Search This Blog

Tuesday, October 16, 2012

Kes samun 5kg barang kemas: Polis tahan 7 lelaki




16 Oktober 2012
SHAH ALAM - Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun lima kilogram barangan kemas bernilai hampir RM700,000 daripada daripada tiga beranak di Kota Kemuning di sini, bulan lepas.
  
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata suspek berusia antara 30 dan 56 tahun itu ditangkap dalam operasi berasingan dari 3 hingga 12 Oktober lepas dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.
  
Enam daripada mereka ditangkap di Seremban, Negeri Sembilan dan seorang di sini, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
  
Beliau berkata empat suspek dipercayai terbabit dalam kes samun menggunakan parang pada 27 Sept itu, dua lagi disyaki melebur barangan kemas terbabit, manakala seorang dipercayai pembeli.
  
Polis turut menemui dua jongkong emas seberat 780 gram bernilai RM140,000 dipercayai hasil barangan kemas yang dilebur, wang tunai RM18,950 dan dua motosikal dengan sebuah dipercayai dibeli secara tunai menggunakan wang hasil samun tersebut, katanya.
  
Zahedi berkata polis kini memburu seorang lagi lelaki dikenali S. Kanagaraja, 26, atau Prabu, dari Taman Kelab Tuanku, Mambau, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes itu.
  
Dalam kejadian 27 September itu, empat lelaki bersenjatakan parang menyamun tiga beranak dari Seremban yang menjual barangan kemas dari rumah ke rumah.
  
Zahedi berkata polis percaya penjenayah telah lama memerhati dan mengekori tiga beranak berkenaan.
  
Mengulas kes berbeza, Zahedi meminta orang ramai di sini melaporkan kepada polis jika terlihat kehadiran lelaki Kaukasia di kawasan perumahan mereka.
  
Ini berikutan kejadian pecah rumah di Kota Kemuning di sini Sabtu lepas, disyaki dilakukan empat lelaki Kaukasia yang melarikan sebuah kamera dan komputer riba dengan nilai keseluruhan lebih RM10,000, katanya.
  
"Modus operandi mereka ialah memastikan tiada orang di rumah  dengan menekan loceng pintu atau pintu pagar sebelum menyelinap masuk, mengumpil pintu dan melarikan barang-barang berharga," katanya. - Bernama

Lelaki Siam cedera ditembak 3 das



ROSALWANI CHE SOH ADILA SHARINNI WAHID 
16 Oktober 2012
Lelaki Siam cedera ditembak 3 das
Kereta jenis Proton Wira dinaiki Ong Sok Cha pecah cermin sisi selepas terkena tempias tembakan dalam kejadian malam tadi.
KOTA BHARU - Seorang lelaki Siam cedera di bahagian kepala dan lengan selepas ditembak dengan tiga das dalam kejadian di stesen minyak Jalan Kebun Sultan, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun mangsa dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Samnuan Sunnuan, bersama rakannya menaiki kenderaan jenis Myvi singgah di stesen berkenaan untuk mengisi minyak kenderaan itu.
Dipercayai ketika Samnuan berada di luar, seorang lelaki menghampiri kereta berkenaan dan masuk ke dalamnya sehingga menyebabkan rakannya yang berada di dalam kereta melarikan diri.
Seorang saksi, Ong Sok Cha, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua rakannya sampai di kawasan itu untuk mengisi minyak di sebelah kenderaan itu.
“Saya tidak nampak kelibat lelaki yang melepaskan tembakan itu, cuma saya dengar bunyi tiga das tembakan dan kami bertiga dalam kereta terus lari menyelamatkan diri.
 “Akibat kejadian itu, kereta milik suami turut pecah cermin di bahagian sisi pemandu,” katanya.
 Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, melihatkan tindakan lelaki itu, Samnuan cuba menghalang lelaki terbabit masuk ke dalam kereta dan menyebabkan suspek melepaskan tiga das tembakan dan terus melarikan diri dengan kereta Myvi terbabit.
“Dipercayai lelaki berkenaan datang dengan kereta jenis Waja yang dinaiki dua lagi suspek ke kawasan itu.
“Ekoran kejadian itu, Ops tutup dilancarkan serta merta dan kesemua kenderaan MPV polis serta bahagian anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diarahkan mengesan suspek dan kenderaan jenis Proton Waja berjaya dijumpai di Jalan Yaakobiah pada malam itu juga,” katanya.
Jalaluddin berkata, berlaku adegan kejar mengejar dengan kenderaan Waja berkenaan yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai hilang di Tanah Merah.
“Akibat takut dikepong polis, suspek yang menaiki kereta itu melanggar lima buah kenderaan dan cuba melanggar seorang anggota polis sehingga menyebabkan polis melepaskan satu das tembakan yang terkena pada bumper kereta.
“Dua suspek dalam kereta itu cuba meloloskan diri namun cubaan mereka tidak berjaya dan dapat ditahan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek terlibat dan lelaki yang melarikan Myvi itu masih bebas dan dipercayai punca kejadian mempunyai kaitan dengan hutang dadah.
“Setakat ini usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat di bawah seksyen 3 FIPA  1971,” katanya.
Dalam pada itu, dua suspek terbabit dalam kes tersebut dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam.
Perintah keluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md Saad.
 Kedua suspek berusia 25 dan 22 tahun itu ditahan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Reman kedua-duanya berkuat kuasa hari ini.

Lans Koperal cedera, dua kereta rempuh sekatan polis




16 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis cedera apabila dua kereta merempuh sekatan jalan raya polis di Lebuhraya Grand Saga Batu 10, dekat sini awal pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata akibat rempuhan pada 4.30 pagi itu, Lans Koperal Rozaili Hamid, 28, cedera di kepala, dahi, bahu dan rusuk kirinya serta beliau dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
  
Beliau berkata sebelum rempuhan itu seorang lelaki telah mencuri kereta jenis Toyota Estima milik seorang wanita dari sebuah rumah di Sungai Long Kajang manakala rakannya memandu Toyota Camry mengikuti dari belakang.
  
Katanya apabila tiba di sekatan jalan berkenaan, lelaki yang memandu Toyota Camry telah memecut kenderaan itu lalu merempuh sekatan polis manakala kereta Toyota Estima itu pula merempuh Rozaili.
  
Ab Rashid berkata kedua-dua kereta berkenaan bagaimanapun berjaya dikesan dalam setengah jam kemudian.
  
"Toyota Estima ditemui di tempat letak kereta lot awam rumah kedai Jalan 2Taman Orkid manakala Toyota Camry di tempat letak kereta di Jalan 6 Taman Orkid," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
  
Bagaimanapun kesemua penjenayah terbabit menghilangkan diri dan pihak polis kini sedang menjejaki mereka.  - Bernama

Empat lelaki dipenjara lima tahun sebabkan kematian seorang penggangur




16 Oktober 2012
SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas empat lelaki yang mengaku menyebabkan kematian seorang penganggur, tahun lepas.
  
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan P.Rajasekaran, 45, K.Parameswaran, 40, M.Batumalai, 29, dan P.Saravanan, 29, menjalani hukuman itu mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 21 dan 22 Ogos 2011.
  
Mereka didakwa menyebabkan kematian Noor Azlan Mohd Noor, 30, di kawasan Podium Padang Merdeka, Port Dickson antara 8.30 malam hingga 11 malam pada 20 Ogos 2011.
  
Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad, pada hari kejadian, semua tertuduh sedang menjamu selera di kawasan Podium Padang Merdeka sebelum didatangi mangsa yang dalam keadaan khayal.
  
Mangsa kemudian secara tiba-tiba menyepak nasi yang dimakan Parameswaran dan Batumalai serta merampas minuman mereka, sekali gus menyebabkan berlaku pergaduhan atas provokasi.
  
Semua tertuduh kemudian memukul Noor Azlan sehingga menyebabkan kematiannya dan membuang mayat mangsa di tepi longkang berhampiran lokasi kejadian bagi menghapuskan bukti sebelum ditemui keesokan hari.
  
Hasil bedah siasat mendapati Noor Azlan meninggal dunia akibat hentakan pada bahagian leher. - Bernama

Kebakaran: 12 rumah kedai lama musnah



ROSDALILAH ZAHARI & SAIFUL BAHARIL BASERI
16 Oktober 2012
Kebakaran: 12 rumah kedai lama musnah
Api yang marak memusnahkan deretan 12 unit rumah kedai dalam kebakaran, awal pagi semalam
KAMPAR - Pasangan warga emas nyaris maut dalam kejadian kebakaran membabitkan deretan 12 unit rumah kedai kelas sementara jenis C (papan) yang berusia kira-kira 80 tahun di Jalan Tokong, awal pagi semalam.
Pemilik kedai kopi yang hanya dikenali sebagai Leong, 67, berkata dia bersama isterinya tinggal di kedai itu sejak 10 tahun lalu tetapi menyewa dan mengusahakan perniagaan kedai kopi kira-kira 40 tahun lalu di situ sehingga kini.
“Sewaktu kejadian saya dan isteri sedang nyenyak tidur sebelum mendengar ketukan pintu yang kuat datang dari arah pintu hadapan kedai.
“Apabila membuka pintu kedai saya lihat kawan dalam keadaan cemas menyuruh kami segera menyelamatkan diri kerana api sedang marak memusnahkan deretan kedai bersebelahan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Katanya, kejadian kebakaran itu menyebabkan dia dan isteri tidak tidak sempat menyelamatkan segala dokumen penting selain perabot seperti meja dan kerusi musnah hanya dalam sekelip mata.

“Kami bercadang untuk menutup kedai ini dan berpindah di premis baru memandangkan ia akan dirobohkan dalam masa terdekat. Sesetengah meja dan kerusi juga sudah dijual kepada pelanggan.
“Namun, kini kami buntu bagaimana untuk memberikan ganti rugi kepada pelanggan yang sudah membeli meja dan kerusi ini memandang ia musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Perniagaan keluarga musnah
Seorang lagi mangsa, P Mehgeanraaj, 22, yang menjalankan peniagaan kedai runcit mengalami kerugian hampir RM120,000 akibat kebakaran itu.
Katanya, perniagaan kedai runcit milik keluarganya mula beroperasi sejak 2005 dan ini adalah kejadian yang pertama berlaku.

Menurutnya, keluarganya juga sudah menyediakan premis kedai runcit yang baru dan mereka dijangka berpindah hujung bulan ini.
“Pada jam 1.50 pagi, rakan saya datang ke rumah memberitahu kedai runcit milik kami terbakar. Selepas mendapat berita itu, saya terus bergegas ke lokasi bagi melihat sendiri apa yang terjadi ke atas kedai kami.
“Sewaktu tiba, kedai kami sudah musnah terbakar 100 peratus. Malah, segala stok barangan runcit yang baru sampai untuk dijual pada perayaan Deepavali ini turut musnah,” ujarnya.

Dia berharap supaya ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban mangsa yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

Sementara seorang pemilik kedai basikal, Kong Chee Kin, 31, akui bernasib baik kerana sudah berpindah ke premis baru di Bandar Baru Kampar beberapa bulan lalu.
Dia yang mengusahakan perniagaan basikal mengalami kerugian sekitar RM4,000 dalam kejadian itu.

“Dulu saya menjual dan membaiki basikal di sini namun selepas membeli kedai baru, saya berpindah dan menjalankan perniagaan itu di kawasan berhampiran.

“Namun, lima buah basikal yang masih tersimpan dalam kedai tersebut hangus sehingga menyebabkan saya kerugian ribuan ringgit,” katanya.

Kawal kebakaran 28 minit
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar memaklumkan kejadian tersebut pada jam 1.40 pagi.
Menurutnya, empat jentera termasuk sebuah lori tangki bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Gopeng dan Tapah yang membawa 25 anggota dan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Di lokasi kejadian, anggota kami bertungkus lumus menghentikan kebakaran dan ia berjaya dikawal 28 minit kemudian,” katanya pada sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, di sini, semalam.
Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan seluruh 10 unit rumah kedai manakala dua unit lagi terbakar kira-kira 50 peratus.

Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari bahagian tengah kedai. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Ujarnya, hanya empat kedai yang beroperasi manakala dua lagi dijadikan stor simpanan barang.
“Enam kedai lagi sudah dikosongkan dan tidak beroperasi lagi. Setakat ini kami tidak dapat mengenal pasti anggaran kerugian mangsa kerana kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu,” katanya.

Graduan dakwa dipukau



AZIZAN INCHE HARUN
16 Oktober 2012
Graduan dakwa dipukau
Syed Othman bersama Nadzirah menunjukkan laporan polis yang dibuat 9 Oktober lepas.
PASIR GUDANG – Hasrat bakal graduan Universiti Malaysia Sabah membeli kasut konvokesyen di sebuah pasar raya, di sini 9 Oktober lepas bertukar detik hitam apabila kerugian RM8,000 selepas mendakwa dipukau seorang lelaki yang tidak dikenali.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Nadzirah berkata, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pelajar pondok berasal dari Brunei itu bertanyakan kedai buku Islam dalam pasar raya berkenaan.

Menurutnya, lelaki berkenaan memintanya bertanyakan kepada seorang lelaki lain yang kebetulan berada berhampiran selepas dimaklumkan tidak mengetahui lokasi kedai buku itu.

“Sebelum berlalu pergi, lelaki yang mengaku pelajar pondok itu memberikan sebiji batu berwarna merah kepada saya dan lelaki yang menunjukkan lokasi kedai buku sebagai tanda terima kasih.
“Lelaki itu memanggil pelajar pondok itu kembali dan bertanyakan kegunaan batu itu sebelum mengajak saya ke restoran makanan segera dalam pasar raya itu,” katanya pada sidang media di Pusat Aduan Rakyat (PAR), di sini, semalam.
Nadzirah berkata, dia menjadi teruja apabila pelajar pondok itu membacakan sesuatu pada batu itu sambil menoreh tangannya menggunakan pisau, tetapi tidak berdarah.

Menurutnya, pelajar pondok itu memintanya menanggalkan rantai leher dan dua gelang tangan emas yang dipakai supaya memasukkannya ke dalam sampul surat untuk keselamatan.
“Saya tanpa sedar menurut semua perintahnya supaya memasukkan kad ATM milik ayah berserta nombor pin, duit RM50, dua gelang tangan, seutas rantai leher berserta loket ke dalam sampul surat yang diberikan.

“Dia memulangkan sampul surat itu kepada saya, tapi tak sangka selepas pulang ke rumah lebih kurang jam 9 malam saya mendapati sampul surat itu berisi duit syiling RM1.70, kad ATM milik individu lain dan sehelai surat khabar,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PAR Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya menerima tiga aduan berkaitan kes yang sama dipercayai pukau di lokasi yang sama.

Menurutnya, aduan pertama melibatkan seorang wanita yang kerugian sebanyak RM10,000, manakala aduan kedua melibatkan seorang lelaki kerugian sebanyak RM30,000 pada tahun lepas.

“Jalan cerita yang saya dengar daripada ketiga-tiga pengadu adalah sama, malah lokasi kejadian juga di sebuah pasar raya yang sama.

“Jadi saya minta pendedahan yang dibuat ini boleh menjadi pengajaran kepada orang lain agar lebih berhati-hati walau di mana sahaja berada,” katanya.

Maut rempuh lori berhenti



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Maut rempuh lori berhenti
Anggota polis mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
LEMBAH BERINGIN - Seorang lelaki maut dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu setelah kereta dipandu merempuh belakang lori tangki muatan simen dalam kemalangan di Kilometer 411.8 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini, petang semalam.
Pemandu lori terbabit, Chow Wah, 57, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika dia berhenti di bahu jalan sementara menunggu kedatangan rakannya dari Klang untuk menggantikan tayar lori yang pancit.
“Ketika saya rehat tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang turut menggegarkan lori.
“Saya terkejut apabila mendapati sebuah kereta Proton Persona remuk dan terperosok di belakang lori manakala pemandunya tersepit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia trauma kerana mangsa maut di belakang lorinya.

Sementara itu, rakan mangsa, S Innasimuthu, 39, berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hooi Chee Kong, 55, masih bernyawa ketika dia tiba namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Puchong dan terbabit kemalangan kerana mengantuk.

“Mangsa masih bernyawa ketika saya sampai dan ada orang awam yang memberinya minum.

“Tapi ajalnya sudah sampai dan dia mati di tempat duduk,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Curi motosikal: Pelajar ditahan



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
16 Oktober 2012

Raja Shahrom (kiri) dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan (kanan) menunjukkan komponen motosikal dileraikan yang dirampas.
BUKIT BERUANG - Seramai 12 pelajar termasuk seorang remaja 15 tahun yang juga ketua salah satu daripada tiga kumpulan berbeza, antara ditahan kerana disyaki terlibat curi motosikal di sekitar negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, remaja tidak bersekolah itu antara 47 lelaki ditahan pasukan khas yang ditubuhkan polis kontinjen Melaka bagi menangani kadar jenayah curi motosikal.

“Semua lelaki termasuk 12 pelajar, berusia 13 hingga 40 tahun ditahan di tiga daerah berasingan di negeri ini oleh pasukan khas, antara 1 hingga 15 Oktober lalu.

“Kami percaya penahanan mereka membantu polis menyelesaikan 12 kes curi motosikal di negeri ini sejak Januari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut pihaknya membawa kepada penemuan 23 motosikal curi yang disembunyikan di beberapa bengkel haram di belakang rumah suspek.

“Terdapat juga beberapa rangka dan komponen motosikal telah dileraikan sebelum dibuang ke dalam sungai bagi mengelak dikesan polis,” katanya.

Menurutnya, setakat ini hanya seorang sahaja dibebaskan kerana tidak terlibat sementara tujuh lagi telah dihadapkan ke mahkamah.

“Seramai 19 orang masih dalam tahanan reman bagi tujuan siasatan lanjut manakala 20 dibebaskan dengan jaminan polis.

“Mereka yang disyaki melakukan curi disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan  Kecil 1955, manakala sebahagiannya yang memiliki barangan curi disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan selain Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi,” katanya.

Pembantu kedai nafi rompak



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Pembantu kedai nafi rompak
Rashkumar dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Seorang pembantu kedai perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan minggu lalu.
Rashkumar Bala, 21, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Azizi.
Mengikut pertuduhan, Rashkumar didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas merompak wanita warga emas berusia 55 tahun bersenjatakan parang di Flat Green Garden, Paya Terubong, kira-kira jam 5 pagi, 2 Oktober lalu.
Lelaki itu juga didakwa merompak sebuah telefon bimbit, rantai leher dan sepasang subang serta wang tunai RM200.
Untuk setiap pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.

Terdahulu, Sitarun Nisa membenarkan Rashkumar diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Polis tahan 47 lelaki terbabit curi motosikal




15 Oktober 2012
MELAKA - Polis Melaka menahan 47 lelaki termasuk anggota tiga kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal, melalui pasukan khas yang ditubuhkan pada 1 Oktober lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata semua lelaki berkenaan termasuk 12 pelajar sekolah berusia antara 13 dan 40 tahun ditahan di tiga daerah.
  
"Kita percaya penahanan kesemua lelaki tersebut telah membantu polis menyelesaikan sebanyak 12 kes curi motosikal di Melaka bermula Januari lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.
  
Katanya pasukan khas itu turut menemui 23 motosikal curi yang disembunyikan di beberapa bengkal haram di belakang rumah suspek serta rangka motosikal yang telah dileraikan dan dibuang ke dalam sungai bagi mengelak daripada dikesan polis.
 
Katanya daripada jumlah yang ditahan itu, tujuh telah dihadap ke mahkamah, 19 masih dalam siasatan, 20 dibebaskan dengan jaminan polis dan seorang dibebaskan kerana didapati tidak terlibat dengan kejadian curi motosikal tersebut.

Raja Shahrom berkata secara keseluruhan, kes kecurian motosikal di negeri itu mencatatkan peningkatan 27 peratus dalam tempoh Januari hingga semalam dengan kerugian dianggar RM4.8 juta.
  
"Dalam tempoh sama tahun lepas, bilangan motosikal yang dicuri hanya sebanyak 1,261 buah berbanding 1,600 pada tahun ini," katanya.
   
Sehubungan itu, beliau menasihati pemilik motosikal terutama Honda EX5 dan Yamaha 125 yang sering menjadi sasaran pencuri agar memastikan kenderaan mereka dikunci dan diletak di tempat selamat.
  
Dalam perkembangan lain, Raja Shahrom berkata polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pengawal keselamatan, M. Kuganthiran, 19, maut ditetak sekumpulan lelaki di kawasan perindustrian Kelemak, Alor Gajah pada 22 September lepas.
  
Beliau berkata K. Prakash, 23, dan P. Suresh, 27, masing-masing dari Selandar dan Kesang Pajak, Jasin serta M. Nagaratnam, 26, dari Tampin, Negeri Sembilan diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. - Bernama

Padah curi sekampit beras



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Padah curi sekampit beras
Suspek (tengah) menundukkan mukanya semasa dibawa ambulans untuk rawatan lanjut
KEPALA BATAS - Akibat mencuri sekampit beras, seorang buruh teruk dibelasah sekumpulan peniaga di sebuah premis perniagaan di jalan utama dekat Kompleks Kailan di sini, petang semalam.
Lebih malang, suspek berbangsa Melayu lewat 20-an yang cedera di muka dan badan itu tidak ditolong pelanggan kedai runcit berkenaan dan orang ramai yang lalu lalang biarpun kejadian itu berlaku di tempat awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang kelmarin, perbuatan jenayah suspek itu yang selamba mengendong sekampit beras yang diambil dari kedai berkenaan disedari pemiliknya.
Suspek diarah memulangkan beras berkenaan, tetapi tidak diendahkannya sebaliknya cuba melarikan diri sebelum dihalang seorang lelaki saudara pemilik premis berkenaan.
Kejadian itu dilihat oleh sekumpulan peniaga di sekitar premis berkenaan yang kemudiannya bertindak cuba menahan suspek sehingga berlaku pergelutan dan akhirnya suspek cedera dibelasah sebelum diikat kemudiannya.
Pemilik kedai yang enggan mendedahkan namanya berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku tetapi kejadian terdahulu didiamkan sahaja.
Menurutnya, sebagai peniaga yang sudah lama menjalankan perniagaan kedai runcit di situ, dia mengenali sebahagian besar pelanggannya dan mengecam wajah suspek yang sebelum ini sering mencuri pelbagai barangan di kedainya tanpa membuat bayaran.
Sebaik polis tiba suspek dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut kerana cedera teruk di muka dan beberapa bahagian badannya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, selepas diberikan rawatan suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan hasil pemeriksaan mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Mat rempit gadai nyawa



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Mat rempit gadai nyawa
Motosikal yang ditahan dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk siasatan.
BANDA HILIR - Mat rempit sanggup melanggar dan merempuh anggota polis semata-mata mahu meloloskan diri daripada sekatan jalan raya.
Itulah aksi berani yang dapat dilihat dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Eye On Malaysia, petang kelmarin.

Operasi dilakukan 14 pegawai dan anggota polis cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, diketuai Pegawai Penguat Kuasa Trafik, Inspektor Abd Zaki Zainal, bermula kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Dalam operasi itu, seorang pelajar lelaki tingkatan lima turut ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya.
Sebanyak 14 motosikal disita dan pemiliknya turut dikenakan tindakan kerana membenarkan penunggang tiada lesen menggunakan motosikal terbabit dalam operasi yang dijalankan selama empat jam itu.  
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, 100 motosikal diperiksa dan 14 daripadanya disita kerana melakukan kesalahan menunggang  tanpa lesen.
“Dalam operasi sama, kita turut mengeluarkan 45 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.

'Terbang' bersama basikal



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
'Terbang' bersama basikal
Anggota polis mengangkat mangsa yang maut setelah dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di KM69 Jalan Teluk Intan - Klang, kelmarin.
SABAK BERNAM - Seorang penunggang basikal maut dirempuh sebuah kenderaan ketika cuba melintas jalan di Kilometer 69 Jalan Teluk Intan-Klang, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 9 malam itu menyebabkan mangsa yang dikenali sebagai Paiman, 53, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan warga Indonesia itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang basikal cuba melintas namun gagal sebelum dirempuh sebuah kereta Proton Saga BLM.

“Mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dari makan di Sungai Labu cuba untuk melintas namun tidak menyedari kehadiran kereta tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat manakala pemandu yang merempuh mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang turut menasihat pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu di jalan gelap.

Dalam pada itu, pemandu kereta berkenaan, Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, 26, berkata, dia tidak menyedari kehadiran penunggang basikal berkenaan memandangkan keadaan jalan yang gelap serta tidak mempunyai lampu.
“Saya cuba untuk mengelak namun jarak kami yang sangat hampir menyebabkan saya tidak sempat membrek lalu merempuh mangsa sehingga  dia terpelanting,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar.

Isteri maut dicekik suami



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
SHAH ALAM – Seorang eksekutif teknologi maklumat maut dipercayai dicekik suami dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Jelutong, Sabtu lalu.
Sebelum itu, mangsa berumur 39 tahun dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh suaminya selepas tidak sedarkan diri, kira-kira jam 1 petang.

Pihak hospital kemudiannya mengesahkan wanita itu meninggal dunia dan satu laporan polis berhubung kematian tersebut dibuat oleh suami mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam laporan tersebut, lelaki itu mendakwa isterinya pengsan dan jatuh di dalam bilik air.

“Bagaimanapun, laporan bedah siasat yang diterima mengatakan terdapat kesan kekerasan pada leher mangsa yang menjadi punca kematiannya.

“Berdasarkan bukti itu, kita menahan suami mangsa semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Dijel 8 tahun gara-gara samun beg



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Dijel 8 tahun gara-gara samun beg
Suzaimi ketika dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Seorang peniaga dihukum penjara lapan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana menyamun beg pinggang milik warga Indonesia.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kes Suzaimi Saad, 33.

Mengikut pertuduhan, Suzaimi disabit bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan samun berkawan ke atas beg pinggang milik Maliyono Ilyas, yang mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai RM200.
Kejadian itu berlaku di simpang tiga Jalan Bukit Kechil 2, Taman Sri Nibong Bayan Baru, dekat sini, kira-kira jam 6 petang, 15 Jun 2011.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit, mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Rosli Ismail mewakili Suzaimi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman hingga rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hasrat proses dadah berkecai



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Hasrat proses dadah berkecai
Baharom (tengah) bersama Ketua Bahagian Narkotik IPD Tampin, Asistan Superintendan Chan Yoke Meng (kanan) menunjukkan serbuk yang dirampas di Taman Clonlee, Tampin.
TAMPIN – Hasrat dua mekanik berusia 38 dan 19 tahun yang hanya memiliki kelulusan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk memproses 53 peket plastik berupa serbuk seberat 97 kilogram menjadi dadah hancur berkecai.
Mereka ditangkap dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di sebuah rumah di Taman Clonlee, dekat sini, 10 Oktober lalu.

Dalam serbuan kira-kira 4.15 pagi itu, pihak polis melakukan  pemeriksaan di rumah berkenaan, milik keluarga salah seorang suspek dan menemui pelbagai bahan termasuk beberapa jenis bahan kimia serta peralatan disyaki untuk  memproses dadah yang berada dalam sebuah bilik di rumah itu.

Ketua Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Superintendan Baharom Othman berkata, pihak polis turut menemui dua peket dadah jenis syabu seberat 1.10 gram daripada salah seorang lelaki ditahan.

“Bagaimanapun, kita tidak menemui apa-apa dokumen yang menyenaraikan langkah menghasilkan dadah, namun kita percaya kejayaan menangkap dua lelaki ini berjaya menghalang proses penghasilan dadah yang mana kita jangka pasaran untuk mengedarkannya juga cukup besar sehingga ke negeri di selatan tanah air.

“Jika diikutkan, penghasilan dadah ini amat berbahaya sehingga boleh membawa risiko letupan, namun penemuan pelbagai alat termasuk alat penimbang dan buret menunjukkan ia sememangnya sudah dirancang untuk menghasilkan dadah,” katanya pada sidang media di IPD Tampin, dekat sini, semalam.

Kedua-dua suspek didapati positif dadah dan ditahan reman sehingga 17 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952 kerana kesalahan memiliki dadah.

Dalam tangkapan kedua kira-kira 5.30 petang 12 Oktober lalu, sepasukan anggota narkotik dari IPD Tampin yang juga diketuai Inspektor S Karthigeyen membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berumur 35 tahun di Kampung Semin, Lubok China, Rembau.

“Susulan tangkapan berkenaan, pihak polis berjaya menemui sejumlah 14 peket dan satu botol mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat lebih dari 50 gram. Hasil siasatan ke atas suspek, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan dua perempuan berusia 20 serta 22 tahun di sebuah rumah di kawasan Lubok China, Rembau yang baru sahaja disewa sejak dua hari lalu.
“Pihak polis tidak menemui dadah di dalam rumah berkenaan, namun taktik licik ketiga-tiga suspek yang menggali lubang bagi menanam kira-kira 216 peket serbuk yang disyaki dadah jenis heroin seberat 466 gram bernilai
RM15,000 berhampiran rumah sewa berkenaan berjaya dikesan pihak polis.

“Pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM500 dalam tangkapan kes kedua ini," katanya.

Baharom berkata, dua suspek yang ditahan di rumah berkenaan iaitu lelaki berusia 35 tahun dan juga wanita berusia 22 tahun adalah pasangan suami isteri yang mempunyai rekod kesalahan lampau dan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Manakala, seorang lagi lelaki didapati mempunyai kesalahan di bawah Akta Dadah Penagih Dadah.  Keempat-empat suspek didapati positif morfin dalam ujian saringan awal urin dan direman sehingga 22 Oktober ini," katanya

Dalam tangkapan ketiga kira-kira 2.45 pagi 12 Oktober lalu, sepasukan anggota polis narkotik IPD Kuala Pilah diketuai Inspektor Annas Fikri Othman membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Padang Lebar, Batu Kikir.

“Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan menjumpai satu beg plastik berisi daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 489 gram yang dianggarkan berharga hampir RM3,000.

“Malah, kita turut menjumpai plastik kosong dipercayai untuk membalut dadah jenis ganja berkenaan untuk dijual," katanya.

Menurutnya, suspek yang positif ganja selepas menjalani ujian saringan awal ditahan reman sehingga 19 Oktober ini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

"Hasil kerjasama orang awam, polis berjaya membuat tiga tangkapan, sekali gus   berjaya menumpaskan penghasilan dan pengedaran dadah di negeri ini," katanya.

Penunggang, pejalan kaki maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Penunggang, pejalan kaki maut
Mayat mangsa pejalan kaki yang maut dalam kemalangan di hantar ke HKL untuk bedah siasat
KUALA LUMPUR – Seoarang penunggang motosikal dan seorang pejalan kaki maut kemalangan di Jalan Cheras, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, motosikal yang ditunggang Muhamad Fikri Khairol Anuar, 22, dipercayai terbabas selepas gagal mengelak pejalan kaki yang menggunakan laluan sama.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, akibat hilang kawalan, penunggang motosikal terjatuh sebelum dilanggar lori seberat 16 tan dari arah yang sama.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku akibat pejalan kaki yang tidak mempunyai pengenalan diri itu menggunakan laluan kenderaan untuk melintas.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di perut, kepala dan beberapa bahagian badan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Pelajar mati peha terputus



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Che Ku Mohd Shafiq Asmawi
Motosikal yang ditunggangi Che Ku Mohd Shafiq Asmawi putus dua selepas bertembung dengan kereta BMW dalam kemalangan dekat Gerai Lemang Kijal.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.
KIJAL – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan mengerikan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta BMW, di Kilometer 136.2 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Gerai Lemang Kijal, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Che Ku Mohd Shafiq Asmawi Che Ku Mohd Sani, 16, beralamat di Taman Air Jerneh, Kemasik yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, mati serta merta di tempat kejadian.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 Dream, dipercayai berlanggar secara berdepan dengan kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan.
Sejurus kemalangan itu, motosikal ditemui kira-kira 42 meter dari tempat mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik terbaring.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, akibat pertembungan itu motosikal yang dinaiki mangsa terputus dua, sementara kereta BMW yang dinaiki seorang kontraktor remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan didapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada kanan dan paha kanan. Jenazahnya dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 pagi.

“Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan. Justeru kita harapkan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09-859 2222.

Cubaan curi bateri treler kantoi



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Cubaan curi bateri treler kantoi
Rosulaimi mengaku mencuri bateri lori treler di tepi jalan Kampung Losong Masjid, Chabang Tiga, di sini, 9 Oktober lalu.
KUALA TERENGGANU –  Hasrat seorang penganggur yang ingin merembat bateri dari sebuah lori treler yang diletakkan di tepi jalan Kampung Losong Masjid, Chabang Tiga, di sini, tidak kesampaian apabila kenderaan yang disangkakan tidak ‘berpenghuni’ itu rupa-rupanya masih ada pemandu, yang juga pemilik treler berkenaan.

Dia berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan selepas mengaku bersalah di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, Rosila Nik, semalam.

Tertuduh, Rosulaimi Mamat @ Omar, 40, mengaku mencuri bateri jenis Yuasa dari sebuah lori treler pada 9 Oktober lalu, kira-kira jam 8.30 malam di tepi jalan Kampung Losong Masjid, Chabang Tiga, di sini.
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan /511 Kanun Keseksaan.

Rosila menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret, dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, Rosulaimi ditangkap sendiri oleh pemandu lori treler itu yang semasa kejadian masih berada di dalam kenderaannya, sebelum tiba-tiba merasakan treler itu bergoyang.

Dalam kelam kabut, mangsa turun dan ternampak dua lelaki tidak dikenali sedang mencungkil bateri yang ada di tempat letak bateri.

Mangsa terus menghampiri kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal, manakala Rosulaimi berjaya ditangkap.
Hasil pemeriksaan, polis menjumpai dua pemutar skru yang disorokkan di dalam baju dipakainya dan mangsa yakin Rosulaimi bersama rakannya yang berjaya melarikan diri itu cuba mencuri bateri dari lori treler miliknya selepas mendapati salah satu skru pada bateri itu telah tertanggal.

3 sahabat bertembung sesama sendiri



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU  –  Seorang buruh terbunuh manakala dua pelajar tingkatan empat cedera apabila motosikal mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Jalan Kampung Kebor Besar, Manir, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Mohd Nor Firdaus Abd Rahman, 22, dari Kampung Kesom, Manir, maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Mohd Ridhwan Mustafa, 16, dan Mohd Shafiq Yusri
Yusof, 16, cedera dan dihantar menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai menunggang motosikal masing-masing dari arah Kampung Telari ke Kampung Manir.
“Tiba di lokasi kejadian, salah seorang daripada mereka dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba dan akibatnya, dua lagi mangsa yang turut menunggang motosikal dalam keadaan laju tidak sempat mengelak sebelum bertembung sesama sendiri.

“Akibat pertembungan itu, mangsa, Mohd Nor Firdaus tercampak dan motosikalnya dipercayai terseret lebih 50 meter dari lokasi kejadian menyebabkan dia mengalami cedera parah di kepala dan mati serta-merta,” katanya.

Zamri berkata, dua lagi mangsa masing-masing berasal dari Kampung Banggol dan Kampung Kubang Palas, Manir, di sini, cedera di bahagian badan dan kini menerima rawatan di HSNZ.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek pecah rumah diberkas



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman
KOTA BHARU- Tidak sampai tempoh 24 jam, suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah milik seorang pensyarah perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), di Taman Perumahan PKINK Teluk Bara, Kubang Kerian berjaya diberkas polis, dengan menggunakan teknologi telefon pintar melalui peranti sistem kedudukan global (GPS), Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek terbabit kira-kira jam 12.30 tergahari pada hari kejadian, di rumah lelaki itu selepas berjaya mengesan pergerakan suspek berkenaan di sebuah rumah di Jalan Raja Perempuan Zainab, Demit kira-kira 400 meter dari rumah mangsa.

“Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa bersama isterinya dikatakan masuk tidur di bilik mereka dan meninggalkan komputer riba Mac Book Apple, Tablet berjenama I-Pad dan telefon pintar I-Phone 4S milik USM, serta telefon bimbit miliknya serta isteri di ruang tamu.

“Mereka hanya menyedari barangan terbabit hilang kira-kira jam 7 pagi selepas bangun dari tidur.

"Mereka turut mendapati rumah digeledah pencuri yang melarikan barangan itu termasuk sejumlah wang tunai, jam tangan dan dokumen penting, yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM 16,000,” katanya kepada Sinar Harian.
Azham berkata, selepas menyedari kehilangan barangan berkenaan, mangsa cuba menggunakan telefon milik rakannya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya bagi mengesan telefon terbabit dengan menggunakan perisian GPS.

“Melalui perisian itu, beliau akhirnya dapat mengesan telefon bimbitnya yang hilang dan terus memberi maklumat kepada kami dan kejayaan mengesan telefon bimbitnya itu turut memudahkan kami mengesan suspek.
“Sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi yang dipercayai suspek menyembunyikan diri di Jalan Sultanah Zainab,” katanya.
Selepas menggeledah rumah lelaki itu, pihak polis akhirnya menemui kesemua barangan yang hilang termasuk kedua-dua telefon pintar I-Phone 4S, komputer Mac Book serta tablet I-Pad selain dokumen-dokumen penting milik mangsa dan isterinya.

“Hanya sejumlah wang tunai milik mereka sahaja yang tidak dapat dikesan dalam kejadian itu.

"Setakat ini suspek sudah ditahan dan akan direman bermula 18 Oktober ini bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah seksyen 380 Kanun  Keseksaan (KK),” katanya.

Bomba kesan 240 kes sengaja dibakar



NORHASRAM MOHAMAD
16 Oktober 2012
Bomba kesan 240 kes sengaja dibakar
Wan Noor (tengah) menerima cenderahati daripada Edwin sambil diperhatikan Azmi (kiri) selepas merasmikan mesyuarat semalam
PASIR PUTEH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi Bahagian Penyiasatan Kebakaran mengesan 240 kes sengaja dibakar dari Januari hingga Ogos Tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Noor Ibrahim berkata, kes-kes kebakaran berkaitan jenayah akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, walaupun tidak ramai anggota bomba terlibat dalam bahagian penyiasatan kebakaran, kualiti kerja terus membantu sehingga hasil siasatan diterima mahkamah.

“Bidang ini diperkenalkan sejak tahun 2008 dan kita melihat ianya sebagai perkembangan baik kerana kita dan mangsa perlu mengetahui punca kebakaran.

“Ada kes membabitkan perbuatan khianat, untuk tuntut insurans atau untuk menutup kes jenayah, semua itu disiasat dengan teliti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Penolong-penolong Pengarah Negeri dan Pegawai

Makmal Bahagian Penyiasatan Kebakaran di Tok Aman Bali Resort di sini, semalam.

Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Edwin Galan Teruki dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman.
Wan Noor berkata, seramai 451 pegawai makmal dan pegawai siasatan menjayakan kes-kes kebakaran yang disiasat di seluruh negara.
Katanya, pegawai makmal di sembilan makmal di seluruh negara termasuk pegawai daripada Jabatan Kimia menganalisis sampel yang diambil dari tempat kejadian.

Beliau juga berkata, 30 peratus kes kebakaran bangunan di seluruh negara berpunca daripada elektrik.

“Jumlah itu cukup besar dan bomba hanya dapat menasihati orang ramai memberi perhatian kepada masalah itu seperti menukar pendawaian lama dan sentiasa memeriksa perkakas elektrik,” katanya.