Search This Blog

Saturday, October 20, 2012

Polis tahan 29 GRO warga Vietnam di Puchong



20/10/2012 3:07pm

KUALA LUMPUR — Polis menahan 29 wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Puchong, malam tadi.
Pegawai Operasi D7 Bukit Aman, Inspektor Mohd. Jais Mohamad berkata, kesemua GRO yang ditahan itu berumur antara 19 hingga 35 tahun.
"Empat daripada GRO yang ditahan itu pernah ditangkap Jun lalu atas kesalahan sama di premis sama," kata Mohd. Jais kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati GRO terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pusat hiburan berkenaan baru tiga minggu beroperasi.
Polis turut menahan dua lelaki yang dipercayai bekerja di pusat tersebut.— BERNAMA

Suami, isteri dan cucu maut dihempap buah sawit




20 Oktober 2012
PEKAN - Sepasang suami isteri dan cucu mereka yang berusia setahun maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori membawa buah kelapa sawit dan dua buah kereta di Kilometer 9, Jalan Salong-Chini, dekat Pekan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, kejadian pukul 2.30 petang itu meragut nyawa pemandu kereta Perodua Kancil, Abdul Malek Mohamed Saman, 62; isterinya, Faridah Hamzah, 56; dan cucu mereka, Nur Syafiqa Shalily Mohd Khairul Nizam, setahun; kesemuanya dari Felda Chini 4, dekat sini.
"Ketika tiba di tempat kejadian, buah kelapa sawit lebih muatan yang dibawa oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba terjatuh dan menghempap kereta Kancil," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Yahaya pada masa yang sama sebuah kereta Proton Iswara yang berada di belakang kereta Kancil itu tidak sempat mengelak lalu melanggarnya mengakibatkan pemandunya patah tangan.
Katanya semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.
Beliau berkata pemandu lori sawit itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. - Bernama

Dua kenderaan mewah dilarikan penjenayah ditemukan semula



MELAKA 19 Okt. - Polis berjaya menemukan semula dua buah kenderaan mewah jenis BMW 5 Series dan Porsche Panamera bernilai RM1.3 juta yang dilarikan penjenayah dari sebuah banglo dua tingkat di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini kelmarin.
Dua buah kenderaan milik seorang ahli perniagaan itu ditemukan di tepi jalan berhampiran Taman Bahariah Indah, Muar, Johor pada pukul 10 pagi semalam setelah dilarikan lebih 24 jam. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121019/je_06/Dua-kenderaan-mewah-dilarikan-penjenayah-ditemukan-semula#ixzz29uOlxzDk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengurus kilang disamun empat penjenayah rugi RM120,000



MUAR 18 Okt. - Seorang pengurus kilang tidak menyangka akan disamun empat penjenayah ketika mangsa membuka pintu rumahnya di Taman Seri Anggerik di sini, mengakibatkan kerugian kira-kira RM120,000.
Lebih mengejutkan mangsa yang berusia 64 tahun itu, hanya beberapa langkah masuk ke dalam rumah sebelum dia diacukan dengan sepucuk pistol dan sebilah parang.
Mangsa turut diikat kaki, tangan dan dikurung di dalam sebuah bilik.
Dalam kejadian pukul 11 pagi, 7 Oktober lalu itu, kumpulan perompak terbabit melarikan wang tunai RM1,000, pelbagai kad mesin juruwang automatik (ATM), jam tangan, telefon bimbit dan sebuah kereta Toyota Camry yang kesemuanya lebih RM100,000.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Shahadan Jaafar, kumpulan penjenayah itu hanya sempat berjoli selama tiga hari sebelum berjaya dicekup di sebuah rumah di Taman Molek, Johor Bahru pukul 10.30 malam pada 9 Oktober lalu.
"Kita menemukan semula barang kemas, kad kredit, kereta Toyota Camry dan sepucuk pistol palsu dipercayai digunakan semasa merompak mangsa.
"Kesemua suspek berasal dari Johor Bahru kecuali seorang dari Muar. Mereka berumur antara 32 hingga 48 tahun," katanya di sini semalam.
Kes tersebut ujar beliau, disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan lain, Shahadan berkata, pihaknya menahan enam lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun kerana terlibat dalam kes curi motosikal di sekitar daerah ini sejak 2005.
Kata beliau, tangkapan pertama melibatkan tiga suspek berumur 19 hingga 26 tahun dalam serbuan di sebuah bengkel di Simpang Baba, Jalan Salleh di sini, pukul 1.15 petang, 3 Oktober lalu.
"Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam 12 kes curi motosikal di Muar dan penahanan itu membawa kepada penemuan lima motosikal, lima rangka motosikal, satu enjin dan komponen lain.
"Tangkapan kedua di bengkel di Bakri dan Sungai Abong pukul 1.10 petang, 7 Oktober lalu melibatkan tiga lagi lelaki berusia 18 hingga 26 tahun.
"Keenam-enam suspek didapati positif dadah dan ada antara mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri motosikal," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121019/wj_05/Pengurus-kilang-disamun-empat-penjenayah-rugi-RM120000#ixzz29uNzaQCw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasangan kekasih ditahan terlibat tujuh kes samun



SEGAMAT 18 Okt. - Polis menahan sepasang kekasih kerana dipercayai terlibat dalam tujuh kes samun dan peras ugut di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Kedua-dua suspek yang menggunakan modus operandi menawarkan mangsa untuk menumpang kereta mereka sebelum disamun, ditahan di Pekan Labis di sini, pukul 11 malam, pada 4 Oktober lalu.
Pasangan itu dikesan menyasarkan golongan wanita yang berseorangan di tempat menunggu bas atau teksi.
Siasatan mendapati suspek menggunakan kereta Toyota Altis berwarna kelabu serta berlagak seperti pasangan suami isteri yang berada.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Hanafi Daud memberitahu, suspek lelaki berumur 35 tahun dan berasal dari Segamat itu, tidak bekerja dan positif dadah manakala pasangannya yang berusia 22 tahun berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu dilaporkan hilang pada 19 Februari lalu. Semasa ditahan polis menemukan dadah dan beberapa resit menjual barang kemas.
"Suspek mengaku melakukan peras ugut dan samun melibatkan tujuh kes di sekitar daerah ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini hari ini.
Katanya, pasangan itu dipercayai melakukan jenayah tersebut sejak beberapa bulan lalu dan nilai barang kemas dan wang tunai yang disamun sepanjang melakukan aktiviti itu lebih RM20,000.
Hanafi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121019/wj_03/Pasangan-kekasih-ditahan-terlibat-tujuh-kes-samun#ixzz29uNl82cv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri tipu peniaga kereta



MUAR 18 Okt. - Sepasang baju kerja sebuah syarikat minyak, pas keselamatan dan pas kereta dijadikan 'umpan' oleh sepasang suami isteri untuk meyakinkan seorang peniaga kedai kereta terpakai melabur dalam perniagaan mereka.
Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya mangsa berusia 61 tahun yang menjalankan perniagaan di Jalan Daud, di sini nekad menyerahkan wang tunai RM60,000 dan sebuah kereta Proton Wira terpakai kepada pasangan itu pada 12 Ogos lalu.
Namun, keuntungan lumayan yang dijanjikan bukan sahaja tidak kunjung tiba, malah pasangan tersebut 'lesap' bersama wang dan kereta berkenaan yang dianggarkan berjumlah lebih RM70,000.
Usaha selama hampir empat bulan menghubungi pasangan itu gagal membuatkan mangsa rasa tertipu dan kemudian membuat laporan polis semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Shahadan Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun mendakwa sebagai timbalan pengarah sebuah syarikat berasaskan petroleum selain menunjukkan pelbagai dokumen sokongan.
"Disebabkan percaya dengan pasangan berkenaan, mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM60,000 serta kereta terbabit yang sudah ditukar atas nama isteri suspek, dipercayai sebagai bayaran untuk menyertai satu projek di Kerteh, Terengganu," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan perkongsian dalam projek berkenaan dan diminta menjelaskan sejumlah wang bagi membiayai projek terbabit.
Menurutnya, berdasarkan siasatan pihaknya, suspek lelaki terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu satu membabitkan kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dan dua kes tipu.
Kata beliau, justeru, polis mencari Johari Abdullah, bernombor kad pengenalan 720904-01-5009, beralamat di Taman Seri Temiang, di sini dan Zaleha Majid, 31, bagi membantu siasatan kes itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121019/wj_04/Suami-isteri-tipu-peniaga-kereta#ixzz29uNahd4B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tujuh pemandu teksi dikompaun tak guna meter



JOHOR BAHRU 18 Okt. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan menahan tujuh pemandu teksi kerana tidak menggunakan meter semasa membawa penumpang dalam operasi di sekitar pusat bandar raya di sini semalam.
Ketua Penguat Kuasa SPAD Wilayah Selatan, Mejar (B) Adli Azmi Alimat berkata, operasi bermula pukul 12 tengah hari itu dijalankan hasil penyamaran lapan pasukan penguat kuasa SPAD sebagai penumpang di beberapa lokasi berbeza.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima banyak aduan orang ramai yang tidak berpuas hati terhadap pemandu teksi kerana mengenakan tambang tanpa meter.
"Tujuh pemandu teksi itu ditahan mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana tidak menggunakan meter yang boleh dikenakan kompaun atau denda sehingga RM500,000.
"Pada peringkat ini, mereka akan dikenakan kompaun RM500 dan sekiranya berlaku kesalahan berulang, mereka boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda hingga RM500,000.
"Pemandu memberi alasan meter itu tidak dapat menampung kos pengangkutan yang ditanggung untuk menghantar penumpang bagi setiap perjalanan," katanya.
Adli memberitahu, selain kesalahan meter, pihaknya juga mengambil tindakan terhadap kesalahan lain seperti tidak memakai uniform lengkap semasa bertugas.
Ujar beliau, pihaknya akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung kesalahan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter selain turut memberi fokus terhadap kesalahan lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121019/wj_02/Tujuh-pemandu-teksi-dikompaun-tak-guna-meter#ixzz29uNRSTNZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 ditahan serang bengkel



PULAU PINANG 19 Okt. - Polis menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes sekumpulan individu menyerang sebuah bengkel motosikal di Lorong Sungai Pinang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, lebih 10 lelaki bersenjatakan parang, tukul, kayu dan batang besi meluru masuk dan memecahkan perkakasan dalam kedai berkenaan selain melarikan wang tunai serta barangan berharga.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kesemua mereka berumur 16 hingga 38 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Jelutong di sini.
"Kita mengenal pasti suspek yang ditahan itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai terbabit dan yakin dapat menjejaki beberapa orang lagi suspek dalam tempoh terdekat.
"Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121020/wu_04/8-ditahan-serang-bengkel#ixzz29uNIJyos
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mabuk, pecah kereta, larikan barang berharga



KLUANG 19 Okt. - Sekumpulan lelaki, termasuk remaja berusia 15 tahun bukan sahaja mengambil arak, malah turut menggunakan botol minuman keras itu untuk memecahkan cermin kenderaan bagi mencuri barangan berharga.
Kumpulan itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya dalam enam kes dengan menggunakan taktik itu di Simpang Renggam dekat sini.
Difahamkan, mereka minum arak bagi menghilangkan rasa takut ketika mencuri selain bertujuan mengelirukan pihak berkuasa seolah-olah perbuatan itu dilakukan orang mabuk.
Bagaimanapun, kecekapan polis berjaya menahan remaja berusia 15 tahun itu kira-kira pukul 1 pagi di Taman Putrimas, Simpang Renggam, pada 12 Oktober lalu iaitu setengah jam selepas suspek dan rakan-rakannya melakukan jenayah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang mengadu cermin belakang kenderaan Kia Sportage miliknya dipecahkan pukul 12.30 tengah malam.
"Bertindak hasil maklumat, polis yang melakukan rondaan menemukan sekumpulan lelaki sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan setelah dihampiri mereka melarikan diri.
"Namun, salah seorang daripada mereka iaitu remaja berusia 15 tahun itu berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan tujuh botol kaca minuman keras dalam raga motosikal ditunggangnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Majid berkata, suspek mengaku terlibat dalam enam kes melibatkan modus operandi sama iaitu membaling atau menggunakan muncung botol untuk memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan barangan berharga.
Kumpulan itu tidak memilih mangsa atau jenis kereta, sebaliknya tindakan dilakukan seandainya mereka yakin ada peluang untuk melakukan jenayah itu.
Remaja yang tinggal di Simpang Renggam itu didapati tidak lagi bersekolah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(2)(b) Akta Kesalahan Kecil 1955.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121020/wj_02/Mabuk-pecah-kereta-larikan-barang-berharga#ixzz29uMnAEbX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat suspek curi kabel diburu



KUALA KANGSAR 19 Okt. - Polis memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM), termasuk di tanah perkuburan sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Selain di tanah perkuburan, keempat-empat lelaki itu yang berasal dari Taiping, dekat sini juga dipercayai menjalankan kegiatan tersebut di kawasan terpencil bagi mengelakkan perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhamad berkata, dalam kejadian terbaru pada 3 Oktober lalu, keempat-empat suspek dipercayai cuba membawa keluar sejumlah kabel TM dari sebuah tanah perkuburan di Kati, dekat sini.
"Polis yang menggerakkan usaha memburu empat suspek terbabit telah membuat serbuan dan ketika itu, mereka sedang asyik memotong kabel TM di kawasan lereng bukit di perkuburan tersebut.
"Bagaimanapun selepas menyedari kehadiran polis, masing-masing melarikan diri dan meninggalkan kabel yang telah dipotong beserta dua alat pemotong serta tiga motosikal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.
Abdul Gaffar memberitahu, ketika serbuan itu, suspek berkenaan sempat melarikan sebuah motosikal milik seorang penduduk tempatan di Kampung Changkat Jambu, tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut.
"Hasil siasatan, tiga motosikal yang ditinggalkan itu merupakan milik suspek dan tiada laporan polis mengenai kehilangan kenderaan terbabit sebelum ini.
"Kita percaya mereka kini melarikan diri dan bersembunyi. Bagaimanapun, kita harap pemilik-pemilik motosikal terbabit dapat menyerah diri seterusnya membantu polis menyelesaikan kes ini," ujarnya.
Empat lelaki berkenaan ialah Azmiezal Abdullah, 23, Mohammad Shukri Saidin, 28, Azri Abdullah, 29, dan Hashim Man, 43.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Azman Nawi melalui talian 019-553 5578 atau mana-mana balai polis berdekatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121020/wu_03/Empat-suspek-curi-kabel-diburu#ixzz29uMXBNIV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

36 PATI ditahan dalam Operasi 6P



ABDUL Basek Abu Bakar memeriksa sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditangkap dalam Operasi 6P di sekitar Felda Aring, Gua Musang, kelmarin.
KOTA BHARU 18 Okt. - Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran (6P) yang dijalankan di sekitar Felda Aring, Gua Musang awal pagi semalam.
Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, Abdul Basek Abu Bakar berkata, operasi tersebut disertai sepasukan 33 pegawai dan anggota diketuai Pengarah Imigresen negeri, Mahasan Mustapa selama enam jam bermula pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, serbuan dilakukan di dua kawasan iaitu tapak pembinaan sebuah jambatan dan sembilan buah rumah di Felda Aring 6 di mana seramai 161 pekerja asing telah diperiksa.
"Daripada jumlah tersebut, 27 daripada mereka dikesan melakukan kesalahan memasuki negara ini tanpa permit dan pas manakala sembilan lagi tinggal lebih masa.
"Kesemua mereka adalah lelaki yang berusia 14 hingga 44 tahun dan bekerja, 14 daripada mereka berasal dari Bangladesh, Indonesia (8), Myanmar (7) dan Thailand (4)," katanya ketika ditemui di pejabat Imigresen Kelantan semalam.
Tambahnya, ketika serbuan, kebanyakan PATI sedang tidur namun sebaik sahaja menyedari operasi dijalankan sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi.
Bagaimanapun, kata beliau, kecekapan anggota berjaya menahan kesemua mereka tanpa insiden yang tidak diingini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Basek berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya menahan tiga PATI berusia lingkungan 20-an di mana dua daripadanya berasal dari Pakistan dan seorang lagi warga Myanmar kerana memasuki negara ini secara haram.
Katanya, tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggotanya kira-kira pukul 10 malam kelmarin di Bukit Jawa, Pasir Puteh selepas menahan sebuah bas yang dinaiki mereka dipercayai menuju ke Melaka.
"Kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(3) dan 15(4) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah sementara siasatan lanjut dijalankan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121019/wt_03/36-PATI-ditahan-dalam-Operasi-6P#ixzz29uM75pgP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pecah rumah: Empat lelaki asing ditahan



SHAH ALAM 19 Okt. - Polis menahan empat lelaki warga Colombia yang dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah di tiga negeri sejak September lalu.
Kesemua suspek berusia 20-an hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Petaling Jaya kira-kira pukul 2.15 pagi, Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan dari negara Amerika Selatan itu juga terlibat dengan kes pecah rumah yang dilaporkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 8 Oktober dan di Alor Gajah, Melaka pada 12 Oktober lalu.
Beliau berkata, semua suspek ditahan reman sehingga 20 Oktober ini dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Kesemua suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelancong dan kita dapati salah seorang daripada mereka menggunakan dua pasport berlainan iaitu gambar yang sama tetapi identiti berbeza.
"Kita juga akan melakukan pemeriksaan terperinci kerana rekod kemasukan semua suspek yang dikatakan memasuki negara ini pada 1 Oktober lalu. Namun siasatan mendapati mereka terlibat dengan jenayah pecah rumah sejak sebulan lepas," katanya di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121020/je_02/Pecah-rumah-Empat-lelaki-asing-ditahan#ixzz29uLRZlbd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tabika dimasuki pencuri 7 kali



KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Bandar Country Homes Rawang dekat sini, terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas tujuh kali premis itu dipecah masuk pencuri sejak 2005.
Dalam kejadian semalam, Tabika Kemas Happy Kids itu sekali lagi dipecah masuk mengakibatkan kerugian RM5,000 apabila komputer dan pencetak dilarikan perompak.
Lebih malang, makanan dan hadiah untuk majlis konvokesyen murid-murid pada bulan depan turut dicuri penjenayah.
Guru tabika itu, Siti Hajar Salam, 43, berkata, beliau terkejut apabila kejadian pecah masuk itu terjadi lagi setelah yang terakhir berlaku pada pertengahan tahun lalu.
"Kejadian disedari dua guru yang datang untuk bekerja 7.20 pagi ini dan terkejut melihat pintu utama terbuka serta bahagian dalam tabika berselerak.
"Setelah diperiksa, kami mendapati jeriji yang dipasang pada tingkap hadapan berkenaan telah diumpil penjenayah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121020/je_03/Tabika-dimasuki-pencuri-7-kali#ixzz29uLHRHpy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 lanun tumpas



EMPAT lanun warga Indonesia ditahan oleh anggota Maritim Malaysia Wilayah Sarawak kerana didakwa cuba merampas dan merompak sebuah bot tunda dan tongkang yang membawa muatan 116 kontena di Jeti Muara Tebas, Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUCHING 19 Okt. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sarawak berjaya mematahkan cubaan empat lanun yang didakwa mahu merampas sebuah bot tunda dan tongkang milik sebuah syarikat yang membawa muatan 116 kontena, semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang di lokasi kira-kira 21 kilometer dari Tanjung Po dekat sini, kesemua lanun warga Indonesia tersebut ditahan oleh dua buah bot Maritim Malaysia yang bertindak sejurus dimaklumkan.
Ketika insiden berlaku bot dan tongkang berkenaan dalam pelayaran dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Bintulu.
Mereka yang berusia 25 hingga 52 tahun itu dipercayai bertindak nekad mahu merampas dan merancang membawa bot tunda serta tongkang berkenaan ke Indonesia.
Pemangku Ketua Penguat Kuasa Wilayah Maritim Sarawak, Kapten Maritim Abim Sungom berkata, bot tunda dan tongkang berkenaan dimiliki syarikat Highline Shipping yang berpangkalan di Miri.
"Lanun itu sudah berjaya menawan tongkang yang membawa muatan kontena setelah mengikat dua anak kapal namun gagal menawan bot penunda kerana anak kapal yang lain melawan menggunakan semburan alat pemadam api.
"Semasa kejadian, seramai tujuh anak kapal dan seorang nakhoda berada di atas bot tunda manakala dua anak kapal lagi berada di atas tongkang," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Ibu Pejabat Maritim Malaysia Sarawak, Muara Tebas, di sini hari ini.
Menurut Abim, bertindak atas maklumat yang disalurkan pihak syarikat, pasukan itu menghantar dua buah bot iaitu Bot Penyelamat 8 diketuai Pegawai Waran II Maritim Mohd. Amran Hamid dan Bot Kilat 22 diketuai Bintara Muda Maritim Azmi Abd. Wahab yang kemudiannya, berjaya menahan lanun-lanun berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, tiada kecederaan yang dialami anak kapal berkenaan.
Beliau juga enggan mendedahkan nilai dan kandungan kontena terbabit kerana kes itu masih dalam siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121020/je_01/4-lanun--tumpas#ixzz29uL0uCFF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penemuan periuk api gemparkan penduduk



BOGOR, Jawa Barat - Penduduk kampung di Rumpin, Bogor, Jawa Barat gempar baru-baru ini ekoran penemuan periuk api yang mempunyai daya letupan kuat.
Periuk api yang masih aktif itu ditemui oleh seorang penduduk di halaman rumahnya.
Bahan letupan itu ditemui tertanam pada kedalaman 10 sentimeter di bawah tanah, lapor Liputan6.com.
Polis turut mengesahkan tentang penemuan periuk api seberat dua kilogram itu yang masih aktif.
Bahan letupan tersebut dikatakan mempunyai daya letupan yang kuat sehingga boleh menghancurkan kereta perisai.
Periuk api itu dipercayai peninggalan tentera Jepun.
Bagi tidak membahayakan penduduk setempat, pasukan unit polis khas atau lebih dikenali sebagai Gegana dikerahkan ke tempat kejadian dan periuk api tersebut telah digali untuk penyelidikan lanjut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121020/lu_08/Penemuan-periuk-api-gemparkan-penduduk#ixzz29uI66INe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat lelaki dalam bungkusan plastik




20 Oktober 2012
Mayat lelaki dalam bungkusan plastik
Anggota Kementerian Kesihatan dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar membuat pengesahan sama ada mangsa masih hidup atau meninggal dunia.
ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki, dipercayai rakyat asing, ditemui dalam bungkusan plastik di Kilometer 65 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 40-an itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak yang sedang memotong rumput di kawasan itu pada jam 10.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, mayat itu dijumpai dalam keadaan berbaju dan berkain sarung. Juga terdapat bantal dan tilam nipis dalam bungkusan itu.

“Pekerja kontrak itu ternampak kaki mayat dan terus membuat laporan polis. Berdasarkan keadaan mayat yang tidak berbau itu, kami percaya lelaki itu mati dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Kami masih berusaha mengesan identiti mayat kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai. Tiada kesan cedera atau darah pada mayat itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan rakan atau anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama.

Bumbung 17 rumah tercabut



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Bumbung 17 rumah tercabut
Angin kuat merobohkan gerai di Sungai Burung.
BALIK PULAU - Hujan lebat dan angin kuat yang melanda menyebabkan 17 rumah di Kampung Sungai Burung rosak akibat bumbung diterbangkan angin kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari, Muzlia Mustaffa, 46, berkata, cuaca yang cerah tiba-tiba menjadi gelap dan kelihatan gumpalan hitam bergerak pantas.

“Saya sedang menyidai pakaian di luar rumah agak terkejut dengan perubahan cuaca dan tiba-tiba, angin kuat muncul lalu menerbangkan bumbung rumah.

“Segala-galanya berlaku dengan sekelip mata dan hujan lebat menyebabkan rumah dimasuki air,” katanya.

Suaminya, Zulkiflee Mat Yusof, 50, berkata, keluarganya kerugian kira-kira RM28,000 disebabkan kelengkapan elektronik dan perabot rumah yang rosak.

“Selain itu, siling dan bumbung turut rosak teruk dan setakat ini, pembaikan dijalankan serta-merta buat perlindungan sementara waktu kerana dikhuatiri hujan akan turun lagi.

“Kos untuk baik pulih siling dan bumbung pasti menelan belanja yang banyak nanti,” katanya.

Tinjauan mendapati kebanyakan bumbung deretan rumah tercabut manakala terdapat pokok-pokok buah-buahan turut tumbang dan menimpa beberapa bahagian belakang rumah.

Difahamkan, terdapat beberapa rumah di Kampung Genting turut mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan pimpinan tempatan turut hadir melawat mangsa yang terlibat.

Pemilik gerai bakso yang hanya ingin dikenali sebagai Anis, 31, berkata, dia sedang sibuk melayan pelanggan ketika kejadian berlaku.

“Kebanyakan pelanggan sedang menikmati hidangan sebelum ke masjid berhampiran untuk solat Jumaat.

“Saya dan beberapa yang lain berlari menyelamatkan diri manakala perkakasan serta payung gerai habis musnah tidak sampai dalam masa dua minit,” katanya.

Anis berkata, kejadian sedemikian berlaku buat kali pertama sepanjang dia berniaga di situ sejak setahun lalu.

“Saya memang masih terkejut dengan kejadian yang menimpa kerana memang tidak sempat untuk berbuat apa-apa.

“Apa yang saya nampak hanyalah awan hitam yang berarak pantas diikuti dengan angin kuat yang menerbangkan apa sahaja.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Rumah terbakar ketika tidur



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Rumah terbakar ketika tidur
Adham (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Haron.
KOTA TINGGI - “Saya terkejut melihat asap tebal sudah memenuhi ruang rumah sebaik sedar daripada tidur,” kata seorang tukang masak, Rashid Haron, 34, menceritakan detik cemas kejadian kebakaran di kediamannya, di bangunan Flat Taman Laksamana, di sini, kelmarin.

Menurutnya, mujur dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, isteri dan empat anaknya tiada di rumah.

“Pada hari itu, saya sedang memasak menyediakan bahan masakan untuk berniaga pada waktu petang. Oleh kerana keletihan saya melelapkan mata sementara menunggu masakan saya.

“Tambahan pula, saya pulang bekerja jam 2 pagi, manakala jam 5 pagi pula saya perlu bangun untuk menghantar isteri ke tempat kerjanya di Ulu Tiram. Saya tidak menyangka ia akan menyebabkan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelasnya, sebaik melihat asap kebakaran itu, dia terus berlari untuk menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

Rashid berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki dengan memasak.

“Bagaimanapun, hidup perlu diteruskan. Menurut bomba dan penyelamat, jumlah kerugian dianggarkan RM3,000,” katanya.

Pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Haron sekeluarga termasuklah sumbangan daripada Baitulmal, Badan Kebajikan Masjid Jamek Bandar Kota Tinggi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba turut menyampaikan sumbangan.

Gempar kereta disimbah asid



SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
20 Oktober 2012
Gempar kereta disimbah asid
Antara kereta yang rosak dipercayai disimbah cecair asid. Gambar kecil: Salah sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan teruk di bahagian pintu.
KULAIJAYA – Kira-kira 300 penduduk pangsapuri Taman Sri Putri di sini, gempar apabila lapan kenderaan milik penduduk di kawasan itu rosak teruk dipercayai akibat disimbah menggunakan cecair berasid, semalam.

Dalam kejadian yang disedari awal pagi semalam itu, sebanyak lapan kenderaan termasuk sebuah kenderaan serba guna (MPV) jenis Proton Exora, tiga MPV jenis Toyota Avanza, tiga kereta jenis Proton Wira dan sebuah Proton Saga mengalami kerosakan.

Sinar Harian difahamkan, kejadian itu dilakukan secara rawak pada dua blok berasingan dengan menyasarkan kenderaan yang diletakkan di bahagian tingkat bawah kawasan pangsapuri itu.

Salah seorang pemilik kenderaan yang hanya ingin dikenali sebagai Pang, 32 berkata, dia menyedari kejadian itu pada kira-kira jam 6.45 pagi ketika hendak mencuci kenderaannya selepas menghantar anak ke sekolah.

“Saya menghantar anak ke sekolah seperti biasa sebelum mendapati keadaan cermin kereta terlalu kotor dan membuat keputusan untuk membasuhnya.

“Tetapi ketika hendak mencuci kenderaan, saya menyedari kotoran itu merupakan kerosakan yang disebabkan oleh sejenis cecair berkemungkinan asid.

“Kejadian ini mengakibatkan cat pada permukaan kereta saya terkopek dan mempunyai kesan seperti melecur,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebelum menyedari kerosakan yang berlaku pada keretanya, dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku di kawasan itu kerana tidak ada mendengar bunyi atau kelakuan mencurigakan sejak malam semalam.

“Mungkin perbuatan ini dilakukan ketika semua penduduk sedang tidur dan saya juga tidak pasti siapa pihak yang bertanggungjawab ke atas kejadian ini.

“Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan ini sejak saya dan keluarga tinggal di sini lebih lima tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihak sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Lori, van ubahsuai tangki dirampas



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
JOHOR BAHRU – Lima pemandu lori termasuk seorang pemandu van yang sedang leka mengisi minyak di stesen minyak ditahan dalam dua kejadian berasingan.

Kelima-lima kenderaan itu dirampas kerana diubahsuai di bahagian tangki minyak dalam kuantiti yang agak besar di stesen minyak berhampiran Jalan Tebrau dekat Pasir Gudang, di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Risikan dan Operasi Polis Marin Wilayah Dua (2), Deputi Superintendan Rosman Ismail berkata, dalam kejadian pertama lebih kurang jam 8.30 pagi itu, pasukan operasi telah menahan tiga lori berkanvas dan sebuah van yang mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati lori dan van berkenaan telah membawa tangki tambahan yang boleh memuatkan 1,000 liter minyak diesel setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, kelmarin.

Rosman berkata, manakala dalam kejadian kedua pada hari yang sama jam 10.30 pagi, pihaknya telah menahan sebuah lori dengan kesalahan yang sama.

“Dalam operasi berkenaan, tujuh ditahan termasuk mereka yang tidak mempunyai lesen memandu untuk diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“Mereka juga ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 21 kerana membawa atau memiliki barang kawalan tanpa dokumen yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai apa-apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang khasnya penyeludupan manusia dan barangan bercukai serta jenayah-jenayah maritim bagi tujuan pembanterasan.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di talian 07-2372222 atau 07-2376122,” katanya.

'Saya ingatkan cucu bergurau'



NORIZZAH BAHARUDDIN
20 Oktober 2012
'Saya ingatkan cucu bergurau'
Hazesah dan cucunya melakonkan semula kejadian dia disamun penjenayah bertopeng, petang kelmarin.
MASJID TANAH - "Saya ingatkan cucu nak bergurau dengan saya," kata Hazesah Amit, 65, ketika menceritakan detik cemas di samun penjenayah bersenjata sebilah kerambit di rumahnya di Kampung Solok Duku, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira 4.05 petang kelmarin, Hazesah baru saja masuk ke dalam dapur rumah dengan membiarkan pintu rumah terbuka selepas memberi makan ikan di kolam ternakannya di hadapan rumah.

"Ketika itu, saya sedang mengambil telefon bimbit untuk menghubungi anak saya. Tak sampai beberapa saat, ada seseorang memaut leher saya sambil mengacu pisau kerambit.

“Pada mulanya saya sangka cucu saja bergurau hendak kenakan saya. Tapi bila saya hendak pusingkan kepala untuk melihat,  pisau kerambit diacu itu menghiris leher saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hazesah berkata, penyamun lelaki itu mengarahkannya membuka gelang tangan yang dipakai serta mengugut akan sembelih sekiranya kemahuannya tidak dituruti.

“Saya cuba tolak tangan penyamun itu dengan tangan kanan saya, tapi tidak berdaya sebelum saya cuba menolak guna tangan kiri pula. Ketika itu, gelang tangan saya direntap.

“Semasa cuba melawan, kerambit dipegang penyamun itu terhiris pada ibu jari kiri saya sebelum senjata itu tercampak kira-kira dua meter.  Penyamun itu tolak saya hingga jatuh," katanya.

Menurutnya, ibu jarinya berdarah sehingga menitis, sebelum penyamun terbabit melarikan diri menggunakan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah yang tidak dimatikan enjinnya.

“Kemudian, dua cucu saya datang dan terkejut melihat keadaan saya sebelum maklumkan kejadian kepada anak saya. Kami terus membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah,” katanya.

Menurut Hazesah, kira-kira 2 pagi sebelum itu, salah seorang cucunya ada memberitahu dia ada terserempak dengan seorang lelaki menaiki motosikal dan berhenti di belakang rumahnya untuk beberapa minit, sebelum beredar.

Katanya, kehilangan gelang tangan itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM7,000.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Katanya, setakat ini polis sedang menyiasat mereka yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Sempat ajar mangsa mengucap



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Sempat ajar mangsa mengucap
Ayah mangsa sempat menenangkan anaknya sebelum dikejarkan ke HTJ, malam kelmarin.
REMBAU – “Dalam keadaan cemas dan terperanjat melihat mangsa kemalangan, sepupu saya (Fahmi Abdul Rashid, 20,) sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah apabila melihat mulutnya sudah berbuih dan berdarah,” kata penduduk, Norsuhada Mohd Dom, 20, di Kampung Kundur Tengah, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Muhammad Amir Izzat Mohd Isnin, 15, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban kira-kira jam 2 pagi selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer enam, Jalan Pedas-Linggi, malam kelmarin.

Norsuhada berkata, ketika kejadian dia dan keluarganya sedang menonton televisyen dan terperanjat apabila terdengar dentuman kuat disusuli bunyi benda besar berguling-guling beberapa kali.

"Kami terperanjat dan berharap tiada perkara buruk berlaku. Sebaik tiba di lokasi kemalangan yang terletak di jalan hadapan kawasan rumah, saya lihat ada beberapa mangsa sudah keluar dari kereta berkenaan.

"Bagaimanapun ada mangsa yang tersepit dan penduduk berjaya mengeluarkan mangsa serta berusaha menenangkannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi nahas berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Honda Jazz yang menghala ke Kundur-Linggi dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar sebuah pondok yang berada di tepi jalan.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas beberapa meter dari pondok berkenaan dan terbalik.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke HTJ.

“Tiga lagi mangsa yang turut sama berada di dalam kenderaan berkenaan kini mengalami kecederaan parah dan masing-masing kini mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai oleh Mohd Yusoff Samad dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anak ular sawa lilit pintu gril rumah kejutkan keluarga



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Anak ular sawa lilit pintu gril rumah kejutkan keluarga
Mohd Ridzuan menangkap anak ular sawa di pintu gril.
ALOR GAJAH - Jeritan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menyelamatkan dia daripada menjadi mangsa seekor anak ular sawa yang masuk ke rumahnya di sebuah taman perumahan, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira 10 malam itu disedari ibu kanak-kanak berkenaan, Foo Chee Ling, 28, selepas terdengar tangisan anaknya, Foo Hao Suan, sebelum menuju ke ruang tamu dan terlihat anak ular sawa seang melilit pintu gril rumahnya.

Menurut Chee Ling, ketika kejadian, dia bersama suami, Foo Ming Tang, 27, serta anak tunggalnya itu baru sahaja tiba di rumah selepas keluar bersiar dan makan malam di bandar Melaka.

“Sebaik kereta diletakkan di garaj, kami masuk ke dalam rumah tanpa rasa syak, malah saya sempat perhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk,” katanya.

Menurutnya, ketika masuk ke dalam rumah, anaknya kemudian menangis seolah-olah ketakutan menyebabkan dia bergegas ke ruang tamu.

“Sampai sahaja di hadapan pintu rumah, saya tergamam melihat kepala anak ular melilit pintu besi rumah. Manakala kepala ular itu menghala ke arah anak saya menyebabkan saya terus menjerit memanggil suami.

“Saya terus mendukung anak dan membawanya masuk ke bilik belakang kerana bimbang anak ular sawa itu mula menyusur dan mendekati kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Chee Ling berkata, suaminya membantu mengawasi pergerakan anak ular sawa itu sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Mohd Ridzuan Rahmat berkata, anak ular sawa berkenaan ditangkap menggunakan tangan bersarung dengan mencekup kepala ular berkenaan terlebih dahulu.

“Saiz anak ular itu yang masih kecil memudahkan operasi penangkapan yang mengambil masa kurang tiga minit,” katanya yang turut dibantu dua anggota lain.

Bagaimanapun, katanya, ular yang berukuran 0.8 meter itu tetap merbahaya kepada kanak-kanak walaupun kecil.

Rumah disamun, cucu diikat



WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Rumah disamun, cucu diikat
Ah Too menunjukkan jeriji tingkap diumpil kumpulan penyamun yang memasuki rumahnya di Kuala Kurau, semalam.
KERIAN - Sebuah keluarga berhadapan detik cemas apabila rumah yang didiami di Jalan Pantai, di sini dipecah masuk tiga lelaki bersenjatakan parang lebih kurang jam 2 pagi, kelmarin.

Mangsa, Khor Ah Too, 76, berkata, tiga penyamun bertopeng berkenaan masuk ke kediamannya melalui jeriji besi tingkap yang diumpil, manakala seorang lagi suspek dikenal pasti mengawasi keadaan dari luar rumah.

Menurutnya, ketika kejadian, kesemua ahli keluarganya sedang tidur sebelum kumpulan penyamun itu memasuki bilik cucu berusia 21 tahun dan menyamun sebuah komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM400.

“Cucu saya yang sedang tidur terjaga setelah terdengar bunyi orang memasuki biliknya.

“Dia cuba melarikan diri, namun ditahan salah seorang penyamun yang bertindak mengikat mulut dan tangannya menggunakan sarung bantal,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya, semalam.

Ah Too berkata, setelah mengambil barangan di bilik cucunya, penyamun itu beralih pula ke bilik pejabatnya dan mencuri wang tunai hampir RM1,000, wang negara asing dan 10 syiling kenangan hari merdeka dalam simpanannya.

Jelasnya, keadaan menjadi tegang apabila penyamun itu cuba memasuki bilik anaknya, bagaimanapun gagal apabila anak dan menantunya yang menyedari kehadiran mereka bertindak menahan pintu daripada dicerobohi.

“Mereka mula bertindak ganas dan cuba mengumpil pintu bilik anak saya dengan parang.

“Pada masa sama, anak saya sempat menelefon ahli Pasukan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PKSK) yang segera mengerumuni rumah kami dalam tempoh lima minit," katanya.

Katanya, apabila menyedari kehadiran lebih 20 ahli sukarelawan di luar rumahnya, kumpulan penyamun itu segera meninggalkan kediamannya dan dia bersyukur tiada ahli keluarga yang tercedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi media mengesahkan kejadian dan menegaskan kes samun berparang itu masih dalam siasatan.

Saman akibat ingkar arahan



HIDAYAH HAIROM
20 Oktober 2012
Saman akibat ingkar arahan
Penguat kuasa DBKL menahan orang awam yang tidak menggunakan jejantas di Jalan Tun Tan Cheng Lock.
KUALA LUMPUR - Ada yang terus melintas, tidak kurang juga yang berpatah balik menggunakan jejantas apabila menyedari kehadiran penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Itu situasi yang boleh dilihat dalam Operasi Jejantas yang dibuat DBKL di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini, kelmarin.

Dalam operasi selama dua jam bermula jam 10.30 pagi itu, sebanyak 117 notis saman dikeluarkan kepada orang awam yang melintas tidak menggunakan jejantas.

Ketua Inspektor Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, R Parameswaran berkata, kesemua yang didapati ingkar arahan menggunakan jejantas perlu membayar denda serta merta sebanyak RM30.

Menurutnya, sikap ambil mudah warga kota membuatkan kemudahan disediakan tidak dimanfaatkan sewajarnya.

“Dua kawasan panas yang mempunyai jejantas tetapi tidak digunakan oleh orang awam adalah di sini (Jalan Tun Tan Cheng Lock) dan Jalan Tunku Abdul Rahman (Chow Kit).

“Operasi juga sering dijalankan di dua lokasi tumpuan ini dan statistik dari Januari hingga September, sebanyak 324 saman dikeluarkan,” katanya ditemui ketika operasi itu, kelmarin.

Dalam operasi itu juga, seorang pelancong mempertikaikan tindakan penguat kuasa DBKL yang mengenakan denda kerana dia tidak melintas menggunakan jejantas.

Papan tanda berbahasa Malaysia juga dipertikaikan, namun akhirnya akur dengan peruntukan undang-undang.

Parameswaran menjelaskan, situasi tersebut perkara biasa setiap kali operasi dilakukan dan DBKL kini dalam proses menyediakan papan tanda dwi bahasa.

Katanya, walaupun papan tanda menggunakan bahasa Malaysia, simbol larangan yang turut diletakkan masih boleh difahami.

“DBKL juga akan memasang pagar di bahu jalan berhampiran kawasan jejantas seperti mana yang dibuat di Jalan Tar, mengelakkan orang awam melintas sesuka hati,” katanya.

Empat lelaki warga Pakistan didakwa culik rakan senegara




19 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Empat lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik rakan senegara bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM470,000 pada Ogos lepas.

Abdul Qayyum Mohamood Tariq, Shauket Ali Muhammad Yar, Muhammad Yar Ghulam Habib dan Muhammad Irfan Muhammad Rais, kesemuanya bekerja sebagai buruh binaan, hanya mengangguk ketika pertuduhan terhadap  mereka dibacakan dalam Bahasa Urdu dengan bantuan jurubahasa di depan Majistret Nor Azura Murah.

Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 19 Dis untuk sebutan kes.   

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Muhammad Qadeer Muneer, 31, di rumah teres TMC, Jalan Tempines, Bangsar pada 9.45 pagi, 29 Ogos lepas mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam A.Saravanan. - Bernama

Warga emas cedera dikelar penyamun



NIK MUHAMMAD RAFFIQ
19 Oktober 2012
Awi Che Min menunjukkan kecederaan dialami.
Awi Che Min menunjukkan kecederaan dialami.
Bahagian kecederaan dialami.
Bahagian kecederaan dialami.
TELUK BIDARA – Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa samun dua penjenayah bersenjata yang menceroboh kediamannya di sini, awal pagi tadi.

Bukan setakat kehilangan wang hasil titik peluhnya menangkap ikan, malah nelayan berusia 75 tahun itu turut dibelasah penjenayah yang tidak berhati perut itu.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu dipercayai berlaku ketika Awi Che Min, sedang tidur di rumahnya dekat sini, sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali, salah seorang daripadanya memakai topeng.

Menurut mangsa, ketika sedang tidur, dia tiba-tiba dikejutkan oleh suspek yang meminta wang daripadanya selain turut mengacu senjata tajam ke arahnya.

Awi berkata, sebaik bingkas dari tidur, suspek sekali lagi mendesaknya menyerahkan wang sebelum mengikat tangannya dengan kain.

Warga emas itu menceritakan, tidak cukup mengikat tangan, suspek bertindak lebih ganas dengan menumbuk muka mangsa selain mengelar kepalanya dengan senjata tajam.

“Pak cik tak terdaya hendak melawan, jadi pak cik kata kalau nak duit ambillah.

“Selepas menyelongkar bawah tilam, dia berjaya menemui dompet lalu mengambil wang RM250,” kata Awi yang masih trauma dengan kejadian itu.

Menurut Awi, selepas berjaya mendapat habuan dihajati, dua penyamun berkenaan melarikan diri.

Dalam keadaan lemah, Awi kemudiannya berusaha untuk melepaskan ikatan kain pada tangannya sebelum keluar rumah untuk meminta pertolongan daripada seorang jiran.

Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 8.20 pagi semalam.

Mangsa yang tinggal seorang diri itu turut mengalami luka sepanjang kira-kira lima sentimeter pada bahagian kepala dipercayai kesan kelar senjata milik penjenayah terbabit, selain cedera pada bahagian mulut serta telinga kanan.

Dia mendapatkan rawatan di unit pesakit luar Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan laporan berkenaan dan pihaknya kini sedang giat memburu suspek.

Samun RM4,000



Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
         
SEREMBAN: Seorang tukang cat dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku salah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh lelaki warga Nepal di Rantau, dekat sini, tahun lalu.

Hakim Nursinah Adzmi menjatuhkan hukuman itu terhadap R Jayaganesan, 26, dan memerintahkan hukuman berjalan mulai tarikh tertuduh ditangkap.


Bapa kepada dua anak itu didapati bersalah menyebabkan kematian Prem Bahadur Tamang, 32, dalam kejadian samun di tepi Jalan Ulu Kanchong, Kilometer 8, Jalan Tampin, Rantau di sini, jam 8.40 malam, 13 Oktober tahun lalu.

Rakannya yang turut sama dalam pakatan itu, pemandu lori, P Balan, 36, yang bekerja di syarikat sama dengan mangsa, dipenjara enam bulan kerana menyamun RM4,000 daripada mangsa pada masa dan tempat sama.


Mereka dituduh mengikut pertuduhan pindaan yang dipersetujui melalui rundingan dengan pendakwaan dan peguam bela. Jayaganesan dihukum mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.


Balan pula dihukum mengikut Seksen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.


Mengikut fakta kes, Balan yang sudah berkahwin mengalami masalah kewangan dan membuat rancangan bersama Jayaganesan untuk menyamun rakan sekerja mereka yang bertanggungjawab menyimpan wang kutipan jualan hasil laut syarikatnya.


Dalam perjalanan pulang ke Seremban selepas membuat penghantaran di Johor bersama mangsa, Balan menghantar SMS meminta Jayaganesan menunggu di lokasi dirancang iaitu bulatan berhampiran susur keluar Tol Pedas.

Jayaganesan yang menunggang motosikal mengekori lori itu sehingga sampai di tepi Jalan Ulu Kanchong, Kilometer 8, Jalan Tampin, sebelum mangsa turun untuk membuang air.


Jayaganesan kemudian menuju ke arah Prem dan memukul kepalanya menggunakan kayu serta mengambil RM4,000 dari poket seluar mangsa.


Balan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lukut, dekat sini, sebelum membawanya untuk rawatan lanjut ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). Mangsa bagaimanapun mati keesokannya pada jam 8.20 pagi.


Bedah siasat mendapati mangsa mati akibat cedera parah di kepala kerana dipukul senjata tumpul dan siasatan polis mendapati Balan serta Jayaganesan mempunyai kaitan dengan kejadian.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hasan Ramli manakala Jayaganesan diwakili peguam G Subramaniam Nair dan Balan diwakili Sharif Mohamed.

9 tidak mengaku curi cip mikro CPU RM22j




         
BUTTERWORTH: Sembilan individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap tuduhan mencuri dan menyimpan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta milik sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai, Bukit Tengah di sini, 7 Oktober lalu.

Mereka didakwa di dua mahkamah berasingan dengan empat berdepan pertuduhan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan manakala lima lagi menyimpan cip mikro yang dirompak itu. S Thurai, A Jaykumar, S Somasundram, dan G Hari Kirusnan didakwa mencuri 268 kotak cip mikro CPU milik syarikat Moduslink Sdn Bhd di Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai pada 2.26 pagi, 7 Oktober lalu, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Hakim Nabishah Ibrahim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 November depan untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan peguam Jagjit Singh mewakili Jaykumar manakala Thurai, Somasundram serta Hari Kirusnan tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Lim Heang Eu, Ong Liang Poh, Lim Ban Leng, Tan Hee Hock dan M Ravindran didakwa menyimpan harta curi iaitu 256 kotak cip mikro CPU, yang didapati bersangkutan dengan kes rompakan berkumpulan di Moduslink Sdn Bhd, Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai. - Bernama

Suami pijak perut isteri



Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Seorang suami tergamak menghamburkan kata-kata kesat selain membelasah isterinya yang masih berpantang selepas bersalin gara-gara selisih faham berkaitan balik ke kampung.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Isnin lalu di rumah pasangan berkenaan di Cheras sejurus suami yang berusia 27 tahun mengajak isterinya pulang ke kampung.
Menurut sumber, bagaimanapun isterinya yang juga berusia 27 tahun enggan dan memberi alasan dia tidak larat serta mencadangkan supaya mereka pulang pada keesokan harinya.

“Bagaimanapun lelaki terbabit tidak berpuas hati dan tetap mahu mereka berdua pulang ke kampung menyebabkan berlaku pertengkaran.



“Pertengkaran itu bertukar ganas apabila suami terbabit menarik rambut isterinya dan menolak mangsa sehingga terjatuh,” katanya.

Nahas tiga kenderaan





         
ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas parah manakala lima lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Bukit Nangka-Padang Sebang di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, sebuah kereta pacuan empat roda dipandu warga emas berusia 72 tahun dari arah pekan ini menuju ke Tampin, Negeri Sembilan, hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah van dinaiki empat sekeluarga dan sebuah motosikal Honda EX5.


Kemalangan itu menyebabkan penumpang van, Jumanah Jabar, 55, parah manakala suaminya, Sharif Baba, 56, dan dua anak perempuan mereka, Siti Syafawani, 19, dan Siti Syawani, 18, cedera.

Pemandu kereta pacuan empat roda dan penunggang motosikal, Mohd Arif Bahari, 26, dari Tampin yang merempuh sisi van, juga cedera ringan.


Menurut Arif, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Kelemak, terkejut melihat serpihan kaca di atas jalan sebelum merempuh sisi van berkenaan.


“Kedudukan van melintang di tengah jalan gagal dilihat dengan jelas menyebabkan saya tidak sempat memberhentikan motosikal.


“Nasib baik saya tidak merempuh terus bahagian tengah van itu. Selepas terjatuh, saya melihat orang ramai mengerumuni van, membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.


Menurutnya, dia mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri manakala pemandu van keluar sendiri dari kenderaan itu manakala dua remaja perempuan cedera.

“Ketika itu, saya melihat sebuah kereta pacuan empat roda terbabas di tepi jalan namun pemandunya terselamat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Azman Said berkata, pihaknya ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam.


“Sejurus tiba, mangsa yang berada di tempat duduk depan van didapati masih tersepit dan kami terpaksa merenggangkan struktur kenderaan untuk mengeluarkannya.


“Kami mengambil masa 10 minit mengeluarkan mangsa yang dalam separuh sedar manakala mangsa lain dilaporkan selamat,” katanya.


Operasi menyelamat dijalankan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah selain dibantu JPAM Melaka Tengah dan Tampin.


Tiga mangsa cedera diberikan rawatan awal di tempat kemalangan sebelum dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.