Search This Blog

Thursday, October 18, 2012

TM tanggung rugi RM7.5j akibat kecurian kabel



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
KOTA BHARU - Telekom Malaysia Berhad (TM) negeri ini menanggung kerugian kira-kira RM7.5 juta akibat kecurian kabel dari Januari hingga hujung September lalu.
Pengurus Besarnya, Ab Rashid Che Othman berkata, sebanyak 1, 215 kes dicatatkan sepanjang tempoh itu melibatkan kabel sepanjang 183 kilometer berbanding 1, 206 kes tahun lalu.
“Pada 2011, TM berdepan kerugian sebanyak RM8.3 juta apabila kabel sepanjang 150 kilometer dicuri sepanjang tahun itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, kesan daripada jenayah tersebut lebih daripada 36, 000 pengguna terjejas di seluruh negeri sepanjang tempoh itu.
Ab Rashid berkata, pelbagai tindakan dilakukan TM untuk membendung jenayah itu termasuk melantik syarikat keselamatan melakukan rondaan di kawasan berisiko yang kita panggil ‘kawasan panas’,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat tujuh zon ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti iaitu Pasir Puteh, Selising, Bachok, Tanah Merah, Machang, Wakaf Baru dan di luar bandar Kota Bharu.
“Sebanyak 14 syarikat peronda dilantik dan dibayar oleh TM untuk memantau kawasan panas ini sekali gus membendung jenayah yang menyebabkan TM kerugian jutaan ringgit setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan kini, sindiket curi kabel ini bukan pencuri biasa sebaliknya mempunyai unsur- unsur agresif dan ganas apabila turut berani menembak kereta peronda, dan mengugut.
“TM turut mendapatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Skim Rondaan Sukarela dan penduduk untuk melakukan rondaan bersama di kawasan panas yang sering dilaporkan berlaku kecurian, kerjasama ini amat dialu-alukan, ”katanya.
Ab Rashid berkata, sehingga kini sebanyak 31 tangkapan berjaya dilakukan dengan kerjasama semua pihak sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan hukuman.

Pengawal keselamatan dipenjara curi mesin tebu



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Muhamad Firdaus Ibrahim
Muhamad Firdaus mengaku mencuri mesin tebu bernilai RM800 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Hasrat seorang pengawal keselamatan yang cuba merembat sebuah mesin tebu dari sebuah gerai menjual air tebu tidak menjadi apabila dia ditangkap oleh pemiliknya sendiri semasa sedang menolak mesin tebu berkenaan.
Tertuduh, Muhamad Firdaus Ibrahim, 20, dari Kampung Surau Hj Mat Zain, Bukit Payong, Marang, bukan sahaja terpaksa ‘gigit jari’ malah lebih malang, dia turut dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau sebulan lagi penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah mesin air tebu jenama Ymax bernilai RM800 milik Mohd Shuhairi Azlan Sudin, 25, di gerai jual air tebu, di tepi jalan hadapan Wisma Kokitab Padang Midin, Jalan Kuala Berang, pada 16 Julai lalu kira-kira jam 11.15 pagi.
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L. Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pemilik mesin tebu tersebut ternampak Muhamad Firdaus sedang menolak mesin tebu miliknya beberapa meter sahaja dari jarak gerai air tebunya sebelum bertindak menghalang tertuduh.
Bagaimanapun, semasa keadaan kelam kabut itu, orang ramai yang ada berhampiran lokasi turut masuk campur dan dipercayai telah membelasah Muhamad Firdaus sebelum dia diserahkan kepada polis.

Alasan curi produk kesihatan untuk kuat bekerja



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Yusof Mudim
Tertuduh menutup muka mengelak wajah dirakam juru gambar ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah, semalam.
KUANTAN- Seorang pekerja kilang yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas kesalahan mencuri produk kesihatan dalam sebuah pasar raya besar di sini memberitahu mahkamah dia berbuat demikian bukan untuk mendapatkan wang sebaliknya produk itu diperlukan untuk meningkatkan tenaga supaya boleh bekerja dengan lebih kuat.
Tertuduh, Yusof Mudim, 32 dari Persiaran Bukit Raja, Bandar Baru Kelang, Selangor berkata demikian melalui peguam, Mohd Saifuddin Abdul Rahman yang mewakilinya dalam rayuan mitigasi sebelum dijatuhkan hukuman penjara 11 bulan setelah mengaku bersalah atas tuduhan itu semalam.
Hukuman penjara ke atas tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap 15 Oktober lalu.
Dalam rayuannya juga, tertuduh yang masih bujang memaklumkan dia terpaksa bekerja kuat kerana menanggung ibu bapa dan adik-adik memandangkan pendapatnya kini hanya RM700 sebulan.
Tertuduh yang pernah memiliki rekod lampau atas dua kesalahan memiliki dadah pada 2007 didakwa mencuri sekotak Brands Essence of Chicken 70 gram berharga RM66.99 milik pasar raya terbabit apabila menyembunyikan barang itu dalam baju dan dibawa keluar tanpa membayarnya.
Perbuatan yang dilakukan tertuduh kira-kira jam 4 petang itu disedari seorang pekerja setelah ternampak dia beredar dalam keadaan mencurigakan.
Tertuduh ditahan ketika berada di pintu keluar dan hasil pemeriksaan mendapati barang tersebut disembunyikan di sebalik baju yang dipakai.
Ekoran perbuatannya itu, tertuduh diserahkan kepada polis untuk siasatan dan dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Hukuman dibuat Majistret Nurulnaim Abdullah manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail.

Melecur kena minyak panas



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Melecur kena minyak panas
Asma (kiri) bersama Amalia menunjukkan kecederaan di kaki dan tangan mereka.
PENDANG – Seorang ibu melecur di bahagian pergelangan tangan kanan manakala anaknya pula melecur di bahagian paha hingga kaki akibat terkena minyak panas gara-gara kayu alang rumah di Kampung Pulai dekat sini jatuh ketika mereka sedang memasak baru-baru ini.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa, Asma Awang, 55, dan anak ketiganya, Amalia Saad, 24, sedang memasak untuk makan malam apabila tiba-tiba kayu alang rumah jatuh terkena kuali menyebabkan kuali yang dipenuhi minyak panas terjatuh.

Asma berkata, sebelum ini, dia dan keluarganya bimbang rumah akan runtuh ketika hujan dan angin kuat namun tidak menyangka kayu alang patah ketika tiada angin atau hujan sehingga menyebabkan kecederaan.

“Saya menetap di sini lebih 20 tahun bersama enam beranak dalam keadaan rumah yang reput dan usang menyebabkan kami sekeluarga sentiasa berhati-hati ketika angin kuat kerana bimbang rumah runtuh namun tidak menyangka kejadian ini yang berlaku.

“Pendapatan suami sebagai buruh kasar kira-kira RM600 sebulan namun pendapatan itu tidak menentu bergantung kepada kerja kerana jika tiada kerja, suami terpaksa berhutang menyebabkan kami tidak mampu membaiki atau membina rumah baru,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia memohon bantuan rumah daripada pelbagai pihak namun masih tiada sebarang maklum balas lagi sehinggalah kejadian buruk ini menimpa diri dan anaknya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Pulai Md Safar Muda berkata, pihaknya sudah membuat permohonan beberapa kali sejak 2008 kepada Lembaga Kemajuan Kedah (Keda) dan Unit Pembangunan Negeri (ICU).

Katanya, pihak ICU sudah mengambil tindakan dengan tampil awal tahun ini untuk mengambil gambar dan pihaknya difahamkan permohonan itu ditunda buat sementara waktu.

“Kelmarin saya menghantar semula permohonan selepas menerima berita kejadian itu untuk diambil perhatian segera kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku kepada keluarga itu dan permohonan semula itu dibuat dengan sokongan Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Safian,” katanya.

Cedera akibat elak lembu



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Cedera akibat elak lembu
Shahrudin menunjukkan laporan polis dan gambar yang dirakam ketika kemalangan itu berlaku.
KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri di sini terpaksa menanggung kerugian selepas van mereka terlibat dalam kemalangan gara-gara mengelak sekumpulan lembu dalam kejadian yang berlaku awal pagi kelmarin.

Shahrudin Idris, 50, berkata, ketika kejadian itu dia bersama isterinya Saleha Salleh, 47 dari Felda Lok Heng dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Felda Bukit Aping Barat.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi dan ketika itu dia sedang memandu melepasi simpang Bandar Sri Perani. Setibanya di kawasan tersebut secara tiba-tiba sahaja sekumpulan lembu melintas di hadapannya.

“Ketika itu saya hanya sempat mengelak sebelum terbabas ke tepi jalan. Mujurlah kami tidak termasuk ke dalam gaung kerana terdapat gaung berhampiran di kawasan itu.

“Ekoran kejadian itu saya dan isteri turut menerima rawatan di klinik berhampiran.

“Kami bersyukur kerana mengalami cedera ringan, namun tidak dapat dibayangkan jika saya tidak sempat mengelak lembu itu pasti sesuatu yang lebih buruk akan berlaku kepada kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Shahrudin, kemalangan yang berlaku gara-gara lembu di kawasan tersebut bukanlah perkara baru tetapi berlaku berulang kali.

Katanya, kejadian tersebut boleh dielakkan jika pemilik haiwan ternakan tersebut mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan memasang pagar elektrik.

“Lembu ini dipercayai berkeliaran akibat tidak di pagar. Banyak kemalangan malah ada yang menyebabkan kematian berlaku disebabkan kecuaian pemilik haiwan ini," katanya.

Dalam pada itu, Shahrudin turut berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan memainkan peranan agar masalah tersebut dapat diatasi bagi  secepat mungkin.

Kesal tuntutan tidak dilayan



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Kesal tuntutan tidak dilayan
Mohd Ali dan Mastura menunjukkan perintah mahkamah terhadap bekas tuan rumah sewanya.
GOMBAK - Seorang bapa nekad menyaman bekas tuan rumah sewanya yang enggan membayar ganti rugi setelah menyebabkan anak perempuannya buta pada 1994.

Kejadian yang berlaku di rumah sewa di Simpang Tiga Gombak menyebabkan anak mangsa, Mastura Mohd Ali, 27, buta di sebelah kiri setelah terkena bahan buangan binaan yang dibuang kontraktor dari tingkat atas rumah ketika melakukan pengubahsuaian rumah.

Bapa mangsa, Mohd Ali Mohd Tahir berkata, dia berjumpa dengan bekas tuan rumah sewanya dua minggu lalu untuk menuntut bayaran ganti rugi setelah mahkamah mengarahkan membayar pampasan sebanyak RM45,000 yang sepatutnya dijelaskan secara ansuran bermula 2009.

Menurutnya, tuan rumah tersebut bagaimanapun enggan menjelaskan ganti rugi tersebut dan mendakwa tidak tahu keputusan mahkamah selain mendakwa dirinya merapu dalam membuat tuntutan ini.

“Walaupun saya menunjukkan salinan perintah mahkamah kepadanya tetapi dia tetap enggan memberi kerjasama dan tidak mahu membayar ganti rugi selain memberi alasan lain bahawa dia seorang ibu tunggal.

“Saya memberi masa kepadanya untuk menjelaskan ganti rugi dalam tempoh dua minggu atau terpaksa mengambil tindakan menyamannya sekali lagi,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, tuan rumah tersebut mendapat perintah mahkamah supaya menjelaskan ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM300 sebulan bermula pada 4 September 2009 sehingga jumlah pampasan selesai.

Mohd Ali berkata, tunggakan selama dua tahun sebanyak RM12,600 perlu dijelaskan dahulu oleh tuan rumah kerana mahu menggunakan duit tersebut untuk rawatan mata anaknya.

Sementara itu, Mastura ketika menceritakan detik malangnya berkata, dia baru berusia sembilan tahun dan mata kirinya terkena serpihan simen dan kapur yang dibuang kontraktor dari tingkat atas rumah sewa di mana keluarganya menyewa tingkat bawah.

“Disebabkan kejadian itu, mata kiri saya buta dan menjalani pembedahan sebanyak tiga kali untuk membuang selaput. Setelah beberapa kali pembedahan, mata kiri saya kini rabun.

“Mata saya hanya boleh sembuh sekiranya ada pihak lain yang ingin menderma mata,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun dan bekerja sebagai jurujual.

Mastura berkata, disebabkan kejadian itu juga, pergerakannya agak terhad kerana  penglihatannya kabur dan lebih malang lagi apabila baru-baru ini turut ditimpa kemalangan dan menyebabkan kaki serta kepalanya mengalami kecederaan.

Katanya, dia berharap kes tuntutannya tidak berpanjangan dan meminta bekas tuan rumah tersebut menjelaskan ganti rugi kerana dia memerlukan duit untuk membuat rawatan.

Banjir lumpur landa 30 rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Banjir lumpur landa 30 rumah
Kesan lumpur dapat dilihat dengan jelas selepas banjir surut.
BENTONG – Kebanyakan penduduk yang tinggal di Chamang Baru, dekat sini, dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, dilaporkan kira-kira 30 rumah di Lorong Permai 7, 11 dan 15 dinaiki air setinggi 0.6 meter.

Seorang penduduk, K Subramansivam, 47, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua ahli keluarganya sedang berehat di ruang tamu menonton televisyen.

Menurutnya, secara tiba-tiba air masuk ke pekarangan rumahnya dan kemudian terus ke ruang tamu.

“Pada masa itu, kami sekeluarga cuba menyelamatkan barangan penting termasuk barang elektrik.

“Tetapi tidak sampai sejam air kembali surut dan meninggalkan lumpur di sekitar kawasan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Subramansivam berkata, ini adalah kali kedua banjir berlaku selepas kejadian pertama Sabtu lalu.

Berikutan itu katanya, setiap kali hujan, mereka yang tinggal di kawasan itu tidak lena tidur kerana bimbang kejadian sama berulang.

Kejadian kedua lebih teruk

Sementara itu, Mohd Azrin Abdul Rahim, 32, berkata, bencana kali ini lebih teruk berbanding kejadian Sabtu lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga dikejutkan dengan banjir kilat separas lutut memandangkan rumah mereka terletak di kawasan paling rendah.

“Sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian sewajarnya, sudah pasti kami (penduduk) terpaksa menanggung kerugian setiap kali banjir berlaku.

“Justeru, kami menggesa pihak berwajib ambil tindakan segera, tambahan pula sekarang ini cuaca tidak menentu dan kerap hujan,” katanya.

JKKK kumpul maklumat

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chamang Baru/Kuala Repas, Ishak Saman berkata, pihaknya sudah mengumpulkan maklumat penduduk yang terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, laporan polis juga dibuat dan akan dihantar kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak JKKK berharap masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk kawasan ini dapat ditangani segera bagi mengelakkan lebih banyak kerugian pada masa akan datang.

“Kita percaya penanaman semula getah dan pembinaan rumah di kawasan bukit menjadi penyumbang kepada masalah yang berlaku,” katanya.

Tindakan segera diambil

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun yang turun padang melawat mangsa banjir berkata, pihaknya akan meneliti beberapa cadangan penduduk termasuk meningkatkan sistem perparitan di kawasan itu dan membesarkan longkang sedia ada bagi membolehkan air mengalir dengan lancar setiap kali hujan.

Menurutnya, tindakan itu akan diambil secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

“Susulan kejadian yang berlaku juga, saya minta penduduk yang terlibat membuat laporan kepada pihak JKKK atau balai polis berhampiran.

“Ini bagi memudahkan data sebenar mangsa yang terlibat dapat dikumpulkan,” katanya.

Turut  serta dalam lawatan itu, Penghulu Mukim Bentong, Muhammad Azizi Khalid dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bentong, Mohamad Kamal Redzuan Kamaruddin.

Selain rumah penduduk di Kampung Chamang Baru, turut dilanda banjir kilat ialah dua rumah di Jalan Tras, Batu Satu.

Runtuh hingga separuh jalan



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Runtuh hingga separuh jalan
Azhar Abdul Aziz, 42, menunjukkan kawasan hakisan tanah di bahagian bawah jalan yang semakin membimbangkan. Gambar kecil: Rahim
TAIPING – Runtuhan tanah di jambatan Kampung Batu 16, di sini, telah berlarutan sejak dua minggu lalu, malangnya sehingga kini tiada tindakan di ambil pihak berkenaan.

Seorang penduduk, Rahim Zakaria, 63, berkata, keadaan itu mengecewakan penduduk apabila struktur tanah dilihat semakin longgar ketika ini akibat musim tengkujuh.

Menurutnya, pada mulanya runtuhan tersebut hanya sedikit, namun disebabkan tidak ada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab, ia telah merebak hingga separuh bahagian jalan.

“Runtuhan yang berlaku melibatkan bahagian tanah merah di bawah jalan yang telah diturap dan gelung air juga telah pecah akibat runtuhan ini,” katanya.

Rahim berkata, masalah berkenaan perlu diselesaikan segera kerana ia membahayakan keselamatan penduduk terutamanya pada waktu malam.

“Sekarang kami hanya tandakan dengan ranting dan tayar, namun tetap bimbang ada individu yang tidak perasan dan terus melalui jalan berkenaan.

“Jika keadaan tersebut berlaku ia memang boleh mendatangkan bahaya kerana lubang tersebut semakin dalam,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan dilaksanakan.

“Jika masalah ini terus dibiarkan, tanah di bahagian bawah jalan akan runtuh kerana tekanan daripada aliran air,” katanya.

Katanya, diharap agar pihak berkenaan segera mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Tak sempat makan tengah hari



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Tak sempat makan tengah hari
Keadaan cermin kereta mangsa yang dipecahkan dalam kejadian samun dekat pekan Bahau.
JEMPOL-  Sepasang suami isteri tidak sempat menikmati makan tengah hari di sebuah restoran dekat pekan Bahau di sini setelah duit dan pelbagai barang berharga kira-kira RM71,700 dilarikan penyamun kira-kira pada jam 2 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, pasangan berumur 30-an itu dipercayai baru sahaja mengeluarkan wang tunai berjumlah RM30,000 di sebuah bank kira-kira jam 12 tengah hari.

“Sebelum itu, isterinya turut membawa sebuah beg berisi barang kemas anggaran nilai RM40,000 dan wang tunai 5 juta Rupiah (RM1,700). Sebahagian barang kemas itu dibeli untuk keluarganya yang berada di Indonesia.

“Suaminya yang juga merupakan sub kontraktor mengeluarkan wang pada hari kejadian bagi membayar gaji pekerjanya.

“Mangsa mendakwa, dia tidak menyedari dirinya diekori suspek, selain tidak pernah bergaduh dengan mana-mana individu,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, pasangan ini kemudiannya pergi ke restoran berhampiran untuk makan tengah hari.

“Beg berisi barang berharga dan wang tunai itu bagaimanapun ditinggalkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta jenis Nissan Frontier.

“Namun, belum sempat pasangan ini ‘panas punggung’, tiba-tiba terdengar jeritan dari arah tempat letak kereta dan mereka bergegas ke tempat kejadian sebelum terkejut melihat beg berisi barang kemas dan wang tunainya lesap,” katanya.

“Saksi memberitahu, ternampak sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa yang dinaiki dua lelaki memakai topi keledar sebelum bertindak memecahkan cermin tingkap kereta.

“Kes disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan. Susulan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu pejabat polis daerah (IPD), Jempol di talian 06-4582222,” katanya.

Tersepit selama 20 minit



SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
18 Oktober 2012
Tersepit selama 20 minit
Kenderaan jenis Perodua Kancil remuk teruk setelah bertembung sebuah treler sehingga menyebabkan kematian pemandunya.
MUAR – Seorang guru besar sekolah agama meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati setelah bertarung nyawa 20 minit apabila kenderaan dipandu bertembung sebuah treler di Batu 16, Jalan Bakri-Air Hitam, Muar di sini malam semalam.

Ketika kejadian yang berlaku jam 7.30 malam itu, mangsa, Mukinah Warno, 52, yang memandu Perodua Kancil dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 17, Muar.

Mangsa yang baru sahaja melaporkan diri sebagai Guru Besar Sekolah Agama Bukit Naning, Muar di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduknya setelah kereta dipandu terbabas ke laluan bertentangan sebelum terperosok ke bahagian bawah hadapan treler.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahadan Jaafar berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain.

“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit kemudian namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk bedah siasat.

“Siasatan mendapati jalan licin semasa kejadian berlaku akibat hujan dan beberapa pengguna yang melalui lokasi kejadian turut cuba memberi bantuan untuk mengeluarkan mangsa namun gagal.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Dalam pada itu, dalam kes berasingan, Shahadan mengesahkan kematian seorang pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak setelah motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta di simpang Baba, Jalan Salleh di sini, semalam.

“Kejadian berlaku  jam 6.40 pagi (semalam) ketika mangsa, Andy Chea Xin Yi, 17 sedang dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Bukit Pasir.

“Motosikal mangsa bagaimanapun terbabas dan termasuk ke laluan bertentangan lalu menyebabkannya bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil,” katanya.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan berlaku kereta berkenaan terbakar namun pemandunya yang merupakan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri manakala Andy yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Lemas di dasar lombong



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Lemas di dasar lombong
Anggota Bomba membantu mengangkat mayat mangsa yang ditemui di dasar lombong di Kota Bharu, semalam. Foto ihsan dari Facebook Bomba Perak
GOPENG – Seorang ibu menerima kejutan apabila anak ketiganya dijumpai maut, dipercayai lemas di sebuah lombong tinggal di Kota Bharu, di sini, kira-kira jam 7.15 pagi, semalam.

Mohd Suhaimi Kamarudin, 27, dikatakan tidak pulang selepas keluar menangkap ikan pada petang kelmarin sebelum ditemui di dasar lombong.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan.

Katanya, anggota unit skuba pasukan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dipanggil dalam operasi mencari mangsa di lombong berkedalaman 1.2 meter itu.

“Operasi dihentikan sementara kerana gelap dan diteruskan pagi ini (semalam). Ibu mangsa bersama anak sulungnya mengecam mayat Mohd Suhaimi sebelum dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Kejadian terburuk Fama, penduduk rugi besar



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Kejadian terburuk Fama, penduduk rugi besar
Kakitangan Fama Lanchang Shahrul Izuan menunjukkan kerosakan pada pallet makanan lembu yang ditenggelami air dalam stor simpanan milik Fama Lanchang semalam.
TEMERLOH – Lebih lima tan makanan lembu dan ikan milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta perabot dalaman bernilai hampir RM10,000 musnah dalam kejadian banjir kilat di Pusat Operasi Fama Lanchang, di sini semalam.

Kejadian turut menyebabkan enam keluarga di Kampung Batu Satu Jalan Karak berhadapan dengan pusat operasi Fama itu mengalami kerugian lebih RM5,000 akibat kejadian itu.
28 tahun tak pernah banjir

Seorang penduduk M.Jayasankar 47, berkata, sepanjang 28 tahun menetap di situ, itulah kejadian terburuk yang dialami mereka.

Menurutnya, ia dipercayai akibat projek tanaman getah bersebelahan pusat operasi Fama telah mengganggu aliran air sedia ada menyebabkan takungan air melimpah dan menenggelamkan rumah mereka.

“Air datang macam tsunami, terus melimpah masuk ke rumah kami menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda,” katanya.

Sementara itu jirannya, Tan Geok Hua 54, berkata, sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian banjir kilat sehinggalah pemilik ladang getah terbabit memajukan kawasan itu setahun setengah yang lalu.

“Malam tadi kami sekeluarga tidak dapat tidur kerana air sedalam 0.4 meter memasuki rumah, anak-anak pun tak pergi sekolah hari ini,” katanya.

Ada bukti kukuh

Sementara itu Pengurus Pusat Operasi Fama Lanchang, Holid Mohd Yunus berkata, Fama mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila makanan lembu dan ikan serta perabot dan dua unit komputer ditenggelami air akibat kejadian itu.

Menurutnya, dia mempunyai bukti kukuh kejadian banjir kilat berlaku disebabkan pembangunan ladang getah bersebelahan dengan pejabatnya.

Menurutnya, masalah itu tidak pernah berlaku sejak 30 tahun lalu, ia berlaku hanya selepas ladang getah bersebelahan dibangunkan satu setengah tahun dahulu.

“Banjir kilat yang pertama berlaku pada November dan Disember 2011, saya telah laporkan kepada Fama negeri, dan melalui Fama negeri satu dialog dicadangkan diadakan pada 9 Januari 2012 untuk atasi masalah ini.

“Malangnya pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) tidak menghantar wakil selesaikan masalah ini, sehinggalah banjir kilat yang besar berlaku malam semalam,” katanya.

Holid berkata, akibat kejadian itu pihaknya terpaksa menanggung kerugian yang besar apabila lima tan makanan ikan dan lembu yang bernilai sekitar RM6,000 musnah dalam kejadian itu.

“Kami juga kehilangan dokumen urus niaga akibat kejadian semalam selain mengalami kerosakan pada sistem komputer yang merekodkan urus niaga dan perancangan pusat ini,” katanya.

Sehubungan itu Holid menggesa pihak MPT memandang serius masalah dialami dan berharap pihak berkuasa tempatan terbabit dapat bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk selesaikan masalah itu.

Dihimpit sebelum diragut



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Dihimpit sebelum diragut
Azlina dibantu birasnya, Osnidah Othman menunjukkan tangan kirinya yang patah dan luka di tangan kanan akibat terjatuh.
JELEBU - Seorang wanita patah tangan kiri selepas diragut ketika menunggang motosikal seorang diri di kawasan gerai Majlis Daerah Jelebu (MDJ) berhampiran Kampung Pergai jam 12.30 tengah hari, semalam.

Azlina Idin, 40, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Petaseh untuk pulang ke rumahnya di Kampung Pergai.

Menurutnya, pada mulanya, dia melihat sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki ditunggang laju di belakangnya sebelum menghimpitnya dan menarik beg tangannya.

“Saya cuba pertahankan beg tangan itu, namun akhirnya saya melepaskannya kerana tidak boleh berbuat apa-apa.

“Selepas saya melepaskan beg tangan, motosikal saya hilang kawalan dan terbabas dibahu jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat kejadian itu, Azlina mengalami kerugian kira-kira RM4,000 apabila barang kemas, wang tunai dan dua telefon bimbit dalam beg itu dilarikan lelaki berkenaan.

Sementara itu, suaminya, Shaari Selamat, 53, berkata, beg tangan milik isterinya itu dijumpai semula tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Peragut terbabit hanya mengambil barang berharga, mujur kad pengenalan isteri saya tidak diambil mereka.

“Saya difahamkan ada tiga motosikal yang mengekori isteri saya sebelum kejadian itu," katanya.

Shaari yang bekerja sebagai peniaga makanan berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kuala Klawang.

Azlina yang turut mengalami luka di bahagian tangan kanan dan kaki kanan dihantar ke Hospital Jelebu oleh seorang pelanggan kedai makan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof mengesahkan menerima laporan tersebut.

Hanya sempat gulung tikar



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Hanya sempat gulung tikar
Penduduk setempat membantu mengalihkan beberapa perabot Saudah. Gambar kecil Saudah.
BALING - “Makcik hanya sempat gulung tikar, barangan lain terutama perabot tidak dapat dialihkan. Semuanya tenggelam sekelip mata,” kata Saudah Wahab, 63, mangsa banjir yang berlaku lewat petang, kelmarin.

Saudah yang menetap di Kampung Charuk Sikin itu turut terdengar bunyi arus air tasik yang kuat sebelum rumahnya dinaiki air separas paha.

“Jarak tasik dengan rumah makcik lebih kurang 100 meter sahaja.

“Makcik dah boleh agak kejadian banjir pasti berlaku. Dalam hanya beberapa minit, rumah dinaiki air,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berdaya mengalihkan semua perabot di rumahnya.

“Makcik dan keluarga selamat. Walaupun banyak barangan rosak, keselamatan lebih penting,” katanya.

Kira-kira 20 rumah di Kampung Charuk Sikin, Kampung Pajak dan sekitar Binjul terlibat dalam banjir berkenaan.

Saudah berkata, hujan lebat sejak 4.30 petang itu mengakibatkan tasik di kampung itu tidak dapat menampung kapasiti air sehingga berlakunya limpahan.

“Tasik ini seharusnya dibersihkan, keadaan tasik yang dipenuhi semak samun mengakibatkan kawasan ini sering dilanda banjir,” katanya.

Katanya, masalah banjir itu mungkin dapat diatasi sekiranya kawasan tasik itu dibersihkan seterusnya melancarkan pengaliran air ke kawasan sungai.

“Makcik berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini bagi memastikan penduduk tidak berhadapan dengan masalah lagi,” katanya.

Tinjauan mendapati, anggota polis turut dikerahkan ke tempat kejadian bagi memantau keadaan kawasan yang dilanda banjir itu.

Pemimpin setempat termasuk pegawai Mukim Pulai turut hadir membantu menyalurkan bantuan makanan kepada semua mangsa yang terlibat.

Bumbung bertaburan atas jalan



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Bumbung bertaburan atas jalan
Keadaan bumbung rumah di Flat Taman Minang selepas ribut. Gambar kecil: Parawathy.
PORT DICKSON – Tujuh rumah di Flat Taman Minang, Port Dickson jalan lama di sini, rosak akibat dilanda ribut kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

Hujan yang disertai angin kencang itu berhenti kira-kira empat jam kemudian dan bumbung diterbangkan angin sejauh 100 meter bertaburan di atas jalan.

Seorang mangsa, Agnes, 44, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang tidur dan terjaga apabila terdengar sesuatu di atas siling rumah.

“Masa itu hujan sangat lebat dan angin kencang. Saya lihat siling di ruang tamu sudah runtuh dan bumbung diterbangkan angin,” katanya yang kerugian lebih RM10,000.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sangat pantas dan hanya sebahagian peralatan rumah sempat diselamatkan.

“Semuanya habis basah dan ini adalah kejadian pertama selepas beberapa tahun saya menetap di sini,” katanya.

Sementara itu, M Parawathy, 59, berkata, kejadian itu sangat menakutkannya apabila melihat bumbung diterbangkan angin.

“Saya dengar bunyi yang sangat kuat dan lihat bahagian atas rumah sedikit bergegar. Tidak lama selepas itu air hujan mula masuk melalui siling rumah.

“Pada awalnya, saya masih tidak tahu apa yang berlaku, namun tidak lama selepas itu suasana menjadi sedikit kecoh apabila jiran-jiran mulai sedar akan kejadian ini," katanya.

Parawathy berkata, banyak juga barang yang rosak, namun gembira kerana ramai pihak yang datang membantu terutamanya membaiki bumbung yang rosak.

Dalam pada itu, semua mangsa menerima bantuan baik pulih bumbung dan rumah yang rosak daripada pihak berkuasa tempatan.

Malah mangsa juga turut menerima kunjungan kerja daripada Pegawai Daerah, Ab Khalid Mat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abd Wahab Shamsuddin.

Abd Wahab berkata, kontraktor yang dilantik sudah membaiki semua bumbung rumah yang rosak dalam kejadian itu.

“Kita turut membantu membersihkan runtuhan siling, bumbung yang diterbangkan dan mengeringkan air dalam rumah mangsa.

“Semua mangsa juga dibantu membuat laporan polis dan permohonan bantuan bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Mayat bertatu naga ditemui terapung



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU - Mayat reput seorang lelaki dijumpai terapung di kawasan perairan Pulau Cepu, Setiu, iaitu kira-kira 3.97 batu nautika barat daya Pantai Penarik, Setiu, tengah hari kelmarin.
Mayat lelaki yang hanya berseluar dalam berwarna biru itu dijumpai oleh seorang nelayan sebelum memaklumkan kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Terengganu (APMMT) kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mayat reput itu berjaya dibawa ke Jeti APMMT Pulau Kambing, di sini, kira-kira jam 1.44 petang.
“Melihatkan keadaan mayat yang memiliki tatu naga di lengan kiri, kami percaya dia seorang lelaki warga asing dan telah meninggal dunia lebih daripada 48 jam lalu.
“Lelaki itu dipercayai berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun, namun sehingga kini kami masih belum mengenal pasti identiti sebenar lelaki itu memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Menurut Manoharan, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman yang mencurigakan, bagaimanapun punca kematian masih tidak dapat dikenal pasti.

Tak sempat miliki Samsung Galaxy



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Tak sempat miliki Samsung Galaxy
Impian memiliki Samsung Galaxy tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas motosikal ditunggang dipercayai merempuh belakang lori kelmarin. Gambar kecil: Mohamad Zaidi
DUNGUN – Impian seorang remaja untuk memiliki telefon bimbit pintar merupakan permintaan terakhirnya sebelum dia menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan di sini, petang kelmarin.

Mohamad Zaidi Radzlan, 15, yang cedera parah maut apabila motosikal ditunggang dipercayai merempuh belakang sebuah lori tanah dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang manakala rakan yang membonceng motosikal bersamanya, Nor Nasihah Mohd Alfian, 15, dilaporkan kritikal.

Menceritakan detik sebelum tragedi, abang mangsa, Mohamad Ridzuan Razlan, 19, berkata, malam sebelum kemalangan menimpa arwah, anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu keinginannya memiliki sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy sekiranya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang baru diambilnya baru-baru ini.

Mohamad Ridzuan berkata, sebelum arwah masuk tidur, dia sempat memberitahu abangnya itu mengenai hasratnya untuk memiliki telefon bimbit berkenaan sekiranya dia mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan PMR.

“Adik saya beritahu, kalau saya dapat 8A abang mesti hadiahkan telefon Samsung Galaxy,

“Saya kata tak apalah, kalau dapat 2A pun abang beli juga, tak sangka pula belum sempat dia dapat telefon itu, dia sudah meninggal,” katanya.

Mohamad Ridzuan berkata, petang sebelum kejadian, adik lelakinya itu ada meminta izin ibunya, Rogayah Jusoh, 48, untuk ke sebuah kafe siber.

Bagaimanapun, mangsa yang menunggang bersama teman wanitanya, Nor Nasihah terbabit dalam kemalangan menyebabkan mangsa cedera parah dan mati serta merta di tempat kejadian manakala Nor Nasihah yang turut cedera parah itu dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan kecemasan.

Mohamad Ridzuan berkata, dia mendapat tahu berita buruk menimpa adik lelakinya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai itu ketika berada di tempat kerjanya di Tanjung Jara Resort.

Katanya, sebaik dihubungi, dia terus bergegas ke tempat kemalangan untuk mengetahui keadaan adik lelakinya itu.

“Sebaik sampai di situ, saya lihat darah membasahi jalan.

“Mayat arwah juga sudah ditutup, dia sudah tiada lagi,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Serai.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gempar motosikal terbang, tiga remaja cedera



NORHAFIZAN ZULKIFLI
18 Oktober 2012
Motosikal yang ditunggang remaja terbabit tersangkut di atap rumah milik Ramlah.
Motosikal yang ditunggang remaja terbabit tersangkut di atap rumah milik Ramlah.
JENGKA 4 - Penduduk Felda Jengka 4 digemparkan dengan kejadian motosikal terbang dan tersangkut di atas atap garaj salah sebuah rumah milik peneroka tanah rancangan terbabit, petang kelmarin.

Motosikal terbabit yang dinaiki tiga remaja berusia 16 tahun itu dikatakan terbabas sebaik sahaja keluar dari satu simpang kerana gagal mengawal brek lalu merempuh atap garaj rumah milik Ramlah Seman, 55, yang berada dalam kedudukan kira-kira tiga meter lebih rendah dari jalan tersebut.

Ramlah berkata, ketika kejadian, dia dan anak serta cucunya sedang berehat di dapur rumahnya.

“Tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat seakan-akan bunyi guruh namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Tidak lama kemudian saya mendengar riuh rendah di luar rumah memanggil nama saya dan memberitahu ada motosikal tersangkut di atap garaj rumah saya,” katanya.

Sebaik sahaja keluar rumah, Ramlah memberitahu, orang ramai sedang berkerumun di hadapan rumahnya menyaksikan kejadian yang belum pernah terjadi sepanjang tinggal di tanah rancangan terbabit.

“Saya meminta jiran-jiran untuk menurunkan dua orang remaja yang tercampak di atas atap rumah saya,” katanya yang memberitahu jiran-jiran turut membantu menurunkan motosikal tersebut dari bumbung rumahnya.

Suaminya, Mat Yusuf Noh, 66, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian atap garaj rumahnya rosak.

“Kejadian ini sebenarnya bukan kejadian pertama menimpa keluarga saya di mana sebelum ini, rumah ini pernah dilanggar sebuah kereta yang terbabas di simpang di hadapan rumah saya ini.

“Sebahagian dinding batu roboh, namun bernasib baik kerana secara kebetulan, tiada kereta diletakkan di bawah garaj tersebut,” katanya.

Penunggang motosikal terbabit, Muhammad Fikri Saridan, 16, yang patah kaki dan tangan, sempat terjun dari motosikal tersebut sebelum tercampak ke atas atap.

Sinar Harian dimaklumkan, dua rakan sebaya Muhammad Fikri yang membonceng motosikal tersebut turut tercampak ke atas atap.

Salah seorangnya patah tangan dan masih di rawat di Hospital Jengka manakala seorang lagi cedera ringan.

Lelaki maut, anak kritikal kereta bertembung lori




         
SEREMBAN: Seorang bapa terbunuh manakala anak lelakinya parah di kepala selepas kereta dinaiki terbabas dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Seri Sendayan berhampiran Taman Sendayan Indah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Kamal Saleh, 48, maut di tempat kejadian manakala anaknya, Mohd Shahril Ashraf, 13, dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini. Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati ketika kejadian dua beranak itu yang berasal dari Taman Gadong Jaya, di sini dalam perjalanan dari Taman Nusari Bayu menuju ke Sendayan.


Katanya, ketika melalui selekoh berhampiran Taman Sendayan Indah kereta Perodua Kancil dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan lori membawa muatan tar.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandunya tersepit dalam kereta sebelum dapat dikeluarkan dengan bantuan bomba.


“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan manakala anaknya masih dirawat dan keadaannya dilaporkan kritikal,” katanya di sini, semalam.


Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian berkata, punca sebenar masih disiasat.

Katanya, mayat mangsa yang selesai dibedah siasat sudah dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian.

Meninggal dunia selepas 6 hari bertarung nyawa




         
BATU PAHAT: “Selepas bertarung nyawa selama enam hari, Iris akhirnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya petang kelmarin,” kata Rafidah Mohamad Ashah, 29, di sini, semalam.

Rafidah adalah ibu kepada Nurul Irisyasida Balqis Abdul Azim, bayi berusia lapan bulan yang meninggal dunia akibat retak tempurung kepala, patah tangan kanan dan kaki kiri selepas dipercayai didera teman lelaki wanita terbabit.


Teman lelaki Rafidah pula kini dalam tahanan polis selepas ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Tongkang Pechah, Jumaat lalu, kerana dipercayai terbabit dengan beberapa kes pecah rumah dan pengedaran dadah di daerah berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Suspek yang berumur lingkungan 30-an terbabit turut positif dadah ketika ditahan.


Menurut Rafidah, doktor yang merawat Iris sudah memaklumkan kepadanya bahawa anaknya itu tiada harapan untuk hidup.


“Doktor mengatakan otak Iris sudah tidak berfungsi akibat kecederaan berkenaan. Iris juga tidak bertindak balas sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail, enam hari lalu.


“Sukar untuk saya terima perkara ini lebih-lebih lagi apabila saya dimaklumkan teman lelaki mungkin terbabit dalam kes ini. “Sebelum ini, teman lelaki menjaga Iris dengan baik, malah kerap membawanya keluar sejak Iris dilahirkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Kelambu.


Menurut Rafidah, kali terakhir teman lelakinya membawa Iris keluar adalah pada Jumaat lalu ketika mereka bertiga ke Melaka.

Rafidah berkata, memang berlaku sedikit perselisihan faham antara mereka berdua ketika di Melaka, namun perkara itu diserahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.


“Iris hanya pandai merangkak, saya pasti akan merindui suaranya ketika memanggil saya jika dia lapar,” katanya.


Menurut Rafidah, dia berkenalan dengan teman lelakinya itu kira-kira setahun setengah yang lalu.


“Dia memang sayangkan Iris, sebab itu saya tidak syak dia yang lakukan. Dia juga menghantar saya ketika bersalin dan rawatan berkala Iris.


“Bagaimanapun, saya serahkan semuanya kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya.


Jenazah Iris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak, semalam.

Buru orang tengah jual Porsche




         
KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lagi suspek yang menjadi orang tengah menjual sebuah kereta Porsche Panamera 4 berwarna emas bernilai RM900,000 di depan pusat pameran kereta di Jalan Bukit Bintang, yang disamun seorang lelaki pada 11 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil soal siasat ke atas suspek utama yang direman sejak seminggu lalu, pihaknya mengenal pasti seorang lagi suspek yang menjadi orang tengah menjual kereta mewah itu.


Menurutnya, suspek memberitahu mengambil upah mencuri kereta berkenaan sebanyak RM30,000 daripada seorang lagi suspek, Shoo Kar Sin, 42, dengan alamat terakhir di Vista Magna, Metro Prima, Jalan Kepong, di sini.

“Siasatan mendapati suspek turut terbabit dalam kejadian samun kereta Audi R8 bernilai RM560,000 pada 6 September lalu di Cheras dengan menggunakan modus operandi sama,” katanya dalam sidang media, semalam.

Bakal pengantin maut nahas



Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
         
GEORGETOWN: Seorang anggota Ikatan Relawan rakyat Malaysia (Rela) yang dijadual melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini, maut manakala tunangnya cedera apabila motosikal yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di simpang Jalan Lembah Permai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, Sheikh Mohd Adam Mohd Ishak, 20, dari Tanjung Bungah, di sini, dikatakan baru selesai menikmati makan tengah hari bersama tunangnya, Nor Fazliana Mohd Ramli, 22, juga anggota Rela.
Ketika kejadian, pasangan berkenaan dikatakan menunggang motosikal dari arah Tanjung Bungah menghala Mount Eskrine dalam perjalanan untuk bertugas mengawal lalu lintas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bungah.

Sheikh Mohd Adam dikatakan gagal mengelak apabila sebuah Perodua Myvi dipandu seorang wanita secara tiba-tiba memasuki persimpangan itu.


Bapa Nor Fazliana, Mohd Ramli Nor, 45, berkata dia menerima berita kemalangan itu daripada seorang rakannya lalu bergegas ke tempat kejadian.

Motor ‘terbang’ atas bumbung



Oleh Mohd Fauzi Abdullah
am@hmetro.com.my
         
MARAN: Penduduk Felda Jengka 4, dekat sini, dikejutkan dengan kejadian sebuah motosikal ‘terbang’ sebelum menghempap bumbung rumah seorang penduduk di tanah rancangan itu, menyebabkan tiga remaja yang menaiki motosikal terbabit mengalami kecederaan, kelmarin.

Ketika kejadian jam 4.30 petang itu, pemilik rumah, Ramlah Seman, 55, sedang berehat di dapur bersama anak dan cucunya.
Seorang daripada mangsa, Muhammad Fikri Saridan, 16, yang menunggang motosikal Yamaha patah kaki dan tangan apabila tercampak dari kenderaan itu.
Dua lagi rakannya pula tercampak ke atas bumbung bersama-sama motosikal dinaiki mereka.
Seorang daripada mereka yang tidak dikenal pasti identiti juga berusia 16 tahun patah tangan manakala seorang lagi cedera ringan.
Kedua-dua mangsa yang parah masih dirawat di Hospital Bandar Jengka (HBJ), di sini.

Koma jatuh tingkat 4



Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
         
JOHOR BAHRU: “Saya sangka ia bunyi sampah dibuang tapi terkejut apabila mendapati sebenarnya anak jiran terjatuh dari tingkat empat,” kata Mariam Husin, 50, di Flat Geharu, Taman Rinting, Masai, dekat sini, semalam.

Mariam individu pertama menemui Almuziri Said, kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dari tingkat empat kediaman keluarganya di flat berkenaan pada jam 5.30 petang kelmarin.


Mariam berkata, sebaik menyedari apa sebenarnya berlaku, dia menjerit untuk menarik perhatian jiran dan mangsa kemudian dihantar orang awam ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan.

Sebelum kejadian, Almuziri dipercayai memanjat tingkap bilik ibunya, namun terjatuh dan ketika itu ibu saudara, Adelin Ismail, 17, yang menjaganya sedang membancuh susu di dapur manakala ibunya, Fauzieh Ismail, 30, keluar bekerja di Pasir Gudang.


Akibat kejadian itu, tempurung kepala Almuziri retak dan dia kini koma serta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.


Menurut Mariam, dia kerap melihat Almuziri bermain di kawasan parkir kenderaan berdepan rumahnya.


“Dia kanak-kanak yang periang. Kami sedih dengan kejadian menimpa Almuziri dan akan melawatnya dalam masa terdekat. “Ini kejadian pertama berlaku di sini dan kami harap, keluarganya tabah dengan ujian ini,” katanya.


Sementara itu, Fauzieh ketika ditemui di HSI berkata, dia berdoa agar anak tunggalnya itu selamat.

“Saya sedang bekerja sebelum dihubungi adik yang memaklumkan Almuziri terjatuh dari tingkat empat sebelum bergegas pulang.


“Saya terkejut melihat kecederaan anak dan berdoa supaya dia segera sembuh. Doktor memaklumkan Almuziri akan menjalani pembedahan di kepala dalam masa terdekat,” katanya yang juga ibu tunggal.


Fauzieh turut berterima kasih kepada jiran yang membantu, kakitangan HSI serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya, Datuk M M Samy yang melawat dan menghulurkan sumbangan kecemasan.


M Samy berkata, pihaknya akan memantau perkembangan Almuziri dan menghulurkan bantuan lain yang bersesuaian.


“Kami simpati dengan kemalangan yang menimpa Almuziri dan berharap Fauzieh tabah. Kami akan bantu keluarga berkenaan mengikut keperluan,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Masyarakat Sabah Pasir Gudang, Alex Puspah, menasihatkan komuniti itu yang tinggal di flat memasang jeriji di kediaman masing-masing.


“Ada di kalangan masyarakat Sabah tidak memasang jeriji pada kediaman di flat menyebabkan anak mereka berisiko untuk jatuh jika bermain di tingkap bilik atau dapur.


“Itulah yang berlaku terhadap Almuziri. Jika kediaman itu dipasang jeriji, kemalangan itu mungkin boleh dielakkan. Ia perlu dijadikan pengajaran kepada semua,” katanya.

Tragedi hitam wanita jalan bersendirian




         
CHERAS: Seorang wanita melalui detik hitam dalam hidupnya selepas dia yang berjalan sendirian bukan saja ‘diculik’ tiga lelaki, malah turut diperkosa seorang daripada lelaki terbabit.

Difahamkan, wanita berusia awal 30-an yang trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah lelaki terbabit pada malam Isnin lalu membuat laporan di Bali Polis Petaling, kelmarin.


Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa keluar rumah untuk ke sebuah kedai berhampiran Taman Kampung Muhibbah, di sini, jam 9.30 malam.

“Ketika mangsa berjalan sendirian, sebuah kereta dinaiki tiga lelaki tidak dikenali menghampiri mangsa. Seorang daripada mereka keluar daripada kereta itu sebelum menarik mangsa.


“Mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki terbabit cuba mempertahankan diri dengan meronta dan menjerit,” katanya.


Sumber berkata, tindakan mangsa itu bagaimanapun gagal sebelum dia ditolak ke dalam kereta dan dilarikan ke sebuah kawasan kilang berhampiran.


Beliau berkata, selepas kejadian berkenaan, mangsa dibawa semula ke lokasi mangsa dilarikan sebelum ditinggalkan.


Berikutan itu, mangsa pulang ke rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling, di sini.

Laman sosial kongsi cerpen lucah




         
IPOH: Laman sosial facebook dikesan menjadi sasaran terbaru remaja tempatan mendapatkan akses percuma kepada laman web atau blog cerpen lucah dari negara jiran, Indonesia serta tempatan.

Pengguna Internet terutama remaja belasan tahun hanya perlu ‘like’ atau ‘suka’ pada akaun lucah terbabit sebelum berpeluang ‘menikmati’ paparan cerpen lucah dalam talian secara percuma.


Lengkap dengan gambar pornografi dan aksi seks pasangan, akaun laman sosial berkenaan mempunyai ribuan pengikut apabila masing-masing memiliki purata pengguna facebook melebihi 1,000 orang bagi setiap akaun.

Bagi menarik perhatian, setiap akaun meletakkan gambar peribadi menggiurkan termasuk gambar gadis tidak berpakaian dan separuh bogel.


Selain itu, akaun facebook cerpen lucah terbabit memaparkan pautan kepada blog dan laman web lucah dengan setiap pengguna perlu memasukkan nama dan kata laluan sama seperti digunakan laman facebook.


Semalam, Harian Metro mendedahkan segelintir remaja menyalahgunakan telefon bimbit pintar untuk melayari laman web cerpen lucah lengkap bergambar dari negara jiran termasuk Indonesia dengan langganan RM17 seminggu.


Namun, laman web atau blog cerpen lucah ditawarkan menerusi laman facebook itu tidak mengenakan bayaran langganan, sebaliknya boleh diakses percuma dengan syarat mereka perlu memiliki akaun laman sosial itu.


Tinjauan Harian Metro mendapati wujud ratusan akaun facebook menawarkan akses kepada cerpen lucah yang kebanyakannya menggunakan kata nama ‘cerita seks Melayu’; cerita seks dewasa dan cerita seks remaja 17+. Sementara itu, jurucakap SKMM ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya tidak mempunyai hak mengawal dan menutup akaun facebook kerana bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Nenek sapu keliling



Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
         
SUNGAI BULOH: Nenek RM50. Mungkin itu gelaran paling sesuai untuk seorang wanita berusia lewat 50-an yang pada mulanya minta dipinjamkan RM50 sebelum mencuri wang tunai dan barang kemas beberapa mangsa hingga ada yang kerugian lebih RM25,000.

Difahamkan, warga emas terbabit sudah memperdaya lebih 10 mangsa yang dikenalinya di sekitar Sungai Buloh, dekat sini, dengan jumlah kerugian keseluruhannya dipercayai puluhan ribu ringgit.
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Aminah, 70, berkata, dia kerugian lebih RM25,000 selepas wang tunai dan barang kemas miliknya dilarikan wanita terbabit beberapa tahun lalu.

Menurutnya, tabiat buruk wanita itu hanya disedari sebaik barangan kemas disimpan dalam biliknya hilang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.


“Wanita itu pernah dipenjarakan atas kesalahannya itu. Namun, suaminya datang merayu minta saya menarik balik laporan. Kerana simpati, saya menarik semula laporan sebelum wanita terbabit dibebaskan.