Search This Blog

Friday, October 19, 2012

Padah tunjuk 'nelang' tak bertempat, dipenjara sehari



RUBIAH OMAR
19 Oktober 2012
Mohd Hambali Mohd Faizal Koh dibawa keluar dari kawasan mahkamah, semalam.
Mohd Hambali Mohd Faizal Koh dibawa keluar dari kawasan mahkamah, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang ingin tunjuk ‘nelang’ dengan mengajak seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor bergaduh membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Hambali Mohd Faizal Koh, 25, mengaku cuba berlagak ‘gangster’ terhadap Inspektor Mohd Hafizul Ashraff  setelah tidak berpuas hati apabila mengetahui abangnya akan ditahan selepas kediaman mereka di rumah pangsa Gelong Bilai, Pasir Panjang, di sini, diserbu, Selasa lalu. bersamaan 16 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 pagi.
Dia mengaku menghalang Inspektor Mohd Hafizul Ashraff selaku penjawat awam dalam menjalankan tugasannya yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, semasa serbuan dilakukan, keluarga Mohd Hambali seolah-olah tidak mahu memberi kerjasama dengan hanya mendiamkan diri apabila pintu hadapan rumah diketuk beberapa kali.
Bagaimanapun, selepas menunggu lebih kurang 10 minit, anggota bertugas telah membuka pintu rumahnya sebelum memberitahu kepada ahli keluarga untuk menahan Mohd Azrin iaitu abang kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang turut berada di situ naik angin dengan memarahi dan melawan cakap anggota polis serta cuba mencetuskan provokasi apabila mengajak Inspektor Mohd Hafizul Ashraff selaku ketua operasi bergaduh.

Penkid terperangkap di port dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Oktober 2012
penkid
Sebahagian daripada penagih termasuk seorang gadis penkid yang ditahan polis narkotik dalam serbuan di sekitar Paka pagi kelmarin.
DUNGUN - Tindakan seorang gadis berlagak seperti lelaki mengunjungi sebuah rumah, dipercayai port penagih memerangkap dirinya sendiri apabila lokasi terbabit tiba-tiba diserbu pihak berkuasa di Kuala Paka dekat sini, pagi kelmarin.

Hasil serbuan di rumah berdekatan pangkalan nelayan yang dipercayai sering menjadi port lepak kumpulan penagih itu, tiga suspek berjaya ditahan termasuk dua daripadanya difahamkan adik beradik kepada gadis penkid berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing  mendapati gadis berusia 19 tahun itu bebas daripada pengaruh dadah.

Bagaimanapun perasaan lega gadis yang berasal dari Paka itu tidak kekal lama apabila semakan rekod polis mendapati dia gagal hadir perbicaraan atas  dakwaan satu kes lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Akhirnya gadis yang pernah memiliki rekod positif dadah jenis methampethamine itu dihadapkan ke mahkamah sebelum terpaksa meneruskan kehidupan selama enam bulan di sebalik tirai besi akibat gagal menjelaskan denda RM2,500 yang dikenakan ke atasnya.

Selain gadis terbabit, 22 lagi penagih turut ditahan dalam serbuan berasingan pada hari sama oleh sepasukan polis narkotik diketuai Inspektor Ismail Omar sekitar Kuala Paka, Kampung Limbong dan Kampung Cacar.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan tersebut memaklumkan 16 daripada kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis methampethamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua daripadanya disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah berbahaya.

Pemilik banglo runtuh tiada kelulusan MBSA




19 Oktober 2012
bumbung rumah banglo runtuh
Pemandangan di kawasan bumbung rumah banglo runtuh.
SHAH ALAM - Pemilik banglo di Seksyen 7 di sini yang bumbung konkritnya runtuh ketika kerja-kerja pengubahsuaian semalam sehingga mengorbankan seorang pekerja bakal berdepan tindakan undang-undang kerana pengubahsuaian itu tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
  
Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata pemilik banglo terbabit gagal memohon kelulusan pelan pengubahsuaian mengikut Seksyen 70(1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.
  
"Kes ini kita akan bawa ke mahkamah kerana ada mangsa yang meninggal dunia.

Di bawah peruntukan ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000.
  
"MBSA bertindak tegas dalam hal ini kerana pemilik rumah sepatutnya mengemukakan permohonan untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian yang hanya mengambil tempoh 24 jam untuk diluluskan sekiranya permohonan mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.
  
Dalam kejadian itu, seorang buruh binaan warganegara Indonesia, Totok Mochamd Anthony, maut manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan itu runtuh.

Seorang daripada mangsa putus kaki kanannya sementara 10 lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.
  
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang ketika kesemua 16 pekerja binaan terbabit sedang melakukan kerja pengubahsuaian di bahagian dalam dan aras atas banglo dua tingkat itu.
  
Mengulas lanjut, Mohd Jaafar berkata banglo yang terlibat dalam kejadian runtuh itu merupakan antara 26 unit banglo yang dibina dalam lima reka bentuk berlainan atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga jualan RM1.2 juta ketika diiklankan.
  
Beliau berkata proses kelulusan pelan pembinaan bangunan utama membabitkan dua kali pindaan iaitu pada 11 April 2011 dan 12 Julai 2011, dengan kedua-duanya diluluskan.
  
"Semua 26 unit banglo ini juga telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan yang dikeluarkan oleh jurutera atau arkitek yang bertanggungjawab pada 29 Dis 2011," katanya.
  
Beliau berkata daripada 26 unit itu, empat banglo sedang dalam pengubahsuaian tetapi hanya dua sahaja yang memperolehi kelulusan pelan pengubahsuaian sementara dua lagi termasuk banglo yang terlibat dalam runtuhan itu tidak mempunyai kelulusan. - Bernama

Empat lelaki warga Pakistan didakwa culik rakan senegara




19 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Empat lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik rakan senegara bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM470,000 pada Ogos lepas.

Abdul Qayyum Mohamood Tariq, Shauket Ali Muhammad Yar, Muhammad Yar Ghulam Habib dan Muhammad Irfan Muhammad Rais, kesemuanya bekerja sebagai buruh binaan, hanya mengangguk ketika pertuduhan terhadap  mereka dibacakan dalam Bahasa Urdu dengan bantuan jurubahasa di depan Majistret Nor Azura Murah.

Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 19 Dis untuk sebutan kes.   

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Muhammad Qadeer Muneer, 31, di rumah teres TMC, Jalan Tempines, Bangsar pada 9.45 pagi, 29 Ogos lepas mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam A.Saravanan. - Bernama

Tukang cat dipenjara enam tahun sebabkan kematian lelaki warga Nepal




19 Oktober 2012
SEREMBAN - Seorang tukang cat dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku menyebabkan kematian seorang lelaki warga Nepal di Rantau, tahun lepas.

Hakim Datin Nursinah Azmi memerintahkan R.Jayaganesan, 26, menjalani hukuman  itu mulai tarikh dia ditangkap, iaitu pada hari kejadian.

Jayaganesan didakwa menyebabkan kematian Prem Bahadur Tamang, 32, dalam satu kejadian samun di tepi Jalan Ulu Kanchong, Kilometer 8, Jalan Tampin, Rantau di sini pada kira-kira 8.40 malam, 13 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Rakan Jayaganesan, P.Balan, 36, pula dihukum penjara enam bulan selepas mengaku menyamun mangsa dan mengambil wang tunai RM4,000 pada masa dan lokasi yang sama Balan, seorang pemandu lori, didakwa mengikut Seksen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli, kedua-dua tertuduh merancang untuk menyamun mangsa iaitu rakan sekerja mereka, yang bertanggungjawab menyimpan wang kutipan jualan produk hasil laut syarikatnya.

Pada hari kejadian, mangsa menaiki lori yang dipandu Balan menuju satu destinasi manakala Jayaganesan, yang menunggang motosikal, mengekori kenderaan tersebut sehingga ia berhenti di lokasi kejadian kerana mangsa  ingin membuang air.

Jayaganesan kemudian memukul kepala mangsa dengan sebatang kayu sehingga rebah sebelum mengambil wang tunai dari poket seluar mangsa.   

Balan kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lukut di Port  Dickson sebelum ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia keesokan harinya akibat cedera parah di bahagian kepala.

Jayaganesan diwakili peguam G. Subramaniam Nair manakala Balan oleh Sharif Mohamed.  - Bernama

Pelampung tsunami letup, ketua penyelenggara maut




19 Oktober 2012
SEMPORNA - Pelampung tsunami yang sedang diselenggara di atas kapal MV Pendamar dipercayai meletup sehingga menyebabkan kematian ketua penyelenggaranya Stig Erik Lyng di sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah.

Beliau berkata, letupan berlaku ketika Lyng, 53, cuba membuka salah satu skru pada penutup pelampung dengan menggunakan alat 'grinder' dan akibat letupan itu, objek berwarna hitam dilihat terbang keluar dari pelampung itu dan mengenai kepala Lyng.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 pagi di atas kapal di kawasan perairan antara Pulau Mabul dan Pulau Sipadan. Kita difahamkan salah satu skru pelampung berkenaan tidak dapat dibuka secara biasa. Jadi, ketika mangsa cuba membuka skru itu menggunakan alat grinder, pelampung itu tiba-tiba meletup," katanya kepada Bernama.

Mohd Firdaus berkata, siasatan awal mendapati objek berwarna hitam yang belum dikenal pasti itu terhumban keluar dari pelampung berkenaan akibat letupan itu lalu mengenai kepala mangsa dan mangsa meninggal dunia di  tempat kejadian.

Katanya, selain kecederaan parah di kepala, tangan kiri mangsa juga patah.   

Mengikut kenyataan Jabatan Jabatan Meteorologi Malaysia, kerja menyelenggara pelampung tsunami di Pulau Sipadan kini dihentikan ekoran kemalangan itu. - Bernama

Pemain piano Turki dituduh hina Islam




19 Oktober 2012
Fazil Say ketika mengambil bahagian dalam satu konsert pada 2009. – Foto ihsan The Guardian
Fazil Say ketika mengambil bahagian dalam satu konsert pada 2009. – Foto ihsan The Guardian
PEMAIN piano terkemuka Turki, Fazil Say muncul di mahkamah Istanbul semalam bagi menghadapi tuduhan menghina nilai-nilai Islam.
Beliau didakwa ekoran mesej di laman mikro Twitter miliknya yang mempersenda Islam sebagai radikal di sebalik kebimbangan mengenai pengaruh agama di negara terbabit, April lalu.
Fazil yang menafikan tuduhan itu baru-baru ini berkata, beliau “kagum” kerana perlu hadir di hadapan hakim.
Mahkamah yang menolak pembebasan Fazil kemudiannya menangguhkan kes tersebut sehingga 18 Februari depan.
Fazil berhadapan hukuman maksimum 18 bulan penjara.
Puluhan penyokong pemain piano itu berkumpul di luar mahkamah dengan sepanduk, satu daripadanya meminta keputusan Parti AK yang berasaskan Islam untuk "meninggalkan artis bersendirian."
Fazil bermain piano untuk  Philharmonic New York, Okestra Berlin Symphony dan lain-lain, dan telah berkhidmat sebagai duta kebudayaan untuk Kesatuan eropah (EU).
Menteri Turki yang bertanggungjawab kepada hal ehwal EU, Egemen Bagis mencadangkan kes terhadap Fazil harus ditolak dan mahkamah harus menganggap mesej beliau di laman Twitter adalah “hak beliau untuk merungut”.
Bagaimanapun, beliau mengkritik pemain piano itu yang "menghina nilai dan akidah orang.”

Mangsa runtuhan: Saya hanya fikir maut




19 Oktober 2012
Bumbung banglo dalam pembinaan runtuh di Skesyen 7 Shah Alam. - Foto Bernama
Bumbung banglo dalam pembinaan runtuh di Skesyen 7 Shah Alam. - Foto Bernama
KLANG - "Saya hanya fikir maut dan isteri serta anak ketika terperangkap dalam runtuhan itu," kata seorang daripada mangsa runtuhan bumbung konkrit sebuah rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam semalam.

Dia yang terperangkap kira-kira 20 minit dalam runtuhan itu berkata kakinya tidak dapat bergerak kerana dihempap kepingan konkrit dan kayu menyebabkannya panik dan hampir putus harapan untuk diselamatkan.

Mangsa yang dikenali sebagai Waras, 40, patah kaki kiri dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.20 petang itu.

Dia hanya mampu menangis dan memikirkan mati ketika terperangkap sebelum diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat, katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Afifin, 27, berkata dia trauma untuk meneruskan kerja sebagai buruh binaan di negara ini walaupun telah melakukan tugas itu sejak dua tahun lepas.
 
"Ini merupakan kemalangan pertama sejak bekerja sebagai buruh binaan dan sungguh tidak sangka selepas hampir sebulan bekerja di banglo itu, semalam satu kejadian yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat menimpa  kami," katanya.

Menceritakan detik-detik kejadian itu, Afifin berkata dia mengambil masa hampir sepuluh minit untuk merangkak keluar daripada sisa runtuhan konkrit sebelum ditarik keluar oleh anggota bomba dalam operasi menyelamat  berkenaan.

"Saya tidak ingat apa-apa waktu kejadian, bila runtuhan berlaku keadaan gelap namun saya boleh dengar suara rakan-rakan yang menjerit meminta tolong," katanya.

Dia yang mengalami kecederaan di punggung akibat dihempap sebahagian runtuhan konkrit bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata kaki kanan seorang daripada mangsa yang putus dalam kejadian itu ditemui di bawah runtuhan konkrit ketika operasi  pembersihan yang dijalankan kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Beliau berkata bahagian kaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

"Kita temui bahagian kaki berkenaan di celah runtuhan itu selepas kren berjaya mengangkat kepingan konkrit berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Othman berkata punca kejadian itu masih dalam siasatan. - Bernama

Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat




19 Oktober 2012
GEORGETOWN - Sebahagian siling di sebuah kelas yang menempatkan 18 murid Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong, di sini runtuh hari ini.

Kesemua murid itu terselamat daripada terkena runtuhan kerana sewaktu kejadian mereka menjalani latihan amali solat di masjid yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Noor Ismail berkata, kejadian pada pukul 2.45 petang itu berpunca daripada kayu penyokong utama siling yang telah reput dimakan anai-anai.

"Hasil pemeriksaan kami dapati struktur bumbung sekolah ini tidak lagi selamat diduduki kerana kayu penyokong asas telah dimakan anai-anai dari dalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Noor menasihati pihak pengurusan sekolah supaya menghentikan aktiviti pembelajaran buat sementara waktu dan memusnahkan sarang pembiakan anai-anai kerana bimbang ia merebak ke bahagian kelas lain.

Beliau turut meminta para guru dan murid menjauhi kawasan runtuhan sehingga bangunan itu dibaik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi sekolah Abdul Rashid Khalid, 57, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 2005.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai tiga kelas dan hanya memulakan operasi pada waktu petang itu baharu sahaja diubahsuai dua tahun lepas.

Aktiviti pembelajaran akan dipindah ke masjid berhampiran sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan, katanya. - Bernama

6 lelaki larikan Porsche, BMW di Melaka




19 Oktober 2012
MELAKA - Dua kereta mewah jenis Porsche Panamera dan BMW 5 Series dilarikan enam lelaki dalam satu kejadian samun dan pecah rumah di sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan di Jalan Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Rabu lepas, dua daripada lelaki terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan parang masuk melalui pintu belakang banglo dua tingkat tersebut sebelum mengancam pembantu rumah yang sedang mengemas di bahagian dapur.

Beliau berkata, ahli perniagaan berumur 50-an yang terdengar bunyi bising kemudian pergi ke dapur, namun diserang dua lelaki terbabit di kepala dengan objek tumpul.

"Kesemua penjenayah terbabit kemudian mengambil beberapa barang berharga seperti barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan beg duit serta melarikan dua buah kereta mewah yang keseluruhannya bernilai kira-kira  RM1.5 juta," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, polis yang menjalankan operasi mengesan penjenayah terbabit berjaya menemui kembali dua buah kereta berkenaan yang ditinggalkan di Taman Bahariah Indah, Muar, Johor pada Khamis.

Raja Shahrom berkata, polis telah mengenal pasti empat daripada enam suspek dan kini giat menjejaki mereka.

"Mereka ini dipercayai adalah antara kumpulan yang aktif melakukan samun di beberapa rumah sekitar Melaka dan menjadikan kereta mewah sebagai sasaran utama," katanya. - Bernama

Polis sahkan hanya 6 mangsa terbabit dalam runtuhan




Foto
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menggunakan khidmat anjing pengesan bernama 'Lack' bagi mengesan mangsa yang terperangkap dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA
Foto

SELAIN anggota Bomba dan Penyelamat, pihak SMART juga terbabit membantu mengesan mangsa yang terperangkap dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA

Foto
SEORANG petugas kontraktor memerhatikan tempat kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan malam tadi. - Foto BERNAMA
Foto
SHAH ALAM: Polis mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini petang semalam hanya membabitkan enam pekerja binaan warga Indonesia, dengan seorang daripadanya maut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pada mulanya, pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terbabit. Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada jam 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Dalam kejadian petang semalam, seorang buruh binaan yang dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira jam 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira jam 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, operasi menyelamat dihentikan pada jam 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

"Konkrit agak berat termasuk dengan timbunan batu dan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian runtuhan dalam keadaan sempit, kren pertama yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan dan tidak membantu," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba memanggil mangsa namun tidak disahut dan tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan itu.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi berkenaan.

- BERNAMA

Polis patahkan sindiket seludup senjata api ke Australia



 
SYDNEY: Satu rangkaian penyeludupan senjata api dari Nashville, di Amerika Syarikat (AS) ke Sydney, Australia yang menyebabkan beberapa insiden tembakan berjaya dilumpuhkan polis hari ini.

Kejayaan itu hasil operasi bersama antara polis Australia dan AS dengan tertangkapnya tiga lelaki di Nashville, Rabu lalu. Mereka dipercayai membekalkan senjata api ke Tennessee sebelum dihantar menerusi kapal ke Australia.
“Sejak beberapa bulan lalu, agensi penguat kuasa sudah menyiasat dan mengintip kegiatan membawa masuk senjata api ke Sydney dari Nashville,” kata polis New South Wales dalam satu kenyataan.

“Pihak berkuasa sudah mengenal pasti 20 pembelian senjata api di Nashville yang dipercayai dihantar secara haram ke Sydney,” kata kenyataan itu.

Beberapa bahagian di barat dan barat saya Sydney dilaporkan berlaku kejadian tembakan tahun ini dan terbaru, petang semalam apabila seorang lelaki ditembak dari jarak dekat.

Kebanyakan kejadian membabitkan pergeseran antara samseng dadah. - AFP

Mangsa dihempap jengkaut terima kunjungan JKKKP



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Oktober 2012
Mangsa dihempap jengkaut terima kunjungan JKKKP
Abd Manaf yang mengalami kecederaan di kaki menerima kunjungan JKKP Kelaweh, semalam.
MACHANG - Seorang pemandu jengkaut, Abd Manaf Said, 57, cedera apabila jentera berat tersebut terbalik dan  menghempap kakinya dalam kemalangan di Bukit Besi, Temangan, di sini, baru-baru ini.

Abd Manaf berkata, ketika kejadian,  kenderaan tersebut hilang kawalan ketika dia sedang bekerja  di kawasan bukit itu.

Katanya, dia menyara keluarga termasuk enam orang anaknya, dengan memandu kenderaan berat tersebut sejak  lebih 30 tahun lalu.

“Mujur kecederaan saya tidak parah apabila jengkaut itu hanya menghempap kaki saya. Ini adalah kali pertama saya berhadapan situasi yang mencemaskan sepanjang bekerja sebagai pemandu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kejadian yang menimpa saya ,” katanya ketika menerima kunjungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kelaweh di sini, semalam.

Kunjungan tersebut diketuai Pengerusi JKKP Kelawah,  Mohd Foad Salleh yang juga ketua peti undi Kelaweh.

Mohd Foad berkata, kunjungan tersebut diharapkan mampu menceriakan mangsa, yang merupakan penduduk kampung itu selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Katanya, selain bertanya khabar, program ziarah seumpama itu perlu sentiasa disuburkan dalam usaha mengeratkan hubungan antara penduduk kampung.

Dadah: Seorang wanita, 3 lelaki diberkas



PULAU PINANG 18 Okt. - Polis menahan empat suspek, termasuk seorang wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah serta merampas sejumlah dadah dan 111 butir peluru dalam serbuan di sebuah flat di Bandar Air Itam di sini pada Khamis lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia 37 hingga 40-an itu dipercayai turut mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini.
Serbuan pada pukul 5.30 petang tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk memecah pintu pagar kediaman berkenaan menggunakan pemotong besi berikutan suspek enggan memberi kerjasama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121019/je_02/Dadah-Seorang-wanita-3-lelaki-diberkas#ixzz29lPWqbTH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rogol gadis: Hukuman budi bicara hakim



KUALA LUMPUR 18 Okt. - Keputusan hukuman ke atas kesalahan rogol statutori atau mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah 16 tahun perlu dikekalkan kepada budi bicara mahkamah dan hakim yang mengadili kes itu.
Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dalam satu kenyataan berkata, hal demikian kerana kesalahan tersebut adalah kompleks dan memerlukan pertimbangan dari segi aspek dan faktor berbeza.
Jelas kenyataan JAG yang diwakili antaranya Persatuan Wanita Perak (PWW), Gabungan Persatuan Bertindak Wanita (Awam) dan Badan Kebajikan Wanita (WAO) itu, hakim perlu dilengkapi semua fakta berkaitan kes tersebut termasuk mengambil kira kesan terhadap mangsa, tertuduh dan masyarakat keseluruhannya.
‘‘Keadaan ini membolehkan hakim menggunakan kuasa dan membuat keputusan secara arif mengapa rogol statutori dianggap satu kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121019/ma_03/Rogol-gadis-Hukuman-budi-bicara-hakim#ixzz29lOpug3y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Aktiviti wanita pemilik salon terbongkar



SHAH ALAM 18 Okt. - Hanya kerana ingin kurus dengan cepat, ramai wanita terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pelajar universiti membeli produk pelangsing badan mengandungi bahan kimia dilarang iaitu sibutramine melalui internet.
Sibutramine adalah bahan kimia yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan penggunaannya dalam produk dilarang oleh Kementerian Kesihatan sejak Disember 2010.
Larangan tersebut dilakukan kerana pengambilan sibutramine akan meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan risiko kepada pesakit jantung dan boleh membawa maut.
Bagaimanapun, permintaan tinggi terhadap produk pelangsing mengandungi sibutramine yang didakwa boleh menguruskan badan telah menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab menjual bahan dilarang itu melalui internet kerana mampu mengaut keuntungan lumayan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121019/je_01/Aktiviti-wanita-pemilik-salon-terbongkar#ixzz29lNKq0LA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis lancar gerakan buru empat penjenayah libat kes samun



KOTA BHARU 18 Okt. - Polis melancarkan gerakan memburu empat lelaki yang terlibat dengan kes samun dan melepaskan tembakan di Kampung Pantai Sabak di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, dua daripada empat lelaki terbabit berpura-pura hendak membeli minuman di sebuah kedai runcit sebelum cuba meragut gelang tangan pemilik premis itu.
Ketika insiden berlaku, mangsa, Fatimah Hussin, 50, berada di meja kaunter kedainya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek bagaimanapun dikatakan gagal melarikan gelang tangan mangsa selepas tercicir apabila anak lelaki mangsa bergegas keluar sejurus mendengar jeritan ibunya.
Beliau berkata, sebaik sahaja keluar, salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi yang berada tidak jauh dari situ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121019/je_03/Polis-lancar-gerakan-buru-empat-penjenayah-libat-kes-samun#ixzz29lJURYfB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Meringkuk dalam lokap Indonesia



KUCHING 18 Okt. - Seorang pengusaha kedai makan terpaksa meringkuk dalam lokap di Indonesia selama 20 hari setelah dia dituduh terlibat dengan jenayah pemerdagangan manusia ketika dalam perjalanan keluar membawa seorang pengasuh.
Salleh Rambli (gambar), 44, ditahan polis ketika dalam perjalanan pulang ke Sarawak melalui Entikong, Kalimantan Barat dan dikenakan tahanan reman selama 20 hari sejak 30 Jun lalu.
Isterinya, Maesaroh Siti Nana, 27, mendakwa, tempoh tahanan reman ke atas Salleh bagaimanapun dilanjutkan sebanyak enam kali ekoran ketiadaan bukti menyebabkan lelaki itu terus meringkuk di dalam lokap sehingga kini.
"Suami saya bertolak dari Bandung dengan menaiki bas bersama wanita yang ingin menjadi pengasuh bayi kami yang berusia 20 hari, sebelum singgah di Pontianak untuk menyelesaikan urusan pasport.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121019/dn_14/Meringkuk-dalam-lokap-Indonesia#ixzz29lJ7RdxK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang buruh maut, lima cedera



Anggota bomba dan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah rumah banglo di Shah Alam, Selangor, semalam. - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 18 Okt. - Seorang buruh binaan meninggal dunia, manakala lima lagi cedera selepas bumbung konkrit rumah banglo dua tingkat yang sedang dalam proses ubah suai runtuh di Jalan Jed 1 7/5A, Seksyen 7 di sini petang ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu berlaku ketika enam buruh binaan berkenaan sedang melakukan ubah suai di banglo mewah milik seorang ahli perniagaan yang masih belum diduduki.
Difahamkan, kejadian disedari oleh jiran ahli perniagaan terbabit iaitu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang kemudiannya menghubungi pihak berkuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121019/dn_12/Seorang-buruh-maut-lima-cedera#ixzz29lIFZTGz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki cuba serang bank AS ditahan



NEW YORK 18 Okt. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semalam menahan seorang rakyat Bangladesh yang disyaki cuba melancarkan serangan berani mati dengan bom seberat 450 kilogram di Bank Rizab Persekutuan di sini.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dalam kenyataannya menyatakan, suspek, Quazi Mohammad Rezwanul Ahsan Nafis (gambar) , 21, berdepan tuduhan cuba menggunakan senjata pemusnah besar-besaran dan cubaan menyediakan bahan sokongan kepada militan al-Qaeda.
Menurut kenyataan itu, Quazi berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.
Penolong Pengarah Bertugas FBI, Mary Galligan berkata, semasa ditahan, bahan letupan dimiliki suspek tidak mendatangkan bahaya kerana tidak diaktifkan.
"Cubaan meletupkan bangunan penting di New York dan membunuh orang awam yang tidak bersalah merupakan jenayah serius dan kesannya sukar dibayangkan. Defendan berdepan dengan hukuman yang setimpal," kata Galligan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121019/lu_04/Lelaki-cuba-serang-bank-AS-ditahan#ixzz29l8T7eLt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gusti air suam



Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
         
KUANTAN: Hanya kerana lewat menghantar air suam dipesan, seorang pelayan sebuah kafe di Jalan Tun Ismail 2, di sini, kini bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), selepas ‘digusti’ seorang pelanggan yang naik angin, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, warga Myanmar, Htong Haw, 29, ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan selepas dia menghantar air suam dipesan pelanggan terbabit.
Malah, suspek lelaki berusia 30 tahun itu terus mengganas dengan menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta.

Selepas ‘menggusti’ mangsa sehingga lembik dan berlumuran darah, suspek melepak di premis berkenaan sebelum meninggalkan kawasan itu dua jam kemudian.


Pemilik premis, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, dia yang dihubungi seorang pekerjanya memaklumkan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian.

Penyamun datang serah bayi

LEGA...Cho Tun mengucup bayinya sambil diperhatikan Soe Aung.
LEGA...Cho Tun mengucup bayinya sambil diperhatikan Soe Aung.
SUNGAI BULOH: “Tiada apa yang mampu saya katakan selain daripada gembira dan berasa lega kerana bayi lelaki kami yang dilarikan lima lelaki sejak dua hari lalu dipulangkan kembali malam tadi,” kata Nay Soe Aung, 29, bapa Mikalithu yang dilarikan sekumpulan penyamun di Taman Saujana Akasia, di sini Rabu lalu.
Ketika kejadian jam 10.30 malam kelmarin itu, dia bersama isterinya, Cho Cho Tun, 33, warga Myanmar berada di tingkat dua rumah sewa mereka apabila tiba-tiba dimaklumkan rakan sekerja ada dua lelaki berada di depan rumah dan mahu memulangkan semula bayinya.
Menurutnya, dia bersama isteri kemudian bergegas turun sebelum mendapati dua lelaki sedang memegang bayinya sebelum mereka menyerahkan kepada isterinya.

“Ketika itu, saya lihat ada sebuah kereta bersama beberapa lelaki di dalamnya berada di hadapan rumah kami dan hanya dua lelaki yang turun untuk menyerahkan bayi saya itu.


“Sebelum beredar lelaki terbabit turut mengugut supaya saya tidak membuat laporan polis dan jika berdegil mereka akan membunuh kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Polis masih buru ‘Zawa’




         
KOTA BHARU: Sebuah kereta Perodua Myvi yang dilarikan dari sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan, di sini, dalam kejadian samun dan tembak Selasa lalu ditemui di Pasir Mas, kelmarin.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu.


Katanya, kereta itu ditemui susulan daripada kemalangan yang berlaku membabitkan kereta dipandu suspek bersama seorang wanita di Pasir Mas, kira-kira jam 4.30 petang.

“Kita masih lagi memburu seorang suspek dikenali sebagai ‘Zawa’ yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara, mungkin negara jiran. “Kereta Perodua Myvi yang dilarikan pada malam kejadian pula berjaya ditemui selepas dia terbabit dalam satu kemalangan dan kita menemui lima butir peluru dalam kereta berkenaan.


“Selepas kemalangan itu, dia dan wanita itu mungkin melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Wira yang mengekorinya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.


Harian Metro Rabu lalu melaporkan, seorang peniaga mengalami luka di bahagian kanan kepala dan lengan selepas terkena tembakan yang tersasar dilepaskan seorang suspek.

Mangsa, Samnuan Sunnuan, 21, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.


Kejadian itu dikatakan berlaku apabila mangsa bersama rakan perempuannya, Lee Win Dee, 20, singgah di stesen terbabit untuk mengisi minyak kereta Perodua Myvi sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang membawa sepucuk pistol masuk.

Akibat ketakutan, Lee berlari keluar dan masuk ke dalam sebuah kenderaan milik pelanggan.

‘Polis’ jual barang lelong dikehendaki




         
SHAH ALAM: Polis memburu seorang lelaki dipercayai menyamar anggota polis sebelum menawarkan diri menjual barang lelong milik balai polis dengan harga murah di Sabak Bernam, sejak dua tahun lalu.

Jurucakap polis berkata, suspek berusia awal 40-an itu menyamar anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Sungai Besar dengan membuat tawaran untuk menjual komputer riba berharga RM1,000 dan telefon bimbit pada harga kurang RM500 kepada mangsa.


Katanya, suspek berjanji dengan mangsa untuk datang semula menyerahkan barang jualan sebelum menghilangkan diri.

“Ketika menjalankan urus niaga, suspek tidak membawa komputer riba dan telefon bimbit itu dan berjanji bertemu mangsa semula untuk menyerahkan barang yang dibeli kemudian.


“Suspek mengaku barang berkenaan adalah peralatan yang mahu dilelong pihak Balai Polis Sungai Besar,” katanya.


Jurucakap polis berkata, suspek terbabit sudah diburu polis sejak Jun 2010 selepas melakukan penipuan terhadap tiga mangsa di Sabak Bernam. Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rodziah Ahmad Tajuddin di talian 012-4874652 dan Sarjan Zuljabar Arshad di talian 012-6240247 dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam atau hubungi 03-32410222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Keroyok lelaki curi susu bayi




         
SUNGAI BULOH: Seorang lelaki yang cuba mencuri dua peket susu bayi dari sebuah kedai peralatan menjual peralatan bayi dibelasah orang ramai selepas kejadian itu disedari pemilik kedai, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki tempatan berusia 30-an terbabit masuk dalam kedai berkenaan di Jalan Sungai Buloh, di sini, dengan membawa beg sandang.


Menurut sumber, kehadiran lelaki itu seolah-olah mahu membeli peralatan bayi menyebabkan pekerja dan pemilik kedai tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, selepas beberapa minit berada dalam kedai itu, lelaki terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan menyebabkan pemiliknya memerhatikan pergerakan lelaki itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


“Lelaki itu dilihat mengambil dua peket susu dan memasukkan ke dalam beg sebelum bergegas keluar. Pemilik premis yang menyedari perbuatan itu cuba menghalangnya,” katanya.


Sumber berkata, suspek yang panik mencampakkan beg berkenaan lalu melarikan diri sebelum dikejar lelaki itu menggunakan kereta.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat dua kilometer dari kedai itu, suspek diberkas lelaki itu dengan bantuan orang ramai,” katanya.


Katanya, pemilik kedai itu menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba ke tempat kejadian dan membawa suspek ke Balai Polis Damansara Damai, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan insiden itu.

‘Datin’ penipu diburu



         
TAIPING: Seorang wanita warga emas yang menyamar ahli perniagaan bergelar Datin dikesan licik memperdaya syarikat pemborong barangan runcit di Skudai, Johor dengan taktik membuat bayaran menggunakan invois sebuah koperasi tidak wujud di daerah ini.

Suspek berusia 60 tahun itu didakwa bijak menyamar menyebabkan pemilik syarikat pemborong itu kerugian lebih RM1 juta.


Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, suspek terbabit membuat tempahan barangan runcit dengan ‘menjual’ nama Koperasi Kelisa Halal Berhad Taiping yang tidak wujud.

Menurutnya, suspek dikesan menipu dengan membuat pembelian barangan runcit seperti gula, tepung, bawang, ubi kentang dan pelbagai produk lain dalam kuantiti besar.


“Bagi meyakinkan mangsa, suspek membuat bayaran permulaan secara tunai RM62,000 dan memberi jaminan membayar baki harga tempahan kemudian.


“Suspek dikesan melakukan pembelian antara Jun hingga Ogos lalu sebanyak 11 kali. Bagaimanapun, suspek tidak membuat bayaran baki harga barangan melebihi RM1 juta,” katanya.

Yusuf berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 14 September lalu.


“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menyerbu beberapa premis runcit di Kamunting, di sini, antara 27 September hingga 5 Oktober lalu.

“Hasil operasi itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 29 tahun. Suspek wanita terbabit adalah pengurus yang mengurus premis menjual barangan runcit di Kamunting,” katanya.


Menurutnya, seorang lelaki ditahan berusia 60 tahun dipercayai suami kepada wanita yang menyamar sebagai datin itu.


“Semua mereka yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis kecuali seorang suspek lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai kes lampau di Johor .


“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


Beliau berkata, suspek wanita yang juga perancang utama itu turut dilaporkan pernah melakukan penipuan terhadap beberapa pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) membabitkan kerugian lebih RM100,00.


Katanya, suspek utama terbabit mempunyai tujuh kes jenayah lampau membabitkan penipuan dan pernah dihukum penjara dua tahun.


“Polis masih memburu wanita terbabit berasal dari Pulau Pinang dikenali sebagai Noorokiah Ishak. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-8080222, atau 05-8291222,” katanya.

500 hilang kediaman



Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my
         
SEMPORNA: Lebih 500 penduduk yang menghuni 81 rumah di penempatan atas air di Kampung Selamat, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, lima penduduk cedera dan ada yang mengalami kesesakan nafas akibat terhidu asal tebal.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.41 pagi.

Beliau berkata, dua jentera bersama 11 anggota dikerahkan dan tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.


“Operasi itu turut mendapat bantuan sebuah jentera selain 12 anggota balai bomba dari daerah Tawau dan dua jentera utiliti dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak.


“Dianggarkan 81 rumah membabitkan lebih 500 penghuni hilang tempat tinggal dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Razali berkata, jarak antara rumah berdekatan antara satu sama lain selain faktor angin kencang menyebabkan api merebak dengan pantas.


“Keadaan itu menyukarkan anggota bomba memadamkan kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penduduk sempat menyelamatkan diri.

“Api berjaya dikawal pada jam 1.50 tengah hari sebelum operasi memadam api tamat sepenuhnya pada jam 3.53 petang,” katanya.


Beliau berkata, lima mangsa cedera ringan dan dihantar ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan.


“Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM1 juta dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.


Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lina, 31, berkata, ketika kejadian dia dan anaknya berada di dalam rumah sebelum terdengar jeritan orang ramai.


Katanya, sebaik menjenguk keluar, dia terkejut melihat api mula merebak tidak jauh dari rumahnya sebelum bergegas membawa anak dan dokumen penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang, Datuk Nasir Sakaran berkata, beliau sudah mengarahkan Jawatankuasa Bencana Alam Semporna mengambil tindakan segera.


“Agensi berkenaan sudah diarahkan menyediakan penempatan sementara di Dewan Masyarakat Semporna dan Balai Seni Inabah Kamal, serta keperluan lain kepada semua mangsa terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mahkamah tegur suami




         
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menegur suami pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah yang gagal hadir dua kali ke mahkamah bagi prosiding kes permohonan menggantung perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengarahkannya membayar RM12,000 kepada wanita itu sebagai kos mahkamah yang difailkannya 27 September lalu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie Mohamad Azrul Azhan Mohammad Jamil yang mewakili Sri Wani memaklumkan Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain dalam prosiding yang dijalankan di dalam kamarnya memberi amaran itu kepada Dr Bahrom Sanugi, 61, yang juga bekas dekan sebuah institusi pengajian tinggi supaya hadir ke mahkamah pada masa akan datang memandangkan dia adalah plaintif yang memfailkan kes itu. Bahrom tidak hadir dua kali sejak sebutan kali pertama kes itu pada 4 Oktober lalu dan hanya diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab Rashid. Terdahulu pada prosiding semalam, Sri Wani memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Bahrom. Justeru mahkamah menetapkan 7 November ini untuk perbicaraan.


Pada 30 Ogos lalu, Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan membatalkan keempat-empat permohonan Bahrom iaitu perintah supaya Sri Wani menjalani ujian DNA, permohonan perintah tegahan daripada memberi kenyataan kepada media, pengesahan nikah untuk memfaraqkan (membubarkan) perkahwinan dan perintah komital untuk memenjarakan dirinya. Mahkamah juga memerintahkan Bahrom membayar kos mahkamah RM12,000 iaitu RM3,000 untuk setiap kes kepada Sri Wani. Keputusan itu dibuat mahkamah selepas membenarkan bantahan awal Sri Wani yang mengatakan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan berikutan isu pemastautin. Bahrom sebelum ini memfailkan permohonan untuk membubarkan pernikahannya dengan Sri Wani kerana mendakwa isterinya itu seorang lelaki selepas setahun berkahwin di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009.

Struktur binaan tak kukuh




         
SHAH ALAM: Struktur binaan yang tidak kukuh dikenal pasti antara punca utama sebahagian anjung sebuah banglo yang sedang diubah suai di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7, di sini, runtuh petang semalam.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan membabitkan semua aspek untuk mengetahui punca sebenar kejadian.


Menurutnya, walaupun menghadapi kesukaran untuk mengangkat struktur bumbung yang runtuh selain hujan renyai-renyai, kerja-kerja mencari dan menyelamat tetap diteruskan. Katanya, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya membawa keluar tiga mangsa pertama yang mengalami kecederaan parah kira-kira 15 minit selepas tiba di tempat kejadian.

“Sehingga jam 8 malam (tadi), pasukan penyelamat berjaya membawa keluar empat mangsa yang cedera serta seorang pekerja yang mati di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, enam pekerja lelaki warga Indonesia yang sedang bekerja di tingkat atas rumah berkenaan terperangkap dalam runtuhan mengakibatkan seorang daripada mereka maut.


Difahamkan, ketika kejadian terdapat kira-kira 18 pekerja warga Indonesia dan Bangladesh sedang bekerja di situ. Othman berkata, bomba terpaksa menggunakan kaedah menggali dari sebelah kiri dan kanan bangunan yang runtuh itu bagi mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.

“Kami dapat berkomunikasi dengan mangsa, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kedudukan mereka,” katanya.


Othman berkata, 50 anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan beberapa balai bomba berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian.

Turut membantu dalam operasi terbabit ialah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 4.29 petang.


Pemilik rumah berkenaan, seorang ahli perniagaan, tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, namun enggan ditemu bual media.

Buruh dihentak topi keledar mati di hospital




         
GEORGETOWN: Seorang buruh binaan warga Bangladesh yang parah selepas disamun dua lelaki menggunakan topi keledar hingga koma sejak 7 Oktober lalu, akhirnya menghembus nafas terakhir di Hospital Taiping, Perak, kelmarin.

Mangsa yang berusia 30-an disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang selepas cedera teruk di kepala dan pendarahan dalam otak dan dirawat di Hospital Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS) sebelum dirujuk ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Taiping.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku pada jam 5 petang ketika mangsa bersama rakan pergi ke premis kiriman wang.

Menurutnya, ketika menghampiri premis, mereka didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal yang meminta wang daripada mangsa.


Katanya, mangsa dan rakan berkeras tidak mahu menyerahkan wang sebelum suspek memukul mereka menggunakan topi keledar.


“Tindakan itu menyebabkan rakan mangsa mengalami kecederaan ringan manakala mangsa pengsan dan koma.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap sebelum dirujuk ke HSJ dan Hospital Taiping untuk rawatan pakar selepas tidak sedarkan diri sejak hari kejadian dan meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping,” katanya.

Pura-pura tanya arah


Pura-pura tanya arah
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
         
SUNGAI PETANI: Tembelang seorang yang berlegar-legar dengan bertanyakan arah di Taman Arked, di sini, sejak dua hari lalu terbongkar apabila ditahan sebelum dibelasah orang ramai kerana didapati memecah masuk rumah seorang penduduk, semalam.

Kejadian berlaku jam 3 petang apabila lelaki berusia 30-an itu cuba melarikan diri ketika dikejar orang ramai yang berang tindakannya memecah masuk rumah penduduk sebelum cuba melarikan barang berharga milik mangsa.


Sumber berkata, lelaki terbabit yang menunggang motosikal dikesan berlegar-legar di taman perumahan itu sejak kelmarin sebelum dipercayai memasuki rumah penduduk awal pagi semalam dengan melarikan sebuah komputer riba dan barang kemas.

Menurutnya, suspek dikejar pemilik rumah bersama penduduk, namun melarikan diri dalam kawasan semak berhampiran selepas meninggalkan motosikalnya.


Bagaimanapun, katanya, suspek dikesan apabila cuba memasuki rumah penduduk lain dan sempat melarikan sejumlah wang tunai.


“Kelibat suspek memasuki rumah disedari pemilik rumah lalu bertindak mengejarnya sejauh satu kilometer sebelum ditahan dengan bantuan orang ramai.

“Sebaik ditahan, suspek dibelasah penduduk yang berang sebelum menghubungi polis yang menahannya untuk siasatan,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek yang dipercayai pernah terbabit dengan kegiatan pecah rumah di beberapa kawasan perumahan berhampiran.

‘Tak tahan diterajang’



Oleh Haidhar Hilmi
am@hmetro.com.my
         
BATU PAHAT: “Kami tidak tahan lagi kerana asyik ditampar dan diterajang penjaga rumah berkenaan. Sebab itu kami mengambil keputusan untuk melarikan diri,” kata B Rajasree, 15, seorang daripada empat penghuni yang melarikan diri dari sebuah rumah perlindungan remaja di Rembau, Negeri Sembilan, pada 8 Oktober lalu.

Selepas melarikan diri, Rajasree berkata, mereka terpaksa berjalan kaki kira-kira 20 kilometer dari Rembau hingga ke Pedas sebelum ditumpangkan pengguna jalan raya.
“Bukan niat kami untuk melarikan diri, namun layanan buruk kakitangan rumah perlindungan itu menyebabkan kami tidak tahan lagi untuk tinggal di situ.

“Sepak terajang adalah makanan harian kami dan sejak dimasukkan ke rumah itu, kami dilayan dengan teruk oleh penghuni serta penjaganya,” katanya ketika ditemui di rumah bapa angkatnya di Parit Bengkok di sini, semalam.


Menurut Rajasree, dia melarikan diri bersama tiga rakannya, Siti Khadijah Abdullah, 13, Siti Mustaqimah Kamarudi, 14, dan Siti Nur Azrin Rosli, 17, pada jam 12 tengah hari sebelum tiba di Pedas pada jam 4 petang sebelum menumpang pengguna jalan raya untuk ke Melaka.

3 ejen ‘herba ajaib’ diserbu



Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
         

RAMPAS...anggota penguat kuasa merampas pil herba terbabit dalam serbuan, semalam.
KUALA LUMPUR: Tiga salun kecantikan digempur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dikenal pasti menjadi ejen menjual ‘herba ajaib’ yang dipercayai mampu menurunkan berat badan antara 10 hingga 15 kilogram dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Lebih memeranjatkan apabila siasatan mendapati pil herba pelangsing badan yang ditawarkan mereka itu diseludup masuk ke negara ini melalui taktik membuat pengisytiharan palsu ketika melepasi pemeriksaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Tambah menakutkan apabila kandungan pil yang dikatakan dihasilkan daripada sejenis herba terpilih kononnya berasaskan buah acai berry itu dicampur racun Sibutramine yang boleh membawa maut dan penyebab sakit gila.

Timbalan Pengarah Farmasi (Kuatkuasa) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jaafar Lassa berkata, serbuan jam 11.30 pagi semalam dilakukan serentak di dua salun kecantikan di Kota Damansara dan Shah Alam manakala satu lagi di Terengganu.


“Ketiga-tiga pemilik salun terbabit menyeludup produk berkenaan melalui China sebelum dipasarkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada suri rumah, kakitangan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.


Beliau berkata, mereka menjalankan perniagaan secara atas talian dengan membuat pengiklanan melalui laman facebook sebelum mengepos pesanan pelanggan mereka menggunakan pos laju.


“Produk yang mengandungi 30 pil berbentuk gel bagi pengambilan selama sebulan ini dijual RM70 hingga RM120 sebotol.


“Mereka yang dipercayai sudah bergiat aktif sejak setahun lalu mengaku mampu meraih keuntungan lumayan iaitu RM50 sebotol,” katanya.

Difahamkan, seorang daripada pemilik terbabit menggunakan taktik pembungkusan semula dengan meletakkan label syarikatnya sendiri pada produk berkenaan bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.


Dalam serbuan berkenaan, lebih 450 botol pil berkenaan dengan nilai mencecah RM70,000 dirampas termasuk produk tidak berdaftar yang lain dipercayai pil vitamin mengandungi racun Dexamethasone dan Hydroquinone untuk mencerahkan kulit.

5 kelasi kapal maut dalam operasi menyelamat




         
SEOUL: Lima kelasi warga asing maut apabila bot pengawal pantai Korea Selatan terbalik selepas mereka diselamatkan daripada kapal kargo Malaysia yang terkandas, kata pegawai.

Jurucakap pengawal pantai berkata, bot itu terbalik ketika membawa 15 anggota kru yang diselamatkan daripada kapal kargo Shinline dekat Pulau Jeju.
Semua anggota pengawal pantai dan 10 daripada kelasi kapal itu tidak cedera dan diselamatkan oleh satu lagi bot pengawal pantai yang terbabit dalam operasi itu, tetapi lima kelasi maut dalam kejadian itu.

Kapal kargo itu yang mempunyai kru 13 warga China dan enam Filipina, meminta pertolongan selepas kapal, yang dalam perjalanan ke Singapura, mula dimasuki air.


“Satu daripada dua bot pengawal pantai yang terlibat di dalam operasi itu terbalik akibat ombak besar,” katanya.- AFP

Jual isteri demi arak




         
KERALA : Seorang lelaki di selatan India, dikatakan menjual isterinya dengan harga Rs6,000 (RM419) untuk membiayai perangai buruknya yang suka minum arak.

Akhbar Makkal Osai melaporkan, Medula Rajender, 42 tahun, bekerja sebagai buruh.
Apabila dia kehabisan wang untuk membeli arak, dia membuat perjanjian dengan seorang broker untuk menjual isterinya, Medula Ammayi, 36 tahun, Sabtu lalu.

Kejadian itu didedahkan apabila polis menerima aduan daripada anak lelaki pasangan itu yang berusia 18 tahun.


Rajender mengheret isterinya ke tempat menunggu bas dan menyuruhnya menunggu seseorang di situ.


Medula berjaya melarikan diri ke kampung lain dan pergi ke rumah saudaranya dan menceritakan kepada mereka masalah yang dihadapi.

“Kami sudah berkahwin hampir 20 tahun dan saya tidak sangka yang dia akan berbuat demikian kepada saya,” katanya.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki lain yang berusia 12 dan 15 tahun.

Polis berkata, Rajender sering mengganggu Medula untuk wang. - Asiaone

Alat mainan seks tersangkut dalam usus lelaki




         
SHANGHAI: Seorang lelaki terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mengeluarkan alat permainan seks yang tersangkut di dalam ususnya selama lima hari.

Media kerajaan berkata, kes begitu semakin meningkat menunjukkan penerimaan orang ramai yang semakin bersifat terbuka terhadap seks.
Doktor di Hospital Zhongshan di sini, mengeluarkan dildo sepanjang 23 sentimeter daripada usus lelaki berusia 30 tahun itu menggunakan endoskop.

Doktor, Yao Liqing berkata, “Sekiranya kami tidak mengeluarkan dildo itu pada masanya, keadaan pesakit boleh kritikal.”


Objek itu menyekat usus besar lelaki itu menyebabkan kerosakan tisu.


Sekiranya prosedur itu gagal, doktor mungkin terpaksa melakukan pembedahan, kata Doktor Yao seperti yang dipetik oleh akhbar Shanghai Daily.

Kedai menjual alat seks dan kontraseptif biasa terdapat di bandar di China, di mana kebebasan seksual dan budaya konsumerisme semakin berleluasa di dalam negara yang diperintah komunis ini.

Akhbar itu berkata, pengamal perubatan memberi amaran kepada orang ramai untuk menurut cara yang betul ketika menggunakan alat permainan seks. - AFP

Polis tembak mati bos selepas ditegur mabuk ketika bertugas




         
BANGKOK: Superintendan polis daerah Si Samrong di wilayah Sukhothai ditembak mati oleh orang bawahannya semalam, kata polis.

Ketua Polis Sukhothai, Mejar Jeneral Rangsan Kochakrai, berkata, ketua unit pencegahan jenayah balai polis itu, Jakrarom Thoopjaem menembak ketuanya, Thanatpong Prasertsiripapha kira-kira jam 9 pagi di pejabatnya. Prasertsiripapha cedera parah dan dikejarkan ke hospital di mana dia disahkan mati. Thoopjaem kemudian melarikan diri dari balai polis itu dengan keretanya.


Dia yang merempuh sebatang pokok di tambon Muang Bangyom, daerah Sawankhalok cedera dan dibawa ke Hospital Sri Sangworn untuk rawatan. Polis menemui wang tunai kira-kira 200,000 baht (RM19,815), sepucuk pistol dan jaket kalis peluru dalam keretanya.

Laporan awal kepada pejabat Polis Diraja Thai berkata, Prasertsiripapha menegur Thoopjaem pada malam Rabu lalu kerana mabuk ketika bertugas. Ketua Polis Thailand, Jeneral Adul Saengsingkaew berkata, Thoopjaem akan berdepan tindakan disiplin dan jenayah atas perbuatannya itu. - Bangkok Post

Polis tumpas judi Internet berpangkalan di Kemboja




         
BANGKOK: Jabatan Siasatan Khas (DSI) mengesan beberapa laman web judi Kemboja yang dioperasikan dua kumpulan pelabur di Thailand sebelum mengambil tindakan terhadap mereka.

Ketua DSI, Tarit Pengdit berkata, jabatannya telah mengenal pasti hubungan antara laman web judi dan pelabur di Thailand. Aset mereka juga dibekukan. Kolonel Surasak Na Lampang yang mengetuai siasatan berkata, dua kumpulan terbabit mengendalikan beberapa laman web berpangkalan di Kemboja agar pihak berkuasa Thai sukar mengesan mereka. Laman web berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada penjudi Thai dan mempunyai beberapa akaun di bank Thailand.


Sekumpulan pelabur berpangkalan di Bangkok dan di wilayah utara mengendalikan 15 laman web.

Mereka membuka 75 bank akaun di Thailand dan memperoleh kira-kira empat juta baht (RM396,310) sehari atau kira-kira RM1.38 bilion setahun. - Bangkok Post

Polis Kanada tahan 12 penjenayah seks kanak-kanak di Internet




         
OTTAWA: Polis Kanada menahan 12 orang penjenayah seks kanak-kanak di Internet dan menyelamatkan seorang remaja lelaki yang menjadi mangsa penderaan seks, kata pegawai, semalam.

Polis Berkuda Diraja Kanada yang bekerjasama dengan enam pasukan polis lain di bahagian barat Kanada untuk mengenal pasti suspek yang mempunyai dan mengedarkan gambar kanak-kanak didera melalui kelompok rangkaian perkongsian fail.
Jurucakap polis berkata, “Daripada aktiviti mereka, jelas menunjukkan mereka menggunakan rangkaian perkongsian fail dan teknologi serta program bual yang biasa untuk berborak dan mencari kanak-kanak yang mungkin berkait dengan pesalah lain.”

Bagaimanapun, katanya, tiada individu yang ditangkap itu ada kaitan satu sama lain. Lebih daripada 100 komputer dan cakera keras dirampas bersama beratus ribu gambar.


Pihak berkuasa turut menyelamatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikenal pasti melalui gambar yang telah didera secara seksual sejak lima tahun lalu.


Penderanya adalah sahabat keluarga remaja itu yang telah ditahan Jun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan. - AFP

Cari mangsa runtuhan guna kaedah galian



19/10/2012 3:51am

SHAH ALAM — Usaha menyelamatkan tiga lagi mangsa kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, yang sebelum ini menggunakan kren, terpaksa ditukar kepada kaedah galian dari bawah tanah.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata kaedah itu terpaksa digunakan berikutan struktur konkrit yang runtuh terlalu berat.
Beliau berkata, lokasi seorang daripada mangsa juga telah dikenal pasti dan suara dua lagi mangsa masih kedengaran.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat 18 pekerja binaan yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian tetapi hanya lapan yang terlibat dalam kejadian runtuhan itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Othman berkata, sebanyak empat jentera bomba dengan 50 anggota terlibat dalam kerja menyelamat sejak kira-kira 5 petang semalam.
Turut terlibat dalam operasi menyelamat ialah pasukan polis, Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Pertahanan Awam, petugas Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, paramedik Pusat Perubatan Universiti Malaya serta pasukan SMART.
Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dicatat pada papan kenyataan pihak berkuasa di lokasi kejadian, mangsa yang maut dikenali sebagai Otok Hamid Anthony manakala mereka yang cedera dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, kesemuanya berusia lingkungan 30-an. — BERNAMA

Mangsa keenam runtuhan banglo ditemui



19/10/2012 3:54am

SHAH ALAM — Seorang lagi mangsa runtuhan konkrit sebuah banglo di Seksyen 7 di sini berjaya diselamatkan pasukan penyelamat pada 10.15 malam tadi.
Lelaki itu, yang dikenali sebagai Kasmuji, dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Dia ditemui selepas kren kedua digunakan dalam operasi menyelamat.
Operasi menyelamat masih diteruskan untuk mencari dua lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan konkrit banglo yang sedang diubah suai itu.
Sementara itu, empat mangsa yang cedera kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Seorang mangsa iaitu Ghadami berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan kaki kanan kesan terkena serpihan runtuhan banglo itu.
Tiga mangsa lain yang dikenali sebagai Waras, Arifin dan Kabir berada dalam keadaan stabil. Sementara itu, mayat Otok Hamid Anthony akan dibedah siasat.
Kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an adalah warga Indonesia. — BERNAMA