima Bayu ke Rantau Panjang.

“Kita turut menemui wang tunai RM3,000 bersama mangsa,” katanya. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijar pula berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 11.28 pagi.

Menurutnya, enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mansor Mohd Nor ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.

Menurutnya, ketika sampai ke tempat kejadian, anggota mendapati keempat-empat tayar kenderaan berada di atas dan bahagian kabin ditenggelami air.

“Kita terpaksa menarik pacuan empat roda supaya berada dalam keadaan tegak untuk mengeluarkan mangsa. Kedua-dua mayat berada di tempat duduk belakang ketika usaha mengeluarkannya dilakukan, bagaimanapun kita tidak dapat mengenal pasti kedudukan sebenarnya memandangkan kenderaan terpaksa ditegakkan untuk mengeluarkan mayat,” katanya.

Khalwat di sawah padi



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Khalwat di sawah padi
Pelbagai agensi, NGO termasuk imam terbabit dalam Mespida yang dipengerusikan Kamaruddin di Kampung Raja, semalam.
BESUT - Masalah sosial terutama kes khalwat dilaporkan banyak berlaku di kawasan sawah padi berbanding di chalet murah di daerah ini sejak belakangan ini.

Wakil Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Besut memberitahu, kes tangkapan khalwat di kawasan sawah padi terutama di pondok atau wakaf yang terdapat di kawasan sawah padi menjadi pilihan pasangan bukan muhrim untuk melakukan maksiat.

Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Daerah (Mespida) Besut yang dipengerusikan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam, turut melaporkan sebanyak 58 kes tangkapan khalwat direkodkan sehingga September tahun ini.

Menurut wakil Mespida, jumlah itu termasuk masing-masing satu kes minum arak dan tidak menghormati Ramadan.  Statistikitu  turut menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencecah hampir 90 kes.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, mesyuarat yang mengumpulkan ketua jabatan berkaitan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil parti politik adalah sebagai usaha perkongsian idea bagi mencari jalan sesuai dalam perancangan serta tindakan pencegahan jenayah peringkat daerah.

“Pada mesyuarat tersebut, polis berjaya mendapat pelbagai respons, idea dan panda-ngan untuk membanteras jenayah terutama mengatasi masalah penagihan dadah, masalah sosial termasuk rogol serta pergaduhan,” katanya.

Kamaruddin berkata, setakat ini di daerah ini tidak ada lagi kes keganasan rogol sebenar seperti mangsa diculik dalam semak sebelum dirogol sebaliknya membabitkan kes hubungan suka sama suka membabitkan gadis bawah umur.

Menurutnya, peningkatan kes rogol di daerah ini khususnya di Kuala Besut menunjukkan peningkatan apabila sembilan kes dilaporkan sehingga September tahun ini berbanding hanya empat kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kes ini disebabkan masalah sosial yang memerlukan perhatian semua pihak khususnya ibu bapa kerana terdapat kes anak gadis melakukan hubungan seks secara curi-curi dalam bilik tidur sedangkan ketika itu ibu bapa berada di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, menurut ahli Mespida Besut, Mohd Sani Mohd Jahal, langkah polis mengadakan Mespida usaha yang baik kerana polis dapat mendengar pandangan orang awam untuk mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

Kilang perabot terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Oktober 2012
Kilang perabot terbakar
Keadaan kilang yang terbabit dalam kebakaran pagi semalam.
LEDANG – Bunyi letupan kuat menyelamatkan kira-kira 50 pekerja warga asing dalam satu kebakaran di sebuah kilang perabot di Bukit Kangkar dekat Sungai Mati, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika kesemua pekerja terbabit sedang tidur nyenyak di asrama yang terletak di belakang kilang berkenaan.

Berikutan itu, kesemua pekerja kilang lari menyelamatkan diri ke kawasan lapang berhampiran tempat kejadian.

Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada ibu bapa pemilik kilang berkenaan yang tinggal di hadapan kilang itu, sebelum menghubungi balai bomba berhampiran untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ledang, Amran Isa berkata, pihaknya  menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 pagi dan mengerahkan sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mereka turut dibantu sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, namun apabila tiba lokasi kejadian, hampir 80 peratus kilang berkenaan telah musnah dijilat api.

“Kita berjaya mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 3.15 pagi daripada merebak ke bahagian lain.

“Kebakaran dikatakan berpunca dari bahagian depan kilang sebelum merebak dengan cepat ke seluruh bahagian, namun sempat dikawal bomba sebelum merebak ke dua kilang bersebelahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, mujur ada pekerja yang  menyedari kejadian itu lebih awal dan menyelamatkan nyawa rakan yang lain kerana ketika itu, kesemuanya sedang tidur.

“Nilai kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan,” katanya.

Bas ditunda bawa petaka



Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
         
KAMPAR: Laluan licin akibat hujan selain kenderaan dipandu laju dipercayai punca kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan di sini, awal pagi semalam yang meragut nyawa seorang pemandu kereta.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi di Kilometer 302.2 arah utara itu, enam kenderaan terbabit dalam kemalangan iaitu sebuah bas dan lima kereta.


Kejadian itu meragut nyawa pemandu kereta, Lim Cheng Guan, 30, dari Georgetown, Pulau Pinang manakala seorang rakannya yang turut menaiki kereta sama cedera parah.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas sedang ditunda menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke tengah laluan sebelum empat kereta lain dari arah sama gagal mengelak lalu berlanggar antara satu sama lain. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kereta dipandu mangsa gagal mengelak sebuah kereta yang terbabas lalu merempuhnya.


Beliau berkata, kereta dipandu mangsa dirempuh pula dua kereta lain menyebabkan kedua-duanya tersepit.


“Mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selain tersepit di tempat duduk pemandu hampir setengah jam.


“Mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari balai Tapah dan Gopeng menggunakan kelengkapan memotong,” katanya.


Katanya, empat penumpang kereta lain bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kampar (HK).

Beliau berkata, siasatan mendapati keadaan jalan di tempat kejadian licin dipercayai selepas hujan.


Menurutnya, bas ditunda itu dalam perjalanan dari Bidor menuju Ipoh selepas mengalami kerosakan enjin.


“Mayat mangsa dibawa ke HK untuk dibedah siasat manakala rakannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya.


Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kampar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.20 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian bersama sebuah jentera.


“Operasi turut dibantu sebuah jentera dan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng,” katanya.